Sabtu, 2 November 2013

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Perkasa buat 9 laporan polis

Posted: 02 Nov 2013 10:48 AM PDT

Oleh HELMI MOHD. FOAD
kota@utusan.com.my

ABU Bakar Yahya (lima dari kanan) bersama beberapa ahli Perkasa Selangor membawa sepanduk bagi mengutuk tindakan empat individu yang terlibat dalam klip video yang didakwa menghina keputusan mahkamah selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Shah Alam, kelmarin.

SHAH ALAM 2 Nov. - Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Selangor membuat sembilan laporan polis berhubung sebuah klip video di laman You Tube yang didakwa menghina keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini berhubung larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan The Herald.

Sekumpulan anggota pertubuhan itu yang diketuai Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya membuat laporan berkenaan di Ibu Pejabat Balai Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini kira-kira pukul 3.45 petang semalam.

Klip video That Effing Show #95: Allah, Apa Lagi? berdurasi kira-kira enam minit itu memaparkan empat individu membincangkan mengenai keputusan berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan berkenaan dalam bentuk komedi.

Abu Bakar ketika ditemui berkata, pihaknya meminta pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat dan mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat dalam pembikinan dan penyiaran klip video tersebut.

"Kita melihat klip video tersebut seolah-olah menghina keputusan mahkamah berkenaan larangan penggunaan kalimah Allah selain menghina Perkasa.

"Perkara ini perlu diteliti bagi mengelak tercetus rasa tidak puas hati dan suasana tidak harmoni dalam negara yang aman ini," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.

Pada 21 Oktober lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, keputusan yang dibuat Mahkamah Rayuan hanya merujuk kepada kes penggunaan kalimah Allah di dalam penerbitan The Herald sahaja, bukan secara umum diputuskan kepada kalimah Allah yang terkandung di dalam semua Bible.

Kesal ada penduduk bising hingga awal pagi

Posted: 02 Nov 2013 10:48 AM PDT

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Sebahagian besar penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin di Jinjang di sini, kesal atas sikap beberapa orang penduduk yang membuat bising dan aksi kurang menyenangkan sehingga awal pagi semalam.

Menurut seorang penduduk yang tidak mahu namanya didedahkan, mereka itu dipercayai mabuk dan memasang muzik sekuatnya seperti di disko di bawah khemah di blok A PPR tersebut sehingga menyebabkan penduduk terganggu dan tidak dapat tidur.

"Mereka hanya berhenti setelah kereta peronda polis datang kira-kira pukul 4 pagi. Kejadian sebegini boleh menjejaskan keharmonian penduduk di sini.

"Kita mohon agar pihak berkuasa seperti polis memastikan kejadian ini tidak berulang lagi," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan, penduduk berkenaan yang sedang menyambut keraian tidak memikirkan langsung keselesaan jiran-jiran yang lain walaupun sudah awal pagi.

Sementara itu, seorang penduduk di situ berkata, letupan mercun dan bunga api turut kedengaran di seluruh blok PPR Beringin yang mempunyai enam blok tanpa tindakan daripada pihak berkuasa sehingga ke subuh.

Katanya lagi, beliau kecewa dengan tindakan lewat pihak polis walaupun anggota peronda bermotosikal kerap melakukan rondaan di kawasan perumahan itu.

"Saya berharap selepas ini, mereka lebih peka dengan penduduk yang lain agar ketenteraman dan keharmonian dapat terus dijaga," ujarnya.

Dia juga mencadangkan agar polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyenaraihitamkan penghuni yang bersikap melampau.

"Pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta mencontohi tindakan tegas pihak berkuasa Singapura dalam menjaga ketenteraman penduduk.

"Polis dan DBKL tidak wajar membenarkan acara sedemikian dilakukan di tempat terbuka. Saya hairan bagaimana mereka boleh diberikan kebenaran mengadakan acara itu sehingga awal pagi?" jelasnya.

Pelajar vokasional jalani latihan praktikal parah dilanggar MPV

Posted: 02 Nov 2013 10:48 AM PDT

SABAK BERNAM 2 Nov. - Seorang pelajar vokasional, Mohd. Saiful Hafiz Shahid, 16, yang sedang menjalani latihan praktikal parah setelah dilanggar oleh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di simpang empat Paket 60, Simpang Lima, Sungai Besar, Jalan Kuala Selangor-Teluk Intan di sini petang ini.

Menurut saksi, dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, mangsa yang dalam perjalanan ke pekan Simpang Lima, Sungai Besar dirempuh oleh kenderaan itu yang tiba-tiba membuat pusingan sebelum melanggar mangsa.

Kenderaan MPV tersebut dikatakan tidak berhenti walaupun cuba ditahan oleh orang awam di situ.

Mangsa yang patah kaki dibawa ke Hospital Tuanku Jamaah, Sabak Bernam dengan ambulans Jabatan Pertahanan Awam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supritendan Noor Mushar Muhammad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan menyatakan pihaknya telah menerima laporan daripada pemandu MPV berkenaan.

Menurutnya, pemandu terbabit berasa takut dan terus meninggalkan tempat kejadian untuk membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kemalangan menyebabkan kecederaan parah," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Cabaran baharu Wan Nabila

Posted: 02 Nov 2013 05:13 AM PDT

ARU setahun jagung. Itu mungkin perumpamaan yang tepat untuk menggambarkan penglibatan Wan Nabila Wan Mohd. Noor, 22, dalam dunia blog yang hanya bermula semenjak Mei tahun lalu.

Menurut pemilik blog Nabila Biela, hobi membaca blog yang mula bercambah semenjak bergelar penuntut di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mendorong dirinya untuk membina laman blognya sendiri.

Seperti kebanyakan blog yang dibacanya, Wan Nabila memilih untuk membina blog peribadi yang berkisar tentang kehidupannya sebagai penuntut di USIM serta petua, info, puisi dan petikan ayat untuk berkongsi dengan rakan-rakan baharu di alam maya.

Untuk kamu yang mahu meluaskan jaringan sosial, jangan lupa singgah ke blog milik anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu ini dengan berkunjung ke alamat www.nabilabiela.com. - LYNN/GAMBAR KOLEKSI PERIBADI WAN NABILA

Kongsi pengetahuan

SEBAGAI penuntut tahun tiga dalam jurusan kaunseling, pastinya saya mahu berkongsi kemahiran saya ini dengan orang lain. Walaupun tidak secara langsung, saya berharap dapat membantu orang lain biarpun dengan sekelumit info. Kebanyakan maklumat tersebut diperolehi berdasarkan pengalaman, pembacaan dan idea daripada rakan-rakan yang saya himpunkan dengan harapan dapat memberi manfaat kepada pengikut blog Nabila Biela.

Dikutuk kerana blog

KETIKA baharu berkecimpung dalam dunia blog pada Mei tahun lalu, kesukaran untuk menaikkan trafik menjadi cabaran kepada diri saya. Lebih-lebih lagi, saya terpaksa bergantung sepenuhnya kepada internet untuk membuat blog sendiri. Namun, sungguh tidak sangka kerana ada segelintir manusia yang sanggup mengutuk dan menyindir saya semata-mata blog yang saya bina. Walau bagaimanapun, saya tidak mahu patah semangat dan melayan perkara remeh-temeh tersebut kerana apa yang paling penting adalah kepuasan diri. Insya-Allah, kita akan berjaya jika melakukan perkara yang diminati dengan bersungguh-sungguh.

Sukakan cabaran

SAYA tidak tahu bagaimana pengikut-pengikut blog menggambarkan keperibadian saya. Mungkin ada sahaja yang menganggap saya seorang yang nerd, siapa tahu kan? Ramai yang tidak mengetahui saya gemar mencuba perkara baharu kerana ia mencabar. Apabila mencuba perkara baharu, saya juga akan melakukannya bersungguh-sungguh sehingga membuahkan hasil. Dan paling penting, kenalah berani menanggung risiko terhadap setiap keputusan yang kita buat. Bagi saya, individu yang suka lari daripada masalah adalah orang yang tidak mempunyai jati diri.

Karang puisi bila sedih

BERBANDING bercerita tentang kesedihan yang dirasakan dengan orang lain, saya memilih untuk berkongsi bersama pengikut-pengikut blog Nabila Biela melalui puisi. Sebab itu, banyak puisi berkisar tentang kedukaan, kesunyian dan ketenangan. Sebenarnya, saya tidak pernah belajar menulis puisi secara khusus. Malah, saya juga tidak gemar membaca karya orang lain tetapi apabila berasa sedih, idea untuk menulis akan datang mencurah-curah. Jadi, apa yang saya tulis itu benar-benar daripada perasaan yang saya rasakan ketika itu.

Jual pakaian dalam talian

MUNGKIN pada usia 22 tahun, ramai yang beranggapan diri masih muda dan perlu fokus pada pengajian sahaja. Saya pula mempunyai pandangan berbeza tentang perkara tersebut. Melihat umur yang semakin meningkat dari setahun ke setahun, saya berasa malu untuk meminta duit daripada keluarga lagi. Disebabkan itu, sedaya upaya saya berjimat-cermat dan menggunakan duit simpanan sahaja untuk berbelanja. Untuk tidak membebankan keluarga, saya mendapat idea menjual pakaian di internet kerana perniagaan tersebut menjadi trend pada masa kini. Bukan sahaja dapat menjana pendapatan tetapi pada masa sama mencabar saya untuk menjadi lebih bijak dalam membahagikan masa antara pelajaran dan perniagaan dalam talian.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Kesiapsiagaan di Linkedua

Posted: 01 Nov 2013 11:27 AM PDT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) mengangkat mangsa yang tercedera dalam Latihan Kecemasan Bersama Malaysia-Singapura bagi Pelan Latihan Kecemasan Tumpahan Bahan Kimia Linkedua 2013 di Laluan Kedua Malaysia-Singapura di Tanjung Kupang, Johor Bahru, semalam. - BERNAMA

NUSAJAYA 1 Nov. - Walaupun tiada sebarang insiden kemalangan membabitkan tumpahan minyak atau bahan kimia di Lebuhraya Linkedua (Linkedua) yang menghubungkan Tanjung Kupang di sini dan Tuas, Singapura, namun latihan kecemasan bagi meningkatkan kesiapsiagaan kedua-dua pihak amat penting.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Datuk Halimah Hassan berkata, latihan berkala seperti itu perlu dilaksanakan bagi memastikan tindakan segera oleh kedua-dua negara dapat dilakukan sekiranya kemalangan berlaku.

"Sepanjang tempoh Januari 2012 hingga kini, Linkedua yang menghubungkan Malaysia menerusi Tanjung Kupang dan Tuas, Singapura itu digunakan untuk membawa masuk dan keluar lebih 365,000 tan metrik bahan kimia berbahaya dari kedua-dua negara.

"Meskipun tiada sebarang insiden seperti itu berlaku, namun latihan kecemasan menerusi Pelan Latihan Kecemasan Tumpahan Minyak LinKedua perlu dilaksanakan bagi memastikan pihak berkuasa kedua-dua negara bersedia menghadapi sebarang kemungkinan," katanya selepas menyaksikan latihan itu di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang, dekat sini kelmarin.

Latihan kira-kira sejam bermula pukul 10 pagi itu menyaksikan simulasi kemalangan dua buah lori yang membawa asid hidroklorik, sebuah kereta dan sebuah motosikal dapat diatasi dengan kerjasama pasukan kedua-dua negara dan memenuhi ketetapan seperti yang digariskan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dipersetujui.

Sebanyak 15 agensi dari Malaysia dan tujuh dari Singapura membabitkan seramai 600 anggota agensi kedua-dua negara terlibat dalam latihan tersebut.

Antara agensi dari Malaysia yang terlibat ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Alam Sekitar, Linkedua Berhad, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Kesihatan, manakala dari Singapura membabitkan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA), Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan (MPA), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) serta Pihak Berkuasa Imigresen dan Pemeriksaan (ICA).

Halimah berkata, setiap agensi yang terlibat akan menilai semula perkara yang dilaksanakan sepanjang tempoh latihan itu berlangsung bagi memperbaiki segala kelemahan selain menambah baik operasi pada masa akan datang.

Beliau berkata, sekiranya senario kemalangan seumpama itu berlaku, agensi dari kedua-dua negara akan mengambil tindakan segera untuk mengawal keadaan bagi memastikan keselamatan orang awam serta alam sekitar terjamin.

Program latihan yang masuk edisi kesembilan itu adalah program dua tahun sekali yang diadakan secara bergilir dengan Singapura sejak mula dilaksanakan pada 2000.

Tingkatkan kesedaran, keselamatan kenderaan

Posted: 01 Nov 2013 11:27 AM PDT

JOHOR BAHRU 1 Nov. - Para pengguna jalan raya di negeri ini khususnya penunggang dan pembonceng motosikal dinasihat terus meningkatkan kesedaran serta tahap keselamatan kenderaan masing-masing bagi mengelak terlibat dalam kemalangan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, Noormazura Mat Nawi berkata, ini kerana hampir 60 peratus daripada 686 kematian yang direkodkan hingga Julai lalu melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Beliau berkata, jumlah kematian itu amat membimbangkan kerana berlaku kenaikan sebanyak 14 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu 593 orang.

"Kita akan terus menjalankan kempen keselamatan jalan raya bagi meningkatkan tahap kesedaran orang ramai tentang aspek keselamatan diri dan kenderaan masing-masing," katanya ketika melancarkan kempen keselamatan jalan raya sempena perayaan Deepavali di sini hari ini.

Pada kempen berkenaan, JKJR negeri turut memberi cenderahati berupa hamper kepada pengguna di Jalan Tun Razak di sini sempena sambutan Pesta Cahaya itu.

Berdasarkan rekod JKJR Johor, jumlah kematian pada 2011 hingga 2012 daerah adalah sebanyak 1,073 kes dengan Batu Pahat mencatat kematian tertinggi iaitu 176 kemalangan maut.

Mengenai kempen keselamatan jalan raya sempena Deepavali itu, Noormazura berkata, program itu merupakan kempen rutin yang melibatkan semua perayaan termasuk Hari Raya dan Tahun Baru Cina.

"Pada musim perayaan ini ramai yang akan membuat perjalanan jauh. Jadi, selain faktor keadaan jalan raya dan kenderaan masing-masing, kesedaran adalah perkara paling utama dan perlu ditingkatkan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Jadikan Deepavali medan erat hubungan seluruh masyarakat

Posted: 01 Nov 2013 11:27 AM PDT

SEREMBAN 1 Nov. - Perayaan Deepavali yang akan disambut oleh masyarakat India di negeri ini esok perlu dijadikan medan bagi mengakrabkan hubungan sesama ahli keluarga serta seluruh masyarakat dan jiran tetangga.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pada masa yang sama segala perselisihan mahupun sengketa perlu ditolak ke tepi agar kehidupan lebih sejahtera dan progresif dapat dibina dalam sebuah masyarakat majmuk.

''Sebagai sebuah negara berbilang kaum, segala unsur perkauman perlu ditolak dan hormatilah perayaan setiap kaum demi memastikan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia terus dikekalkan," katanya di sini hari ini.

Menteri Besar turut mengucapkan Deepavali kepada seluruh penganut agama Hindu serta mengajak seluruh rakyat bersama-sama memeriahkan perayaan itu.

Pada masa yang sama, beliau juga berharap perayaan itu dapat memberikan kesejahteraan kepada semua rakyat terutama di negeri ini.

''Saya berharap kaum India menjadikan perayaan ini sebagai kelangsungan generasi lalu dalam meneruskan kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat dengan aman dan sejahtera.

''Mari kita bersama-sama memperkukuhkan persahabatan yang sedia terjalin sebagai rakyat di negara merdeka ini, selain memperkuatkan semangat bersatu padu yang diamalkan sebelum ini sebagai satu keluarga besar dalam sebuah negara bertuah ini,'' ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Hati-hati perang saraf pembangkang - Khairy

Posted: 02 Nov 2013 01:52 AM PDT

YAN 2 Nov. - Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berharap para pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau tidak terpengaruh dengan perang saraf pihak pembangkang di saat akhir kempen pilihan raya kecil (PRK) DUN itu yang akan berakhir 12 tengah malam Ahad.

Beliau berkata, seperti kebiasaan dalam tempoh-tempoh akhir sebegini, pelbagai taktik dan hasutan akan digunakan pihak pembangkang, termasuk isu pengundi hantu yang tidak akan dapat dibuktikan mereka sehingga hari ini.

"Kalau kita tengok pada pilihan raya umum pun, macam-macam tuduhan yang dibuat oleh pembangkang yang tidak dapat dibuktikan. Mereka kata 40,000 pengundi asing dibawa masuk dari Sabah dan Sarawak dan tempat-tempat lain, tetapi sampai hari ini tak ada seorang pun pengundi asing dapat dibuktikan mereka di mahkamah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian peralatan barangan sukan di Sekolah Kebangsaan Dulang, dekat sini, Sabtu.

Mengulas tindakan Pas menampilkan Ustaz Azhar Idrus dalam program ceramah mereka esok, Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, pengundi perlu menilai apa yang disampaikan oleh penceramah bebas itu sebelum menerimanya bulat-bulat.

"Ceramah beliau ada selit dengan mesej politik, bila dah selitkan dengan mesej politik, dia sudah pasti berat sebelah. Dia bukan bagi ceramah agama tumpu kepada agama tetapi dia bagi ceramah politik yang berat sebelah," katanya.

Mengulas mengenai kempen jentera BN sehingga kini, Khairy berkata, kempen berjalan lancar dan aman tanpa sebarang gangguan dengan momentum jentera sejak kebelakangan ini turut meningkat dengan sokongan menggalakkan masyarakat setempat.

"Saya dapati sambutan setakat hari ini untuk program-program kita buat untuk orang muda begitu menggalakkan. Walaupun kita tak tahu siapa atau macam mana mereka akan mengundi pada hari Isnin ini, tetapi daripada sambutan dan kemesraan itu... memang menggalakkan," katanya.

Sebelum itu, Khairy turut menyertai golongan belia bermain sepak raga tuju sebelum bergerak ke Karnival Sepak Raga Tuju Pemuda BN di belakang Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Aik Ming di sini. - BERNAMA

Pelantikan Yong Kong bergantung perkenan Tunku Annuar - Mukhriz

Posted: 02 Nov 2013 01:47 AM PDT

JERLUN 2 Nov. - Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Dr. Leong Yong Kong sebagai Ahli Exco kerajaan negeri bergantung kepada perkenan pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, pelantikan bagi mengisi kuota yang diperuntukkan kepada MCA itu akan dibuat sebelum persidangan DUN pada 18 November ini, selepas diperkenankan.

Katanya, MCA dilaporkan meminta dua kerusi Exco tetapi belum membuat permohonan rasmi kecuali surat yang diserah sendiri presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang mencadangkan ADUN Kulim, Chua Thiong Gee turut dilantik sebagai Exco.

Mukhriz ditemui selepas menutup program 1 Komuniti 1 JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) (SKSJ) peringkat Parlimen Jerlun di Sekolah Menengah Megat Dewa di sini Sabtu.

Soi Lek dilaporkan akan melobi satu kerusi tambahan untuk wakilnya dilantik sebagai Exco menjadikan kuota parti itu dua kerana tiada wakil Gerakan memenangi kerusi DUN pada pilihan raya umum lepas.

Selepas dilantik sebagai Menteri Besar, Mukhriz melantik lapan daripada 10 Ahli Exco dengan mengosongkan dua kerusi yang secara tradisinya diperuntukkan masing-masing satu kepada MCA dan Gerakan.

Mengenai program SKSJ, beliau berkata, ia amat diperlukan oleh masyarakat Jerlun yang kadang-kadang menggunakan kenderaan untuk pelbagai urusan tanpa lesen.

"Dalam pada kita hendak kurangkan kemalangan, memandu tanpa lesen mengundang risiko. Program ini adalah untuk merakyatkan perkhidmatan kerajaan terus kepada rakyat," kata Mukhriz.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad dalam ucapan yang dibacakan timbalannya, Datuk Ariffin Che Mat berkata, program itu bermula 31 Julai dan berakhir 18 Oktober lepas melibatkan 243 peserta.

Katanya peserta khususnya warga emas hanya membuat bayaran minimum RM150 untuk mendapat lesen B2 berbanding RM261 melalui institut memandu.

Menurut Ismail, 462,423 orang terlibat dengan kemalangan jalan raya sepanjang tahun lepas iaitu peningkatan 13,383 orang atau tiga peratus berbanding 449,040 pada tahun 2011.

Katanya statistik polis menunjukkan kematian akibat kemalangan jalan raya meningkat 40 orang (enam peratus) daripada 6,877 pada 2011 kepada 6,917 orang tahun lepas. - BERNAMA

Pendidikan Ulul Albab dilaksana tahun depan - Idris Jusoh

Posted: 02 Nov 2013 01:44 AM PDT

KUALA TERENGGANU 2 Nov. - Program pendidikan Ulul Albab akan dilaksanakan di sekolah rendah dan menengah secara berperingkat mulai tahun depan bagi melahirkan generasi yang seimbang dalam aspek duniawi dan ukhrawi.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, program berkenaan yang diterapkan dalam kurikulum akan diubah suai mengikut program terkini yang ada mengikut kesesuaian, tempat dan juga apa yang telah ada di kementerian.

"Untuk memantapkan kurikulum pengajian Islam, seluruh sekolah terutama di sekolah menegah (harian) dan sekolah menengah agama kita akan mengenal pasti kurikulum Ulul Albab dilaksanakan sekurang-kurangnya satu sekolah di setiap negeri.

"Insya-Allah ia akan bermula pada tahun hadapan ataupun tahun selepasnya mengikut kemampuan sekolah masing-masing," katanya selepas merasmikan penutupan majlis Khatam al-Quran Perdana dan pertandingan Kalam Jama'ie peringkat kebangsaan di sini Sabtu.

Dalam perkembangan sama, Idris berkata, kementerian akan memanjangkan program Khatam al-Quran yang merupakan tradisi ulama secara berterusan ke sekolah-sekolah melalui pelaksanaan program J-Qaf yang dilancarkan sejak 2005.

"Sejak itu, kita lihat perkembangan demi perkembangan pengajian Islam yang lebih mantap di sekolah-sekolah. Kali ini ditambah pula dengan Bahasa Arabnya melalui Arabic Chorus Speaking (pertuturan) dalam pertandingan Kalam Jama'ie yang telah dibuat buat kali kedua ini," katanya.

"Tradisi budaya khatam membaca al-Quran dan pembudayaan Bahasa Arab di sekolah-sekolah wajar diteruskan untuk memastikan pelajar mantap menguasai bidang berkenaan," katanya. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Kedah negeri serius timbang projek yang memberi manfaat kepada rakyat

Posted: 01 Nov 2013 11:27 AM PDT

MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

JERAI 1 Nov. - Kerajaan negeri melihat ada kewajaran dalam cadangan pihak swasta untuk membina sebuah pelabuhan di Pulau Bunting dekat sini yang dilihat mampu membawa manfaat kepada rakyat Kedah termasuk di Sungai Limau.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir (gambar) berkata, cadangan pembinaan pelabuhan berkenaan yang akan digunakan untuk tujuan aktiviti eksport dan import itu dilihat dapat membantu kewujudan Taman Perindustrian Automatif Gurun secara langsung.

Beliau berkata, dengan terbinanya pelabuhan itu maka industri di situ tidak perlu terlalu bergantung kepada pelabuhan Pulau Pinang yang semakin hari semakin sesak.

"Keperluan sekarang ini mewajarkan sebuah pelabuhan baharu di Pulau Bunting. Ini secara langsung memberi manfaat kepada masyarakat di kawasan Yan termasuk di Sungai Limau.

"Pembinaannya masih di peringkat cadangan tetapi cadangan itu agak serius. Memang saya bertujuan berunding dengan Kerajaan Persekutuan untuk meluluskan cadangan pembinaan pelabuhan baharu di situ," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program latihan kemahiran automotif di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN), di sini hari ini.

Menurut Mukhriz, selaras dengan cadangan pembinaan pelaburan itu, kerajaan negeri juga mempertimbangkan cadangan pembinaan sebuah loji janakuasa arang batu di Pulau Bunting untuk membekalkan tenaga elektrik ke Thailand.

Katanya, Kerajaan Kedah tiada halangan secara prinsip tetapi masih tertakluk kepada jawapan susulan terhadap syarat-syarat yang dikemukakan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kewujudan Taman Perindustrian Automotif Gurun meningkatkan keperluan untuk tenaga mahir berasaskan penggunaan mesin berteknologi tinggi.

"Di Jerai kita mempunyai potensi besar untuk dibangunkan khususnya melibatkan industri automotif yang kita pun sudah sedia maklum berjalan sejak wujudnya Taman Perindusrian Automatif Gurun.

"Kerajaan Persekutuan juga sudah meluluskan peruntukan untuk membina jalan yang akan menghubungkan Gurun termasuk Guar Chempedak sehingga ke Pulau Bunting," katanya.

Justeru, beliau berharap rakyat Kedah khususnya golongan muda mengejar ilmu pengetahuan yang sepadan dengan permintaan dan pasaran yang akan kerajaan negeri wujudkan.

"Saya berharap mereka dari semasa ke semasa mengambil tahu industri apa yang kita akan beri tumpuan supaya jurusan yang diambil itu menepati permintaaan tersebut," katanya.

JKJR Perlis yakin dapat kurangkan kematian

Posted: 01 Nov 2013 11:27 AM PDT

ZAHIDI Zainul Abidin (kanan) dan Mahmud Shahruddin Mustaffa (tengah) menyampaikan topi keledar kepada penunggang motosikal dalam Kempen TMTA JKJR bersama Allianz Insurance di Padang Besar, Perlis, kelmarin.

PADANG BESAR 1 Nov. - Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Perlis yakin dapat mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya di negeri ini sekurang-kurangnya 10 peratus pada tahun ini.

Pemangku pengarahnya, Mahmud Shahruddin Mustaffa berkata, ini berikutan pelbagai program kempen keselamatan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai khususnya pengguna jalan raya, termasuk Tiada Minggu Tanpa Advokasi (TMTA).

"TMTA dijalankan sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu di seluruh negeri dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya selepas Kempen TMTA JKJR bersama Allianz Insurance yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin di Kilometer 12 Jalan Kangar-Padang Besar, di sini semalam.

Pada kempen tersebut sebanyak 50 buah topi keledar dan 20 buah tempat duduk kanak-kanak diedarkan kepada pengguna kenderaan di situ sempena cuti perayaan Deepavali.

Mahmud Shahruddin berkata, kempen TMTA itu diharap dapat menyedarkan pengguna jalan raya terutama penunggang dan pembonceng motosikal supaya menjaga keselamatan diri pada musim perayaan Deepavali.

"Mereka perlu menjaga keselamatan dengan tidak memperjudikan diri dengan memakai topi keledar tiruan," katanya.

Menurut beliau, dalam program TMTA pihaknya juga mengedarkan risalah Keselamatan Jalan Raya (KJR) kepada pemandu kereta, meletakkan pelekat pemantul cahaya kepada motosikal selain pertukaran topi keledar usang.

Selain itu, katanya, pihaknya turut menyusun beberapa program KJR berbentuk pendidikan keselamatan jalan raya di sekolah-sekolah menerusi penubuhan Kelab JKJR, program pendidikan bersama majikan dan masyarakat.

Menurut Mahmud Shahruddin, berdasarkan statistik kes kematian sebelum ini, sebanyak 79 kes dilaporkan pada 2011 manakala 2012 mencatatkan penurunan iaitu 71 kematian.

Beliau yakin kes kematian tahun ini akan menurun lagi bersandarkan usaha JKJR bersama agensi berwajib mempergiatkan kempen kesedaran kepada pengguna jalan raya.

Tambahnya, penunggang dan pembonceng motosikal masih merupakan penyumbang tertinggi kes kematian dalam kemalangan jalan raya di negeri ini.

Warga emas ditipu lelaki menyamar pekerja TNB

Posted: 01 Nov 2013 11:27 AM PDT

KUALA KANGSAR 1 Nov. - Seorang wanita warga emas kerugian RM10,000 selepas wang tunai dan barang kemasnya dilarikan dua lelaki yang menyamar sebagai pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kampung Padang Asam, Padang Rengas, di sini baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Guan Beng Kang, kejadian berlaku kira-kira pukul 2 petang Sabtu lalu melibatkan wang tunai RM3,000 dan sejumlah barang kemas milik mangsa yang berusia 74 tahun.

Menurut beliau, suspek sebelum itu datang ke rumah mangsa menyamar sebagai pekerja TNB kononnya untuk membaiki kerosakan elektrik di dalam rumah wanita berkenaan.

Katanya, salah seorang suspek meminta wanita berkenaan menanggalkan semua barang kemas yang dipakainya dengan alasan untuk mengelak terkena renjatan elektrik ketika kerja pembaikan dijalankan.

"Mangsa yang akur kemudian menanggalkan barang kemas yang dipakai lalu mengumpulkan barangan itu dalam sebuah beg dan disimpan dalam bilik.

"Salah seorang suspek kemudian mengarahkan wanita itu melihat rakannya yang sedang melakukan kerja-kerja pembaikan di bahagian dapur. Kedua-dua suspek kemudian keluar dari rumah dengan alasan untuk membeli beberapa barangan yang diperlukan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Beng Kang, sebaik saja kedua-dua lelaki itu beredar, mangsa mendapati begnya yang berisi barang kemas dan wang tunai telah hilang.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membenarkan individu yang tidak dikenali daripada memasuki rumah mereka, terutamanya ketika bersendirian.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Rumah: Kerajaan perlu bertindak

Posted: 01 Nov 2013 11:27 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Dua pengawal guna kad pengenalan palsu dipenjara

Posted: 01 Nov 2013 11:27 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Salah guna lesen bot tempatan

Posted: 01 Nov 2013 11:27 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved