Rabu, 16 Oktober 2013

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Transformasikan jentera bahagian

Posted: 16 Oct 2013 11:29 AM PDT

Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my

Pembangunan pesat negeri Melaka boleh dilihat melalui bangunan-bangunan baharu dan kesesakan teruk sepanjang laluan ke kota Melaka.

Siapakah yang memulakan misi untuk membangunkan Melaka daripada keadaan ekonomi bagaikan sleepy hollow kepada ekonomi yang lebih baik dan maju? Tidak mungkin dalam tempoh satu dekad sahaja Melaka tiba-tiba boleh mencapai negeri maju.

Jika diselak sejarah, politik negeri Hang Tuah ini pernah berkecamuk dengan pertukaran satu demi satu Ketua Menterinya. Siapa yang berjaya menenangkan gelora darah wira-wira pemimpin Melayu Melaka?

Siapa yang mendapatkan kembali sokongan parti komponen Barisan Nasional dan dewan-dewan perniagaan sehingga dapat meyakinkan pelabur dari dalam dan luar negara datang membangunkan negeri itu?

Elok diimbas sejarah kerana fakta sejarah tidak boleh ditipu. Kira-kira tiga dekad lalu atau awal tahun 1980-an, perkhidmatan awam Kerajaan Negeri Melaka dikatakan hambar dan kurang bersemangat.

Sikap itu berubah setelah ditubuhkan Graha Patriotisme iaitu sebuah institut khas untuk memberikan kursus motivasi dan rejuvenasi, minda dan semangat serta sikap kepada pegawai kerajaan dengan tema 'Perkhidmatan Awam Adalah Fardu Kifayah.'

Setelah wujud kestabilan politik dan perkhidmatan awam negeri Melaka kian mantap serta bermotivasi, barulah dapat digerakkan pembangunan perindustrian sebagai asas untuk memajukan Melaka pada peringkat awal.

Sejarah pembangunan Melaka sebenarnya diasaskan oleh Allahyarham Datuk Abdul Ghani Ali secara kecil-kecilan di kawasan perindustrian Batu Berendam. Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik sebagai Ketua Menteri Melaka Keenam mengambil inisiatif membesarkan usaha Abdul Ghani bagi menjadikan Melaka sebuah negeri terkenal.

Rahim bukan sahaja membesarkan kawasan industri Batu Berendam tetapi juga mewujudkan kawasan perindustrian baru di setiap daerah seluruh negeri Melaka.

Rahim meningkatkan infrastruktur penting seperti jalan raya yang lengkap, bekalan elektrik dan air serta rangkaian telekomunikasi setelah pulang dari Kerajaan Pusat pada 1982. Kebetulan pada masa itu, Lebuh Raya Utara Selatan yang mempunyai jalan masuk ke Melaka melalui Alor Gajah dan Ayer Keroh dibuka.

Untuk memastikan penduduk Melaka dapat membekalkan tenaga kerja maka sistem pendidikan dipertingkatkan melalui kerjasama dengan Institut Kemahiran Mara, Institut Latihan Perindustrian, penambahan sekolah teknik, dan sekolah vokasional. Inisiatif juga diambil bagi mewujudkan Universiti Teknologi Mara dalam usaha menarik universiti lain datang ke Melaka.

Sejarah juga tercipta apabila pembangunan industri cukup hebat ditambah dengan perjanjian persefahaman antara kerajaan negeri Melaka dengan Singapura. Strategi dan usaha menarik pelabur asing juga dijalankan dengan pemimpin Taiwan dan China supaya mereka membantu pembangunan negeri itu.

Kerajaan negeri pada masa itu, juga berjaya membawa Petronas membina loji penapis walaupun Melaka tiada sumber petroleum untuk merancakkan pembangunan ekonomi negeri.

Setelah berjaya menjadikan Melaka negeri perindustrian, dengan nilai pelaburan berbilion ringgit, visi siapa yang memilih strategi baru untuk menjadikan Melaka sebagai destinasi pelancongan terhebat di Malaysia dengan memilih tema sejarah dan budaya?

Banyak usaha dibuat untuk mengembangkan potensi Melaka sebagai destinasi pelancongan. Kerana adanya kemantapan politik dan perkhidmatan awam, pembangunan yang hebat dan industri pelancongan yang dirintis oleh ketua menteri yang lalu maka ia meletakkan Melaka menjadi negeri maju dan hebat sekarang.

Semua yang dicapai hari ini adalah transformasi Melaka menjadi negeri maju ketika itu. Siapakah yang mentransformasi semua ini?

Tan Sri Mohd Ali Rustam pernah berkata "Sesungguhnya kehadiran Tan Sri Rahim Thamby Chik dalam menerajui negeri Hang Tuah dalam satu dekad telah membawa perubahan kepada negeri yang dikenali sleepy hollow bertukar menjadi antara negeri yang maju. Tiada siapa dapat menafikan bahawa Melaka menjadi negeri yang pesat membangun terutama dalam pelancongan, perindustrian, infrastruktur, pendidikan dan agama." - petikan majalah Dewan Masyarakat, September 2003.

Jadi, janganlah membelakangkan sumbangan bekas-bekas pemimpin Melaka begitu sahaja. Daya fikir, tenaga dan inovasi bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Dr. Abdul Rahim Tamby Chik tidak boleh dipandang sepi sejak dahulu hingga kini.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) itu terus ingin menyumbang bakti dalam membangunkan anak bangsa dan ekonomi Melayu/bumiputera.

Beliau berharap ahli-ahli UMNO tanpa perlu menunggu PRU-14 benar-benar turun menolong dan menjuarai rakyat, perjuangkan untung nasib, kesusahan, penderitaan dan kesempitan rakyat.

"Hari ini, kebanyakannya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersuara, makin kuat mereka membela untung nasib orang Melayu, makin terpinggir UMNO dan makin kecil suaranya.

"Ini amat bahaya, UMNO perlu bangun semula. Turun ke bawah, bekerjasama dengan NGO ataupun pegawai kerajaan untuk membela rakyat. Biar pejabat UMNO lebih aktif, lebih hebat daripada pejabat wakil rakyat dan pejabat kerajaan, sentiasa sibuk nak tolong rakyat," ujar Rahim yang menawar diri bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah dan Ahli Majlis Tertinggi (MT).

Rahim berasal dari Masjid Tanah dan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri di dalam kawasan berkenaan. Beliau berharap isu-isu masyarakat setempat menjadi agenda utama mesyuarat bulanan bahagian dan cawangan sebagai bukti warga UMNO prihatin kepada masalah rakyat dan bukannya mengejar pangkat atau harta.

"Untung nasib nelayan, guru, pekebun kecil, ibu tunggal, penjaja-penjaja kecil dan lain-lain perlu jadi agenda setiap bulan. Transformasi jentera UMNO, turun lebih hebat daripada NGO dan jabatan kerajaan untuk bantu masalah rakyat," kata bekas Ketua Menteri Melaka (1982-1994) dan pernah memegang jawatan Naib Presiden UMNO, atas kapasiti Ketua Pergerakan Pemuda UMNO (1993-1996).

"Ubah imej UMNO itu sendiri, harap generasi muda UMNO dan generasi sedia ada menghayati perkara ini. Kena transformasi dari segi peribadi, barulah terasa kebangkitan semula UMNO. Betulkan diri kita, pasti orang akan kenang jasa kita pada PRU-14 nanti tetapi jika gagal, malapetaka datang bila-bila masa sahaja," jelasnya.

Bahagian Masjid Tanah menyaksikan persaingan tiga penjuru apabila Setiausaha Kerja UMNO Pusat, Datuk Ab. Rauf Yusoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Linggi yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Ismail Othman turut bertanding jawatan Ketua Bahagian UMNO berkenaan.

Perkasa wanita, ekonomi Melayu

Posted: 16 Oct 2013 11:29 AM PDT

MUKADIMAH DATUK Dr. Norraesah Mohamad adalah antara tokoh wanita yang berpengalaman luas dalam bidang ekonomi. Tidak ramai dalam kalangan golongan itu mampu membarisi jawatan terpenting dalam syarikat korporat ternama negara, di samping tidak melupakan soal membangunkan agenda ekonomi Melayu.

Pakar ekonomi negara ini sudah terjebak dalam bidang politik sejak 20 tahun lalu dan beliau mempunyai sebab mengapa masih mahu mempertahankan jawatan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang disandangnya sejak tahun 2004.

Agenda mahu menggalakkan lebih ramai belia terlibat dalam keusahawan selain membantu peniaga kecil, Ahli Lembaga Pengarah Utusan Melayu (M) Berhad ini juga meluahkan tekad dan keazamannya untuk meluaskan kuasa wanita dalam politik dan ekonomi kepada Wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM.

UTUSAN: Kenapa Datuk masih mahu mempertahankan jawatan MT?

NORRAESAH: Api perjuangan saya untuk mencergaskan serta meningkatkan fokus parti dalam memartabatkan agenda Melayu masih membara. Rencana saya bertajuk Menang Bentuk Kalah Isi dalam Utusan beberapa tahun lalu (2011), bertujuan menyedarkan ahli-ahli parti terhadap kedudukan ekonomi Melayu yang meruncing. Kita punyai kuasa tetapi kuasa ini juga kian lusuh. Tambahan pula kekuatan ekonomi adalah faktor penting yang boleh menggugat kekuatan politik. Pengaruh ekonomi dalam politik tidak boleh dinafikan. Kekuatan ekonomi boleh membeli kuasa. Lebih getir lagi kini ada antara orang Melayu yang menidakkan pentingnya agenda memperkasakan ekonomi Melayu.

Saya ingin terus mempertahankan jawatan MT kerana ingin meyakinkan ahli UMNO dan Melayu bahawa memperkasakan ekonomi Melayu merupakan isu membangunkan sosio-ekonomi nasional dan bukan etnik seperti cakap-cakap nakal sesetengah orang. Mempertingkatkan ekonomi 67 peratus penduduk negara bererti meningkat ekonomi negara kita. Saya bersyukur presiden parti kita telah melancarkan inisiatif baharu untuk memperkasakan ekonomi bumiputera yang saya turut terlibat dalam persiapan inisiatif ini dan mahu teruskan komitmen dalam isu penting ini dengan pendekatan profesional dan berfakta.

Adakah Datuk rasa golongan wanita masih kurang dalam jawatan tertinggi UMNO?

Begitu jelas sekali bahawa wanita masih terlalu kurang dalam peringkat tertinggi parti. Pada pemilihan 2008 hanya saya seorang yang terpilih. Saya harap kali ini akan ada pertambahan. Saya dipilih sebagai Penasihat Antarabangsa Forum Ekonomi Dunia Islam ( WIEF) dan dilantik Pengerusi Jaringan Peniaga dan Pengusaha Wanita Islam WIEF. Penglibatan saya ini sekali gus menjadikan Malaysia sebagai negara contoh oleh negara-negara Islam lain termasuk negara bukan Islam apabila ramai wanita berjaya selain sikap kerajaan yang turut memartabatkan wanita dengan pelbagai inisiatif diperkenalkan.

Seperti yang kita semua tahu, dunia mengiktiraf wanita sebagai aset modal insan yang amat penting. Wanita adalah 'Dana Baru' untuk pertumbuhan ekonomi. Malangnya, perwakilan UMNO yang dikuasai kaum bapa masih berat untuk mengundi Wanita ke MT sedangkan golongan wanitalah yang menjadi penggerak utama dalam setiap pilihan raya umum dan kecil. Saya berharap agar kali ini perwakilan akan memilih lebih ramai wanita dalam MT. Perspektif wanita dalam apa jua bidang harus diambil kira sebab kami mewakili 50 peratus daripada penduduk Malaysia dan 50 peratus daripada tenaga kerjaya negara.

Adakah Datuk bersetuju langkah transformasi UMNO perlu lebih penyertaan daripada golongan profesional?

Langkah paling utama dalam menjayakan proses transformasi UMNO adalah dengan tidak menyekat kemasukan ahli baharu termasuk golongan profesional. Walau bagaimanapun, golongan ini jangan pula merasakan mereka mempunyai 'kad kemasukan istimewa' untuk mendapat akses mudah ke jawatan tinggi di bahagian atau peringkat lebih tinggi. Proses naik tangga demi tangga harus dilalui kecuali seseorang itu dapat meloncat terus dengan kehebatan yang menyerlah. UMNO diakui telah pun dipenuhi ramai golongan profesional, namun tidak dinafikan memang terdapat perasaan kurang senang untuk membuka luas pintu kepada golongan profesional tetapi keadaan ini tidak berleluasa. Oleh itu amat penting bagi UMNO meningkatkan kualiti keahlian berbanding hanya kuantiti ahli. UMNO harus terbuka menerima masuk profesional kerana pengundi semakin terpelajar dan mereka inginkan pemimpin yang berkaliber tinggi dan boleh dicontohi.

Apakah perancangan Datuk untuk membantu mengukuhkan tahap ekonomi orang Melayu?

Perancangan saya yang utama adalah menyedarkan orang Melayu supaya jangan rasa selesa. Ahli UMNO perlu sentiasa mengadakan sesi taklimat bagi menerangkan kepada rakyat bahawa kerajaan sudah mengatur pelbagai strategi dan kemudahan untuk meningkatkan dan mengupayakan orang Melayu dalam bidang ekonomi.

Saya ingin mengajak orang Melayu bertekad dan bersungguh-sungguh dalam apa yang diusahakan dengan mengunakan peluang yang sudah tersedia. Saya mahu memberi fokus kepada golongan penjaja dan peniaga kecil. Mereka ialah pengundi yang amat besar, oleh itu UMNO atau kerajaan perlu memberi lebih perhatian kepada mereka kerana dengan bermula perniagaan kecil atau mikro mereka mampu mencapai peringkat komersial. Saya mahu anak-anak muda kita menjadikan keusahawanan sebagai satu kerjaya pilihan. Syarikat saya sudah mengadakan sebuah rancangan realiti, Make the Pitch demi mencungkil bakat keusahawanan peserta dengan memperkenalkan model perniagaan masing-masing.

Bagaimanakah Datuk melihat ahli-ahli UMNO dalam menghayati perjuangan parti sebelum diterjemah kepada masyarakat luar?

Perjuangan saya dulu, kini dan selama-lamanya berasaskan kepada prinsip iaitu "Ilmu dan Keikhlasan pendokong perjuangan". Kita harus menerokai ilmu untuk menjadi pemimpin yang berkesan dalam dunia yang sentiasa berubah dan penuh cabaran. Kita mesti ikhlas dalam perjuangan, tidak mengharapkan imbuhan dan jawatan. Saya mahu UMNO benar-benar memancar lambang parti yang gagah, mulia dan indah. Gagahkan UMNO dalam Parlimen. Satukan barisan kepimpinan dengan objektif dan matlamat yang sama demi parti bukan individu.

Muliakan parti melalui pemimpin dan ahli yang tidak boleh diperlekehkan oleh pengundi dan pembangkang. UMNO mesti tunjukkan kepada rakyat integriti yang tinggi dan jati diri yang mulia. UMNO juga merupakan satu produk yang harus terbukti berkualiti, ada ketahanan, dan kemuliaan (integriti) yang menyerlah sebelum dapat dipasarkan. Perpaduan dalam parti dan keikhlasan berjuang adalah titik permulaan untuk menjadikan UMNO lebih gagah. Ahli UMNO harus menjadi orang yang dihormati, tidak sombong dan angkuh selain bersikap rendah diri dan bermoral.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Penduduk Taming Jaya rimas

Posted: 15 Oct 2013 11:22 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

SEBAHAGIAN warga asing yang pulang dari kerja sedang berjalan menuju rumah sewa masing-masing di Flat Taman Taming Jaya, Balakong di Kajang, Selangor, semalam.

KAJANG 15 Okt. - Kawasan perumahan bertingkat di Taman Taming Jaya di Balakong sudah seperti sebuah daerah antarabangsa.

Tidak banyak wajah orang tempatan di sini. Yang kelihatan ialah mereka dari negara-negara jiran yang bekerja di kilang-kilang berdekatan.

Ya, kita memerlukan mereka untuk memenuhkan permintaan tenaga kerja dalam sektor industri yang pelbagai di sekitar Taman Taming Jaya. Tetapi kita tidak memerlukan budaya mereka, contohnya budaya makan sirih yang sepahnya kemudian dibuang merata-rata.

Sebuah kedai di kawasan rumah kedai Taman Taming Jaya yang dipercayai diusahakan oleh warga asing berdasarkan kepada papan tanda yang terdapat di premis itu.

Air tembakau juga kelihatan di mana-mana, mewarnakan jalan dan kaki lima.

Penduduk tempatan yang sudah seperti kaum minoriti di sini mendakwa, sebahagian warga asing bertindak lebih berani dengan mendirikan gerai-gerai perniagaan di tepi jalan dan sebahagiannya menjalankan perniagaan dalam rumah kedai.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan perumahan itu, flat dan sekitarnya hari ini mendapati memang terdapat premis perniagaan yang diusahakan oleh pekerja asing.

Premis perniagaan yang dijalankan termasuk kedai gunting rambut, kedai serbaneka dan sebagainya dan dapat diketahui melalui papan tanda iklan yang menggunakan bahasa asing.

Gerai-gerai menjual sirih dan tembakau songel juga kelihatan di tepi jalan.

Di kaki lima bangunan kedai di situ dijadikan tempat mereka berkumpul beramai-ramai, apatah lagi hari ini cuti sempena Aidiladha.

Tinjauan juga mendapati, kawasan flat di situ dicemari sampah sarap kerana tiada tong sampah disediakan di situ. Sampah berlonggok di sana-sini dan bau kurang menyenangkan menusuk hidung.

Pihak berkuasa diminta siasat - Penduduk

Posted: 15 Oct 2013 11:22 AM PDT

KAKI lima rumah kedai dijadikan tempat warga asing melepak beramai-ramai, terutama pada hari cuti.

KAJANG 15 Okt. - Warga tempatan di Taman Taming Jaya meminta pihak berkuasa berkaitan menjalankan siasatan dan jika perlu diambil tindakan berhubung kebanjiran warga asing yang semakin meningkat di kawasan perumahan itu.

Warga tempatan, yang kebanyakannya menghuni kawasan rumah teres yang berdekatan dengan flat tempat tinggal warga asing itu, semakin resah dengan keadaan di situ yang didakwa berhadapan dengan pelbagai masalah, terutama berkaitan dengan kebersihan.

Norazlifah Azmi, 29, melahirkan kebimbangannya dengan situasi itu dan hairan bagaimana warga asing boleh menjalankan perniagaan di situ.

"Mengapa mereka boleh memberi sewa kepada pekerja asing sedangkan ramai warga tempatan boleh berniaga di sini? Setakat ini, saya tidak pasti sama ada perniagaan mereka berlesen atau tidak, adakah mereka mempunyai permit," katanya ketika ditemui.

Seorang lagi penduduk, Nurzilawaty Rahmad, 29, pula berkata, dia turut bimbang dengan faktor keselamatan kerana jenayah ragut sering terjadi di kawasan itu.

"Pernah terjadi cermin sebuah van dipecahkan oleh mereka (warga asing) yang dipercayai sedang mabuk di Jalan Taming Sari.

"Saya juga berasa kecewa kerana kawasan perumahan yang saya tinggal sekarang seperti sebuah negara asing," ujarnya.

Ibunya, Jemanis Mohd. Kassim, 52, pula berpendapat, budaya pengotor pekerja asing itu jelas terserlah.

"Lihatlah keadaan sampah-sarap yang bertimbun di kawasan flat ini. Mereka kebanyakannya tidak mempunyai kesedaran terhadap kebersihan. Selain itu, mereka juga sering meludah sesuka hati ketika sedang memakan sirih," jelasnya.

Pengawal keselamatan yang mahu dikenali hanya sebagai Afiq, 31, berkata kebanyakan warga asing di situ berasal dari Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Vietnam dan lain- lain.

"Selalunya mereka akan berkumpul beramai-ramai selepas pulang dari kerja, terutamanya pada waktu tengah malam hingga pagi. Saya yang tinggal di sini sejak kecil lagi sudah lali dengan situasi sebegini," katanya.

Lam Thye kesal aduan tidak diendah

Posted: 15 Oct 2013 11:22 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Isu papan tanda arah jalan yang terlindung oleh dahan-dahan pokok seolah-olah tidak mendapat perhatian pihak berkenaan sedangkan masalah itu bukan sahaja menyebabkan pengguna jalan raya mengalami kesukaran menuju destinasi tetapi turut melibatkan keselamatan mereka.

Aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye jelas kesal kerana masalah itu seperti tidak diambil berat oleh pihak berkenaan walaupun telah beberapa kali pihaknya membuat aduan dan kenyataan akhbar.

"(Masalah) ini membawa kesulitan yang besar dan mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya. Situasi sebegini bukan hanya berlaku di Lembah Klang tetapi di seluruh negara.

"Sepanjang perjalanan saya ke negeri-negeri lain adalah menjadi satu kebiasaan untuk melihat papan arah jalan yang terletak di tepi lebuh raya, lebuh raya Persekutuan, negeri atau perbandaran yang terlindung oleh daun pokok," katanya dalam kenyataan akhbar.

Menurut Lam Thye, beliau banyak mendapat aduan daripada orang ramai mengenai masalah itu, dan mereka menyatakan kekecewaan terhadap pihak berkuasa yang tidak sensitif dan tidak mengambil berat terhadap keadaan itu.

"Apa gunanya meletakkan papan arah jalan apabila ia tidak boleh dilihat oleh pengguna jalan raya? Saya berharap Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), pihak berkuasa negeri dan pihak berkuasa lain akan mengulas mengenai isu ini.

"Bagi saya, ia satu perkara mudah (iaitu) yang berkaitan dengan penyenggaraan di mana pihak berkuasa berkenaan perlu memotong dahan dan ranting pokok agar tidak menutup papan arah jalan," tegasnya.

Beliau turut mempersoalkan pihak berkuasa mana yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap isu itu, selain menyeru kepada Ketua Setiausaha Negara agar campur tangan dan melakukan sesuatu demi kepentingan pengguna jalan raya dan keselamatan mereka.

"Jika tugas yang begitu mudah seperti penyenggaraan pokok bagi kemudahan dan keselamatan awam tidak dapat disempurnakan, saya tidak terkejut sama sekali dengan pendedahan yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013.

"Jika ini adalah sikap pegawai penjawat awam yang bertanggungjawab maka ia tidak selari dengan seruan berulang Perdana Menteri mengenai Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Dua calon kemuka bantahan

Posted: 15 Oct 2013 11:22 AM PDT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my

WAKIL Pemuda UMNO Johor Bahru, Mohd. Razali Ibrahim (dua dari kanan) menyerahkan surat bantahan terhadap proses pengundian pemilihan Pergerakan Pemuda UMNO Johor Bahru kepada Bachok Nohong di Johor Bahru, Johor, kelmarin.

JOHOR BAHRU 14 Okt. - Dua calon Ketua Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru tampil membuat bantahan berhubung keputusan jawatan tersebut pada pemilihan parti yang berlangsung Sabtu lalu, di sini semalam.

Bantahan itu dikemukakan oleh Nornekman Osman dan Musbah Yusof melalui wakil mereka selepas tidak berpuas hati terhadap perkara yang berlaku sepanjang proses tersebut berlangsung yang dilihat tidak mengikut peraturan ditetapkan.

Wakil Nornekman, Mohd. Syirazi Kamaludin berkata, antara perkara yang didapati tidak mengikut prosedur operasi standard adalah termasuk tiada ruang mengundi yang tertutup disediakan untuk para perwakilan membuang undi.

Selain itu, katanya, terdapat juga beberapa individu bukan petugas rasmi berkeliaran di kawasan mengundi.

"Ada juga perwakilan yang menerima gangguan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada calon-calon yang bertanding dan perkara ini menimbulkan keraguan kerana ia mampu mempengaruhi mereka yang sedang menjalankan proses pengundian.

"Selain itu, bilik pengiraan undi juga tidak dikawal dengan baik kerana ada individu tidak berkenaan ke situ sepanjang tempoh pengiraan undi berlangsung," katanya kepada pemberita di Pejabat Badan Perhubungan UMNO negeri, di sini semalam.

Surat bantahan tersebut diserahkan kepada Pegawai Khas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Bachok Nohong.

Pada pemilihan itu, Syaiful Rizal Abdul Ghani diumumkan sebagai Ketua Pemuda UMNO Johor Bahru yang baharu selepas memperoleh sebanyak 160 undi, menewaskan Nornekman (88), Musbah (61) dan Mohd. Tom Ghadafi Anwary (10).

Sementara itu, wakil kepada Musbah, Mohd. Razali Ibrahim berkata, terdapat juga calon yang bertanding untuk jawatan Ahli Jawatankuasa Pemuda bahagian itu menerima undi melebihi jumlah perwakilan yang hadir.

"Jumlah undi yang diterima calon berkenaan adalah sebanyak 353 undi sedangkan jumlah perwakilan yang hadir adalah 336 orang. Justeru, kami berharap agar Badan Perhubungan UMNO negeri dapat menyiasat perkara ini secara terperinci dan memberikan jalan penyelesaian terbaik," katanya.

Kerajaan negeri kaji semula caj menyelam

Posted: 15 Oct 2013 11:22 AM PDT

TEE Siew Kiong (lima dari kiri) dan Siegfried Boerst (tiga dari kanan) bersama anak-anak yatim pada Majlis Sumbangan Tiket Legoland di Nusajaya, Johor, baru-baru ini.

NUSAJAYA 15 Okt. - Kerajaan negeri bercadang mengkaji semula kadar yuran aktiviti menyelam sebanyak RM200 sehari yang dikenakan terhadap kepada seorang penyelam bermula 1 September lalu kerana disifatkan oleh segelintir pihak sebagai membebankan dan boleh membantutkan aktiviti tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan di sini telah menerima lebih 20 aduan menerusi e-mel serta surat daripada pemain industri menyelam dan ejen pelancongan tempatan dan Singapura tentang perkara tersebut.

Beliau berkata, rentetan aduan berkenaan, dua mesyuarat bagi membincangkannya telah diadakan dengan melibatkan beberapa pihak termasuk wakil agensi pelancongan, Persatuan Pengusaha Bot Mersing serta beberapa wakil agensi lain.

"Pada sesi tersebut, pihak industri dan masyarakat setempat telah sebulat suara untuk memohon agar kerajaan negeri menimbang bagi mengurangkan kadar yuran aktiviti menyelam kepada hanya RM20 seorang bagi tempoh sepanjang lawatan ke pulau yang terlibat.

"Hasil perbincangan tersebut, kita kini sedang mengumpulkan segala cadangan mengenai kadar yuran berkenaan dan akan diserahkan kepada Menteri Besar untuk diputuskan," katanya selepas melancarkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Legoland Malaysia, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Legoland Malaysia, Siegfried Boerst; Pengarah Jualan dan Pemasaran Legoland, M. Thila; Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Johor, Mohammad Isa Abdul Halim dan Pengarah Pelancongan negeri, Mohd. Hafiz Ahmad.

Siew Kiong berkata, tindakan mengenakan yuran untuk memasuki taman-taman negara di negeri ini iaitu sebanyak RM10 dikenakan kepada pengunjung tempatan dan RM25 kepada warga asing adalah merupakan salah satu usaha untuk memulihara warisan alam semula jadi dasar laut termasuk terumbu karang.

Beliau berkata, usaha memelihara hidupan laut itu turut menggariskan bahawa sebarang aktiviti seperti kelas menyelam tidak digalakkan di kawasan laut kerana boleh merosakkan terumbu karang sedia ada yang memerlukan 100 tahun untuk tumbesaran.

Mengenai program CSR Legoland Malaysia, Siew Kiong berkata, sebanyak 15,000 tiket yang keseluruhan bernilai RM1.5 juta akan diedarkan kepada mereka yang memerlukan seperti anak yatim dan masyarakat kurang berkemampuan di negeri ini sekali gus memberi ruang kepada mereka merasai keseronokan di taman tema itu.

"Program CSR itu akan dijalankan dalam dua fasa iaitu fasa pertama bermula Oktober hingga 15 November dan fasa kedua mulai Januari hingga Februari depan.

Kerajaan negeri melalui kerjasama Jabatan Pendidikan negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengenal pasti seramai 13,423 golongan yang memerlukan terpilih untuk program ini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Kerajaan NS laksanakan dasar pembesaran kampung - MB

Posted: 16 Oct 2013 03:07 AM PDT

JELEBU 16 Okt. - Kerajaan Negeri Sembilan akan melaksanakan dasar pembesaran kampung dengan mewujudkan Kampung Tersusun dalam usaha menarik lebih ramai orang tinggal di kampung.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata dasar ini dibuat memandangkan kawasan kampung semakin mengecil.

"Sebagai contoh, kalau dahulu arwah datuk kita mempunyai tanah seluas 4.05 hektar tapi dah 'dipecahkan' (dibahagikan) kepada anak kemudian cucunya dan adik-beradik, jadi pemilikan tanah ini makin lama makin kecil dan ada juga tanah ini yang telah dijual.

"Apa yang kita nak buat di Negeri Sembilan ialah kita nak pastikan bukan sahaja peluang diberikan kepada anak-anak generasi kedua dan ketiga Felda tetapi juga di kampung," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pengundian lot peserta Felcra Bhd Kerangai Penagoh, Jelebu di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Bhd., Datuk Ramlee Abu Bakar.

Sehubungan itu, Mohamad mengarahkan pentadbir tanah daerah mengenal pasti tanah kerajaan dan kawasan hutan pinggiran kampung yang tidak melibatkan tadahan air untuk dijadikan kawasan Kampung Tersusun.

"Kita tidak beri tanah yang luas tapi kita bagi setengah ekar cukup untuk mereka mendirikan sebuah rumah untuk Kampung Tersusun. Di Kampung Tersusun ini akan dilengkapi infrastruktur dan kemudahan awam.

"Dasar ini kita buat bagi mengurangkan inflasi di dalam Negeri Sembilan dan supaya permintaan rumah ini dapat dikurangkan. Jadi, penumpuan tidak ke bandar sangat untuk membeli rumah," katanya.

Mengenai pengundian lot peserta Felcra Bhd Kerangai Penagoh, beliau berkata, pengundian lot dibuat sebelum pengeluaran hak milik kepada 348 peserta projek Felcra Kerangai Penagoh dengan keluasan 899.434 hektar.

Kerajaan Negeri Sembilan meluluskan pegangan tanah 2.43 hektar kepada setiap peserta berkenaan. - BERNAMA

Penasihat PM dilantik Ahli Lembaga Penasihat Sains PBB

Posted: 16 Oct 2013 02:16 AM PDT

PUTRAJAYA 16 Okt. - Penasihat Sains kepada Perdana Menteri merupakan seorang daripada tujuh tokoh Asia yang dilantik Anggota Lembaga Penasihat Sains kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB Ban Ki-Moon.

Menurut kenyataan Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), Profesor Emeritus Datuk Seri Dr Zakri Abdul Hamid akan menganggotai lembaga baharu bagi menasihati Ban dan ketua eksekutif agensi PBB berhubung isu sains, teknologi dan inovasi berkaitan pembangunan mampan.

"Zakri sebagai salah seorang anggota lembaga penasihat yang baru dibentuk melibatkan para saintis tersohor dengan mandat sebagai penasihat kepada Ban dan lain-lain eksekutif kanan serta organisasi dalam sistem PBB," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut sebanyak 26 pakar antarabangsa dilantik menganggotai lembaga itu merangkumi pelbagai latar belakang - sains, kejuruteraan dan teknologi; sains sosial dan kemanusiaan; etika; kesihatan; ekonomi; sains tingkah laku; pertanian serta sains alam sekitar yang sering kali dikaitkan dengan pembangunan mampan.

Pelantikan Zakri, yang memegang jawatan penasihat sains kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sejak 2010, berkuat kuasa hari ini. - BERNAMA

Malaysia kongsi kesedihan tragedi gempa di Filipina

Posted: 16 Oct 2013 01:10 AM PDT

KUALA LUMPUR 16 Okt. - Malaysia turut bersama-sama rakyat Filipina dalam berkabung dan bersedih dengan kematian rakyat negara itu dalam kejadian gempa bumi semalam, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata demikian dalam akaun Twitter beliau hari ini.

Sekurang-kurangnya 99 orang disahkan mati dan 276 yang lain cedera dalam kejadian gempa bumi magnitud 7.2 pada skala Richter di kawasan tengah Filipina semalam, menurut agensi bantuan bencana negara itu hari ini.

Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) Filipina menyatakan 90 mangsa terbunuh di Bohol, lapan di Cebu dan seorang di Siquijor.

Sebanyak 166 mangsa dilaporkan cedera di Bohol dan 106 di Cebu.

Kira-kira 558,390 keluarga membabitkan 2.84 juta orang terjejas di tiga provinsi. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Sentiasa syukuri nikmat keamanan

Posted: 15 Oct 2013 11:22 AM PDT

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

Mohd. Khalil Yaakob menyampaikan daging korban kepada penerima sambil diperhatikan oleh Idris Haron (dua kiri) dan Mohd. Ali Rustam (kiri) pada Program Korban Berkelompok sempena Hari Raya Aidiladha di Masjid Al-Azim Bukit Palah, Melaka, semalam.

MELAKA 15 Okt. - Umat Islam diseru untuk sentiasa mensyukuri nikmat keamanan dan kemakmuran yang dikecapi dalam menghayati erti pengorbanan pemimpin terdahulu yang telah membawa dan menjadikan negara aman serta makmur pada masa ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, untuk mengekalkan keamanan negara yang dihuni masyarakat berbilang kaum selama lebih 56 tahun bukanlah sesuatu yang mudah.

Menurutnya, kemakmuran dan keamanan yang dikecapi pada masa kini adalah bukti jelas bahawa wujudnya perpaduan dan keseimbangan sosial dalam kalangan masyarakat serta kestabilan politik di negara ini.

"Justeru, kita perlu terus bersyukur atas segala nikmat keamanan dan kemakmuran yang dikurniakan Allah kepada kita selama ini.

"Allah juga telah berjanji bahawa jika kita bersyukur dengan nikmat dan kurniaan-Nya, maka kita akan sentiasa mendapat tambahan atas segala nikmat dan rahmat yang dikurniakan kepada kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat sunat Aidiladha bersama Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob serta lebih 6,000 jemaah di Masjid Al-Azim, Bukit Palah, di sini hari ini.

Yang hadir sama bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Mohamad; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Naim Abu Bakar; Mufti negeri, Datuk Rashid Redza Md. Salleh dan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Yaakub Md. Amin.

Jelas Idris, umat Islam di negara ini juga perlu mensyukuri segala nikmat keamanan dan kemakmuran yang masih kuat terpelihara.

"Bersyukurlah kerana tiada pergolakan berlaku di negara kita seperti apa yang berlaku di Mesir, Libya dan Syria iaitu rakyatnya mungkin tidak dapat menyambut Aidiladha dalam keadaan tenang dan aman.

"Mereka mungkin mencari-cari tempat perlindungan tetapi kita di sini dapat menyambutnya dalam keadaan yang cukup makmur," ujarnya.

Sementara itu, sambutan Hari Raya Aidiladha disambut dalam keadaan sederhana tetapi meriah oleh seluruh umat Islam di negeri ini.

Solat sunat Aidiladha diadakan di Masjid Al-Azim di sini bermula pada pukul 8 pagi dihadiri hampir 6,000 umat Islam.

Suasana meriah tetap dirasai apabila kebanyakan jemaah bergotong-royong menumbangkan 14 ekor lembu sempena ibadah korban bagi diagihkan kepada fakir miskin sejurus selepas solat sunat Aidiladha.

Aidiladha di NS disambut penuh kesyukuran

Posted: 15 Oct 2013 11:22 AM PDT

Mohamad Hasan turut membantu ahli kariah menumbangkan seekor lembu bagi ibadah korban sempena Aidiladha di Surau Tanjung, Kampung Kanchong, Seremban.

SEREMBAN 15 Okt. - Sambutan Hari Raya Aidiladha disambut penuh kesyukuran oleh seluruh umat Islam di negeri ini.

Di Kuala Pilah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menunaikan solat sunat Aidiladha bersama lebih 1,000 umat Islam di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti dekat sini.

Berangkat sama mengiringi baginda ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani, selain beberapa kerabat di raja yang lain.

Sejurus selesai mengerjakan solat dan khutbah di masjid itu, baginda berdua kemudiannya berangkat ke majlis tahlil yang diadakan di Makam Diraja Seri Menanti sebelum menghadiri majlis korban yang diadakan di pekarangan masjid tersebut.

Yang turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang juga anggota Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek serta beberapa pemimpin kerajaan dan masyarakat.

Sementara itu di Rantau, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan pula menyertai lebih 1,000 penduduk setempat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Jamek Rantau dekat sini.

Sempena Aidiladha kali ini, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau telah menyumbangkan enam ekor lembu yang mana tiga daripadanya diserahkan kepada masjid berkenaan sementara selebihnya diberi kepada Surau Tanjong, Kampung Kanchong.

Ditanya pemberita tentang sambutan Aidiladha kali ini, Mohamad mengajak umat Islam di negeri untuk terus meningkatkan perpaduan, selain mengambil iktibar di sebalik kisah peristiwa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

''Malah, jadikanlah ibadah korban ini sebagai medan dan jambatan untuk terus mempereratkan silaturahim serta menyuburkan lagi amalan gotong-royong dalam kalangan masyarakat dan saya percaya perkara seperti inilah juga yang disyariatkan oleh agama Islam.

''Kesepakatan dan perpaduan antara ummah adalah kunci kekuatan umat Islam, jadi marilah kita sama-sama menginsafi diri, sejauh mana dapat mengamalkan amalan dituntut oleh Islam. Berkorbanlah dengan penuh ketakwaan dan keredaan kerana Allah," kata beliau.

PD bercahaya, penuh aktiviti pelancongan

Posted: 15 Oct 2013 11:22 AM PDT

Orang ramai mengunjungi Dataran Muzium Tentera Darat, Port Dickson sempena Malam Pencahayaan Persiaran Pahlawan Bandar Tentera Darat dekat Port Dickson, baru-baru ini.

TELOK KEMANG 15 Okt. - Port Dickson bukannya 'bandar mati' tetapi sebuah bandar yang 'hidup' dengan kisah '1,001' macam peristiwa.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, adalah tidak benar persepsi yang menyatakan Port Dickson 'mati' pada waktu malam, tiada aktiviti dan kurang bercahaya sehingga tidak ramai yang datang ke bandar pelancongan ini pada waktu malam.

''Port Dickson tidak pernah 'mati'. Jika kita datang ke sini pada waktu malam, banyak aktiviti boleh dilihat. Setiap yang kita lihat itu ada pelbagai cerita.

''Yang terbaharu, kita 'hidupkan' Port Dickson dengan pencahayaan untuk memperlihatkan ia semakin bertenaga untuk dikunjungi pelancong," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Malam Pencahayaan Persiaran Pahlawan Bandar Tentera Darat di Dataran Muzium Tentera Darat, Port Dickson, dekat sini baru-baru ini.

Kata Mohamad, dengan konsep terbaharu itu bandar yang sebelum ini dipenuhi orang ramai pada waktu siang dan malam akan bertambah lagi tempat untuk dikunjungi selain wujudnya Waterfront PD.

Beliau turut berharap dengan adanya kawasan pencahayaan yang baharu itu pelancong akan melakukan riadah pada waktu malam sambil melihat persekitaran tentera darat.

''Kita telah menerima maklum balas daripada pengurusan tentera darat di sini untuk mengisi program pada waktu malam tertentu supaya dapat memberi nilai tambah kepada usaha pencahayaan yang dilakukan ini," katanya.

Jelas beliau, salah satu yang dicadangkan ialah membolehkan pelancong melihat tradisi ketenteraan pada majlis penamatan tugas pukul 10.30 malam selain upacara menaikkan bendera dan istiadat yang lain.

''Pelbagai acara akan disusun untuk menjadikan produk pelancongan berasaskan ketenteraan ini mendapat sambutan baik selain Muzium Tentera Darat yang tersedia ada ini," tegas beliau.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Raja Nazrin beraya bersama rakyat

Posted: 15 Oct 2013 11:22 AM PDT

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

RAJA Dr. Nazrin Shah bersalaman dengan umat Islam pada satu majlis Jamuan Hari Raya Aidiladha di Ipoh, Perak, semalam.

IPOH 15 Okt. - Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini berkenan untuk sama-sama menunaikan solat sunat Aidiladha bersama lebih 2,000 jemaah di Masjid Sultan Azlan Shah di Jalan Raja Musa Mahadi di sini hari ini.

Baginda yang tiba di pekarangan masjid kira-kira pukul 8.25 pagi turut diiringi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Yang turut berangkat sama Raja Di Hilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.

Selepas menunaikan solat dan mendengar khutbah, baginda kemudiannya turut berkenan menghadiri majlis santapan yang dianjurkan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di sini.

Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah turut berangkat sambil diiringi oleh isteri Menteri Besar, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Pada tahun ini, sebanyak lapan agensi utama kerajaan negeri menyumbang 341 ekor ternakan bernilai RM1.02 juta untuk dikorbankan sempena program Korban Perdana di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti yang dilaksanakan setiap tahun.

Lapan agensi kerajaan negeri itu termasuklah Lembaga Air Perak yang menyumbangkan sebanyak RM203,000, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (RM203,000), Perbadanan Menteri Besar Perak (RM101,500) dan Perak Invest (RM17,500).

Selain itu, ternakan korban itu turut disumbangkan oleh Yayasan Perak sebanyak RM52,500, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (RM210,000), Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (RM182,000) dan Perak Implementation & Coordination Corporation (RM52,500).

Suasana hambar Aidiladha

Posted: 15 Oct 2013 11:22 AM PDT

ZAINAH Hussin, 59, (kanan) dan Rohanah Ayob, 54, kelihatan tidak selesa apabila rumah mereka di Pulau Betong, Pulau Pinang, dilanda banjir, baru-baru ini. - BERNAMA

BALIK PULAU 15 Okt. - Suasana hambar dan kurang ceria menyelubungi mangsa-mangsa banjir di kawasan ini dalam meraikan kehadiran Hari Raya Aidiladha yang disambut umat Islam di negara ini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad berkata, suasana itu dapat dilihat apabila kebanyakan mangsa banjir terpaksa membersihkan rumah masing-masing, selain banyak barangan dan perkakasan rumah rosak.

Katanya, ramai dalam kalangan mangsa banjir berkenaan dilihat tidak dapat membuat persiapan bagi meraikan kedatangan Aidiladha.

"Saya lihat ada mangsa-mangsa banjir ini yang masih membersihkan rumah masing-masing dan suasana di rumah mereka juga tidak ceria dalam menyambut hari raya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahad lalu, hampir 1,000 penduduk di kawasan Balik Pulau terpaksa dipindahkan akibat banjir kilat yang melanda beberapa kampung di daerah berkenaan ekoran pertembungan fenomena hujan lebat dan air laut pasang besar yang berlaku sejak awal pagi.

Bagaimanapun Muhamad Farid dalam pada itu menambah, ibadah korban tetap dijalankan seperti biasa memandangkan keadaan banjir yang sudah pulih.

"Bagi penduduk yang tidak terjejas, suasana meriah hari raya dapat dirasai dan ibadah korban tetap dilakukan termasuk di kampung-kampung yang terjejas dengan banjir ini," katanya.

Selain itu katanya, keadaan banjir di Balik Pulau juga sudah kembali pulih biarpun keadaan hujan lebat berlaku awal pagi tadi.

"Tiada lagi kawasan dan kampung-kampung yang dinaiki air dan kebanyakan penduduk sudah mula menjalankan rutin harian seperti biasa," ujarnya.

Yusmawati azam bangkit mantapkan Puteri Jerlun

Posted: 15 Oct 2013 11:22 AM PDT

Yusmawati

ALOR SETAR 15 Okt. - Ketua Puteri UMNO Bahagian Jerlun, Yusmawati Yaacob mahu menebus semula 'kehilangannya' dalam tempoh dua tahun bersama pergerakan itu untuk memperkukuhkan akar umbi bahagian tersebut terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Yusmawati, 33, pernah digugurkan daripada jawatan Ketua Puteri UMNO Jerlun dua tahun lalu, dipilih semula menyandang jawatan berkenaan pada pemilihan barisan kepimpinan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Sabtu lepas.

Beliau digugurkan pada Jun 2011 daripada jawatan tersebut ekoran kes yang sedang dihadapinya di Mahkamah Syariah ketika itu.

Katanya, beliau rugi selama dua tahun untuk berkhidmat bersama pergerakan Puteri UMNO, termasuk membantu parti semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 meskipun telah dilepaskan daripada kes berkenaan.

"Sepanjang tempoh itu saya pasrah dengan apa yang berlaku dan terbukti sokongan ahli akar umbi Puteri UMNO Jerlun terhadap saya tidak banyak berubah. Mereka masih mahu menerima saya sebagai pemimpin," katanya di sini hari ini.

Menurut Yusmawati, beliau berikrar akan membalas kepercayaan ahli Puteri UMNO Jerlun yang memilihnya semula menerajui pergerakan itu dengan berkhidmat dan bekerja lebih kuat lagi.

Katanya, antara fokusnya ialah bergerak bersama transformasi UMNO, selain memberi tumpuan untuk menambah keahlian Puteri UMNO Jerlun dan memperkuatkan lagi semangat mereka di peringkat akar umbi sebagai persediaan menghadapi PRU-14.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Bersatu pertahan kalimah Allah

Posted: 15 Oct 2013 11:22 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kalimah Allah: Hormati keputusan Mahkamah Rayuan

Posted: 15 Oct 2013 11:22 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Bukti kerajaan berpaksikan Islam - Idris

Posted: 15 Oct 2013 11:22 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved