Sabtu, 5 Oktober 2013

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


4,000 bantah penjualan tanah Templer Park

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

Sebahagian ahli Gabungan Persatuan-Persatuan Penduduk Templer Park dan ahli Kelab Golf Perangsang Templer (PTGC) berkumpul bagi membantah mengenai penjualan tanah seluas 78.80 hektar di Selayang, Selangor, semalam.

SELAYANG 4 Okt. - Gabungan Persatuan-Persatuan Penduduk Templer Park dan ahli Kelab Golf Perangsang Templer (PTGC) hari ini menyerahkan memorandum bantahan kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengenai penjualan tanah seluas 78.80 hektar di situ.

Notis yang mewakili lebih 4,000 suara penduduk daripada 10 taman itu merupakan bantahan mereka terhadap Cadangan Pindaan Guna Tanah Bagi Blok Perancangan (BP) 9.1 di atas tanah lapang dan utiliti kepada perumahan dan perniagaan.

Pengerusi gabungan tersebut, Datuk Mukhtar Ismail berkata, mereka membantah sekeras-kerasnya kerana pindaan tersebut akan menjadikan kawasan Templer Park berdensiti tinggi berbanding yang dijanjikan sebelum ini.

"Alasan kepada keperluan pindaan ini tidak berdasarkan justifikasi yang kukuh kerana MPS mengutamakan kepentingan kewangan melalui kutipan cukai taksiran dan caj pemajuan sekiranya berlaku perubahan Rancangan Tempatan.

"Kawasan ini perlu dikekalkan sebagai zon hijau sehingga 2020 seperti yang diwartakan oleh MPS pada 1998 dan faktor itu jugalah yang menyebabkan kami membeli hartanah di Templer Park," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai demonstrasi aman dan menyerahkan memorandum bantahan kepada MPS di sini hari ini.

Pada Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan kira-kira 1,600 ahli PTGC terkejut dengan penjualan tanah bernilai RM1.24 bilion oleh kerajaan negeri kepada sebuah syarikat pemaju perumahan untuk dilaksanakan pembangunan bercampur.

Tambah Mukhtar, Templer Park yang dihadiahkan Sultan Selangor ketika itu, Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah pada 1954 juga adalah kawasan tadahan air yang dikhuatiri akan terjejas sekiranya pembangunan tersebut dilaksanakan.

"Selain itu, kawasan ini juga memiliki dua tempat rekreasi iaitu Taman Rimba dan Air Terjun Kanching yang dipenuhi khazanah alam termasuk pelbagai spesies flora dan fauna sehingga menjadi tumpuan pelancong luar negara," tegasnya.

Sementara itu, salah seorang Ahli PTGC, Azizul Rahman Abdul Wahab berkata, dia sedih dengan tindakan rakus kerajaan negeri yang mahu mengambil kawasan hijau itu untuk dijalankan pembangunan.

"Saya masih ingat ketika kecil ada melalui kelab golf di situ dan berhasrat untuk menjadi ahli, akhirnya selepas impian itu tercapai kami dikejutkan dengan rancangan ini yang sama sekali tidak seperti dijanjikan.

"Kami berharap Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata," katanya.

PPj lancar logo baharu terap imej, identiti unik Putrajaya

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

Kakitangan Perrbadanan Putrajaya, Maldahlena Jamal menunjukkan logo baharu pihak berkuasa tempatan itu yang dilancarkan di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 4 Okt. - Perbadanan Putrajaya (PPj) melancarkan logo baharu pihak berkuasa tempatan itu dengan menerapkan imej dan identiti unik Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Logo tersebut yang dilancarkan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Loga Bala Mohan mendapat sentuhan tenaga kerja Universiti Limkokwing dengan menyumbangkan kepakaran dalam membangunkan logo baharu itu.

Menurut Bala Mohan, penjenamaan semula logo itu merupakan usaha penting PPj untuk menaikkan imej dan mempromosikan Putrajaya khusus di peringkat antarabangsa.

"Logo ini mendapat kerjasama Universiti Limkokwing yang mereka bentuk dan mempertandingkan logo terbaik hasil rekaan mereka sebelum dihantar kepada PPj untuk dipilih.

"Selepas beberapa penambahbaikan dibuat, logo baharu ini yang dicipta dengan mengabungkan ciri-ciri Bangunan Perdana Putra dan Gerbang Kompleks PPj sebagai lambang Putrajaya dipilih," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan logo baharu PPj di Kompleks PPj di sini hari ini.

Yang hadir sama, Presiden PPj, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat.

Menurut Bala Mohan, warna biru yang terdapat pada logo itu melambangkan Tasik Putrajaya yang merupakan badan air kepada Putrajaya dan hijau pula melambangkan konsep pembangunan bandar itu sebagai 'bandar dalam taman' dan juga 'bandar hijau'.

Manakala, elemen lima daun melambangkan lima Rukun Negara dan lima Nilai Bersama PPj.

"Reka bentuk keseluruhan logo ini melambangkan kesuburan alam sekitar yang memayungi Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya dan kombinasi Bangunan Perdana Putra dan Gerbang Kompleks PPj melambangkan reka bentuk senibina Putrajaya yang berkonsepkan tradisional, islamik dan moden," katanya.

Sementara itu, Aseh berkata, selain daripada proses penjenamaan semula, penukaran kepada logo itu juga bagi mengatasi kekeliruan orang ramai terhadap lambang korporat PPj dan Putrajaya Holding yang mempunyai rekaan hampir sama.

Katanya, pemilihan Universiti Limkokwing untuk mereka bentuk logo itu berdasarkan pencapaian universiti tersebut yang telah berjaya mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat dunia.

Elak pencemaran sumber air mentah

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

SALAH seorang kakitangan Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. memberi penerangan mengenai pemprosesan air kepada murid-murid dari Sekolah Kebangsaan Setapak, Kuala Lumpur ketika sesi lawatan ke Loji Pembersihan Air Sungai Selangor, Fasa 2, di Ijok, Kuala Selangor, Selangor, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. (Puncak Niaga) menyeru orang ramai agar bersama-sama memulihara dan menjaga kepentingan sungai daripada sebarang bentuk pencemaran yang boleh menjejaskan kualiti air.

Pengarah Eksekutif, Bahagian Sumber Strategik dan Perhubungan Awamnya, Datuk Dr.Muzahet Masruri berkata, masyarakat perlu sedar tentang kepentingan sungai sebagai sumber air mentah utama kerana kos untuk merawat air mentah yang teruk tercemar amat tinggi.

Menurutnya, tindakan sesetengah pihak membuang sampah sesuka hati ke dalam sungai merupakan antara penyumbang utama sungai tercemar.

"Masalah pencemaran sungai merupakan cabaran terbesar bagi pihak berkuasa bagi memastikan sumber bekalan air bersih dapat disalurkan kepada pengguna secara berterusan

"Sehubungan itu, orang ramai bukan sahaja perlu sedar mengenai kepentingan air, tetapi tahu bagaimana air yang menjadi keperluan utama mereka diproses," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat kepada lebih 60 ahli rombongan bagi meninjau operasi pemprosesan air di Loji Pembersihan Air Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2), di Ijok, Kuala Selangor, baru-baru ini.

Selain kakitangan Radio KLfm, RTM turut menyertai sesi lawatan guru- guru dan murid-murid kurang upaya dari Sekolah Kebangsaan Setapak, Kuala Lumpur dan beberapa wakil dari Kelab Lion Capital Kuala Lumpur yang diketuai oleh Penolong Pengurus, Radio KLfm, Nor'ain Bakir.

Sementara itu Pengurus Loji SSP2, Syamsul Ariffin Supaat berkata, SSP2 adalah loji terbesar daripada 29 loji yang diuruskan Puncak Niaga dan memiliki pengurusan pemprosesan air tercanggih di negara ini.

Katanya, SSP2 yang siap sepenuhnya pada Disember 2000 itu mampu mengeluarkan air terawat sebanyak 950 juta liter sehari sejak Januari 2001.

"SSP2 kini beroperasi melebihi had maksimum iaitu 980 juta liter sehari bagi memenuhi keperluan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Kami memberi jaminan air terawat selamat untuk digunakan untuk kegunaan seharian kerana pihak loji mempunyai makmal dan air yang dirawat mengikut piawaian ditetapkan kerajaan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Lebih ayu dengan hayfa Hoodie

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

LAMBAKAN tudung di pasaran sememangnya tidak dinafikan lagi. Harganya juga ada yang murah dan mahal tetapi ramai yang masih tidak berani untuk mencuba tudung jenis baharu.

Kebanyakan daripada mereka yang bertudung lebih cenderung memilih tudung yang mudah dipakai tanpa perlu mengambil masa yang lama untuk mengenakannya.

Tambahan pula bagi kaum ibu yang bekerjaya, sudah pasti mereka akan memilih jenis tudung yang mempunyai ciri-ciri seperti ringkas, mudah dan cepat kerana sibuk dengan pelbagai urusan harian.

Tidak kurang juga bagi generasi muda yang baru berhijrah daripada tidak bertudung kepada bertudung memilih tudung Hayfa Hoodie untuk digayakan kerana ia merupakan antara pilihan terbaik untuk mereka.

Tudung ini juga lebih menarik kerana mempunyai dua warna di bahagian luar dan dalam yang boleh ditukar mengikut kesesuaian dan padanan pakaian.

Minggu ini, .com ingin berkongsi tentang keunikan tudung Hayfa Hoodie yang sesuai digayakan untuk pelbagai majlis. Selamat mencuba.- AZRIN

Mulakan hari dengan Boss Jour Pour Femme

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

SEMBURAN wangian adalah pelengkap solekan bagi setiap wanita sebelum mereka melangkah keluar rumah.

Bagi wanita yang ingin bergaya moden, sofistikated dan feminin, haruman Boss Jour Pour Femme pastinya pilihan tepat untuk anda.

Koleksi terbaharu daripada Hugo Boss ini dihasilkan dengan gabungan haruman daripada wangian bunga-bungaan putih seperti fresia, lili dan citrus.

Gabungan wangian floral dan citrus mampu membangkitkan inspirasi kepada wanita untuk permulaan hari yang lebih ceria.

Jenama ini masih lagi mengekalkan gaya eksklusif dalam setiap keluarannya dengan menampilkan rekaan botol kristal dengan gaya mewah.

Boss Jour Pour Femme boleh didapati di pasaran pada harga RM178 (30ml), RM256 (50ml) dan RM333 (75ml).

Selain wangian, koleksi ini juga didatangkan dengan pilihan mandian Boss Jour Pour Femme Showel Gel pada harga RM112 (200ml) dan Boss Jour Pour Femme Body Lotion RM124 (200ml).

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Sindiket dadah hotel bajet tumpas

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

HARUN Idris menunjukkan syabu dan barangan lain yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Ledang, Johor, semalam. - UTUSAN/Zulhisham Isahak

LEDANG 4 Okt. - Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang beroperasi di hotel-hotel bajet di bandar ini dan Muar ekoran penahanan dua pasang kekasih serta merampas dadah berjumlah RM196,800 di Kampung Pagar Laut, Kesang di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang hasil maklumat dan risikan.

"Dalam serbuan itu, kita menahan seorang lelaki berusia 33 tahun dan dua perempuan berusia 19 dan 30 tahun di luar rumah. Hasil pemeriksaan sebuah kereta Honda Accord yang bernombor pendaftaran Singapura di situ, kita menemukan 26.5 gram dadah jenis syabu.

"Di dalam rumah pula kita menahan seorang lelaki berusia 25 tahun dan merampas 31.12 gram heroin, 56.4 gram syabu, wang tunai RM3,000, barang kemas bernilai kira-kira RM5,000, alat timbang dan peket plastik," katanya dalam sidang akhbar di IPD Ledang di sini hari ini.

Katanya, modus operandi mereka adalah dengan menyewa hotel-hotel bajet untuk urusan jual beli dadah menggunakan wang tunai atau barangan kemas selain menggunakan kereta bernombor pendaftaran warga asing untuk mengaburi pihak berkuasa.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kegiatan tersebut sudah dilakukan sejak Januari lalu dan pihaknya masih menyiasat sumber bekalan dadah berkenaan diperolehi.

"Kesemua syabu yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada 3,500 penagih manakala heroin itu antara 1,500 hingga 1,600 penagih," ujar beliau.

Harun memberitahu, kesemua suspek didapati positif syabu dan direman sehingga Rabu depan, sementara kes itu disiasat di bawah Seksyen 39A (1) dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pulihara 250 bangunan lama sebagai tarikan pelancongan

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

Cheng Chean Chiang (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata berupa kaligrafi Cina kepada Tee Siew Kiong sempena Majlis Pecah Tanah Pembangunan Semula Muzium Persatuan Kwong Siew Wai Kuan di Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 4 Okt. - Pemilik dan penyewa kepada bangunan lama yang diklasifikasikan sebagai bangunan ikonik dan bersejarah di bandar raya ini digesa terus memelihara dan memulihara bangunan tersebut bagi menarik lebih ramai pelancong ke sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, bandar raya ini mempunyai lebih 250 buah bangunan lama yang mempunyai nilai sejarah yang harus dikekalkan.

"Bangunan-bangunan lama ini ada yang telah berusia lebih puluhan, malahan ratusan tahun seperti kedai-kedai lama, masjid dan rumah ibadah yang seharusnya diuruskan dengan baik.

"Ini kerana, bukan sahaja mempunyai banyak nilai-nilai sejarah, malah turut menjadi salah satu daya tarikan pelancong ke negeri ini, khususnya di bandar raya Johor Bahru," katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Semula Muzium Persatuan Kwong Siew Wai Kuan di Jalan Siu Nam di sini semalam.

Yang turut hadir Presiden Persatuan Kwong Siew Wai Kuan, Cheng Chean Chiang.

Siew Kiong berkata, pemilik bangunan seperti premis perniagaan dinasihatkan untuk meneruskan perniagaan masing-masing atau menyewakannya kepada orang lain bagi mengelakkan bangunan tersebut terbiar begitu sahaja.

"Jangan tutup kedai, jika tidak mahu berniaga, sewakan kepada mana-mana pihak yang berminat. Kita tidak mahu dalam 10 kedai, hanya tiga sahaja dibuka sementara tujuh yang lain sekadar menjadi stor.

"Jika peniaga membiarkan sahaja bangunan tersebut begitu sahaja, ini bukan sahaja merugikan mereka, malah pada masa sama hanya akan mencacatkan imej bangunan bersejarah di Johor Bahru sahaja," katanya lagi.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Perigi Portugis sarang maksiat

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI
utusanjohor@utusan.com.my

PERSEKITARAN perigi Portugis di Kampung Pengkalan Samak, Merlimau yang tidak terurus dan didakwa menjadi 'port' pasangan bercinta melakukan perbuatan tidak bermoral.

JASIN 4 Okt. - Kawasan pelancongan Perigi Portugis di Kampung Pengkalan Samak, Merlimau dekat sini kini menjadi tempat pasangan bercinta melakukan perbuatan tidak bermoral.

Keadaan sunyi dan gelap di perigi tersebut menjadi punca banyak pasangan kekasih mengambil kesempatan melakukan perbuatan tidak bermoral di kawasan tersebut.

Penduduk mendakwa kegiatan gejala sosial itu kerap berlaku sejak setahun lalu sehingga menimbulkan keresahan mereka yang melihat perkara berkenaan kerana boleh memburukkan nama kampung berkenaan.

Selain itu, penduduk turut mendakwa keadaan persekitaran perigi tersebut tidak dijaga dan dibersihkan.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan tersebut juga mendapati pondok rehat dan lampu telah rosak serta dipenuhi sampah sarap dan botol-botol arak yang bertaburan di kawasan semak berhampiran.

Salah seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Lina berusia 28 tahun itu berkata, kebiasaannya kawasan itu akan dikunjungi pelajar sekolah menghabiskan masa melepak pada siang hari.

Katanya, pada waktu malam pula dia sering ternampak sekumpulan remaja bermotosikal dan kereta berada di tempat letak kenderaan di perigi berkenaan.

''Saya pernah terlihat pasangan remaja berkelakuan tidak senonoh, selain menghabiskan masa hingga lewat malam di situ dalam keadaan kawasan yang gelap dan sunyi," katanya.

Lina menambah, kedudukan perigi itu yang terletak lebih kurang 500 meter dari jalan raya dan tersorok daripada orang ramai menjadikan tempat itu sebagai 'port' untuk melakukan maksiat, melepak dan minum arak.

Seorang lagi penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Fatimah, 38, berkata, persekitaran perigi kotor dan perbuatan maksiat yang berlaku itu menjejaskan nama kampung berkenaan.

Katanya, ketiadaan kawalan dan penjagaan rapi di tempat bersejarah itu menyebabkan kawasan itu menjadi tumpuan remaja melakukan perbuatan tidak bermoral.

Menurutnya, perigi itu kebiasaannya akan dikunjungi ramai ketika cuti hujung minggu terutama daripada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), keluarga serta pelancong dalam dan luar negara.

"Kunjungan mereka ke sini adalah untuk melihat Perigi Portugis itu yang mempunyai sejarahnya tersendiri selepas singgah di Makam Tun Teja yang terletak tidak jauh dari sini," katanya.

Fatimah berkata, berkemungkinan kawasan Perigi Portugis yang tidak berpagar dan dilihat sudah lama tidak diselenggara menjadi antara faktor yang mengundang kepada kejadian gejala sosial berlaku.

DUN Belia penuhi keperluan generasi muda

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

MOHAMAD Hasan (tengah) beramah mesra serta menyampaikan sijil tauliah kepada ahli DUN Belia selepas merasmikan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia di Klana Resort, Seremban, semalam.

SEREMBAN 4 Okt. - Penubuhan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Negeri Sembilan membuktikan kerajaan negeri sedar akan keperluan dan kehendak belia agar suara mereka didengari dalam sebarang bentuk pembentukan dasar melibatkan golongan itu di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, penubuhan DUN Belia ini merupakan salah satu landasan yang tepat bagi belia menyuarakan pandangan-pandangan serta idea mereka untuk menjadikan sesuatu dasar itu lebih memberi manfaat kepada generasi muda.

''Menerusi DUN Belia ini nanti, mereka dapat memberikan pandangan serta idea untuk kepentingan golongan berkenaan dan tidak hanya taksub untuk berpolitik semata-mata. Lupakan soal politik dan bincanglah soal hala tuju ke mana nanti belia pada masa depan.

''Kita tidak mahu melihat bahawa belia ini sebagai alat disuruh arah. Kita mahu jadikan mereka mempunyai jati diri, kepakaran dan wawasan dalam membangunkan generasi akan datang mengikut acuan mereka sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Persidangan DUN Belia negeri kali pertama di Klana Resort dekat sini hari ini.

Yang hadir sama Speaker DUN, Datuk Dr. Awaluddin Said serta Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan (MBNS), Wan Salwati Abdullah.

Dalam sesi hari ini, sebanyak 36 wakil dari setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bersama 30 anggota yang dilantik daripada pelbagai sektor profesional termasuklah perbankan, perubatan, perkilangan dan sebagainya hadir.

Jelas Mohamad, selaku kerajaan, pihaknya juga bersedia untuk menerima sebarang resolusi ataupun keputusan yang akan dikeluarkan oleh DUN Belia untuk diperhalusi bagi dijadikan agenda Rancangan Pembangunan Belia akan datang.

Apatah lagi kata beliau, komposisi belia di negeri ini mewakili 50 peratus daripada pelbagai sektor dan pandangan mereka amat diperlukan dalam merencanakan hala tuju dasar yang boleh memanfaatkan golongan itu nanti.

''Jika kita telah memberikan kebebasan kepada mereka, selaku kerajaan kita tidak perlu takut apa sahaja pandangan yang disuarakan. Mana yang baik, kita akan utarakan dan mana yang tidak, akan perhalusi agar mengikut cita rasa belia.

''Apa guna kalau kita buat sesuatu dasar tetapi gagal untuk mencapai matlamat yang dikehendaki kepada golongan sasar. Kita mahu dengar apa yang ada dalam minda mereka untuk dicanaikan menjadi satu dasar bermanfaat untuk mereka kelak," jelas beliau.

Empat klinik kesihatan baharu bakal dibina dalam RMK-10

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

MELAKA 4 Okt. - Sebanyak empat klinik kesihatan baharu akan dibina dan telah siap di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) untuk dimanfaatkan oleh penduduk di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pembangunan Sukan negeri, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim berkata, dua buah yang sudah beroperasi ialah Klinik Kesihatan Tanjung Kling dan Klinik Kesihatan Tengkera.

Menurutnya, dua lagi klinik baharu yang akan dibina ialah Klinik Kesihatan Rembia dan Klinik Kesihatan Batu Berendam.

''Terdapat dua klinik yang dinaik taraf iaitu Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru dan Klinik Kesihatan Ayer Molek," katanya dalam Persidangan Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-13 di Seri Negeri semalam.

Ab. Rahaman (BN-Pantai Kundor) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Ng Choon Koon (BN-Bemban) berkenaan senarai klinik-klinik perubatan yang telah dirancang atau dilaksanakan pada RMK-10.

Menurut Ab. Rahaman, klinik desa yang telah dinaik taraf ialah tujuh dari jenis 2G dan tiga klinik jenis 1G.

Beliau berkata, tujuh klinik desa 2G yang sedang dibina itu dijangka siap tahun ini.

Tujuh klinik tersebut katanya ialah Klinik Desa Telok Mas, Klinik Desa Krubong, Klinik Desa Pantai Kundor, Klinik Desa Tanjung Bidara, Klinik Desa Pulau Sebang, Klinik Desa Nyalas dan Klinik Desa Kesang Dua.

"Tiga klinik desa 1G akan mula dinaik taraf tahun hadapan ialah Klinik Desa Lendu, Klinik Desa Semujuk dan Klinik Desa Ramuan China Besar," jelasnya.

Sementara itu tambahnya, sehingga kini terdapat sebanyak 16 Klinik 1Malaysia (K1M) di seluruh negeri dan empat Klinik 1Malaysia yang baharu bakal dibuka tahun ini.

"Empat K1M yang baharu itu ialah K1M Sungai Udang, K1M Merak Mas (Durian Tunggal), K1M Chenderah (Merlimau) dan K1M Batang Melaka (Jasin)," ujarnya ketika menjawab soalan jumlah K1M yang akan dibuka pada 2013.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


UMNO kerja keras pastikan BN menang PRK Sungai Limau - Zahid

Posted: 05 Oct 2013 01:51 AM PDT

Oleh RADHUAN HUSSAIN

KUALA TERENGGANU 5 Okt. - Seluruh jentera UMNO akan bekerja keras bagi memastikan calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 4 November ini dapat merampas kerusi itu daripada Pas.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau optimis BN mampu mengulangi kejayaan memenangi kerusi tersebut memandangkan kerusi berkenaan pernah menjadi milik BN suatu ketika dahulu.

"Kita boleh menang, jika tidak ada perpecahan dalam kalangan pemimpin tempatan selain jentera harus diperkemaskan dan kerja keras harus dilakukan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Taklimat Keselamatan Bersama Pemimpin Masyarakat di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa dekat sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Skim pembiayaan mikro kredit kepada penjaja ditingkat

Posted: 05 Oct 2013 01:36 AM PDT

IPOH 5 Okt. - Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata, jumlah skim pembiayaan mikro kredit kepada 850,000 penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan ditingkatkan.

Beliau berkata, perkara itu akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2014 di Parlimen pada 25 Oktober ini.

"Sekarang ini kadar pinjaman yang diterima oleh penjaja dan peniaga kecil sebanyak RM3,000, dan perincian mengenai kenaikan itu akan diumumkan nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Taklimat Isu-Isu Semasa dan Kempen Kesedaran Pengguna Bersama Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia Negeri Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini hari ini.

Hasan berkata, kemudahan pinjaman yang diberi merupakan sikap prihatin kerajaan terhadap peranan penjaja dan peniaga kecil yang bersama-sama kerajaan meningkatkan hasil dan ekonomi negara.

Skim pembiayaan mikro kredit itu diperkenal oleh kerajaan menerusi pakej rangsangan ekonomi, dan ia dilaksanakan melalui ejen penyaluran dana yang dilantik oleh kerajaan iaitu Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Bank Rakyat dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). - BERNAMA

Malaysia iktiraf sumbangan pekerja asing bangunkan negara

Posted: 05 Oct 2013 01:34 AM PDT

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Malaysia menyedari peranan yang boleh dimainkan migrasi dalam proses pembangunan di samping kesukaran yang ditimbulkannya.

Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Datuk Hussein Haniff berkata, cabaran utama kepada negara ialah untuk mengimbangi keperluan untuk memaksimum faedah ekonomi hasil migrasi dan keinginan untuk melindungi kepentingan semua pihak.

"Kami percaya bahawa kunci untuk mencapai ini ialah dengan memastikan pengurusan aliran migran yang tersusun.

"Dalam hubungan ini, polisi pekerja asing Malaysia adalah berdasarkan keperluan mengurus migrasi dengan kerjasama negara sumber dengan tujuan untuk membawa faedah bersama kepada semua pihak," katanya semasa Dialog Peringkat Tinggi mengenai Migrasi dan Pembangunan Antarabangsa di New York pada Khamis.

Teks ucapan beliau dihantar ke Bernama di sini hari ini.

Hussein berkata, polisi pekerja asing Malaysia ditentukan dengan keperluan untuk memastikan ia membawa faedah bersama kepada semua pihak terbabit terutama negara sumber dan negara penerima, majikan, pekerja migran yang sah dan masyarakat madani.

Beliau berkata, Malaysia mengiktiraf sumbangan tenaga kerja migran berdasarkan produktiviti fizikal dan pembangunan ekonomi kepada negara.

"Malaysia percaya faedah proses globalisasi boleh dikongsi bersama antara negara penghantar dan penerima migran," tambahnya.

Beliau berkata, isu penghantaran wang adalah penting kepada migran dan berhubung kait dengan pembangunan global dan oleh itu Malaysia tidak mengenakan sekatan terhadap penghantaran pulang wang ke negara asal migran.

Mengenai statistik yang dikeluarkan Bank Dunia 2011, Malaysia berada dalam kedudukan 20 negara imigran teratas dengan jumlah 2.4 juta migran yang menghantar pulang kira-kira US$6.8 bilion pada 2009 yang secara tidak langsung menyumbang kepada negara membangun yang lain, kata Hussein.

Beliau mengakhiri ucapan dengan berkata, "pekerja asing di Malaysia menikmati perlindungan penuh hak asasi mereka selaras dengan undang-undang Malaysia". - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Pondok pengajian agama dihargai

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

MUKHRIZ Tun Dr. Mahathir pada majlis makan malam Madrasah Taufiqiah Al-Halimiah Padang Lumat atau Pondok Pak Ya, Padang Lumat, Sungai Limau, kelmarin.

ALOR SETAR 4 Okt. - Kerajaan negeri Kedah sentiasa menghargai sumbangan pondok pengajian agama dalam memperkasa kehidupan rakyat selari dengan perjuangan UMNO dan Islam sejak sebelum negara merdeka.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, kerajaan negeri juga memperakui jasa tokoh-tokoh agama di negeri ini atas pengorbanan mereka menentang penjajah dan komunis.

"Oleh itu adalah wajar hubungan antara kerajaan negeri dan pondok-pondok agama yang sekarang banyak dijadikan Sekolah Agama Rakyat (SAR) diteruskan agar Kedah terus maju bagi merealisasikan wawasan kepimpinan negara.

"Saya akan minta Jabatan Agama Islam Kedah berbincang dengan SAR dan ketua-ketua pondok supaya bantuan perlu dapat disalurkan," katanya semasa berucap pada majlis makan malam Menteri Besar bersama Warga SAR di di Madrasah Taufiqiah Al-Halimiah Padang Lumat, 35 kilometer dari sini, malam semalam.

Pada majlis itu, Mukhriz menyerahkan bantuan berjumlah RM1.2 juta berdasarkan perkapita pelajar sumbangan Yayasan Gerak Fikir, sebuah badan bukan kerajaan di negeri ini kepada 11 SAR di Kedah.

Sebelum itu, Mukhriz yang disertai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam Kedah Mohd. Rawi Abdul Hamid, Mufti Kedah Datuk Sheikh Baderuddin Ahmad, pengerusi Majlis Pengetua SAR Kedah Datuk Sheikh Abdul Razak Yusof, para guru dan pelajar menunaikan solat Maghrib diikuti bacaan Yasin dan doa selamat sebelum menunaikan solat Isyak.

Dalam ucapannya, Mukhriz juga mencadangkan supaya SAR membuat kajian untuk menarik pelajar negara-negara asing belajar di sekolah mereka.

"Impak kedatangan ramai pelajar asing membantu melonjak ekonomi, sektor pelancongan dan sudah tentu usaha mengukuhkan syiar Islam akan berkembang lebih cepat," katanya. — BERNAMA

Siswazah lepasan IPTA disaran ubah budaya cari kerja

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

BUKIT MERTAJAM 4 Okt. - Siswazah lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) disaran mengubah budaya mencari kerja selepas tamat belajar kepada menjadi 'bos' dengan menawarkan pekerjaan kepada rakyat.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Shabudin Yahaya berkata, dalam usaha mencapai status negara maju, ramai usahawan daripada kalangan graduan diperlukan untuk menjadi pemangkin kepada transformasi ekonomi negara.

"Graduan disaran memasang cita-cita untuk menjadi 'bos' atau usahawan berjaya dan janganlah hanya bergantung harap untuk mencari pekerjaan dengan syarikat-syarikat swasta sahaja.

"Graduan terutamanya yang memiliki kemahiran dalam bidang teknikal mungkin boleh menjalankan perniagaan sendiri kerana pengajian di universiti, politeknik atau kolej kemahiran sudah pasti membentuk mereka menjadi individu yang kental dan kreatif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Gerak Usahawan Kampus anjuran Politeknik Seberang Perai (PSP) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah PSP, Zulkifli Ariffin.

Melalui program berkenaan, pelajar PSP diberikan pendedahan untuk mengaplikasi kemahiran yang dipelajari terutamanya dalam bidang keusahawanan.

Pelbagai program lain turut diadakan seperti kursus-kursus jangka pendek membabitkan ukiran buah, jahitan, masakan, sulaman, urutan refleksologi, kulinari dan solekan, selain pembukaan lebih 100 gerai jualan oleh pelajar.

Mengulas lanjut, Shahabudin yang merupakan Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, graduan turut memainkan peranan penting dalam memastikan hasrat untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.

"Mereka boleh memberi sumbangan dengan melibatkan diri dalam aktiviti keusahawanan dan ini akan memacu pertumbuhan ekonomi.

"Kerajaan pula sentiasa berusaha meningkatkan bilangan usaha dengan memperkenalkan pelbagai insentif untuk menggalakkan budaya keusahawanan seperti pengenalan Institut Keusahawanan Negara, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

"Sehubungan itu, graduan dinasihatkan supaya merebut peluang yang ditawarkan ini dan membina jenama perniagaan sendiri dengan menjadikan usahawan yang telah berjaya sebagai contoh," katanya.

Raja Muda Perlis lancar promosi masakan di Doha gamit pelancong

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

KANGAR 4 Okt. - Usaha Perlis menggamit pelancong dari Timur Tengah khususnya di Qatar, diteruskan dengan promosi kali kedua masakan popular masyarakat Perlis di negara itu.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melancarkan promosi selama dua minggu itu di Restoran Seri Kebaya yang terletak di Souq Waqif, Doha, pada Khamis malam.

Menurut kenyataan media Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) hari ini, antara juadah yang disajikan ialah kerabu perut, daging masak lemak dengan rebung, cucur udang, daging cincang daun selasih, pulut mempelam dan pulut udang.

Restoran Seri Kebaya dimiliki oleh Sunyta Ali, 42, anak jati Pulau Pinang.

Restoran yang beroperasi sejak 2009 itu terletak di tengah-tengah Souq Waqif iaitu lokasi terkenal dalam kalangan pelancong dan juga masyarakat tempatan di Doha.

Promosi itu merupakan inisiatif Tuanku Syed Faizuddin dengan kerjasama Tourism Malaysia Perlis dan YTSP. Tahun lepas promosi itu diadakan di Hotel Holiday Villa.

Dalam titah pelancarannya, Raja Muda Perlis berkata negeri itu bukan sahaja terkenal dengan kelazatan juadahnya tetapi juga indah dari segi pemandangan dan budaya.

Pelancong asing yang datang pasti terpesona, titah Tuanku Syed Faizuddin yang juga Pengerusi YTSP.

Hadir sama mengiringi baginda ke pelancaran itu ialah Timbalan Ketua Perwakilan Malaysia di Kedutaan Malaysia di Qatar Mohd. Noor Zaky Mohd Nasir. — BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


2.5 juta pekerja asing guna i-Kad

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Ikrar terus tingkat kerjasama

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Perak negeri pertama perkenal calon

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved