Khamis, 19 September 2013

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Azimat atau mudarat?

Posted: 18 Sep 2013 09:43 PM PDT

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD
Gambar NOOR AZLINA JAAFAR

Cincin adalah antara objek yang sering dipercayai mempunyai azimat kerana mudah didapati dan dibawa ke mana sahaja.

IBARAT semut mencari gula. Begitulah misi hidup Azhar (bukan nama sebenar) yang sentiasa mengejar dan memikirkan cara untuk mendapatkan projek setiap hari.

Dengan kredibiliti dan sikapnya yang proaktif, tidak hairanlah kontraktor kelas pertengahan itu sering berjaya memperoleh tawaran projek mega sehingga bernilai jutaan ringgit.

Walaupun dikatakan sudah hidup mewah, Azhar tidak pernah mengenal erti putus asa dan cukup dengan apa yang diperoleh, membuatkan dia sanggup melakukan apa sahaja untuk lebih berjaya.

Malangnya, kejayaan yang dikejar dan dikecapi selama ini disangka berpanjangan, rupanya bertukar dengan kisah hitam dalam hidupnya apabila dia ditakdirkan semakin lama semakin kehilangan 'aura'.

Bukan sahaja tidak lagi berjaya mendapat tawaran projek, malah hidupnya semakin dihimpit masalah. Sehingga akhirnya dia disahkan jatuh bankrap dengan hanya sehelai sepinggang.

Begitulah perkongsian pengalaman pengamal perubatan Islam, Dr. Jahid Sidek ketika berkhidmat merawat pesakit akibat terkena 'buatan orang' dipercayai melalui cincin yang disangka penaik seri dan pembuka pintu rezeki.

Jahid berkata, itulah antara jalan pintas yang sering diambil oleh segelintir masyarakat yang kebanyakannya golongan Melayu dan beragama Islam untuk memperoleh sesuatu dengan cara pantas dan mudah.

Bukan itu sahaja, malah pelbagai cara halus lain sanggup dilakukan demi memperoleh apa yang diingini seperti pelaris, pendinding, penunduk, ibu duit, pengasih dan sebagainya.

Lebih menyedihkan, menurut pengasas Pusat Rawatan Islam Manarah itu, pengamal perubatan Islam dan individu bergelar ustaz turut mempercayai dan menjadikan azimat sebagai objek bantuan bagi mereka.

Akhirnya, bukan kejayaan yang diimpikan tercapai, tetapi pelbagai kesan buruk berlaku. Lebih membahayakan sehingga menjejaskan akidah individu tersebut kerana bersandar harap kepada makhluk lain selain Allah SWT.

Katanya itulah, realiti perbuatan dan kepercayaan khurafat yang masih diamalkan oleh segelintir masyarakat bukan sahaja orang kelas bawahan di kampung, malah golongan atasan di bandar pada alaf baru ini.

"Bukan sedikit, tetapi kes seperti ini kerap dilaporkan berlaku pada masa ini. Malangnya, bukan sahaja di kampung tetapi di bandar juga ramai yang masih mempercayai dan mengamalkan perbuatan yang menyalahi akidah ini.

"Cincin adalah antara objek yang paling popular dan dipercayai mempunyai azimat serta kelebihan tersendiri selain barangan purba yang dikatakan mempunyai kepercayaan mistik tersendiri. Sehinggakan ada yang sanggup melabur ribuan ringgit demi mendapatkan objek tersebut," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Jahid yang juga ahli panel Majlis Tareqat Suffiyah, Jabatan Mufti Negeri Sembilan berkata, ini bukan bermaksud haram memakai cincin atau menyimpan barang-barang tersebut. Tetapi tindakan meletakkan kepercayaan dengan bantuan sesuatu objek selain daripada Allah SWT menyebabkan akidah terpesong.

Mengambil iktibar daripada kisah Azhar, tambahnya, begitulah nasib malang yang menimpa akibat mempercayai azimat sebagai pelaris.

"Tidak dinafikan, ada batu yang dihasilkan dalam bentuk cincin terbukti memberi kelebihan tersendiri.

Ini diakui oleh pemilik batu tersebut kerana apa yang dihajati seperti pelaris, pengasih, pelindung dan sebagainya menjadi kenyataan.

"Hakikatnya, kita harus ingat, ini semua merupakan usaha syaitan dalam menyesatkan manusia melalui pelbagai cara. Syaitan yang membantu pemilik tersebut memperoleh apa yang dihajati.

"Tidak mustahil juga syaitan boleh menyamar hadir dalam mimpi dengan berlagak warak, sebelum menyerahkan atau memberi tahu di mana objek dikatakan azimat itu berada," ujarnya.

Bertukar tragedi

Jahid berkata, objek azimat yang dipercayai mampu membantu pemiliknya memperoleh apa yang dihajati hakikatnya boleh mengundang padah sehingga menghancurkan kehidupan individu, malah memberi kesan kepada keluarganya yang terdekat.

Tambahnya, akibat mempercayai cincin turun temurun sebagai pelindung, akhirnya mendatangkan kesan buruk kepada seorang pesakitnya sehingga menyebabkan kematian ayah kandungnya sendiri.

Pemuda itu yang pada mulanya mengakui cincin itu banyak memberi tuah dan pelbagai perkara luar biasa yang tidak disangka berlaku kepada dirinya, tetapi lama kelamaan tewas dengan pelbagai ujian dan masalah yang mula menimpa dirinya.

"Dia datang ke pusat perubatan ini dalam keadaan tertekan. Apabila dipandang jelas kelihatan seperti orang yang mempunyai banyak masalah. Seperti biasa dalam sesi rawatan, saya akan menemuramah pesakit, bertanyakan latar belakang mereka dan sebagainya.

"Selepas mendapat tahu mengenai cincin pusaka yang dipakai pemuda itu, saya meminta dia menanggalkan cincin tersebut. Malangnya pemuda itu enggan dengan alasan cincin itu mempunyai azimat dan khadam oleh jin Islam.

"Namun, setelah beberapa kali dirawat dan dinasihati, akhirnya dia akur untuk membuang cincin itu," jelasnya.

Bagaimanapun, apa yang dilakukan oleh pemuda itu ialah membuang cincin tersebut tanpa mengikut kaedah yang ditetapkan, iaitu dengan hanya membuangnya ke dalam longkang

Kesan daripada itu ujar Jahid, bapanya pula secara tiba-tiba diserang penyakit misteri seperti dirasuk.

"Setelah berdialog dengan bapa pemuda itu, akhirnya kita mendapat tahu makhluk yang memasuki tubuh bapa pemuda itu merupakan penunggu atau khadam daripada cincin yang telah dibuang tadi dengan mengugut untuk membalas dendam.

"Akhirnya, seperti dijanjikan, bapa pemuda itu meninggal dunia tidak beberapa lama kemudian. Namun apa yang dikhuatiri, jin itu turut berjanji akan terus mengganggu keluarga pemuda itu daripada seorang ke seorang," ujar Jahid.

Jangan keliru dengan mukjizat

Posted: 18 Sep 2013 09:43 PM PDT

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD

Ramai yang keliru dengan meletakkan mukjizat Rasul sebagai sandaran bagi mempercayai sesuatu objek mampu memberikan azimat. - Gambar hiasan

MUKJIZAT yang Allah SWT kurniakan kepada para Rasul seperti dengan menggunakan cincin dan tongkat sebagai perantara sering disalaherti oleh segelintir umat Islam.

Ramai yang keliru dengan maknanya yang sebenar akan mudah meletakkan keajaiban dan kelebihan yang Allah SWT kurniakan kepada pesuruh-Nya itu sebagai sandaran bagi mempercayai sesuatu objek mampu memberikan azimat.

Kesannya, masyarakat yang keliru akan menjadikan objek seperti cincin dan kayu sebagai alat untuk memperoleh sesuatu kelebihan tanpa usaha dan mengharapkan bantuan daripada Allah SWT.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Kemanusiaan, Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr. Mahyuddin Ismail berkata, perkara yang masih menjadi budaya dalam kalangan masyarakat Melayu beragama Islam itu harus diperbetulkan agar tidak merosakkan akidah sehingga membawa kepada syirik.

Katanya, sebagaimana hadis dan kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW: Sesungguhnya Nabi telah melihat seorang lelaki memakai gelang tembaga di lengannya.

Baginda bertanya: "Apa ini?" Lelaki itu menjawab: "Ini adalah gelang perubatan." Mendengarkan katanya itu baginda bersabda: "Tanggalkannya, sesungguhnya ia tidak menambah apa-apa kecuali kelemahan. Kalau kamu mati sedangkan ia tetap kamu pakai, selama-lamanya kamu tidak akan selamat." (riwayat Imam Ahmad)

Mahyuddin yang juga mengetuai unit kajian khas dalam meneliti undang-undang sihir berkata, masyarakat terutamanya umat Islam harus mengkaji semula perbezaan antara mukjizat Rasul dengan objek azimat.

"Ramai dalam kalangan masyarakat yang salah faham dengan situasi ini. Kebanyakan mereka menggunakan objek yang dianggap membawa tuah atau mempunyai kuasa akan menjadikan mukjizat yang Allah SWT kurniakan kepada Rasul sebagai sandaran.

"Sebagai contoh mukjizat cincin Nabi Sulaiman AS yang diceritakan membolehkan baginda bercakap dengan haiwan dan mengawal makhluk termasuk jin. Begitu juga dengan tongkat Nabi Musa yang boleh membelah laut dan bertukar menjadi ular besar.

"Ini hakikatnya hanya akan menyesatkan akidah individu itu sendiri yang mempercayai dan bersandarkan kepada sesuatu objek untuk mengharapkan sesuatu kelebihan dengan mudah dan berkesan," katanya.

Muhyiddin menjelaskan, mukjizat adalah kelebihan luar biasa yang bertentangan dengan batas pemikiran manusia biasa yang dikurniakan kepada para Nabi dan Rasul Allah SWT bagi membuktikan kehebatan dan keesaan Allah SWT adalah benar kepada orang kafir.

Mempercayai bahawa sesuatu objek mempunyai azimat pula adalah perbuatan yang sia-sia dan boleh membawa kepada syirik.

"Tiada satu pun objek yang mempunyai azimat selain dengan izin Allah SWT. Jika ada ini hanya angkara jin yang bertujuan menyesatkan manusia. Jin yang sebenarnya membantu manusia untuk mendapatkan apa yang dihajati menggunakan perantara objek berkenaan," katanya.

Bagaimanapun, tidak salah untuk memakai cincin atau menyimpan sesuatu objek asalkan tidak melakukan perkara yang khurafat. Ia sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW yang juga memakai cincin di jarinya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Koperasi perlu modal RM10 juta

Posted: 18 Sep 2013 11:03 AM PDT

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

YUSOF Abu Bakar (dua dari kanan) pada majlis perasmian Seminar Organisasi Persatuan & Kelab Usahawan Belia serta Penubuhan Koperasi Usahawan Muda Pagoh Muar Berhad di Muar, Johor, baru-baru ini.

MUAR 18 Sept. - Sebanyak RM10 juta diperlukan Koperasi Usahawan Muda Pagoh Berhad untuk pelaburan bertujuan merebut peluang perniagaan di kawasan Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP).

Pengerusinya, Datuk Yusup Abu Bakar berkata, dana itu akan digunakan untuk membeli aset strategik antaranya bangunan rumah kedai dan pinjaman yang akan dilakukan menerusi Bank Rakyat dan Syarikat Kerjasama Malaysia (SKM).

"Ia juga sebagai salah satu usaha membantu ahli mendapat tempat untuk menjalankan perniagaan yang ada kaitan dengan hab pendidikan," katanya ketika ditemui selepas perasmian seminar Kelab Usahawan Muda Muar Pagoh di Muar Traders Hotel di sini kelmarin.

Bagi jangka pendek pula kata Yusup, koperasi akan membuka sebuah pasar mini di Taman Pagoh Jaya dan sebuah restoran dengan pelaburan bernilai lebih RM200,000.

Katanya, usaha awal itu dilaksanakan memandangkan kawasan tersebut yang berdekatan dengan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) adalah sebuah kawasan pertumbuhan baharu di Pagoh yang sedang pesat membangun.

Mengenai matlamat koperasi tersebut, pihaknya berharap akan dapat mengumpul sebanyak 300 ahli dalam tempoh terdekat dan setakat ini sudah pun mempunyai 80 ahli.

Sementara itu, beliau yang juga Presiden Persatuan Usahawan Pertanian Moden mengalu-alukan pengumuman tambahan pinjaman Yayasan Tekun Nasional sebanyak RM700 juta untuk meningkatkan bilangan usahawan bumiputera kepada 370,000 orang menjelang 2015.

Yusup menyifatkan tambahan dana pinjaman tersebut yang diumumkan di bawah program Memperkasa Ekonomi Bumiputera oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai bukti kesungguhan kerajaan membantu usahawan kecil golongan itu terutama di luar bandar.

Penasihat Majlis Belia Daerah Muar itu turut menyokong tambahan peruntukan sebanyak RM300 juta kepada tabung Amanah Ikhtiar dan ia jelas boleh membantu golongan miskin.

"Kedua-dua peruntukan tambahan ini adalah tepat pada masanya dalam usaha kerajaan membantu melahirkan lebih ramai usahawan Melayu dan bumiputera di negara ini," ujarnya.

Mohd. Roze KPD baharu Kluang

Posted: 18 Sep 2013 11:03 AM PDT

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
utusanjohor@utusan.com.my

KLUANG 18 Sept. - Asisten Komisioner Mohd. Roze Shaari dari Bahagian Pentadbiran Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dilantik sebagai Ketua Polis Daerah ini yang baharu berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd. Ali.

Abdul Majid yang memimpin Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang selama 22 bulan ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi mengambil alih tugas Mohd. Roze.

Sebelum itu dalam ucapannya Abdul Majid berkata, beliau terharu dengan kerjasama dan cara kerja berkumpulan yang diberikan oleh warga kerja IPD itu sebelum dan semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

"Hasil daripada persefahaman yang baik daripada pegawai dan anggota tanpa mengira pangkat telah membawa penurunan kes-kes jenayah dalam daerah ini.

"Di samping itu, kerjasama dan persefahaman dengan semua jabatan kerajaan di dalam daerah ini turut membantu pihak polis melaksanakan penguatkuasaan yang lebih berkesan," katanya dalam majlis serah terima tugas yang disaksikan oleh Timbalan Ketua Polis Negeri Johor, Deputi Komisioner Datuk Ismail Yatim.

Sementara itu, Mohd. Roze pula bertekad untuk mengekalkan kecemerlangan yang telah dicapai IPD Kluang sebelum ini di samping menghasilkan kejayaan baharu.

"Saya juga akan merangka tiga pendekatan yang lebih ampuh untuk perlaksanaan setiap tugas yang telah diamanahkan seterusnya dikuatkuasakan di daerah ini demi kepentingan masyarakat.

"Di antara langkah yang dimaksudkan adalah meningkatkan usaha lebih proaktif kearah penurunan indeks jenayah serta mewujudkan persekitaran selamat dengan penyelarasan jadual tugas yang lebih optimum ke atas semua anggota," katanya lagi.

Tambah beliau, kejayaan itu bagaimanapun hanya akan dicapai sekiranya semangat kerja sepasukan dapat dipraktikkan dalam kalangan semua anggota tanpa mengira kedudukan dan pangkat mereka.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Pakaian dalam jaga bentuk badan

Posted: 18 Sep 2013 09:43 PM PDT

WANITA dewasa, biasanya dalam usia 40-an, lebih senang memakai baju longgar untuk menyembunyikan perut yang menggeleber, disebabkan makan secara berlebihan dan kemerosotan fungsi badan.

Tetapi sekarang, sesiapa pun boleh mengempiskan perut dengan segera dan mencantikkan potongan badan apabila mereka memakai pelangsing badan Silke yang dapat merampingkan pinggang, 'mengecilkan' badan dan punggung, serta membuatkan saiz payu dara nampak lebih menarik.

Remaja yang menuju ke alam dewasa pula sering menganggap coli hanya sebagai perlindungan. Malah, ibu-ibu juga tidak tahu bagaimana untuk membimbing anak gadis mereka tentang pemakaian coli yang betul untuk menjaga kecantikan bentuk badan.

Dengan memilih pakaian dalam yang betul dan dapat membentuk payu dara, remaja boleh kelihatan cantik dan menarik.

Bagaimana caranya? Dengan menggunakan lemak mereka, iaitu menolak lemak dari bahagian bawah lengan, belakang dan abdomen ke bahagian dada.

Jika tidak, ramai wanita akan terus menyangka bahawa mereka secara semula jadi mempunyai payu dara yang kecil dan hanya wanita Eropah dilahirkan dengan payu dara besar!

Untuk membolehkan remaja 'membentuk' lurah dada yang lebih menarik, kami mencadangkan mereka memakai coli push up Silke, yang dapat menggerakkan, menolak dan mengunci lemak dari lengan, bawah lengan dan belakang ke bahagian dada.

Ini adalah coli push up dengan fungsi dua dalam satu. Dengan pakaian dalam Silke, anda boleh menanggalkan tali coli biasa dan menggantikannya dengan tali baju renang. Ini akan menjadikan coli anda baju renang apabila anda berada di kolam renang atau tepi pantai.

Kebanyakan wanita Asia tidak berani menggayakan baju renang yang menyerupai coli atau bikini. pertama kerana ia terlalu mendedahkan bentuk badan dan mengghairahkan, kedua kerana tidak ada apa-apa untuk diperlihatkan. Bayangkan dengan coli push up dua dalam satu, anda boleh bersantai dengan yakin di tepi kolam renang.

Untuk maklumat lanjut, sila ke laman www.herbaline.com.my atau hubungi Gary Sho di 03-5121 5055.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


TPPA tidak dimeterai ketika kunjungan Obama - TPM

Posted: 19 Sep 2013 02:47 AM PDT

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) tidak akan dimeterai ketika kunjungan Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama ke ibu negara bulan depan.

Menurutnya, ruang rundingan dan penilaian akan terus berlaku sehingga keputusan paling tepat dicapai. - UTUSAN ONLINE

Tuntutan perjalanan penyelia KAFA naik RM200 - Jakim

Posted: 19 Sep 2013 01:30 AM PDT

KUALA TERENGGANU 19 Sept. - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini mengumumkan kenaikan had tuntutan perjalanan bagi penyelia program Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) sebanyak RM200 sebulan.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata kenaikan itu adalah daripada RM300 kepada RM500 bagi negeri di Semenanjung dan daripada RM500 kepada RM700 bagi Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, kenaikan jumlah tuntutan ini berkuat kuasa mulai tuntutan bulan September dan melibatkan penambahan peruntukan tahunan sebanyak RM1.8 juta.

"Ia juga bagi menghargai susah payah dan pengorbanan penyelia KAFA dalam menjalankan khidmat mereka ke arah memperkasakan dan meningkatkan syiar Islam di negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ijtimak Penyelia KAFA Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Sebanyak 300 penyelia KAFA dari seluruh negara menyertai ijtimak dua hari itu yang bertujuan mencari pendekatan tambahan untuk meningkatkan lagi keupayaan kaedah pendidikan Islam di peringkat rendah yang lebih berkualiti dan berkesan.

Selain itu, Othman berkata Jakim juga sedang dalam proses mencadangkan kepada kerajaan untuk melihat semula skim kenaikan pangkat bagi penyelia KAFA iaitu kenaikan pangkat daripada gred 17 kepada gred 22 selepas 10 tahun berkhidmat berbanding 13 tahun perkhidmatan yang diamalkan sekarang.

Katanya dua perkara itu adalah antara pengiktirafan Jakim dalam menambah baik kebajikan penyelia KAFA di negara ini. - BERNAMA

Amaran angin kencang, laut bergelora ekoran Taufan Usagi

Posted: 19 Sep 2013 12:05 AM PDT

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora berikutan Taufan Usagi dikesan kira-kira 839 km ke Timur Laut Manila, Filipina pagi ini.

Berikutan taufan itu yang dikesan pada 11 pagi, keadaan angin kencang Barat Daya dengan kelajuan 50 hingga 60 km sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter, dijangka berlaku di perairan Sarawak (Miri), Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah (Pantai Barat dan Kudat) berterusan sehingga Isnin depan.

Keadaan itu berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut, menurut kenyataan jabatan itu.

Taufan Usagi kini berada kira-kira 1,675 km ke Timur Laut Sandakan, Sabah. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


'Tiada lama tentunya tiada baharu'

Posted: 18 Sep 2013 11:03 AM PDT

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my

Mohamad Hasan bersama tetamu memeriahkan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri di padang Majlis Perbandaran Seremban. - Utusan/Md. Shahjehan Maamin

SEREMBAN 18 Sept. - Apabila disebut tiada lama tentunya tiada baharu, maka terbayanglah kita betapa berkembangnya pembangunan dan kemajuan negara Malaysia yang dicintai ini.

Kenyataan yang cukup besar maknanya itu, menggambarkan betapa pemimpin terdahulu berkorban segala-galanya untuk memastikan sebuah negara Malaysia ini, terus dibawa ke hala tuju yang betul dengan rakyat di dalamnya hidup sejahtera tanpa ada yang perlu dibimbangkan.

Inilah antara kata-kata yang diucapkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam mengingatkan generasi pada hari ini yang harus sentiasa merujuk kepada sejarah pembentukan negara dalam usaha untuk memacu dan membangunkan negara.

Ibarat kata pepatah tiada lama tentunya tiada baharu, justeru sejarah pahit getir yang dilalui oleh negara hendaklah dijadikan sebagai asas perjuangan kepada generasi masa kini.

Di dalam serba kekurangan dan keterbatasan yang dihadapi oleh pemimpin dan pejuang terdahulu, negara ini berupaya dibentuk sehingga menjadi sebuah negara membangun yang serba berpotensi.

Dan insya-Allah berkat sokongan padu semua pihak menerusi kesepakatan tiga wilayah utama Semenanjung, Sabah dan juga Sarawak, didoakan Malaysia akan berdiri megah sebaris dengan negara-negara terunggul lain dalam tempoh tujuh tahun yang akan datang seperti mana yang dihasratkan dalam kerangka unjuran berwawasan pada 2020," katanya di hadapan lebih 10,000 hadirin sempena Hari Malaysia di padang Majlis Perbandaran Seremban, di sini baru-baru ini.

Mohamad berkata, rakyat tidak seharusnya mudah lupa dan alpa terhadap kepentingan dan signifikan sejarah kerana sejarah bukan sekadar memperingati tarikh dan peristiwa, sebaliknya menjadi penyemarak ke arah membuka minda bagi menyelami intipati perjuangan membina bangsa dan negara yang tidak berkesudahan.

Kenanglah jasa dan pengorbanan para pejuang lalu yang telah banyak berkorban harta benda dan nyawa bersatupadu menentang penjajah dan kemudiannya pula bersetuju menubuhkan sebuah negara berbilang kaum untuk hidup bersama-sama dengan aman dan sejahtera, demi meneruskan kelangsungan legasi perjuangan diamanahkan kepada kita," tegas beliau lagi.

Dengan semangat membara itu juga, Mohamad mengingatkan seluruh rakyat supaya menggenggam amanah berkenaan dengan jiwa kental.

Bebaskan diri kita daripada cengkaman pihak lain terutamanya seteru negara serta hindarilah sebarang bentuk penjajahan minda bentuk baharu yang cuba menerobos pemikiran masyarakat dengan ideologi kontra yang boleh mempengaruhi kita untuk menentang status quo keharmonian yang telah sama-sama dibangunkan selama ini.

Kita wajar berdikari dan mengasaskan tahap kematangan futuristik jauh ke hadapan, tanpa membiarkan kemewahan yang terdampar di hadapan mata direbut rakus pihak luar," ujarnya.

Beliau menyeru golongan anak muda agar bangun dan terus menyumbang bakti semaksimum yang boleh bagi mengekalkan prestasi terbilang.

Pagarilah kehidupan kita dengan benteng kekentalan supaya negara tidak mudah ditembusi anasir yang tidak diundang dan berniat jahat untuk mencetuskan huru-hara," tegas Mohamad.

Beliau juga berpesan, dalam keghairahan mengejar kemajuan, janganlah pula ada yang mengganggu-gugat keamanan dan keharmonian masyarakat yang telah sedia diasaskan oleh para pejuang lalu.

Jangan pula sekali-kali kita rela memperjudikan diri kita sehingga semata-mata kerana terlalu berangan-angan dan asyik memikirkan perubahan dan pembaharuan yang kononnya akan menjamin dan membawa kebaikan yang jauh lebih baik berbanding dengan sedang apa yang kita nikmati sekarang.

Janganlah kita terikut-ikut dengan rentak dan tarian pihak yang cuba mengganggu gugat keamanan negara dalam usaha untuk mengejar sesuatu yang belum pasti diperolehi.

Pamerkanlah kematangan diri dalam apa jua perlakuan kerana segala tindakan susulan kita di dalam meniti dan menuju masa depan, haruslah berpihak kepada kewajaran di bumi yang nyata ini," katanya.

Di akhir laungan semangat cintakan Malaysia itu, Mohamad mahu supaya setiap anak bangsa di bumi bertuah ini, sama-sama mempertahankan kedaulatan negara dari sebarang ancaman dan pencerobohan.

Susun 20,000 kiub rubik dijadikan Jalur Gemilang

Posted: 18 Sep 2013 11:03 AM PDT

Beberapa orang remaja dan belia gembira apabila berjaya menyusun kira-kira 20,000 kiub rubik untuk dijadikan Jalur Gemilang sekali gus mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sempena Hari Malaysia peringkat negeri di padang Majlis Perbandaran Seremban, baru-baru ini.

SEREMBAN 18 Sept. - Di sebalik sambutan sempena Hari Malaysia yang lalu, terdapat satu sudut yang menyaksikan penghasilan sejarah apabila 150 remaja dan belia menyusun kira-kira 20,000 kiub rubik dijadikan Jalur Gemilang.

Dengan ketekunan yang ditunjukkan oleh peserta serta penandaan dilakukan sejak beberapa bulan lalu terhadap kiub rubik, maka usaha itu mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai penghasilan terbesar Jalur Gemilang iaitu 11 meter panjang dan 5.5 meter lebar.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini adalah usaha yang amat membanggakan apatah lagi dihasilkan oleh remaja dan belia berbilang kaum, sekali gus mencerminkan semangat 1Malaysia yang tinggi.

''Saya kagum dengan usaha ini dan mengucapkan syabas kepada semua yang terlibat kerana mengharumkan nama negara. Nama Negeri Sembilan juga dimasukkan dalam buku rekod Malaysia," katanya selepas meletakkan kiub rubik terakhir pada Jalur Gemilang itu di padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) sempena sambutan Hari Malaysia, baru-baru ini.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Gerakan Belia Bersatu Malaysia (GBBM) Negeri Sembilan, Low Eng Tack berkata, pencapaian itu adalah cara remaja dan belia negeri ini menyatakan rasa patriotik, cintakan negara serta menghormati Jalur Gemilang dengan melibatkan semua kaum.

''Mesej kami adalah untuk penyatuan kaum dan menghargai keamanan, sebuah negara yang harmoni serta sama-sama meraikan hari penting ini dengan semangat 1Malaysia," katanya.

''Simbolik kepada mesej dan pemilihan kiub rubik ini adalah gambaran rakyat Malaysia yang hidup dalam pelbagai kaum, disatukan dengan semangat 1Malaysia dengan rakyat harus bergerak bersama, bermuafakat dalam menyelesaikan isu dah akhirnya bersatu dalam sebuah negara yang aman dan damai ini.

''Ia memerlukan pengamatan dan ketelitian supaya ia tidak tersilap pasang ketika dipamerkan di tengah padang sempena sambutan Hari Malaysia ini. Setiap pelajar dan belia yang sama-sama menyusunnya adalah terdiri peserta yang memang mempunyai semangat patriotik tinggi," katanya.

Dalam pada itu, salah seorang peserta yang terlibat dalam program tersebut, pelajar Sekolah Menengah King George V Seremban, Najwa Ahmad Wafa, 16, berkata, sebelum ini dia bermain kiub rubik secara suka-suka.

''Kali ini saya lebih fokus iaitu menyusun kiub rubik dengan betul bagi menghasilkan Jalur Gemilang gergasi ini. Ini satu kebanggaan kerana kami telah mencipta rekod dan pada masa yang sama meluahkan perasaan patriotik kepada negara.

''Kami berbangga dengan penghasilan ini dan ia adalah sebahagian daripada aktiviti kenegaraan dan tanda penyatuan kaum yang hebat," katanya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Ampuan Durah (STAD), Lim Boon Hong, 17, pula memberitahu ada rahsia di sebalik penyusunan kiub rubik ini.

''Kami tidak melakukannya secara suka-suka tetapi hati kami disemai dengan semangat cintakan negara. Apabila kita menyusun kiub rubik menjadi Jalur Gemilang, secara tiba-tiba ada kelainan perasan timbul dalam hati. Itulah perasaan semangat cintakan negara," ujarnya.

Rakannya yang juga dari sekolah yang sama, Ong Soo Jet, 17, mengakui dia mempunyai ramai rakan berketurunan Melayu dan India.

''Kami tidak pernah bercakap soal rasis. Apa yang kami ucapkan adalah rasa bangga menjadi rakyat Malaysia. Sebenarnya, kami amat rapat dan boleh berkawan dengan sesiapa pun dan apabila ada program ini, ia adalah peluang untuk kami membina persahabatan yang lebih akrab sesama manusia," katanya.

Bagi murid Sekolah Kebangsaan Paroi, C. Yasodah, 12, dia amat teruja apabila dipilih untuk menyertai program tersebut.

''Saya dapat ramai kawan dan merasa amat seronok kerana cipta rekod dan mengharumkan nama Negeri Sembilan," katanya.

Rakannya, Nor Aliah Natasha Aziz, 12, berbangga menjadi rakyat Malaysia yang merupakan sebuah negara aman, sejahtera dan bersatu-padu.

''Bila kita menyertai program ini, semua perasaan takut itu hilang. Kami gembira kerana dapat bersama-sama menyusun kiub rubik," katanya.

Pengarah JPJ bertemu pelanggan di Gadek

Posted: 18 Sep 2013 11:03 AM PDT

MELAKA 18 Sept. - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri akan mengadakan program Pengarah Bertemu Pelanggan di Padang Awam, Kampung Gadek, Alor Gajah pada 28 September ini.

Pengarahnya, Mohd. Fadhil Hassan berkata, program itu bagi membolehkan orang ramai menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan dengan jabatan.

Menurutnya, pelbagai aktiviti diatur khusus untuk orang ramai membuat urusan seperti pendaftaran lesen memandu warga emas bagi umur 45 tahun ke atas, pembaharuan lesen kenderaan motor, pembaharuan lesen memandu, pembayaran saman dan semakan senarai hitam.

''Kita juga akan mengehadkan pemeriksaan motosikal bagi lesen yang tamat tempoh melebihi satu tahun, di samping pendaftaran Skuad Muda 1JPJ dan mengedarkan topi keledar dan baju pantulan cahaya secara percuma," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Mohd. Fadhil berkata, bagi tujuan tersebut, JPJ menyediakan beberapa kaunter urusniaga yang akan dibuka kepada orang ramai dari pukul 9 pagi hingga 2 petang.

Menurutnya, antara agensi yang akan turut serta dalam program tersebut adalah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Biro Pengaduan Awam dan Unit Aduan Awam Melaka (e-Aduan).

Beliau berkata, antara agensi lain adalah Puspakom, Jabatan Penyiaran negeri, Jabatan Penerangan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

''Orang ramai juga akan diberi penerangan mengenai prosedur berdasarkan permasalahan yang sering ditimbulkan pelanggan dan program ini juga membolehkan JPJ mendapat maklum balas mutu perkhidmatan jabatan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Agar-agar kering masih popular

Posted: 18 Sep 2013 11:03 AM PDT

Oleh NORAZLINA ISMAIL
utusanpenang@utusan.com.my

MOHAMAD Aliff Shahimi Che Me dan Noorzakiah Fadzilah Ahmad menunjukkan agar-agar kering yang dihasilkan mereka dalam pelbagai bentuk dan warna di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

BUKIT MERTAJAM 18 Sept. - Agar-agar kering merupakan sejenis manisan tradisional yang biasa disajikan ketika kenduri perkahwinan atau pada musim perayaan.

Meskipun tidak popular seperti kuih tradisional lain seperti baulu, bangkit, dodol dan ros, agar-agar kering masih lagi diminati oleh sebilangan masyarakat walaupun agak jarang didapati di pasaran.

Proses penghasilannya yang agak rumit antara faktor menjadikan perusahaan membuat agar-agar kering tidak ramai diceburi oleh golongan muda.

Namun berbeza bagi pasangan suami isteri dari Kampung Tanah Liat di sini yang memiliki kemahiran membuat agar-agar kering untuk tujuan komersial.

Mohamad Aliff Shahimi Che Me, 31, dan isteri, Noorzakiah Fadzilah Ahmad, 30, mula menceburi perusahaan membuat agar-agar kering sejak empat tahun lalu selepas melihat manisan tradisional itu mempunyai potensi luas untuk dikomersialkan.

Menurut Noorzakiah, idea menghasilkan agar-agar kering untuk tujuan perniagaan diperoleh selepas melihat suaminya yang gemar makan agar-agar kering sejak kecil.

"Nenek suami saya mahir buat agar-agar kering dan setiap kali pulang ke kampung, suami pasti akan mencarinya kerana dia memang suka makan agar-agar kering buatan nenek.

"Bermula dari situ saya terfikir untuk belajar buat agar-agar kering dan jual. Pembuatannya tidaklah rumit mana tapi perlukan kesabaran dan ketelitian supaya agar-agar kering itu menjadi dan tahan lama," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini baru-baru ini.

Katanya, terdapat tiga proses yang perlu dilakukan untuk menghasilkan agar-agar kering iaitu memasak agar-agar, memotong dan menyusun serta menjemur.

Noorzakiah berkata, bagi memastikan agar-agar kering dihasilkannya digemari semua lapisan masyarakat, beliau dan suami membuat beberapa perubahan daripada segi reka bentuk dan rasa.

"Orang dulu buat agar-agar kering satu rasa sahaja, tapi sekarang kami menghasilkannya dalam pelbagai perisa seperti oren, strawberi, laici, pandan, blueberry dan tropika.

"Kami juga pelbagaikan jenis potongan supaya kelihatan lebih menarik contohnya dalam bentuk kelopak bunga ros, petak dan cengkerang," ujarnya.

Agar-agar yang dihasilkannya juga tidak dijemur di bawah terik matahari sebaliknya dijemur menggunakan mesin khas hasil rekaan suaminya.

Penggunaan mesin tersebut perlu bagi memastikan agar-agar kering tidak terdedah kepada cuaca yang tidak menentu selain habuk dan debu.

Dalam pada itu Noorzakiah berkata, sejak memulakan perniagaan agar-agar kering empat tahun lalu, permintaan pelanggan terhadap produknya itu semakin meningkat.

Pada peringkat awal, dia hanya menghasilkan kira-kira 50 hingga 80 kilogram setiap bulan.

"Dahulu memang susah sikit kerana pernah ada warga emas yang datang membeli tidak percaya kami suami isteri yang buat kerana biasanya agar-agar kering ini dibuat oleh orang tua.

"Lama kelamaan permintaan semakin meningkat pada musim perkahwinan dan perayaan. Untuk Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini kami mendapat tempahan untuk 250 kilogram agar-agar kering daripada pelanggan.

"Saya guna blog dan Facebook sepenuhnya untuk pasarkan produk agar-agar kering saya atas nama Agar-Agar Kering Adam Shoppe dan syukur rangkaian pelanggan saya kini berkembang hingga ke Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur, Johor, Singapura dan Brunei," katanya.

Harga yang ditetapkan pada setiap sekilogram agar-agar kering tanpa perisa adalah RM25 manakala bagi yang mempunyai perisa pula RM28 sekilogram.

Mereka yang berminat dan ingin membuat tempahan boleh melayari Agar-Agar Kering Adam Shoppe di laman sosial Facebook atau blog.

Mantapkan pentadbiran negeri

Posted: 18 Sep 2013 11:03 AM PDT

Oleh SAYED HESHAM IDRIS
utusanperak@utusan.com.my

ZAMBRY Abd. Kadir (tengah) bersama barisan Exco dan ahli-ahli jawatankuasa yang dilantik pada majlis penyerahan surat pelantikan kepada ADUN yang menjadi Ahli Jawatankuasa Exco di Bangunan Perak, di Ipoh, semalam.

IPOH 18 Sept. - Kerajaan negeri mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Exco yang dianggotai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi tujuan melicinkan pentadbiran di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, ADUN yang menganggotai sesebuah Jawatankuasa Exco akan membantu ahli Exco untuk melaksanakan tugas dengan lebih efektif.

"Pelantikan ADUN ini berdasarkan pengalaman dan kecenderungan mereka untuk membantu di peringkat Jawatankuasa Exco.

"Malah Ahli Jawatankuasa Exco ini terdiri daripada ADUN Barisan Nasional (BN) dan pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan surat pelantikan kepada ADUN yang menjadi Ahli Jawatankuasa Exco di sini, hari ini.

Di bawah penubuhan Jawatankuasa Exco itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam yang dipengerusikan oleh Zambry, ia dianggotai oleh ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim dan ADUN Chenderiang, Datuk Dr. Mah Hang Soon.

ADUN Trong Dr. Zabri Abd. Wahid, ADUN Slim Datuk Mohd. Khusairi Talib dan ADUN Lintang Datuk Zolkafly Harun menganggotai Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dipengerusikan oleh Datuk Saarani Mohamad.

Bagi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor yang dipengerusikan oleh Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid, ia dianggotai oleh ADUN Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat dan ADUN Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Md. Hanafiah.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin akan dibantu oleh ADUN Pengkalan Bharu, Datuk Manaf Hashim dan ADUN Changkat Jong, Mohd. Azhar Jamaluddin.

Datuk Rusnah Kassim yang mempengerusikan Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Integrasi Nasional, akan dibantu oleh Adun Chenderoh, Zainun Mat Noor dan Adun Kampung Gajah, Abdullah Fauzi Ahmad Razali.

Bagi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil yang dipengerusikan oleh Datuk Samsuddin Abu Hassan, ia dianggotai oleh ADUN Selama Datuk Mohamad Daud Mohd. Yusof dan ADUN Kenering, Datuk Mohd. Termizi Idris.

ADUN Kubu Gajah, Ahmad Hasbullah Alias dan ADUN Manjoi, Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin pula menganggotai Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang dipengerusikan oleh Mohd. Nizar Zakaria.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Nolee Ashilin Mohammed Radzi akan dibantu ADUN Temengor, Salbiah Mohamed dan ADUN Manong Mohamad Kamil Shafie.

ADUN Lubok Merbau, Datuk Siti Salmah Mat Jusak dan ADUN Pasir Panjang, Rashidi Ibrahim menganggotai Jawatankuasa Pendidikan Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau yang dipengerusikan Muhammad Amin Zakaria.

Datuk Shahrul Zaman Yahya yang mempengerusikan Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia akan dibantu oleh ADUN Bukit Chandan, Maslin Sham Razman dan ADUN Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim.

Dua beradik termasuk OKU hilang tempat tinggal

Posted: 18 Sep 2013 11:03 AM PDT

ANGGOTA bomba dan penyelamat bertungkus- lumus memadamkan kebakaran rumah pusaka dua tingkat di Kampung Bakar Bata, Bongor, Baling, Kedah, semalam.

BALING 18 Sept. - Dua beradik termasuk seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) hilang tempat berlindung apabila rumah pusaka yang didiami hangus terbakar dalam kebakaran di Kampung Bakar Bata Bongor di sini tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah hari itu, mengakibatkan mangsa, Mohd. Tarmizi Harun, 29, dan abangnya, Zainuddin, 46, yang mempunyai masalah mental tinggal sehelai sepinggang.

Lebih menyedihkan kata Mohd. Tarmizi, abangnya itu turut menghilangkan diri setelah kebakaran tersebut.

"Waktu itu saya sedang bekerja, tiba-tiba salah seorang abang saya memberitahu rumah saya terbakar. Namun ketika sampai api sedang marak dan tidak sempat menyelamatkan apa-apa termasuk dua buah motosikal yang disimpan di dalam rumah turut rentung.

"Abang saya pula hilang entah ke mana selepas kebakaran operasi mencarinya yang giat dijalankan," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, jiran-jiran memberitahu mereka ternampak abangnya masuk ke dalam rumah ketika kebakaran berlaku namun hasil pemeriksaan anggota penyelamat mendapati tiada mayat ditemui.

"Saya berharap dia selamat dan pulang selepas ini," katanya.

Dalam pada itu menurut Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat Daerah Baling, Mohd. Sufian Alias, mereka mendapat panggilan kebakaran pada pukul 12.15 tengah hari dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.

Menurutnya, seramai tujuh anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran yang mengambil masa hampir sejam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan." kata Mohd. Sufian.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Kompaun AES diturun RM150

Posted: 18 Sep 2013 11:03 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

10 kenderaan mewah bukan milik saya - Suhaimi

Posted: 18 Sep 2013 11:03 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Ratu skuasy negara teruja naik pesawat latihan Pilatus

Posted: 18 Sep 2013 11:03 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved