Rabu, 4 September 2013

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


'Ketahui masalah sebenar kami'

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

Oleh Muhamad Aimy Ahmad
kota@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Peringatan UDA Holding Berhad kepada 42 penyewa Kompleks Pertama agar menjelaskan tunggakan sewa dalam tempoh setahun seolah-olah memberi amaran terakhir agar peniaga-peniaga tersebut berpindah keluar dari situ.

Malah, Pengerusi Badan Bertindak Penyewa Melayu Kompleks Pertama, Hamdan Sulaiman berkata, sekalipun peniaga terlibat berjaya melangsaikan tunggakan sewa masing-masing, pihaknya tidak yakin masalah sama tidak berulang selagi tiada tindakan proaktif diambil oleh UDA untuk merancakkan aktiviti perniagaan di kompleks itu.

Menurutnya, mereka bukan sengaja untuk tidak menjelaskan sewa bulanan yang dikenakan tetapi faktor ketiadaan pelanggan menyebabkan operasi perniagaan terjejas teruk sejak empat tahun lalu.

"Kami berharap pihak pengurusan UDA menceritakan hal sebenar kemelut yang melanda penyewa-penyewa di sini kepada orang luar, mengapa tiada pelanggan yang mahu ke sini untuk berbelanja.

"Kami sudah berniaga lebih 30 tahun di sini, pernahkah dalam tempoh lebih sepuluh tahun lalu kami ada tunggakan sewa seperti sekarang," ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pengerusi UDA, Datuk Johari Abdul Ghani dalam laporan akhbar hari ini berkata, jumlah keseluruhan tunggakan penyewa unit kedai di Kompleks Pertama adalah kira-kira RM500,000 dan perkara itu menambahkan beban hutang kepada UDA.

Tambah Hamdan, pihaknya kecewa kerana kenyataan yang dikeluarkan itu tidak bersesuaian apabila diumumkan dalam majlis anjuran penyewa-penyewa yang bertujuan untuk beramah mesra dan mengeratkan hubungan dengan UDA.

"Kami juga kesal kerana baharu sekarang hendak diaturkan perbincangan sedangkan permintaan kami untuk mengadakan pertemuan dengan UDA sebelum ini tidak pernah dilayan," katanya.

Kata Hamdan lagi, mereka juga telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan hari ini untuk mencari penyelesaian dan dijanjikan akan diteliti semula masalah yang menimpa mereka itu.

"Kami juga bersetuju dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar UDA kembali kepada peranan dan fungsi asal penubuhannya iaitu membantu usahawan bumiputera.

"Tiada apa yang boleh dilakukan selagi UDA tidak dipulihkan ke landasan yang tepat dan kami tidak teragak-agak untuk menyifatkan pengurusan UDA sebagai lemah sehingga para penyewa terpaksa menanggung akibat," ujarnya.

Projek Pasar Raja Bot kian rancak

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Pasar transit Zon 1A yang telah siap pada Ogos lalu untuk menempatkan peniaga dari Pasar Raja Bot di Chow Kit, Kuala Lumpur berpindah sementara dan meneruskan aktiviti perniagaan mereka.

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Usaha menaik taraf Pasar Raja Bot yang bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan semula Kampung Baru kian rancak berjalan.

Terbaharu, tapak pasar sementara (Zon 1A) atau lebih dikenali sebagai pasar transit telah siap awal Ogos lalu selepas bangunan di hadapan Plaza Safuan di Jalan Raja Alang dirobohkan bagi menempatkan sementara peniaga kumpulan kedua sebanyak 95 orang sebelum berpindah ke pasar sebenar apabila siap kelak.

Ketika ini, kerja-kerja merobohkan sebuah lagi bangunan di kawasan terbabit sedang dilakukan sebagai tanda bermulanya projek Zon 1B iaitu pembinaan pasar transit kedua yang dijangka siap pada akhir bulan ini sebelum projek fasa kedua dan ketiga dimulakan iaitu pembinaan pasar kekal.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB), Naharudin Abdullah berkata, kumpulan ketiga melibatkan kira-kira 200 peniaga termasuk peniaga Pasar Ria di Jalan Haji Salleh dijangka berpindah ke Zon 1B pada pertengahan Oktober depan.

"Selepas kompleks Pasar Raja Bot siap kelak, pasar sementara di Zon 1A dan 1B akan dirobohkan bagi pembinaan tempat letak kenderaan bertingkat selain Pasar Ria turut dinaik taraf. Ini dinamakan sebagai pembangunan 'insitu'.

"Inilah keistimewaan pembangunan Pasar Raja Bot. Peniaga tidak perlu berpindah jauh dan pergerakan hanya tertumpu di dalam kawasan ini dan mereka dapat melihat pembangunan semula Pasar Raja Bot di hadapan mata mereka sendiri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini sebanyak 25 orang daripada kumpulan pertama peniaga di Pasar Raja Bot telah berpindah ke tapak sementara di Jalan Raja Alang bersebelahan Plaza Safuan.

Projek pembangunan semula Pasar Raja Bot dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2017 dan akan beroperasi 24 jam apabila aktiviti perniagaan bermula kelak.

Sementara itu, tinjauan di tapak pasar sementara Zon 1A di hadapan Plaza Safuan di Jalan Raja Alang hari ini mendapati, suasana riuh rendah dapat dirasai apabila peniaga berurus niaga dengan pembeli.

Pasar sementara itu menempatkan sebanyak 95 peniaga terdiri daripada peniaga barang mentah seperti sayur, ikan, ayam, daging dan barang kering.

Seorang peniaga ikan yang ditemui, Rohaizat Abdul Rahim, 38, berkata, dia bersyukur dapat berpindah ke pasar transit itu yang lebih selesa kerana mempunyai kemudahan moden walaupun sekadar pasar sementara.

"Sebelum ini, gerai saya terletak jauh di belakang sehingga menjejaskan punca pendapatan saya. Kini, tapak sementara berada betul-betul di jalan utama...syukur, ini semua rezeki anak-anak," katanya.

Adi Ahmad, 59, yang menjual ayam berkata, tapak pasar sementara tersebut agak kurang dikunjungi pelanggan, berbeza seperti berniaga di tapak lama.

"Mungkin akan mengambil sedikit masa. Sekarang ini, saya akan menyesuaikan diri untuk berniaga di tapak sementara ini," jelasnya.

Peniaga barangan runcit, Haslimah Ali Omar, 59, yang telah berniaga selama 33 tahun dengan menjual sayur dan barang kering menyifatkan persekitaran di situ amat selesa berbanding tapak pasar lama.

"Walaupun ini tapak sementara namun selesa. Ini belum lagi pasar sebenar siap yang jauh lebih moden. Sebelum ini, saya berniaga bersama-sama suami, tetapi sekarang dia jatuh sakit dan anak-anak menolong saya berniaga ketika ini," ujarnya.

Baki 3 peratus masih mengalami gangguan bekalan air - Syabas

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Bekalan air di kawasan-kawasan terjejas ekoran pencemaran Sungai Selangor akibat tumpahan minyak Jumaat lepas telah 97 peratus pulih, menurut Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Syabas dalam kenyataannya hari ini memaklumkan pengguna air di Petaling dan Kuala Lumpur telah menerima bekalan air sepenuhnya manakala baki tiga peratus pengguna di Klang dan Shah Alam masih mengalami gangguan bekalan air termasuk tekanan rendah.

Bagi kawasan Klang dan Shah Alam, masalah bekalan air masih dihadapi 23,704 pengguna dari Seksyen 33, Seksyen 22, Seksyen 25, Seksyen 26, Seksyen 27, Seksyen 28, Kampung Kebun Bunga, Kampung Baru Hicom, Subang Mas, Batu 3 Shah Alam, Batu 8 Bukit Kemuning, Bukit Naga dan Kampung Lombong.

Bagi kawasan Gombak, bekalan air masih belum pulih sepenuhnya di Bandar Baru Ampang, Jalan Ampang, Kampung Ampang Campuran, Kampung Melayu Ampang, Kampung Tasek Permai, Taman Tasek Tambahan, Taman Bukit Utama dan Taman Dagang Jaya melibatkan jumlah akaun 8,875.

Kenyataan itu juga menyebut Syabas sedang giat menyusun semula sistem pengagihan air kawasan itu, namun usaha itu agak sukar kerana rezab bekalan air terawat amat tipis iaitu sekitar satu peratus walaupun loji rawatan air telah beroperasi pada tahap maksimum dan 'overload'.

"Oleh itu, pengguna yang terlibat dinasihatkan agak bersabar dan pengguna yang telah mendapat bekalan air disarankan agar menggunakan bekalan air secara berhemat dan tidak berlebihan bagi membantu mempercepatkan proses pemulihan air secara keseluruhan," katanya.

Syabas juga akan terus menggerakkan semua sumber yang ada untuk membantu menghantar bekalan air dan sehingga kini, sebanyak 43 lori tangki telah melakukan 529 trip penghantaran bekalan air dan 66 tangki statik diletakkan di lokasi strategik di kawasan yang terjejas. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


28,000 rumah mampu milik

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

MOHAMED Khaled Nordin diberi penerangan mengenai projek perumahan oleh Lukman Abu Bakar (kiri) mengenai model rumah mampu milik sambil diperhatikan oleh Obet Tawil (kanan) dan Kamaruzzaman Abu Kassim (tengah) di Persada, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU 3 Sept. - Kerajaan negeri akan membina sebanyak 28,000 unit rumah mampu milik dengan harga tidak melebihi RM150,000 dalam tempoh lima tahun akan datang sekali gus komited menyediakan rumah seumpama itu untuk rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 20,000 unit rumah akan dibina di dalam kawasan Iskandar Malaysia manakala selebihnya dibina di kawasan-kawasan lain.

Menurutnya, kajian Suara Hati Johor juga mendapati aspek perumahan merupakan antara fokus utama yang mendapat maklum balas tertinggi berikutan isu kenaikan harga dan pemilikan rumah dihadapi rakyat negeri ini.

"Apabila menyentuh soal perumahan di kawasan bandar, kerajaan negeri menyedari pemilikan kos rumah adalah begitu tinggi dan wujudnya ketidakseimbangan harga tanah yang melambung ke paras tidak sepatutnya.

"Malah, untuk menyewa seunit rumah di kawasan bandar pun memakan belanja besar dan jelas hal ini sudah tentu berat untuk ditanggung oleh keluarga besar, mereka yang baru berkahwin dan yang baru menceburi alam pekerjaan.

"Menyedari hakikat itu, kita mengenal pasti untuk membina 28,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun," katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Pembangunan Perumahan Kos Rendah dan Mampu Milik antara Johor Corporation (JCorp) dan kerajaan negeri, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Obet Tawil; Pengarah Urusan Johor Land Berhad, Lukman Abu Bakar; Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim dan Pengarah Eksekutif ISI, Prof. Dr. Mohd Hamdan Ahmad.

Dalam majlis sama, anak syarikat JCorp, Johor Land Bhd., turut menandatangani MoA dengan Institute Sultan Iskandar of Urban Habitat & Highrise bagi mengkaji ketidakseimbangan pemilikan hartanah bumiputera dan kewajaran membangunkan projek rumah mampu milik di Iskandar Malaysia untuk digunakan kerajaan negeri dan agensi terlibat.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri juga telah mengambil langkah proaktif bagi menangani isu perumahan antaranya dengan memperkasa Dasar Perumahan Negeri (DPN) yang menetapkan kuota 40 peratus untuk pembangunan rumah mampu milik bagi perumahan baharu.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pemaju perumahan yang gagal membina unit rumah mampu milik walaupun telah mendapat kebenaran merancang.

"Beberapa syarikat pemaju perumahan sudah bersetuju membina rumah mampu milik antaranya JCorp akan membinan 3,600 unit rumah di beberapa kawasan dikenal pasti di sini, UEM Sunrise juga akan membina 10,000 unit di Nusajaya," katanya.

RM10j bina kawasan rekreasi, kolam mandi

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

LEDANG 3 Sept. - Kawasan rekreasi dan kolam mandi baharu akan dibina di Taman Hutan Lagenda di sini, dengan kos lebih RM10 juta bagi menambah kemudahan menarik lebih ramai pengunjung ke destinasi pelancongan tersebut.

Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), Suhairi Hashim berkata, kelulusan melakukan kerja-kerja berkenaan di kawasan kaki Gunung Ledang itu telah diperoleh dan diharap dapat dimulakan awal tahun depan.

"Kerja-kerja ini akan dilakukan dengan berhati-hati bagi memastikan alam semula jadi di kawasan sekitarnya tidak terjejas atau mengalami kerosakan. Projek ini sudah dirancang sejak 2009 tetapi terpaksa ditangguhkan sebelum ini.

"Kita hadkan pembangunan di Taman Hutan Lagenda. Sebarang bentuk pembangunan di Gunung Ledang akan dilakukan pada tahap minimum," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Seminar Ekspedisi Saintifik 2013 di taman berkenaan, dekat sini hari ini.

Seminar tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat.

Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Prof. Dr. Ir. Abdul Rahman Omar.

Turut dilancarkan dalam majlis itu ialah tiga buah buku hasil kajian dan penyelidikan saintifik UiTM Shah Alam dan PTNJ di Taman Hutan Lagenda bertajuk 'Gunung Ledang: An Expose of Biodiversity', 'Gunung Ledang: Geology, Biodiversity and Socio-enonomic Environment' dan 'A Photographic Tribute To The Wild Orchids of Johor National Parks'.

Dalam majlis itu, turut ditandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UiTM Shah Alam yang diwakili Reaktor UiTM Johor, Dr. Omar Samat dan pihak kerajaan negeri diwakili Ayub bertujuan meneruskan kerjasama yang dipelopori sebelum ini.

Suhairi berkata, dengan adanya kawasan rekreasi dan kolam mandi buatan itu akan mempelbagai kemudahan selepas pihaknya menaik taraf jalan utama dari pekan Sagil ke pintu masuk Taman Hutan Lagenda yang siap Februari tahun lalu.

Beliau berkata, perbelanjaan untuk membina jalan tersebut kira-kira RM3 juta termasuk kos pengambilan tanah penduduk dan laluan itu kini terbukti meningkatkan lagi imej kawasan itu.

Sementara itu, Ayub menyatakan sokongan penuh kerajaan negeri terhadap kerjasama dan sebarang usaha membangunkan bidang kajian dan penyelidikan di negeri ini.

"Hal ini selaras dengan matlamat penubuhan PTNJ dalam meneraju bidang pembangunan di Johor khasnya dan melalui usaha ini dapat memartabatkan nama negara di mata dunia setanding dengan negara-negara lain.

"Saya berharap PTNJ akan terus meningkatkan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk terus meneroka kekayaan khazanah dan kepelbagaian biologi yang kita miliki di negeri ini supaya dapat dimanfaatkan bersama," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Skirt kasual, santai

Posted: 03 Sep 2013 10:30 PM PDT

Anggun dan sofistikated dengan skirt bercorak dan baju putih ringkas.

GAYA terbaharu selepas musim perayaan daripada Kree menampilkan beberapa potongan skirt labuh seperti skirt kembang, skirt potongan duyung dan skirt potongan A.

Dibuat labuh hingga menutupi buku lali, skirt potongan sebegini kembali diminati kembali kerana gayanya yang ringkas, kemas namun menarik.

Menggunakan fabrik syifon, krep serta gabungan kulit hitam, ilham skirt ini menurut Afiq diperoleh daripada pelanggan-pelanggan setia mereka.

Skirt yang mudah disuai padan dengan blaus, kebaya atau baby-t mudah dijual dan menarik perhatian ramai.

Boleh dipakai ke pejabat, bersiar-siar, membeli-belah atau ke majlis tidak formal mahupun formal (mengikut jenis fabrik), pelanggan dikatakan lebih menyukai warna-warna asas seperti hitam, putih, kelabu dan coklat.

Namun demikian, kata Afiq, warna-warna terang seperti hijau dan merah tetap boleh diperoleh bagi mereka yang gemar dengan warna-warna terang dan ceria.

Selain skirt polos tidak bercorak, turut dihasilkan ialah skirt yang dibuat daripada fabrik bercorak abstrak.

Cantik digayakan bersama kasut bertumit tinggi, rekaan skirt Kree nampak elegan dipakai oleh wanita yang berpotongan lampai.

Tambahkan sedikit aksesori ringkas dan dandanan rambut yang kemas, pastinya penampilan akan nampak elegan dan sofistikated. - MERAN ABU BAKAR

Ratu kain kapas

Posted: 03 Sep 2013 10:30 PM PDT

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar MOHD. NAIM AZIZ

Selain kain, Rofidah turut menjual pakaian seperti jubah kain kapas bermanik.

GILA' melihat susunan kain kapas penuh sebilik. Memasuki bilik yang dibuat di ruang tambahan rumahnya seakan-akan berada di sebuah kedai kain.

Bermacam-macam corak dan warna kain kapas terdapat di situ sehingga bagi orang yang hendak membeli, tidak tahu mana yang hendak dipilih. Boleh rambang mata dibuatnya.

Senario kedai kain kapas ini boleh dilihat di rumah Rofidah Ismail yang terletak di Kampung Tunku, Petaling Jaya, Selangor.

Rumah banglo setingkat itu terpaksa ditambah ruang khas bagi menyimpan kain dan menjadi tempat pelanggan datang untuk membeli.

Menurut Rofidah, 45, tujuh tahun dahulu sebelum memulakan perniagaan kain kapas Anggun Eksotika, dia tidak pernah menganggap kain kapas sebagai kain yang cantik, selesa dipakai dan mempunyai ramai penggemar.

''Dahulu saya tidak tahu bahawa kain kapas ini ada pasaran dan penggemarnya. Saya menganggap kain kapas seperti kain buruk. Bagi saya kain yang cantik adalah seperti sutera, krep, syifon atau satin.

''Tetapi apabila saya mula menjual kain kapas, ternyata ramai yang menyukai. Setiap kali saya membawa pulang kain kapas dari India, berebut-rebut yang hendak membelinya dan sekejap sahaja sudah habis,'' kata Rofidah yang dahulunya bertugas sebagai pembantu peribadi di sebuah syarikat swasta, semasa ditemui baru-baru ini.

Tambah ibu kepada empat orang anak itu, ketika mula berniaga, dia melakukannya secara kecil-kecilan dengan berkongsi bersama empat orang kawan dengan modal setiap seorang sebanyak RM3,000.

Rofidah langsung tidak mempunyai pengalaman ke luar negara atau membeli barang secara borong tetapi terpaksa melakukannya juga apabila disuruh oleh kawan untuk membeli kain di India.

Jelas Rofidah, niatnya ketika itu hanya satu, iaitu untuk mencari rezeki dan membantu suami.

Ketika itu dia juga telah berhenti kerja kerana masalah pembantu rumah dan ketiadaan orang untuk menjaga anak.

''Saya beranikan diri ke India dan dapat membawa balik 50 pasang kain kapas. Sekejap sahaja kain-kain tersebut habis dijual dan banyak lagi permintaan.

''Suami bersuara juga tetapi saya tidak berputus asa. Saya tidak mahu berhenti. Tiga rakan kongsi pula menarik diri kerana suami tidak mengizinkan.

"Untuk meredakan keadaan, saya berhenti sekejap tetapi kemudian saya kuatkan semangat untuk teruskan juga.

''Tiga bulan kemudian saya pergi lagi ke India. Pernah saya pergi ke India seorang diri tanpa ditemani sesiapa,'' ujarnya.

Rofidah menambah, antara tempat yang dikunjunginya untuk membeli kain ialah di Delhi, Mumbai, Gujerat, Ahmedabad dan Amritsar.

Kain-kain kapas di bandar-bandar itu memang cantik dan dikunjungi oleh peniaga-peniaga kain dari seluruh dunia.

Selain kain kapas, jenis-jenis kain yang dibawanya ialah syifon, krep, jojet dan sutera yang memang dibuat di India menggunakan bahan semula jadi, berkualiti tinggi dan mendapat pasaran di Eropah.

Menurut Rofidah, dia hanya membeli lima potong kain sepanjang empat meter sahaja untuk satu corak.

Ini supaya pelanggannya hanya mendapat corak yang eksklusif dan tidak ramai yang memakai.

Jelasnya, dia amat cerewet dalam memilih corak dan hanya mengambil corak yang disukai oleh pelanggan.

Pada masa kini corak yang menjadi kegemaran ialah paisley, geometrikal dan abstrak. Corak bunga sudah mulai kurang diminati.

Setiap pasang kain dijual pada harga di antara RM80 sehingga RM250. Selain kain ela, turut dijual jubah kain kapas India yang dijahit manik pada harga RM250 sepasang, baju kurung dan blaus.

Pergi ke India bersendirian baginya sekarang sudah menjadi perkara biasa kerana kini sudah mempunyai peniaga di India yang menjadi sahabat baik dan keluarga angkat dan mereka menjaganya dengan baik semasa berada di sana.

Suami pula kata Rofidah, sudah merestui minatnya setelah melihat kesungguhan dirinya berniaga dan menjaga anak-anak semasa ketiadaannya.

''Saya benar-benar bersyukur kerana daripada permulaan berniaga 50 helai kain kini saya boleh membuat ubahsuai keseluruhan rumah hasil daripada berniaga kain kapas,'' katanya.

Bagi warna pula, kata Rofidah, terdapat dua kategori warna yang disukai oleh pelanggan iaitu warna lembut dan terang.

''Golongan muda lebih suka kepada warna lembut sementara golongan berusia pula sukakan warna-warna terang.

''Kebiasaannya pelanggan saya terdiri daripada mereka yang berusia 30 tahun ke atas. Jubah kain kapas yang saya jual sesuai untuk wanita yang mahu ke pejabat, ke majlis atau ke masjid kerana longgar, cantik dan dihiasi oleh manik yang tidak terlalu banyak.

''Selain pelanggan boleh datang ke rumah saya untuk membeli, saya turut mempelawa mereka yang ingin berniaga untuk mendapatkan kain dan pakaian siap daripada saya.

"Saya juga sanggup ke pejabat atau rumah pelanggan yang ingin melihat dan membeli,'' tambah Rofidah yang juga merupakan mentor usahawan New Skills Training Centre (NSTC), yang terletak di Jalan Abdullah, Kampung Baru, Kuala Lumpur dan menyediakan pelbagai kursus dalam bidang kemahiran.

Sementara itu, bagi membantu wanita lain, dia bersama rakannya turut menyediakan kursus andaman dan solekan lengkap merangkumi latihan teori dan praktikal.

Katanya, kursus tersebut biasanya akan diadakan pada hujung minggu namun boleh juga pada bila-bila masa mengikut kesesuaian peserta.

''Setiap peserta akan diberikan sebuah beg solekan yang berisi sebanyak 40 item alat solekan, nota dan sijil pendaftaran. Bayaran yang dikenakan amat berpatutan,'' kata Rofidah yang boleh dihubungi di talian 016-6654204.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Sasar bina 5,000 rumah murah

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
utusanmelaka@utusan.com.my

Ismail Othman (tiga dari kiri) dan Zainuddin Md. Alip (dua dari kiri) mendengar penerangan seorang pegawai bomba selepas perasmian majlis Pembinaan Semula Rumah Terbakar di Ayer Salak, Bukit Rambai, Melaka, kelmarin.

MELAKA 3 Sept. - Kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurangnya 5,000 unit rumah kos rendah akan dibina di negeri ini bagi tempoh lima tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman berkata, sasaran itu dibuat bagi membolehkan rakyat di negeri ini memiliki kediaman sendiri yang mampu milik.

Menurutnya, tahun ini kerajaan negeri menyasarkan pembinaan sebanyak 1,300 unit rumah kos rendah di sekitar negeri ini.

"Bagi saya, rumah kos tinggi ini lebih banyak tertumpu pada golongan yang berpendapatan tinggi dan kita kini mahu cuba fokuskan pembinaan rumah-rumah yang harganya RM150,000 ke bawah.

"Kita juga menggalakkan mana-mana mereka yang mempunyai tanah sendiri untuk memohon kepada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk dibina Rumah Mesra Rakyat (RMR)," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Pembinaan Semula Rumah Terbakar di Kampung Baru Ayer Salak, Bukit Rambai di sini semalam.

Menurutnya, kerajaan akan cuba berbincang dan meminta agar permohonan yang dibuat dapat disusun semula agar kerja-kerja pembinaan dapat disiapkan dengan kadar segera.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Zainuddin Md. Alip.

Ismail dalam pada itu menasihatkan pemilik rumah yang mempunyai kediaman melebihi 15 tahun agar membuat pendawaian semula bagi mengelakkan risiko kebakaran.

Katanya, rumah-rumah di desa berhadapan risiko besar kerana kebanyakannya dibina daripada papan dan kayu.

"Pendawaian yang lebih daripada 15 tahun amat berbahaya kerana telah lama dan akan menyebabkan pemanasan dan apabila penebatan tidak mampu menampung beban, risiko kebakaran akan berlaku," katanya.

Saksi kekejaman komunis di Muzium Negeri

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

Pengunjung menyaksikan pameran kekejaman pengganas komunis di Muzium Negeri, Seremban, semalam.

SEREMBAN 3 Sept. - Orang ramai berpeluang menyaksikan Pameran Kekejaman Komunis di Muzium Negeri dekat sini sempena sambutan Bulan Kemerdekaan Negara Ke-56.

Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Drs. Shamsuddin Ahmad berkata, pameran itu berlangsung sehingga hujung bulan ini yang antara lain bertujuan mempertontonkan kepada pengunjung era kekejaman komunis di Tanah Melayu.

"Pameran yang bersifat naratif ini menceritakan betapa tebalnya semangat dan azam pengganas komunis untuk mewujudkan perang saraf dalam kalangan rakyat meskipun mereka berjaya dilemahkan.

"Pengunjung dapat melihat betapa sengsara kehidupan rakyat sewaktu komunis mengganas, rusuhan, pembunuhan orang awam dan perbalahan kaum hingga tercetusnya darurat di Tanah Melayu," katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di sini hari ini.

Tambah Shamsuddin, pameran ini diharapkan dapat memberi peluang kepada pengunjung untuk menghayati dan menghargai jasa serta pengorbanan pejuang dalam mencapai kemerdekaan negara.

Jelasnya, insiden berdarah pengganas komunis seharusnya dijadikan iktibar untuk rakyat negara ini agar sentiasa menjaga keamanan negara.

"Generasi yang hidup selepas merdeka ini perlu sedar kisah lampau yang menuntut banyak pengorbanan jiwa dan raga. Hari ini, kita hidup aman atas pengorbanan tentera dan individu, serta pejuang lampau.

"Jangan kita lupa jasa mereka terutama rakyat jelata yang hidup dalam zaman komunis dan penjajah, ketua kampung, polis, tentera, kaum wanita dan ramai lagi yang sama-sama mempertahankan negara ini," tegasnya.

Pameran Kekejaman Komunis itu dibuka setiap hari bermula dari 10 pagi sehingga 6 petang dan masuk adalah percuma.

USIM terima 2,444 pelajar baharu

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my

Pelajar baharu ketika hadir membuat pendaftaran di Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Seremban, Negeri Sembilan, kelmarin.

SEREMBAN 3 Sept. - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai dekat sini, menerima seramai 23,483 permohonan tahun ini mengatasi unjuran pelajar iaitu 2,553 tempat sahaja.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail (gambar) berkata, bagi sesi kemasukan kali ini, USIM menerima kemasukan pelajar tertinggi sejak ditubuhkan iaitu seramai 2,444 orang.

Katanya, perkembangan itu menunjukkan USIM semakin dikenali dan menjadi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pilihan pertama pelajar untuk menyambung pengajian mereka.

"Dalam hal ini, promosi dan penjenamaan USIM yang merupakan satu-satunya IPTA yang menawarkan sistem pengajian yang mengintegrasikan ilmu naqli dan aqli dalam silibus akademiknya kepada masyarakat telah berjaya memberi impak yang besar," katanya di sini hari ini.

Tambahnya, kemasukan penuntut antarabangsa juga amat baik iaitu sebanyak 95 orang tahun ini.

"Antaranya dari Afghanistan, Libya, Jordan, Nigeria, Indonesia, Thailand, Brunei dan Singapura. Kesemua mereka sedang mengikuti Minggu Taaruf yang dikendalikan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar," ujarnya.

Sesi pendaftaran pelajar baharu Sarjana Muda sesi akademik 2013/2014 USIM di Stadium Tertutup Nilai dekat sini, berjalan lancar dengan kaunter pendaftaran dibanjiri pelajar dan ibu bapa masing-masing sejak awal pagi semalam.

"USIM menawarkan 26 pilihan program pengajian di peringkat Sarjana Muda melalui lapan buah fakultinya antaranya Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU).

"Fakulti lain ialah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) yang mana kesemua ini telah membuka peluang pendidikan tinggi yang luas buat pelajar lepasan aliran sekolah agama di negara ini," ujarnya.

Antara program pengajian yang menerima kemasukan tertinggi adalah Sarjana Muda Komunikasi (102 pelajar), Sarjana Muda Sains Bioteknologi Makanan (100), Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi (217), Sarjana Muda Pengajian Quran dan Multimedia (231), Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa (317) dan Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat (116).

Dalam lawatan semalam, Asma sempat meninjau suasana pendaftaran serta turut mengambil kesempatan melawat kaunter khas yang diwujudkan bagi melicinkan proses pendaftaran selain beramah mesra dengan pelajar dan ibu bapa.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Datuk Dr. Mohamed Asin Dollah dan Pendaftar, Muhammad Haizuan Rozali.

Antara pengisian menarik sepanjang Minggu Taaruf ini termasuk Eksplorasi USIM, taklimat kokurikulum, motivasi, dialog kemerdekaan dan Majlis Amanat serta Lafaz Ikrar bersama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan esok.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Karya sastera wajar dimartabatkan

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

MUKHRIZ Mahathir mendeklamasi puisi sambil diiringi petikan gitar Ramli Sarip sempena Malam Puisi dan Lagu Bulan Kemerdekaan di Alor Setar, malam semalam.

ALOR SETAR 3 Sept. - Hasil karya sastera sebagai cabang budaya wajar dimartabat secara kolektif untuk menjadi sebahagian pengisian bulan kemerdekaan di negara ini serta menjadi pemangkin menyemai semangat cintakan negara.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, oleh itu usaha komprehensif dan inovatif perlu dilakukan bagi melahirkan generasi muda yang kreatif supaya dapat meneruskan legasi pembinaan masyarakat melalui puisi.

"Puisi seharusnya menjadi cerminan keperibadian masyarakat negeri Kedah yang berbudaya luhur kerana tema yang dizahirkan penyair berbeza antara satu sama lain, namun persoalan manusia sejagat, permasalahan sosial dan perkembangan politik dapat digarap dan dihayati bersama.

"Setiap penyair yang memasuki dunia kreatif menuju destinasi yang sama tetapi menggunakan kaedah berbeza. Apabila puisi dan lagu bersatu, keharmoniannya dapat kita rasai dalam getaran jiwa yang memberi rangsangan kepada sebuah masyarakat madani," katanya.

Beliau berucap dalam majlis Malam Puisi dan Lagu Bulan Kemerdekaan di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah di Pumpong, di sini malam tadi.

Dalam majlis itu, Mukhriz turut menunjukkan bakat berpuisi dengan mendeklamasikan puisi bertajuk Kedah Aman Makmur nukilan Abdul Mutalib Abdul Rahman sambil diiringi petikan gitar oleh Ramli Sarip.

Selain Mukhriz, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri, Aminuddin Omar turut mendeklamasi puisi.

Turut mendeklamasikan puisi ialah Puzi Hadi, Azmi Ismail, Suliha Yusuf, Khalid Salleh dan penonton turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada Ramli Sarip dan kumpulan Kopratasa.

Menurut Mukhriz, program yang dianjurkan JKKN itu dilihat berupaya memberi nilai tambah terhadap kemeriahan bulan kemerdekaan melalui aktiviti seni dan budaya.

"Program pembudayaan bahasa melalui puisi taktala seluruh negara meraikan bulan kemerdekaan adalah langkah yang dianggap bertepatan.

"Malam ini satu lagi sejarah akan dirakam lantaran puisi sebagai artifak budaya yang tidak ternilai harganya memberi kefahaman bagaimana tamadun masyarakat berkembang," ujarnya.

4,000 mahasiswa sertai UUM

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

Prof. Madya Dr. Malek Abdul Karim (dua dari kiri) berkata sesuatu kepada penuntut baharu yang mendaftar di kampus UUM dekat Kubang Pasu, semalam. - Gambar Ihsan UUM

KUBANG PASU 3 Sept. - Seramai 4,000 orang mendaftar sebagai penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi kemasukan sesi pertama 2013/2014 dengan 90 peratus daripadanya mendapat keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) sekurang-kurangnya 3.00.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Abdul Malek Abdul Karim berkata, kemasukan bagi sesi tersebut turut mencatatkan peningkatan daripada segi permohonan berkualiti.

"Permohonan berkualiti yang diterima daripada calon-calon mahasiswa dengan PNGK 3.00 menunjukkan peningkatan daripada 78 peratus kepada 90 peratus berbanding permohonan kemasukan sebelumnya.

"Hal ini adalah hasil daripada usaha yang dilakukan pihak universiti termasuklah meningkatkan mutu program-program pengajian yang ditawarkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Malek berkata, bagi pengambilan kali ini lebih 3,000 mahasiswa akan mengikuti pengajian di peringkat ijazah pertama melibatkan 39 program pengajian manakala hampir 1,000 di peringkat pasca siswazah.

Katanya, sebanyak 700 penuntut antarabangsa yang mendaftar masuk terdiri daripada 38 negara antaranya Indonesia, Thailand, China, Libya, Somalia dan Tanzania.

"Bilangan ini akan berubah dari semasa ke semasa kerana sesi pendaftaran masih berlangsung. Jadi, kita jangka lebih ramai penuntut khususnya penuntut antarabangsa akan mendaftar masuk ke UUM dalam tempoh terdekat," katanya.

Tiga program pengajian yang mendapat permintaan tinggi adalah Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian), Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian).

"Selain itu, dua program baharu turut ditawarkan kali ini iaitu Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif (Kepujian) dan Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan (Kepujian)," jelasnya.

KUIPs terima lima tawaran Kuwait University

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

KANGAR 3 Sept. - Kuwait University menyediakan lima tawaran awal, termasuk biasiswa kepada mahasiswa Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) untuk melanjutkan pelajaran ke Kuwait City, mulai 2014.

Rektor KUIPs, Dr. Mohd. Mizan Mohamad Aslam berkata, tawaran itu dinyatakan sendiri oleh Presiden Kuwait University, Abdullah A. Al-Bader dalam pertemuan di ibu negara Kuwait baru-baru ini.

Dalam pertemuan itu katanya, Naib Presiden Kebajikan Pendidikan Kuwait University, Firyal Bou-Rabee turut memberikan butiran lanjut berhubung kelima-lima tawaran berkenaan.

"Tawaran itu turut diperincikan oleh Abdullah A. Al-Bader dan Firyal Bou-Rabee kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang memimpin Misi Pendidikan Islam ke Asia Barat, baru-baru ini," ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini.

Rektor KUIPs memberitahu, tawaran pertama yang disediakan oleh Kuwait University ialah kuota khas buat mahasiswa KUIPs untuk melanjutkan pengajian ke universiti itu mulai tahun depan.

"Tawaran kedua pula, mana-mana mahasiswa KUIPs yang melanjutkan pelajaran ke Kuwait University akan memperolehi biasiswa universiti itu sendiri jika belum mendapat mana-mana biasiswa.

"Tawaran ketiga pula, universiti berkenaan turut menyediakan pengajian lanjutan peringkat ijazah tinggi iaitu sarjana dan doktor falsafah kepada mahasiswa KUIPs," ujarnya.

Menyentuh tawaran keempat pula, Mohd. Mizan juga menyatakan, University Kuwait akan menghantar mahasiswanya melanjutkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang perbankan, kewangan dan pelaburan Islam dalam suasana ketimuran di KUIPs yang berpusat di sini.

Selain itu, katanya, Kuwait University dan KUIPs juga akan meneroka pelbagai bidang pengajian baharu di mana sarjana dari Timur akan mengkaji dan membuat penyelidikan berkaitan Barat.

Baru-baru ini, Mohd. Mizan berada di Asia Barat, termasuk Arab Saudi, Kuwait, Bahrain, Qatar dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) selama tujuh hari bagi mempromosikan KUIPs sempena Misi Pendidikan Islam.

Turut serta dalam misi berkenaan ialah Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) yang diketuai oleh Presiden AUCMS, Datuk Dr. Zainuddin Wazir dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pimpinan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin.

Semasa di UAE, Rektor KUIPs turut mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Al-Mashreq Bank, Abdullah Ahmad Al-Ghurair dan Timbalan Pengerusi Al-Mashreq Bank, Essa A. Al-Ghurair di Wisma Al-Ghurair di Dubai.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Pengguna pas One Asia nikmati banyak imbuhan

Posted: 04 Sep 2013 01:45 AM PDT

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Pengunjung ke lapan bandar raya Asia, termasuk Kuala Lumpur akan berpeluang menikmati pelbagai imbuhan seperti diskaun, hadiah dan kemudahan lain melalui program 'One Asia Pass' yang dilancarkan hari ini.

Lapan bandar raya berkenaan adalah anggota Majlis Penggalakan Pelancongan Asia (CPTA). Selain Kuala Lumpur, CPTA turut dianggotai Seoul, Tokyo, Hanoi, Bangkok, Jakarta, Taipei dan Delhi.

Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusup berkata, melalui penggunaan pas itu, pelancong yang berkunjung ke bandar raya berkenaan akan menikmati pelbagai tawaran promosi istimewa daripada penyedia produk dan perkhidmatan pelancongan.

"Ini termasuk diskaun bagi produk tarikan pelancongan dan diskaun beli-belah serta menikmati hidangan dan hadiah apabila membuat pembelian," katanya kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif itu di sini hari ini.

Beliau berkata, program itu adalah sebahagian daripada kempen 'Welcome to Asia', yang bertujuan meningkatkan jualan dan menggalakkan pelancong tinggal lebih lama di bandar raya yang menganggotai CPTA.

Salleh berkata, usaha itu diharap dapat menarik lebih ramai warga Barat melawat rantau ini, di samping menggalakkan kegiatan melancong dalam kalangan penduduk Asia.

Katanya program ini berpotensi meningkatkan jumlah ketibaan pelancong dari luar Asia ke Malaysia bagi menjana pertumbuhan ekonomi melalui sektor pelancongan.

Mereka yang ingin menikmati manfaat daripada One Asia Pass dan mendapatkan maklumat lanjut mengenainya, boleh melayari www.welcometoasia.jp. - BERNAMA

Tindakan bawa pulang pelajar tak jejas hubungan - Duta Mesir

Posted: 04 Sep 2013 01:43 AM PDT

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Walaupun Malaysia mengambil keputusan membawa pulang pelajarnya dari pelbagai universiti di Mesir berikutan perkembangan yang berlaku di negara itu, hubungan dua hala antara kedua-dua negara dalam bidang pendidikan akan terus kukuh dan berkekalan, kata Duta Mesir ke Malaysia, Mohamed Saad Ebeid.

Ebeid berkata, beliau faham bahawa Malaysia berbuat demikian semata-mata kerana bimbang tentang keselamatan pelajarnya di Mesir.

Ketika berkongsi pandangannya dengan Bernama, duta itu berkata, walaupun tiada keperluan bagi kerajaan Malaysia untuk berbuat demikian, namun ia mungkin dilakukan sebagai respons terhadap sikap ibu bapa yang semakin bimbang tentang keselamatan anak mereka yang belajar jauh di perantauan.

Ebeid menegaskan, pelajar Malaysia tidak terdedah kepada sebarang risiko di Mesir dan setakat ini tidak terdapat sebarang kejadian melibatkan pelajar Malaysia atau negara lain, tetapi media sering menokok tambah tentang sesuatu keadaan.

"Apabila media melaporkan tentang demonstrasi yang berlaku di sesuatu kejiranan atau jalan raya, wujudlah tanggapan bahawa satu bencana besar telah berlaku," katanya sambil menambah bahawa kadangkala, perkara yang ditokok tambah tentang sesuatu kejadian melalui media menyebabkan tersebarnya maklumat yang berbeza dengan keadaan sebenar.

Pada 20 Ogos, kerajaan Malaysia melancarkan operasi dikenali sebagai Op Piramid II untuk membawa pulang pelajarnya dengan menggunakan penerbangan komersial apabila krisis di Mesir menjadi semakin buruk.

Sebanyak 2,796 rakyat Malaysia pulang ke tanah air melalui operasi itu, yang berakhir pada 28 Ogos.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab, dilaporkan berkata mereka adalah antara 3,379 rakyat Malaysia yang berdaftar di Mesir setakat 15 Ogos. Sebanyak 583 yang lain membuat keputusan untuk terus berada di Mesir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula dilaporkan berkata, keselamatan pelajar Malaysia di Mesir menjadi keutamaan kerajaan dan oleh itu mereka perlu dibawa pulang dengan segera ke tanah air sebelum keadaan menjadi semakin buruk.

Merujuk kepada hubungan Malaysia-Mesir, Ebeid berkata hubungan sedia ada mencerminkan wujudnya prospek lebih meluas berasaskan hubungan sejarah yang terjalin antara kedua-dua negara dan hakikat bahawa selama ini, kedua-dua pihak sering mengadakan perundingan dan penyelarasan berhubung pelbagai portfolio antarabangsa.

Katanya, selain dalam bidang pendidikan, Malaysia dan Mesir juga mempunyai hubungan kukuh dalam bidang budaya, pelaburan dan perdagangan, dengan pertukaran perdagangan antara kedua-dua negara bernilai kira-kira US$500 juta (RM1.6 bilion).

Hampir 1,000 orang terbunuh dalam pertempuran antara pasukan keselamatan dan penyokong Mohamed Morsi yang digulingkan daripada jawatan presiden sejak 14 Ogos apabila tentera bertindak menyuraikan kumpulan penyokong dan penentang Morsi di Kaherah, yang menyebabkan beratus orang terbunuh serta mencetuskan keganasan.

Ketegangan antara kedua-dua kumpulan memuncak berikutan penggulingan Morsi pada 3 Julai selepas berjuta-juta rakyat Mesir mengadakan bantahan bagi mendesak presiden itu berundur dan menuduhnya menyalahguna kuasa.

Penyokong Morsi bertindak balas dengan mengadakan demonstrasi untuk menuntut beliau dikekalkan sebagai presiden. - BERNAMA

8,500 pengguna di Lembah Klang masih alami gangguan air

Posted: 04 Sep 2013 12:54 AM PDT

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Situasi bekalan air di Lembah Klang yang terjejas berikutan pencemaran di Sungai Selangor, hampir pulih sepenuhnya dengan hanya sekitar 8,500 pengguna masih mengalami gangguan bekalan air setakat pukul 9 pagi ini.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam satu kenyataan berkata, kawasan yang masih terjejas ialah Seksyen 22, Seksyen 25, Seksyen 26, Seksyen 27, Seksyen 29, Kampung Baru Hicom dan Subang Mas di Klang dan Shah Alam yang meliputi 3,470 pengguna.

Sekitar 4,961 pengguna di Kampung Ampang Campuran, Kampung Tasek Permai dan Taman Tasek Tambahan di Gombak juga masih mengalami masalah bekalan air.

Berikutan dari tahap pemulihan bekalan air itu, Syabas telah menurunkan tahap Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Kuning bagi wilayah Klang/Shah Alam dan Gombak kepada ERP Kod Hijau.

ERP Kod Kuning bagi wilayah Petaling dan Kuala Lumpur juga ditamatkan pada pukul 9 pagi ini.

"Walau bagaimanapun, pihak Syabas akan terus memantau dan mengedalirus pemulihan bekalan air serta pengagihan bantuan bekalan air kepada pengguna yang masih terjejas dan akan terus memaklumkan dari semasa ke semasa berhubung status pemulihan bekalan air di kawasan yang terlibat sekiranya perlu," tambah kenyataan itu.

Katanya, sehinga kini, sebanyak 43 lori tangki telah melakukan 669 trip penghantaran bekalan air ke kawasan pengguna yang terlibat, manakala sejumlah 66 buah tangki air statik juga diletakkan di lokasi yang strategik di wilayah tersebut. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Polis akan 'lebih bertaring'

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Nama ketua kongsi gelap didedah

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Sasar golongan pertengahan

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved