Selasa, 3 September 2013

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


PSM kena tempelak lagi

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR - ''Sampai bila kita hendak guna alasan bila kalah, kita hendak meminta duit yang lebih lagi, " demikian teguran pedas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

Khairy menegaskan, tindakan menyekat bantuan kepada badan sepaktakraw kebangsaan itu bukan satu tindakan kejam, sebaliknya beliau hanya mahu ketelusan.

Tindakan menyekat peruntukan kewangan itu dibuat selepas skuad sepak takraw mendapat aib di tangan Korea Selatan pada perlawanan akhir Siri Super ISTAF, Ahad lalu.

Kata-kata Khairy itu juga jelas sebagai satu peringatan kepada PSM yang sebelum ini difahamkan turut mahu memohon peruntukan RM8.8 juta daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bulan lalu melalui Presidennya, Datuk Ahmad Ismail.

Jelasnya lagi, PSM perlu bersikap telus dengan menjelaskan ke mana semua wang dibelanjakan selama ini untuk pembangunan sepaktakraw negara tetapi hasilnya tetap begitu serta tidak setimpal dengan sejumlah pelaburan yang telah dikeluarkan selama ini.

''Saya faham mungkin kita mempunyai pelbagai pandangan apabila saya membuat keputusan sebegini tetapi kita kena ada ketelusan, dalam soal ini saya tidak nampak itu pada PSM, perancangan mereka perlu jelas dengan apa yang mereka belanjakan selama ini.

''Para pemain telah dibantu sebelum kejohanan untuk berlatih di Thailand tetapi tidak nampak hasilnya dan saya sendiri tidak tahu apa bentuk latihan yang mereka lakukan semasa di sana.

''Saya akan menunggu laporan yang dikemukakan secara keseluruhan kerana keputusan yang diharapkan nampaknya tidak setimpal berbanding pelaburan, jadi amat wajar kami membuat keputusan sedemikian.

''Mereka perlu ingat sukan sepaktakraw sentiasa mempunyai tempat di hati rakyat kerana ini merupakan sukan asal dari negara kita, " tegas Khairy pada sidang akhbar mesyuarat ahli jawatankuasa tertinggi Sukan Malaysia di Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

Khairy pada Isnin lalu membuat keputusan drastik untuk menyekat peruntukkan kepada PSM sambil menyifatkan kekalahan kepada Korea sebagai satu perkara yang tidak masuk akal.

Tambah Khairy, apa yang beliau lakukan bukan satu tindakan tergesa-gesa, sebaliknya memang wajar kerana setiap persatuan wajar bertanggungjawab dengan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan.

''Ini bukan kita mahu menghukum tetapi satu langkah drastik bagi memastikan ada nilai ketelusan daripada semua persatuan sukan di mana semua wang itu dibelanjakan.

''Buat pemain, jangan bimbang, kebajikan mereka tetap akan dijaga cuma kami mahu mengkaji semula peruntukan yang diberikan kepada PSM selama ini.

''Saya sendiri akan tulis surat kepada PSM dan menerangkan tindakan yang saya ambil, ini bukan satu tindakan kejam..harap semua pihak faham, " katanya lagi.

Barulah namanya profesional

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

PETALING JAYA - Selepas menerima banyak kritikan dan kecaman terhadap mutu pengadilan liga tempatan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka memasuki satu fasa baharu dalam usaha 'memprofesionalkan' sepenuhnya Liga Malaysia dengan bakal melantik 10 pengadil profesional untuk mengendalikan perlawanan musim depan.

Buat permulaan, semua pengadil tersebut hanya akan mengendalikan perlawanan melibatkan Liga Super, sebelum ia dikembangkan kepada pertandingan lain.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, isu pengadil profesional telah dibahaskan oleh Jawatankuasa Pengadilan dan Mesyuarat Jawatankuasa Pertama Setiausaha Ahli Gabungan FAM semalam, di mana ia mendapat reaksi positif.

Begitupun perkara itu perlu diperhalusi sedalam-dalamnya sebelum dilaksanakan, tahun depan.

"Kita mahu wujudkan satu kumpulan kecil terlebih dahulu, mungkin melibatkan 10 pengadil profesional untuk mengadili perlawanan Liga Super musim depan dan selepas itu bilangan mereka akan bertambah.

"Perkara itu bagaimanapun melibatkan kos dan kursus tambahan. Ia umpama pemain bola sepak profesional, di mana gaji mereka akan dibayar oleh FAM," katanya pada sidang media selepas mesyuarat tersebut semalam.

Jelasnya, ketika ini Jawatankuasa Pengadilan sedang membuat struktur dengan mendapatkan pandangan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), negara-negara jiran serta Liga J (Jepun).

"Dalam tempoh sebulan kita akan mendapat strukturnya dan sekarang ini kita masih melakukan beberapa kajian, termasuk melihat negara yang telah menggunakan pengadil profesional. Kita bukan hendak melantik semua, cuma dalam perkara ini FAM tidak boleh hanya duduk statik sahaja, kami memerlukan idea selepas penyokong dan pasukan telah menyatakan beberapa kelemahan pengadil kebelakangan ini.

"Zaman berubah kita perlu berubah, kita perlu mempunyai pilihan untuk perkara ini, jadi kita lantik 10 pengadil profesional terlebih dahulu. Jika tidak sesuai kita tengok pilihan lain pula selain kursus serta latihan yang lebih kerap. Idea ini adalah untuk memastikan kesilapan daripada corak pengadilan minimum," katanya.

Jumaat lalu Presiden Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyuarakan kesanggupan beliau untuk membelanjakan wang sendiri bagi membayar khidmat pengadil profesional yang mengadili perlawanan Liga Malaysia (Liga M) seandainya FAM tidak mampu membiayai gaji mereka.

Hamidin turut menjelaskan bahawa pengumuman pengadil dalam tempoh tiga hingga lima hari lebih awal sebelum sesuatu perlawanan adalah perkara yang tidak boleh dielakkan, meskipun mengakui ada risiko seseorang pegawai perlawanan itu dihampiri bookie

"Suka atau tidak, seseorang pengadil akan dilantik beberapa hari lebih awal. Kita kena ingat mereka datangnya daripada pelbagai latar belakang pekerjaan lain seperti guru, polis, malahan ada yang datang jauh dari Sabah dan Sarawak, jadi mereka perlu memohon cuti masing-masing. Kita juga perlu uruskan penerbangan mereka dan sebagainya.

"Bagaimanapun, jawatankuasa pengadil sentiasa memantau dan memastikan bahawa pelantikan pengadil adalah telus."

Sementara itu, Mesyuarat Jawatankuasa Pertama Setiausaha Ahli Gabungan FAM juga telah membincangkan tentang penswastaan Liga M pada 2015 dan ia juga mendapat pandangan positif dalam semua badan bola sepak negeri.

"Mungkin akan ada beberapa lagi mesyuarat dan sesi percambahan media pada bulan depan dan November mengenai perkara ini, FAM pula sentiasa mengemaskini perkara ini dari masa ke semasa," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Nama ketua kongsi gelap didedah

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ
pengarang@utusan.com.my

Khalid Abu Bakar menyampaikan anugerah kepada Muhd. Aidil Syafiq, salah seorang daripada 20 Pelatih Keseluruhan Terbaik dalam Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Kor Suksis IPTA Kesembilan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Gombak, Selangor, semalam. - UTUSAN/ZAKARIA IDRIS

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan akan mendedahkan nama-nama ketua atau dalang kumpulan kongsi gelap di negara ini seperti mana pendedahan 49 kumpulan gengster yang diumumkan baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pendedahan itu mungkin akan dilakukan polis jika perlu dan signifikan dengan setiap tindakan serta siasatan yang dilakukan oleh PDRM.

Katanya, polis ketika ini mempunyai semua maklumat berkaitan kumpulan kongsi gelap di seluruh negara termasuklah nama ketua yang bertanggungjawab menjadi dalang utama kumpulan.

"Jika perlu kita akan umumkan mereka yang menjadi ketua bagi kumpulan-kumpulan kongsi gelap ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Kor Sukarelawan Siswa-Siswi Polis (Suksis) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia hari ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 29 Ogos lalu mengumumkan nama 49 kumpulan kongsi gelap di seluruh negara yang dikesan menjalankan kegiatan memudaratkan ketenteraman awam seperti sindiket pengedaran dadah, memeras ugut, menimbulkan pergaduhan antara pertubuhan kongsi gelap dan huru-hara.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, polis juga sedang mengenal pasti kumpulan kongsi gelap yang berselindung di sebalik Pendaftar Pertubuhan (ROS) seperti mana yang didedahkan Ketua Pengarah agensi itu, Datuk Abdul Rahman Othman semalam.

Kata beliau, lebih daripada tiga kumpulan kongsi gelap sudah dikenal pasti telah mendaftar dengan ROS.

"Jangan ingat mereka boleh melepaskan diri setelah mendaftar dengan ROS. Kita telah kenal pasti beberapa kumpulan yang melakukan perkara sedemikian dan mempunyai maklumat berhubung perkara itu," tegasnya.

Abdul Rahman semalam memberitahu, ROS akan bekerjasama dengan polis untuk menyemak tiga pertubuhan kaum Cina iaitu satu dari Semenanjung dan dua dari Sabah yang menggunakan nama dan logo sama atau hampir sama dengan sebahagian 49 pertubuhan haram yang didedahkan KDN.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, impak daripada Op Cantas Khas yang dilancarkan PDRM di seluruh negara akhir-akhir ini, sebilangan ahli kumpulan gengster kini pergi ke negara jiran untuk membuang tatu yang menjadi tanda penglibatan mereka.

"Polis membuat beberapa tangkapan ahli kongsi gelap yang cuba pergi ke negara seberang untuk membuang tatu atau logo kongsi gelap yang dicacah pada badan mereka.

"Sebenarnya tatu pada badan mereka ini adalah cara paling mudah untuk mengenal pasti penglibatan mereka dalam kongsi gelap. Tetapi jangan ingat mereka telah membuang tatu itu, mereka akan terlepas kerana pintu masuk negara akan sentiasa dikawal ketat," katanya.

Beliau memberitahu, polis akan mengambil-alih siasatan terhadap warga asing yang ditahan dalam operasi Ops 6P Bersepadu secara besar-besaran oleh Jabatan Imigresen jika dikesan mempunyai kaitan dengan kongsi gelap.

Pemilik kedai emas cuba halang rompakan parah ditembak

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

Abdul Rasul Abd. Razak yang cedera parah ditenangkan oleh orang ramai sebelum dibawa ke hospital selepas berjaya mematahkan cubaan merompak di kedainya di Lebuh Ampang, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Seorang pemilik kedai emas cedera parah terkena dua das tembakan di bahu dan perut selepas bertindak nekad bergelut bagi menghalang empat penjenayah merompak premisnya di Lebuh Ampang di sini pagi ini.

Dalam kejadian pukul 9.30 pagi itu, mangsa, Abdul Rasul Abd. Razak, 58, sedang berada di dalam pejabatnya manakala empat pekerjanya berada di ruang pameran kedai.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, tiba-tiba muncul empat lelaki memakai topi keledar penutup muka penuh dengan seorang daripadanya terus melompat ke dalam ruang pekerja.

Beliau berkata, seorang lagi suspek berdiri di ruang pelanggan sambil mengarahkan kesemua pekerja tidak membuat bising dan menuruti arahan mereka manakala dua lagi suspek di luar kedai.

"Ketika itulah mangsa keluar dari pejabatnya dan terus bergelut dengan dua suspek di dalam kedai. Dua lagi suspek yang berada di luar premis dan melihat pergelutan itu lalu masuk campur.

"Salah seorang daripada mereka bertindak mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan empat hingga enam das tembakan.

"Dua tembakan itu mengenai Abdul Rasul dan kesemua suspek kemudian melarikan diri dalam keadaan kelam-kabut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Difahamkan, suspek yang kesemuanya memakai topi keledar penutup muka penuh dilihat melarikan diri dengan menggunakan dua buah motosikal dan tidak sempat melarikan sebarang barangan berharga.

Mengulas lanjut, Khairil berkata, siasatan di tempat kejadian telah menemukan tiga kelongsong peluru dan satu serpihan slug peluru.

"Polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premis itu dan kawasan berdekatan untuk mengesan suspek terlibat. Kami juga telah menemu bual saksi kejadian," katanya.

Tambah Khairi, mangsa kini sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur dan dilaporkan stabil.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 kerana melepaskan tembakan senjata api ketika melakukan rompakan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Mahkamah tolak permohonan hina mahkamah ke atas Kosmo!

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan tiga tertuduh dalam perbicaraan kes penculikan kanak-kanak warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar untuk mengenakan tindakan menghina mahkamah terhadap penerbit akhbar Kosmo! atas dakwaan mengeluarkan dua artikel yang didakwa mengelirukan dan prejudis.

Hakim Kamardin Hashim memutuskan demikian selepas bersetuju dengan hujah penerbit akhbar tersebut yang dinamakan sebagai responden bahawa permohonan itu dibuat tanpa mengikut peruntukan Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Beliau turut memerintahkan pemohon-pemohon, Chong Tat Siong dan dua rakannya, Foong Khar Fai serta Lee Phak Seng untuk membayar kos sebanyak RM3,000 kepada penerbit Kosmo!.

Ketiga-tiga tertuduh terbabit selaku pihak pemohon memfailkan permohonan tersebut pada April lalu mendakwa dua artikel bertarikh 17 dan 18 April lalu telah memberikan gambaran, kesemua mereka merupakan penjenayah di dalam kes terbabit.

Pihak pemohon turut mendakwa kedua-dua artikel terbabit telah memberikan stigma buruk dan menimbulkan prejudis terhadap mereka.

Oleh itu ketiga-tiga lelaki terbabit memohon Kosmo! menyiarkan permohonan maaf di atas kekeliruan dan membuat pengakuan atas kesilapan akibat salah lapor.

Penerbit akhbar Kosmo! dalam afidavitnya bertarikh 10 Jun lalu menyatakan permohonan terbabit perlu ditolak ekoran kesemua pemohon tidak mendapatkan kebenaran mahkamah untuk memulakan prosiding pengkomitan.

Pemohon-pemohon juga tidak pernah memberikan sebarang notis atau memperincikan sebarang butiran tentang perkara yang didakwa sebagai pemberitaan salah dan prejudis.

Pada prosiding hari ini, peguam Mohd. Izral Khairy hadir mewakili Kosmo! manakala kesemua pemohon diwakili peguam, Zamri Ibrahim.

Turut hadir ialah Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin dan Pengurus Jabatan Pengarang, Syed Agil Syed Jaafar.

Tat Siong, 24, yang bekerja sendiri; Khar Hai, 20, penjual telefon bimbit, Khar Fai dan Phak Seng, 24, penganggur bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, didakwa menculik kanak-kanak berkenaan yang kini berusia 13 tahun bagi mendapatkan wang tebusan RM300,000.

Kejadian didakwa berlaku di hadapan sekolah itu, di Jalan Kiara 1, Mont Kiara pada pukul 7.30 pagi, 27 April 2012.

Nayati dibebaskan penculiknya di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Rawang 3 Mei tahun lalu, seminggu selepas diculik di hadapan Sekolah Antarabangsa Mont Kiara.

Perbicaraan kes culik itu akan bersambung pada 21 Oktober ini.

Eksekutif GLC didakwa beri keterangan bercanggah

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

SHAH ALAM 3 Sept. - Seorang pegawai eksekutif syarikat milik kerajaan (GLC) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi keterangan bercanggah dalam perbicaraan melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dua tahun lalu.

Menurut kertas pertuduhan, Mohd. Fazly Samsuri, 34, didakwa memberi keterangan yang tidak selaras dengan pernyataan sebelum ini kepada pegawai-pegawai SPRM semasa perbicaraan kes Pendakwa Raya melawan empat individu termasuk seorang wanita.

Perbuatan itu didakwa dilakukan Mohd. Fazly di Mahkamah Sesyen Jenayah 9 di sini pada 29 November 2011.

Lelaki itu didakwa telah memberi keterangan kepada Penolong Kanan Penguasa SPRM, Rosfiza Hashim dan Penolong Penguasa SPRM, Azeem Hafeez Jamaluddin di pejabat SPRM Selangor pada 5 Oktober 2010 dan 24 November 2011.

Pernyataan-pernyataan itu berhubung penggunaan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan akaun tertuduh yang melibatkan adik tertuduh yang juga merupakan seorang daripada individu yang dituduh di dalam perbicaraan tersebut, Mohamad Izuwanshah Samsuri.

Selain Mohamad Izuwanshah, tiga individu lain yang turut dibicarakan bersama ketika itu ialah Nor Shahazlina Sulaiman, Mohamad Huzzail Ahmad dan Md. Shahrizal Che Dan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Lokman Kasim mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 27 (2) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Keempat-empat individu tersebut merupakan pegawai Imigresen yang telah dihukum penjara 12 tahun dan denda RM361,400 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada September tahun lalu setelah didapati bersalah memperoleh rasuah daripada pemandu feri dan orang perantara melibatkan nilai keseluruhan RM86,850 pada 2010.

Kesemua tertuduh yang ketika kejadian bertugas di bahagian Perkapalan Pelabuhan Selatan, Pelabuhan Klang didakwa memperoleh wang suapan itu yang dimasukkan ke dalam akaun mereka atau individu lain sebagai upah bagi memudahkan urusan kemasukan penumpang warga Indonesia ke negara ini tanpa perlu mematuhi syarat ditetapkan.

Dalam pada itu, Lokman mencadangkan supaya Mohd. Fazly diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Namun peguam, Iskandar Putra Ishak yang mewakili Mohd. Fazly memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM5,000 dengan alasan tertuduh mempunyai tanggungan isteri dan anak.

Hakim Slamat Yahya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Dua hospital baharu di Pahang

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

Norhizan Ismail (berdiri, kanan) bersama Norol Azali Sulaiman (berdiri, kiri) beramah mesra dengan wartawan dalam majlis Sambutan Aidilfitri Bersama Media di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

KUANTAN 3 Sept. - Pembinaan dua hospital masing-masing di Bera serta Rompin yang dijangka siap selewat-lewatnya pada 2015 akan memberi nilai tambah kepada penduduk kawasan berkenaan dalam menikmati kemudahan rawatan kesihatan lebih efisien dan cepat.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Norhizan Ismail berkata, hospital terbabit yang menelan kos kira-kira RM200 juta adalah langkah kerajaan dalam menyediakan kemudahan rawatan kesihatan sempurna kepada rakyat terutama yang tinggal di kawasan pedalaman.

Beliau berkata, hospital berkenaan yang dilengkapi pelbagai kemudahan seperti dewan bedah, wad lebih selesa dan besar serta peralatan canggih boleh menampung jumlah pesakit yang ramai.

"Hospital Rompin dan Bera boleh menempatkan kira-kira 100 pesakit sekali gus memberi kemudahan kepada penduduk mendapatkan rawatan terutama ketika waktu kecemasan seperti bersalin atau mengalami penyakit kronik.

"Jika dibandingkan sebelum ini, mereka perlu menempuh perjalanan jauh hanya semata-mata mendapatkan rawatan.

"Sebagai contoh penduduk di Bera perlu ke Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh yang jaraknya kira-kira 70 kilometer," katanya ketika ditemui dalam majlis Sambutan Aidilfitri Bersama Media di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas negeri, Norol Azali Sulaiman.

Menurut Dr. Norhizan, pembinaan hospital berkenaan menunjukkan kerajaan begitu peka kepada rungutan dan kesulitan dihadapi penduduk di kawasan berkenaan yang sukar menerima rawatan kesihatan sempurna.

"Apabila siap, kedua-dua hospital ini dapat membantu seterusnya mendidik mereka untuk lebih mementingkan aspek kesihatan melalui kemudahan disediakan nanti.

"Oleh itu, saya mahu penduduk kawasan berkenaan bersabar kerana Hospital Rompin dijangka mula beroperasi awal tahun depan manakala di Bera pembinaannya sudah 25 peratus siap dan dijangka boleh digunakan awal 2015," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan turut merancang membina hospital pakar di Bentong bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat di daerah berkenaan.

"Hospital pakar ini masih dalam perancangan kerana perlu melihat keperluannya kepada penduduk tempatan selain anggaran kos," katanya.

Jaga kebersihan premis makanan

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

KUALA LIPIS 3 Sept. - Masyarakat di bandar ini khususnya pengusaha premis makanan diminta menjaga kebersihan bahagian pemprosesan, dapur dan stor untuk mengelak daripada jangkitan bakteria kencing tikus atau leptospirosis.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, jangkitan wabak itu pada makanan dan minuman boleh berlaku tanpa disedari apabila terminum atau menyentuh air kencing tikus.

Menurutnya, kesedaran mengawal dan mencegah dengan tumpuan terhadap kebersihan premis lebih baik berbanding kaedah merawat jika terdapat mangsa yang terkena jangkitan penyakit itu.

"Pemilik premis dan penduduk tidak boleh bersikap sambil lewa mengenai kebersihan khususnya membiarkan haiwan dan serangga seperti tikus, lalat dan nyamuk bebas berkeliaran.

"Oleh itu, pihak berkuasa tempatan, jabatan kesihatan dan agensi kawalan serangga mempunyai mekanisme iaitu peralatan kawalan serta pemusnah yang dapat membantu gejala penularan penyakit berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kawalan Tikus Peringkat Daerah Lipis di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Lipis, Datuk Mohamad Noor Abdul Rani dan Setiuasaha Majlis Daerah Lipis (MDL), Mohd. Pauzi Abu Hussaini.

Menurut beliau, penduduk dan pengusaha premis makanan wajar mempunyai kesedaran dengan mengamalkan peraturan kebersihan supaya pengguna lebih selamat serta terkawal daripada wabak leptospirosis.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan penduduk mengubah mentaliti mengatakan leptospirosis tidak akan berlaku di premis, perumahan dan tempat pelancongan kerana belum ada direkodkan wujudnya penyakit tersebut berbanding tempat lain.

IADA Pekan sasar tingkat pengeluaran padi

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

KUANTAN 3 Sept. - Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan menyasarkan untuk meningkatkan jumlah pengeluaran padi di enam kawasan di daerah itu daripada purata 2.4 metrik tan sehektar kepada enam metrik tan sehektar setelah dipilih sebagai kawasan jelapang padi kesembilan negara.

Pengarahnya, Mohd. Yusoff Sadi Sutan berkata, kawasan terlibat seluas 7,211 hektar melibatkan Pahang Tua (1,275 hektar), Ganchong (1,005), Pulau Jawa (209), Mambang (348), Serandu (240) dan Merchong dengan keluasan 4,134 hektar.

"Kita sasarkan setelah kerja-kerja pembangunan dilaksanakan, dalam tempoh tujuh tahun akan dapat capai jumlah pengeluaran enam metrik tan sehektar.

"Buat masa ini, kerja-kerja pembangunan seperti penyediaan infrastruktur belum lagi dilaksanakan kerana IADA dalam proses memperkemaskan maklumat asas bagi memudahkan gerak kerja memajukan sektor padi dijalankan," katanya dalam sidang akhbar selepas Seminar Komuniti Padi Pekan 2013 yang dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri, Md. Kassim Mahmud di Indera Sempurna Resort di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pekan, Datuk Abdul Manaf Sulong.

Mohd. Yusoff Sadi berkata, pihaknya akan membina tali air dan parit tambahan di Pahang Tua, menaiktaraf infrastruktur sedia ada di Ganchong dan Pulau Jawa serta membina pintu kawalan pasang surut dan sistem pengairan di Merchong.

Beliau berkata, pihak IADA juga akan menyediakan sistem penjadualan penanaman padi yang lebih sistematik dan teratur.

"Tujuan penjadualan ini adalah bagi memastikan masalah seperti aktiviti pembajakan, pengagihan air, membaja, kawalan penyakit perosak, penuaian dan banjir dapat diatasi dengan berkesan.

"Kejayaan penanaman dua kali setahun hanya akan berjaya jika perancangan dan penjadualan penanaman padi diikuti oleh pesawah," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, faktor utama bagi menjamin kejayaan penanaman padi adalah interaksi yang baik antara komponen pertanian meliputi kemudahan infrastruktur, teknologi tanaman dan petani.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


11 penyokong Mursi dihukum penjara seumur hidup

Posted: 03 Sep 2013 11:17 AM PDT

KAHERAH 4 Sept. - Sebuah mahkamah tentera Mesir semalam menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap 11 penyokong bekas Presiden Mursi atas kesalahan menyerang pihak tentera.

Sumber tentera melaporkan, kesemua tertuduh didapati mencederakan tujuh tentera dengan lastik dan melontar bom petrol ke arah bangunan tentera di bandar Suez pada 14 Ogos lalu.

Pada tarikh yang sama, tentera melancarkan operasi pembersihan di dua kem penyokong Mursi yang menuntut kerajaan sementara mengembalikan semula kuasa bekas Presiden itu.

Dalam pada itu, mahkamah turut mengarahkan penutupan stesen televisyen milik pergerakan Ikhawanul Muslimin dan al-Jazeera di Mesir kerana menyampaikan maklumat yang salah tentang krisis di negara ini. - REUTERS

Presiden Somalia terselamat dalam serangan hendap militan

Posted: 03 Sep 2013 11:16 AM PDT

MOGADISHU 4 Sept. - Presiden Somalia terselamat dalam satu serangan hendap yang dilancarkan militan yang mempunyai kaitan dengan pengganas al-Qaeda, ketika beliau diiringi konvoi tentera di sini semalam.

Cubaan membunuh Presiden Hassan Sheikh Mohamud berlaku apabila militan al-Shabaab melancarkan serangan roket ke arah konvoi tersebut ketika menghampiri pekan Marka, selatan Mogadishu.

Pegawai polis tempatan, Abdikadir Mohamed yang mengesahkan kejadian tersebut berkata, Hassan terselamat dalam serangan itu dan selamat tiba di Marka tanpa sebarang kecederaan.

Pejabat Presiden bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang insiden berkenaan. - REUTERS

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Tonton

Posted: 03 Sep 2013 12:31 AM PDT

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Pemuda UMNO Malaysia dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) akan mengadakan tayangan khas filem Tanda Putera di pawagam Cathay di Cineleisure, The Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya pada pukul 8.30 malam ini.

Menurut Presiden Seniman, Zed Zaidi, tayangan filem itu secara percuma dibiayai sepenuhnya oleh Biro Kebudayaan dan Kesenian Pemuda UMNO Malaysia sebagai tanda sokongan terhadap filem itu selain bagi menyemarakkan lagi kempen bulan kemerdekaan yang ke-56 negara.

"Tayangan filme itu di bawah seliaan Jamawi Jaafar yang terletak di bawah biro itu. Ramai pelakon Tanda Putera seperti Zizan Nin, Rusdi Ramli dan pengarahnya, Datin Paduka Shuhaimi Baba akan hadir. Tayangan terhad untuk 300 penonton," katanya kepada Utusan Online hari ini. - UTUSAN ONLINE

Mencabar diri

Posted: 02 Sep 2013 10:57 PM PDT

Oleh GARRET DAWUM
garret.dawum@utusan.com.my
Gambar ZAKARIA IDRIS

SENTIASA bergerak dalam kumpulan untuk menyemarakkan Makyung.

PENGORBANAN yang dilakukannya dalam memasyhurkan kembali seni tradisi Makyung sangat besar. Soal dan kehendak keluarga juga sanggup diketepikan.

"Dulu, ayah dan ibu melarang saya untuk bergiat dalam dunia seni persembahan. Malah, abang saya sendiri juga melarang saya untuk 'beraksi' di atas pentas. Seni bukanlah keutamaan keluarga kami.

"Keluarga lebih suka jika saya memilih menjadi seorang arkitek. Namun, demi cita-cita dan usaha saya untuk memartabatkan seni negara, saya sanggup melupakan hasrat ayah dan ibu, demi untuk bergiat dalam seni Makyung.

"Sehingga ada satu masa, ayah mempersoalkan kehendak saya untuk menjadi penggiat seni. Mampukah saya berjaya dalam bidang itu? Kata ayah kepada saya. Bolehkan saya mencari makan dengan berseni. Tetapi saya cuba dan berusaha untuk tidak terus berpaling ke belakang.

"Saya mulakan niat suci saya untuk mengenali Makyung sewaktu mengikuti pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) hingga sekarang," luah pelapis makyung negara, Rosnan Abdul Rahman.

Sememangnya, Rosnan, 41, tidak berputus asa dalam memperjuangkan keunikan dan kesenian yang ada dalam Makyung. Bergiat aktif dalam Makyung sejak usia 24 tahun, Rosnan sudah menyertai banyak persembahan Makyung.

"Entah kenapa saya terlalu meminati makyung pada mulanya pun saya tidak tahu.

"Hal ini mungkin juga disebabkan galur salasilah keluarga saya yang juga merupakan pemain Makyung Kedah.

"Nenek saya, Che Mah Saman adalah seorang primadona Makyung Kedah yang terkenal sekitar awal tahun 1920 berasal dari Pattani," ujarnya bangga.

Menceritakan pengalamannya bergiat aktif dalam Makyung, pernah sekali dirinya dipukul oleh ayah ketika berada dalam darjah tiga kerana bermain wayang kulit.

Menurut Rosnan, ayahnya berbuat demikian kerana menganggap semua itu mempunyai ritual.

"Sama juga dengan persembahan Makyung. Keluarga melarang kerana Makyung dianggap sebagai satu bentuk persembahan yang memerlukan kita mempunyai ilmu tertentu.

"Dulu ada orang kata, kononnya kebanyakan pelakon lelaki (Pakyung) yang memegang watak Makyung mempunyai ilmu pengasih dan penyeri wajah menyebabkan ramai anak gadis serta isteri orang tergila-gilakan mereka.

"Sehinggakan keluarga saya percaya perkara tersebut dan membantah niat saya. Memang dulu, Makyung mempunyai rasa magis mistik yang ritualistik.

"Tetapi kini, persembahan Makyung sudah dimodenkan. Ia dipersembahkan mengikut cita rasa penonton sekarang dan sekadar memain peranan menghiburkan," jelas lulusan seni bina dari USM itu.

Tambah anak bongsu daripada lima adik-beradik itu, walaupun tidak berjaya menjadi arkitek, namun dia berasa bangga kerana dapat menyemarakkan kembali persembahan Makyung.

"Sebagai pentadbir budaya, saya sangat seronok membuat kerja saya. Berkat kesabaran, saya mampu membuktikan orang seni boleh berjaya.

"Saya juga bangga dan gembira kerana dapat menguruskan orang seni. Ini bukan kerja senang," katanya yang kini menjawat jawatan Penolong Pengarah Kanan (Penyelidikan dan Pembangunan), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Ditanya pernah atau tidak dimaki keluarga semasa mempersembahkan Makyung, Rosnan bersyukur kerana keluarga sudah menerimanya secara perlahan.

Maklumlah, mengikut tradisinya, daya tarik persembahan Makyung adalah putera raja yang dipegang oleh wanita. Kini, Rosnan pula mempertontonkan kejelitaan dan keayuan keperempuanannya yang mempesonakan.

Solekan yang boleh dikatakan melampau mungkin membataskan semuanya. Lebih-lebih lagi Rosnan adalah seorang primadona lelaki.

Mencabar diri

Memikul tugas sebagai peneraju utama cerita Dewa Indera Indera Dewa dalam persembahan Makyung sempena Festival Kesenian Kuala Lumpur 2006 di Istana Budaya, dilihat Rosnan sebagai tugas berat. Namun itu adalah medan utama untuknya belajar dengan mendalam sebagai Pakyung.

Puas dipujuk dan dirayu oleh tokoh Makyung terkenal, Fatimah Abdullah, perasaan berat untuk 'memakai' watak Pakyung akhirnya diterima walaupun kurang yakin dengan kemampuan diri.

Semangat dan sifat suka untuk mencabar diri dibekalkan Rosnan untuk terus membawa watak itu.

Katanya, tanpa semangat, tidak akan berjaya melakukan sesuatu kerana lebih mengerikannya kerana sebelum ini watak Pakyung boleh dikatakan tidak pernah dibawa oleh lelaki.

"Agak janggal juga kalau saya memegang watak ini kerana tentu ramai yang akan memperkatakannya.

"Mungkin ini boleh menimbulkan satu macam kontroversi di kalangan orang makyung. Saya juga berasa takut perkara ini akan menjadi isu di kalangan ahli akademik dan pengkaji serta peminat Makyung," katanya

Paling ditakuti, suara sumbang dan dengki yang akan menyatakan dia akan keperempuanan apabila berlakon sebagai Pakyung dengan bersolek dan memakai aksesori yang berkilauan.

Tapi kenapa orang tidak memperkatakannya dengan teater tradisional dan Kabuki di Jepun, tarian Bali di Indonesia, menora serta rambong di Thailand dan Kelantan. Begitu juga dengan opera Cina yang turut menampilkan pelakon lelakinya bermekap tebal.

Memang itulah antara cabaran yang perlu dilalui dan diharunginya. Semua itu sebenarnya sudah lali dengan dirinya dan Rosnan tidak menghiraukan semua itu. Apa yang penting persembahan Makyung dilaksanakan dengan sempurna.

"Makyung memang memerlukan kita untuk menyanyi, menari dan berlakon. Ketiga-tiga itu merupakan elemen pentingnya. Nasib juga saya sudah belajar semua itu ketika di bangku sekolah rendah lagi," katanya.

"Jadi, ia menjadi mudah dan senang untuk saya membiasakan diri," ujarnya bersemangat.

Selain itu, kata Rosnan, cabaran buat dirinya untuk bertindak sebagai Pakyung ialah dari segi pengucapan dialog. Umum ketahui makyung berasal dari Kelantan. Paling menarik, Rosnan bukan orang Kelantan tetapi merupakan anak jati Kedah.

Jelasnya, oleh kerana dia bukan berasal dari Kelantan, maka tumpuan utama diberikan lebih kepada pengucapan dialog dalam loghat Kelantan yang kadang-kadang bahasa sastera di dalam Makyung itu tidak difahami oleh masyarakat Kelantan.

"Pada mula penglibatan saya dalam makyung, masalah yang paling besar ialah untuk menyanyi mengikut tempo muzik makyung dengan betul.

"Pengucapan dialog biasanya dilontarkan secara stylized (diolah dalam gaya) bagi menampakkan alunan gaya klasik makyung.

"Nasib saya baik kerana dipertemukan dengan seorang guru yang sangat berpengalaman, Fatimah Abdullah untuk memperbetulkan bentuk dan gerak tubuh saya semasa menari dan berlakon," katanya yang sudah 15 tahun berguru makyung dengan Fatimah.

Sebagai orang berpengalaman dalam makyung, Rosnan sempat berkongsi ilmu yang diturunkan Fatimah kepada dirinya untuk menjadi pakyung yang hebat. Ingatan, meniru gaya dan hafalan itulah yang penting untuk mempersembahkan makyung yang berkesan terutama dari segi nyanyian, gerak tari malah jalan ceritanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Fahami kenaikan harga minyak

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

Oleh Rohami Shafie

KENAIKAN harga minyak merupakan isu ekonomi paling sensitif buat rakyat Malaysia. Tindakan merasionalisasikan subsidi minyak adalah satu tindakan yang tidak popular.

Bagi mana-mana pemimpin pun ia boleh mencetuskan dilema kerana perlu membuat pertimbangan sama ada ingin terus menjadi popular yang mana sentiasa kelihatan mementingkan kebajikan rakyat ataupun mengutamakan kedudukan kewangan negara dalam tempoh jangka masa panjang.

Di sinilah, seorang pemimpin kena membuat pertimbangan terbaik. Jika mahukan populariti, nescaya, apa sahaja yang menyenangkan hati rakyat akan dipertahankan.

Namun, dalam tempoh jangka masa panjang kedudukan kewangan negara akan terjejas teruk. Iktibar pemimpin-pemimpin negara Barat yang terlalu menjaga populariti mereka menyebabkan ekonomi negara mereka dilanda kemelesetan teruk.

Sebenarnya apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah berdasarkan situasi semasa dan masa hadapan ekonomi dunia dan Malaysia. Pada asasnya, ekonomi dunia masih tidak menentu, bahkan bagi penganalisis dan pakar-pakar ekonomi, terdapat kewajaran kebimbangan ekonomi dunia akan meleset.

Antaranya, ekonomi negara-negara Barat masih belum pulih sepenuhnya. Ekonomi negara-negara berkenaan terkepung dalam kegawatan krisis hutang Eropah.

Pakar-pakar ekonomi mereka masih belum menemui strategi ekonomi terbaik untuk memulihkan ekonomi negara mereka. Begitu juga, apa yang telah berlaku ke atas Amerika Syarikat (AS) apabila Rezab Persekutuan AS pun berura-ura untuk mengurangkan rangsangan ekonomi AS dengan mengurangkan pembelian bon.

Polisi perlonggaran kuantitatif (QE) yang selama ini dilaksanakan oleh Rezab Persekutuan AS mungkin dihentikan, juga boleh menjejaskan ekonomi dunia.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Rezab Persekutuan AS telah banyak menggunakan wang untuk merangsang sistem kewangan AS ekoran terjejas teruk akibat krisis subprima pada tahun 2008. Sekiranya Rezab Persekutuan AS bersetuju untuk melaksanakan pengurangan polisi QE, ekonomi dunia berkemungkinan akan semakin tidak menentu.

Ini terbukti apabila dana ekuiti asing di Malaysia telah dijual dengan banyaknya sejak kebelakangan ini. Tambahan lagi, ringgit Malaysia agak lemah berbanding dolar AS.

Bahkan, minggu lepas, harga minyak dunia setong telah meningkat pada tahap tertinggi dalam tempoh 18 bulan. Tambahan lagi, timbul kebimbangan AS dan sekutu- kutunya akan melancarkan tindakan ketenteraan ke atas Syria.

Keadaan geopolitik di negara-negara Timur Tengah yang masih tidak menentu boleh menjejaskan ekonomi serantau, khasnya dan ekonomi dunia, umumnya. Pastinya ia juga boleh menjejaskan ekonomi Malaysia sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

Di samping itu, kedudukan kewangan dan ekonomi Malaysia juga perlu diambil kira. Ini kerana Malaysia tidak boleh selama- lamanya mencatatkan defisit fiskal. Sasaran defisit fiskal tahun ini adalah pada tahap empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Jika tiada tindakan merasionalisasikan subsidi minyak, sasaran ini sukar dicapai. Pada masa yang sama, tahap hutang kerajaan persekutuan mestilah tidak boleh melebihi 55 peratus daripada KDNK.

Begitu juga hasil pendapatan negara tidak boleh kurang daripada perbelanjaan operasi negara. Dengan kata lain, jika kerajaan masih ingin mempertahankan subsidi minyak pada tahap sebelum ini iaitu RM1.90 seliter, maka kerajaan terpaksa membelanjakan lebih banyak wang rakyat berbanding sebelum ini ekoran kenaikan harga minyak dunia. Sedangkan terdapat kekangan dalam kedudukan kewangan negara.

Tidak mustahil, akhirnya, kewangan negara semakin rapuh dan Malaysia terpaksa meningkatkan jumlah hutang luar semata-mata untuk menyenangkan hati rakyat dengan mengekalkan harga minyak pada tahap sedia ada.

Dalam tempoh jangka masa panjang, hutang yang semakin tinggi menyebabkan hasil kerajaan semakin menurun dek kerana terpaksa membyar hutang dan kadar faedah.

Keadaan akan semakin parah apabila perbelanjaan operasi kerajaan pun terpaksa ditampung dengan hutang. Maka, jika ini berlaku, gaji kakitangan kerajaan terpaksa dibayar dengan menggunakan hutang.

Bagaimana mungkin pembangunan negara boleh dilaksanakan dengan baik sekiranya gaji kakitangan awam pun terpaksa dibayar dengan cara meminjam.

Sedangkan umum mengetahui gaji kakitangan awam baru sahaja dinaikkan pada bulan Julai yang lalu. Dijangkakan terdapat pengumuman penting mengenai elaun skim kakitangan awam pada hujung tahun ini hasil kajian kerajaan untuk menambah baik skim-skim kakitangan awam. Sudah tentu setiap pengumuman akan menyebabkan tambahan perbelanjaan kerajaan.

Bayangkan gaji dan elaun kakitangan awam yang semakin meningkat terpaksa ditampung dengan hasil yang sedia ada. Pada masa yang sama, subsidi minyak juga mahu dikekalkan hanya semata-mata inginkan populariti dan menyenangkan hati rakyat.

Nescaya, jika sekiranya hutang kerajaan semakin meningkat dan begitu juga hutang isi rumah pun semakin tinggi, maka, seluruh ekonomi Malaysia akan lumpuh.

Bagaimanapun, ini bukan bermaksud kerajaan hanya perlu duduk diam tanpa berbuat apa-apa untuk membantu rakyat. Susulan kenaikan harga minyak, kerajaan juga telah mengumumkan untuk meringankan beban golongan berpendapatan sederhana yang terhimpit dengan kenaikan harga minyak.

Pengumuman akan dibuat dalam Bajet 2014 nanti. Seperti diketahui, penjimatan subsidi minyak akan disalurkan kepada golongan berpendapatan rendah melalui Banturan Rakyat 1Malaysia (BR1M), manakala golongan berpendapatan sederhana seolah- olah kelihatan diabaikan oleh kerajaan.

Pengumuman kerajaan untuk membantu golongan ini memberi khabar baik kepada mereka. Banyak langkah yang boleh dilakukan untuk membantu mereka dan antaranya adalah dengan mengurangkan kadar cukai pendapatan pada tahap yang terendah.

Membantu semua lapisan rakyat menggambarkan betapa kerajaan tidak ambil mudah apabila terpaksa mengumumkan kenaikan harga minyak. Pastinya, tindakan terbaik adalah dengan menyeimbangkan kemampanan kedudukan kewangan negara dan pada masa yang sama mengutamakan kesejahteraan rakyat.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan,

Kolej Perniagaan,Universiti Utara Malaysia

Bertindak tegas terhadap peniaga naikkan harga barangan

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

Oleh Fauziah Arof

APABILA berlaku kenaikan harga minyak petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen berkuat kuasa tengah malam kelmarin, sudah tentu yang paling membimbangkan rakyat adalah kenaikan harga barang-barang lain.

Maka, memberikan jaminan bahawa pemantauan harga akan dibuat di seluruh pasar raya, pasar-pasar awam dan kedai runcit serta restoran di seluruh negara dan juga memberikan peringatan kepada peniaga-peniaga agar tidak menaikkan harga barangan sesuka hati, tidak mencukupi dan tidak dapat meredakan keresahan rakyat ini.

Sebabnya, kita semua pun sudah biasa dan sering melalui keadaan di mana apabila harga petrol terpaksa dinaikkan, banyak peniaga yang pasti akan mengambil kesempatan.

Sedangkan, dalam keadaan tertentu yang tidak membabitkan kenaikan harga petrol pun, peniaga-peniaga ini bijak memainkan harga dengan macam-macam alasan, contohnya menaikkan harga ayam dan beberapa barangan keperluan lain sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri lalu, inikan pula bila harga petrol sudah naik.

Kenaikan ini sudah pasti bagaikan sudah mengantuk disorongkan bantal kepada peniaga-peniaga, yang sudah tentunya dalam kepala hanya mengutamakan keuntungan. Hakikatnya, berapa ramai sangatlah peniaga yang berniaga dengan berkonsepkan memikirkan kepentingan ramai.

Kita juga bimbang akan wujudlah keadaan harga petrol naik 20 sen seliter, tetapi harga barangan mereka akan dinaikkan berlipat kali ganda daripada itu dan kedai-kedai makan pun mengambil kesempatan menekan pelanggan dengan harga yang tidak munasabah.

Sedangkan, menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek, kementerian tersebut telah membuat kajian bahawa pengurangan subsidi minyak petrol 95 dan diesel itu tidak memberikan kesan drastik kepada kos perniagaan, hanya sekitar 0.1 peratus sahaja.

Justeru, kita berharap kajian ini bukan sekadar memberi angka kepada kita. Pastikanlah peniaga-peniaga ini betul-betul tidak menaikkan harga barangan.

Inilah antara cabaran dan tugas besar yang perlu ditangani oleh kementerian berkenaan bukan setakat seminggu dua ini, tetapi secara berterusan.

Sudah tentunya, rakyat tidak mahu peniaga-peniaga ini sekadar diberi diberi amaran, peringatan dan nasihat.

Sudah jelas pun dalam apa-apa kes di negara ini menggunakan pendekatan dengan memberi amaran dan peringatan atau menasihati, tidak akan diendahkan malah tidak digeruni langsung oleh pihak terbabit.

Dalam pada itu, meminta atau menyarankan orang ramai untuk mengamalkan budaya berjimat cermat atau memboikot mana-mana produk atau restoran yang mengenakan harga yang melambung tinggi, juga bukan satu penyelesaian yang terbaik.

Maka, sekiranya peniaga-peniaga ini ingkar, tindakan tegas perlu diambil ke atas mereka. Gunakan segala peruntukan undang- undang bagi melindungi hak-hak pengguna ini di bawah Akta Antipencatutan, Akta Kawalan Harga dan sebagainya. Sementara itu, orang ramai juga perlu membuat aduan dan memberi maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku kenaikan harga barangan ini. Jangan biarkan peniaga-peniaga ini berpesta harga.

Yang penting, apabila harga petrol telah dinaikkan beban rakyat disebabkan kenaikan ini perlu diminimumkan.

Di mana-mana negara pun di seluruh dunia, kenaikan barangan keperluan, makanan dan petrol pasti akan meresahkan dan menaikkan kemarahan rakyat.

Ini kerana kebanyakan rakyat sukar untuk menerima apa jua penjelasan mengenai kenaikan itu, dalam pada itu perlu juga kita menerima hakikat ramai juga di antaranya yang tidak faham apa yang dijelaskan itu.

Bagi kebanyakan rakyat, walau apa pun penjelasan dan alasannya, sudah tentu mereka tidak mahu kos sara hidup mereka terjejas akibat kenaikan ini terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Dan pada masa yang sama, kita tidak mahu isu kenaikan harga petrol ini dimainkan oleh mana-mana pihak yang mahu mengeksploitasi isu ini dan mencetuskan pelbagai persepsi buruk rakyat kepada kerajaan. Dan mengurus persepsi ini bukan sesuatu yang mudah.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved