Selasa, 3 September 2013

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Dilema Mat Berat

Posted: 02 Sep 2013 10:57 PM PDT

KATEGORI masyarakat gelandangan ini boleh ditafsirkan pelbagai antaranya, tiada tempat penginapan dan pekerjaan termasuk kebanyakannya terdiri daripada golongan warga emas yang mungkin memilih kehidupan seperti itu setelah tiada haluan lagi untuk dituju.

Kini terdapat lagi satu kategori bagi orang gelandangan yang digelar Mat Berat.

Gelaran luar biasa itu diberikan kepada insan-insan gelandangan yang enggan melakukan sebarang pekerjaan.

Sedangkan tubuh badan mereka tegap dan sihat serta mempunyai kudrat bagi membolehkan mereka melakukan kerja.

Dalam erti kata mereka ini malas dan 'berat' untuk melakukan segala-galanya.

Alasan mereka menjalani kehidupan seperti itu adalah menyenangkan mereka yang tidak mahu terbelenggu dalam kehidupan biasa yang dianggap susah dan memerlukan mereka berfikir panjang 'cara' untuk meneruskan kehidupan.

Yang paling penting, mereka tidak perlu bersusah payah untuk bertarung dengan pelbagai perbelanjaan dan bil air, api, sewa rumah selain terpaksa melihat pendapatan yang didapati pada setiap bulan akhirnya susut menjelang akhir bulan.

Pada mereka bukan susah untuk hidup bergelandangan, bila malam menjelang letak sahaja kepala di mana-mana tempat duduk yang difikirkan sesuai sambil beratap dan berembunkan bumbung alam maya.

Apabila lapar, pergi sahaja ke yayasan atau badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang ada di kota raya untuk mencari sesuap nasi kerana segalanya tersedia.

Bila perlukan duit pasti ada sahaja yayasan yang bermurah hati untuk menderma dan pada malam hari, pergi sahaja ke tempat-tempat tertentu untuk menerima nasi bungkus yang dibekalkan oleh pihak-pihak tertentu

Semua kebajikan yang tersedia ini disediakan untuk mereka atas keprihatinan masyarakat di negara ini yang ternyata begitu bermurah hati menderma dan mengagihkan pelbagai barangan dan makanan bertujuan bagi kegunaan masyarakat yang kurang berkemampuan.

Mungkin sejenak terfikir, atas dasar keprihatinan dan bantuan-bantuan ini yang menyebabkan individu-individu ini mengambil kesempatan atau pun mereka ini sebenarnya 'sakit' dari segi spritual dan mental sehinggakan sanggup hidup tanpa keluarga dan bergelandangan tanpa menghiraukan maruah diri,

Kehidupan yang dijalani seperti ini sebenarnya tidak pernah menjadikan mereka 'hidup' dengan cara yang sebenarnya.

Mereka bebas pergi ke mana sahaja ceruk bangunan yang mereka suka. Pedulikan apa yang orang hendak kata, pokok pangkalnya kehidupan mereka terisi dengan makan, pakai dan tiada masalah yang menyerabutkan kepala.

Mengikut seorang Mat Berat yang ditemui di sebuah lorong di jalan Chow Kit, Kuala Lumpur, yang dikenali dengan nama Black dan berasal dari Kelantan, sudah hampir 15 tahun dia berkelana menjadi Mat Berat di kota raya Kuala Lumpur sejak menjejakkan kaki ke sini ketika berusia belasan tahun lagi.

Berusia 36 tahun, sihat, cukup sifat dan mempunyai kudrat yang diperlukan, namun bagi Black dia lebih senang mengikuti kehidupan seperti itu yang baginya amat menyenangkan tanpa perlu memikirkan apa yang perlu dilakukan bagi meneruskan kehidupan.

Kepada insan yang normal, sudah tentu seseorang itu akan berusaha untuk mendapatkan kehidupan yang terbaik setidak-tidaknya mempunyai cita-cita dalam kehidupan, berbeza dengan Black yang menganggap cita-cita itu hanya sesuatu yang menyusahkan untuk dicapai, jadi daripada hanya memikirkan sesuatu yang tidak mungkin menjadi kenyataan dia rela hidup bergelandangan seperti itu.

Katanya, kehidupan seperti itu bukan hanya dapat makan, pakai malah dia juga mempunyai ramai kawan di jalanan dan kehidupan mereka dihabiskan dengan melepak sebelum malam melabuhkan tirainya.

Tambahan menurutnya, keadaan sekarang yang susah untuk mendapat pekerjaan menyebabkan dia rela hidup demikian.

Anak bongsu daripada enam adik-beradik, Black mengakui dia sangat berasa tertekan dengan kehidupannya terdahulu menyebabkan dia rela berhijrah ke kota raya untuk melarikan diri daripada hinaan keluarganya.

"Saya dalam keluarga terasa disisihkan mungkin sebab saya kurang pandai dan tidak berjaya sebagaimana adik-beradik lain.

"Saya pernah bekerja setahun di sebuah kilang kereta di Shah Alam, namun malangnya lama-lama saya merasakan malas hendak bekerja memandangkan apabila kerja teruk-teruk, gaji dapat sedikit kemudian hujung bulan habis dah nak kena fikir apa yang perlu dibuat selepas itu.

"Lagi satu kalau bekerja sudah tentu saya memikirkan untuk beli baju yang sesuai, perlu membeli-belah, kemudian berumah tangga dan akhirnya memikirkan makan pakai anak-anak," tambahnya.

Jangan terkejut apabila mengetahui Black ini sebenarnya mempunyai Diploma dalam bidang landskap hasil pengajiannya di sebuah kolej.

Ketika ditanya tidakkah dia merasa takut menjadi mangsa jenayah pada malam hari apabila bergelimpangan di mana-mana tanpa tempat berteduh yang sesuai, dia menegaskan perasaan takut sudah tiada dalam dirinya.

Apabila ditebak soalan pulang berhari raya ke kampung halaman, dia menambah dalam hidupnya semenjak memilih kehidupan seperti itu, hanya tiga atau empat kali sahaja dia balik ke kampung, selebihnya dia banyak mendengar mengenai cerita kampung halamannya apabila bertemu dengan rakan-rakan sekampung apabila terserempak dengan mereka di sini.

Ibu Black yang sudah meninggal dunia sejak bertahun dahulu menyebabkan Black rasa cukup terpinggir dan enggan berjumpa dengan saudara-maranya.

Ketika ditanya apa yang dilakukan selama 15 tahun itu di lorong-lorong dan di ceruk bangunan, dia membayangkan kehidupannya cukup puas dengan hanya melepak, tidur, bercakap dengan rakan-rakan.

Apabila ditanya adakah satu hari nanti dia akan berubah, spontan bicara Black, mungkin satu hari nanti sikapnya akan berubah, namun siapa tahu bilakah saat itu datang.

Begitu juga dengan Din, 43, berasal dari Terengganu, datang ke ibu kota kerana tidak tahan dengan kerja nelayan dan bertani yang dilakukannya di kampung,

"Selepas habis SPM saya melakukan kerja-kerja kampung seperti bersawah dan nelayan selama lima tahun sebab tidak dapat kerja lain.

"Kerja nelayan ini susah, saya pun datang ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan kerja lain yang lebih senang seperti pengawal keselamatan sebab saya tidak mahu membuat kerja-kerja berat seperti kerja kontrak, berkebun atau sebagainya.

"Saya dapat kerja pengawal keselamatan dan saya bekerja selama tiga bulan sebelum akhirnya saya berhenti kerana gaji bulanan sebagai pengawal keselamatan sedikit tidak cukup untuk menampung kehidupan saya selain bebanan kerja dan selalu ditipu," jelas Din yang merupakan anak kelima daripada enam adik-beradik itu.

Selain kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan yang diminati, Din juga menambah kehidupan yang dijalaninya sekarang tidak memerlukan dirinya banyak berfikir terutama bagi dirinya yang sihat.

Dia yang hanya sekali sahaja balik ke kampung sepanjang kehidupannya di jalanan mengakui sudah tiada siapa-siapa lagi yang memerlukannya untuk berada di kampung.

"Kalau balik ke kampung pasti kena marah selalu sebab tidak kerja, tak kan nak duduk goyang kaki sahaja kerana akan menyusahkan saudara mara, jadi duduk di sini senang tidak perlu fikir apa-apa," jelasnya.

Apabila bercerita mengenai kehidupannya sekarang, dia berkata sekiranya dia hendak menonton TV pergi sahaja ke Dataran Merdeka atau kedai menjual TV, sekiranya dia hendak makan, masih banyak tempat yang menghulurkan sumbangan buat insan-insan sepertinya.

Sementara itu Pengasas Teratak Arfidah iaitu sebuah rumah perlindungan bagi wanita yang perlukan perlindungan dan bimbingan di bawah kategori ibu tunggal, asnaf, remaja dan penagih dadah, Arfidah Abdul Latiff berkata, sepanjang dia menjalankan sesi outreach membantu insan-insan gelandangan, pelacur dan penagih dadah di jalanan, dia mendapati peningkatan yang agak ketara bagi individu yang bergelar Mat Berat atau Mat Lepak sejak tahun 2007.

Tambahnya, dalam ketika warga asing yang datang ke negara ini mempunyai pendapatan mereka sendiri dengan bekerja, namun warga negara ini pula malas untuk bekerja.

"Sebelum itu kita memang dapati adanya insan-insan gelandangan berkategori seperti ini pada tahun sejak tahun 2003 tetapi tidak seramai seperti hari ini.

"Mereka ini sihat dan mampu bekerja namun enggan melakukan sebarang pekerjaan kerana mungkin mendapat pelbagai kebajikan untuk diri mereka menyebabkan mereka berasakan sudah tidak perlu untuk bekerja lagi," jelasnya.

Arfidah juga berkongsi cerita mengenai seorang individu yang katanya yang telah menjalani kehidupan Mat Berat ini sejak tahun 90-an lagi dan selalu melepak di Dayabumi dan Kota Raya yang kini telah berumur 60 tahun.

Apa yang menariknya mengenai individu ini adalah cara pemakaiannya yang unik iaitu gaya 'Rockers' tanpa mengubah penampilannya biarpun telah berpuluh tahun.

Dalam pada itu Arfidah menambah, dalam hal berkenaan bagi menangani masalah masyarakat seperti ini selalunya dia akan mengenal pasti apakah kategori gelandangan berkenaan memberikan mereka bimbingan dan kaunseling

"Seterusnya saya akan mencarikan mereka pekerjaan yang bersesuaian, tetapi selalunya dalam sepuluh yang ditolong hanya dua yang akan berjaya dibantu dan selebihnya mereka akan menjalani kehidupan seperti ini kembali,

"Begitupun setiap langkah saya tidak akan berputus asa, selagi ada kudrat dan daya juga dana secukupnya saya akan berusaha untuk memastikan golongan ini dipulihkan 'pemikiran' mereka kembali, " katanya yang boleh dihubungi di talian 017-3631620. - ROSMAH DAIN

Manfaat susu ibu sepanjang hayat

Posted: 02 Sep 2013 10:57 PM PDT

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar A. RAZAK LATIFF

Seorang jururawat menunjukkan cara menyusu yang betul pada seorang ibu.

SUSU ibu merupakan makanan terbaik untuk bayi kerana mengandungi kesemua nutrien yang diperlukan bagi tumbesaran dan perkembangan otak bayi, mudah hadam dan sentiasa tersedia pada suhu yang tetap.

Di samping itu, bayi yang menyusu ibu sepenuhnya dari lahir sehingga enam bulan yang pertama, mempunyai tumbesaran yang baik dan sihat berbanding bayi yang tidak diberi susu ibu.

Susu ibu lebih selamat dan mengandungi semua nutrisi yang diperlukan oleh bayi yang sihat termasuk 160 asid lemak yang tidak didapati dalam susu formula.

Susu ibu juga amat penting sebagai imunisasi pertama bayi. Secara keseluruhan, nutrisi-nutrisi penting ini yang diberikan ketika bayi masih kecil membantu memberikan kesan jangka masa panjang terhadap perkembangan dan masa hadapan kanak-kanak.

Menurut Pengerusi Persatuan Susu Ibu Hospital Pusrawi, Dr. Asmah Yun Mat Sidek, penyusuan susu ibu memberikan seribu kebaikan kepada bayi dan ibu.

Kesan baik itu bukan hanya dirasai ketika bayi masih kecil namun kekal sepanjang hayat meliputi kesan terhadap perkembangan fizikal, mental, emosi dan pembentukan peribadi seorang anak.

Beliau berkata, menurut kajian Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), penyusuan susu ibu perlu diberikan secara eksklusif.

''Penyusuan susu ibu secara eksklusif bermaksud bayi hanya diberikan susu ibu dalam masa enam bulan pertama selepas kelahiran. Tiada makanan atau minuman lain diberikan pada bayi dalam tempoh tersebut.

"Makanan pelengkap hanya dimulakan setelah bayi berumur enam bulan dan ke atas. Penyusuan hendaklah diteruskan sehingga bayi berumur dua tahun.

"Dengan gaya hidup masa kini yang sentiasa sibuk, ramai ibu bekerja menghadapi masalah untuk menyusukan bayi mereka.

"Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Ketiga di Malaysia pada tahun 2006, peratusan ibu yang menyusukan bayi bagi sesuatu tempoh adalah 94.7 peratus.

"Walaupun ini merupakan satu kadar yang tinggi, malangnya hanya 14.5 peratus menyusui bayi secara eksklusif selama enam bulan pertama. Ini adalah di antara kadar yang paling rendah di Asia Tenggara.

"Kadar penyusuan secara eksklusif adalah tinggi pada dua bulan pertama, iaitu melangkaui 40 peratus tetapi menurun dengan mendadak selepas bayi berumur dua bulan. Menurut kajian yang sama, lebih separuh daripada bayi tersebut diberi rumusan bayi dan bijirin," kata Dr. Asmah dalam ucapannya pada perasmian dan sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia peringkat Hospital Pusrawi 2013, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau menambah, tema tahun ini Breastfeeding Support: Closer to Mother sesuai dengan matlamat hospital tersebut yang sedang berusaha bagi menggalakkan ibu-ibu yang baru bersalin di hospital tersebut dan seluruh Malaysia untuk menyusukan bayi mereka sendiri.

Sambutan tersebut telah disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Hospital Pusrawi, Dr. Muhamad Fuad Abdullah.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


UDA beri tempoh setahun

Posted: 02 Sep 2013 11:13 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusankota.com.my

Johari Abdul Ghani
Pengerusi UDA Holding Berhad

KUALA LUMPUR 2 Sept. - UDA Holding Berhad memberi tempoh setahun kepada 42 penyewa di Kompleks Pertama di sini bagi melangsaikan tunggakan sewa mereka.

Pengerusinya, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan penyewa terlibat dalam tempoh terdekat bagi mendapat maklum balas mengenai tawaran tersebut.

"Kita akan tanya mereka jika terdapat sebarang kesulitan untuk membayar tunggakan dalam tempoh setahun dan sekiranya ada kita akan sama-sama mencari jalan terbaik untuk mengatasi perkara itu.

"Seorang penyewa mempunyai tunggakan kira-kira RM20,000 dan saya berasa mereka mampu selesaikan tunggakan tersebut dalam tempoh diberikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Rumah Terbuka UDA Holding Bhd. bersama penyewa Kompleks Pertama di sini hari ini.

Menurutnya, pihak penyewa mahupun UDA mempunyai tanggungjawab dan peranan masing-masing yang perlu dimainkan.

"Tindakan penyewa yang tidak membayar sewa menyebabkan pihak UDA terpaksa membayar caj perkhidmatan dan ini menambahkan beban hutang kepada pihak UDA.

"Oleh itu kerjasama antara penyewa dan UDA amatlah penting bagi memastikan peniaga Bumiputera dapat terus menjalankan perniagaan di sini," katanya.

Tambahnya, jumlah keseluruhan tunggakan penyewa kira-kira RM500,000.

"Kita juga akan mengadakan promosi bagi membantu penyewa yang mempunyai tunggakan sewa ini bergantung kepada jenis perniagaan yang dijalankan," tambahnya.

Penduduk tanggung derita

Posted: 02 Sep 2013 11:13 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 2 Sept - Kewujudan gerai haram berhampiran Pangsapuri Desa Tasik Fasa 1A, Sungai Besi di sini terus menimbulkan kebimbangan penduduk.

Mereka mendakwa kegagalan pihak berkuasa tempatan memantau kegiatan itu menyebabkan peniaga semakin bermaharajalela sehingga penduduk terpaksa menanggung sengsara.

Selain kesesakan lalu lintas, penduduk turut berhadapan dengan masalah keselamatan dan kebersihan ekoran pasar malam yang dibuka di kawasan berhampiran.

Timbalan Pengerusi Persatuan penduduk, Rusli Ismail berkata, aduan berkaitan sudah dikemukakan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), namun tidak ada sebarang tindakan diambil.

Menurutnya, penduduk tidak ada niat menutup periuk nasi peniaga terlibat, namun apa yang perlu diutamakan soal keselesaan dan keselamatan penduduk di kawasan itu.

Kesesakan di kawasan itu berlaku terutama pada waktu puncak bermula dari pukul 7 pagi dan 6 petang.

Sejak pasar malam itu beroperasi peniaga dan pengunjung dengan sewenang-wenangnya meletakkan kereta mereka di kawasan pangsapuri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengetuai sesi bantahan penduduk pangsapuri berkenaan berhubung kewujudan gerai haram dan operasi pasar malam di Pangsapuri Desa Tasik Fasa 1A, Sungai Besi di sini.

Pemandu teksi, R.Thavarajoo, 57 pula berkata, kesesakan di situ sering menyukarkan dia untuk mengambil dan menurunkan penumpang di kawasan berhampiran.

Katanya, disebabkan kesesakan tersebut dia terpaksa mengambil masa antara 20 minit hingga setengah jam untuk pergi ke pekan Sungai Besi yang jaraknya kira-kira 500 meter dari rumahnya.

Laluan di sini sangat sempit sehingga ada ketikanya saya terpaksa meletakkan kenderaan jauh dari kawasan pangsapuri.

Turut meluahkan perasaan sama, Tan Chin Tian, 63.

Katanya, kesesakan lalu lintas merupakan masalah utama yang terpaksa dihadapi penduduk di situ.

Pihak berkuasa perlu turun padang dan melihat sendiri bagaimana kesesakan di kawasan ini.

Keadaan ini benar-benar menyusahkan," katanya.

Gangguan air: Capai tahap 96 peratus pemulihan

Posted: 02 Sep 2013 11:13 AM PDT

Penduduk Pangsapuri Mesra Ria, Taman Pandan Mesra, Ampang beratur panjang untuk mengambil air dari lori tangki Syabas akibat masalah ketiadaan air sejak Jumaat lalu - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Beberapa kawasan di Lembah Klang yang mengalami gangguan air ekoran tumpahan minyak diesel di Sungai Selangor kini sudah mencapai tahap pemulihan 96 peratus secara berperingkat meskipun terdapat beberapa kawasan yang masih mengalami tekanan air rendah.

Menurut Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Priscilla Alfred, tujuh kawasan yang mengalami gangguan bekalan air itu ialah Petaling, Kuala Lumpur, Klang/Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

"Sehingga pukul 12 tengah hari tadi, hanya empat kawasan iaitu Petaling, Kuala Lumpur, Klang/Shah Alam dan Gombak masih mengalami tekanan air rendah manakala bekalan air telah kembali pulih sepenuhnya di kawasan-kawasan di Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, pencapaian ini

hasil dari usaha berterusan pihak Syabas memantau dan mengendali urus program pemulihan bekalan air termasuk mendapatkan kerjasama dari operator loji rawatan air berkenaan bagi mengoperasikan loji-loji rawatan air tersebut ke tahap maksima dan overload selepas ianya beroperasi semula.

"Oleh yang demikian, jumlah akaun pengguna yang terjejas telah menurun pantas kepada 63,390 akaun yang merupakan hanya 4.2 peratus daripada jumlah akaun pengguna yang terjejas sebelum ini berbanding dengan kira-kira sejumlah 880,000 akaun atau pun 60 peratus sepertimana dilaporkan sebelum ini pada Sabtu lalu," katanya.

Menurutnya, antara kawasan di wilayah Klang/Shah Alam yang terjejas ialah Batu 3,Shah Alam, Seksyen 25 hingga 28 Shah Alam dan Kampung Kebun Bunga.

Bagi wilayah Gombak kawasan terlibat ialah Ampang Jaya, Bandar Baru Ampang dan Taman Sri Rampai.

Turut terjejas wilayah Petaling di Desa Petaling, Salak Selatan dan Bandar Puchong Jaya.

"Bagi wilayah Kuala Lumpur pula kawasan terjejas meliputi sebahagian kawasan Bukit Damansara, Jalan Setiabudi 12 dan Jalan Setiarasa 13," katanya.

Pada Jumaat lalu, empat loji rawatan air (LRA) yang diuruskan oleh Puncak Niaga Holdings Bhd. dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd (Splash) terpaksa dihentikan sementara operasinya akibat pencemaran tumpahan minyak diesel yang berlaku di hulu sungai di sekitar kawasan Rawang.

Menurut Priscilla, berikutan penurunan jumlah akaun pengguna yang terjejas itu, Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Merah yang telah diaktifkan sejak Jumaat lalu diturunkan kepada ERP Kod Kuning berkuatkuasa pada pukul 10 pagi hari ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Lebih banyak CCTV pada 2015

Posted: 02 Sep 2013 11:13 AM PDT

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

Mohamed Khaled Nordin diberi penerangan oleh Ismail Yatim mengenai CCTV ketika menghadiri taklimat mengenainya di IPD Nusajaya, semalam.

JOHOR BAHRU 2 Sept. - Dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan di Iskandar Malaysia sekali gus menyediakan persekitaran selamat, sebanyak 1,467 kamera litar tertutup (CCTV) dengan kos RM245 juta akan dipasang dalam lima fasa menjelang 2015.

CCTV berteknologi tinggi itu mempunyai kemampuan antaranya membuat pengecaman wajah, melakukan zoom optikal sebanyak 37 kali iaitu dapat merakam imej kecil dari jauh dan memantau aktiviti orang ramai dalam parameter ditetapkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pemasangan CCTV itu selaras dengan fokus utama disuarakan rakyat yang mahukan persekitaran selamat menerusi kaji selidik Suara Hati Johor yang dijalankan kerajaan negeri.

Menurutnya, Polis Kontinjen Johor dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) sudah pun memulakan pemasangan sebanyak 250 CCTV dan dijangka memulakan operasi pada Oktober ini.

"Bagi fasa pertama, CCTV itu akan dipasang di kawasan Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah dengan pusat kawalan terletak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya dan Johor Bahru Utara melibatkan beberapa kawasan panas yang dikenal pasti.

"Fasa kedua yang dijangka beroperasi Januari tahun depan pula melibatkan pemasangan 165 CCTV di kawasan Majlis Perbandaran Kulaijaya dan dikawal IPD Kulaijaya," katanya dalam lawatan kerja ke pusat kawalan CCTV di IPD Nusajaya, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia, R. Vidyananthan; Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim dan Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri juga dalam proses memohon peruntukan daripada Kerajaan Pusat bagi membolehkan fasa ketiga pemasangan CCTV teknologi tinggi di kawasan pelaburan dan yang pesat membangun itu dapat dimulakan.

Dalam pada itu, tambahnya, di Iskandar Malaysia juga terdapat lebih 100,000 CCTV yang dipasang pemilik premis atau orang persendirian dan daripada jumlah itu sebanyak 1,221 CCTV dikenal pasti boleh dihubungkan dengan pusat kawalan polis.

Minta Kerajaan Pusat siapkan segera IPD Nusajaya

Posted: 02 Sep 2013 11:13 AM PDT

JOHOR BAHRU 2 Sept. - Kerajaan negeri meminta Kerajaan Pusat mempercepat proses pembinaan bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya baharu di kawasan yang dikenal pasti berdekatan Kota Iskandar di Nusajaya di sini.

IPD Nusajaya yang kini beroperasi di kawasan rumah kedai di Bukit Indah di sini, bakal dipindahkan ke bangunan baharu yang bakal dibina di atas tapak seluas 8.1 hektar dengan kos dianggarkan sebanyak RM100 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha memindahkan IPD Nusajaya ke bangunan baharu itu bersesuaian dengan keperluan Nusajaya sebagai kawasan yang membangun dengan pelbagai kemajuan dan pelaburan.

"Kita minta usaha membina IPD Nusajaya yang baharu itu dapat dipercepatkan," katanya kepada pemberita dalam lawatan kerja ke pusat kawalan kamera litar tertutup (CCTV) di IPD Nusajaya, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia, R. Vidyananthan; Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, kini terdapat sebanyak 13 IPD di seluruh negeri dan sebanyak dua IPD lagi bakal dibuka masing-masing IPD Pengerang dan IPD Yong Peng dalam usaha memantapkan lagi tahap keselamatan di kawasan terlibat.

Tambahnya, usaha tersebut juga mampu meningkatkan keberkesanan polis dalam menjaga keselamatan di tempat terlibat selain mengeratkan hubungan antara polis dan orang awam menerusi pelbagai pendekatan.

"Dalam lawatan kerja hari ini saya diberi taklimat mengenai tahap keselamatan di Johor selain usaha yang giat dijalankan polis dalam menangani sebarang bentuk jenayah dan saya berpuas hati dengan komitmen mereka di negeri ini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Rakyat diminta bersabar kenaikan harga minyak

Posted: 03 Sep 2013 02:13 AM PDT

NANNING 3 Sept. - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed meminta rakyat supaya bersabar dan memahami bahawa tindakan kerajaan mengurangkan subsidi bertujuan mengelak kesan yang lebih buruk atau "meletup" pada masa depan.

"Rakyat kena bersabar dan faham apa yang kita buat, semuanya semata-mata untuk kebaikan rakyat dan kerajaan. Kalau kita teruskan (subsidi), akan bagi kesan yang lebih serius kepada negara," katanya.

Beliau berkata, kerajaan memberi subsidi untuk barangan keperluan seperti tepung, minyak masak, tong gas dan sebagainya, namun kerajaan mesti mengawal defisit yang boleh menjejaskan penarafan kredit Malaysia.

"Apabila defisit kita bertambah, penarafan kita menurun, persepsi negara negatif, dan ini akan menjejas pelaburan masa depan dan menyusahkan cucu-cicit kita," kata Mustapa pada sidang media selepas perbincangan dengan peserta pameran Malaysia pada Ekspo China-Asean ke-10 (CAEXPO).

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter berkuat kuasa pada Selasa.

Mustapa berharap tindakan mengurangkan subsidi ini tidak memberi kesan yang terlalu besar kepada rakyat.

"Kita akan mengurangkannya secara perlahan-lahan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan membelanjakan RM20 bilion setahun ke atas subsidi minyak dan gas, yang merupakan angka yang besar.

"Kita bukannya tak boleh beri subsidi... kerajaan akan terus bagi subsidi, namun jumlahnya kena dikawal," katanya.

Pada Julai, agensi penarafan dunia Fitch Ratings menyemak unjuran penarafan kredit Malaysia daripada stabil kepada negatif. - BERNAMA

Kenaikan petrol tidak jejas harga hasil pertanian

Posted: 03 Sep 2013 01:56 AM PDT

Oleh NURUL AKMAR AIDA SUHAIMI

KOTA BHARU 3 Sept. - Kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter yang diumumkan kerajaan semalam tidak menjejaskan harga hasil pertanian kepada pengguna.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak berkata, walaupun harga minyak dinaikkan , namun harga produk pertanian di ladang sentiasa stabil dan jika ada pun kenaikan pun tidak banyak sehingga membebankan pengguna.

"Seperti yang kita tahu, kos minyak merupakan satu kos pemasaran tetapi jika petani dapat mengeluarkan hasil pengeluaran yang banyak, kenaikan kos tersebut tidak menjadi begitu ketara kepada mereka.

"Jadi, kita mahu pertingkatkan lagi produktiviti pengeluaran pertanian di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri FAMA di Pusat Tansformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan di Tunjong di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Sambutan Aidilfitri Mandailing Malaysia di Chemor meriah

Posted: 03 Sep 2013 01:42 AM PDT

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI

RAMLI Abdul Karim Hasibuan (kanan) bersalaman dengan Ahmad Husni Hanadzlah selepas beliau memakaikan ulos (selempang) kepada Menteri Kewangan II itu di Sambutan Aidilfitri Persatuan Halak Mandailing Malaysia di Kampung Batu 9 Chemor di Ipoh, kelmarin. - UTUSAN

IPOH 3 Sept. - Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat kebangsaan anjuran Persatuan Halak Mandailing Malaysia di Kampung Batu 9, Chemor di sini kelmarin berlangsung meriah dengan kehadiran hampir 2,000 orang berketurunan suku tersebut dari seluruh negara.

Program dihadiri pelbagai lapisan umur suku kaum tersebut yang datang dari seluruh tanah air, kebanyakannya dari Perak, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur selain sebahagian dari Kedah, Pahang, Johor serta Melaka.

Sambutan dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Kewangan II merangkap Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah selaku tetamu kehormat dan pemimpin tempatan berketurunan Mandailing iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Integrasi Nasional Perak, Datuk Rusnah Kassim.

Pada majlis itu, Presiden Persatuan Halak Mandailing Malaysia, Ramli Abdul Karim Hasibuan turut memakaikan ulos iaitu sejenis selempang tradisional suku tersebut kepada Ahmad Husni sebagai tanda penghargaan.

Yang turut hadir, Ahli-ahli Majlis Penasihat Mandailing Malaysia, Datuk Ahmad Tamimi Siregar Kamaruddin, Datuk Raduan Md. Taib dan Raja Annuar Datuk Raja Mohamed.

Selain itu ialah Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Abd. Rahim Uda; bekas Exco kerajaan negeri, Datuk Mazidah Zakaria dan bekas Ahli Dewan Negara, Datuk Azumu Tak.

Suasana gembira jelas terasa pada majlis tersebut apabila mereka yang hadir dihiburkan persembahan budaya warisan masyarakat Mandailing iaitu Gordang Sambilan Mandailing dan Tor-Tor Mandailing serta persandingan mengikuti budaya suku itu.

Tetamu dihidangkan dengan jamuan makan tengah hari makanan tradisional Mandailing termasuk gulai pucuk ubi tumbuk, rendang, lemang dan kuih-muih tradisional.

Ketika ditemui, Ramli berkata, majlis tersebut diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan rakyat berketurunan suku Mandailing dari seluruh negara terutamanya yang berada di Perak.

Menurut beliau, lokasi majlis itu diadakan juga amat signifikan kerana di situlah lahir ramai tokoh negara khususnya, Aminuddin Baki yang mendapat jolokan 'Bapa Pendidikan Malaysia'. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Fasa kedua NCIA di Perak dilancar

Posted: 02 Sep 2013 11:13 AM PDT

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

Zambry Abdul Kadir

TAIPING 2 Sept. - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir hari ini melancarkan secara rasmi Fasa Kedua Pelan Pembangunan Koridor Utara di Perak yang antara lain memberi penekanan kepada penyediaan infrastruktur bagi projek 'Greater Kamunting'.

Zambry berkata, penyediaan infrastruktur itu berpotensi menarik pelaburan sebanyak RM18 bilion melalui 34 projek permulaan sekali gus bakal memberi impak pertumbuhan ekonomi dan perindustrian negeri Perak.

"Dalam konteks negeri Perak, pelaburan yang berjaya ditarik oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bagi tahun ini sehingga kini adalah sebanyak RM166.5 juta.

"Projek pertama bagi 'Greater Kamunting' akan bermula sebelum hujung tahun ini dengan pelaburan sebanyak RM400 juta membabitkan kerjasama antara syarikat tempatan dan luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan pembangunan fasa kedua Koridor Utara dan jamuan Aidilfitri di pejabat baru NCIA di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq.

Dalam pada itu, Zambry berkata, bagi fasa kedua Pelan Pembangunan Koridor Utara, kerajaan sudah melihat semula peranan NCIA bagi membantu merangsang pertumbuhan selain menarik pelaburan negeri.

Sehubungan itu, katanya, pembangunan 'Greater Kamunting' yang telah dipersetujui Kerajaan Pusat diharap dapat menjadi model taman teknologi tinggi seperti di Kulim, Kedah sekali gus memangkin pembangunan di kawasan-kawasan sekitarnya.

"Projek ini akan menjadi tarikan pelaburan kepada pemain industri besar di seluruh dunia kerana kita bukan sahaja menumpukan kepada perindustrian, malah termasuk industri berasaskan teknologi hijau," katanya.

Pelabuhan darat baharu di Perlis

Posted: 02 Sep 2013 11:13 AM PDT

Oleh SHOLINA OSMAN
utusanperlis@utusan.com.my

Sabry Ahmad (kiri) diberi penerangan ketika mengadakan lawatan dan pemantauan projek Landasan Kereta Api Berkembar dan Perkhidmatan Kontena di Terminal Multi Modal Padang Besar di Stesen Kereta Api Padang Besar, Perlis, semalam.

PADANG BESAR 2 Sept. - Kerajaan negeri bercadang mewujudkan sebuah pelabuhan darat di Perlis di kawasan seluas 81 hektar berdekatan stesen kereta api yang dijangka siap pertengahan tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Pembangunan Wilayah Negeri, Sabry Ahmad berkata, perancangan itu bersesuaian dengan projek Landasan Kereta Api Berkembar yang bakal menjadi tarikan baharu ke negeri ini.

Beliau berkata, projek itu juga berikutan permintaan kemasukan kontena dari negara jiran menggunakan pengangkutan kereta api sebanyak 25,000 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) kontena setiap hari.

"Sekarang ini kita hanya dapat menampung 10,000 TEU kontena setiap hari," katanya dalam sidang akhbar semasa mengadakan lawatan dan pemantauan projek Landasan Kereta Api Berkembar dan Perkhidmatan Kontena di Stesen Keretapi Padang Besar, di sini hari ini.

Sabry berkata, hasil pemantauannya juga mendapati urusan lori kontena yang menggunakan perkhidmatan Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) ketika ini sangat sesak.

Dalam masa sama, kata beliau, adalah kerugian kepada negeri ini jika tidak dapat menampung permintaan tersebut.

Katanya, negara jiran lebih suka menggunakan perkhidmatan kereta api untuk menghantar kontena ke pelabuhan di seluruh negara kerana harganya lebih murah.

"Sewa penghantaran satu TEU kontena dari sempadan Malaysia-Thai iaitu Padang Besar ke Pelabuhan Pulau Pinang dengan lori dikenakan bayaran RM1,200 manakala dengan kereta api hanya RM300," katanya.

Katanya, beliau juga akan berbincang dengan pihak Pelabuhan Pulau Pinang esok untuk mencari jalan terbaik berkaitan isu itu.

Polemik tanah sekolah Tamil di Perak selesai

Posted: 02 Sep 2013 11:13 AM PDT

IPOH 2 Sept. - Polemik siapa yang akan menguruskan tanah seluas 809 hektar kurniaan kerajaan negeri untuk membantu pembangunan dan kemajuan 134 sekolah Tamil di Perak sejak 2009 akhirnya tamat selepas tanggungjawab tersebut diserahkan kepada Yayasan Pembangunan Pendidikan India Perak selaku pemegang amanah.

Ketika mengumumkan perkara tersebut di sini baru-baru ini, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, keputusan tersebut termasuk pemilihan ahli lembaga pengarah yayasan itu diputuskan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Senarai mereka yang akan menduduki Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pembangunan Pendidikan India Perak dimaklumkan kepada kami oleh Pejabat Perdana Menteri hari ini.

"Mereka terdiri daripada kalangan yang dihormati dalam masyarakat India dari pelbagai latar belakang dan sanggup memberikan komitmen tinggi bagi membantu memajukan pendidikan kaum India," katanya.

Menurut Zambry, dengan pengumuman secara rasmi itu, beliau berharap kumpulan yang bertelagah tidak memanjangkan polemik tersebut demi kepentingan masyarakat India di negeri ini.

Beliau tidak mahu niat murni kerajaan negeri untuk membantu pendidikan masyarakat India di Perak diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk meraih laba politik.

"Jangan ada pihak ambil kesempatan untuk menghentikan, menggagalkan atau melengah-lengahkan perkara ini kerana yang akan rugi akhirnya ialah masyarakat India di negeri ini. Lagipun, masyarakat India di Perak masih ketinggalan dalam pendidikan dan kemiskinan," katanya.

Dalam sidang akhbar itu, beliau turut mengumumkan senarai nama lapan orang ahli lembaga pengarah yayasan berkenaan yang dipengerusikan Pengerusi Majlis Guru Besar Sekolah-sekolah Tamil Perak, S. Muniandy selaku pengerusi.

Tujuh lagi ahli lembaga pengarah ialah Penyelaras Sri Murugan Centre Perak, K. Nachemuthu; dua bekas timbalan menteri, Tan Sri K. Kumaran dan Datuk S. Veerasingam;Pengurus Besar National Land Finance and Co-Operative Society (NLFCS), Datuk B. Sahadevan; Penyelaras Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah-sekolah Tamil, Prof. Dr. N. Rajendran dan penilai sijil kemahiran Malaysia, S. Thillainathan.

Menteri Besar turut menunjukkan surat hak milik tanah tersebut atas nama Yayasan Pembangunan Pendidikan India Perak.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Melaka berjuang hak pertanian

Posted: 02 Sep 2013 11:13 AM PDT

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

HASAN Rahman (tengah) bersama Mohd. Nawi Othman (bertopi) memotong kek perasmian Majlis Sambutan Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan anjuran FAMA di Pasar Tani Merlimau, Jasin, Melaka, kelmarin.

JASIN 2 Sept. - Melaka berhasrat mendapatkan pengiktirafan sebagai Showcase Pertanian Negara dalam usaha kerajaan negeri membangunkan beberapa sektor bidang berkenaan yang telah diusahakan secara aktif selama ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman berkata, pengiktirafan itu juga mampu menjadi landasan dalam memperjuangkan hak golongan peladang, penternak dan nelayan di negeri ini secara lebih proaktif.

"Antara fokus utama Melaka melalui pengiktirafan itu termasuk membangunkan sektor perladangan, pertanian sederhana, pendidikan pertanian, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan beberapa sektor lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis Hari Raya Aidilfitri 2013 dan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri di Tapak Pasar Tani Merlimau di sini semalam.

Yang turut hadir Pengarah FAMA negeri, Mohd. Nawi Othman dan Pengerusi Pasar Tani Melaka, Jamaluddin Arsah.

Menurut Hasan, melalui status sebagai Showcase Pertanian Negara juga, Melaka mahu memohon kerajaan Pusat melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani agar mengkaji semula peruntukan pembangunan pertanian kepada Melaka bagi tahun hadapan.

"Melaka hanya mendapat RM820,000 sebagai peruntukan pertanian untuk tahun hadapan berbanding negeri-negeri pembangkang seperti Kelantan dan Selangor yang mendapat peruntukan lebih RM20 juta.

"Oleh itu, perkara ini perlu dikaji semula dan jumlah peruntukan tersebut mestilah berada pada angka yang lebih munasabah," ujarnya.

Di peringkat negeri katanya, Unit Perancang Ekonomi Melaka (UPEM) diminta berhubung dengan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri untuk berbincang mengenai perkara itu.

"Jumlah berkenaan terlalu sedikit dan tidak dapat membantu kerajaan negeri untuk melaksanakan usaha pembangunan dalam sektor tersebut seperti yang telah dirancang.

"Jumlah itu juga tidak dapat diagih-agihkan kepada agensi-agensi di bawah portfolio Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri seperti FAMA dan lain-lain dalam usaha mengubah imej pasar tani bersesuaian dengan status negeri maju," jelasnya.

KRT wajar diberi lonjakan baharu

Posted: 02 Sep 2013 11:13 AM PDT

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my

MOHAMAD Hasan bersalaman dengan penduduk ketika merasmikan KRT Paroi Jaya, Seremban, semalam.

SEREMBAN 2 Sept. - Peranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) perlu diberi lonjakan baharu untuk menyaksikan keberadaan mereka dalam masyarakat dihormati sekali gus menjadi agensi rujukan dalam mengekang isu jenayah dan kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu, KRT perlu menduduki barisan hadapan dalam lingkungan kawasan yang diselia iaitu di taman perumahan supaya penduduk lebih yakin dengan kehadiran mereka.

"Peranan yang dimainkan hendaklah melata, bukan sekadar bertindak menjaga keamanan kawasan yang diselia, tetapi lebih daripada itu menyatupadukan rakyat berbilang kaum dengan menganjurkan aktiviti secara bersama.

"Ini harus dilakukan oleh semua KRT melalui jawatankuasa mereka, serta memastikan wujud penyertaan dalam kalangan penduduk untuk turut sama menyokong usaha perpaduan atau mengawal keselamatan taman di bawah Skim Rondaan Sukarela (SRS)," katanya sewaktu merasmikan KRT Paroi Jaya, dekat sini hari ini.

Mohamad mengakui sumbangan KRT begitu besar dalam menjaga keselamatan taman perumahan dan lebih dihargai kerana mereka dapat menyatukan rakyat di situ.

"Memang mereka yang terlibat ini tiada insentif dan mereka yang menyertai KRT dan SRS ini melakukannya kerana rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap keamanan dan cintakan negara.

"Kerajaan negeri sentiasa sahaja membantu dan menjayakan apa juga program yang hendak dibuat oleh KRT ini," katanya.

Walau bagaimanapun, Mohamad memberitahu, sudah tiba masanya KRT diperkasa dan dinilai semula peranan yang dimainkan kerana kini semakin mencabar.

"Sudah sampai masanya Kerajaan Pusat memikirkan tentang imbuhan yang diterima Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan Kampung (JKKK) ini diberikan juga kepada KRT seluruh negara.

"Sekurang-kurangnya pengerusi, setiausaha, bendahari dan jawatankuasa KRT ini dapat menerima elaun sebagaimana JKKK kerana mereka juga memainkan peranan serupa dalam mensejahterakan rakyat," tegas Mohamad.

Selain itu, beliau turut berharap lebih ramai generasi muda menyertai KRT di taman perumahan masing-masing agar lebih banyak aktiviti dapat dilaksanakan dengan tersusun.

"Kita mahu 'orang muda' turut sama meronda pada waktu tengah malam dan awal pagi serta bersama-sama menyumbang tenaga dan khidmat bagi memastikan penduduk dapat hidup dalam keadaan aman," katanya.

RTC Batu Hampar jana pendapatan penduduk setempat di Rembau

Posted: 02 Sep 2013 11:13 AM PDT

REMBAU 2 Sept. - Projek Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Batu Hampar dekat sini yang dijangka siap tahun depan bukan sahaja meningkatkan taraf hidup rakyat, malahan memberi kemudahan kepada penduduk setempat untuk mendapatkan perkhidmatan pelbagai agensi di bawah satu bumbung.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, projek pertama seumpamanya di negeri ini menelan belanja sebanyak RM30 juta itu sedang rancak didirikan di kawasan lebih lapan hektar dan status projek berkenaan kini mengikut jadual ditetapkan.

Jelas Mohamad, apabila projek berkenaan itu siap sepenuhnya, bukan sahaja akan menjadi pusat perniagaan pelbagai barangan bagi penduduk luar bandar tetapi dapat memberi nilai tambah kepada kehidupan masyarakat setempat.

''Berdasarkan laporan yang saya terima dalam mesyuarat Exco lalu, saya telah ditaklimatkan tentang status projek berkenaan yang telah mula dilakukan sejak bulan Februari lalu dan mengikut jadual.

''Jika tidak ada apa-apa halangan, kita juga akan memanggil para peserta yang berminat untuk diberikan tempat, sama ada pertengahan atau hujung tahun depan," katanya di sini kelmarin.

Jelas Mohamad, turut disediakan adalah 150 kawasan penempatan ditawarkan kepada penerima E-Kasih menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri bagi membolehkan mereka bergiat aktif dalam perniagaan.

Malah katanya, menerusi program ini juga nanti mereka akan ditunjuk ajar dan dibantu oleh jabatan-jabatan kerajaan yang terdiri daripada pelbagai sektor termasuklah peladangan, penternakan, pertanian dan sebagainya.

''Kita akan pilih. Mereka ini berkebolehan tetapi terdapat kekangan dari segi modal dan sebagainya. Sebaik berjaya nanti, mereka boleh pilih sama ada meneruskannya atau berhijrah untuk memberikan peluang itu kepada orang lain," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Negara jimatkan RM1.1 bilion

Posted: 02 Sep 2013 11:13 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Jangan naik harga barang - Hasan

Posted: 02 Sep 2013 11:13 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kerajaan komited rasionalisasi subsidi - PM

Posted: 02 Sep 2013 11:13 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved