Isnin, 2 September 2013

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Bersedia laksanakan PPPM

Posted: 02 Sep 2013 11:13 AM PDT

TAN Sri Dr. Abdul Rahman Arshad, tokoh pendidik ini berseloroh kelmarin apabila ditanya akan usianya.

Katanya, beliau lebih suka umurnya disebutkan terbalik, 67 daripada 76 tahun.

Sambil tertawa kecil, beliau yang ditanya wartawan ZULKIFLI JALIL apa yang akan difikir dan direnungkan saat ini sebaik sahaja Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan mengeluarkan satu resolusi memperingatkan kerajaan agar berhenti daripada menjadi mangsa peras ugut pihak tertentu, kata orang lama ini:

"Saya tidak persoalkan dasar itu dan cuma kita perlu sesuaikan dengan keadaan. Mesti ada penilaian dari waktu ke waktu serta suatu pembetulan dilakukan.

"Kalau ada satu perancangan seperti mana Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, kita mesti pastikan ia mencapai matlamat dan ini bergantung kepada kemampuan kita melaksanakannya. Dan akhir sekali, jentera yang melaksanakannya mestilah bersedia," kata beliau.

Ikuti luahan hati Abdul Rahman dalam perbualan selama 15 minit dengan penulis menerusi telefon kelmarin.

1. Soal perpaduan

n "Inilah yang saya risau sangat selepas selesai PRU-13 (Pilihan Raya Umum ke-13) yang akibatnya apa yang ternampak begitu nyata. Iaitu pertama, soal perpaduan negara masih tidak ada. Kedua, (sentimen) perkauman masih tebal. Kita sudah merdeka 56 tahun yang bertujuan untuk membentuk satu pasukan (bangsa Malaysia), namun sampai sekarang soal perpaduan tidak ada. Ada, tapi tak nampak.

Kenapa? Barangkali sistem pendidikan kita yang menghala kepada dua sistem yang saya tidak tahu adakah negara lain mempunyai konsep yang sama. Bahasa pengantar kita bahasa Melayu dan satu lagi bahasa Cina dan Tamil walaupun di sekolah rendah.

Sekarang, ada pula sekolah swasta Cina lagi. Kalau seseorang murid itu dari sekolah rendah, dia akan memasuki pula sekolah menengah Cina. Bila masanya akan ada perpaduan kalau tidak ada titik pertemuan.

Dong Zong (Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia) pula mahukan guru-guru yang mengajar bahasa Melayu ke sekolah Cina mesti lulus bahasa Mandarin. Apa kaitan Bahasa Mandarin dan Bahasa Melayu?

Justeru, dalam hal ini, Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan yang berlangsung kelmarin bersetuju untuk memperbetulkan keadaan ini iaitu pasukan untuk pendidikan ini perlu teruskan pencapaian tiga matlamat."

2. Matlamat

n "Tiga matlamat itu adalah yang pertama, sistem pendidikan perlu dibentuk untuk melahirkan perpaduan. Malaysia didiami masyarakat majmuk. Kalau dibiarkan soal ini dengan mengikut cara sendiri atau masing- masing, perpaduan tidak akan tercapai.

Kalau ada perpaduan pula, oleh kerana kita di Malaysia, kita perlu junjung hasrat negara yang perlu ada sikap keMalaysiaan. Rancangan-rancangan berteraskan kaum perlu ada supaya jangan ada anasir-anasir yang 'pecah' iaitu anggap segala-galanya berlandaskan nasionalisme. Di Malaysia ini, perlu ada sifat kebangsaan, sejarahnya panjang dan perlu ada penilaian kesetiaan.

Dan kalau ada perpaduan dan jika ada kewarganegaraan, itu pun masih belum lengkap. Pendidikan harus mencipta kemajuan untuk negara. Dari segi pendidikan, ia harus bertitik untuk kemajuan akan datang. Yang belum maju dimajukan.

Ini bererti sekolah-sekolah luar bandar perlu dibantu untuk maju. Segala pendidikan perlu berteraskan aspek-aspek ini kalau tidak nanti akan bercanggah."

3. Jangan benarkan ia...

n "Kalau kita bercakap soal mahukan perpaduan, maka apa yang dituntut oleh Dong Zong inilah yang boleh mengundang perpecahan.

Orang ini akan minta kalau sesuatu itu bercanggah (dengan semua). Sepatutnya jangan dibenarkan tuntutan-tuntutan sebegini. Kalau dilayan, memanglah salah kita. Cuma, ia boleh dibenarkan asalkan memenuhi tiga syarat tadi. Kalau ini tidak ada sifat kewarganegaraan dan kebangsaan, jika dibenarkan, tak tahulah. Kalau ada perpaduan tapi tak ada kemajuan, salah juga. Kalau tidak ada keMalaysiaan, tak boleh juga. Perlu ini semua digabungkan.

4. Nak buat macam mana, masa berubah...

n "Ya, saya setuju bahawa keadaan berubah dari semasa ke semasa. Dulu kita kekurangan, sekarang negara bertambah maju dan orang-orang ini ambil kesempatan nak itu ini. Bagi saya, dengan keadaan berubah ini menyebabkan kerajaan berasa kajian yang berlaku dulu harus diperbaiki supaya negara bertambah maju. Apa bentuknya masyarakat untuk masa hadapan? Kalau itu bentuknya, maka kita harus aturkan pendidikan ke arah itu. Misalnya, perlu belajar dua bahasa sedangkan dulu tidak ada keperluan ini. Sebabnya sekarang kita masuk dunia sejagat - dunia tanpa sempadan. Dulu kita cuma belajar, kini perlu juga mencipta. Kalau kita dulu lain, sekarang lagi lain untuk memenuhi kehendak masa depan.

Jadi, dalam hal ini saya hendakkan satu ketegasan daripada pihak kerajaan. Bimbang, semua akan bimbang. Kalau tidak ada ketegasan lagilah kita bimbang dalam mencipta yang baik untuk negara. Jangan dialunkan oleh permintaan yang tidak sesuai dengan masa depan negara.

Ini, politik, politiklah juga tapi perlu berlandaskan kepada sifat kenegaraan. Politik perlu sama dengan harapan kenegaraan. Politik ke arah salah jangan kita ikut.

Justeru, Kongres mesti ambil kesempatan ini kerana keadaan akan berubah dari waktu ke waktu. Perlu sesuaikan dengan keadaan pendidikan hari ini kerana kita cukup takut kalau tersalah arah. Kalau penilaiannya di pertengahan jalan, kalau terserong, kita masih boleh perbetulkan balik.

5. Masalah besar kalau...

n Orang yang fikirkan pelaksanaan dasar ini mesti pastikan ia selari dengan orang yang akan melaksanakannya. Fikiran mesti selari. Kalau orang bawah tak tahu, hanya orang atas sahaja yang faham, pasti pelaksanaan dan matlamatnya tidak akan sampai.

Ini masalah besar. Kita ada hampir 500,000 guru. Ini bilangan yang cukup besar. Mesti ada gerakan untuk menyediakan mereka faham dasar ini dan boleh melaksanakannya.

Ini kita kena fikir baik-baik bagi mengelak akhirnya matlamat tak sampai. Kita mesti ingat! keadaan cukup berbeza dari sekolah ke sekolah. Keadaan yang melingkungi orang (murid dan guru) di Kuala Lumpur berbeza dengan mereka di pedalaman dan luar bandar.

Unsur tersirat di sebalik Tanda Putera

Posted: 02 Sep 2013 11:13 AM PDT

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my

SEBAGAI pembikin filem, Datin Paduka Shuhaimi Baba ketika ini bolehlah dikatakan menjadi mangsa segelintir ahli politik yang bukan sahaja buta sejarah.

Malah, lebih parah lagi golongan itu belum bijak untuk membaca isi dan intipati di sebalik filem berjudul Tanda Putera arahan pengarah wanita tersebut.

Pihak Kerajaan Pulau Pinang kelmarin dan semalam menafikan mengharamkan tayangan filem itu yang dikatakan berbau perkauman. Adegan tidak sampai 10 minit yang memaparkan tragedi 13 Mei 1969 itu dijadikan isu utama pengharaman tayangan tersebut.

Tentunya pengumuman itu sesuatu yang amat mendukacitakan buat keseluruhan karyawan filem yang dibikin dengan kos keseluruhannya berjumlah RM4.7 juta itu. Mereka tentunya tidak sabar untuk melihat reaksi para penonton serta kesan penghayatan daripada tayangan karya terbabit.

Ini bukanlah kali pertama Tanda Putera melalui detik-detik malang, sebaliknya filem terbitan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu telah pun mula merasai bahananya sejak tahun lalu lagi. Sepatutnya ia ditayangkan lebih awal lagi iaitu pada pertengahan September tahun lalu. Namun, kerana bantahan daripada segelintir ahli-ahli politik pembangkang filem itu terpaksa ditangguhkan tayangannya buat sementara waktu.

Dalam hal ini, filem bertemakan kenegaraan itu terpaksa akur dengan sikap toleransi kerajaan yang mengambil kira pandangan semua pihak termasuklah parti politik pembangkang.

Sikap murni penerbit filem itu, Finas dan kerajaan yang mahu beralah serta mengambil kira kepentingan semua aspek menyebabkan perkara itu berlaku.

Namun, selepas diteliti dan diperhalusi tidak nampak di mana mudaratnya Tanda Putera jika ia dipertontonkan kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini. Sebab itulah tiada alasan mengapa filem itu tidak boleh ditayangkan di pawagam-pawagam di seluruh negara mulai hari ini.

Kalaulah sentimen yang sempit dan sengaja dipolitikkan itu terus dimain-mainkan, maka kesannya bukan sahaja akan menimpa industri filem negara, malah Tanda Putera juga akan menanggung kerugian besar jika filem itu terus diperap begitu sahaja. Pada masa sama, para pembikin filem dalam genre patriotik dan kenegaraan tempatan yang lain juga akan menanggung trauma yang sama jika mereka mahu membikin filem seumpama itu pada masa depan.

Setakat ini, belum terdengar bantahan daripada negeri-negeri lain termasuklah di Kedah dan Selangor yang turut dikuasai oleh parti pembangkang iaitu Pas serta Parti Keadilan Rakyat.

Keputusan yang dibuat oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semalam di negeri yang diterajuinya itu mengejutkan banyak pihak kerana ia seperti dilihat bersendirian tanpa melibatkan bantahan daripada keseluruhan hampir 28 juta rakyat di negara ini.

Dalam senario ini, di sinilah terletaknya cabaran Shuhaimi sebagai pembikin filem dalam genre tersebut. Banyak aspek yang beliau telah ambil kira terutama soal sensitiviti agama dan kaum rakyat berbilang bangsa di negara ini.

Justeru, sekelumit adegan yang kononnya ganas dan berbau perkauman itu telah digembar-gemburkan sebegitu rupa.

Sedangkan tidak mustahil banyak lagi adegan yang jauh lebih ganas boleh ditonjolkan dalam filem itu tetapi ia mungkin bukan keputusan yang berada dalam kotak fikiran pengarah terbabit. Tetapi fakta dan sejarah berkait rapat serta mustahil untuk dipisahkan begitu sahaja.

Adalah tidak logik jika adegan yang mahu menggambarkan tentang peristiwa 13 Mei itu tidak disulami dengan adegan-adegan ganas tetapi sebagai pembikin filem Shuhaimi tetap ada batas-batas rasionalnya sendiri.

Malah, tahap kerasionalannya itu jauh lebih besar berbanding adegan ciput yang kononnya dikatakan berbau perkauman yang cuba diperbesar-besarkan dalam filem tersebut. Sebaliknya, para penonton termasuklah ahli-ahli politik pembangkang seharusnya melihat lebih jauh ke dalam iaitu intipati serta maksud yang tersirat di sebalik Tanda Putera itu sendiri.

Bagi yang telah menonton Tanda Putera, filem yang diterbitkan khusus untuk tayangan sempena Hari Kemerdekaan itu sebenarnya bukanlah memaparkan tentang elemen perkauman sebagai topik utamanya.

Sebaliknya, Shuhaimi secara halus cuba mengalihkan tumpuan mereka yang karat pemikirannya dalam isu perkauman ke suatu dimensi pemulihan yang lebih cerah.

Contohnya, dalam Tanda Putera, beliau sebenarnya cuba memaparkan perkara sebaliknya iaitu usaha-usaha yang telah dilakukan oleh tokoh UMNO seperti Tun Dr. Ismail dalam menangani isu perkauman terutama antara Melayu dan Cina seperti yang digambarkan dalam filem itu.

Pelan itu diambil oleh tokoh terbabit sewaktu mulanya tercetus peristiwa berdarah 13 Mei yang antaranya digambarkan tercetus di Kampung Baru, Kuala Lumpur kira-kira 44 tahun lalu.

Malah, sebelum itu lagi, Tanda Putera turut terlebih dahulu memaparkan budi pekerti orang Melayu di sekitar Kampung Baru yang kuat dengan budi bahasa serta tolong menolong mereka tanpa mengira kaum apabila berlakunya insiden seperti itu.

Adegan itu dipaparkan menerusi watak lakonan Kavitha Sidhu yang mewakili bukan Melayu yang terperosok sama dalam kancah sewaktu tragedi tersebut apabila dia mendapat layanan baik dan perlindungan daripada keluarga Melayu di kampung tersebut.

Itu antara segelintir nilai-nilai murni yang seolah-olah mahu menidakkan unsur-unsur perkauman yang kononnya telah mewarnai serta mengotorkan perjalanan cerita Tanda Putera.

Dalam hal ini juga banyak lagi elemen lain yang boleh dikupas bagi menepis terus tanggapan buruk dan penuh dengan prejudis golongan yang buta dalam menafsir bahasa dalam filem yang penuh dengan metafora.

Cuma malangnya, apabila sentimen-sentimen politik lebih kuat melangkaui pemikiran dalam bahasa-bahasa filem, maka apa juga yang diputuskan matlamatnya adalah lebih menjurus ke arah matlamat berpolitik golongan terbabit.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Webisod persembahan Prema Yin di premayin.com

Posted: 02 Sep 2013 02:46 AM PDT

PREMA Yin membuat persembahan sambil memetik alat muzik tradisional India, sita sempena pelancaran album terbarunya di Plaza Kristal, Petaling Jaya hari ini. - UTUSAN

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Penyanyi indie, Prema Yin bakal melancarkan dokumentari mini berepisod atau webisod yang memaparkan aksinya membuat persembahan secara spontan di tempat-tempat umum yang boleh mula disaksikan bermula esok.

Video sebanyak 10 episod yang berdurasi selama 10 hingga 12 minit setiap episod itu boleh ditonton di laman web www.premayin.com.

Selain itu, penyanyi 27 tahun yang popular dengan lagu Menarilah dan Eyo-Eyo itu bakal melancarkan sebuah album mini yang mengandungi lima buah lagu awal tahun hadapan. - UTUSAN ONLINE

Spring lancar album baharu selepas 9 tahun

Posted: 01 Sep 2013 10:22 PM PDT

KUALA PILAH 2 Sept. - Kumpulan Spring yang telah sembilan tahun menyepi kini kembali dengan pelancaran single album terbaharu, 'Spring-Slavemaster, di bawah naungan syarikat Bayintera Network Sdn Bhd.

Majlis pelancaran album yang memuatkan dua buah lagu bertajuk Pengemis dan Titipan itu disempurnakan Exco kerajaan Negeri Sembilan Datuk Norhayati Omar di sini malam tadi.

Ia sempena majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Ketua Pegawai Eksekutif Bayintera Network Sdn Bhd, Datuk Baharin Abdullah di Jalan Bahau, Juasseh dekat sini.

Bercakap kepada pemberita, ketua kumpulan Zaha Mohd berkata album berkenaan adalah sebagai hadiah dan tanda terima kasih buat penyokong, peminat yang tidak jemu memberi sokongan serta galakan untuk Spring terus bertapak dalam industri muzik tanah air.

"Kita menghasilkan sebuah konsep lagu dan susunan muzik yang lebih segar dan moden agar kehadiran kumpulan kami dapat memberikan satu tranformasi dalam menelusuri arus ritma muzik tanah air," katanya.

Selain Zaha (gitar utama) sebagai anggota lama, Spring turut dianggotai muka baharu iaitu Mizal (bass), Fayzaid (keybord) dan Adeen (drum) serta penyanyi Jai.

Sementara itu, Baharin berkata sebanyak RM100,000 diperuntukkan bagi menghasil dan mempromosikan album single kumpulan itu. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Amaran kepada GLC negeri

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 1 Sept. - Syarikat milik kerajaan (GLC) negeri perlu bersedia berdepan dengan sebarang tindakan sekiranya didapati menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) berkata, setiap GLC negeri ini sudah pasti sedar dengan dasar dan undang-undang ditetapkan kerajaan berhubung perkara berkenaan.

Beliau berharap tiada mana-mana syarikat terutamanya yang memiliki ladang didapati melanggar kesalahan tersebut terutama dalam operasi memburu PATI yang sedang dijalankan.

"Saya harap mereka (GLC negeri) sendiri patut tahu dan tidak terlibat kerana saya percaya siapa pun didapati berbuat demikian akan dikenakan tindakan tegas oleh Kementerian Dalam Negeri.

"Mereka patut sedar dan ia tidak sepatutnya berlaku," katanya ketika diminta mengulas sama ada GLC negeri terutama yang mempunyai ladang bersedia memberi kerjasama dalam operasi besar-besaran memburu PATI bermula hari ini.

Mohamed Khaled ditemui pemberita dalam majlis Sambutan Aidilfitri UMNO Tebrau di Savanna Hill Resort di sini.

Kementerian Dalam Negeri akan membuat gerakan besar-besaran memburu PATI yang masih berada di negara ini bermula hari ini dengan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada lagi kompromi diberikan.

Pertanian akuaponik jadi alternatif baharu

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

ABDULLAH Rashidi (kanan) menunjukkan hasil pertanian bandar dengan kaedah akuaponik yang lebih mesra alam dan menjimatkan yang diperkenalkan oleh Pejabat Pertanian Ledang ketika ditemui di Ledang, Johor, baru-baru ini.

LEDANG 1 Sept. - Kesukaran mendapatkan tapak pertanian berskala kecil kini bukan lagi satu masalah buat penduduk bandar malah ia boleh dikomersialkan menerusi pertanian baharu dengan kaedah akuaponik yang lebih mesra alam dan menjimatkan.

Dibangunkan oleh Pejabat Pertanian Ledang, teknik pertanian moden itu boleh menjimatkan wang dapur sekeluarga terutama bagi belanja membeli sayur dan ikan segar dan boleh diusahakan di mana-mana saja seperti di laman rumah dengan hasil boleh dituai dalam tempoh yang singkat.

Berkonsepkan 4T iaitu tanam, ternak, tinggal dan tuai, akuaponik yang menggabungkan penanaman dan pemeliharaan ikan dalam satu bekas bertingkat menjurus kepada pertanian bandar dengan hasil tuaian bersifat organik kerana ia tidak menggunakan bahan kimia.

Pegawai Pertanian Daerah Ledang, Abdullah Rashidi berkata, menerusi kaedah berkenaan pengusaha boleh menanam pelbagai jenis sayur seperti salad, sawi, cili, terung, bendi dan pada masa sama memelihara ikan air tawar atau udang galah dalam bekas khas.

Katanya, menerusi kaedah itu, air daripada bekas takungan ikan berkenaan akan disalurkan ke bahagian atas untuk memberikan baja kepada sayur-sayuran menerusi mesin dan injap khas yang juga bertindak membersihkan kotoran.

"Pokok memerlukan baja daripada ikan iaitu ammonia nitrat dan kaedah ini secara automatik menyalurkan air ke bahagian yang memerlukan tanpa perlu pemilik menjaganya. Ia amat mesra alam dan tidak perlu dijaga dengan rapi seperti sayur-sayuran biasa.

"Air ternakan ikan atau udang akan naik ke bahagian atas (tanaman) menerusi pam air yang dipasang bagi membekalkan nutrien yang diperlukan oleh pokok menerusi najis ikan berkenaan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di bandar Tangkak, kelmarin.

Abdullah berkata, kaedah pertanian itu sudah lama diperkenalkan dan dengan wujudnya peralatan baharu seperti injap mampu melaksanakan tugas tanpa perlu pemantauan seterusnya memberi lebih ruang penyesuaian terutama bagi yang tidak memiliki kawasan tanah pertanian.

Beliau menjelaskan, penanaman dan pemeliharaan ikan itu dibuat dalam bekas khas dua tingkat sebesar kira-kira satu meter yang diisi dengan hidraton atau guli tanah liat atau batu sungai yang mampu bertahan selama 10 tahun serta mesin penyedut air dan injap.

Katanya, hasil boleh dituai dalam tempoh kira-kira dua minggu bergantung kepada jenis tanaman manakala ikan atau udang galah memerlukan tempoh lima bulan.

"Sebenarnya kami mulakan program ini untuk memberi ruang kepada penduduk bandar khususnya yang mahu bertani tetapi kekurangan tanah, sekurang-kurangnya ia mampu menjimatkan banyak wang untuk membeli sayur-sayuran dan ikan setiap minggu," katanya.

Abdullah menjelaskan, kaedah itu boleh dibuat sendiri oleh mereka yang berminat mengikut kesesuaian, namun pihaknya juga menawarkan peralatan pada harga RM600 dan RM900 setiap unit bergantung kepada saiz.

Kata beliau, pihaknya juga menyediakan khidmat nasihat kepada yang berminat mengusahakan kaedah pertanian berkenaan dan sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian 06-9786570.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Kuil di Jalan P. Ramlee tidak akan dirobohkan

Posted: 02 Sep 2013 03:13 AM PDT

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Kementerian Wilayah Persekutuan memberi jaminan Kuil Sri Muneswarar Kaliyaman di Jalan P. Ramlee di sini tidak akan dirobohkan.

Menterinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, malah pihaknya akan mencantikkan dan membina pagar bagi melindungi kuil berusia 101 tahun itu untuk memudahkan penganutnya melakukan upacara keagamaan.

Katanya, hanya struktur kantin dan restoran yang dibina secara haram di sebelah kuil itu akan dirobohkan.

"Kami tahu kuil ini merupakan tempat suci bagi masyarakat India di sekitarnya, kami bukan sahaja akan melindunginya malah akan membina pagar dan mencantikkan kawasan kuil," katanya kepada pemberita selepas melawat Kuil Sri Muneswarar Kaliyaman di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalannya Datuk Dr J. Loga Bala Mohan, Naib Presiden Kanan Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) Datuk Maglin Dennis DCruz dan Pengerusi PPP Wilayah Persekutuan Datuk A. Chandrakumanan.

Semalam sekumpulan pegawai DBKL dihalang oleh anggota komuniti kuil itu serta beberapa pemimpin parti kaum India daripada cuba merobohkan penyambungan struktur haram di sebelah kuil itu. - BERNAMA

PDRM mungkin dapat peruntukan tambahan

Posted: 02 Sep 2013 03:11 AM PDT

PUTRAJAYA 2 Sept. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) kemungkinan besar akan mendapat peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2014 bagi membanteras jenayah di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kekangan dihadapi PDRM dalam melaksanakan tugas, antaranya ialah daripada segi aset dan perkakasan.

Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini. Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan dijangka membentangkan Belanjawan 2014 pada 25 Oktober ini.

Ditanya mengenai cadangan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk membeli helikopter bagi kegunaan Unit Udara PDRM, Ahmad Zahid berkata beliau menyokong cadangan itu dan berharap peruntukan untuk tujuan itu diluluskan.

"PDRM amat memerlukan helikopter bagi tujuan operasi...kekangan kita ialah aset dan perkakasan," katanya. - BERNAMA

Projek pembangunan rakyat ikut kemampuan - PM

Posted: 02 Sep 2013 03:07 AM PDT

PUTRAJAYA 2 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan sentiasa berusaha melaksanakan projek-projek pembangunan dalam usaha memenuhi permintaan rakyat, namun masih bergantung kepada kemampuan kewangan negara.

Perdana Menteri berkata kriteria tertentu akan dinilai sebaik-baiknya sebelum projek-projek pembangunan dilaksanakan.

"Bukan bererti bahawa semua permintaan boleh kita tunaikan. Mesti ada batas kewangan. Bagaimana cara pun ada batas kewangan. Kalau kita berbelanja terlalu berlebihan, ekonomi kita akan merosot.

"Kalau kita tidak belanja maka ekonomi kita tidak berkembang. Jadi belanjalah secara berhemah dan cubalah mendapatkan nilai yang maksimum bagi setiap ringgit yang kita belanjakan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri majlis Hari Raya Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Dalam pada itu, Perdana Menteri percaya ICU akan terus memainkan peranan sebagai sebuah jabatan yang sangat penting dalam menyokong usaha-usaha kerajaan untuk membangunkan negara dan melakukan transformasi yang besar kepada negara.

Sambil berterima kasih kepada jabatan itu kerana memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada kerajaan, Najib turut mengakui bukan mudah untuk ICU berada di barisan hadapan.

"Saya tahu bukan mudah berada di barisan hadapan mengendalikan begitu banyak permintaan, kadang-kadang kerenah orang ramai, kerenah wakil rakyat juga.

"Tetapi semua kita lakukan kerana permintaan rakyat, daripada segi projek-projek pembangunan adalah sentiasa berada pada paras yang tinggi," katanya. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Pelajar jangan mudah leka

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
utusanperlis@utusan.com.my

Syed Faizuddin Putra Jamalullail memperkatakan sesuatu ketika melawat salah sebuah apartmen untuk pelajar UniMaP di UniCITI, Sungai Chuchuh sempena sesi kemasukan pelajar di Arau, Perlis, semalam. Turut kelihatan, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil (empat dari kanan); Naib Canselor UniMaP, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Hussin (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Proven Holdings, Datuk Yusof Jusoh (tiga dari kanan).

ARAU 1 Sept. - Pelajar yang terpilih menyambung pelajaran di menara gading disaran tidak mudah leka sebaliknya mereka perlu terus berusaha dengan menyimpan tekad untuk menggenggam ijazah dalam tempoh tiga atau empat tahun.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, usaha itu bertepatan dengan impian setiap pelajar apabila berjaya menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi (IPT).

"Sebagai pelajar, mereka mempunyai sikap menghormati pensyarah yang merupakan guru dan sumber kepada pelajar," titah baginda selaku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam majlis Taklimat Waris dan Suaikenal Sempena Hari Pendaftaran Pelajar UniMAP 2013 di Kampus Pauh Perdana di sini hari ini.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor UniMAP.

Titah baginda, pelajar seharusnya bekerja keras ketika menuntut ilmu sepanjang berada di IPT.

"Ingatlah, tanpa mengira siapa pun atau latar belakang, kita adalah rakyat Malaysia yang perlu sama-sama menjaga keamanan yang kita miliki agar dapat terus bernafas dengan penuh sebuah keharmonian," saran baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, rakyat seharusnya tidak boleh lari daripada menerapkan tiga elemen penting dalam kehidupan mereka iaitu menghormati agama, bangsa dan negara.

Raja Dr. Nazrin sampaikan sumbangan kepada wira negara

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

Raja Dr. Nazrin Shah bersalaman dengan sebahagian daripada anggota tentera pada Majlis Minum Petang sempena Hari Kemerdekaan di Dataran MBI, Ipoh, Perak, kelmarin. - UTUSAN/Zulkarnain Mohd. Saidin

IPOH 1 Sept. - Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah berkenan menyampaikan sumbangan kepada beberapa wira negara yang berjuang menentang pengganas di Lahad Datu, Sabah serta anggota pasukan Batalion Malaysia (Malbatt 5) yang terkorban dalam nahas di Lebanon baru-baru ini.

Sumbangan itu disampaikan dalam majlis jamuan teh sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 peringkat negeri Perak di Dataran Bandaraya Ipoh (MBI) di sini semalam.

Turut berangkat, Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim dengan diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir serta isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk S.K. Devamany; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd. Ghazali Jalal serta beberapa Exco kerajaan negeri Perak.

Dalam majlis itu, Raja Dr. Nazrin menyampaikan sumbangan kepada anggota komando VAT 69 yang tercedera dalam Op Daulat iaitu Sarjan Mejar Sakarani Hashim, Koperal Mohd. Tarmizi Hashim, Koperal Azman Ampong, Koperal Rizahuddin Ahmad, Lans Koperal Mohammad Nursabry Jaya dan Konstabel Mohamed Qaiyum'aiqal Zolkipli.

Baginda turut menyampaikan bantuan kepada wakil keluarga komando VAT 69 yang terkorban iaitu Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabaruddin Daud.

Selain itu, balu kepada anggota Malbatt 5, Aniza Ariffin turut menerima sumbangan daripada Raja Dr. Nazrin Shah bagi pihak suaminya, Sarjan Rosdi Mohamad Zan, yang meninggal dunia dalam nahas di Lebanon baru-baru ini.

Sementara itu, Zambry ketika berucap dalam majlis tersebut mengajak rakyat mensyukuri serta menghayati semangat kemerdekaan dengan sepenuh hati selain menyemai rasa bangga, taat setia kepada raja dan negara.

Beliau berkata, penghayatan tersebut perlu dikekalkan secara istiqamah supaya semangat tersebut tidak luntur dalam kalangan generasi akan datang.

"Nikmat kemerdekaan sukar ditutur dengan lidah, digambarkan dengan pemikiran serta dijelaskan oleh perasaan. Namun, kita hanya dapat menikmatinya melalui pengalaman hidup, justeru kebebasan yang dimiliki hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya demi menjamin keamanan negara," katanya.

Indeks jenayah Kedah turun

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

ALOR SETAR 1 Sept. - Indeks jenayah di Kedah menurun sebanyak 12 peratus dalam tujuh bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, dalam tempoh sama juga sebanyak 5,214 kes dicatatkan berbanding 5,933 kes pada tahun lalu.

"Bagi kes yang diselesaikan untuk Januari sehingga Julai lalu adalah sebanyak 2,199 kes berbanding 2,777 kes tahun lalu.

"Jenayah kekerasan mencatatkan sebanyak 1,117 kes berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 1,153 kes dengan kadar penurunan sebanyak 3.12 peratus.

"Penurunan indeks jenayah ini adalah kerana kita telah menyelesaikan banyak kes kecurian kenderaan sekali gus membendung jenayah lain berkaitan," katanya selepas majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Ghafar Rajab akan memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan Pentadbiran Bukit Aman mulai 9 September ini dan tempat beliau diambil alih Datuk Zaleha Abdul Rahman berkuat kuasa hari ini.

Zaleha sebelum ini memegang jawatan Timbalan Pengarah Pengurusan Pentadbiran Bukit Aman.

Abdul Ghafar mula berkhidmat di negeri ini pada 2007 sebagai Ketua Jabatan Pengurusan sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Daerah Kota Setar pada 2008 seterusnya menjawat jawatan Timbalan Ketua Polis Kedah pada 2010.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


129 kontinjen sertai perarakan

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

Oleh NOOR HANIS HARUN
utusanN9@utusan.com.my

Kontinjen daripada Kanak-kanak Tabika Perpaduan turut serta memeriahkan Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 Peringkat Negeri Sembilan di Padang MPS di Seremban, kelmarin.

SEREMBAN 1 Sept. - Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 peringkat Negeri Sembilan disambut meriah dengan kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung yang mula membanjiri pekarangan Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS), di sini sejak awal pagi semalam.

Sambutan itu turut menyaksikan sebanyak 129 kontijen mengambil bahagian dalam perbarisan mewakili jabatan kerajaan, pihak swasta, parti politik, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri ini.

Perarakan itu turut dimeriahkan dengan persembahan kumpulan pancaragam serta kontinjen Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja Malaysia selain diikuti 1,000 pelajar sekolah menengah seluruh negeri ini yang berarak mengibar Jalur Gemilang.

Turut menyertai perarakan tersebut adalah ahli mewakili Persatuan Bekas Tentera Negeri Sembilan dan Persatuan Bekas Polis Negeri Sembilan.

Yang turut berangkat, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan diiringi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Yang hadir sama, Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak, Undang Luak Jelebu, Datuk Musa Wahab dan Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Orang ramai mula membanjiri padang tersebut seawal pukul 7 pagi dan program tersebut berakhir kira-kira pukul 12 tengah hari.

Dalam pada itu, pada sambutan Ambang Merdeka malam tadi, hampir 10,000 orang turut memenuhi kawasan sekitar padang MPS bagi memeriahkan sambutan kemerdekaan pada detik 12 tengah malam.

Mereka berkumpul di padang awam itu bagi menyaksikan pertunjukan bunga api.

Ketepikan fahaman politik demi kesejahteraan negara

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

IDRIS Haron (tengah) bersama isteri, Datin Fadilah Abdullah mengibarkan Jalur Gemilang pada majlis Sambutan Ambang Kemerdekaan peringkat negeri di Stadium Hang Tuah, Melaka, kelmarin.

MELAKA 1 Sept. - Seluruh rakyat di negeri ini diseru mengetepikan fahaman politik dan perlu bersatu-padu dalam sesetengah perkara yang boleh menyumbang kepada perpaduan kaum demi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran negara.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, rakyat seharusnya bergerak atas landasan semangat 1Malaysia yang menjadi panduan terbaik dalam memelihara keharmonian kaum di negara ini dan telah terbukti keberkesanannya.

Menurutnya, nikmat kesenangan yang dikecapi hari ini bermula dengan perjuangan air mata, darah dan keringat yang perlu diingati dan dihargai seluruh rakyat supaya generasi akan datang turut sama merasainya.

"Tanamkanlah semangat 1Malaysia dalam diri setiap generasi agar negara ini tetap utuh dan teguh dalam menghadapi cabaran yang menggugat keamanan dan kesejahteraan negara.

"Di negara lain, rakyatnya bertempur, ada yang bertempur dengan musuh dan ada yang bertempur sesama sendiri. Mereka berperang antara satu sama lain demi kelangsungan kehidupan mereka.

"Marilah bersama mengambil iktibar daripada peristiwa itu, ketepikan perbezaaan pendapat dan fahaman, sama-sama rapatkan saf untuk tentang segala bentuk ancaman yang cuba mengganggu-gugat keamanan dan keharmonian negara," katanya.

Beliau berucap dalam majlis Sambutan Ambang Merdeka ke-56 peringkat negeri di Stadium Hang Tuah, di sini malam semalam.

Yang hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad dan seluruh barisan kepimpinan pentadbiran kerajaan negeri, ahli mesyuarat kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Idris berkata, tema hari kemerdekaan 'Malaysiaku Berdaulat, Tanah Tumpahnya Darahku' perlu difahami dan dihayati sepenuhnya seluruh rakyat supaya mempunyai semangat jati diri yang tinggi dan memastikan negara akan terus selamat, aman, tenteram dan makmur.

Majlis sambutan ambang merdeka yang menggamit kira-kira 40,000 pengunjung dalam dan luar negara itu diserikan dengan persembahan artis terkenal tanah air antaranya, Datuk M. Nasir, Jamal Abdillah, David Arumugam, Roy dan Francisca Peter.

Awasi usaha rekrut pelajar sertai kongsi gelap

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

SEREMBAN 1 Sept. - Pihak sekolah termasuk ibu bapa serta penjaga diminta sama-sama menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati ada unsur merekrut pelajar menganggotai mana-mana kumpulan kongsi gelap dalam negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, aktiviti itu perlu dibendung dalam kalangan pelajar, malah disekat daripada terus menular.

''Perhatikan lagak pelajar jika ada yang sudah terpalit dengan gangsterisme ini dan pantau aktiviti mereka di luar kawasan sekolah termasuklah usaha merekrut mereka yang didalangi kumpulan kongsi gelap," katanya selepas menyampaikan anugerah cemerlang dan merasmikan dewan badminton Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau dekat sini, baru-baru ini.

Kata Mohamad, penularan aktiviti tidak sihat ini dalam kalangan pelajar boleh menjejaskan masa hadapan, apatah lagi mereka yang telah terjebak dalam kegiatan jenayah seperti curi motosikal, dadah, peras ugut, gaduh berkumpulan dan sebagainya.

''Pihak Jabatan Pelajaran negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama menangani ancaman ini dan memastikan gerakan gangsterisme ini tidak menular dalam kawasan sekolah mahupun berhampirannya," katanya lagi.

Mohamad tidak menafikan kadangkala ada dalam kalangan pelajar cuba meniru gerakan gangsterisme ini di sekolah.

''Jika sudah ada aktiviti sebegini, laporkan segera kepada pihak berkuasa agar dalangnya boleh dicekup dan dibanteras.

''Ibu bapa juga perlu memainkan peranan sama dalam usaha mencegah aktiviti tidak bermoral ini dan mengenali rakan-rakan anak mereka supaya dapat menyekat sebarang usaha merekrut mereka dalam kumpulan kongsi gelap ini," kata Mohamad.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan juga, Mohamad membidas sikap segelintir pihak yang mempersoalkan tindakan pihak polis menangani ancaman kongsi gelap ini.

''Jangan pertikaikan kerja polis. Bila polis tidak bertindak, ada yang persoalkan. Bila polis bertindak, masih ada yang mempertikaikan. Kita laksanakan kerja untuk pastikan keselamatan rakyat.

''Bila ada sahaja penjenayah ditembak mati, ada pula yang cuba membela. Bila orang awam atau anggota keselamatan kita terbunuh mahupun ditembak, tiada siapa yang berhajat untuk membela. Jangan kerana segelintir yang bercakap soal hak asasi manusia dan pertahankan individu tertentu, kita abaikan pula hak asasi lebih 24 juta rakyat negara ini yang cintakan keamanan," tegas Mohamad.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Operasi besar-besaran bermula

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Jenayah komersial meningkat

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Sertai program semai semangat patriotik - Rosmah

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved