Sabtu, 31 Ogos 2013

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Wajib pertahan kemerdekaan

Posted: 30 Aug 2013 12:40 PM PDT

Oleh LUQMAN HAZIQ
pengarang@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 30 Ogos - Rakyat pelbagai kaum digesa bukan sahaja bersama-sama berganding bahu memastikan negara terus selamat, malah wajib mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi selama ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, selain itu semua pihak turut diminta supaya sentiasa menjaga dan memastikan kesejahteraan berpanjangan.

"Marilah kita doakan agar negara tercinta terus dikekalkan nikmat kestabilan politik dan keamanan, keteguhan ekonomi, dijauhkan daripada segala perbuatan jahat dan fitnah yang boleh membawa malapetaka dan kehancuran negara.

"Tanamkanlah rasa kasih sayang antara rakyat yang berbilang kaum, kukuhkan perpaduan semoga sentiasa hidup dalam kemakmuran dan keselamatan sepanjang zaman," katanya dalam status terbaharu menerusi laman sosial, Facebook sempena sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan Ke-56 esok.

Beliau turut berdoa semoga negara ini sentiasa dilindungi dan di bawah keampunan Allah SWT.

Dalam entri bertema Rakyat Muafakat Negaraku Berdaulat Negeriku Berkat itu, Mohamed Khaled berkata, Muafakat Johor menjadi tulang belakang kepada pelengkap kesejahteraan dan keharmonian rakyat berbilang kaum di negeri ini.

"Penekanan muafakat kepada aspek keharmonian, kesepakatan, persefahaman, bertolak ansur, bekerjasama serta menanam jati diri sebagai anak negeri Johor tanpa mengira bangsa, agama mahupun warna kulit wajar dipelihara dan dipupuk agar terus menjadi teras amalan bangsa Johor," katanya.

Pemuda UMNO Chaah Bandar edar 1,000 Jalur Gemilang

Posted: 30 Aug 2013 12:40 PM PDT

PESERTA Kembara Merdeka bersama pelajar dan warga SMK Chaah bergambar sambil mengibarkan Jalur Gemilang di pekarangan SMK Chaah, Labis, semalam.

LABIS 30 Ogos - Sempena sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan Ke-56 esok, Pemuda UMNO Cawangan Chaah Bandar mengedarkan sebanyak 1,000 Jalur Gemilang kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chaah, semalam di bawah program Kembara Merdeka.

Ketuanya, Mohd. Shah Shukoree Abu, 32, berkata, program itu bertujuan menyuntik semangat patriotik dalam kalangan rakyat terutamanya pelajar untuk mengingati Hari Kemerdekaan dengan bersama-sama memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang di kawasan sekolah dan kediaman mereka.

Sebanyak 1,000 Jalur Gemilang yang diedarkan itu adalah sebagai simbolik dan sokongan Pemuda UMNO Cawangan Chaah Bandar kepada Kempen Kibarkan Jalur Gemilang yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Kami memilih SMK Chaah kerana sedar semangat kemerdekaan dan patriotisme ini harus dipupuk bermula di peringkat sekolah," katanya selepas berkonvoi menggunakan motosikal bagi mengedarkan Jalur Gemilang berkenaan.

Konvoi tersebut mendapat kerjasama daripada persatuan motosikal berkuasa tinggi, Botak Bikers yang disertai lebih 40 penunggang dan melalui jalan utama di Chaah sebelum berhenti dan mengagihkan kesemua bendera tersebut kepada para pelajar SMK Chaah.

Mohd. Shah turut mengajak rakyat, khususnya di negeri ini supaya mengingati pentingnya kemerdekaan bagi setiap lapisan masyarakat.

Ini kerana kita perlu menjaga keamanan agar tidak berlaku pergolakan seperti negara luar. Keharmonian dan keamanan penting bagi negara dan kita patut bersyukur dengan keadaan ini," katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Chaah, Maimon K. Mohamed berbesar hati menerima kunjungan rombongan tersebut dan memuji langkah itu untuk menunjukkan semangat kesetiaan kepada negara dan berharap program berkenaan dapat diteruskan pada masa akan datang.

Program sebegini bukan sahaja dapat memupuk semangat sayangkan negara dan cintakan kemerdekaan dalam kalangan pelajar, sebaliknya kepada seluruh warga sekolah ini termasuk guru dan ibu bapa.

Ini satu tambahan aktiviti untuk memeriahkan sambutan kemerdekaan negara kita yang pastinya akan disambut meriah dan bermakna di sini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Gaya menawan sopan dan trendi

Posted: 30 Aug 2013 12:40 PM PDT

Oleh MERAN ABU BAKAR

PENGGEMAR warna pastel turut berpeluang memakai koleksi AidaFarrell.

FEMININ, sopan dan trendi menjadi kata pengenalan bagi koleksi rekaan fesyen AidaFarrell Collections.AidaFarrell Collections milik Zunaidah Bani, 32, memenuhi cita rasa wanita yang ingin bergaya feminin, sopan dan trendi.

Pilihan rekaan yang disediakan adalah lebih kepada moden kontemporari. Jubah, dres labuh, blaus, skirt, seluar palazzo, peplum, potongan baju ekor ikan (fish tail) dan banyak lagi antara yang terdapat di butik ini.

Menurut Zunaidah, sasaran pelanggan adalah daripada pelbagai golongan iaitu remaja, pertengahan dan wanita bekerjaya dalam usia 40-an.

Kesemua rekaan dan pilihan fabrik adalah ilham Aida sendiri yang memilih warna-warna terang dan ceria yang sedang menjadi trend sekarang.

Pakaian yang disediakan boleh disuai padankan kerana pada masa kini wanita berani mengenakan dan memadankan warna-warna terang pada pakaian mereka.

Tiada lagi sedondon malah si pemakai nampak ceria dan lebih menawan walaupun mengenakan fesyen muslimah.

Setiap minggu pasti ada yang terbaru dan istimewanya koleksi AidaFarrell kerana wanita berbadan besar pun berpeluang bergaya dengan rekaannya.

Memudahkan pelanggan, pelbagai rekaan tudung, anak tudung, selendang dan aksesori yang dihasilkan sendiri oleh Aida turut boleh diperoleh di sini.

Jika anda masih mencari-cari fesyen terbaru bagi digayakan untuk menghadiri rumah terbuka sepanjang Syawal ini, mungkin anda boleh mencuba rekaan pakaian dan tudung di AidaFarrell Collections dan pamerkan warna-warna ceria pada hari tersebut.

Namun jika tidak berkesempatan, layari sahaja Facebook di alamat www.facebook.com/AidaFarrellCollections.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Atasi ketagihan Orang Asli

Posted: 30 Aug 2013 12:40 PM PDT

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my

IPOH 30 Ogos - Sebanyak 50 siri program Jelajah Kampung telah dilaksanakan kerajaan negeri bagi mengekang penularan tabiat meminum minuman keras dalam kalangan masyarakat Orang Asli di seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, menerusi program berkenaan, Orang Asli diberikan ceramah dan maklumat tentang bahaya dan kesan aktiviti berkenaan oleh pihak-pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kata Saarani, selain itu, turut diadakan pameran berkaitan kesan ketagihan minuman keras bagi menyedarkan golongan berkenaan daripada terus terjebak.

"Aktiviti itu mula dikesan berlaku apabila masyarakat tersebut telah mempunyai satu jumlah pendapatan yang membolehkan mereka membeli dan meminum minuman keras.

"Tabiat ini jika dibiarkan akan mengundang pelbagai masalah atau gejala lebih serius. Sehubungan itu, kerajaan negeri berusaha mengekang perkara itu daripada terus menular dengan memberi kesedaran kepada mereka tentang bahaya perbuatan tersebut," katanya pada mesyuarat kedua, penggal pertama persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kali ke-13 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Dr. Mah Hang Soon (BN-Chenderiang) yang mahu tahu langkah yang diambil kerajaan negeri untuk membantu Orang Asli mengatasi tabiat meminum minuman keras.

Saarani berkata, program Jelajah Kampung tersebut akan berjalan sepanjang tahun dan melibatkan kesemua perkampungan Orang Asli di negeri ini.

"Di samping pameran dan ceramah, pada program itu kita turut mengadakan perkhidmatan membaiki motosikal secara percuma, demonstrasi dandanan diri, masakan, ziarah dari rumah ke rumah, pemeriksaan kesihatan percuma serta acara sukaneka untuk golongan belia dan beliawanis seperti Liga Bola Sepak Piala MB dan Liga Bola Jaring.

"Kerajaan negeri berharap dengan adanya pelbagai program ini, tabiat meminum minuman keras dalam kalangan Orang Asli dapat dikurangkan," katanya.

Syukuri nikmat kemerdekaan

Posted: 30 Aug 2013 12:40 PM PDT

MENTERI Besar, Datuk Mukhriz Mahathir (tiga dari kiri) dan Mohd. Tajuddin Abdullah (kiri) mengibarkan Jalur Gemilang dalam majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kebangsaan Tahun 2013 di Sungai Petani, baru-baru ini.

ALOR SETAR 30 Ogos - Rakyat pelbagai kaum perlu mensyukuri nikmat keselamatan, kedaulatan dan kemerdekaan negara yang membolehkan mereka mengecapi kehidupan dalam suasana harmoni, aman serta sejahtera selama ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah berkata, dalam mensyukuri nikmat berkenaan, rakyat diingatkan supaya terus menyuburkan lagi perpaduan kaum yang menjadi kunci keamanan.

Katanya, ketika banyak negara lain sedang menghadapi peperangan dan penindasan, rakyat negara ini hidup dalam suasana yang harmoni.

"Uniknya Malaysia adalah kerana rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan dapat hidup dalam suasana harmoni. Justeru, perpaduan merupakan nikmat tidak ternilai yang perlu disuburkan agar kemerdekaan negara dapat dipertahankan sampai bila-bila.

"Dahulu, pejuang dan pemimpin negara memperjuangkan kemerdekaan, selepas itu mengisinya dan kini kita mempertahankan kedaulatan serta kemerdekaan itu selaras dengan tema tahun ini iaitu Malaysiaku Berdaulat, Tanah Tumpahnya Darahku," katanya di sini hari ini.

Mohd. Tajuddin berkata, erti kemerdekaan perlu dihayati sepanjang masa, bukan hanya setiap kali tibanya sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos.

Katanya, rakyat tidak seharusnya mudah leka dengan kemakmuran dan keselesaan yang dinikmati oleh mereka sekarang.

"Menjadi tanggungjawab setiap rakyat tanpa mengira agama dan kaum untuk berusaha menyemarakkan semangat perpaduan negara," ujarnya.

Beliau juga berharap rakyat akan mengibarkan Jalur Gemilang bila-bila masa bagi menunjukkan rasa bangga dan taat setia kepada negara.

Kata beliau, pengibaran Jalur Gemilang yang menjadi simbol negara berdaulat dapat meningkatkan semangat patriotisme dan cintakan negara.

"Bukan mudah untuk membina sebuah negara bangsa tetapi hendak meruntuhkannya boleh dilakukan dalam sekelip mata.

"Sebab itu, rakyat mesti bersatu mempertahankan negara dengan mengenepikan perbezaan pandangan, di samping mewujudkan kesedaran, rasa sayang dan cintakannya," ujar beliau.

Perak pertimbang ambil bekas qari mengajar di pusat pendidikan Islam

Posted: 30 Aug 2013 12:40 PM PDT

IPOH 30 Ogos - Kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan untuk mengambil bekas-bekas qari yang berjaya di peringkat negeri dan kebangsaan sebagai tenaga pengajar sepenuh masa di pusat-pusat pendidikan Islam di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (gambar) berkata, secara dasarnya kerajaan negeri tidak mempunyai masalah untuk berbuat demikian, namun pengambilannya tertakluk kepada beberapa kriteria tertentu termasuk keupayaan mereka membaca al-Quran dengan baik serta diperakui oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri yang dipengerusikan mufti negeri.

Tambah Zambry, beliau juga difahamkan ketika ini telah ada bekas qari ditempatkan di Institut Takbiran Islam Perak (Intim) dalam bidang taranum.

"Kita akan mengambil perhatian tentang perkara itu kerana untuk mendapatkan imam yang bacaan taranum yang baik seperti bekas qari di peringkat negeri mahupun kebangsaan tentunya tidak ramai.

"Tetapi yang paling penting mereka ini perlu mempunyai keupayaan tertentu iaitu dapat membaca al-Quran dengan baik dan diperakui Jawatankuasa Fatwa Negeri yang dipengerusikan oleh mufti negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Abdullah Fauzi Ahmad Razali (BN-Kampung Gajah) pada mesyuarat kedua, penggal pertama persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kali ke-13 di sini hari ini.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan daripada Radzi Zainon (Pas-Sungai Rapat) sama ada golongan berkenaan boleh diserap sebagai imam masjid, jelas Zambry, perkara itu akan turut dipertimbangkan oleh kerajaan negeri.

Katanya, mereka yang dipilih akan diiktiraf dan dinilai mengikut skim perkhidmatan kerajaan sedia ada.

"Sebagai contoh, kalau mereka berada di gred N17, maka kelulusan minimum ialah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Empat Senawi," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Rakyat perlu ubah cara berfikir

Posted: 30 Aug 2013 12:40 PM PDT

Oleh KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my

TELOK KEMANG 30 Ogos - Masyarakat perlu mengubah cara berfikir dan berani ke hadapan untuk melonjak prestasi daripada biasa kepada luar biasa.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu, masyarakat pada hari ini terlalu selesa dengan apa juga kejayaan yang telah dicapai, tanpa ada usaha untuk melonjakkannya agar menjadi bertambah baik atau mencipta kecemerlangan tertinggi.

''Hal ini perlu dielakkan jika kita mahu melihat kejayaan itu dicipta dari semasa ke semasa. Jangan pula merasa yakin dengan apa yang sudah diperoleh kerana di sekeliling kita, 'perlumbaan' mencipta kejayaan sentiasa berlaku," katanya di Port Dickson dekat sini semalam.

Justeru kata beliau, biarpun ketika mengejar kejayaan itu berlaku kegagalan, itu bukan sesuatu yang perlu ditakuti, sebaliknya adalah proses kematangan dalam kehidupan.

''Kita harus berani berhadapan kegagalan dalam hidup dan dari situ kita bangun untuk membina kehidupan yang lebih baik. Jangan takut kerana itu adalah proses kematangan," tegas beliau.

Mohamad yang ditemui selepas majlis anugerah kokurikulum dan hal ehwal murid terbilang di Glory Beach Resort, Port Dickson, semalam juga berkata, dalam konteks pendidikan pula kejayaan itu hendaklah diasaskan dari awal persekolahan.

''Idea dan perancangan hendaklah mencakupi semua pelajar, begitu juga dalam aspek kurikulum atau kokurikulum. Perkara ini hendaklah berlaku sama rata, malah kesemuanya dibuat dengan bersungguh-sungguh seawal pelajar itu mendaftar masuk ke setiap sekolah," ujarnya.

Nasihat Mohamad lagi, pelajar janganlah cepat merasa putus asa jika tidak berjaya dalam pelajaran mahupun pada peperiksaan peringkat kebangsaan kerana masih banyak cabang pendidikan yang perlu diteroka bagi maksud tersebut.

''Kita tidak pernah melihat kegagalan dalam peperiksaan kebangsaan itu boleh menyebabkan seseorang gagal dalam kehidupan. Sebaliknya ramai yang berjaya, biarpun gagal sebelum ini kerana perubahan sikap yang ketara, mahu berjaya dan lebih bertanggungjawab," katanya.

Beliau juga mengingatkan pelajar supaya berfikiran kreatif dan sentiasa melihat prestasi itu sebagai cabaran untuk membina masa hadapan yang cemerlang.

''Sifat rendah diri kadang kala boleh merosakkan kehidupan. Kita harus berbangga dengan apa juga yang ada dalam diri kita kerana itu adalah motivasi paling hebat untuk mencipta sejarah kehidupan," ujar Mohamad lagi.

Utusan Malaysia meriahkan sambutan ambang merdeka SKRCB

Posted: 30 Aug 2013 12:40 PM PDT

MURID Sekolah Kebangsaan Ramuan China Besar bersemangat menyanyikan lagu patriotik sambil mengibarkan Jalur Gemilang sempena program sambutan Ambang Merdeka di sekolah itu di Masjid Tanah, Melaka, semalam.

ALOR GAJAH 30 Ogos - Akhbar Utusan Malaysia meriahkan sambutan ambang merdeka Sekolah Kebangsaan Ramuan China Besar (SKRCB) dengan menganjurkan pertandingan mewarna kemerdekaan kepada seluruh murid sekolah berkenaan.

Program yang turut diserikan dengan nyanyian lagu-lagu patriotik dan persembahan puisi itu menceriakan 248 murid dari tahun satu hingga enam termasuk murid prasekolah dan juga warga pendidik sekolah berkenaan.

Guru Besar SRKCB, Pouziah Ghani berkata, program sempena bulan kemerdekaan itu dijalankan pada setiap tahun dan kali ini lebih meriah dengan kerjasama pihak Utusan Malaysia.

Menurutnya, antara objektif program itu adalah bagi mendidik warga sekolah agar menghormati dan menghargai Jalur Gemilang sebagai simbol kedaulatan negara ini.

"Melalui program seumpama ini, selain dapat menanam semangat patriotik dalam diri murid-murid, mereka juga dihiburkan dengan persembahan nyanyian dan puisi yang secara tidak langsung dapat mencungkil bakat terpendam mereka.

"Pada program ini, pihak sekolah turut menyelitkan cerita-cerita sejarah dan informasi tentang perjuangan menuntut kemerdekaan supaya murid-murid faham dan lebih menghargai nikmat kemerdekaan yang dikecapi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program berkenaan di SKRCB, Masjid Tanah di sini hari ini.

Yang turut hadir Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SKRCB, Suhaimi Jantan dan Eksekutif Pemasaran Utusan Malaysia Cawangan Melaka, Azmi Adnan.

Pertandingan mewarna kemerdekaan yang dikelolakan pihak Utusan Malaysia itu menawarkan hadiah berupa hamper, selain sumbangan akhbar Utusan Malaysia dan majalah terbitan Kumpulan Utusan kepada seluruh warga sekolah.

Usaha pastikan rakyat kibar Jalur Gemilang diperkasa

Posted: 30 Aug 2013 12:40 PM PDT

NOOREZRIN Mahmod (berdiri depan tiga kanan) bersama peserta konvoi dan penduduk Kampung Baru Rompin ketika Kempen kibar Jalur Gemilang di Jempol, Negeri Sembilan, semalam.

JEMPOL 30 Ogos - Pejabat Penerangan Daerah Jempol mengadakan Kempen Kibar Jalur Gemilang dengan harapan semangat kemerdekaan itu dapat terus ditanam pada sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 esok.

Pegawai Penerangan daerah, Noorezrin Mahmod menjelaskan, dalam kempen ini pihaknya telah melibatkan 15 pelajar dari Kolej Komuniti Jempol.

''Pada hari ini kita dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, telah berkonvoi membawa bendera sejauh 60 kilometer. Konvoi yang bermula di Bandar Seri Jempol itu berhenti di beberapa kawasan seperti pekan Bahau, Rompin dan Kampung Baru Rompin dekat Jeram Padang.

''Di setiap perhentian, kita akan menemui orang awam dan memberikan Jalur Gemilang di premis perniagaan," jelasnya ketika ditemui Utusan Malaysia dalam konvoi tersebut di sini hari ini.

Katanya lagi, pihaknya sedar bahawa kesedaran rakyat untuk mengibarkan Jalur Gemilang semakin berkurangan.

''Kita mengambil inisiatif untuk mengedarkan bendera secara percuma dan berharap mereka mengibarkannya," katanya.

Noorezrin turut memberitahu pihaknya memilih pelajar kolej sebagai peserta kerana mahu menyemai sikap sayangkan Jalur Gemilang dalam diri remaja tersebut.

''Mereka ini antara golongan penentu masa hadapan negara dan aktiviti begini amat baik untuk disertai. Mereka bukan sekadar berkonvoi membawa motosikal tetapi perlu mengedarkan bendera kepada orang awam.

''Ini mampu menyemarakkan erti kemerdekaan, selain memupuk semangat patriotik secara menyeluruh dalam kalangan golongan remaja," ujar Noorezrin.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


TPM hadir majlis perkahwinan anak setiausaha politik

Posted: 31 Aug 2013 01:56 AM PDT

MUHYIDDIN Muhyiddin Yassin bersama isteri, Norainee Abdul Rahman menghadiri majlis perkahwinan pasangan Mohd. Adib Aiman Mohd. Nardin dan Anis Waheda Zainal Abidin di Restoran Bora Ombak, Ampang, Kuala Lumpur hari ini.- BERNAMA

KUALA LUMPUR 31 Ogos - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menghadiri majlis perkahwinan anak lelaki setiausaha politiknya, Datuk Mohd. Nardin Awang di Restoran Bora Ombak, Ampang dekat sini.

Ketibaan Muhyiddin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman disambut Mohd Nardin dan isteri Datin Fauziah Jaafar.

Muhyiddin turut menepung tawar kedua-dua mempelai, Mohd. Adib Aiman Mohd. Nardin dan pasangannya, Anis Wahidah Zainal Abidin yang mengenakan persalinan biru sedondon.

Kedua-dua mempelai itu berumur 20 tahun dan menuntut dalam bidang kejuruteraan kapal terbang di Moscow, Russia.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof,; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek; dan Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan.

Majlis berkonsep perkahwinan dalam taman itu turut dihadiri kira-kira 2,000 tetamu. - BERNAMA

Kekalkan keamanan, kedaulatan negara - PM

Posted: 30 Aug 2013 11:16 PM PDT

KUALA LUMPUR 31 Ogos - Sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-56 hari ini, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat mengekalkan keamanan dan kedaulatan negara.

Perdana Menteri yang hadir di rumah terbuka Aidilfitri dan sambutan merdeka di Melaka semalam turut melahirkan penghargaan kepada penduduk negeri itu yang memberikan sambutan yang meriah.

"Kekalkan keamanan dan kedaulatan. Terima kasih orang-orang Melaka atas sambutan semalam. Meriah!," kata Perdana Menteri dalam akaun Twitter beliau hari ini.

Semalam, kira-kira 40,000 pengunjung terdiri daripada penduduk Melaka serta pelancong dari dalam dan luar negara hadir di majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri Raya Merdeka 2013 di Stadium Hang Tuah, Melaka.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor. - BERNAMA

4 loji air ditutup semalam beroperasi semula hari ini

Posted: 30 Aug 2013 11:11 PM PDT

KUALA LUMPUR 31 Ogos - Kesemua empat loji air yang ditutup semalam akibat tumpahan minyak di Sungai Selangor beroperasi semula hari ini, kata Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Md. Khairi Selamat.

Md. Khairi berkata, pihaknya telah menjalankan proses penyedutan minyak serta air sungai yang tercemar akibat tumpahan minyak diesel itu.

"Pada pukul 1 pagi ini, saya menerima maklumat bahawa kesemua empat loji itu sudah mula beroperasi semula, tetapi masih belum pulih sepenuhnya," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas perkembangan terbaru gangguan bekalan air itu.

Empat loji yang terlibat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor iaitu Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SPP2), Fasa 3 (SPP3) serta LRA Rantau Panjang.

Sementara itu, Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata, walaupun loji berkenaan sudah beroperasi, namun ia mengambil masa untuk membekal air seperti biasa.

- BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rekreasi

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Bangga raikan Malaysia

Posted: 30 Aug 2013 12:40 PM PDT

EKSPEDISI Jalur Gemilang, larian triathlon atlet veteran Ariffin Ali dan cabaran berjalan kaki oleh Darshini dan Rubhini, antara usaha yang dilakukan rakyat Malaysia sebagai tanda cinta kepada negara sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-56.

HARI Kemerdekaan yang disambut pada 31 Ogos setiap tahun amat bermakna kepada rakyat Malaysia. Walaupun kemuncak sambutannya diadakan pada tanggal 31 Ogos, namun kemeriahannya sudah dirasai sebulan sebelum itu apabila pelbagai aktiviti diadakan sama ada di peringkat persekutuan, negeri, daerah, organisasi kerajaan atau swasta serta orang perseorangan.

Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan untuk menganjurkan aktiviti khusus. Ada yang memecah rekod dan ada yang menguji keupayaan diri.

Bagi pasangan kembar Azhar dan Ahmad Ariffin, 43, tahun ini adalah kali keempat mereka meredah pesisir pantai negara bagi menjayakan Ekspedisi Jalur Gemilang.

Bukan sahaja berdepan perit getir dan cabaran lautan luas, namun pasangan yang berasal dari Taiping, Perak itu berkorban wang, masa dan tenaga bagi menjayakan ekspedisi berkenaan.

Pesara guru, Azizan Ali, 66, pula terus membuktikan usia lanjut bukan penghalang untuk dia meraikan hari kemerdekaan dengan cara tersendiri iaitu berlari, berbasikal dan berenang.

Bagi adik beradik R. Nithya Darshini, 11, dan kakaknya, R.Nithya Rubhini, 14, mereka memilih berjalan kaki sejauh 1,373 kilometer untuk meraikan hari kemerdekaan.

Program Merdeka Walk 2013 yang diilhamkan oleh bapa mereka, R. Ragu melalui 64 persinggahan dalam tempoh 25 hari sebelum berakhir di Perlis pada Khamis lalu.

Bagi menyelami semangat yang ada pada insan-insan istimewa itu, wartawan S2, HAMDEN RAMLI, SHOLINA OSMAN dan KHAIRUL ABIDIN NUAR serta jurugambar ZULKARNAIN SAIDIN dan MOHD. IQBAL ROSLI bertemu mereka baru-baru ini.

Yang pasti meskipun terpaksa menghadapi pelbagai rintangan dan mengerah keupayaan diri pada tahap maksimum, apa yang dilakukan adalah tanda cinta mereka kepada negara.

Semoga Malaysiaku Berdaulat yang menjadi Tanah Tumpahnya Darahku terus aman, makmur dan maju jaya.

Ekspedisi 2013 lebih mencabar

Posted: 30 Aug 2013 12:40 PM PDT

AZHAR menyiapkan bot ekspedisi Jalur Gemilang 2013, Belacak 43 di Manjung, Lumut, Perak, baru-baru ini.

KETIKA anda sedang membaca rencana ini, dua adik-beradik kembar Azhar dan Ahmad Ariffin, 43, bersama dua krew tetap dan empat peserta jemputan mungkin sedang dilambung ombak.

Atau jika tidak pun, mungkin mereka sedang bergelut dengan hentakan badan bot serta disimbahi cahaya matahari terik ketika meredah laut di pesisir pantai negara dengan satu matlamat, menjayakan Ekspedisi Jalur Gemilang 2013.

Ekspedisi yang bakal menyaksikan kumpulan itu belayar mengibar bendera keramat Jalur Gemilang di sepanjang pesisir pantai negara bermula di Pulau Langkawi pada Jumaat, 30 Ogos menuju ke Pengkalan Kubur Kelantan, sebelum ke Sematan di Sarawak dan seterusnya ke Tawau, Sabah.

Secara keseluruhannya, pasukan itu akan belayar sejauh 4,900 kilometer selama 17 hari dalam usaha mereka menyemarakkan lagi sambutan ulang tahun kemerdekaan negara.

Apa yang menarik, ekspedisi kali ini akan menyaksikan sekali lagi mereka merentasi Laut China Selatan menggunakan bot yang dilengkapi dua enjin sangkut, masing-masing berkuasa 200 kuasa kuda (HP) dari Mersing di Johor ke Sematan, Sarawak.

Menurut Azhar, ini bukan kali pertama mereka berbuat demikian.

"Kali pertama kami berjaya merentasi Laut China Selatan menaiki bot adalah pada Ekspedisi Jalur Gemilang kedua iaitu pada 2010. Masa itu... lagi mencabar kerana kami menggunakan bot kecil dengan panjang 7.3 meter dan lebar 1.5 meter serta hanya dilengkapi satu enjin" jelasnya yang berasal dari Taiping, Perak.

Walaupun tidak memiliki ilmu dalam dunia pelayaran, beliau bertuah kerana kembarnya, Deputi Supritendan Ahmad yang berkhidmat bersama pasukan Polis Marin memiliki kepakaran dalam bidang navigasi laut.

Apa yang lebih membanggakan, mereka bukan sekadar pelaksana ekspedisi tetapi bertanggungjawab di peringkat awal, bermula dengan membina bot termasuklah merekabentuk, membuat acuan, melapis gentian kaca, sehingga kerja-kerja akhir.

Selain itu, mereka juga mencari dana penajaan dan semua itu dilakukan sendiri tanpa ada bantuan syarikat perunding atau seumpamanya.

"Sebenarnya tahun ini merupakan Ekspedisi Jalur Gemilang keempat. Kali pertama pada 2009 membabitkan pelayaran dari Sandakan ke Lumut Perak menggunakan bot 7.3 meter panjang, 1.5 meter lebar dan satu enjin 200HP.

"Bagaimanapun percubaan kali pertama itu terpaksa dibatalkan sebaik tiba di Kota Kinabalu kerana dilanda taufan Morakot,'' katanya yang bertugas sebagai Pengurus di Telekom Malaysia (TM).

Kegagalan itu amat mengecewakan kerana ekspedisi tersebut bukan perancangan sehari tetapi telah dirancang sejak 2006 apabila idea mengenai projek itu timbul.

Namun halangan khususnya kekurangan modal menyebabkan projek tersebut tertangguh sehingga 2009.

Gagal pada 2009 akibat serangan taufan Morakot menyebabkan dua beradik kembar ini kembali pada 2010 bagi menyempurnakan impian yang tidak tercapai.

Menggunakan bot sama yang dinamakan Belacak 24, mereka memulakan perjalanan dari Sandakan ke Lumut, Perak.

Meskipun dilambung pelbagai dugaan seperti tangki minyak pecah dan diserang awan berlapis tiga dan kehabisan minyak di perairan Teluk Kemang, mereka cekal sehingga berjaya menamatkan pelayaran di Pelabuhan Klang.

Ekspedisi 2010 membabitkan pelayaran sejauh 2,607 km itu melakar kejayaan manis apabila mereka berjaya merentasi Laut China Selatan menggunakan bot kecil yang digerakkan dengan hanya satu enjin.

"Kejayaan ini membuktikan bahawa sebenarnya Semenanjung Malaysia dan Sabah dan Srawak tidaklah terlalu jauh seperti disangka selama ini," ujarnya yang juga merupakan penerima Anugerah Inovasi Negara 2009.

Kejayaan ekspedisi kedua itu tidak menghentikan semangat Azhar dan Ahmad untuk terus mengibar Jalur Gemilang di sepanjang perairan negara. Berehat pada 2011 untuk mengumpul dana, mereka kembali ke laut tahun lalu.

Kali ini menggunakan bot lebih besar dengan panjang 11.3 meter, 2.3 meter lebar serta dilengkapi dua enjin masing-masing 200HP.

"Tahun lalu jarak lebih jauh iaitu 4,061 kilometer dari Tawau ke Kuala Perlis. Ekspedisi ini tidak kurang mencabar apabila bot kami pecah ketika berada di perairan Miri.

"Ini menyebabkan bot terpaksa dibawa naik ke daratan untuk dibaiki sehingga menyebabkan jadual perjalanan terlewat selama lima hari" katanya.

Menurut Azhar, pendekatan ekspedisi menggunakan bot digunakan kerana usaha seperti itu belum dilakukan orang.

"Kita biasa mendengar konvoi Jalur Gemilang menaiki kereta tetapi tidak jika menggunakan bot. Berdasarkan sambutan masyarakat pesisir pantai, mereka amat menghargai ekspedisi ini kerana ia secara tidak langsung membawa kemeriahan sambutan bulan kemerdekaan terus kepada mereka," tambahnya.

Ditanya apa yang mendorong mereka untuk terus turun ke laut, katanya, "ini adalah cara kami meraikan Malaysia, setahun sekali."

"Lagipun, bersama kembar, apabila kami bergabung, kami menjadi lebih kuat, bertambah kreatif untuk melakukan yang terbaik," katanya.

Menurutnya, apa yang dilakukan oleh dia serta adiknya sejak lima tahun lalu tidak akan berjaya tanpa sokongan kawan-kawan yang meminjamkan peralatan seperti enjin dan kelengkapan membuat bot dan majikan yang membenarkan dia mengambil cuti tanpa gaji bagi meneruskan misi menyemarakkan ulang tahun kemerdekaan negara.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Bersatu pertahan kedaulatan

Posted: 30 Aug 2013 12:40 PM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

1 juta pengguna air Lembah Klang terjejas

Posted: 30 Aug 2013 12:40 PM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

PM seru pegang 4 asas utama perpaduan

Posted: 30 Aug 2013 12:40 PM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved