Rabu, 14 Ogos 2013

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Syida tidak sangka dijual

Posted: 13 Aug 2013 08:28 PM PDT

PERJALANAN hidup wanita ini sepanjang usia remajanya agak rencam. Namun nasib baik masih ada pegangan yang diikutkan menyedarkannya agar tidak terus terkandas di tengah jalan.

Mempunyai rupa yang agak menawan dan dibesarkan dalam keluarga yang agak berada, wanita kelahiran Perak ini dalam usia remajanya memang mudah untuk didekati, sementelah dia juga agak bebas pergaulannya.

"Usia belasan tahun lagi aku memang sudah macam ini. Waktu itu tahun 80-an, aku sudah mewarnai rambutku, pakaian ku pun dari jenis yang berjenama dan aku sudah pandai berpeleseran di kelab-kelab malam.

"Jika diikutkan, keluargaku terutamanya ibu dan ayah memang tidak pernah serik menasihati. Akhirnya mereka tidak tertahan lagi dengan perangai burukku. Sehinggakan mereka bertindak mendiamkan diri biarpun aku duduk serumah," katanya.

Peluang itu Syida (bukan nama sebenar), 45, gunakan sepenuhnya untuk menikmati kehidupan sebebas-bebasnya. Sehinggalah dia diterima bekerja di sebuah syarikat di Ipoh dengan bantuan rakan lelaki sekampungnya.

"Jiwa sedang muda bergelora. Rakan-rakan pun ramai. Keluarga pula buat tidak tahu saja denganku kerana terlampau marah. Aku mencari kehidupan sendiri.

"Memandangkan sudah biasa memegang duit gaji, aku juga sebenarnya mudah mendapat kerja sehinggakan aku suka bertukar-tukar kerja mungkin sebab sifatku yang menawan. Di tempat kerja baru, entah bagaimana majikanku dalam diam mula menyukaiku," jelasnya.

Dalam pada itu Syida menambah, majikannya yang telah beristeri amat 'prihatin' dengan dirinya sehingga menukarkan jawatan asalnya daripada kerani menjadi pembantu peribadi.

Pada waktu itu Syida berasa amat senang hati. Ada orang yang 'menjaganya' dan memanjainya dengan pelbagai barangan mewah dan berjenama.

"Kerjaku senang saja, ikut dia ke mana sahaja dia pergi untuk berpeleseran, menghiburkan hatinya dan menjaga dirinya.

"Ke mana tempat yang aku tidak tuju. Semuanya aku pergi berdua dengannya, atas alasan urusan kerja. Ke kelab malam, menemankan dirinya makan dan minum serta berpoya-poya," katanya.

Namun begitu Syida masih bersyukur kerana dia tidak terus hanyut sehingga sanggup menggadai maruah dirinya dan tidak pernah menyentuh minuman keras.

Apa yang Syida tidak tahu, selama ini rupa-rupanya dia telah 'dijual' oleh rakan sekampungnya kepada majikannya itu.

"Itu rupanya perancangan yang dilakukan oleh rakanku. Dia berpura-pura mencarikanku kerja dan kemudian menyerahkanku kepada majikannya dengan satu bayaran yang hanya dia sahaja yang tahu.

"Pada mulanya aku tidak tahu. Ingatkan majikanku betul-betul ikhlas mengambilku bekerja dan menaikkan pangkatku menjadi pembantu peribadinya.

"Rupa-rupanya ada muslihat di sebaliknya. Aku hanya mengetahui yang diriku ini dijual oleh rakanku itu apabila pada suatu hari majikanku memberanikan diri untuk meminta hubungan kami lebih jauh daripada itu," kata Syida.

Apabila permintaan itu ditolak oleh Syida kerana enggan melukakan hati isteri majikannya, dia mula berang dan menyatakan sebenarnya dia boleh berbuat apa sahaja terhadap Syida kerana dirinya telah dibeli dengan satu harga tertentu.

Perkataan itu amat memeranjatkan Syida kerana dia tidak menyangka selama ini kebaikan majikannya terhadapnya mempunyai agenda sebaliknya.

Beritahu Syida, isteri majikan juga pernah menghubungi untuk bertanyakan mengenai hubungannya dengan sang suami. Namun Syida menerangkan dia hanya menganggapnya atas urusan kerja.

"Ya, biarpun aku dilihat sebagai orang yang mudah keluar dengan lelaki, namun dari satu sudut aku masih mahu menjaga kesucian diriku.

"Seterusnya aku mula menjarakkan diriku daripada majikanku dan akhirnya meletakkan jawatan dan kemudian mencari kerja di daerah lain.

"Pada mulanya majikanku ada juga mencari, namun lama-kelamaan dia putus asa," katanya.

Syida akhirnya bertekad untuk melakukan kerja yang sebati dengan dirinya iaitu berniaga dan akhirnya berumahtangga dengan seorang lelaki yang baik budi pekertinya sehingga merubah keseluruhan hidupnya kini.

Bingkisan Aidilfitri

Posted: 13 Aug 2013 08:28 PM PDT

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar RASHID MAHFOF

Untuk kanak-kanak, turut dimasukkan patung mainan lembut.

MASIH belum terlambat untuk memberikan bingkisan hamper kepada rakan-taulan atau saudara terdekat biarpun Syawal sudah beberapa hari berlalu.

Hamper tidak semestinya diberikan menjelang hari raya sahaja. Bagi mereka yang tidak berkesempatan atau terlupa kerana terlalu sibuk, masih boleh memberikan bingkisan hamper selepas hari raya contohnya semasa berkunjung ke rumah rakan taulan yang mengadakan majlis rumah terbuka sebagai buah tangan.

Hamper yang disediakan oleh Bib's Florist adalah untuk sepanjang masa, sebarang perayaan dan sesuai untuk semua, sama ada dewasa, kanak-kanak, yang sihat atau sedang dirawat di hospital.

Disediakan dalam bakul atau kotak, hamper hasil gubahan Puan Seri Habibah Hamid ini diisi dengan beberapa jenis item seperti biskut, jus, kurma, coklat, buah atau patung lembut beruang mengikut permintaan pelanggan kepada siapa hendak diberikan hamper tersebut.

Antara jenis biskut yang terdapat di dalam hamper rekaan Habibah ialah tat, dahlia, biskut arab, coklat chips dan kuih tradisional.

Biskut dan kuih-kuih tradisional tersebut dibeli daripada kawan-kawan yang telah lama berniaga biskut yang rasanya menepati selera ramai.

Terdapat juga pelanggan yang mahu memasukkan buah-buahan dan bunga-bungaan segar kerana ingin diberikan kepada kawan atau saudara yang sedang berada di hospital.

''Saya mengikut kehendak pelanggan. Jika pelanggan mahu menukar jenis biskut atau menambah jenis lain, saya akan buat seperti yang dikehendaki.

''Jika hendak diberikan kepada kanak-kanak, saya akan turut memasukkan mainan seperti patung beruang dan coklat.

''Kanak-kanak yang mendapat hamper sebegini pasti seronok kerana kebiasaannya hanya orang dewasa sahaja yang menerima hamper,'' ujarnya.

Menurut Habibah, ramai juga doktor yang bertugas di hospital di mana terletaknya Bib's Florist ini membuat pesanan dan membeli hamper daripadanya.

''Harga untuk setiap hamper juga berbeza mengikut pengisiannya, iaitu serendah RM100 hingga RM300,'' kata Habibah yang telah membuat hamper sejak 15 tahun lalu dan mempunyai ramai pelanggan tetap sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Peniaga tak peduli orang lain

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

SEBUAH restoran meletakkan kerusi dan meja makan di petak letak kereta di Taman Muda Ampang di Ampang, Selangor sehingga mengganggu lalu-lintas.- utusan/ZAINI HUSIN

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Mencari petak letak kereta yang kosong di kawasan komersial di Taman Muda Ampang bukanlah satu kerja mudah.

Selain terpaksa berebut dengan pemandu kereta lain, beberapa petak letak kereta di kawasan itu pula telah dijadikan sebahagian daripada restoran apabila pemilik premis itu meletakkan kerusi dan meja makan di atas jalan.

Perbuatan tidak berhemah pengusaha kedai makan berkenaan, yang hanya memikirkan untuk mengaut untung lebih, sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan itu.

Tinjauan Utusan Malaysia selepas mendapat aduan baru-baru ini, mendapati terdapat dua buah restoran yang kerusi dan meja makannya diletakkan di petak letak kereta dan ini dilakukan di siang hari.

Salah sebuah restoran itu terletak di Jalan Bunga Tanjung 6 manakala sebuah lagi beroperasi di Jalan Bunga Tanjung 8.

Ketika tinjauan, pelanggan restoran berkenaan sedang asyik menikmati hidangan di luar premis tersebut tanpa menghiraukan kesesakan.

Mereka juga mengambil jalan mudah dengan meletakkan kenderaan sesuka hati berdekatan restoran itu tanpa menghiraukan kesusahan yang dialami orang lain sehingga menimbulkan kesesakan jalan.

Seorang pengadu yang enggan namanya disiarkan berkata, masalah tersebut telah lama berlaku di situ dan dia tidak nampak ada tindakan penguatkuasaan diambil oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) ke atas pengusaha restoran itu.

Keadaan ini menimbulkan masalah kepada orang ramai yang terpaksa mengharungi jalan sempit dan sesak. Oleh itu, saya berharap pihak MPAJ datang untuk menyelesaikan isu ini dengan segera," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, masalah kebersihan turut menjadi isu di kawasan itu selain banyak gerai dibuka di atas jalan.

Sementara itu, terdapat beberapa gerai makan dan kedai runcit di Jalan Bunga Tanjung 18, Taman Seraya dekat sini menghadapi masalah sistem saliran yang tidak sempurna.

Seorang peniaga, Soon Chin Lam, 49, berkata, longkang di situ tersumbat sejak setahun lalu sehingga mengeluarkan bau busuk.

Setiap hari kawasan ini berbau sehingga menyebabkan pelanggan tidak selera makan. Disebabkan masalah itu, tikus pula semakin banyak di sini," jelasnya.

Peniaga barangan runcit yang hanya mahu dikenali sebagai, Mahdan pula berharap supaya pihak MPAJ segera menaik taraf sistem saliran tersebut demi keselesaan peniaga dan orang ramai.

Air tidak boleh mengalir kerana longkang dipenuhi sampah-sarap. Pernah juga berlaku banjir kilat yang berpunca daripada masalah ini," dakwanya.

Kebakaran: Pekerja klinik, pesakit cemas

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Kakitangan sebuah klinik di Taman Sri Rampai, Setapak di sini cemas apabila sebuah bilik sewa yang terletak di tingkat tiga bangunan rumah kedai itu musnah dalam kebakaran malam ini.

Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 8.15 malam disedari salah seorang pekerja klinik itu yang terletak di tingkat bawah bangunan rumah kedai tersebut di Jalan 46A/26.

Seorang jururawat di klinik, Jerine Jane, 21, memberitahu, ketika kejadian dia bersama empat kakitangan lain termasuk seorang doktor sedang bertugas.

Beliau berkata, pada masa yang sama sebanyak 12 pesakit sedang menunggu untuk menjalani pemeriksaan doktor.

"Seorang jururawat pergi ke bahagian belakang klinik untuk mengambil peralatan ujian imbasan namun dia terkejut apabila ternampak api dari tingkat tiga bangunan ini.

"Dia kemudian menjerit memaklumkan mengenai kebakaran itu. Saya serta pekerja klinik lain segera mengarahkan pesakit keluar dari klinik bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut Jerine, dia segera menghubungi bomba kerana tidak berani bertindak sendiri memadamkan kebakaran itu.

Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Penolong Penguasa Bomba Hafni Tamin berkata, kebakaran berpunca dari bilik tidur dan dapur bilik sewa yang terletak di tingkat tiga bangunan itu.

"Kami menerima panggilan pada pukul 8.17 malam dan tiba di tempat kejadian 15 minit kemudian. Api berjaya dipadamkan kira-kira pukul 9 malam.

"Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini dan pihak kami masih menyiasat punca sebenar kebakaran ini," katanya.

MBSA lanjut tempoh pengurangan kompaun

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

SHAH ALAM 13 Ogos - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan melanjutkan tempoh pengurangan kompaun sebanyak 80 peratus bagi beberapa kesalahan yang dilakukan di kawasan pentadbirannya sehingga 6 September ini.

Antara kesalahan yang layak mendapat pengurangan tersebut ialah kesalahan di bawah Undang-undang Kecil Taman 2005, Undang-undang Kecil Iklan 2007, Undang-undang Kecil Penjaja 2007, Undang-undang Kecil Pengendalian Makanan 2007 dan Undang-undang Kecil Pasar 2007.

Timbalan Pengarah Korporat MBSA, Shahrin Ahmad berkata, sebelum ini MBSA menawarkan pengurangan tersebut melalui Program Pengurangan Kompaun MBSA yang diadakan sepanjang bulan Ramadan.

"Bagaimanapun bagi memberi peluang kepada orang ramai yang mempunyai tunggakan tetapi tidak sempat membayarnya pada bulan Ramadan lalu, kami melanjutkan tempoh pengurangan kompaun tersebut sehingga 6 September.

"Kami berharap kesempatan yang diberi akan dimanfaatkan orang ramai bagi mengelak tindakan tegas diambil, termasuk nama disenaraihitamkan oleh MBSA," katanya dalam kenyataan di sini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Pulut periuk kera juadah raya

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

Oleh MOHAMED SAARI
utusanjohor@utusan.com.my

Periuk kera yang baharu diambil dari hutan dan belum dibersihkan.

LABIS 13 Ogos - Masyarakat hari ini mungkin hanya mengetahui periuk kera merupakan tumbuhan meliar di hutan yang kini turut dikembangkan sebagai tanaman hiasan. Namun tidak ramai daripada kita yang merasai pulut periuk kera, juadah Aidilfitri yang menjadi kemestian di beberapa kawasan sekitar Johor dan Pahang.

Bagi pasangan Abdullah Kayan, 46, dan Norashikin Salimin, 41, pulut periuk kera menjadi sumber rezeki lumayan terutama setiap kali menjelang Syawal sebagai salah satu pilihan hidangan.

Menurut Abdullah, rasa pulut periuk kera tidak banyak beza dengan lemang kerana kedua-dua makanan tradisi masyarakat Melayu itu mempunyai banyak persamaan dengan pulut dan santan kelapa sebagai bahan utama.

Bezanya, lemang dimasak di dalam buluh dan dibakar berjam-jam lamanya sementara pulut periuk kera pula dikukus yang hanya memerlukan masa sekitar 15 hingga 20 minit untuk dimasak.

"Ini membuka peluang kepada kepada kami membekalkan sama ada periuk kera mahu pun pulut periuk kera yang sudah siap dimasak kepada mana-mana pihak yang berminat menjadikannya sebagai hidangan. Biasanya tempahan diterima untuk majlis berbuka puasa di pertengahan Ramadan lagi.

"Tetapi paling banyak tempahan diterima adalah sehari sebelum sambutan hari raya kerana ramai yang mahu menghidangkan pulut periuk kera sebagai juadah istimewa pada pagi raya," katanya kepada Utusan Malaysia semasa ditemui di rumahnya di Kampung Tenang, Labis, di sini baru-baru ini.

Menurut Abdullah, dia bersama isteri pernah bersengkang mata pada malam raya tahun lalu untuk menyiapkan 1,500 biji pulut periuk kera yang ditempah pelanggan yang dijual dengan harga RM1 sebiji.

Anggaran 10,000 periuk kera yang dibersihkan dijual setiap tahun pada harga 30 sen dengan sebahagian besar daripadanya adalah permintaan yang melonjak pada setiap kali Ramadan dan Syawal sejak 13 tahun perusahaan itu dimulakan mereka.

Malah, kata Abdullah, periuk kera kini semakin sukar diperolehi sehingga dia terpaksa mengupah Orang Asli untuk mendapatkan bekalan dari Hutan Bekok dengan upah RM50 sehari walhal ia tumbuhan yang melata di sekitar kampung berdekad lamanya.

Sementara itu, Norashikin yang mempelajari cara membuat pulut periuk kera daripada arwah neneknya berpendapat, kesukaran itulah yang membawa rahmat kerana memberi peluang perniagaan kepadanya dan suami.

Tentang cara membuat pulut periuk kera, beliau sendiri menunjukkan cara membersihkan periuk kera yang dijadikan acuan sebelum dikeringkan.

"Kemudian bolehlah masukkan beras pulut yang sudah siap dibasuh, diikuti santan kelapa yang sudah dibubuh garam secukup rasa sehingga tenggelam beras pulut tersebut.

"Selepas proses tersebut selesai, periuk kera yang telah diisi pulut dan santan perlu dikukus selama 15 hingga 20 minit dan selepas itu ia sedia untuk dihidangkan," katanya.

Syawal tidak lengkap tanpa pulut periuk kera

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

LABIS 13 Ogos - Masyarakat Melayu memang terkenal dengan kepelbagaian makanan tradisi yang unik dan enak terutama sebagai juadah istimewa yang dihidangkan di pagi raya seperti lemang, dodol, ketupat dan wajik namun ada juga yang tidak lupa menyertakan 'menu wajib' masing-masing seperti pulut periuk kera.

Bagi Sarimah Rahmat, 47, pulut periuk kera dengan rendang daging adalah satu kemestian kerana merupakan hidangan istimewa dan ketiadaannya membuatkan sarapan pagi bersama keluarga di pagi raya tidak lengkap.

"Sebenarnya sejak kecil lagi pulut periuk kera sudah dijadikan sebagai juadah istimewa di pagi raya keluarga saya dan apabila mempunyai keluarga sendiri saya meneruskan tradisi itu.

"Saya tidak pernah membeli pulut periuk yang sudah siap dimasak tetapi hanya membeli periuk kera yang belum dimasak kerana saya lebih suka memasak mengikut citarasa sendiri," katanya ketika ditemui semasa membeli periuk kera di rumah Abdullah Kayan.

Mardiah Ismail, 44, yang berasal dari Selangor pula mengakui tidak pernah menjamah pulut periuk kera sebelum ini dan mula menggemari keenakan rasanya walaupun pernah tersalah sangka tentang juadah tersebut.

Menurutnya, jika sebelum ini dia menyangka periuk kera itu yang dimakan, kali ini dia sendiri melihat dan belajar proses menyediakan pulut periuk kera sehingga keluarganya turut menjadikan hidangan tersebut menu pada hari biasa apabila berkesempatan mendapatkannya.

"Saya rasa dengan permintaan tinggi terhadap periuk kera terutama menjelang musim perayaan, adalah baik sekiranya penduduk di sini mengambil langkah untuk menanam spesies tumbuhan tersebut di kebun masing-masing," ujarnya.

Seorang lagi penggemar juadah tersebut, Zainuddin Kambali, 60, menyifatkan ia tidak jauh bezanya dengan lemang tetapi lebih lembut dan tidak mempunyai kerak kerana menggunakan proses memasak yang berbeza.

Kerap memasak sendiri pulut periuk kera untuk keluarga, dia lebih gemarkan juadah itu kerana proses penyediaan yang mudah malah lemang kini mudah didapati kerana semakin ramai yang menjualnya di tepi jalan.

"Bagi saya harga periuk kera 30 sen sebiji tidaklah begitu mahal berbanding kesukaran untuk memperolehinya yang terpaksa berdepan bahaya mengharungi paya berair di hutan tebal selain terpaksa berjalan kaki.

"Lebih senang membeli sahaja daripada terpaksa bersusah payah mencari di hutan jika mahu menggunakan setakat 100 atau 200 biji selain memberi peluang kepada mereka yang melakukan kerja mencari periuk kera menambah pendapatan pada musim raya," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Usaha transformasi ekonomi Kedah

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

MUKHRIZ Mahathir melihat pelan pembangunan kolej Poly-Tech Mara Alor Setar sambil mendengar penerangan oleh Pengerusi Majlis Pecah Tanah Kolej Poly-Tech MARA, Mohd. Azis Jamman (tiga dari kiri) dalam majlis pecah tanah kolej tersebut di Jalan Suka Menanti, Alor Setar, baru-baru ini.

KERAJAAN Kedah yang dipimpin Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir giat menjalankan usaha untuk mentransformasikan ekonomi negeri dengan mewujudkan peluang pekerjaan, menjana ekonomi setempat dan meningkatkan hasil secara berterusan selaras dengan slogan 'Kedah Aman, Makmur'.

Bagi mencapai sasaran itu, pelbagai strategi disusun rapi antaranya memberikan tumpuan terhadap sektor pertanian, pembuatan, pelancongan dan perkhidmatan logistik yang menawarkan potensi pelaburan besar.

Selepas diberi mandat menerajui pentadbiran Kerajaan Kedah, Mukhriz mengumumkan perancangan negeri untuk memiliki hab kuasa ekonominya sendiri dengan menjana aktiviti inovasi tempatan yang mendapat permintaan tinggi di peringkat global.

Selain itu, kerajaan negeri Kedah memberi komitmen untuk terus menjayakan agenda program pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) agar muncul sebagai kawasan utama di rantau ini menjelang tahun 2025, dengan matlamat membawa perubahan secara beransur-ansur ke arah mewujudkan masyarakat moden dan progresif.

Mukhriz juga mengalu-alukan kerjasama daripada sektor korporat untuk memacu agenda pembangunan negeri Kedah.

Dalam masa sama, kerajaan negeri akan mengamalkan pendekatan berhemah dalam menguruskan kewangannya tanpa menjejaskan tanggungjawab untuk membangunkan Kedah dan meningkatkan kehidupan rakyat.

Setiap wang yang dibelanjakan mesti memberi pulangan ekonomi kepada rakyat dan Kedah semula ketika usaha menjayakan segala rancangan transformasi dilaksanakan kelak selain memastikan perbelanjaan negeri mesti mempunyai keberhasilan tinggi.

Dalam merangka hala tuju dan pelan tindakan jangka masa panjang untuk mentransformasikan Kedah sebagai sebuah negeri aman serta makmur, kerajaan negeri bersetuju menubuhkan sebuah makmal dengan mendapatkan idea serta cadangan daripada pelbagai pihak bagi menjayakannya.

Makmal transformasi Kedah yang dipandu oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) itu diyakini dapat membantu kerajaan negeri menyusun strategi lebih menyeluruh mengenai kaedah terbaik untuk mengeksploitasi kelebihan sedia wujud di Kedah dan mengatasi sebarang kelemahan.

Kerajaan Kedah mengenal pasti beberapa sektor yang mempunyai potensi untuk dibangunkan secara berkesan iaitu industri pembuatan, Bandar Raya Getah dan sebuah lagi taman industri teknologi tinggi di Bukit Kayu Hitam.

Di samping itu, kerajaan negeri juga sedang memperhalusi cadangan mengenai pembangunan sektor minyak dan gas bagi memastikan pelaksanaannya memberi manfaat secara menyeluruh.

Satu lagi tumpuan adalah dalam sektor pelancongan yang tidak terhad kepada Langkawi tetapi melibatkan tanah besar kerana Kedah mempunyai potensi dalam bidang itu ekoran keunikan alam semula jadi, sejarah dan warisannya.

Dalam pada itu, seiring dengan pelan transformasi itu, kerajaan negeri Kedah berusaha meletakkan bidang pendidikan dan pembangunan modal insan pada tahap lebih baik.

Usaha ke arah itu segera kelihatan dengan pembinaan kampus baharu Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Alor Setar yang disifatkan Menteri Besar sebagai langkah seiring dengan perancangan kerajaan negeri untuk memperkayakan Kedah menerusi pelbagai peluang pendidikan dan kemahiran.

Majlis pecah tanah kampus KPTM Alor Setar itu dirasmikan Mukhriz pada awal Julai lalu. Pembinaannya dijangka mampu memuatkan 3,500 pelajar pada satu-satu masa apabila siap sepenuhnya pada pertengahan 2015.

Kampus baharu berkenaan yang dilaksanakan pengurusan KPTM mencerminkan bandar raya ini semakin pesat membangun dalam erti kata membawa kemajuan dari segi ekonomi dan sosial masyarakat di negeri Jelapang Padi.

Sementara itu, Kerajaan Barisan Nasional (BN) Kedah telah dan sedang menguruskan isu Kolej Universiti Insaniah (Kuin) yang diwarisi daripada pentadbiran kerajaan negeri terdahulu dengan baik.

Langkah konstruktif diambil oleh Kerajaan Kedah bagi mengembalikan hak dan kebajikan kakitangan Kuin apabila bersetuju melaksanakan enam perkara untuk menambah baik kolej universiti itu termasuk menjadikannya sebagai sebuah badan berkanun negeri.

Langkah-langkah lain ialah kerajaan negeri dan Ahli Lembaga Pengarah Kuin sebulat suara bersetuju menerima pakai beberapa pekeliling perkhidmatan yang membolehkan kenaikan gaji kakitangan Kuin di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) dan untuk tujuan kenaikan kadar bantuan sara hidup sebanyak RM50 sebulan bagi setiap kakitangan.

Menerima pakai pekeliling perkhidmatan bilangan lima tahun 2013 untuk tujuan pemberian pemindahan gaji kepada kakitangan Kuin mengikut Sistem Saraan Baru atau lebih dikenali kenaikan satu tangga gaji manakala langkah keempat ialah kerajaan negeri menerima pakai pekeliling perkhidmatan bilangan dua tahun 2013 untuk tujuan penambahbaikan jadual gaji minimum-maksimum kepada kakitangan Kuin berdasarkan SSM.

Pihak Lembaga Pengarah Kuin juga bersetuju menerima pakai pekeliling-pekeliling kerajaan yang lain sekiranya pihak kerajaan mengumumkan sebarang imbuhan tahunan dan bayaran khas prestasi atau lebih dikenali sebagai bonus tahunan kepada semua kakitangan Kuin.

Kerajaan BN Kedah juga sedang giat berusaha menyelesaikan satu persatu masalah lain yang melanda Kuin tanpa unsur politik demi kepentingan pelajarnya.

Usaha itu adalah selaras dengan hasrat untuk melonjakkan Kuin sebagai institusi pengajian tinggi yang ulung di peringkat antarabangsa menerusi pengkhususan jurusan kepakaran kolej universiti berkenaan.

Usah guna racun seludup untuk tanaman

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

Oleh SHOLINA OSMAN
utusanperlis@utusan.com.my

KANGAR 13 Ogos - Pekebun sayur di negeri ini dinasihatkan supaya tidak menggunakan racun yang diseludup dari Thailand untuk mendapatkan hasil tanaman berkualiti sedangkan ia berbahaya kepada pengguna.

Pengarah Pertanian negeri, Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof berkata, sekalipun dijual dengan harga lebih murah, namun kandungan racun sangat tinggi dan berbahaya kepada pengguna.

Sekalipun penggunaan racun seludup ini masih tidak serius, tetapi ada kalangan pekebun yang menggunakannya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sehubungan itu, Zulkepli berkata, pihaknya mengadakan pemantauan dari semasa ke semasa untuk memastikan tiada pekebun sayur di negeri ini yang cuba menggunakan racun yang melebihi paras dibenarkan.

Katanya, antara langkah itu adalah dengan mengambil sampel daripada tanaman pekebun sayur.

Kita akan hantar petugas Jabatan Kesihatan untuk memeriksa jumlah sebenar kandungan penggunaan racun pada tanaman," katanya.

Katanya, setakat ini pihaknya cuma memberikan nasihat kepada pekebun supaya mematuhi arahan.

Beliau berkata, selepas nasihat diberikan sekali lagi sampel akan diambil daripada pekebun yang terlibat bagi memastikan tanaman yang mereka hasilkan betul-betul selamat untuk dimakan.

Bagaimanapun, katanya, biasanya arahan itu akan dipatuhi selepas nasihat diberikan.

Setakat ini ada dua hingga tiga kes sahaja yang melibatkan pekebun sayur menggunakan kadar racun yang berlebihan," katanya.

Katanya, jika pekebun gagal mematuhi nasihat itu mereka boleh dikenakan kompaun oleh Jabatan Kesihatan.

Beliau berkata, pengguna tidak perlu risau kerana Jabatan Pertanian sentiasa memastikan sayur-sayuran yang dijual selamat dimakan serta bebas daripada penggunaan racun berlebihan.

RM8.3 juta bantu golongan miskin di Kedah

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

ALOR SETAR 13 Ogos - Sebanyak RM8.3 juta diperuntukkan oleh kerajaan Pusat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak awal tahun ini untuk membantu golongan tidak bernasib baik.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, bantuan diberikan kepada penerima yang layak di seluruh negeri.

Katanya, kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah rakyat dan berusaha membela nasib golongan itu.

"Ini merupakan bantuan bulanan yang diberikan melalui JKM kepada penerima bagi membantu meringankan beban rakyat," katanya di sini baru-baru ini.

Beliau juga menggesa agar pemimpin setempat bergerak aktif dalam mengesan penduduk di kawasan mereka yang memerlukan bantuan agar tindakan sewajar dapat diambil.

"Kita akan membantu mereka yang layak jadi semua anggota masyarakat perlu memainkan peranan termasuk pemimpin di kawasan masing-masing untuk mengesan orang susah seperti pesakit terlantar atau ibu tunggal yang miskin," katanya.

Beliau pada masa yang sama menyeru agar syarikat korporat tampil menghulurkan bantuan kepada golongan tidak bernasib baik ini sebagai salah satu daripada khidmat sosial mereka.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


50,000 dijangka hadiri pelancaran kibar Jalur Gemilang

Posted: 14 Aug 2013 01:58 AM PDT

SUNGAI PETANI 14 Ogos - Lebih 50,000 orang dijangka membanjiri Dataran Zero, Jam Besar di sini Jumaat ini sempena majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang peringkat kebangsaan 2013.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Kedah, Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata, ini adalah kali pertama Kedah dipilih sebagai tuan rumah majlis berkenaan.

Beliau yakin majlis itu yang bermula dari 3 petang hingga lewat malam, bukan sekadar dihadiri penduduk sekitar bandar ini malah rakyat dari seluruh Kedah dan negeri di utara tanah air.

"Ini kali pertama kali kerajaan Persekutuan pilih Kedah sebagai tuan rumah apatah lagi selepas kita menjadi kerajaan baharu. Saya seru kepada semua rakyat untuk datang ke sini bagi menyatakan sokongan dan tunjukkan semangat cintakan negara," katanya kepada pemberita selepas melihat persiapan menjelang majlis itu hari ini.

Majlis itu dijangka disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 9 malam Jumaat ini. - UTUSAN ONLINE

Gempa bumi kuat 6.7 berhampiran selatan Panama

Posted: 13 Aug 2013 07:06 PM PDT

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Gempa bumi kuat berukuran 6.7 pada skala Richter berlaku berhampiran Selatan Panama pada 11.43 malam tadi.

Kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia awal hari ini menyebut pusat gempa itu terletak di 1,174km barat laut Iquitos di Peru dan 17,808km di timur laut Sandakan, Sabah.

Tiada ancaman tsunami dilaporkan. - BERNAMA

Ketua sami Buddha mohon maaf insiden surau di Sedili

Posted: 13 Aug 2013 09:48 AM PDT

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Ketua Utama Samy Buddha Malaysia, Datuk K. Sri Dhammaratana Nayake Maha Thera memohon maaf kepada seluruh masyarakat Islam atas tindakan sekumpulan penganut Buddha dari Singapura mengadakan sesi meditasi di surau sebuah resort di Sedili Besar, Kota Tinggi, Johor baru-baru ini.

Walaupun beliau sendiri tidak mengenali anggota kumpulan itu, namun atas dasar tanggungjawab, beliau melahirkan rasa kesal terhadap perbuatan tidak bertanggungjawab itu dan berharap kejadian sedemikian tidak berulang.

"Kumpulan luar itu sepatutnya mendapatkan tempat sesuai dan memahami sensitiviti budaya dan tradisi tempatan sebelum melakukan ritual.

"Saya minta seluruh masyarakat Islam menerima permohonan maaf ini dan akan menentukan kejadian itu tidak akan berulang," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau menasihatkan penganut Buddha agar menghormati sensitiviti mana-mana penganut agama lain.

Beliau berkata penganut Buddha mestilah sentiasa menyedari prinsip asas yang ditegakkan oleh Buddha: ...Tidak mungkin seseorang itu dapat mencipta kesenangan atas kesusahan orang lain". - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Enactus pupuk ilmu keusahawanan

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

Sebahagian pelajar Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan UTeM yang menyertai pertandingan Enactus Malaysia National Exposition 2013 di PWTC, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

MELAKA 13 Ogos - Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan (FPTT) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) baru-baru ini menyertai pertandingan Enactus Malaysia National Exposition 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Dekan FPTT, Prof. Madya Dr. Md. Nor Hayati Tahir berkata, penyertaan dalam pertandingan itu merupakan galakan kepada usaha pelajar yang terlibat dengan aktiviti keusahawanan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

"Pendekatan diterapkan dalam Enactus adalah bersifat keusahawanan sosial yang turut memberikan impak terhadap aplikasi ilmu yang dipelajari dalam kelas untuk dipraktikkan dalam dunia sebenar," katanya.

Enactus merupakan pertubuhan yang menjalankan program keusahawanan dalam usaha memberi manfaat kepada penduduk setempat melalui projek-projek dilaksanakan pelajar institusi pendidikan di seluruh dunia.

Sementara itu, penasihat pasukan FPTT, Isma Addi Jumbri berkata, projek yang dibentangkan pada pertandingan itu dinamakan Green Compost Fertilizer merupakan kerjasama Enactus UTeM dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) dan Sekolah Menengah Teknik (SMT) Bukit Piatu, Melaka.

"Melalui projek ini, PPSPPA memberi tunjuk ajar mengenai cara penghasilan baja kompos dan seterusnya pasukan Enactus UTeM membimbing SMT Bukit Piatu untuk menghasil dan memasarkan produk bagi menjana pendapatan," jelasnya.

Jelas beliau, konsep itu bukan hanya membudayakan amalan keusahawanan di kalangan pelajar malah turut membentuk generasi muda yang sedar tentang konsep kelestarian alam.

"Ini dapat ditunjukkan di mana sisa makanan di kafetaria sekolah tersebut digunakan semula bagi menghasilkan baja kompos," ujarnya.

Promosi produk pelancongan desa

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 13 Ogos - Kerajaan negeri akan meningkatkan usaha mengembangkan produk-produk pelancongan di kawasan luar bandar raya ini bagi memastikan ia terus menjadi tarikan baharu kepada pelancong ke Melaka serta tidak dipinggirkan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Pantai, Sungai dan Pulau-pulau negeri, Datuk Ghazale Mohamad berkata, banyak produk pelancongan negeri sebelum ini hanya tertumpu di daerah Melaka Tengah.

Menurutnya, banyak lagi produk pelancongan di luar bandar seperti di daerah Alor Gajah dan Jasin yang menarik dan berpotensi memberi pulangan namun ia kurang dikunjungi.

"Oleh itu, kerajaan negeri akan memberi fokus untuk mengembang dan mempromosikan lagi produk-produk pelancongan luar bandar ini agar ia dapat dijadikan produk pelancongan tambahan yang memberi faedah kepada ekonomi penduduk setempat dan negeri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ghazale berkata, antara tempat-tempat menarik yang jarang dikunjungi termasuk Air Panas di Gadek dan Bemban serta Perigi Portugis di Merlimau.

"Selain itu, kita juga mempunyai Rumah Tradisional Penghulu Mad Natar, Merlimau serta Halaman Tiga Budaya di Asahan yang mana tapak itu menemukan Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.

"Produk pelancongan ini akan mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi penduduk setempat jika dapat diketengahkan kepada orang ramai termasuk dari dalam dan luar negara.

"Usaha ini juga dilihat mampu mengagihkan perkembangan ekonomi kepada pelancongan luar bandar termasuk kepada para pengusaha kraf tangan, peniaga makanan dan lain-lain yang bergantung kepada kedatangan pengunjung," jelasnya.

Dalam masa sama katanya, kerajaan negeri turut akan sentiasa menambah baik produk-produk pelancongan di kawasan bandar untuk memastikan ia terus diminati pengunjung.

"Ini termasuk pembangunan fasa dua Sungai Melaka sejauh enam kilometer yang dilihat dapat memberikan tambahan produk pelancongan dan tarikan baharu kepada pelancong ke negeri ini," katanya.

Kelab Doktor Muda semai amalan cara hidup sihat

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

Zainuddin Abas menyampaikan trofi dan sijil kepada Eiman Haqim Abu Bakar dari Sekolah Kebangsaan Seri Intan, Kluang, Johor selepas dinobatkan sebagai Tokoh Doktor Muda Peringkat Kebangsaan di Seremban, baru-baru ini.

SEREMBAN 13 Ogos - Si kecil ini lagaknya cukup meyakinkan. Tutur katanya bagaikan mereka yang berpengalaman dalam bidang perubatan dengan alat stetoskop yang sentiasa tergantung di leher.

Malah khidmat mereka seringkali diperlukan apabila berlaku kes-kes kemalangan mahupun penyakit untuk dirawat terlebih dahulu sebelum menerima rawatan susulan di hospital berdekatan.

Apa yang membezakan adalah dari segi kelulusan yang mana mereka ini hanyalah ahli Kelab Doktor Muda yang masih belajar di sekolah yang berfungsi sebagai pembimbing dan pendorong kepada rakan sebaya dan anggota keluarga ke arah mengamalkan cara hidup sihat.

Penglibatan anak-anak kecil ini sudah pasti memperlihatkan usaha menyuburkan kesedaran murid-murid selain memperkukuhkan penglibatan guru serta warga sekolah lain dalam usaha meningkatkan kesihatan pelajar.

Program Doktor Muda yang diperkenalkan sejak tahun 1989 ini merupakan program promosi kesihatan yang telah mendapat pengiktirafan oleh Kementerian Pendidikan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah, berdasarkan Laporan Pencapaian Program Doktor Muda, pada tahun lalu sahaja sejumlah 1,653 sekolah telah menubuhkan kelab berkenaan.

Jelasnya, ia merangkumi 21 peratus daripada bilangan sekolah rendah di seluruh negara yang telah menubuhkan Kelab Doktor Muda dengan penglibatan seramai 44,436 orang murid yang dilantik sebagai Doktor Muda.

"Jumlah ini secara langsung telah memberi manfaat kepada murid sekolah rendah yang telah didedahkan dengan ilmu kesihatan yang disampaikan oleh Doktor Muda menerusi aktiviti pendidikan rakan sebaya," katanya dalam Majlis Penutup Konvensyen Kelab Doktor Muda Kelima dan Majlis Perasmian Sambutan Minggu Sihat Doktor Muda Peringkat Kebangsaan di Stadium Tertutup Nilai dekat sini baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Kesihatan, Datuk Shamshulkahar Mohd. Deli serta Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesihatan Kementerian Pendidikan, Zainuddin Abas.

Justeru katanya, pihaknya memohon kepada Kementerian Pendidikan sekiranya dapat memberi keistimewaan kepada pelaksanaan Kelab Doktor Muda secara wajib di sekolah.

Tambah beliau, dengan pelaksanaan itu pihaknya percaya hasil jangka panjangnya akan dapat melahirkan generasi yang sihat, apatah lagi murid-murid adalah pewaris negara dan sewajarnya perhatian perlu diberikan terhadap kesihatan mereka sebagaimana matlamat pelaksanaan Kelab Doktor Muda bagi meningkatkan amalan cara hidup sihat.

"Kita melihat bahawa sekolah merupakan tempat yang paling sesuai bagi mempromosikan kesihatan apatah lagi ia merupakan sebuah institusi terurus, tersusun dan mempunyai kemudahan serta sumber yang oleh dikongsi bersama dalam melaksanakan program itu.

"Dengan penglibatan aktif pelbagai peringkat anggota di Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pelajaran saya percaya kedua-dua kementerian kelak akan dapat memperkukuhkan lagi perkongsian bestari dan pelaksanaan program ini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Surau mungkin diroboh

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Tiada pemilihan semula CEC?

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Sultan Johor titah pusat peranginan, hotel periksa arah kiblat

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved