Khamis, 25 Julai 2013

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Perubahan sikap politik meyakinkan

Posted: 25 Jul 2013 12:06 PM PDT

DATUK A AZIZ DERAMAN ialah Presiden Persatuan Peradaban Melayu Malaysia-Kelantan dan bekas Ketua Pengarah DBP.

Gelagat peraih undi Barisan Nasional semasa Pilihan Raya Kecil Kuala Besut di Kampung Gertak Seratus, kelmarin. - BERNAMA

TULISAN saya dalam Utusan Malaysia pada 23 Julai 2013 sehari sebelum hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, ada menyebut: "Para pengundi di Kuala Besut boleh mempelopori perubahan sikap politik baharu demi masa depan bangsa dan negara". Alhamdulillah nampaknya terbukti wujud pertimbangan para pengundi. Mereka menjadi pengimbang tara atau mata neraca yang menentukan yang mana berat dan yang mana ringan. Syabas kepada semua pengundi Kuala Besut yang keluar mengundi menegakkan demokrasi berparlimen di tanah air.

Dalam tulisan yang sama juga, ada satu kesimpulan yang saya kira memaut pandangan sebahagian besar pengundi, iaitu - "Jika kita mahu melambangkan penolakan kepada isu perkauman, menjaga kesucian Islam, mempertahankan hak Melayu dan Bumiputera, mendaulatkan institusi raja-raja Melayu, mengekalkan tonggak-tonggak kemalaysiaan sebagaimana aspirasi Perlembagaan, menolak pembohongan, fitnah dan hasutan maka inilah masanya sikap itu ditunjukkan".

Tahniah kepada mereka yang mengambil sikap ini, melambangkan pendirian tegas menolak hasutan, kebencian dan slogan-slogan negatif selama ini.

Tanggungjawab rasionalisme dan intelektualisme telah ditunjukkan dan tanggungjawab ini memang menjadi sifat-sifat tradisi peradaban Islam. Rakyat Kuala Besut telah memilih wakil mereka yang baharu. Maka tahniah pula kepada anak muda yang kini bergelar Yang Berhormat (YB), Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman dan kepada isteri yang sentiasa ke mana-mana mengiringi, melangkah sederap serentak di belakang beliau. Kuala Besut sejak lama, meskipun turun naik keadaannya adalah kawasan politik hak milik UMNO dan Barisan Nasional (BN). Mutakhir ini aura Datuk Seri Idris Jusoh sentiasa berputar di situ.

Kehadiran Tan Sri Muhyiddin Yassin mengepalai kempen dan turun padang diikuti beberapa menteri, pembesar dan pimpinan politik BN yang lain telah menambahkan lagi keyakinan pengundi. Istilah turun padang seharusnya digerakkan mulai dari peristiwa PRK Kuala Besut ini sehingga menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 pada 2018 kelak.

UMNO dan BN jangan lagi membuang masa kerana gerakan pembangkang tidak akan pudar dan tidak serik menabur benih-benih yang tidak baik. Laman sosial dan salah guna teknologi informasi dan komunikasi telah banyak mendatangkan padah.

Dengan mengikuti gerakan kempen PRK kali ini, didapati banyak penerangan dan penjelasan tentang isu-isu dapat dibuat dengan baik, sempurna tanpa 'bercakap hodoh' dari lidah kepimpinan kerajaan. Misalnya ucapan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal di perkarangan Masjid Teluk Bayu pada petang 23 Julai berkesan membuka fikiran para hadirin. Bukti-bukti kejayaan kerajaan selama ini disebutkan beliau boleh dilihat di mana-mana di seluruh negara dari Sabah, negeri di bawah bayu sampai ke Teluk Bayu di Terengganu.

Kuala Besut dan daerah Besut sendiri sudah menikmati banyak perubahan dengan adanya institusi-institusi pendidikan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Institut Perguruan Guru (IPG), pembangunan infrastruktur luar bandar, antaranya sebatang jalan raya berukuran lebar menghubungkan sempadan Kelantan ke Kuala Terengganu dan aneka macam kesejahteraan rakyat. Maknanya rakyat Kuala Besut tidak silap sama sekali dengan membuat keputusan mengekalkan wakil rakyat BN.

Penduduk Kuala Besut, Insya-Allah nanti akan melihat perubahan yang lebih besar apabila Kuala Besut dibangunkan sebagai bandar indah, kualanya jadi pelabuhan nelayan yang 'comel lote', bahkan tarikan pelancong dari Malaysia dan luar negeri ke Pulau Perhentian bertambah rancak, apabila diwujudkan konsep gerbang pelancongan antarabangsa. Kita sudah terbayang akan berlakunya lompatan berganda kegiatan ekonomi yang memakmurkan masyarakat Melayu dan bumiputera.

Politik pembangunan dan sikap pengundi Kuala Besut ini patut diteladani rakyat di kawasan-kawasan lain, lebih-lebih lagi di negeri-negeri di bawah pemerintahan pembangkang khususnya Kelantan Darul Naim. Mungkin ada lagi beberapa PRK dalam tempoh lima tahun ini di mana-mana sekalipun, maka gunakanlah tapisan atau ayak yang mampu menapis atau mengayak agar memberikan kita sesuatu yang terbaik. Kita boleh mengambil pedoman daripada apa sahaja, jika kita sentiasa berfikir dan tidak terjerut di pukat yang tidak dapat menghasilkan tangkapan.

PRK Kuala Besut telah membuktikan banyak perkara antaranya:

o Para pengundi berjaya menilai kesan dan akibat PRU-13 pada 5 Mei lalu dan mengambil iktibar daripada sikap tidak benar pembangkang, misalnya isu kalimah Allah, penolakan Islam oleh sekutu pakatan pembangkang, cauvinisme, sikap perkauman dan gerakan yang mempermainkan teras-teras kenegaraan.

o Rakyat sedar usaha kerajaan yang secara konsisten atau istiqamah dalam perjuangan mempertahankan Perlembagaan dan mentadbir negara melalui wawasan, gagasan, dasar dan program pembaharuan yang jelas.

o "Orang muda sudah berubah selera kerana calon BN adalah calon orang muda yang mewakili mereka. Masa depan kepimpinan negara terletak di bahu orang muda yang perlu dilatih dari sekarang.

o Rakyat sedar bahawa pemimpin hendaklah dipilih daripada seseorang yang ada rangkaian untuk membawa kebajikan, kemakmuran dan kesejahteraan bukan parti yang 'cakap berdegar-degar' tetapi sumbernya tiada.

Abad ke-21 ini adalah abad generasi muda. Jadi kalian hendaklah sentiasa bijaksana. Itulah nasihat 'orang tua' seperti saya. Cuba renungkan dan fikirkan sambil anda duduk, berdiri atau semasa anda terlentang sekalipun akan rahmat dan nikmat di negara kita.

Apakah kejayaan dan kemajuan selama ini mahu diserahkan kepada mereka yang tidak akan mempertahankan prinsip-prinsip kenegaraan? Rakyat hanya boleh berfikir untuk mengubah atau menukar apabila adanya porak peranda dalam pemerintahan dan pentadbiran kerajaan. Hal ini tidak ada di Malaysia.

Maka jadikan PRK Kuala Besut sebagai iktibar bagi PRK lain jika ada dan tetapkan hati pada PRU-14, hanya beberapa tahun lagi menjelang 2018. PRK Kuala Besut adalah tapak mula generasi muda dan rakyat seluruh negara amnya menunjukkan perubahan sikap politik baharu yang meyakinkan untuk berlangkah dan berlari menuju masa depan yang cemerlang dan gemilang tatkala ayam kokok waktu fajar 1 Januari 2020.

Apakah kerajaan kita berdaulat?

Posted: 25 Jul 2013 12:06 PM PDT

PROF MADYA DR. MOHD. RIDHUAN TEE ABDULLAH Ketua Program Pengajian Kenegaraan, Kepimpinan dan Ketamadunan, Fakulti Pengajian Pengurusan dan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

PADA 19 Julai 2013, Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong), dalam sidang akhbarnya di ibu negara, menolak keputusan Kementerian Pendidikan untuk menambah masa pengajaran dan pembelajaran (P&P) Bahasa Melayu (BM) dan Bahasa Inggeris (BI) di SJKC.

Peraturan baru yang melibatkan pelajar Tahun Empat, Lima dan Enam itu, dikatakan tidak sesuai untuk dilaksanakan di SJKC. Persoalan saya, siapakah mereka? Adakah mereka ini kerajaan?

Isu ini telah dibawa berbincang sekian lama, kerajaan telah membuat keputusan, tetapi tidak pernah ada penyelesaian kerana terus menerus ditentang oleh kumpulan ultra kiasu ini. Apa jua usaha kerajaan untuk penambahbaikan dan memartabatkan BM di SJKC dilihat menggugat bahasa Cina (BC). Akhirnya, kita pun mengalah.

Maka tidak hairan, kumpulan pendidik Cina mahukan Kementerian Pendidikan mengkaji semula peraturan baru mengenai waktu P&P BM dan BI di SJKC, yang akan bermula tahun depan.

Saya boleh bersetuju jika SJKC berada di negara China. Malangnya, SJKC berada di Malaysia. Suka atau tidak, SJKC mesti menjunjung Perlembagaan negara. Selaku bapa kepada anak yang berada di SJKC, saya gembira dengan peraturan ini. Laksanakanlah.

Untuk makluman, di bawah peraturan baru ini, waktu pembelajaran BM akan meningkat daripada 80 minit seminggu kepada 270 minit seminggu, manakala bagi BI dari 120 minit kepada 150 minit dan Bahasa Mandarin dikekalkan pada 300 minit. Justeru, apa masalahnya?

Melihat kepada kedudukan BM dalam Perlembagaan, ternyata arahan ini tidak memadai untuk mendaulatkan agenda negara. Sepatutnya ditambah lagi menjadi sekurang-kurangnya 500 minit seminggu. Ini kerana, kerajaan telah bermurah hati membenarkan SJKC beroperasi secina-cinanya. Takkan agenda nasional tidak boleh mengakar?

Kumpulan ini bertegas, P&P BM selama 210 minit dan BI 210 minit sudah mencukupi. Mereka mahu segera bermesyuarat dengan Kementerian Pendidikan bagi menyelesaikan perkara ini. Persoalan saya, jika kerajaan bersetuju, apakah mereka boleh memberi menjamin, selepas ini sebahagian besar produk SJKC akan dapat menulis dan berkomunikasi dengan baik dalam BM dan lulus cemerlang? Jika tidak sekolah ini akan diserapkan ke dalam pendidikan kebangsaan? Kerajaan perlu tegas dalam hal ini.

Perkara ini tidak perlu dimesyuaratkan lagi. Laksanakan terus, jika masih berdegil, tutup sahaja sekolah tersebut atau serapkan dalam sekolah kebangsaan. Lagipun boleh dikatakan tidak ada seorang daripada kalangan mereka yang mengundi BN, walaupun kerajaan memberikan segala bentuk bantuan kepada SJKC termasuk juga Sekolah Persendirian Cina (SPC) yang tidak ada kaitan langsung.

Apakah mereka sengaja tidak sedar kesan daripada SJKC telah mengurangkan P&P dalam BM. Akibatnya, ramai anak Cina tidak boleh menulis, bertutur dan berkomunikasi dalam BM kerana agenda negara dikesampingkan. Mana ada negara di dunia yang mempraktikkan amalan sebegini. Kita semakin melahirkan ramai ultra kiasu, seperti Alvivi dan kumpulan yang menterbalikkan Jalur Gemilang.

Saya amat yakin, walaupun mereka tidak menjelaskan, bahawa bantahan mereka terhadap peraturan kerana ia akan menjejaskan PP bahasa Cina (BC). BM akan mengambil lebih masa, pelajar SJKC akan disusahkan untuk menghafal dan memahami BM, ini akan menjejaskan penguasaan mereka dalam BC.

Apa salahnya jika pelat (kurang pandai) sedikit dalam BC. Tetapi kita baik dalam BM selaku bahasa negara. Kenapa mahu jadi Cina secina-cinanya. Cina di negara China pun tidak secina Cina di Malaysia.

Pendek kata, apa jua penambahan subjek di SJKC yang boleh menggugat atau mengambil sedikit masa subjek BC tidak akan dipersetujui apa jua cara sekalipun.

Keputusan kerajaan ini selaras dengan dasar kerajaan untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Nasihat saya kepada Kementerian Pendidikan, jika kita terlalu bertegas kepada Sekolah Kebangsaan (SK), kenapa tidak SJKC.

Apa jua agenda kebangsaan terutama melibat BM mesti dilaksanakan tanpa perlu berbincang lagi. Jika kumpulan pendidik NGO ini tidak bersetuju, itu hak mereka. Usah dipedulikan. Hak bernegara mesti dilaksanakan. Agenda negara mesti diutamakan berbanding agenda bangsa atau kumpulan tertentu.

Kenapa SK boleh patuh dan laksanakan apa jua polisi kerajaan tetapi tidak SJKC? Melayu tetap patuh, tetap taat. Di manakah daulat sesebuah kerajaan itu jika semua keputusannya boleh ditolak mentah-mentah?

Kerajaan menjadi berdaulat apabila sesuatu keputusan dibuat demi kepentingan negara, ia mesti dilaksanakan, suka atau tidak. Jika tidak suka, carilah tempat yang kita suka, tetapi bukan di sini. Nasihat saya, jangan sampai kerajaan yang berdaulat, kelihatan sudah tidak ada daulat.

Justeru, beberapa saranan berikut hendaklah diambil kira demi masa depan negara tercinta. Pertama, laksanakan keputusan yang telah dibuat tanpa menoleh lagi. Keputusan baharu ini dikira amat bertoleransi.

Kedua, Tambah guru BM di SJKC, tanpa perlu patuh kepada syarat NGO ini supaya guru BM mesti mendapat kredit dalam SPM dalam BC.

Ketiga, laksanakan peraturan agar BM dipertuturkan setiap hari. Paling kurang, separuh hari daripada masa persekolahan.

Keempat, segala pengumuman waktu persekolahan dalam BC mesti diterjemahkan dalam BM. Paling baik, BM didahulukan, diikuti terjemahan dalam BC. Itu baru nama bahasa negara didaulatkan.

Kelima, aktiviti-aktiviti BM mesti diperbanyakkan. Misalnya, pertandingan bercerita, berdebat dan menulis karangan dalam BM. Aktiviti ini mesti dilakukan sekerap mungkin. Sediakan hadiah-hadiah yang lumayan. Saya yakin PIBG mereka mempunyai banyak wang untuk menyediakan hadiah ini.

Keenam, Mereka yang gagal BM mesti mengulang sehingga mereka lulus dalam subjek ini. Mereka tidak boleh naik darjah, jika gagal dalam BM. Mereka hanya boleh naik darjah jika lulus BM. Untuk berlaku adil, polisi ini hendaklah juga dilaksanakan di SK. Saya yakin, jika dilaksanakan, keputusan dan perubahan akan berlaku.

Ketujuh, sediakan buku kerja kepada anak-anak ini supaya menambah perbendaharaan kata (vocabulary) mereka setiap hari. Setiap hari perkataan BM mereka mesti bertambah.

Kelapan, ketika waktu cuti sekolah, pelajar-pelajar ini mesti diberikan assignment seperti pergi melawat kampung-kampung Melayu. Pelajar Melayu di SK juga boleh pergi ke kampung-kampung Cina.

Kesembilan, ujian lisan hendaklah diadakan sebelum boleh dibenarkan untuk pergi ke kelas menengah. Perkara ini amat penting bagi memastikan mereka boleh berkomunikasi dengan pelajar Melayu. Masalah yang timbul hari ini ialah apabila mereka tidak dapat berkomunikasi, berlaku inferioriti kompleks. Mereka mahu untuk bertutur dan seterusnya bergaul.

Kesepuluh, signage atau nama-nama, termasuk nama sekolah hendaklah meletakkan BM terlebih dahulu, diikuti dengan bahasa ibunda, dan BI jika perlu. Seperti amalan hari ini, BM hanya berada di tempat ketiga selepas BC dan BI, selepas itu baharulah BM.

Kesebelas, ibu bapa pelajar SJKC mesti membantu anak-anak mereka berkomunikasi dalam BM. Biasa-biasalah menonton dan mendengar saluran TV dan radio dalam BM, terutama siaran berita. Sosialisasi ini amat penting supaya pelajar tersebut tidak terasa asing dalam persekitaran Melayu. Jika saban hari membuka dan mendengar saluran Cina dan Tamil 24 jam, bagaimana sosialisasi ini boleh membantu.

Saya amat yakin, jika kita melaksanakan sebahagian daripada cadangan ini pun sudah cukup untuk membantu anak-anak kita untuk pandai dalam BM.

Jika kita terus bermain tarik tali, sampai bila-bila pun negara ini akan terus bermasalah, sedangkan orang lain telah jauh meninggalkan kita. Kita pula tidak habis-habis membuang masa dan tenaga serta harta benda, memikirkan untuk menyelesaikan perkara yang sepatutnya telah selesai sekian lama, tanpa perlu dibicarakan lagi. Berdaulatkah kerajaan kita sebenarnya?

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Rindu si kecil

Posted: 24 Jul 2013 10:45 PM PDT

SHAH (bukan nama sebenar), 10, mengakui amat merindui kehadiran ibunya sejak ibunya ditahan dan kini sedang menjalani program pemulihan dadah di sebuah pusat pemulihan dadah.

Sudahlah ibu tiada, lebih malang lagi sejak dua tahun lepas, ayahnya telah menghilangkan diri tanpa khabar berita menyebabkan kehidupan adik-beradik ini tidak terbela.

"Tak seronoklah ibu tidak ada waktu raya nanti. Nanti kami nak beraya dengan siapa?" kata Shah perlahan sambil tangan menguis tanah dengan ranting kayu apabila ditanya perasaannya menyambut raya tanpa ibu di sisi.

Mujur cuma sebentar menungannya. Selepas itu Shah aktif kembali bermain bersama rakan-rakan kejiranannya di Kampung Baru, Kuala Lumpur itu.

Kesedihan Shah dan adik-adiknya itu turut dikongsi oleh ibu saudara mereka, Noris, 60, (bukan nama sebenar) yang kini dipertanggungjawabkan menjaga empat adik-beradik berkenaan yang berumur 10, 4, dan si kembar berusia tiga tahun.

Noris memberitahu, empat lagi adik-beradik berkenaan dijaga oleh ibu-ibu saudara lain iaitu yang berumur, 17, 16, 14 dan sembilan tahun.

Bukan sahaja Shah, malah adik-beradiknya yang lain juga kerap kali bertanya kepada Norisah mengenai ketiadaan ibu mereka dan adakah dia akan beraya bersama mereka nanti.

"Shah adalah anak yang paling tersentuh hatinya berbanding adik-beradik lain. Selain paling manja dengan ibunya, Shah juga sudah mula memahami apa yang berlaku terhadap ibunya. Sementara adik-adik lain masih kecil dan tidak faham apa yang berlaku.

"Sehinggakan adiknya yang berumur empat tahun, Adam (bukan nama sebenar), apabila ditanya di manakah ibu mereka, selalunya mereka sendiri akan menjawab ibu balik kampung, tanpa diajar oleh sesiapa," kata Noris.

Jelas Noris, biarpun keadaan adik-beradik itu agak terumbang-ambing kerana keadaan keluarga serta kehidupan ibu dan ayah mereka, setidak-tidaknya mereka masih merasai nikmat kasih sayang seorang ibu.

"Anak-anak ini telah lama menanti kepulangan ayah mereka. Dari sehari ke sehari, sehinggakan akhirnya mereka berhenti bertanya di manakah ayah mereka.

"Kini apabila ibu mereka menjalani rawatan pemulihan, anak-anak ini pastinya akan terasa kehilangan terutama menjelang Syawal nanti. Hampir setiap malam, anak-anak ini akan menangis merindui kehadiran ibu mereka," katanya.

Begitupun katanya, sebagaimana hari-hari biasa, dia akan cuba membuatkan anak-anak itu rasa gembira dan akan membawa mereka bertemu dengan ibu mereka apabila dibenarkan.

Kanak-kanak itu katanya, sentiasa hidup dalam belenggu kesusahan. Satu persatu masalah datang dalam keluarga mereka dan kini terpaksa pula hidup sendiri.

"Bagi saya, biarlah anak-anak ini berpisah daripada ibu mereka dahulu demi kebaikan mereka juga. Lagipun ibu mereka juga rela untuk menjalani rawatan demi memastikan anak-anaknya terbela di kemudian hari," katanya.

Jelas Noris, tiada siapa yang kebal daripada melakukan kesilapan. Namun kekhilafan itu bakal ditebus oleh ibu mereka dengan cuba memperbaiki diri serta memulihkan diri daripada masalah ketagihan yang semakin membelenggu.

Apa yang menjadi masalah jelas Noris, bagaimana untuk membuatkan anak-anak itu gembira ketika raya nanti.

Niat di hati ingin membeli sepasang dua baju raya untuk mereka. Namun memandangkan dia juga tidak bekerja dan hanya mengharapkan pemberian daripada anak-anaknya, Noris jelas tidak mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian.

"Pada hari-hari biasa, apa sahaja yang ada saya masak, mereka akan makan, tanpa banyak kerenah. Shah akan ke sekolah dan balik pada petang hari.

"Menjelang raya yang tidak berapa lama lagi, pastinya mereka juga berkehendakkan baju-baju baru dan sambutan raya dengan kuih-muih. Namun tidak tahulah sama ada ia tercapai atau dapat memuaskan hati mereka," katanya.

Kepada yang mahu menyumbang bantuan kepada adik-beradik ini boleh menghubungi talian 017-3631620 (Afidah) untuk maklumat lanjut. - ROSMAH DAIN

Aksesori anak rekaan ibu bapa

Posted: 24 Jul 2013 10:45 PM PDT

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar NOOR AZLINA JAAFAR

Tetamu selebriti hadir bersama anak masing-masing.

lazimnya hanya ibu bapa sahaja yang memahami dan mengetahui kehendak serta cita rasa anak-anak mereka.

Daripada pakaian hingga kepada barang keperluan, aksesori dan mainan anak-anak dipilih berdasarkan minat dan cita rasa mereka.

Justeru, langkah yang dibuat oleh Bloom & Grow (B&G) Baby and Maternity Distribution (M) Sdn Bhd., memberi peluang kepada ibu bapa untuk mereka sendiri barangan dan aksesori kanak-kanak merupakan sesuatu yang bijak.

Menurut Pengurus Negara (Malaysia) B & G Baby and Maternity Distribution (M) Sdn Bhd., Jonathan Horsley, kebanyakan daripada produk B & G direka oleh golongan ibu bapa yang sukar memperoleh aksesori menyamai standard atau jangkaan mereka.

Horsley yang ditemui pada majlis pelancaran katalog B & G di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini menambah, sebagai ibu bapa mereka lebih tahu apa yang dikehendaki oleh anak-anak.

"Kami memilih rangkaian produk yang terbaik, paling selamat, memenangi pelbagai anugerah dan praktikal untuk pilihan ibu bapa.

"Kami tampilkan rangkaian penuh peralatan bayi seperti set hidangan, beg bayi dan aksesori, alatan permainan dan pembelajaran, alat mendukung, aksesori mandian, alat bantuan tidur yang selamat, botol susu dan sebagainya,

"Kami mengedarkan item-item pilihan khusus ini di pelbagai rangkaian kedai aksesori bayi dan ibu serta gedung beli-belah terkemuka seluruh negara serta laman beli-belah dalam talian.

"Alat bantuan hidangan, kerusi tinggi kanak-kanak, kaca mata hitam perlindungan UV, alat permainan yang unik, beg sekolah comel, bagasi yang boleh ditunggangi, ponco renang, lampin mesra alam dan abah-abah kerusi antara item yang pastinya akan memberi kegembiraan kepada anak dan ibu bapa,'' ujar Horsley.

Membuat penampilan sulung pada majlis pelancaran katalog Musim Bunga/Panas 2013 ini adalah rangkaian kaca mata hitam Squids, Totseat dan Label-Label.

Sementara itu, sekumpulan anak-anak kecil yang berusia daripada satu tahun menggayakan koleksi terkini aksesori bayi dan ibu bapa daripada rangkaian komprehensif musim bunga/panas ini.

Turut hadir pada majlis pelancaran katalog B & G ini ialah pelawak tempatan Harith Iskandar bersama-sama isterinya Jezamine Lim dan anak mereka, Zander, 15 bulan, pembaca berita televisyen Sheahnee Lee Iman bersama anaknya Iman dan pelakon Sharifah Sofia.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Enam kedai kotor diarah tutup

Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusangroup.com.my

(Kiri) Seorang kakitangan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya menyatakan sesuatu kepada pembantu dapur sebuah premis perniagaan makanan semasa Ops Dapur di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AZMAN ASMAYATIM

KUALA LUMPUR 24 Julai - Memasuki dapur sebuah restoran India yang beroperasi di Jalan Ipoh di sini boleh membuatkan hilang selera makan.

Apa tidaknya, keadaannya sungguh kotor dan lantainya yang berlendir serta pecah di sana-sini. Stor makanan pula turut terisi dengan najis tikus manakala di dalam peti sejuk didapati ketulan daging yang masih berdarah, tidak dibersihkan.

Pengalaman memualkan itu dirasai wartawan yang mengikuti Ops Dapur oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan dan Putrajaya bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Hospital Kuala Lumpur di sekitar Jalan Ipoh, hari ini.

Menerusi operasi itu juga didapati restoran berkenaan menggunakan lima tenaga kerja asing yang tidak mendapatkan suntikan antitifoid.

Dengan keadaannya yang kotor dan ditambah masalah lain, restoran itu diarah tutup selama 14 hari untuk kerja-kerja pembersihan dan pembaikan dilaksanakan sebelum dibenarkan beroperasi semula.

Nasib yang sama diterima pemilik sebuah restoran dim sum apabila diarahkan tutup selama 14 hari juga.

Lantai restoran itu berlendir, bahagian belakangnya yang dijadikan kawasan mencuci pinggan mangkuk sangat kotor. Di situ juga dijadikan tempat mengukus kuih pau, iaitu betul-betul di atas longkang.

Pekerjanya pula tidak mematuhi etika berpakaian pekerja restoran - hanya memakai seluar pendek, tidak memakai apron dan sarung tangan plastik.

Yang menjijikkan lagi pihak wartawan ialah apabila terlihat pekerjanya yang sedang memasak telah mengelap tangan dengan sehelai kain, yang sebelumnya dijadikan kain lap kaki.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr. Balachandran Satiamurti yang mengetuai operasi itu berkata, setakat tengah hari, sebanyak 29 premis menjual makanan diperiksa dan enam daripadanya diarah tutup kerana melakukan pelbagai kesalahan.

"Antara kesalahan yang mereka lakukan ialah membiarkan ruang dapur kotor terutama di bahagian lantai dan dapur memasak, tong sampah yang tidak ditutup, peti ais yang kotor dan tidak disenggara sehinggalah terdapat kehadiran tikus dan lipas serta tandas yang kotor," katanya.

"Kami kesal kerana masih terdapat pemilik-pemilik restoran yang melakukan kesalahan dan tidak mempunyai kesedaran mengenai soal kebersihan, walaupun selepas operasi dibuat minggu lalu di Jalan Semarak," tambah beliau.

Sehubungan itu beliau mengalu-alukan masyarakat memberikan maklumat kepada pihaknya mengenai kedai makan yang kotor agar tindakan segera boleh diambil, yang menurutnya sedia dilaksanakan dalam tempoh 24 jam.

"Tanpa mengira standard yang cuba dipamerkan oleh premis, sekali pun restoran makanan segera mahupun restoran yang kelihatan cantik di hadapan tetapi apabila ke belakang terutama ruang dapur, penyediaan makanan dan tandas, keadaannya sangat teruk dan kotor, sila segera membuat aduan.

"Mungkin ini sahaja cara yang efektif untuk mengajar operator makanan yang degil dalam menitikberatkan soal kebersihan," katanya.

Laporan boleh dikemukakan kepada Jabatan Kesihatan menerusi talian 03-2694 0701 atau SMS kepada DBKL di talian 158 888.

Segelintir peniaga masih degil

Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

Rosli Ahmad (dua dari kiri) sempat beramah mesra dengan peniaga ketika mengetuai Ops Harga di Bazar Ramadan Desa Pandan, Kuala Lumpur kelmarin. - UTUSAN/ZAINI HUSIN

KUALA LUMPUR 24 Julai - Sebanyak 18 kes direkodkan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kuala Lumpur membabitkan premis perniagaan yang tidak mempamerkan tanda harga.

Pengarahnya, Abu Samah Shabudin berkata, jumlah itu dicatat selepas pemeriksaan ke atas 10,747 premis perniagaan termasuk bazar Ramadan sekitar ibu negara yang dilakukan dalam Ops Harga sejak 6 Julai lalu.

Menurutnya, kesalahan tidak mempamerkan tanda harga barangan yang dijual itu dikenakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Kompaun maksimum yang boleh dikenakan terhadap peniaga yang tidak pamer tanda harga adalah sebanyak RM25,000 manakala denda maksimum pula sehingga RM50,000," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai Ops Bazar Ramadan 2013 di Bazar Ramadan Desa Pandan yang diketuai oleh Timbalan Pengarah PPDNKK Kuala Lumpur, Rosli Ahmad.

Tambah Abu Samah, kebanyakan peniaga bazar Ramadan memberi alasan sukar untuk menentukan harga bagi makanan yang dijual mengikut timbang atau sukatan.

"Antaranya adalah barangan basah termasuk lauk pauk berkuah yang dijual dan pemantauan membabitkan kuih-muih, kami mendapati mereka mematuhi arahan mempamerkan tanda harga itu," ujarnya.

Dalam pada itu, Abu Samah memberitahu, pemeriksaan dan pemantauan yang dilakukan di Bazar Ramadan Desa Pandan itu mendapati peniaga memberi kerjasama dengan meletakkan tanda harga.

"Kami sebenarnya sudah memaklumkan secara lisan kepada mereka terlebih dahulu sebelum melakukan operasi, namun kami mendapati masih ada segelintir peniaga yang tetap degil dengan arahan itu," ujarnya.

Operasi dan pemantauan tersebut turut disertai kakitangan Jabatan Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Pelesenan dan Pengurusan Penjaja Kecil DBKL dan Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan DBKL serta 10 ahli Skuad Pengguna Kuala Lumpur.

Ikhlas lapor SPRM isu seleweng bazar Ramadan

Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT

KUALA LUMPUR 24 Julai - Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meminta suruhanjaya itu menyiasat sekiranya wujud penyelewengan berhubung pengundian tapak bazar Ramadan di Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini.

Mereka mendakwa laporan dibuat kerana terdapat dua buah syarikat tekstil terkemuka memperoleh hampir 20 tapak yang sekali gus menimbulkan persoalan tentang cara pembahagian tapak berkenaan.

Presiden Ikhlas, Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, meskipun pada Ramadan kali ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengambil perubahan drastik melakukan undian untuk menentukan tapak bazar kepada peniaga yang memohon, namun syarikat tekstil itu dengan mudah memperolehi tapak.

Perkara itu menimbulkan kecurigaan dan rasa tidak puas hati pihak kami dan peniaga kerana pengundian tersebut dipercayai tidak telus.

Saya juga mendapat maklumat, mereka ada menjual nama orang penting untuk memperoleh tapak ini. Perkara ini sepatutnya tidak berlaku kerana peniaga adalah rakyat Malaysia yang berhak mendapat kesamarataan dalam setiap perkara," katanya ketika ditemui di Pejabat SPRM Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau juga percaya terdapat orang dalam yang menguruskan pemberian tapak kepada dua syarikat berkenaan.

Apabila semua pihak terpaksa melalui proses pengundian tetapi dua pihak lain mendapat tapak secara senang, kami rasa ada orang dalam yang bertanggungjawab melakukan ini.

Walaupun syarikat ini menggunakan tapak itu untuk kegunaan barangan sendiri dan tidak menyewakan kepada pihak ketiga, kami percaya terdapat unsur rasuah di situ," dakwanya.

Tambah beliau, pihaknya mempunyai bukti serta saksi tentang perkara tersebut dan mahu SPRM melakukan siasatan segera terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Jaminan yang diberikan SPRM adalah untuk menyiasat perkara ini kerana mereka telah mendapat maklumat awal terhadap isu tersebut. Tetapi saya tetap berharap SPRM tidak meminggirkan isu ini kerana isu ini membabitkan rakyat jelata.

Jika pegawai kerajaan yang melakukan perbuatan sebegitu tidak diambil tindakan, pasti ramai rakyat yang kecewa kerana kami telah mengundi dan memilih kerajaan yang tepat," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Promosi produk pelancongan

Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my

zainal Eran (tengah) selepas menyampaikan hadiah kepada para pemenang program Johor International Treasure Hunt 2013 yang berlangsung penuh meriah di Mersing, Johor Bahru, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 24 Julai - Pelbagai usaha giat dijalankan Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Johor, Jabatan Pelancongan negeri dan Tourism Malaysia Johor dalam usaha mempromosi produk pelancongan yang ada di negeri ini.

Selain menjalankan aktiviti promosi melalui program-program rasmi, pihak jabatan turut menganjurkan Johor International Treasure Hunt 2013 baru-baru ini sebagai usaha mewujudkan kepelbagaian dalam memperkenalkan Johor serta produk pelancongannya.

Acara yang melibatkan perjalanan sejauh 198 kilometer melibatkan laluan dari Johor Bahru ke Mersing itu membabitkan sebanyak 250 peserta dengan penggunaan 60 kenderaan.

Program yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM15,000.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Johor, Mohammad Isa Abd. Halim berkata, matlamat utama penganjuran program itu adalah untuk menjadikannya platform mempromosi destinasi, produk pelancongan, sejarah dan warisan yang menarik yang terdapat di negeri ini.

"Selain itu, program tersebut bertujuan membentuk jaringan sosial dan profesional antara agensi berkaitan kerajaan dengan peserta serta masyarakat setempat.

"Kita melihat aktiviti rekreasi seperti ini dapat menguji tahap intelektual selain fizikal dan mental serta semangat berpasukan dalam usaha melahirkan generasi yang lebih berdaya saing," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Johor International Treasure Hunt 2013 turut mendapat kerjasama Johor Corporation Berhad (JCorp), Institut Pembangunan Pengurusan Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Daerah Kota Tinggi dan Majlis Daerah Mersing.

Program itu turut mendapat sokongan daripada beberapa rakan strategik termasuk Jabatan Taman Laut, Felcra Sungai Ara, Homestay Air Papan, Medini Mall dan Hotel Seri Malaysia Mersing.

Mohammad Isa berkata, program itu turut menyelitkan beberapa elemen tradisional melalui kepelbagaian tugasan yang disediakan di setiap 'check point' malah disesuaikan dengan lokasi serta mampu memperkenal dan memberi nilai komersial kepada lokasi tersebut selain memberi pengalaman menarik kepada peserta.

"Aktiviti seperti memetik sawit dan memancing di sawah yang menjadi sebahagian dari tugasan peserta ini mungkin tidak pernah dilakukan atau dilalui peserta sebelum ini dan ini pastinya menjadi sesuatu yang baru yang mungkin akan dikenang sepanjang hayat mereka.

"Selain itu kita juga memperkenalkan destinasi pelancongan terbaru di Johor seperti Legoland Malaysia yang terletak di Nusajaya dan beberapa tempat bersejarah seperti makam Sultan Mahmud di Kampung Makam, Kota Tinggi," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Mersing, Zainal Eran berharap aktiviti tersebut akan terus menjadi acara tahunan dan melibatkan daerah-daerah lain yang terdapat di negeri ini sebagai langkah mempromosikan produk-produk yang ada di negeri ini.

"Kita percaya pendekatan seperti ini adalah sesuatu yang sangat baik tambahan pula Johor sememangnya memiliki keunikan serta keindahannya tersendiri yang mampu menambat hati para pengunjung," katanya dalam majlis penutup program itu.

Johan bagi Johor International Treasure Hunt 2013 ialah kumpulan 4WD yang membawa pulang wang tunai RM4,000 manakala tempat kedua dan ketiga dimenanangi Crazy Hunters (RM3,000) serta The Lucky One (RM2,000).

Buang sampah haram disiasat

Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my

ABDUL Latiff Bandi (kanan) bersama pihak pengurusan SWM mengangkat kerusi buruk sebagai gimik Pelancaran Perkhidmatan Kutipan Sampah Pukal Percuma sempena Hari Raya Aidilfitri di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, kelmarin. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU 24 Julai - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) sedang menyiapkan lima kertas siasatan terhadap syarikat yang menjalankan aktiviti pembuangan sampah haram di negeri ini.

Pengarahnya, Zainal Fitri Ahmad berkata, lima syarikat yang terlibat merangkumi pengusaha kilang serta pemilik industri kecil dan sederhana (IKS).

Beliau berkata, aktiviti pembuangan sampah haram seperti itu sukar dikesan kerana kebiasaan mereka yang terlibat melakukan kegiatan tersebut pada lewat malam.

"Syarikat-syarikat ini akan dihadapkan ke mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 dan ini merupakan kes pertama seumpamanya di negeri ini.

"Kita akan meneruskan usaha ini dengan lebih agresif bagi mengesan mereka yang terlibat dalam usaha menjadikan bandar raya ini lebih bersih," katanya selepas Majlis Pelancaran Perkhidmatan Kutipan Sampah Pukal Percuma sempena Hari Raya Aidilfitri di Kampung Melayu Majidee, di sini semalam.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abdul Latiff Bandi dan turut dihadiri Pengarah Eksekutif SWM Environment Sdn. Bhd., Dr. Uzir Abdul Malik.

Sementara itu, Uzir memberitahu, pihaknya menyediakan perkhidmatan kutipan sampah pukal secara percuma bermula semalam hingga 9 Ogos ini selain turut menyediakan perkhidmatan tong sampah Roll On Roll Off (RORO) di beberapa lokasi yang ditetapkan.

Beliau berkata, bagi kawasan Mersing dan Labis, pungutan sampah pukal dijalankan berdasarkan panggilan telefon dan permintaan daripada penduduk.

"Perkhidmatan ini merupakan tanggungjawab sosial dan aktiviti tahunan SWM yang diberikan khas kepada orang ramai secara percuma khususnya kepada penduduk yang ingin melupuskan barangan lama yang sudah rosak seperti televisyen, almari, tilam, kerusi, meja dan sebagainya.

"Diharap aktiviti ini akan dapat mengurangkan aktiviti pembuangan sampah haram oleh segelintir masyarakat yang tidak mempunyai kesedaran sivik selain mewujudkan persekitaran yang lebih bersih," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau pertanyaan boleh menghubungi talian bebas tol SWM di 1-800-88-7472 atau menghantar e-mel kepada info_jhr@swmsb.com.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Kerajaan negeri digesa wartakan fatwa anti-Syiah

Posted: 25 Jul 2013 02:29 AM PDT

KUALA LUMPUR 25 Julai - Mana-mana kerajaan negeri yang belum mewartakan fatwa anti-Syiah diminta segera berbuat demikian dalam usaha membanteras penularan fahaman itu dalam kalangan masyarakat negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata walaupun fatwa itu telah diwartakan di peringkat kebangsaan, namun kerajaan negeri perlu mewartakannya di peringkat negeri masing-masing supaya tindakan penguatkuasaan boleh dilakukan.

"Seperti sedia maklum, hal ehwal agama terpulang pada kuasa negeri dan (pentadbir) negeri perlu berbincang dengan pihak berkuasa agama masing-masing dan menggazetkan fatwa ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kembara Zakat Maybank Islamic (MIB) serta penyerahan sumbangan Sahabat Korporat Tabung Haji di sini hari ini.

Jamil Khir menegaskan penyebaran amalan lain kepada umat Islam yang telah mempunyai pegangan seperti Ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan satu kesalahan dan boleh diambil tindakan undang-undang.

"Walaupun di negara ini (penganut) agama lain bebas mengamalkan agama masing-masing, namun perbuatan mengembangkan fahaman lain kepada masyarakat Islam yang telah mempunyai pegangan adalah salah," katanya.

Kementerian Dalam Negeri telah mengisytiharkan Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang berkuat kuasa semalam.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata kerajaan negeri itu akan mewartakan fatwa anti-Syiah bagi membanteras fahaman itu di negeri berkenaan.

Mengenai permohonan rayuan kepada kerajaan Arab Saudi berhubung pengurangan kuota haji Malaysia 20 peratus tahun ini, Jamil Khir berkata pihaknya masih menunggu jawapan mengenai perkara itu.

"Rayuan telah dibuat, namun jawapan mungkin diperoleh di saat-saat akhir," katanya. - BERNAMA

Jerebu: Kualiti udara di Seberang Jaya makin baik

Posted: 25 Jul 2013 02:14 AM PDT

KUALA LUMPUR 25 Julai - Kualiti udara di Seberang Jaya, Pulau Pinang yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada paras tidak sihat tengah hari ini, turun ke paras sederhana di sebelah petang.

Laporan laman web Jabatan Alam Sekitar menunjukkan IPU di Seberang Jaya pada pukul 4 petang ini berapa pada paras 100 iaitu di tahap sederhana berbanding 101 dan 102 antara pukul 12 hingga 2 petang ini.

Bagaimanapun, bacaan IPU di Sekolah Kebangsaan (SK) Pegoh, Ipoh mencatatkan bacaan di paras tidak sihat. Lain-lain kawasan menunjukkan bacaan sederhana dan sihat.

Berikut bacaan IPU di beberapa kawasan di seluruh negara:

Tidak sihat (101-200):

1. SK Pegoh, Ipoh - 106

Sederhana (51-100):

1. Seberang Jaya - 100

2. Perai - 93

3. Seri Manjung - 92

- UTUSAN ONLINE

Peserta ratu cantik pertikai fatwa boleh dikena tindakan

Posted: 25 Jul 2013 01:34 AM PDT

PEKAN 25 Julai - Empat orang gadis Islam yang mempertikai larangan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik boleh dikena tindakan di Mahkamah Syariah.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Sri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata jika mereka nekad dengan keputusan untuk terus menyertai pertandingan tersebut, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang syariah.

"Ini kerana jika sesuatu perkara itu telah difatwakan, ia telah menjadi satu undang-undang syariah, dan pihak yang melanggar undang-undang tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 165 Enakmen Kanun Tatacara Jenayah Syariah kerana menghina Islam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyampaian bantuan kepada pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang di sini hari ini.

Empat gadis tersebut yang berumur antara 19 hingga 23 tahun bukan sahaja mempertikai larangan tersebut malah terus nekad menyertai pertandingan itu walaupun nama mereka digugurkan pihak penganjur.

Berhubung isu Syiah, Wan Abdul Wahid berkata mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penyebaran fahaman itu atau mengajar ilmu agama tanpa tauliah di negeri ini, mereka boleh dikenakan hukuman denda atau penjara jika didapati bersalah.

"Setakat ini belum ada sebarang aktiviti penyebaran ajaran Syiah di negeri ini. Jika ada pun ia adalah kes terpencil dan dibawa oleh pihak luar. Muip bagaimanapun akan memantau perkara ini dari semasa ke semasa," katanya. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Seludup mercun cari duit raya

Posted: 24 Jul 2013 11:34 AM PDT

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

Shahidan Ladin (kanan) dan Sarjan Che Lah Ibrahim menunjukkan mercun di dalam sebuah kereta yang dirampas di Kompleks Unit Pencegah Penyeludupan Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu, kelmarin. - UTUSAN/SAFRIZAL AZMI

KUBANG PASU 24 Julai - Tindakan nekad seorang lelaki menyeludup masuk pelbagai jenis mercun dan bunga api yang hanya ditutup dengan kain hitam di dalam keretanya mengundang padah selepas dia ditahan dalam sekatan jalan raya petang semalam.

Suspek berusia 38 tahun yang memandu kereta jenis Proton Persona itu ditahan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Bukit Kayu Hitam ketika melalui Kilometer 1.3, Lebuh Raya Utara-Selatan, menghala ke Changlun, kira-kira pukul 4 petang.

Komander UPP Bukit Kayu Hitam, Asisten Supritendan Shahidan Ladin berkata, hasil pemeriksaan menemukan barangan tersebut yang dianggarkan bernilai RM9,000 di bahagian but dan tempat duduk belakang kereta itu yang bercermin gelap.

"Kami tak sangka dia berani bawa masuk bahan larangan itu dengan hanya menutupi dengan kain hitam di tempat yang mudah dilihat di dalam keretanya.

"UPP percaya pulangan lumayan dengan menjual mercun dan bunga api sempena Hari Raya Aidilfitri telah mendorong dia mengambil tindakan berani itu," katanya di sini semalam.

Menurut Shahidan, mercun dan bunga api yang dibeli dari negara jiran boleh dijual sehingga tiga kali ganda di pasaran tempatan menyebabkan penyeludup sanggup melakukan apa sahaja demi mendapat keuntungan segera.

Katanya, suspek yang dipercayai mahu menjual barangan berkenaan kepada ejen di Pulau Pinang cuba mengambil kesempatan menyeludup ketika waktu puncak memandangkan banyak kenderaan sedang keluar masuk menggunakan pintu sempadan Malaysia-Thailand di sini ketika itu.

"Suspek mungkin berasakan dia boleh meloloskan diri daripada sekatan jalan raya kerana kenderaan banyak tetapi dapat dikesan anggota bertugas," katanya.

Shahidan berkata, kes itu dirujuk kepada pihak Kastam Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 yang boleh didenda sebanyak 10 kali ganda nilai barang dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Syiah tiada ruang di Perlis

Posted: 24 Jul 2013 11:34 AM PDT

Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
utusanperak@utusan.com.my

KANGAR 24 Julai - Kerajaan negeri menerusi agensi pihak berkuasa agamanya sentiasa menjalankan pemantauan rapi bagi memastikan tidak ada sebarang usaha daripada pihak tertentu mengembangkan ajaran atau fahaman Syiah di negeri ini.

Perkara itu berikutan fatwa yang diwartakan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada 27 September tahun lalu bahawa ajaran dan fahaman Syiah bercanggah dan menyalahi ajaran Islam sebenar.

Mufti Perlis, Datuk Mursyid Diraja Dr. Juanda Jaya memberitahu, pemantauan tersebut penting kerana pengikut ajaran atau fahaman Syiah tidak boleh diberikan ruang menjalankan usaha-usaha mempengaruhi umat Islam di Perlis.

"Walaupun kedudukan Syiah di Perlis tidak membimbangkan dengan maklumat diterima jumlah ahlinya tidak melebihi lima orang, pemantauan ke atas usaha untuk mengembangkannya sentiasa dibuat untuk memastikan pengaruhnya tidak meluas.

"Ini kerana pihak berkuasa pernah merampas buku-buku berkaitan Syiah dari negara jiran di pintu sempadan," kata beliau dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Sehubungan itu, kata Juanda, umat Islam di negeri ini perlu berwaspada dengan percubaan golongan tersebut untuk mempengaruhi mereka menerusi pelbagai cara termasuk penyebaran risalah, buku dan ceramah.

"Pihak berkuasa juga memantau penceramah yang dijemput memberikan ceramah di masjid-masjid di seluruh negeri bagi mengelak pengaruh Syiah berleluasa.

"Begitu juga dengan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dari luar negara yang menyambung pengajian di negeri ini bagi mengelakkan penularan pengaruh Syiah," tambahnya.

Walau bagaimanapun, kata Juanda, hasil maklumat pihak berkuasa, tidak ada penuntut luar negara di negeri ini yang menjalankan aktiviti menyebarkan fahaman Syiah.

Polis tumpu 5 kawasan panas cegah jenayah

Posted: 24 Jul 2013 11:34 AM PDT

ALOR SETAR 24 Julai - Polis akan memberi tumpuan kepada lima lokasi panas di negeri ini dengan menambah jumlah anggota sukarelawan polis di kawasan itu bagi membantu mencegah berlakunya jenayah.

Sukarelawan polis itu akan dibahagikan mengikut jumlah yang sesuai di lima lokasi tersebut iaitu Kubang Pasu, Kulim, Kota Setar, Kuala Muda dan Langkawi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, sukarelawan polis akan membantu anggota sedia ada dan mereka akan diberikan latihan yang secukupnya untuk melaksanakan tugas dengan baik.

"Ketika ini terdapat kira-kira 737 anggota sukarelawan polis di Kedah dan mereka telah menjalani kursus latihan asas polis di Langkawi.

"Pertambahan jumlah anggota sukarela ini kita dapat mantapkan lagi pencegahan jenayah di kawasan panas yang menjadi tumpuan iaitu Kubang Pasu, Kulim, Kota Setar, Kuala Muda dan Langkawi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Tamat Latihan Sukarelawan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Komandan Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia Kedah, Supritendan Rozali Abd. Ghani.

Menurutnya, semua ketua polis daerah juga akan memberi latihan yang sesuai kepada sukarelawan polis yang ditempatkan di daerah masing-masing agar kemahiran mereka dapat ditingkatkan.

"Sukarelawan polis adalah keluarga kita dan saya bertanggungjawab ke atas mereka jadi saya mahu semua yang diberi tugas melaksanakannya dengan baik.

"Saya akan jaga kebajikan mereka dan apa yang polis terima akan saya cuba usahakan agar mereka juga dapat serta saya akan pantau tahap disiplin mereka," jelasnya.

Tambah Ahmad, jumlah anggota sukarelawan polis itu juga akan ditambah mengikut kekosongan yang ada.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


PM umum bantuan khas, 2 kenaikan gaji

Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Tambah majoriti

Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Pertubuhan Syiah salahi undang-undang

Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved