Sabtu, 13 Julai 2013

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Piya pertahan alasan

Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

Mohd. Badhri

KOTA BHARU - Kapten pasukan Kelantan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi bersedia menjawab surat tunjuk sebab kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kegagalannya melapor diri dalam latihan skuad kebangsaan.

Mohd. Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya berkata, dia akan mengemukakan surat tunjuk sebab bersama laporan pemeriksaan kesihatan yang dibuat oleh doktor di sini (Kota Bharu), sehari selepas berakhirnya saingan Liga Super bertemu Lions XII pada 6 Julai lalu.

Menurut Piya, pemeriksaan yang dibuat mengesahkan dia mengalami kecederaan otot paha (hamstring) dan doktor yang memeriksa menasihatkannya supaya berehat selama dua minggu daripada menjalani sebarang latihan.

"Jika mahu surat tunjuk sebab, saya bersedia mengemukakannya bersama dengan laporan perubatan yang dibuat sebelum ini, termasuklah daripada pegawai fisioterapi pasukan.

"Sebelum ini, saya telah menghubungi penolong jurulatih (Tan Cheng Ho) bagi memaklumkan kecederaan yang dialami. Namun, dalam masa yang sama dia (Cheng Ho) menyuruh saya hadir dan membuat laporan.

"Tetapi mengikut kata doktor yang membuat pemeriksaan sebelum ini, menyuruh saya mengikuti sesi rawatan di sini," katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Tambahnya, dia juga bersedia ke Kuala Lumpur untuk melaporkan diri bersama pasukan kebangsaan dan menjelaskan perkara itu.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, pengurus skuad kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal dan jurulatih, Datuk K. Rajagobal meminta pemain berusia 31 tahun itu membalas surat tunjuk sebab kepada pengurusan FAM.

Malah, Piya bakal berdepan tindakan tatatertib jika tiada sebarang alasan kukuh tidak menghadirkan diri dan besar kemungkinan tidak akan lagi dipanggil menyertai skuad kebangsaan pada masa akan datang.

Kegagalan pemain paling berpengaruh dalam pasukan Kelantan itu menimbulkan pelbagai polemik sehingga ada yang sesetengah pihak yang mendakwa pemain berkenaan sengaja tidak menghadirkan diri.

Piya antara tujuh pemain dari pasukan Kelantan iaitu, Khairul Fahmi Che Mat, Nik Mohd. Shahrul Azim Ab. Halim, Azizi Mat Rose, Mohd. Shakir Shaari, Mohd. Norfarhan Muhammad dan Ahmad Fakri Saarani yang dipanggil untuk bersama skuad kebangsaan menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa bulan ini.

Pemain yang terkenal dengan 'hantaran maut' itu berada pada kelas tersendiri apabila menjadi ketua pasukan Kelantan pertama mendakap kesemua kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Dalam perkembangan lain, Piya memberitahu, dia sedikit terkilan kerana tidak bersama rakan-rakan sepasukan untuk membantu negara membuat persiapan.

"Namun apa boleh buat, kecederaan yang dialami ini membataskan saya untuk berbuat demikian," ujarnya.

Zulfahmi bermula di petak 12

Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT

Zulfahmi Khairuddin

SACHSENRING, Jerman - Harapan pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin untuk memulakan perlumbaan Moto3 Jerman di kedudukan lebih baik tidak kesampaian apabila sekadar berada di tempat ke-12 dalam sesi ujian kelayakan masa dengan catatan 1 minit 28.047 saat.

Biarpun pada satu ketika dia berada di tempat ke-5, namun pelumba berusia 21 tahun gagal mempertahankan kedudukannya sebelum tergelincir ke tempat ke-10 dan mengakhiri tangga ke-12 sebaik sahaja masa kelayakan tamat.

Kegagalan berada sekurang-kurangnya lapan pelumba teratas pasti menyukarkan peluang pelumba Red Bull KTM Ajo itu untuk mengintai kedudukan podium dan harapan paling realistik buat Zulfahmi adalah untuk cuba mengumpul seberapa banyak mata yang mampu.

Memungut 40 mata, Zulfahmi tidak pernah berada di kalangan 10 pelumba teratas pada sesi kelayakan masa pada musim ini dengan kedudukan paling baik pernah diraihnya adalah berada di tempat ke-11 di Qatar dan Jerez, Sepanyol.

Pelumba Sepanyol, Alex Rins meraih masa terpantas dengan catatan 1 minit 27.300 saat untuk meninggalkan pendahulu Moto3 yang juga merupakan rakan sepasukan Zulfahmi, Luis Salom yang berada di tempat kedua dan tangga ketiga milik pelumba pasukan Mahinda, Miguel Oliveira.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Harga ayam RM13 sekilo di Raub?

Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my

RAUB 13 Julai - Bahagian Penguatkuasaan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri diminta menyiasat aduan pengguna tentang terdapat sesetengah peniaga di negeri itu dipercayai menjual ayam sehingga RM13 sekilogram.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, walaupun pihaknya belum menerima aduan rasmi setakat ini, beliau berharap bahagian tersebut tidak memandang ringan dan perlu mengambil tindakan tegas terhadap peniaga terbabit.

Katanya, penguat kuasa perlu menjalankan pemeriksaan sama ada kenaikan harga ayam berpunca daripada pembekal, pemborong atau perbuatan peniaga itu sendiri yang mengambil kesempatan menaik harga ayam sehingga sekali ganda.

''Tindakan mereka itu melampau kerana mengambil kesempatan di bulan Ramadan memandangkan permintaan terhadap ayam terutamanya bagi keperluan umat Islam sekarang ini adalah tinggi.

"Walaupun pada masa ini ayam bukan barang kawalan, peniaga tidak sepatutnya mengambil kesempatan menaikkan harga ketika bulan Ramadan ini," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Menurut beliau, peniaga jangan memikir untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda tetapi mereka juga perlu juga bertimbang rasa terhadap pengguna yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar jika harga ayam naik dan bulan puasa ini.

Katanya, pada masa sekarang ayam dijual antara RM8.50 hingga RM9 sekilogram di negeri ini berbanding sekitar RM7.60 hingga RM7.80 sen sekilogram sebelum ini.

Tambah beliau, kenaikan harga ayam dikatakan berpunca daripada pembekal dan pemborong yang menaikkan harga ayam selain bekalannya dikatakan berkurangan berikutan banyak permintaan yang meningkat pada bulan puasa dan hari raya tidak lama lagi.

Shahiruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong menasihati para peniaga supaya mematuhi peraturan termasuk mempamerkan tanda harga serta menggunakan alat penimbang yang sah dalam urusan perniagaan.

Katanya, tindakan tegas mengikut akta kawalan harga dan pencatutan boleh diambil ke atas peniaga yang menaikkan harga barang yang bertujuan mengaut untung berlebihan.

Mahu pagar roboh di SK Galing diperbaiki segera

Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT

Awi Shahadan (kanan) menunjukkan zink yang dijadikan pagar sementara setelah pagar konkrit Sekolah Kebangsaan Galing roboh akibat banjir yang masih belum diperbaiki di Kuantan, baru-baru ini.

KUANTAN 13 Julai - Kalangan ibu bapa Sekolah Kebangsaan (SK) Galing di sini mahu pihak berkuasa mengambil langkah segera membaik pulih pagar konkrit sekolah itu yang rosak teruk sejak lapan bulan lalu.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, Awi Shahadan berkata, banjir besar yang melanda daerah ini pada Disember tahun lalu turut mengakibatkan pagar sekolah tersebut rosak teruk dan gagal dibaiki sehingga kini.

Menurutnya, masalah itu telah dimaklumkan kepada agensi kerajaan terlibat supaya tindakan segera diambil bagi mengelak perkara lebih buruk berlaku khususnya melibatkan soal keselamatan murid sekolah tersebut.

"Sejak kejadian itu, ibu bapa murid di sini bimbang dengan soal keselamatan anak-anak mereka yang menjadikan padang bersebelahan pagar konkrit itu sebagai kawasan permainan.

"Namun pihak sekolah telah mengeluarkan arahan larangan bermain di padang tersebut bagi mengelak perkara lain timbul," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Menurut Awi, ketika ini pagar sementara dibina di kawasan tersebut namun tidak dapat bertahan lama kerana sering digunakan laluan masuk murid ke sekolah itu.

Tambahnya, sejak kejadian itu, berlaku beberapa kecurian seperti alat pemadam kebakaran yang dipercayai dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Inilah yang kami bimbangkan. Mula-mula curi alat tersebut dan kemudian apatah lagi yang akan diambil di sekolah itu. Saya berharap pihak terbabit ambil perhatian sewajarnya demi keselamatan murid serta sekolah ini," ujarnya.

Ariff dicari bantu siasatan polis

Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT

Noor Ariff

JERANTUT 13 Julai - Polis sedang mengesan Noor Ariff Irman Hamzah, 36, bagi membantu siasatan beberapa kes samun sejak April lalu melibatkan beberapa buah kampung di daerah ini.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Azid Ismail berkata, alamat terakhir Noor Ariff adalah di Nombor 23, Lorong 8, Taman Pelangi di sini.

Beliau berkata, pihaknya menerima banyak laporan berkenaan kes samun di beberapa buah kampung seperti Kampung Tebing Tinggi dan Kampung Bukit Dinding.

"Orang ramai yang mengetahui di mana Noor Ariff berada diminta segera menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut 09-2662222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya di sini hari ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Elak penularan virus MERS

Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT

KAHERAH 13 Julai - Arab Saudi tidak akan mengeluarkan visa haji tahun ini kepada jemaah warga emas dan penghidap penyakit kronik dalam usaha mereka mencegah penularan virus Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) semasa musim haji yang akan datang.

Menurut jurucakap Kementerian Kesihatan, Khalid al-Mirghalani kepada akhbar Arab News, syarat terbaharu itu akan digunapakai terhadap jemaah haji yang menunaikan rukun Islam kelima tersebut pada Oktober ini dan jemaah umrah selepas itu.

Bagaimanapun, pegawai itu tidak mendedahkan tentang had umur, namun menyatakan warga emas yang secara perubatannya tidak sihat untuk mengerjakan haji tidak akan dipertimbangkan untuk visa.

Khalid berkata, untuk itu, warga emas dan penghidap penyakit kronik dinasihat menangguhkan ibadat haji serta umrah.

Selain itu, Kementerian Kesihatan menerusi laman webnya turut menasihatkan individu yang mudah terdedah kepada penyakit seperti wanita hamil dan kanak-kanak supaya menangguhkan dua ibadat tersebut.

Sebanyak 38 orang maut setakat ini akibat virus menyamai Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) itu sejak September tahun lalu, menurut pihak berkuasa kesihatan.

Virus tersebut buat pertama kalinya ditemui tahun lalu pada seorang lelaki di negara ini.

Ia dilaporkan menular dalam kalangan penduduk di Perancis, Jordan, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Jerman, Tunisia dan Britain. - DPA

AS gesa Mursi dibebas

Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT

Seorang penyokong wanita memegang gambar Presiden yang disingkirkan, Mohammed Mursi, semasa satu bantahan di Kaherah, Mesir, kelmarin. - REUTERS

KAHERAH 13 Julai - Amerika Syarikat (AS) semalam menggesa tentera Mesir supaya membebaskan Presiden yang disingkirkan, Mohammed Mursi ketika puluhan ribu penyokongnya berikrar untuk terus berjuang bagi mengembalikan kuasa bekas Presiden itu.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Jen Psaki berkata, AS bersetuju dengan rayuan awal Jerman bagi pembebasan Mursi yang turut dibuat secara terbuka.

Presiden yang digulingkan itu ditahan di sebuah 'tempat selamat' menurut pimpinan sementara Mesir dan tidak kelihatan di khalayak umum sejak beliau disingkirkan pihak tentera pada 3 Julai lalu.

Psaki berkata, Washington mahu tentera menamatkan 'sekatan ke atas Mursi', sementara Jerman mencadangkan sebuah institusi yang dipercayai seperti Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah diberi peluang bertemu beliau.

Sementara itu, Presiden AS, Barack Obama semalam dilapor menghubungi Raja Abdullah di Arab Saudi bagi membincangkan krisis di Mesir.

Satu kenyataan dikeluarkan White House memberitahu, Obama dan Raja Abdullah saling menyatakan sokongan mahukan kestabilan di Mesir.

Menurut kenyataan tersebut Presiden AS itu bimbang dengan keganasan yang berlaku di Mesir berikutan rampasan kuasa oleh tentera.

Beliau turut menekankan kepentingan pembentukan kerajaan menerusi saluran demokrasi yang dipilih rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri baharu Mesir, Hazem al-Beblawi semakin hampir membentuk Kabinet baharu, biarpun penyokong Mursi berikrar untuk membela nasib bekas Presiden yang digulingkan itu.

Hazem yang dilantik memegang jawatan itu pada Selasa lalu, bakal mengadakan perbincangan dengan calon-calon menteri hari ini dan esok.

Selain itu, pergerakan Ikhwanul Muslimin memberi amaran bahawa mereka bakal mengadakan satu lagi tunjuk perasaan secara besar-besaran pada Isnin ini.

Bagaimanapun, pergerakan itu menjanjikan bahawa demonstrasi tersebut akan berlangsung secara aman. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Megabait

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Megabait


Nikmati muzik, panggilan dengan Sennheiser

Posted: 13 Jul 2013 05:52 AM PDT

SECANGGIH mana pun pemain muzik yang kita miliki, jika fon kepala yang digunakan tidak berkualiti, ia hanya akan membuatkan lagu yang didengari sekadar untuk didengar sahaja.

Kualiti muzik yang dihasilkan tidak dapat dihayati pendengar akibat keupayaan terhad fon kepala menyampaikan rima berkesan untuk halwa telinga.

Pada minggu ini, ruangan gajet menampilkan sebuah fon kepala yang dikategorikan sebagai antara yang terbaik untuk kamu menikmati muzik berkualiti serta menakjubkan.

Sennheiser jenama yang tidak asing lagi dalam pembuatan fon kepala bermutu dengan kualiti muzik yang tiada tolok bandingnya.

Bagi pengguna pemain muzik bergerak mahupun telefon pintar, Sennheiser 429s terbaharu amat sesuai digunakan secara mobiliti untuk menikmati muzik.

Penggunaan bass menakjubkan dan kawalan kebisingan bagi mengelakkan bunyi luar mengganggu muzik yang didengari membolehkan pendengar menghayati muzik dengan lebih jelas.

Model 429s merupakan fon kepala yang menutupi keseluruhan telinga bagi keselesaan pendengar, sekali gus membolehkan mereka tidak merasa terganggu dengan kehadiran bunyi-bunyi lain.

Terdapat juga fon kepala yang menutupi sebahagian telinga, namun ia bergantung kepada keselesaan pengguna yang mahu mendapatkan kenikmatan dalam menghayati muzik.

Model ini juga merupakan fon kepala yang sangat universal dan sesuai untuk mereka yang sedang dalam perjalanan dan pada masa yang sama mahu menikmati hiburan serta komunikasi.

Kejelasan suara stereo yang mengagumkan turut dituruti dengan penggunaan telefon pintar, selain jenis pemain muzik yang digunakan. Ini kerana suara yang dikeluarkan adalah mengikut kualiti muzik yang dimainkan.

Magnet neodymium dengan kualiti high-output memberikan respons bass yang mengujakan pendengar, ditambah lagi dengan pendakap telinga yang direkabentuk bagi mengurangkan bunyi bising dari luar.

Bukan itu sahaja, model ini turut dilengkapi dengan alat kawalan jauh pintar yang tersedia bagi membolehkan pendengar menjawab panggilan telefon tanpa membuka fon kepala.

Mikrofon turut disediakan bersama alat kawalan jauh, di samping pendengar dapat mengawal susunan lagu yang mahu mereka nikmati melalui alat kawalan tersebut.

Penggunaan telefon pintar seperti Android, Windows, Blackberry mahupun Apple telah terbukti mampu digunakan bersama Sennheiser 429s yang menggunakan jack 3.5mm.

Dengan teknologi itu, sambil mendengar muzik yang berkualiti tinggi, kamu boleh menjawab panggilan telefon. Ia bukan lagi alasan kepada pengguna model ini untuk tidak menjawap panggilan ketika mendengar lagu memandangkan fungsinya mampu memberikan kedua-duanya sekali gus.

Tidak ada gunanya kamu menggunakan telefon canggih dengan pemain muzik yang berkualiti jika alat pendengarannya tidak berkualiti serta tidak mampu memberikan bunyi muzik yang menakjubkan.

- AMIRUL

Ciri-ciri menarik:

1) Mudah alih dengan kualiti muzik daripada magnet neodymium untuk bunyi stereo dan bass yang mengagumkan.

2) Rekaan pendakap telinga yang selesa dan menutupi keseluruhan telinga membolehkan bunyi luar dinyahkan.

3) Kawalan mudah alat kawalan jauh untuk menerima dan mematikan panggilan.

4) Kawalan mudah untuk mendengar muzik seperti memainkan lagu, memberhentikan atau memilih lagu yang digemari melalui alat kawalan jauh.

5) Kebebasan dalam pergerakan bagi mendengar lagu dengan hanya kabel di satu sisi sahaja.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Pertembungan Riyadh-Doha

Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT

Azmi Hassan

Pemberontak- pemberontak Syria dikatakan mendapat bantuan dari Arab Saudi dan Qatar dalam usaha mereka menentang pentadbiran Presiden Bashar al Assad.

KEMELUT yang sedang melanda Mesir pada ketika ini adalah manifestasi kepada lanjutan kesan perluasan pengaruh yang sedang menular dalam kalangan negara Arab terutama sekali bagi negara yang mempunyai kemampuan dana kewangan tanpa batasan yang diperolehi daripada sumber minyak dan gas.

Memang benar Amerika Syarikat (AS) sedaya upaya cuba mengekalkan pengaruh yang masih dimiliki tetapi begitu jelas peranan Washington begitu terbatas. Sebab itu Presiden Barack Obama enggan melabelkan penyingkiran Presiden Mohammed Mursi sebagai rampasan kuasa oleh angkatan tentera Mesir kerana tindakan sedemikian akan mengekang bantuan kewangan tahunan yang disalurkan kepada Kaherah.

Selama satu tahun pemerintahan Mursi, Washington telah menyalurkan bantuan sebanyak AS$1.5 bilion yang sebahagian besarnya diperuntukkan kepada angkatan tentera. Bantuan sebegini sedikit sebanyak memberi hak untuk Washington mempengaruhi organisasi paling berkuasa di Mesir iaitu angkatan tentera. Sebab itu juga Obama mengambil keputusan yang agak janggal untuk meneruskan jadual penghantaran empat jet pejuang F16 kepada Mesir walaupun negara itu sedang bergolak.

Seperti mana Tunisia, Libya dan juga Syria yang telah menjadi mangsa perluasan pengaruh, Mesir juga tidak terkecuali menerima kesan fenomena ini. Keadaan yang semakin buruk di Syria dan penyingkiran Mursi tidak keterlaluan diandaikan kerana dorongan yang disabitkan oleh negara Arab lain.

Perebutan pengaruh dalam kalangan negara Arab seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jordan, Kuwait, Qatar dan tidak ketinggalan juga Turki sebenarnya telah merosakkan kestabilan rantau Arab.

Ketika era pentadbiran Mursi, hanya Qatar dan Turki yang banyak menyalurkan bantuan kewangan kepada Mesir kerana Arab Saudi, UAE, Jordan dan Kuwait mentafsirkan kebangkitan Ikhwanul Muslimin adalah ancaman kepada kerajaan mereka.

Bantuan Qatar dan Turki kepada Mesir yang menghampiri AS$10 bilion sebenarnya telah banyak membantu Mursi yang dapat bertahan selama satu tahun tanpa mendapat pertolongan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Walaupun Washington menyeru supaya Riyadh, Abu Dhabi dan Kuwait memberi bantuan kepada Mesir tetapi kedua-dua negara ini enggan walaupun mempunyai kemampuan. Tetapi anehnya sebaik sahaja Mursi disingkirkan, ketiga-tiga negara Arab ini telah mengumumkan bantuan kewangan sebanyak AS$12 bilion disalurkan dengan segera kepada Kaherah sebagai membantu kerajaan sementara Mesir.

Kemelut Mesir sebenarnya telah menggambarkan secara tersirat pertembungan proksi antara dua kuasa besar negara Arab iaitu Arab Saudi dan Qatar yang masing-masing cuba memperluaskan pengaruh di negara Arab yang bermasalah. Jika dibandingkan dengan jumlah bantuan kewangan yang disalurkan oleh negara Arab dengan bantuan Amerika hanya AS$1.5 bilion, begitu jelas Riyadh atau pun Doha mempunyai asas pengaruh yang lebih kukuh berbanding Washington.

Pertembungan di antara dua kuasa besar Arab ini tidak hanya berlaku di Mesir, tetapi juga turut melanda Syria. Walaupun Riyadh dan Doha mempunyai objektif yang serupa iaitu mahu melihat kejatuhan pemerintahan Presiden Bashar al Assad, tetapi bantuan yang dihulurkan kepada pemberontak adalah kumpulan yang berlainan ideologi.

Doha umpamanya banyak membantu kumpulan pemberontak Syria yang sehaluan dengan perjuangan Ikhwanul Muslimin sementara Riyadh pula menghulurkan bantuan kepada kumpulan pemberontak yang lebih sekular. Pertembungan Riyadh dan Doha sedikit sebanyak adalah penyebab utama mengapa kumpulan pemberontak Syria berpecah belah dan begitu sukar untuk menewaskan tentera kerajaan Bashar.

Meruncing

Peletakan jawatan oleh Perdana Menteri kerajaan dalam buangan pemberontak Syria iaitu Ghassan Hitto beberapa hari lepas, menyerlahkan lagi pertembungan Riyadh dan Doha. Desas desus menyatakan Hitto yang ditakrifkan rapat dengan Doha telah dipaksa melepaskan jawatan kerana tekanan dari Riyadh.

Begitu juga dengan bantuan Doha kepada Parti Ennahda di Tunisia, kumpulan Abdul Hakim Belhadj di Libya dan Hamas di Semenanjung Gaza mengeruhkan lagi kestabilan dunia Arab kerana ia meruncingkan lagi kemarahan Arab Saudi. Seperti mana yang sedang melanda Mesir dan Syria yang begitu sukar mencari kedamaian, pertembungan Riyadh dan Doha telah menyukarkan lagi keadaan di Tunisia, Libya dan juga Palestin.

Percanggahan laporan media oleh dua agensi berita utama yang berpengkalan di rantau Arab iaitu Al Jazeera dan Al Arabiya, terutama sekali yang melibatkan berita mengenai Mesir adalah rentetan dari pertembungan Riyadh dan Doha. Seperti sedia maklum pemerintah Qatar menguasai Al Jazeera sementara Al Arabiya pula memihak kepada Arab Saudi.

Liputan berita dari Al Jazeera dikatakan lebih banyak memihak kepada Ikhwanul Muslimin yang selari dengan pendirian Doha. Sementara Al Arabiya pula lebih terdorong untuk menyokong penyingkiran Mursi yakni serupa dengan pegangan Riyadh. Pertembungan di antara kedua-dua agensi berita ini sampai kemuncaknya ketika rakyat Mesir memberontak terhadap pentadbiran Mursi apabila staf Al Jazeera rakyat Mesir, menuduh agensi tersebut melapor berita yang berat sebelah.

Pertembungan di antara Riyadh dan Doha bukan sahaja memburukkan lagi keadaan di Mesir dan Syria tetapi yang lebih penting adalah perubahan pengimbangan kuasa di rantau Arab akan berlaku dan jika tidak ditangani dengan betul akan membabitkan kestabilan rantau tersebut secara keseluruhan.

Qatar yang banyak membantu Hamas di Semenanjung Gaza adalah tidak selari dengan kehendak Arab Saudi dan juga AS. Pertembungan sebegini akan menyukarkan lagi penyelesaian konflik Palestin-Israel. Mesir yang dianggap sebagai pemain utama dalam konflik tersebut kerana faktor penguasaan Semenanjung Sinai, adalah begitu penting supaya pergolakan negara itu tidak berpanjangan.

Perubahan tampuk pemerintahan Qatar yang berlaku bulan lepas telah memberikan satu harapan baru supaya pertembungan Riyadh dan Doha tidak akan berlarutan. Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani disifatkan lebih pragmatik berbanding dengan Amir sebelum ini iaitu bapa beliau Sheikh Hamad bin Khalifa al-Thani.

Sokongan Doha kepada Ikhwanul Muslimin lebih berdasarkan kepada strategi yang pragmatik dan bukannya kerana pegangan ideologi. Pragmatik kerana Doha menilai Ikhwanul Muslimin sebagai kumpulan yang mampu mentadbir Mesir dengan baik tetapi besar kemungkinan penilaian pragmatik Doha boleh bertukar apabila Mursi disingkirkan.

Begitu juga dengan pengalaman Sheikh Tamim yang telah mengetuai jawatankuasa bersama Arab Saudi-Qatar sejak tahun 2009 dalam usaha untuk mengendurkan hubungan genting kedua-dua negara dapat membantu memulihkan hubungan diplomatik kuasa besar Arab ini.

Menjadi harapan bahawa kelebihan yang dimiliki oleh Arab Saudi dan Qatar digunakan secara bersama untuk kebaikan dan kestabilan rantau Arab. Mesir dan Syria yang sedang bergolak adalah manifestasi jelas bagaimana bahayanya jika pertembungan ini melarat ke negara lain. Begitu juga dengan krisis yang melanda kerajaan Tunisia dan Libya diburukkan lagi oleh kerana pertembungan dua kuasa besar ini.

Konflik Palestin-Israel tidak mungkin akan berjaya mencari penyelesaian jika Arab Saudi dan Qatar mempraktikkan strategi yang berlawanan di antara satu sama lain. Jika keadaan ini berlarutan, hanya satu pihak yang akan menerima manfaatnya, iaitu Israel.

Semoga ketidaktentuan yang melanda Mesir pada hari ini menjadi iktibar kepada negara Arab terutama sekali yang berkemampuan untuk mencari jalan tengah bagaimana kekayaan dan pengaruh yang dimiliki digunakan untuk kemakmuran dan bukannya kemusnahan rantau negara Arab.

Iktibar Mesir: Ramadan dan perpaduan

Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT

Dr. Mohd Roslan Mohd Nor

Umat Islam Mesir berbuka puasa dalam suasana tenang biar pun negara mereka berhadapan pergolakan politik akibat rampasan kuasa oleh pihak tentera.

RAMADAN pada tahun ini disambut dalam keadaan pergolakan yang berlaku di beberapa negara Islam, antaranya Syria dan Mesir. Bagi Mesir, kejatuhan Presiden Mohammed Mursi pada 3 Julai lalu menjadikan negara tersebut terus bergolak dan mengalami zaman yang tidak menentu. Dalam sejarah negara tersebut, ini adalah satu sejarah baru apabila pihak tentera mengambil alih pemerintahan negara daripada seorang pemimpin yang baru dilantik setahun.

Rata-rata pemerhati melihat perubahan kepimpinan di Mesir melalui cara pengambilalihan kuasa oleh pihak tentera menyebabkan keadaan menjadi semakin tidak menentu. Walaupun ada janji untuk menggantung sementara perlembagaan negara dan mengadakan pilihan raya semula dalam waktu terdekat, masih terdapat mereka yang tidak berpuas hati terutama penyokong Mursi yang dilatari Ikhwanul Muslimin.

Kerajaan sementara yang dibentuk di bawah pimpinan Adli Mansour dilihat terpaksa menjalankan satu tugas yang mencabar. Beliau perlu meredakan kemarahan rakyat Mesir serta mengajak kumpulan-kumpulan yang memenangi pilihan raya pada tahun lalu untuk duduk berunding dan berbincang mengenai masa depan negara serta pembahagian kuasa.

Ikhwanul Muslimin tidak menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan kerajaan sementara tersebut. Mereka terus mendesak supaya bekas Presiden Mesir dilantik semula sebagai presiden. Ketegangan di Mesir memuncak dengan kejadian pada 8 Julai lalu apabila pihak tentera membunuh 50 orang penyokong Mursi yang berhimpun di satu tempat di mana mereka percaya ia menjadi tempat tahanan bekas presiden itu.

Dalam pada itu, beberapa pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin telah ditahan, termasuklah Mursyidul Am mereka iaitu Muhamad Badie. Beliau bersama sembilan yang lain dihadapkan ke mahkamah pada Rabu lepas di atas tuduhan menghasut rakyat untuk meneruskan protes terhadap kerajaan sementara yang dibentuk.

Ketika pihak tentera cuba melantik pemimpin-pemimpin yang boleh dipercayai menjalankan tugas meredakan rakyat Mesir, kemarahan nampaknya semakin memuncak. Tiada tanda-tanda bahawa Mesir akan aman daripada kumpulan-kumpulan penunjuk perasaan. Medan Tahrir menjadi tumpuan berhimpun. Jumaat pertama di bulan Ramadan digunakan oleh para penyokong Mursi untuk melakukan tunjuk perasaan bagi menuntut Mursi kembali sebagai presiden.

Negara kuasa besar iaitu Amerika Syarikat (AS) pada awalnya tidak menyatakan apa-apa pendirian jelas terhadap penahanan Mursi yang telah dijatuhkan. Namun begitu, setelah Jerman meminta supaya Mursi dibebaskan dari tahanan, barulah suara AS dapat didengar untuk turut meminta pembebasan Mursi daripada apa jua bentuk tahanan.

Pendirian negara-negara Islam dilihat tidak sekata di dalam hal ini. Negara-negara Arab seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memberikan sokongan yang kuat terhadap kerajaan sementara di Mesir. Malah mereka turut beranj menyalurkan bantuan yang jumlahnya cukup besar, berbilion dollar. Tidaklah diketahui kenapakah sokongan kuat sebegitu rupa dinyatakan oleh negara-negara ini.

Sebaliknya bagi Turki dan Iran, mereka tidak boleh menerima apa yang dilakukan oleh pihak tentera terhadap kepimpinan Mursi. Mereka tidak menyokong tindakan tentera dalam hal ini atas alasan pelantikan dibuat berdasarkan amalan demokrasi. Ini bersandarkan fakta kemenangan Mursi dalam pilihan raya Presiden Mesir pada tahun lalu sebagai satu kemenangan yang sah dengan sokongan majoriti.

Bersatu

Melihat kepada pergolakan ini, ada dua perkara utama yang bermain dalam fikiran penulis: Apakah umat Islam tidak boleh bersatu? Dan apakah masa depan bagi umat Islam dalam konteks krisis global (Timur Tengah) yang berlaku?

Di dalam al-Quran, Allah SWT berfirman: "Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah, dan janganlah kamu berpecah belah" (Ali Imran: 103) dan firman-Nya: "dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang berpecah belah dan berselisih setelah datangnya keterangan-keterangan yang nyata (al-Quran dan Rasul-Nya)" (Ali Imran: 105)

Ada kemungkinan apa yang berlaku di Asia Barat, pergolakan yang tiada hentinya ini, mempunyai kaitan dengan agenda hegemoni Barat yang tidak senang dengan beberapa pendirian Islamis negara-negara terbabit.

Umpamanya pendirian Mesir di bawah kepimpinan Mursi untuk memberi sokongan terhadap Hamas, dilihat seakan-akan menempelak Israel dan menguji Amerika dan sekutunya yang menuduh Hamas sebagai pertubuhan militan yang tidak boleh dibantu.

Ini pasti meletakkan sekutu kuat AS di Asia Barat iaitu Israel dalam keadaan bahaya. Sudah tentulah pendirian seperti ini amat tidak disukai dan pihak Yahudi akan sentiasa mencari jalan menggugat keutuhan Mesir. Begitupun, ada juga yang melihat bahawa tindakan Mursi di peringkat dalaman dalam memperkenalkan polisi-polisi tertentu mendapat tentangan daripada masyarakat.

Keadaan ekonomi yang tidak baik juga telah memberikan kesan sehingga ada di kalangan rakyat yang tidak berpuas hati. Gerakan penentangan ini pastinya daripada golongan sekular yang tidak senang dengan pendirian Islamis oleh Mursi. Melihat perkembangan semasa yang berlaku ini pastinya membuatkan ramai yang berfikir apakah masa depan rakyat Mesir dan masa depan umat Islam itu sendiri? Memanglah apa yang berlaku di Mesir itu sukar untuk diterima sama ada oleh negara umat Islam mahupun negara Barat kerana asas pembentukan pemerintahan negara tersebut pasca Mubarak adalah berasaskan pilihan raya dan demokrasi.

Adakah sistem demokrasi tidak sesuai di Mesir? Ini suatu perkara yang menarik untuk diperdebatkan oleh ahli-ahli sains politik. Islam memberikan panduan umum supaya umat ini tidak berpecah belah dan berselisih dalam hal-hal yang tidak perlu, apatah lagi hal-hal yang tidak memberi keuntungan kepada agama.

Dalam hal ini kita faham bahawa berbeza pandangan bukanlah sesuatu yang dilarang, kerana Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa "perbezaan dalam kalangan umatku adalah rahmah." Di sana ada juga bentuk-bentuk perbezaan yang dibenarkan, tetapi asasnya ia bukan perkara yang akan membawa kepada perpecahan umat.

Dalam hal agama terutama yang berkait dengan akidah, sepatutnya khilaf tidak berlaku. Dalam soal furu' hukum hakam, khilaf boleh berlaku dalam pentafsiran nas mengikut pandangan-pandangan para ulama.

Jelasnya, apa yang berlaku di Mesir ini belum ada tanda-tanda ia akan reda dalam waktu yang singkat. Masih ada percaturan tertentu yang perlu dilakukan oleh kerajaan sementara terutama dalam meminta kumpulan Ikhwanul Muslimin bersetuju dengan pelan seterusnya. Ia bukan mudah kerana parti al-Hurriyyah wa al-Adalah yang mewakili Ikhwanul Muslimin memenangi secara majoriti pilihan raya sebelum ini. Secara logiknya, merekalah yang mempunyai kuasa untuk memerintah.

Penolakan kumpulan Ikhwanul Muslimin terhadap pelan peralihan baru dan tidak menerima jemputan berunding memang satu tamparan dalam konflik yang berlaku ini. Hizb al-Nur, parti kedua yang menguasai pilihan raya Mesir, juga mempunyai pendirian dan pandangan berbeza. Malah kumpulan Tamarod yang mendapat sokongan pihak tentera dalam mencetuskan penentangan sehingga Mursi dijatuhkan, turut tidak bersetuju dengan pelan yang dibuat.

Pada peringkat awal usaha menjatuhkan Mursi, ia kelihatan seperti mendapat sokongan Barat. Sebaliknya, Barat turut berada dalam dilema sama ada ingin menganggap apa yang berlaku di Mesir sebagai rampasan kuasa atau pengguguran pemimpin diktator.

Pendirian ini mempunyai kesan. Jika ia satu rampasan kuasa, maka negara barat pendokong demokrasi tidak akan memberikan kerjasama kerana rampasan kuasa itu dilakukan terhadap kerajaan yang melalui proses pemilihan yang sah. Justeru, beberapa perkembangan semasa seperti pendirian AS dan Jerman, menggambarkan bahawa konflik ini masih belum mendapat ketentuan akan berakhir dalam waktu terdekat ini.

Seorang penganalisis, Roger Hardy memberikan komentar dalam konteks ini bahawa Arab Spring menunjukkan betapa kuasa rakyat bukanlah segalanya yang boleh merubah sesuatu sekelip mata. Bagi beliau, ia bersifat lokal, tidak memberikan impak kepada rantau tersebut melainkan ia hanyalah peningkatan populariti yang diinginkan.

Bagi kita, kestabilan Mesir sangat penting kerana ia merupakan sebuah negara Islam yang besar pengaruhnya. Institusi mereka seperti Universiti Al-Azhar telah melahirkan ramai pemikir-pemikir Islam berwibawa.

Syeikh al-Azhar merupakan sosok yang sangat dihormati kerana tradisi Al-Azhar yang menjaga turath ilmu di dunia Islam. Oleh itu, apa pun percaturan politik yang sedang berlaku di sana, harapan kita agar ia boleh membawa kepada kestabilan, keharmonian dan kehidupan yang normal.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Izreen Azminda dapat anak lelaki

Posted: 12 Jul 2013 10:07 PM PDT

KUALA LUMPUR 13 Julai. - Pelakon Izreen Azminda, 28, selamat melahirkan anak pertamanya di Hospital Ampang Puteri di sini pada pukul 1.18 pagi tadi.

Bayi lelaki sihat dengan berat 3.3 kilogram itu dilahirkan melalui pembedahan.

Menurut suami Izreen, Mohammad Riza Baharuddin, isterinya kini selamat bagaimanapun masih berada dalam keadaan lemah selepas pembedahan tersebut.

"Isteri dan bayi kami dalam keadaan baik," katanya. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Kenangan belajar berpuasa

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

IBADAH puasa di bulan Ramadan sememangnya saat yang ditunggu-tunggu oleh setiap umat Islam di seluruh dunia kerana pada bulan inilah pelbagai amalan dilipat gandakan untuk mendapat keredaan Ilahi.

Semua orang sudah pasti memiliki pelbagai kenangan manis dan pahit dalam menunaikan ibadah tersebut.

Bukan itu sahaja, amalan-amalan sunat seperti solat tarawih, moreh di surau atau masjid, qiamulail dan sebagainya pasti menggamit memori zaman kanak-kanak dahulu.

Pelbagai kisah lucu, menarik dan juga menyayat hati pasti dialami oleh setiap orang dalam mendidik diri untuk berpuasa.

Ruangan Fokus minggu ini mengimbau kembali nostalgia berpuasa dalam kalangan remaja yang sememangnya meninggalkan banyak memori indah.

Ada yang berpuasa sehari penuh dan ada juga yang berpuasa setengah hari, namun apa jua caranya, semua itu kini menjadi kenangan terindah.

Jika ditanya kepada semua, sudah pasti waktu berbuka adalah saat yang ditunggu-tunggu kerana terdapat pelbagai juadah enak untuk dinikmati sebagai tanda kejayaan berpuasa penuh pada hari itu.

Apa kata kita tinjau pengalaman rakan-rakan yang belajar berpuasa pada usia muda termasuk di bangku sekolah rendah yang kini menjadi 1001 kenangan paling bermakna.

- DHIYA ZULHILMI

Beri tempatan semakin pupus

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Buah beri tempatan kini semakin pupus.

SUATU masa dahulu ketika saya berusia 10 tahun, saya dibesarkan dalam keluarga yang tinggal di ibu kota.

Bagaimanapun, kami sekeluarga mula berpindah selepas krisis ekonomi melanda negara pada tahun 1998 dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan.

Selepas tamat pengajian saya kembali berpindah ke Kuala Lumpur. Ketika itu saya sudah pun bekerja dan sangat minat mengembara.

Pelbagai negara telah saya kunjungi termasuk negara bekas Soviet Union ataupun kini dikenali sebagai Rusia.

Apa yang menariknya ketika saya berkunjung ke sana, saya dapati buah strawberi, blueberi, redberi, greenberi dan yellowberi yang dijual mahal di Malaysia hidup liar ibarat lalang dan tidak dimakan sehingga gugur ke tanah.

Kalau mereka makan pun, mungkin mereka sudah jemu dengan rasa buah tersebut ibarat kita muak dengan rasa buah cermai yang keguguran tanpa dikutip tuan empunya.

Kembali kepada kisah ketika saya masih kecil, saya teringat semula pada waktu itu ketika saya sedang bermain di kawasan rumah terdapat pelbagai jenis buah beri.

Mungkin ramai yang tidak percaya, namun itulah hakikatnya buah beri tempatan itu kini sudah musnah ditelan pembangunan ibu kota.

Lebih menyedihkan, rakan di bandar ada yang tidak mengenali langsung buah tersebut yang mereka kenali cuma buah ceri liar.

Jika dulu, sepanjang kawasan kampung saya terdapat begitu banyak buah sedemikian yang saya kenali dengan nama buah kemunting namun genap tahun ini, buah tersebut sudah pupus dan yang tinggal hanya kenangan.

Saya rasa sebelum buah ini pupus secara keseluruhan, apa kata kita hargai dan tanam semula buah tersebut agar generasi akan datang berpeluang menikmati rasa enak buah tersebut.

Kalau kamu rasa buah beri dari luar negara banyak khasiatnya, buah kita apa kurangnya malah sudah terbukti kebanyakan daripada buah-buahan tempatan kita seperti buah manggis setanding khasiatnya dengan buah acai beri dari Brazil.

Akhir kata, ubah persepsi kamu yang mengatakan buah beri yang dijual berpuluh ringgit di pasar raya itu amat berkhasiat kerana buah tempatan kita sebenarnya lebih berkhasiat dan jika dipasarkan mampu dijual mahal setanding harga buah dari luar negara.

PENCINTA ALAM

Ampang, Selangor

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved