Sabtu, 13 Julai 2013

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Juadah untuk 1,500 jemaah

Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT

Oleh THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my

MUHYIDDIN Yassin melawat gerai Pizza Pah Food di tapak Festival Ramadan Putrajaya di kawasan Kiblat Walk sepanjang laluan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Kompleks Perbadanan Purtajaya, Presint 3, Putrajaya, baru-baru ini. Turut kelihatan Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat. - BERNAMA

PUTRAJAYA 13 Julai - Festival Ramadan Putrajaya yang dianjurkan Perbadanan Putrajaya (PPj) bukan sahaja menyediakan pelbagai program menarik tetapi turut menawarkan juadah berbuka puasa untuk 1,500 jemaah setiap hari.

Festival yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 10 Julai lalu itu turut menyediakan agihan bubur lambuk dan perkhidmatan bayaran zakat fitrah secara pandu lalu.

Program lain yang diadakan ialah solat tarawih bersama Imam Samy Ahmed Abd. Rahman El-Feky dari Mesir di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin serta tadarus al-Quran dari awal Ramadan hingga 26 Julai ini.

Turut diadakan ialah jualan Kiblat Walk sepanjang bulan Ramadan, jualan makanan untuk berbuka puasa dan perayaan Aidilfitri serta pameran.

Festival yang julung-julung kali diadakan di Putrajaya itu menggabungkan aktiviti keagamaan, perniagaan dan juga hiburan bercirikan Islam seperti persembahan artis dan muzik tradisional bagi memeriahkan suasana Ramadan di Putrajaya.

Aktiviti sampingan yang turut diadakan ialah pertandingan kuiz untuk pelajar sekolah dan ceramah motivasi pekerja.

Orang ramai yang mahu mendapat maklumat lanjut mengenai festival tersebut boleh melayari laman sesawang www.ppj.gov.my/ramadhan untuk keterangan lanjut.

180,000 orang kunjungi Ekspo Keibubapaan

Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT

KUALA LUMPUR 13 Julai - Kira-kira 180,000 pengunjung dijangka hadir ke Ekspo Keibubapaan 2013 yang berlangsung di Pusat Pameran Mid Valley di sini, selama tiga hari bermula semalam.

Ekspo barangan ibu dan anak terbesar di Malaysia itu dianjurkan syarikat penerbitan majalah Inggeris, Today Publishing Sdn. Bhd. yang menyediakan sebanyak 265 ruang pameran untuk pelbagai produk ibu dan bayi.

Pengurus ekspo itu, Kok Jian Teing berkata, pelbagai program disediakan untuk ibu bapa dan kanak-kanak bagi memeriahkan lagi ekspo berkenaan di samping tawaran harga yang menarik untuk produk dijual.

"Kami menyediakan bermacam-macam aktiviti antaranya pertandingan mewarna, permainan 'musical chair' dan 'hoola hoop' yang sesuai untuk kanak-kanak.

"Selain itu, ekspo ini turut menganjurkan beberapa seminar keibubapaan untuk pengunjung yang boleh dimanfaatkan dan dipraktikkan di rumah," katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Ekspo tahunan yang dibuka pada pukul 10 pagi hingga 9.30 malam itu turut menyediakan sebanyak 12,000 beg cenderahati kepada pengunjung serta cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah berupa produk ibu dan bayi.

Sementara itu, pengunjung, Hafiza Ishak, 27, berkata, ekspo tersebut memudahkan para ibu bapa mencari produk yang sesuai dan berkualiti untuk anak-anak.

"Bagi ibu bapa yang bakal menimang cahaya mata pertama, ekspo sebegini banyak memberi pendedahan berkenaan penjagaan dan produk bayi yang perlu disediakan," katanya.

Dalam pada itu, Wan Mohd. Izran Wan Mohd. Said, 26, berkata, ekspo tersebut menjadi lokasi terbaik kepada para ibu bapa membuat perbandingan harga serta produk yang ingin dibeli.

Kilang ubah waktu rehat

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
kota@utusangroup.com.my

WAN Noorulazhar Mohd. Hanafiah menunjukkan pekeliling jadual kerja baharu bagi bulan Ramadan yang dikeluarkan oleh sebuah kilang semikonduktor di Banting sewaktu hadir di pejabat Utusan Malaysia di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 12 Julai - Sebuah syarikat semikonduktor berstatus multinasional yang beroperasi di Telok Panglima Garang di Banting, Selangor didakwa menindas pekerja beragama Islam dengan mengubah jadual waktu rehat sepanjang Ramadan tanpa perbincangan.

Presiden Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Barat Semenanjung, Wan Noorulazhar Mohd. Hanafiah mendakwa, syarikat itu bertindak meminda jadual pekerja syif malam dengan mempercepat waktu rehat pertama dan melewatkan waktu rehat kedua.

Berikutan itu, dakwanya, pekerja syarikat semikonduktor nombor satu di Asia dan ketiga dunia itu terpaksa bekerja dalam tempoh lapan jam tanpa henti sebelum menunggu waktu rehat kedua.

Tambah beliau, arahan itu dikeluarkan menerusi surat pekeliling bertarikh 2 Julai lalu yang meminta pekerja syif pukul 7 petang mengambil rehat pertama pukul 7.15 petang berbanding 10 malam sebelum ini dan rehat kedua pukul 4 pagi bersekali sahur.

"Tetapi masalahnya mereka terpaksa bekerja selama 12 jam dan menerusi jadual baharu itu juga semua pekerja terpaksa bekerja selama lapan jam tanpa henti," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Wan Noorulazhar, tindakan itu jelas melanggar Akta Kerja 1955 di bawah Seksyen 60A (1) yang tidak membenarkan pekerja bekerja lebih lima jam berturut-turut tanpa rehat kurang daripada 30 minit.

Katanya, penindasan itu turut bertentangan dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994) yang mensyaratkan majikan perlu memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua pekerjanya semasa bekerja.

Tambah beliau, jika pekerja tidak mendapat rehat yang cukup dan dipaksa bekerja di bawah tekanan tinggi pelbagai kemungkinan buruk boleh berlaku di tempat kerja.

Dalam pada itu, beliau turut kecewa dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang didakwa gagal menangani masalah tersebut meskipun aduan rasmi dan bukti telah diserahkan.

"Kami ada berhubung dengan JTK tetapi mereka minta pekerja berbincang dengan majikan, masalahnya pekerja terbabit tidak mempunyai kesatuan dan majikan boleh berbuat sesuka hati termasuk memecat mereka kerana tidak berpuas hati," katanya.

Dalam masa sama, beliau merayu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat campur tangan dalam isu itu kerana majoriti pekerja di syarikat terbabit ialah wanita dan mereka perlu berdiri sepanjang tempoh 12 jam bekerja.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Masih ramai abai kebersihan

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Oleh Mohamed Saari
utusanjohor@utusan.com.my

Penduduk membersihkan kawasan yang dipercayai menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dalam Program Gotong-Royong Perdana Banteras Denggi di Kampung Paya Merah, Labis, baru-baru ini.

LABIS 12 Julai - Walaupun menyedari aspek kebersihan amat penting untuk kesihatan diri dan masyarakat, masih ramai yang kurang memberi penekanan terhadapnya.

Malah, tindakan membuang sampah-sarap merata-rata, membawa masalah lebih besar termasuk penularan pelbagai penyakit terutamanya demam denggi apabila tempat pembuangan menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes.

Lebih malang, sekiranya tidak dikawal, demam denggi boleh membawa maut.

Justeru, Penolong Pegawai Pentadbir Tanah dan Daerah Kecil Labis, Ezahar Abu Sairi menyeru semua pihak tidak membuang sampah sembarangan yang boleh mengakibatkan sistem perparitan tersumbat sehingga menimbulkan masalah kesihatan penduduk.

"Setiap individu di negara ini dianggarkan menyumbang kira-kira dua kilogram sampah setiap hari. Antara masalah kesihatan yang serius berpunca daripada sikap kita menangani kebersihan persekitaran adalah demam denggi yang berpunca daripada pembiakan nyamuk aedes.

"Tanggungjawab membanteras denggi terletak di bahu semua pihak termasuk masyarakat tanpa mengira usia dan kaum asalkan mempunyai kesedaran terhadap bahaya denggi," katanya semasa merasmikan Gotong-Royong Perdana Banteras Denggi di Kampung Paya Merah, di sini baru-baru ini.

Pada program tersebut, kira-kira 300 penduduk bersama kakitangan agensi terlibat seperti Jabatan Kesihatan Segamat, Majlis Daerah Labis, pasukan bomba dan penyelamat dan SWM Environment Sdn. Bhd., bergotong-royong membersihkan kawasan yang dikhuatiri menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes di sekitar kampung tersebut.

Ezahar turut mengesa pihak sekolah, badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta membantu memberi pendidikan serta memupuk kesedaran tentang peranan yang boleh dimainkan dalam memastikan persekitaran sentiasa bersih dan sihat.

"Kita sering terlupa bahawa kesihatan adalah anugerah yang tidak ternilai dan sering diabaikan serta beranggapan bukan tanggungjawab kita sebaliknya diserahkan kepada pihak tertentu sehinggalah musibah menimpa," katanya.

Suri rumah terharu terima sumbangan warga sekolah

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Norhisham Abd. Karim (dua dari kanan) menerima sumbangan daripada Sakinah Harun Khan (kanan) dalam Program Semurni Kasih Ramadan di Surau Kampung Seluyut, Kota Tinggi, baru-baru ini.

KOTA TINGGI 12 Julai - Suri rumah, Norazah Aziz, 34, di Kampung Felda Pasak di sini, tidak dapat menahan linangan air mata selepas penderitaan anak ketiganya yang menghidap ketumbuhan di perut mendapat perhatian masyarakat setempat.

Dua tahun lalu, anaknya, Norhisham Abd. Karim, 7, menjalani pembedahan ekoran penyakit ketumbuhan di kepala yang memberi kesan sehingga dia hilang penglihatan.

Penderitaan Norhisham tidak berakhir setakat itu kerana penyakitnya beralih ke bahagian perut.

Norazah yang juga ibu kepada tujuh orang anak memberitahu, ketumbuhan dalam perut Norhisham semakin besar dan doktor memaklumkan dia perlu dibedah pada 18 Julai ini.

"Setakat ini doktor tidak memaklumkan kosnya. Saya juga tidak tahu bagaimana untuk membayar kos pembedahan itu nanti.

"Tambahan pula, suami saya tidak sihat dan mempunyai sakit kencing manis. Gaji yang diperoleh hasil kerja kampung pula kira-kira RM300 sebulan," katanya ketika ditemui dalam Program Semurni Kasih Ramadan anjuran Kelab Guru dan Kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Muzaffar Syah dengan kerjasama Kelab Sokongan Ibu dan Bapa sekolah tersebut baru-baru ini.

Norazah merupakan salah seorang daripada 43 penduduk kurang berkemampuan yang menerima sumbangan beras dan barangan keperluan harian dalam majlis di Surau Kampung Seluyut di sini, yang turut dihadiri ketua kampung tersebut, Abd. Razak Ibrahim.

Meskipun menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, namun jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarganya.

Menurut Norazah, selain masalah kesihatan dan kekangan kewangan, Norhisham tidak dapat bersekolah meskipun dia begitu teruja dan bersemangat memasuki alam persekolahan.

"Norhisham sering memberitahu saya mahu ke sekolah, namun kami tidak mampu. Melihat keadaannya juga membuatkan saya berasa pilu dan sedih kerana dia perlu menjalani rawatan susulan di hospital sebanyak tiga kali sebulan.

Dalam pada itu, Guru Besar SK Muzaffar Syah, Sakinah Harun Khan berkata, pihaknya akan cuba membawa masalah Norhisham kepada Jabatan Pelajaran supaya kanak-kanak tersebut dapat bersekolah.

"Dia budak cerdik, walaupun matanya tidak boleh melihat tetapi dia petah bercakap dan pendengarannya tajam. Rugi jika dia tidak bersekolah, tambahan pula Norhisham mempunyai semangat tinggi untuk ke sekolah. Kita akan ajukan perkara ini kepada jabatan dan cuba membantu sedaya upaya," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Gaya Elegan Ramadan

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

KOLEKSI EB EveryDay memberikan keselesaan kepada muslimah untuk bergerak bebas disamping menjaga aurat mereka.

SEPANJANG Ramadan ini, sudah pasti kamu tidak mahu ketinggalan melakukan aktiviti yang biasa kamu lakukan pada hari-hari biasa seperti bersantai bersama rakan-rakan.

Walau apa pun aktiviti yang kamu lakukan, faktor kesopanan dalam memilih pakaian adalah penting bagi menghormati bulan penuh keberkatan itu.

Mungkin ada dalam kalangan kamu yang mula mengenakan tudung pada bulan Ramadan ini. Ia merupakan satu langkah yang baik.

Bagi yang lain, tentulah penggunaan pakaian yang sopan tetapi trendy memberikan mood yang menceriakan, sekali gus menyerlahkan wajah ceria kamu yang seharian keletihan menjalani ibadah berpuasa.

Memilih pakaian yang sopan adalah penting dalam menjaga kemuliaan bulan Ramadan terutama mereka yang berpakaian menutup aurat bagi memastikan gaya tidak keterlaluan.

Pada minggu ini, koleksi daripada Eimteeyax Boutique (EB) ditampilkan bagi memenuhi permintaan muslimah yang mahu kelihatan elegan dalam berpakaian sepanjang Ramadan ini.

Terdapat dua koleksi yang boleh kamu pilih untuk kegunaan harian iaitu EB Exclusive dan EB Everyday.

Bagi koleksi EB Exclusive, padanan gaya korporat untuk muslimah diilhamkan daripada gabungan warna hitam dan putih yang sememangnya memberikan mood lebih bertenaga dan profesional.

Lebih-lebih lagi apabila ia dipadankan dengan selendang sutera yang memberikan kesan lebih menawan serta anggun kepada si pemakai.

Bagi selendang pula, pilihan selendang sutera dengan saiz lebih besar berbanding selendang lain di pasaran perlu diberikan perhatian. Ini kerana pilihan selendang yang betul bakal memberikan keselesaan kepada si pemakai.

Sementara itu, koleksi EB Everyday pula menampilkan gaya ringkas santai dan sesuai bagi muslimah menghadiri kelas mahupun bersantai bersama keluarga.

Padanan kain kapas dan lycra bagi kardigan serta selendang kapas memberikan kesan santai dan tidak panas apabila digayakan pada waktu siang yang panas.

Justeru, mari kita saksikan koleksi yang diperkatakan ini untuk tatapan kamu sempena bulan Ramadan al-Mubarak ini. - AMIRUL/FARIZWAN

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Operasi khas tangkap ponteng puasa

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my

IPOH 12 Julai - Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) memberi amaran akan bertindak tegas termasuk mengenakan kompaun sehingga RM1,000 atau penjara enam bulan terhadap umat Islam yang makan, minum atau menghisap rokok di khalayak ramai sepanjang Ramadan ini.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, tindakan ke atas mereka yang ditahan itu dibuat mengikut Seksyen 24 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992.

Mohd. Yusop berkata, pihak penguat kuasa JAIPk juga akan menjalankan operasi khas menangkap mereka yang melakukan kesalahan tersebut selain melakukan rondaan di kawasan yang sering menjadi tumpuan kaki ponteng puasa sepanjang Ramadan ini.

"Berwaspadalah kerana petugas akan melakukan tinjauan tanpa memakai uniform lengkap JAIPk.

"Hanya kerana menghisap sebatang rokok atau menghirup segelas teh tarik, mereka yang bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan. Tiada kompromi dalam soal ini," kata Mohd. Yusop.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membuat lawatan ke Sekolah Raja Perempuan Taayah, di sini semalam.

Mohd. Yusop berkata, tiada tangkapan dibuat sehingga kini namun semua pegawai penguat kuasa JAIPk diarahkan membuat pemantauan di semua premis makanan bagi menahan mana-mana umat Islam yang makan dan minum di khalayak ramai sepanjang Ramadan.

Katanya, JAIPk juga telah mengedar surat pekeliling melarang pengusaha makanan termasuk restoran menjual makanan kepada umat Islam pada waktu yang tidak dibenarkan mereka berbuat demikian.

"Umat Islam seharusnya sentiasa menghormati bulan yang penuh berkat ini dengan menjauhi perkara-perkara yang boleh merosakkan amalan mereka," katanya.

15 SAR diminta daftar sebagai SABK

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

IPOH 12 Julai - Sebanyak 15 daripada 37 Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri ini yang belum mendaftar sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) diminta segera berbuat demikian bagi membolehkan pelbagai bantuan disalurkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Nizar Zakaria berkata, walaupun kerajaan tidak memaksa sekolah berkenaan mendaftar sebagai SABK, mereka perlu mengutamakan pelajaran dan masa hadapan pelajar.

"Setakat ini, sebanyak 22 buah SAR sudah mendaftar sebagai SABK dan kita mengharapkan 15 buah SAR lagi dapat berbuat demikian segera demi pelajaran dan masa hadapan pelajar.

"Hanya dengan mendaftar sebagai SABK, segala bantuan persekolahan termasuk infrastruktur dapat disalurkan kepada sekolah berkenaan supaya pelajar boleh menikmati kemudahan pembelajaran yang lebih baik dan selesa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meraikan kumpulan Saintis Muda dari Sekolah Raja Perempuan Ta'ayah Ipoh, di sini hari ini.

Dalam Ekspo Inovasi dan Reka Cipta Antarabangsa 2013 di Macau baru-baru ini, kumpulan Saintis Muda yang diwakili Aida Adriana, Nurul Firzanah dan Amira Syuhada berjaya meraih pingat emas dan anugerah khas untuk projek Green Matbakh dan pingat perak bagi projek penapis minyak Z-Filter.

April lalu, dua projek tersebut memenangi dua pingat emas dalam Pameran Reka Cipta dan Inovasi Kejuruteraan Antarabangsa 2013 di Universiti Malaysia Perlis.

Mohd. Nizar berkata, kejayaan kumpulan Saintis Muda mendapat pengiktirafan antarabangsa menunjukkan pelajar sekolah agama mampu menyaingi pelajar sekolah-sekolah bantuan penuh kerajaan.

"Sekolah ini bukan setakat melahirkan pelajar cemerlang, malah kumpulan saintis muda yang mencipta nama di peringkat antarabangsa," katanya.

Jual ayam murah tetapi masih mampu raih keuntungan

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

ANAK Mohd. Zahir, Mohd. Zahiri (kanan) sedang melayan pelanggannya di Pasar Besar, Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR 12 Julai - Meskipun menjual ayam pada harga lebih murah berbanding peniaga-peniaga lain, Mohd. Zahir Zainal Abidin, 59, masih berupaya mengembangkan perniagaannya sehingga mempunyai kira-kira 20 pekerja pada masa ini.

Malah, jualan ayam di gerai E.D Ayam miliknya di Pasar Besar Alor Setar di sini, melebihi purata 1,500 ekor sehari berikutan gerainya sentiasa menjadi tumpuan ramai untuk mendapatkan bekalan makanan tersebut yang berharga lebih rendah.

Mohd. Zahir berkata, antara formula digunakannya sehingga mampu menawarkan harga ayam berpatutan ialah mendapat bekalan daripada satu pembekal sahaja berbanding para peniaga lain yang mendapat bekalan daripada beberapa peringkat pembekal.

Dia yang mula berkecimpung dalam perniagaan ayam sejak 43 tahun lalu berkata, walaupun margin keuntungan bagi setiap kilogram ayam lebih rendah berbanding peniaga lain, dia masih mampu menjana keuntungan apabila dapat menjual ayam dalam kuantiti banyak.

"Selain itu, sikap peniaga itu sendiri turut memainkan peranan dalam meletakkan harga ayam. Bagi saya sikap bertimbang rasa lebih penting daripada menyasarkan keuntungan besar untuk setiap kilogram ayam yang dijual kerana tidak semua pengguna mampu membeli ayam jika dijual terlalu mahal.

"Pada masa sama, saya secara tidak langsung membantu mewujudkan peluang pekerjaan dengan menggaji kira-kira 20 pekerja ketika ini," katanya ketika ditemui di gerainya di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan di sebalik kenaikan harga ayam yang mendadak sehingga RM9 sekilogram sejak kebelakangan ini, Mohd. Zahir tetap menjual pada harga RM7.20 sekilogram.

Sementara itu, pengguna, Mohd. Khir Hamid, 49, berkata, walaupun ayam yang dijual oleh Mohd. Zahir lebih murah namun kualitinya setanding dengan ayam di gerai-gerai lain dan mempunyai pilihan saiz.

Katanya, dia menjadi pelanggan tetap E.D Ayam sejak 20 tahun lalu kerana berpuas hati dengan harga dan kualiti ayam yang dijual di situ.

Bagi Riduan Mansor, 42, pula, katanya, keupayaan Mohd. Zahir menjual ayam pada harga lebih murah dan masih mampu meraih keuntungan membuktikan bahan makanan itu boleh dijual pada harga berpatutan tanpa merugikan peniaga.

"Sudah semestinya gerai seperti ini akan menjadi tumpuan pengguna," katanya.

Dalam pada itu, Jafri Johan Zainudin, 53, pula berharap para peniaga lain dapat mencontohi Mohd. Zahir yang membantu pelanggan membeli ayam pada harga berpatutan.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pasar awam lain mendapati masih terdapat peniaga menjual ayam mencecah RM9 sekilogram.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Kuala Besut lokasi pertama bomba bina PPRT untuk mangsa kebakaran

Posted: 13 Jul 2013 03:23 AM PDT

KUALA BESUT 13 Julai - Kampung Pok Kolok dalam Kampung Nail di sini dipilih sebagai lokasi pertama Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk mangsa kebakaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menggunakan teknologi Sistem Pembinaan Berindustri (IBS).

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, pembinaan rumah PPRT menggunakan kaedah IBS lebih mudah dan hanya mengambil masa tujuh hari untuk disiapkan dengan kos RM30,000 seunit.

"Pembinaan rumah ini bermula hari ini dan dijangka siap pada 23 Julai nanti.

Ini akan menjadi permulaan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri membina rumah PPRT di bawah Strategi Lautan Biru," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak rumah mangsa kebakaran milik keluarga Ramli Jusoh yang akan dibina menerusi program itu menggunakan teknologi IBS, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Md Salleh Sarbini serta calon Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman. - BERNAMA

Imigresen perketat kawalan pintu masuk

Posted: 13 Jul 2013 03:17 AM PDT

KUALA LUMPUR 13 Julai - Jabatan Imigresen memperketat dan mempertingkatkan kawalan di semua pintu masuk negara susulan kejadian lebih 200 banduan meloloskan diri daripada Penjara Tanjung Gusta di Medan, Indonesia.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia dan Polis Diraja Malaysia dalam memastikan tiada banduan berkenaan memasuki dan seterusnya menjadikan Malaysia tempat persembunyian mereka.

"Kita akan memperketat kawalan di semua pintu masuk negara kerana mungkin ada banduan ini yang akan membuat dokumen palsu dan seterusnya memasuki Malaysia sebagai pelancong.

"Kita harap pihak berkuasa Indonesia dapat memberi butiran peribadi banduan berkenaan supaya kita dapat menahan mereka sekiranya ada yang cuba memasuki negara ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Alias berkata, maklumat yang diperlukan termasuk gambar dan nombor pasport banduan terlibat, kerana ada dalam kalangan mereka pesalah keganasan.

Media sebelum ini melaporkan dalam kejadian kelmarin, kira-kira 240 banduan melarikan diri selepas merusuh dan membakar bangunan penjara kerana tidak puas hati dengan keadaan penjara.

Insiden itu menyebabkan tiga tahanan dan dua kakitangan penjara terbunuh.

Laporan sebuah akhbar memetik pejabat Kedutaan Malaysia di Indonesia mengesahkan empat rakyat Malaysia antara 2,600 banduan yang berada di penjara itu.

2 NGO buat laporan polis terhadap Jye Yee dan Vivian Lee

Posted: 13 Jul 2013 03:14 AM PDT

JOHOR BAHARU 13 Julai - Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis berhubung tindakan dua bekas penuntut National University of Singapore, Tan Jye Yee, 25, dan Vivian Lee, 24, yang mempersendakan bulan Ramadan dengan memuat naik gambar makanan yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.

Pengerusi Usahanita Cawangan Kulaijaya Mazanah Mohammad Zain dan Timbalan Pengerusi Persatuan Diabetes Malaysia Cawangan Tanjung Puteri Fauziah Abdullah membuat laporan berkenaan di Balai Polis Tampoi, di sini.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan berkenaan, Mazanah, 56, menyifatkan perbuatan pasangan itu sebagai menghina kesucian Islam dan tidak wajar dilakukan atas dasar menghormati masyarakat berbilang bangsa di negara ini. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Kawal kenaikan harga ayam

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 12 Julai - Pengguna di negeri ini berharap kerajaan dapat mengawal kenaikan mendadak harga ayam yang disifatkan membebankan golongan berpendapatan rendah.

Kenaikan sehingga RM2 sekilogram daripada RM6.50 kepada RM8.50 sekilogram itu dilihat membebankan pengguna khususnya di bulan Ramadan.

Pengguna, Alia Fuad, 45, berkata, dia terkejut kenaikan mendadak harga ayam sehingga RM2 sekilogram namun tidak mempunyai pilihan.

"Rata-rata peniaga ayam di sini menjual dengan harga RM8.50 sekilogram berbanding RM6.50 hingga RM7 sekilogram seminggu sebelum ini," katanya ketika ditemui di Pasar Besar Melaka Sentral, di sini hari ini.

Menurutnya, kenaikan melampau itu amat membebankan pengguna terutama mereka yang kurang berkemampuan.

"Kerajaan perlu mengawal harga ayam segar supaya tidak membebankan pengguna," katanya.

Seorang lagi pengguna, Azizi Asbah, 35, memberitahu, dia tidak menyangka harga ayam naik mendadak sejak seminggu lalu.

"Pengguna tidak mempunyai pilihan dan harus akur dengan harga tersebut walaupun kenaikannya agak melampau.

"Saya jangka harga ayam segar akan terus meningkat menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi jika tidak dikawal," katanya.

Sementara itu, peniaga, Hamzah Osman, 48, berkata, harga ayam naik awal bulan ini disebabkan kenaikan harga daripada penternak sendiri.

"Sebagai peniaga, kami mendapatkan ayam dengan harga tinggi daripada pembekal dan perlu menjualnya kepada pengguna dengan harga sekitar RM8.50 sekilogram.

"Memang banyak rungutan diterima daripada pengguna, namun peniaga juga tidak mempunyai pilihan untuk mengelak kerugian jika dijual pada harga seperti sebelum ini," jelasnya.

Bazar Ramadan Mega Jalan Hang Tuah mula jadi tumpuan

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Orang ramai membeli-belah di Bazar Ramadan Mega, Jalan Hang Tuah, Melaka, malam kelmarin.

MELAKA 12 Julai - Suasana malam di Jalan Hang Tuah yang dulunya sepi kini menjadi meriah apabila Bazar Ramadan Mega mula beroperasi malam tadi.

Bazar yang pertama kali diperkenalkan di Jalan Hang Tuah bermula dari Dewan Hang Tuah hingga ke Restoran Subaidah sepanjang satu kilometer itu menjadi tumpuan orang ramai sepanjang Ramadan ini.

Dihiasi lampu warna-warni di sepanjang gerai menjadikan bazar berkenaan antara daya penarik terbaharu pelancong sepanjang Ramadan ini.

Bazar tersebut diwujudkan hasil idea Ketua Menteri, Datuk Idris Haron.

Sebanyak 254 khemah menjual pelbagai barangan keperluan harian untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri telah mula beroperasi dengan masing-masing menghias gerai untuk menarik minat orang ramai.

Bazar Ramadan Mega yang diperkenalkan ini menggantikan lokasi lamanya di Taman Chempaka dilihat lebih selesa untuk orang ramai berkunjung ke situ.

Antara kemudahan yang disediakan kepada orang ramai ialah 12 tandas awam, surau yang terletak di tempat letak kenderaan berhadapan Restoran Tranquera dan tempat meletak kenderaan di belakang Graha Makmur.

Bazar berkenaan mula dibuka dari pukul 4 petang hingga 2 pagi setiap hari sehingga 8 Ogos.

Bazar Ramadan Mega juga turut menyediakan pelbagai aktiviti hujung minggu seperti ceramah agama, persembahan artis terkenal tanah air, persembahan nasyid dan penampilan Raja Lawak.

Antara barangan keperluan yang dijual di Bazar Ramadan Mega ialah baju kurung, baju kebaya, baju Melayu, songkok, tudung, selendang, kasut, baju T, minyak wangi dan sebagainya. Pelbagai juadah kuih raya daripada tradisional hingga moden turut dijual di sini.

Beberapa peniaga ketika ditemui melahirkan rasa lega dengan lokasi baharu Bazar Ramadan di Jalan Hang Tuah.

Seorang peniaga, Muhammad Syazwan Abu Bakar, 25, berkata, lokasi baharu itu jauh lebih selesa berbanding di Taman Chempaka.

''Saya lihat bazar ini cukup selesa dan tidak bersesak-sesak kerana ruang pejalan kaki adalah luas dan bazar ini dihias indah dengan lampu warna-warni," katanya.

Bagi Rafeah Yusof, 47, yang menjual pakaian wanita pula berkata, dia yakin lokasi baharu itu dapat menarik orang ramai berkunjung ke situ.

''Lokasinya cukup strategik dengan ruang niaga yang luas dan ruang pejalan kaki juga cukup selesa jauh lebih baik daripada Taman Chempaka," katanya.

Bagi Khairul Effendy Mohd., 31, peniaga pelbagai jenis kasut menyifatkan tindakan membuka bazar di Jalan Hang Tuah merupakan keputusan tepat.

''Lokasi ini jauh lebih baik berbanding Taman Chempaka kerana banyak kemudahan untuk pengunjung seperti surau, tempat letak kenderaan dan laluan selesa," katanya.

MBMB naik taraf 20 persimpangan lampu isyarat

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

MELAKA 12 Julai - Sebanyak 20 persimpangan empat lampu isyarat di Bandar Raya Melaka akan dinaik taraf melibatkan kos sebanyak RM1.2 juta bagi mengurangkan kesesakan jalan raya di waktu puncak dan hujung minggu serta cuti umum.

Penolong Pengarah Kejuruteraan (Lalu Lintas dan Kerja Awam) Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Mazlan Mohd. Said berkata, kesemua lampu isyarat yang telah dikenal pasti itu akan mula dinaik taraf menggunakan sensor aliran kontra perkongsian masa mulai tahun hadapan.

Menurutnya, antara persimpangan lampu isyarat yang telah dikenal pasti ialah di Kota Laksamana, Jalan Laksamana, Hotel Ramada Plaza dan Jalan Bunga Raya.

Beliau berkata, sensor aliran kontra itu paling praktikal digunakan untuk mengurangkan masa menunggu dan mempercepatkan kelancaran kenderaan di setiap persimpangan empat lampu isyarat khususnya yang sering berlaku kesesakan.

''MBMB telah mula mengunakan sensor aliran kontra perkongsian masa ini di persimpangan empat lampu isyarat Melaka Sentral, Plaza Wang di Bachang dan terbaharu di Taman Malinja Lebuh AMJ.

''Berdasarkan kajian, masa menunggu dari 295 saat telah dapat dikurangkan kepada 220 saat manakala kelancaran pergerakan kereta pula daripada 48,269 meningkat kepada 60,440 sehari," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat persimpangan empat lampu isyarat Taman Malinja Lebuh AMJ dekat sini hari ini.

Persimpangan tersebut akan dinaik taraf menggunakan sensor aliran kontra melibatkan kos sebanyak RM19,710.

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Sallehuddin Abd. Rahman.

Mazlan berkata, antara kelebihan sistem baharu itu apabila pergerakan kenderaan berkurangan di satu laluan, lampu isyarat akan secara automatik dari lampu hijau bertukar ke merah.

''Lampu isyarat susur ke kiri atau kanan persimpangan empat akan berfungsi memberi laluan kepada kenderaan lain dan sekali gus mengurangkan kesesakan di lampu isyarat," katanya.

Sementara itu, kata Mazlan, MBMB akan memasang lampu isyarat di simpang empat berdekatan bank OCBC Jalan Merdeka mulai 17 Julai ini.

Menurutnya, pemasangan lampu isyarat tersebut dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas akibat pertembungan kenderaan dari arah Jalan Merdeka ke Hotel Equatorial ke Jalan Melaka Raya.

Ujarnya, kos pemasangan sebanyak RM130,500 itu dijangka siap dalam tempoh empat minggu iaitu pada 7 Ogos ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Usir Duta Vatican City

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Pertemuan satu lawan satu

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Alvin, Vivian persenda umat Islam dalam bulan Ramadan

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved