Khamis, 11 Julai 2013

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Awas cinta lelaki seberang

Posted: 10 Jul 2013 10:19 PM PDT

Berdasarkan laporan media, ketika Nur Idayu ditemui, dia seakan-akan lupa fikiran dan langsung tidak ingat pada suami dan anak-anaknya dan didakwa hanya mahu bersama suspek.

Apabila diajak pulang ke rumah, wanita ini bertindak marah dan mahu tinggal bersama suspek yang sebelum ini diupah untuk membuat pengubahsuaian rumah mertuanya di Felda Bukit Sagu, Kuantan.

Kes Nur Idayu yang dilarikan ke negara jiran itu merupakan antara yang terbaharu dilaporkan.

Sebenarnya kes wanita atau anak gadis yang dilarikan ke negara berkenaan bukanlah satu perkara baru. Sejak beberapa tahun lepas kejadian anak gadis atau wanita Malaysia yang dilarikan ke sana telah banyak dilaporkan di dada akhbar.

Bahkan, terdapat pelbagai usaha dilakukan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) dari negara ini terutamanya pihak Pemuda UMNO yang turut turun padang membawa wanita-wanita yang masuk ke negara berkenaan secara 'haram', pulang semula ke negara ini.

Namun, berlainan daripada Nur Idayu, yang dilarikan lelaki Surabaya, kes 'dilarikan' atau 'melarikan' ini sebenarnya amat sinonim dengan lelaki Lombok. Justeru, sudah tentu apabila ada sahaja kes wanita dilaporkan dilarikan ke negara berkenaan, mahu tidak mahu, lelaki dari daerah ini terus dikaitkan.

Penulis berpeluang menemubual lelaki Lombok, baru-baru ini untuk meminta pandangannya apa yang menyebabkan lelaki dari daerah ini kelihatan hebat dalam 'menyulam' cinta sehingga ramai dalam kalangan anak gadis di negara ini terjebak dan sanggup mengikut mereka ke tanah seberang.

Pertanyaan demi pertanyaan dilontarkan dan lelaki berusia pertengahan 20-an ini kelihatan amat sopan menuturkan kata-kata malah sentiasa menundukkan kepala dan meminta keizinan setiap kali ketika melangkah berjalan di hadapan.

Aditya, (bukan nama sebenar) berasal dari Lombok Timur mengakui keistimewaan lelaki Lombok adalah dari segi permainan cinta mereka. maksudnya, sekiranya mereka mula menyukai seseorang wanita berkenaan mereka akan cuba mendapatkannya walau dengan apa cara sekalipun.

"Tidak mengira sama ada mereka ini anak dara mahupun sesiapa sahaja, sekiranya berkenan mereka pasti akan berusaha mendapatkannya. Kalau tidak mereka tidak akan balik," katanya ketika ditemui di Kajang, Selangor, baru-baru ini.

Aditya yang baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan gadis Lombok, beberapa bulan lalu juga menambah, bukan semua orang Lombok itu jahat yang kerjanya hanya melarikan anak dara orang. Cuma yang sebahagian berkelakuan demikian.

Katanya lagi, daerah Lombok itu juga terbahagi kepada beberapa bahagian seperti Lombok Utara, Barat dan Timur.

Lombok Barat adalah dalam kalangan mereka yang paling agresif dalam hal-hal seperti ini.

"Dahulunya, budaya resam lelaki Lombok ini apabila mereka mahu bernikah, mereka perlu melarikan anak gadis orang ke kampung mereka.

"Ini bagi menunjukkan sikap kejantanan dan kekuasaan mereka sebagai lelaki. Mereka akan dianggap sebagai pahlawan apabila dapat 'melarikan' wanita-wanita dari kampung yang berlainan dan disimpan selama satu atau dua hari di rumah mereka sebelum akhirnya dilaporkan kepada ketua kampung.

"Seterusnya, akibat kejadian berkenaan, ketua kampung akan membuat keputusan untuk menikahkan mereka setelah mendapat kebenaran daripada pihak wanita," katanya.

Apabila ditanya tidakkah wanita berkenaan perlu meminta izin daripada waris mereka terlebih dahulu, Aditya menambah, itu semua akan diuruskan menerusi kamar perundangan iaitu nikah keadilan (seperti mahkamah syariah di sini) yang akan memberi keizinan menggunakan wali hakim sebelum pernikahan dijalankan.

Mungkinkah paras rupa yang boleh menyebabkan wanita di negara ini menjadi 'cair' dengan ketampanan lelaki dari daerah itu, Aditya menjelaskan, keadaan ini bergantung pada individu.

Sebagaimana lelaki di negara ini, dalam kalangan mereka juga ada yang kacak, namun faktor ini bukanlah penentu wanita berkenaan mudah terdorong mencintai mereka.

Sejujurnya, Aditya memberitahu, rata-rata lelaki dari Lombok ini adalah insan yang paling rajin, taat melakukan ibadah, sopan dan berkata-kata lembut.

"Sekiranya seseorang lelaki itu sudah menyukai wanita berkenaan, dia bersedia berkorban melakukan apa sahaja, wang ringgit sehingga sanggup menjadi 'hamba abdi' wanita terbabit semata-mata mahu mendapatkan cinta wanita berkenaan.

"Lelaki Lombok ini lebih senang hidup sesama mereka daripada bergaul dengan suku-suku bangsa lain daripada masyarakat Indonesia sendiri. Tubuh mereka agak rendah tetapi sasa dan lebih senang bekerja di bahagian perladangan.

"Di Lombok, kebanyakan masyarakatnya menjalankan aktiviti pertanian, perladangan serta trojet (motor sapu) dan kebanyakan daripada mereka adalah miskin," jelasnya.

Apa yang agak mengejutkan, Aditya juga tidak teragak-agak untuk memberitahu, ramai lelaki Lombok mempunyai ilmu amalan 'guna-guna' untuk mendapatkan wanita yang dicintai mereka.

"Ilmu ini memang dipelajari daripada turun-temurun dan tahu mengetahui mengenai mentera ini. Ilmu ini digunakan sama ada menerusi makanan, daun sirih, menerusi angin dan asap rokok," katanya.

Aditya memberitahu, ilmu guna-guna ini digunakan terutamanya kepada wanita yang ingin dikahwini mereka tetapi sukar untuk mendapatkannya.

Tetapi Aditya turut memberi amaran, ilmu ini juga akan digunakan kepada wanita yang selalu memperlekehkan dan mentertawakan lelaki Lombok sehingga mereka berasa dicabar wanita berkenaan. Apabila mereka berasa sakit hati, mereka akan menggunakan ubat guna-guna ini untuk mengenakan wanita berkenaan kerana dendam," katanya.

Berbeza dengan lelaki suku lain, lelaki Lombok sebenarnya tidak sejahat yang disangka. Mereka tidak melakukan jenayah yang mengakibatkan kematian. Mereka adalah insan yang serba sederhana dan suka dengan kedamaian.

Jam ceriakan kediaman

Posted: 10 Jul 2013 10:19 PM PDT

Jam dinding Cuckoo yang dihasilkan dengan penuh teliti.

TUGASNYA hakikinya sebagai penunjuk waktu, namun ia mampu berfungsi lebih jauh daripada itu bagi menceria dan menyerikan sudut-sudut tertentu di rumah.

Malah sesetengah individu menjadikan jam dinding sebagai koleksi berharga yang disimpan dan dijaga elok sehingga berpuluh mahupun beratus tahun.

Keupayaan memiliki jam dinding sehingga berpuluh tahun lebih didorong oleh minat terhadap keunikan, reka bentuk dan ciri-ciri teknikalnya.

Antara koleksi popular di kalangan pengumpul jam dinding ialah siri jam Cuckoo berirama.

Jam dinding buatan Jepun ini, melalui hasil kerja tangan yang cukup teliti dan rumit dengan pergerakan yang berkualiti tinggi.

Irama siulan burung mekanik yang kedengaran setiap jam pasti mencetus suasana ceria di rumah.

Koleksi terbaru jam berirama Cuckoo ini didatangkan dengan fungsi baru iaitu sensor mematikan siulan burung secara automatik pada maktu malam.

Alat sensor kecil dipasang pada kotak jam bagi mengesan cahaya. 'Burung' akan senyap apabila cahaya atau lampu dimatikan bagi memastikan tidur malam penghuninya tidak terganggu.

Didatangkan dalam lima model berbeza jam unik ini boleh diperoleh pada harga serendah RM1,100 hingga Rm1,500 di butik Rhythm Pavilion, Kuala Lumpur.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Terima kasih DBKL

Posted: 10 Jul 2013 11:51 AM PDT

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusan.com.my

Ramli Ibrahim menunjukkan nombor petak bazar di Lorong Bonus 6, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur yang dibatalkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas mendapat bantahan daripada 12 peniaga tudung di lorong berkenaan. - UTUSAN/AZLAN HADI ABU BAKAR

KUALA LUMPUR 10 Julai - Seramai 20 pengusaha dan peniaga dari industri kecil sederhana (IKS) menarik nafas lega apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan mereka meneruskan perniagaan di tapak lama di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Sebelum ini timbul kekecohan selepas peniaga terlibat diarahkan berpindah ke tapak baharu di Lorong Bonus 5 yang didakwa kurang strategik.

Seorang peniaga IKS, Mohd. Shahrul Othman, 31 berkata, peniaga sangat berterima kasih kepada pihak DBKL kerana mengembalikan semula tapak perniagaan lama mereka di jalan utama.

Menurutnya, keputusan tersebut menunjukkan keprihatinan pihak berkuasa tempatan itu terhadap masalah peniaga.

"Kami bukan hendak mengambil kesempatan atau sengaja mahu menimbulkan isu, tetapi amat berharap agar peniaga seperti kami juga diberi ruang di lokasi utama seperti peniaga pakaian, tudung dan barang-barang hiasan lain," katanya.

Mohd. Sharul berkata, permintaan produk makanan kering terutamanya biskut raya, rendang dan serunding amat tinggi menjelang perayaan, namun jika tapak niaga jauh tersorok tentu memberi kesulitan kepada pengunjung.

Turut berkongsi perasaan peniaga rendang dan serunding, Mahmud Siron, 49.

Dia melahirkan rasa syukur dengan keputusan itu yang dianggap sebagai bukti keprihatinan DBKL terhadap peniaga Bumiputera.

Katanya, produk IKS yang dijual oleh para pengusaha di Bazar Ramadan Jalan Tunku Abdul Rahman itu merupakan hasil produk yang berkualiti dan asli.

"Kita menjual serunding dan rendang ini yang dibawa khas dari pengusaha terkenal di Kampung Laut, Kelantan manakala kuih Batang Buruk ini misalnya, berasal dari Muar yang seratus peratus menggunakan bahan utama dan asli iaitu kacang hijau bukannya kacang kuda seperti yang dijual di tempat lain.

"Jadi sayanglah jika kita ada produk yang baik dan bermutu tinggi tetapi tidak dapat dibeli oleh orang ramai hanya kerana dijual di lokasi tersorok," katanya.

Utusan Malaysia dalam laporan semalam mendedahkan para peniaga IKS yang tidak berpuas hati dengan tindakan DBKL menempatkan mereka di lokasi baharu di Lorong Bonus 5 yang didakwa tersorok dan kurang dikunjungi pelanggan.

Bagi 12 peniaga tudung di Lorong Bonus 6, di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pastinya Ramadan kali ini memberi seribu rahmat berganda kepada mereka.

Ini kerana permintaan mereka agar pihak berkuasa tempatan itu membatalkan cadangan membuka petak bazar baharu di buka di hadapan gerai mereka termakmul.

Ramli Ibrahim, 58, berkata keputusan itu amat dinantikan kerana ia lebih mendatangkan keburukan daripada kebaikan.

"Kami tidak berniat untuk menyekat rezeki peniaga lain, tetapi soal keselesaan dan keselamatan orang ramai juga perlu diambil kira," katanya.

Amaran nama disenarai hitam

Posted: 10 Jul 2013 11:51 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusan.com.my

Peniaga bazar Ramadan yang didapati menjual makanan tercemar bakal berhadapan tindakan disenarai hitam oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR 10 Julai - Peniaga bazar Ramadan yang mengabaikan aspek kebersihan termasuk menjual makanan tercemar bakal berhadapan dengan tindakan disenarai hitam oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, tindakan itu merupakan langkah terakhir sekiranya peniaga didapati masih ingkar melanggar peraturan yang ditetapkan.

Menurutnya, pemeriksaan yang dilakukan pada setiap minggu pertama Ramadan mendapati masih ada peniaga yang kurang peka terhadap aspek kebersihan termasuklah dari segi penyediaan makanan mahupun kebersihan gerai mereka.

"Berdasarkan kepada keputusan sampel makanan yang diambil secara rawak daripada peniaga untuk dianalisis kebanyakan didapati mengandungi bakteria yang tinggi.

"Oleh kerana makanan dibiarkan terlalu lama ia boleh menyebabkan berlakunya cirit-birit atau muntah,," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Operasi Persampelan Makanan Bazar Ramadan 2013 Wilayah Persekutuan di Bazar Ramadan Sri Permaisuri, Cheras dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Dr. Hayati Abdullah dan Pengarah Jabatan Pemudah cara Perniagaan dan Pengurusan Penjaja DBKL, Rolan Abd. Rahman.

Menurut Mhd. Amin, pemeriksaan tersebut diadakan bertujuan memastikan kualiti makanan yang disediakan itu berada di peringkat terbaik daripada segi kebersihan termasuk para peniaga.

"DBKL telah mengambil langkah proaktif pada tahun ini dengan menekankan keperluan suntikan pelalian 'taifod' yang wajib diambil oleh para peniaga di samping kursus asas pengendalian makanan.

"Kita mahu orang ramai yang membeli juadah di bazar Ramadan memilih makanan yang terjamin dari segi kebersihan.

" Kita tidak mahu mereka beli makanan dan balik ke rumah kemudian, sakit perut," ujarnya.

Katanya, sepanjang Januari hingga 8 Julai lalu, seramai 4574 peniaga dan pembantu peniaga bagi gerai bazar Ramadan telah diberikan suntikan tersebut dan sebanyak 1250 peniaga atau pembantu telah diberikan kursus.

"Pada tahun lalu melalui operasi yang sama, sebanyak 970 sampel telah diambil dari 12 tapak dan didapati sebanyak 407 sampel mengalami pencemaran.

"Kebanyakan jenis makanan yang sering mengalami pencemaran adalah makanan daripada jenis bersantan, manis, lauk pauk dan minuman," katanya.

Beliau menambah, sebanyak 62 kompaun, 82 notis amaran kepada peniaga dan 18 surat amaran kepada persatuan telah dikeluarkan.

Dianggarkan sejumlah 940 sampel makanan akan diambil dari 28 tapak bazar Ramadan melibatkan 14 tapak diselia oleh DBKL manakala selebihnya oleh persatuan sehingga 30 Julai ini.

Masalah sampah di Amazing Heights selesai

Posted: 10 Jul 2013 11:51 AM PDT

Rumah sampah berhampiran pangsapuri Amazing Heights, Jalan Sungai Udang, Klang yang sebelum ini dipenuhi longgokan sampah kini lebih bersih selepas kerja-kerja pembersihan dilaksanakan pihak bertanggungjawab.

KLANG 10 Julai - Kebimbangan penghuni pangsapuri Amazing Heights, Jalan Sungai Udang dekat sini berhubung masalah sampah yang tidak dikutip sehingga mengundang bau busuk dan mencemarkan persekitaran berakhir.

Ini berikutan kerja-kerja pembersihan telah dilaksanakan pihak bertanggungjawab.

Keadaan rumah sampah di situ jauh lebih bersih dan tiada lagi sisa domestik dan timbunan perabot terpakai yang dilonggokkan sehingga membentuk bukit sebelum ini.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi terbabit hari ini mendapati, pihak kontraktor yang dilantik oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) sedang giat melaksanakan kerja- kerja pembersihan.

Semua sampah pukal dan perabot terpakai telah dibersih dan dialihkan ke dalam sebuah tong sampah besar oleh pihak berkenaan.

Pada Isnin lalu, Utusan Malaysia menyiarkan laporan berhubung kebimbangan penduduk di pangsapuri tersebut mengenai sampah pukal yang tidak dibersih dan dipungut.

Sementara itu, penduduk yang ditemui melahirkan rasa lega dengan tindakan yang diambil pihak bertanggungjawab.

Seorang penduduk, Ismail Bahasudin yang berusia dalam lingkungan 40-an itu berharap keadaan sama tidak akan berulang lagi di masa akan datang.

"Sebelum ini keadaannya lebih teruk saya lihat dengan sampah dan perabot itu bertimbun sehingga membentuk sebuah bukit. Saya berharap kita sama-sama bertanggungjawab menjaga kebersihan pangsapuri ini," katanya.

Penduduk, Fauzi Rosli, 40, menyifatkan, semua penduduk dan pihak berwajib perlu bersama-sama bertanggungjawab menangani isu ini dan tidak boleh menyalahkan sesiapa.

"Kain rentang telah diletakkan di situ supaya kita sama-sama menjaga kebersihan. Buang sampah ke dalam tong yang disediakan dan pastikan ia tidak berulang lagi kerana akan menyusahkan semua pihak," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Amazing Heights, Mahat Salleh, berkata, masalah sampah di sebuah lagi tempat pembuangan sampah di situ akan diselesaikan pada Isnin hadapan.

"Ia berikutan tong besar yang kita sewa melalui MPK agak terhad kerana pelbagai aktiviti seperti gotong-royong berlangsung pada hujung minggu ini. Pihak MPK akan membekalkan tong itu minggu hadapan kepada pihak kami," katanya.

Beliau turut tidak menafikan keadaan tersebut mungkin akan berulang jika mentaliti segelintir penduduk mengenai kebersihan belum dapat diubah.

"Saya telah meletakkan keratan akhbar Utusan Malaysia yang menyiarkan laporan tempoh hari di papan notis. Respons yang diterima daripada penduduk amat baik dan mereka 'baru tersedar' mengenai isu tersebut.

"Di samping itu, saya turut kecewa kerana ada segelintir pemilik rumah yang tidak prihatin kerana gagal membayar wang penyenggaraan.

"Yang membayar hanya 47 peratus sahaja. Sehubungan itu, saya meminta supaya semua penduduk di sini mematuhi peraturan dan memberikan kerjasama demi keselesaan pangsapuri ini," tegasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


RM150j pulih jalan kampung

Posted: 10 Jul 2013 11:30 AM PDT

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
pengarang@utusan.com.my

Asiah Md. Ariff (tengah) bergambar bersama pemenang Anugerah Desa Cemerlang di Parit Raja, Batu Pahat, Johor, kelmarin.

BATU PAHAT 10 Julai - Kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM150 juta setahun untuk menurap, melebar dan membina jalan kampung bagi memudahkan penduduk serta menyediakan kemudahan terbaik.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Asiah Md. Ariff berkata, jumlah perbelanjaan yang tinggi itu membuktikan komitmen kerajaan dalam membela penduduk luar bandar supaya mereka tidak ketinggalan dalam merasai kemudahan yang ada.

Menurutnya, walaupun pelbagai pembangunan dilaksana di kawasan bandar terutama di Johor Bahru namun kerajaan sentiasa menyediakan peruntukan bagi membela kepentingan penduduk luar bandar atau kampung khususnya.

"Bagi perbelanjaan jalan raya di kampung-kampung sahaja kerajaan membelanjakan sebanyak RM150 juta setahun, bukan sekadar membina jalan baharu, tetapi menurap semula dan melebarkan jalan.

"Kadang-kadang, kerajaan terpaksa membaiki jalan kampung yang sama dalam tempoh hanya beberapa tahun demi melayan kehendak penduduk yang tidak selesa dengan keadaan jalan kampung mereka yang mungkin rosak atau sempit akibat penambahan pengguna," katanya ketika menemui penduduk di Parit Raja di sini semalam.

Beliau berkata, selain itu, Kerajaan Pusat turut memberi perhatian serius membela penduduk luar bandar dengan menambah jumlah lampu jalan kampung daripada 10 batang setiap kampung kepada 30 batang.

Katanya, penambahan 20 batang lampu di setiap kampung bukan perkara baharu kerana diputuskan Menteri Kabinet Mac tahun lalu dan perkara itu membuktikan komitmen sesebuah kerajaan.

"Oleh itu, penduduk kampung perlu terus memberi kepercayaan dan sokongan kepada pucuk pimpinan negeri dan seluruh agensi kerajaan yang menjadi tenaga pelaksana dasar kerajaan agar pembangunan holistik dapat dilaksanakan demi mencapai Wawasan 2020.

"Selain itu, penduduk kampung juga disarankan bersatu dalam membangunkan kampung masing- masing agar negeri ini dapat menempa kejayaan lebih besar hasil daripada perpaduan yang wujud," katanya.

Jaga kebersihan bazar Ramadan - Sultan Ibrahim

Posted: 10 Jul 2013 11:30 AM PDT

JOHOR BAHRU 10 Julai - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar (gambar) menasihatkan pihak berkuasa tempatan dan para peniaga di negeri ini bersama-sama menjaga kebersihan di tapak jualan bazar Ramadan.

Baginda yang mencemar duli meluangkan masa hampir setengah jam di bazar Ramadan di Larkin di sini hari ini memahami masalah penjagaan kebersihan namun berharap dapat dikawal secara bersama.

"Bila ada majlis-majlis begini memang ada sampah sikit, saya harap pihak berkuasa dan peniaga dapat bersama-sama menjaga kebersihan.

"Setiap tahun saya pergi ke bazar dan esok saya akan ke Kluang pula serta daerah-daerah lain," titah baginda.

Sultan Ibrahim turut mencemar duli dengan melawat gerai-gerai jualan di bazar tersebut selain turut membeli pelbagai juadah berbuka puasa.

Sementara itu, peniaga kuih, Raja Kalsum Raja Aziz, 56, berkata, dia tidak menyangka dapat bertemu Sultan Johor pada hari pertama puasa tahun ini.

"Rasa gembira sangat kerana baginda turut berkenaan membeli juadah saya meskipun yang tinggal hanyalah kuih bakar pandan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Hanya 35,973 wanita periksa payu dara

Posted: 11 Jul 2013 02:15 AM PDT

Oleh ALI MAHMOOD

JERANTUT 11 Julai - Hanya 35,973 pekerja wanita berusia 40 tahun ke atas yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah menjalani pemeriksaan payu dara secara percuma sehingga 30 Jun lepas.

Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pekerja wanita berkenaan terdiri daripada 143,704 pekerja yang sudah mendapat baucar bagi menjalani pemeriksaan kesihatan percuma tersebut.

"Bagi yang belum menerima baucar, boleh menghubungi atau datang ke pejabat Perkeso berhampiran kawasan masing-masing bagi mendapatkannya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Advokasi Peringkat Daerah Temerloh di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (PPPTR) di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Perkeso Pahang, Mohd. Shahar Ismail; Pengurus Besar merangkap Ketua Pusat PPPTR Jerantut, Abd. Aziz Mat Pilus dan Pengurus Perkeso Temerloh, Mohd. Haron Othman. - UTUSAN ONLINE

KDN, UNHCR perkenal kad pelarian teknologi RFID

Posted: 11 Jul 2013 02:14 AM PDT

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED

DR. AHMAD ZAHID Hamidi memeriksa kad pengenalan salah seorang pekerja asing ketika membuat lawatan ke Pasar Borong Kuala Lumpur hari ini. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 11 Julai - Kementerian Dalam Negeri akan bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) untuk memperkenalkan kad berteknologi tinggi dalam mengesan pergerakan pelarian yang berdaftar di bawah badan dunia itu di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kad dengan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) itu juga bertujuan membanteras gejala pemalsuan kad UNHCR yang dilihat semakin berleluasa.

"Dalam kad itu, kita akan letakkan beberapa ciri keselamatan lain termasuk RFID supaya kita boleh mengesan di mana mereka (pelarian) berada melalui sistem satelit.

"Kita telah berbincang dengan UNHCR, bila mereka setuju dengan ciri-ciri baharu kad tersebut, ia akan dilaksanakan," katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Pasar Borong Kuala Lumpur, Selayang, dekat sini hari ini.

Lawatan itu susulan pendedahan sebuah stesen televisyen tempatan mengenai warga asing yang juga pelarian Myanmar berniaga secara haram di pasar borong berkenaan.

Yang turut hadir pemangku Wakil UNHCR di Malaysia, Michele Manca Ddi Nissa.

Baru-baru ini, Ahmad Zahid mengumumkan kerjasama dengan UNHCR untuk mengesan pemilik kad UNHCR palsu dan pihaknya memandang serius perkara tersebut memandangkan kemudahan yang diberikan kerajaan dieksploitasikan. - UTUSAN ONLINE

Harga ayam segar naik mendadak di Kelantan

Posted: 11 Jul 2013 02:11 AM PDT

Oleh YATIMIN ABDULLAH

KOTA BHARU 11 Julai - Kenaikan harga ayam segar di negeri ini bukan sahaja dirasai oleh para pengguna, malahan golongan peniaga turut terkena tempiasnya.

Kenaikan tersebut bagaimanapun mencetuskan kebimbangan para peniaga yang rata-rata khuatir perniagaan mereka mungkin terjejas disebabkan permintaan berkurangan.

Tinjauan Utusan Online di beberapa pasar di daerah ini dan Melor mendapati, ayam segar dijual antara RM7.50 hingga RM8 sekilogram sejak seminggu lalu berbanding sekitar RM6.50 sekilogram sebelum ini.

Seorang peniaga di Pasar Wakaf Che Yeh dekat sini, Che Esah Yunus, 46, berkata, kenaikan tersebut menyebabkan jualan ayam segar di gerainya mengalami sedikit penurunan berbanding sebelum ini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada pemborong, kenaikan harga ayam di pasaran disebabkan bekalan makanan dan anak ayam yang berkurangan di pasaran.

"Difahamkan keadaan tersebut menyebabkan harga ayam naik secara mendadak di pasaran. Selaku peniaga, kami tidak dapat mengelak situasi tersebut kerana harga yang diperoleh daripada pemborong agak tinggi berbanding sebelum ini.

"Saya akui, jualan ayam di pasar ini agak lembab sedikit berbanding sebelumnya. Saya harap harga ayam akan kembali stabil selepas ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Che Esah, harga bagi ayam bersih tanpa kepala dan perut yang dijual di pasar berkenaan ialah RM7.80 sekilogram manakala ayam biasa RM7.50 sekilogram.

Bagi Fadli Shah Islami, 38, peniaga ayam di Pasar Melor pula memberitahu, kenaikan harga tersebut menyebabkan jualan ayam di gerainya mengalami penurunan.

Katanya, kenaikan tersebut merupakan antara yang tertinggi pernah dicatatkan dalam tempoh tujuh bulan tahun ini.

"Saya jangka kenaikan ini akan berterusan sehingga sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti," katanya yang berniaga di pasar berkenaan sejak 18 tahun lalu. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Mapen rancang dua projek mega

Posted: 10 Jul 2013 11:30 AM PDT

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
utusanmelaka@utusan.com.my

Mohd. Ali Rustam

MELAKA 10 Julai - Majlis Perundingan Ekonomi Negeri (Mapen) sedang dalam proses melaksana dua projek, The Melaka Gateway dan Dinasours Park, Underwater World yang dijangka menarik lebih tiga juta pelancong setahun ke negeri ini.

Pengerusi Mapen, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kedua-dua projek itu dijangka membuka sebanyak 16,000 ruang pekerjaan serta menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan negeri sehingga lebih RM6 bilion.

Menurutnya, The Melaka Gateway yang akan dibina di atas tapak seluas 209.62 hektar dengan kos RM30 bilion itu melibatkan pembinaan tiga buah pulau buatan berhampiran Pulau Melaka.

"Projek itu meliputi Cruise Jetty, pusat beli-belah, hotel, kondominium, pangsapuri lima bintang, kompleks pertunjukan budaya (Melaka Impression) dan taman perumahan berkonsep.

"Bagi projek Dinasours Park dan Underwater World pula dibina di atas tapak seluas 14.16 hektar dengan kos RM240 juta meliputi Taman Tema Dinasours Park, Underwater World, kedai beli-belah, kedai jualan cenderamata dan kemudahan awam," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Ali berkata, dalam mesyuarat pertama Mapen baru-baru ini, beberapa perkara turut dicadangkan kepada kerajaan negeri antaranya memperkukuh syarikat teras bumiputera Melaka, peningkatan infrastruktur utama-Projek Jalan Pantai Selat Melaka.

Turut dicadangkan, katanya, kajian bagi mewujudkan Museum Tour yang berfungsi seperti Melaka River Cruise.

"Museum Tour ini akan melibatkan pakej yang mana para pelancong akan dibawa melawat muzium-muzium di negeri ini menaiki bas secara sistematik dan teratur beserta pemandu pelancong," katanya.

Pendidik digesa gilap kecemerlangan

Posted: 10 Jul 2013 11:30 AM PDT

Mohamad Hasan bersama sebahagian pelajar selepas majlis Anugerah Akademik Terbilang 2013 di Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

SEREMBAN 10 Julai - Warga pendidik diingat tidak hanya duduk diam dan berada dalam keadaan selesa dengan prestasi yang cemerlang kerana kelekaan itu akan membawa kehancuran.

Perkara itu dinyatakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu warga pendidik terus menggilap kejayaan cemerlang.

"Kita sepatutnya sentiasa berada dalam keadaan siap sedia apatah lagi persekitaran yang dihadapi ini tidak selalu statik dan sering berubah.

"Matlamat kita bukan hanya mengekalkan prestasi cemerlang atau mempertahankannya, sebaliknya terus meningkat dari semasa ke semasa, selaras dengan menjadikan negeri ini lubuk cendekiawan, ilmuwan dan pemikir seperti mana lahirnya Pendeta Za'ba suatu ketika dahulu," katanya dalam majlis Anugerah Akademik Terbilang 2013 di Hotel Royale Bintang, di sini hari ini.

Menurut Mohamad, kedudukan terbaik negeri ini dalam sektor pendidikan untuk beberapa tempoh khususnya dalam peperiksaan peringkat kebangsaan tidak sepatutnya membuatkan warga pendidik muda berasa puas hati.

"Saya sentiasa memberikan fokus kepada ilmu ini. Kita mahu melihat lebih banyak kejayaan dan sebab itulah kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan apa jua usaha meningkatkan ilmu dan pendidikan," katanya.

Dalam masa sama, Mohamad menjelaskan, kecemerlangan pendidikan di sesebuah negeri itu mampu membawa impak kepada ekonomi negara.

"Jika dalam negeri ini ramai cerdik pandai, tentulah pelabur minat untuk datang ke sini. Ini juga akan membawa limpahan keuntungan kepada negara," katanya.

Speaker DUN Melaka kekal terajui Penama

Posted: 10 Jul 2013 11:30 AM PDT

MELAKA 10 Julai - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Mohamad dipilih semula menerajui Persatuan Penulis Melaka (Penama) buat penggal keempat selepas menang tanpa bertanding jawatan Ketua 1 Penama dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kali ke-28 baru-baru ini.

Turut mengekalkan jawatan penggal lalu ialah Mohd. Raus Md. Sam bagi Ketua 2 dan Ahmad Zuawi Che Cob sebagai Setiausaha 1 , Sahban Semail (Bendahari) dan dua pemeriksa kira-kira Salleh Ahmnad serta Safian Mohd. Shah.

Wartawan akhbar Melaka Hari Ini (MHI), Aflieza Arshad adalah muka baharu dipilih bagi jawatan Penolong Setiausaha 2 bagi memantapkan perjalanan Penama.

Bagi pemilihan ahli jawatankuasa pula sebanyak empat muka lama kekal bagi sesi 2013/2015 diketuai isteri Othman, Datin Halimah Baba, Hassan Mohd. Nor, Rosmiayati Shaari dan Ahmad Jawahir Tugiman.

Lima muka baharu yang dipilih untuk jawatankuasa sesi ini ialah Masdura Selamat, Mohd. Noor Zam, Ab. Rahim Ab. Rauf, Isa Maarof dan Fairuzan Abdul Majid.

Sementara itu Othman berkata, barisan jawatankuasa baharu ini dilihat sebagai satu pasukan mantap yang boleh bekerjasama bagi memastikan persatuan penulis di negeri ini dapat memanfaatkan pengisian dan matlamat berpersatuan.

Menurutnya, beliau memuji ahli kerana memilih barisan kepimpinan baharu yang berwibawa untuk membolehkan Penama melaksanakan lebih banyak aktiviti.

"Penama memerlukan golongan aktif, berdedikasi dan tahu membawa aspirasi persatuan kerana banyak acara akan dijalankan sepanjang tahun ini dan tahun hadapan, " katanya.

Menurut Othman lagi, pihaknya akan menerbitkan antologi puisi dan cerpen hasil karya ahli persatuan itu selepas sambutan Aidilftiri nanti.

Katanya, beberapa aktiviti lain yang akan dianjurkan Penama seperti penulisan berita dan rencana, penulisan skrip drama radio, penulisan skrip bangsawan dan bengkel deklamasi puisi.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Amaran JAIPs kepada restoran

Posted: 10 Jul 2013 11:30 AM PDT

Oleh SHOLINA OSMAN
pengarang@utusan.com.my

KANGAR 10 Julai - Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) memberi amaran mana-mana premis makanan di negeri ini akan berdepan tindakan undang-undang lebih keras jika didapati melanggar Enakmen Jenayah Dalam Syarak (Pindaan 2012) yang pertama kali dilaksana mulai Ramadan tahun ini.

Pengarahnya, Mohamad Sokri Hussin berkata, dengan pindaan undang-undang baharu tahun lalu, premis makanan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Bagi kesalahan seterusnya, kata beliau, pengusaha premis makanan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

"Premis makanan dilarang menjual makanan kepada orang ramai sebelum pukul 2 petang supaya tidak ada orang Islam yang tidak berpuasa mengambil kesempatan makan di khalayak ramai," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohamad Sokri berkata, semua premis makanan hanya boleh menjual makanan selepas pukul 2 petang.

"Jika didapati premis menjual makanan di bawah masa yang ditetapkan maka pemiliknya kali ini tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang baharu ini," katanya.

Beliau berkata, sebelum pindaan itu pihaknya sukar mengambil tindakan ke atas premis makanan sekalipun didapati menjual makanan untuk orang Islam yang tidak berpuasa.

Beliau berkata, sebaik sahaja bermula bulan Ramadan pihaknya telah melaksanakan operasi menangkap orang Islam yang makan di khalayak ramai dan premis yang menjual makanan lebih awal dari masa ditetapkan.

"Jika boleh kita tidak mahu ada umat Islam yang memalukan agama sendiri sehingga dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

Beliau berkata, jika ditahan semasa operasi pihaknya tidak akan menerima sebarang alasan sekalipun berkaitan dengan penyakit.

"Islam memang memberi kelonggaran menunaikan ibadat puasa untuk golongan tertentu tetapi bukan dengan cara makan di khalayak ramai," katanya.

Wujudkan pihak berkuasa pelabuhan

Posted: 10 Jul 2013 11:30 AM PDT

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
muin.sapidin@utusan.com.my

IPOH 10 Julai - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (gambar) berharap permohonan Perak untuk mewujudkan pihak berkuasa pelabuhan negeri dapat dipertimbangkan sewajarnya oleh Kerajaan Persekutuan.

Menurut beliau, setakat ini, kerajaan negeri sudah menerima maklum balas tentang permohonan tersebut, khususnya melibatkan aspek prosedur dan perundangan yang perlu dipenuhi.

"Kita dimaklumkan, penubuhan pihak berkuasa pelabuhan negeri ini memerlukan kelulusan Pusat dan mungkin perlu dibawa ke mesyuarat Kabinet dan mendapatkan tandatangan Yang di-Pertuan Agong.

"Jadi, proses itu mungkin ambil masa sedikit. Apa pun, kita harap kerajaan dapat beri pertimbangan yang sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Perak di sini hari ini.

Zambry berkata, perkara tersebut adalah antara yang dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan dan kerajaan negeri membuat ketetapan untuk meneruskan permohonan tersebut kepada Kerajaan Pusat.

Beliau berkata, sudah tiba masanya Perak mempunyai pihak berkuasa pelabuhan memandangkan negeri ini turut berada di kawasan pesisir pantai, selain peranannya sebagai kawasan maritim yang semakin penting.

"Jumlah pelabuhan juga semakin meningkat sama ada kecil atau besar. Peranan Perak sebagai kawasan maritim amat penting pada masa akan datang dan kita rancang supaya pembangunannya dirancakkan lagi," ujar beliau.

Sementara itu, Zambry memberitahu, Kerajaan Pusat menunjukkan maklum positif terhadap cadangan kerajaan negeri untuk mengambil alih pengurusan marina di Pulau Metanggor seperti diajukan sebelum ini.

Namun, katanya, beliau berharap perkara itu dapat diperincikan dan diselesaikan secepat mungkin.

Kerajaan Perak sebelum ini memohon supaya dibenarkan mengambil alih marina bernilai RM28 juta di Pulau Temenggor yang dianggap projek 'gajah putih' kerana tidak beroperasi walaupun siap sejak tujuh tahun lalu.

Ibu tunggal dipelawa jadi ahli koperasi usahawan

Posted: 10 Jul 2013 11:30 AM PDT

BUTTERWORTH 10 Julai - Ibu tunggal di negeri ini yang menjalankan perniagaan dipelawa menjadi ahli Persatuan Usahawan Ibu Tunggal Negeri Pulau Pinang (PUITNPP) bagi membolehkan produk mereka dipasarkan dengan berkesan.

Pengerusinya, Roslinda Musa berkata, melalui usaha tersebut, ibu tunggal tidak lagi perlu menagih bantuan daripada mana-mana pihak untuk memajukan perniagaan.

Beliau berkata, koperasi akan membantu ibu tunggal memperluaskan bidang perniagaan yang berdaya maju.

"Koperasi sendiri akan mewujudkan sebuah pusat jualan usahawan di Taman Selat di sini tidak lama lagi untuk memasarkan produk yang dihasilkan oleh ibu tunggal.

"Kita akan kumpulkan produk dan hasil penjualan boleh diagihkan kepada usahawan ibu tunggal terbabit," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Roslinda berkata, kebanyakan ibu tunggal mempunyai kemahiran dan mereka boleh menggunakan kemahiran sedia ada termasuk yang ingin memajukan perniagaan dengan lebih baik.

Menurut beliau, ibu tunggal yang sudah maju dalam bidang perniagaan boleh menjadi ikon oleh ibu tunggal.

Katanya, persatuan juga akan menganjurkan kursus usahawan seperti pembuatan peralatan perkahwinan, jahitan dan sebagainya.

Setakat ini, sebanyak 100 ibu tunggal telah menjadi ahli persatuan itu dan 10 peratus daripada mereka berjaya dalam pelbagai bidang perniagaan.

Roslinda berkata, ibu tunggal yang mahu menjadi ahli persatuan dikenakan yuran tahunan sebanyak RM20 dan RM5 pendaftaran manakala ahli seumur hidup ialah RM100 seorang.

Mereka yang berminat boleh menghubungi beliau di talian 012-4474397 bagi mendapatkan maklumat selanjutnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Syukuri nikmat keamanan

Posted: 10 Jul 2013 11:30 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

BN bawa barisan terkuat kempen

Posted: 10 Jul 2013 11:30 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

PM tiba di tanah air selepas lawatan kerja

Posted: 10 Jul 2013 11:30 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved