Rabu, 10 Julai 2013

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Wajib dapat kelulusan DBKL

Posted: 09 Jul 2013 11:30 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Tengku Adnan Tengku Mansor (empat dari kanan) bergambar bersama penerima anugerah dalam Majlis Perasmian Anugerah Local Agenda 21 Wilayah Persekutuan (LA21WP) di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 9 Julai - Kesemua pemilik bangunan komersial dan kediaman yang ingin melakukan kerja-kerja pengubahsuaian diminta mematuhi peraturan dengan mendapatkan kelulusan bagi setiap pelan pengubahsuaian rumah serta lukisan pelan projek.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, langkah tersebut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku sepanjang tempoh kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan.

Menurutnya, pihak terlibat perlu mengemukakan permohonan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam tempoh dua minggu.

"Adalah menjadi tanggungjawab DBKL untuk memantau dan memeriksa semua kerja-kerja pengubahsuaian yang dilakukan di bawah kawasan seliaan mereka sebelum sebarang kelulusan dikeluarkan atas faktor keselamatan.

"Sekiranya ingkar tindakan meroboh struktur binaan akan dilaksanakan DBKL,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Anugerah Local Agenda 21 Wilayah Persekutuan (LA21WP) di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalannya; Datuk Dr. Loga Bala Mohan, Ketua Setiausaha kementerian; Datuk Adnan Md. Ikshan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib.

Majlis penyampaian anugerah itu bertujuan memberi penghargaan kepada individu, agensi, persatuan penduduk, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta yang turut menjayakan LA21.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Phesal berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangkan dengan Bahagian Perancang dan Jabatan Reka Bentuk Bandar dan Bangunan bagi meneliti kaedah yang akan dilaksanakan.

"Ia bagi membolehkan peraturan dan notis yang dikeluarkan nanti benar-benar menepati terutam dari segi undang-undang,"katanya.

Ops Sapu turun khemah peniaga

Posted: 09 Jul 2013 11:30 AM PDT

RAWANG 9 Julai -Majlis Perbandaran Selayang (MPS) masih memberi kelonggaran kepada beberapa peniaga di kawasan tempat letak kereta Bandar Tasik Puteri disini untuk menurunkan khemah mereka selepas arahan berbuat demikian dikeluarkan semalam.

Pengarah Penguatkuasa MPS, Azmi Ismail berkata, kelonggaran tersebut diberikan berikutan peniaga terlibat masih beroperasi lewat malam kelmarin.

Menurutnya, hanya lima khemah milik penjaja yang masih belum diturunkan manakala bakinya telah membuat pengosongan sejak kelmarin.

"Pengosongan tersebut rentetan daripada 13 peniaga yang akur dengan arahan MPS hasil rundingan kedua-dua belah pihak minggu lalu selepas aduan kebersihan dan gangguan lalu lintas di situ," katanya selepas mengetuai Ops Sapu di Bandar Tasik Puteri, di sini hari ini.

Menurutnya, arahan pengosongan kawasan tersebut adalah bagi memberi laluan kepada tapak Bazar Ramadan dan pasar malam.

Katanya, selain pemeriksaan di kawasan berkenaan, beberapa gerai peniaga kaki lima yang terletak berhampiran pusat komersial turut diturunkan kerana berniaga tanpa permit.

"MPS juga akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan kawasan tersebut tidak lagi digunakan untuk sebarang aktiviti perniagaan tanpa permit,"katanya.

Jadikan satu pengajaran

Posted: 09 Jul 2013 11:30 AM PDT

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusan.com.my

GOMBAK 9 Julai - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tetap akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kampus berkenaan mengalami pencemaran alam sekitar yang teruk.

Presidennya, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, kes tersebut ini akan difailkan ke muka pengadilan bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya kerja-kerja penerokaan tanah secara besar-besaran berhampiran kampus berkenaan dapat dihentikan sepenuhnya.

Menurutnya, pihak UIAM juga akan menuntut sejumlah gantirugi bagi menampung kos memperbaiki kerosakan alam sekitar sehingga kelestarian alam sekitar UIAM Gombak dikembalikan walaupun terpaksa memakan masa panjang,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika dibawa meninjau selama hampir dua jam di sekitar kampus UIAM yang didakwa tercemar akibat projek penerokaan di kawasan berhampiran kampus.

Turut sama dalam lawatan tersebut Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Zaleha Kamaruddin dan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UIAM, Prof. Madya Dr. Baharuddin Aziz.

Sebelum ini Utusan Malaysia dalam beberapa siri laporan mendedahkan mengenai pencemaran teruk dialami UIAM akibat kerja-kerja penerokaan tanah di kawasan berhampiran.

Rais menambah, kemusnahan alam sekitar yang berlaku di situ akibat kerakusan pihak tidak bertanggungjawab terlalu besar kerana ia telah menghilangkan keindahan dan keceriaan kampus tersebut.

Menurutnya, kemusnahan itu termasuk menjejaskan habitat kehidupan seperti haiwan-haiwan liar dan unggas.

"Jika burung bangau yang dahulunya begitu memberikan suasana alam semula jadi yang sangat indah, sekarang saya nampak hanya tinggal seekor sahaja bertahan.

"Yang lain pastinya sudah terbang berhijrah mencari lokasi habitat yang lebih baik kerana tiada lagi ikan-ikan di sungai dan kolam yang boleh menjadi sumber makanan.

"Begitu juga pokok-pokok teratai di kolam rekreasi yang terbiar mati dan saya fikir ini sudah keterlaluan," katanya.

Menurutnya apa yang berlaku ini merupakan satu ujian besar kepada UIAM bagi menguji sejauh mana universiti tersebut mampu berperanan sebagai khalifah yang diamanahkan oleh Allah untuk menjaga alam sekitar.

"Sebagai Presiden baharu sayalah orangnya yang perlu mengetuai satu usaha bersepadu menyelesaikan masalah ini dan saya akan meminta penasihat undang-undang supaya segera membuka fail kes dan lain-lain tindakan yang perlu bagi segera mengatasi masalah ini," katanya.

Sementara itu Zaleha berkata, tidak dinafikan ada beberapa pihak swasta menawarkan perkhidmatan untuk memperbaiki dan memulihkan semula kerosakan alam sekitar yang berlaku di kampusnya itu.

"Tetapi saya melihat masalah ini perlu diselesaikan secara tuntas iaitu mencari punca sebenar yang menyebabkan alam sekitar UIAM menjadi mangsa.

"Selagi tindakan rakus pihak pemaju tidak dihentikan dan kerosakan tidak diperbaiki dari kawasan yang diteroka sehingga membawa kepada ke dalam kawasan kampus UIAM, saya percaya masalah ini pasti berlarutan," tegasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Tidak gemar meminta

Posted: 09 Jul 2013 11:07 PM PDT

Oleh SITI AISHAH YUSOFF
Gambar NOOR ASREKUZAIRY SALIM

Noor Khairunnisa Abd. Rahman ayu mengenakan tudung rekaan sendiri.

MATLAMAT perlu kuat diikuti dengan niat yang betul dan keazaman yang tinggi. Itu antara resipi penting untuk seseorang anak muda bergelar usahawan berjaya," tegas Noor Khairunnisa Abd. Rahman.

Berbekalkan keazaman yang kuat dan minat yang mendalam dalam bidang perniagaan, gadis berusia 25 tahun ini memulakan langkah pertama untuk berniaga secara sambilan ketika masih berada di menara gading lagi.

Tidak hanya berbekalkan minat, malah zaman kanak-kanak dan remajanya diwarnai dengan aktiviti membantu ibunya menjual kuih, bekerja di warung dan menjual kain.

Bertitik-tolak daripada pengalaman itu, Noor Khairunnisa memulakan perniagaan menjual selendang dan tudung ketika mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengurusan Maklumat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Langsung tidak timbul perasaan kekok atau malu biarpun pelanggan rata-rata rakan sekuliah termasuk para pensyarahnya.

Tekad gadis tinggi lampai ini, adalah untuk mencari wang daripada sumber halal bagi membiayai kehidupan di kampus sekali gus meringankan beban orang tua di kampung.

"Pinjaman pengajian cukup sekadar untuk membayar yuran dan selebihnya pandai-pandai cari sendiri.

"Namun saya tidak gentar. Saya dibesarkan dalam keluarga yang cukup berdikari. Jika inginkan sesuatu perlu berusaha dan kami tidak diajar untuk hidup meminta-minta," tegasnya.

Bermodalkan duit simpanan dan sedikit bantuan keluarga sebanyak RM1,000, Noor Khairunnisa memberanikan diri berjinak-jinak berniaga pelbagai jenis inner dan selendang.

Walaupun hanya berniaga secara sampingan, satu kepuasan apabila barangan yang dijual mendapat sambutan baik terutama di kalangan kawan-kawan.

Dalam masa sama jika ada peluang dia sering mengikuti pesta jualan yang dianjurkan oleh universiti.

Ternyata langkah awal itu menjadikan dirinya kini bergelar usahawan berjaya dalam usia yang masih muda.

Hasil titik peluh dan tekad yang tinggi untuk bekerja sendiri dan menceburkan diri dalam bidang perniagaan selepas menamatkan pengajian, dia kini telah membuka butik Ayunar yang diusahakan bersama keluarga yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan.

Minatnya dalam rekaan pelbagai jenis hijab turut mendorong anak kelahiran Johor Bahru, Johor, ini berkongsi tutorial pemakaian hijab teruama selendang yang betul dalam laman sosial YouTube yang dikenali sebagai ayunayunar.

"Walaupun pada permulaan timbul perasaan malu untuk berkongsi maklumat di YouTube, lama-kelamaan perasaan malu semakin hilang dan seronok melihat banyak pengunjung melihat hasil tutorial yang dimuat turun.

"Menggunakan YouTube, saya bukan sahaja berkongsi maklumat dan tutorial dengan peminat serta penggemar selendang, malah dalam masa yang sama turut memperkenalkan produk dan koleksi terbaru tersebut untuk dijual kepada pelanggan," kata Noor Khairunnisa.

Ujar wanita ini yang sudah lebih setahun bergelar isteri kepada Muhammad Shafie Sekak, 26, maklumat tentang produk jualannya tidak hanya terhad dalam YouTube, malah melalui blog peribadi ayunayunar.biz dan (blog shop) ayunar.biz.

"Dalam blog tersebut pelbagai maklumat cara pemakaian selendang, mengenakan solekan pada wajah dan pelbagai jenis produk jualan turut dimuatkan.

"Disebabkan permintaan yang menggalakkan daripada pelanggan, saya telah mengeluarkan inner tudung sendiri di bawah label ayunar menggunakan fabrik yang sesuai dan selesa apabila dipakai.

"Penghasilan ini kerana pengalaman sendiri yang tidak selesa memakai inner tudumg yang siap dijual di pasaran," katanya.

Tambah Noor Khairunnisa lagi, permintaan yang tinggi terhadap produk jualannya di blog, mendorongnya membuka butik pada tahun lepas dengan sedikit bantuan daripada keluarga.

"Lebih daripada 30 jenis inner dengan pelbagai warna menarik rekaan ayunar dijual di sini dengan saiz yang pelbagai dan harga berpatutan.

" Produk rekaan ayunar sangat mementingkan keselesaan kepada si pemakai dengan penggunaan fabrik-fabrik seperti jersi lembut dan boleh digayakan dalam pelbagai cara. Selain itu, koleksi selendang dan baju untuk tempahan jahitan baju, manik dan hijab juga terdapat di sini.

"Menyedari permintaan dan memenuhi cita rasa pasangan yang bakal melangsungkan perkahwinan, ayunar telah membuka langkah baharu dengan menerima tempahan untuk pakej pengantin termasuk tempahan baju kahwin, solekan dan pelamin. Untuk rekaan baju dan solekan saya yang melakukannya sendiri," katanya sambil tersenyum.

Noor Khairunnisa berkata, untuk tempahan baju kahwin dan pelamin mereka sentiasa terbuka untuk menerima cadangan dan permintaan daripada pelanggan mengikut tema serta kehendak majlis impian mereka.

"Selalu pelanggan yang ingin mahukan perkhidmatan daripada ayunar akan berbincang terlebih dahulu konsep dan tema baju impian mereka.

"Menariknya, setiap tempahan yang dibuat, kami cuba untuk tidak terlalu mengikut rekaan asal pelanggan. Rekaan tersebut juga akan berbeza dengan setiap pelanggan yang menempah di sini," jelasnya.

Tambah anak bongsu daripada lima orang adik beradik ini, dia beruntung kerana produknya tidak hanya terhad di Malaysia sahaja malah turut mendapat permintaan dari luar negara melalui laman YouTube.

"Ketika ini, selain terkenal di kalangan pelanggan dari Malaysia, kami juga menerima tempahan secara atas talian dari luar negara seperti Brunei, Singapura, Indonesia, United Kingdom dan Sepanyol," katanya.

Ditanya tentang kelebihan dan cabaran menguruskan perniagaan bersama-sama keluarga, Noor Khairunnisa mengakui berasa bertuah kerana mereka sentiasa bersepakat untuk menguruskan perniagaan tersebut.

"Bekerja dengan keluarga di bawah satu bumbung, diakui mempunyai banyak kelebihan kerana mudah untuk berurusan dan berkomunikasi jika terdapat sebarang masalah.

"Setiap orang dalam syarikat mempunyai tanggungjawab dan tugas masing-masing yang perlu dilaksanakan. Di ayunar, saya diberi tanggungjawab mengetuai bahagian pengurusan jualan dan komunikasi. Jika ada permasalahan dalam perniagaan proses dan ruang perbincangan lebih terbuka demi kemajuan dan kejayaan bersama-sama," katanya.

Tambah Ayun yang gemar menonton video atas talian di waktu lapangnya, beliau akui wujud persaingan sihat di antara peniaga-peniaga yang baharu menapak sepertinya.

"Saya jadikan ia sebagai persaiangan yang sihat dan positif untuk kemajuan syarikat. Tambahan, saya mempercayai setiap orang mempunyai rezeki masing-masing yang telah ditentukan oleh Allah.

"Lagipun, dari segi pelanggan dan produk ayunar tiada masalah kerana kami mempunyai pelanggan tetap dari dalam dan luar negara yang sentiasa mendapat sokongan dan tempahan daripada mereka.

"Dalam masa terdekat ini, kami merancang untuk membuka cawangan terbaru ayunar dan mempunyai label pakaian siap dipakai oleh ayunar," jelasnya.

Anggun, persona Bahari Asyek

Posted: 09 Jul 2013 11:07 PM PDT

Kurung moden daripada fabrik polos jadi pilihan di Bahari Asyek.

Selari memartabatkan busana tradisional sebagai persalinan yang tidak akan luput ditelan arus kemodenan, Bahari Asyek iaitu label pakaian yang beroperasi di tiga butik di Shah Alam, Selangor, iaitu Busana Bahari Asyek, Bahari Asyek end of season dan Bahari Asyek Fabrik menampilkan fesyen tradisional untuk sambutan perayaan tahun ini.

Pemiliknya, Zahalina Abdul Rahman, berkata, sempena kedatangan bulan Syawal, Busana Bahari Asyek memperkenalkan rekaan fesyen tradisi baharu dengan fabrik yang unik dan selesa.

"Rekaan ini dihiasi dengan sulaman serta manik dengan kepelbagaian warna yang menarik dan memikat hati. Selain itu, rekaan ini juga menawarkan pelbagai pilihan fesyen tradisi dan potongan yang menarik menggunakan bahan-bahan fabrik yang dijual di butik kami sendiri.

"Busana Bahari Asyek mengetengahkan pelbagai fesyen dan corak busana wanita yang berteraskan kain kapas asli, syifon, sutera, linen dan. Antara koleksi pakaian rekaan kami sempena Syawal ini adalah kurung moden Jeleby, Embroidery, Zarigota dan Mofish Tail. Kecantikan busana ini diserlahkan lagi dengan penggunaan fabrik syifon mentah, syifon dan lining shemose, selain fabrik kain kapas viscose dan rayon yang menggunakan teknik ikat dan celup," katanya.

Tambah Zahalina, serlahkan penampilan anggun di pagi hari raya dengan persalinan kurung Pahang Dayang Senandung, kurung Pahang Dayang Salmah, kurung Pahang Siti Zubaidah dan kurung Pahang Mahsuri.

"Kesemua rekaan kurung Pahang ini mengggunakan pelbagai jenis fabrik yang berbeza seperti kain kapas kosong, kain kapas Swiss, rayon dwi tona dengan menggunakan teknik ikat dan celup yang menghasilkan corak warna-warna blok dan fabrik syifon renyuk (crinkle chiffon).

"Sementara itu, kurung Tun Teja dan Kebaya Cik Siti Wang Kembang turut diketengahkan pada tahun ini. Kurung Tun Teja menggunakan fabrik tenun kapas Bali yang bermotif pua, dan potongan diperbaharui dengan gaya klasik.

"Kebaya Cik Siti Wan Kembang pula telah diolah dalam potongan yang sesuai dengan gaya sekarang menggunakan fabrik viscose kosong, tenun kapas Bali dan tenun sutera broked. Harga bagi koleksi ini adalah antara RM75 hingga RM150," ujarnya.

Tambah Zahalina lagi, memahami situasi dan tradisi busana Melayu, beliau telah mengolah dan menampilkan pelbagai rekaan fesyen, corak dan potongan yang sesuai agar selesa dengan tema perayaan.

"Di Bahari Asyek End of Season pula menampilkan fesyen tradisi yang sama, cuma ia stok berteraskan dan dari koleksi yang baru lepas tetapi mempunyai kualiti sama.

"Butik ketiga dengan label Bahari Asyek Fabrik menawarkan pelbagai jenis dan corak kain seperti kain kapas cetak, bersulam dan polos dengan pelbagai warna dan corak. Bagi yang meminati sutera, pilihan sutera syifon, Shantung dan crepe ada dijual di sini," katanya.

Ujarnya, untuk menjaga tahap eksklusif, setiap fabrik hanya terdapat sepasang atau paling tinggi empat pasang sahaja yang akan dijual.

Fabrik-fabrik bermutu itu diimport dari Dubai, Turki, Mesir dan Pakistan.

Kepada yang berminat boleh berkunjung ke butik Bahari Asyek, di tingkat 1, Plaza Masalam ( Plaza Shah Alam). - SITI AISHAH YUSOFF

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


40 kedai makan diarah tutup

Posted: 09 Jul 2013 11:30 AM PDT

Oleh FARIK SALLEH
utusanjohor@utusan.com.my

KEADAAN lengang premis makanan yang menjalani pemeriksaan kebersihan di Terminal Bas dan Teksi Tun Sri Lanang, Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini.

KOTA TINGGI 9 Julai - Sebanyak 40 daripada 674 premis makanan di sekitar bandar ini diarah tutup setelah didapati gagal mematuhi standard kebersihan yang ditetapkan.

Pengarah Perubatan Kesihatan Awam Daerah Kota Tinggi, Dr. Nor Hamimah Abdullah berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Makanan 1983 bagi memastikan pelanggan di premis berkenaan tidak terdedah kepada risiko keracunan makanan.

"Kesemua 40 gerai dan restoran tersebut diarah menghentikan operasi serta-merta bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dilakukan.

"Arahan ditutup berkuat kuasa selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983. Bagaimanapun jika premis-premis ini berjaya melakukan kerja-kerja pembersihan dan mengikut piawaian ditetapkan jabatan, premis itu boleh dibuka lebih awal dari tempoh itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai operasi bersepadu bersama Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) di sekitar bandar ini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua MDKT, Hasrin Kamal Hashim.

Dr. Nor Hamimah berkata, operasi yang dilakukan bertujuan memberi kesedaran kepada pengendali kedai makanan supaya mementingkan aspek kebersihan dalam operasi harian mereka.

Menurutnya, hasil pemeriksaan turut mendapati sesetengah pengusaha makanan mengabaikan kebersihan diri selain tidak mendapatkan suntikan typhim.

"Beberapa premis juga didapati gagal mematuhi piawaian yang ditetapkan dan terdapat kehadiran tikus serta lipas berkeliaran dan ini amat berbahaya kepada pelanggan," katanya.

Kampung Parit Haji Ali juara Desa Cemerlang

Posted: 09 Jul 2013 11:30 AM PDT

BATU PAHAT 9 Julai - Kampung Parit Haji Ali, Semarang di sini diumumkan sebagai johan Anugerah Desa Cemerlang peringkat negeri apabila menewaskan 11 kampung lain dalam pertandingan itu.

Kemenangan itu sekali gus mengekalkan Batu Pahat sebagai daerah yang memiliki kampung tercantik dan cemerlang bagi mewakili negeri ke pertandingan peringkat kebangsaan sejak tiga tahun lalu.

Dengan pengumuman itu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit Haji Ali layak menerima wang tunai sebanyak RM8,000 berserta sijil.

Naib johan iaitu Kampung Parit Mastar, Benut, Pontian memperoleh RM6,000 dan Kampung Sri Gunung Pulai, Kulaijaya mendapat RM4,000 sebagai pemenang tempat ketiga.

Pengerusi JKKK Kampung Parit Haji Ali, Jemiran Muharam berkata, kemenangan tersebut merupakan kejayaan bagi setiap penduduk kampung yang sepakat mengindahkan kampung mereka sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, jika tahun lalu kampung tersebut hanya muncul naib johan Anugerah Desa Cemerlang peringkat daerah, namun hasil usaha penduduk yang tidak pernah mengenal penat lelah, mereka berjaya menjulang kejayaan lebih besar kali ini.

"Kemenangan ini adalah hasil usaha semua penduduk, bermula dengan mengindahkan kampung sehinggalah kerjasama dalam menjaga fasiliti yang ada. Dengan usaha tanpa henti ini, akhirnya kami mewakili negeri ke peringkat kebangsaan pada tahun ini.

"Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada pihak lain yang menyokong seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang, Datuk Samsolbari Jamali, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Pegawai Daerah Batu Pahat, Ab. Wahab Ridwan," katanya di sini semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Asiah Md. Ariff berkata, pertandingan anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu pada dasarnya ingin memupuk perhubungan dan keakraban dalam kalangan penduduk kampung.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


50,000 naskah al-Quran diserah kepada Palestin

Posted: 10 Jul 2013 02:38 AM PDT

PUTRAJAYA 10 Julai - Sebanyak 50,000 naskah Al-Quran akan diserahkan ke institusi pendidikan dan masjid-masjid di dua daerah di Palestin iaitu Baitulmaqdis dan Gaza untuk kegunaan penduduk di sana.

Sumbangan oleh Wakaf Al-Qur'an, Yayasan Restu akan diserahkan kepada kedua-dua daerah itu selepas hari raya Aidilfitri, kata Pengerusi Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa.

Katanya, Al-Quran tersebut kini dalam proses percetakan dan dijangka akan siap dalam bulan Ramadan ini di mana 5,000 telah siap dicetak.

"Sekurang-kurangnya RM4 juta diperlukan untuk menyiapkan 50,000 naskah Al-Quran... dan sehingga kini kita telah mendapat RM250,000 sumbangan dari orang ramai," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Wakaf Al-Quran sempena Ramadan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di sini hari ini.

Program Wakaf Al-Quran adalah usaha mentafsir al-Quran dalam bahasa tempatan negara asing yang dilakukan secara bersama Kementerian Dalam Negeri; Angkatan Tentera Malaysia, Bahagian Agama dan Kaunseling; Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia serta Yayasan Restu.

Katanya, selain sumbangan Al-Quran, yayasan juga akan mengutip dana bagi tujuan pembangunan institusi pendidikan di dua buah daerah tersebut dengan harapan anak muda di situ tidak akan meninggalkan kampung halaman untuk melanjutkan pelajaran.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berharap program tersebut akan sentiasa diteruskan.

"Orang ramai digalakkan menderma walaupun RM1, kita patut membantu mereka kerana di sana kekurangan kitab suci tersebut berbanding negara kita," katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan dana boleh berbuat demikian melalui SMS dengan menaip jumlah sumbangan dan hantar ke 32728, atau sumbangan secara tunai di Kompleks Taman Seni Islam Selangor, Shah Alam; Restu Gallery, PWTC; serta Nasyrul Quran @Masjid At-Taqwa, Pulau Pinang.

Sumbangan juga boleh dilakukan secara online di laman web www.mushrafpalestin.com atau secara deposit terus ke akaun Bank Islam (M) Sdn Bhd atas nama Yayasan Restu Wakaf di nombor akaun 140320100-21452. - BERNAMA

Pemandu desak perubahan radikal perangi rasuah

Posted: 10 Jul 2013 02:02 AM PDT

PUTRAJAYA 10 Julai - Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Jabatan Perdana Menteri akan mendesak ke arah perubahan lebih radikal dalam usaha memerangi rasuah di Malaysia di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Membanteras Rasuah.

Pengarah NKRA Anti Rasuah Pemandu, Ravindran Devagunam berkata, Pemandu mengakui keputusan 2013 Global Corruption Barometer (GCB) yang dikeluarkan oleh Transparency International dan menjadikannya sebagai dorongan untuk terus mendesak ke arah lebih banyak pembaharuan.

"Tinjauan umum itu jelas menunjukkan masih banyak yang kita perlu lakukan. Kita perlu menggandakan usaha dan terus mendesak ke arah penambahbaikan merangkumi bidang sosial, politik dan perniagaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tinjauan umum GCB yang dijalankan di lebih 100 negara mendapati lebih separuh penduduk yang ditinjau di seluruh dunia percaya kegiatan rasuah semakin buruk sejak dua tahun lepas.

Sampel kaji selidik di setiap negara melibatkan kira-kira 1,000 penduduk dan menyimpulkan pengagregatan data dengan gender, pendapatan, kumpulan umur, penduduk bandar atau luar bandar. - BERNAMA

5,337 calon terpilih pelajar baharu USM

Posted: 10 Jul 2013 01:47 AM PDT

GEORGE TOWN 10 Julai - Sebanyak 5,337 pelajar terpilih akan mendaftar sebagai pelajar baharu Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1 September ini bagi mengikuti kursus ijazah sarjana muda.

Naib Canselor USM, Prof. Datuk Omar Osman berkata, daripada jumlah pelajar itu, sebanyak 3,790 pelajar akan mendaftar di kampus induk Pulau Pinang, kampus kejuruteraan Nibong Tebal (988) dan selebihnya di kampus kesihatan Kubang Kerian, Kelantan.

Beliau berkata, pelajar boleh menyemak status permohonan mereka mulai 12 tengah hari esok dan mereka yang berjaya diminta membuat pengesahan penerimaan tawaran sebelum 21 Julai.

"Kegagalan membuat pengesahan penerimaan tawaran akan menyebabkan tawaran kepada mereka terbatal secara automatik," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Omar berkata, bagi pelajar yang gagal mendapat tawaran, mereka boleh membuat rayuan menerusi http://pohon.usm.my pada 21 Julai dan keputusan rayuan akan dimumumkan pada 5 Ogos.

Katanya, bagi sidang akademik 2013 ini, USM menerima 20,320 permohonan daripada lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, Matrikulasi, Diploma, A-level berbanding 14,222 permohonan bagi sidang akademik tahun lepas. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Ayam murah di pasar tani

Posted: 09 Jul 2013 11:30 AM PDT

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

PERMATANG PAUH 9 Julai - Orang ramai disaran mendapatkan bekalan ayam dan sayur-sayuran untuk Ramadan di pasar tani anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi memperoleh harga yang lebih murah.

Pengarah FAMA Pulau Pinang, Habibah Sulaiman berkata, melalui Program Jimat Belanja Dapur di empat buah pasar tani mega di negeri itu, orang ramai boleh membeli ayam dengan harga 70 sen lebih murah daripada harga di pasar-pasar awam.

Menurutnya, bagi jualan sayur pula harga yang ditawarkan ialah 10 hingga 15 peratus lebih murah daripada harga di pasaran kerana FAMA menggalakkan penanam sayur menjual sendiri hasil keluaran mereka.

"Isu harga ayam yang melambung tinggi malah mencecah sehingga RM9.50 sekilogram sedikit sebanyak membebankan pengguna, jadi FAMA tawarkan harga ayam lebih murah di pasar tani di seluruh negara.

"Di Pulau Pinang terdapat empat pasar tani yang menyertai program itu iaitu Pasar Tani Balik Pulau, Masjid Bandar Baharu Air Itam, Tasek Gelugor dan Pokok Sena," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Menurut Habibah, pengurangan harga itu adalah langkah kerajaan untuk membantu pembeli bagi mengurangkan kos sara hidup yang sekali gus membuktikan kerajaan sentiasa membantu rakyat dalam semua aspek.

Selain ayam dan sayur-sayuran, jualan buah-buahan dengan harga yang murah juga diadakan di pasar tani.

Dalam pada itu, Habibah memaklumkan sehingga kini terdapat 15 buah pasar tani di seluruh negeri Pulau Pinang dengan penglibatan hampir 500 peserta.

Selain itu nilai jualan yang dicatatkan pada Januari tahun ini sahaja mencecah RM684,300 dan pada penghujung tahun lalu, jualannya meningkat sehingga RM19.9 juta di seluruh negeri.

BSN Pulau Pinang serah sumbangan van jenazah

Posted: 09 Jul 2013 11:30 AM PDT

REEZAL Merican Naina Merican (kiri) ditemani Mohd. Khairil Mohd. Noor (dua kanan) dan Razak Awang melihat van jenazah di pekarangan Masjid Jamek Pongsu Seribu, Kepala Batas, Pulau Pinang, malam kelmarin.

KEPALA BATAS 9 Julai - Bank Simpanan Nasional (BSN) Pulau Pinang menyerahkan sumbangan zakat berbentuk sebuah van jenazah kepada Masjid Jamek Pongsu Seribu di sini malam semalam, bagi memudahkan urusan pengkebumian penduduk di sekitar kariah berkenaan.

Van jenis Toyota Hiace bernilai lebih RM100,000 itu diserahkan Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Reezal Merican Naina Merican kepada pengerusi masjid tersebut, Razak Awang.

Yang hadir sama, Pengurus BSN negeri, Mohd Khairil Mohd. Noor dan jemaah masjid serta ahli kariah berkenaan.

Van tersebut diubah suai bagi memudahkan orang ramai menggunakannya dan turut dilengkapi keranda.

Menurut Reezal Merican, van tersebut merupakan salah satu tanggungjawab sosial BSN kepada masyarakat yang telah banyak memberi sokongan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada BSN kerana memilih masjid ini yang terletak dalam Parlimen saya untuk menerima sumbangan yang saya rasa cukup berharga kepada penduduk di sini.

"Diharap sumbangan ini akan memudahkan lagi pengurusan jenazah dan dapat dimanfaatkan penduduk setempat," katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Tambah beliau, van tersebut juga boleh digunakan mana-mana pihak di luar kariah yang memerlukan kemudahan itu menerusi kebenaran jawatankuasa masjid.

Ketengahkan golongan muda di masjid - Ustaz Kazim

Posted: 09 Jul 2013 11:30 AM PDT

USTAZ KAZIM

ALOR SETAR 9 Julai - Penceramah bebas, Muhammad Kazim Elias menyarankan agar pengurusan masjid dan surau mengetengahkan golongan muda dalam aktiviti mengimarahkan institusi itu sepanjang Ramadan.

Beliau yang popular dengan panggilan Ustaz Kazim berkata, langkah itu penting sebagai melatih generasi baharu sebagai penggerak utama masjid untuk masa depan selain menarik golongan tersebut ke masjid.

"Kalau dapat imam muda lebih bagus atau kita gilirkan hari ini imam muda, esok imam lama sebagai imam berjemaah.

"Orang muda yang minat menyanyi lagu rock itu sedap suaranya maka kita ajak dia selawat selepas setiap solat tarawih, kita bimbing dan tarik mereka," katanya ketika menyampaikan ceramah Ihya Ramadan di pekarangan Menara Alor Setar di sini malam tadi.

Ceramah dengan penyampaian bersahaja dan menarik oleh Ustaz Kazim itu dihadiri kira-kira 2,000 orang ramai termasuk Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Tenaga Manusia negeri, Mohd. Rawi Abdul Hamid.

Ustaz Kazim berkata, terdapat solat tarawih yang diimamkan oleh imam terlalu 'veteran' sehingga bacaan kurang jelas dan mengakibatkan jemaah beralih ke masjid lain.

Beliau berkata, umat Islam diseru merebut peluang kedatangan Ramadan dengan memperbanyakkan amal ibadat serta meningkatkan ketakwaan kepada Allah.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Ramadan bawa keceriaan

Posted: 09 Jul 2013 11:30 AM PDT

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI
utusanmelaka@utusan.com.my

SURAU baharu Taman Asia Selatan, Bemban, Melaka membolehkan penduduk bersolat berjemaah dan mengadakan majlis keramaian dan pelbagai program keagamaan dengan lebih selesa.

MELAKA 9 Julai - Kedatangan Ramadan tahun ini memberi lebih keceriaan kepada kira-kira 150 penduduk Taman Asia Selatan, Bemban apabila penantian mereka untuk mendapatkan surau akhirnya tercapai.

Pengerusi Taman Asia Selatan, Hamdan Dollah berkata, dengan kewujudan surau baharu dibina dengan peruntukan sebanyak RM130,600 yang diluluskan kerajaan negeri itu membolehkan mereka menjalankan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.

Menurutnya, sebelum ini penduduk di taman berkenaan terpaksa pergi ke surau dan masjid kawasan berhampiran di Kampung Ayer Merbau bagi menunaikan solat berjemaah yang terletak kira-kira satu kilometer dari taman perumahan tersebut.

"Selain memberikan keselesaan dan kemudahan bersolat dengan terbinanya surau ini membolehkan penduduk bersolat berjemaah bersama-sama selain mengadakan majlis keramaian dan pelbagai program keagamaan di sini.

"Kami berterima kasih kepada pihak kerajaan atas bantuan yang diberikan dan kemudahan ini secara tidak langsung merapatkan ukhuwah yang sedia terjalin sesama Islam melalui aktiviti yang dilaksanakan di surau ini," katanya ketika ditemui dalam Majlis Penyerahan Kunci Surau Taman Asia Selatan, di sini baru-baru ini.

Penyerahan kunci surau tersebut telah disempurnakan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Murad Husin yang turut dihadiri wakil Pejabat Agama Islam Daerah Jasin, Ustaz Abd. Razak Abd. Rahman.

Sementara itu, Murad dalam ucapannya meminta penduduk di taman perumahan berkenaan supaya dapat menggunakan surau itu sebaik mungkin untuk tujuan beribadat dan mengimarahkan lagi dengan aktiviti Islam.

"Lebih-lebih lagi kedatangan Ramadan, gunakanlah surau ini untuk melaksanakan sembahyang terawih, bertadarus dan sebagainya bagi menambah amalan ibadah di bulan penuh kemuliaan," katanya.

Katanya, pihak ahli jawatankuasa surau turut disarankan untuk menjalankan pelbagai aktiviti bagi menjadikan surau berkenaan sebagai tempat untuk mencari ilmu agama dan kegiatan bermanfaat kepada ahli kariah.

Program masak bubur lambuk terpanjang 18 Julai ini

Posted: 09 Jul 2013 11:30 AM PDT

MELAKA 9 Julai - Kerajaan negeri dan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) negeri Melaka akan mengadakan program memasak bubur lambuk terpanjang pada 18 Julai ini di Melaka Mall.

Timbalan Pengerusi Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-Pulau, Datuk Ghazale Muhamad berkata, sebanyak 20,000 bungkus bubur lambuk akan diedarkan kepada orang ramai sekitar negeri ini termasuk di rumah kebajikan.

"Program ini juga mendapat kerjasama daripada persatuan pengusaha hotel negeri dan beberapa agensi sambil kita berharap mereka yang berminat dengan program ini untuk turut serta.

"Selain itu, kita berhasrat menjadikan program ini tersenarai dalam Malaysia Book of Record (MBR) di samping menyediakan bungkusan bubur lambuk terbanyak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Program pengagihan bubur lambuk oleh Philea Resort & Hotel di jalan Tol Lebuhraya Ayer Keroh di sini semalam.

Turut hadir Pengurus Besar BPP, Abdul Kadir Md. Idris dan Pengarah Kewangan Resort, Lim Beng Weh serta Pengarah Komunikasi dan Pemasarannya, Connie Chin.

Dalam program sempena meraikan kedatangan Ramadan itu, sebanyak 7,000 bungkus bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai termasuk pengguna jalan raya.

Sementara itu, Beng Weh berkata, program itu merupakan kali keempat dianjurkan oleh Philea sebagai memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) selain menghargai dan mendekati komuniti di negeri ini.

"Penyediaan kesemua bubur lambuk ini bermula pada pukul 2.30 petang yang diketuai oleh Chef Azmi Desa dengan melibatkan bahan -bahan seperti 250 kilogram (kg) beras, 40 kg ayam dan daging dan lain-lain," katanya.

Tambahnya, sebanyak 200 bungkus diedarkan disetiap rumah kebajikan anak yatim iaitu Kompleks Rumah Anak Yatim Fatimah Al Zaharah (KAYFAZ) dan Lembaga Pengurusan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin (PAYASUM).

209 warga USIM terima AKI

Posted: 09 Jul 2013 11:30 AM PDT

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my

Asma Ismail (depan, empat dari kiri) dan Abdul Shukor Husin (depan, lima dari kiri) bersama sebahagian penerima Anugerah Kecemerlangan dan Inovasi (AKI) USIM 2012 di Sepang, Selangor, baru-baru ini.

SEREMBAN 9 Julai - Seramai 209 kakitangan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima anugerah dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Inovasi (AKI) USIM 2012, dekat sini baru-baru.

Pengerusi Lembaga Pengarah universiti, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata, anugerah itu sebagai mengiktiraf sumbangan kakitangan akademik, pengurusan termasuk sokongan yang telah memberikan perkhidmatan cemerlang kepada universiti sepanjang tahun lalu.

Menurutnya, pengiktirafan itu selaras dengan dasar transformasi negara ke arah membudaya tenaga kerja berprestasi tinggi dan berinovasi.

"Kakitangan akademik, pengurusan serta sokongan telah banyak menabur jasa terhadap pembangunan universiti ini. Justeru saya mencadangkan jumlah penerima dan ganjaran yang diberikan ini ditambah lagi pada masa hadapan.

"Malah imej, persepsi dan harapan masyarakat terhadap USIM sudah melonjak setiap tahun. Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab warganya untuk sentiasa berusaha memenuhi harapan ini," katanya ketika berucap pada majlis anugerah tersebut, baru-baru ini.

Dalam majlis tersebut sebanyak 15 anugerah diberikan antaranya Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (108 penerima), Anugerah Terpuji (67), Anugerah Pengajar Cemerlang (9) dan Anugerah Penerbitan (9).

Anugerah lain termasuk Anugerah Penyelidikan (4), Anugerah Staf Contoh Tahunan (4), Anugerah Pentadbir Cemerlang (1), Anugerah Khidmat Masyarakat (1), Anugerah Inovasi dan Rekacipta (3) dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Istimewa (3).

Dalam pada itu, Fakulti Sains dan Teknologi (FST) serta Jabatan Perpustakaan mengungguli Anugerah Kualiti Naib Canselor pada AKI 2012.

Sementara itu, Timbalan Dekan FST, Prof. Madya Dr. Norita Md. Norwawi dipilih sebagai Tokoh Hasanul Mudir 2012.

Kesemua penerima menerima hadiah dalam bentuk wang tunai, sijil simpanan premium dan sijil penghargaan.

Turut hadir Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail dan bekas Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Muhamad Muda yang turut menerima Anugerah Sumbangsih.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Jangan ambil mudah PRK

Posted: 09 Jul 2013 11:30 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kesihatan 18,000 belia terancam

Posted: 09 Jul 2013 11:30 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Tengku Zaihan calon muda pilihan BN di Kuala Besut

Posted: 09 Jul 2013 11:30 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved