Jumaat, 28 Jun 2013

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Tidak serik disaman!

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Penguat kuasa DBKL memeriksa dapur sebuah restoran yang kotor dan berselerak dalam operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL di Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/FARID JANUDIN

KUALA LUMPUR 27 Jun - Bukan tidak pernah dikenakan tindakan, malah telah berkali-kali beberapa kedai makan di sekitar Lebuh Pudu dan Jalan Tun Tan Swee Sin dekat sini dikompaun oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) namun nampaknya pengusahanya memang jenis 'tak makan saman'.

Hari ini kedai-kedai yang diusahakan oleh warga asing dari Myanmar dan sebuah kedai India yang tidak dapat dipastikan kewarganegaraannya itu diserbu buat ke sekian kalinya, sehingga membawa kepada penutupan premis itu selama dua minggu kerana kotor.

Dalam operasi yang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL itu, enam premis diarahkan tutup, termasuk sebuah tidak memiliki lesen. Sebuah lagi dikenakan kompaun kerana lantainya kotor.

Ketika serbuan dijalankan, keadaan dapur di premis terbabit didapati tidak diuruskan dengan baik. Selain itu, longkang kedai itu turut tersumbat dengan sisa makanan.

Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Dr. Hayati Abdullah berkata, kedai-kedai itu diarahkan tutup selama 14 hari kerana kotor, Selepas tempoh itu tamat, pihaknya akan memeriksa semula premis itu dan hanya akan dibenarkan beroperasi semula selepas memenuhi standard kebersihan yang ditetapkan oleh DBKL.

"Dalam operasi hari ini, didapati banyak lipas, najis tikus dan lantai yang kotor di dapur premis berkenaan," katanya selepas mengetuai 20 anggota penguat kuasa melaksanakan Operasi Penutupan Premis Makanan Kotor di sini hari ini.

"Bagi notis penutupan akan diletakkan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 iaitu tutup selama 14 hari, mereka perlu membersihkan premis sehingga kami berpuas hati dan daripada segi lesen perlu dirujuk ke Bahagian Perlesenan DBKL.

"Untuk notis penutupan mengikut tindakan UUK21B Undang-Undang Kecil Perlesenan Establisymen Makanan WPKL 1985, tiada tempoh dikenakan iaitu mereka perlu membersihkan premis sehingga kami berpuas hati sebelum dibenarkan beroperasi semula," katanya.

Menurut beliau, sepanjang tahun ini, sebanyak 1,878 pemeriksaan telah dibuat dan 68 premis diarah tutup.

Menurut Hayati, pihaknya kini sedang memberi tumpuan terhadap aspek kebersihan termasuk pengendalian makanan, stor simpanan makanan, lantai, peralatan dapur dan lain-lain ketika pemantauan dijalankan.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa tindakan penguatkuasaan secara berterusan yang dilaksanakan oleh DBKL menyaksikan terdapat peningkatan ketara, kira-kira 80 peratus dari segi kebersihan kedai makan berbanding tahun lalu.

"Pemilik premis mengambil usaha untuk meningkatkan taraf kebersihan daripada segi struktur selepas dikenakan kompaun sebelum ini.

"Kami turut mencadangkan kepada pemilik kedai makan 24 jam ditutup selama satu jam bagi kerja-kerja pembersihan demi memastikan keselesaan dan kesihatan pengunjung diutamakan," jelasnya.

Perlu pengesahan bersih sebelum baharukan lesen

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Dr. HAYATI Abdullah menampal notis makluman penutupan premis di salah sebuah restoran yang diperiksa oleh penguat kuasa DBKL, semalam.

KUALA LUMPUR 27 Jun - Bermula tahun hadapan, semua pemilik premis makanan yang ingin memperbaharui lesen perlu mendapatkan surat pengesahan daripada Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terlebih dahulu.

Pengarahnya, Dr. Hayati Abdullah berkata, pihaknya juga akan melaksanakan tindakan pemantauan terhadap tahap kebersihan premis makanan tiga bulan sebelum tarikh lesen tamat tempoh untuk diperbaharui.

"Surat pengesahan itu bertujuan sebagai tanda sokongan untuk lesen yang ingin diperbaharui. Pemeriksaan kebersihan meliputi daripada segi penyediaan makanan, dapur, lantai, tandas dan sebagainya.

"Jika premis didapati menetapi syarat kebersihan yang ditetapkan, maka pengusahanya tidak mempunyai masalah untuk memperbaharui lesen perniagaan mereka," katanya.

Katanya, pihaknya juga menetapkan sasaran menjelang 2020 semua premis makanan di ibu kota dapat mencapai tahap kebersihan tertinggi dan mengekalkan standard tersebut.

"Kami menetapkan kategori untuk premis makanan iaitu kategori A, B dan C. Statistik untuk dua tahun lalu hingga sekarang menunjukkan sebanyak 61 hingga 80 peratus berada dalam kategori B iaitu premis yang dalam keadaan kotor manakala untuk C adalah paling teruk," katanya.

Mengikut statistik jabatan itu, sebanyak 4,405 premis makanan berada dalam kategori A manakala 1,093 berada dalam kategori B, sementara tiada kedai makan di dalam kategori C sejak 2011.

Syabas tunggu JMB bayar bil

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 27 Jun - Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) sehingga kini masih belum menerima sebarang pembayaran bagi bil tertunggak atau maklum balas daripada pihak badan pengurusan bersama (JMB) Pangsapuri Kekwa di Taman Putra Perdana, Puchong seperti mana yang dipersetujui.

Ini menyebabkan bekalan air ke pangsapuri itu terpaksa dipotong.

Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata, akaun bekalan air di pangsapuri tersebut tertunggak selama lima bulan dengan jumlah tunggakan sehingga 20 Jun lalu berjumlah sebanyak RM48,890.75.

"Pemotongan dilakukan berikutan kegagalan pihak JMB menjelaskan ansuran bil semasa mengikut tarikh yang ditetapkan. Syabas meluluskan pembayaran untuk penyelesaian tunggakan secara penjadualan semula.

"Ansuran 20 bulan bermula November lalu tidak dilaksanakan. Hasil perbincangan dengan pihak JMB dan Syabas, penyambungan semula hanya dapat dilakukan sekiranya pembayaran sebanyak RM20,000 dibuat," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai kesukaran yang dihadapi penghuni pangsapuri tersebut akibat ketiadaan bekalan air sejak Sabtu lalu disebabkan pemotongan bekalan air oleh pihak Syabas ekoran bil yang tertunggak.

Menurut Priscilla, pihak JMB ada membuat pembayaran tetapi hanya sebanyak RM5,000 sahaja pada Selasa lalu.

"Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd. Sharif telah berbincang dengan Syabas untuk bakinya dibayar selewat-lewatnya pada bulan hadapan dan kami menerima cadangan itu," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Tubuh akademi asah bakat muda

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
editor.johor@utusan.com.my

Sheikh Khalid Sheikh Omar (kanan) melihat pemainnya berlatih mengawal bola dan membuat hantaran kepada rakan semasa sesi latihan di Batu Pahat, baru-baru ini.

BATU PAHAT 27 Jun - Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Peribahasa Melayu itu bermaksud jika mendidik anak biarlah sedari mereka kecil lagi kerana mudah diajar dan dibentuk.

Berpegang pada pepatah itu dan semangat kesukanan yang tinggi serta ingin menaikkan martabat sukan bola sepak di daerah ini, seorang ahli perniagaan dan rakan-rakannya mewujudkan sebuah akademi bola sepak secara tidak rasmi.

Dikenali sebagai Footwork Skills, akademi itu ditubuhkan pada awal tahun lalu oleh Norisham Abdullah dengan menjadikan padang berhampiran Dataran Penggaram sebagai lokasi pemilihan dan latihan setelah niat murni mereka direstui Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP).

Bermula dengan pengambilan pemain di bawah umur 12 tahun, lebih 80 kanak-kanak lelaki diberi pendedahan dan diasah bakat mereka dan kini selepas berusia setahun, akademi itu berjaya membentuk sebuah pasukan terdiri daripada murid di bawah 12 tahun.

Norisham yang juga Penasihat Footwork Skills berkata, bagi meneruskan kesinambungan pemain yang menjangkau usia 13 tahun, pihaknya perlu mewujudkan pasukan bawah 14 tahun pada tahun ini.

Bercerita lebih lanjut beliau memberitahu, akademi bola sepak tunggal yang wujud di daerah tersebut tidak dikendalikan beliau seorang tetapi mendapat sokongan rakan-rakan yang berpengetahuan tinggi dalam sukan bola sepak iaitu Khairul Zaman (seorang guru) dan Sheikh Khalid Sheikh Omar.

"Dalam memastikan kelab atau akademi ini terus wujud dan relevan, kami bekerjasama mencari dana selain mengajar, memberi pendedahan dan mencungkil bakat kanak-kanak di sini.

"Walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran iaitu dengan tidak mengenakan yuran terhadap pemain, tetapi setakat ini Footwork Skills masih mampu bergerak dengan sokongan dan bantuan pihak yang menyalurkan sumbangan dan tajaan," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurutnya, akademi itu ditubuhkan bukan untuk mengaut keuntungan, sebaliknya ingin melahirkan pemain bola sepak yang mampu mencurah bakti kepada negara suatu hari nanti.

Norisham berkata, selain mencungkil bakat dengan membawa kanak-kanak mengenali bola sepak dengan lebih dekat, fokus penting pihaknya adalah mendisiplinkan pemain, mewujudkan sikap patriotisme dan semangat berpasukan.

"Saya tidak nafikan bahawa dalam setiap akademi, pemain akan didedahkan dengan kemahiran, cara permainan, mengawal bola, stamina dan peraturan bersukan selain menjadikan mereka seorang pemain bola sepak sebenar.

"Tetapi di sebalik semua itu, tiga pembentukan yang akan membawa kejayaan kepada kanak-kanak ini dalam semua bidang termasuk pembelajarannya ialah disiplin diri, patriotisme dan semangat berpasukan atau saling membantu," katanya.

Berikutan itu, ibu bapa dinasihatkan tidak khuatir untuk menghantar anak-anak menyertai akademi bola sepak di mana-mana sahaja kerana ia adalah asas pembentukan disiplin dan hala tuju masa depan.

Selain itu, pembentukan pemain melalui akademi bola sepak merupakan satu anjakan paradigma terhadap sukan itu khususnya di daerah ini yang jauh dari bandar.

Norisham berkata, kedua-dua pasukan yang ditubuhkan dengan diperkuat oleh anak jati Batu Pahat akan didedahkan melalui cabaran Liga 1MCC yang diadakan setiap tahun di Sungai Buloh, Selangor selain perlawanan persahabatan.

"Pada tahun lalu, Footwork Skills telah mengambil bahagian dalam cabaran 1MCC, namun berdepan dengan pasukan mantap dari akademi sekitar Lembah Klang yang dilatih sejak bertahun lalu.

"Bagaimanapun, kekuatan lawan tidak boleh dijadikan halangan berterusan kerana pasukan yang muncul juara juga bertukar setiap tahun dan ia membuktikan pasukan lain mampu tampil sebagai juara atau naib juara," katanya.

Bagaimanapun, pihaknya menyeru masyarakat di daerah ini supaya bersama membantu menyerlahkan bakat anak-anak mereka dalam sukan bola sepak seiring dengan penampilan bergaya pasukan Johor Darul Takzim ketika ini.

"Untuk menjayakan akademi ini, cukuplah jika keluarga yang menghantar anak mereka mampu memberikan sumbangan bagi menyalurkan elaun kepada jurulatih selain membolehkan pasukan mengikuti lebih banyak liga, pertandingan dan perlawanan persahabatan.

"Ia bukan tugas yang berat kepada ibu bapa, sebaliknya bakat yang ada pada kanak-kanak itu akan memberikan kepuasan terhadap penjaganya jika ia dapat diserlahkan ke peringkat lebih tinggi," katanya.

MDS rampas barangan peniaga

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Oleh MOHAMED SAARI
pengarang@utusan.com.my

Anggota penguat kuasa Majlis Daerah Segamat memunggah barangan yang dirampas ketika operasi di Pasar Awam Segamat, kelmarin.

SEGAMAT 27 Jun - Majlis Daerah Segamat (MDS) mengeluarkan 12 saman dan merampas sayur-sayuran milik para peniaga dalam operasi bersepadu di sekitar Pasar Awam Segamat semalam.

Setiausaha MDS, Fadhly Suffian Laili berkata, operasi yang disertai 20 pegawai dan anggota dari beberapa jabatan di bawah MDS bertujuan mengambil tindakan terhadap peniaga yang melanggar undang-undang kecil MDS.

"Operasi ini merupakan operasi menyeluruh. Kami akan angkut barang-barang peniaga di sini yang diletakkan di kaki lima seperti bakul dan tong ikan kerana menghalang laluan pelanggan selain mengeluarkan saman kenderaan disebabkan pelbagai kesalahan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurutnya, MDS sebelum ini telah memberi amaran kepada peniaga di pasar awam berkenaan supaya mematuhi arahan dan peraturan yang ditetapkan, namun masih ramai yang tidak mengendahkannya.

Malah ada segelintir peniaga yang berniaga secara haram dan meletakkan barang perniagaan di tempat yang tidak dibenarkan seperti di atas suis elektrik utama pasar awam tersebut.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dilakukan peniaga adalah menghalang suis kerana dikhuatiri boleh mendatangkan bahaya seperti litar pintas dan kebakaran dan ia akan merumitkan pihak keselamatan jika berlaku kejadian tidak diingini.

Selain itu, MDS turut menerima rungutan daripada pekerja SWM Environment Sdn. Bhd. yang mengalami kesukaran untuk membasuh dan membersihkan pasar awam berkenaan kerana terhalang oleh barangan perniagaan peniaga.

Menurutnya, peniaga yang mahukan kembali barangan jualan mereka hendaklah membayar sejumlah denda kepada MDS sebagai pengajaran.

Dalam masa sama, MDS turut mengeluarkan saman kenderaan di sekitar pasar awam tersebut kerana terdapat pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan seperti tidak mempamerkan kupon letak kenderaan, meletakkan kenderaan di kawasan larangan, mengganggu lalu lintas dan meletakkan kenderaan di lorong belakang.

"Kami akan melakukan operasi seperti ini secara berterusan kerana masih ramai pemandu yang meletakkan kenderaan mereka secara sesuka hati dan mengganggu lalu lintas.

"Pada masa sama, kita mengharapkan masyarakat khususnya pengunjung pasar awam ini supaya lebih berdisiplin dan meletakkan kenderaan mengikut petak yang disediakan sebagai alternatif mengelak daripada disaman," katanya.

Kesemua barangan yang dirampas seperti sayur akan disimpan selama dua hari di dalam setor MDS. Jika dalam tempoh tersebut sayur tersebut tidak dituntut, pihak MDS akan melupuskannya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Wartawan Utusan protes tidak dibenar buat liputan

Posted: 28 Jun 2013 03:09 AM PDT

WARTAWAN Utusan biro Pulau Pinang, Firdaus Ismail membuat bantahan secara bersendirian selepas dihalang membuat liputan Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di Georgetown hari ini. - UTUSAN

GEORGETOWN 28 Jun - Wartawan Utusan Malaysia tidak dibenar membuat liputan berita majlis angkat sumpah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang di sini hari ini.

Kejadian itu berlaku kira-kira 9.30 pagi apabila wartawan berkenaan Mohd Firdaus Ismail memohon pas lawatan untuk masuk ke perkarangan DUN.

Firdaus berkata pengawal keselamatan enggan memberikan pas lawatan masuk ke DUN dan memberitahunya ia adalah atas arahan pihak atasan.

"Pengawal DUN tersebut telah memberitahu saya bahawa wartawan Utusan tidak dibenarkan masuk ke DUN untuk membuat liputan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau yang tidak berpuas hati dengan perkara itu kemudiannya membuat protes secara berseorangan dengan memegang kad bertulis Ketelusan telah mati di sini" dan berlegar-legar di hadapan pintu pagar bangunan DUN.

Katanya, beliau berbuat demikian sebagai meluahkan kekecewaan terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang sebelum ini sering melaung-laungkan kebebasan akhbar.

Firdaus berkata sebelum ini, wartawan Utusan juga pernah dilarang membuat liputan persidangan DUN selepas satu usul larangan tersebut dibentangkan dan dipersetujui.

"Tetapi, kini telah masuk penggal baharu untuk persidangan DUN, mereka seharusnya membentangkan usul baharu dan usul yang lama telah tamat tempoh," katanya.

Speaker DUN yang baharu Law Choo Kiang ketika diminta mengulas perkara itu berkata kejadian itu berlaku akibat kesilapan pengawal keselamatan bangunan DUN yang telah menguna pakai arahan lama.

"Saya ingin menjelaskan bahawa kejadian itu berlaku atas kesilapan teknikal pengawal DUN dan saya berjanji perkara sedemikian tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan," katanya.

Katanya, beliau akan menjemput wartawan tersebut untuk membuat liputan persidangan DUN Selasa depan. - BERNAMA

Jawatankuasa Fatwa Perlis haramkan shisha

Posted: 28 Jun 2013 02:53 AM PDT

KANGAR 28 Jun - Jawatankuasa Fatwa Perlis mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha kerana mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk berbanding merokok.

Mufti Perlis Datuk Mursyid Diraja Dr Juanda Jaya berkata mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-11/2013 pada 24 Jun lepas membuat keputusan itu dan surat akan dihantar kepada kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) berhubung perkara itu.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berharap MPK dapat menghalang kegiatan penjualan shisha demi kepentingan masyarakat.

Dr Juanda berkata amalan menghisap shisha bukan sahaja membuang masa tapi memudaratkan kesihatan terutama bagi golongan belia dan remaja.

Menurutnya, langkah pengharaman itu dilaksanakan kerajaan negeri Melaka sejak 2009 dan Perlis juga menuruti jejak negeri itu kerana kegiatan itu didapati membawa kemudaratan yang besar.

Dr Juanda turut menyelar pihak yang memperdagangkan amalan tahlil arwah dan khatam al-Quran untuk mengaut keuntungan peribadi terutama menjelang Ramadan.

Menurutnya, ada pihak yang cuba mengutip wang kononnya untuk dana tertentu dengan menganjurkan majlis tahlil dan khatam al-Quran dengan memohon sumbangan daripada orang ramai.

Sambil menunjukkan contoh borang penyertaan program tahlil arwah dan khatam al-Quran anjuran sebuah badan tertentu, beliau berharap orang ramai tidak akan terpengaruh.

"Tidak salah bertahlil, berzikir dan khatam al-Quran tetapi bukan meletakkan syarat dengan mengenakan bayaran," katanya.

Beliau berharap pihak berkuasa menyiasat penganjur program seumpama itu dan meneliti ke mana wang yang dikumpulkan itu dibawa. - BERNAMA

Devamany dipilih sebagai Speaker DUN Perak

Posted: 28 Jun 2013 01:02 AM PDT

IPOH 28 Jun - Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S.K Devamany dipilih sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berkuatkuasa hari ini.

Pemilihan Devamany dibuat secara pengundian dengan beliau memperolehi 31 undi berbanding calon pembangkang, V. Sivakumar yang mendapat 28 undi.

Pencalonan Devamany, 56, bagi menggantikan Datuk R. Ganesan dicadangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir manakala pencalonan Sivakumar dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Abu Bakar Hussian. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Jagung 329 Mutiara RM7,000 sebulan

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Oleh Nursuraya Zulkifli
utusanmelaka@utusan.com.my

Nor Azmi Idris (kanan) menerangkan keistimewaan jagung 329 Mutiara kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Rim, Datuk Ghazale Muhamad (dua dari kiri) yang mengunjungi Projek Pertanian Jagung 329 di Kampung Chabau, Melaka, kelmarin.

JASIN 27 Jun - Jagung dalam bahasa saintifiknya zea mays L, merupakan tanaman bijirin daripada keluarga Gramineae yang berasal dari benua Amerika Tengah.

Ia mula diperkenalkan di Malaysia sebagai jagung manis pada awal tahun 1970-an dan kawasan-kawasan pengeluar utama jagung di Semenanjung Malaysia ialah negeri Johor, Kelantan, Pahang dan Perak.

Penanaman jagung hanya dijalankan di tanah yang sesuai dan subur sahaja di antara suhu 30-35°C selain memerlukan 500-700 milimeter (mm) hujan dengan taburan serata sepanjang musim penanaman supaya hasil tongkol yang dikeluarkan adalah bergred tinggi.

Bagi menghasilkan jagung yang berkualiti, penanaman jagung di tanah yang sesuai mestilah berprofil melebihi 50 sentimeter (cm) dan bersaliran baik.

Selain itu, tanah yang diperlukan bagi tanaman ini mempunyai pengudaraan yang baik di samping mengandungi bahan organik melebihi 1.5 peratus.

Di Kampung Chabau di sini, ibarat ungkapan 'berbudi pada tanah sudah tentu mendapat hasilnya' menyaksikan berkat kegigihan seorang anak tempatan di kampung berkenaan mula mendapat hasil apabila memanfaatkan sepenuhnya tanah terbiar yang disewanya bagi membangunkan projek pertanian.

Kawasan tanah itu dilihat berpotensi untuk mengusahakan dan memperkasakan Projek Pertanian Tanaman Jagung 329 Mutiara di samping memberi peluang menjana pendapatan bulanan yang tinggi.

Berbekal minat dan pengalaman yang dimiliki dalam bidang pertanian, seorang petani muda, Nor Azmi Idris, 34, mula mengusahakan tanaman bijirin itu pada awal Januari lalu di atas tanah berkeluasan empat hektar.

Katanya, dia memilih untuk mengusahakan pertanian jagung berikutan tanaman jagung jenis itu mudah dijaga selain mampu mengeluarkan hasil dalam masa yang singkat.

Tanaman jagung yang diusahakannya hanya memerlukan tempoh 65 hari untuk proses menuai dan tanam serta mampu memperoleh pendapatan sehingga RM7,000 sebulan.

Nor Azmi berkata, keistimewaan pada tongkol jagung yang dihasilkan bermutu tinggi selain saiz tongkolnya lebih segar dan enak serta tekstur rasanya yang manis dan lemak semula jadi.

Dibantu tiga orang pekerja, beliau giat menjalankan kerja meracun rumput, menggemburkan tanah dan seterusnya membaja benih berkenaan sehingga memetik tongkol jagung.

Bagi menjamin kualiti jagung di kawasan berkenaan, dia turut menitikberatkan penjagaan tanaman di ladangnya selain memastikan tanaman di situ bebas daripada penggunaan racun perosak.

Dalam tempoh tiga bulan selepas mengusahakan tanaman jagung tersebut, nyata usaha Nor Azmi berbaloi apabila berjaya memperoleh pendapatan lebih RM20,000.

Katanya, jagung yang diusahakan di kawasan itu turut diedarkan bagi jualan ladang kontrak dan jualan runcit untuk dipasarkan di seluruh Melaka ini malah di negeri-negeri yang berdekatan.

Nor Azmi berkata, sebelum menanam jagung dia pernah mengusahakan pisang di kawasan yang sama, namun memandangkan penyakit yang kini menyerang tanaman itu yang sukar dikawal lalu dia membuat keputusan untuk menanam jagung.

"Saya bersyukur kerana mendapat sokongan dan bantuan seperti latihan dan tunjuk ajar daripada Jabatan Pertanian Jasin termasuk pembinaan sistem pengaliran serta beberapa peralatan lain untuk memajukan pengusahaan tanaman ini.

"Sambutan yang diterima juga menggalakkan, selain memberi saya peluang untuk menambah pendapatan ia turut memberi peluang kepada orang lain mendapat pekerjaan di kawasan ini," katanya.

Nor Azmi berkata, dia turut berhasrat untuk memperluaskan lagi kawasan tanaman itu berikutan mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan seiring dengan keadaan semasa yang menggemari jagung selain harga yang ditawarkan adalah berpatutan.

Katanya, dia juga berharap mendapat bantuan dari segi tanah di mana telah memohon untuk mendapatkan tanah rezab kerajaan yang terbiar di Chabau bagi menambahkan lagi kawasan pertanian.

"Di sini kita juga memerlukan traktor bagi memudahkan kerja-kerja pembajakan dan sebagainya memandangkan kawasan tanaman ini yang agak luas, namun setakat ini saya tidak mampu untuk membelinya yang berharga RM100,000," katanya.

Tambahnya, dia berharap agensi kerajaan yang berkaitan akan dapat membantu bagi memperluaskan lagi tanaman yang diusahakan secara komersial itu selain membuka banyak lagi peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan di kampung itu.

5 ahli sindiket gores, menang ditahan

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
utusanmelaka@utusan.com.my

TIGA pegawai Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Negeri menunjukkan kad-kad yang digunakan untuk memperdayakan pelanggan di Melaka, semalam.

MELAKA 27 Jun - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri menahan seramai lima ahli sindiket gores dan menang termasuk seorang wanita di sekitar Pasar Raya Mydin Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini semalam.

Pengarahnya, Muhabir Ibrahim berkata, operasi yang dijalankan oleh empat pegawainya adalah hasil maklumat orang awam dan aduan yang diterima.

"Kita dapati mereka menawarkan hadiah-hadiah lumayan berbentuk wang tunai, kereta, motosikal, pakej pelancongan dan barangan elektrik.

"Nilai keseluruhan hadiah yang ditawarkan oleh sindiket itu kepada mangsa adalah berjumlah RM1.5 juta.

"Bagaimanapun, tiada sebarang maklumat diperoleh mengenai butiran syarikat termasuk nama syarikat daripada mereka yang ditahan," katanya di sini hari ini.

Muhabir berkata, dalam operasi pukul 4 petang itu, kesemua yang ditahan berusia antara 16 hingga 26 tahun dengan seorang daripadanya memegang kad pemastautin tetap (PR).

"Kesemua mereka disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999," katanya.

Menurut Muhabir, modus operandi yang digunakan adalah dengan menawarkan sekeping kad untuk digores kepada mangsa yang mengandungi hadiah lumayan seterusnya mengajak mereka ke pejabat untuk menuntutnya.

"Bagaimanapun untuk mendapatkan hadiah itu, mangsa perlu membayar sejumlah wang tunai yang akhirnya memerangkap mereka kerana terpaksa mengeluarkan wang yang banyak," katanya.

Difahamkan, sepanjang bulan ini Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri menerima sebanyak tujuh aduan melibatkan sindiket gores dan menang dengan jumlah kerugian bernilai RM17,500.

Penguatkuasaan bestari lindungi hak pengguna

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Tun Hairudin Abu Bakar (dua dari kanan) menyampaikan sijil penarafan kepada pemilik premis sambil diperhatikan oleh Pengarah KPDNKK negeri, Mohd. Talal Abu Bakar (kanan) di Terminal One Shopping Centre, Seremban, kelmarin.

SEREMBAN 27 Jun - Program zon perniagaan terpilih penguatkuasaan bestari anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mampu melindungi hak pengguna berteraskan undang-undang yang ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan dan Kepenggunaan negeri, Tun Hairudin Abu Bakar berkata, program itu selari dengan hasrat kerajaan untuk memantau peniaga sekali gus melindungi pengguna dari sebarang penipuan.

Menurutnya, bagi tahun ini tiga lagi pasar raya sekitar negeri ini telah terpilih untuk menyertai program yang dijalankan sejak tahun lalu itu.

''Program yang dijalankan ini bertujuan melatih peniaga menjalankan perniagaan dengan lebih beretika serta mesra pelanggan selain mendapat bimbingan daripada KPDNKK.

''Paling utama, pihak berkuasa akan memantau peniaga terbabit dan sekiranya peniaga masih gagal mematuhi peraturan ditetapkan mereka boleh dikenakan tindakan," katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian kepada media di majlis zon perniagaan terpilih penguatkuasaan bestari peringkat negeri yang diadakan di ruang legar Terminal One Shopping Centre.

Tun Hairudin berkata, dengan adanya program tersebut ia dapat memastikan tindakan undang-undang dapat dijalankan dengan lebih efektif.

''Ini adalah salah satu cara bagi kerajaan membantu pengguna bagi mendapat perkhidmatan yang terbaik dan harga yang berpatutan.

''Bagi menjayakan program ini KPDNKK akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa terhadap peniaga terlibat," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Simpang Empat perlu dinaik taraf

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Jalan raya di Pekan Simpang Empat ini perlu dinaik taraf untuk mengelakkan kesesakan terutama pada waktu jualan pasar sehari atau bazar Ramadan selain merealisasikan usaha MPK menjadikan pekan berkenaan sebagai sebuah Pekan Sejahtera menjelang 2015.

KANGAR 27 Jun - Majlis Perbandaran Kangar (MPK) diminta mewujudkan sebuah tapak baru yang luas di lokasi strategik bagi menempatkan nat atau pekan sehari dan penjaja tepi jalan di Pekan Simpang Empat dekat sini dalam usaha menaik taraf pekan itu supaya lebih kemas dan tersusun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Empat, Nurulhisham Yaakob berkata, dengan adanya tapak baru itu bukan sahaja akan memberi kemudahan kepada peniaga dan penduduk tempatan malah menarik perhatian pelancong luar yang masuk ke Perlis melalui pekan Simpang Empat.

"Saya mencadangkan supaya tanah kosong seluas 2.3 hektar yang terletak bersebelahan Balai Polis Simpang Empat di Jalan Kangar-Alor Setar dijadikan sebagai tapak untuk menempatkan peniaga ini," katanya di sini hari ini.

Nurulhisham berkata, lokasi pekan sehari di Pekan Simpang Empat sekarang yang diadakan pada setiap Selasa sebenarnya sudah tidak sesuai lagi.

Katanya, ini memandangkan sebanyak 500 peniaga memenuhi sepanjang jalan di pekan itu termasuk berhampiran kedai dan juga tepi sungai.

"Kawasan ini juga menjadi sibuk kerana terdapat sekolah dan pusat pengajian," katanya.

Katanya, ini mengakibatkan berlaku kesesakan sehingga menimbulkan masalah kepada pengguna jalan raya.

Selain itu, Nurulhisham berkata, penjaja di tepi jalan yang semakin bertambah itu juga menimbulkan pemandangan tidak menarik.

Beliau juga meminta MPK tidak mengubah lokasi asal tapak pasar Ramadan di Pekan Simpang Empat.

Sementara itu, Yang Dipertua MPK, Rosley Mat berkata, pihaknya akan mempertimbangkan cadangan Nurulhisham berhubung lokasi baru untuk nat, penjaja di tepi jalan dan lokasi pasar Ramadan.

Ramlah tabah sara tiga anak berpenyakit

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Abd. Aziz Man (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Ramlah Chik sambil diperhatikan oleh Omar Salleh, 32 (kanan) dan Mohd. Firdaus Salleh di pekarangan rumah mereka di Kampung Sungai Jagung, Sungai Petani, Kedah, semalam.

SUNGAI PETANI 27 Jun - Seorang ibu tunggal, Ramlah Chik, 64, bertekad mengharungi kehidupan dengan tabah biarpun terpaksa hidup dalam keadaan serba kekurangan di Kampung Sungai Jagung, dekat sini.

Ramlah kini hidup bersama tiga anak lelaki berusia antara 24 hingga 32 tahun yang mengalami masalah psikiatri di rumah usang mereka.

Menurutnya, episod duka mereka sekeluarga bermula kira-kira lima tahun lalu setelah suaminya, Salleh Abdullah yang sebelum itu menyara hidup, meninggal dunia.

"Dulu suami saya yang bekerja mencari nafkah namun sekarang saya tetap gagahkan kudrat melakukan kerja-kerja mengambil upah di rumah," katanya kepada pemberita selepas dikunjungi ahli-ahli Pertubuhan Muafakat Warga Desa Kedah yang diketuai Pengerusinya, Abd. Aziz Man, di sini.

Ramlah memberitahu, ketiga-ketiga anaknya iaitu Omar, 32; Mohd. Firdaus, 28 dan Mohd. Fauzi, 24 mengalami penyakit mental dan perlu mendapatkan rawatan pakar di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini setiap bulan.

"Mereka perlu dibekalkan ubat-ubatan setiap hari bagi mengawal emosi, tindakan dan pemikiran kerana sekiranya tidak diberikan ubat, mungkin bertindak di luar batas," katanya.

Warga emas itu bagaimanapun bersyukur kerana keadaan kesemua anaknya kini beransur pulih dan ada antaranya sudah mahu keluar bekerja bagi mencari rezeki.

"Omar mulanya sering berhadapan sakit kepala ketika berada di tingkatan lima berkemungkinan menghadapi tekanan sebelum menduduki peperiksaan.

"Sejak dari itu, dia jatuh sakit dan sehingga kini perlu makan ubat setiap hari. Jika dulu, dia masih boleh keluar menangkap ketam tetapi sekarang tidak boleh," katanya.

Menurut Ramlah, Mohd. Firdaus juga mengalami masalah yang serius sementara Mohd. Fauzi mampu pula keluar rumah.

"Kadang-kadang dia mengambil upah jaga kantin," katanya.

Omar pula berkata, bagi mengisi masa lapang, dia dan ibu akan membuat kerja-kerja dari kilang iaitu menggulung sarung tangan getah yang turut dibantu oleh adik-adiknya mengikut kemampuan dan keupayaan mereka.

"Dulu memang dapat banyak dalam RM60 sebulan tetapi sekarang dah tak mampu, kerja pun tak pantas macam dulu," katanya.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda, Mohamad Mohd Noor berkata, pihaknya telah melakukan siasatan dan mendapati hanya anak sulung Ramlah iaitu Omar memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU).

"Kita akan meluluskan Elaun Pekerja Cacat (EPC) bagi Omar sementara proses permohonan mendapatkan kad OKU bagi dua adiknya akan diteruskan.

"Setakat ini, keluarga terdekat sudah dimaklumkan dan tindakan seterusnya akan diambil dalam masa terdekat," katanya.

Rumah jadi stor motosikal curi

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Oleh OTHMAN YAHAYA
utusanpenang@utusan.com.my

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Seberang Perai Utara, DSP Azafhny Ahmad melihat komponen motosikal yang dirampas dalam serbuan di Bertam Perdana di IPD SPU di Kepala Batas, Pulau Pinang, kelmarin.

KEPALA BATAS 27 Jun - Taktik seorang remaja menjadikan rumah milik keluarganya di Taman Bertam Perdana di sini sebagai lokasi menyimpan dan melerai motosikal curi terbongkar selepas kediaman itu diserbu polis awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, ketika serbuan remaja berkenaan yang berusia 22 tahun sedang melerai komponen sebuah motosikal yang baru dicuri bersama tiga rakannya berusia 22 hingga 25 tahun.

Menurutnya, serbuan dilakukan hasil risikan sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Kepala Batas.

"Suspek utama merupakan anak kepada seorang bekas anggota polis. Dia menjadikan rumah keluarganya yang didiami bersama ibu selepas kematian bapanya sebagai bengkel melerai komponen motosikal yang dicuri mereka.

"Ia bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa yang kononnya kediaman keluarganya tidak akan diserbu dan selamat dijadikan lokasi kegiatan jahat mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jelas Abdul Rahman, dalam serbuan kira-kira pukul 2 pagi itu, pihaknya turut merampas tiga buah motosikal, beberapa enjin, satu rangka motosikal, pelbagai komponen dan peralatan curi motosikal.

Tambahnya, dengan tertangkapnya kesemua suspek, polis percaya telah menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes curi motosikal di sekitar Kepala Batas, Sungai Dua, Bukit Mertajam dan Butterworth.

Jelas beliau, siasatan masih dijalankan bagi mengetahui jumlah sebenar motosikal yang telah dicuri oleh remaja terbabit selain memburu saki-baki kumpulan berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam curi kenderaan bermotor," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


22 pengganas Kiram didakwa

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Pendidikan rakyat diutamakan

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Hanya Nilai masih tidak sihat

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Timur

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Abdul Aziz H.M. tetap dikenang

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my

Rahimidin Zahari ketika membentangkan kertas kerja dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Abdul Aziz H.M. di Kota Bharu, baru-baru ini.

KOTA BHARU 27 Jun - Titisan air mata penyair, penulis dan penggiat seni mengalir laju tanpa segan pada program Seminar Pemikiran Sasterawan Abdul Aziz H.M. anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur di dewan seminarnya di sini baru-baru ini.

Semuanya disebabkan ingatan dan kasih sayang mereka kepada seorang sasterawan kelahiran Melor, Kelantan yang mana segala budi dan jasanya akhirnya dicungkil dan dirai setelah 17 tahun arwah kembali ke Rahmatullah pada usia 47 tahun.

Nama Abdul Aziz H.M. kurang dikenali generasi baharu terutama kalangan luar bidang teater dan puisi tetapi kebanyakan kita pasti arif lirik lagu 'Permata Buat Isteri' yang sebenarnya puisi nukilan beliau yang telah dipopularkan kumpulan Kopratasa.

Malah, lebih istimewa, pada seminar yang berlangsung itu turut mengundang tetamu khas iaitu isteri arwah, Siti Aminah @ Hasnah Setapa, 64, yang merupakan wanita di sebalik lagu menusuk kalbu tersebut.

Menyingkap kehebatan beliau dalam teater, Abdul Aziz H.M. atau nama sebenarnya Abdul Aziz Yahya dikatakan sebagai tokoh yang membawa pembaharuan dalam teater Malaysia apabila menjadi pelopor teater mini kata dan penggunaan teknik improvisasi dalam pementasan drama.

Teater mini kata adalah pementasan teater dengan dialog yang sedikit kerana lebih mengutamakan penghayatan pelakon contohnya melalui gerak-geri, lenggok tari dan suara.

Menurut Editor Majalah Pentas Istana Budaya, Rahimidin Zahari, sumbangan Abdul Aziz dalam sejarah teater moden negara ini secara mudahnya terbukti apabila nama beliau digunakan sebagai contoh dalam Kamus Dewan Edisi Baru (DBP 1989) yang mencatatkan 'Abdul Aziz H.M. seorang penggerak teater' bagi menjelaskan perkataan penggerak.

Rahimidin berkata, tokoh ini menyambung pengajian ke Indonesia selama beberapa tahun pada awal dekad 70-an dalam jurusan hubungan antarabangsa di Fakulti Sosio-politik Sains Politik, Universiti Negeri Jembar, Jawa Timur serta pengajian falsafah di Universiti Gadjah Mada, Yogyakarta dan dalam tempoh itu sempat berguru dengan penyair dan dramawan ternama negara itu, W.S. Rendra.

Katanya, Abdul Aziz telah mementaskan puluhan drama tanpa skrip seperti 'kuku kaki ku ku kikis-kikis', 'kasut selipar', 'ku rampas kembang-kembang di tangan', 'tak tahu', 'tak jadi', 'katak puru', 'ikan kering', 'ketik-ketik ayam putih', 'badak ayu-ayu' dan banyak lagi di samping menghasilkan skrip drama untuk televisyen dan skrip adaptasi novel sasterawan terkenal tanah air.

"Abdul Aziz adalah pelopor dan tokoh yang membawa genre baru teater ke negara kita daripada pengalaman beliau berguru dengan Rendra.

"Dramanya mungkin ada tema dan mungkin juga tidak tetapi ia memberikan pelbagai tanggapan dan penafsiran mengikut tahap pemikiran dan pendidikan penonton yang menyaksikannya.

"Walaupun teater mini kata berakar dari Barat, namun Abdul Aziz seperti juga gurunya Rendra, tidak membawa jiwa Barat dalam teaternya tetapi mengubahnya sesuai dengan akal budaya tempat kelahirannya," katanya.

Dalam kertas kerjanya lagi, Rahimidin memberitahu, Abdul Aziz telah mengasaskan Teater Malini Kelantan pada Mei 1975 di Kampung Mahligai, Melor bagi merealisasikan konsep teater memanusiakan manusia, gagasan awal yang diungkapkan arwah yang kini turut menjadi ucapan para aktivis dan penggiat teater tempatan.

Menurutnya, melalui kumpulan teater tersebut, Abdul Aziz mementaskan dramanya tanpa perlukan panggung yang lengkap, peralatan canggih ataupun kostum cantik malah dipersembahkan di mana-mana sama ada tepi pantai, taman bunga, padang sekolah hatta di atas pokok kelapa.

"Sasterawan Negara, Allahyarham S. Othman Kelantan yang juga teman rapat arwah pernah memberitahu mengenai drama pemuda hendak bunuh diri dari atas puncak pohon kelapa setinggi 30 meter sehingga penduduk kampung gempar mendengar laungan pemuda itu yang menjerit mahu terjun kerana tidak ada lagi tanah untuk mendirikan rumah, penduduk sekitar datang beramai-ramai untuk melihat sesuatu yang tragik dan kemudiannya tersenyum bila mengetahui ia sebuah drama daripada Abdul Aziz," katanya.

Katanya lagi, setiap drama yang dipentaskan mendapat sambutan ramai kerana walaupun bersifat lakonan spontan, Abdul Aziz mengangkat ceritanya berdasarkan tradisi setempat dan menghormati masyarakat sebagai penonton yang hadir menyaksikan persembahan kumpulan teaternya.

Bagaimanapun, Rahimidin berkata, agak malang kerana hampir kesemua drama mini yang dipentaskan Abdul Aziz tidak dapat dikaji dengan mendalam kerana dihasilkan tanpa skrip.

"Apabila kita ingin melihat semula ia menjadi satu masalah kerana tokohnya sudah tiada, skrip teater mini kata Abdul Aziz tidak ada yang betul-betul lengkap, ia hanya wujud dalam kerangka pemikiran pelakon dan anak-anak didiknya," katanya.

Salah seorang penggerak awal Teater Malini, Wan Mohd. Khalid Wan Ibrahim, 58, yang kini berkhidmat sebagai pengetua sekolah mengakui drama mini kata Abdul Aziz sukar untuk dipersembahkan selengkapnya kerana masalah ketiadaan skrip bertulis.

Bagaimanapun, katanya, sebahagian cerita masih boleh dipentaskan semula mengikut episod-episod tertentu yang masih segar dalam ingatan pelakon asal.

"Kami bersedia mementaskan semula dengan syarat mendapat sokongan dan kerjasama semua pihak yang berminat seperti DBP kerana usaha ini pasti membabitkan masa dan keperluan kewangan," katanya.

Semasa menceritakan kepada hadirin pengalamannya sepanjang bersama Abdul Aziz, beliau telah berkongsi satu tip untuk penyair melahirkan karya hebat itu.

"Saya masih ingat lagi kata-kata arwah, buat puisi ini macam proses kita 'kentut', kita tahan dahulu dan sehingga sampai satu peringkat baharulah kita lepaskan (angin), maknanya kita harus mengumpulkan pengalaman sebanyak-banyaknya sebelum kita berkarya," katanya.

Beliau memberitahu lagi, salah satu faktor yang menjadikan Abdul Aziz seorang seniman berjiwa besar adalah pengalaman arwah semasa menuntut di Indonesia yang tepu dengan sisi masin pahit kehidupan.

"Abdul Aziz menelaah buku di bawah lampu jalan raya, tidur di bawah rumah orang dan terpaksa mengambil papan lapis yang diletakkan di atas batu nisan sebagai meja tulisan," katanya.

Salah seorang teman rapatnya, Wan A. Rafar @ Yakub Ishak, 66, yang juga penyair dan seorang pesara guru berkata, banyak sajak-sajak Abdul Aziz terutama yang dihasilkan ketika beliau berada di Indonesia seperti 'Ramadan' dan 'Selamat Malam Selatku Madura' bermain seputar subjek usia seolah-olah memberi isyarat bahawa arwah sedar usianya tidak lama.

Katanya lagi, ucapan jampi, mantera, pantun dan puisi lama daripada tradisi lisan Melayu juga mewarnai kebanyakan puisi arwah namun dalam masa sama tema Islam juga menjadi pokok pemikirannya.

"Sajak Abdul Aziz ditulis seperti teks Melayu lama yang perlu dibaca secara hati-hati kerana tidak berbaris dan bernoktah menandakan kecintaan Abdul Aziz kepada budaya dan tradisi Melayu.

"Credo seni arwah sebagaimana diungkapkan ketika menubuhkan Teater Malini adalah memperjuangkan konsep seni dan budaya yang sesuai dengan sikap nenek moyang dan perangai manusia purba yang rela dan menyerah di bawah kuasa Yang Maha Esa," katanya.

Penggiat teater kanak-kanak tersohor negara, Ladin Nuawi, 57, yang merupakan antara lelaki yang menumpahkan air mata jantannya pada seminar itu pula mengaku menjadi anak didik Abdul Aziz yang paling lambat 'menjadi' orang.

Beliau berkata, pengalaman bersama Abdul Aziz sejak menyertai Teater Malini pada 1980 mengajarnya supaya berdisiplin, menepati masa dan tidak memandang rendah keupayaan diri sendiri.

Katanya, syarat utama bermain teater yang ditetapkan arwah juga menjadi pegangannya sehingga kini iaitu wajib mempunyai kekuatan dalaman.

"Buka panggung dengan doa, haram bercinta sesama pelakon sehingga pementasan, tepati masa dan mulakan latihan sebelum pengajar sampai.

"Pesanan arwah paling saya pegang adalah untuk menjadi orang, seorang lelaki perlu beristeri, dan sebolehnya isteri itu biarlah seperti isterinya, Kak Nah (Siti Aminah)," katanya.

Syarikat gores, menang diserbu

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Oleh NURUL AKMAR AIDA SUHAIMI
utusankelantan@utusan.com.my

Ab. Ghani Harun menunjukkan beberapa kad yang digunakan sebagai umpan oleh syarikat gores dan menang untuk memperdaya orang ramai di Kota Bharu, kelmarin.

KOTA BHARU 27 Jun - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kelantan merampas dan menyita pelbagai barangan elektrik serta elektronik bernilai RM120,000 milik sebuah syarikat di Kota Sri Mutiara di sini, yang didakwa menjalankan aktiviti gores dan menang.

Timbalan Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kelantan, Ab. Ghani Harun berkata, rampasan itu dibuat dalam satu serbuan kira-kira pukul 4 petang semalam berdasarkan pemantauan, maklumat dan aduan orang ramai membabitkan kes penipuan sedemikian.

Menurutnya, kegiatan itu dipercayai didalangi satu sindiket dengan menjadikan orang ramai yang mengunjungi pusat-pusat beli belah sebagai sasaran mereka.

Katanya, antara barangan yang dirampas ialah penyedut hampagas, alatan urutan badan, set teater rumah dan ketuhar gelombang mikro.

"Menerusi operasi itu juga seramai 24 orang pekerja berumur awal 20-an yang digunakan bagi memperdayakan orang ramai telah ditahan untuk diambil keterangan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Ab. Ghani berkata, modus operandi sindiket itu adalah menipu orang ramai dengan taktik mengundang mangsa melalui tawaran pelbagai hadiah lumayan menggunakan beberapa kad atau sampul sebagai umpan.

Katanya, selepas berjaya memperdayakan mangsa, kumpulan itu akan membawa mangsa ke premis mereka kononnya bagi urusan tuntutan hadiah, sebelum meminta sejumlah wang.

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai telah menjalankan operasi sejak setahun lalu dan sepanjang tempoh berkenaan pihaknya menerima 13 aduan membabitkan kes penipuan gores dan menang.

"Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman RM100,000 atau 3 tahun penjara di bawah Seksyen 21(b) Akta Perihal Dagangan 2011.

"Kita akan sentiasa mengawasi kes penipuan sebegini dan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa. Kita juga nasihatkan orang ramai jangan mudah terpedaya dengan hadiah lumayan yang ditawarkan sindiket berkenaan," katanya.

Ab. Ghani berharap menjelang Ramadan ini, pengguna tidak membelanjakan wang ke atas barangan yang tidak mendatangkan faedah terutama melalui kegiatan gores dan menang.

Sementara itu, seorang kakitangan kerajaan, Hasmah Ariffin, 45, kecewa kerana suaminya turut terpedaya dengan sindiket gores dan menang tersebut.

"Sebelum ini saya pernah ditawarkan bagi peraduan gores dan menang ini di sebuah pasar raya di Kok Lanas tetapi saya tidak layan. Namun saya tidak menyangka bahawa suami saya tertipu apabila dia membawa pulang barangan elektrik ke rumah dan dikenakan harga yang mahal," ujarnya.

MPKB-BRI lancar Kempen Hijau

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Abdul Fattah Mahmood melakukan upacara menanam pokok sempena Kempen Hijau 2013 sambil diperhatikan oleh Fauzi Mat (berbaju batik merah) di Kota Bharu, semalam. - UTUSAN/IRWAN MAJID

KOTA BHARU 27 Jun - Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) melancarkan Kempen Hijau 2013 dalam usaha menjadikan Kota Bharu dan kawasan sekitarnya sebagai bandar dalam taman.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Fauzi Mat berkata, bagi mencapai matlamat itu pihaknya menyasarkan untuk menanam sekurang-kurangnya 1,000 batang pokok teduhan setiap tahun seterusnya menjadikan landskap Kota Bharu mesra alam pada tahun-tahun akan datang.

Selain itu, katanya, MPKB-BRI turut menekankan aspek kebersihan sempena kempen itu dan akan menyedarkan orang ramai tentang kepentingan menjaga kebersihan di kawasan kediaman masing-masing.

"Pada awal Mac kita telah melancarkan kempen Go Green peringkat negeri di Pasar Siti Khatijah, di mana ia lebih kepada pendidikan untuk mengamalkan kitar semula dalam kehidupan seharian.

"Kempen hijau pada hari ini pula memfokuskan kepada aktiviti penanaman pokok-pokok teduhan yang merupakan sebahagian daripada itu dan mempunyai objektif sama ke arah melahirkan sebuah bandar yang indah, bersih, hijau dan sejahtera," katanya pada pelancaran kempen tersebut di Jalan Salor - Pasir Mas di sini hari ini.

Sempena pelancaran itu, lebih 100 peserta yang hadir turut menanam sebatang pokok teduhan setiap seorang bagi menjadikan landskap di sepanjang jalan itu lebih cantik pada masa akan datang.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Fauzi berkata, kesedaran mengenai penanaman pokok teduhan telah dimulakan Jabatan Landskap Negara sejak 2000, justeru Kempen Hijau 2013 akan menggunakan modul sedia ada dan laporan penanaman akan dihantar kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri setiap tiga bulan.

Jelasnya, keperluan untuk menghijaukan bumi semakin mendesak ketika ini ekoran perubahan iklim yang mendadak saban tahun disebabkan banyak penebangan pokok berlaku di seluruh dunia.

"Fenomena El Nino, jerebu, lapisan ozon yang semakin nipis serta perubahan ketara cuaca adalah satu perkara yang tidak boleh dipandang mudah, justeru penjagaan alam sekitar amat berkait rapat dengan penjagaan kebersihan.

"Amalan kitar semula dan program menghijaukan bumi adalah satu langkah yang amat dituntut oleh kerajaan bagi melahirkan persekitaran yang sihat untuk semua masyarakat," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved