Ahad, 23 Jun 2013

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Enam penjenayah diberkas

Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

Zainuddin Yaakob (tiga dari kanan) menunjukkan senjata api serta peluru yang dirampas dalam sidang media di Balai Polis Sentral, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU 22 Jun - Polis percaya dapat menyelesaikan 31 kes samun bersenjata ekoran penahanan enam penjenayah dalam tiga serbuan berasingan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, dalam kejayaan pertama pada 18 Jun lalu, polis menahan seorang suspek di Jalan Sri Purnama, Majidee, kira-kirapukul 1 pagi.

Katanya, ketika kejadian, suspek dan rakannya cuba menyamun seorang pemandu kereta berusia 53 tahun yang berhenti di sebuah stesen minyak.

"Dua suspek itu menaiki sebuah motosikal jenis Honda Wave dan memperkenalkan diri sebagai polis. Sejurus pintu kereta dibuka, salah seorang suspek meletakkan pisau di leher mangsa lalu merampas dompet yang mengandungi wang tunai RM1,400. Mangsa mendapat luka di bahagian leher.

"Bagaimanapun, polis berjaya menahan seorang suspek ketika mereka cuba melarikan diri sejurus melihat polis yang sedang membuat rondaan di situ," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kata beliau, suspek yang ditahan itu berusia 30 tahun dan hasil pemeriksaan menemukan sebilah pisau lipat. Suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau kini ditahan reman sehingga 24 Jun ini.

Dalam kejadian kedua pukul 2.30 petang pada 19 Jun, Zainuddin berkata, polis menahan dua lelaki yang sebelum itu memecahkan cermin kereta seorang wanita dan merampas beg tangan mangsa yang mengandungi wang tunai berjumlah RM1,200 di Taman Melodies.

"Dengan tertangkapnya dua lelaki terbabit, polis percaya dapat menyelesaikan 17 kes samun. Hasil pemeriksaan polis merampas tukul besi dan pemutar skru daripada suspek.

"Hasil siasatan awal mendapati salah seorang lelaki itu merupakan suspek dikehendaki berkaitan melakukan rusuhan bersenjata di Pelangi Indah pada 2011. Kedua-duanya kini ditahan reman hingga 26 Jun ini," katanya.

Sementara itu, dalam kes ketiga kelmarin, polis menahan tiga lelaki yang terlibat melarikan kereta jenis Honda City milik seorang lelaki berhampiran Sekolah Agama Taman Daya, di sini pada 5.30 petang.

Beliau berkata, kejadian berlaku semasa mangsa bersama seorang anak lelaki berusia lima tahun sedang menunggu seorang lagi anaknya sebelum didatangi empat lelaki yang menaiki kereta jenis Kia Spectra.

"Dalam kejadian itu, mangsa turut ditetak di paha kiri dengan parang kerana melawan sebelum mengarahkan lelaki tersebut mengambil anaknya dan melarikan kereta Honda City.

"Sejam kemudian, polis yang sedang melakukan rondaan terjumpa dengan kereta dinaiki suspek dan selepas mengejar mereka, polis berjaya menahan tiga suspek berusia antara 24 hingga 28 tahun di Taman Mount Austin," katanya.

Hasil pemeriksaan ke atas kereta itu, ujar beliau, polis menemukan sebilah parang, dua pisau dan tiga penutup muka ski serta barangan yang dipercayai hasil samun iaitu komputer riba, sebuah televisyen dan lapan utas jam tangan.

Zainuddin memberitahu, ketiga-tiga suspek kini ditahan reman hingga 27 Jun ini.

Indeks Sosial Iskandar Malaysia diwujud

Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT

MOHAMED Khaled Nordin bersalaman dengan sebahagian ahli koperasi ketika hadir merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Melayu Pasir Gudang Berhad (KMPGB) Kali Ke-4 di Kompleks Pusat Bandar, Pasir Gudang semalam. - MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU 22 Jun - Kerajaan negeri akan memperkenalkan Indeks Sosial Iskandar Malaysia sebagai salah satu cara menjaga keseimbangan di kawasan pembangunan Iskandar Malaysia di Nusajaya.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sistem indeks tersebut amat penting bagi memastikan setiap lapisan masyarakat di negeri ini mampu mengecapi segala limpahan ekonomi yang terhasil daripada pembangunan di wilayah berkenaan.

"Iskandar Malaysia akan terus mengalami pertumbuhan ekonomi dari semasa ke semasa dan saya tidak mahu ada golongan yang terpinggir daripada menikmati kebaikan yang diperoleh kesan pembangunan yang dilaksanakan.

"Ia bukan sahaja dari konteks hartanah bahkan peluang pekerjaan, perumahan mampu milik, keselamatan awam, sistem pengangkutan yang lebih baik, taman rekreasi dan sebagainya yang meliputi keseluruhan aspek," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Melayu Pasir Gudang (KMPG) di Kompleks Pust Bandar, Pasir Gudang di sini hari ini.

Beliau berkata, keperluan mewujudkan sistem indeks berkenaan adalah sebagai bahan pengukur kepuasan penduduk di wilayah terbabit bagi memantau mutu kehidupan mereka.

"Ini adalah satu pendekatan yang saya praktikkan. Perlu ada perancangan terperinci sebelum dan selepas terhadap semua aspek.

"Maklum balas secara terus daripada penduduk di kawasan itu dan segala ketidakpuasan hati mereka akan direkodkan dan diambil tindakan segera supaya standard kehidupan di situ berada dalam kawalan terbaik dan terjamin," katanya.

Pada masa sama, pihaknya juga sedang merangka projek penjanaan pendapatan rakyat di 14 mukim supaya taraf kehidupan rakyat negeri ini berada pada tahap yang lebih baik.

Mohamed Khaled berkata, projek tersebut akan dilancarkan tidak lama lagi dan ia akan diselenggara serta digerakkan oleh koperasi yang dilantik.

"Saya mahu pembangunan ini dirasakan seperti kepunyaan bersama oleh setiap lapisan masyarakat, bukannya untuk golongan elit atau pihak tertentu," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Ilham jubah serasi gaya

Posted: 23 Jun 2013 05:39 AM PDT

jubah berjubah menjadi pilihan untuk gaya ke pejabat.

REKAAN jubah serta tudung yang menarik pasti menyerlahkan penampilan ayu seorang gadis remaja. Sesuai dengan budaya Melayu, busana ini amat menarik digayakan sama ada untuk menghadiri majlis-majlis atau keluar bersiar-siar bersama teman-teman.

Tentu anda kelihatan kemas dan berseri dengan senyuman terukir apabila menggayakan busana yang bercirikan kesopanan dan keselesaan.

Dari segi rekaan dan pemilihan warna, kali ini anda boleh memilih rekaan yang tidak sekadar tertumpu kepada rekaan jubah atau fabrik berwarna gelap dan kusam semata-mata.

Bahkan pemilihan fesyen yang menjurus kepada rekaan warna-warna dan cerah pasti memberi kesegaran kepada penampilan anda. Melengkapkan penampilan turut digaya dengan tudung daripada warna sedondon yang direka dengan sentuhan menarik dan unik.

Jika anda masih tercari-cari fesyen sesuai digayakan ke mana sahaja, himpunan ini mungkin memberi anda sedikit ilham.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Lonjakkan prestasi pendidikan

Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT

Oleh SHOLINA OSMAN
utusanperlis@utusan.com.my

AZLAN Man bersalaman dengan Azemi Salim (kanan) ketika menyampaikan anugerah Tokoh Guru 2013 di Dewan 2020, Kangar semalam. - MINGGUAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI

KANGAR 22 Jun - Menteri Besar, Azlan Man mahu prestasi pendidikan di Perlis kembali dilonjakkan ke tahap lebih membanggakan setanding dengan negeri-negeri lain.

Sehubungan itu, kata Azlan, kerangka pembangunan pendidikan negeri yang lebih kemas, berfokus, jelas, komprehensif dan pragmatik diperlukan bagi mencapai hasrat itu.

"Harapan saya semoga Perlis berada di puncak seperti negeri-negeri lain yang saban tahun dinobatkan sebagai negeri terbaik dalam rekod peperiksaan seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)," katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Perlis 2013 di Dewan 2020 di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Pelajaran Perlis, Dun Kasa.

Azlan berkata, usaha itu perlu berikutan kerajaan negeri mahu menjadikan Perlis sebagai hab ilmu sekali gus peranan guru juga menjadi lebih kritikal bagi melaksanakan hasrat itu.

Berikutan itu katanya, ruang untuk meningkatkan keterampilan guru perlu difikirkan, keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran perlu dititikberatkan dan kewibawaan kepimpinan sekolah mesti diperkasakan.

Azlan berkata, guru juga perlu sentiasa menambah ilmu, membudayakan inovasi dan meningkatkan kreativiti supaya dapat menangani cabaran pendidikan alaf baru.

Dalam pada itu, Azemi Salim, 61, diumumkan sebagai Tokoh Guru Perlis 2013 sempena majlis tersebut dan menerima selempang, pingat, plak, sijil dan wang tunai RM4,000 sumbangan Bank Rakyat.

Juga turut diumumkan Anugerah Khas Ikon Guru yang disandang oleh Datin Noridah Yang Man dari Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Syed Putra, Guru Cemerlang Kelainan Upaya pula oleh Basaruddin Ahmad dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan dan Guru Cemerlang Pendidikan Khas (Aznan Mat Isa dari SMK Syed Alwi).

Anugerah Kepimpinan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) pula dimenangi oleh Roslan Yatim dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sena.

Bagi Guru Inovatif peringkat Individu Pra Sekolah dimenangi oleh Zuraida Zerai dari SK Tambun Tulang dengan projek 'Dart Bunga', peringkat Individu Sekolah Rendah pula oleh Sakri Mat Noor dari Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Steela Maris dengan projek 'Jisim-Jom'.

Bagi kategori Individu Sekolah Menengah pula oleh Ahmad Nizom Adnan dari Kolej Vokasional Arau dengan projek 'Kereta Solar' dan Berkumpulan oleh Mohd. Jamil Rosli dan Ayu Suhana Wan Jan dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Madrasah Al-Alawiyah Ad Diniah dengan projek 'Kaedah Muqatun Dalam Sejarah'.

JAS meterai MoU dengan tiga syarikat minta promosi alam sekitar

Posted: 22 Jun 2013 09:45 AM PDT

MUHAMMAD Amin Zakaria (dua dari kanan) melihat dokumen perjanjian bersama antara Shamsul Ahmad (kiri) dengan Ahmad Syukri Mohd. Ghazman (dua dari kiri) serta Marcelo Figueiredo di Taiping kelmarin.

TAIPING 22 Jun - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak semalam menandatangani tiga memorandum persefahaman (MoU) dengan TNB Janamanjung Sdn. Bhd., Vale Malaysia Mineral Sdn. Bhd dan Hume Cement Sdn. Bhd. bagi menjalankan aktiviti-aktiviti kesedaran alam sekitar di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Muhammad Amin Zakaria berkata, ketiga-tiga syarikat itu merupakan kumpulan pertama yang menjadi peneraju kerjasama pintar yang dilaksana JAS dengan pihak industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi dan pertubuhan lain di negeri ini.

Menurut Muhammmad Amin, melalui kerjasama tersebut, pihak-pihak terlibat akan memfokuskan kepada usaha melaksana dan mempromosi aktiviti kesedaran alam sekitar serta melaksana, menggalak dan meningkatkan penyertaan keahlian dalam program Rakan Alam Sekitar (RAS).

"MoU ini merupakan permulaan untuk kita menangani dan melihat isu alam sekitar secara bersama iaitu antara kerajaan negeri dan pihak lain termasuk swasta. Kerajaan negeri melalui JAS amat berharap usaha ini dapat dikembangkan termasuk penglibatan IPT dan sekolah dalam RAS.

"Ini kerana bila kita ada rangkaian yang besar dalam RAS, kita akan memperoleh maklumat lebih cepat serta mampu bertindak segera apabila sesuatu masalah tersebut diketahui," katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut di Zoo Taiping di sini.

Dalam majlis itu, JAS diwakili Pengarahnya, Abdul Razak Abdul Manap manakala TNB Janamanjung diwakili Ketua Pegawai Operasinya, Shamsul Ahmad.

Pengarah Vale Malaysia Minerals Sdn. Bhd., Marcelo Figueiredo pula mewakili syarikat Vale, manakala Hume Cement diwakili Penasihat Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitarnya, Ahmad Syukri Mohd. Ghazman.

Muhammmad Amin berkata, penglibatan ahli RAS dalam kalangan masyarakat juga berperanan sebagai mata dan telinga membantu agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab membanteras kegiatan-kegiatan yang merosak dan mencemarkan alam sekitar.

"Saya juga amat berharap usaha ini dapat mencetuskan minat dan komitmen lebih ramai pihak-pihak di luar sana untuk sama-sama menyahut seruan kerajaan supaya bekerjasama menyemai rasa tanggungjawab dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Keputusan tutup pejabat kerajaan di Muar diketahui hari ini

Posted: 23 Jun 2013 03:07 AM PDT

Oleh ZULHISHAM ISAHAK

MUAR 23 Jun - Keputusan sama ada pejabat kerajaan di daerah ini akan ditutup atau sebaliknya hanya diketahui selepas Jawatankuasa Bencana Alam (Pencemaran Udara dan Jerebu) Daerah Muar mengadakan mesyuarat esok susulan pengisytiharan darurat bencana jerebu di Muar dan Ledang hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa itu, Abdul Rahman Mohamed Dewam bagaimanapun berkata, terdapat beberapa jabatan kerajaan dan pihak berkaitan utiliti akan kekal dibuka bagi memastikan perkhidmatan kepada orang awam tidak terjejas.

"Ini membabitkan pihak berkaitan utiliti seperti pembekal tenaga elektrik, bekalan air, telefon, telekomunikasi, telegraf, perbankan dan kewangan atau agensi kerajaan antaranya membabitkan bomba, polis, penjara dan perkhidmatan kesihatan awam.

"Begitu juga dengan perkhidmatan dan jualan minyak kenderaan seperti stesen-stesen minyak yang akan beroperasi seperti biasa," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di sini hari ini.

Menurutnya, tiada arahan setakat ini untuk menutup kedai tetapi bagi peniaga kedai makan, mereka mesti memakai penutup muka dan pelanggan boleh membeli tetapi perlu dibawa balik kerana keadaan di luar yang berhabuk.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengisytiharkan status darurat di Muar dan Ledang berkuat kuasa serta-merta selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 750 pada pukul 7 pagi ini.

Dalam pada itu, Abdul Rahman yang juga Pegawai Daerah mengingatkan orang ramai supaya tidak menyamakan status darurat yang diisytiharkan di daerah itu dan Ledang sebagai satu perintah berkurung kerana masalah keselamatan.

Beliau berkata, penetapan status darurat itu lebih kepada menjaga kesihatan penduduk dengan pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan banyak aktiviti di luar rumah.

"Darurat ini bukan kerana faktor keselamatan tetapi untuk menjaga kesihatan, bukan duduk dalam rumah. Apa yang penting dilakukan ialah mengurangkan aktiviti di tempat terbuka buat sementara waktu sehingga langkah seterusnya diumumkan," katanya.

Beliau berkata, IPU Muar mencatatkan bacaan 746 pada pukul 7 pagi ini dan bertambah baik kepada 331 pada pukul 8 pagi sebelum kembali meningkat kepada 710 (10 pagi) seterusnya 660 (12 tengah hari) dan 598 (2 petang).

Bagaimanapun, pihaknya masih bimbang kerana sebelum ini kadar IPU akan meningkat pada waktu petang dan malam ekoran angin dari Sumatera yang bertiup ke arah Muar.

"Kita juga minta semua pihak tidak melakukan pembakaran terbuka dan agensi termasuk polis, bomba, Majlis Perbandaran Muar (MPM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan melakukan pemantauan berterusan," katanya. - UTUSAN ONLINE

Zambry kesal Ustaz Kazim jadi mangsa fitnah

Posted: 23 Jun 2013 02:49 AM PDT

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR

IPOH 23 Jun - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menafikan dakwaan kononnya Pusat Pendidikan Al-Barakah di Manjoi yang dibuka oleh penceramah bebas, Muhammad Kazim Elias adalah pusat di bawah 'kawalan' Barisan Nasional (BN).

Zambry turut menyangkal fitnah politik yang dilemparkan kepada Muhammad Kazim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim kononnya beliau telah memberikan wang secara peribadi bernilai RM7 juta kepada pendakwah terkenal itu.

"Saya amat bersimpati dengan Ustaz Kazim dalam keadaan beliau difitnah dengan pelbagai cara dan ugutan. Kita bekerjasama dalam perkara yang baik. Takkan kita pula mahu menolak orang yang memperkenalkan negeri Perak serta institusi dan pengajian Islam seperti ini?" katanya pemberita selepas menghadiri majlis perasmian sambutan ulang tahun ke-7 pusat pendidikan itu di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Sebahagian kumpulan berkhemah di Padang Merbok bersurai

Posted: 23 Jun 2013 02:47 AM PDT

KUALA LUMPUR 23 Jun - Sebahagian kumpulan yang berkhemah di Padang Merbok di sini bersurai setelah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan notis dua jam untuk mengosongkan kawasan tersebut manakala selebihnya masih berdegil dan tidak berganjak.

Kira-kira 150 orang yang tidak menunjukkan tanda-tanda untuk meninggalkan kawasan itu, hanya bertindak menurunkan struktur khemah sahaja.

Seorang daripada kalangan yang berkhemah di situ yang hanya ingin dikenali sebagai Hashim, 49, berkata dia mengambil keputusan untuk bersama dengan penyokong lain walaupun keadaan cuaca berjerebu.

Tinjauan Bernama sehingga 4.30 petang ini mendapati masih terdapat kira-kira 30 buah struktur khemah ditempatkan di kawasan Padang Merbok.

Pada pukul 3.50 petang kelihatan beberapa buah kenderaan DBKL bersama anggota penguatkuasa tiba di padang itu bagi mengambil tindakan dan memantau keadaan di kawasan sekitar.

DBKL mengeluarkan notis dua jam pada 10.15 pagi ini kepada kumpulan yang berkhemah di Padang Merbok untuk mengosongkan kawasan itu.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shahrin atau lebih dikenali Cikgu Bard berkata kira-kira 100 buah khemah didirikan di kawasan Padang Merbok selepas perhimpunan Black 505 semalam.

Katanya seramai 246 orang bermalam di Padang Merbok itu. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Ganjaran jika Melaka capai 20 emas pada Sukma 2013

Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT

Idris Haron (duduk, tengah) bersama pegawai dan jurulatih serta sebahagian atlet yang akan mewakili Melaka ke temasya SUKMA di Kuala lumpur sewaktu majlis Penyerahan Bendera Melaka kepada Ketua Kontinjen Melaka ke Temasya SUKMA XV-Kuala Lumpur di Ayer Keroh, Melaka, semalam.

MELAKA 22 Jun - Kerajaan negeri memperuntukkan ganjaran kira-kira RM70,000 kepada atlet kontinjen negeri ini jika berjaya mencapai sasaran 20 pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) 2013 di Kuala Lumpur, bermula minggu hadapan.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, melalui insentif itu, kesemua atlet sama ada menang atau kalah akan diberi ganjaran wang tunai sebanyak RM500 setiap seorang jika berjaya mencapai sasaran tersebut.

Menurutnya, ganjaran itu merupakan cabaran kepada para atlet supaya berusaha bersungguh-sungguh untuk memberikan yang terbaik dalam apa juga acara disertai seterusnya membantu menaikkan nama Melaka.

"Ia juga sebagai suntikan semangat untuk atlet bergerak secara berpasukan untuk sama-sama memberi sokongan kepada rakan yang bertanding dalam acara lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan bendera kepada Ketua Kontinjen Melaka sempena Sukma 2013 di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pembangunan Sukan negeri yang juga Ketua Kontinjen Melaka, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim dan Pengarah Majlis Sukan negeri, Ismail Abdol Jalil.

Seramai 176 atlet terdiri daripada 103 atlet lelaki dan 73 atlet wanita akan mewakili Melaka pada kejohanan kali ke-16 yang bermula pada 28 Jun hingga 7 Julai ini di Kuala Lumpur.

Jelas Idris, Melaka amat sinonim dengan kehebatan dalam bidang sukan 20 hingga 30 tahun lalu malah kebanyakan ahli sukan negara lahir di negeri ini.

"Oleh itu, Melaka perlu mempunyai satu kaedah pengurusan, pentadbiran dan latihan yang cekap, objektif serta bersungguh-sungguh untuk kembali gemilang dalam sukan," tegasnya.

Sementara itu Ab. Rahaman berkata, kesemua atlet yang mewakili Melaka akan bersaing dalam 14 daripada 20 acara yang dipertandingkan sepanjang kejohanan selama sembilan hari itu.

"Pada kejohanan sama 2011, kontinjen Melaka hanya berjaya membawa pulang empat pingat emas, tiga perak serta enam gangsa dan kita menyasarkan untuk mengutip lebih daripada itu pada kejohanan kali ini," ujarnya.

Tambah beliau, 14 acara yang disertai kontinjen Melaka termasuk bola baling, bola keranjang, bola jaring, bola tampar dewan, gimnastik artistik, polo air, judo, kabaddi, lawan pedang, mendayung, muay thai, pingpong, ragbi dan silambam.

Lebih ramai pihak diseru tampil bantu OKU

Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT

MELAKA 22 Jun - Lebih ramai pihak termasuk badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini diseru tampil menyediakan bantuan kepada golongan kurang upaya (OKU).

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, sumbangan yang juga tanggungjawab sosial masyarakat (CSR) itu secara tidak langsung dapat memberi kehidupan yang lebih bermakna kepada golongan kurang bernasib baik.

"Usaha ini juga seiring dengan identiti kerajaan negeri yang begitu prihatin terhadap golongan berkenaan malah menggambarkan imej sebenar negeri Melaka sebagai negeri yang mengutamakan kebajikan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kaki palsu kepada empat penerima di Seri Bendahara, Ayer Keroh di sini hari ini.

Kesemua kaki palsu yang bernilai RM27,200 itu disumbangkan oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Melaka.

Yang hadir sama Yang Dipertua DPMM Melaka, Datuk Mohamad Ramly Mohamad dan Timbalannya, Datuk Md. Idris Hameem Marikar.

Empat penerima sumbangan itu ialah Hasanain Harun, 18, dari Melaka, Tan Ming Yee, 16, (Perak) Mohammad Nur Affizi Anuar, 15, (Selangor) dan Natasha Nadirah Yunus, 7, dari Kelantan.

Tambah Idris, bantuan yang dihulurkan juga membuktikan keprihatinan pihak luar untuk membantu golongan kurang berkemampuan itu termasuk juga orang sakit.

"Sumbangan ini diharap dapat memberi keceriaan kepada mereka untuk menjalani kehidupan yang lebih selesa," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Timur

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Kelantan hab ternakan kambing

Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT

Oleh TOREK SULONG
utusankelantan@utusan.com.my

PASIR PUTEH 22 Jun - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) Kelantan akan meningkatkan pengeluaran kambing ke tahap maksimum bagi memenuhi permintaan domestik serta meningkatkan pendapatan penternak.

Pengarah MARDI negeri, Aminah Abdullah berkata, pihaknya akan menggunakan teknologi moden bagi menjayakan hasrat tersebut selain menjalankan kempen bagi menarik minat rakyat Kelantan menternak haiwan berkenaan khususnya kambing baka Boer.

Beliau berkata, kambing Boer mampu memberikan pendapatan tinggi kepada penternak yang serius mengusahakannya.

Katanya, peningkatan pengeluaran daging dan susu kambing akan membolehkan Kelantan menjadi hab ternakan kambing secara komersial di negara ini.

"Paling tidak mereka menternak sebagai hobi yang menguntungkan atau sekadar sara hidup keluarga. Namun penternakan secara komersial dengan kaedah yang betul akan diberi fokus utama oleh MARDI.

"Sehingga kini MARDI telah berjaya mengadakan tiga kursus berkaitan kepada lebih 100 penternak yang memiliki kambing baka berkenaan," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup dan penyampaian sijil latihan penternakan kambing Boer di Stesen MARDI Padang Pak Amat di sini kelmarin.

Lebih 30 petani dari seluruh Kelantan menyertai kursus sehari itu membabitkan aspek kesihatan, proses pembiakan, menghasilkan makanan berkualiti dan penyediaan persekitaran kondusif untuk ternakan haiwan tersebut.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ternak Kambing Kelantan, Wan Ismail Wan Mamat, 66, berkata, sehingga ini seramai 66 petani di seluruh Kelantan terutama di Jeli sudah mendapat manfaat hasil pendedahan MARDI.

Beliau berkata, mereka menternak lebih 1,000 ekor kambing Boer secara individu yang menghasilkan pendapatan sampingan antara RM500 hingga RM1,000 sebulan.

Katanya, pihak persatuan bercadang melaksanakan projek ternakan kambing komersial dan akan memohon kerjasama daripada kerajaan negeri untuk menyediakan tanah serta peruntukan.

"Kita menyasarkan menjelang tahun 2015 Kelantan mempunyai bekalan kambing yang mencukupi sekurang-kurangnya memenuhi permintaan dalam negeri terutama pada musim perayaan dan untuk upacara keagamaan," katanya.

Let's Talk bukti tiada jurang pemisah antara sekolah, IPT

Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT

Idris Jusoh (dua dari kanan) beramah mesra dengan peserta Program Perdana Let's Talk and Let's Go Global di Dewan Sultan Mizan Universiti Malaysia Terengganu Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU 22 Jun - Program Perdana Let's Talk and Let's Go Global anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri membuktikan bahawa tidak wujud jurang pemisah dalam bidang pendidikan di antara sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT).

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, program itu juga menggambarkan terdapat satu sinergi yang jelas apabila Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi digabungkan menjadi Kementerian Pendidikan kerana jalinan tersebut terus wujud.

"Sebab itulah hari ini kita dapat lihat Pengarah Pendidikan negeri duduk bersama seorang Naib Canselor... duduk bersama untuk melaksanakan program Bahasa Inggeris iaitu satu program yang dialu-alukan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

"Sebab itulah juga saya turun hari ini kerana ia memberi gambaran selepas dua kementerian ini bersatu atau bercantum, lebih banyak program yang kita boleh laksanakan bersama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Perdana Let's Talk and Let's Go Global yang disertai oleh 260 pelajar Tingkatan Empat dari 13 buah sekolah di sekitar daerah ini di UMT di sini hari ini.

Yang hadir sama Naib Canselor UMT, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo; pengasas program berkenaan yang juga Pengarah Penerbit UMT, Prof. Madya Dr. Noraien Mansor; Pengarah Pendidikan negeri, Zakaria Hussin serta beberapa kenamaan lain.

Program yang berlangsung selama enam bulan dengan tema Memperkasakan Komunikasi Bahasa Inggeris itu turut melibatkan enam orang pensyarah bahasa Inggeris dari universiti itu yang bertindak sebagai pengendali program.

Dalam perkembangan berkaitan, Idris memberitahu, buat masa sekarang, pihaknya tidak berhasrat memperluaskan program tersebut memandangkan ia hanya salah satu daripada usaha yang dilaksanakan di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

"Setiap IPT mungkin ada cara masing-masing untuk melaksanakan program ini. Apa yang kita nak lihat ialah produk.. hasilnya macam mana.

"Selain UMT, UniSZA (Universiti Sultan Zainal Abidin) juga telah menyerahkan kertas kerja kepada saya untuk melaksanakan program seperti ini di sekolah-sekolah rendah," katanya.

Pusat rawatan pesakit mental kedua di Ketereh

Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT

Sebahagian pakar sakit mental melawat gerai menjual buah dikendalikan oleh pesakit mental ketika melawat Pusat Kesihatan Mental Masyarakat Ketereh di Kota Bharu, baru-baru ini.

KOTA BHARU 22 Jun - Klinik Kesihatan Ketereh kini menempatkan Pusat Kesihatan Mental Masyarakat Ketereh iaitu pusat rawatan pesakit mental sebagai pesakit luar tanpa memerlukan mereka dimasukkan ke dalam wad seperti biasa.

Ketua Jabatan Perkhidmatan Psikiatri Negeri Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Dr. Mohd. Ariff Mohd. Noor berkata, pusat rawatan itu adalah yang kedua di negara ini selepas Putrajaya.

Menurut beliau, pesakit yang dipercayai mengalami masalah mental hanya perlu datang ke pusat itu untuk menerima rawatan serta pemulihan secara berkala mengikut nasihat doktor sebagai pesakit luar.

"Di pusat ini kami merawat sesiapa sahaja yang mengalami masalah gangguan perasaan, kemurungan atau kegelisahan malah mana-mana pesakit mental yang sudah siuman tetapi masih perlu bantuan seperti mengembalikan keyakinan diri akan turut dilatih di sini.

"Pusat rawatan ini tidak seperti pusat mental lain kerana rawatan dibuat sebagai pesakit luar iaitu sama dengan pesakit lain yang datang untuk pemeriksaan atau mengambil ubat dan selepas itu pulang ke rumah lalu datang kembali mengikut temu janji yang ditetapkan," katanya ketika ditemui di pusat rawatan itu baru-baru ini.

Menurut beliau, pusat rawatan itu diletakkan di bawah seliaan pakar perubatan berpengalaman sepenuh masa dengan bantuan pegawai pemulihan cara dan pembantu perubatan.

Katanya, seramai 107 pesakit telah menerima rawatan di pusat itu yang turut dilengkapi dengan kolam ikan dan kawasan berkebun sebagai aktiviti pemulihan kepada pesakit.

Mengulas mengenai program susulan, beliau berkata, HRPZII akan membantu bekas pesakit mendapatkan pekerjaan dengan menjalinkan hubungan bersama para majikan di negeri ini.

"Kami akan pastikan bekas pesakit mendapat pekerjaan yang baik dan dalam masa-masa tertentu, seorang pegawai akan dihantar berjumpa mereka untuk bertanya khabar dan perkembangan semasa," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Perhimpunan gagal capai sasaran

Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Muar catat IPU berbahaya

Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Catat pengangguran 3.1%

Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved