Sabtu, 22 Jun 2013

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Ambulans rosak, Mandela terpaksa dipindahkan

Posted: 22 Jun 2013 09:13 AM PDT

JOHANNESBURG 23 Jun - Ambulan yang membawa Nelson Mandela mengalami kerosakan di tengah jalan memaksa bekas Presiden Afrika Selatan itu dipindahkan ke ambulans lain.

Jurucakap bekas presiden itu mengesahkan kenderaan berkenaan mempunyai masalah enjin dan bekas pemimpin yang berusia 94 tahun itu terpaksa menunggu hampir 40 minit dalam kesejukan sementara menanti ketibaan ambulans lain.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dihadapi Mandela kerana beliau sentiasa diawasi oleh jururawat yang bertanggungjawab menjaganya. - Agensi

20 maut militan serang pusat pemeriksaan polis

Posted: 22 Jun 2013 09:09 AM PDT

KUNDUZ, Afghanistan 23 Jun - Seramai 18 militan Taliban dan dua anggota polis terbunuh apabila pemberontak melancarkan serangan di pusat pemeriksaan polis di utara Afghanistan, semalam.

Menurut jurucakap polis wilayah Kunduz, Sayed Sarwar Hosseini, militan Taliban itu menyerang polis di pusat pemeriksaan di daerah Qala-e-Zal kira-kira jam 12.30 tetapi berdepan dengan rintangan di mana 18 penyerang terbunuh dan 11 lagi cedera.

Katanya lagi, serangan itu menyebabkan dua anggota polis tempatan, tiga komander Taliban dan seorang polis asing terbunuh. - DPA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Peluang generasi muda miliki rumah

Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT

Oleh SALEHUDIN M,AT RASAD
utusanktn@gmail.com

MARAN 22 Jun - Pelaksanaan projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) di Felda Wilayah Jengka merupakan anjakan baharu kerajaan menyediakan rumah mampu milik kepada generasi baharu di tanah rancangan.

Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Saari Din (gambar) berkata, pembinaan projek itu bertujuan memberi peluang kepada golongan itu yang layak memiliki rumah sesuai dengan kemampuan mereka.

Menurutnya, projek yang dilaksanakan agensi kerajaan itu adalah bergantung kepada lokasi, kesesuaian tanah dan juga permintaan daripada penduduk setempat.

"Projek perintis PGBF di Felda Padang Piol sudah siap disusuli dengan projek di tanah rancangan lain seperti Felda Jengka 1, Felda Jengka 2, Felda Kota Gelanggi 2 dan 4, Felda Sungai Retang dan Jengka 11.

"Projek perumahan di Felda Siantan Jengka 19 yang dibina lebih awal sedang dalam proses kerja-kerja akhir dan akan dijual kepada yang layak tidak lama lagi," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Jelasnya, PGBF yang akan dilaksanakan di semua tanah rancangan Felda secara berperingkat merupakan satu tanggungjawab sosial Felda kepada warga peneroka.

Menurutnya, rumah yang dibina adalah dalam bentuk Sistem Binaan Industri (IBS) atau lebih dikenali sebagai rumah pasang siap.

Saari berharap generasi baharu terbabit perlu bersabar menunggu kehadiran projek berkenaan tiba di tanah rancangan mereka memandangkan jumlah kontraktor berkelayakan melaksanakan projek itu adalah terhad.

Beliau turut mengingatkan golongan itu supaya terus mengukuhkan rasa kasih terhadap Felda kerana banyak berjasa kepada generasi pertama yang berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Penghargaan itu membuktikan mereka merupakan generasi yang berbudi dan sentiasa bersyukur terhadap nikmat keselesaan pembangunan negara," ujarnya.

Penduduk minta Perhilitan pindahkan gajah liar

Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT

Hamizi Abdul Rahman (kiri) dan Shahrul Nizam Mansor menunjukkan kebun pisang milik seorang penduduk yang musnah akibat pencerobohan sekumpulan gajah di Kampung Kuala Kechau, Kuala Lipis, Pahang, kelmarin.

KUALA LIPIS 22 Jun - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) diminta melakukan segera operasi memindahkan sekumpulan gajah liar yang mengganggu dan menceroboh kawasan pertanian Kampung Kuala Kechau sejak akhir-akhir ini.

Ketua Kampung Kuala Kechau, Hamizi Abdul Rahman berkata, kekerapan empat ekor gajah itu menceroboh kawasan tanaman menyebabkan petani terpaksa menanggung kerugian besar.

Tambahnya, penduduk diselubungi kebimbangan sejak lima tahun lalu berikutan kehadiran haiwan liar itu yang kali terakhir dilihat berkeliaran di kebun mereka pada 13 Mei lalu.

"Gajah ini memusnahkan tanaman penduduk seperti kelapa sawit, getah, pisang dan pokok buah-buahan," katanya kepada pemberita di Kuala Kechau di sini semalam.

Menurut Hamizi, berikutan ancaman berkenaan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) itu mengambil alternatif meminta penduduk melaksanakan kawalan pemantauan di kawasan kebun pada setiap malam.

Bagi seorang penduduk, Shahrul Nizam Mansor, 26, walaupun petani menggunakan sistem keselamatan seperti atap zink dan pagar elektrik, namun peralatan tersebut tidak menghalang gajah berkenaan menceroboh ke kawasan kebun.

"Ancaman gajah ini menghalang niat saya membesarkan kawasan pertanian dan terpaksa berfikir banyak kali untuk melebarkan projek ini berikutan usaha sebelum ini musnah dalam sekelip mata akibat dilanyak haiwan berkenaan," ujarnya.

Katanya, walaupun beberapa kali dihalau, namun haiwan tersebut tetap masuk ke kampung apabila habitatnya diganggu dan kekurangan makanan.

Dalam pada itu, Penghulu Mukim Kuala Lipis, Mohd. Nazri Abdul Kadir berkata, pihaknya menghantar surat kepada pemimpin setempat dan Perhilitan untuk memaklumkan kejadian berkenaan serta kerosakan tanaman dihadapi oleh petani.

"Ancaman gajah liar mengundang rasa bimbang dan takut dalam kalangan penduduk untuk ke kebun selain menanggung banyak kerugian," katanya.

Ibu rayu Mahsuri pulang

Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT

che Abidah Che Man menunjukkan gambar Mahsuri semasa ditemui di Kampung Aur Gading, Kuala Lipis, Pahang kelmarin.

KUALA LIPIS 22 Jun - Seorang ibu merayu anak perempuannya, Mahsuri Es Amira Abdul Halim, 20, yang menghilangkan diri sejak dua bulan lalu dipercayai kerana mengikut teman lelakinya agar pulang ke pangkuan keluarga segera.

Che Abidah Che Man, 53, yang menetap di Kampung Aur Gading di sini mengakui bimbang dengan keadaan anaknya itu apatah lagi Mahsuri merupakan penuntut tahun akhir di sebuah kolej swasta.

Tambahnya, Mahsuri yang merupakan anak keenam daripada tujuh beradik tidak pernah berselisih faham dengannya mahupun keluarga malah merahsiakan perhubungannya itu.

"Kami sekeluarga tidak mengenali lelaki tersebut yang dipercayai warga tempatan. Mahsuri tidak pernah menceritakan dia ada teman lelaki dan kami pun juga tidak tahu peribadi lelaki itu," katanya di sini kelmarin.

Menurut Che Abidah, kehilangan Mahsuri hanya diketahui apabila anak lelakinya, Mohd. Nazri, 22, menghantar barangan keperluan adiknya itu, namun rakan sebilik memaklumkan gadis berkenaan tiada di situ.

"Akibat rasa bimbang, saya sekali lagi meminta Mohd. Nazri pergi ke tempat pengajian itu pada 20 Mei lepas, tetapi rakan sebiliknya memberitahu Mahsuri tidak muncul sejak 3 Mei lalu," ujarnya.

Che Abidah berkata, usaha mencari Mahsuri telah dilakukan di Kuantan dan Kuala Lumpur selain menghubungi saudara mara di merata tempat tetapi gagal.

"Kami sekeluarga sekarang mula buntu tambahan pula kesihatan saya menjadi tidak menentu kerana asyik memikirkan Mahsuri," katanya.

Tambah Che Abidah, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuantan dan sehingga ini masih menunggu laporan serta berita mengenai anaknya.

Katanya, orang ramai dan kenalan Mahsuri yang ternampak atau mengetahui mengenai kedudukan gadis berkenaan boleh menghubunginya di talian 014-2331854 atau 0111-2949336.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Perbezaan Turki dan Anwar

Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT

Azmi Hassan

KETEGASAN kepimpinan Turki terhadap peserta demonstrasi dilihat antara jalan terbaik bagi kerajaan menangani masalah yang timbul tetapi situasi berbeza dilihat berlaku di Malaysia di mana kerajaan dilihat lebih bertolak ansur.

DARI demonstrasi yang dikatakan bermula secara aman keadaan di Turki kini dilihat semakin tegang. Malah dalam kenyataan terbaru pihak kerajaan tidak menolak kemungkinan akan mengerahkan pihak tentera bagi menangani konflik di negara berkenaan.

Dalam soal ini, strategi yang digunakan oleh Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan dalam menangani krisis tunjuk perasaan Turki boleh ditakrifkan sebagai agak keras dan keterlaluan kerana kekuatan organisasi keselamatan terutama polis telah digunakan secara maksimum untuk menahan dan mengekang mereka yang terlibat. Tetapi masalah penggunaan kaedah yang keras untuk menghadapi kumpulan tunjuk perasaan dalam saiz yang besar akan hanya berjaya buat seketika sahaja.

Walaupun pihak polis berjaya mengosongkan tempat tumpuan penunjuk perasaan iaitu di Dataran Taksim dan juga Taman Gezi, masalah baru telah timbul iaitu protes tersebut telah menjalar ke bandar lain seperti Ankara yang sebelum ini agak bebas dari sindrom protes yang lebih banyak berkisar di Istanbul. Keadaan di Turki masih boleh di kawal tetapi amat bergantung kepada bagaimana Erdogan meneruskan kaedah mengekang mengawal protes.

Tentangan terhadap rancangan pembangunan yang terletak di Taman Gezi hanyalah pemangkin kepada permulaan protes terhadap kerajaan Erdogan yang memerintah Turki secara ala diktator selama satu dekad. Memang benar pertembungan ini adalah di antara pihak Islam yang diterajui oleh kerajaan Erdogan melalui Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) dan pihak sekular/liberal yang menjadi dalang protes iaitu Parti Rakyat Republikan (CHP). Sejak menerajui kerajaan pada tahun 2002, Erdogan cuba menerapkan cara hidup Islam kepada rakyat Turki yang sebelum ini begitu selesa dengan gaya hidup liberal yang lebih mirip kepada pengaruh Barat. Masalahnya ialah Erdogan tidak mahu langsung bertolak ansur terhadap mereka yang menentang dan menolak dari mendengar suara-suara bantahan.

Memang agak mendukacitakan dengan apa yang berlaku di Turki yang dianggap sebagai negara Islam moden dan progresif yang boleh dijadikan model untuk negara islam lain yang sentiasa bergolak. Erdogan telah berjaya membawa Turki kepada suasana ekonomi jauh lebih makmur dan ketika pemerintahan beliau jumlah rakyat dari golongan kelas menengah meningkat dengan begitu mendadak. Begitu juga Erdogan cuba menjadikan Islam sebagai cara hidup bertentangan dengan sebelum ini yang lebih mirip kepada cara hidup Barat.

Masalahnya adalah pendekatan yang digunakan oleh Erdogan agak terlampau keras kerana walaupun wujud sedikit bentuk bantahan akan dibalas oleh beliau dengan hukuman maksimum. Turki mampu menjadi perantara kepada dunia barat dan Islam tetapi malapetaka yang sedang melanda bakal melenyapkan segala kelebihan yang dimiliki sebelum ini dan ia merupakan kerugian yang besar kepada dunia Islam.

Kecenderungan Turki kepada Barat bukan sahaja melibatkan gaya hidup rakyat mereka tetapi yang lebih kritikal adalah ia juga melibatkan kebergantungan terhadap ekonomi Eropah dan pengamalan dasar luar. Sebab itu Turki begitu beria-ia dengan cita-cita menjadi sebahagian dari Kesatuan Eropah (EU). Begitu juga dengan dasar Erdogan menyokong pemberontak Syria adalah selari dengan kehendak Barat. Sememangnya ada persamaan di antara protes Turki dengan ungkapan Arab Spring terutama sekali yang melibatkan Tunisia dan Mesir iaitu proses menukar rejim pemerintahan melalui revolusi atau kebangkitan rakyat.

Walaupun dinafikan oleh mereka yang terlibat dalam protes di Turki yang kononnya mereka membantah cara pemerintahan autokratik Erdogan, tetapi hakikatnya adalah sebahagian besar mereka yang terlibat dalam protes adalah dari pihak pembangkang seperti CHP. Pada ketika ini AKP pimpinan Erdogan adalah popular di kalangan rakyat Turki dan pilihan raya Presiden tahun hadapan umpamanya besar kemungkinan menjadi milik AKP. Sebab itu pembangkang menggunakan strategi protes rakyat yang sekurang-kurangnya dapat menghakis populariti Erdogan dan kedudukan beliau di arena antarabangsa.

Bukan menjadi rahsia lagi Erdogan cuba membawa Turki ke arah sebuah negara Islam tetapi berbeza seperti mana yang terdapat di beberapa negara Arab. Sedikit sebanyak Erdogan telah berjaya tetapi sentiasa mendapat tentangan kerana rakyat Turki amat biasa dengan gaya hidup sekular dan juga liberal. Tambahan pula sentiasa terdapat anasir luar yang tidak mahu melihat sebuah negara Islam di Eropah.

Kuku besi

Kesalahan perlu juga diletakan kepada pendekatan Erdogan kerana beliau cuba melaksanakan rancangan tersebut dengan begitu cepat dan di sini timbul persepsi pemerintahan ala kuku besi. Cara pemerintahan Erdogan adalah perintah dan belah iaitu menggunakan konsep sama ada rakyat Turki menerima cara pemerintahan beliau dan jika sebaliknya mereka yang menentang dianggap sebagai musuh.

Pemerintahan Erdogan boleh didefinisikan mempunyai sifat kuku besi bukan sahaja cara pendekatan keras menghadapi protes tetapi juga cara beliau berurusan dengan pembangkang. Pendekatan keras Erdogan perlu dilihat dari sudut sejarah pemerintahan Turki yang banyak dipengaruhi campur tangan tentera. Sebab itu Erdogan sedikit demi sedikit telah cuba mengendurkan pengaruh tentera dengan menghakis kuasa pemimpin tertinggi angkatan tentera.

Memang begitu ironi sekali jika Anwar dan Erdogan disifatkan mempunyai pertalian persahabatan yang rapat kerana pendekatan politik kedua-duanya agak bertentangan. Erdogan telah memenangi pilihanraya tiga penggal berturut dalam suasana pilihan raya yang telus dan adil dan ini diakui oleh masyarakat antarabangsa. Tetapi pendekatan Anwar menggunakan protes keputusan pilihan raya Malaysia sebagai asas perhimpunan haram adalah sinonim dengan apa yang dihadapi oleh Erdogan ketika ini.

Cuma yang berbeza adalah Erdogan menggunakan pendekatan yang keras menghadapi protes ala Anwar di Turki tetapi pihak berkuasa Malaysia memberi ruang kepada rakyat untuk menyuarakan bantahan tetapi mesti mengikut lunas undang-undang sedia ada. Mungkin ada sesetengah pihak beranggapan kerajaan Malaysia terlalu berlembut, tetapi perlu ditekankan tindakan keras ala Erdogan di Malaysia boleh membawa mudarat jika tidak dilakukan dengan betul dan itulah yang sebenarnya dihajati oleh penganjur perhimpunan.

Sememangnya Anwar patut mencari teladan dengan apa yang berlaku di Turki lebih-lebih lagi jika beliau menyifatkan mempunyai hubungan intim dengan Erdogan. Masalahnya adalah Anwar bertindak sebagaimana pembangkang Turki CHP yang menjadi dalang utama protes. Dalam setiap pilihan raya sukar bagi CHP untuk menewaskan AKP pimpinan Erdogan.

Cara terbaik CHP melunturkan pengaruh AKP adalah menggunakan rakyat untuk melakukan protes dan pemusnahan Taman Gezi dijadikan pemangkin untuk membakar semangat mereka yang terpengaruh. Sama juga di Malaysia protes terhadap keputusan pilihanraya dan SPR hanyalah digunakan sebagai penyebab untuk membakar sentimen supaya kestabilan dan kepercayaan terhadap kerajaan memerintah dapat di hakis sedikit demi sedikit.

Suasana politik dan cara hidup di antara Turki dan Malaysia adalah jauh berbeza walaupun kedua-duanya adalah negara Islam. Tidak salah Turki dijadikan idola sebagai negara Islam kerana kepimpinan Turki d bawah Erdogan mempunyai kewibawaan untuk menjadi perantara kemelut yang melanda negara Islam seperti Palestin dan Syria.

Tetapi timbul persoalan apabila Turki hendak dijadikan acuan kepad model negara Islam di Malaysia kerana Erdogan menghadapi banyak rintangan dalam usaha beliau membawa Turki ke arah yang lebih bersifat Islam kerana kesilapan pendekatan beliau. Perlu diungkit ketika Presiden Barack Obama membuat ucapan yang ditujukan khas kepada negara Islam pada tahun 2009, beliau secara spesifik merujuk Malaysia sebagai negara Islam moden dan progresif yang perlu dicontohi oleh negara lain dan Obama langsung tidak menyentuh Turki dalam hal ini.

Masalah yang di hadapi oleh Erdogan dinilai sebagai lebih kritikal berbanding pada mula tercetus protes rakyat Turki tiga minggu lepas. Ini adalah kerana protes tidak terhad di Instabul sahaja tetapi telah merebak ke bandar raya lain. Lebih memburukkan lagi keadaan adalah ia tidak bersangkut paut dengan politik tempatan sahaja tetapi ada kena mengena dengan pihak ketiga di luar Turki. Apabila rakyat Turki telah dipergunakan oleh pihak ketiga dari luar maka keadaan dijangka akan menjadi lebih sukar untuk Erdogan kerana hasrat pihak ketiga lazimnya tidak selari dengan hasrat dan kehendak rakyat Turki.

Erdogan dan AKP pada ketika ini masih mendapat sokongan padu dari rakyat Turki terutama sekali dari golongan kelas menengah kerana kemakmuran ekonomi yang dikecapi adalah dari hasil usaha Erdogan. Turki akan menghadapi Pilihan Raya Presiden pada 2014 dan selepas itu Pilihan Raya Parlimen pada tahun 2015. Walaupun digambarkan protes berlaku secara berleluasa tetapi sebenarnya hanya jumlah kecil yang terlibat secara langsung. Media terutama sekali dari barat cuba memperbesarkan isu protes dengan harapan memberi gambaran buruk terhadap kerajaan Erdogan.

Mungkin Erdogan telah dicela oleh pemimpin antarabangsa lain tetapi aura beliau masih kukuh di kalangan majoriti rakyat Turki kerana sebahagian besar rakyat Turki mengetahui senario sebenar.

Anwar sebenarnya telah mengambil iktibar dengan apa yang telah melanda Turki dan Erdogan. Cuma masalahnya adalah pengajaran tersebut digunakan sebagai modus operandi perhimpunan haram 505 untuk mencapai cita-cita politik beliau. Paling penting bagi rakyat Malaysia adalah perlu menyedari bahawa setakat mana mereka boleh dipergunakan demi mencapai cita-cita politik pihak tertentu.

Kemakmuran ekonomi Turki bakal terbantut kerana protes berterusan. Pemimpin tertinggi mereka telah dicela oleh masyarakat antarabangsa. Peranan Turki dalam menyelesaikan isu antarabangsa seperti Palestin dan Syria semakin terhakis. Begitu juga dengan krisis dalaman pemberontak Kurdis, Erdogan dilihat telah kehilangan kelebihan.

Jika masih ada yang berpegang kepada kepercayaan perhimpunan haram 505 mampu menyelesaikan tuntutan mereka, maka tidak menghairankan Malaysia juga boleh menghadapi hari gelap seperti Turki. Menjadi harapan perhimpunan Padang Merbok adalah kali terakhir kerana medan untuk berhujah di Parlimen akan bermula Selasa ini dan gunakanlah peluang ini sebaik-baiknya.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.

BISIK-BISIK : Tahniah Malaysia

Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT

MENGAPA perhimpunan haram Blackout 505 di ibu negara semalam, gagal mendapat sambutan, adalah persoalan yang menarik perhatian ramai.

Di sebalik kempen dan promosi agresif selama dua bulan, sokongan NGO asing serta pelbagai gimik dan provokasi luar biasa, perhimpunan tersebut berakhir hambar.

Beberapa pemerhati dan diplomat asing serta wakil media antarabangsa yang memantau perhimpunan menganggarkan sekitar 20,000 orang hadir.

Sasaran menghimpunkan setidak-tidaknya lebih 500,000 dalam program yang disifatkan sebagai kemuncak bantahan terhadap keputusan PRU-13, jauh daripada tercapai.

Penganjur yang diketuai oleh Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim ternyata kecewa. Beliau seperti kurang bersemangat ketika tampil berucap buat seketika sebelum beredar meninggalkan para peserta.

Bagi menutup kegagalan perhimpunan itu, Anwar mengaitkannya dengan jerebu yang turut melanda Kuala Lumpur. Awang hanya senyum mendengar alasan seperti itu.

Sebenarnya rakyat Malaysia sudah penat dengan politiking yang keterlaluan. Rakyat juga semakin sedar bahawa perhimpunan haram itu adalah agenda peribadi Anwar yang mahu mencetuskan huru-hara bagi menjatuhkan kerajaan.

Perkembangan semalam menyerlahkan suatu lagi realiti. Pengaruh Anwar semakin terhakis. Ramai ahli Pas misalnya enggan menyertai perhimpunan tersebut kerana tidak lagi meyakini beliau atas isu moral, integriti hinggalah kepada pendiriannya yang banyak memudaratkan Islam, bangsa dan negara.

Ia adalah isyarat jelas kepada Anwar. Jangan terus menghina diri sendiri. Sudah sampai masa beliau mengotakan janjinya untuk menjadi pensyarah di luar negara jika pakatan gagal memerintah.

Kepada rakyat Malaysia, Awang ucapkan tahniah kerana memperlihatkan kematangan dengan menolak ekstremisme dan sandiwara politik. Begitu juga kepada pasukan polis yang melaksanakan tugas dengan tenang dan sabar di sebalik segala bentuk provokasi dan penghinaan.

Doa dan solat hajat umat Islam sama ada yang dilakukan secara bersendirian mahu pun berjemaah memohon agar negara diselamatkan daripada sebarang perancangan jahat dan kesan buruk perhimpunan itu, dimakbulkan. Alhamdulillah.

Sehebat-hebat manusia membuat percaturan dan muslihat, ia tidak mampu mengatasi ketentuan-Nya. Anwar sepatutnya menginsafi hakikat itu.

- Awang Selamat

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


CCAM sasar RM3 juta jualan filem, drama di Vietnam

Posted: 21 Jun 2013 10:44 PM PDT

Daripada ABD. AZIZ ITAR

HANOI 22 Jun - Pertubuhan Kandungan Kreatif Malaysia (CCAM) mensasarkan RM3 juta dapat diperoleh menerusi penjualan filem dan drama tempatan pada Pameran Filem dan Teknologi Televisyen Antarabangsa Vietnam yang berakhir semalam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CCAM, Datuk Mohd. Mahyiddin Mustakim, sasaran itu berdasarkan pencapaian pada program Pasaran Filem Istanbul di Turki Mac lalu yang turut menjana RM3 juta.

"RM3 juta tidak mustahil untuk dicapai memandangkan Vietnam mempunyai pasaran pawagam dan televisyen yang luas untuk diterokai. Apatah lagi, ini adalah kali pertama CCAM cuba memasuki pasaran Vietnam sejak ditubuhkan setahun yang lalu.

"Kami optimis kerana pada Pasaran Filem di Cannes, Perancis April lalu, CCAM berjaya menjual produk drama dan filem dari Malaysia dengan nilai jualan mencecah RM25 juta," katanya kepada Utusan Online di sini.

Sejak ditubuhkan Mac tahun lalu di bawah program Bidang Keberhasilan Negara dengan sokongan Jabatan Perdana Menteri, CCAM telah menyertai banyak pameran filem antarabangsa dan Pameran Filem dan Teknologi Televisyen Antarabangsa Vietnam ini adalah yang ke-14. - UTUSAN ONLINE

Kevin bawa ayah main golf

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

Gambar ROSMAYNI JAMALI
Aktiviti Anjuran Kelab MARPA Agensi Nuklear Malaysia dengan kerjasama Majalah i-Sihat dan Shaklee.

KEVIN akan membawa ayahnya (berbaju putih) dan mertua (berseluar merah) setiap kali keluar bersukan.

Tetapi kini, semakin ramai yang melibatkan diri dengan sukan terbabit. Kita boleh melihat di mana-mana sahaja padang golf akan dipenuhi peminat sukan itu terutamanya pada hujung minggu.

Padang yang menghijau dan suasana aman serta tenang membuatkan hati semakin terpaut untuk menyertai sukan tersebut. Golf memang hebat dan menarik jika ada yang ingin mencuba sukan itu.

Tidak kurang juga, ada yang mengatakan sukan ini sangat membosankan. Namun, bagi selebriti ini, golf adalah satu sukan yang sangat menarik dan sangat indah.

"Jangan kata sesuatu perkara itu bosan sebelum kita mencubanya. Persepsi seperti itu perlu dibuang. Kalau hendak sihat, kita perlu aktif dalam apa sahaja sukan. Tidak kiralah ia bosan ataupun tidak. Cuba dulu.

"Bagi saya, golf adalah satu permainan yang paling susah. Kenapa saya katakan ia susah? Hal ini kerana, semasa bermain golf, kita perlukan konsentrasi terutama untuk memasukkan bola ke dalam lubang yang dituju.

"Pukulan mesti tepat mengenai lubang. Tanpa fokus, mungkin kita akan tersasar. Pukulan sahaja kuat tetapi bola entah ke mana," gurau Kevin Zahri ketika ditemui S3 di Kajang, Selangor baru-baru ini.

Gurau senda penasihat kesihatan itu memang mencuit hati. Akui Kevin, bersukan adalah aktiviti utama buat dirinya sejak sekolah lagi.

Tidak hanya bermain golf, Kevin, 35, juga aktif dalam sukan lain seperti tenis, skuasy, futsal, badminton dan pingpong.

"Penglibatan saya dalam sukan memang sudah lama. Saya menyertai sukan terutamanya tenis sejak usia lima tahun lagi. Sejak kecil, saya sangat gembira jika dapat bersukan.

"Mungkin ada orang akan kata sukan golf itu mahal. Tetapi bagi saya, duit tidak menjadi masalah jika kita ingin kekal sihat. Saya tidak pernah mempersoalkan tentang bayaran setiap kali ingin bersukan," katanya yang selalu bermain tenis dua kali seminggu bersama rakan-rakan.

Bercerita mengenai indahnya sukan golf, Kevin berkata, golf bukan sahaja memberi manfaat kepada fizikal tetapi juga mental.

"Boleh dikatakan, sukan ini memberi faedah yang cukup bermakna. Banyak kalori akan terbakar jika kita bermain golf dalam keadaan cuaca lembap dan panas seperti di Malaysia.

"Ia sama juga seperti kita bersenam di atas treadmill dan melakukan aerobik. Lainnya sukan golf, selain memukul bola, kita juga akan berjalan dari satu lubang ke lubang yang lain. Disebabkan itu, kalori dalam badan kita akan terbakar.

"Dalam masa yang sama juga, kita dapat menikmati suasana sekeliling yang hijau serta tenang. Sukan golf adalah satu riadah yang bagus dan merupakan senaman yang baik untuk kesihatan minda dan fikiran," jelasnya panjang lebar.

Memang banyak kelainan apabila bermain golf. Bukan sahaja fizikal, tetapi dengan ketenangan dan kedamaian, kita mampu mengurangkan tekanan kerja apabila seharian berada di pejabat.

Bawa ayah bersama

Setiap kali keluar bersukan, yang menariknya, Kevin akan membawa ayahnya sekali.

Kalau dulu, sukan-sukan seperti badminton, futsal, dan tenis mampu dibuat oleh ayah Kevin, tetapi usia yang sudah meningkat menghalangnya untuk melakukan banyak pergerakan.

Tetapi bagi Kevin, dia memilih sukan golf untuk ayahnya kerana berpendapat sukan itu adalah untuk semua orang tidak kira peringkat usia.

"Saya akan menyokong dan memberi semangat kepada ayah untuk bersukan walaupun usia sudah lanjut. Golf adalah antara sukan pilihan kerana tidak memerlukan pergerakan laju seperti bermain badminton mahupun tenis.

"Saya pastikan ayah tidak terlibat dengan sukan lasak tetapi cukup sekadar dapat mengeluarkan peluh memandangkan keadaan dia yang sudah tua," ujarnya yang turut membawa ayah mertua untuk bersukan sekali.

Menurut Kevin, bersukan juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim di antara dia, ayahnya dan keluarga mertua.

"Sebab itulah, saya pilih bersukan sebagai aktiviti untuk saya meluangkan masa bersama ayah. Pasti ikatan kekeluargaan akan lebih erat," tambahnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Megabait

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Megabait


Belajar gitar secara moden

Posted: 22 Jun 2013 05:42 AM PDT

MUZIK merupakan satu cabang seni yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan terutamanya golongan remaja.

Meskipun sedap didengar dan mudah dihayati, namun bukan mudah untuk memainkan alat muzik itu bagi menghasilkan alunan yang boleh mendamaikan jiwa seseorang.

Setiap individu yang ingin menguasai sesebuah alat muzik perlu menjalani latihan berterusan dan lebih baik jika mengikuti latihan formal di bawah bimbingan pemuzik profesional.

Antara peralatan muzik yang paling popular untuk dijadikan asas memahirkan diri dalam bidang itu adalah gitar.

Selain mudah diperoleh, latihan bermain gitar boleh dilakukan secara santai dan hanya berpandukan kawan.

Namun bagi mereka yang ingin mengikuti latihan bermain gitar dengan lebih tersusun tetapi malas atau malu mengikuti kelas, bolehlah mencuba gajet gTar yang dibangunkan oleh Incident.

Gajet ini memberikan pelbagai kemudahan kepada mereka yang mahu bermain gitar dengan lebih mudah dan menghiburkan.

Reka bentuk seakan gitar sebenarnya memberikan pengalaman menarik kepada pemain bagi merasai sendiri keunikan gitar.

Gitar pintar yang menyediakan lampu LED di fred itu akan memberitahu pemain di mana tempat sepatutnya tali itu ditekan mengikut nota-nota muzik yang disediakan.

Ini secara tidak langsung memberikan kemudahan dan tunjuk ajar kepada pemain untuk mengenali nota-nota muzik dengan lebih baik.

Gitar ini juga dilengkapi dengan tali bagi membolehkan pemain bermain gitar sebenar selepas belajar dengan gTar.

Namun kamu tidak perlu risau jika tali itu tidak mengikut kedudukan sebenar kerana sistem gTar adalah secara elektronik.

Ia turut dilengkapi sensor di bahagian pemetik tali untuk mengetahui bahagian mana yang dipetik walaupun pergerakan dan petikan tali perlahan.

Lebih menarik, gTar ini sebenarnya perlu dimainkan dengan aplikasi yang dibangunkan untuk telefon pintar iPhone.

Melalui aplikasi ini, pemain dapat memainkan lagu-lagu yang diminati dengan lebih mudah dan pantas serta boleh memilih sama ada mahu bermain secara akustik atau elektrik.

Mereka yang mahu belajar dan bermain gitar, bolehlah dapatkan gajet ini pada harga RM1,250. - AMIRUL

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Jejak alam ghaib

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

Kelibat dua lembaga menyerupai pontianak dapat dirakamkan oleh WPT semasa kajian aktiviti paranormal di sebuah bangunan runtuh di Kuala Lumpur.

AKTIVITI paranormal atau mistik sering mendapat perhatian masyarakat tidak kira sama ia disampaikan melalui penceritaan, pengalaman mahupun kisah-kisah seram di layar perak.

Namun sejak 10 tahun kebelakangan ini perkara itu menjadi aktiviti sekumpulan individu yang cuba merungkai aktiviti ini dengan pendekatan moden dan saintifik.

Penggunaan gajet-gajet seperti kamera infra merah, tolok suhu, kamera video dan sebagainya adalah senjata bagi merungkai sesuatu misteri.

Lokasi seperti rumah lama, rumah tinggal, bangunan-bangunan kosong menjadi medan kegiatan mereka termasuk hutan dan taman rekreasi.

Sudah pasti mereka yang benar-benar berani sahaja mampu melakukan aktiviti sebegini yang bukan sahaja mencabar kekuatan fizikal bahkan mental.

Bermain dengan perasaan takut, seram, berdebar-debar adalah perkara biasa. Bak kata orang, alah bisa tegal biasa.

Persediaan psikologi dan kerohanian juga penting jika bermain dengan alam ghaib.

Gangguan makhluk halus seperti pontianak dan pocong sememangnya dicari oleh mereka yang melakukan aktiviti ini bagi mendapatkan kepuasan.

Minggu ini .com bersama dua kumpulan aktiviti paranormal iaitu Wujud Paranormal Team dan Lenza Paranormal berkongsi pengalaman di sebuah banglo tinggal di ibu kota.

Dua orang sukarelawan turut digunakan bagi merakamkan aksi-aksi cemas dan menyeramkan oleh dua kumpulan tersebut.

- AZRIN/GHAZALI

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Hulur bantuan tanpa mengira fahaman politik

Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT

Aishah Salleh (kiri) menyerahkan cek sumbangan bantuan kepada salah seorang wakil Pusat Pemulihan Dalam Komuniti sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-5 Kasih di Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 22 Jun - Badan Amal dan Kasih Selangor (Kasih) diminta supaya sentiasa meneruskan komitmen dengan menghulurkan bantuan kepada masyarakat tanpa mengira fahaman politik.

Yang Dipertua Kasih, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, bantuan yang diberikan bagi membantu golongan sasar khususnya rakyat Selangor merupakan salah satu usaha untuk mendekatkan diri dengan masyarakat.

Menurut isteri Perdana Menteri, sepanjang penubuhan Kasih, badan amal tersebut giat menjalankan aktiviti amal dan program kemasyarakatan untuk golongan yang kurang bernasib baik di negeri ini.

"Sebagai contoh golongan orang kurang upaya (OKU) merupakan komuniti istimewa dan tidak dinafikan mereka juga mempunyai peranan dalam proses pembangunan negara.

"Kita tidak melupakan golongan tersebut, buktinya kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan serta mengadakan program bagi golongan itu," katanya dalam ucapan perasmian mesyuarat agung tahunan ke-5 Kasih di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Naib Yang Dipertua Kasih, Datin Seri Dr. Aishah Salleh.

Terdahulu, Aishah yang juga isteri kepada Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Noh Omar, menyampaikan cek bantuan RM1,000 kepada 42 pusat pemulihan dalam komuniti Kasih di negeri Selangor untuk menjaga dan melatih anak-anak OKU.

"Selain menambah pusat pemulihan itu, Kasih juga menjalankan beberapa usaha seperti membimbing dan menyediakan peluang pekerjaan serta perniagaan kepada golongan istimewa itu," katanya.

Pemandu teksi, peniaga terjejas

Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT

Oleh syukri shaari
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 22 Jun - Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Wilayah Persekutuan dan Selangor (Perpekli) menyelar kedegilan pembangkang menganjurkan perhimpunan haram di pusat bandar raya kerana menjejaskan mata pencarian mereka.

Presidennya, Datuk Aslah Abdullah berkata, beliau menerima laporan banyak jalan terpaksa ditutup ekoran perhimpunan haram itu sehingga menyukarkan pemandu teksi dan kereta sewa beroperasi.

Menurutnya, perkara itu menjejaskan pendapatan pemandu teksi dan kereta sewa memandangkan golongan tersebut tidak bebas mencari pelanggan di kawasan yang sering menjadi tumpuan.

Malah, tambah beliau, perhimpunan haram itu juga menyebabkan imej pemandu teksi tercalar kerana dikatakan cuba mengaut keuntungan berganda.

"Akibat jalan ditutup, pemandu teksi terpaksa mengubah haluan dan mengambil jarak lebih jauh untuk sampai ke destinasi. Sudah tentu penumpang akan mempertikaikannya dan menyangka kami sengaja mahu berbuat demikian untuk kaut untung," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas penganjuran perhimpunan haram anjuran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Padang Merbok di sini, serta di beberapa lokasi lain sekitar ibu kota yang mendatangkan kesusahan kepada banyak pihak.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah turut melahirkan rasa kesal kerana perhimpunan haram tersebut mengganggu aktiviti perniagaan peniaga kecil di sekitar ibu kota.

"Lori-lori yang menghantar barang keperluan tidak dapat sampai pada waktunya sehingga menyebabkan kelancaran urusan peniaga terutamanya pengusaha kecil terganggu," katanya.

Menurut beliau, Ikhlas tidak akan berdiam diri lagi selepas ini sekiranya pembangkang tetap berdegil mengadakan perhimpunan haram pada masa depan dan akan memikirkan langkah sesuai sebagai menunjukkan rasa tidak puas hati.

Rakyat Indonesia pilih Malaysia destinasi pelancongan kesihatan

Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT

Sebahagian daripada 90 pelancong Indonesia yang menyertai Majlis Kayuhan Basikal Malaysia-Indonesia di Dataran Putra, Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 22 Jun - Sebanyak 20 peratus daripada 2.3 juta pelancong Indonesia yang mengunjungi negara ini pada tahun lepas adalah untuk mengikuti pakej pelancongan kesihatan.

Pengarah Bahagian Pemasaran Antarabangsa (Asia Tenggara) Tourism Malaysia, Syed Yahya Syed Othman berkata, kebanyakan mereka datang dari Medan dan Sumatera.

Beliau berkata, Pulau Pinang menjadi destinasi pilihan utama mereka untuk mendapatkan rawatan perubatan berbanding Kuala Lumpur yang menjadi tempat kedua.

"Harga berpatutan, perkhidmatan memuaskan dan kemudahan kelengkapan selesa yang disediakan oleh hospital swasta di sini antara faktor yang menarik perhatian mereka berbanding negara lain.

"Selain itu, jarak perjalanan yang dekat dan kemudahan penerbangan seperti ditawarkan oleh Sriwijaya Air memudahkan lagi mereka mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Kayuhan Basikal Malaysia-Indonesia di Dataran Putra, di sini hari ini.

Terdapat seramai 90 pelancong dari negara itu menyertai program kayuhan tersebut.

Kesempatan itu digunakan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk mempromosikan Putrajaya sebagai salah satu destinasi pilihan pelancongan di negara ini.

Syed Yahya berkata, seramai 630,419 pelancong dari Indonesia dicatatkan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Beliau berkata, jumlah itu mengalami peningkatan sebanyak 21 peratus berbanding tempoh sama bagi tahun sebelumnya.

"Setiap tahun kita menyasarkan berlaku peningkatan sebanyak 15 peratus kedatangan pelancong dari Indonesia ke negara ini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved