Sabtu, 22 Jun 2013

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Jerebu: 65,000 'topeng' diedar

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

PETUGAS Pusat Khidmat Parlimen Muar mengedarkan penutup mulut dan hidung kepada orang ramai di Muar, Johor semalam.

MUAR 21 Jun - Pusat Khidmat Parlimen Muar mengedarkan sebanyak 65,000 penutup hidung dan mulut secara percuma di beberapa lokasi awam di sini, walaupun Indeks Pencemaran Udara (IPU) di daerah ini hari ini menurun kepada 200 berbanding paras bahaya sehingga 383 semalam.

Setiausaha sulit kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Shahnor Samsudin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 20,000 diedarkan di hadapan Pasaraya Wetex dan 20,000 lagi di lebih 10 masjid manakala bakinya akan diedarkan di tempat awam lain termasuk 10,000 kawasan luar bandar.

"Di kawasan luar bandar pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ketua kampung akan mengagihkannya. Pemberian ini adalah inisiatif Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim kerana keadaan jerebu di Muar yang masih belum pulih.

"Kita mahu orang ramai berjaga-jaga dan sedar bahaya jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan," katanya ketika pemberita di sini hari ini.

Masalah jerebu sejak hampir seminggu lalu berpunca daripada kebakaran hutan dan kebun seluas kira-kira 150 hektar di Kampung Mumugokabupaten, di Bukit Timah, Kota Dumai, Indonesia akibat cuaca panas melampau.

Kebakaran tersebut yang turut memberi kesan kepada Singapura dikatakan masih belum dapat dihentikan sehingga kini dengan mencatat bacaan IPU melebihi 600.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di bandar ini mendapati, meskipun jarak penglihatan kurang satu kilometer namun orang ramai masih menjalankan aktiviti seperti biasa dengan sebahagian besar mereka menggunakan topeng penutup hidung dan mulut.

Penduduk, Sam Hussin, 34, berkata, dia berharap kerajaan segera menyelesaikan masalah itu sebelum keadaan bertambah buruk dan tidak terkawal melalui usaha seperti pembenihan hujan.

"Saya sudah mula batuk dan pening empat atau lima hari sebelum ini. Setakat ini, ramai yang meluahkan kebimbangan di laman-laman sosial meminta kerajaan segera berbuat sesuatu," katanya.

Bagi Anis Abdul Hamid, 67, rutin hariannya masih berjalan seperti biasa cuma mengehadkan aktiviti di luar rumah memandangkan jerebu kali ini adalah yang paling teruk melanda Muar.

Katanya, dia turut mengalami pening serta pedih tekak sejak tiga hari lalu selain sukar bernafas kerana keadaan jerebu yang teruk.

Tiga ditangkap bersama Eramin 5

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

ZULKEFLY Yahya (tengah) menunjukkan pil Eramin 5 yang dirampas dalam serbuan di Taman Mas, Rabu lalu dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulaijaya semalam.

KULAIJAYA 21 Jun - Polis menumpaskan aktiviti pengedaran dadah selepas menangkap tiga lelaki dan merampas 1,500 biji pil Eramin 5 dalam satu serbuan di Jalan Setia, Taman Mas di sini kelmarin.

Tangkapan dibuat hasil pemeriksaan polis ke atas sebuah trak pikap jenis Nissan Frontier dinaiki suspek.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Zulkefly Yahya berkata, polis menemukan satu beg kertas mengandungi tiga bungkusan plastik lutsinar berisi dadah di atas alas kaki bahagian pemandu kenderaan itu.

"Dalam plastik lutsinar itu terdapat 1,500 biji pil Eramin 5 dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM22,500," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah hari ini.

Tambah beliau, polis turut merampas kenderaan dinaiki ketiga-tiga lelaki berusia antara 30 hingga 39 tahun itu yang bekerja sambilan di tapak pembinaan selain dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, dadah Eramin 5 yang dijual pada harga RM15 sebiji itu dipercayai untuk pasaran tempatan.

Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman sehingga 26 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Stail hadiri temuduga

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

JAKET bagi lelaki seeloknya mengikut keadaan semasa sesi temuduga. Pastikan ia selesa kerana Malaysia bukan sebuah negara empat musim.

CARA berpakaian boleh memberikan persepsi terhadap personaliti seseorang itu sama ada dia berkarisma, mempunyai keyakinan tinggi atau sebaliknya.

Justeru, cara berpakaian semasa menghadiri temuduga amat penting kerana ia akan memberikan gambaran pertama tentang diri kamu.

Apatah lagi dalam keadaan persaingan yang begitu sengit akibat kebanjiran graduan, maka faktor pakaian jangan diambil mudah.

Kamu perlu berkeupayaan untuk memberikan impak segera kepada bakal majikan bahawa kamu adalah individu yang boleh menjadi aset berharga syarikat atau jabatan.

Ketika menghadiri temuduga pastikan pakaian kamu tidak keterlaluan, kemas, bersesuaian dengan kerja yang dipohon serta berpadanan dengan umur.

Bagi lelaki, pemakaian yang kemas dan mengikut protokol adalah lebih mudah berbanding pemakaian wanita.

Namun dalam keadaan mudah itu membuatkan lelaki akan tampak sama sahaja, tiada berbeza daripada yang lain.

Di sini timbul cabaran untuk menonjolkan personaliti diri kamu.

Bagi wanita pula, kamu boleh memilih gaya korporat mahupun gaya biasa yang lebih tradisional atau moden. Ini kerana ia mampu memberi kesan psikologi kepada penemuduga.

Minggu ini, ruangan Trend menampilkan beberapa cara berpakaian yang sesuai untuk menghadiri temuduga.

Tapi perlu diingat, walaupun pemakaian kita menarik, namun jika tiada keyakinan atau tidak bersedia untuk ditemuduga, maka sudah pasti kejayaan bukan menjadi milik kamu.

Jadi, bersedialah dari segi mental dan fizikal. Apabila semuanya berjalan lancar, rezeki itu pasti menjadi milik kamu. - AMIRUL

Gaya solekan Yin-Yang

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

ALAM falsafah Cina kuno, konsep Yin-Yang sering digunakan untuk menggambarkan kuasa yang bertentangan antara satu sama lain.

Konsep yang sama kini digunakan dalam dunia solekan yang banyak bermain dengan warna. Walaupun warna hitam dan putih kelihatan amat bertentangan, namun kedua-dua warna tersebut masih lagi bergantung di antara satu sama lain secara semula jadi.

Begitulah gaya solekan rona Ying-Yang yang menggunakan dua tona warna asas sahaja. Jika warna-warna itu dipersembahkan pada wajah seorang gadis, pastinya gadis itu tampil lebih mempesonakan.

Apa juga warna yang dipilih, pastikan warna lebih gelap dipupuk di bahagian hujung mata dan lebih cerah di sudut dalam mata untuk mengimbangi bentuk mata yang sempurna.

Apa kata kamu cuba eksperimenkan gaya solekan ini. Selamat mencuba.

- SYAHRIL/JEFFRI IRAN

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


CEO ISIS, Dr. Mahani meninggal dunia akibat kanser

Posted: 22 Jun 2013 02:09 AM PDT

ALLAHYARHAM Dr Mahani Zainal Abidin

KUALA LUMPUR 22 Jun - Pakar ekonomi yang terlibat dalam penggubalan polisi semasa krisis ekonomi 1998, Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin meninggal dunia hari ini di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Dr. Mahani, 59, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) meninggal dunia pada kira-kira 2 petang akibat penyakit kanser.

Menurut adiknya, Adnan, jenazah akan dibawa balik ke rumah Allahyarham di No.1, Jalan Puncak Kiara 1, Kiara View, Desa Sri Hartamas.

Allahyarham meninggalkan suami, Hamidon Howell Miller dan seorang anak lelaki James Imran Miller.

Mahani, yang memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) dalam ekonomi pembangunan dari University of London pada 1992, pernah bertugas sebagai profesor di Jabatan Ekonomi Kendalian, Universiti Malaya.

Pada 2001, beliau dilantik sebagai Ketua Pasukan Perunding Khas bagi Globalisasi, Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan dari 2005 hingga 2007 adalah Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Institut Pengajian Tinggi Swasta, Kementerian Pengajian Tinggi.

Beliau adalah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Pesuruhjaya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Timbalan Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia dan anggota International Steering Committee for the Pacific Trade & Development (PAFTAD). - BERNAMA

Malaysia sedia bantu Indonesia padam kebakaran

Posted: 22 Jun 2013 01:05 AM PDT

KOTA BELUD 22 Jun - Kerajaan Malaysia bersedia membantu memadamkan kebakaran hutan di Riau dan Sumatera, Indonesia yang menyebabkan krisis jerebu di sekitar Asia Tenggara, sekiranya menerima permintaan daripada negara itu.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, pasukan bomba bersedia menggerakkan anggota dan kelengkapannya dalam masa 24 jam ke republik itu jika diperlukan.

"Masalah ini adalah masalah bersama. Walaupun berlaku di Indonesia, tetapi negara-negara jiran turut bertanggungjawab untuk membantu memadamkan api yang merebak dengan cepat.

"Kita (bomba) sudah bersiap siaga kalau ada jemputan atau pelawaan oleh kerajaan Indonesia dan mendapat kelulusan kerajaan Malaysia. Kita akan kerah petugas dan anggota bomba beserta kelengkapan dan notis 24 jam untuk mengarahkan anggota berada di Indonesia bagi membantu memadam kebakaran," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menutup Konvensyen Pasukan Bomba Sukarela di Dewan Masyarakat Tun Said di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Jerebu: Muar catat IPU bahaya, 10 kawasan tidak sihat

Posted: 22 Jun 2013 12:51 AM PDT

KUALA LUMPUR 22 Jun - Kualiti udara di Muar, Johor kembali kepada tahap berbahaya tengah hari ini dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan 373, berbanding 276 atau tidak sihat pada sebelah pagi.

Khamis lalu Muar mencatatkan IPU 383 sebelum turun ke paras tidak sihat dengan bacaan 273 semalam.

Selain itu, menurut laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi laman sesawangnya, 10 kawasan merekodkan IPU tidak sihat di seluruh negara dengan tiga daripadanya di Johor iaitu Kota Tinggi, Larkin Lama dan Pasir Gudang.

Sebanyak 38 kawasan mencatat IPU sederhana dan tiga lagi dikategorikan baik Berdasarkan indeks kualiti, bacaan antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan tiada hujan hari ini di tiga negeri yang terjejas teruk dengan bencana jerebu iaitu Melaka, Johor dan Negeri Sembilan. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Hentikan pembakaran terbuka

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

Oleh ARHIZA AHMAD
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 21 Jun - Kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Alam Sekitar Negeri mempertingkatkan lagi aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan tiada pembakaran terbuka berlaku di negeri berikutan keadaan berjerebu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam dan Alam Sekitar, Abu Ubaidah Mohd. Redza (gambar) berkata, operasi dan penguatkuasa yang dijalankan oleh pihak jabatan tidak hanya dijalankan secara berkala tetapi ia dilakukan tanpa mengira waktu.

Jelas beliau, aktiviti pembakaran terbuka memburukkan lagi keadaan sekali gus meningkatkan lagi indeks pencemaran udara di negeri ini.

"Sejak beberapa hari lalu kita telah meminta pihak berwajib bagi memantau keadaan sekeliling dan kita ingatkan kepada mana-mana pihak supaya tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka ekoran jerebu ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan program walkabout di Projek Bazar Ampangan di Tapak Pusat Penjaja Bandar Baru Ampangan dekat sini hari ini.

Terdahulu, Abu Ubaidah melawat tapak pembinaan bazar berkenaan bernilai RM8.7 juta yang dijangka beroperasi pada awal tahun depan selain diberikan taklimat oleh Pengarah Kejuruteraan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Sabaruddin Sulaiman.

Abu Ubaidah berkata, Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dicatatkan sehingga jam 10 pagi ini menunjukkan Seremban dan Port Dickson semalam berada di tahap tidak sihat.

Tambah beliau, bacaan IPU pada pukul 10 pagi di Seremban mencatat 108 berbanding 77 sebelumnya manakala di Port Dickson bacaan 179 berbanding sekitar 90 semalam.

"Kualiti udara di Seremban dan Port Dickson kini berada di tahap tidak sihat manakala kawasan lain tahap sederhana," katanya.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai yang berurusan di luar kediaman supaya lebih berwaspada dan mengehadkan aktiviti berkenaan.

Ubah corak pemikiran, jadi belia kelas pertama

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

NORPIPAH Abdol (dua dari kiri) bersalaman dengan para jemputan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara peringkat negeri di Hotel Permaisuri Stadium Hang Jebat, Melaka semalam. - UTUSAN/MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM

MELAKA 21 Jun - Golongan belia masa kini perlu mengubah corak pemikiran mereka seiring dengan peredaran zaman supaya modal insan kelas pertama dapat dilahirkan sebagai barisan pelapis kepemimpinan negara pada masa hadapan.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, bagi mencapai hasrat berkenaan, belia harus mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal supaya berupaya menangkis segala ancaman anasir yang mahu mengkucar-kacirkan negara.

Menurutnya, seiring dengan peredaran masa, cabaran dihadapi golongan itu juga semakin getir dan memerlukan mereka untuk lebih peka terhadap isu semasa dan global.

"Pembangunan belia tidaklah semata-mata merujuk kepada definisi umur belia iaitu 15 hingga 40 tahun tetapi lebih bermaksud kepada melahirkan gerakan dalam kalangan belia.

"Hanya melalui gerakan, maka mobilasi belia ke arah menerajui pelbagai aspek pembangunan negara dapat dijayakan termasuk bersama-sama kerajaan ke arah mengangkat martabat negara ke tahap lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis perasmian Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Warisan negeri, Datuk Norpipah Abdol.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Baharudin Jali dan Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Zali Mat Yasin.

Idris berkata, program pembangunan belia yang yang dianjurkan pertubuhan belia juga perlu menggunakan pendekatan baharu yang keberkesanannya dapat dinilai bagi mengelak berlaku pembaziran peruntukan kerajaan.

Antara elemen yang perlu dimasukkan dalam setiap program pembangunan adalah memberi tumpuan kepada meningkatkan kefahaman golongan itu terhadap asas kewujudan negara, budaya bangsa dan realiti sosial serta ekonomi.

Selain itu katanya, belia juga perlu diperkasakan dari segi kreativiti serta inovasi elemen sains dan teknologi sepenuhnya sebagai usaha melahirkan golongan celik teknologi maklumat.

"Tidak terkecuali dalam melahirkan golongan belia kelas pertama, unsur jati diri perlu diterapkan dalam program pembangunan belia yang merupakan mekanisme terbaik mewujudkan belia yang teguh pendiriannya serta mempunyai semangat patriotisme," katanya.

Pantau kesihatan pelajar berikutan jerebu

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

M. Israf Lokman (kiri) dan Khairul Ikmal Abu Bakar memakai penutup muka bagi mengelakkan jerebu yang melanda Melaka semasa pulang ke rumah di Bukit Baru, Melaka, semalam.

MELAKA 21 Jun - Kerajaan negeri meminta Jabatan Pelajaran negeri sentiasa memantau keadaan semasa serta tahap kesihatan pelajar sekolah berikutan jerebu yang semakin membimbangkan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin berkata, jabatan berkenaan juga perlu membuat permohonan kepada Kementerian Pendidikan untuk menutup sekolah sekiranya indeks pencemaran udara (IPU) dicatatkan pada tahap kritikal.

"Jabatan Pelajaran juga mengarahkan semua sekolah di negeri ini untuk tidak membenarkan pelajar hadir ke sekolah sekiranya mempunyai gangguan kesihatan.

"Selain itu, ibu bapa juga dibenarkan mengambil anak mereka lebih awal sekiranya mendapat arahan daripada pihak sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis Pelancaran Pengedaran Topeng Muka Kepada Pelajar Sekolah Seluruh Negeri, di Sekolah Kebangsaan Ayer Molek, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Pelajaran negeri, Kassim Mohamad dan Timbalannya, Abdul Mutalib Osman.

Dalam majlis itu, sebanyak 25,000 topeng diedarkan kepada pelajar dan kakitangan sekolah seluruh negeri ini bagi mengelak masalah kesihatan akibat jerebu.

Menurut Md. Yunos, topeng muka diedar kepada sekolah yang terletak di kawasan terjejas teruk iaitu di Melaka Tengah bermula hari ini dan jumlahnya akan ditambah mengikut keperluan bagi memastikan kesihatan pelajar tidak terganggu.

"Selain itu, semua institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini juga diminta supaya menyarankan kakitangan serta para penuntut mereka memakai topeng muka sebagai langkah keselamatan," katanya.

Sementara itu, Kassim berkata, Jabatan Pelajaran sehingga kini belum menutup mana-mana sekolah di negeri ini memandangkan bacaan IPU direkodkan masih belum di tahap kritikal.

"Melalui arahan yang dikeluarkan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud semalam, sekolah hanya akan ditutup jika bacaan IPU mencapai tahap kritikal melebihi 300.

"Namun, semua aktiviti luar kelas termasuk Pendidikan Jasmani atau aktiviti perkhemahan sudah diarah dihentikan buat sementara waktu," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Kesal pemaju buat tak endah

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

NOOR Azah Bajuri menunjukkan salinan laporan polis mengenai kerosakan rumah miliknya yang terbakar akibat kerosakan suis utama ketika ditemui di Taman Bagan Aman, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, semalam.

pulau pinang 21 Jun - Seorang surirumah mendakwa syarikat pemaju perumahan enggan membayar pampasan selepas rumah teres dua setengah tingkat yang baru didiaminya di Taman Bagan Aman di sini selama 11 bulan terbakar hujung tahun lalu.

Walaupun kejadian yang berlaku pada 6 November 2012 itu hanya melibatkan bahagian stor namun kesan kebakaran itu dapat dilihat di beberapa bahagian dinding rumah termasuk di tingkat dua.

Menurut Noor Azah Bajuri, 50, dia dan suami, Mohd. Anannu Zainol Abidin, 53, membeli rumah itu pada harga hampir RM400,000 sebelum mula mendiami rumah itu bersama lima anak sejak Januari tahun lalu.

"Belum sampai setahun tinggal di situ berlaku kebakaran kecil di bahagian stor rumah menyebabkan banyak barangan yang disimpan musnah serta kesannya jelas kelihatan sehingga ke tingkat dua.

"Hasil siasatan pihak bomba mendapati kebakaran berpunca daripada kerosakan pada suis utama yang terletak di dalam stor itu namun pihak pemaju enggan mengakui kesilapan mereka dan tidak melayan tuntutan ganti rugi yang dibuat," katanya ketika ditemui di Taman Bagan Aman, Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.

Tambahnya, dia telah menemui pihak pemaju kerana rumah itu masih dalam tempoh jaminan namun mereka enggan bertanggungjawab sebaliknya menyalahkan pihaknya kerana didakwa cuai.

Menurut Noor Azah, sejak kejadian itu dia dan keluarga terpaksa menyewa rumah lain kerana bimbang kejadian sama berulang.

"Selepas kebakaran itu kos sara hidup kami meningkat kerana terpaksa membayar sewa rumah dan pinjaman bank ke atas ansuran rumah yang tidak didiami itu.

"Saya telah berbincang dengan peguam yang memaklumkan saya sepatutnya layak mendapat pampasan kerana kebakaran berpunca dari suis utama dan rumah itu masih dalam tempoh jaminan," ujarnya.

Sehubungan itu, suaminya yang juga kakitangan Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) berhasrat mengambil tindakan mahkamah terhadap pemaju sekiranya mereka masih enggan memberi kerjasama.

Sambutan Hari Ibu dan Bapa di Sungai Petani meriah

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

ZAINAB Husain (kanan) membantu Che Embon Nayan dan Nor Amira Maslin memotong pulut kuning sempena Program Sambutan Hari Ibu dan Bapa di Kompleks Penyayang, Sungai Petani, kelmarin.

SUNGAI PETANI 21 Jun - Warga emas, Che Embon Nayan, 95, dari Kampung Tok Abas di sini, menerima kejutan selepas diberi peluang memotong pulut kuning sempena Program Sambutan Hari Ibu dan Bapa di Kompleks Penyayang Sungai Petani di sini semalam.

Program itu dianjurkan oleh Persatuan Ibu-ibu Tunggal Projek Perumahan Rakyat (PPR) 2 Daerah Kuala Muda.

Pengerusi persatuan tersebut, Zainab Husain berkata, Che Embon diberi peluang berbuat demikian kerana dia merupakan antara warga emas yang sanggup hadir bagi memeriahkan majlis tersebut.

Katanya, program itu berjaya mengeratkan hubungan antara ibu tunggal terdiri daripada pelbagai kaum di daerah tersebut.

"Bagi memeriahkan acara, kita turut mengundang ibu muda, Nor Amira Maslin, 25, dari Kampung Teluk bagi memotong pulut kuning sama," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas dalam majlis itu.

Menurut Zainab, program itu mendapat sambutan baik dalam kalangan ahli persatuan tersebut yang kini mencecah hampir 500 orang.

Katanya, tetamu dalam program itu berpeluang menyaksikan pelbagai persembahan termasuk nyanyian dan tarian.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak termasuk kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Kuala Muda kerana memberi kerjasama menjayakan program ini," katanya.

Pastikan pembangunan tidak jejas alam sekitar

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

Mukhriz Mahathir dan Mohd. Tajudin Abdullah (kiri) mendengar penerangan daripada Pengarah Urusan Excel Agrotex, Mohamed Iqbal S. Habeeb, pemilik Ladang Anggur Tasik Beris di Sik, kelmarin.

SIK 21 Jun- Kawasan luar bandar di negeri ini mempunyai banyak kelebihan tersendiri untuk dibangunkan termasuk sebagai lokasi pelancongan, namun perlu dibangunkan secara lestari dengan mematuhi syarat-syarat dan peraturan ditetapkan.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, pembangunan yang hendak dilakukan itu mesti dirancang dengan rapi dan bijak supaya tidak merosakkan alam sekitar terutama tasik-tasik yang terdapat di sekitarnya.

"Kita boleh melakukan pembalakan secara lestari asalkan kegiatan itu tidak musnahkan keseluruhan pokok di kawasan tersebut dan tidak menjadikan alasan sebagai ladang rakyat atau ladang buah-buahan semata-mata untuk mengaut keuntungan secara berlebihan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Ladang Anggur Tasik Beris sempena lawatan rasminya ke Sik semalam.

Ladang Anggur Tasik Beris merupakan antara lokasi pelancongan yang semakin popular di Kedah dengan jumlah kehadiran pelancong pada tahun lalu adalah 200,010 orang.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah dan ADUN Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid.

Sementara itu kata Mukhriz, Sik bakal dikenali dengan satu lagi tarikan agropelancongan apabila buah strawberi berjaya dihasilkan di Tasik Beris.

"Selain anggur yang sememangnya terkenal di sini, strawberi juga boleh ditanam di tanah rata. Kewujudan ladang anggur dan strawberi merupakan satu prestasi yang baik untuk dieksploitasikan bagi tujuan pembangunan dan meningkatkan kedatangan pelancong selain menjana hasil pendapatan negeri ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Mukhriz memberitahu, pelan tindakan daerah Sik diperkenalkan untuk membangunkan kawasan sekitar termasuk tasik-tasik sedia ada.

Beliau menegaskan, segala pembangunan perlu mematuhi garis panduan serta syarat ditetapkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Ditanya mengenai pembangunan lain di daerah ini, Mukhriz berkata, pihaknya juga sedang berusaha untuk mewujudkan institusi pengajian tinggi (IPT).

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Timur

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Pusat tetap bantu Kelantan

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 21 Jun - Pelbagai jenis bantuan yang disalurkan kepada Kelantan selama ini membuktikan kerajaan Pusat tidak pernah sama sekali menganaktirikan negeri ini.

Malah bantuan yang disalurkan oleh kerajaan Pusat ke negeri ini dilihat lebih banyak berbanding bantuan yang diberikan kepada negeri-negeri lain termasuk diperintah oleh Barisan Nasional (BN).

Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Azmi Ali berkata, laporan Kementerian Kewangan menunjukkan kerajaan Pusat telah menyalurkan bantuan bernilai RM1.4 bilion kepada negeri ini dalam tempoh empat tahun sejak 2009.

Beliau berkata, malah tanpa mengira fahaman politik, kerajaan Pusat turut memberikan pinjaman mudah bernilai RM661 juta kepada kerajaan Pas Kelantan bagi membantu membekalkan air bersih kepada rakyat negeri ini.

"Ini membuktikan kerajaan Pusat begitu prihatin kepada kerajaan negeri dan pemberian bantuan di negeri ini telah mengatasi negeri lain antaranya Pahang, Terengganu dan Perlis sedangkan semua negeri ini diperintah BN," katanya di sini hari ini.

Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selasa lalu, pemimpin-pemimpin Pas Kelantan ditempelak kerana masih menabur tuduhan dan cuba meracuni fikiran rakyat dengan dakwaan kononnya kerajaan Pusat menganaktirikan negeri ini daripada menerima pelbagai jenis bantuan.

Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) kawasan Nenggiri, Yusof Mat Ghani ketika membahaskan titah ucapan Sultan Kelantan, Sultan Muhamad V, pada sidang DUN itu berkata, adalah tuduhan tidak berasas jika melihat kepada laporan Kementerian Kewangan yang menunjukkan Kelantan merupakan penerima bantuan terbanyak daripada Pusat di pantai timur berbanding Pahang dan Terengganu.

Sehubungan itu, Azmi berkata, Kerajaan Pas Kelantan seharusnya berterima kasih dan tidak boleh menidakkan pemberian bantuan kerajaan Pusat kepada mereka selama ini.

"Saya menyeru kerajaan Pas yang dipimpin Menteri Besar baharu, Datuk Ahmad Yakob akan bersifat lebih telus dan ikhlas selepas ini dalam memberi kerjasama kepada kerajaan Pusat.

"Kerajaan Pas Kelantan juga patut sentiasa menghargai apa yang dilakukan kerajaan Pusat di negeri ini selama ini," katanya.

TNB ceriakan kehidupan pasangan warga emas

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

A. LATIFF Awang (tengah) menandatangani plat serahan rumah yang telah dibaiki melalui Projek Mesra Rakyat TNB Peringkat Terengganu di rumah Choo Ah Neon (kiri) dan suaminya, Tee Siong Wee di Wakaf Tapai, Marang kelmarin. Turut kelihatan, Mohd. Yuslan Md. Yusof (dua dari kanan). - UTUSAN/AZLAN BAHRUM

MARANG 21 Jun - Pasangan warga emas, Tee Siong Wee, 68, dan isterinya, Choo Ah Neon, 69, telah lama mengimpikan untuk memiliki sebuah kediaman yang lebih selesa.

Bagaimanapun, disebabkan kehidupan mereka ibarat 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' ditambah dengan kudrat yang semakin terhad, maka impian itu terpaksa dipendamkan.

"Saya hanya seorang penoreh getah namun hampir lima bulan sudah tidak turun menoreh disebabkan terpaksa berehat ekoran pembedahan untuk membuang selaput mata sebelum ini.

"Isteri saya pula hanya menerima bantuan sara hidup dari JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan kami memang tidak mampu untuk memperbaiki mana-mana bahagian rumah pusaka ini yang rosak," luah Siong Wee.

Bagaimanapun, nasib pasangan tersebut akhirnya berubah apabila terpilih sebagai penerima bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi program Projek Mesra Rakyat yang dikhususkan untuk kaum bukan bumiputera termasuk Cina dan India.

Menerusi program itu, TNB menyalurkan bantuan dalam kerja-kerja pembinaan bumbung rumah yang baharu, membaiki dinding kayu, melengkapkan kaca tingkap serta mengecat semula dinding rumah pasangan terbabit.

Menurut Ketua Jabatan Komunikasi Korporat (Hal Ehwal Komuniti) TNB, Ahmad Zaki Rasid, menerusi program tersebut, sebanyak 27 buah rumah akan dibaiki di seluruh Semenanjung sepanjang tahun ini.

"Bezanya program ini dengan program Baiti Jannati yang dikhususkan untuk Melayu ialah program ini dibuat menggunakan wang sumbangan termasuk daripada warga TNB sendiri manakala Baiti Jannati pula menggunakan wang zakat yang kita peroleh.

"Ini secara tidak langsung menunjukkan TNB tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum dalam melaksanakan tanggungjawab korporat terhadap komuniti di negara ini," katanya.

Beliau ditemui semasa majlis penyerahan kediaman yang telah dibaiki kepada pasangan emas itu di Kampung Tembok Baru, Wakaf Tapai dekat sini semalam.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian & Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat, A. Latiff Awang serta Pengurus Besar TNB negeri, Ir. Mohd. Yuslan Mohd. Yusof.

42 guru sertai Kursus Tahsin Al-Quran Zon Timur

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

ARIFUDDIN Abd. Hamid (empat dari kanan) bersama sebahagian peserta Kursus Tahsin Al-Quran Guru Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Zon Timur 2013 di Sutera Inn, Kota Bharu baru-baru ini.

KOTA BHARU 21 Jun - Seramai 42 orang guru menyertai Kursus Tahsin Al-Quran Guru Pendidikan Islam Zon Timur anjuran Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian Pendidikan, selama tiga hari yang akan berakhir esok.

Kursus itu bertujuan untuk meningkatkan mutu bacaan al-Quran terutama dalam aspek tarannum dan tajwid dalam kalangan guru terbabit.

Penyelaras kursus yang juga Ketua Unit Dakwah Pengurusan Dakwah dan Syiar Islam BPI, Arifuddin Abd. Hamid berkata, kursus tersebut diadakan khusus untuk guru-guru pendidikan Islam dan mursyid (jurulatih utama kepada guru pendidikan Islam) zon timur melibatkan negeri Pahang, Terengganu, dan Kelantan.

Dalam kursus kita bukan sahaja akan mengajar amali, malah peserta juga akan diajar secara praktikal. Ini akan memudahkan lagi pemahaman mereka.

Pihak kami membawa penceramah yang berpengalaman dalam bidang tajwid dan tarannum. Sambutan yang diterima amat menggalakkan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia dalam majlis itu di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Ketua Sektor Dakwah dan Kepimpinan BPI, Mohamad Zaki Husin. Majlis dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Pengurusan Dakwah dan Syiar Islam BPI, Kamariah Isa.

Mengulas lanjut kata Arifuddin, kursus tersebut merupakan susulan daripada Program Bina Upaya yang pernah diadakan pada tahun 2010.

Beliau berharap, peserta yang hadir akan dapat menyampaikan ilmu yang diajar kepada guru pendidikan Islam yang lain di negeri masing-masing, seterusnya menyebarkan ilmu berkenaan kepada murid, kakitangan sekolah serta masyarakat amnya.

Untuk lebih mencapai objektif dan sasaran, kita akan kembangkan kursus sebegini ke zon lain seperti zon selatan," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Cetus huru-hara

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Provokasi makin menjadi-jadi

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Awang Hitam pandai memikat

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved