Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my
KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) dikatakan sedang mengkaji untuk menggantikan Akta Hasutan 1948 dengan undang-undang baharu dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.
Tumpuan akta baharu itu menjurus ke arah pemeliharaan nilai-nilai keharmonian dan perpaduan masyarakat tetapi waktu sesuai untuk ia dibentang di Dewan Rakyat belum ditetapkan.
Bagi rakyat biasa, tentunya apa jua bentuk undang-undang yang dapat menjaga keselamatan, keharmonian dan perpaduan dialu-alukan terutamanya melihatkan senario politik semasa di negara ini.
Akta baharu itu bukan sahaja perlu merangkumi perbuatan menghasut, malahan hinaan khususnya terhadap agama, raja dan pemimpin negara, di samping perbuatan demonstrasi haram mahupun apa juga perbuatan kecil atau besar yang boleh menggugat perpaduan.
Rakyat tidak mahu lagi cakap-cakap kosong seperti dahulu dikatakan pelbagai akta baharu akan dibentuk demi keselamatan dan keharmonian negara tetapi akhirnya senyap dan hilang begitu sahaja.
Apa yang diharapkan adalah fokus dan ketegasan dalam pelaksanaan serta penguatkuasaan undang-undang, tidak kira yang lama atau baharu di samping mendidik rakyat agar pandai menjaga keharmonian yang dinikmati mereka selama ini.
Bagi Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam) dan Pengerusi Khairul Group, Datuk Khairul Anwar Rahmat, walau apa sekalipun namanya, pengamal undang-undang melihat sesuatu akta baharu itu secara positif dalam semangat memelihara keharmonian.
"Dalam Islam, makasid syariah iaitu prinsip undang-undang adalah menjaga nyawa, maruah dan harta benda. Apa yang lebih penting adalah pemantauan dan pelaksanaan undang-undang tersebut.
"Singapura, Australia, Amerika Syarikat dan mana-mana negara pun ada bermacam akta tapi aspek penguatkuasaan yang paling utama. Kita lihat secara rasional akta baharu itu walaupun mungkin ada yang rasakan ia untuk menyekat kebebasan," katanya.
Beliau menegaskan kebebasan juga pada hakikatnya perlu ada had dan batasannya, tidak boleh dibiarkan umpama 'layang-layang tidak bertali' sehingga ada individu berani buat sesuka hati mereka tanpa mengira perasaan orang lain.
Menurutnya lagi, akta baharu itu juga perlu menyeluruh dan fokus kepada aspek pencegahan termasuk terhadap perbuatan fitnah, hinaan dan apa jua yang melampaui batasan seperti provokasi, himpunan haram dan ucapan untuk menimbulkan huru-hara.
"Saya ingin menegur sedikit, kenapa kita kini terlalu apologetik dalam menguatkuasakan undang-undang? Jangan begitu, perlu difikirkan kepentingan majoriti.
"Daripada lebih 28 juta rakyat Malaysia, mungkin sekitar 10 peratus sahaja yang suka timbulkan masalah. Yang perlu diutamakan adalah hak 90 peratus itu, bukannya sibuk dengan kepentingan minoriti yang suka 'buat hal' tersebut," ujarnya.
Beliau juga menolak cadangan menghapuskan Akta Hasutan disebabkan desakan pihak tertentu kerana akta itu masih relevan dalam menjaga aspek-aspek sensitiviti khususnya isu-isu raja, Perlembagaan dan kerahsiaan.
Beliau mengambil iktibar suasana selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dihapuskan sehingga rakyat tertanya-tanya apa lagi tindakan boleh diambil terhadap pihak yang mengancam keselamatan negara dan rakyat.
"Akta baharu tidak boleh mengongkong tetapi perlu ada tanda arasnya. Saya tidak setuju Akta Hasutan dihapuskan berikutan sejarah dengan penghapusan ISA.
"Kita tidak mahu buka 'floodgate' sehingga dirempuh pihak terbabit, perlu lalui proses kematangan dahulu khususnya kalangan pembangkang yang belum matang," jelasnya.
Beliau mendakwa keengganan pembangkang menerima kekalahan dalam pilihan raya umum (PRU) lalu menunjukkan tahap kematangan mereka, sedangkan di negara lain semua pihak berjabat tangan selepas PRU dan mulakan kerja untuk rakyat sehingga tamat tempoh mandat.
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye pula mempunyai pandangan berbeza dengan melihat sudah sampai masanya Akta Hasutan yang sudah lapuk digantikan dengan akta baharu yang lebih baik.
"Apa yang mahu difokuskan kini bukan sahaja perbuatan hasutan tetapi lebih kepada memupuk keharmonian pelbagai kaum di negara ini, sesuai dengan keadaan semasa.
"Akta baharu itu tujuan dan objektifnya baik untuk kekalkan keharmonian tetapi dalam merumus peruntukannya, kerajaan perlu mendapatkan maklum balas dari seluruh peringkat anggota masyarakat terlebih dahulu," katanya.
Beliau juga setuju aspek penguatkuasaan perlu ada untuk kejayaan pelaksanaan mana-mana akta perundangan dan sesiapa yang melanggar peraturan itu perlu diambil tindakan sewajarnya.
Tambahnya, pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati tetapi tidak semestinya melalui tindakan undang-undang sahaja kerana pendidikan kepada setiap individu warga Malaysia juga amat penting.
"Pencegahan hanya boleh dicapai apabila semua rakyat Malaysia fahami dan laksanakan tanggungjawab masing-masing dalam menjaga keharmonian negara.
"Terapkan juga rasa kasih sayang kepada negara melalui pendidikan khususnya di kalangan generasi muda. Hormati satu sama lain, patuhi undang-undang, dan lebih baik jika dapat amalkan lima prinsip Rukun Negara," tegasnya.
Beliau melihat isu keharmonian bagi negara berbilang bangsa seperti Malaysia terlalu penting dan langkah terbaik mencapainya adalah dengan membudayakan keharmonian dengan kembali kepada asas-asas Rukun Negara dan nilai-nilai murni kemanusiaan.
Selain itu, beliau mahu rakyat belajar bertanggungjawab dalam mengekalkan dan memupuk keharmonian kerana ia bergantung kepada tingkah laku dan iltizam setiap warga Malaysia.
"Semua perlu terima hakikat negara kita ada kepelbagaian dalam segenap aspek kehidupan. Harmoni boleh dicapai bila setiap rakyat fahami dan laksanakan tanggungjawab masing-masing, serta menjauhkan diri daripada isu-isu sensitif.
"Setiap individu tanpa mengira kaum perlu bersatu laksanakan tugas tersebut, janganlah terbabit dengan aktiviti-aktiviti yang merunsingkan pihak lain mahupun sesuatu yang boleh menyinggung perasaan orang," tegasnya.
Walaupun setuju pentingnya penguatkuasaan akta baharu itu, Lam Thye berharap aspek pendidikan rakyat ke arah membudayakan keharmonian turut diberikan keutamaan sewajarnya kelak.