Rabu, 5 Jun 2013

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Harga ayam naik RM2 sekilogram

Posted: 04 Jun 2013 11:02 AM PDT

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

ROSNAH Hassan (dua dari kiri) melayan pelanggan di kedai ayamnya di Parit Bakar, Muar, Johor, semalam.

MUAR 4 Jun - Kenaikan harga ayam sebanyak RM2 sejak cuti sekolah bermula bukan sahaja meresahkan peniaga-peniaga di Pasar Awam Maharani di bandar ini, tetapi penjual daging ayam siap diproses di kawasan kampung.

Menurut mereka, kenaikan harga ayam daripada RM6 sekilogram kepada RM8 sekilogram mula menimbulkan kebimbangan peniaga-peniaga ayam di kampung kerana keadaan tersebut boleh menjejaskan perniagaan mereka.

Peniaga, Rosnah Hassan berkata, harga itu mula meningkat beberapa hari sebelum cuti persekolahan bermula kerana permintaan meningkat mendadak.

"Terdapat peniaga pasar di bandar ini menjual ayam proses bersih dengan harga RM8.20 sekilogram, bahkan ada yang mengekalkan harga tersebut RM8 sekilogram.

"Peniaga terpaksa menaikkan harga itu apabila pembekal menaikkan harga kepada RM8 sekilogram. Kita bayar RM4.30 kepada pembekal sebelum cuti sekolah bermula dan meningkat kepada RM5.50 sekilogram beberapa hari lalu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, lebih merisaukan pembekal juga ada memaklumkan harga barangan berkenaan dijangka meningkat sebanyak RM0.20 sen dalam masa beberapa hari lagi.

Rosnah mendakwa, sebab utama kenaikan harga yang lebih tinggi ketika ini kerana banyak majlis perkahwinan diadakan sempena musim cuti persekolahan.

Seorang lagi peniaga, Amran Ahmad menggesa pihak bertanggungjawab tidak lepas tangan dan memantau perkembangan harga tersebut kerana dikhuatiri pembekal akan terus menaikkan harga sesuka hati.

"Kita harap pihak berkenaan buat sesuatu. Peniaga ayam di kampung-kampung adalah orang Melayu dan kita tidak mahu seolah-olah ditindas pembekal ayam," katanya.

Sementara itu, Ketua Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Cawangan Muar, Mohd. Basha Abidin Ali berkata, peniaga tidak melanggar mana-mana peraturan kerana ayam bukan merupakan barangan kawalan pada masa sekarang.

Beliau memberitahu, jabatan berkenaan mempunyai kuasa mengawal kenaikan harga ayam hanya pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina.

Jelas Mohd. Basha, jabatannya mempunyai pasukan pemantau bagi setiap pasar dalam bandar dan kedai-kedai di luar bandar yang mendapati hampir semua peniaga menjual ayam proses bersih sekitar harga RM8 sekilogram.

"Harga ayam proses bersih sebelum ini antara RM7.50 hingga RM7.80 tetapi meningkat RM0.20 sen kelmarin. Terdapat juga kedai-kedai di luar bandar yang masih menjual ayam proses bersih pada harga RM7.50 sekilogram," katanya.

Pendaftaran harta intelek di Johor naik 17%

Posted: 04 Jun 2013 11:02 AM PDT

JOHOR BAHRU 4 Jun - Johor mencatatkan peningkatan sebanyak 17 peratus bagi permohonan pendaftaran harta intelek antara tempoh Januari hingga Mei tahun ini iaitu sebanyak 381 permohonan berbanding 317 untuk tempoh sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, peningkatan itu hasil kesedaran orang ramai terhadap kepentingan menjaga hasil karya mereka kerana disifatkan sebagai suatu bentuk kekayaan baharu (Wealth Creation).

Beliau berkata, perkembangan ekonomi, sosial dan pembangunan teknologi turut memberi kesan kepada landskap penciptaan, penggunaan dan eksploitasi harta intelek yang berupaya menjadikan Malaysia sebuah negara maju serta berdaya saing.

"Tindakan mendaftarkan hasil ciptaan kita merupakan sesuatu yang sangat penting bagi mengelakkannya daripada ditiru atau diciplak dan sekiranya berlaku pemilik harta intelek itu boleh mengambil tindakan undang-undang.

"Ini juga secara tidak langsung akan membantu meningkatkan nilai sesuatu barangan ," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kesedaran Harta Intelek Zon Selatan di Hotel Selesa, Pasir Gudang, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Korporat MyIPO, Mohd. Shahar Osman.

Seminar sehari anjuran Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) itu disertai sebanyak 120 peserta bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan melindungi harta intelek selain menggalakkan ciptaan-ciptaan baharu untuk tujuan komersial.

Setiap produk yang ingin didaftarkan akan dikenakan bayaran sebanyak RM1,020 untuk tempoh 10 tahun dan permohonan itu akan diproses antara enam hingga 12 bulan manakala bayaran tambahan sebanyak RM2,470 sekiranya ingin mempercepatkan proses pendaftaran.

Siew Kiong berkata, menerusi Bajet 2013, kerajaan memperuntuk sejumlah RM19 juta untuk memperkenal Model Penilaian Harta Intelek (IP Valuation Model) bagi menyokong pembangunan harta intelek.

Katanya, usaha itu juga bertujuan membantu melatih panel penilai menilai sesuatu hasil ciptaan bagi tujuan mendapatkan bantuan sumber kewangan untuk dikomersialkan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Fesyen bawa Liza ke Paris

Posted: 04 Jun 2013 10:53 PM PDT

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar ZAKARIA IDRIS
Solekan & Dandanan CHOMEL : 012-6841591

nURLIZA Azulkarnain bersama salah satu rekaannya yang diperindah dengan perincian manik dan batu-batu permata.

NURLIZA Azulkarnain, 28, seorang gadis yang tahu apa yang dimahukan dalam hidup. Pelajar terbaik di International Fashion Training Centre (IFTC) dan Paris American Academy (PAA) ini, berpegang teguh pada prinsip berusaha untuk berjaya biar apa jua halangan dan rintangan yang datang.

Demi matlamat yang jitu dan cintakan fesyen, Nurliza atau mudah disapa sebagai Liza , ke Paris semata-mata untuk menuntut ilmu dan mendalami maksud sebenar fesyen dari dahulu hingga kini.

Pada masa sama dia menimba pelbagai pengalaman di kota fesyen tersohor itu.

Idolanya ketika itu adalah Bernard Chandran, pereka tersohor yang juga pernah menuntut di IFTC, di Kuala Lumpur, dan PAA di Paris.

Nurliza sebenarnya mula berkecimpung dalam dunia fesyen semasa di bangku sekolah.

Ketika di tingkatan lima di Sekolah Menengah Teknik Setapak, dia mengambil mata pelajaran tambahan rekaan fesyen sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dalam jurusan rekaan fesyen di IFTC.

"Selepas tamat diploma, saya melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah dalam jurusan rekaan fesyen dan haute couture.

"Dari situ saya menimba banyak pengalaman tentang sejarah-sejarah fesyen. Maksud sebenar haute couture iaitu seni jahitan teliti penuh seni dengan hanya menggunakan tangan, jarum dan benang.

"Saya amat sukakan fesyen yang bergaya. Saya sukakan pakaian yang cantik dan indah di mata.

"Kerana itu jugalah saya menceburi bidang ini. Untuk mengembangkan lagi bakat dan mereka sendiri pakaian-pakaian yang cantik dan glamor," cerita Liza yang ditemui di studio jahitannya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Selama hampir dua tahun di Paris, Liza mengakui itulah saat paling berharga dan kenangan paling manis dalam kehidupannya

Bahkan, itu juga impiannya sejak dari bangku sekolah lagi.

"Paris adalah kota fesyen dunia. Semua pereka terbaik dunia memiliki butik dan kedainya di sana. Malah galeri Jimmy Choo juga ada beberapa cawangan di sana," katanya.

Selain itu kata Liza, Paris juga terkenal dengan kota yang paling romantis dan kaya dengan keindahan seni bina.

"Terlalu banyak pengalaman yang tidak dapat saya lupakan semasa belajar di sana, terutama apabila saya diberi peluang membuat latihan bersama pereka fesyen antarabangsa terkenal.

"Antaranya, Karl Lagerfeld, Elie Saab, Basil Soda, Manish Arora, Ingrid Vlasov, Alexis Mabille dan ramai lagi. Saya juga berpeluang melawat muzium-muzium fesyen seperti Madame Gres, Musee des Arts Decoratifs, Musee de la Mode et du Textile dan banyak lagi.

"Saya juga amat teruja apabila di PAA saya dapat belajar teknik-teknik haute couture bersama pekerja dari Madame Gres yang sudah berpuluh tahun bekerja dengan pereka legenda itu. Ia merupakan peluang yang diimpikan oleh semua yang bergelar pereka fesyen," katanya.

Bagi Liza, dapat bekerja bersama pekerja Madame Gres dan Karl Lagerfeld umpama mimpi jadi nyata kerana kedua-duanya adalah pereka antarabangsa yang menjadi idolanya dari dulu hingga kini.

"Bayangkan begitu ramai pelajar di Paris yang menanti-nantikan saat dapat berjumpa dengan mereka dan saya adalah pelajar yang bertuah dan bernasib baik itu. Tidak semua dapat peluang seperti saya. Mungkin tiga orang dalam sepuluh yang terpilih.

"Saya begitu mengagumi Karl Lagerfeld kerana teknik haute couture nya amat menakjubkan dan rekaan-rekaan fesyennya begitu dahsyat," kata Liza.

Menurut Liza lagi, Karl Lagerfeld adalah pengasas bagi jenama terkenal di dunia, Chanel. Dia telah bekerjasama dalam pelbagai projek yang berkaitan dengan fesyen dan seni, terutamanya sebagai ketua pereka dan pengarah kreatif untuk rumah fesyen Chanel.

" Walaupun tidak lagi berada di Paris, hampir setiap hari saya mengikuti perkembangan fesyen Karl Lagerfeld di laman sesawang," kata Liza yang sedikit sebanyak mampu berbahasa Perancis.

Sazlyanna turut bersaing

Posted: 04 Jun 2013 10:53 PM PDT

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar NASIRUDDIN YAZID

Sebahagian koleksi rekaan Sazlyanna Zainudin.

USIA muda bukan penghalang bagi Sazlyanna Zainudin untuk turut sama bersaing dengan usahawan-usahawan wanita lain dalam bidang perniagaan.

Memilih perniagaan pakaian yang tetap mendapat sambutan wanita walau dalam keadaan apa sekali pun, Sazlyanna atau ringkas dipanggil Yanna, 24, bukan setakat memulakan perniagaan di kedai-kedai biasa malah berani melangkahkan kaki ke pusat borong pakaian yang terkemuka di Kuala Lumpur, iaitu di Pusat Borong Kenanga.

Mungkin bakat berniaga diperoleh daripada keluarga sendiri di mana bapa saudara dan ibu saudara Yanna turut menceburkan diri dalam bidang perniagaan pakaian.

Yanna, yang ditemui di Butik Arca miliknya di tingkat lima pusat borong tersebut berkata, walaupun baru dibuka pada bulan Disember tahun lalu, sambutan di kalangan peminat fesyen amat menggalakkan.

Ini kerana Butik Arca sentiasa mengenengahkan fesyen-fesyen terbaru yang lahir daripada idea sendiri dan bukan ditiru daripada butik lain.

Menurut Yanna yang juga seorang model dan pelakon sambilan, butiknya menghasilkan pelbagai rekaan baju kurung, jubah, kaftan, blaus bersulam dan fesyen muslimah moden.

''Kebanyakan rekaan adalah ilham saya sendiri dan kemudian saya akan berbincang dengan tukang jahit saya sama ada rekaan tersebut sesuai atau tidak.

''Jika kedua-dua bersetuju, barulah saya mencari kain dan meminta tukang jahit mula membuat fesyen yang direka.

''Saya gemar menggunakan jenis fabrik yang bermutu dan cantik seperti renda Ceruti dan syifon kerana rekaan yang dihasilkan akan nampak eksklusif dan elegan,'' ujar Yanna yang berasal dari Kota Tinggi, Johor.

Tambahnya, setiap rekaan akan dibuat sebanyak 400 pasang, manakala setiap tiga minggu pula akan terdapat rekaan baru yang biasanya akan habis dibeli secara borong.

Kata Yanna, yang turut memiliki Butik Arca di Sarawak, selain dijual secara borong, pelanggan juga boleh membeli secara runcit pada harga yang sedikit tinggi berbanding borong.

Bagi menarik hati pelanggan supaya kerap berkunjung ke butiknya, kata Yanna, dia akan sentiasa memastikan untuk menghasilkan rekaan yang berbeza daripada orang lain.

''Saya tidak pernah mengulangi rekaan yang pernah saya buat. Sebab itu saya perlu kreatif menghasilkan rekaan terbaru yang sedang menjadi trend pada masa kini.

''Kadang-kadang saya risau juga takut orang meniru rekaan saya. Mungkin orang boleh tiru tetapi perbezaan pakaian saya ialah daripada segi fabrik yang saya gunakan.

''Selain boleh dilihat di dalam Facebook, Arca Butik, demi kepuasan digalakkan untuk datang ke kedai agar dapat melihat dari dekat jenis fabrik yang saya gunakan serta mencuba sendiri keselesaan pakaian di sini.

''Selain itu, setiap pelanggan berpeluang untuk memakai pakaian yang dibeli di sini kerana terdapat banyak saiz, iaitu daripada XS sehinggalah XL,'' ujar Yanna yang dapat disaksikan lakonan terbarunya dalam drama Epilog Cinta Kirana di TV3 pada setiap pukul 10 malam hari Selasa, Rabu dan Khamis.

Jelas Yanna , dia akan menghasilkan lebih banyak rekaan terbaru baju kurung dan jubah sempena kedatangan hari raya tidak lama lagi.

Pemborong serta peruncit yang ingin melihat rekaan terbaru ini bolehlah berkunjung ke Arca..

Yanna turut bercadang untuk menghasilkan pakaian lelaki dan kanak-kanak pada masa hadapan bagi memudahkan sekeluarga untuk datang membeli pakaian di butiknya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


32 premis makanan diarah tutup

Posted: 04 Jun 2013 11:17 AM PDT

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 4 Jun - Sebanyak 32 premis menjual makanan di sekitar kawasan Nilai diarahkan tutup kerana gagal menepati kriteria kebersihan yang ditetapkan sepanjang tahun lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Nilai (MPN), Datuk Abd. Halim Abd. Latif berkata, arahan itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan negeri selepas pemeriksaan mendapati premis terbabit tidak mencapai tahap kualiti kebersihan ditetapkan.

"Kesemua premis terbabit memperoleh gred D dan E atas pelbagai faktor termasuk kedai terlalu kotor serta tidak mengamalkan etika kebersihan dalam penyediaan dan penjagaan makanan.

"Inisiatif ini wajar dilakukan bagi melindungi pengguna sekali gus mengelak orang ramai mengalami keracunan makanan," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Jelasnya, pihaknya bertindak tegas terhadap pemilik serta pengusaha terbabit dengan menarik balik lesen perniagaan mereka serta-merta.

"Mereka ini adalah antara 262 premis yang diperiksa sepanjang tahun lalu di kawasan Nilai.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 51 pengusaha menerima gred A, 76 gred B dan 103 memperoleh gred C manakala selebihnya yang gagal mematuhi peraturan kebersihan menerima gerd D dan E," ujarnya.

Walau bagaimanapun, tambah Halim, bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini hanya tiga premis diarahkan tutup kerana tergolong dalam kategori gred D dan E.

"Bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, sebanyak 26 premis menerima gred A disusuli 33 gred B dan 27 gred C.

"Pihak kami akan memantau perkembangan ini dan pemeriksaan dari semasa ke semasa turut akan dijalankan pihak penguatkuasa Jabatan Kesihatan," ujarnya.

Jawatankuasa tangani isu pesawah padi ditubuh

Posted: 04 Jun 2013 11:17 AM PDT

MELAKA 4 Jun - Kerajaan negeri di bawah portfolio Pertanian dan Pembangunan Usahawan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi membantu menangani isu pesawah padi di seluruh negeri.

Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman berkata, jawatankuasa tersebut ditubuhkan berikutan beberapa isu yang dibangkitkan para pesawah yang mahukan tindakan serta pembelaan sewajarnya oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, perkara itu akan dibawa ke peringkat Exco kerajaan negeri untuk dibincangkan supaya isu-isu berbangkit berkaitan pesawah padi dapat diselesai dengan segera.

"Penubuhan jawatankuasa ini amat penting kerana sawah-sawah padi di negeri ini semakin terjejas disebabkan faktor pembangunan yang berkembang kebelakangan ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa itu di Wisma Negeri, Ayer Keroh, di sini semalam.

Jelas Hasan, beberapa perkara yang dibangkitkan pesawah padi di negeri ini termasuk masalah kekurangan air sawah di Kampung Stulang Daing, Bukit Rambai di sini, hingga menyebabkan kawasan itu kering kontang dan tanahnya merekah akibat sistem saliran yang terganggu disebabkan pembangunan.

"Masalah yang telah berlanjutan selama sebulan ini bakal menjejaskan tanaman padi yang sedang menghijau disebabkan kekurangan air," ujarnya.

Katanya, masalah itu disebabkan peruntukan sebanyak RM6 juta yang sepatutnya disalurkan Kementerian Pertanian untuk membina rumah pam bagi mengisi kapasiti air di kawasan sawah seluas 520 hektar itu tertangguh sejak 2010.

"Peruntukan itu sepatutnya sudah disalurkan bagi membina sebanyak tiga pam air bagi mengepam air masuk ke kawasan sawah yang dapat mengelakkan masalah kekurangan air seperti yang berlaku sekarang.

"Oleh itu, kerajaan negeri berharap kementerian dapat menyegerakan peruntukan tersebut bagi mengatasi masalah yang dihadapi," jelasnya.

Tambahnya, tender bagi melaksanakan projek tersebut juga dicadang diberi kepada agensi kerajaan di peringkat negeri seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang lebih memahami isu tempatan.

12,103 harta intelek didaftar dalam lima bulan

Posted: 04 Jun 2013 11:17 AM PDT

MELAKA 4 Jun - Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) mendaftarkan sebanyak 12,103 harta intelek daripada sejumlah 14,634 permohonan yang diterima bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Jumlah tersebut menjadikan keseluruhan harta intelek yang didaftarkan sejak 2008 sebanyak 140,113 daripada keseluruhan 191,835 permohonan yang diterima.

Pengerusinya, Datuk Abdul Manan Ismail berkata, daripada jumlah itu, permohonan dan pendaftaran bagi cap dagangan adalah yang terbanyak diterima.

"Bagi tempoh Januari hingga 15 Mei lalu, sebanyak 10,529 cap dagangan didaftarkan daripada sejumlah 11,339 permohonan yang telah diterima.

"Jumlah tersebut meliputi 5,144 permohonan tempatan manakala 6,195 lagi adalah permohonan daripada pihak asing," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Malam Media MyIPO di Banda Hilir, di sini semalam.

Menurutnya, bagi paten dan pembaharuan utiliti, sebanyak 968 daripada 2,569 permohonan didaftarkan manakala bagi reka bentuk perindustrian pula sebanyak 606 daripada 721 permohonan telah didaftarkan bagi tempoh.

Katanya, tiada pendaftaran dilakukan bagi petunjuk geografi sepanjang tempoh lima bulan pertama tahun ini walaupun sebanyak lima permohonan diterima.

Dalam pada itu, kata beliau, MyIPO kini dalam usaha bertemu dan mendekati para usahawan supaya dapat mendaftarkan paten atau cap dagangan.

Katanya, tumpuan akan lebih diberikan kepada petunjuk geografi kerana mahu dikenali dalam kalangan usahawan.

Abdul Manan berkata, antara 2008 hingga tahun lalu sebanyak 17 produk didaftarkan di bawah petunjuk geografi daripada sejumlah 35 permohonan yang diterima.

Antara yang telah didaftarkan termasuk Sarawak Pepper, Sabah Tea, Borneo Virgin Coconut Oil, Buah Limau Barli Sungai Gedong, Tambunan Ginger, Langkawi Cheese dan Perlis Harum Manis Mangga.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


RM52 juta disalur ke Sik

Posted: 04 Jun 2013 11:17 AM PDT

Oleh NORLIA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

SIK 4 Jun - Kerajaan negeri melaksanakan tiga projek pembinaan infrastruktur bernilai lebih RM52 juta bagi menaik taraf kemudahan asas di daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah berkata, projek pertama adalah pembinaan jalan pintas yang menghubungkan Kampung Merbau Kudung Batu 5 ke Felda Teloi Timur.

Apabila siap kelak tambahnya, jalan pintas itu akan memendekkan jarak perjalanan kepada sembilan kilometer berbanding 31 kilometer ketika ini.

"Projek ini menelan belanja RM49.7 juta dan kerja pembinaan telah dimulakan Ogos tahun lalu dan dijangka siap pada Januari 2014," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Daerah Sik di sini semalam.

Mohd. Tajudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek berkata, projek kedua adalah membaik pulih semula bekalan air Kampung Keda Sungai Senan yang telah siap dan akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir tidak lama lagi.

Menurutnya, projek tersebut bagi mengatasi krisis kekurangan bekalan air bersih dan masalah tekanan air rendah di rumah-rumah penduduk yang terletak di kawasan berbukit.

Katanya, projek ketiga adalah pembinaan semula jambatan sempit Kampung Charuk Tenang bernilai RM3.5 juta yang kini hampir siap.

Laluan jambatan yang dibina sejak 1960-an itu, kata beliau, akan ditambah daripada satu lorong kepada dua lorong untuk keselesaan pengguna jalan raya.

Justeru Mohd. Tajudin berkata, kesemua projek tersebut diharap dapat membantu mencapai sasaran menjadikan daerah Sik sebagai kawasan industri asas tani dan juga pusat agro pelancongan utama di utara tanah air.

"Pelbagai projek naik taraf kemudahan asas yang dijanjikan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini kepada rakyat Sik telah menunjukkan perkembangan positif dan bakal dinikmati dalam masa terdekat," katanya.

Tiga hospital baharu dibina di Perak

Posted: 04 Jun 2013 11:17 AM PDT

RAJA Nazrin Shah dan Tuanku Zara Salim beramah mesra dengan kakitangan Jabatan Kesihatan selepas majlis perasmian Klinik Kesihatan Teluk Intan di Teluk Intan, Perak, semalam. - BERNAMA

TELUK INTAN 4 Jun - Penduduk di sekitar Parit Buntar, Kampar dan Seri Iskandar bakal mendapat perkhidmatan kesihatan lebih baik selepas tiga buah hospital baharu yang dirancang dibina di tiga kawasan tersebut dijangka siap dalam tempoh empat atau lima tahun lagi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, pembinaan Hospital Parit Buntar dijangka menelan kos sebanyak RM150 juta, Kampar (RM120 juta) manakala kos pembinaan Hospital Bandar Seri Iskandar masih dalam proses penilaian.

"Isu peralihan tanah untuk ketiga-tiga hospital ini sudah diselesaikan. Kita sekarang dalam usaha untuk lihat proses-proses lain.

"Kalau semua memberikan peluang, kita boleh meneruskan proses dan saya ingat mungkin dalam empat atau lima tahun, kita akan dapat siapkan ketiga-tiga hospital baharu dalam bandar-bandar tersebut," katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas hadir menyaksikan Majlis Perasmian Klinik Kesihatan Teluk Intan yang disempurnakan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah di sini hari ini.

Yang turut berangkat sama, Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim.

Menurut Subramaniam, usaha itu selaras komitmen kerajaan meningkatkan taraf kemudahan kesihatan di negara ini bagi membolehkan orang ramai mendapat manfaat perkhidmatan kesihatan terbaik.

"Kita mahu meningkatkan taraf kemudahan kesihatan dalam negara agar setanding dengan taraf perkhidmatan kesihatan antarabangsa. Kita kini sudah menghampiri matlamat itu," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM300 juta bagi membina blok baharu untuk menempatkan Unit Kesihatan Ibu Mengandung dan Kanak-kanak di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.

Katanya, langkah itu bertujuan memberi kemudahan perkhidmatan tambahan untuk kesihatan ibu mengandung dan kanak-kanak.

"Proses perolehan dijangka dimulakan dalam masa terdekat dan projek itu dijangka siap dalam tempoh antara empat dan lima tahun dari sekarang," katanya.

Ketiadaan wakil MCA tidak jejas MBI - Datuk Bandar Ipoh

Posted: 04 Jun 2013 11:17 AM PDT

IPOH 4 Jun - Ketidakhadiran lapan ahli Majlis Bandaraya Ipoh yang mewakili MCA dalam mesyuarat penuh bulanan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu semalam mencetuskan tanda tanya memandangkan mereka tidak menghantar borang cuti atau surat peletakan jawatan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim (gambar) berkata, pihaknya menjemput semua ahli majlis menghadiri mesyuarat penuh itu yang pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 namun terpulang kepada mereka untuk hadir atau tidak.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, ketiadaan wakil parti itu tidak menjejaskan jawatankuasa yang diwakili ahli majlis berkenaan.

"Sehingga kini tidak ada arahan berhubung status ahli majlis ini daripada kerajaan negeri dan mereka juga tidak menghantar surat bercuti atau peletakan jawatan.

"Oleh itu, MBI masih menganggap mereka sebagai ahli majlis dan setiap kali mesyuarat, kita akan menjemput mereka sehingga tempoh pelantikan berakhir 31 Disember ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penuh bulanan MBI di sini semalam.

Roshidi berkata, walaupun ketidakhadiran ahli majlis MCA itu tidak memberi masalah kepada MBI namun ketiadaan mereka sedikit sebanyak menyukarkan PBT tersebut mendapat input berhubung masalah masyarakat Cina.

"Memang kita tidak ada masalah, cuma kita tidak akan mendapat pandangan menyeluruh daripada masyarakat Cina. Walaupun ada wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), namun pandangan orang politik mungkin berbeza," katanya.

Dalam pada itu, katanya, bagi memastikan kelancaran jawatankuasa yang dianggotai oleh wakil MCA pihaknya memutuskan menempatkan ahli majlis lain dalam jawatankuasa berkenaan.

Namun, katanya, langkah itu tidak bermakna ahli majlis terlibat disingkirkan sebaliknya MBI menambah bilangan ahli sedia ada terdiri daripada wakil UMNO, Gerakan, Parti Progresif Penduduk (PPP) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Sekarang kita mempunyai 11 jawatankuasa dan tempat-tempat ini akan ditambah ahli majlis yang ada sekarang. Ini bermakna mereka akan memikul tugas yang lebih.

"Tetapi ini hanya untuk sementara waktu dan sebarang keputusan akan diputuskan dalam masa terdekat," katanya.

Menurut beliau, langkah itu bagi memastikan kelancaran jawatankuasa tersebut tidak terbantut dan pembangunan MBI tidak terhalang.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Rakyat wajib bangkit pertahan raja - Harussani

Posted: 05 Jun 2013 01:55 AM PDT

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA

KUALA LUMPUR 5 Jun - Seluruh rakyat khususnya orang Melayu digesa bangkit mempertahankan institusi raja yang kini berdepan ancaman daripada kelompok tertentu terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, institusi raja yang menjadi payung kepada agama Islam di negara ini wajib dipertahankan apabila terdapat pihak tertentu mengancam kelangsungan institusi tersebut.

Tambahnya, Islam sendiri mengarahkan setiap umatnya mentaati raja dan adalah berdosa jika rakyat bertindak menderhaka termasuk menghasut orang ramai bangkit mengancam institusi raja.

"Apabila raja diancam, umat Islam wajib berjihad mempertahankannya apatah lagi dalam situasi di Malaysia dan saya lihat selepas pilihan raya umum lalu macam-macam ancaman sedang dilakukan ke atas institusi raja.

"Derhaka kepada raja itu adalah satu dosa kerana Islam sendiri mengarahkan umatnya mentaati raja selaku pemimpin," katanya semasa membentangkan kertas kerja bertajuk Islam dan Raja pada Seminar Institusi Raja di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

50 kubur lama berusia lebih 100 tahun di Melaka dipindahkan

Posted: 05 Jun 2013 01:46 AM PDT

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA

MELAKA 5 Jun - Sebanyak 50 kubur lama berusia lebih 100 tahun di Tanah Perkuburan Bukit Kechik, Kampung Bertam di Jalan Pulau Gadong di sini dipindahkan ke kawasan perkuburan baharu hari ini.

Operasi pemindahan yang mengambil masa dua hari bermula semalam itu, melibatkan seramai kira-kira 10 penggali kubur di sekitar negeri ini, dua pegawai Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan tujuh anggota polis.

Setiausaha MAIM, Mohd. Yusof Abu Bakar berkata, proses pemindahan itu melibatkan kawasan perkuburan seluas 111.48 meter persegi di atas sebuah tapak berkeluasan 0.809 hektar yang bakal dibangunkan.

"Pemindahan ini dibuat atas permintaan pemilik tapak yang merupakan sebuah syarikat swasta kerana mahu membangunkan kawasan ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua rangka yang dipindahkan itu disemadikan dalam satu barisan kubur yang mempunyai 50 liang lahad. - UTUSAN ONLINE

Ahli Parlimen perlu zahirkan ketaatan, lindungi Perlembagaan - Abu Zahar

Posted: 05 Jun 2013 01:39 AM PDT

KUALA LUMPUR 5 Jun - Ahli Parlimen, sama ada di Dewan Rakyat atau Dewan Negara, hendaklah menunjukkan taat setia yang sebenar kepada negara serta berazam untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, kata Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Beliau berkata, perkara ini penting memandangkan kebelakangan ini, jelas kelihatan berlakunya perbuatan melanggar atau mengingkari beberapa perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan.

Beliau berkata, Ahli Parlimen perlu mengelak daripada mengeluarkan kata-kata keterlaluan, yang boleh dianggap bukan sahaja melanggar ikrar sumpah dan taat setia, tetapi mempersoal kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan menolak peruntukan Perlembagaan.

Sepatutnya, anggota Parlimen boleh memahami dengan lebih mendalam kedudukan Yang di-Pertuan Agong dalam sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, yang telah diterima pakai dengan baiknya sejak kemerdekaan, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada upacara mengangkat sumpah bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Pengerusi Hindraf, P. Waytha Moorthy sebagai Senator hari ini di bangunan Parlimen.

Abdul Wahid, 49, dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi (EPU), manakala Waytha Moorthy, 47, dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Abu Zahar turut mengingatkan Ahli Parlimen supaya berbahas dengan bijak dan mempraktikkan segala peraturan majlis mesyuarat Dewan Negara dan Dewan Rakyat, agar dapat dilihat sebagai kumpulan yang dihormati dan diyakini rakyat.

"Kebebasan bersuara memang diperuntukkan dalam Perlembagaan tetapi di Malaysia ada had batasannya kerana perkara ini kadang kala boleh mengguris perasaan pelbagai kaum di negara ini.

"Di Malaysia ada Akta Hasutan, walaupun kita bebas berucap tetapi akta ini telah diluluskan dalam dewan ini... juga oleh wakil-wakil rakyat," katanya.

Mesyuarat pertama penggal pertama Parlimen ke-13 akan berlangsung selama 16 hari bermula 24 Jun, selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan pada 5 Mei lepas.

Mengulas lanjut, Abu Zahar berkata, terdapat banyak perkara dalam Perlembagaan yang mesti dihormati dan dijaga oleh Ahli Parlimen seperti Perkara 152 melibatkan Bahasa Kebangsaan.

"Kita tahu, kerajaan sangat prihatin dalam penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perdagangan tetapi kita mesti menghormati dan jangan memperlekeh dan mempersenda Bahasa Kebangsaan kita," katanya.

Beliau juga berkata, Perkara 153 Perlembagaan mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, tidak sepatutnya dipersoal oleh Ahli Parlimen kerana ia boleh menimbulkan situasi sensitif dan menggugat keamanan negara.

"Perkara ini telah berjalan begitu baik dan jangan sesekali kita mempolitikkannya dan menggugat keharmonian negara ini," katanya. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Timur

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Boikot peniaga naikkan harga

Posted: 04 Jun 2013 11:17 AM PDT

Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA
utusanterengganu@utusan.com.my

Ahmad Said melihat produk roti di gerai jualan dalam Karnival Usahawan Mega Zon Timur di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, kelmarin.

KUALA TERENGGANU 4 Jun - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menasihatkan peniaga di negeri ini tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga makanan sewenang-wenangnya terutama ketika musim cuti sekolah.

Beliau berkata, sikap tamak mereka akan menjejaskan kemasukan pelancong dan memberi imej tidak baik kepada negeri ini.

Dalam masa sama, beliau menyeru orang ramai memboikot restoran yang didapati menjual makanan pada harga keterlaluan.

"Masalahnya, makanan bukan barang kawalan dan ada orang tengah ambil 'untung atas angin'. Makanan laut di Kuala Lumpur pun lebih murah jika dibandingkan di Terengganu.

"Harga makanan dan industri pelancongan ini memang ada kaitan. Tapi itulah, kadang-kadang orang kita terperangkap. Sudah masuk kedai terus pesan makanan, tak tanya (harga). Lepas itu baharu garu kepala," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan Mega Zon Timur melibatkan 100 usahawan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dari Terengganu, Kelantan dan Pahang di Dataran Shahbandar, di sini semalam.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, Roslee Daud, wakil Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) merangkap Pengerusi Jawatankuasa karnival berkenaan, Mohd. Ishak Zakaria dan Pengarah Mara negeri, Abdullah Mohamad.

Karnival selama empat hari itu pertama kali diadakan melibatkan tiga negeri serentak berbanding sebelum ini yang cuma diadakan di peringkat negeri masing-masing.

Dalam pada itu, Ahmad berharap usahawan menjadikan karnival tersebut sebagai platform memperluas perniagaan mereka selain meningkatkan pendapatan masing-masing.

"Kalau boleh setiap kali musim cuti sekolah, Mara juga boleh mengambil inisiatif memanggil semua usahawan bumiputera ini berkumpul untuk menjual produk masing-masing. Kita alu-alukan," katanya.

Polis Terengganu tubuh pasukan pantau maklumat fitnah, hasutan

Posted: 04 Jun 2013 11:17 AM PDT

KUALA TERENGGANU 4 Jun - Polis Terengganu menubuhkan pasukan khas bagi memantau penyebaran maklumat berbaur hasutan dan fitnah menerusi media sosial yang boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat di negeri itu.

Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapa berkata, unit itu menjalankan pemantauan 24 jam bagi mengesan sebarang gejala itu dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat.

"Walaupun belum ada kes yang dilaporkan berlaku setakat ini, kami sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memantau perkembangan media baru khususnya di internet.

"Unit ini akan memantau laman-laman yang didapati mempunyai unsur hasutan sebelum tindakan selanjutnya diambil terhadap pengendalinya," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau mengulas mengenai pergerakan pasukan tentera siber pembangkang yang dikenali sebagai Red Bean Army yang melancarkan serangan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) menerusi laman sosial seperti Facebook dan Twitter serta YouTube khususnya di negeri ini.

Jamshah mengingatkan penggiat media sosial agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat yang diterima mereka.

Katanya pengamal media sosial harus peka dengan persekitaran kerana maklumat sedemikian mudah tersebar serta membawa kesan psikologi yang besar dalam kalangan rakyat.

Dalam perkembangan lain, Jamshah memberitahu, siasatan mengenai kes perhimpunan haram membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) di sini baru-baru ini kini hampir selesai.

"Kita akan maklumkan semula perkembangan kes tersebut sebaik sahaja siasatan telah selesai sepenuhnya," katanya.

Loker4u mudahkan pesakit ambil ubat

Posted: 04 Jun 2013 11:17 AM PDT

KOTA BHARU 4 Jun - Pesakit yang memerlukan ubat secara berkala di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini tidak perlu lagi beratur di farmasi untuk mendapatkan ubat kerana hospital tersebut kini menyediakan perkhidmatan Loker4u kepada mereka.

Ketua Pegawai Farmasi HRPZ II, Fatimah Abdullah berkata, Loker4u adalah satu sistem yang semua ubat susulan yang diperlukan setiap pesakit akan diletakkan dalam loker khas yang disediakan dan mereka hanya perlu mengambil ubat masing-masing di dalam loker berkenaan.

Menurut beliau, pihak hospital akan memberi setiap pesakit kunci untuk mereka membuka loker berkenaan tanpa perlu beratur panjang di farmasi yang boleh memakan masa sehingga beberapa jam.

"Loker4u beroperasi sejak Februari lalu, merupakan salah satu perkhidmatan baharu yang memberi nilai tambah kepada pesakit.

"Setiap pesakit memenuhi kriteria dan berminat untuk menggunakan perkhidmatan ini akan didaftarkan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Fatimah berkata, Loker4u memudahkan pesakit mengambil ubat susulan di loker yang terletak di pintu utama Farmasi Pesakit Luar.

"Setiap pesakit berdaftar akan diberikan kunci dan loker persendirian yang kunci tersebut hanya dimiliki pesakit dan pihak hospital.

"Sebanyak 40 unit loker disediakan untuk 80 pesakit kerana setiap loker, kami menyediakan dua kunci," katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan itu memberi kelebihan dan kebebasan kepada pesakit terutamanya kepada golongan bekerja kerana mereka tidak perlu tergesa-gesa ke hospital semata-mata untuk mengambil ubat.

"Pesakit diberi tempoh seminggu untuk mengambil ubat pada bila-bila masa dan tidak bergantung kepada masa operasi kaunter farmasi.

"Sekiranya pesakit gagal mengambil ubat pada tempoh diberikan, pesakit dihubungi untuk mengambil ubat di kaunter pandu lalu kerana loker berkenaan akan digunakan untuk pesakit lain," katanya.

Katanya, pihak hospital akan menambah bilangan loker yang sedia ada sekiranya mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pesakit untuk menggunakan perkhidmatan itu.

"Setakat ini, seramai 34 pesakit menggunakan perkhidmatan ini dan saya berharap bilangan tersebut akan bertambah dari semasa ke semasa.

"Kami jangkakan, loker tersebut dapat diisi sepenuhnya pada bulan depan terutamanya kepada pesakit yang tinggal di kawasan berhampiran," katanya.

Tambah beliau, perkhidmatan Loker4u turut menyertai pertandingan Konvensyen Inovasi dan Kualiti Farmasi 2013 peringkat Kebangsaan di Negeri Sembilan, 10 Jun ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Umat Islam ASEAN perlu bangkit

Posted: 04 Jun 2013 10:58 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Graduan Melayu didiskriminasi

Posted: 04 Jun 2013 10:58 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Tingkatkan tenaga kerja mahir industri perkayuan

Posted: 04 Jun 2013 10:58 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved