Khamis, 30 Mei 2013

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Pesawat terpaksa buat pendaratan cemas ekoran masalah penumpang

Posted: 30 May 2013 10:15 AM PDT

BEIJING 30 Mei - Sebuah pesawat yang dalam perjalanan ke Beijing terpaksa membuat pendaratan kecemasan ke Alaska ekoran seorang penumpang cuba menggantung diri di tandas pesawat tersebut semalam.

Syarikat Penerbangan Amerika Syarikat dalam satu kenyataan berkata, pesawat UA851 dari Chicago itu berlepas Rabu lalu terpaksa membuat pendaratan di Anchorage kerana `rawatan kecemasan selepas seorang penumpang terpaksa di tahan di hospital tempatan.

Sementara itu penumpang lain terpaksa bermalam di bandar raya itu ekoran kejadian tersebut. - AFP

2 terkorban dalam Taufan Barbara

Posted: 30 May 2013 10:12 AM PDT

OAXACA 31 Mei - Taufan Barbara melanda perairan Pasifik selatan Mexico semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang maut dengan jalan raya ditenggelami air dan beberapa batang pokok tumbang.

Menurut Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS), taufan itu bagaimanapun kemudiannya bertukar menjadi ribut dengan kelajuan angin maksimum 96 kilometer sejam.

Barbara melanda negeri Chiapas iaitu sebuah wilayah pedalaman berhampiran negeri Oaxaca dengan beratus-ratus orang turut dipindahkan daripada kawasan terjejas, kata pegawai perlindungan awam negeri Chiapas. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Kak Leha srikandi negara

Posted: 29 May 2013 11:53 PM PDT

Gambar kenangan... Zaleha Ismail bersama suami, Allahyarham Abdul Rahman Ali, anak-anak, menantu dan cucu-cucunya.

"SELAGI terdaya dan ada kudrat saya akan terus bekerja untuk mereka yang memerlukan. Inilah sumbangan saya kepada masyarakat dan negara," demikian kata-kata hikmat yang terbit daripada bibir Tan Sri Zaleha Ismail, bekas Menteri Pembangunan Masyarakat dan Keluarga.

Di kalangan media era dahulu, beliau lebih mesra di sapa Kak Leha, malah sehingga kini wartawan veteran yang bertemunya masih memanggilnya Kak Leha. Beliau bukan setakat sumber tetapi juga sahabat dan kakak.

Banyak yang dipelajari daripada beliau yang tidak kedekut berkongsi ilmu dan pengalaman terutama dalam memperkasa wanita Malaysia.

Sifat keibuannya jelas dan beliau antara orang politik yang dekat di hati orang media tanpa mempedulikan protokol.

Mungkin tidak ramai yang tahu, Zaleha memulakan kerjanya sebagai DJ radio di RTM ketika masih di bangku sekolah secara sambilan.

Suaranya ketika itu boleh didengar melalui rancangan Dunia Wanita, Apa Nak Masak Hari ini di samping mengendalikan rancangan Perkhidmatan Inggeris.

Politik dan kerja amal

Sebati dengan jiwanya yang suka menolong orang, kerja-kerja amal telah berputik dalam dirinya sejak di alam persekolahan lagi.

"Saya buat ini semua kerana ingin membantu orang yang memerlukan. Persatuan Pandu Puteri, Brownie, Palang Merah, dan macam-macam persatuan lagi menjadi tempat saya menyemai minat yang satu ini.

"Melalui program yang dianjurkan saya dapat membantu orang ramai yang perlukan bantuan. Secara tidak langsung saya dapat bergaul dan berkongsi pengalaman hidup dengan mereka," katanya mengimbau masa lalu dalam pertemuan di Ibu pejabat Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia di Kampung Pandan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tidak hanya kerja amal, pada zaman remajanya Zaleha juga aktif dalam bidang seni. Menari, menyanyi, bersajak dan berpantun menjadi sebahagian daripada minat yang tidak boleh dipisahkan lagi.

"Menginjak dewasa saya berjinak-jinak dalam politik. Nyata nasib menyebelahi saya. Seronok pula berpolitik kerana ia mengajar kita banyak perkara, tentang tanggungjawab, ketelusan dan kejujuran dalam memikul amanah yang diberikan," ujarnya tenang dalam nada optimis seorang wanita yang telah banyak makan garam.

Biarpun sudah bersara daripada kerajaan, jiwanya masih sarat dengan semangat. Lebih membanggakan beliau kini memegang beberapa jawatan penting dalam pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Antaranya, Pengerusi Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia dan Pengerusi Yayasan Suara Wanita.

Dilahirkan pada 18 Mei 1936 di Kampung Batu Laut, Kuala Langat, Selangor, Tan Sri Zaleha merupakan anak sulung daripada sembilan adik beradik .

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Sungai Pelek dan memiliki Ijazah Sarjana muda Sastera dengan kepujian dari Universiti Malaya pada 1961.

Kerjaya politiknya bermula sejak 1974 apabila beliau menyandang jawatan Setiausaha Politik Menteri Kebajikan Masyarakat.

Khidmat baktinya menyerlah sehingga beliau diberi kepercayaan untuk menjadi wakil rakyat Permatang, Selangor dan exco wanita pertama Selangor pada 1978.

Pada Mei 1995 beliau dilantik sebagai Menteri Perpaduan dan Pembangunan Masyarakat sehingga 1999.

Pun begitu tanpa jawatan dalam kerajaan wanita perkasa ini masih terus menabur bakti untuk anak bangsa.

"Saya tidak boleh duduk diam tanpa berbuat sesuatu sebab sudah biasa sibuk. Rasa lain jika tidak bekerja. Anak-anak juga tidak pernah menghalang sebab mereka tahu saya harus 'sibuk' untuk menceriakan hidup saya.

"Lagipun saya gembira melakukan kerja ini kerana ia memberi manfaat. Biarpun sikit ia tetap ada dan memberi makna kepada masyarakat," ujarnya yang tidak mengharapkan jawatan atau ganjaran apabila memilih untuk menceburi bidang politik.

Memperkasa wanita

Desakan jiwa yang ingin melihat wanita diangkat ke persada negara menyebabkan Zaleha sanggup pergi ke seluruh dunia menghadiri pelbagai program dan seminar membabitkan wanita dengan harapan ia boleh dilaksanakan untuk wanita Malaysia.

"Apa yang saya lakukan adalah untuk melihat wanita di negara ini maju dan diterima di peringkat global.

"Alhamdulillah usaha itu berbaloi apabila kerajaan bersetuju menubuhkan Unit Wanita diikuti dengan Jabatan Hal Ehwal Wanita (HAWA) dan seterusnya lahirlah Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat," ceritanya bangga.

Katanya lagi, wanita Malaysia sepatutnya berbangga dan berterima kasih kepada kerajaan kerana mengiktiraf kepentingan wanita dalam pembangunan negara.

"Kita diberi peranan dan hak bersuara melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan buktinya kini jelas di mana wanita menjadi tulang belakang pembangunan negara hari ini," katanya.

Ibu bapa jadi idola

Menyentuh tentang masa silam, tidak dinafikan di mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi.

Begitulah yang dialami Zaleha. Sikap, semangat dan keperibadiannya banyak dipengaruhi oleh ibu dan ayahnya.

"Ayah saya seorang yang tegas dan mempunyai wawasan yang jauh. Dia tidak pernah menyekat saya untuk maju walaupun saya seorang perempuan.

"Saya bersyukur kerana dilahirkan sebagai anak sulung sebab saya diberi kebebasan untuk mendapatkan pendidikan sempurna. Apabila saya beritahu bapa yang saya ingin belajar di sekolah Inggeris dia terus setuju," ungkap Zaleha.

Menurut beliau lagi, zaman persekolahannya amat perit. Namun ia memberi pengajaran yang amat berguna dalam usaha membina jati diri dan semangat untuk beliau berjaya.

"Saya bukan datang dari keluarga senang. Setiap hari saya berjalan kaki sejauh 10 kilometer pergi dan balik sekolah tanpa kasut. Tapi itu semua tidak sekali kali melemahkan semangat saya untuk belajar sungguh-sungguh,'' katanya yang menjadikan bapanya sebagai sumber inspirasi dan idola.

Kerja-kerja amal yang tertanam dalam dirinya juga hasil melihat bagaimana bapanya menjalankan tugas sebagai seorang penghulu.

"Rumah saya sentiasa dipenuhi dengan penduduk kampung yang mahu mendapatkan nasihat dan meminta bantuan. Saya melihat bagaimana bapa melayan mereka dan berbakti kepada orang kampung. Saya juga membantu bapa buat kerjanya setiap hari.

"Dari situ saya belajar menyusun kerja dan mendalami bidang pentadbiran. Apabila saya terlibat dalam politik saya lakukan perkara yang sama terutama setelah saya menjadi wakil rakyat. Secara ikhlas saya lakukan ini semua demi rakyat bukan untuk diri saya," katanya jujur.

Seperti orang lain Zaleha juga tidak pernah lupa akan jasa dan pengorbanan ibunya. Kasih sayang ibu akan tersemat dalam hati sampai bila-bila.

"Arwah ibu juga banyak mengajar saya tentang kehidupan. Dari arwah juga saya belajar menjadi wanita, isteri, ibu dan nenek yang baik. Saya juga diajar menjahit dan memasak.

"Biarpun mak saya tidak bersekolah tetapi dia cekap dalam membuat kerja rumah. Mak saya cukup mahir dalam kerja menyulam dan menekat. Dulu masa sekolah saya jahit baju sendiri tapi bila masuk politik saya terpaksa meninggalkan minat saya itu kerana tidak ada masa,'' tambahnya tersenyum. - Normala Hamzah

Minat jadi perniagaan

Posted: 29 May 2013 11:53 PM PDT

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar Koleksi Sew Sweet DesignS

Nadhrah Maidin menunjukkan sebahagian daripada cenderamata hasil kerja tangannya.

PAKAR motivasi berkali-kali mengatakan bahawa minat adalah asas kejayaan sesuatu pekerjaan.

Bersandarkan kata-kata itu juga, Nadhrah Maidin memulakan perniagaan jahitan.

Semuanya atas dasar minat terhadap fabrik kapas Amerika, yang coraknya sangat menarik perhatian wanita tersebut.

Memastikan minatnya itu tidak sia-sia, Nadhrah yang meraih latihan asas jahitan hanya melalui trial and error ketika berusaha menghasilkan pelbagai barangan contoh sebelum mula menjual.

"Sew Sweet Designs telah beroperasi sejak satu setengah tahun lalu. Sebelum itu saya mengambil masa dua hingga tiga bulan membuat barangan contoh.

"Sew Sweet Designs menawarkan produk produk berdasarkan cendera mata buatan tangan dan menitikberatkan produk yang bersifat peribadi. Sebagai contoh, pelanggan boleh memilih kain sendiri dan menyulam nama.

"Saya sentiasa berfikir apakan produk yang praktikal , sesuai digunakan dan tidak terdapat di kebanyakan kedai.

"Dari situ saya mula membuat rekaan dan contoh produk. Saya olah produk itu sehingga sesuai untuk dijual," jelas Nadhrah yang ditemui di Souq @Villa 16, Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Menariknya, walaupun baru, koleksi idea Nadhrah telah meraih perhatian ramai pelanggan daripada pelbagai kaum, jantina dan peringkat umur. Kebanyakan pelanggan beliau terdiri daripada orang yang menitik beratkan hadiah yang bersifat peribadi dan unik.

"Buat masa sekarang saya hanya menjual di Facebook dan bazar hujung minggu. Saya berkerja seorang dan tidak mempunyai pekerja. Saya masih belum berkemampuan untuk menjual besar-besaran.

"Kebanyakan pelanggan memang tak boleh saya lupakan. Setiap mereka akan pasti menghubungi saya menyatakan perasaan gembira setelah mendapat hasil kerja tangan saya. Perasaan gembira mereka menceriakan hidup saya.

"Sudah tentu saya berasa puas bila saya menjahit sama ada untuk pelanggan atau sebagai produk contoh. Hasil terakhir adalah satu nikmat di mana saya curahkan sepenuh tenaga dan masa saya untuk menyiapkannya.

"Saya pernah bekerja makan gaji dengan syarikat swasta sebelum ini. Kepuasan bekerja menjahit dan menghasilkan sesuatu yang pelanggan suka adalah satu perasan yang sangat menggembirakan. Sangat berbeza dengan kerja makan gaji," jelasnya lagi.

Apabila berniaga sudah tentu ada harapan untuk mengembangkannya pada tahap tertentu.

Nadhrah juga berharap agar dapat mengembangkan perniagaannya dengan membuka kedai hadiah dan cenderahati yang unik dimana orang ramai boleh mendapat hadiah yang personal dan tidak didapati di merata tempat.

"Saya boleh dihubungi di talian telefon bimbit 012 6081898 atau di facebook https://www.facebook.com/sSweetDesigns."

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Kg. Dato Keramat sering banjir

Posted: 29 May 2013 11:15 AM PDT

OLEH SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusan.com.my

Johari Abdul Ghani (kiri) menerangkan masalah banjir yang berlaku di Kampung Dato Keramat kepada Pengarah Kejuruteraan Awam dan Saliran DBKL, Ir. Tan Keng Chok (dua dari kiri) sambil diperhatikan oleh Pegawai DBKL, Lokman Abdul (dua dari kanan) dan penduduk di Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/Fatin Amirah

KUALA LUMPUR 29 Mei - Penduduk digesa memberikan kerjasama kepada agensi-agensi kerajaan yang menguruskan sistem saliran dalam usaha mengatasi masalah banjir kilat yang kian kerap berlaku di Kampung Dato Keramat.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, Kampung Dato Keramat dilaporkan antara 10 kawasan paling teruk dilanda banjir kilat di sekitar Kuala Lumpur.

"Namun yang lebih penting perlu buang dahulu tabiat buruk suka membuang sampah ke dalam longkang, parit besar dan sungai terutamanya di Jalan Lorong Kiri yang memburukkan lagi masalah banjir kilat.

"Sampah-sarap menyekat aliran air yang menyebabkan banjir kilat mudah berlaku walaupun dalam tempoh kurang sejam hujan turun," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan majlis taklimat dengan wakil-wakil agensi kerajaan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Alam Flora Sdn. Bhd (Alam Flora) dan para penduduk di sini, hari ini.

Johari berkata, dalam jangka pendek penyenggaraan sistem saliran dan perparitan terpaksa lebih kerap dilakukan sementara menunggu siapnya projek besar yang melibatkan pengubahsuaian saliran dilakukan bagi mengekang masalah banjir kilat di seluruh bandar raya Kuala Lumpur.

"Kita kena lebih kerap memastikan seluruh sistem saliran bersih, tidak tersumbat dengan sebarang sampah supaya setiap kali hujan lebat, air mudah dialirkan tanpa sebarang sekatan," katanya.

Menurutnya, sejak tiga tahun kebelakangan ini, kawasan itu yang melibatkan 70 buah rumah atau 350 orang penduduk begitu teruk dilanda banjir kilat sehingga naik ke paras pinggang orang dewasa.

Katanya, kejadian itu menyebabkan penduduk menanggung kerugian besar apabila kebanyakan peralatan dan perabot rumah mengalami kerosakan dan terpaksa diganti baru.

"Ada penduduk yang membiarkan ruang tamu rumah mereka kini kosong tanpa sebarang perabot lagi kerana tidak mahu rosak dan rugi akibat banjir," katanya.

Di samping itu, katanya, akibat terlalu kerap berlaku banjir kilat menyebabkan pelbagai agensi kerajaan terpaksa menyalurkan pelbagai bantuan segera kepada penduduk yang menjadi mangsa.

"Ini termasuklah bantuan dari pihak Jabatan Kebajikan Malaysia, Baitulmal dan sebagainya. Permohonan yang lalu masih belum sampai, terpaksa pula membuat permohonan baharu," katanya.

Terganggu oleh lombong pasir

Posted: 29 May 2013 11:15 AM PDT

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusan.com.my

PAPAN iklan penjualan pasir yang dipasang oleh pengusahanya di laluan masuk ke kawasan penyimpanan pasir di Kampung Sungai Pusu, Gombak, Selangor.

GOMBAK 29 Mei - Penduduk Kampung Sungai Pusu di sini mendesak kerajaan negeri segera memantau kegiatan melombong pasir yang mereka dakwa menyebabkan masalah alam sekitar yang teruk di kampung tersebut.

Menurut mereka, kegiatan itu juga menyebabkan kawasan persekitaran kampung mereka berdepan dengan masalah habuk dan debu pasir memenuhi udara sehingga menimbulkan suasana tidak selesa.

Ini berlaku terutamanya apabila lori-lori pengangkut pasir dan lori pembancuh simen keluar masuk dari lokasi mengorek pasir tersebut.

Kegiatan melombong pasir itu melibatkan beberapa batang anak Sungai Pusu di kampung itu, yang turut mengalir masuk ke kampus induk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang terletak berdekatan.

Salah seorang penduduk, Mazlan Mohd. Nor berkata, kegiatan mengorek pasir itu telah beroperasi sejak tahun 2004 lagi yang ketika itu dilakukan secara agak tertutup.

"Tetapi pada hari ini, kegiatan angkut pasir berjalan tanpa henti dari awal pagi sehingga lewat malam. Yang paling kami tidak tahan bukan sahaja masalah habuk sampai masuk ke dalam rumah malah jalan di kampung ini sudah berlubang-lubang teruk angkara lori-lori pasir ini.

"Bayangkan jika musim panas, penuh dengan habuk dan musim hujan pula, jalan jadi berlopak-lopak dan air kotor akan memercik setiap kali lori-lori tersebut lalu lalang di hadapan rumah saya," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui.

Mazlan berkata, kini hampir setiap hari penduduk terpaksa 'makan' pasir, habuk dan debu malah pernah ada yang terpaksa mendapatkan rawatan paru-paru akibat masalah pernafasan yang didakwanya berpunca daripada pencemaran yang berlaku itu.

"Keadaan yang paling teruk dialami ketika ketika kerajaan negeri dibubarkan sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 baru-baru ini apabila dalam tempoh hampir sebulan, kegiatan korek pasir dari sungai berkenaan semakin menjadi-jadi.

"Operator-operator pasir ini benar-benar mengambil kesempatan apabila tidak ada mana-mana pihak berkuasa akan mengambil tindakan, sehingga lori besar yang menggunakan 24 tayar dan lori-lori pembancuh simen menjadi raja di kampung ini," dakwanya.

Menurutnya lagi, kegiatan melombong pasir itu turut melibatkan sebidang tanah wakaf untuk tapak perkuburan turut menjadi 'mangsa' apabila dipajakkan pihak tertentu kepada operator pasir tersebut.

Kawasan tanah wakaf itu, katanya, dijadikan tempat menyimpan pasir dan membancuh simen di tanah tersebut.

"Difahamkan, bayaran pajak tanah itu ialah RM4,000 sebulan. Pasir yang disimpan di situ turut melibatkan pasir halus yang dibawa dari luar, dipercayai dari Karak dan Bentong di Pahang," dakwanya.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati aktiviti korek pasir itu berlaku secara terbuka terutama berhampiran dengan pintu belakang kampus UIAM tanpa diambil tindakan oleh mana-mana pihak.

Operator pasir tersebut didapati tidak membersihkan jalan keluar masuk atau membina takungan air untuk membersihkan tayar-tayar lori yang berpasir dan berdebu itu.

Kegiatan korek pasir ini dipercayai menjadi antara punca berlakunya pencemaran alam sekitar yang teruk di kampus UIAM apabila anak Sungai Pusu yang mengalir dari lokasi korek pasir itu kini mengalami mendapan pasir dan lumpur yang teruk apabila banyak alirannya disekat dan tercemar.

Prasarana nafi kontraktornya curi air

Posted: 29 May 2013 11:15 AM PDT

KUALA LUMPUR 29 Mei - Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) menafikan dakwaan salah sebuah syarikat kontraktor yang dilantiknya terlibat dengan kes kecurian air yang berlaku di sebuah tapak pembinaan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di Sri Keladi, Bukit Jalil di sini.

Pengarah Kumpulan Prasarana bagi Pembangunan Projek Prasarana, Zulkifli Mohd. Yusoff berkata, pihaknya telah menyiasat dakwaan itu, dan kontraktor yang terlibat dalam projek sambungan laluan LRT (LEP) berkenaan telah menafikan melakukan perbuatan itu.

"Paip air high-density polyethylene (HDPE) yang dikenal pasti oleh pihak Syabas telah dipasang secara haram sebenarnya ialah sebahagian daripada sistem rangkaian paip air yang disambung kepada meter air untuk sub stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB) di situ dan meter itu dipercayai telah dicuri minggu lepas," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai tapak pembinaan stesen LRT berkenaan diserbu oleh pihak Syabas kerana syarikat kontraktor projek itu disyaki mencuri air sejak lebih dua tahun lalu.

Menurut Zulkifli, pada tahun lalu pihak kontraktor terlebih dahulu menyiapkan laluan sambungan LRT Ampang bagi mengambil alih tapak untuk menyediakan kawasan pembinaan stesen LRT.

"Untuk membersihkan kawasan bagi pembinaan LEP, pihak kontraktor terpaksa mengalihkan pili bomba sedia ada di sub stesen TNB itu ke lokasi baharu.

"Paip HDPE digunakan untuk menyambung sumber air kepada meter air pencawang TNB," jelasnya.

Katanya, pihak kontraktor kerja-kerja awal telah menyiapkan kerja-kerja dalam tempoh beberapa bulan dan menyerahkan tapak itu kepada kontraktor yang bertanggungjawab bagi projek LEP.

"Berlawanan dengan dakwaan Syabas, kontraktor berkenaan tidak mengambil air yang disalurkan ke sub stesen TNB untuk membersihkan kenderaan berat dan ringan miliknya. Tambahan pula, ruang terhad di tapak itu tidak membolehkan aktiviti seperti itu dilakukan.

"Kami memandang serius dakwaan ini dan sedia membantu serta memberi sokongan penuh kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara tersebut," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Kes denggi naik di Johor Bahru

Posted: 29 May 2013 11:15 AM PDT

Oleh AZIZI MAJID
pengarang@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 29 Mei - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menubuhkan Bilik Gerakan Denggi yang beroperasi setiap hari bermula 23 Mei lalu susulan peningkatan kes wabak berkenaan di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan berkenaan.

Datuk Bandar, Burhan Amin berkata, bilik gerakan itu yang dibuka di bangunan MBJB berfungsi mengatur logistik, tenaga kerja, laporan operasi dan pemantauan kes setiap hari.

Tambahnya, pemantauan itu berikutan sejak 1 Januari hingga 25 Mei lalu, sebanyak 433 kes demam denggi dan 12 kes demam denggi berdarah dilaporkan dengan lima kematian.

"Dalam memerangi wabak denggi dari berleluasa, MBJB turut mempertingkat tinjauan membabitkan pemeriksaan terhadap sebanyak 10,618 premis manakala 82 kawasan telah disembur dengan racun jentik-jentik.

"MBJB turut menjalankan semburan kabus membabitkan sebanyak 30,527 premis di sekitar bandar raya ini," katanya dalam Mesyuarat Penuh Bulanan MBJB di sini semalam.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua warga bandar raya ini meningkatkan tahap kebersihan kawasan kediaman dan premis perniagaan masing-masing.

Inap desa Kg. Parit Puteri Menangis

Posted: 29 May 2013 11:15 AM PDT

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
pengarang@utusan.com.my

PENDUDUK menunjukkan pintu gerbang seperti Menara Berkembar Petronas mengalu-alukan pelawat ke Kampung Parit Puteri Menangis di Pontian, baru-baru ini.

PONTIAN 29 Mei - Bermula dengan 10 buah rumah pada 2000, kini Inap Desa Kampung Parit Puteri Menangis, Ayer Baloi di sini bersedia menjadi tuan rumah yang mesra kepada pelawat dari dalam dan luar negeri dengan tambahan enam buah rumah dalam segmen agropelancongan di kampung ini.

Menurut Pengerusinya, Sujak Hussin, 53, pihaknya mempunyai sebanyak 16 buah rumah yang terlibat secara aktif bagi sama-sama menjadikan aktiviti tersebut sebagai kegiatan ekonomi penduduk tempatan melalui pelbagai produk makanan, kebudayaan, pertanian, industri kecil dan sederhana (IKS), ternakan dan sukan.

Menurut beliau, semuanya ditawarkan dengan pakej serendah RM170 semalam bermula pukul 12 tengah hari sehingga keesokannya termasuk makan minum sebanyak empat kali serta lawatan ke produk pelancongan.

"Kami bersedia menawarkan suasana kelainan kepada pelawat seperti memotong buah nenas, memetik buah kelapa sawit, memberi makan kambing, menggoreng makanan ringan serta aktiviti kebudayaan seperti tarian zapin, permainan congkak, silat mahupun berhibur dengan lagu-lagu karaoke tahun-tahun 60-an dan 70-an.

"Dengan kemudahan prasarana yang baik dan berdekatan dengan Lebuhraya Utara Selatan di laluan masuk Tol Sedenak dan Simpang Renggam, menjadikan kampung ini destinasi percutian sempurna. Malah, sebanyak empat orang penduduk telah membuat lawatan kerja ke Jepun bagi menimba pengalaman dalam bidang tersebut," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Bagi Pengerusi IKS kampung tersebut, Masnah Rahmat, 47, beliau bersama pengusaha industri hiliran di kampung itu sentiasa bersedia menerima tetamu yang datang bermalam di inap desan berkenaan dan melihat sendiri penghasilan produk kaum ibu seperti kuih siput, pelbagai jenis kerepek dan kuih tradisional seperti baulu dan bangkit.

Menurutnya, kaum ibu turut sama memajukan ekonomi keluarga dalam bidang IKS ketika kaum bapa memerah keringat di kebun kelapa sawit dan nenas seiring usaha memacu ekonomi kampung selari saranan transformasi luar bandar (RTC) oleh kerajaan.

"Saya gembira kerana Kampung Parit Puteri Menangis telah mengorak ke satu arah yang tepat sesuai dengan saranan kerajaan agar penduduk desa juga melibatkan diri dalam bidang pelancongan berasaskan pertanian," katanya.

Bagi pekebun nanas, Ngadiman Tasno, 66, dia juga bersedia menawarkan kepada pelancong yang ingin mencari pengalaman memotong buah nanas.

Katanya, pelbagai jenis tanaman nanas diusahakan di kebunnya seperti nanas jenis Morris, N36, Gandol, Josephine dan Sarawak yang juga menjadi sebahagian daripada produk Inap Desa Kampung Parit Puteri Menangis.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Penduduk malu kediaman kusam

Posted: 29 May 2013 11:15 AM PDT

Oleh OTHMAN YAHAYA
pengarang@utusan.com.my

beberapa penghuni Taman Tun Dr. Awang menunjukkan bangunan blok flat mereka yang usang lagi kusam di Bagan Ajam, Butterworth, Pulau Pinang, baru-baru ini.

BUTTERWORTH 29 Mei - Sebelum ini penduduk Taman Tun Dr. Awang, Bagan Ajam di sini sering mengelak setiap kali ditanya oleh orang luar mengenai rumah mereka berikutan malu dengan keadaan kediaman yang usang dan kusam.

Sebanyak 10 blok setinggi empat tingkat yang didiami mereka sepatutnya menjadi penempatan ceria dan seronok untuk didiami kerana mempunyai pelbagai kemudahan.

Namun disebabkan bangunan itu kurang diberi perhatian dari segi penyenggaraan, kediaman tersebut menjadi pilihan terakhir untuk mereka yang mahu menetap di kawasan berkenaan.

Penduduk kawasan itu berharap kerajaan DAP Pulau Pinang dapat berbuat sesuatu seperti mengecat semula bangunan dan membaiki kemudahan-kemudahan yang telah rosak.

Seorang penduduk, Osman Bakar, 65, hairan kerana penempatan tersebut seolah-olah dianaktirikan berbanding kawasan perumahan lain di negeri itu.

"Bangunan kediaman di sini begitu usang sekali hingga menjadikan kami tidak selesa tinggal di sini.

"Biarpun kami telah menyuarakan kepada pihak berkuasa, ia tidak pernah mendapat perhatian," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Ronyzam Ghaffar, 37, pula memberitahu, kali terakhir bangunan itu dicat adalah sekitar 2002 lalu oleh kerajaan negeri yang ketika itu ditadbir oleh Barisan Nasional (BN).

"Sejak itu, ia tidak lagi dipedulikan termasuk oleh pemerintah sekarang biarpun kami telah membuat permohonan berkali-kali meminta dicat semula berikutan telah kusam dan kotor.

"Malu untuk mengaku kami penduduk dari taman ini apabila ditanya kenalan dan rakan kerana keadaan bangunan yang tak diselenggara ini," katanya.

Faridah Mohd. Shariff, 46, yang telah mendiami salah sebuah blok di situ hampir 10 tahun menjelaskan, cat bangunan itu bukan sahaja sudah pudar malah banyak bahagian yang sudah menjadi kehitam-hitaman akibat terjahan cuaca.

"Permohonan kami selama beberapa kali sebelum ini meminta bangunan ini dicat semula tidak pernah mendapat maklum balas positif terutamanya dari kerajaan DAP Pulau Pinang.

"Keadaan ini mencacatkan pemandangan hingga menimbulkan persepsi negatif kepada pengunjung mengenai kebajikan kami penduduk di sini selama ini," katanya.

Seorang lagi penduduk, Norihan Adam, 49, berkata, lebih memburukkan keadaan, ada dinding yang sudah diliputi lumut dan berbau busuk di tangga menjadikan kawasan itu benar-benar menyedihkan.

Menurutnya, dia hairan kenapa pihak berkuasa tidak pernah membuka mata menjaga kebajikan penduduk di situ berbanding dengan penyelenggaraan yang sempurna dilakukan di flat lain sekitar daerah itu.

NGO bantah sistem kupon MPPP

Posted: 29 May 2013 11:15 AM PDT

Oleh ZABRY MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

PULAU PINANG 29 Mei - Citizen Awareness Chant Group (Chant Group) membantah pelaksanaan sistem pembayaran berkupon dan elektronik bagi tempat letak kereta oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mulai November ini.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dalam kenyataannya berkata, berdasarkan sistem kupon yang diamalkan di negeri-negeri lain, pelaksanaannya dilihat tidak sesuai kepada orang luar berikutan kesukaran membeli kupon berkenaan.

Jelasnya, keadaan itu bertambah buruk pada hujung minggu kerana premis-premis yang menjual kupon berkenaan tutup.

"Bagi sistem elektronik pula, kami bimbang pemandu terlupa mematikan suis alat kad pintar menyebabkan pengiraannya berterusan meskipun kenderaan sudah tidak diletakkan di petak parkir lagi.

"Bayangkan jika perkara ini berlaku sudah pasti akan membebankan pemandu kerana jumlah wang dalam kad pintar itu ditolak tanpa disedari penggunanya," katanya di sini hari ini.

Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu-Lintas negeri, Chow Kon Yeow mengumumkan pelaksanaan kedua-dua sistem tersebut di kawasan pentadbiran MPPP mulai November ini.

Sistem berkupon dikhususkan bagi pemandu dari luar bahagian pulau manakala sistem elektronik untuk penduduk tempatan.

Bagi sistem elektronik, pemandu perlu membuka suis pada alat khas dan pembayaran dibuat secara automatik sehingga suis dimatikan.

Alat tersebut menggunakan kad prabayar seperti Touch n' Go yang mana pengguna boleh menambah nilai sekiranya kandungan kredit habis.

Buat masa ini, kira-kira 2,000 lot letak kereta di bahagian pulau menggunakan sistem bermeter manakala 8,000 petak lagi dikawal secara manual oleh syarikat yang dilantik MPPP.

Chant Group menambah, bagi mengatasi masalah yang mungkin terpaksa ditanggung orang ramai, pihaknya mencadangkan penggunaan mesin kupon yang kini digunakan secara meluas di Lembah Klang.

"Mungkin boleh letak setiap mesin bagi 20 petak letak kereta.

"Operasinya juga mudah kerana pengguna hanya perlu menekan nombor pendaftaran kereta dan memasukkan siling. Tiket kemudiannya diletakkan di atas papan pemuka dalam kereta masing-masing," ujarnya.

Chant Group berharap cadangannya mendapat perhatian Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Bandar Raya Getah transformasi luar bandar

Posted: 29 May 2013 11:15 AM PDT

mohd. Tajuddin Abdullah (tengah) berbual dengan peserta Kelab Generasi Muda Risda (KGMR) Explore GAP Race peringkat negeri sambil diperhatikan oleh Sopian Abu Bakar (kiri) di Pejabat Risda, Stesen Pokok Sena, semalam.

POKOK SENA 29 Mei - Rancangan membangunkan Bandar Raya Getah di Padang Terap di sini membuktikan komitmen kerajaan negeri melaksanakan pelbagai bentuk program dan projek pembangunan yang dijanjikan untuk manfaat rakyat termasuk golongan muda.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah berkata, cadangan itu selaras dengan dasar program transformasi luar bandar yang bertujuan membantu meningkatkan ekonomi rakyat.

Katanya, perkara itu termasuk menerusi kewujudan banyak peluang pekerjaan, penggunaan teknologi tinggi, perindustrian dan penyelidikan berasaskan getah.

"Ini bermakna rancangan ini merupakan peluang terbaik untuk rakyat Kedah termasuk generasi muda meningkatkan ekonomi mereka.

"Saya berharap seluruh rakyat akan memberi sokongan padu kepada projek tersebut kerana bukan sahaja dapat membangunkan negeri tetapi pada masa sama mendatangkan banyak manfaat kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta Kelab Generasi Muda Risda (KGMR) Explore GAP Race peringkat negeri di Pejabat Risda, Stesen Pokok Sena di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Korporat) Risda, Ahmad Sufi Alias dan Pengarah Risda Kedah, Sopian Abu Bakar.

Manifesto aku janji BN Kedah yang dilancarkan 18 April lalu antara lain menawarkan pembangunan Bandar Raya Getah Kota Putra di Padang Terap yang akan menawarkan kira-kira 13,000 peluang pekerjaan pendapatan sederhana dan tinggi.

Mohd. Tajuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Belantek berkata, cadangan mewujudkan Bandar Raya Getah amat bersesuaian kerana negeri ini merupakan antara penyumbang utama kepada industri getah negara dan berharap golongan muda turut merebut peluang berkenaan.

Menurutnya, keluasan ladang getah melibatkan pekebun kecil Risda di seluruh Kedah adalah kira-kira 85,000 hektar dengan terdapat kira-kira 90,000 golongan belia agensi tersebut di negeri ini.

"Dengan keluasan itu usaha untuk pembangunan dan penyelidikan menggunakan teknologi tinggi mesti terus dijalankan bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran hasil bahan tersebut," katanya.

Tambah beliau, generasi kedua pekebun kecil berperanan membawa hala tuju baharu industri getah negara dengan melihat industri tersebut sebagai satu peluang menambah pendapatan seterusnya membentuk satu kolonial baharu pekebun getah yang lebih berdaya maju saing dan maju.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Draf SOP keselamatan JKDM akan lulus dalam masa terdekat

Posted: 30 May 2013 01:15 AM PDT

PUTRAJAYA 30 Mei - Draf standard prosedur operasi (SOP) keselamatan pegawai dan bangunan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bakal diluluskan dalam masa terdekat bagi memantapkan langkah keselamatan sedia ada.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, cadangan SOP itu telah dibentangkan dalam Mesyuarat Pembangunan JKDM SeMalaysia Ke-71 pada 8 dan 10 Mei lalu.

Beliau berkata, terdapat tiga perkara terkandung dalam SOP itu dengan yang pertama melibatkan pendekatan mewujudkan dua buah pasukan tindakan kecemasan di setiap negeri.

Perkara kedua, tambahnya, menyediakan prosedur pengendalian pengiring dan kawalan untuk menjaga keselamatan pegawai tertinggi jabatan melibatkan gred tertentu.

Perkara ketiga pula melibatkan keselamatan bangunan dan kuarters JKDM dan ini termasuklah memasang pengimbas kerana risiko keselamatan yang dihadapi pegawai semakin tinggi," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke JKDM, di sini hari ini. - UTUSAN

Jangan heret istana dalam tulisan media sosial-Istana Selangor

Posted: 30 May 2013 01:13 AM PDT

KLANG 30 Mei - Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani mengingatkan pengamal media sosial termasuk blog agar tidak mengheret pihak istana terutama Sultan Selangor, dalam apa juga perkara tanpa siasatan terlebih dahulu, bagi mengelakkan tanggapan salah rakyat terhadap baginda.

Beliau menafikan dakwaan yang mengatakan kelewatan pelantikan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor adalah disebabkan untuk memenuhi kehendak Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Mohamad Munir berkata kelewatan berlaku kerana Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hanya menghadap Sultan Selangor pada Isnin lepas bagi mendapat perkenan baginda berhubung senarai calon anggota Exco.

"Oleh itu, tidaklah benar tohmahan yang menyatakan kelewatan pelantikan Exco Selangor disebabkan untuk memenuhi kehendak Sultan Selangor," katanya dalam satu kenyataan hari ini. - BERNAMA

Susur di Jalan Cheras ditutup tujuh bulan

Posted: 30 May 2013 12:29 AM PDT

KUALA LUMPUR 30 Mei - Susur jalan dari Taman Mutiara Barat ke Jalan Cheras (hala Kuala Lumpur), akan ditutup sementara selama tujuh bulan bermula Sabtu ini.

Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) dalam kenyataan hari ini berkata, sebelum ini laluan tersebut telah ditutup mulai 10 Feb hingga 11 Mei lepas.

Pengguna dari Jalan Dato" Haji Harun dinasihat menggunakan laluan alternatif Jalan Mutiara Raya untuk memasuki Jalan Cheras.

Sementara itu, susur jalan dari Jalan Cheras berhampiran Taman Segar (hala Kajang) menuju ke Taman Cheras Hartamas dan lorong kecemasan di Jalan Cheras sepanjang enam meter akan ditutup sebahagiannya selama 30 hari bermula Sabtu.

Penutupan itu adalah bagi memudahkan pemindahan utiliti dan kerja pemindahan tiang MRT, menurut kenyataan itu.

MRT Corp akan meletakkan halangan keselamatan dan kon trafik di kawasan pembinaan bagi memastikan pengguna jalan raya diberi amaran awal mengenai kerja yang sedang dijalankan. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Timur

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Diumum dalam masa terdekat

Posted: 29 May 2013 11:15 AM PDT

Oleh Siti Airunnisa Alaui
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 29 Mei - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said (gambar) akan mengumumkan rombakan kecil portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) negeri itu dalam tempoh terdekat.

Beliau yang mengesahkan perkara itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana belum dipersembah untuk mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

"Memang ada rombakan seperti saya maklum dulu, tetapi saya akan umum selepas keberangkatan pulang Sultan Terengganu ke negeri ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Pada 20 Mei lalu, Ahmad mengumumkan kerajaan negeri itu bakal melakukan rombakan kecil melibatkan Exco bagi membolehkan portfolio yang diwujudkan seiring dengan penubuhan kementerian serta Kabinet yang baru ditubuhkan Kerajaan Pusat.

Dalam pada itu, Ahmad turut memaklumkan kerajaan negeri akan mula menunaikan salah satu daripada 18 aku janji yang diumumkan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu iaitu pajakan tanah individu dinaikkan dari 30 tahun kepada 60 tahun.

Beliau berkata, inisiatif itu akan merangkumi tanah desa dan perumahan melibatkan premium 10 peratus manakala tanah bandar, komersial dan kedai sebanyak 20 peratus berdasarkan nilai semasa.

"Ini merupakan antara salah satu aku janji yang akan kita beri kepada rakyat dan kita akan terus mengotakan janji-janji kita," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad mengucapkan tahniah kepada enam jabatan kerajaan Terengganu kerana memperoleh penarafan empat bintang Anugerah Indeks Akauntabiliti Pengurusan Kewangan Terbaik 2012 daripada Jabatan Audit Negara.

Penarafan terbaharu diterima oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Kehakiman Syariah dan Majlis Perbandaran Dungun.

Tiga lagi ialah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Pejabat Perbendaharaan Negeri dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

Jelas Ahmad, kerajaan negeri akan mempertimbangkan pemberian insentif sebanyak RM20,000 bagi setiap jabatan

"Kita berbangga dengan kejayaan ini dan berharap jabatan berkenaan akan terus mengekalkan kecemerlangan manakala lebih banyak jabatan lain turut memperoleh kejayaan seperti ini kerana empat bintang merupakan penarafan yang paling baik kerana biasanya hanya tiga bintang diberikan," jelasnya.

Petronas belanja RM26 juta

Posted: 29 May 2013 11:15 AM PDT

Oleh NIK JASNI CHE JAAFAR
utusanterengganu@utusan.com.my

HANIFF Hassan (tengah) bersama para peserta Program Sentuhan Harapan Petronas di Institut Teknologi Petronas Batu Rakit, Kuala Terengganu, kelmarin.

KUALA TERENGGANU 29 Mei - Petronas telah membantu kira-kira 13,500 keluarga miskin tegar di seluruh negara bagi meningkatkan kualiti hidup mereka melalui Program Sentuhan Harapan Petronas yang digerakkan bermula 2010.

Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Korporat Kumpulan Petronas, Haniff Hassan berkata, sehingga kini, sejumlah RM26 juta diperuntukkan bagi menjayakan program tanggungjawab sosial korporat syarikat tersebut.

Menurut beliau, golongan miskin yang terpilih bukan sahaja menerima bantuan makanan tetapi dibekalkan dengan kemahiran dan rangsangan untuk mereka berusaha membebaskan diri daripada kepompong kemiskinan.

"Mereka menerima sumbangan bulanan dalam bentuk makanan asas bernilai RM80 selama dua tahun selain diberi peluang membina kemahiran diri melalui pelbagai kursus seperti kursus jahitan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Latihan Kemahiran Menjahit di Institut Teknologi Petronas (INSTEP) di sini, petang semalam.

Sebanyak 70 peserta menyertai program selama enam hari itu dan setelah tamat kursus mereka akan dibekalkan dengan mesin jahit di samping menjalani kursus lanjutan bagi memantapkan kemahiran termasuk melalui program mentor bulanan.

Katanya, peserta itu merupakan sebahagian daripada sebanyak 200 peserta melibatkan golongan ibu tunggal, suri rumah dan orang kurang upaya (OKU) selain kumpulan sasar di Kelantan, Perak, Selangor, Johor dan Melaka.

Menurutnya, para peserta didedahkan dengan kemahiran hidup seperti teknik pemasaran, komunikasi berkesan dan motivasi diri.

"Jika kumpulan perintis itu berjaya memanfaatkan kemahiran mereka dan meningkatkan sosioekonomi keluarga, program berkenaan akan diperluaskan," katanya.

Sementara itu, peserta, Che Maznah Kassim, 51, berkata, beliau mahu membuka perniagaan jahitan bagi menampung pendapatan keluarga kerana suaminya uzur selepas serangan penyakit jantung.

"Saya perlu keluar mencari rezeki dengan mengambil upah bekerja kampung, namun pendapatan saya tidak mencukupi.

"Jadi dengan adanya kemahiran menjahit dan bantuan peralatan yang diberikan, bantuan itu sekurang-kurangnya dapat membantu saya," katanya.

TNB baiki rumah golongan tidak bernasib baik

Posted: 29 May 2013 11:15 AM PDT

ZULKIFLI Abd. Rahman (kanan) menunjukkan isyarat bagus sewaktu Adelina Iskandar (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada S. Ganapathy Subramaniam sekeluarga pada Majlis Penyerahan Rumah PMR di Kampung Rahmat, Kuala Krai, Kelantan, kelmarin.

KUALA KRAI 29 Mei - Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kelantan tahun ini memperuntuk sebanyak RM20,000 untuk Projek Mesra Rakyat (PMR) melibatkan usaha membaik pulih dua buah rumah keluarga miskin di negeri ini.

Pengurus Besarnya, Datuk Zulkffli Abd. Rahman berkata, projek itu adalah tanggungjawab sosial korporat TNB yang menyasarkan kediaman golongan kurang bernasib baik seperti golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, warga emas dan penduduk miskin untuk dibaik pulih.

"Untuk hari ini, rumah milik S. Ganapathy dibaik pulih bagi memberi keselesaan kepada mereka sekeluarga yang mana TNB memperuntuk sebanyak RM10,000 untuk setiap rumah.

"Projek kedua akan diteruskan esok melibatkan rumah seorang warga emas, Cang Eng Kiok, di Kota Bharu," katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Rumah PMR di Kampung Rahmat dekat sini, semalam.

Penyerahan rumah yang telah dibaik pulih itu disempurnakan oleh Naib Presiden (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi) TNB, Adelina Iskandar.

Zulkffli berkata, setakat ini, sebanyak 13 buah rumah daripada 24 buah rumah di seluruh Semenanjung telah siap dibaik pulih.

"Projek ini dilaksana dengan membaiki mana-mana bahagian rosak serta menukar atap yang bocor supaya mereka dapat hidup dengan lebih sempurna," katanya.

Tambah beliau, projek itu dijangka siap sepenuhnya sebelum 31 Ogos melibatkan 24 buah rumah secara keseluruhannya dengan kos sebanyak RM240,000.

Sementara itu, Ganapathy, 49, berasa lega kerana TNB membantu membaik pulih rumahnya yang daif.

"Saya cukup berterima kasih dengan keprihatinan TNB yang membantu mengubah kehidupan saya sekeluarga," katanya.

Ganapathy berharap lebih banyak rumah akan terpilih pada masa hadapan bagi meringankan beban golongan kurang bernasib baik.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved