Rabu, 29 Mei 2013

Utusan Online - Timur

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Peluang lanjut pengajian

Posted: 28 May 2013 10:59 AM PDT

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
utusanterengganu@utusan.com

SELAIN bidang akademik, TATIUC turut mencapai pelbagai kejayaan termasuk perlumbaan kereta Formula Varsity pada tahun lalu dan mempertahankannya tahun ini di samping tempat pertama kategori reka bentuk dan kategori Catch The Moment.

KUALA TERENGGANU 28 Mei - Kolej Universiti TATI (TATIUC) akan menganjurkan siri Karnival Pendidikan TATIUC 2013 bermula di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini selama tiga hari mulai Khamis ini.

Langkah ini bagi memberi pendedahan lebih meluas dan terkini kepada lepasan menengah, matrikulasi dan diploma tentang peluang melanjutkan pengajian dalam bidang ditawarkan di TATIUC, selaku gedung yang melahirkan teknokrat untuk memacu perkembangan industri.

Rektor TATIUC, Dr. Zunaidi Ibrahim berkata, program ini sebagai sokongan untuk memastikan golongan pelajar dan belia serta graduan membuat pilihan bijak dalam menentukan hala tuju kerjaya mereka pada masa hadapan.

"Ini akan disusuli dengan siri kedua di Dewan Masjid Hadhari, Jerteh (7-8 Jun) diikuti Dewan Arena Merdeka, Dungun (14-15 Jun) dan siri jelajah ini pada minggu berikutnya akan diadakan di Kemaman," ujarnya kepada Utusan Malaysia.

TATI yang ditubuhkan 20 tahun lalu telah melalui era perkembangan yang pesat dalam usaha memenuhi hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan lebih ramai golongan tenaga mahir dan teknokrat dalam kalangan rakyat tempatan.

Katanya, bagi memeriahkan karnival, beberapa aktiviti untuk para pengunjung akan diadakan termasuk pertandingan mewarna dan melukis untuk murid sekolah rendah dan pelajar menengah, permainan catur bistari, Sudoku di samping pelbagai lagi aktiviti menarik di setiap gerai pameran fakulti.

Turut dijangka menyertai karnival ini termasuklah Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC), Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC), Pusat Sains dan institusi pendidikan di bawah kerajaan negeri.

Katanya, karnival ini merupakan sebahagian daripada promosi bagi mencapai sasaran pengambilan 1,000 orang pada tahun ini berbanding kira-kira 800 orang pada tahun lalu.

Bagi menampung peningkatan pelajar, TATIUC telah membina empat blok bangunan asrama baharu yang dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun ini.

"Menjelang 2016 ketika TATIUC bakal menjadi universiti penuh, TATIUC dijangka menampung 5,000 pelajar dalam satu-satu masa seiring dengan peningkatan kualiti pendidikan dan keyakinan masyarakat.

"Dengan sistem pembelajaran yang menekankan kemahiran atau "hands on", iaitu 60 hingga 70 peratus diterapkan dalam setiap program, peluang pekerja untuk meningkatkan lagi daya produktiviti di sektor industri adalah tinggi," ujarnya.

Katanya, prasarana yang lengkap dan terkini, tenaga kepakaran mencukupi serta sistem pembelajaran berteraskan kemahiran serta pembangunan dalam bidang penyelidikan merupakan faktor penting menaik taraf TATIUC.

"Kemajuan akademik TATIUC dapat dilihat dengan penawaran pelbagai program dan penghasilan graduan yang diterima baik di pasaran. Statistik menunjukkan lebih 60 peratus graduan TATIUC mendapat pekerjaan dalam masa enam bulan tamat pengajian dan lebih 30 peratus melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

"Kedudukan akademik TATIUC juga terserlah dengan diberikan penarafan empat bintang atau Tier 4 dan ini merupakan satu pengiktirafan dan pencapaian yang amat baik," ujarnya.

Agropolitan: ECER, UMK jalin kerjasama

Posted: 28 May 2013 10:59 AM PDT

PARA peserta Program Sinar ECER gembira dapat menyertai Projek Agropolitan Rantau Manis Gua Musang di Universiti Malaysia Kelantan, Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.

KOTA BHARU 28 Mei - Wilayah Pembangunan Pantai Timur (ECER) Kelantan dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) membangunkan Projek Agropolitan Rantau Manis Gua Musang dalam usaha membantu pelajar dan golongan miskin tegar yang tinggal di pedalaman.

Ketua Unit Kecemerlangan ECER Kementerian Pengajian Tinggi UMK, Prof. Rosdi Ab. Rahman berkata, melalui usahasama tersebut, pihaknya akan membantu untuk memberikan motivasi kepada pelajar dan golongan dewasa agar mereka dapat keluar daripada kepompong kemiskinan.

Beliau berkata, usaha pembangunan modal insan tersebut melibatkan dua kelompok sasaran iaitu pelajar sekolah yang menduduki peperiksaan utama dan golongan dewasa.

"Anak-anak yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diberi keutamaan, selain orang dewasa berusia 19 tahun ke atas turut diberi perhatian," katanya kepada pemberita selepas Program Sinar ECER di UMK, di sini hari ini.

Seramai 56 pelajar dari kawasan Agropolitan Rantau Manis dipilih untuk terlibat dalam program tersebut yang akan dikendalikan oleh 20 fasilitator terdiri daripada mahasiswa UMK.

Yang turut hadir pada program tersebut ialah Eksekutif ECER Kelantan, Siti Fairuz Zahari.

Rosdi yang juga pengurus projek tersebut berkata, selain ECER yang memberikan dana terhadap projek tersebut, UMK dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) juga turut membantu menjayakan projek berkenaan.

"Pelajar yang bakal menduduki peperiksaan perlu melibatkan diri dalam program kecemerlangan akademik serta motivasi untuk membantu meningkat prestasi mereka.

"Program sebegini amat penting bagi memberi inspirasi kepada mereka memandangkan kurang pendedahan diberikan kepada golongan yang tinggal di kawasan pedalaman," katanya.

Penuntut UiTM lawat ITB, Indonesia

Posted: 28 May 2013 10:59 AM PDT

Pelajar UiTM cawangan Kelantan kenangan ketika mengadakan lawatan ke Institut Teknologi Bandung, Indonesia, baru-baru ini.

MACHANG 28 Mei - Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kelantan mengadakan lawatan ke Institut Teknologi Bandung (ITB), Indonesia sebagai inisiatif untuk mengeratkan hubungan antara pelajar tempatan dengan pelajar Indonesia pada 22 sehingga 25 April lalu.

Lawatan yang berlangsung selama empat hari itu adalah salah satu program tahunan Persatuan Perniagaan Intelektual Dinamik (Indybs) yang terdiri daripada pelajar Diploma Pengajian Perniagaan universiti tersebut.

Menurut pegawai pengiring yang merupakan penasihat persatuan tersebut, Wan Mohd. Firdaus Wan Mohamad, program itu adalah satu usaha pihak universiti bagi membantu mahasiswa untuk menjalinkan hubungan luar.

"Lawatan yang terdiri daripada 10 mahasiswa bersama seorang pengiring ini membawa misi akademik melalui perjumpaan dengan pelajar di Institut Teknologi Bandung yang merupakan salah satu institusi pengajian tinggi di Indonesia.

"Dengan cara ini, pelajar dapat mempelajari pelbagai perkara baru dengan melihat dan bertukar pandangan sesama mereka," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Wan Mohd. Firdaus berkata, pelaksanaan program itu turut memberi peluang kepada mereka untuk menimba serta berkongsi ilmu dengan pelajar-pelajar luar.

"Selain itu, program pengantarabangsaan ini juga untuk mendedahkan pelajar tempatan dengan pelajar di negara jiran melalui perbincangan dua hala dan perkongsian pengalaman.

"Program ini akan membantu melebarkan sayap serta menaikkan nama universiti tempatan ke peringkat antarabangsa," ujarnya.

Beliau turut berharap agar program tersebut dapat diteruskan bagi mengukuhkan jalinan dalam kalangan pelajar tempatan dan luar negara.

Kredit: www.utusan.com.my

Selasa, 28 Mei 2013

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Stadium Darul Makmur kecoh

Posted: 28 May 2013 10:59 AM PDT

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

Sultan Ahmad Shah berusaha mententeramkan penyokong-penyokong Pahang yang memenuhi trek bersebelahan padang pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi. Perlawanan Pahang menentang Johor Darul Takzim terpaksa dibatalkan. - UTUSAN/MAHATHIR ALI

KUANTAN - Perlawanan separuh akhir kedua Piala FA Pahang menentang Johor Darul Takzim di Stadium Darul Makmur di sini, semalam terpaksa dibatalkan gara-gara limpahan penonton yang akhirnya mengheret kepada senario kekecohan.

Perlawanan yang sepatutnya bermula pada pukul 8.45 malam itu terpaksa ditangguhkan selama lebih sejam kerana berlaku limpahan penonton memasuki stadium iaitu kira-kira 40,000 orang.

Perkara itu dikatakan berpunca daripada empat pintu masuk utama stadium yang dipecahkan menyebabkan penonton menyerbu ke dalam stadium.

Keadaan itu menyebabkan kira-kira 5,000 penyokong tuan rumah terpaksa ditempatkan di trek olahraga stadium tersebut bermula pukul 8.30 malam sebelum kedudukan mereka disusun semula.

Dalam pada itu, anggota polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) segera menghampiri para penyokong tersebut bagi memastikan keadaan terkawal sepenuhnya.

Serentak dengan itu, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang turut menyaksikan perlawanan tersebut berkenan mencemar duli selama 10 minit turun trek olahraga untuk meminta kerjasama para penyokong supaya mengawal disiplin.

Sesudah selesai, Sultan Ahmad Shah yang diiringi Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohd. Johari Hussain kemudian kembali ke tempat duduk utama sambil menunjukkan isyarat tangan kepada para penyokong supaya menjaga kelakuan masing-masing.

Sehingga pukul 9.45 malam, kesemua penyokong yang membanjiri trek olahraga kemudian ditempatkan semula ke kawasan tempat duduk dalam keadaan terkawal.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff yang berada di stadium kemudian membuat pengumuman bahawa permainan boleh diteruskan selepas keadaan terkawal sepenuhnya.

Sebaik pengumuman itu dibuat, kelibat semua pemain tuan rumah kemudian memasuki padang untuk bersedia memulakan perlawanan, namun pemain Johor DT tidak berbuat demikian.

Keadaan bagaimanapun masih tidak terkawal sepenuhnya apabila beberapa kali dicemari bunyi mercun dan balingan botol minuman ke kawasan padang.

Kemudian, para penyokong Johor DT pula bertindak turun dan duduk di trek olahraga meskipun kawasan balapan itu telah diarah untuk dikosongkan bagi membolehkan perlawanan dimulakan.

Perbuatan berbaur provokasi itu kemudian disambut oleh penyokong tuan rumah dengan menyanyikan lagu 1Malaysia.

Pada pukul 10.30 malam, Penolong Setiausaha FAM, Datuk Ahmad Fuad Daud membuat pengumuman bahawa perlawanan tidak dapat diteruskan dan terpaksa ditunda ke tarikh lain.

Menurut Fuad, stadium berkenaan dapat memuatkan 35, 000 dalam satu masa dan tiket terjual adalah 32,000 keping.

Justeru, beliau menolak ada berlaku penjualan tiket palsu yang menyebabkan insiden limpahan penonton malam semalam.

Dalam pada itu, kira-kira 1,500 penyokong Johor DT masih berada di tengah padang sehingga pukul 11.45 malam semalam.

Menurut polis, mereka akan dipindahkan ke tempat selamat apabila kesemua penyokong tuan rumah mengosongkan stadium berkenaan.

Polis turut mengesahkan beberapa penonton mengalami kecederaan ringan dan setakat ini tiada tangkapan dibuat.

Kelantan ke pentas akhir

Posted: 28 May 2013 10:59 AM PDT

Oleh Siti Airunnisa Alaui
utusanterengganu@utusan.com.my

Anggota FRU terpaksa menghalang penyokong tuan rumah yang cuba merempuh sekatan polis dalam aksi separuh akhir kedua Pahang menentang Johor DT yang terpaksa dibatalkan gara-gara keadaan penonton yang tidak dapat dikawal di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

KUALA TERENGGANU - Kelantan meneruskan misi mempertahankan kejuaraan Piala FA selepas bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Terengganu secara agregat 6-5 dalam aksi separuh akhir kedua di sini, semalam.

Selepas ketinggalan 0-4, Kelantan bangkit mengikat kedudukan agregat 5-5 apabila pemain import Obinna Nwaneri menanduk bola ke gawang pada masa kecederaan sekali gus menghidupkan saingan penyandang juara itu dan memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.

Tuan rumah turut menerima padah apabila dua pemainnya, Effa Owana dan Abdul Manaf Mamat dilayangkan kad merah sekali gus memberi kelebihan buat pelawat menggandakan asakan.

Terengganu yang terpaksa bermain tanpa tiga tonggak utama, Owana dan Abdul Manaf serta pemain tengah, Ashari Samsudin yang kemudiannya dikeluarkan akibat kecederaan mula hilang punca.

Kepincangan itu membolehkan Kelantan meneruskan asakan sebelum melengkapkan kemenangan apabila bola hantaran Indra Putra ke gawang gol lawan berjaya disudahkan penyerang import, Dikson Nwakaeme pada minit ke-120.

Pun begitu, skuad Bojak Hodak terpaksa berdepan asakan bertubi-tubi anak-anak buah E. Elavarasan sepanjang 90 minit permainan.

Terengganu yang bangkit beraksi garang selepas tewas 1-4 di Stadium Sultan Muhammad IV pada perlawanan separuh pertama 25 Mei lalu, berjaya memperoleh gol seawal minit keempat hasil penyerang import, Vincent Bikana.

Kelantan yang seolah-olah hilang rentak pada awal permainan terus diberi tekanan apabila Terengganu menambah satu lagi gol pada minit ke-26 menerusi G. Puaneswaran hasil hantaran lintang Abdul Manaf Mamat tepat ke gawang gol lawan.

Tersentak dua gol Terengganu, Kelantan cuba bangkit untuk merapatkan kedudukan, namun kekentalan benteng pertahanan yang dikawal rapi kapten pasukan, Hasmizan Kamaroddin berjaya mengekang kemaraan jentera serangan skuad Kijang sehingga tamat babak pertama.

Babak kedua pula menyaksikan Terengganu terus menjarakkan mata jaringan apabila lorongan G. Puaneswaran disempurnakan Effa Owana pada minit ke-70 yang kemudian disusuli jaringan keempat pada minit ke-92 oleh Abdul Manaf Mamat.

Terengganu yang seolah-olah sudah menempah tiket perlawanan akhir, dikejutkan dengan tindakan pengadil perlawanan, Suhaizi Shukri melayangkan kad merah kepada Owana kerana didakwa mengasari salah seorang pemain pelawat sehingga mencetuskan rasa berang pemain itu.

Dalam keadaan kelam-kabut itu, pasukan Terengganu yang terpaksa bermain dengan 10 orang, berjaya dimanfaatkan Kelantan apabila memperoleh gol pertama daripada Nwaneri pada masa kecederaan.

Jaringan itu memaksa permainan diheret ke masa tambahan selepas kedudukan agregat terikat 5-5, dan tidak lama selepas itu berlaku kekecohan apabila Abdul Manaf pula dilayangkan kad merah oleh Suhaizi kerana menendang belakang pemain Kelantan, Mohd. Farisham.

Insiden kekecohan berlarutan sehingga ke luar padang apabila penyokong Terengganu mula memaki hamun pengadil sehingga memaksa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) mengiringi pengadil terbabit ke bilik rehat.

Pengendali pasukan Terengganu, Elavarasan ketika diaju tentang kad merah kepada dua pemainnya, enggan mengulas dan meminta pihak media merumuskan insiden itu.

Beliau bagaimanapun tetap memuji usaha anak-anak buahnya yang mampu meraih empat gol dalam aksi semalam.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pendidikan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Pendidikan keluarga kekuatan AKRAB

Posted: 28 May 2013 10:59 AM PDT

Program Jati Diri Remaja AKRAB diisi dengan aktiviti latih amal yang menarik minat para remaja.

Akademi Keluarga Bahagia Malaysia (AKRAB) adalah satu-satunya organisasi di negara ini yang telah melibatkan diri dalam bidang pendidikan kekeluargaan dan motivasi remaja serta pelajar sejak lebih 30 tahun yang lalu.

Program motivasi remaja yang dinamakan Program Jati Diri Remaja AKRAB biasanya berlangsung selama lapan hari tujuh malam.

Program ini diisi dengan aktiviti latih amal yang begitu menarik minat para remaja yang sebelum ini sering tenggelam dalam berbagai gejala negatif yang merosakkan.

Para remaja yang telah melalui proses pendidikan yang agak intensif ini, berjaya menimba ilmu dan kemahiran hidup di samping kesedaran yang mendalam tentang pentingnya mereka kembali ke pangkal jalan yang betul.

Ini bagi meneruskan kehidupan sebagai remaja yang berguna terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Program kecemerlangan pelajar yang paling popular kendalian AKRAB ialah Summer Camp selama empat hari tiga malam (30 Mei - 02 Jun 2013).

Ratusan ribu pelajar dari seluruh negara telah mengikuti program ini. Sentuhan Summer Camp telah membuka ruang minda para peserta.

Summer Camp juga telah meninggalkan kesan yang sangat mendalam dari segi rangsangan untuk berjaya dalam bidang pelajaran.

Majoriti mereka sudah berjaya dalam menjalani hidup sebagai ahli profesional, ahli korporat, pensyarah dan bidang profesional lain, yang menjadikan mereka begitu istimewa di mata masyarakat.

Selama lebih 30 tahun mengabdikan diri kepada masyarakat, AKRAB telah berjaya meletakkan batu asas terbentuknya keluarga bahagia dalam mana seluruh ahli keluarga berusaha mengikis segala sifat yang merugikan.

Sebaliknya menumpukan tenaga kepada membina budaya cemerlang. Budaya cemerlang AKRAB berteraskan kepada kesihatan fizikal, pemantapan minda dan intelektual serta paling penting penyuburan spiritual melalui amalan-amalan keagamaan.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi AKRAB melalui talian 03-7732 4452, 03-7732 4453, 013-628 3985, 019-384 0544 atau 019-6386184 atau http://www.familikusayang.com.my atau http://www.facebook.com/akrabkusayang.

Cadang hapus jaminan jawatan

Posted: 27 May 2013 10:51 AM PDT

Oleh THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my

IDRIS Jusoh (empat diri kiri) sambil diiringi oleh Lee Boon Hua (tiga dari kiri) meraikan penerima Anugerah Kecemerlangan IPG dalam Majlis Konvokesyen Ijazah Sarjana Muda Perguruan IPG di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/Zaki Amiruddin

PUTRAJAYA 27 Mei - Kementerian Pendidikan merancang untuk memansuhkan jaminan jawatan, yang selama ini diberi secara automatik kepada guru pelatih dari institut pendidikan guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, langkah itu bertujuan bagi memastikan hanya yang terbaik ditawarkan ke jawatan berkenaan.

"Amalan pada masa ini membolehkan guru pelatih IPG dan IPTA dijamin pelantikan sebagai guru tanpa mengambil kira prestasi mereka.

"Jaminan pelantikan ini akan digantikan secara berperingkat dan hanya guru pelatih yang memperolehi pencapaian terbaik dan berkelayakan akan ditawarkan jawatan sebagai guru," katanya ketika berucap dalam Konvokesyen Ijazah Sarjana Muda Perguruan IPG di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Rektor IPG, Dr. Lee Boon Hua.

Dalam sidang akhbar selepas majlis itu, Idris berkata, langkah pengambilan guru itu perlu dijalankan untuk memastikan hanya mereka yang lulus dengan baik ditawarkan kerja sekali gus meningkatkan martabat guru.

"Kita mahu pilih yang terbaik selain menjadikan jawatan guru sebagai kerjaya pilihan, bukan kerana ikut suami atau sebagai pilihan terakhir.

"Pelajar-pelajar terbaik di Finland umpamanya bercita-cita mahu menjadi guru, keadaan ini menjadikan taraf pendidikan negara itu tinggi," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya masih perlu meneliti banyak perkara termasuk cara pelaksanaan sistem itu selain soal masa depan guru pelatih yang tidak ditawarkan jawatan.

Dalam pada itu, Idris berkata, Kementerian Pendidikan telah memulakan langkah untuk memastikan calon yang cemerlang memilih profesion perguruan sebagai kerjaya mereka.

"Dalam Gelombang Pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, kerajaan akan melancarkan kempen profil tinggi untuk meningkatkan kesedaran tentang perguruan sebagai kerjaya yang berprestij.

"Kerajaan akan melancar tawaran baharu yang menyeluruh kepada semua guru bagi menjadikan profesion perguruan lebih menarik dan meningkatkan profil dan profesionalisme kerjaya ini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Mirage jimat bahan api

Posted: 26 May 2013 11:47 AM PDT

Oleh JOHARDY IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

Mitsubishi Mirage dengan enjin 1.2 liter semakin popular.

SEKIRANYA anda memerhati dengan teliti, industri pemotoran Malaysia kini menyaksikan syarikat-syarikat pengeluar kereta rancak memperkenalkan kenderaan dengan enjin bersaiz 1.5 liter ke bawah.

Puncanya mudah. Permintaan orang ramai, yang didorong oleh harga bahan api yang tinggi, kos penyenggaraan dan insurans. Atas alasan sama, permintaan bagi kereta terpakai Perodua Kelisa dan Myvi misalnya, masih tinggi dan tidak susut merudum harga jualan.

Sebenarnya, ini bukan tertutup kepada pasaran Malaysia semata-mata tetapi merupakan trend di seluruh dunia. Trend ini mendorong syarikat pengeluar kereta membangunkan enjin yang jimat penggunaan bahan api.

Terdapat juga syarikat kereta yang menggunakan tema 'penjimatan bahan api' dalam kempen pemasaran mereka untuk menarik minat pembeli tetapi kebanyakan kereta berkenaan hanya indah khabar kerana bila dipandu, ternyata kereta itu bersifat 'dahaga' sentiasa.

Dalam konteks ini, model kompak Mitsubishi Mirage dalam segmen B ternyata berbeza. Mitsubishi Motors Malaysia memberikan seunit untuk dipandu uji selama dua minggu. Dengan tangki penuh 35 liter, bermakna harga minyak RON95 yang perlu dibayar ialah RM66.50. Dengan kelajuan purata 110 kilometer sejam, setangki penuh tersebut berjaya mencatatkan perjalanan hampir 480 km. Dalam tempoh dua minggu saya hanya mengisi penuh tangki sebanyak dua kali!

Daripada luaran, terus-terang reka bentuknya tidak berapa menarik perhatian lelaki. "Comel," kata rakan sepejabat wanita. Dan kaum lelaki sangat geli perkataan 'comel'. Tetapi tidak bermakna Mirage ini tidak boleh dikentalkan sifat maskulin. Mitsubishi ada menyediakan pakej aksesori bagi menambah sifat kelakiannya. Asal sanggup tambah ongkos, Pakej AERO hampir RM2,000 atau Pakej Chrome RM700, sarung kulit kerusi RM1,500 dan penutup tangki minyak Ralliart RM150.

Di sebalik 'kecomelan' Mirage, reka bentuknya menyimpan resipi aerodinamik. Jurutera Mitsubishi menghabiskan masa yang lama untuk menghasilkan badan aerodinamik Mirage dalam terowong angin, yang merupakan faktor terpenting kepada kecekapan bahan api.

Mirage tampil dalam tiga varian, iaitu manual lima kelajuan GL, CVT GL dan CVT GS, dengan harga di antara RM55,328 hingga RM63,120 (atas jalan tanpa insurans) dan dalam lima warna iaitu Lemonade Yellow Metallic, Eisen Grey Mica, Red Metallic, White Pearl dan Cool Silver Metallic.

Ruang kabin Mirage adalah luas.

Pembeli boleh memilih enjin MIVEC dengan transmisi lancar dan cekap INVECS-III Continuously Variable Transmission (CVT) atau gear manual lima kelajuan.

Di samping waranti standard selama tiga tahun atau 100,000 km, Mirage didatangkan dengan pakej penyenggaraan percuma selama setahun (Penyenggaraan Alat-alat komponen, Minyak Hitam dan Kos Buruh sehingga setahun atau 20,000km).

Mirage memiliki kecekapan bahan api dan pelepasan CO2 rendah yang merupakan terbaik dalam kelasnya, berikutan enjin 1.2 liter serba baru dengan teknologi MIVEC dan badan aerodinamik yang mengurangkan kekangan dan terbabas.

Mengoptimumkan struktur badan dan penggunaan lebih luas panel yang ditegang kuat menjadikan kenderaan ini tujuh peratus lebih ringan berbanding kenderaan biasa dalam kelasnya, yang menyumbang kepada penjimatan bahan api yang lebih baik. (Nisbah berat diukur dengan menggunakan nisbah besi ditegang kuat diguna dalam Colt berbanding Mirage).

Enjin moden tiga silinder menghasilkan 78 PS dan 100 Nm kuasa kilas, menyajikan varian paling ringan dalam kelasnya iaitu 850 kg bagi CVT dan 825 kg bagi varian MT.

Mirage didatangkan dengan senarai peralatan yang menarik bagi sebuah kereta dalam segmen ini. Ciri-ciri uniknya merangkumi Kunci Pintar (masuk tanpa kunci), pendingin hawa automatik digital, sistem audio 2-DIN dengan pemain iPod, USB dan AUX, panel instrumen Pandangan Terang, dan kepala gear dan kemudi roda dibalut kulit.

Keselamatan adalah keutamaan di Mitsubishi, dan sebagai kereta global, model serba baru Mirage didatangkan dengan ciri-ciri keselamatan aktif dan pasif bagi melindungi penumpangnya.

ABS 4-Roda dengan EBD adalah standard, bersama dua beg udara SRS dan penenggang tali pinggang keledar, Pengikat Kerusi Kanak-kanak ISO FIX, Kunci Pintu Bagi Kanak-kanak dan Tingkap Kuasa Anti-Sentuh.

Triton terbaharu di pasaran

Posted: 26 May 2013 11:47 AM PDT

Mitsubishi Triton Heavy Duty

KUALA LUMPUR 26 Mei - Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi Motors di Malaysia baru-baru ini telah melancarkan Mitsubishi Triton Heavy Duty (2.8 litre diesel 4x4 Double Cap) baharu.

Menurut kenyataannya, kenderaan yang dibina untuk kegunaan lasak, Triton Heavy Duty didatangi dengan enjin diesel 2.8 liter bukan turbocharged dengan 97 PS dan 198 Nm tork.

Mitsubishi Triton Heavy Duty 2.8 litre ini juga didatangkan dengan tayar untuk kegunaan kawasan berlumpur yang disertakan dengan rim aloi 16 inci yang sesuai digunakan di kawasan yang permukaan jalan tidak rata.

Kenderaan untuk pendaftaran komersial sahaja ini dijual pada harga RM72,037.60 atas jalan tanpa insurans ,manakala bagi Sabah dan Sarawak pula masing-masing adalah RM73,832.60 dan RM73,798.60.

Kata kenyataan itu, kenderaan yang diimport sepenuhnya itu boleh didapati dalam warna putih solid.

Pemilik kenderaan ini akan menikmati jaminan selama tiga tahun atau sehingga 100,000 kilometer dan juga pakej penyelenggaraan percuma selama dua tahun bergantung pada terma dan syarat.

Orang ramai boleh melayari laman web www.mitsubishi-mo tors. com.my untuk maklumat lanjut.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Kematian tahanan lokap: PDRM tubuh jawatankuasa

Posted: 28 May 2013 10:59 AM PDT

Mortadza

KUALA LUMPUR 28 Mei - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan satu jawatankuasa bertindak khas yang diketuai Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bagi menangani semua kes kematian tahanan dalam lokap.

Pengarah Jabatan Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Mortadza Nazarene berkata, jawatankuasa khas tersebut diwujudkan susulan kes kematian seorang tahanan, N. Dharmendran di sebuah lokap polis di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut beliau, jawatankuasa khas itu yang turut dianggotai direktorat PDRM dan sekretariat Ketua Polis Negara mengambil serius ke atas kejadian tersebut dan akan mengkaji semula prosedur pengendalian tahanan.

"Kita amat prihatin atas insiden-insiden kematian dalam lokap dan akan mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelak perkara sama daripada terus berlaku.

"Sehubungan itu, kita akan kemukakan beberapa langkah-langkah antaranya dengan mewujudkan lebih banyak lokap berpusat di seluruh negara.

"Lokap berpusat itu dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV), sistem interkom, bilik peguam, bilik mahkamah, bilik kawalan, ruang makan dan beberapa kemudahan lain," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Sehingga kini terdapat lima lokap berpusat yang sudah beroperasi antaranya di Jinjang, Kuala Lumpur; Shah Alam (Selangor), Indera Mahkota (Pahang), Bayan Baru (Pulau Pinang) dan Kota Kinabalu (Sabah) manakala sebuah lokap berpusat sedang dalam pembinaan di Kuching, Sarawak.

"Kita akan menambah bilangan lokap berpusat dan lokasinya masih lagi dalam perancangan," katanya.

Selain itu, PDRM akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk membuat pemeriksaan kesihatan terhadap tahanan sebelum dimasukkan di dalam lokap dan pemantauan oleh doktor perubatan dua hari sekali.

"Kita juga akan wujudkan lembaga pelawat daripada pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan mereka dibolehkan melawat dengan kebenaran pegawai penjaga lokap.

"Di samping itu, pegawai penjaga lokap hendaklah memastikan bahawa pegawai kanan yang lain membuat pemeriksaan lokap dari segi keselamatan dan kesihatan tahanan pada setiap masa," tambahnya.

Polis tahan empat aktivis pembangkang

Posted: 28 May 2013 10:59 AM PDT

KUALA LUMPUR 28 Mei - Polis malam ini menahan empat aktivis propembangkang termasuk tiga daripadanya yang pernah ditahan dan dibebaskan pada Jumaat lalu.

Mereka ialah Naib Presiden PKR, Tian Chua; Haris Fathillah Mohamed Ibrahim dan Tamrin Abdul Ghafar serta seorang aktivis pelajar, Muhammad Safwan Anang untuk siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, keempat-empat mereka ditahan berasingan bermula pukul 7 hingga 9.30 malam ini dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membantu siasatan.

"Mereka akan didakwa esok di Mahkamah Sesyen Jalan Duta. Seorang lagi aktivis pembangkang, Hishamuddin Rais perlu menyerah diri esok bagi menjalani pertuduhan yang sama," katanya ketika dihubungi.

Pada Khamis lalu, Tian Chua, Haris dan Tamrin ditahan mengikut Akta Hasutan bagi membantu siasatan ucapan mereka dalam satu forum yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor pada 13 Mei lalu.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka dibebaskan keesokan hari selepas majistret menolak permohonan reman yang dikemukakan oleh pihak polis.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Bayi tersepit pada paip kumbahan diselamatkan

Posted: 28 May 2013 10:59 AM PDT

Gambar diambil dari sedutan video, merakamkan sekumpulan doktor dan anggota bomba memotong saluran paip kumbahan bagi menyelamatkan seorang bayi yang dibuang ibunya di Jinhua, wilayah Zhejiang, China, pada 25 Mei lalu. - REUTERS

BEIJING 28 Mei - Pasukan bomba di timur China menyelamatkan seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan selepas dibuang ke dalam mangkuk tandas oleh ibunya sendiri, sehingga menyebabkan dia tersangkut dalam paip saluran kumbahan, lapor televisyen milik kerajaan, semalam.

Insiden yang turut mencetuskan kemarahan orang ramai dalam media sosial itu, berlaku di sebuah bangunan kediaman di Jinhua, wilayah Zhejiang pada Sabtu lalu selepas penduduk melaporkan terdengar bunyi bayi menangis.

Anggota bomba terpaksa memotong paip kumbahan yang terletak di bawah mangkuk tandas itu dan membawa potongan paip tersebut ke hospital berhampiran sebelum pasukan doktor secara perlahan-lahan mengeluarkan bayi yang tersepit itu.

Bayi itu kini berada dalam keadaan stabil dan polis sedang mencari ibu bapanya.

Insiden itu secara meluas dibincangkan di laman sembang sosial China, Sina Weibo selepas gambar bayi itu yang tersepit di dalam saluran paip tersebar disiarkan.

Orang ramai turut menuntut supaya ibu bapa bayi itu dikenakan hukuman berat.

"Mereka yang melakukan perbuatan keji ini mempunyai hati yang lebih kotor daripada paip saluran kumbahan," tulis seorang pengguna. - REUTERS

EU tarik balik sekatan senjata

Posted: 28 May 2013 10:59 AM PDT

Seorang anggota Tentera Pembebasan Syria berdiri di atas kereta kebal milik tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad, selepas berjaya menawan bandar Nayrab, pada 23 Mei lalu. - Reuters

BRUSSELS 28 Mei - Ketua Hal Ehwal Luar, Kesatuan Eropah (EU), Catherine Ashton, semalam mengumumkan bahawa EU telah menarik balik embargo senjata yang dikenakan ke atas pemberontak Syria.

Menteri-Menteri Luar EU yang menghadiri satu rundingan di ibu negara Belgium ini, bagaimanapun bersetuju untuk tidak membekalkan senjata kepada pemberontak Syria sehinggalah Ogos ini bagi memberi laluan kepada rundingan damai yang diusahakan oleh Rusia dan Amerika Syarikat (AS).

Britain dan Perancis menjadi negara paling bersungguh-sungguh mahukan sekatan itu ditarik balik dengan Setiausaha Luar Britain, William Hague menyifatkan keputusan itu sebagai 'mesej tegas' kepada kerajaan Syria pimpinan Presiden Bashar al-Assad.

"Keputusan itu memberi kita kebebasan pada masa depan untuk bertindak balas terhadap situasi yang semakin memburuk atau untuk menolak rundingan dengan Bashar," katanya.

Namun, beberapa sekatan lain ke atas Syria, termasuk sekatan kewangan, larangan perjalanan dan pembekuan aset, akan ditangguhkan selama setahun ekoran kebimbangan pakej sekatan itu akan gagal jika isu senjata tidak mendapat kata sepakat.

"Sejak awal semalam, kami bimbang satu sekatan pun mungkin tidak akan dicapai dan menyebabkan sekurang-kurangnya 90 peratus daripada pakej sekatan masih tidak diluluskan.

"Pada dasarnya pakej sekatan yang masih diusahakan itu adalah penting untuk memberi mesej bahawa Eropah menentang keganasan," kata Menteri Luar Belanda, Frans Timmermans.

Negara-negara EU akan memutuskan sendiri mengikut dasar masing-masing berhubung keputusan membekalkan senjata kepada Pakatan Kebangsaan Syria atau 'peralatan yang mungkin boleh digunakan untuk pertahanan dalaman' dan melindungi orang awam, menurut kenyataan bersama Menteri-Menteri Luar EU. - DPA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Bahaya 'hantu raya tak bertuan'

Posted: 28 May 2013 10:59 AM PDT

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

Seorang mangsa yang didakwa pengundi hantu oleh sebuah laman sesawang propembangkang, Raja Mohd. Nazrul Azwqan Raja Baini (tengah) menunjukkan salinan kad pengenalannya bagi membuktikan dia rakyat Malaysia dan bukan 'pengundi hantu' warga Bangladesh di Perak, baru-baru ini.

PENASIHAT DAP, Lim Kit Siang menafikan parti itu mempunyai apa-apa kaitan dengan tentera siber, Red Bean Army.

Kata Kit Siang dalam blognya, parti itu tidak mempunyai kekuatan sebanyak 200 tentera siber Red Bean Army yang didakwa memburuk-burukkan Barisan Nasional (BN) sejak enam tahun lalu.

Seperti biasa Ahli Parlimen Gelang Patah ini menuduh UMNO membelanjakan berjuta-juta ringgit bagi menganjurkan konvensyen media sosial di seluruh negara semata-mata untuk membentuk 10,000 tentera siber pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Tidak apalah itu penafian Kit Siang, maklumlah sebagai sebuah parti yang sentiasa menjunjung demokrasi, berjuang menegakkan keadilan dan menentang perkauman sudah pastilah DAP tidak akan bersetuju dengan Red Bean Army.

Kita 'percaya' DAP juga tidak akan bersekongkol dengan mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan kerajaan BN melalui cara tidak betul khususnya melalui fitnah dan hasutan.

Ia memandangkan Red Bean Army adalah sebuah pasukan tentera siber yang diwujudkan semata-mata bagi menyerang BN habis-habisan dengan matlamat meranapkan kerajaan yang ditunjangi oleh orang Melayu iaitu UMNO.

Selain itu, Red Bean Army juga bertanggungjawab menyebarkan pelbagai dakyah, fitnah dan tohmahan kepada pemimpin-pemimpin UMNO serta BN bagi mempengaruhi masyarakat Cina menolak parti itu dalam PRU-13.

Berikutan tindakan jahat Red Bean Army itu maka berlaku apa yang dipanggil tsunami Cina biar pun ia cuba dinafikan oleh pakatan pembangkang.

BN gagal memperolehi majoriti dua pertiga kerana perolehan undi daripada masyarakat Cina dikatakan di bawah 10 peratus. Inilah fakta yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa.

Pencapaian itu berikutan ketidakmampuan pasukan media baru UMNO dan BN untuk menangkis serangan bertubi-tubi daripada Red Bean Army yang bersedia melakukan apa sahaja demi memastikan pengundi tidak memihak kepada BN.

Kesudahannya, yang paling untung ialah DAP kerana selain menjadi dominan dalam pakatan pembangkang dengan memperolehi 38 kerusi Parlimen, parti itu juga terus mengekalkan pemerintahan di Pulau Pinang, dalam satu pilihan raya yang mereka dakwa penuh dengan penipuan.

Mungkin DAP tidak mahu dilihat terhutang budi dengan Red Bean Army memandangkan apa yang dilakukan oleh tentera siber itu 'bertentangan' dengan prinsip perjuangan parti tersebut.

Namun kewujudan Red Bean Army ini 'amat mengagumkan', maklumlah bukan senang hendak mewujudkan 'satu kesedaran luar biasa' daripada satu kelompok manusia untuk melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas kerajaan BN tanpa mempedulikan sama ada ia satu kebenaran atau kepalsuan.

Mereka juga 'dikagumi' kerana tanpa dinaungi oleh mana-mana parti politik (berikutan penafian Kit Siang) 'kilang fitnah' mereka beroperasi 24 jam tanpa mengenal penat dan lelah serta 'tidak mendapat sebarang upah'. Difahamkan mereka beroperasi di sebuah tempat yang selesa di ibu negara dan bekerja secara syif.

Bagaimanapun ini bukan bermakna perbuatan Red Bean Army ini harus dibiarkan. Mereka kini 'sudah sah' ibarat 'hantu raya tidak bertuan' memandangkan DAP pun menafikan kaitan parti itu dengan tentera siber yang biadab tersebut.

Oleh itu adalah wajar, kewujudan siber tidak beretika seperti Red Bean Army ini dikecam oleh pakatan pembangkang khususnya DAP jika benar mereka memperjuangkan demokrasi, menegakkan keadilan dan menolak politik perkauman.

DAP juga perlu mengeluarkan kenyataan rasmi menggesa masyarakat Cina supaya tidak mempercayai apa yang disebarkan oleh Red Bean Army dan bersedia bekerjasama dengan kerajaan bagi menyalurkan maklumat bagi menghapuskan tentera siber tersebut.

Ia memandangkan corak serangan dan pendekatan politik yang dilakukan oleh Red Bean Army amat bahaya kepada keutuhan kaum dan keselamatan negara.

Kita sudah saksikan beribu-ribu fitnah ditaburkan oleh kelompok tersebut sehingga pada hari pengundian hampir tercetus kekecohan.

Keadaan itu berlaku kerana sejak awal lagi Red Bean Army menguar-uarkan dakwat kekal yang digunakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan tertanggal sebelum tempohnya dan ada warga Bangladesh yang akan digunakan oleh BN untuk mengundi parti itu.

Tetapi kesudahannya, semua itu hanyalah fitnah termasuklah juga tohmahan kononnya bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad akan 'lari ke luar negara' pada malam pengundian kerana bimbang BN kalah.

Apa yang lebih bahaya, ketika pakatan pembangkang lebih selesa menuduh media arus perdana khususnya Utusan Malaysia bersikap rasis, tindak-tanduk Red Bean Army lebih dahsyat lagi.

Dengan penafian Kit Siang, kita kini tertanya-tanya siapakah dalang di sebalik kewujudan Red Bean Army ini. Apakah mungkin ada kuasa asing yang menyalurkan dana bagi membolehkan Red Bean Army beroperasi dengan begitu hebat sekali?

Tanpa sumber kewangan yang kukuh sudah pasti mereka tidak akan mampu beroperasi dengan begitu efisien.

Sebab itulah, sudah tiba masanya, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia menjalankan siasatan rapi bagi 'melumpuhkan' operasi Red Bean Army ini.

Tindakan tegas yang diambil bukanlah bermaksud kita bimbang 'hantu raya tak bertuan' itu mendedahkan kepincangan kerajaan BN, sebaliknya kita tidak mahu wujudnya satu kelompok tentera siber yang tidak bertanggungjawab dan sanggup mempertaruhkan segala-galanya demi mencapai cita-cita politik mereka.

Kita percaya pakatan pembangkang khususnya DAP akan menyokong usaha tegas pihak berkuasa untuk menghapuskan Red Bean Army ini.

Sebagai sebuah parti yang sering menggambarkan mereka menjunjung demokrasi dan menegakkan keadilan serta membenci perkauman, kita percaya DAP akan memberi sokongan paling padu untuk memastikan Red Bean Army tidak terus menjadi 'hantu raya' yang mengganggu rakyat Malaysia dan keselamatan negara.

Apa yang kita bimbang Red Bean Army ini adalah terdiri daripada kelompok yang diupah oleh pihak asing untuk mengkhianati negara sendiri? dan bagaimana pula kalau Red Bean Army ini sememangnya dilatih untuk memastikan negara kita menjadi huru-hara melalui fitnah dan tohmahan yang mereka lemparkan kepada kerajaan BN?

Tambahan pula kita juga sudah menyaksikan Red Bean Army ini meletakkan diri mereka seolah-olah begitu istimewa apabila sesiapa sahaja yang cuba membongkar atau menyerang perbuatan haram mereka akan diserang habis-habisan seperti mana berlaku kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Oleh itu, kita tidak boleh membiarkan kewujudan sebuah tentera siber yang merasakan diri mereka 'kebal' daripada undang-undang dan beroperasi di sebuah lokasi yang kononnya rahsia, semata-mata untuk memporak-perandakan negara ini.

Sekarang adalah masa untuk bertindak kerana dengan penafian Kit Siang sudah jelas kini kita tidak tahu siapakah 'tuan-tuan' kepada 'hantu raya Red Bean Army' ini.

Kerajaan tidak harus gentar untuk 'mengunyah' Red Bean Army ini dengan memastikan kelompok ini dihapuskan sama sekali dari bumi Malaysia.

Sekarang adalah masa bertindak kerana kewujudan kumpulan berkenaan tidak boleh dianggap sebagai satu kebebasan media sebaliknya satu ancaman yang boleh membawa petaka kepada negara.

Kisah penyokong tegar yang tak habis-habis

Posted: 28 May 2013 10:59 AM PDT

Oleh Fauziah Arof

KATA seorang kawan saya, dia telah hilang ramai kawan dalam tempoh menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sehingga tamatnya pilihan raya berkenaan. Dia juga menjangkakan hilang lebih ramai lagi kawannya dalam masa terdekat ini.

Bagaimanapun, katanya, dia sedikit pun tidak kisah hilang ramai kawan atas nama kebenaran kononnya. Ya, bunyinya amat besar.

Walaupun PRU-13 sudah lama berlalu, dia tidak letih mengulas dan tidak habis-habis bercakap mengenai rasa kecewa dan rasa tidak puas hatinya di atas kekalahan parti yang disokongnya. Setiap jam dia akan terus mengulas tidak habis-habis di Facebook dan Twitter miliknya.

Gambar profail di Facebooknya yang dulu segak di hadapan motor besar dan ada kalanya diselang seli dengan gambar Harimau Malaya sudah ditukar jadi gelap hitam. Apa sahaja gambar, video dan artikel yang tidak sahih, kononnya berlakunya penyelewengan dalam PRU-13 dikongsi dan dikomen, siap dengan maki hamun.

Cerita-ceritanya asyik berpusing-pusing pasal pengundi hantu, blackout, penipuan yang dilakukan oleh kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan dakwat kekal.

Walaupun sudah ada banyak penerangan mengenainya. Dia tidak minat untuk membacanya. Kerana penerangan itu hanya mahu disiarkan oleh media arus perdana sedangkan kepercayaannya hanya pada media dan blogger propembangkang yang tentu tidak menyiarkannya. Apa yang ditulis oleh media kepercayaannya itu, kepadanya itulah dia yang betul-betul sahih dan betul-betul berlaku. Yang lain semuanya jenis putar alam saja.

Sesiapa saja kawan-kawannya yang memberi pendapat yang tidak sehaluan dengannya dalam media sosial itu, akan dipadam atau unfriend. Dulu elok-elok dia boleh melepak atau ngeteh bersama kawan-kawan di warung mamak sambil tengok bola, sekarang sudah buat hal masing-masing. Dulu dia dan kawan-kawannyalah penyokong tegar pasukan Liverpool yang sama-sama berkongsi kekecewaan ketika pasukan itu kalah.

Dan, akuinya lagi, dia juga sampai sekarang tidak bertegur sapa dengan adik-beradiknya dan beberapa saudara-maranya yang lain. Yang ini, katanya, tidak langsung merisaukannya. Nanti bila Hari Raya bolehlah bermaaf-maafan sambil menangis dan berpeluk-pelukkan.

Kata saya pula, PRU-13 sudah lama habis. Yang menang itu dah tetap menang. Jika dia terus bergaduh dan menambah musuh dengan ramai lagi kawan hanya kerana perbezaan pendapat dan sokongan pada parti politik ini, tindakan ini tidak dapat mengubah apa-apa pun keputusan PRU. Akhirnya, apa yang dia dapat? Yang jelas dapat musuh saja.

Saya katakan kepadanya, baik terima saja kenyataan atau kalau tidak boleh terima pun, duduk diam-diam, jalani kehidupan seperti biasa bersama keluarga dan kawan-kawan dan tunggu lima tahun lagi untuk mengundi. Jangan cari musuh keliling pinggang hanya pasal sokong parti politik.

Tetapi dia tetap begitulah. Dan saya pun tahu, betapa membuang masa saja bercakap dengan penyokong-penyokong tegar mana-mana parti politik ini. Mereka tidak akan mahu kalah bila berhujah. Sebelum saya pun hilang kawan, lebih baik saya berhenti menasihat.

Begitulah terlalu taksubnya sesetengah dalam kalangan kita apabila bercakap mengenai politik. Biar hilang kawan, biar hilang adik beradik, saudara-mara dan hilang kewarasan berfikir asalkan dapat menegakkan parti politik yang mereka sokong.

Mereka mahu menegakkan kebenaran dan keadilan, tetapi bila pihak yang benar-benar terlibat dalam sesuatu yang didakwa ada penyelewengan itu, beri penjelasan dan penerangan, dikata karut pula.

Dan bila berbeza fahaman politik, budi bahasa pun hilang entah ke mana. Baik yang berpelajaran tinggi sampai keluar negara hinggalah yang lulus setakat Sijil Pelajaran Malaysia, bila sudah menjadi penyokong tegar mana-mana parti politik , segala ayat-ayat tidak beradab boleh saja keluar, tidak kiralah apa bangsa pun, hanya kerana perbezaan ideologi politik ini.

Maka sudah tentunya, tiada apa salah dan ruginya selepas PRU-13 ini, segala yang keruh dijernihkan semula. Berbaik-baik semula seperti sedia kala. Tidak kiralah anda penyokong-penyokong dari parti politik mana.

Sedangkan di Bangunan Parlimen pun, Ahli-Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang boleh duduk bersama ketika waktu makan dan berbual seperti biasa sesama mereka. Pemimpin-pemimpin yang berlainan ideologi politik ini pun juga ziarah menziarahi sesama mereka ketika sakit. Inikan pula anda penyokong-penyokong tegar yang hanya kecoh berperang dalam media sosial. Jangan berlebih-lebihlah. Jangan beremosi. Usah lebih sudu daripada kuah!

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved