Selasa, 28 Mei 2013

Utusan Online - Agrobiz

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


Impian jutawan pelatih iGROW

Posted: 26 May 2013 11:45 PM PDT

Impian menjadi jutawan tertanam dalam jiwa pelatih iGROW.

Manusia sering menganggap bahawa orang muda adalah golongan yang penuh dengan cita-cita, inspirasi dan idealisme.

Sifat semula jadi dan jiwa golongan muda sememangnya begitu, terutama dalam memburu cita-cita kehidupan.

Bagi para pelatih Institut Agro Usahawan ( iGROW), keinginan untuk menjadi jutawan tani pada masa hadapan sememangnya melekat dalam diri mereka sejak hari pertama melangkah ke pusat latihan itu.

Ini berikutan langkah yang diambil oleh institut itu dengan memberi penekanan dan pengisian latihan kepada misi melahirkan usahawan tani muda sebaik sahaja tamat latihan.

Selain menitikberatkan aspek kemahiran yang terkandung dalam modul Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), pendedahan terhadap disiplin dan suasana persekitaran perniagaan pertanian sebenar sentiasa mengimbangi rutin harian mereka.

Bagi pelatih dari Keningau Sabah, Rizal Mohd. Hassan Tiau, dia menaruh harapan supaya menjadi jutawan satu hari.

Rizal ingin mengubah nasib hidup memandangkan dia bukan sahaja datang dari keluarga petani tetapi juga tinggal di daerah yang menjadi sebahagian zon pertanian penting di negeri itu.

"Saya sering melihat beberapa usahawan tani di Keningau yang berstatus jutawan hasil daripada usaha pertanian.

"Walaupun kehidupan mereka kelihatan seperti kebiasaan masyarakat kampung lain, mereka sebenarnya bergelar jutawan atau kaya-raya dengan menjadi usahawan tani yang serius serta berdisiplin", katanya.

Dia sanggup terbang ke Perak dari Sabah kerana yakin konsep latihan seperti di tawarkan iGROW mempunyai visi dan misi yang berbeza dengan institut latihan kemahiran awam dan swasta lain terutama dalam bidang pertanian.

Sementara itu, rakannya, Mohd. Kamarul Asraff Ahmad dari Kuantan, Pahang menganggap hasrat menjadi jutawan tani itu bukanlah perkara yang mudah tetapi pencapaian seumpama itu bukan mustahil untuk dikecapi suatu hari nanti.

"Setiap kejayaan bermula dengan cita-cita atau angan-angan. Tetapi inspirasi sedemikian sangat perlu untuk menyuntik semangat kami setiap hari.

"Apatah lagi cabaran kami dalam sektor pertanian sangat mencabar berbanding dengan kerjaya dalam bidang kemahiran lain," ujar Mohd. Kamarul Asraff.

Dia yang sebelum ini pernah memasuki sekolah teknik pertanian di Pahang bertekad mengusahakan pertanian sendiri sesudah tamat latihan di kampung.

"Kelebihan kami di sini ialah mereka yang mahu berniaga sudah diatur dan diasuh sejak dalam latihan lagi", ujarnya.

Pendedahan kisah kejayaan dan pengalaman graduan tani yang pernah dibimbing oleh pihak pengurusan iGROW menjadikan pelatih lebih memahami realiti dunia keusahawanan.

Sebelum menuju status jutawan, mereka perlu mengharungi detik cabaran sebagai usahawan tani, bermula dengan saiz kecil hingga berskala besar.

Namun begitu, pelatih dari Sarawak , Muhammad Nazeem Aini pula banyak mengambil iktibar daripada kisah-kisah usahawan tani muda yang pernah dihasilkan oleh iGROW di beberapa institusi sebelum ini.

"Kami agak bernasib baik kerana terdapat beberapa kisah kejayaan dalam program MyAgrosis Agrobank yang dibimbing sendiri oleh Pengerusi Eksekutif iGROW, Nordin Abdul Malek.

"Kami difahamkan, peminjam dana MyAgrosis Agrobank itu adalah antara kumpulan yang paling ramai di Malaysia", katanya.

Oleh itu, Muhammad Nazeem berpendapat peluang menjadi usahawan sudah memang menunggu tetapi terpulang kepada setiap graduan untuk mengusahakan secara serius dan berani hingga mampu bergelar jutawan tani.

Maklumat lanjut hubungi Azri Zaher Azmi 0124842144.

Usahawan burung baji

Posted: 26 May 2013 11:45 PM PDT

KATANYA, pada peringkat awal dia hanya memiliki 30 pasang sahaja burung baji yang dibeli di Kuala Terengganu, Terengganu.

Namun kini Mohd. Nasir memiliki hampir 200 pasang.

Burung baji yang lebih dikenali sebagai love bird memiliki rupa yang menarik, comel di samping warna yang pelbagai menjadikan ia amat menarik untuk dipelihara.

Selain kelihatan jinak, burung baji juga tidak sukar dipelihara kerana tidak memerlukan kawasan sangkar yang luas, diet yang ringkas dan mudah membiak.

Menurut Mohd. Nasir, burung baji juga agak tahan lasak dalam keadaan cuaca yang sederhana negara ini.

Namun, jika musim tengkujuh, burung itu mudah mati kerana tidak tahan dengan cuaca sejuk.

Memiliki ciri seakan-akan burung nuri atau kakak tua, burung baji dengan nama saintifiknya Melopsittacus undulates adalah lebih kecil dan comel.

Jelas Mohd. Nasir, dia turut mengunjungi rakan-rakan yang berminat dengan burung tersebut hingga ke daerah Dungun malah ke Kelantan untuk mempelajari cara-cara memeliharanya.

"Apa yang saya dapati memelihara serta menternak burung baji adalah lebih mudah berbanding burung-burung tempatan yang lain seperti tekukur.

"Malah, harga burung ini juga agak baik serta permintaannya sentiasa ada," kata Mohd. Nasir ketika ditemui di kediamannya sempena program lawatam media anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Kampung Seberang Bukit Tumbuh, Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini.

Tambah Mohd. Nasir, usahanya menternak burung tersebut mendapat perhatian pihak MARDI sekali gus tampil membantunya.

Hampir RM10,000 diperuntukkan oleh MARDI serta khidmat nasihat kepada Mohd. Nasir bagi menguruskan perusahaan tersebut.

Menerusi bantuan tersebut, Mohd. Nasir mampu membina lebih 100 buah sangkar segi empat sama berukuran dua meter bagi menempatkan 100 pasang burung baji yang memiliki hampir 50 warna yang berbeza.

Dalam pada itu, pasaran burung baji di sekitar Terengganu sahaja tidak mencukupi kerana permintaan terhadap haiwan peliharaan yang comel tersebut amat tinggi.

Malah, Mohd. Nasir mengakui ada sesetengah pembeli sanggup menempah burung baji daripadanya seawal induk burung tersebut baru bertelur.

"Kebiasaannya, pembeli akan mengambil burung biarpun seawal peringkat anak kerana mudah untuk diasuh.

"Ini kerana anak-anak burung baji amat mudah untuk dipelihara selain harganya lebih murah daripada dewasa," katanya.

Sepasang burung baji dijual pada kadar harga antara RM50 dan RM450 berdasarkan jenis dan gred burung tersebut.

"Paling mahal adalah burung baji gred A dan burung gred ini memiliki saiz yang agak besar berbanding saiz lain.

"Terbaru, pembeli amat meminati burung baji yang memiliki warna mata seakan kemerah-merahan menjadikan harganya melonjak naik," katanya.

Sepasang burung baji gred A memerlukan masa satu hingga empat tahun untuk matang seterusnya bertelur.

Setelah bertelur, induk burung akan mengeram telur selama 18 hari dan mampu menghasilkan anak sehingga tujuh ekor dalam satu-satu masa.

Tambah Mohd. Nasir lagi, setelah hampir sebulan di bawah jagaan induk, anak-anak burung akan diasingkan sehingga mampu makan sendiri sebelum dijual kepada peraih.

Burung baji mampu membiak sebanyak lima kali setahun dan purata telur yang dihasilkan adalah lima biji.

Mohd. Nasir turut menggunakan tulang sotong diletakkan di dalam sangkar agar dimakan oleh induk yang dikatakan mampu menjadikan kulit telur lebih keras.

Petua tersebut adalah bagi mengelakkan telur yang dihasilkan mudah pecah sekali gus mengelakkan kerugian.

Biarpun memiliki pekerjaan hakiki sebagai nelayan pantai, ia tidak sedikit pun menyukarkan beliau untuk mengusahakan ternakan burung tersebut.

Malah, katanya, kadang-kala tugas memantau serta menjaga burung-burung peliharaannya diambil alih oleh ahli keluarga terutamanya anak-anak Mohd. Nasir yang mula menunjukkan minat.

Mohd. Nasir yang juga ahli Persatuan Peminat Burung Budgie dan Cocktail Terengganu (PPBCT) pernah dianugerahkan dengan sijil Master Breeder yang juga merupakan anugerah peringkat tertinggi persatuan tersebut.

Bagaimanapun, setiap perusahaan pasti memiliki cabaran yang tertentu dan terkini burung tersebut bakal dilesenkan untuk tujuan pengawalan.

Biarpun usaha melesenkan burung baji masih di peringkat cadangan namun ia sedikit sebanyak membimbangkan beliau kerana prosedur perlesenan pasti akan merumitkan perusahaannya.

Namun, bergerak di bawah persatuan PPBCT memudahkannya untuk menangani sebarang isu yang berbangkit.

Kini, Mohd. Nasir mampu meraih pendapatan tambah sebanyak RM1,500 sebulan hasil penjualan burung baji tersebut.

Katanya angka tersebut masih dianggap kecil berbanding pengusaha burung baji yang lebih berpengalaman di mana mereka mampu meraih hasil jualan sekitar RM5,000 hingga RM8,000 sebulan.

Ketika ditanya adakah beliau ingin membesarkan perusahaannya, katanya ia bergantung kepada modal dan pendapatan yang diperolehi.

Namun, ujarnya, hasrat untuk meningkatkan perusahaan di masa-masa akan datang sentiasa menyala.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Utamakan suami

Posted: 28 May 2013 12:06 AM PDT

BUKAN senang melunaskan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Beban kerja yang perlu dihadapi pastinya memerlukan pengorbanan mental dan fizikal.

Sebagai isteri, memastikan kebajikan suami adalah antara tanggungjawab besar terutamanya dari segi pemberian kasih sayang yang tidak berbelah bahagi agar suami merasakan dia diutamakan.

Biar bagaimana sibuk pun, beri perhatian kepada suami, terutama pada apa yang hendak dikatakannya. Ramai dalam kalangan suami yang merungut menyatakan pasangan mereka jarang mendengar apa mereka katakan malah mereka pula yang terpaksa mendengar kata isteri.

Sama ada suami anda seorang yang suka bercakap atau pendiam, sebaik dia membuka mulut, tolong dengar apa yang ingin mereka sampaikan sehingga habis sebelum anda pula menyatakan pandangan.

Selalukah anda menyentuh suami anda? Ramai yang memikirkan, sentuhan hanya apabila ketika melakukan seks , tetapi sentuhan sebenarnya memberikan makna lebih daripada itu.

Pegang tangan dan bahunya, usap wajahnya dan pandang matanya. Cari keadaan bagaimana anda boleh sentiasa rapat dengannya untuk kelihatan lebih intim.

Perkara ini juga sering berlaku dalam hubungan suami isteri. Ramai isteri yang suka mengubah suaminya menjadi apa yang 'dia mahu' dan bukannya mengekalkan sifat semula jadinya.

Perlu diingat, mengikut perintah anda mungkin menjadikan suami rasa terkongkong terutama apabila dia ingin lakukan sesuatu. Berikan dia lebih kebebasan dalam membuat keputusan.

Cuba pastikan apa yang suami anda mahu ia dipenuhi. Mungkin dalam soal ini anda perlu bertanya kepada suami apa yang dia perlukan dalam kehidupannya.

Sentiasa berada di sisinya ketika dia berada dalam kesedihan, berikan kata cinta dan semangat kepadanya. Jangan lupa menyokongnya di saat dia memerlukan anda dan berikanlah dia motivasi tetapi berpada-pada agar tidak dianggap sebagai bebelan pula.

Jangan kritik suami dengan kata-kata yang menghina. Tiada siapa yang suka dicaci walaupun dalam keadaan rasa amarah yang kritikal.

Kata-kata penghinaan jangan sesekali dilepaskan kepada suami walaupun ketika anda sedang marah. Bawa bertenang, cuba berbincang dan dapatkan kepastian.

Suami mahu anda sentiasa percayakannya dalam setiap apa yang dia ingin lakukan, kerana setiap kejayaan pastinya satu kebanggaan buat dirinya. Jadi jangan memandang rendah kepadanya sebaliknya berikan pujian sekiranya dia mendapat kejayaan.

Jika anda ingin bercakap dengan suami, berbicara dengan penuh rasa hormat. Biarpun pandangan yang diberikan dirasakan kurang bernas, cuba nyatakan pendapat anda dengan cara yang paling bijak agar tidak menyebabkan suami rasa kecil hati.

Apa yang paling penting, sebagai isteri, anda perlu sentiasa menyokong suami dalam apa jua keadaan - susah mahupun senang.

Jangan hanya menyokongnya ketika dalam keadaan yang menggembirakan, apabila berlaku sebaliknya, nyatakan sokongan anda kepada suami tanpa berbelah-bahagi.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Minta pindah PPR berdekatan

Posted: 28 May 2013 10:59 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusan.com.my

Muhammad Zaki Che Mat menunjukkan pokok yang menghempap sebahagian rumahnya dalam kejadian ribut di Jalan Suasa di Sungai Besi, Kuala Lumpur baru-baru ini. (Gambar kiri) keadaan kerosakan bahagian dalam rumahnya. - UTUSAN/FARID JANUDIN

KUALA LUMPUR 28 Mei - Mangsa kejadian ribut kencang di pekan Sungai Besi, di sini berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memindahkan mereka ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang berdekatan dengan kediaman asal mereka.

Alasan penduduk terlibat, kebanyakan daripada mereka merupakan peniaga kecil dan bekerja di sekitar Sungai Besi selain tidak mempunyai kenderaan untuk bergerak jika dipindahkan ke kawasan yang jauh.

Tinjauan Utusan Malaysia ke dewan sementara yang menempatkan mangsa mendapati, rata-rata daripada mereka meluahkan rasa bimbang apabila diberitahu akan dipindahkan ke PPR Bukit Jalil dalam masa terdekat.

Seorang mangsa, Mohamad Zaki Che Mat, 53 berkata, dia akan mengalami kesukaran untuk ke tempat kerja jika ditempatkan di PPR Bukit Jalil kerana tidak mampu menanggung kos ulang-alik yang tinggi.

"Saya harap DBKL memindahkan kami di kawasan yang berhampiran, paling tidak pun di PPR Permai yang paling hampir dengan Sungai Besi.

"Saya juga berharap DBKL tebang semua pokok yang berisiko untuk tumbang dan bina semula rumah kami di kawasan asal," katanya yang kerugian hampir RM20,000 akibat ribut kencang itu.

Dalam kejadian yang berlaku hujung minggu lalu, beberapa buah rumah mengalami rosak teruk akibat dihempap pokok yang dipukul ribut.

Sebelum ini Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menggesa DBKL mengkaji semula pelan landskap yang memerlukan pokok-pokok berusia terus subur dan dijadikan hiasan di sekitar ibu negara.

Kata beliau, DBKL memerlukan pembangunan landskap yang baharu kerana pokok-pokok besar dan rendang yang berusia lebih 20 hingga 30 tahun dilihat berbahaya kepada orang ramai terutama sekali ketika bencana alam seperti ribut kencang dan hujan lebat.

Tambahnya, mangsa akan dibawa ke PPR Bukit Jalil untuk diberikan penempatan dan tidak perlu membayar sewa selama tiga bulan.

Namun beliau turut mengarahkan DBKL mencari tempat tinggal terdekat di sekitar Sungai Besi memandangkan mangsa-mangsa bekerja di sekitar kawasan itu.

Sementara itu, Nur Hayati Mauti, 47 berkata, dia bersyukur kerana tidak ada seorang pun ahli keluarganya yang mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut.

"Walaupun rumah kami ranap sepenuhnya, namun kami percaya ada hikmah di sebalik kejadian yang berlaku," katanya yang masih trauma dengan kejadian tersebut.

Suaminya, Kamarudin Che Moot, 53 pula berkata, dia berterima kasih kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL yang telah membantu mereka selepas kejadian ribut berlaku.

"Walaupun hanya tinggal di dewan, namun dengan bantuan yang diberi seperti makanan, selimut, wang ringgit dan lain-lain dapatlah kami menjalani kehidupan seharian dengan selesa," katanya.

LZS sasar 200 keluar daripada kategori asnaf

Posted: 28 May 2013 10:59 AM PDT

PENGURUS Besar Kutipan LZS, Roszy Non menyerahkan buah tangan kepada Maimon Muttalib sempena lawatan ke atas pelakon itu di Shah Alam semalam.

SHAH ALAM 28 Mei - Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan untuk mengeluarkan seramai 200 individu daripada golongan asnaf pada tahun ini.

Pengarah Program Ziarah Korporat dan Media, Siti Hajar Abdul Rahim berkata, sasaran yang memberi tumpuan dari aspek ekonomi itu dibuat berdasarkan pelaksanaan program LZS meningkatkan pendapatan golongan berkenaan seperti perniagaan kecil antaranya bidang jahitan, mekanik dan sebagainya.

Setakat ini katanya, terdapat sebanyak 26,000 individu dikategorikan sebagai asnaf di Selangor dan sebahagian daripada mereka telah pun menjalankan kegiatan perniagaan kecil-kecilan.

"Justeru itu, LZS sememangnya menyediakan bantuan dari segi peralatan perniagaan termasuk khidmat nasihat kepada golongan ini untuk meninggikan lagi pendapatan mereka sekali gus terkeluar daripada kategori asnaf.

"Ini kerana hanya aspek ekonomi sahajalah mampu mengeluarkan mereka daripada masalah kemiskinan. Jadi, sebagai badan yang bertanggungjawab untuk mengagihkan zakat, kami memberikan bantuan yang dipohon bagi menaikkan taraf ekonomi golongan ini.

"Kami juga melakukan pemantauan ke atas golongan asnaf yang menerima bantuan ini bagi memastikan bantuan yang diberikan sememangnya mampu menjana pendapatan mereka," katanya ketika ditemui selepas Program Zikra Korporat di Kampung Bukit Lanchong, di sini hari ini.

Terdahulu, LZS membawa kira-kira 50 pembayar zakat dari pelbagai agensi melawat lapan asnaf yang menerima bantuan zakat di Shah Alam, Rawang, Bukit Beruntung, Kuala Kubu Baru dan Ulu Yam.

Siti Hajar berkata, tujuan pihaknya membawa para pembayar zakat tersebut adalah bertujuan memberi informasi dan pendedahan mengenai operasi, kutipan dan agihan zakat.

"Malah, mereka juga dapat melihat, menemui sendiri dan beramah mesra serta boleh bertanya lebih lanjut dengan para penerima zakat ini," katanya.

Sementara itu, penerima zakat, Roslina Ahmad Derawi, 35, berterima kasih kepada LZS kerana memberikan bantuan iaitu sebuah mesin lubang butang dan mesin jahit baju.

Ibu tunggal kepada tiga anak itu berkata, memulakan karier sebagai tukang jahit sejak 12 tahun lalu banyak mengajarnya kerana sepanjang tempoh itu banyak pengalaman yang ditempuhinya.

"Saya mempunyai lapan buah mesin termasuk yang diberikan oleh LZS dan pemberian mesin oleh mereka memudahkan saya untuk menyiapkan baju pelanggan," katanya.

Dalam pada itu, LZS turut melawat pelakon, Maimon Muttalib, 55, yang menghidap penyakit barah payu dara sejak dua tahun yang lalu.

Maimon yang mesra dengan panggilan Mama itu berkata, kunjungan kakitangan LZS dan para pembayar zakat ke rumahnya di Seksyen 17 membuatnya berasa gembira.

"Siapa yang tidak gembira apabila ramai orang mengunjungi di saat kita sedang sakit, tetapi sedikit risau kerana khuatir tidak mampu melayan tetamu dengan sebaik mungkin.

"LZS banyak membantu saya dan anak-anak dalam meneruskan kehidupan setelah saya berhenti daripada berlakon," katanya.

Kontraktor bina stesen LRT didakwa curi air sejak dua tahun lalu

Posted: 28 May 2013 10:59 AM PDT

Yusof Badawi (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan paip getah yang disambung secara haram dengan paip Syabas dalam serbuan ke atas tapak projek Stesen LRT di Bukit Jalil dekat Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR 28 Mei - Sebuah tapak pembinaan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di Sri Keladi, Bukit Jalil, dekat sini hari ini diserbu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) kerana syarikat kontraktor projek itu disyaki mencuri air sejak lebih dua tahun lalu.

Pengarah Eksekutif Projek dan Bahagian Kehilangan Air Tanpa Hasil (NRW) Syabas, Yusof Badawi berkata, pembongkaran yang dilakukan pihaknya berdasarkan risikan itu membabitkan kerugian sebanyak RM98,179.

"Kami menemui sebatang paip getah bersaiz 16 milimeter (mm) yang disambungkan secara haram di tetiang meter yang tidak bermeter di sebuah kawasan stesen janakuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) Sri Keladi.

"Pembongkaran ini adalah hasil siasatan Syabas susulan aduan yang diterima daripada penduduk mengenai tekanan air rendah yang kerap berlaku di kawasan mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, hasil siasatan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negara (SPAN) mendapati lokasi itu tidak mempunyai akaun berdaftar dan tiada meter air milik Syabas ditemui di tapak pembinaan berkenaan.

Ujarnya, sumber bekalan air terawat itu dipercayai digunakan untuk kerja-kerja membancuh simen dan turut digunakan untuk aktiviti mencuci tayar kenderaan berat yang keluar masuk ke tapak pembinaan.

"Kami juga percaya sambungan haram ini telah digunakan oleh kontraktor pembinaan terbabit selama 826 hari berdasarkan tarikh mula kerja pada 23 Februari 2011 yang dipamerkan di papan tanda projek," katanya.

Sehubungan itu kata Yusof, Syabas telah mengeluarkan Notis Pemberitahuan Kesalahan dan Tindakan Penguatkuasaan kepada kontraktor utama projek itu untuk membuat tuntutan ganti rugi kehilangan air.

"SPAN pula mengeluarkan Notis Pemberitahuan Kesalahan untuk tujuan pendakwaan. Sekiranya disabitkan kesalahan individu terlibat boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Yusof berkata, sebanyak 1,273 aduan berhubung kes curi air diterima pihaknya sejak 1 Januari hingga 22 Mei lalu membabitkan kerugian sebanyak RM1.4 juta.

"Sepanjang tahun lalu pula sebanyak 3,583 aduan diterima dan tuntutan ganti rugi dianggarkan berjumlah kira-kira RM6.7 juta," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Inspirasi pelbagai 'mood'

Posted: 26 May 2013 08:35 AM PDT

LIMA tahun lalu, jenama Anya Hindmarch menjadi rebutan dunia ekoran kejayaan ciptaan beg 'tote' mesra alam 'I'm Not A Plastic Bag' menyebabkan beliau digelar sebagai 'ratu beg tangan kegilaan ramai'.

Fenomena 'I Am Not A Plastic Bag' meledak apabila golongan selebriti termasuk Keira Knightley, Alicia Silverstone dan Lily Allen menggayakannya.

Anya Hindmarch juga menjadi jenama pilihan wanita ternama dan diidam-idamkan oleh kebanyakan wanita.

Memahami cita rasa golongan wanita, Anya Hindmarch sentiasa menghasilkan idea-idea yang baru dan segar.

Bagi penggemar Anya Hindmarch di Malaysia, mereka gilakan koleksinya yang seksi, glamor dan moden.

Inspirasi musim ini sudah tentunya gabungan pelbagai mood wanita yang sentiasa berubah mengikut keadaan dengan penggunaan warna-warna alam yang ceria.

Comel

Istimewanya beg Anya Hindmarch terdapat dalam pelbagai ukuran sama ada berbentuk comel dan kecil, berukuran sederhana atau selesa dengan jenis tote.

Bagi wanita yang inginkan gaya ringkas pastinya boleh memilih beg tangan saiz kecil boleh pegang (clutch) yang sesuai untuk tampil bergaya dalam acara koktel.

Beg tangan sederhana pula sesuai untuk acara kasual sama ada ke tempat kerja atau memenuhi undangan majlis makan malam.

Beg tote tentunya nampak elegan dan santai memenuhi selera wanita yang ingin menghadiri majlis minum petang atau keluar membeli-belah bersama rakan. Menariknya, selain berukuran besar coraknya unik kerana menggunakan gambar-gambar yang dicetak pada beg.

Gaya elegan Zardoze

Posted: 24 May 2013 11:56 AM PDT

MULA berpangkalan di Singapura pada Ogos 2012, label fesyen Zarzode kini menjenguk pasaran Malaysia yang merupakan pasaran luar keduanya.

Label ini melangkah seberang Tambak Johor dengan menampilkan koleksi sedia untuk pakaian musim bunga/panas 2013 (SS13).

Menurut pengasas bersama yang juga Ketua Pegawai Pembangunan Peniagaannya, Raveena Lal K, Zardoze mendapat tempat di hati pencinta fesyen terutamanya kaum wanita yang semakin bijak memilih fesyen yang bersesuaian dengan penampilan mereka.

Zardoze membawa rekaan yang berbeza. Kami percaya koleksi sedia untuk pakaian ini mampu memenuhi cita rasa fesyen wanita di sini.

Buat masa ini label kami boleh didapati di Robinsons, The Gardens dan Parkson Pavilion. Kedua-duanya merupakan gedung fesyen bertaraf antarabangsa sekali gus memberikan keyakinan dan peluang untuk kami terus berkembang ke pasaran negara-negara lain," ujarnya pada majlis peragaan koleksi SS13 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagi koleksi sedia untuk pakai SS13, Zardoze mengangkat inspirasi daripada karya pelukis Amerika Syarikat, Mark Rothko dengan imaginasi-imaginasi warna serta potongan-potongan ringkas.

Di samping itu, Zardoze turut menerapkan seni porselin Cina melalui motif-motif yang digabungjalin bagi menghasilkan hiasan atau perincian yang eksklusif sama ada pada gaun petang mahupun skirt pendek.

Cebisan porselin yang direka dengan corak yang cukup rumit menghiasi gaun dengan menggunakan teknik cetak atau embossing.

Apa pun paling menonjol bagi koleksi SS13 ini, kehangatan warna-warna yang mengejutkan seperti kuning terang, biru laut, merah jambu terang dan tidak ketinggalan warna-warna konservatif, hitam dan putih.

Melangkah ke majlis makan malam dengan gaun petang labuh tanpa lengan dengan pilihan warna merah jambu terang pastinya mengundang pandangan tetamu yang lain.

Begitu juga pilihan gaun pendek hitam dengan sulam kerawang berhias manik pada pinggang menyerlahkan gaya elegan si pemakai.

Selain itu, pemilihan fabrik jersi yang ringan dan mudah lentur membuatkan si pemakai lebih bergaya dan selesa.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Mansuhkan sekolah vernakular

Posted: 27 May 2013 10:51 AM PDT

ROKIAH ABD. MAJID
Setiausaha Agung PPPMM

Saudara Pengarang,

Saya adalah seorang guru yang telah bersara setelah 33 tahun berkhidmat di sekolah-sekolah menengah dalam negeri Johor.

Sudah pastinya banyak pengalaman yang saya alami sewaktu mengajar di sekolah-sekolah tersebut yang muridnya terdiri daripada pelbagai kaum, terutamanya apabila berhadapan dengan anak-anak murid yang berbangsa Cina, yang tidak perlu saya nyatakan di sini.

Selepas bersara, saya terus bergiat cergas dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dikenali sebagai Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) dan memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung.

Melalui pertubuhan ini, kami mahu mengambil kesempatan untuk dikongsi bersama bagi menggesa kerajaan agar sekolah vernakular dimansuhkan bagi tujuan memperkasakan perpaduan nasional di negara ini meskipun agak sukar dilaksanakan memandangkan telah termaktub dalam 'kontrak sosial'.

PPPMM merasakan sudah tiba masanya kerajaan berhenti berlembut, selama ini kementerian terlalu berlembut kerana menghormati pandangan mereka sehinggakan dengan asakan-asakan mereka, kerajaan sanggup memansuhkan Akta Polis 1967 dan ISA, lalu digantikan dengan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Dua belas tahun lalu, sebuah gabungan pertubuhan Cina membuat sebanyak 83 tuntutan dan mahukan kerajaan Barisan Nasional (BN) menunaikannya.

Asas tuntutan yang dikemukakan oleh kumpulan ekstremis yang dinamakan Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan-Persatuan Cina atau 'Suqiu' yang kononnya mewakili 2,000 pertubuhan Cina seluruh negara, adalah semata-mata untuk 'menghapuskan hak istimewa orang Melayu'.

Untuk itu kami PPPMM mencadangkan 'reformasi pendidikan', kerana 'sistem sekarang menjadi penghalang kepada perpaduan'. Ada sesetengah orang Cina yang menghantar anak mereka bersekolah rendah di Singapura walaupun republik itu seperti semua negara berbilang kaum di dunia ini, tidak mengamalkan sistem pendidikan rendah berbentuk pengasingan.

Di Amerika Syarikat contohnya, tiada sekolah jenis kebangsaan bagi kaum Red Indian atau sekolah jenis kebangsaan bagi penduduk keturunan Afrika dan sebagainya.

Namun, keunikan sistem pengasingan di negara ini nampaknya tidak langsung disyukuri oleh orang Cina. Contohnya Dong Zong, Persatuan Jawatankuasa Sekolah-Sekolah Cina Malaysia, merupakan sebuah NGO yang memperjuangkan Sistem Pendidikan Cina di Malaysia, tidak menganggap ibu bapa yang terlibat ini sebagai derhaka kepada bangsa dan negara.

Mereka juga tidak menanggap Malaysia lebih baik daripada Singapura, kerana telah membenarkan sekolah-sekolah Cina wujud.

Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Dong Zong pernah membuat empat tuntutan kepada kerajaan. Ia mungkin sedar tuntutan mereka akan diberi perhatian kerana PRU-13 semakin dekat dengan BN memerlukan setiap undi Cina.

Salah satu tuntutan tersebut adalah mendesak kerajaan memindahkan segera guru-guru yang dihantar ke SJKC yang tidak tahu berbahasa Cina (Mandarin), pada sesi awal persekolahan.

Bayangkanlah berapa ramai guru berketurunan Melayu dan India yang telah dipinggirkan dan mengajar di sekolah ini. Sekiranya keadaan sebegini berterusan, satu masa nanti akan terjadi 'sekolah Cina adalah untuk orang Cina'.

Maka, konsep 1Malaysia yang telah diuar-uarkan akan tinggal kenangan. Apakah ini dikatakan 'Semangat Malaysia?' Nampaknya sementara kerajaan berusaha untuk mengintegrasikan kaum di negara ini, masih ada lagi kumpulan yang mahu kebudayaan dan kehidupan ibunda mereka diberikan tempat khas dan istimewa.

Tetapi PPPMM berkeyakinan kuat bahawa itulah yang dihasratkan, ia merupakan satu grand design sejajar dengan apa yang ditulis oleh Sterling Seagrave di dalam bukunya Lord Of The Rim yang membuktikan bahawa adanya 'gerakan global' bagi orang-orang Cina seberang laut menguasai setiap negara yang didudukinya.

Kami menuntut supaya sistem 'satu sekolah untuk semua', perlu segera dilaksanakan bagi mengelak wujudnya generasi masa hadapan negara ini yang tidak bersatu dan hilang jati diri, sekali gus menggagalkan Gagasan 1Malaysia.

Kerajaan perlu menimbang secara serius akan saranan dari pelbagai pihak dan 'mengambil tindakan politik secara berstruktur' untuk mengurangkan sistem sekolah vernakular dan melaksanakan sepenuhnya sistem 'satu sekolah untuk semua'.

Dalam pemerhatian kami, golongan ini merupakan hanya 26 peratus, tetapi mereka amat tegas mahukan sistem sekolah vernakular yang menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa penghantar diteruskan. Mereka tergamak menggunakan 'ugutan politik' untuk menentukan hak mereka ini terpelihara dan makin diperluaskan.

PPPMM berpendapat, sekiranya kaum Cina begitu degil mempertahankan 'budaya dan warisan' mereka dengan mengorbankan agenda negara, maka kewajaran mereka dilayan dan ditatang sebagai 'minyak yang penuh' adalah amat diragukan.

Apa makna sekiranya negara maju tetapi rakyatnya berpecah belah dan hilang jati diri?

Mengharap jalan baharu antara Pekan Nenas-Pekan Telok Kerang

Posted: 27 May 2013 10:51 AM PDT

ABDULLAH MOHD SAID
Mukim Sungai Karang, Pontian

Saudara Pengarang,
KAMI penduduk Mukim Sungai Karang menyambut baik pembinaan jalan yang dapat mendekatkan lagi perjalanan antara Pekan Nenas, Peradin, Telok Kerang dan seterusnya ke Kukup dan Serkat.

Namun dalam pada itu, kami meminta kerajaan mengambil kira laluan sejauh lima kilometer dari Belokok ke Telok Kerang yang perlu dinaik taraf sesuai dengan pertambahan jumlah kenderaan pada masa kini.

Ini memandangkan laluan tersebut merupakan laluan keluar ke Pekan Telok Kerang daripada Pekan Nenas yang turut digunakan oleh penduduk kampung dan pelajar sekolah.

Keadaan jalan sedia ada tidak berapa rata dan agak sempit menyebabkan beberapa kemalangan berlaku apabila pengguna seperti penunggang basikal dan motosikal berselisih dengan bas, lori dan sebagainya.

Kejadian terbaharu melibatkan seorang penunggang motosikal yang cedera parah apabila terjatuh dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dalam keadaan koma.

Sepatutnya, jalan tersebut perlu diturap semula serta ditambah kelebarannya bagi membolehkan penunggang basikal dan motosikal tidak menghadapi sebarang masalah terutama pada waktu puncak seperti waktu pagi, petang mahupun cuti umum.

Memandangkan di pangkal (Kampung Sinar Harapan Pekan Nenas) lebar dan selesa, penghujung jalan ( Belokok ke Telok Kerang ) perlu juga diberikan perhatian oleh pihak berkuasa memandangkan ia turut digunakan oleh bas pelancong ke Kukup Laut dan Tanjung Piai.

Kami berharap kerajaan mengambil kira dan memahami akan keperluan penduduk di laluan tersebut supaya kedua-dua pihak dapat sama-sama menikmati jalan perhubungan yang baik selain soal keselamatan mereka.

Selain itu, kami juga mahu supaya papan tanda jalan dipasang di kawasan berkenaan bagi mengingatkan para pengguna kenderaan agar tidak memandu laju terutama di kawasan Pekan Peradin serta kampung-kampung di sekitar Telok Kerang.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Keunikan menarik ayam serama

Posted: 27 May 2013 10:51 AM PDT

Oleh SHAHNI FARHANA MAT SAHIR
utusankedah@utusan.com.my

Peserta menunggu giliran untuk ayam serama masing-masing diadili dalam Pertandingan Kesenian dan Kecantikan Ayam Serama di pekarangan Menara Alor Setar baru-baru ini. - UTUSAN/Shahni Farhana Mat Sahir

ALOR SETAR 27 Mei - Keunikan dan kebijaksanaan dimiliki ayam serama sering menjadi perhatian orang ramai terutama dalam kalangan peminatnya yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia.

Biarpun harga haiwan itu mencecah ribuan ringgit namun kecantikan yang ada pada badannya ketika beraksi di pentas gelanggang membuatkan ayam serama mempunyai peminat tersendiri.

Malah, penganjuran pertandingan ayam serama sering diadakan apabila terdapat banyak permintaan daripada peminat ayam yang bersaiz kecil dan ringan itu.

Menara Alor Setar tidak ketinggalan untuk sekali lagi menganjurkan pertandingan 'Kesenian dan Kecantikan Ayam Serama' di pekarangan bangunan itu yang turut mendapat kerjasama Kelab Serama Kedah (KSK) di sini, baru-baru ini.

Penganjuran kali ini mempertandingkan lapan kategori iaitu Serama Anak A, Serama Anak B, Serama Remaja, Serama Muda, Serama A, Serama B, Serama Tak Kira Lawi dan Serama Induk.

Pengurus Besar Menara Alor Setar, Haslinda Abdul Rashid berkata, pertandingan berkenaan antara lain dapat mempromosikan industri pelancongan negeri ini.

"Ini kerana terdapat ramai peminat ayam serama dari seluruh negara seperti dari Kuala Lumpur, Kelantan, Terengganu, Perak, Pulau Pinang dan Johor Bahru," katanya.

Sementara itu, Pengerusi KSK, Abdul Ghani Yob berkata, pihaknya sentiasa mendapat permintaan daripada peminat ayam serama untuk mengadakan pertandingan seumpama itu.

Menurutnya, pertandingan tersebut merupakan kali empat diadakan di Kedah dalam tempoh lima bulan.

"Kita akan mengadakan satu lagi pertandingan yang sama di Kuala Kedah, di sini sebelum kedatangan bulan Ramadan nanti," katanya.

Dalam pada itu, para peminat ayam serama yang ditemui mengakui mereka sanggup menempuh perjalanan jauh semata-mata untuk menyertai pertandingan tersebut.

Seorang peserta dari Kelantan, Nasarudin Awang, 45, berkata, jarak bukan penghalang baginya menyertai pertandingan itu bersama rakan-rakannya.

Katanya, penyertaan mereka bukan untuk meraih gelaran juara tetapi lebih kepada mencari pengalaman dan melihat keunikan yang ada pada ayam serama.

"Saya tidak datang berseorangan tetapi bersama lima rakan yang juga peminat ayam serama. Kami membawa lebih lima ekor ayam serama untuk dipertandingkan," katanya.

Zahari Ahmad, 54, pula berkata, dia telah memelihara dan memasuki pertandingan ayam serama sejak enam tahun lalu.

Menurutnya, ayam serama peliharaannya pernah memasuki pertandingan di Kelantan dan Terengganu serta pernah meraih gelaran juara.

"Dengar sahaja ada pertandingan ayam serama, tidak kiralah jauh atau dekat saya pasti akan menyertainya" katanya.

Seorang lagi peminat ayam serama, Hasrul Nizam Azizan, 39, berkata, minatnya terhadap haiwan itu timbul apabila melihat kecantikannya.

Katanya, pada pertandingan kali ini tiga ekor ayam seramanya memasuki pertandingan bagi kategori Serama Tak Kira Lawi, Serama Muda dan Serama Anak B.

"Saya sudah jelajah satu Malaysia untuk menyertai pertandingan ayam serama dan pada pertandingan sebelum ini ayam serama peliharaan saya pernah merangkul gelaran juara dan naib juara," katanya.

Polis tahan suspek pecah rumah

Posted: 27 May 2013 10:51 AM PDT

IPOH 27 Mei - Walaupun berjaya memecah masuk sebuah rumah di Taman Metro Pengkalan, Pusing dekat sini Sabtu lalu, seorang penjenayah akhirnya berputih mata apabila tindakannya itu disedari oleh jiran mangsa.

Tindakan pantas jiran terbabit membolehkan polis bergegas ke tempat kejadian dan menahan lelaki berusia 37 tahun itu yang cuba melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, berlaku kira-kira pukul 2.30 petang ketika pemilik rumah tersebut tiada di kediamannya.

Beliau berkata, polis bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan oleh jiran mangsa dan mendapati suspek masih berada dalam rumah tersebut.

"Suspek cuba melarikan diri melalui bumbung rumah sebelum dia terjun ke dapur dan menyembunyikan diri di bawah katil di bilik hadapan.

"Ketika cuba ditangkap, berlaku pergelutan antara suspek dan polis sehingga menyebabkan lelaki itu mengalami kecederaan pada rusuk kiri manakala seorang anggota polis patah pergelangan kaki kanan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shaharon Anuar memberitahu, suspek dan anggota polis yang cedera dibawa ke Hospital Batu Gajah untuk menerima rawatan.

"Suspek yang juga seorang buruh dan berasal dari Tanjung Tualang ditahan reman sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan," katanya.

Jangan terpedaya fitnah berterusan pembangkang

Posted: 27 May 2013 10:51 AM PDT

PONTIAN 27 Mei - Pembangkang perlu segera menghentikan segala pembohongan yang mengelirukan rakyat mengenai kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 malah tindakan menganjurkan siri perhimpunan haram adalah amat dikesali.

Ketua Penerangan dan Publistiti BN, Datuk Ahmad Maslan berkata, tidak cukup dengan itu, pembangkang menggunakan saluran media sosial untuk terus menabur fitnah kerana perkara yang didakwa berlaku pada hari pengundian pada 5 Mei lalu adalah palsu.

"Tuduhan pembangkang yang mendakwa mereka berhak menang melalui undi popular juga merupakan satu pembohongan kepada rakyat. Namun dalam beberapa dakwaan yang dibuat, didapati terkena 'batang hidung' sendiri yang menunjukkan mereka sengaja hendak mencetuskan suasana huru-hara semasa hari pengundian.

"Rakyat tidak seharusnya terpedaya dengan apa yang disampaikan oleh mereka dan menapis maklumat yang disebarkan sama ada fakta atau 'auta' dari pihak pembangkang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis konvokesyen pelajar-pelajar Darjah Khas Daerah Pontian di MRSM Pontian, di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas siasatan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai insiden lampu padam semasa pengiraan undi yang sebenarnya dilakonkan lebih awal untuk disebarkan di internet.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, tindakan tegas perlu diambil keatas mereka yang menyebarkan di internet termasuk 'pelakon' lampu padam kerana terlibat dalam dakyah pembangkang yang mahu meraih simpati rakyat sedangkan tiada satu pun laporan polis dibuat berkaitan kejadian tersebut.

"Mereka yang melakukan babak lampu padam sebenarnya telah terpedaya dan ditipu oleh pembangkang yang telah bersedia dengan pelbagai dakwaan apabila mereka gagal menawan Putrajaya," tegasnya.

Kata beliau lagi, rakyat sewajarnya menolak segala bentuk penyebaran maklumat tidak berasas yang sengaja dilakukan oleh golongan yang kecewa termasuk mengheret rakyat ke pentas jalanan bagi menumbangkan kerajaan sedia ada.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Timur

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Kreativiti, inovasi Melayu silam

Posted: 27 May 2013 10:51 AM PDT

Oleh TENGKU FAUZIAH NGAH
utusanganu@utusan.com.my

Mohd. Yusof Abdullah (kanan) menerangkan kepada orang ramai tentang pelbagai barang yang dipamerkan selepas merasmikan Pameran Inovasi dan Kreativiti Tradisional 2013 di Kompleks Muzium Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU 27 Mei - Kreativiti dan inovasi merupakan kemampuan manusia mencipta atau menjana sesuatu yang baharu dan melakukan proses pembaharuan dengan memperbaiki sesuatu yang sudah sedia ada bagi memenuhi keperluan dan cita rasa.

Semua itu yang merupakan proses bertukang yang menuntut kemahiran, berkait rapat dengan daya imaginasi, pengaruh persekitaran, kesesuaian setempat dan pola budaya yang mencerminkan nilai intelektual sesuatu zaman.

Proses penciptaan dan pengubahsuaian itu menjadi salah satu pelengkap kepada peradaban atau simbol ketamadunan sesuatu bangsa, namun ketika zaman berubah, semua itu seakan tidak dihargai atau sememangnya tidak begitu diketahui atau dipedulikan.

Pelbagai ciptaan atau inovasi yang terhasil sebenarnya menjadi gambaran ketinggian daya kreativiti yang dimiliki masyarakat silam dengan penerokaan mereka terhadap pelbagai sudut dan disiplin seperti teknologi pembuatan, sains kognitif, pendidikan, falsafah, sosiologi, bahasa dan ekonomi.

Selaras itu, Muzium Negeri Terengganu menganjurkan Pameran Kreativiti dan Inovasi Tradisional sebagai usaha mendedahkan ilmu dan memberi kefahaman kepada masyarakat tentang proses penciptaan yang membantu masyarakat silam menghadapi cabaran dan melangkah lebih jauh.

Program yang diadakan selama dua bulan itu yang dimulakan beberapa hari lalu bertujuan memberi pendedahan tentang daya cipta tradisional Melayu secara umum dan Melayu Terengganu khasnya.

Pengarahnya, Mohd. Yusof Abdullah memberitahu, generasi hari ini tidak dapat melihat persekitaran sebagai bahan rujukan seperti yang dilihat nenek moyang mereka sehingga nilai kreativiti tradisional tidak begitu dihargai.

"Selain itu, program tersebut bertujuan berkongsi ilmu dengan agensi luar yang mengkaji bidang tersebut dari pelbagai perspektif dengan penemuan-penemuan baharu tentang ketinggian hasil cipta," katanya.

Sempena pameran itu pelbagai kreativiti dan ciptaan orang-orang tua terdahulu dipamerkan termasuk dalam bidang maritim, ilmu pelayaran, perubatan, teknologi dan sebagainya.

Antaranya pembuatan kapal layar tanpa mengguna paku namun mampu meredah laut jauh dan mendepani gelora.

Begitu juga dengan kreativiti lain seperti membuat jebak burung, alat pengisar air tebu dan memerah santan.

"Kehebatan tahap pemikiran tinggi orang-orang terdahulu di sebalik segala yang dicipta dalam kepayahan perlu didedahkan kepada generasi muda agar mereka sentiasa berdiri di paksi yang betul," ujarnya.

Menurutnya, mereka boleh mengaplikasikan segala pemikiran serta teknologi peninggalan itu dalam kehidupan dan semua ini sepatutnya menjadi perangsang kepada generasi maka kini dalam zaman penciptaan tamadun baharu.

"Kita pamerkan kepada mereka tahap keilmuan serta tahap keintelektualan nenek moyang kita agar generasi muda hari ini sentiasa menjadi manusia yang faham sejarah serta celik budaya," jelasnya.

Katanya, dalam konteks masyarakat moden hari ini, tiga elemen iaitu inovasi, kreativiti dan tradisional menjadi penting dan semakin signifikan dalam usaha membentuk masyarakat berilmu, maju dan berdaya saing.

"Penghayatan dan penghargaan kepada kebijaksanaan nenek moyang kita menghasilkan sesuatu ciptaan dalam kehidupan seharian amat penting agar kita tidak mudah hilang arah.

"Datuk nenek kita telah melaksanakan aspek inovasi serta kreativiti sekian lama iaitu semenjak mereka berinteraksi dengan alam dan melaksanakan proses kreativiti dalam semua bidang sama ada ekonomi, pembinaan, pembuatan, perubatan dan kraf," ujarnya.

Sebagai contoh, katanya, untuk pembinaan sebuah rumah, bermula dari pemilihan tapak yang sesuai, mengenakan tiang yang tinggi agar tidak terkesan dengan banjir serta mengelak daripada ancaman binatang buas.

"Saya lihat sistem ini amat berkesan, berbeza dengan sistem binaan moden hari ini dan inilah yang dikatakan kreativiti serta inovasi yang telah diaplikasikan dengan sebaiknya," katanya.

Perahu bedar yang digunakan sehingga abad ke-20 yang meluaskan pergerakan masyarakat Melayu melalui penerokaan lautan merupakan lagi inovasi hasil penggabungan pelbagai pengaruh.

Badannya yang meruncing di kedua-dua hujung itu berbentuk tipikal perahu Melayu, walaupun linggi dipasang di atas lunas dan bukan disambung seperti yang terdapat pada kebanyakan perahu yang lebih awal.

Bentuknya dipanggil belakang katup manakala deknya (dandang) dipasang di atas birai belakang untuk meletakkan kub atau rumah perahu.

Kemudinya menyerupai kemudi perahu Cina dan Barat kerana dipasang dengan halkah kepada linggi belakang dan dikendali dengan uling-uling di atas dandang manakala tiang sprit untuk mengikat layar cucur seperti kapal Eropah dan layarnya seperti wangkang Cina kerana menggunakan satu atau dua layar apit yang dibuat dari tikar kercut dan rotan.

Jualan RTC mampu atasi RM200j

Posted: 27 May 2013 10:51 AM PDT

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 27 Mei - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan yakin hasil jualan pelbagai barang yang dipasarkan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong mampu melebihi sasaran asal iaitu sebanyak RM200 juta tahun ini.

Pengarah FAMA Wilayah Timur 1, Mohd. Ariffin Awang berkata, sasaran tersebut mampu dicapai menerusi pelbagai program yang telah dirangka oleh pihaknya sepanjang tahun ini bagi meningkatkan hasil jualan di pusat berkenaan.

"Kita meletakkan sasaran jualan untuk tahun ini sebanyak RM200 juta, namun kami yakin jualan di RTC ini mampu melebihi jumlah tersebut berdasarkan sambutan yang diberikan oleh pengunjung.

"Setakat bulan April, jualan di RTC, Tunjong sudah pun mencecah RM64 juta. Kami yakin dan percaya jumlah tersebut akan terus meningkat termasuklah menerusi aktiviti jualan borong dan runcit yang berjalan setiap hari di sini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pertandingan mewarna sempena program Fiesta Makanan Popular Kelantan 2013 di sini semalam.

Mohd. Ariffin berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan enam program dalam usaha untuk terus mempromosikan RTC Tunjong sebagai pusat satu hentian yang mempunyai pelbagai perkhidmatan kepada orang ramai.

Katanya, program Fiesta Makanan Popular Kelantan 2013 yang bermula Jumaat lalu dan akan berakhir 1 Jun merupakan satu daripada enam program yang telah dirangka sepanjang tahun ini.

"Pelbagai acara menarik disediakan sepanjang program ini antaranya persembahan dikir barat, pertandingan seni suara burung candik, jualan bunga orkid dan sebagainya," jelasnya.

80 staf media sertai survival laut di P. Bidong

Posted: 27 May 2013 10:51 AM PDT

PESERTA Survival Laut dan Penghayatan Warisan Edisi Media 2013 merakamkan kenangan di Pusat Penyelidikan Pulau Bidong UMT, Kuala Terengganu, kelmarin.

KUALA TERENGGANU 27 Mei - Seramai 80 kakitangan media tempatan menyertai program Survival Laut dan Penghayatan Warisan Edisi Media 2013 di Pusat Penyelidikan Pulau Bidong, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Program selama dua hari anjuran Pusat Komunikasi Korporat dan Pembangunan Citra UMT yang berakhir kelmarin, memberi pendedahan kepada peserta tentang kegiatan yang dijalankan oleh institusi pengajian tinggi itu.

Naib Canselor UMT, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, program tersebut ternyata memberikan pengalaman baru kepada mereka, di samping mengeratkan lagi hubungan pengurusan UMT dengan pihak media.

"Mereka juga didedahkan tentang kesedaran terhadap penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar dan diajar kemahiran asas berada di lautan serta cara untuk meningkatkan keyakinan diri," ujarnya kepada pemberita.

Pada hari pertama, turut peserta dibawa melawat Santuari Penyu UMT yang terletak di Cagar Hutang, Pulau Redang yang diselia Dr. Juanita Joseph selaku Ketua Projek Unit Penyelidikan Penyu (Seatru).

Di Pulau Bidong, ekspedisi penerokaan laut bagi mengukuhkan keyakinan diri di air dengan peserta berenang menuju ke arah bot yang terletak 100 meter dari pantai dan kembali semula ke darat,n diikuti aktiviti berkayak, snorkeling dan mencandat sotong.

Pada hari kedua, peserta menyertai pertandingan memancing dan melawat tapak kem pelarian Vietnam yang pernah menjadi penempatan sementara bagi puluhan ribu pelarian dari negara itu suatu ketika dahulu.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved