Isnin, 27 Mei 2013

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Posted:

[unable to retrieve full-text content]
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Warga Felda tawan puncak dunia

Posted: 26 May 2013 08:35 AM PDT

Oleh HAFIZAHRIL HAMID

AHLI kumpulan pendaki projek Everest-Felda 2013 berdoa sebelum memulakan pendakian.

PADA 21 Mei lepas, sejarah sekali lagi tercatat apabila enam daripada tujuh pendaki dari Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B) berjaya menjejakkan kaki ke puncak Gunung Everest di ketinggian 8,848 meter (29,028 kaki) dari paras laut (dpl).

Kesemua pendaki berkenaan merupakan peserta projek Everest-Felda 2013 kelolaan KE7B yang dipimpin bekas pendaki Everest 2004, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin.

Ekspedisi yang dikenali Demi Negara Everest Felda 2013 itu mendapat sokongan dan tajaan daripada Felda, Felda Global Ventures Holdings Bhd. dan Majlis Belia Felda Malaysia.

Pendakian fasa terakhir ke puncak menyaksikan kesemua pendaki meninggalkan Kem 4 di ketinggian 7,900 meter dpl pada pukul 8.15 malam 20 Mei lepas.

Pendaki terawal, Mohd. Nasuha Shamsudin, 21, dari Felda Tersang 3, Raub, Pahang tiba di puncak pada pukul 8.31 pagi waktu Nepal, diikuti Mohamad Asyraf Mohd. Halim, 25, (Felda Lok Heng Timur, Kota Tinggi, Johor, 8.48 pagi); Muhammad Hafizuddin Ibrahim, 22, (Felda Chini Timur 1, Pekan, Pahang, 9.11 pagi); Zainudin Lot, 37, (jurulatih, 10.16 pagi); Myrza Fasha Md. Hamyrudin, 25, (Felda Tersang 3, Raub, Pahang) dan Muhammad Illaham Ishak, 37, (jurulatih), masing-masing 11 pagi.

Seorang pendaki lain, Siti Hanisah Sharuddin, 23, (Felda Jelai 1, Gemas, Negeri Sembilan) terpaksa berpatah balik setelah tiba di ketinggian 8,748 meter (South Summit) kerana masalah kesihatan.

Namun kecekalannya harus menjadi contoh kepada kita semua apabila Siti Hanisah membuat percubaan kedua pada Khamis lepas sekali gus menjadi wanita termuda negara berjaya menakluk puncak Gunung Everest di ketinggian 8,848 meter pada pukul 7.41 pagi waktu Malaysia.

Dalam pendakian ini, dua rekod baharu dicipta apabila Mohd. Nasuha muncul sebagai pendaki termuda selain Siti Hanisah sebagai pendaki wanita termuda dalam sejarah mendaki Gunung Everest negara sejak tahun 1997.

Siti Hanisah memecahkan rekod dipegang oleh Marina Ahmad yang menjejakkan kaki ke puncak Everest ketika berusia 26 tahun pada 2007.

Setiap kali pihak media dan pendaki sokongan menerima laporan tentang kejayaan para pendaki di Kem Induk Everest (EBC), beberapa sherpa bertugas akan mengetuk periuk bagi meraikan kejayaan para pendaki.

Ini merupakan tradisi yang diamalkan oleh kumpulan sherpa setiap kali mendapat berita gembira kejayaan pendaki.

Pada 2 April lalu, kumpulan pendaki anak-anak muda Felda itu bersama 13 pendaki sokongan berlepas ke Kathmandu, Nepal untuk menjalani latihan di Banjaran Himalaya termasuk Gunung Lobuche Timur dan Island Peak dalam misi menawan puncak tertinggi dunia, Gunung Everest.

Dunia baru Sasha

Posted: 26 May 2013 08:35 AM PDT

SASHA sering membawa Ghibran bermain bagi memastikan anak kesayangannya kekal aktif.

BAGI membalas kembali waktu yang hilang dek kerana tuntutan kerja, Sasha akan membawa Ghibran berjalan-jalan dan melakukan aktiviti yang digemari anaknya seperti ke taman permainan.

Cuti di hujung minggu juga dipenuhkan dengan aktiviti yang menyeronokkan untuk si kecil seperti baru-baru ini Sasha sekeluarga ke pusat akuarium Aquaria, KLCC.

Jika ketika zaman bujang, Sasha begitu obses dan sibuk dengan kerjanya dan jika kelapangan dia keluar bersama rakan-rakan, kini segala masa terluang hanyalah untuk keluarga terutama Ghibran.

Jika dulu, pemegang ijazah dalam jurusan Seni Persembahan dari Akademi Seni Persembahan West Australian ini gemar merenggangkan badan mempelajari tarian-tarian baru, kini aktiviti tersebut dikurangkan.

Begitulah kehidupan saya sekarang setelah mempunyai anak. jika dahulu hobi utama saya ialah melukis, kini bawa anak berjalan-jalan dan meluangkan masa dengan keluarga saya anggap sebagai hobi.

Selepas ini saya merancang untuk membawa Ghibran ke Taman Burung, Kuala Lumpur kerana saya mahu dekatkan dia dengan alam sekitar," ujar ceria Sasha ketika ditemui di taman permainan kanak-kanak, Starship Galactica, One Utama, baru-baru ini.

Ujar Sasha, aktiviti-aktiviti sebegitu amat penting untuk tumbesaran kanak-kanak dan dia tidak mahu anaknya hanya terperap dirumah.

Sasha mendirikan rumah-tangga bersama cinta hatinya, Yani Hijjas pada 18 Oktober 2009 dan dikurniakan cahaya mata selepas lebih dua tahun berkahwin iaitu pada 14 Januari 2012.

Jika melihat wajah anak lelakinya itu, tidak ubah seperti `anak mat saleh dengan rambutnya yang halus keperangan dan kulitnya yang putih mulus.

Menurut Sasha, ia bukan sahaja kerana Sasha yang berdarah kacukan Australia sebelah ibunya, tetapi ibu mertuanya juga berketurunan Inggeris.

Bahagi masa

Cerita Sasha, alam berumah-tangga seterusnya mempunyai anak merupakan sesuatu yang baru dan amat menyeronokkan kerana merasakan hidupnya lebih terisi.

Dia bersyukur dipertemukan dengan lelaki yang amat memahami kerjayanya dan bersama-sama gigih membesarkan anak mereka dengan saling bertoleransi.

Mengakui masanya agak sibuk dengan jadual kerja seharian kerana dia bukan sahaja bergelar pengacara The Breakfast Show yang disiarkan pada 8 hingga 9 pagi, Sasha turut menjadi antara penerbit untuk program dokumentari di NTV7, Magseven yang disiarkan setiap Selasa, 7.30 petang.

Tugasnya sebagai penerbit memerlukan dia merantau seluruh Malaysia bagi mencari kisah menarik untuk program dokumentari itu.

Setiap hari saya perlu bangun seawal 5 pagi kerana perlu berada di set pada pukul 7 pagi.

Oleh itu, saya akan bersedia awal seperti menyediakan baju serta kelengkapan anak pada malam sebelum itu dan suami akan menghantar Ghibran ke pusat jagaan harian.

Sebagai seorang ibu yang bekerjaya, semuanya memerlukan perancangan waktu yang elok, tiada istilah saat-saat terakhir.

Jadual waktu bagi tugas pengacaraan selalunya diperoleh sebulan awal, maka saya dapat mengatur waktu bersama suami berkenaan penjagaan anak.

Saya turut mempunyai satu kalendar besar yang diisi dengan segala jadual, termasuk perkara penting seperti hal-hal keluarga dan lain-lain," ujarnya.

Walaupun Sasha seorang perancang waktu yang bagus, perkara-perkara kecemasan sering berlaku dan dia akan bertindak pantas untuk menyelesaikan segalanya dan bersikap fleksibel.

Dansa

Ramai yang mula mengenali Sasha menerusi rancangan yang pernah dikelolakannya iaitu Dansa pada tahun 2009 di NTV7 yang membawa Sasha ke serata Asia dalam mengenali tarian-tarian tradisional setiap tempat.

Program dokumentari berkenaan tarian itu kemudian bersambung untuk musim kedua pada tahun 2011 dan Sasha turut menerbitkan buku berdasarkan dokumentari musim pertama itu bertajuk Dansa - A Dance Journey.

Kini Sasha dalam proses akhir menghasilkan buku keduanya yang bakal diterbitkan dalam tahun ini selain buku kanak-kanak.

Walaupun lebih mendalami ilmu tarian kontemporari ketika berada di universiti, Sasha yang berdarah kacukan ini amat mencintai tarian tradisional.

Saya menyukai tarian tradisional kita kerana keayuan dari gerak langkahnya.

Tarian seperti ballet juga elegan cuma setiap tarian mempunyai kecantikannya sendiri dan tarian tradisional menampakkan keayuan si penari," ujarnya yang memulakan karier dalam industri hiburan sebagai penari latar.

Cerita Sasha, walaupun tarian sudah amat sebati dengan dirinya, dia kini mengehadkan aktiviti tarian kerana sibuk dengan pelbagai perkara lain.

Larian amal

Bercerita tentang senaman pula, Sasha akan mencari sedikit waktu untuk bersenam walau sesibuk mana sekalipun demi kesihatan badan.

Jika dulu, dia menghabiskan masa satu jam untuk tiga hingga empat hari seminggu untuk bersenam, kini dia mengurangkannya kepada dua kali seminggu tetapi melakukan senaman intensif dengan bantuan pelatih peribadi yang datang ke rumahnya.

Dia terpaksa mengurangkan aktiviti lasaknya itu kerana perlu berjaga-jaga akibat pembedahan Caesarean sewaktu melahirkan Ghibran.

Tambahan Sasha akan menyertai Feel Good Run 2013 NTV7 yang berlangsung pada 7 Julai ini sejauh tujuh kilometer.

Larian amal itu sesuatu yang baik kerana ia mencabar kemampuan stamina saya.

Selalunya saya menghabiskan larian sejauh tiga hingga empat kilometer, tetapi kali ini saya mahu menghabiskan larian tujuh kilometer itu.

Saya tidak mahu sekadar menyertai tetapi betul-betul berusaha untuk memberikan yang terbaik," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Transformasi bandar raya Ipoh

Posted: 26 May 2013 11:48 AM PDT

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

SEBAHAGIAN daripada bandar raya Ipoh walaupun terus dijana sehingga mengalami pembangunan pesat, tetapi ia tidak mengabaikan penjagaan bangunan warisan.

IPOH 26 Mei - Sekitar tahun 1895, Ipoh muncul sebagai sebuah bandar terbesar di Perak dan kedua terbesar di negeri-negeri Melayu bersekutu.

Ketika itu, jalan raya menghubungi Lembah Kinta diperbaiki, malah jambatan kayu yang dibuka pada 1890 menyeberangi Sungai Kinta juga telah diganti dengan jambatan besi.

Setelah lima tahun Ipoh dan Menglembu Town Council ditubuhkan bermula 1957, statusnya kemudiannya telah dinaik taraf ke Majlis Perbandaran Ipoh yang dipengerusikan oleh E.G. Walker.

Pada 27 Mei 1988, Ipoh mencatat lembaran baharu apabila Sultan Perak, Sultan Azlan Shah telah mengisytiharkan taraf bandar raya kepada ibu negeri Perak sekali gus melayakkan jawatan Ketua Eksekutif Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) digelar sebagai Datuk Bandar.

Namun, cabaran membangunkan Ipoh pada masa kini bukan sesuatu yang mudah buat Datuk Bandar, Datuk Roshidi Hashim (gambar), apatah lagi masih wujud persepsi yang menganggap Ipoh sebagai 'bandar pencen'.

Bagi Roshidi, penekanan yang diberikan ialah mengekalkan konsep 'bersih, hijau dan membangun' serta memperkenalkan Program Transformasi MBI seawal tahun 2011.

"Kita meletakkan kegemilangan Ipoh sebagai bandar terbersih di Malaysia selain memastikannya selamat untuk dihuni. Program penghijauan bandar dapat dilihat melalui 'Greening Greentown' serta membangunkan beberapa taman awam seperti Taman Rekreasi Gunung Lang, Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz dan Taman Dr. Seenivasagam.

"Segala perancangan yang kita laksanakan juga selari dengan tujuh Bidang Keberhasilan Utama (KRA) dalam Pelan Perak Aman Jaya serta Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Dalam pada itu, Roshidi berkata, kepesatan Ipoh terserlah apabila MBI menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menerima jumlah permohonan cadangan pemajuan kedua tertinggi di Malaysia selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata, peranan MBI dalam meluluskan pelan-pelan cadangan pemajuan dengan segera melalui Pusat Kelulusan Setempat (OSC) yang diperkenalkan sejak 2007, berjaya menambah baik sistem penyampaian serta mengurangkan kerenah birokrasi.

"Sistem ini dapat memudahkan kelulusan permohonan pembangunan tanah, pelan bangunan, kerja tanah, jalan dan parit dengan mematuhi peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara 1965, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 serta Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974," katanya.

Menurut Roshidi, sejak OSC diwujudkan di MBI, sebanyak 462 cadangan pembangunan komersial telah diluluskan dan daripada jumlah itu, sebanyak 266 projek telah siap dibina sekali gus berjaya mengubah landskap pembangunan bandar raya Ipoh.

"Antara projek yang telah siap dibina termasuklah pasar raya Mydin di Meru Raya dan Manjoi, kompleks beli-belah AEON Station 18, Hotel Kinta Riverfront, Banjaran Hot Spring Retreat Ipoh, MH Hotel, Sunway Lost World Hotel serta Terminal Aman Jaya di Meru Raya," katanya.

Dalam pada itu, Roshidi turut menjangkakan, perubahan demi perubahan bakal mengubah wajah Ipoh apabila beberapa lagi projek komersial yang telah diluluskan akan mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan.

Beliau berkata, projek berkenaan termasuklah Hotel Casuarina dan Taman Tema Animasi di Meru Raya, Ipoh Shoe City di Pengkalan, Kompleks beli-belah AEON dan pasar raya Econsave di Klebang, Hotel Cititel, Majestic Tower, The Octagon, Ipoh SOHO, Tin City di Falim serta Pusat Konvensyen Ipoh.

"Jumlah permohonan cadangan pemajuan yang diterima oleh MBI adalah meningkat dari setahun ke setahun. Pada tahun 2008, kita menerima 785 permohonan diikuti 2,380 (2009), 2,458 (2010), 2,887 (2011) dan mencecah 4,445 permohonan pada 2012," katanya.

Pekan Guar Chempedak perlu diperbesar bagi manfaat rakyat

Posted: 26 May 2013 11:48 AM PDT

JERAI 26 Mei - Pekan Guar Chempedak di sini perlu diperbesarkan berikutan pertumbuhan ekonomi khususnya dalam bidang perniagaan yang semakin rancak ketika ini.

Ahli Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, langkah berkenaan penting bagi memberi keselesaan dan menampung keperluan penduduk dalam jangka masa panjang.

Beliau memberikan contoh legaran ekonomi di kawasan berkenaan yang amat memberangsangkan terutama semasa operasi pasar malam atau pasar mingguan dengan pelanggannya adalah dari seluruh Parlimen ini.

Sebab itu saya melihat ada ruang untuk peningkatan dan kita dapat melihat kesesakan jalan raya serta kedudukan premis perniagaan di pasar Guar Chempedak.

Sudah sampai masa kita harus memikirkan kawasan ini mempunyai bandar yang lebih luas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-42 Koperasi Pasar Mingguan Guar Chempedak di sini semalam.

Jamil Khir yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, rancangan tersebut bagaimanapun memerlukan pelaburan dan penambahbaikan dengan mencari tapak baharu atau memperbesarkan pekan berkenaan.

Selain itu katanya, semua pihak harus memberikan kerjasama agar usaha demi manfaat rakyat tersebut dapat dilaksanakan.

Kita akan panjangkan kepada pihak atasan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam melihat peluang untuk membangunkan kawasan ini.

Perlu ada pelan pembangunan jangka masa panjang dan majlis kerajaan tempatan juga harus melihat secara serius cadangan ini," katanya.

Pesta kahwin-kahwin, makanan meriah

Posted: 25 May 2013 11:48 AM PDT

Tunku Puteri Intan Safinaz Tunku Abdul Halim Mu'adzam Shah turut menjamu selera bersama pasangan pengantin, Shaiful Shahidan dan Faatin Zaahira Zainul Roseli dalam Karnival Kahwin-Kahwin dan Pesta Makanan Tradisional Negeri Kedah 2013 di Perkampungan Tradisional Gunung Keriang, Alor Setar, Kedah, semalam. - MINGGUAN/ KAMAL BASIR

ALOR SETAR 25 Mei - Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tuanku Panglima Besar Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tunku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini merasmikan Karnival Kahwin-Kahwin dan Pesta Makanan Tradisional Negeri Kedah 2013 di Perkampungan Tradisional Gunung Keriang di sini.

Karnival anjuran Seri Panglima Sdn. Bhd. (SPSB) yang bermula semalam itu meriah dengan acara kemuncaknya iaitu majlis resepsi pasangan pengantin, Shaiful Shahidan, 31, dan Faatin Zaahira Zainul Roseli, 27, yang disandingkan dengan sentuhan perunding perkahwinan terkenal, Rizalman Ibrahim.

Sebagai meraikan pengantin, Tunku Puteri Intan Safinaz turut merenjis air mawar kepada kedua-dua mempelai yang diijabkabulkan 31 Mac lalu di pelamin.

Hadir sama memeriahkan majlis, Toh Puan Temenggung Kedah, Puan Sri Tengku Maliha Tengku Ariss; Pengerusi Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Badan-Badan Bukan Kerajaan, Aminuddin Omar yang mewakili Menteri Besar; Pengerusi Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia, Pelancongan, Mohd. Rawi Abd. Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif SPSB, Wan Ahmad Muazzam Wan Ismail.

Ketika menjamu selera, jemputan yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian artis popular seperti Black dan Mila serta persembahan kebudayaan.

Karnival kali kedua itu diadakan dengan sokongan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Kerajaan Negeri Kedah serta Muzium Negeri Kedah Darul Aman dan dijangka menarik 15,000 pengunjung.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan sejak semalam seperti wayang kulit, parti ghazal dan lain-lain lagi termasuk pameran pengantin.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Timur

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Kolej swasta mungkin digabung

Posted: 26 May 2013 11:48 AM PDT

Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA
utusanterengganu@utusan.com.my

GHAZALI Taib (tengah) bersama para pelajar semasa Majlis Penyampaian BB1M kepada Para Pelajar Diploma Kemahiran Malaysia Showme International College di Dewan Sumai Suite Hotel, Kuala Terengganu, Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU 26 Mei - Penggabungan kolej-kolej swasta khususnya yang berasaskan kemahiran di negeri ini mungkin akan menjadi kenyataan jika ada keperluan untuk berbuat demikian.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib bagaimanapun berkata, cadangan penggabungan itu akan dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat Exco mingguan selepas ini.

Katanya, cadangan itu timbul selepas pihaknya melihat ada sesetengah kolej di negeri ini yang menghadapi masalah, terutamanya kurang berkemampuan dari segi kewangan, pengurusan, tenaga pengajar serta kemudahan fasiliti.

"Sehubungan itu, kita akan bincangkan kaedah yang sesuai untuk meneruskan hayat dan perkembangan kolej-kolej ini.

"Kalau boleh dibangunkan, kita akan bangunkan, kalau tidak kita akan satukan atau diberi nilai tambah," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) untuk 40 pelajar jurusan Diploma Kemahiran Malaysia, Kolej Antarabangsa Showme di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif kolej berkenaan, Redzuan Abd. Aziz serta beberapa kenamaan lain.

Ketika ini, terdapat 13 buah kolej swasta di negeri ini yang melibatkan pelbagai kemahiran termasuk hospitaliti dan pelancongan, pengurusan makanan, teknologi maklumat dan komunikasi, elektrik dan elektronik, seni kulinari dan sebagainya.

Mengulas lanjut mengenai cadangan penggabungan kolej swasta di negeri ini, Ghazali berkata, pihaknya kini dalam proses mengenal pasti kekuatan serta kelemahan kolej yang berkaitan sebelum sebarang keputusan diambil.

"Saya mesti melihat peluang-peluang untuk kolej ini terus berkembang, kemudian baru saya boleh buat keputusan sama ada perlu digabungkan atau hanya diberi sokongan dalam bentuk modal dan sebagainya.

"Perkara ini akan saya bawa dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri sebab melibatkan perubahan dasar dan bukannya keputusan satu pihak sahaja," ujar beliau.

Penduduk anjur majlis kesyukuran kemenangan BN di Selising

Posted: 26 May 2013 11:48 AM PDT

MUSTAPA Mohamed (kiri) memotong kek sambil diperhatikan oleh Zulkifle Ali (tengah) dan Zawawi Othman di Kampung Bendang, Selising, Pasir Puteh, Kelantan, kelmarin.

PASIR PUTEH 26 Mei - Lebih 500 penduduk Kampung Bendang berkumpul di tapak Pasar Malam Alor Geliong, Selising dekat sini petang semalam khusus untuk meraikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selising, Zulkifle Ali dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Pengerusi Majlis Kenduri Rakyat, Ziad Mohamed berkata, sebanyak 13 bekas pulut semangat dan lebih 500 bunga telur disediakan untuk menyerikan majlis berkenaan.

Menurutnya, majlis tersebut bermula dengan bacaan selawat menyambut ketibaan Zulkifle bersama Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak.

"Kenduri ini tanda kesyukuran rakyat Selising dan diharapkan ADUN yang baharu mampu merubah kawasan Selising berteraskan keupayaan dan kewibawaan kerajaan BN yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Hari ini dua ekor lembu dikorbankan untuk gulai kawah, pulut semangat dan bunga telur serta kek kemenangan yang disediakan adalah sumbangan bekas penyokong tegar Pas yang mengundi Zulkifle dengan hasrat ingin melihat BN memikul tanggungjawab membangunkan kawasan ini," katanya ketika ditemui di sini petang semalam.

Hadir sama pada majlis itu ialah Penasihat Peti Undi Selising, Datuk Shukri Mohamed.

Ziad berkata, jamuan rakyat yang dianjurkan hari ini tidak melibatkan sebarang peruntukan daripada UMNO Bahagian atau wakil rakyat terlibat, sebaliknya hasil pemuafakatan penduduk setempat mengumpulkan sumbangan idea, bantuan tenaga dan sumbangan kewangan dengan ikhlas.

"Jamuan ini adalah simbolik untuk menyatakan kuasa rakyat yang mampu mengubah kerajaan termasuk memilih wakil rakyat yang diharapkan dapat menunaikan amanah dan tanggungjawab secara telus dan berterusan," katanya.

Sementara itu, Mustapa ketika menyampaikan ucapannya berkata, pembelaan dan usaha membangunkan DUN yang dimenangi oleh BN akan diberi keutamaan.

Beliau berkata, kalah atau menang adalah lumrah dalam pilihan raya yang bergantung sepenuhnya pada undian dan kuasa rakyat untuk memilih calon yang mereka sokong berasaskan prinsip demokrasi.

"Saya menerima keputusan ini dan kita tidak perlu membuat pelbagai sangkaan buruk termasuk mengadakan demonstrasi jalanan apabila gagal mentadbir negeri.

"Demonstrasi menyatakan rasa tidak puas hati bukan amalan UMNO dan BN, kita akur bahawa Kelantan masih ditadbir oleh Pas kerana itu adalah pilihan rakyat," katanya.

Pembangunan usahawan seiring Kerajaan Pusat

Posted: 25 May 2013 11:48 AM PDT

Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA
utusanterengganu@utusan.com.my

Roslee Daud

KUALA TERENGGANU 25 Mei - Kerajaan negeri akan mengambil langkah proaktif bagi memastikan agenda pembangunan keusahawanan di negeri ini dilaksanakan secara bersama seiring dengan Kerajaan Pusat bagi mencapai matlamat ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, Roslee Daud berkata, dalam masa sama, pihaknya akan berusaha memastikan agenda berkenaan memberikan manfaat kepada sebahagian besar komuniti usahawan di negeri ini.

Katanya, Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai agensi khusus bagi mewujud dan membangunkan usahawan iaitu Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).

"Ini merupakan kekuatan dan kelebihan yang kita ada berbanding negeri-negeri lain. Justeru, saya berharap agar kerjasama antara agensi serta komitmen yang diserlahkan sebelum ini bertambah baik pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa perasmian outlet ketiga T'Cafe Mr. Burger di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Azmi Razik dan Pengarah Urusan T'Cafe Mr. Burger, Mohd. Wahyu Affandy Zainudin.

Tambah Roslee, pihaknya juga akan memastikan usahawan di negeri ini lebih berdaya saing pada masa depan seperti yang dinyatakan dalam aku janji Barisan Nasional (BN) di Terengganu sebelum ini.

"Untuk itu, kita akan terus memberi sokongan kepada program seumpama ini kerana saya percaya dengan kemampuan yang ada pada agensi berkaitan serta kekuatan rakan strategik, usaha untuk memartabatkan usahawan di Terengganu akan tercapai," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Ahad, 26 Mei 2013

Utusan Online - Pendidikan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Lonjak prestasi akademik

Posted: 26 May 2013 11:47 AM PDT

Noraini Nordin, RAMLI OTHMAN

SIRI jelajah Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi yang dilaksanakan sepanjang tahun lepas terbukti berjaya membantu meningkatkan pencapaian keputusan peperiksaan para pesertanya - dengan menambah bilangan calon yang mendapat semua A, menambah baik peratusan semua lulus dan mengurangkan Gred Purata Sekolah (GPS).

Sangat membantu, kalau boleh tahun ini buat lagi," kata Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Muhammad Yusof di Linggi, Negeri Sembilan, Ramli Othman.

Sekolah itu menjadi hos bagi program berkenaan di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun lepas.

Ramli berkata, kejayaan itu menyalakan harapan dan semangat baru selepas ini, khususnya kerana kedudukan sekolah yang agak di pedalaman, serta pelbagai kekangan dan sokongan pendidikan yang merupakan kelaziman anak-anak luar bandar seperti ketiadaan pusat tuisyen.

Kalau ada peluang tahun ini atau tahun depan, kami hendak peluang (program diadakan) lagi," katanya kepada Utusan Malaysia dalam perbualan telefon baru-baru ini.

Pada 2011 tambah Ramli, GPS PMR ialah 3.1, dan menjadi bertambah baik pada 2012, iaitu 2.7.

Katanya, peratus lulus semua mata pelajaran turut meningkat iaitu daripada 47 peratus pada 2011 kepada 67 peratus pada 2012.

Sebagai kesimpulan, katanya, program itu memang sangat membantu.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pengetua Sekolah Negeri Sembilan (MPSN) mencadangkan program itu dikembangkan di seluruh Negeri Sembilan. Beliau akan membentangkan cadangannya itu.

Kami juga menjemput Utusan Malaysia menjadi rakan media kami dalam program seminar untuk guru tentang kajian tindakan di Port Dickson nanti," katanya.

Program yang dianjurkan oleh Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP) dengan kerjasama Unit Pendidikan Utusan Malaysia telah berlangsung di 11 lokasi di seluruh negara bermula awal tahun lepas, yang mencakupi sekolah rendah dan menengah.

Jumlah keseluruhan pelajar yang terlibat bagi program ini seramai 2,200 orang. Peserta UPSR seramai 600 orang, PMR (800) dan SPM (800).

Secara keseluruhannya, iaitu sejak program itu bermula pada 2010 di Kepala Batas, Pulau Pinang, jumlah sekolah yang telah mengikuti program berkenaan ialah 224 buah di Semenanjung Malaysia. Daripada jumlah tersebut, 113 buah ialah sekolah rendah dan 111 buah ialah sekolah menengah.

Turut terlibat ialah sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan tujuh Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

Keseluruhan pelajar yang terlibat adalah seramai 3,000 orang. Daripada jumlah tersebut, jumlah calon yang UPSR seramai 1,000 orang, PMR (1,000) dan SPM (1,000) orang.

Sambil beraktiviti, pihak Sekretariat Malaysia Prihatin turut melakukan tugas hakikinya menghulurkan sumbangan kepada pelajar miskin berbentuk barangan seperti beras, peralatan sekolah dan sebagainya.

Menurut Pengurus Besar SMP, Noraini Nordin pihaknya membuat keputusan memperluas program kecemerlangan pelajar ke beberapa negeri terpilih berdasarkan beberapa faktor.

Daripada hasil tinjauan SMP mendapati pelajar luar bandar kurang mendapat pendedahan tentang teknik menjawab soalan kertas peperiksaan, sama ada UPSR, PMR atau SPM," katanya.

Tambah beliau, Yang lebih penting calon-calon yang bakal menduduki peperiksaan diberi suntikan motivasi untuk mereka cemerlang dalam pelajaran serta meningkatkan kemampuan diri."

Bagi Noraini, segala inisiatif berkenaan merupakan sumbangan pihaknya kepada pendidikan bagi melahirkan generasi yang gemilang.

Katanya, SMP mempunyai garis panduan dalam pemilihan peserta seperti calon yang sederhana pencapaian akademiknya tetapi berpotensi untuk maju.

Pemilihan juga berdasarkan tinjauan awal yang dibuat semasa program Kampung Prihatin.

Selain itu, sasaran penyertaan ialah pelajar kurang upaya atau kes-kes terpencil termasuk anak-anak yatim yang tinggal di rumah kebajikan kerajaan atau swasta," katanya.

Sementara itu, ketua program, Dr. Ismail Zain berkata, suntikan motivasi, panduan serta pengisian akademik melengkapkan keperluan program yang menyediakan peserta dengan persiapan menghadapi peperiksaan.

Peserta program bakal mendapat kemahiran tiga dalam satu, dalam usaha mencorakkan kemenjadian pesertanya sebagai modal insan 360 darjah.

Tiga kemahiran itu ialah kemahiran insaniah, kemahiran penaakulan dalam menjawab soalan dan kemahiran potensi diri," jelasnya.

Bagi meneruskan kesinambungan program, Utusan Malaysia membekalkan pembelajaran dengan bahan dalam talian (online) supaya peserta boleh melakukan latih tubi secara akses kendiri, kata beliau.

Kehadiran pelukis terkenal daripada Utusan Malaysia serta jualan buku turut diadakan pada sepanjang program.

Seperti mana program sebelum ini, peserta akan mengikuti program motivasi dan persiapan menghadapi peperiksaan yang saling melengkapi untuk menyuntik semangat dan keyakinan sebelum melangkah masuk ke dewan peperiksaan nanti.

Rembau pilih SMP-Utusan Malaysia

Posted: 26 May 2013 11:47 AM PDT

Peserta Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi SMP-Utusan Malaysia pada tahun lepas di SMK Datuk Muhammad Yusof di Linggi, Negeri Sembilan tekun mengikuti sesi teknik menjawab soalan oleh guru pakar mata pelajaran.

REMBAU, yang mahu muncul nombor satu dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013 peringkat Negeri Sembilan, mengalu-alukan penganjuran Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi anjuran Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP) dan Unit Pendidikan Utusan Malaysia bermula hari ini.

Program UPSR akan diadakan pada 27 dan 28 Mei, PMR (18-19 Jun) dan SPM (2-3 Julai) di Pusat Kokurikulum Daerah , Pejabat Pelajaran Daerah Rembau.

Seramai 200 peserta daripada 30 buah sekolah - termasuk peserta Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil - akan dihimpunkan di asrama di bawah penyeliaan rakan penganjur, Pejabat Pendidikan Daerah Rembau.

Menurut Pengurus Besar SMP, Noraini Nordin, berlainan dengan program 2012, peserta akan menginap di asrama, dengan beberapa pengisian tambahan seperti pengisian kerohanian iaitu tazkirah dan suai kenal bersama SMP.

Kata beliau, pemilihan Rembau adalah satu inisiatif SMP untuk membantu calon UPSR khususnya di pinggir bandar, kampung dan pedalaman untuk mengecapi kecemerlangan dalam peperiksaan, dan menyokong program sedia ada bagi usaha melonjakkan Rembau sebagai nombor satu dalam pencapaian UPSR di Negeri Sembilan pada tahun ini.

Pada UPSR 2012, bilangan calon UPSR yang mendapat semua A dalam semua kertas yang diduduki ialah 127, iaitu satu lonjakan besar berbanding 94 pada 2011.

Tidak seperti UPSR, Rembau sentiasa cemerlang pada PMR, SPM dan STPM di Negeri Sembilan.

Noraini Nordin berkata, pihaknya berterima kasih kepda PPD Daerah Rembau yang telah membuka jalan kepada penganjuran program yang sangat berguna itu.

Utusan Malaysia yang dilantik untuk menggubal pengisian turut menyediakan kartunis serta jualan buku bagi mengurangkan stress program dan menambah keceriaan ketika mengikuti program.

Jualan buku akan menambah sumber bacaan yang mungkin sukar didapati di kawasan mereka.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Idam ke final jumpa Johor DT

Posted: 26 May 2013 11:47 AM PDT

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

Pemain Kelantan, Dickson Nwakaeme (kanan) cuba melepasi asakan pemain Terengganu, Vincent Bikana pada separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin.

KOTA BHARU - Kelantan memasang impian untuk bertemu pasukan berstatus bintang dari selatan tanah air, Johor Darul Takzim pada akhir Piala FA musim ini.

Hasrat itu diluahkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa selepas The Red Warriors mempamerkan kebangkitan yang menakjubkan menumbangkan Terengganu 4-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.

Annuar berkata, pada aksi Liga Super minggu lalu, pasukannya tidak berkesempatan mempertaruhkan barisan terbaik, yang menyaksikan mereka tumbang 0-2 kepada Johor DT.

Menurut beliau, sekiranya Kelantan layak ke final, beliau mahu The Red Warriors mempertaruhkan barisan terkuat.

"Kita harap dapat bertemu Johor DT di pentas akhir kerana kita tidak berpuas hati dengan keputusan baru-baru ini disebabkan kita beraksi tanpa skuad utama.

"Jadi kita nak main dengan skuad penuh dan mahu uji kekuatan dengan Johor, di gelanggang berkecuali," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau mengingatkan pemainnya supaya tidak berada di zon selesa meskipun berkelebihan tiga jaringan sebelum bertandang ke gelanggang lawan esok.

"Perlawanan masih berbaki 90 minit dan kita tidak boleh mengambil mudah kemampuan Terengganu. Pemain perlu meneruskan rentak konsisten pada perlawanan itu nanti," ujarnya.

Annuar juga memuji barisan pemain yang bangkit pada sepuluh minit terakhir yang mengubah keputusan perlawanan.

Annuar yang sebelum ini mengkritik keras percaturan taktikal Bojan Hodak yang merehatkan beberapa pemain tonggak ketika tumbang kepada Johor DT sebelum ini bersetuju dengan pendekatan jurulatih berkenaan pada perlawanan dengan Terengganu semalam.

"Malam ini kita setujulah (dengan percaturan Bojan) yang meletakkan pemain-pemain utama. Yang saya tidak setuju ialah dia simpan pemain dulu. Tetapi lepas mendapat penjelasan darinya, kita terima pendekatan yang digunakan," jelasnya.

Akhbar sebelum ini melaporkan Annuar mengecam tindakan jurulatih kelahiran Croatia itu di laman sosial Facebook miliknya selepas perlawanan dengan Johor DT.

Bagaimanapun, Hodak mempertahankan tindakannya tidak memasukkan beberapa pemain utama dengan alasan mahu memastikan pemain terbabit mendapat rehat yang secukupnya bagi menghadapi perlawanan separuh akhir piala FA.

Annuar berkata, teguran yang beliau di dalam Facebook bertujuan untuk 'menyedarkan' pemain supaya bangkit, selain turut membayangkan mereka bakal menikmati 'durian runtuh' jika berjaya melangkah ke final Piala FA.

'Percaturan bodoh' membuahkan hasil

Posted: 26 May 2013 11:47 AM PDT

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU - Bojan Hodak menjawab kritikan pedas yang diterimanya ketika kalah 0-2 kepada Johor Darul Takzim dalam aksi Liga Super Rabu lalu dengan berkata, 'percaturan bodoh' dalam perlawanan tempoh hari membawa hasil apabila Kelantan menang 4-1 ke atas Terengganu dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di sini, kelmarin.

Ketua jurulatih Kelantan itu berkata, dia gembira dengan keputusan tersebut kerana telah membuktikan 'percaturan bodohnya' sebelum ini akhirnya memberikan kejayaan yang besar kepada mereka.

"Anda boleh lihat bagaimana barisan pemain Kelantan yang diturunkan pada perlawanan ini mempunyai tahap kecergasan yang baik.

"Mereka mampu mempamerkan aksi cemerlang sehingga wisel penamat.

"Saya gembira dengan persembahan yang ditunjukkan barisan pemain dan tidak mudah berputus asa biarpun dikejutkan dengan jaringan awal lawan," katanya.

Dalam aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan dikejutkan dengan jaringan Mohd. Asahari Shamsudin pada minit kedua.

Tuan rumah terpaksa menunggu sehingga minit ke-79 untuk jaringan penyamaan menerusi Dickson Nwakaemi.

Asakan Kelantan tidak mampu dibendung pertahanan Terengganu apabila menambah tiga gol menerusi Indra Putra Mahyuddin (m-83), penalti Obinna Nwaneri (m-92) dan Zairo Annuar Zailani (m-93).

Hodak mengakui, kemasukan Nwakeami berjaya mengubah rentak perlawanan sehingga pasukanya mampu menjaringkan empat gol dalam tempoh sepuluh minit terakhir.

Hodak turut memuji penjaga gawang pelawat Mohd. Shamirza Yusoff yang kerap mengagalkan usaha Kelantan untuk mendapat jaringan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Mirage jimat bahan api

Posted: 26 May 2013 11:47 AM PDT

Oleh JOHARDY IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

Mitsubishi Mirage dengan enjin 1.2 liter semakin popular.

SEKIRANYA anda memerhati dengan teliti, industri pemotoran Malaysia kini menyaksikan syarikat-syarikat pengeluar kereta rancak memperkenalkan kenderaan dengan enjin bersaiz 1.5 liter ke bawah.

Puncanya mudah. Permintaan orang ramai, yang didorong oleh harga bahan api yang tinggi, kos penyenggaraan dan insurans. Atas alasan sama, permintaan bagi kereta terpakai Perodua Kelisa dan Myvi misalnya, masih tinggi dan tidak susut merudum harga jualan.

Sebenarnya, ini bukan tertutup kepada pasaran Malaysia semata-mata tetapi merupakan trend di seluruh dunia. Trend ini mendorong syarikat pengeluar kereta membangunkan enjin yang jimat penggunaan bahan api.

Terdapat juga syarikat kereta yang menggunakan tema 'penjimatan bahan api' dalam kempen pemasaran mereka untuk menarik minat pembeli tetapi kebanyakan kereta berkenaan hanya indah khabar kerana bila dipandu, ternyata kereta itu bersifat 'dahaga' sentiasa.

Dalam konteks ini, model kompak Mitsubishi Mirage dalam segmen B ternyata berbeza. Mitsubishi Motors Malaysia memberikan seunit untuk dipandu uji selama dua minggu. Dengan tangki penuh 35 liter, bermakna harga minyak RON95 yang perlu dibayar ialah RM66.50. Dengan kelajuan purata 110 kilometer sejam, setangki penuh tersebut berjaya mencatatkan perjalanan hampir 480 km. Dalam tempoh dua minggu saya hanya mengisi penuh tangki sebanyak dua kali!

Daripada luaran, terus-terang reka bentuknya tidak berapa menarik perhatian lelaki. "Comel," kata rakan sepejabat wanita. Dan kaum lelaki sangat geli perkataan 'comel'. Tetapi tidak bermakna Mirage ini tidak boleh dikentalkan sifat maskulin. Mitsubishi ada menyediakan pakej aksesori bagi menambah sifat kelakiannya. Asal sanggup tambah ongkos, Pakej AERO hampir RM2,000 atau Pakej Chrome RM700, sarung kulit kerusi RM1,500 dan penutup tangki minyak Ralliart RM150.

Di sebalik 'kecomelan' Mirage, reka bentuknya menyimpan resipi aerodinamik. Jurutera Mitsubishi menghabiskan masa yang lama untuk menghasilkan badan aerodinamik Mirage dalam terowong angin, yang merupakan faktor terpenting kepada kecekapan bahan api.

Mirage tampil dalam tiga varian, iaitu manual lima kelajuan GL, CVT GL dan CVT GS, dengan harga di antara RM55,328 hingga RM63,120 (atas jalan tanpa insurans) dan dalam lima warna iaitu Lemonade Yellow Metallic, Eisen Grey Mica, Red Metallic, White Pearl dan Cool Silver Metallic.

Ruang kabin Mirage adalah luas.

Pembeli boleh memilih enjin MIVEC dengan transmisi lancar dan cekap INVECS-III Continuously Variable Transmission (CVT) atau gear manual lima kelajuan.

Di samping waranti standard selama tiga tahun atau 100,000 km, Mirage didatangkan dengan pakej penyenggaraan percuma selama setahun (Penyenggaraan Alat-alat komponen, Minyak Hitam dan Kos Buruh sehingga setahun atau 20,000km).

Mirage memiliki kecekapan bahan api dan pelepasan CO2 rendah yang merupakan terbaik dalam kelasnya, berikutan enjin 1.2 liter serba baru dengan teknologi MIVEC dan badan aerodinamik yang mengurangkan kekangan dan terbabas.

Mengoptimumkan struktur badan dan penggunaan lebih luas panel yang ditegang kuat menjadikan kenderaan ini tujuh peratus lebih ringan berbanding kenderaan biasa dalam kelasnya, yang menyumbang kepada penjimatan bahan api yang lebih baik. (Nisbah berat diukur dengan menggunakan nisbah besi ditegang kuat diguna dalam Colt berbanding Mirage).

Enjin moden tiga silinder menghasilkan 78 PS dan 100 Nm kuasa kilas, menyajikan varian paling ringan dalam kelasnya iaitu 850 kg bagi CVT dan 825 kg bagi varian MT.

Mirage didatangkan dengan senarai peralatan yang menarik bagi sebuah kereta dalam segmen ini. Ciri-ciri uniknya merangkumi Kunci Pintar (masuk tanpa kunci), pendingin hawa automatik digital, sistem audio 2-DIN dengan pemain iPod, USB dan AUX, panel instrumen Pandangan Terang, dan kepala gear dan kemudi roda dibalut kulit.

Keselamatan adalah keutamaan di Mitsubishi, dan sebagai kereta global, model serba baru Mirage didatangkan dengan ciri-ciri keselamatan aktif dan pasif bagi melindungi penumpangnya.

ABS 4-Roda dengan EBD adalah standard, bersama dua beg udara SRS dan penenggang tali pinggang keledar, Pengikat Kerusi Kanak-kanak ISO FIX, Kunci Pintu Bagi Kanak-kanak dan Tingkap Kuasa Anti-Sentuh.

Triton terbaharu di pasaran

Posted: 26 May 2013 11:47 AM PDT

Mitsubishi Triton Heavy Duty

KUALA LUMPUR 26 Mei - Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi Motors di Malaysia baru-baru ini telah melancarkan Mitsubishi Triton Heavy Duty (2.8 litre diesel 4x4 Double Cap) baharu.

Menurut kenyataannya, kenderaan yang dibina untuk kegunaan lasak, Triton Heavy Duty didatangi dengan enjin diesel 2.8 liter bukan turbocharged dengan 97 PS dan 198 Nm tork.

Mitsubishi Triton Heavy Duty 2.8 litre ini juga didatangkan dengan tayar untuk kegunaan kawasan berlumpur yang disertakan dengan rim aloi 16 inci yang sesuai digunakan di kawasan yang permukaan jalan tidak rata.

Kenderaan untuk pendaftaran komersial sahaja ini dijual pada harga RM72,037.60 atas jalan tanpa insurans ,manakala bagi Sabah dan Sarawak pula masing-masing adalah RM73,832.60 dan RM73,798.60.

Kata kenyataan itu, kenderaan yang diimport sepenuhnya itu boleh didapati dalam warna putih solid.

Pemilik kenderaan ini akan menikmati jaminan selama tiga tahun atau sehingga 100,000 kilometer dan juga pakej penyelenggaraan percuma selama dua tahun bergantung pada terma dan syarat.

Orang ramai boleh melayari laman web www.mitsubishi-mo tors. com.my untuk maklumat lanjut.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved