Ahad, 19 Mei 2013

Utusan Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Wanita perlu cuba Touareg TDI

Posted: 19 May 2013 11:23 AM PDT

Oleh FAIRUS KASSIM
ekonomi@utusan.com.my

BESAR, tinggi, panjang, lebar, menarik dan mewah adalah perkataan ringkas yang boleh disebut penulis apabila ditanya mengenai kereta Volkswagen berenjin diesel pertama di pasaran tempatan iaitu Touareg TDI.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) yang bernilai hampir setengah juta ringgit itu cukup bergaya dan dilihat mampu menyaingi Porsche Cayenne dan Audi Q7 yang menggunakan platform sama.

Touareg TDI menggunakan enjin diesel caj turbo 3.0 liter dengan keupayaan menyokong bahan bakar diesel kelas Euro 2 di Malaysia tanpa sebarang masalah dan menjanjikan jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan untuk mengukuhkan keyakinan pengguna.

Rekaan luar kereta ini lebih ringkas berbanding Cayenne dan Q7 namun masih menyerlahkan imej garang di bahagian hadapan terutamanya bagi rekaan gril dan lampu dengan kemasan LED waktu siang.

Bahagian belakang pula sedikit ketinggalan berbanding Cayenne dan Q7 tetapi rekaan ekzos berkembar berbentuk segi tiga tepat cukup untuk menarik perhatian orang ramai manakala bahagian tepi dihiasi plat perak berkilat.

Walaupun kereta ini kelihatan agak tinggi, tetapi penulis tidak mempunyai masalah untuk menaikinya secara terus tanpa sebarang sokongan dan ini berita baik untuk pemandu wanita yang gemar SUV.

Ruang tempat duduk pemandu cukup selesa dan mempunyai jarak yang agak luas dengan penumpang di sebelah. Kerusinya juga dilengkapi dengan kawalan automatik enam hala dan pelarasan bentuk sokongan tulang belakang.

Apabila enjin dihidupkan dengan menekan satu butang tanpa perlu mengeluarkan kunci dari poket, deruman enjin diesel tidak terlalu bising dan apabila pintu ditutup, bunyi tersebut hampir tidak kedengaran jika sistem audio mula berfungsi.

Sistem unik dalam Touareg TDI adalah, imej persekitaran kereta akan terpapar pada skrin sesentuh di papan pemuka seolah-oleh ada kamera merakamkan kedudukan kereta dari bahagian atas kenderaan.

Pemandu boleh melihat imej sejauh dua kaki meliputi 360 darjah dari kereta. Ini memudahkan pemandu meletakkan kenderaan di tempat sempit dan bergerak di jalan sempit yang mempunyai banyak halangan yang sukar dilihat dari tempat duduk.

Kawalan stereng juga tidak terlalu ringan dan penulis kagum dengan reaksi kawalannya kerana penulis seakan-akan membawa kereta kompak walaupun pertama kali mencubanya di kawasan letak kereta yang sempit.

Pada pandangan penulis, pemandu wanita perlu mencuba kenderaan ini dan tidak perlu takut dengan rupa luarannya kerana pretasinya luar jangka daripada segi kawalan. Hud hadapan dan bonet menggunakan sistem hidraulik dan automatik sekali gus hanya sedikit tenaga untuk mengendalikannya.

Bonet belakang juga sangat luas dengan kapasiti 580 liter dan mampu meningkat kepada 1,642 liter jika kerusi penumpang diturunkan dengan menekan suis. Tayar simpanan juga dilengkapi dengan pam elektrik.

Dari segi prestasi pula, Touareg TDI menawarkan pecutan awal yang baik dengan reaksi gear duanya cukup tinggi iaitu sehingga 2,500 rpm sebelum bertukar ke gear seterusnya ketika mod automatik.

Penulis berjaya merekodkan penggunaan minyak sekitar 7.3 liter/100 kilometer dalam mod kawalan kelajuan (auto cruise) dan secara keseluruhan meter minyak berbaki suku tengki selepas melalui perjalanan lebih 600 kilometer dengan corak pemanduan yang pelbagai.

Penulis hanya menguji kelajuan pada tahap 160 km/j daripada prestasi maksimumnya iaitu 220 km/j, hasilnya kereta masih stabil, enjin tidak mengaum kuat tetapi bunyi desiran angin mula kedengaran pada bibir tingkap.

Secara keseluruhannya penulis berpuas hati dengan Touareg TDI. Yang pasti kenderaan ini juga sesuai untuk pemandu wanita.

ETCM anjur bengkel khas buat pemilik Nissan

Posted: 19 May 2013 11:23 AM PDT

KUALA LUMPUR 19 Mei - Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah memulakan bengkel ikhtiar hidup di bandar yang diadakan khas buat pemilik kereta Nissan wanita.

ETCM dalam kenyataan di sini menyatakan, bengkel tersebut bertujuan melengkapkan mereka dengan pengetahuan sewajarnya mengenai bagaimana untuk melindungi diri apabila berdepan situasi berbahaya atau ancaman jenayah.

Katanya, bengkel ikhtiar hidup menyaksikan peserta diajar dengan teknik-teknik mempertahankan diri dan tip-tip bagaimana untuk menjadi lebih berjaga-jaga.

"Mereka juga diajar bagaimana untuk bertindak melindungi diri sendiri dalam situasi kecemasan,'' menurut ETCM.

Bengkel ini merupakan sebahagian daripada Kempen Keselamatan Peribadi Nissan yang juga akan diadakan di G Hotel, Pulau Pinang pada 29 Jun ini dan hotel Royal Bintang, The Curve dekat sini pada 6 Julai depan.

Pengarah Eksekutif ETCM, Datuk David Chen berkata, keselamatan dan kesejahteraan para pelanggan terutama golongan wanita sentiasa menjadi keutamaan ETCM.

"Kami harap kemahiran yang diperoleh dalam bengkel ini akan bermanfaat untuk melindungi kaum wanita daripada bahaya terutama di bandar," katanya.

Selain Lembah Klang, Bengkel Ikhtiar Hidup akan diadakan pada 18 Mei, 15 Jun dan 22 Jun ini di Hotel Zenith, Kuantan; Hotel Ming Garden, Kota Kinabalu dan Hotel Grand Margherita, Kuching.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Ketua juruwang pasar raya didakwa pecah amanah

Posted: 19 May 2013 11:23 AM PDT

LEE Goit Siau (kanan) di Mahkamah Sesyen, Kota Bharu, Kelantan, semalam.

KOTA BHARU 19 Mei - Seorang ketua juruwang di sebuah pasar raya dekat sini, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan pecah amanah melibatkan wang tunai lebih RM500,000 pada Mac dan April tahun lalu.

Tertuduh, Lee Goit Siau, 46, bagaimanapun tidak mengaku bersalah semasa dihadapkan di hadapan Hakim Mohd. Yusuff Yunus dan meminta dibicarakan.

Mohd. Yusuff membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Menurut pertuduhan, Goit Siau, sebagai orang yang diamanahkan untuk mengurus wang kutipan jualan pasar raya Econjaya (Kok Lanas) Sdn. Bhd. sebanyak RM504,156.32 didakwa telah melakukan pecah amanah jenayah iaitu menyalah gunakan wang itu.

Wanita dari Kok Lanas itu didakwa melakukan perbuatan tersebut antara 4 Mac hingga 18 April tahun lalu di pasar raya berkenaan.

Dia yang telah dibuang kerja, ditahan Rabu lalu dan didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 14 tahun dan sebatan dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Hamizah Ghazali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiga pengedar dadah ke tali gantung

Posted: 19 May 2013 11:23 AM PDT

ALOR SETAR 19 Mei - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas tiga lelaki selepas didapati bersalah mengedar 6.503 kilogram (kg) kanabis di Padang Serai, Kulim enam tahun lalu.

Hakim, Datuk Zamani A. Rahim menjatuhkan hukuman mati itu ke atas ketiga-tiga tertuduh iaitu Mohammad Fadzil Ali, 51, Shamsuri Said, 39, dan Mohd. Farid Rameli, 32, selepas mendapati keterangan pembelaan mereka gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mohammad Fadzil, pemandu lori; Shamsuri, kelindan lori dan Mohd. Farid, pekerja bengkel dituduh melakukan perbuatan itu di tepi jalan arah Padang Serai ke Kulim dalam kawasan Kampung Permatang Tok Dik, Padang Serai, Kulim kira-kira pukul 9.45 malam pada 11 Oktober 2007.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nor Hasnita Wan Daud sementara tertuduh diwakili peguam, Burhanudeen Abdul Wahid.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Letupan di Hotel Asia, 6 cedera

Posted: 19 May 2013 11:23 AM PDT

Pasukan polis memeriksa kawasan letupan yang berlaku di tingkat tiga Hotel Asia di wilayah Narathiwat, kelmarin. - AGENSI

NARATHIWAT 19 Mei - Enam orang cedera apabila letupan berlaku di Hotel Asia di Narathiwat, semalam.

Polis Narathiwat, Superitenden Satan Wamasingh berkata, letupan berlaku di tingkat tiga hotel itu pada kira-kira pukul 11 pagi ketika ramai pelanggan sedang berurusan.

Polis mengesyaki dua pelanggan hotel sebagai suspek, katanya.

Kedua-dua suspek dikenali sebagai Sulaiman Yapa dan Tameesi Jeyor, kedua-dua berumur 19 tahun berasal dari daerah Sukhirin untuk siasatan lanjut, katanya.

Kedua-dua suspek kemudian dibebaskan selepas polis mengambil cap jari dan DNA mereka.

Satan berkata, kedua-dua lelaki itu dikesan melalui kamera ketika mereka bergegas meninggalkan hotel itu sebelum letupan berlaku.

Polis juga menyoal siasat empat lagi pelanggan hotel yang menginap di dua bilik berdekatan kejadian letupan untuk menentukan sama ada mereka ada hubungan dengan Sulaiman.

Kesemua mereka menafikan ada kaitan dengan letupan itu, kata polis.

"Pemeriksaan polis di tempat kejadian turut menemui serpihan bahan letupan yang diubahsuai dipercayai diisi dalam kotak logam seberat antara lima dan 10 kilogram," katanya.

Satan berkata, bom tersebut dipercayai diletupkan menggunakan telefon bimbit.

Polis masih menyiasat kes itu. - AGENSI

Penduduk Palestin anjur demonstrasi

Posted: 19 May 2013 11:23 AM PDT

Penduduk Palestin membaling batu ke arah polis Israel ketika mengadakan demonstrasi membantah tindakan pihak berkuasa Israel merampas tanah penduduk Palestin di Old City, baru-baru ini. - AFP

BAITULMAQDIS 19 Mei - Berpuluh-puluh penduduk Palestin membaling batu ke arah polis Israel dan membakar tayar dalam demonstrasi bagi membantah tindakan pihak berkuasa Israel merampas tanah warga Palestin di Old City, di sini semalam.

Jurucakap polis, Luba Samri berkata, penunjuk perasaan membaling batu ke arah pasukan polis di Pintu Nablus.

''Dua daripada penunjuk perasaan telah ditangkap,'' katanya.

Seorang koresponden berkata, beberapa penunjuk perasaan memegang kain rentang yang menggesa diadakan 'intifada ketiga' atau pemberontakan anti-Israel.

Demonstrasi tersebut merupakan lanjutan daripada tunjuk perasaan yang diadakan di Old City pada awal minggu ini sempena 'Hari Nakba'.

Sementara itu, Menteri Luar Jerman, Guido Westerwelle, semalam berkata, negara itu bersedia membantu mewujudkan keadaan bagi membolehkan rundingan damai disambung semula antara Israel dan Palestin.

Westerwelle yang mengadakan lawatan ke Israel dan Palestin selama dua hari berkata, apa yang penting adalah Palestin dan Israel menyambung semula rundingan damai.

Beliau turut menekankan betapa pentingnya konflik diselesaikan secara damai bagi membangunkan ekonomi Palestin. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Jalan Persekutuan dinaik taraf

Posted: 19 May 2013 11:23 AM PDT

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com

KUALA LIPIS 19 Mei - Kerajaan merancang menaik taraf Jalan Persekutuan dari bandar Kuala Lipis ke Jerantut melalui pekan Kerambit sepanjang 60 kilometer untuk keselesaan perhubungan kenderaan dari kedua-dua daerah terbabit.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad (gambar) berkata, projek tersebut akan membabitkan pelebaran dan mengubah jajaran di laluan berdekatan Sungai Jelai yang didapati mempunyai banyak selekoh, berbukit dan kerap berlaku mendapan tanah.

Menurutnya, perancangan itu bukan sahaja memberi keselesaan kepada pemandu tetapi juga memendekkan masa perjalanan berbanding melalui Jalan Benta untuk ke Jerantut.

"Langkah tersebut dibuat berikutan laluan berkenaan sering berlaku kerosakan akibat lori bijih besi menggunakan jalan tersebut untuk berulang-alik dari Lipis ke Jerantut.

"Keadaan itu menyukarkan pergerakan kenderaan sehingga menimbulkan ketidakselesaan pemandu selain berhadapan dengan risiko kemalangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Hari Keusahawanan dan Hari Terbuka Sekolah Kebangsaan Chat, di Benta di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata, lori terbabit yang membawa lebih muatan bahan galian itu dipercayai menjadi punca kerosakan jalan berkenaan sehingga berlubang selain kerap terkandas di kawasan berbukit.

Sehubungan itu, beliau berharap pengusaha lombong bijih besi di kawasan terbabit digesa mematuhi membawa muatan itu tidak lebih 80 tan metrik sesuai dengan keupayaan serta reka bentuk Jalan Persekutuan tersebut.

"Kerajaan mengeluarkan peruntukan tinggi setiap kali membaiki jalan berlubang dan menurap semula, tetapi kembali ke takuk lama akibat tidak mampu bertahan dengan kapasiti muatan berlebihan.

"Saya berharap pengusaha terlibat mematuhi peraturan muatan ditetapkan, manakala usaha pematuhan berasaskan penguatkuasaan undang-undang perlu lebih kerap dilaksanakan oleh pihak berwajib," katanya.

Menurut Abdul Rahman, cadangan menaik taraf jalan tersebut merupakan sebahagian transformasi perhubungan dan pengangkutan yang boleh memacu pertumbuhan kawasan kampung tradisional di pesisiran Sungai Jelai.

"Kawasan ini berpotensi dimajukan menerusi sektor pertanian dan pelancongan dengan menyediakan kemudahan jalan raya yang selesa untuk pemasaran hasil kampung ke bandar," katanya.

OUM taja 5,000 naskhah Utusan Malaysia

Posted: 19 May 2013 11:23 AM PDT

Anuwar Ali (kiri) menyerahkan replika cek tajaan kepada wakil Utusan Pahang, Zamzurina Ahmad (kanan) dalam majlis penajaan akhbar Utusan Malaysia oleh OUM untuk sekolah menengah terpilih di Kuantan, Pekan, Temerloh dan Jerantut di Kuantan, semalam. Turut hadir, Mansor Fadzil (dua kiri), Ahmad Izanee Awang (tengah) dan Muhamad Afizan Sani.

KUANTAN 19 Mei - Universiti Terbuka Malaysia (OUM) menaja sebanyak 5,000 naskhah Utusan Malaysia yang akan diedarkan kepada 11 buah sekolah di sekitar negeri ini dalam usaha memanfaatkan sisipan Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) kepada pelajar sekolah yang bakal menduduki peperiksaan.

Tajaan akhbar bernilai kira-kira RM6,000 itu akan diedarkan pada setiap Khamis untuk sekolah menengah terpilih di Kuantan, Pekan, Temerloh dan Jerantut terutama calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Eksekutif Jualan Kumpulan Utusan Biro Pahang, Muhamad Afizan Sani berkata, usaha OUM itu patut dipuji kerana akan membantu meningkatkan pencapaian pelajar terutama menerusi sisipan khusus ADaP yang kandungannya cukup baik bagi membimbing pelajar menduduki peperiksaan.

"Langkah itu juga dapat menggalakkan amalan membaca dalam kehidupan harian masyarakat.

"Dalam masa yang sama, mereka juga dapat mengenali OUM dengan lebih dekat dan menjadikan universiti tersebut sebagai pilihan melanjutkan pengajian kelak," katanya selepas penyerahan tajaan itu dalam Majlis Makan Malam Meraikan Graduan OUM di sini semalam.

Hadir menyerahkan replika cek tajaan tersebut ialah Pengerusi OUM, Prof. Emeritus Tan Sri Anuwar Ali dengan diiringi Naib Pengerusi Kanan OUM, Prof. Dr. Mansor Fadzil dan Pengarah Pusat Pembelajaran OUM Pahang, Dr. Ahmad Izanee Awang.

Sementara itu, Anuwar berkata, OUM yang menawarkan lebih 50 program di peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan ijazah kedoktoran (PhD) merupakan universiti yang memberi ruang kepada golongan bekerja, orang kurang upaya (OKU) dan pesara untuk melanjutkan pengajian.

"OUM turut menyediakan pembelajaran fleksibel kepada penuntutnya menerusi pendekatan e-Pembelajaran yang membolehkan penuntut menyusun jadual belajar mengikut kemampuan dan kesesuaian masa mereka.

"Kelebihan yuran berpatutan, OUM juga mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)," jelasnya.

Kata beliau, OUM telah melahirkan 120,000 graduan sejak universiti itu ditubuhkan 12 tahun lalu.

Program Khidmat Bantu Di Rumah beri harapan kepada warga emas

Posted: 19 May 2013 11:23 AM PDT

KUANTAN 19 Mei - Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail memuji usaha murni Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mewujudkan sebuah program perkongsian pintar antara JKM dan sukarelawan bagi membantu warga emas.

Menurutnya, program yang dinamakan Khidmat Bantu Di Rumah (Home Help Services) berperanan memberi perkhidmatan kepada warga emas yang daif dan tinggal berseorangan atau dengan keluarga tetapi memerlukan sokongan atau bantuan.

"Syabas dan terima kasih kepada JKM yang memperlihatkan usaha murni bersama sukarelawan yang berdaftar dalam usaha meringankan beban golongan tersebut termasuk orang kurang upaya (OKU).

"Melalui program ini, sukarelawan yang dilatih itu akan membuat lawatan ke rumah warga emas terpilih bagi membantu menjalankan urusan harian seperti penjagaan diri, kebersihan tempat tinggal, rakan berbual dan penjagaan kesihatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Program Kembara KAR1SMA sempena sambutan ulang tahun ke-67 JKM dan Sambutan Hari Ibu dan Bapa peringkat negeri di Felda Bukit Goh di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah JKM Pahang, Datuk Shamsiah Husin dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Bukit Goh, Mat Zahari Deraman.

Dalam majlis tersebut kira-kira 500 orang terdiri daripada kalangan ibu bapa diraikan dengan pemberian bunga dan kek cawan.

Sementara itu, Penyelaras Pembangunan Komuniti JKM Kuantan, Zatamah Yahya berkata, sebanyak 20 rumah penerima bantuan JKM kategori warga emas dan OKU Kuantan tersenarai di bawah program yang baharu diperkenalkan April lalu.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Ugutan anarki: Bagaimana tindakan PDRM?

Posted: 19 May 2013 11:23 AM PDT

PROF. SALLEH BUANG ialah penganalisis undang-undang.

Tanpa berselindung lagi, elemen anarki tempatan sudah menggugut kerajaan - "Kita akan gulingkan kerajaan menerusi protes jalanan besar-besaran". Itulah yang diucapkan oleh Harris Ibrahim, pemimpin pergerakan ABU (Asalkan Bukan UMNO) pada satu perhimpunan yang dihadiri 1,000 orang di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pada 13 Mei lalu.

Katanya lagi, dia tidak berhasrat menggunakan kekerasan, tetapi menerusi "kuasa rakyat" (people power). Rakyat tak boleh tunggu lima tahun lagi, tetapi mesti bertindak sekarang, tambahnya.

Jawapan segera telah diberi oleh Tan Sri Ismail Omar pada 16 Mei lalu, sehari sebelum beliau bersara wajib. Kata beliau "Jangan sesiapa pun cuba mengubah kerajaan menerusi cara yang tidak demokratik". Kalau rakyat mahu ubah kerajaan, buatlah menerusi cara yang demokratik - iaitu menerusi peti undi, tambahnya lagi.

Pada 17 Mei lalu, pengarah komunikasi PKR yang juga ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya apabila dituduh melakukan kesalahan di bawah seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Awam 2012, yang membawa kepada hukuman denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, dia dituduh gagal memberi notis 10 hari yang diperlukan di bawah Akta itu sebelum menganjurkan perhimpunan di Stadium Kelana Jaya pada 8 Mei lalu. Kes ini masih berjalan, dan kita tidak boleh membuat apa-apa komen atau spekulasi lebih lanjut lagi, misalnya bila dan bagaimana ia akan berakhir.

Pun begitu, akhbar tempatan sehari dua ini sudah menyiarkan pendapat beberapa pihak agar Akta Perhimpunan Awam 2012 itu dikaji semula, kerana ramai berpendapat hukuman yang disebutkan dalam Akta itu terlalu ringan dan tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan serta impak buruk kepada masyarakat setempat dan negara.

Orang ramai yang mengikuti perkembangan ini sedia maklum bahawa perhimpunan haram ini (tidak mematuhi Akta berkenaan) telah diadakan di beberapa negeri dan akan diteruskan lagi pada masa akan datang.

Nampaknya segala amaran oleh Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) langsung tidak dipedulikan. Nasihat yang diberi oleh pelbagai pihak (termasuk badan-badan bukan kerajaan dan wakil masyarakat setempat) seumpama mencurah air di daun keladi.

Sementara itu, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah mengugut akan menggerakkan 1 juta rakyat (paling minimum) turun ke jalan raya Kuala Lumpur untuk satu protes besar-besaran pada bila-bila masa sebelum akhir bulan Mei ini.

Badrul Hisham Shaharin (juga dikenali sebagai Chegubard) memberitahu wakil media, dia akan memaklumkan orang awam tempat dan tarikh protes jalanan itu lima hari sebelumnya.

Pada mulanya dia merancang mengadakan protes jalanan itu pada 18 Mei lalu, tetapi beberapa pihak lain yang akan menyertainya memaklumkannya bahawa tarikh itu terlalu suntuk untuk menggerakkan orang awam hadir sama.

Bercakap bagi pihak pakatan pembangkang, Anwar Ibrahim menyatakan bahawa cadangan menggulingkan kerajaan menerusi protes jalanan itu "tidak pernah dikemukakan" oleh pihak berkenaan kepadanya dan "tidak pernah dibincang" oleh pakatan pembangkang.

Kata Anwar lagi, pakatan akan meneruskan perhimpunan rakyat pada masa depan (kini digelar "Black 505", sempena tarikh PRU-13 iaitu 5 Mei), tetapi di tempat yang tertutup dan bukan di jalan raya.

Pada 16 Mei, Harris Ibrahim dipetik oleh blog Malaysia Today sebagai berkata "Kita akan teruskan protes jalanan, sama ada disokong oleh pakatan pembangkang atau tidak". Harris menegaskan lagi bahawa protes jalanan ini bukan inisiatif pakatan, tetapi "inisiatif rakyat" (sila lihat http://www.malaysia-today.net/mtcolumns/newscommentaries/56798-haris-street-rally-will-go-on).

Kajian fenomena protes jalanan yang berlaku di beberapa negara menunjukkan lazimnya penganjur ada membuat aku janji tidak akan menggunakan kekerasan. Soalnya, apabila peserta protes jalanan itu terlalu ramai dan lambat laun pastinya tidak dapat dikawal sepenuhnya oleh penganjur, apakah ketiadaan kekerasan masih boleh terjamin?

Perlu diingat bahawa hak yang diberi kepada rakyat negara ini di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 tidak termasuk "protes jalanan" - s.4(1)(c). Apa yang dimaksudkan oleh istilah "protes jalanan" itu telah diberi takrif yang terperinci dalam s. 3.

Andainya satu perhimpunan awam yang sah itu (maksudnya telah mematuhi kehendak Akta berkenaan) kemudian bertukar menjadi satu protes jalanan, pegawai polis diberi kuasa di bawah s. 21 Akta itu memerintahkan peserta protes jalanan itu untuk bersurai dengan serta-merta - s. 21(1)(b).

Bagi tujuan menjalankan kuasanya itu, pegawai polis berkenaan dibolehkan "menggunakan segala kekerasan yang munasabah" - s. 21)(2). Sesiapa sahaja yang ingkar bersurai apabila diperintahkan oleh pegawai polis boleh dihukum, jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM20,000.

Di sinilah letaknya kelemahan Akta Perhimpunan Awam 2012. Di sinilah puncanya pengajur protes jalanan seperti SAMM dan ABU begitu berani menganjurkan protes jalanan sejuta rakyat.

Walaupun kumpulan anarki yang menganjur protes jalanan dan menghasut orang awam menghadiri protes tersebut tidak boleh dikenakan hukuman yang berat di bawah Akta 2012 itu, pihak berkuasa masih boleh menggunakan undang-undang jenayah utama kita iaitu Kanun Keseksaan.

Seksyen 141 mengandungi takrif kesalahan perhimpunan haram (unlawful assembly), seksyen 142 (menyertai perhimpunan haram), manakala seksyen 143 menyatakan hukumannya (penjara tidak melebihi 6 bulan, denda atau kedua-duanya sekali).

Selain itu ada juga kesalahan lain, seperti memiliki senjata semasa menyertai perhimpunan haram (seksyen 144, penjara 2 tahun), terus menyertai perhimpunan haram walau pun telah diperintahkan bersurai (seksyen 145, penjara 2 tahun), dan merusuh (seksyen 147, penjara 2 tahun).

Selain Kanun Keseksaan, yang mengandungi banyak peruntukan mengenai kesalahan perhimpunan awam, Akta Hasutan boleh juga dirujuk oleh PDRM andainya ada ucapan-ucapan melampau yang "berkecenderungan menghasut" (umpamanya membakar api permusuhan atau rasa kebencian rakyat dan sebagainya) oleh penganjur atau mana-mana peserta dalam protes jalanan itu.

Kesimpulannya, kekurangan atau kelemahan yang terdapat dalam Akta Perhimpunan Awam 2012 tidak sewajarnya melemahkan semangat dan komitmen PDRM melakukan yang terbaik dengan segera, agar elemen anarki yang sudah timbul dalam kalangan masyarakat kita pada masa ini tidak seterusnya dibiarkan bermaharajalela.

Musim berlembut sudah berakhir!

Posted: 19 May 2013 11:23 AM PDT

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

KENYATAAN 'panas' Menteri Dalam Negeri baharu bagaikan tamparan padu ke muka kumpulan 'puak pemberontak' di negara ini yang mahu mengambil alih pentadbiran negara tanpa mengira kesannya jika berlaku perpecahan kaum mahupun perpecahan orang Melayu sendiri.

Seperti cacing kepanasan, taktik memancing simpati rakyat dirancakkan untuk menunjukkan pihak berkuasa semakin zalim terhadap mereka yang 'memperjuangkan rakyat' melalui media sosial dan blog, seterusnya menyemarakkan lagi kebencian terhadap kerajaan.

Sudah sampai masanya pasukan menteri dan kepimpinan baharu Polis Diraja Malaysia menamatkan dasar berlembut yang diamalkan sejak lima tahun lalu dan mengembalikan ketegasan serta imej 'berani' kepada pasukan beruniform negara.

Walaupun rakyat khususnya majoriti Melayu dan bumiputera berterusan menyokong Barisan Nasional (BN), ramai yang memendam rasa kecewa apabila Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan, sementara pelbagai demonstrasi dan rusuhan cuma dibalas 'amaran' serta kenduri makan untuk peserta rusuhan.

Rakyat kini mahukan ketegasan dalam pelaksanaan dasar keselamatan dan ketenteraman awam terutama sekali apabila ada gerakan 'Malaysia spring' untuk menggunakan kekerasan menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi dan telah pun mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Perlu dilaksanakan semua undang-undang sedia ada, termasuk Akta Perhimpunan Aman 2012 yang setakat ini tidak nampak impaknya, agar pesalah dilayan sebagai penjenayah dan rakyat tidak lagi dibelenggu provokasi melampau politik jalanan.

Presiden Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa), Datuk Mohd. Jamil Mohd. Hassan berharap selepas ini tiada lagi 'nasihat' atau amaran kerana sudah sampai masanya untuk penguatkuasaan undang-undang.

"Kita ada undang-undang dan cukup difahami semua peringkat. Masanya sudah tiba, jangan lagi dibazirkan masa dengan menerima 'kecelakaan-kecelakaan' yang dilakukan mereka yang sengaja mempermainkan undang-undang negara kita.

"Dengan 'orang baharu' yang mengambil alih, kita berharap tiada lagi tolak ansur dan amaran tetapi tindakan tegas terhadap orang-orang yang sentiasa kacau keselesaan rakyat," tegasnya.

Beliau bersimpati melihat rakyat khususnya yang mencari rezeki harian terjejas secara langsung akibat perbuatan musibah segelintir manusia yang mempunyai agenda peribadi itu.

Tambahnya, pemansuhan ISA sebelum ini ada baik buruknya, dan walaupun ada yang mahu akta itu dikembalikan tetapi ia tidak perlu dibangkitkan lagi kerana semuanya sudah berlalu.

"Kita masih mempunyai undang-undang lain yang cukup untuk menghadapi pelbagai situasi, asalkan dilaksanakan sebaik-baiknya dan akan berkesan jika tindakan tegas diambil, bukannya berlemah lembut (dengan penjenayah)," katanya.

Menurut beliau, mereka yang membuat kesalahan dan perlu ditangkap, tangkaplah, seterusnya segera serah kepada pihak mahkamah jika cukup buktinya.

Beliau khuatir jika diteruskan berlembut dan menangguh tindakan tegas, maka akhirnya tiada kesan, khususnya apabila golongan terbabit semakin 'naik minyak' daripada mahukan pilihan raya bersih kepada mahu menggulingkan kerajaan.

"Niat buruk mahu guling kerajaan (gunakan keganasan) ini dapat dielak jika ketegasan sedia wujud dalam pelaksanaan undang-undang sepanjang masa.

"Jika tegas, tidak akan dapat guling (dengan kekerasan) dan tiada sambutan. Tegas juga bukan makna bertindak kejam tetapi tindakan pantas mengikut kuasa peruntukan undang-undang sedia ada," jelasnya.

Mohd. Jamil turut menempelak pihak yang cuba meracun minda rakyat dengan persepsi serong kononnya pihak berkuasa mahu 'tangkap dan seksa' mereka yang terlibat, sebaliknya hanya mereka yang melakukan kesalahan akan ditahan.

Menurutnya lagi, Kementerian Dalam Negeri (KDN), polis, mahkamah, tentera dan agensi kerajaan lain perlu bekerjasama dan bersatu demi menjaga ketenteraman dan keselamatan awam.

"Walaupun polis penguat kuasa utama untuk menjaga ketenteraman dan keselamatan, semua pihak berwajib juga perlu bertindak tegas mengikut peruntukan kuasa perundangan masing-masing.

"Mereka kata pihak berkuasa mahu guna kekerasan berlebihan, ini tidak wujud pun tetapi hanya mainan persepsi. Kita cuma tidak mahu ada yang cedera, apatah lagi maut kerana perbuatan segelintir manusia ini," ujarnya.

Bagi pemerhati antarabangsa dan keselamatan, Mohamad Faisol Keling pula, pelantikan Datuk Ahmad Zahid Hamidi mengetuai KDN akan meningkatkan keberkesan kementerian tersebut khususnya mengambil kira pengalaman beliau selaku Menteri Pertahanan sebelum ini.

"Pengalaman Ahmad Zahid menguruskan angkatan tentera akan mendorong keutamaan diberi kepada keselamatan dan ketenteraman rakyat dan KDN akan lebih berkesan dalam melaksanakan dasar-dasar kedaulatan perundangan.

"Namun, KDN kini perlu beri penegasan keamanan secara komprehensif di dua peringkat iaitu di bandar dan juga luar bandar. Ini akan menyuntik keyakinan rakyat terhadap keamanan negara dan kedaulatan undang-undang," kata pensyarah Universiti Utara Malaysia itu.

Tambahnya lagi, suntikan keyakinan kepada rakyat akan membawa kepada pembangunan politik, ekonomi dan sistem sosial yang lebih stabil untuk kemakmuran negara kelak.

Beliau turut menegaskan tindakan pihak berkuasa melaksanakan undang-undang bukannya satu usaha menyekat kebebasan sebaliknya menetapkan satu tanda aras maksimum kesempurnaan hidup.

"Pelaksanaan undang-undang itu asas untuk masyarakat, organisasi mahupun negara mempunyai sebuah kehidupan teratur, maka agensi dan badan kerajaan terbabit perlu beri penegasan dalam aspek kedaulatan undang-undang.

"Undang-undang juga dapat mengawal akhlak masyarakat agar lebih beretika dan membentuk perilaku serta kehidupan lebih bertata susila. Kalau ada sistem perundangan tetapi tidak dilaksanakan, maka akan runtuhlah masyarakat dan negara itu sendiri," ujarnya.

Mengambil contoh kecenderungan sesetengah pihak di negara ini mengadakan demonstrasi, beliau menegaskan tidak salah melakukan bantahan selagi tidak melanggar undang-undang sedia ada mahupun mengancam keselamatan awam.

Mohamad Faisol turut mempersoalkan gerakan tersebut yang jelas bertentangan dengan peruntukan undang-undang negara tetapi menuduh pihak berkuasa kejam pula apabila tindakan perlu dilaksanakan.

"Kalau berani buat, kena berani tanggung akibatnya. Bukan dihalang pun nak demonstrasi tetapi kenalah ikut batas-batas perundangan, Islam pun pentingkan undang-undang sebagai garis panduan - jangan fitnah, umpat dan buat perkara yang dilarang.

"Isu kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), beberapa pemimpin mereka sendiri menerimanya (malah sudah angkat sumpah), negara luar pun iktiraf. Jika tetap mahu gulingkan kerajaan yang dipilih secara sah, bersedialah terima akibatnya," tegasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Oleh RASDAN AHMAD
rasdan_utusan@yahoo.com
Foto NOOR AZLINA JAAFAR
0

Utusan Online - Hiburan

Posted:

Utusan Online - HiburanIkuti berita penuh untuk ruangan Hiburan menerusi laman web http://www.utusan.com.myhttp://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan Utusan Online - Hiburanhttp://www.utusan.com.my/utusan/themes2012/logo.pnghttp://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan Problem Parsing :
Error #: -1072896659
Description: End tag 'B' does not match the start tag 'Caption'.
In file: file:///E:/utusan/html/today/Utusan_Malaysia.Hiburan.xml
Source line: hi_06.1.jpg333500hi_06.small.jpg90100
Sekalipun sudah beberapa kali digandingkan bersama namun Aeril mengakui perasaan berdebar melakonkan babak cinta dengan Wawa masih tetap dirasai.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Tipu kerana nak kahwin

Posted: 19 May 2013 02:00 AM PDT

KEBIASAANNYA masyarakat menyalahkan wanita jika kahwin dengan suami orang. Tak kira sama ada wanita itu gadis, andartu atau ibu tunggal. Masyarakat tidak salahkan lelaki, sebaliknya mendakwa wanita jadi biang keladi goda suami orang.'' Itu cerita Farra Majmin dalam emelnya dan ketika kami berbual di telefon.

"Masyarakat mendakwa wanita suka menggoda, dah tahu lelaki itu suami orang masih nak kahwin malah sanggup bermadu. Tetapi tahukah anda, lelaki atau suamilah paling banyak buat dosa, berbohong dengan semua orang sebab nak kahwin lagi. Seperti yang berlaku dalam kes saya.

"Mus sanggup bersumpah dia duda ketika kami baru berkenalan. Oleh kerana percaya, maka hubungan diteruskan, setelah lebih dua tahun berkawan dia ajak kahwin, saya setuju sebab dia kata duda.

"Sapa tak percaya jika Mus tunjuk surat cerainya empat tahun lalu, semata-mata menyakinkan saya bahawa dia duda. Kalau semua bukti depan mata tentu saya percaya, malah kawan pejabatnya mengakui Mus duda anak tiga, dan tiga orang anaknya dijaga oleh bekas isterinya yang berpindah ke Pantai Timur.

"Tambah menyakinkan Mus duda kerana sepanjang masa dia temankan saya makan tengah hari dan malam. Dia tak pernah mengelak apa lagi kata tak boleh. Sebab dia duda dan tak siapa boleh halang.

"Dia bercerai kerana isterinya pentingkan kerja dan pelajaran daripada mengurus keluarga. Kata Mus, dia lebih banyak jaga anak-anak semasa kecil daripada isterinya. Kerana isterinya sentiasa sibuk sambung belajar, tiga orang anak semua dia jaga.

"Tetapi bila anak bertambah tiga dia minta bantuan ibu mertua sebab kerja makin bertambah. Ketika itu pengajian isteri masih belum tamat dan ibu mertuanya terpaksalah tinggal bersama di KL, sebulan sekali dia balik kampung.

"Oleh kerana bekas isteri terlalu sibuk, urusan rumah banyak tertinggal. Rumah macam kapal pecah. Kerana malas nasihat yang berakhir dengan pertengkaran, maka mereka semakin renggang dan bercerai.

"Kerana percaya cerita Mus, persahabatan kami makin erat. Kawan Mus juga cerita yang sama. Mereka tahu Mus bercerai kerana masalah rumahtangganya tak pernah aman.

"Tiga tahun berkawan Mus mendiamkan diri, saya desak dia segera meminang. Mus setuju dengan syarat tunggu setahun lagi, alasannya anak-anak memerlukan wang dan bekas isteri minta tambah nafkah dengan pelbagai alasan.

"Walaupun mulut saya setuju, tetapi hati kecil saya kecewa kerana umur makin meningkat lebih 34 tahun nak tunggu apa lagi. Takkan kami nak berkawan saja, sampai bila? Alasan lain Mus duit tak cukup untuk meminang, dia minta keluarga saya buat kenduri doa selamat saja.

"Pasti keluarga saya tak setuju, sebab saya bukan janda. Saya teringin nak bersanding atas pelamin. Itu impian saya. Kata kakak saya zaman sekarang janda pun kalau kahwin naik pelamin, inikan saya masih gadis. Saya setuju sangat.

"Beberapa bulan kemudian saya desak Mus lagi. Dia minta saya keluarkan duit hantaran separuh dari RM10,000 yang keluarga minta. Awalnya saya tak setuju, tetapi setelah Mus desak, saya terpaksa akur. Janjinya dia akan bayar kembali setelah kami kahwin. Mus janji akan keluar duit belanja kahwin bersama-sama sebab keluarganya tidak buat kenduri sambut menantu, itu saya setuju. Kini keluarga kami menunggu tarikhnya sahaja.

"Setelah beberapa bulan berbincang, akhirnya Mus mencadangkan kami nikah di sempadan, katanya tak banyak pakai duit, tak perlu hantaran bagai, cukup duit upah nikah. Terkejut beruk saya. Saya bantah!

"Kata Mus kalau saya nak nikah juga tidak ada jalan lain kecuali sempadan. Bila balik ke Malaysia nanti daftar. Katanya dia tak ada duit nak buat hantaran. Bekas isterinya minta duit nafkah tambahan untuk tiga orang anaknya.

"Kerana dia malas masuk mahkamah untuk perbicaraan nafkah, dia setuju dengan permintaan bekas isterinya, sebab itu dia tak ada duit simpan.

"Saya cukup kecewa, umur makin meningkat, keluarga dah tahu, sedangkan perkahwinan kami masih tak menjadi kenyataan. Saya malu dengan ibu bapa dan adik-beradik, saya anak paling lambat kahwin, sedangkan dua adik saya lelaki dan perempuan dah lama kahwin dah ada dua dan tiga anak.

"Seminggu saya termenung akhirnya saya berbincang dengan kakak dan emak, mereka tak setuju. Mereka mendakwa mungkin saya kena tipu, mungkin Mus tak bercerai. Malah mereka tak yakin dengan surat cerai yang saya katakan. Mereka suruh saya rujuk ke pejabat kadi tempat mereka bercerai. Mus pulak dolak-dalik sekejap kata sana sekejap sini. Sedangkan mereka orang Pantai Timur.

"Tiga bulan saya berfikir sama ada teruskan pernikahan atau sebaliknya. Mus terus mendesak kami nikah di sempadan. Akhirnya saya ikut nasihat ibu batalkan perkahwinan. Tetapi Mus terus merayu. Ketika itu iman saya memang lemah, saya ikut permintaan Mus dan kahwin lari.

"Lepas nikah Mus pindah ke rumah yang saya beli, sebuah kondo di KL. Rupanya setelah serumah baru saya sedar siapa Mus sebenarnya. Saya sering dengar Mus terima panggilan telefon dari anak-anaknya. Malah saya dengar Mus berbual dengan bekas isterinya. Bukan macam orang bercerai. Akhirnya terbongkar rahsia, lepas setahun bercerai Mus nikah semula dengan bekas isterinya. Tapi dia kata duda.

"Masalah besar, ketika menunggu kelahiran anak pertama. Rupanya Mus belum daftar perkahwinan kami di KL. Namun saya bersyukur berkat pertolongan kawan, saya dapat daftarkan sendiri.

"Ketika itu rahsia kami terbongkar. Saya jadi mangsa serangan isteri Mus, siap maki hamun baik di rumah atau pejabat.

"Jadi di sini saya nak tanya, dalam kes saya apakah saya bersalah? Dituduh perampas suami orang. Bukankah lelaki lebih besar dosanya, dia bukan sahaja tipu saya, isterinya malah kadi Siam dia tipu konon duda dengan menggunakan surat cerai lamanya.

"Sejak kes terbongkar saya tak izinkan Mus balik ke rumah saya selagi dia tidak selesaikan masalah dengan isterinya. Saya tak mahu dengar maki hamun isterinya. Saya tak takut bersalin sendirian, kerana keluarga sokong saya. Walaupun awalnya mereka marah saya kerana kahwin lari.

"Namun emak terima qada dan qadar saya. Saya bersyukur dapat sokongan keluarga ketika dalam bulan terakhir melahirkan. Kini anak saya berusia dua tahun. Malangnya saya masih dimaki hamun oleh isteri Mus. Kesimpulannya lelaki memang takut isteri apabila pernikahan keduanya terbongkar. Adakah salah wanita jika kahwin suami orang? Mengapa tak salahkan suami yang gatal atau diri sendiri yang tinggal jauh dari suami hingga suami kahwin lagi." Demikian cerita Farra Majmin panjang lebar.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved