Sabtu, 18 Mei 2013

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


3 pemimpin Pontian cipta sejarah

Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
utusanjohor@utusan.com.my

Kiri Ahmad Maslan, Hasni Mohamad, Tee Siew Kiong

PONTIAN 17 Mei - Pelantikan ketiga-tiga pemimpin dari Pontian menyandang jawatan timbalan menteri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bukan sahaja mencatatkan satu sejarah baharu malah dianggap penghormatan tertinggi pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) kepada pemimpin dari daerah ini.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Pontian, Muhamaddan Ahmad berkata, pelantikan Datuk Ahmad Maslan sebagai Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Hasni Mohammad sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerjaya dan Pembangunan Luar Bandar serta Datuk Tee Siew Kiong, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri amat membanggakan seluruh rakyat di daerah ini.

Beliau berkata, pelantikan ketiga-tiga wakil rakyat itu merupakan hadiah paling bermakna kepada para pengundi di kawasan Parlimen Pontian.

"Ia merupakan satu sejarah baharu kepada Parlimen Pontian, UMNO dan BN. BN Pontian ingin ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin atas kepercayaan yang diberikan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ahmad Maslan yang merupakan Ahli Parlimen Pontian sebelum ini adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Penerangan UMNO, Hasni yang juga Ketua UMNO Bahagian adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut manakala Siew Kiong ialah ADUN Pulai Sebatang dan Pengerusi MCA Bahagian Pontian.

Muhamaddan berkata, BN Pontian yakin dengan kemampuan 'trio' Parlimen Pontian bagi membantu menjayakan transformasi negara sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri.

"Penduduk Pontian amat bersyukur dan gembira dengan pelantikan ketiga-tiga pemimpin ini dan berharap mereka dapat membantu membangunkan lagi daerah ini," katanya.

Abd. Latiff tekad sediakan lebih banyak rumah

Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT

Abd. Latiff

JOHOR BAHRU 17 Mei - Kerajaan negeri akan melakukan yang terbaik bagi menyediakan perumahan secukupnya kepada rakyat sejajar dengan manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang baharu dilantik, Datuk Abd. Latiff Bandi berkata, pada masa ini, pihaknya perlu mengkaji sebelum merancang apa yang perlu dilakukan untuk menangani perkara itu.

Menurutnya, isu perumahan terutama yang membelenggu generasi muda bukan hanya berlaku di negeri ini, namun beliau bertekad untuk melaksanakan tugasnya sebaik mungkin.

"Kita berpegang pada manifesto yang dijanjikan dahulu untuk sediakan perumahan cukup terutama bagi generasi muda dan mereka yang tidak ada rumah, banyak program di bawah BN dan kita akan cuba jayakan.

"Saya akan pastikan dan merancang yang terbaik untuk memastikan mereka yang tidak ada rumah ini dapat mempunyai rumah sendiri, kerajaan negeri akan lakukan yang terbaik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas tentang isu kerajaan tempatan kata Abd. Latiff, pihaknya akan turut mengkaji struktur, fungsi dan peranan Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya mereka dapat menjalankan kerja dengan lebih komited.

"Saya juga perlu melihat apa yang perlu dilakukan sejajar usaha memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada setiap lapisan masyarakat di negeri ini.

"Saya akan pastikan dalam tempoh lima tahun ini, portfolio yang saya pegang, mampu melakukan apa yang telah dan akan dirancang, kita mahu ada perubahan serta komited dari segi tanggungjawab," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Syikin tidak pernah jemu melukis

Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT

Oleh Nik Jasni Che Jaafar

Cintanya terhadap dunia lukisan sudah berputik sejak kecil lagi. Cinta itu terus berkembang mengiringi kedewasaan seiring dengan peningkatan usia gadis manis ini.

Gemar menjadikan keindahan alam yang penuh warna-warni sebagai subjek utama dalam setiap karyanya, Wan Nur Asyikin Wan Abdullah, 19, sememangnya tidak hanya melukis untuk mengisi masa senggang.

Saya sentiasa menyimpan hasrat untuk pergi jauh dalam bidang ini.

Seni lukisan sebenarnya sangat mudah. Tak perlu banyak berfikir. Yang penting ada minat dan kreativiti.

Itu yang membuatkan saya tidak pernah berasa jemu untuk terus melukis," katanya kepada S2.

Menurut pelajar Tingkatan Enam Atas, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad, Kuala Terengganu itu, ketika masih di bangku sekolah rendah, dia aktif menyertai pertandingan lukisan sehingga ke peringkat daerah.

Walaupun tidak selalunya menang, tetapi saya ambil setiap penyertaan itu sebagai pengalaman untuk meningkatkan lagi kemahiran diri," katanya.

Mesra dengan panggilan Syikin, anak bongsu daripada tiga beradik ini sentiasa berusaha untuk memahirkan diri dalam bidang lukisan.

Apatah lagi, ahli keluarga sentiasa menyokong penuh penglibatannya dalam cabang seni tersebut.

Malah, keluarga saya pernah mencadangkan saya mengikuti kelas seni lukis, tetapi saya tak dapat berbuat demikian kerana halangan masa, apatah lagi saya bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) hujung tahun ini," katanya.

Ujar Syikin, seiring dengan pertambahan usia, dia kini lebih menggemari seni tekstil dan berhasrat menjadikannya sebagai kerjayanya pada masa depan. Sungguhpun begitu, katanya, dia tidak akan sesekali meminggirkan minatnya terhadap lukisan.

Saya meminati corak batik dan amat teruja untuk menjadi seorang pereka corak batik yang disegani suatu hari nanti.

Saya bercadang selepas menduduki peperiksaan STPM, saya ingin memohon untuk mengikuti kursus seni tekstil di Universiti Sains Malaysia (USM)," katanya.

Syikin cuba meyakinkan generasi muda untuk menjadikan seni itu sebagai satu kerjaya pada masa depan.

Bagi saya, bidang seni ini luas skopnya. Jika kita rajin berusaha, apa sahaja yang kita lakukan walaupun hanya dengan melukis pasti akan berjaya. Insya-Allah," katanya penuh makna.

Pilihan selendang

Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT

Oleh MERAN ABU BAKAR

CORAK bunga-bunga kecil turut menjadi hiasan kepada selendang.

SELENDANG merupakan di antara jenis tudung yang paling popular dan disukai oleh ramai wanita yang mengenakan hijab.

Pemakaian selendang dapat dilihat di mana-mana sahaja sama ada di pejabat, bersiar-bersiar, di universiti, kolej dan sebagainya.

Jika suatu masa dahulu ramai yang kurang menyukai memakai selendang kerana cara pemakaian yang mengambil masa lama serta nampak kurang kemas namun kini ramai yang sudah cekap memakai selendang dan boleh siap dalam masa yang singkat sahaja.

Lazimnya selendang lebih disukai oleh golongan muda kerana kelainan yang dapat dilihat pada bentuk wajah si pemakai jika dibandingkan dengan seseorang yang memakai tudung instan.

KEUNIKAN selendang ini yang sarat dengan polkadot pelbagai warna boleh digayakan dengan blaus polos.

Tidak dinafikan wanita atau gadis yang memakai selendang nampak lebih manis dan kemas.

Selain itu, harga sehelai selendang juga lebih murah jika dibandingkan dengan harga sehelai tudung dan mampu dibeli oleh golongan pelajar dan remaja.

Pelbagai corak selendang yang menarik dengan warna-warna kesukaan ramai turut menjadi faktor menyebabkan selendang menjadi pilihan.

Memandangkan minat ramai terhadap selendang, ID Perempuan (Zaiton Alias) kini turut mengeluarkan pelbagai koleksi selendang panjang yang dibuat daripada fabrik-fabrik yang selesa dipakai seperti syifon, net, baldu dan kain kapas.

Selain selendang polos, turut disediakan ialah selendang bercorak dan selendang eksklusif yang ditambah dengan jahitan manik di bahagian atas kepala.

Selendang untuk pelbagai golongan umur ini, iaitu daripada remaja, wanita bekerja dan wanita berusia ini dijual pada harga yang amat berpatutan, iaitu di antara RM39 hingga RM119.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Naik taraf bekalan elektrik

Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

Idris Haron (tiga dari kanan) melihat kad hari jadi yang ditandatangani oleh kakitangan TNB Melaka selepas majlis Kesyukuran sempena pelantikannya sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-10 di TNB Bandar Kaba, Melaka, semalam.

MELAKA 17 Mei - Kerajaan negeri memberi jaminan bekalan elektrik akan diberi penambahbaikan bagi mengurangkan purata masa gangguan elektrik di seluruh negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, kerajaan negeri melalui Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyasarkan untuk mengurangkan purata gangguan bekalan 35 minit setahun kepada sifar minit.

Menurutnya, setakat ini hanya kawasan sekitar Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh purata gangguan bekalan elektrik mencapai sifar minit setahun bagi setiap pelanggan.

''Purata gangguan bekalan elektrik 35 minit setahun menunjukkan Melaka jauh lebih baik dari segi keberkesanan pembekalan elektrik berbanding beberapa negeri lain.

''Oleh itu, TNB Melaka akan menyediakan pelbagai infrastruktur untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dengan sasaran untuk mengurangkan jumlah gangguan purata bekalan elektrik mencapai sifar minit," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan bulanan warga kerja TNB Melaka dan majlis kesyukuran di Ibu pejabat TNB negeri di Banda Kaba dekat sini hari ini.

Kehadiran Idris mengembalikan nostalgia 14 tahun lalu apabila beliau pernah menjawat jawatan sebagai Pengurus TNB Daerah Melaka Tengah pada 1999.

Yang turut hadir Pengurus Besar TNB negeri, Baderul Sham Saad; Pengurus Jabatan Senggaraan Aset, Azmi Md. Yusoff dan Pengurus Kawasan Melaka Barat, Abdos Salam Md. Isa.

Mengulas lanjut Idris berkata, kerajaan negeri turut meminta TNB untuk memindahkan kabel elektrik talian atas voltan rendah kepada kabel bawah tanah di beberapa kawasan khususnya di kawasan tumpuan pelancong di Bandar Hilir.

''Keadaan kabel talian atas yang tidak teratur sedikit sebanyak telah menjejaskan pemandangan di kawasan tumpuan pelancong malah ada talian yang dilihat tidak selamat serta berisiko," ujarnya.

Katanya, beberapa tiang elektrik yang didirikan terlalu dekat dengan jalan raya perlu diubah ke kaki lima atau dijadikan kabel bawah tanah.

Di samping itu ujarnya, satu jawatankuasa pengurusan penyelarasan lampu awam akan dibentuk bagi menyeragamkan penggunaan lampu awam bagi mengindahkan persekitaran bandar raya Melaka.

Menurutnya, jawatankuasa tersebut akan diketuai oleh TNB serta dibantu oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan teknikal yang lain.

Mohd. Razi guna pengalaman sebagai guru curah bakti kepada rakyat

Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT

Mohd. Razi Mohd. Ali (kanan) bersama bekas pelajarnya melihat tanaman yang pernah ditanam dalam satu projek sekolah ketika melawat pelajarnya Sempena Hari Guru di SMK Lui Barat, Jempol, baru-baru ini.

JEMPOL 17 Mei - Pengalaman menjadi pendidik selama 18 tahun masih segar dalam ingatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lui yang baharu, Mohd. Razi Mohd. Ali.

Jika sebelum ini beliau menyambut Hari Guru sebagai seorang pendidik, tahun ini agak berbeza apabila perayaan itu disambut setelah beliau bergelar Yang Berhormat selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) 5 Mei lalu.

Mohd. Razi menjelaskan, beliau memulakan khidmat perguruan pada Mei 2005 dan melepaskan jawatan tersebut April lalu apabila terpilih untuk menjadi calon Barisan Nasional.

''Pada awalnya ibu bapa saya meletakkan cita-cita tersebut dalam diri saya. Mereka mahu salah seorang daripada enam anak mereka bergelar pendidik. Alhamdulillah impian mereka terlaksana apabila saya dan adik menjadi guru.

''Sekolah Menengah Kebangsaan Serting Hilir Kompleks adalah sekolah pertama saya. Waktu itu saya menjadi guru disiplin dan pastinya berdepan dengan pelbagai kerenah pelajar,'' jelasnya.

Katanya, cabaran menjadi guru amat besar dan sebagai ADUN, beliau akan menggunakan pengalaman yang ditimba untuk terus mencurahkan bakti dengan lebih baik.

''Selaras menjadikan negeri ini sebagai lembah ilmu, dengan pengalaman yang ada sebagai guru tentulah hasrat itu akan dilaksanakan sebaik mungkin, termasuk memastikan lebih ramai pelajar cemerlang lahir dari sini," jelasnya.

Mengenai sambutan Hari Guru hari ini kata Mohd. Razi, setiap pendidik wajar berbangga dengan kerjaya dipikul kerana usaha itu adalah satu 'jihad ilmu' yang perlu dilaksanakan tanpa rasa jemu.

''Saya faham, banyak tugas perlu dilakukan oleh guru dalam mendidik pelajar, tetapi percayalah anak didik kita kelak akan berterima kasih di atas bimbingan yang diberikan oleh seorang guru.

''Tambahan pula, nikmat 'guru' itu juga akan dirasai sampai kita telah bersara kerana ilmu yang ada pada guru itu boleh mendidik anak bangsa selagi nyawa dikandung badan," tegasnya.

Mohd. Razi sebelum ini mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Lui Barat dan merupakan Ketua Panitia Sains Pertanian di sekolah tersebut sebelum meletakkan jawatan bertanding dalam PRU-13 sebagai calon BN di DUN Sungai Lui.

Abu Bakar janji majukan negara dalam bidang sains, teknologi

Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT

ABU Bakar Mohamad Diah menyampaikan sumbangan kepada pelajar IPT semasa menjadi Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan/Inovasi) UTeM di Melaka, baru-baru ini.

MELAKA 17 Mei - Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi akan diterjemahkan dengan perkhidmatan terbaik dalam portfolio tersebut.

Menurutnya, pengalaman luas yang ditimba dalam bidang itu ketika menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Inovasi di Jabatan Ketua Menteri akan digunakan untuk membantu Datuk Dr. Ewon Ebin, selaku menteri di kementerian terbabit.

Dalam masa sama katanya, pengalaman selama lima tahun sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan/Inovasi) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) akan digunakan sebaik mungkin untuk memajukan Malaysia dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

''Saya melihat khususnya dalam bidang inovasi, ia boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan utama negara kerana bidang berkenaan ada potensi untuk dimajukan secara menyeluruh.

''Saya pernah menghasilkan 19 produk inovasi di Melaka sewaktu memegang jawatan CEO Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Kreativiti, Inovasi dan Pengkomersialan di Jabatan Ketua Menteri.

''Mengapa tidak, produk inovasi yang saya lihat semakin subur di Malaysia boleh diketengahkan dan diangkat martabatnya khususnya ketika Malaysia menuju negara berpendapatan tinggi," katanya di sini hari ini.

Sambil mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Abu Bakar berkata, beliau akan membalas kepercayaan yang diberikan itu untuk membawa bidang sains, teknologi dan inovasi ke peringkat yang lebih tinggi.

''Pelantikan ini adalah hadiah paling berharga kepada penduduk di Parlimen Tangga Batu kerana sokongan mereka kepada saya sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)," katanya.

Beliau turut mengajak rakyat negara ini yang berpengalaman dalam bidang berkaitan untuk turut menyumbang idea ke arah memantapkan lagi bidang tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Tingkat mutu perkhidmatan

Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT

Oleh ABD. RAZAK OSMAN
utusankedah@utusan.com.my

JAMALUDDIN Saad (empat dari kanan) menyampaikan replika cek RM1,000 kepada Bahdun Salleh dari Kumpulan Pro-star Penjara Alor Setar yang muncul juara Konvensyen KIK Zon Utara di Kelab Cinta Sayang Sungai Petani, Kedah semalam.

SUNGAI PETANI 17 Mei - Jabatan Penjara Malaysia (JPM) sentiasa berusaha menambah baik layanan terhadap semua banduan di 39 buah penjara di seluruh negara berdasarkan prosedur undang-undang yang ditetapkan.

Pengarah Bahagian Pengurusan Banduan JPM, Komisioner Penjara, Jamaluddin Saad berkata, banduan tidak mungkin merungut jika mereka menerima layanan baik dari segi tempat tinggal, makan minum, perubatan dan penginapan.

"Pelbagai idea baharu terus diguna pakai bagi membaiki mutu perkhidmatan di setiap penjara," katanya ketika menutup dan menyampaikan hadiah Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Zon Utara di Kelab Cinta Sayang Sungai Petani di sini semalam.

Kira-kira 200 kakitangan penjara dari Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang menghadiri konvensyen itu.

Mengulas mengenai konvensyen tersebut, Jamaluddin berkata, banyak bahan menarik berjaya diketengahkan oleh peserta melalui pertandingan reka cipta yang diadakan dan boleh dijadikan panduan serta kegunaan pihak penjara.

Menurutnya, kerusi pengimbas pernah diperkenalkan peserta kumpulan dan telah diguna pakai oleh pihak penjara bagi memastikan banduan boleh dikesan apabila menggunakan bahan-bahan terlarang seperti dadah dan rokok.

"Malah sesetengah produk terpilih di negara ini hendak diguna pakai oleh penjara di beberapa buah negara asing termasuk Jepun, Hong Kong, Indonesia, Thailand, bagaimanapun kita belum memberi persetujuan mengenainya," kata beliau.

Dalam perkembangan lain, katanya, beliau melahirkan rasa bangga kerana JPM pada tahun lalu telah meraih kemenangan yang amat membanggakan apabila berjaya merangkul hampir keseluruhan kategori dipertandingkan pada Hari Inovasi Kementerian Dalam Negeri.

Pada pertandingan kali ini, Kumpulan Pro-Star dari Penjara Alor Setar, Kedah muncul pemenang pertama menerusi reka cipta alat keselamatan cota menewaskan sembilan pasukan lain.

Kumpulan itu menerima hadiah RM1,000 manakala tempat kedua dimenangi oleh Kumpulan Pride Penjara Pokok Sena dengan reka cipta alat pencuci makanan (RM750) manakala ketiga, Pasukan Northern King Pusat Koreksional Perlis sekali gus membawa pulang wang tunai RM500.

Karnival Kahwin-Kahwin, Pesta Makanan Tradisional Negeri Kedah 2013 kembali

Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT

WAN Ahmad Muazzam Wan Ismail (dua dari kanan) menyerahkan cek tajaan sebanyak 5,000 naskhah Utusan Malaysia kepada Eksekutif Jualan Utusan Melayu (M) Berhad Alor Setar, Mohd. Shukri Hamad (empat dari kiri) di Perkampungan Tradisional Gunung Keriang, Alor Setar semalam.

ALOR SETAR 17 Mei - Seri Panglima Sdn. Bhd. (SPSB) menaja 5,000 naskhah Utusan Malaysia sempena 'Karnival Kahwin-Kahwin dan Pesta Makanan Tradisional Negeri Kedah 2013' yang akan berlangsung di Perkampungan Tradisional Gunung Keriang pada 24 hingga 25 Mei ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SPSB, Wan Ahmad Muazzam Wan Ismail berkata, karnival yang bertemakan perkahwinan dalam taman itu diadakan setelah mendapat sambutan dan sokongan menggalakkan pada tahun lepas.

Katanya, selain Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, karnival kali ini turut mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri Kedah dan Muzium Negeri Kedah Darul Aman.

"Penganjuran Karnival Kahwin-Kahwin dan Pesta Makanan Tradisional Negeri Kedah 2013 kali ini memberi kelainan di mana konsep perkahwinan dalam taman merupakan satu trend baharu khususnya di negeri-negeri utara Semenanjung.

"Karnival kali ini ingin menampilkan lebih kepada perkahwinan 1Malaysia dan antarabangsa," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurutnya, apa yang menarik, karnival itu diadakan dalam kawasan resort yang berkeluasan 24 hektar di Gunung Keriang.

Turut diadakan, pertandingan masak kawah yang akan menampilkan empat buah kampung terpilih, demonstrasi masakan, pertandingan mewarna bersama Upin dan Ipin, pertandingan andaman pengantin, pertandingan fotografi serta kugiran.

"Selain itu, pihak muzium juga akan mengadakan pertandingan memasak Master Chef," ujarnya.

Tambah Wan Ahmad Muazzam, acara kemuncak adalah majlis resepsi pasangan pengantin yang akan berkahwin dan disandingkan pada majlis tersebut yang mendapat sentuhan perunding perkahwinan terkenal iaitu Rizalman Ibrahim.

Ujarnya, sepanjang karnival yang bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam itu, pengunjung akan dihiburkan oleh artis ternama tanah air seperti Black Mentor, Jay Jay dan ramai lagi serta berpeluang membawa pulang hadiah cabutan bertuah bernilai RM10,000.

Sebarang maklumat lanjut boleh melayari Facebook, Karnival Kahwin-Kahwin Kedah atau hubungi talian 04-7723838/3939.

Pejalan kaki penyumbang ketiga tertinggi kematian

Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT

S. JEGAN (kanan) bersama pegawainya membantu orang awam melintas jalan sempena kempen keselamatan pejalan kaki di Seberang Jaya, Pulau Pinang semalam.

PERMATANG PAUH 17 Mei - Sikap tidak mengambil berat segelintir masyarakat yang tidak menggunakan lintasan pejalan kaki menyumbang kepada statistik kemalangan dan kematian.

Malah di Pulau Pinang, golongan pejalan kaki merupakan kumpulan ketiga tertinggi dilaporkan maut dalam kemalangan jalan raya selepas penunggang motosikal dan pemandu kereta.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, S. Jegan berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 32 daripada 401 kes kemalangan maut di Pulau Pinang melibatkan pejalan kaki.

"Pejalan kaki lebih terdedah kepada bahaya kerana mereka tidak mempunyai sebarang alat perlindungan bagi melindungi mereka sekiranya terlibat dalam kemalangan.

"Oleh itu kesedaran orang ramai amat perlu bagi menggunakan lintasan belang ketika melintas dan tidak melintas sesuka hati terutama di laluan utama seperti lebuh raya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Pejalan Kaki sempena Minggu Keselamatan Jalan Raya 2013 peringkat negeri di hadapan pusat beli belah Sunway Carnival di sini hari ini.

Kempen bertemakan 'Utamakan Pejalan Kaki, Anda Mampu Mengubahnya' itu diadakan bagi mendidik orang ramai terutamanya pejalan kaki agar lebih mengutamakan keselamatan dengan lebih berhati-hati semasa melintas jalan raya.

Kempen itu diadakan di seluruh negeri bermula 11 Mei lalu hingga 19 Mei ini dengan kerjasama daripada Jabatan Pengangkutan Jalan, Majlis Perbandaran Seberang Perai, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Institut Memandu Melati.

Selain itu katanya, jika pejalan kaki terlibat dalam kemalangan di lokasi yang bukan dikhaskan untuk pejalan kaki, mereka bukan sahaja tidak dilindungi oleh undang-undang tetapi turut tidak layak untuk menuntut sebarang pampasan insurans.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Tidak timbul isu tunduk kepada mana-mana pihak - MB

Posted: 18 May 2013 01:29 AM PDT

JOHOR BAHARU 18 Mei - Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menegaskan, tidak timbul isu mana-mana wakil atau kaum yang bersikap tunduk kepada mana-mana pihak dalam soal pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat kerajaan negeri (Exco) Johor.

Ini kerana, kata beliau, pembentukan kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) itu adalah berlandaskan konsep kerjasama dan muafakat antara semua kaum.

"Konsep kita (kerajaan negeri) ialah berlandaskan konsep kerjasama dan muafakat. Bukan soal subservient (tunduk) dan sebagainya. Apa yang MCA lakukan (menerima jawatan exco) adalah patuh dengan titah tuanku dan bukannya tunduk kepada kehendak UMNO.

"Jadi tiada isu di situ kerana jelas penerimaan jawatan itu adalah untuk menghormati titah baginda," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Johor di Pusat Islam Iskandar Johor di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kritikan pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham ke atas MCA melalui akaun Twitternya pada 15 Mei.

Koo Ham yang turut mengatakan MCA tunduk kepada UMNO membuat kritikan itu berikutan kenyataan MCA berhubung pelantikan wakil MCA iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong sebagai Exco Johor. - BERNAMA

Zambry umum barisan Exco Kerajaan Negeri Perak

Posted: 18 May 2013 01:21 AM PDT

IPOH 18 Mei - Berikut adalah senarai penuh Exco Kerajaan Negeri Perak yang diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dalam satu sidang akhbar sebentar tadi.

Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir - Pengerusi Jawatankuasa Agama, Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam

Datuk Saarani Mohamad - Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid- Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor

Datuk Zainol Fadzi Paharuddin - Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air

Datuk Rusnah Kassim - Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Integrasi Nasional

Datuk Shamsudin Abu Hassan - Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil

Mohd. Nizar Zakaria - Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan Koperasi

Nolee Ashilin Mohammed Radzi - Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan

Dr. Muhammad Amin Zakaria - Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau

Datuk Shahrul Zaman Yahya - Pengerusi Jawatankuasa Sukan, Komunikasi dan Multimedia

- UTUSAN ONLINE

Jumlah kontraktor Kelas F disenarai hitam meningkat

Posted: 17 May 2013 11:09 PM PDT

KOTA BHARU 18 Mei - Jumlah kontraktor kelas F yang disenarai hitam oleh Suruhanjaya Perumahan Negara Berhad (SPNB) meningkat lebih enam kali ganda atau sebanyak 640 peratus iaitu seramai 888 berbanding hanya 120 orang pada tahun 2011.

Pengarah Urusan SPNB, Datuk Dr. Kamarul Rashdan Salleh berkata, peningkatan drastik itu agak membimbangkan memandangkan hampir kesemua mereka terdiri daripada kontraktor yang baharu menceburi bidang itu dan dikategorikan dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurut beliau, kesemua kontraktor berkenaan terpaksa disenarai hitam selepas projek yang dijalankan terbengkalai meskipun SPNB memberi banyak kelonggaran termasuk tempoh lanjutan, namun masih gagal dipatuhi.

Sehubungan itu katanya, SPNB memperkenalkan beberapa langkah segera untuk mengatasi masalah itu kerana mengambil kira masa depan kontraktor terbabit terutama yang baharu memulakan perniagaan masing-masing.

"Daripada 8,914 kontraktor yang ada kira-kira 10 peratus telah disenarai hitam. Pada 2011 saya pernah nyatakan 120 disenarai hitam tetapi hari ini meningkat kepada 888 jadi kita tidak merasa gembira dengan angka ini kerana kebanyakan mereka adalah kontraktor muda yang baharu mula dan terlibat dalam PKS.

"Kemungkinan besar masalah dihadapi disebabkan kurang pengalaman dan kurang tenaga kerja jadi macam mana kita mahu lahirkan usahawan baharu kalau baru mula sudah terjejas," katanya dalam sidang akhbar selepas berucap pada program Siri Ceramah Pengerusi-Pengerusi Global 2013 bertemakan Keusahawanan dan Pengurusan Risiko di sini. - UTUSAN ONLINE.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Timur

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


RM800,000 bantu rakyat miskin

Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT

PASIR PUTEH 17 Mei- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memperuntukkan dana khusus sebanyak RM800,000 bagi membantu rakyat miskin di sepanjang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidil Fitri tahun ini.

Ketua Pegawai Baitulmal dan Pembangunan MAIK, Nik Mohamed Noor Nik Ishak berkata, kumpulan sasaran yang layak menerimanya akan diagihkan bantuan berjumlah antara RM200 hingga RM3,000 seorang bagi meringankan beban mereka menjalani ibadat puasa dan persediaan menyambut hari raya.

"Mereka boleh mengisi borang yang boleh diperoleh menerusi Imam Mukim masing-masing atau Imam Jajahan di seluruh Kelantan mulai sekarang bagi membolehkan MAIK mendapatkan data yang lengkap sebelum agihan itu dilaksanakan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada orang kurang upaya (OKU), Efendi Fauzi, 50, di Kampung Surau di sini kelmarin.

Efendi yang lumpuh kedua-dua belah kaki sejak 10 lalu menerima bantuan wang tunai sebanyak RM2,000 hari ini bagi membeli barangan keperluan harian.

Nik Mohamed berkata, imam selaku pemimpin setempat bertanggungjawab mengesahkan kelayakan anak mukim di kawasan masing-masing secara adil dan telus dengan memusatkan perhatian utama terhadap tahap kemiskinan pemohon.

"MAIK akan mengagihkan bantuan dalam bentuk bekalan makanan atau lain-lain keperluan bagi membantu setiap penerima berbelanja untuk berbuka puasa atau menyambut hari lebaran," katanya.

Mengenai bantuan lanjut kepada Efendi beliau berkata, MAIK akan pertimbangkan untuk memberi sebuah motosikal beroda empat yang diubah suai bagi kegunaannya untuk berulang-alik ke Masjid Ibrahimi kira -kira 1.2 kilometer dari rumahnya.

Efendi ketika ditemui selepas itu berkata, ini pertama kali beliau menerima bantuan seperti itu sejak 10 tahun lepas dan merasa terharu di atas keprihatinan MAIK yang memberikan sumbangan itu.

"Sumbangan ini meringankan beban saya yang hanya bergantung mengambil upah mengurut dengan pendapatan yang tidak menentu bagi menampung kos hidup di samping menanggung seorang ibu yang telah tua," katanya.

Belia Kelantan terus diperkasa - Makhtar

Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT

Makhtar Mustapha (berdiri, lima dari kiri) bersama sebahagian anggota pertubuhan belia yang menerima anugerah pada sambutan Hari Belia Negara peringkat Kelantan di Pasir Puteh, kelmarin.

PASIR PUTEH 17 Mei - Kerajaan Pusat akan terus memperkasa keupayaan lebih 35,000 belia yang bernaung di bawah 350 pertubuhan belia di negeri ini bagi mencapai Wawasan Belia Negara.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha berkata, usaha itu juga bagi memastikan belia terbabit dapat mencapai kecemerlangan dalam pelbagai aspek melibatkan sahsiah diri, ekonomi dan bidang keusahawanan.

Menurut beliau, bagi menjayakan matlamat tersebut, Kerajaan Pusat telah menyalurkan bantuan sebanyak RM100,000 kepada Majlis Belia Kelantan dan RM50,000 kepada 10 buah Majlis Belia Jajahan (MBJ) bagi melaksanakan pelbagai aktiviti sepanjang tahun ini.

"JPP Kelantan pula akan sentiasa menyalurkan bantuan tambahan yang diperlukan untuk menjayakan program-program tertentu yang memberi impak dan manfaat kepada belia setempat," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan di sini semalam.

Majlis berkenaan turut menyaksikan Saupi Tengah, 32, dari MBJ Kuala Krai dinobatkan sebagai Belia Lelaki Cemerlang manakala Zuraihah Muhammad, 28, dari Persatuan Belia Kastria (MAYC) Kampung Kuala Nal, Kuala Krai pula dipilih sebagai Beliawanis Cemerlang.

Mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak RM3,000.

Anugerah Pertubuhan Belia Cemerlang negeri pula disandang oleh Persatuan Belia Felda Kemahang 2, Tanah Merah dan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 sementara naib johan, Gerakan Belia 4B Malaysia Cawangan Sega Machang menerima wang tunai RM5,000.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Belia Negeri (JBN) Kelantan, Md. Sulji Zakaria.

Makhtar berkata, JPP Kelantan sentiasa memberi galakan kepada kepimpinan belia di peringkat MBK dan MBJ untuk mengadakan pelbagai kursus dan seminar ekonomi ke arah melahirkan lebih ramai usahawan muda yang berjaya.

"Saya difahamkan setakat ini JBN Kelantan berupaya melahirkan kira-kira 60 usahawan muda dalam pelbagai bidang setiap tahun," katanya.

Beliau berkata, pemimpin belia perlu membimbing dan membuka ruang yang luas kepada ahlinya untuk berdikari dan melaksanakan pelbagai projek seperti perniagaan runcit dan borong, perkhidmatan, pembekalan dan kemahiran.

Penglibatan mereka dalam bidang-bidang berkenaan kata Makhtar lagi, mampu menjana keuntungan selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada ahli dalam kalangan belia tempatan.

Jelasnya, pelbagai agensi kerajaan seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional dan syarikat kewangan tertentu turut bersedia menawarkan pinjaman mudah kepada usahawan belia yang berdaya maju.

MAIK agih zakat bantu mangsa kebakaran

Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT

Nik Mohamed Noor Nik Ishak (kanan) menyampaikan bantuan zakat kepada mangsa kebakaran di Jalan Tanjung Mas, Kota Bharu, kelmarin.

KOTA BHARU 17 Mei - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah mengagihkan wang zakat sebanyak RM500 hingga RM2,000 bagi membantu enam buah keluarga di Kampung Pengkalan Chepa dan Jalan Tanjung Mas dekat sini yang hilang tempat tinggal dalam kebakaran pada Isnin lalu.

Bantuan zakat itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Baitulmal dan Pembangunan MAIK, Nik Mohamed Noor Nik Ishak ketika mengadakan lawatan ke rumah keluarga berkenaan.

Menurut Nik Mohamed Noor, penderitaan keluarga terbabit yang hilang tempat tinggal telah mendapat perhatian Yang Dipertua Maik, Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fai-iz Petra.

Beliau berkata, baginda yang cakna dengan masalah keluarga terbabit telah meminta Maik menyegerakan pemberian wang zakat tersebut untuk meringankan beban mereka.

"Kita sentiasa komited dalam membantu golongan yang layak menerima bantuan zakat selaras dengan kehendak Tengku Mahkota yang mahu mereka terus dibantu.

"Pihak kami bersimpati dengan nasib dialami tiga keluarga ini. Harapan kami agar bantuan kecemasan ini dapat meringankan beban ditanggung mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan zakat semalam.

Yang turut hadir, Pegawai Urusan Sumber MAIK, Nik Fazul Fazlee Nik Othman.

Sementara itu, seorang penerima, Che Zuriana Hartini Awang, 32, memberitahu, dia terharu dan berterima kasih kepada pihak Maik di atas bantuan wang zakat tersebut.

"Saya bersyukur di atas sumbangan ini. Dengan ini dapatlah kami sekeluarga menikmati hidup yang lebih selesa selepas ini," ujarnya yang sarat mengandung lapan bulan.

Menurut Che Zuriana dalam kejadian pada hari Isnin lalu, dia sekeluarga bukan sahaja hilang rumah malah harta benda menyebabkan mereka kerugian kira-kira RM200,000.

"Api yang marak pada waktu itu menyebabkan saya hanya sempat menyelamatkan beg tangan yang mengandungi sedikit wang serta MyKad, lain-lain semuanya hangus terbakar.

"Buat sementara waktu, saya dan keluarga tinggal di rumah bapa mentua," katanya sayu.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Tunggu tindakan tegas - Zahid Hamidi

Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Khairy turut pelawa pembangkang

Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Ibu pejabat korporat baharu Kumpulan Utusan siap sepenuhnya

Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved