Isnin, 13 Mei 2013

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Kuala Lipis bakal miliki IPT

Posted: 13 May 2013 12:22 PM PDT

Oleh Ali Mahmood
utusanktn@gmail.com

KUALA LIPIS 13 Mei - Kerajaan negeri merizabkan tanah seluas 400 hektar di Benta di sini bagi pembinaan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang menawarkan kursus kejuruteraan perlombongan dengan kerjasama beberapa universiti dari luar negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak (gambar) berkata, pemilihan Dewan Undangan Negeri (DUN) Benta sebagai tapak IPT itu berikutan daerah ini merupakan kawasan perlombongan yang kaya dengan kandungan mineral seperti bijih besi dan emas.

Menurutnya, ketika ini terdapat dua lombong emas di Empang Jalil yang dikendalikan sebuah syarikat dari Indonesia, J. Resources dan di Selinsing pula diuruskan oleh syarikat dari Kanada.

"Syarikat J. Resources bersedia menjadi penggerak utama penubuhan IPT itu dengan kerjasama universiti luar negara.

"Kita menyediakan tanah 400 hektar untuk pembinaan IPT tersebut dan diharap memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk di sekitar kawasan ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mohd. Soffi berkata, beliau berharap penubuhan institusi itu nanti bukan sahaja merancakkan lagi industri perlombongan tetapi turut memberikan manfaat kepada penduduk tempatan.

Tambahnya, sudah tentu apabila sesuatu IPT dibuka, maka peluang pekerjaan dan ekonomi turut terbentang luas kepada masyarakat di sini.

Dalam pada itu, beliau yakin daerah ini akan terus membangun apabila Jalan Lingkaran Tengah (CSR) dari Simpang Pelangai, Bentong ke Kuala Krai yang kini dalam pembinaan siap mengikut jadual.

Pengorbanan ibu dihargai

Posted: 13 May 2013 12:22 PM PDT

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
nahar.latib@utusan.com.my

Siti Rukiyan Arshad memeluk ibunya, Saudah Nayan yang turut menerima bunga sempena Hari Ibu di HTAA, Kuantan, kelmarin.

KUANTAN 13 Mei - Kasih ibu membawa ke syurga, itulah ungkapan yang sering kita dengar berkaitan dengan kasihnya individu yang melahirkan kita.

Tiada lebih berharga dan tinggi nilainya melainkan curahan kasih sayang seorang insan yang bergelar ibu.

Walau apa sekalipun panggilan kita kepada insan istimewa ini sama ada emak, mama, bonda atau umi, budi mereka dalam membelai kita tiada bandingan dan penghujungnya.

Malah, kasih sayang mereka tidak pernah bersempadan walau siapa kita sekalipun.

Insan suci ini tidak pernah membezakan anak-anaknya walaupun ada dalam kalangan cahaya mata tidak pernah menggembirakan hati mereka.

Kasihnya yang setinggi gunung tidak pernah terhakis walaupun seinci biarpun seribu kesilapan yang dilakukan anak-anak terhadapnya.

Tidak kira manusia atau haiwan, spesies keturunan, kaum mahupun agama kepercayaan, naluri keibuan adalah asli, lahir secara semula jadi tanpa sebarang paksaan.

Mungkin bersempena dengan kasihnya ibu yang tiada batasan, Hari Ibu disambut oleh lapisan masyarakat di seluruh dunia.

Atas dasar itulah, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) negeri mengambil inisiatif mengedarkan bunga kepada pesakit wanita di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sempena sambutan Hari Ibu.

Sebanyak 300 kuntum bunga ros diedarkan di Wad Bersalin dan Wad Wanita hospital berkenaan sebagai penghargaan kepada para ibu atas pengorbanan membesarkan anak mereka.

Pemangku Pengarah LPPKN Pahang, Siti Asmad Zakarni berkata, program ini bertujuan memberikan penghargaan kepada para ibu atas jasa yang tidak ternilai kepada keluarga masing-masing.

Katanya, pendekatan tersebut dibuat kerana bunga melambangkan sanjungan kepada kaum ibu yang secara langsung atau tidak langsung telah berjasa kepada kemajuan negara dengan mendidik anak-anak mereka sehingga berjaya.

"Mereka bukan setakat memainkan peranan di peringkat keluarga, malah dalam bidang pendidikan dan dunia pekerjaan seiring dengan golongan bapa sejak merdeka lagi," katanya ketika ditemui semalam.

Menurut beliau, sebanyak 24 orang terlibat dalam aktiviti itu yang turut membabitkan agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Pahang.

"Dengan pemberian bunga ini diharap kesakitan para pesakit wanita yang sedang dirawat di HTAA dapat dikurangkan," katanya.

Sementara itu seorang pesakit, Saudah Nayan, 57, melahirkan rasa gembira kerana ini merupakan pertama kali menerima penghargaan ketika meraikan Hari Ibu.

"Setiap penghargaan yang diterima merupakan satu perangsang untuk saya sembuh daripada penyakit ini demi masa depan anak-anak dan keluarga.

"Dahulu sambutan Hari Ibu seakan tidak membawa apa-apa erti kepada masyarakat dan ada kalanya tidak dipedulikan, namun perkembangan ini membuatkan saya rasa gembira dan berharap dapat diteruskan pada masa depan," katanya.

Katanya, sebagai seorang ibu, dia tidak pernah meminta sebarang balasan terhadap sumbangan yang telah dilakukan untuk membesarkan anak-anak.

Bagi anaknya, Siti Rukiyan Arshad, 24, berkata, dia gembira kerana ada pihak yang sanggup datang melawat ibunya untuk meraikan Hari Ibu.

"Memang saya sedih melihat keadaan ibu saya yang sakit buah pinggang, namun dengan kedatangan mereka ini mengurangkan sedikit kesedihan tersebut.

"Terima kasih kepada LPPKN kerana sudi memberikan bunga kepada ibu sempena Hari Ibu ini. Ini secara tidak langsung dapat meringankan beban kesakitan yang dialami beliau," katanya.

Ibu bapa perlu beri layanan adil kepada anak-anak - Adnan

Posted: 13 May 2013 12:22 PM PDT

Adnan Yaakob bergambar bersama pelajar, ibu bapa serta kakitangan Felda dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang PMR dan SPM 2012 Wilayah Mempaga di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, Bentong, semalam.

BENTONG 13 Mei - Ibu bapa perlu memberikan layanan yang adil dalam pendidikan dan tidak membezakan kasih sayang terhadap anak-anak supaya dapat membentuk mereka sebagai manusia serta modal insan berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, setiap anak mempunyai kelebihan serta kekurangan dalam diri masing-masing walaupun ada antara mereka yang cemerlang dalam akademik dan sebaliknya.

Katanya, dalam keghairahan ibu bapa memberikan pendidikan terbaik, mereka jangan mengabaikan nasib anak yang kurang berjaya dalam akademik.

"Memang kalau boleh kita semua mahu anak-anak kita cemerlang dalam akademik supaya menjadi insan berkelulusan tinggi tetapi kecemerlangan itu belum pasti menjamin mereka terdidik sehingga menjadi insan berguna.

"Kepada para pelajar pula, saya ingin nasihatkan jangan terlalu mengejar kecemerlangan sehingga jasa ibu bapa dan guru termasuk kerajaan yang selama ini membantu serta menyokong mereka sehingga berjaya seperti hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 Wilayah Mempaga di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini semalam.

Dalam majlis itu, seramai 128 pelajar terdiri daripada anak-anak dan cucu peneroka Felda Wilayah Mempaga menerima sijil penghargaan kecemerlangan daripada pengurusan Felda.

Menurut Adnan, pelajar yang kurang cemerlang akademik juga boleh dilatih sebagai modal insan dalam bidang kemahiran sehingga mampu melahirkan mereka sebagai pekerja terlatih pada masa depan.

Katanya, kejayaan di peringkat PMR dan SPM hanya merupakan jambatan sebelum menempuh pembelajaran lebih mencabar di peringkat institut pengajian tinggi.

"Saya berharap pelajar cemerlang perlu belajar dan berjaya secara konsisten sehingga berjaya memperoleh kelulusan di peringkat ijazah dan Doktor Falsafah (Ph.D)," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Mahkamah Rayuan batalkan saman ibu tunggal

Posted: 13 May 2013 12:21 PM PDT

PUTRAJAYA 13 Mei - Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan saman yang difailkan oleh 2,020 ibu tunggal di Selangor terhadap kerajaan negeri tersebut dan Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung pembayaran elaun RM100 terhadap mereka.

Dengan keputusan itu, saman responden agar kerajaan negeri mengotakan janji pemberian elaun yang terkandung dalam manifesto pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), tidak akan diteruskan dengan perbicaraan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus memutuskan demikian secara sebulat suara setelah membenarkan rayuan kerajaan negeri Selangor dan Abdul Khalid.

Hakim Mohd. Hishamudin yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Hakim Datuk Mohamad Ariff Mohd. Yusof turut memerintahkan pihak responden membayar kos RM1,000.

Hakim Mohd. Hishamudin menyatakan, kuorum berkenaan bersetuju dengan penghujahan peguam-peguam perayu bahawa manifesto kerajaan pembangkang berhubung pemberian elaun bukan satu kontrak yang mengikat dari segi undang-undang.

Sebelum itu, mahkamah diberitahu oleh peguam-peguam perayu bahawa manifesto itu bukan sesuatu yang mengikat kerana pihak-pihak yang bersetuju dengannya tertakluk kepada remedi politik, bukan remedi undang-undang.

Mahkamah turut bersetuju bahawa kes golongan ibu tunggal itu turut melibatkan isu had masa kerana mereka sepatutnya memfailkan saman dalam tempoh tiga tahun seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Kerajaan pembangkang itu dan menteri besarnya merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Januari lalu yang menolak permohonan mereka untuk membatalkan saman berkenaan.

Hakim Datuk Yaacob Md. Sam membuat keputusan tersebut setelah mendapati kumpulan ibu tunggal itu selaku pihak plaintif mempunyai asas dalam membuat tuntutan tersebut.

Pengerusi Ibu Tunggal Selangor, Murtini Kasman yang mewakili 2,020 ibu tunggal mendakwa, defendan pertama berjanji kepada rakyat Selangor termasuk mereka untuk memberi elaun bulanan kepada ibu tunggal sekiranya defendan pertama memenangi pilihan raya umum 2008.

Pada 22 November tahun lalu, Murtini mengemukakan saman bagi menuntut tunggakan elaun bulanan berjumlah RM10.9 juta yang dijanjikan dalam manifesto tersebut.

Perayu-perayu diwakili oleh peguam-peguam Salim Bashir dan A. Vishnu Kumar, manakala pihak responden oleh Walter Pereira.

Pemandu teksi didenda rosakkan bendera BN

Posted: 13 May 2013 12:21 PM PDT

Mohd. Yusri Yahaya dihukum denda RM1,000 selepas mengaku bersalah atas tuduhan merosakkan 90 bendera Barisan Nasional di Mahkamah Majistret Ampang, dekat Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/NASIRUDDIN YAZID

KUALA LUMPUR 13 Mei - Gara-gara mematah serta mencampak 90 bendera Barisan Nasional (BN), April lalu, seorang pemandu teksi didenda RM1,000 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini.

Majistret Ayuni Izzati Sulaiman, menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd. Yusri Yahaya, 32, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di tepi jalan Pandan Indah, berhadapan Masjid Indah, Ampang Jaya, dekat sini kira-kira pukul 4 petang, 9 April lalu.

Bakal pengantin itu didakwa melakukan khianat dengan mematah dan mencampakkan 90 helai bendera BN yang berada di bawah kawalan Ketua UMNO Cawangan, Sri Merpati, A. Rahim Md. Deris, 60, dengan anggaran kerugian RM500.

Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene mengemukakan pertuduhan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam itu mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sebelum menjatuhkan hukuman itu, Ayuni Izati sempat menasihati Mohd. Yusri agar tidak mengulangi perbuatannya itu kerana walaupun perkara itu remeh tetapi kesannya boleh menyebabkan seseorang itu dihadapkan ke mahkamah.

"Saya berharap hukuman ini akan menjadi pengajaran dan kamu tidak akan buat lagi. Harap jadikan perkara ini sebagai pengajaran, insaf dan tidak buat lagi," katanya.

Mengikut fakta kes, ketika pengadu, A. Rahim sedang memasang bendera di tepi jalan Pandan Indah berhadapan Flat Sri Merpati, beliau nampak tertuduh sedang merosakkan 90 helai bendera BN yang dipasangkan di kawasan tersebut.

Beliau kemudiannya menghampiri tertuduh bagi menghalangnya daripada meneruskan perbuatan itu tetapi tertuduh terus memasuki teksinya dan beredar.

Mohd. Yusri membayar denda tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Megabait

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Megabait


Q10 kekal papan kekunci QWERTY

Posted: 12 May 2013 11:30 PM PDT

Oleh NOOR DIANA AZIS
Gambar MOHD AZIM ABD RAHMAN

Annamalai Muthu dan peragawati Blackberry menunjukan model terbaru Blackberry Q10 pada Majlis pelancaran telefon pintar tersebut di Petaling Jaya, baru-baru ini

JIKA sebelum ini BlackBerry memperkenalkan telefon bimbit pintar yang sedikit 'lari' daripada konsep asal peranti tersebut melalui pengenalan kepada Z10, kini jenama itu tampil dengan konsep asal papan kekunci QWERTY lengkap menerusi Q10.

Peranti dengan perisian BlackBerry 10 ini direka bersama teknologi 'Balance' yang berfungsi untuk mengasingkan sekali gus melindungi data-data kerja dan kegunaan peribadi.

Menurut Pengarah Negara Malaysia bagi Blackberry, Annamalai Muthu, Q10 turut dilengkapi dengan pelbagai sokongan aplikasi BlackBerry 10 seperti BlackBerry Hub dan Peek.

"Aplikasi peribadi e-mel dan gambar juga ditempatkan di ruang Personal bagi membolehkan pengguna menukar dari satu profil ke profil yang lain dengan selamat.

"Selain itu bentuk fizikal yang direka dengan skrin sedikit kecil dilihat bersesuaian untuk peranti kekunci fizikal QWERTY," katanya pada majlis memperkenalkan BlackBerry Q10 di ibu negara baru-baru ini.

Menariknya peranti ini, ia turut disertakan dengan skrin sentuh dan papan kekunci yang dilihat memberi nafas baru kepada trend cita rasa pengguna masa kini yang gemar mempelbagaikan penggunaan telefon bimbit pintar mereka.

Selain itu, terdapat fungsi 'Story Maker' yang berfungsi menghasilkan ciri interaktif sebagai aplikasi tambahan bagi memberi pengalaman unik kepada pengguna untuk mencipta sendiri kandungan interaktif dengan lebih mudah.

BlackBerry Q10 yang mempunyai dua pilihan warna iaitu putih dan hitam ditawarkan melalui pakej telekomunikasi Celcom dan Maxis akan berada di pasaran bermula pertengahan Mei dengan harga pengenalan RM 2,388.

Bagi mereka yang inginkan maklumat lanjut boleh layari laman web www.blackberry.com.my

Ringan dan bergaya

Posted: 12 May 2013 11:30 PM PDT

DIREKA khas untuk memudahkan pendidik untuk mengajar, Dell Latitude 3330 memiliki pelbagai aplikasi bagi memenuhi keperluan sistem pembelajaran masa kini.

Mudah dipasang, Dell Latitude 3330 juga mudah diintegrasikan bersama kemudahan infrastruktur teknologi maklumat (IT) di sekolah, mengurangkan masa dalam kelas dan juga menjimatkan wang.

Dell Latitude 3330 juga lebih ringan, bergaya dan rekaan yang teguh bagi memudahkan penggunanya biarpun yang berusia lebih muda.

Malah Dell Latitude juga sesuai untuk diletakkan di atas meja pelajar, beg, dan mudah untuk dibawa kemana-mana.

Sebagai tambahan, kuasa baterinya juga turut dinaik taraf mampu bertahan sehingga seharian.

Mampu milik, produktiviti tinggi dan juga pembelajaran interaktif, Dell membangunkan Latitude 3330 bagi meningkatkan kemudahan untuk menggunakan teknologi dalam persekitaran IT.

Komputer riba itu juga turut menyokong sepenuhnya Microsoft Windows 8, Windows 7, dan Linux Ubuntu bagi memudahkan proses berkongsi maklumat sama ada di sekolah mahupun di rumah.

Dibina berdasarkan reputasi Dell's Latitude, komputer riba yang terbaru dilengkapi bersama paparan skrin anti silau seluas 13.3 inci.

Selain itu, komputer tersebut turut dilengkapi bersama kamera web HD 720, sokongan WiDi untuk kolaborasi dengan kelas yang sebenar.

Latitude 3330 turut tersedia bersama unit penyimpanan yang bermula daripada cakera keras standard sehinggalah kepada berprestasi tinggi yang memiliki daya ketahanan maksimum.

Dilengkapi bersama aplikasi VGA, HDMI, USB3.0 dan pilihan pelantar tambahan USB, komputer riba baru itu boleh disambungkan dengan mudah kepada pelbagai persekitaran dan ruang bilik.

Dell juga menawarkan solusi keselamatan efektif, pengurusan dan juga produktiviti pengguna.

Pelan pelindungan data atau Encryption juga turut disediakan bersama Latitude 3330 bagi memudahkan penggunaannya di kalangan usahawan dan juga pelajar.

Sebagai tambahan, Latitude 3330 didatangkan bersama kelengkapan automasi lengkap bagi membantu juruteknik IT memasang, memantau serta mengemaskini sistem dengan lebih berkesan.

Syarikat itu juga turut bekerjasama dengan Dell KACE dan juga Microsoft System bagi membantu memudahkan pemasangan, mempercepatkan konfigurasi serta memudahkan mengemas kini sesuatu pengurusan.

Dell Latitude 3330 kini boleh didapati di pengedar yang sah pada kadar harga RM2, 100 dan untuk maklumat lanjut anda boleh melayari laman web Dell di www.dell.com.my atau ikuti perkembangan produknya di Twitter @DellEDU.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Sharifah Sakinah minta maaf rakam video berbaur lucah

Posted: 13 May 2013 05:23 AM PDT

Oleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN

SHARIFAH Sakinah mohon maaf...

KUALA LUMPUR 13 Mei.- Pelakon Sharifah Sakinah hari meminta maaf diatas penyebaran video berbaur lucah yang dirakamnya melalui telefon bimbit seorang lagi rakan artis, Anzalna Nasir beberapa hari lalu.

Menegaskan perbuatanya itu sekadar gurauan, Sakinah atau nama sebenarnya Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar, 24, berkata, dia sedikitpun tidak menyangka video yang dimuat naik melalui laman Keek Anzalna itu mengundang kontroversi hebat.

"Saya rasa mungkin sebelum ini tidak ada artis yang berani berbuat begitu, sebenarnya mereka salah faham. Ianya sekadar gurauan.

"Ketika saya merakamkan video berkenaan, Anzalna turut berada bersama saya. Kalau diikutkan memang saya berperwatakan gila-gila, mungkin ramai yang tidak kenal saya sehingga melabelkan saya sebegitu," katanya yang turut memberitahu Anzalna yang memadamkan video tersebut selepas dimuat naik. - UTUSAN ONLINE

Siti Nurhaliza lancar muzik video Galau

Posted: 13 May 2013 01:13 AM PDT

KUALA LUMPUR 13 Mei - Penyanyi popular, Siti Nurhaliza hari ini melancarkan lagu dan muzik video terbaharunya berjudul Galau selepas kejayaan single duetnya Muara Hati bersama Hafiz.

Galau yang berkonsepkan pop ini mengisahkan tentang hubungan dua insan yang saling memerlukan antara satu sama lain sebagai pasangan kekasih.

''Lagu ini berkaitan rasa gundah sang kekasih apabila terpaksa berjauhan dengan orang tersayang,'' kata Siti.

Dalam majlis yang sama, Siti turut mengatakan pihaknya sedang dalam proses pemilihan lagu-lagu untuk album terbaru beliau yang dijangka dikeluarkan akhir tahun ini. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Revolusi hitam dari Taiwan?

Posted: 13 May 2013 12:22 PM PDT

TAN SRI ZAINUDIN MAIDIN ialah Karyawan Tamu Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir, Universiti Utara Malaysia.

PADA permukaan, jelas nampak hubungan diplomatik Malaysia dengan Republik Rakyat China tetapi sebenarnya dalam bidang hubungan rakyat dengan rakyat - yang lebih rapat ialah antara Malaysia dengan Taiwan.

Persahabatan ini terjalin dalam bidang perniagaan dan juga pelajaran apabila banyak pelajar Malaysia berketurunan Cina belajar di universiti-universiti Taiwan.

Walaupun dulunya Malaysia mempunyai dasar anti komunis tetapi setelah Malaysia mengiktiraf Republik Rakyat China, pejabat konsulat Taiwan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur telah ditutup.

Hubungan dalam bidang perniagaan dan lain-lain antara Kuala Lumpur-Taipei tidak begitu ditonjolkan malah lawatan ke Taiwan tidak begitu digalakkan oleh kerajaan kerana tidak mahu menyinggung perasaan Republik Rakyat China terutama sekali pada era Tun Abdul Razak yang merintis hubungan diplomatik dengan China di bawah dasar luar yang bebas dan dinamik.

Sebagai Pengarang Berita Kumpulan Utusan Melayu dalam tahun 1970-an, saya sering diingatkan oleh Ketua Pengarang agar saya tidak memberikan tempat kepada berita-berita lawatan rakyat Malaysia atau pegawai-pegawai Malaysia ke Taiwan.

Kebanyakannya berlaku secara sulit tetapi pegawai-pegawai Taiwan secara agresif mendekati media Malaysia terutamanya akhbar-akhbar untuk mempromosikan hubungan dengan Malaysia, malah mempengaruhi Malaysia untuk mengiktiraf Taiwan kembali diterima dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Usaha untuk merapatkan lagi hubungan antara rakyat dengan rakyat terus berlaku hingga sekarang, malah dengan lebih bebas dalam kalangan akhbar-akhbar Cina tanpa diberikan perhatian oleh kerajaan Malaysia yang percaya penuh kepada globalisasi tanpa batasan.

Sekalipun sekarang dunia hanya mengiktiraf satu China tetapi kepada Amerika Syarikat (AS) tetap ada dua China. Iaitu Republik Rakyat China (di tanah besar China) dan Republik China atau Taiwan.

AS memerlukan Taiwan sebagai clandestine (rakan sulit atau rakan tersembunyi) untuk mengimbangi kemaraan Republik Rakyat China sebagai kuasa baru dunia dalam bidang ekonomi dan ketenteraan.

Usaha-usaha Taiwan untuk menubuhkan Negara China Ketiga di atas kekayaan dan penyatuan orang Cina di seberang laut atau di mana sahaja mereka berada sedang berjalan dengan giat terutama di Malaysia tanpa mendapat pemantauan sewajarnya daripada kerajaan.

Semakin ramai pelajar Malaysia yang mendapat tempat dengan mudah di universiti-universiti Taiwan dan diberikan pelbagai kemudahan istimewa kerana mereka adalah kader (cadre) politik kepada gerakan kebangkitan China Ketiga di seberang laut.

Sebahagian besar daripada mereka adalah kader daripada sebuah parti politik Cina di Malaysia. Taiwan yang mempunyai banyak pengalaman kecekapan dan kelicinan dalam bidang komunikasi dan perang saraf untuk memerangi komunis Republik Rakyat China boleh dianggap sebagai negara yang mempunyai kepakaran canggih dan hebat dalam bidang ini.

Saya sendiri pernah menjadi tetamu kerajaan Taiwan pada masa Perang Dingin dan dapat menyaksikan kecekapan dan keupayaan mereka dalam bidang ini dengan penampilan pakar-pakar komunikasi yang meyakinkan dan mengagumkan.

Republik Rakyat Cina tetap terus mencemburi Taiwan sebagai American's Clandestine (rakan sulit). Kerajaan Singapura juga mengawasi kegiatan anasir ini, kerana Singapura tidak mahu generasi barunya kembali jadi kecinaan setelah kejayaan dasar Singaporean Singapore yang dilaksanakan dengan tegas dan keras oleh Lee Kuan Yew.

AS memerlukan Taiwan dan juga ASEAN sebagai rakan kongsi strategik bagi menghadapi sebarang kemungkinan bahaya daripada kuasa dunia yang akan menandinginya.

Dalam pergolakan politik Malaysia, nama Taiwan tidak pernah muncul sebagai penyumbang kewangan terbesar kepada parti-parti politik Malaysia, sebaliknya yang selalu ditonjolkan ialah Yahudi dan Amerika Syarikat. Anwar Ibrahim dan DAP juga tidak pernah dikaitkan dengan Taiwan.

Perkara ini tidak pernah dibangkitkan walaupun dari masa ke masa Malaysia dilanda tiupan semangat patriotik Cina dari Taiwan.

Singapura yang memerlukan kestabilan politik Malaysia tidak akan membiarkan rakyatnya terlibat disusupi semula oleh semangat Cina dari Taiwan atau Republik Rakyat China.

Kuan Yew telah menghancurkan chauvinisme Cina dengan menutup sekolah -sekolah Cina dan Universiti Cina dari awal pemerintahannya.

Penyusupan anasir-anasir politik Taiwan ke Malaysia yang pada mulanya tidak begitu jelas, tetapi tertonjol sebagai pangkalannya apabila mereka terlihat masa yang sesuai telah tiba untuk menjadi lebih berani dan lebih terbuka.

Penonjolan yang pertama ialah seorang berkelulusan Ming Chuan University, Taiwan, Wee Meng Chee yang lebih poopular dengan nama Namewee - begitu berani mengubah lagu Negaraku mengikut irama rap dengan lirik yang menghina negara, malah turut menghina pasukan polis, Melayu dan laungan azan. Tetapi Namewee telah diberikan kemaafan oleh kerajaan Malaysia.

Dan yang kedua dan terkini ialah pelajar-pelajar Malaysia di Taiwan yang menterbalikan bendera Jalur Gemilang dan kemudian meminta maaf dengan alasan melakukanya atas dasar demokrasi. Apa yang berlaku ialah 'lurus jarum, lurus telunjuk'.

Kesan kemaafan yang diberikan kepada Namewee itu membibitkan keberanian yang lebih besar yang menyusup, menerap dan akhirnya mendorong kebangkitan 'revolusi hitam' di jalanan yang sedang berlaku sekarang.

Pelajar-pelajar Malaysia di Taiwan berpakaian hitam, penyokong politik pembangkang diketuai Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim juga berpakaian hitam dan di Singapura juga kumpulan revolusi hitam itu berpakaian hitam. Bagaimanakah adanya rangkaian hitam dan persamaan antara Taiwan dengan Malaysia?

Siapakah yang membiayai pakaian hitam untuk ribuan penyokong pakatan pembangkang yang kebanyakannya terdiri daripada orang Cina untuk menidakkan dan memburukan demokrasi Malaysia? Ini adalah revolusi hitam untuk menghitamkan nama Malaysia.

Kumpulan revolusi hitam mungkin merasakan sebagai kemenangan politik bila Namewee dengan berpakaian biadap diterima masuk ke Bangunan Parlimen, tetapi sejak itu satu demi satu perasaan hormat kepada kepimpinan Melayu, kepada Perlembagaan dan kedaulatan negara semakin terhakis.

Apakah tidak terfikir oleh kepimpinan Malaysia, ada parti politik yang telah menjadikan Taiwan sebagai pusat latihan pengkaderan bagi melancarkan revolusi hitam dan menjatuhkan kerajaan Melayu di Malaysia dan menjadikan Malaysia sebahagian daripada Negara China Ketiga.

Dalam hal ini pastinya Republik Rakyat Cina dan Singapura adalah rakan setia kita.

Apabila Cina terus ikut angan-angan ‘Anwar Spring’

Posted: 13 May 2013 12:22 PM PDT

Pahit-Pahit Kopi

KESAN dakwat kekal sudah hilang pada jari telunjuk tangan sebelah kiri. Kalau ada pun, mungkin kesan warna dakwat itu cuma kabur sebab terselit di celah kuku dan jari atau tak dicuci bersih.

Hari ini, sudah lebih seminggu pemilihan wakil rakyat untuk menentukan pembentukan kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat telah berlalu.

Semua orang masih memperkatakan kesan Pilihan Raya Umum Ke-13 - dikatakan ibu segala pilihan raya. Rasanya banyak pihak terkejut dengan keputusan itu.

Barisan Nasional, dengan segala kekuatan jentera pilihan raya parti berasa yakin sebelum 5 Mei lalu bahawa calon-calon yang dianggap boleh menang mampu menambah jumlah kerusi yang dimenangi. Tetapi orang ramai yang memerhati satu demi satu keputusan pengundian pada malam keputusan berasa terkejut. Bagaimana beberapa nama hebat dan yakin menang itu akhirnya tewas besar.

Begitu juga pakatan pembangkang, terutama Anwar Ibrahim yang terkejut kerana dia gagal untuk menawan Putrajaya. Tidak mahu mengaku hakikat sebenar, Anwar mendakwa undi untuk pakatan pembangkang telah dirompak.

Macam biasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jadi sasaran untuk dipersalahkan. Anwar tuduh berlaku penipuan dalam PRU-13.

Pengundi Cina yang terpedaya bahawa DAP dan pakatan pembangkang lain boleh menang besar turut ikut Anwar. Golongan Cina ini dan kaum kerabatnya yang ada di Singapura dan Taiwan mungkin terlalu ghairah mahu menumbangkan kerajaan yang dipimpin Melayu melalui orang Melayu juga.

Mereka yang tertutup minda kerana taksub Cina akan berkuasa di negara ini, percaya melalui demonstrasi berbaju hitam, rakyat akan bangkit dengan gelombang hitam dan mungkin sehingga tercetus rusuhan kaum. Apakah sehingga peringkat inikah yang mereka mahu lakukan?

Atas dasar apa Anwar dan Lim Kit Siang tuduh berlaku penipuan? Apa yang pelik, undi-undi yang memberi kemenangan kepada pakatan pembangkang di Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor sehingga berjaya mengekalkan kerajaan negeri tidak pula dipertikaikannya. Jika benar berlaku penipuan, eloklah semua peti undi dikira semula, baik Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri.

Nampaknya Anwar macam lupa pada Rukun Iman yang keenam iaitu percaya qada dan qadar. Adakah dia mahu nafikan Rukun Iman itu? Dia sahaja yang betul?

Lalu dia cuba menghasut penyokongnya supaya ikut siri demonstrasinya ke seluruh negara bermula dengan perhimpunan di Stadium Kelana Jaya pada Rabu minggu lalu.

Anwar tidak mahu terima kenyataan yang dia sudah tewas. Nafsunya untuk menjadi Perdana Menteri belum padam.

Anwar mahu rampas kerusi Perdana Menteri dengan cara tidak demokratik dan bermaruah. Apa tujuan dia menghasut rakyat supaya mempercayai PRU-13 tidak bersih. Apa mesejnya dengan slogan Tipu, Tipu, Tipu yang dijaja ke seluruh negara?

Anwar dan pemimpin pembangkang terus bernafsu untuk meliwat pemikiran rakyat dengan tuduhan palsu tentang PRU-13.

Pemantau pilihan raya bebas dan SPR sudah mendedahkan bahawa tiada pengundi daripada pendatang asing, tidak berlaku black-out ketika proses pengiraan undi, tiada peti undi hilang dan tiada pengundi hantu.

Jika pembangkang ragu-ragu, mereka wajar buat petisyen di mahkamah. Guna saluran mahkamah dan bukan mengadakan perhimpunan haram dan menyebar fitnah.

Niat pembangkang untuk menafikan pilihan rakyat secara sah cukup tidak demokratik. Tidakkah tindakan Anwar itu semata-mata untuk membakar semangat penyokongnya. Biar mereka bangkit menentang pihak berkuasa dan akhirnya tercetus kekecuhan.

Jika perbuatan Anwar dan penyokongnya tidak dibendung, tidak mustahil Anwar Spring boleh berlaku di negara kita.

Anwar sudah terdesak daripada menunggu lima tahun lagi diadakan pilihan raya umum. Pada masa itu, macam-macam boleh berlaku kepada pengundi atau dirinya sendiri.

Bekas pemimpin ABIM itu mahu Anwar Spring berlaku dan kerajaan yang dipilih pada 5 Mei lalu ditumbangkan oleh segelintir rakyat yang tidak tahu menghormati undang-undang.

Anwar mungkin percaya dengan sokongan dari dalam dan luar negara, Anwar Spring akan berjaya menobatkannya sebagai Perdana Menteri.

Anwar tidak peduli agenda pembangunan menuju negara maju berpendapatan tinggi menjelang tujuh tahun sahaja lagi.

Anwar tidak peduli kepayahan dan kesukaran rakyat menjalankan urusan harian apabila sesuatu lokasi sudah ditawan oleh penyokong pembangkang.

Anwar tidak mahu ambil tahu urusan perniagaan dan lalu lintas terjejas atau tidak akibat tindakan perhimpunan mereka.

Apa yang Anwar ambil tahu ialah biar jalan sesak untuk menunjukkan sokongan kepada misinya ke Putrajaya dan menjadi Perdana Menteri.

Apabila misinya tercapai, secara logik mungkin segala dakwaan berkaitan rayuan keputusan mahkamah terhadap kes liwat antara Anwar dengan Mohd Saiful Bukhari Azlan serta dakwaan perbuatan jahat dan tidak bermoralnya akan dikatup tanpa banyak soal.

Kita sudah nampak, niat siri perhimpunan Anwar Spring yang akan dianjurkannya bukan untuk membela rakyat dan keamanan negara, bukan untuk keadilan, sebaliknya usaha menimbulkan gelombang permusuhan antara dua pihak - mungkin BN dengan pembangkang atau Melayu dengan Cina.

Tidak bolehkah rakyat Malaysia, usah ambil peduli apa yang Anwar lakukan, biarkan dia dengan angan-angannya!

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Agrobiz

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


Ayam hibrid

Posted: 12 May 2013 11:30 PM PDT

Oleh LAUPA JUNUS
Gambar MOHD NAJIB MOHD NOR

Jangan terperanjat dengan kenyataan ini. Tidak ada keaslian pada ayam kampung tempatan kerana beberapa faktor antaranya ayam kampung tempatan adalah warisan baka-baka ayam moden dari luar negara.

Ayam kampung atau nama saintifiknya Gallus gallus domesticus merupakan jenis ayam yang popular dan mempunyai pasaran tersendiri atau niche market yang mendapat sambutan.

Mereka yang sudah biasa makan daging ayam kampung pasti mengetahui rasanya yang berbeza berbanding ayam lain.

Yang pasti lazat ialah daging ayam kampung tradisional.

Keenakan rasa ayam kampung tradisional adalah lebih baik berbanding jenis ayam kampung yang membanjiri pasaran tempatan sekarang iaitu ayam kampung kacukan dan ayam warna.

Badan ayam kampung tradisional tidak terlalu berisi berbanding ayam lain termasuk ayam kampung kacukan yang biasanya lebih berisi dan besar.

Oleh itu ayam kampung tradisional biasanya lebih aktif, lasak dan membuatnya lebih ringan, manakala ototnya kental dan mempunyai nilai nutrisi yang tinggi.

Ciri-ciri lain pada ayam kampung tradisional ialah keting kaki yang tak khusus warnanya dan balung yang tidak khusus bentuknya.

Selain susuk badan yang ramping, memang tidak ada piawaian lain bagi ayam kampung tradisional kerana darahnya mempunyai gabungan pelbagai baka moden termasuk gabungan dengan ayam hutan.

Kini, antara jenis ayam kampung yang popular ialah ayam arab dan ayam leher botak.

Ramai mungkin telah mendengar mengenai baka yang dikategorikan sebagai moden seperti Plymouth Rock , New Hampshire, Brown Leghorn dan Australorp pada era 80an.

Pada masa sama, ayam hutan yang dianggap sebagai baka asal mungkin juga tidak lagi tulen kerana berlaku kacukan dengan ayam kampung yang dibawa ke hutan pada zaman komunis dahulu.

Lebih-lebih lagi adalah menjadi perkara biasa sekarang melihat ayam hutan jantan berkawan dengan ayam kampung betina.

Namun isu yang kini menjadi semakin mendapat perhatian ialah meskipun popular dan mendapat permintaan, bekalan ayam kampung amat terhad.

Dengan sambutan yang semakin menggalakkan itu, sesuatu perlu dilakukan bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah.

"Malangnya pengeluaran ayam kampung tempatan ketika ini hanya empat peratus berbanding keseluruhan lebih sejuta ekor ayam sehari yang dipasarkan dalam industri," kata penyelidik Jabatan Sains Haiwan, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr. Azhar Kasim.

Dr. Azhar menunjukkan sangkar yang direka khas untuk penyelidikan yang dijalankan.

Beliau berkata, jumlah yang boleh dianggap sedikit itu sebenarnya satu peluang bagi industri memikirkan kaedah penambahan pengeluaran ayam kampung ketika ini.

Industri ayam kampung sebenarnya berhadapan dengan pelbagai cabaran kerana jumlahnya di pasaran yang sedikit diancam oleh masalah penyakit seperti penyakit sampar (Newcastle disease) yang boleh membantutkan industri tersebut.

Menurut Dr. Azhar, antara masalah lain ialah ayam kampung tradisional dipelihara lepas bebas tanpa pengurusan sistematik, berskala kecil dan tidak komersial.

Menurut beliau, bagi mengatasi kekurangan bekalan itu, antara langkah yang diambil oleh pengusaha tempatan ialah mengimport ayam warna sebagai alternatif.

Baka tersebut kemudian dikahwinkan dengan ayam kampung tempatan untuk mendapat anak yang memperlihatkan ciri ayam kampung, biasanya pada warna bulu.

Usaha tersebut yang bermula pada 1980an akhirnya berjaya meningkatkan jumlah ayam kampung untuk tujuan komersial selepas 30 tahun tetapi belum memadai bagi menghasilkan baka yang lebih baik atau sempurna.

Ayam kampung tradisional hanya sesuai dijual ketika berumur 16 minggu. Ayam warna pada seawalnya umur lapan minggu dan ayam kampung kacukan pada umur 12 minggu.

"Apa yang kita ada sekarang dalam industri tempatan pada skala yang besar ialah ayam kampung kacukan yang belum dapat menyerupai ayam kampung tradisional.

"Contohnya, bagi ayam kampung kacukan tersebut, saiz badannya yang kurang ramping (banyak berisi) dijual dengan harga borong RM9 sekilogram berat hidup .

"Saiz badan yang ramping sedikit boleh meningkatkan harga kepada RM12 sekilogram," ujar Dr. Azhar.

Katanya, ayam kampung tradisional pula dengan jumlahnya yang terhad boleh melampaui harga RM16 sekilogram atau dikira mudah dengan harga RM25 seekor jika tidak ada alat penimbang.

Latihan kemahiran pertanian

Posted: 12 May 2013 11:30 PM PDT

Kaedah latihan dan bimbingan yang mementingkan kerja lapangan antara kekuatan iGROW.

Cubaan iGROW mempelopori latihan kemahiran berasaskan pembiayaan pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), Kementerian Sumber Manusia ternyata berbaloi dan mendapat sambutan menggalakkan.

Ini berdasarkan kepada semakin ramai pelatih mengikuti kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang tanaman makanan di pusat latihan tersebut di Pulau Tiga, Kampong Gajah, Perak.

Biasanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan ditawarkan mengikuti kursus SKM di institusi latihan kemahiran awam (ILKA) atau institu latihan kemahiran swasta (ILKS) secara percuma (biasiswa).

Bagaimanapun, tetapi peluang yang terhad itu tidak menghalang ramai belia yang bertekad untuk menceburi sektor pertanian di iGROW sungguhpun mereka terpaksa mendapatkan pinjaman latihan.

Bagi Muhammad Syafiq Anuar, dia pernah memohon mengikuti latihan di tempat lain sebelum ini dengan harapan mendapat tajaan percuma.

Namun, setelah tiada tawaran diterima sekian lama, peluang latihan iGROW diterima dengan hati yang gembira, biarpun beliau perlu mengambil pinjaman PTPK.

"Saya amat bersyukur kerana kemudahan pinjaman PTPK telah merealisasikan hasrat kami untuk mengikuti kursus pertanian tanpa mengharapkan lagi pembiayaan percuma", katanya yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak.

Setelah gagal mendapat tawaran percuma di ILKA dan ILKS, beliau hampir kecewa tetapi tawaran latihan di iGROW bersama pakej pembiayaan pinjaman PTPK menguatkan semangatnya untuk tidak menoleh ke belakang lagi.

Rakannya Mohamad Fikri Kasim, dari Kota Bharu Kelantan berpendapat bahawa latihan berpakej yang ditawarkan oleh iGROW telah menarik minatnya kerana jarang sekali wujud tawaran sedemikian.

Pada mulanya, dia berasa agak sangsi terhadap pakej berkenaan tetapi setelah diberi penjelasan menerusi kuliah dan melihat sendiri konsep kemudahan iGROW, timbul keyakinan bahawa semua itu bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dijayakan.

"Konsep latihan dan kemudahan yang disediakan benar-benar memenuhi cita rasa pertanian generasi baru dan bersifat futuristik kerana segala kemudahan dan peralatan di tapak amali merupakan tanaman integrasi yang mengguna pakai keluasan tanah secara optimum" ujar Mohamad Fikri.

Menurutnya, sistem pertanian yang ringkas tetapi bersepadu telah membuka mata para pelatih tentang potensi sektor pertanian untuk menjana pendapatan secara optimum yang mampu melahirkan petani berpendapatan tinggi pada masa hadapan.

"Sekarang kami telah faham bahawa kaedah pertanian secara integrasi membolehkan kami mempunyai pelbagai aktiviti pertanian dalam satu kawasan yang terhad dan seterusnya meningkatkan pendapatan petani. Pada saya, inilah satu inovasi baru dalam memajukan pertanian di kampung," tambah Fikri lagi.

Kombinasi kemahiran ini meyakinkan Mohamad Hafifi Noorzain bahawa tindakannya mengikuti SKM di iGROW adalah tepat dan berbaloi

Ini kerana, dia turut diajar pelbagai kemahiran lain yang menjadi penentu kejayaan mereka sebagai usahawan bila tamat latihan nanti.

"Kaedah 5 dalam 1 ini membolehkan saya memantapkan perniagaan dalam pertanian pada masa hadapan.

"Semua contoh kemudahan disediakan di tapak Kompleks Warisan iGROW di Mukim Pulau Tiga, Kampong Gajah, Perak boleh dilihat dengan mata kasar.

"Ini membolehkan kami melaksanakan aktiviti yang sama bila pulang ke kampung halaman masing-masing nanti," kata beliau yang berasal dari Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif iGROW, Azri Zahier Azmi berkata, minat yang tinggi dalam sektor pertanian memperlihatkan trend belajar dengan pembiayaan pinjaman seperti PTPK mula diterima oleh belia demi mencapai cita-cita mereka.

"Kami sangat berbangga dengan kepercayaan yang diberikan PTPK yang turut menyumbang kepada jumlah kemasukan pelatih yang semakin meningkat ke iGROW," ulas beliau.

nSebarang pertanyaan berkaitan latihan Sijil Kemahiran Malaysia di iGROW sila hubungi Azri Zahier di talian 012-4842144.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Ibu angkat 1,800 bayi

Posted: 12 May 2013 02:00 AM PDT

KATSARIS menyimpan ribuan koleksi patung berupa bayi yang dibuatnya di dalam sebuah bilik khas di rumahnya.

CIPTAANNYA selama 12 tahun itu kini tinggal bersama-sama suaminya, Bob di rumah mereka dan Katsaris dalam masa yang sama turut menjual karya tiga dimensinya mengikut kehendak pelanggan di serata dunia.

Katsaris yang mempunyai empat orang anak yang sudah dewasa obses dengan bayi kerana suka melihat riak wajah mereka yang comel dan menenangkan.

Maka dia memastikan setiap bayi yang dihasilkannya kelihatan realistik dari segi riak wajah yang pelbagai dan setiap daripadanya diberikan nama bersesuaian dengan rupa dan personalitinya.

Antara patung bayi kesayangannya ialah Bobby yang dinamakan sempena nama anak sulungnya kerana ia kelihatan seperti anaknya ketika bayi.

Katsaris telah menghabiskan lebih AS$25,000 (RM74,000) dan waktu sehingga 15 jam sehari bagi menghasilkan bayi-bayi yang kelihatan seperti bayi sebenar.

Cerita Katsaris, dia sering pergi ke wad bersalin bagi mempelajari riak muka bayi yang baru dilahirkan pada awal kerjaya sebagai pencipta patung berupa bayi.

Anjakan bidang seni lukis

Posted: 12 May 2013 02:00 AM PDT

Oleh RASDAN AHMAD
rasdan_utusan@yahoo.com

PERKEMBANGAN bidang seni lukis tempatan ketika ini memang tidak boleh disangkal lagi. Kebanyakan karya yang dihasilkan oleh pelukis tanah air mempunyai nilai yang cukup tinggi.

Secara umumnya, terdapat tiga faktor penting yang telah mempengaruhi perkembangan awal seni lukis tempatan iaitu penjajahan Inggeris, penghijrahan bangsa dagang dan status pendidikan.

Seni lukis moden pula disifatkan sebagai karya yang berbeza daripada mana-mana konvensi artistik tradisional.

Karyanya lebih menjuruskan ciri-ciri individualistik daripada manifestasi nilai sesuatu budaya yang menyeluruh dalam sesebuah masyarakat.

Kelahiran seni lukis moden Malaysia berkaitan dengan proses pemodenan negara. Malahan pemodenan merupakan salah satu isu penting dalam membicarakan perkembangan kebudayaan Malaysia termasuklah seni visual, seni kartun dan sastera.

Penglibatan golongan muda terutamanya dalam dunia lukisan semakin dirasai sejak kebelakangan ini menerusi penyertaan dalam pameran yang diadakan.

Kepercayaan yang diberikan oleh galeri-galeri seni bukan sahaja sebagai batu loncatan untuk melangkah lebih jauh tetapi juga satu penghormatan kepada bakat yang ada pada golongan tersebut.

Jika sebelum ini, cabang seni hanya tertumpu kepada bidang pop, filem serta sastera semata-mata kerana bidang ini dilihat mempunyai kelebihan berbanding seni lukis.

Tetapi hakikatnya lukisan merupakan satu karya yang mempunyai nilai yang cukup tinggi. Semakin lama lukisan itu semakin tinggi nilainya di pasaran. Sebagai contoh lukisan yang dihasilkan oleh Latiff Mohidin berjudul Mindscape dilelong dengan harga mencecah RM390,000 baru-baru ini.

Setiap hasil seni membawa pelbagai mesej dan identiti yang menjadi panduan mereka selama berkarya. Berbekalkan karya berwarna-warni yang dibentuk berdasarkan imaginasi masing-masing, semua artis berjaya menghasilkan karya terbaik untuk tatapan umum.

Pelukis muda tempatan ketika ini dilihat semakin kreatif dan mampu untuk bersaing dengan pelukis mapan tidak kira dari dalam atau luar negara.

Latiff Mohidin serta nama-nama besar lain mungkin ada pengganti serta pelapisnya selepas ini kerana pelukis-pelukis muda tanah air dilihat mempunyai bakat yang cukup besar ketika ini.

Selain Latiff, kita juga mempunyai pelukis yang boleh diangkat seperti pelukis bertaraf dunia yang lain antaranya Syed Ahmad Jamal dan Ibrahim Hussein.

Kebangkitan para pelukis muda tempatan telah menampakkan sinar harapan baru dalam dunia lukisan yang sebelum ini seolah-olah ketinggalan jika ingin dibandingkan dengan bidang seni negara-negara jiran sebelum ini.

Kematangan dari segi penghasilan cukup membanggakan kita kerana setiap hasil karya mempunyai nilai yang tersendiri.

Bertambahnya galeri seni swasta berbanding galeri sedia ada juga menjadi faktor terhadap kebangkitan pelukis tempatan ketika ini.

Usaha yang dilakukan oleh kebanyakan galeri seni lukis tempatan bagi memperkenalkan hasil seni anak tempatan juga nampaknya hasil yang setimpal.

Dalam pada itu, penubuhan sekolah-sekolah seni tempatan juga pada dasarnya sudah menampakkan hasil yang cukup jelas. Sekolah seni seperti di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) misalnya sudah berjaya menghasilkan pelapis seni yang cukup hebat ketika ini.

Usaha seperti ini sepatutnya diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan bidang seni itu menjadi tarikan kepada anak muda pada masa akan datang.

Bidang seni bukan hanya khusus kepada yang berminat semata-mata malah bidang ini mampu menjanakan pendapatan yang cukup lumayan sekiranya dilakukan dengan pemikiran yang tajam serta bersungguh-sungguh.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved