Isnin, 13 Mei 2013

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Undang keresahan orang ramai

Posted: 12 May 2013 12:06 PM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusan.com.my

Abdul Rahim Abdul Aziz (tiga dari kiri) bersama rakannya melihat keadaan longkang yang dipenuhi sampah sarap di Perhentian Bas Pantai Hill Park, Bukit Angkasa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 12 Mei - Masalah longkang tersumbat sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes di Perhentian Bas U74, Pantai Hillpark, Bukit Angkasa di sini terus mengundang keresahan orang ramai.

Mereka mendakwa keadaan longkang yang dipenuhi kotoran dan air bertakung itu juga turut menjadi punca banjir kilat.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan berkenaan baru-baru ini mendapati, keadaan longkang sepanjang 120 kaki itu benar-benar menyakitkan mata apabila dipenuhi sampah terapung yang turut mengeluarkan bau busuk.

Seorang pemandu bas, Abdul Rahim Abdul Aziz, 48, berkata, masalah tersebut telah berlarutan sejak tujuh bulan lalu.

"Jika musim hujan air dari longkang ini akan melimpah keluar bersama-sama sampah dan sisa makanan ke jalan raya sekaligus mengundang kejadian banjir kilat. Kami telah membuat aduan beberapa kali kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) namun tiada sebarang tindakan diambil," katanya ketika ditemui di sini.

Turut dibangkitkan, masalah jalan berlubang di hadapan hentian bas itu yang didakwa mengundang bahaya kepada orang ramai.

"Keadaan jalan di sini amat merbahayakan terutama kepada penunggang motosikal yang melaluinya pada sebelah malam.

"Bagi penyelesaian jangka pendek kami terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan meletakkan batu dalam lubang tersebut,"katanya.

Rakannya Ibrahim Karim, 37, berkata, kira-kira dua minggu lalu pihak DBKL ada meninjau lokasi terbabit dan mengambil gambar.

Katanya, apa yang dikesalkan sehingga ke hari ini tidak ada sebarang tindakan susulan diambil.

"Kami amat berharap DBKL dapat datang ke sini dengan segera kerana kami sudah tidak tahan dengan masalah ini, lebih-lebih boleh mengancam keselamatan," ujarnya.

Perasaan sama turut dikongsi penduduk berhampiran, Aminah Mat Parlu, 52.

Dia berkata, sebagai pengguna pengangkutan awam keselesaan amat perlu diberikan.

Katanya, setiap kali menunggu bas di situ, dia berasa tidak selesa melihat keadaan sampah sarap yang memenuhi longkang berhampiran.

"DBKL perlu bertindak segera sebelum kejadian lebih buruk berlaku," katanya.

Pengundi ibarat keluarga saya sendiri - Tengku Adnan

Posted: 12 May 2013 12:06 PM PDT

Tengku Adnan

PUTRAJAYA 12 Mei - "Kekuatan saya terletak kepada hubungan rapat yang terjalin erat sejak sekian lama antara saya dan para pengundi yang rata-rata terdiri daripada penjawat awam, mereka lebih mengenali saya," kata Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Setiausaha Agung UMNO itu memberitahu, sebagai orang lama, hubungannya dengan pengundi muda ibarat bapa dan anak manakala dengan yang senior tidak ubah seperti sahabat karib.

"Kami sudah biasa bergurau senda, buat macam-macam program bersama dan ada yang boleh tidur baring di rumah, selalunya kami duduk bersembang sampai larut malam, bercerita, bergelak ketawa dan saling tegur menegur.

"Semua ini dia (Datuk Husam Musa) tak tahu walaupun dia bawa satu gelombang kononnya Putrajaya akan jatuh ke tangan pembangkang berdasarkan kehadiran orang ramai dalam ceramah-ceramah anjurannya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tengku Adnan memberitahu, walaupun menerima kehadiran sehingga mencecah 25,000 orang pada ceramah anjuran pakatan pembangkang berbanding ceramah beliau yang dihadiri sekitar 4,000 hingga 5,000 orang, beliau tidak sedikit pun berasa gentar.

Beliau sebaliknya berbangga kerana siri ceramah Barisan Nasional (BN) dihadiri pengundi Putrajaya manakala kehadiran puluhan ribu ke ceramah pakatan pembangkang rata-ratanya adalah pengundi luar.

"Saya akui dalam ramai yang menyokong pembangkang itu, 10 peratus adalah pengundi saya. Tetapi yang penting apabila diminta membuat penerangan berkenaan Pas, siapa Pas sebenarnya, maka warga Putrajaya dapat membuka mata untuk menilai Pas sebenarnya bukan seperti yang digembar-gembur," katanya.

Menurutnya, lagak Husam yang kononnya hendak menyelesaikan masalah sekolah agama di Putrajaya amat melucukan kerana sekolah rendah dan menengah agama rakyat sudah ada di Presint 9 dan 11 manakala sekolah menengah agama berasrama penuh di Presint 11 sedang dalam proses mendapatkan kelulusan.

Isu perumahan untuk kakitangan awam katanya, sudah lama diperjuangkan dan apabila proses pecah tanah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Husam mendakwa kerajaan mengambil idea beliau.

"Saya berterima kasih kepada para pengundi dan bersyukur kerana masih diterima sebagai wakil rakyat, walaupun Husam datang dengan imej Islam hakikatnya dia tidak tahu bahawa saya sudah arahkan surau-surau diimarah dengan program pengajian tiga kali seminggu," katanya.

Tengku Adnan juga percaya para pengundi semakin bijak untuk menilai dan tidak mudah dipermainkan oleh mereka yang menaburkan pelbagai janji manis.

Menurutnya lagi, Putrajaya akan terus dipantau dari semasa ke semasa bagi mengelak daripada dirosakkan oleh pengundi-pengundi luar.

Mengulas lanjut pertembungannya dengan Naib Presiden Pas itu, beliau berkata, selepas dua penggal menjadi wakil rakyat, Pas mungkin tidak menyangka beliau akan sekali lagi dicalonkan untuk penggal ketiga.

"Mereka ingat senang nak makan tapi terperangkap bila tersalah baca, Perdana Menteri lebih tahu siapa calon yang boleh mempertahankan kerusi-kerusi tertentu. Sebab itu saya dicalonkan semula, terima kasih kepada Perdana Menteri dan pengundi di Putrajaya kerana terus memberi kepercayaan kepada saya," katanya.

Pemantauan berterusan dilakukan - MPSJ

Posted: 12 May 2013 12:06 PM PDT

Asmawi Kasbi (kiri) melepaskan para peserta pada Program Kayuhan Hidup Sihat MPSJ Siri 3/2013 di Serdang, Selangor, kelmarin - UTUSAN/WAHIDAH ZAINAL

SUBANG JAYA 12 Mei - Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan melakukan pemantauan secara berterusan di Pangsapuri Beringin, Puchong, dekat sini bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh 26 Mac lalu berulang.

Yang Dipertuanya, Datuk Asmawi Kasbi berkata, pemantauan itu akan dilakukan dengan kerjasama Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) bagi memastikan kawasan terlibat benar-benar selamat.

"Kita berharap tiada lagi kejadian seumpama ini berlaku kerana ia melibatkan keselamatan penduduk," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Kayuhan Hidup Sihat MPSJ Siri 3/2013 di Universiti Putra Malaysia (UPM), dekat sini hari ini.

Dalam kejadian tanah runtuh itu, seramai 228 penghuni di Blok B, Pangsapuri Seri Beringin, terpaksa dipindahkan ke Dewan MPSJ berhampiran berikutan kawasan itu tidak selamat untuk didiami.

Selepas hampir dua minggu penduduk terlibat dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing setelah mendapat persetujuan MPSJ.

Mengulas mengenai program tersebut, Asmawi berkata, program anjuran bersama MPSJ dan UPM itu diadakan bertujuan menerapkan gaya hidup sihat di kalangan masyarakat melalui aktiviti sukan kayuhan basikal secara berkumpulan.

"Selain itu, melalui program seperti ini ia mampu meningkatkan imej MPSJ selaku pentadbir perbandaran yang mesra rakyat dan alam sekitar.

"Program ini juga dilihat berupaya menggalakkan penggunaan basikal untuk tujuan riadah," ujarnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pegawai Akademik UPM Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, program yang dianjurkan itu berbentuk santai dan bukan perlumbaan.

"Seramai 80 peserta yang terdiri daripada 50 pelajar UPM dan 30 kakitangan MPSJ menyertai program kayuhan ini.

"Para peserta akan berbasikal secara berkumpulan sejauh 30 kilometer mengelilingi keseluruhan kawasan kampus UPM dan kawasan perumahan Seri Serdang," katanya.

Program kayuhan tersebut bermula pada pukul 8 pagi dan berakhir kira-kira 12 tengah hari.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Elemen Melayu moden

Posted: 12 May 2013 02:00 AM PDT

Baju kurung dan kebaya ini diberi sentuhan baharu untuk menaikkan seri pengantin.

MENGETENGAHKAN koleksi pengantin 2013 secara eksklusif, koleksi Atelier Rinaldi oleh Rico Rinaldi menampilkan elemen 'Im not a Princess not yet a Queen.

Mengambil kira seorang pengantin yang tidak mahu rekaan yang terlalu ringkas tetapi tidak mahu rekaan terlalu menonjol, menjadikan 12 busana anggun dan serba mewah ini suatu impak baharu dalam rekaan busana pengantin buat Rico.

Garapan berseni dapat dilihat di setiap busana rekaannya terutamanya penekanan terhadap perincian busana pengantin tersebut. Seni manik merupakan antara elemen dramatik di samping penggunaan material batuan jemeki, kristal, sulaman manik, batuan acrylic dan perincian manik.

Penggunaan fabrik sifon, renda perancis, bridal satin, creepe sutera dan satin sutera menampilkan gaya ringkas.

Walaupun Rico memilih konsep moden, pereka ini masih menerapkan elemen kemelayuan.

Istimewanya, baju kurung dan kebaya ini diberi sentuhan baharu untuk menaikkan seri pengantin.

Mandian aroma buah-buahan

Posted: 10 May 2013 12:39 PM PDT

BUAH-BUAHAN telah ribuan tahun digunakan sebagai daripada ramuan kecantikan tradisional kerana keberkesanannya.

Kebaikan buah-buahan sebagai bahan kosmetik adalah kerana sifatnya yang anti oksida, kandungan vitamin dan asid amino yang menyuburkan, menghidrat, menghalus serta memutihkan kulit secara semula jadi.

Justeru, jenama sabun kecantikan terkemuka, Fruitale kini memperluaskan rangkaian produk penjagaan diri.

Jenama itu kini menampilkan produk yang mengandungi bahan organik yang memelihara kulit termasuk 100 peratus ekstrak organik lemon dan anggur.

Kedua-dua bahan itu bersifat anti oksida yang mampu memerangi radikal bebas dan memulihkan kesan kerosakan kulit.

Krim mandian Fruitale ini menggunakan ramuan kecantikan semula jadi yang mengandungi pelembap BioWhite Triple yang unik.

Ia turut diperkaya dengan khasiat susu yogurt yang kaya dengan vitamin A, B1, B2, B5, B6 dan ekstrak buah-buahan lemon dan anggur bagi menghidrat, memulihkan dan melindungi kulit agar lebih lembut, licin dan halus.

Ia juga mengandungi gliserin bagi mengekalkan kelembapan kulit.

Pengalaman mandian Fruitale yang begitu menyegarkan jelas terpancar setiap kali anda mandi. Daripada aromanya yang ceria dan buih yang banyak sehingga ke pelembap yang kaya dan wangian yang berkekalan selepas mandi, dipadankan pula dengan bungkusan yang menarik.

Barisan Krim Mandian Fruitale didatangkan dalam empat varian iaitu Radiant, campuran beri yang wangi; Refresh (wangian epal hijau yang lembut dan segar); Revive (sitrus) dan Whitens (haruman eksotik dengan krim avokado, durian Belanda dan buah naga).

Fruitale dihasilkan untuk golongan muda dan mereka yang berjiwa muda yang tahu apa yang mereka inginkan dalam krim mandian dan sabun.

"Mereka akan memberi tumpuan kepada kualiti dan nilai selektif tentang faedah produk, penampilan, wangian dan paling penting, bahan-bahan berkhasiat yang melembapkan dan memelihara kulit," kata Pengurus Besar Produk Penjagaan Rumah & Peribadi, Lam Soon Edible Oils Sdn Bhd, Francis Ng kepada S2.

Menurutnya, sambutan yang positif dan berterusan telah mendorong pihaknya memperkenalkan rangkaian krim mandian tersebut.

Jenama itu juga buat pertama kali melantik duta jenama daripada golongan aktres iaitu pelakon, model dan hos televisyen, Nora Danish.

Rangkaian terbaharu sabun kecantikan Fruitale ini boleh didapati di seluruh negara pada harga RM2.65 untuk setiap pek sabun 3x80gm, manakala rangkaian baru krim mandian pula berharga RM9.90 dalam isian botol 1000ml.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


5,000 serbu Azam Kerja 2013

Posted: 12 May 2013 12:06 PM PDT

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
pengarang@utusan.com.my

SEBAHAGIAN pencari kerja mengisi borang maklumat dalam Program Penyesuaian Kerjaya, Azam Kerja 2013 di Muar, semalam.

MUAR 12 Mei - Seramai 107 ahli keluarga golongan kurang berkemampuan yang berdaftar dalam program e-Kasih mendapat pendedahan dan berpeluang mengisi kekosongan kerja dalam pelbagai bidang menerusi Program Penyesuaian Kerjaya, Azam Kerja 2013 di sini hari ini.

Mereka yang dibawa dari sekitar Muar, Segamat dan Ledang didedahkan menerusi pelbagai teknik seperti latihan berkomunikasi, membuat resume dan sesi temuduga selama tiga hari sejak kelmarin, sebelum berpeluang mendapat pekerjaan secara terus daripada karnival kerja di Hotel Muar Traders di sini.

Seorang pencari kerja, Mohd. Nor Fitri Mohd. Ali, 18, berkata, beliau diberi peluang menghadiri kursus selama tiga hari dua malam sebelum menghadiri temuduga terbuka dengan banyak syarikat swasta yang turut menyertai program berkenaan.

Belia yang berasal dari Felda Palong Timur, Segamat ini berkata, pengalaman menghadiri kursus dan bantuan daripada pihak terlibat membolehkannya mendapat kerja di sebuah syarikat elektronik di Gelang Patah.

"Alhamdulillah saya berjaya mendapat kerja dan peluang ini akan digunakan bagi membantu keluarga apatah lagi ayah menghidap penyakit buah pinggang dan sukar bekerja, manakala ibu bekerja sebagai tukang cuci di sekolah," katanya.

Anak sulung daripada tujuh beradik itu berterima kasih kepada JobsMalaysia Centre Iskandar Malaysia yang memberi peluang kepada golongan susah sepertinya mengikuti kursus berkenaan.

Seorang lagi pencari kerja, Siti Nur Safiah Rosli, 21, dari Kampung Teluk Rimba, Ledang berkata, selepas menghadiri temuduga dia ditawarkan sebagai tukang jahit di sebuah kilang di Sungai Abong, di sini.

"Saya sudah dua tahun cuba mencari kerja tetapi tidak bernasib baik. Kali ini saya didedahkan dengan pelbagai perkara dan pekerjaan ini sesuai dengan saya yang memiliki sijil menjahit dari Kolej Komuniti," katanya.

Sementara itu, Pengurus JobsMalaysia Centre Iskandar Malaysia, Mohd. Syahrul Syahid Mohd. Saleeh berkata, seramai 170 peserta daripada isi rumah keluarga yang tersenarai dalam e-Kasih dipanggil menyertai kursus itu selain dibantu bagi mendapatkan kerja daripada lebih 21 majikan di sekitar Muar, Melaka, Johor Bahru serta Kuala Lumpur.

Selain peserta kursus, lebih 5,000 pencari kerja turut menghadiri karnival kerjaya berkenaan yang menawarkan kira-kira 2,000 peluang kerja dalam pelbagai sektor terutama di Johor, katanya.

"Kumpulan 107 peserta kursus itu kita beri mereka peluang yang lebih untuk mendapatkan kerja seterusnya dapat membantu keluarga masing-masing keluar daripada belenggu kemiskinan.

"Ini kali ketiga kita adakan selepas Batu Pahat dan Kluang, selepas ini kita akan mengadakannya semula di Johor Bahru," katanya.

Artis Youtube di Fesko malam ini

Posted: 11 May 2013 12:22 PM PDT

Oleh IFQDAR RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my

PARA pengunjung tertarik dengan kereta mini yang dihasilkan oleh mahasiswa Fakulti Pendidikan IPTK sempena Fesko di UTM, Skudai, Johor Bahru, Johor, semalam.

JOHOR BAHRU 11 Mei - Dua artis remaja yang dilahirkan menerusi laman Youtube, Najwa Latif dan Ainan Tasneem bakal memeriahkan majlis penutupan Festival Konvokesyen (Fesko) ke-50 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) malam esok.

Pengarah karnival berkenaan, Muhammad Farhan Azmir berkata, segmen khas yang dinamakan 'Persembahan Artis Youtube' diwujudkan bagi memberi peluang kepada kedua-dua artis berkenaan untuk menghibur serta berinteraksi bersama peminat.

"Najwa dan Ainan merupakan antara artis Youtube yang mencipta populariti tersendiri di pentas hiburan tanah air dan lagu-lagu nyanyian mereka berjaya memikat peminat muzik tempatan.

"Jadi, segmen ini disediakan sebagai platform buat artis dan peminat berhibur bersama sambil bertanya khabar di samping beberapa aktiviti sampingan yang akan diadakan esok," katanya kepada Mingguan Malaysia di kampus UTM Skudai, di sini hari ini.

Selain itu, menurut Muhammad Farhan, pelakon filem KL Gangster, Sofi Jikan juga dijemput bersama-sama Najwa dan Ainan meraikan para ibu yang hadir sempena Hari Ibu yang disambut esok.

Sementara itu, pada sebelah petang, pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk pengunjung termasuk beberapa pertandingan dengan hadiah menarik.

"Antaranya ialah pertandingan seni gubahan buah-buahan dan gubahan hantaran serta pertandingan permainan Saidina Master peringkat akhir. Di samping itu, terdapat persembahan zon aktiviti ekstrem seperti papan luncur, basikal Fixie dan BMX serta aksi lasak Parkour," tambahnya.

Sehubungan itu, penduduk tempatan khususnya di sekitar Skudai dijemput hadir ke festival berkenaan bagi memeriahkannya dan bersantai bersama keluarga.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Tin City mercu tanda baharu Ipoh

Posted: 12 May 2013 12:06 PM PDT

Oleh HAMIMAH HAMID
utusanperak@utusan.com.my

Roshidi Hashim (depan, tiga dari kanan) melihat model pembangunan Tin City ketika majlis perasmian Tin City di Ipoh, semalam.

IPOH 12 Mei - Tin City yang terletak di Jalan Falim, Menglembu di sini bakal menjadi satu lagi mercu tanda baharu di Ipoh apabila siap sepenuhnya pada 2018.

Dibina di atas hartanah seluas kira-kira 10.12 hektar, Tin City merangkumi pusat beli belah, hotel, kompleks komersial dan apartmen eksklusif.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, pembangunan hartanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berbilion ringgit itu bakal memberi impak positif kepada bandar raya Ipoh.

Katanya, Tin City berpotensi menjadikan Ipoh bandar raya yang lebih maju pada masa akan datang dengan kemasukan pelabur dan pelancong.

"Pembangunan hartanah baharu ini terletak di tempat yang strategik berdekatan dengan bandar raya Ipoh. Kita percaya dengan pembangunan baharu ini, ekonomi Ipoh akan lebih berkembang.

"Pada masa yang sama, saya yakin lebih ramai pelabur akan melabur di sini pada masa akan datang," kata selepas merasmikan Projek Tin City di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Amber Synergy Sdn. Bhd., Datuk Yong Chai Song.

Menurut Roshidi, serentak dengan perjalanan projek Tin City, jalan utama di hadapan pembangunan hartanah tersebut yang menghubungkan antara Kledang dan Menglembu akan dilebarkan bagi mengurangkan kesesakan.

Ini kerana katanya, hasil pemerhatian pemaju, kira-kira 3,000 kenderaan melalui jalan tersebut setiap jam.

"Jalan dari Kledang Utama ke Menglembu memang sesak setiap hari kerana terdapat pasar borong di situ. Apabila pembangunan hartanah ini siap nanti, pasti akan lebih sesak.

"Jadi untuk mengelakkan kesesakan tersebut, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah meluluskan permohonan pemaju untuk kerja-kerja pelebaran jalan," katanya.

Sementara itu, Chai Song berkata, projek yang dijangka siap dalam tempoh lima tahun itu bakal menarik kira-kira 4,000 pengunjung setahun.

Katanya, Tin City akan menjadi hab komersial terbaru yang mampu menarik kemasukan pelabur dari China dan Sumatera, Indonesia.

"Tin City menyasarkan pengunjung daripada pelbagai latar belakang dan umur. Kita menyediakan pelbagai kemudahan untuk semua tidak kira peniaga, kakitangan kerajaan dan swasta mahupun pelajar.

"Jadi kita yakin projek baharu ini akan membantu menaikkan ekonomi Perak, khususnya ekonomi Ipoh," katanya.

Sektor pembuatan catat peratus kemalangan tertinggi

Posted: 12 May 2013 12:06 PM PDT

SUNGAI PETANI 12 Mei - Sektor pembuatan mencatatkan peratus kemalangan paling tinggi berbanding sektor lain iaitu hampir 27 peratus daripada 61,552 jumlah kemalangan direkodkan di tempat kerja pada 2012.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Zabidi Md. Adib berkata, sektor perkhidmatan mencatatkan 22 peratus kemalangan di tempat kerja, pembinaan (lapan peratus) dan bakinya dalam sektor lain.

Katanya, memandangkan sektor pembuatan mempunyai bilangan pekerja paling ramai berbanding sektor lain, syarikat dalam sektor pembuatan perlu meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat kerja.

"Mereka perlu lebih aktif memainkan peranan dalam jawatankuasa keselamatan dan kesihatan pekerja di syarikat masing-masing.

"Bagaimanapun berdasarkan pemerhatian kita kebelakangan ini, tahap kesedaran dalam kalangan majikan dan pekerja semakin meningkat, cuma kita mahu kerjasama antara mereka lebih baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di sini semalam. Zabidi berkata, walaupun kadar kemalangan maut dan kecederaan di tempat kerja menurun dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, majikan dan pekerja tidak sewajarnya bersikap sambil lewa.

Katanya pada tahun lepas, kadar kemalangan di tempat kerja adalah 3.31 peratus/1,000 pekerja, menurun berbanding 3.4 peratus/1,000 pekerja yang dicatatkan pada 2011.

Kadar kemalangan maut di tempat kerja pada 2012 pula 4.64 peratus/100,000 pekerja berbanding 6.17 peratus/100,000 pekerja pada 2011, kata Zabidi.

Terdahulu dalam ucapannya Zabidi berkata, JKKP menggalakkan majikan dan pekerja mengambil bahagian secara proaktif dalam pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerja bagi memastikan tempat kerja mereka kondusif untuk bekerja agar kualiti dan produktiviti dapat ditingkatkan.

Seminar sehari itu dihadiri hampir 300 pekerja pelbagai sektor dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Turut hadir Pengarah JKKP Kedah Mohamad Jais Suratman. — BERNAMA

Pameran kehidupan tauke lombong

Posted: 12 May 2013 12:06 PM PDT

IPOH 12 Mei - Pameran yang memaparkan era dan kehidupan keluarga tauke-tauke pelombong di Perak pada era 1920-an dan 1030-an diadakan di Falim House, Jalan Lahat di sini bermula hari ini.

Pameran selama tiga bulan itu yang akan berakhir pada 11 Ogos dibuka secara percuma kepada orang ramai dari pukul 10 pagi hingga enam petang.

Pengarah Amber Synergy Sdn. Bhd., Datuk Poo Tak Kiau berkata, pameran sempena pelancaran Tin City itu akan memaparkan gaya hidup pelombong di zaman kegemilangan bijih timah di negeri itu.

Katanya, lebih 210 gambar lama yang antaranya diambil sebelum tahun 1900, serta pelbagai artifak boleh dilihat di Falim House.

"Kita tahu ramai yang tidak pernah melihat peralatan melombong. Jadi mereka boleh menyaksikan peralatan melombong bijih timah, perkakas dapur luar biasa, alat permainan yang jarang ditemui serta kenderaan lama di sini.

"Bukan sahaja ia boleh membawa balik kenangan lama dan nostalgia, pameran ini juga memberi pendidikan dan manfaat kepada generasi muda," katanya dalam majlis pelancaran Falim House di sini hari ini.

Pelancarannya disempurnakan oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim.

Menurut Tak Kiau, perkhidmatan bas percuma pergi dan balik akan disediakan dari stesen kereta api Ipoh ke Falim House pada hujung minggu.

"Bas-bas ini akan bertolak dari stesen kereta api pada pukul 1.45 pagi, 1.45 petang dan 2.45 petang dari stesen kereta api Ipoh.

"Dari Falim House pula, bas akan bergerak pukul 1.15 petang, 2.15 petang, 4.15 petang dan 5.15 petang," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Jangan sertai perhimpunan di Kuantan esok

Posted: 13 May 2013 02:25 AM PDT

SHAHRINNAHAR LATIB

KUANTAN 13 Mei - Polis Pahang memberi amaran kepada orang ramai agar tidak terpedaya dengan hasutan pihak tertentu yang mengajak mereka menyertai perhimpunan haram di Taman Mahkota Aman di sini esok.

Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Komisioner Anuar Osman berkata, setakat ini, pihak polis tidak menerima sebarang notis atau permohonan daripada pihak penganjur untuk memaklumkan mengenai perhimpunan tersebut. - UTUSAN ONLINE

Polis buka kertas siasatan perhimpunan di pejabat SPR negeri

Posted: 13 May 2013 01:42 AM PDT

Oleh ROSMAWATI SALIHIN

KOTA KINABALU 13 Mei - Polis telah membuka kertas siasatan berhubung tindakan lebih 30 individu yang berhimpun di pekarangan pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, pihaknya juga akan memanggil penganjur perhimpunan itu yang dipercayai didalangi oleh Gerakan Mahasiswa PRU-13 Sabah dan Sarawak bagi membantu siasatan.

"Siasatan dibuat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana berhimpun tanpa kebenaran polis, kertas siasatan ini apabila selesai akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

"Mengikut akta itu setiap perhimpunan dibenarkan jika memenuhi syarat-syarat tertentu seperti memaklumkan kepada kami 10 hari sebelum dilaksanakan dan faktor kesesuaian lokasi juga akan diambil kira," katanya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Hadi tolak agenda perpaduan UMNO-Pas

Posted: 13 May 2013 01:36 AM PDT

RODELIO JUNJUN TAUCAN

KOTA BHARU 13 Mei - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menolak sebarang penyatuan antara UMNO dan Pas seperti yang dicadangkan beberapa pemimpin bagi memastikan bangsa serta agama Islam dapat diperkasakan sepanjang zaman.

Beliau sebaliknya menyifatkan cadangan itu hanya dikeluarkan oleh pihak yang sedang 'lemas' atau terdesak mendapatkan pertolongan daripada orang lain untuk menyelamatkan diri.

"Itu orang tengah lemas, saya orang tepi laut tahulah. Orang tengah lemas, kita tak boleh pergi dekat, kalau pergi dekat, dia raba (tarik) kita tenggelam sekali," katanya ringkas.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di Kota Darulnaim di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Terap budaya sukan di peringkat kanak-kanak

Posted: 12 May 2013 12:06 PM PDT

Idris Haron (berbaju biru) ditemani Abu Bakar Mohamad Diah (kanan) menyampaikan hadiah cabutan bertuah dalam majlis Sukaneka Tadika JAIM Zon Utara 2013, di Sungai Udang, Melaka, semalam. -utusan/Gaie Uchel

MELAKA 12 Mei - Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) meneruskan usaha memupuk budaya dan semangat kesukanan dalam kalangan muridnya di peringkat tadika di seluruh negeri ini.

Ketua Penyelia Tadika JAIM negeri, Datuk Noradibah Abdullah berkata, program tahunan yang dianjurkan bagi mencungkil bakat sukan dalam kalangan kanak-kanak itu antara usaha JAIM bagi meningkatkan mutu sukan di negeri ini.

"Antara lain, kita mahu melihat potensi yang ada dalam kalangan kanak-kanak tadika JAIM di seluruh enam zon di negeri ini dalam pelbagai acara.

"Ia secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim serta perpaduan di kalangan kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis Sukaneka Tadika JAIM Zon Utara 2013 di padang Kompleks Penjara Sungai Udang di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Idris Haron itu ialah Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah.

Menurut Noradibah, seramai 420 orang murid daripada 11 tadika di zon utara menyertai sukaneka itu.

Katanya, seramai 120 orang murid tadika JAIM akan dipilih disetiap zon bagi menyertai peringkat seterusnya yang bakal diadakan di padang Sekolah Henry Gurney, Telok Mas di sini pada 15 Jun ini.

Noradibah berkata, jumlah keseluruhan murid di tadika JAIM kini mencecah 3,940 orang di 60 buah tadika di seluruh negeri ini.

MAIM anjur kursus bantu bakal pengantin hadapi alam perkahwinan

Posted: 12 May 2013 12:06 PM PDT

MELAKA 12 Mei - Majlis Agama Islam Melaka (MIAM) mengambil inisiatif membantu bakal pengantin yang ingin mendirikan rumah tangga dengan menganjurkan Kursus Praperkahwinan dan Kekeluargaan Islam.

Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Yaakub Md. Amin berkata, kursus praperkahwinan amat perlu dilaksanakan dalam usaha memberi ilmu asas kepada bakal pengantin bagi menghadapi cabaran alam rumahtangga yang semakin kompleks pada masa kini.

"Dengan adanya ilmu asas tersebut, mereka akan mendapat maklumat dan manfaat berguna yang boleh diamal serta diaplikasikan dalam kehidupan berumahtangga antara suami dengan isteri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutup Kursus Praperkahwinan dan Kekeluargaan Islam Siri 17/2013 anjuran MAIM Bentara Sdn. Bhd. di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengurus MAIM Bentara Sdn. Bhd, Yazid Palal.

Menurut Yaakub, kursus selama dua hari itu merupakan prasyarat bagi mereka yang bakal mendirikan rumahtangga untuk mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan pernikahan dalam ajaran agama Islam.

"Kursus ini juga bertujuan mendedahkan peserta tentang tanggungjawab dan peranan pasangan agar mereka lebih bersedia menempuh alam perkahwinan .

"Selain itu, kursus seperti ini juga dapat membuka minda peserta tentang isu gejala sosial yang kerap berlaku dalam masyarakat, berpunca daripada kelemahan institusi kekeluargaan," ujarnya.

Seramai lapan penceramah telah menjayakan kesemua lapan modul sempena kursus yang bermula semalam melibatkan seramai 100 peserta lelaki dan wanita dari seluruh negeri.

Jangan khianati amanah rakyat

Posted: 11 May 2013 12:22 PM PDT

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my

Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menyerahkan watikah pelantikan kepada Mohamad Hasan pada Istiadat Penyerahan Watikah Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, semalam.

KUALA PILAH 11 Mei - Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan semua wakil yang dipilih rakyat ke Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat tidak mengkhianati amanah itu dengan menggunakannya untuk kepentingan sendiri.

Titah baginda, menyalahgunakan kuasa dan kedudukan yang ada itu akan menjurus kepada ketidakadilan serta kerapuhan pelaksanaan sesuatu dasar yang dirangka untuk kebaikan rakyat.

"Beta menyeru kamu menunjukkan tingkah laku yang baik dan berkeperibadian tinggi sesuai dengan gelaran Yang Berhormat yang akan kamu pegang sebaik sahaja mengangkat sumpah di Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat kelak," titah baginda di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, di sini hari ini.

Tuanku Muhriz bertitah demikian selepas berkenan menyempurnakan upacara penyerahan watikah pelantikan dan angkat sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan kepada Datuk Seri Mohamad Hasan.

Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Majlis angkat sumpah itu disaksikan Ketua Hakim Syarie, Datuk Mohd. Shukor Sabudin dan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Seremban, Datuk Siti Mariah Ahmad.

Titah Tuanku Muhriz, wakil rakyat perlu bertanggungjawab ke atas semua rakyat yang berada dalam kawasan masing-masing tanpa mengira fahaman politik, keturunan, mahupun pegangan agama.

"Beta mengingatkan semua wakil rakyat yang terpilih, kamu telah diamanahkan oleh rakyat untuk mewakili mereka bagi menyuarakan segala permasalahan serta melindungi kepentingan mereka dalam pembuatan dan pelaksanaan sesuatu dasar atau keputusan," titah baginda.

Baginda turut mahukan rakyat negeri ini ditadbir dengan asas ketelusan dan akauntabiliti yang kukuh.

"Beta juga yakin, sebagai Menteri Besar, Mohamad akan memastikan urusan pentadbiran di jabatan dan agensi kerajaan di negeri ini bebas daripada sebarang unsur penyelewengan serta salah guna kuasa seperti rasuah dan seterusnya menjadi contoh sebuah kerajaan bersih dan adil.

"Kepada penjawat awam, kamu sewajarnya terus bersikap neutral dalam melaksanakan tanggungjawab tanpa ada kecondongan kepada mana-mana fahaman politik," titah baginda.

Kredit: www.utusan.com.my

Ahad, 12 Mei 2013

Utusan Online - Agrobiz

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


Posted:

[unable to retrieve full-text content]
Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved