
Wu Chee Leong yang mengalami kecederaan teruk akibat terjatuh ketika membuat rumah menerima sumbangan dari Abdul Manan Ismail (dua kiri) menerusi program Jasa Prihatin di rumahnya di Sungai Lembing, kelmarin.
PAYA BESAR 29 Mac - Seorang tukang rumah, Wu Chee Leong yang mengalami kecederaan teruk di bahagian tulang belakang akibat terjatuh semasa bekerja kira-kira 27 tahun lalu pernah menganggap masa depannya telah musnah setelah ditimpa kemalangan itu.
Akibat kemalangan ketika dia berumur 23 tahun itu, Chee Leong yang kini berusia 51 tahun dan berasal dari Kampung Tengah, Sungai Lembing di sini tidak mampu berjalan dan hanya bergerak menggunakan kerusi roda.
Bagaimanapun, dia tidak menyangka akan menerima pelbagai bantuan termasuk RM300 setiap bulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setelah masa mudanya musnah akibat peristiwa hitam tersebut.
"Beginilah kehidupan saya, hendak duduk lama pun sudah tidak boleh sebab kesan luka di bahagian tulang belakang saya, kedua-dua kaki pun tidak boleh bergerak akibat kemalangan itu.
"Tetapi saya amat berterima kasih kepada kerajaan kerana berterusan memberikan bantuan untuk saya meneruskan kehidupan," katanya.
Chee Leong berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima bantuan menerusi program Jasa Prihatin yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail di rumahnya semalam.
Seramai 60 penduduk majoritinya warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU) menerima bantuan barangan keperluan harian menerusi program yang dikendalikan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) itu.
Yang turut hadir, Pembantu Penerangan Jasa negeri, Wan Ludin Wan Ali.
Chee Leong berkata, dia terharu kerana kesusahannya akibat kemalangan yang menimpa dirinya itu sentiasa mendapat perhatian kerajaan.
Sementara itu, Abdul Manan berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sememangnya sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat termasuk golongan kurang bernasib baik, warga emas dan OKU.
Menurutnya, usaha itu sejajar dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat.
"Pelbagai bantuan telah kerajaan salurkan, antaranya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan berharap rakyat akan menghargainya. Saya percaya lebih banyak lagi bantuan diberikan pada rakyat pada masa akan datang," katanya.