Jumaat, 16 Disember 2011

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


7 lelaki ditahan tebang bakau

Posted:

7 lelaki ditahan tebang bakau

7 lelaki ditahan tebang bakau

Oleh luqman haziq
utusanjohor@utusan.com.my


Anggota Pasukan Gerakan Marin melihat kayu bakau yang ditebang secara haram oleh tujuh warga Indonesia di Kota Tinggi, kelmarin.


JOHOR BAHRU 16 Dis. - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Dua dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tujuh lelaki Indonesia yang disyaki menjalankan pembalakan haram di hutan bakau Sungai Pacat, Belungkur, Kota Tinggi semalam.

Komander PGM Wilayah 2, Asisten Komisioner Zainul Abidin Hasan berkata, bot ronda RH 24 membawa anggotanya dan SPRM yang mendapat maklumat mengenai kegiatan haram itu menyerbu kawasan tersebut kira-kira pukul 5 petang.

"Semasa serbuan dijalankan, terdapat tujuh lelaki warga Indonesia dipercayai pekerja sedang menebang pokok bakau. Pemeriksaan ke atas tujuh lelaki tersebut mendapati mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Pasukan kami turut merampas peralatan yang digunakan untuk menebang pokok iaitu dua mesin gergaji berantai, tiga bilah kapak, sebilah gergaji tangan dan kayu bakau pelbagai saiz dianggarkan bernilai puluhan ribu ringgit," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua lelaki berkenaan kini ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Perhutanan Negara 1985 iaitu menceroboh kawasan hutan simpan.

Kumpulan warga asing itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perhutanan dan Jabatan Imigresen negeri untuk tindakan lanjut.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan haram di sekitar muara, sungai dan pulau di kawasan masing-masing supaya menghubungi pihaknya di talian 07-2372222/ 2376122.

Full content generated by Get Full RSS.

112 kanak-kanak sertai program berkhatan Pemuda UMNO

Posted:

112 kanak-kanak sertai program berkhatan Pemuda UMNO

112 kanak-kanak sertai program berkhatan Pemuda UMNO


NOOH Gadot menyiram kanak-kanak yang akan dikhatankan di Pontian, baru-baru ini.


PONTIAN 16 Dis. _ Seramai 112 kanak-kanak menyertai program berkhatan beramai-ramai anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Piai di sini baru-baru ini.

Mereka yang berusia sembilan hingga 13 tahun terlebih dahulu diarak sambil diiringi paluan kompang mengelilingi Kampung Sawah menaiki dua buah lori dan kemudian dibawa ke Dewan Sekolah Agama (SA) kampung tersebut untuk dikhatankan.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Piai, Mesnor Bujang berkata, program tersebut merupakan salah satu program Juara Rakyat bagi mendekati masyarakat setempat.

Katanya, ia juga bagi membantu golongan kurang berkemampuan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan hanya dikenakan bayaran RM25 setiap peserta dan kos selebihnya ditanggung pergerakan berkenaan.

"Kami gembira atas sokongan ibu bapa yang menjayakan program ini dengan menghantar anak-anak mereka untuk dikhatan secara beramai-ramai sempena cuti sekolah ini," katanya pada majlis yang dirasmikan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadot.

Turut hadir Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjung Piai, Normah Mohamad dan Ketua UMNO Cawangan Kampung Sawah yang juga Pegawai Penerangan UMNO Bahagian Tanjung Piai, Selamat Othman.

Mesnor berharap program tersebut dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim pemimpin UMNO bahagian dengan masyarakat dan bercadang menjadikannya sebagai program tahunan pergerakan tersebut.

Sementara itu, pasangan adik-beradik, Firdaus dan Mohd. Norain Zaini, berusia sembilan dan 12 tahun mengakui tidak takut kerana telah bersedia untuk menempuh alam dewasa.

"Rasanya tak sakitlah seperti yang dikatakan oleh rakan-rakan yang telah berkhatan sebelum ini," katanya Mohd. Norain.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Gabungan gaya Hollywood, Asia

Posted:

Gabungan gaya Hollywood, Asia

Gabungan gaya Hollywood, Asia

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar HUSH PUPPIES


KOLEKSI Hush Puppies sesuai digayakan oleh seisi keluarga.


WARNA merah, hitam dan hijau memang sinonim dengan perayaan Krismas dan Tahun Baru Cina. Bersedialah untuk gaya glamor ala Hollywood dengan koleksi musim sejuk Hush Puppies Apparel terbaru yang dilancarkan pada November lalu.

Berlatarkan era 1950-an hingga 1960-an, Koleksi Musim Sejuk Palm Springs mendapat inspirasi daripada siri televisyen dan ikon stail seperti Mad Men, Brigette Bardot, Jackie Onassis dan Twiggy.

"Jenama Hush Puppies terkenal kerana cogan katanya 'keselesaan-sepanjang-hari'. Kami telah memilih warna yang abadi walaupun selepas perayaan Krismas, dengan pelbagai warna biru-hijau (teal), merah manggis (maroon), hijau bambu, ungu dan sedikit putih, kelabu, perang dan hitam, yang boleh bertukar dengan mudah untuk disesuaikan dengan keadaan lain," kata Celeste Tee, Pengurus Pemasaran Shoe Connection Sdn. Bhd, Malaysia dan Singapura.

Koleksi Palm Springs memperagakan pakaian dalam bentuk cetakan, berpetak, bintik polka, dan jalur klasik Amerika. Koleksi ini moden, namun ia mengekalkan nostalgia dalam corak dan potongannya.

"Hush Puppies Apparels memenuhi keperluan keseluruhan keluarga dengan koleksi kanak-kanak memaparkan campuran rona yang lembut, paling sesuai untuk dipakai oleh kanak-kanak lelaki dan perempuan bagi menghadiri majlis hujung tahun," kata Celeste.

Pilihan warna bagi kanak-kanak adalah dalam julat merah muda, ungu, putih dan kelabu. Warna fuchsia, kelabu dan hitam yang lebih gelap untuk kanak-kanak perempuan, manakala warna sedikit kekuningan untuk budak lelaki!

Untuk perayaan tempatan seperti Tahun Baru Cina pada Januari 2012, Hush Puppies akan melancarkan Koleksi Musim Bunga yang diberi nama Asian Fusion pada Disember ini.

Mengumpil inspirasi daripada sejarah negara China, koleksi ini juga menggunakan pengaruh daripada pakaian ciptaan Louis Vitton dan Dris Van Noten, yang memperagakan lengan kimono dan kolar mandarin bercorak flora gaya Asia.

"Rona warna kemerah-merahan akan menjadi warna yang dominan dalam koleksi Asian Fusion dengan warna daripada merah lakuer, jingga Hermes dan jingga kesumba hingga warna biru porselin. Kami juga telah menggabungkan warna-warna neutral seperti putih dan coklat tanah, menekankan reka bentuk yang abadi," tambah Celeste.

Bagi memastikan hanya kapas terbaik sahaja digunakan, maka Koleksi Asian Fusion diperbuat daripada bahan linen ringan yang selesa, lembut dan baik untuk digunakan sebagai pakaian padanan atau gabungan bagi majlis khas. Beberapa ciri yang menarik turut ditampilkan iaitu corak cetak flora Oriental, frog closure, kolar mandarin, dan paiping berkontras atau rona atas rona.

Koleksi Palm Spring dan Koleksi Asian Fusion sangat disukai wanita, lelaki dan kanak-kanak, selain mempunyai sesuatu untuk semua ahli keluarga. Koleksi- koleksi baru ini boleh didapati mulai Disember 2011 hingga Mac 2012 di gedung-gedung utama.

Selain itu, pada tahun 1958, Hush Puppies telah mencipta sepatu kasual pertama di dunia, sekali gus mengisyaratkan permulaan gaya hidup santai yang terdapat hari ini.

Dengan menggunakan sued lentur yang digabungkan dengan tapak krep ringan, Hush Puppies telah mencipta sepatu yang lembut, mampu 'bernafas' dan amat selesa. Ia suatu inovasi yang akhirnya mengubah jenis sepatu yang kita pakai hari ini.

Berbentuk santai dan klasik, Hush Puppies telah mengembangkan koleksinya bagi merangkumi busana kasual dan kini terdapat di lebih 135 negara di seluruh dunia.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Sanggup berbaris panjang demi iPhone 4S

Posted:

Sanggup berbaris panjang demi iPhone 4S

Sanggup berbaris panjang demi iPhone 4S

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Kemunculan telefon pintar terbaru keluaran Apple Inc., iPhone 4S yang mula menembusi pasaran negara ini mencetuskan fenomena apabila orang ramai sanggup beratur panjang bagi mendapatkan gajet tersebut hari ini.

Biarpun mula dijual pada pukul 12.01 tengah malam ini, beratus-ratus penggemar gajet tersebut mula beratur seawal pukul 2 petang ini supaya tidak terlepas peluang menjadi antara pelanggan terawal memiliki telefon yang disifatkan tercanggih pada abad ini.

Telefon pintar terbaru keluaran Apple itu mempunyai tiga versi iaitu dengan storan 16 gigabait (GB) pada harga RM558, 32GB (RM878) dan 64GB (RM1,188) dan ditawarkan dengan pakej kontrak menarik untuk para pelanggan Celcom.

Kakitangan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Akmalrul Hisham Maulan, 26, berkata, dia sanggup mengambil cuti hari ini semata-mata untuk menjadi pemilik terawal iPhone 4S di negara ini.

"Walaupun waktu untuk berbaris bermula pukul 9 malam, saya datang awal supaya tidak perlu menunggu lebih lama untuk mendapatkannya," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran iPhone 4S Celcom Axiata di pusat beli-belah Bangsar di sini hari ini.

Tambah Akmalrul Hisham, dia tidak kisah untuk berbaris panjang kerana tertarik dengan aplikasi yang ditawarkan iPhone 4S.

Bagi Nur Syahirah Abdul Halim, 26, dia tidak sabar untuk memiliki iPhone 4S dan membawanya ke tempat kerja esok.

"Saya tidak sabar untuk 'meneroka' aplikasi terbaru yang ada dalam telefon pintar ini," kata eksekutif sebuah syarikat itu.

Bagi Raimi Mansor, 27, pula kegilaan terhadap gajet itu membuatkan dia sanggup beratur panjang demi memastikan telefon yang sudah lama menjadi idamannya itu berada dalam genggaman.

"Antara sebab saya mahu mendapatkan gajet ini adalah sistem arahan suara yang dipasang dalam iPhone 4S pada saya antara tercanggih pernah dihasilkan Apple," katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata, Datuk Seri Shazalli Ramly dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya akan memastikan para pelanggan yang memiliki pakej itu mendapat pengalaman kelas pertama dalam menggunakan segala aplikasi iPhone 4S.

Full content generated by Get Full RSS.

Permodalan Felcra Berhad bakal ditubuhkan

Posted:

Permodalan Felcra Berhad bakal ditubuhkan

Permodalan Felcra Berhad bakal ditubuhkan

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Felcra Bhd. (Felcra) akan menubuhkan Permodalan Felcra Bhd. awal tahun depan bagi menjana keuntungan melalui aktiviti pelaburan dan perniagaan pada masa akan datang.

Pengerusinya, Datuk Tajudin Abd. Rahman berkata, ia bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap pendapatan hasil komoditi kelapa sawit dan getah semata-mata.

"Untuk permulaan, Felcra akan melabur RM10 juta sebagai suntikan dana pertama sebelum dimantapkan lagi dengan sumber yang lain melalui penyertaan warga peneroka dan syarikat-syarikat Felcra.

"Kami juga akan berunding dengan kerajaan untuk menyokong penubuhan ini dan berharap diberikan insentif agar permodalan menjadi lebih mantap," katanya ketika berucap pada majlis doa selamat dan kesyukuran sempena penyampaian dividen interim kedua 2011 di Hotel Sunway Putra hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Bhd., Datuk Juzilman Basir; beberapa Ahli Lembaga Pengarah Felcra iaitu Ismail Abd. Mutalib, Datuk Ir. Azizuddin Meor Hamzah serta Datuk Paduka Ghazali Ibrahim selain kepimpinan tertinggi agensi itu.

Menurut Tajudin, Felcra akan 'turun padang' ke setiap kawasan bagi menerangkan lebih lanjut tentang penubuhan permodalan tersebut.

"Apa yang kita lakukan ini demi kebaikan dan manfaat buat warga Felcra dan generasi akan datang.

"Kita tidak mahu mereka mensesiakan keuntungan begitu sahaja. Dengan penubuhan ini kita yakin dapat membantu mereka menjana lebih banyak keuntungan untuk dinikmati setiap tahun," ujarnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Perluas khidmat ke pulau-pulau

Posted:

Perluas khidmat ke pulau-pulau

Perluas khidmat ke pulau-pulau


Shafie Apdal (dua dari kanan) menyembur air sebagai simbolik merasmikan majlis berkhatan beramai-ramai di Semporna, Sabah, semalam.


SEMPORNA 15 Dis. - Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyarankan supaya Hospital Semporna menyediakan perkhidmatan kesihatan bergerak di pulau-pulau yang jauh dari tanah besar Semporna agar penduduk pulau berkenaan dapat menikmati perkhidmatan kesihatan lebih baik.

Beliau berkata, masih ramai penduduk pulau di daerah itu yang tidak berpeluang memperoleh khidmat kesihatan lebih baik kerana faktor jarak dan ekonomi.

Katanya, dalam mesyuarat Kabinet sebelum ini, kerajaan bersetuju memberi insentif tertentu kepada doktor pakar yang ditempatkan di hospital luar bandar untuk menggalakan mereka bertugas lebih lama di hospital berkenaan.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan program berkhatan beramai-ramai anjuran UMNO Semporna dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Sabah di sini, hari ini.

Pada majlis itu, lebih 400 kanak-kanak dikhatankan secara percuma sempena cuti persekolahan ini.

Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna, gembira dengan kemajuan yang dicapai Hospital Semporna daripada segi kemudahan dan kakitangan untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat daerah itu.

Beliau berkata, kalau dahulu kemudahan di hospital berkenaan termasuk katil pesakit begitu terhad manakala doktornya pula cuma seorang namun masalah itu sudah dan sedang diatasi secara berperingkat.

Difahamkan doktor di Hospital Semporna kini berjumlah 11 orang, termasuk seorang doktor pakar dan jumlah katil pula telah bertambah sejak lima tahun lalu melalui pembinaan sebuah blok hospital baru bernilai RM20 juta.

"Saya telah memohon kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai supaya Hospital Semporna bukan sahaja dibekalkan dengan prasarana mencukupi tetapi juga penempatan doktor pakar di hospital luar bandar itu juga ditambah supaya kesihatan masyarakat luar bandar sentiasa terpelihara.

"Kalau tidak, mereka terpaksa berulang alik dalam jarak yang jauh ke hospital yang ada sistem perubatan yang lengkap. Kalau pergi ke hospital swasta pula mereka terpaksa menampung perbelanjaan besar," katanya. - BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Tingkat pelancongan dua negeri

Posted:

Tingkat pelancongan dua negeri

Tingkat pelancongan dua negeri

Oleh MAZLINDA MURTADZA
utusanN9@utusan.com.my


Sebahagian peserta bersama kakitangan Tourism Perlis melihat proses pembuatan coklat D'Kawi di Kuala Perlis, baru-baru ini.


SEREMBAN 15 Dis. - Tourism Malaysia negeri ini akan mengeratkan hubungan dengan Tourism Malaysia negeri Perlis bagi meningkatkan kedatangan pelancong di antara kedua-dua negeri berkenaan.

Kerjasama itu dijalankan kerana kedua-dua negeri tersebut mempunyai keunikan dan tarikan yang tersendiri.

Antara daya tarikan kedua negeri tersebut ialah kepelbagaian makanan tradisional yang unik.

Negeri Sembilan terkenal dengan masak lemak cili api. Atas faktor tersebut, Tourism Malaysia negeri ini menganjurkan program Perlis Food Trail, baru-baru ini.

Seramai 40 orang delegasi dijemput menjadi peserta yang terdiri daripada ejen-ejen pelancongan dari seluruh negara.

Delegasi dari negeri ini dan ejen pelancong sekitar Malaysia, Sabah dan Sarawak diberi kesempatan menyaksikan demonstrasi masakan lemak ikan pekasam Belimbing Buluh yang cukup popular di Perlis.

Belimbing buluh adalah sumber makanan yang sukar didapati. Bagi penggemar masakan itu sudah pasti ingin mencubanya sekali lagi setelah merasa keenakan menu tersebut.

Peserta turut berkesempatan melihat perusahaan dried mango di Kangar dan demonstrasi membuat sabun buatan tangan.

Anggota rombongan turut dibawa melawat Homestay Felda Mata Ayer yang terkenal dengan Ladang Buluh Madu.

Di homestay itu pengunjung dibawa melawat ladang dan melihat cara-cara memproses rebung madu, jeruk dan cakar ayam.

Selain itu, delegasi turut dibawa melawat ke pasar 'nat' pokok getah, Pauh Putra dan meninjau perusahaan Belacan Madu dan jualan ikan masin.

Destinasi terakhir, peserta dibawa menikmati Laksa Kuala Perlis dan pulut udang.

Kuala Perlis turut memiliki keunikan yang tersendiri iaitu pembuatan coklat di kilang DKawi.

Menariknya, pengunjung boleh menikmati coklat bersalut strawberi yang turut digemari penyanyi terkenal, Siti Nurhaliza yang dijadikan tarikan utama di pintu utama kilang.

Secara keseluruhannya, program itu mendedahkan kepada orang ramai dalam peningkatan ekonomi sesebuah negeri dan mempromosikan produk ekopelancongan.

Full content generated by Get Full RSS.

Pembeli Taman Bukit Ara lega

Posted:

Pembeli Taman Bukit Ara lega

Pembeli Taman Bukit Ara lega

Oleh NAZARUDIN SHAHARI
nazarudin.shahari@utusangroup.com.my


Adnan Abu Hassan (dua dari kiri) melawat kawasan perumahan yang telah disiapkan selepas terbengkalai selama kira-kira 14 tahun di Taman Bukit Ara, Melang, Kuala Pilah, semalam.


KUALA PILAH 15 Dis. - Selepas terbengkalai selama kira-kira 14 tahun, sebanyak 72 pembeli perumahan Taman Bukit Ara, Melang dekat sini boleh menarik nafas lega kerana projek itu kini berjaya dipulihkan dan boleh didiami.

Ia hasil usaha Ahli Dewan Undangan Negeri Pilah, Adnan Abu Hassan yang 'turun-naik' ke jabatan-jabatan kerajaan berkaitan sejak 2008 bagi mendapatkan dana pemulihan projek perumahan yang terbengkalai.

Berikutan itu, BA Urus Bina (M) Sdn. Bhd. telah dilantik sebagai pemaju penyelamat dan memulakan kerja-kerja pemulihan mulai 15 Jun lalu dan siap hari ini, enam bulan lebih awal daripada jadual sebenar.

Projek itu mengandungi 32 unit rumah teres kos rendah dan 40 unit rumah teres kos sederhana di kawasan seluas dua hektar.

Projek itu telah siap sebanyak 60 peratus ketika ia terbengkalai selepas pemaju asalnya gulung tikar.

Hari ini, Adnan melawat taman perumahan itu bagi meninjau kemajuan pemulihan projek tersebut yang telah siap sepenuhnya dan hanya menunggu sijil layak menduduki (CF) daripada Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP).

"Saya berharap pihak MDKP dapat mempercepatkan proses pemberian CF bagi membolehkan pembeli yang telah menunggu sejak sekian lama menduduki rumah masing-masing.

"Pemulihan projek ini adalah bukti kesungguhan kerajaan menjaga kebajikan rakyat. Ia bukan retorik tapi satu jihad untuk mengatasi masalah yang dihadapi rakyat," katanya.

Turut mengiringi beliau ialah Penolong Pegawai Penilaian MDKP, Zulkiplly Nahu dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif BA Urus Bina, Bahari Abdullah.

Adnan juga menghargai usaha BA Urus Bina yang sanggup mengeluarkan belanja sendiri kira-kira RM5 juta bagi memulihkan projek itu tanpa menunggu dana kerajaan.

Sementara itu, seorang pembeli rumah di situ, Ibrahim Ahmat, 55, berkata, tidak ada kata-kata yang mampu diucapkannya melainkan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan kerana memulihkan projek berkenaan.

"Kami juga terhutang budi kepada YB (Adnan) atas usaha yang dijalankan oleh beliau tanpa jemu sehingga pemulihan projek ini menjadi satu kenyataan," ujarnya.

Full content generated by Get Full RSS.

6 ditahan bersama pelacur

Posted:

6 ditahan bersama pelacur

6 ditahan bersama pelacur

SEREMBAN 15 Dis. - Keghairahan enam lelaki yang melanggan pelacur di sebuah hotel di Jalan Datuk Bandar Tunggal di sini terbantut apabila mereka ditahan dalam serbuan polis di sini petang semalam.

Kehadiran sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri secara mengejut itu menyebabkan mereka cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, dalam serbuan pukul 3.15 petang itu, enam wanita tempatan berusia antara 30 hingga 49 tahun turut ditahan.

"Serbuan dibuat hasil maklumat dan risikan polis. Ketika diserbu, terdapat pelanggan cuba melarikan diri. Bagaimanapun, kita berjaya menahan semua lelaki berusia antara 28 hingga 48 tahun yang berada bersama pelacur berkenaan," katanya.

Kata Hamdan, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penjaga pusat pelacuran itu turut ditahan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk disoal siasat sebelum dikenakan tindakan susulan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 372 dan 373 Kanun Keseksaan.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


RM235j urus, bangunkan negeri

Posted:

RM235j urus, bangunkan negeri

RM235j urus, bangunkan negeri

Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
pengarang@utusan.com.my

KANGAR 15 Dis. – Kerajaan negeri dijangka memperuntukkan lebih RM235 juta untuk perbelanjaan pengurusan dan pembangunan negeri Perlis pada 2012.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu memberitahu, daripada jumlah itu, RM181 juta akan digunakan untuk mengurus manakala sebanyak RM54.9 juta pula bagi pembangunan negeri.

Bagaimanapun, kata beliau, dengan mengambil kira perbelanjaan pengurusan RM181 juta dengan hasil pendapatan 2012 hanya RM74 juta, kerajaan negeri akan mengalami defisit tahunan sebanyak RM107 juta.

Kata beliau, peruntukan perbelanjaan pengurusan 2012 bertambah sebanyak 4.11 peratus atau RM7 juta daripada tahun sebelumnya manakala kadar defisit turut meningkat berbanding RM85 juta pada 2011.

"Daripada anggaran perbelanjaan RM181 juta, RM35 juta dicadangkan untuk emolumen, RM43 juta bagi perkhidmatan dan bekalan, RM101 juta pemberian dan bayaran tetap, RM2 juta pembelian aset dan RM4 juta perbelanjaan lain termasuk pampasan dan pembelian tanah," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet Negeri Perlis 2012 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini, hari ini.

Md. Isa berkata, bagi pembelanjaan pembangunan, agihan diberikan kepada jabatan tertentu seperti pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (RM16.9 juta), Jabatan Kerja Raya (RM13 juta), Jabatan Pertanian (RM6.95 juta), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (RM2,95 juta), Jabatan Pengairan dan Saliran (RM10 juta), Jabatan Perhutanan (RM3.4 juta) dan Bekalan Air Jabatan Kerja Raya (RM1 juta).

Sementara itu, kata beliau, pada 2012, kerajaan negeri menyasarkan peningkatan pelaburan swasta menerusi perancangan dan pelaksanaan projek pelaburan utama termasuk di Taman Teknologi Pauh, Padang Besar dan Kuala Perlis.

"Ia meliputi perusahaan kuari dolomite yang dijangka membawa nilai pelaburan RM100 juta, Taman teknologi Pauh Putra seluas 182.1 hektar memberi fokus sektor perindustrian teknologi tinggi dan projek Halal Park Perlis seluas 10.9 hektar di Padang Besar," kata beliau.

Beliau menjelaskan, tumpuan turut diberikan kepada Depot Pelepasan Darat seluas 38.04 hektar sebagai pusat utama di Malaysia yang dijangka mampu mengatasi masalah kesesakan kontena di sempadan Padang Besar-Thailand.

Selain itu, kata beliau, projek The Curve Kuala Perlis seluas 20.2 hektar yang melibatkan aktiviti penambakan laut akan menjadi tarikan menerusi usaha membangunkan waterfront dan pembinaan infrastruktur komersial serta rekreasi berjumlah RM250 juta.

Full content generated by Get Full RSS.

Perak bangunkan teknologi hijau

Posted:

Perak bangunkan teknologi hijau

Perak bangunkan teknologi hijau

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my


Zambry Abd. Kadir (tengah) menyaksikan Shamsudin Hashim (kanan) bertukar dokumen dengan Rahmah Kassim selepas menandatangani memorandum persefahaman untuk pembangunan produk biodegradasi di Ipoh, Perak, semalam.


IPOH 15 Dis. – Syarikat Return 2 Green Sdn. Bhd. akan membangunkan sebuah kilang di Estet Perindustrian Pelabuhan Lumut Kampung Acheh bagi menghasilkan produk pembungkusan makanan biodegradasi yang mesra alam.

Produk yang dihasilkan melalui hampas tebu dari Thailand itu akan dibangunkan untuk pasaran tempatan dan luar negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kerjasama strategik dengan syarikat tersebut, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam merancakkan pembangunan teknologi hijau di negeri ini.

Beliau berkata, ketika ini, terdapat sembilan projek teknologi hijau yang akan dibangunkan di Perak membabitkan pelbagai produk seperti alga dan buluh.

''Pelaburan ini tidak termasuk projek solar yang akan dibangunkan oleh syarikat dari luar negara, Twin Creeks (M) Sdn. Bhd. yang berjumlah RM1.2 juta," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk pembangunan produk biodegradasi tersebut selain penempatan kilang syarikat berkenaan di Perak Hi-Tech Park di Khantan, Chemor, hari ini.

Perjanjian itu ditandatangani Naib Pengerusi Return 2 Green Sdn. Bhd., Datin Rahmah Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Datuk Shamsudin Hashim.

Perjanjian itu antara lain mencadangkan pembinaan 18 kilang skim vendor syarikat berkenaan di seluruh negeri Perak.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Return 2 Green Sdn. Bhd, Shahrin Shamsuddin berkata, pembukaan kilang tersebut mampu mewujudkan peluang pekerjaan terutamanya dalam bidang bioteknologi, pulpa dan teknologi hijau.

"Ketika ini, kita sedang menjalankan penyelidikan dan pembangunan untuk menghasilkan produk biodegradasi berasaskan bahan buangan pertanian seperti sekam padi, jerami dan serat batang pisang," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tok Tijah berusia 117 tahun, manusia tertua

Posted:

Tok Tijah berusia 117 tahun, manusia tertua

Tok Tijah berusia 117 tahun, manusia tertua


Tijah Ismail menunjukkan kad pengenalannya di rumahnya di Sik, Kedah, kelmarin.


SIK 15 Dis. - Seorang warga emas dari Kampung Teloi Tua dekat sini masih berupaya menguruskan diri walaupun dikatakan sudah berusia 117 tahun.

Ini kerana, walaupun catatan tarikh lahir Tijah Ismail dalam kad pengenalan dinyatakan pada 1914, namun dia dikatakan mendapatkan kad pengenalan ketika berusia 20 tahun.

Disebabkan itu, Tijah atau lebih dikenali sebagai Tok Tijah kini dikatakan menjangkau usia 117 tahun dan menjadi individu tertua di daerah ini.

Ketika ditemui di rumahnya hari ini, dia masih kelihatan kuat dan bertenaga menjalani kehidupan seharian dan mampu menguruskan diri selain memasak makanan sendiri biarpun anak-anaknya tidak membenarkan dia berbuat demikian.

Ditanya mengenai amalan pemakanannya, Tijah memberitahu, sejak kecil dia berpegang kepada petua dan pantang dalam pemakanan seperti tidak pernah menjamah air batu, meminum minuman sejuk dan menjamah makanan yang disimpan di dalam peti sejuk.

"Tidak ada amalan khusus. Cuma saya gemar memakan makanan seperti ulam-ulaman, ikan sungai dan tidak minum ais sejak kecil," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Dia bersyukur kerana diberikan Allah kesihatan baik hingga jarang sakit atau demam malah tidak pernah sakit gigi sepanjang hidupnya.

Menurutnya, dia lebih suka memasak sendiri menggunakan dapur kayu dan makanan paling digemarinya ialah ikan sungai bakar.

Selain itu, Tijah turut mengamalkan beberapa petua tersendiri seperti tidak menggunakan bawang dalam masakan yang dipercayai bagi memiliki kesihatan yang baik.

"Sejak kecil lagi, Tok memang kuat pantang dan tidak pernah makan bawang dan belacan bagi menjaga kesihatan gigi supaya tidak rosak. Sebab itu, gigi Tok tidak pernah sakit sepanjang hidup," katanya.

Menurutnya, dia juga mengamalkan pemakanan tradisi kampung seperti ubi kayu, ulam-ulaman yang ditanam sendiri dan ikan sungai sebagai menu harian sejak dahulu.

"Alhamdulillah, dengan kesihatan yang Allah bagi ini Tok masih mampu untuk memasak sendiri dan tidak pernah masak menggunakan dapur gas memasak sepanjang hidup sebab tidak pandai menggunakannya.

"Tok lebih selesa, malah mahir menggunakan dapur kayu ini," katanya yang mempunyai lima anak berusia antara 59 hingga 62 tahun dan sembilan cucu.

Tijah tinggal dengan anaknya, Hashim Hassan, 62, namun sikap warga emas itu yang tidak mahu menyusahkan anak-anak menyebabkan dia sering memasak sendiri.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Tangkapan kes dadah melonjak

Posted:

Tangkapan kes dadah melonjak

Tangkapan kes dadah melonjak

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mencatatkan penambahan jumlah tangkapan pembekal dan pengedar dadah sebanyak 10.4 peratus membabitkan rampasan bernilai RM204 juta sepanjang tahun ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, sepanjang tempoh yang sama juga, 30 makmal memproses dadah berjaya dibongkar oleh polis berbanding hanya 20 makmal tahun lalu.

Malah, katanya, angka penagih dadah yang ditangkap sepanjang tahun ini juga menunjukkan peningkatan tiga peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Memang tidak dapat dinafikan bahawa penglibatan dalam penyalahgunaan dadah mendorong seseorang itu terlibat dengan aktiviti jenayah. Oleh sebab itu, usaha membanteras kegiatan tersebut diperhebatkan oleh PDRM.

"Namun, kejayaan membanteras ini adalah dengan kerjasama masyarakat yang sentiasa menyalurkan maklumat kepada pihak polis," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh timbalannya, Datuk Seri Khalid Abu Bakar ketika merasmikan Majlis Penganugerahan Balai Liga (BLT) Siri 2 dan 3, 2011 di Balai Polis Wangsa Maju di sini, hari ini.

Pada majlis itu, johan siri 2 dan 3 bagi kategori A adalah Balai Polis Wangsa Maju dan Balai Polis Kuantan, Pahang manakala kategori B pula dimenangi oleh Balai Polis Seberang Jaya, Pulau Pinang dan Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam, Selangor.

Bagi kategori C, johan adalah Balai Polis Bestari Jaya, Selangor dan Balai Polis Kuah, Langkawi. Kategori D dimenangi Balai Polis Hutan Melintang, Perak dan Balai Polis Marang, Terengganu manakala kategori E dimenangi oleh Balai Polis Bukit Merah, Perak dan Balai Polis Kuala Keriang, Terengganu.

Dalam teks ucapannya itu, Ismail mengumumkan pembaharuan dalam proses penilaian untuk memilih pemenang BLT khususnya bagi siri 2 2012 kerana melibatkan tempoh penilaian dari bulan Mei hingga ke akhir tahun.

Beliau berkata, kesemua balai polis dalam semua kategori yang telah ditetapkan akan menjalani proses saringan melalui proses penyenaraian pendek berasaskan kepada tiga indeks prestasi utama (KPI) iaitu penurunan jenayah indeks, penurunan kes jenayah jalanan dan peningkatan aktiviti kepolisan masyarakat.

"Seterusnya enam balai bagi setiap kategori yang berjaya menduduki tangga teratas dalam proses penyenaraian pendek akan menjalani proses penilaian secara fizikal ke atas Sistem Pengurusan Balai dan penilaian tahap kepuasan pelanggan di balai berkenaan oleh Jawatankuasa penilai BLT," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Polis siasat kes 15 penuntut IPT

Posted:

Polis siasat kes 15 penuntut IPT

Polis siasat kes 15 penuntut IPT

JOHOR BAHRU 15 Dis. - Kementerian Pengajian Tinggi menyerahkan kepada polis bagi menjalankan siasatan ke atas 15 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang mengadakan piket membantah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 di KL Sentral, semalam, sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, piket yang dilakukan oleh penuntut itu adalah di luar kampus, maka ia tertakluk kepada bidang kuasa polis dan undang-undang sedia ada.

"Jika ikut AUKU terdahulu, memang kita boleh ambil tindakan, namun kerana mengambil semangat AUKU baharu yang akan dipinda Mac depan, kita tidak akan ambil tindakan apa-apa.

"Tetapi ia bergantung kepada undang-undang dan terserah kepada polis sama ada untuk mengambil tindakan atau sebaliknya. Kementerian tidak akan campur tangan," katanya ketika ditemui oleh pemberita selepas Majlis Pengisytiharan Politeknik Ibrahim Sultan di Pasir Gudang dekat sini, hari ini.

Pengisytiharan itu disempurnakan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Turut berangkat, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan Pengarah politeknik itu, Azizi Lin.

Seramai 15 penuntut terbabit yang merupakan anggota Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) ditahan selepas mereka tidak mengendahkan amaran supaya bersurai ketika mengadakan piket di KL Sentral di ibu negara, semalam.

Mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Travers untuk diambil keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 27 Akta Polis 1967 sebelum dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 10 malam selepas keterangan diambil.

Mereka yang berumur antara 20 dan 22 tahun itu dari Universiti Malaya, Universiti Teknologi Mara, Universiti Putra Malaysia, Universiti Selangor dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Politik

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Politik


2 Pemimpin Pas didakwa terperangkap agenda UMNO

Posted:

2 Pemimpin Pas didakwa terperangkap agenda UMNO

2 Pemimpin Pas didakwa terperangkap agenda UMNO

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Pas menyifatkan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali dan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa telah terperangkap dengan agenda UMNO untuk melemahkan parti itu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, kenyataan kedua-dua pemimpin itu kebelakangan ini berhubung kedudukan mereka dalam parti sedikit sebanyak boleh melemahkan Pas.

"Saya buat kesimpulan bahawa kedua-dua mereka telah terheret dengan agenda UMNO yang boleh menjejaskan parti dan sama ada mereka sedar atau tidak sedar, mereka sebenarnya terperangkap dalam agenda musuh politik Pas," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, Hasan yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Selangor membuat kenyataan sedia bekerjasama dengan UMNO jika diminta demi kepentingan Islam dan Melayu di negara ini serta tidak kisah dengan pengurusan Pas yang dilaporkan tidak akan mencalonkan beliau mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia.

Dalam pada itu, Nasharudin dalam satu kenyataan baru-baru ini mengatakan beliau hairan dengan perjalanan politik Pas yang didakwanya semakin pelik ekoran tindakan Ketua Penerangan Pas Selangor, Saari Sungib yang mendahului parti berkenaan berhubung kedudukan Hasan yang tidak mendapat pencalonan mencukupi untuk mempertahankan kerusi itu.

Sementara itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihatkan pemimpin parti itu merujuk kepada Pesuruhjaya negeri masing-masing bagi menyelesaikan setiap masalah dalaman parti yang timbul.

Full content generated by Get Full RSS.

Hasan akan berucap pada Himpun peringkat Perak

Posted:

Hasan akan berucap pada Himpun peringkat Perak

Hasan akan berucap pada Himpun peringkat Perak

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali akan menyampaikan ucapan perdana pada Himpunan Sejuta Umat (Himpun) peringkat negeri Perak di Stadium Mini Kuala Kangsar, Sabtu ini.

Setiausaha Sekretariat Himpun, Aminuddin Yahaya berkata, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu dipilih kerana sikap beliau yang konsisten dan tegas di dalam isu berkaitan akidah umat Islam walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai rintangan termasuk di dalam partinya sendiri.

"Beliau telah menerima jemputan kami dan mengesahkan kehadiran untuk memberi ucapan perdana pada perhimpunan itu.

"Pihak Himpun berharap semua pemimpin masyarakat dan politik dapat mencontohi usaha serta ketegasan beliau apabila berdepan isu-isu yang mengancam akidah umat Islam dan kedudukan Islam di negara kita," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Aminuddin, antara tetamu lain yang akan menyampaikan ucapan pada perhimpunan tersebut ialah Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim; pendakwah bebas, Kazim Elias; Pengerusi Himpun, Azmi Abd. Hamid dan Timbalan Pengerusinya, Abdullah Zaik.

Di samping itu, ujarnya, tetamu jemputan dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga akan mengadakan ceramah, sementara Gabungan Penasyid Malaysia (Munsyid) yang mewakili lebih daripada 60 kumpulan nasyid tempatan akan menghiburkan para pengunjung.

"Pihak Himpun berharap rakyat negeri Perak tidak melepaskan peluang untuk menghadiri perhimpunan ini bagi menyatakan sokongan kepada agenda menyelamatkan akidah umat Islam daripada dicemari anasir tidak bertanggungjawab," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved