Jumaat, 9 Disember 2011

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Suzana pencinta haiwan

Posted:

Suzana pencinta haiwan

Suzana pencinta haiwan

Oleh MUHAMMAD SYAFIQ ROOS ANNUAR
Gambar RASHID MAHFOF
Tajaan Lokasi ZOO NEGARA


SUZANA sememangnya sukakan haiwan sejak dari kecil lagi.


BAGI pengacara radio THR Gegar ini, minatnya terhadap fotografi memang tidak dapat dipisahkan. Kesempatan S3 mengikut Suzana Shafie, 30, ke Zoo Negara baru-baru ini jelas memperlihatkan anak kelahiran Kuala Lumpur ini benar-benar membuktikan minatnya terhadap dunia fotografi.

Lebih manis lagi, minatnya itu turut disulami dengan nalurinya yang sememangnya cintakan haiwan.

Menurut anak sulung daripada dua beradik ini, jika berkesempatan, dia akan meluangkan masa pada hujung minggu di Zoo Negara.

"Jika saya ada kelapangan, saya pasti akan datang ke sini.

"Bagi saya, apabila berpeluang melihat keindahan alam ciptaan Tuhan ini, ia sedikit sebanyak membuat diri saya tenang.

"Malah apabila sudah dapat tangkap gambar yang kita kehendaki, rasa macam satu kepuasan.

"Kepuasan ini ditambah lagi apabila dapat melihat telatah haiwan yang bermacam ragam yang ada di sini," kata pengacara Segmen Ceria Pagi ini sambil bersedia untuk menangkap gambar gajah.

Selain itu, Suzana juga sempat berkongsi pengalamannya bersama penulis mengenai monyet peliharaannya, Aya.

"Aya merupakan hadiah daripada adik saya memandangkan dia tahu saya memang sukakan haiwan.

"Apa yang menarik tentang Aya ialah dia sangat jinak dan manja dengan saya.

"Malah jika saya baru pulang dari kerja, dia akan menunggu saya di depan pintu rumah.

"Tetapi apabila dia meningkat dewasa, dia menjadi semakin agresif.

"Sebab itu saya terpaksa melepaskan Aya ke hutan pada awal tahun lalu setelah mendapat nasihat daripada pihak berkenaan," ujarnya yang tidak dapat menyembunyikan rasa sedih.

Cita-cita Suzana

Jauh di dalam hati Suzana, jika berpeluang, dia sebenarnya menyimpan hasrat untuk membina sebuah pusat perlindungan haiwan.

"Jika boleh, satu hari nanti saya nak buka sebuah pusat rawatan haiwan terbiar.

"Sekurang-kurangnya apabila melihat haiwan yang sakit kembali sembuh, sejuk hati saya," ujarnya.

Malah bagi Suzana, jika ingin memelihara haiwan biarlah dengan hati yang ikhlas.

"Kalau nak pelihara haiwan apa sekali pun, pastikan kita menjaga mereka dengan elok.

"Jagalah mereka dengan sepenuh hati kerana saya percaya haiwan juga memerlukan kasih sayang secukupnya daripada kita.

"Layanlah mereka dengan sebaiknya dan bukannya sekadar memelihara haiwan semata-mata kerana mengikut trend sahaja," ujarnya jujur sebelum mengakhiri bicara.

Full content generated by Get Full RSS.

Eun Hye mewah dari rambut hingga kaki

Posted:

Eun Hye mewah dari rambut hingga kaki

Eun Hye mewah dari rambut hingga kaki


PANDAI bergaya menyerlahkan lagi kecantikan yang dimiliki oleh Eun Hye.


ARTIS kesayangan penulis, Yoon Eun Hye memang seorang yang pandai berfesyen atau digelar 'fashionista' dalam industri hiburan Korea.

Sejak meninggalkan kumpulan Baby Vox dan bergelar pelakon bermula dengan Princess Hours, penampilannya sering menjadi perhatian lensa jurugambar.

Melakonkan watak Shin Chae Kyung yang seumpama Cinderella, Eun Hye beruntung apabila berpeluang menyarung pakaian cantik selayaknya seorang puteri raja dan ini dipercayai banyak mempengaruhi gaya dia berfesyen.

Apabila dia melakonkan watak si tomboy Go Eun Chan dalam Coffee Prince, gaya potongan rambut pendeknya menjadi ikutan termasuk kalangan artis wanita Korea.

Dan apabila diberi watak gadis kaya dalam My Fair Lady, lagilah Eun Hye melaram dengan baju dan aksesori berjenama.

Yang pastinya, Eun Hye memang nampak sesuai dan menawan dalam apa jua fesyen yang digayakannya. Mungkin sebab itu syarikat pengiklanan berlumba-lumba mengambilnya menjadi model produk malah pereka antarabangsa turut menjemputnya menghadiri pertunjukan fesyen dan menawarkan gaun mewah mereka untuk diperaga.

Bulan lepas, ketika menghadiri Mnet Asian Music Awards (MAMA) 2011 di Singapura, Eun Hye kelihatan cukup anggun memperagakan gaun kemban hitam daripada koleksi musim luruh Versace, lengkap dengan anting-anting dan gelang emas Cartier.

Ini bukanlah kali pertama dia dilihat mengenakan gaun mewah yang pernah diperagakan oleh model antarabangsa.

Ketika menghadiri Kempen Amal Kesedaran Kanser Payudara di Seoul, Korea Selatan pada 20 Oktober lalu, Eun Hye memilih gaun hitam sifon daripada koleksi terbaru Yves Saint Laurent. Seperti biasa untuk melengkapkan penampilannya, dia menyarung sandal Gucci.

Eun Hye membuktikan artis wanita tidak perlu sentiasa tampil seksi untuk mendapat perhatian apabila masih tampil menawan dalam jaket skirt lengan panjang separuh lutut ketika menghadiri sidang akhbar drama Lie to Me, gandingannya bersama aktor Kang Ji Hwan.

Apa yang pasti, kot butang rona khaki yang dipadankan dengan tali pinggang kuning itu adalah daripada koleksi musim bunga Burberry.

Nampaknya dari hujung rambut hingga ke hujung kaki Eun Hye adalah barang berjenama. Sanggupkah anda berhabis untuk nampak anggun dan menawan macam Eun Hye?

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Cetusan Warna Alam Khadijah Hashim

Posted:

Cetusan Warna Alam Khadijah Hashim

Cetusan Warna Alam Khadijah Hashim

Oleh Mariatul qatiah zakaria
maria.zakaria@utusan.com.my


Lakaran Tulip di atas rice paper.


KHADIJAH Hashim, satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi malah setiap hasil nukilannya pasti menjadi buah mulut pembaca novel yang setia dan sentiasa dinantikan-nantikan kemunculan novel terbarunya.

Setiap cerita yang dihasilkan pastinya meninggalkan kesan yang mendalam kepada pembaca.

Antara novel yang pasti diingati sehingga kini ialah Badai Semalam.

Naskhah yang dihasilkan pada tahun 1968 itu bukan sahaja mencipta gelombang tersendiri tetapi sehingga hari ini permintaan terhadap novel tersebut sentiasa ada.

Ketika peminat-peminat setianya ternanti-nanti buah tangan iaitu novel terbarunya, namun, tiba-tiba dunia seni visual dikejutkan pula dengan 'kehadiran' lukisan alam hasil karya beliau.

Selama ini, tidak ramai yang mengetahui penulis kelahiran Batu Pahat ini sebenarnya tidak hanya mengehadkan bidang seninya dalam 'gelanggang' penulisan, malah ia telah dikembangkan ke dunia seni visual.

Lukisan yang dihasilkan menggunakan teknik berus Cina sememangnya satu cetusan imaginasi Khadijah terhadap alam semesta.

Membawa tema Warna Alam, kesemua 20 lukisan yang ditampilkan bermotifkan flora dan fauna dengan penggunaan warna terang dan ceria.

Apa yang istimewanya mengenai lukisan-lukisan tersebut, ia merupakan koleksi eksklusif Khadijah yang baru pertama kali dipertontonkan kepada umum baru-baru ini, bersempena pementasan teater Badai Semalam.

Menurut Khadijah, apa yang unik mengenai hasil karyanya ini ialah ia menggunakan cat air dengan teknik berus Cina yang dilukis di atas rice paper.

Menjadikan melukis sebagai hobi waktu senggang, beliau memilih alam semula jadi kerana baginya keindahan alam semesta adalah satu ciptaan unik oleh penciptanya.

Oleh yang demikian, katanya, kita sebagai manusia yang mendiaminya seharusnya tahu menghargai alam.

"Jika dilihat kesemua hasil karya (lukisan) saya, ia sememangnya bersumberkan alam kerana ia membawa seribu makna dan sarat dengan peringatan.

"Koleksi ini merupakan siri-siri hutan di mana hari ini orang sibuk menebang hutan, jadi biar saya menanam hutan di atas kertas supaya jangka hayatnya lebih lama.

"Apa yang diilhamkan ini membawa makna alam itu indah dan alam itu dalil kepada adanya yang mencipta dunia ini iaitu Allah SWT," katanya ketika ditemui.

Menggemari sesuatu yang ringkas dan bersahaja, Khadijah mahu sesiapa saja yang melihat lukisannya dapat menikmati manfaat daripadanya.

Tambahnya lagi, sebagai seorang anak seni dia hanya memberikan yang terbaik begitu juga dengan lukisan yang dihasilnya.

Kata Khadijah, dia hanya melukis dan yang menilai ialah sesiapa sahaja yang melihat lukisan-lukisan tersebut dengan tafsiran masing-masing.

Mengakui melukis memberi ketenangan kepada sesiapa juga yang bergelar anak seni, Khadijah berkata, setiap warna yang digunakan selain dapat membangkitkan perasaan seseorang itu, ia juga secara tidak langsung dapat menjadi terapi minda di samping menepati objek yang menjadi tumpuan.

Antara lukisan-lukisan yang dihasilkan Khadijah sempena pameran solonya kali ini ialah Bunga Matahari 1, 2 dan 3; Jambangan Kasih; Orkid 1, 2 dan 3; Tulip; Kolam Biru; Kemunting Cina; Bunga Bawang; Ros Kuning; Batik; Warna Alam 1 dan 2; Hutan Baru; Hutan Baru 1; Kampung Saya; Hutan Simpan dan Tasik.

Yang pasti, kesemua hasil karya Khadijah adalah garapan yang sangat jujur di samping menterjemahkan bahawa alam sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan manusia.

Full content generated by Get Full RSS.

Tip masakan mudah Chef Richardson

Posted:

Tip masakan mudah Chef Richardson

Tip masakan mudah Chef Richardson

rekreasi@utusan.com.my
Gambar SAFRIZAL AZMI


Antara aksi menarik yang dipamerkan Chef Richardson ketika mengadakan sesi demonstrasi masakan di hadapan rakan media di Hotel JW Marriott, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.


Bagi mereka yang menyediakan juadah istimewa itu, pasti kadangkala kebuntuan mencari menu baru di hujung minggu.

Apa kata anda cuba tip masakan mudah Chef Adrian Richardson yang merupakan pemilik dan ketua chef La Luna (bistro Mediterrannean) di Utara Carlton, Melbourne.

Wajahnya pasti dikenali ramai kerana November lalu beliau ke udara dalam program Secret Meat Business antara April dan Julai 2011 diikuti siri Good Chef Bad Chef bersama pakar pemakanan, Janella Purcell.

Dengan falsafah Mediterrannean moden, Chef Richardson menyajikan masakan ringkas dan enak dengan menggunakan bahan-bahan segar.

Chef Richardson membesar dengan masakan dari Itali, Timur Tengah dan Afrika Utara, yang mana kesemuanya disajikan bersama sayuran segar dan buah-buahan.

Saksikan Perfect Cut bersama Adrian Richardson bermula 1 Disember 2011 di saluran 703.

Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari www.theafcstudio.com.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Penanaman bakau stabilkan pantai

Posted:

Penanaman bakau stabilkan pantai

Penanaman bakau stabilkan pantai

Oleh KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHANutusanN9@utusan.com.my


SEBAHAGIAN masyarakat tempatan dan ahli PERTIS menanam pokok bakau pada Majlis Penanaman Pokok Bakau dan spesies yang sesuai di pesisiran Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson, baru-baru ini.


TELOK KEMANG 8 Dis. - Pokok Bakau merujuk kepada tumbuhan yang hidup di kawasan berpaya atau tepi pantai yang biasanya menjadi pertemuan antara air sungai dan air laut.

Spesies tumbuhan ini mempunyai sifat cepat tumbuh selain memiliki keunikan melindungi ekosistem hidupan akuatik kerana ia menjadi habitat bagi udang, ikan dan ketam termasuk haiwan seperti kera dan monyet.

Pada hakikatnya, tumbuhan ini membawa banyak kelebihan kerana turut bertindak sebagai penampan hakisan ombak sekali gus melindungi kawasan persisiran dari pukulan ribut serta angin kencang.

Secara ringkasnya, hutan bakau menstabilkan kawasan pantai yang bertindak sebagai agen pelindung semula jadi bagi kawasan tanah darat sekira berlakunya ribut taufan.

Dalam pada itu, kawasan hutan bakau itu juga menjadi lokasi penting bagi ribuan spesies burung di seluruh dunia yang berhijrah mengikut peredaran musim.

Di negara ini, tumbuhan berkenaan akan dipelihara dalam tempoh 20 hingga 30 tahun sebelum proses penanaman semula dijalankan di mana pokok yang ditebang akan digunakan bagi tujuan penghasilan produk kraftangan, pembinaan rumah, perabot dan bot bagi penduduk setempat serta sumber bahan api seperti arang dan kayu api.

Justeru, satu program penanaman pokok bakau dan spesies-spesies yang sesuai di pesisiran pantai telah dijalankan di bawah program International Year Of Forest 2011 di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson di sini baru-baru ini.

Program tersebut turut melibatkan orang kurang upaya (OKU) dari Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).

Menurut Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Dr. Abdul Rahman Abdul Rahim, penanaman semula pokok bakau di pesisiran pantai bukanlah sesuatu yang baru di negara ini.

"Pada 26 Januari 2005, Perdana Menteri menyarankan supaya usaha-usaha pemuliharaan dan perlindungan kawasan hutan di pesisiran pantai dilaksanakan.

"Bagi merealisasikan saranan tersebut, satu Pasukan Petugas Khas Jawatankuasa Operasi Menanam Pokok-Pokok Bakau dan Spesies-Spesies yang sesuai di persisiran pantai negara (JTP) telah dibentuk di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Jelas beliau, kira-kira 5,862,163 pokok pelbagai jenis telah ditanam di negara ini termasuk 216,643 pokok bakau sepanjang tempoh lima tahun bermula 2005 hingga 2010.

"Program pada hari ini agak unik, kerana ia merupakan program sambutan secara bersepadu di mana ia bagi meraikan sambutan Tahun Hutan Antarabangsa 2011 dan juga sempena Persidangan Perhutanan Malaysia Ke-16.

"Sehingga kini kita telah menanam lebih enam juta pokok pelbagai spesies yang sesuai di seluruh negara yang melibatkan kawasan seluas 2,257 hektar dengan jumlah pembiayaan RM38 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-9," tambahnya lagi.

Katanya, objektif utama pelaksanaan program tersebut adalah bagi mendidik serta memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menanam pokok serta tumbuhan berkenaan.

"Selain itu, program ini juga turut membantu menyumbangkan ke arah mencapai sasaran 26 juta pokok menjelang 2010 hingga 2015.

"Dalam jangka masa panjang juga, ia secara tidak langsung akan menyumbang kepada pengurangan kesan karbon dan pemanasan global di bawah kesan rumah hijau yang akan menyebabkan perubahan iklim yang kian melanda dunia masa kini," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

OKU sertai program International Year Of Forest 2011

Posted:

OKU sertai program International Year Of Forest 2011

OKU sertai program International Year Of Forest 2011

TELOK KEMANG 8 Dis. - Penglibatan Orang Kelainan Upaya (OKU) pada program International Year Of Forest 2011 yang diadakan di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson di sini baru-baru ini sekali gus diharapkan mampu menangkis persepsi masyarakat bahawa golongan tersebut hanya layak digelar sebagai penerima bantuan.

Menurut seorang peserta dari Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), Mohd. Nor Don, 39, program tersebut menjadi platform terbaik bagi golongan OKU untuk menyumbang sesuatu kepada negara ini.

''Tanggapan negatif sesetengah pihak terhadap golongan seperti kami yang tidak memberi sebarang manfaat terhadap negara adalah tidak tepat.

''Kami juga cintakan alam sekitar, seperti mereka. Jika di beri peluang, kami sedia menampilkan diri demi untuk turut sama membantu," ujarnya.

Bagi rakannya pula, Wan Zawawi Wan Mohamad, 30, berkata, pengalaman menyertai program itu amat berharga buat dirinya dan berharap masyarakat tidak menganggap golongan OKU sebagai kumpulan yang lemah.

''Program ini membuat saya berasa dihargai kerana dapat menyumbang dalam aktiviti kemasyarakatan sebegini," katanya.

Wan Zawawi turut berharap program sedemikian dapat diteruskan khususnya dengan melibatkan golongan OKU dan tidak terhenti begitu sahaja.

Tambah seorang lagi peserta, Nur Alia Maisarah Ong Abdullah, 31, penyertaan dalam program tersebut sedikit sebanyak memberikan pendedahan serta pengalaman baru buat dirinya.

''Walaupun tidak dapat melihat bagaimana rupa pokok sebenar, namun kami dapat menyentuh dan menanam pokok tersebut dan ia memberi pengalaman yang sukar untuk di lupakan," jelasnya.

Zainuddin Mat Ali, 42, pula berkata, program tersebut memberi peluang bagi golongan OKU untuk mendekatkan diri mereka dengan masyarakat setempat.

''Terima kasih kepada penganjur kerana sudi menjemput kami di majlis ini kami berasa amat dihargai dan diperlukan," ujarnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Bekalan ubat kurang, bukan habis

Posted:

Bekalan ubat kurang, bukan habis

Bekalan ubat kurang, bukan habis

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 8 Dis. - Hospital Melaka menafikan dakwaan hospital berkenaan kehabisan bekalan ubat hingga menjejaskan orang ramai yang mendapat rawatan di situ.

Sebaliknya, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, hanya bekalan beberapa jenis ubat didapati tidak mencukupi untuk menampung pertambahan pesakit mendapat rawatan di hospital yang meningkat sebanyak 16.8 peratus tahun ini.

Menurutnya, masalah kekurangan bekalan ubat-ubatan berpunca daripada baki peruntukan berjumlah RM3.5 juta daripada RM43.9 juta yang diperuntukan setiap tahun masih belum diterima daripada Kementerian Kesihatan bagi bulan September.

''Kagagalan hospital mendapat baki peruntukan itu menyebabkan beberapa jenis ubat tidak mencukupi dan laporan mengatakan bekalan ubat sudah kehabisan adalah tidak tepat.

''Namun begitu, pihak hospital telah mengambil beberapa langkah seperti menggunakan ubat alternatif selain meminjam daripada beberapa hospital berhampiran seperti di Muar dan sekitarnya bagi menampung keperluan harian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat daripada Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Azmi Hashim di sini hari ini.

Mohd. Ali membuat lawatan mengejut di Hospital Melaka ekoran laporan sebuah akhbar mengenai bekalan ubat di hospital itu kehabisan dan menjejaskan orang ramai yang membuat rawatan di situ.

Sehubungan itu, Mohd. Ali merayu kepada kementerian agar mempercepatkan pembayaran baki peruntukan tahun ini berjumlah RM3.5 juta.

''Jika baki peruntukan itu diterima tidak timbul masalah hospital ini kekurangan bekalan ubat-ubatan untuk menampung pertambahan pesakit yang mendapat rawatan," katanya.

Beliau menjelaskan, setiap tahun kementerian memperuntukan sebanyak RM34.5 juta setiap tahun untuk bekalan ubat dan pembayaran dilakukan tiga kali setahun iaitu pada Januari, Februari dan September.

Menurutnya, bekalan ubat tidak mencukupi itu hanya berlaku di Hospital Melaka dan tidak melibatkan hospital lain serta Klinik Kesihatan daerah di negeri ini.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Wanita ditipu RM295,000

Posted:

Wanita ditipu RM295,000

Wanita ditipu RM295,000

Oleh LEE HOOI BOON
utusanpenang@utusan.com.my


SHAFIEN Mamat (tengah) menunjukkan alat pemotong besi dan pelbagai barangan yang dirampas daripada kumpulan penjenayah ketika sidang akhbar di Nibong Tebal, Pulau Pinang, semalam.


NIBONG TEBAL 8 Dis. - Seorang ahli perniagaan wanita, mendakwa kerugian RM295,000 dalam tempoh tiga hari selepas menerima satu panggilan daripada sindiket yang menyamar kononnya mereka pegawai dari Bank Negara Malaysia (BNM).

Mangsa yang berusia 45 tahun mendakwa, dia mendapat panggilan telefon yang memberitahunya bahawa kad kredit milik mangsa mempunyai hutang tertunggak yang banyak dan perlu dilangsaikan segera 12 Julai lalu.

Bagaimanapun, mangsa yang tidak memiliki sebarang kad kredit diyakinkan oleh sindiket itu dengan memberikan alasan maklumatnya telah dicuri oleh pihak lain.

Berikutan itu, bagi membantu wang simpanan mangsa tidak dicuri, sindiket mengarahkan mangsa agar pergi ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) untuk membuat transaksi ke satu akaun terlebih dahulu bertujuan wang simpanan tidak dicuri oleh orang lain.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan, Supritendan Shafien Mamat, mangsa hanya menyedari dia tertipu selepas tiga hari apabila mendapati wang simpanannya dalam akaun bank lesap.

Shafien berkata, kes penipuan yang berlaku di sekitar Seberang Perai Selatan kini semakin membimbangkan kerana ia dikatakan meningkat secara mendadak.

"Sebanyak 13 kes penipuan melalui telefon telah diterima oleh pihak polis sejak awal tahun ini dan jumlah ini amat membimbangkan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, hari ini.

Shafien berkata, polis setakat itu menghadapi sedikit kesukaran untuk mengesan kegiatan sindiket itu kerana mereka menggunakan identiti termasuk nama dan alamat palsu.

Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan panggilan telefon yang diragui bagi mengelak mereka daripada menjadi mangsa seterusnya, katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

10,000 hadir makan malam Sultan Kedah

Posted:

10,000 hadir makan malam Sultan Kedah

10,000 hadir makan malam Sultan Kedah


TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun (tengah) berkenan bersalaman dengan tetamu pada Majlis Jamuan Rakyat di Langkawi, malam kelmarin.


LANGKAWI 8 Dis. - Lebih 10,000 tetamu hadir memeriahkan majlis Jamuan Rakyat meraikan pelantikan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 di Dataran Kompleks Sukan LADA di sini, malam tadi.

Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim dan Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun yang diiringi oleh kerabat diraja Kedah serta barisan pemimpin kerajaan negeri tiba di majlis tersebut kira-kira jam 9 malam.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak.

Tetamu dan orang ramai yang hadir tidak melepaskan peluang bersalam dan bertemu dengan sultan berjiwa rakyat itu.

Selesai santapan, Sultan Abdul Halim dan Sultanah dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh kumpulan kugiran yang mendendangkan beberapa lagu yang menggambarkan Rakyat 1Malaysia.

Sempena majlis tersebut, baginda berdua masing-masing berkenan menerima enam cenderahati yang mewakili setiap mukim di Langkawi.

Sebaik sahaja acara selesai, kerabat diraja dan tetamu yang hadir berpeluang menyaksikan pertunjukan bunga api yang melengkapkan acara.

Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu berkuatkuasa 13 Disember ini menggantikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang akan tamat pemerintahannya sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 12 Disember ini.

Full content generated by Get Full RSS.

Mesti miliki kehebatan terkini

Posted:

Mesti miliki kehebatan terkini

Mesti miliki kehebatan terkini

LANGKAWI 8 Dis. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, industri pertahanan perlu lebih peka terhadap perubahan landskap keselamatan.

Titah baginda, kepekaan tersebut akan membolehkan industri penting itu terus lebih ke hadapan dan kekal bersaing dengan perubahan-perubahan yang mendatang.

Ancaman keselamatan bukan tradisional seperti pengganas, dadah, pemerdagangan manusia dan bencana adalah cabaran tambahan kepada industri pertahanan, titah baginda di Hotel Four Season di Tanjung Rhu di sini, hari ini sempena lawatan kerja baginda ke Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2011.

Baginda bertitah, LIMA yang diperkenalkan pada 1991 telah mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu platfom besar kepada industri pertahanan di rantau Asia Pasifik.

Tuanku Syed Faizuddin, yang juga Komander Regimen 504 Askar Wataniah, turut menyifatkan penganjuran LIMA sebagai pasaran global yang unik di mana industri berkaitan bersaing sesama mereka mempamerkan produk pertahanan berinovasi terkini.

Ia secara tidak langsung memberi pendedahan teknologi canggih dan sebagai hasil sampingan daripada pembangunan kolektif kemahiran, daya inovatif dan pembangunan industri pertahanan di peringkat global dan wilayah.

Titah baginda, perkembangan pantas dalam industri pertahanan bagi benua Asia menjadi manifestasi kepada kepentingan sektor perindustrian pertahanan, bukan sahaja dari sudut pertahanan dan keselamatan tetapi juga kepentingan ekonomi.

Dalam mempromosikan lagi peluang ekonomi, baginda bertitah, sektor pertahanan didapati perlu lebih agresif mengeluarkan produk yang bercirikan 'dual usage' yang boleh dibangunkan dan diadaptasi bagi membolehkannya lebih maju dalam pasaran awam.

Di samping itu, kerjasama untuk kegunaan pelbagai desakan pertahanan dari rantau ini mampu membuka laluan positif seperti kecekapan kos dan peningkatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara-negara tertentu.

Baginda yang diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berada di Langkawi sejak semalam bagi lawatan kerja ke LIMA 2011 dan menyaksikan pertunjukan udara dan pameran udara statik.

Antara tapak pameran statik yang baginda berdua lawati adalah NADI, Penerbangan Malaysia, MIGHT, Pavilion Itali, Thales, Eurocopter dan Airbus Military.

Turut mengiringi baginda pada lawatan itu ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin dan Ketua Polis Perlis, Senior Asiston Komisioner Zull Aznam Haron.

- BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Terokai pasaran luar negara - TPM

Posted:

Terokai pasaran luar negara - TPM

Terokai pasaran luar negara - TPM


Muhyiddin Yassin mendengar penerangan mengenai sejenis pengangkutan udara 'Cyber Eye' ketika melawat kilang milik Kumpulan Sapura yang mengendalikan Sistem Udara dan Marin di Perth, semalam. Turut hadir Shahril Shamsuddin (tiga kiri). - bernama


PERTH 8 Dis. - Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu lebih banyak syarikat Malaysia meneroka pasaran luar negara bagi mengembangkan potensi dan seterusnya membantu kerajaan mencapai objektif Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Menurut Timbalan Perdana Menteri, sebagai contoh, kejayaan Kumpulan Sapura yang kini menjadi peneraju dalam beberapa sektor terutama minyak dan gas merupakan satu pencapaian yang cukup membanggakan.

''Sapura sudah terkenal sebagai salah satu syarikat peneraju di bidang ini, jadi kita yakin dengan adanya syarikat Malaysia yang berkemampuan seperti ini sektor ini akan bukan saja berkembang tetapi menjadi penyumbang utama bersama-sama syarikat lain yang sudah melibatkan diri dalam sektor ini.

''Ini kerana kita mahu dalam tempoh 10 tahun akan datang, 12 bidang utama ini jadi pembangkin, peneraju kepada ekonomi negara kita dan salah satu bidangnya ialah minyak dan gas," katanya.

Muhyiddin berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Total Marine Technology (TMT) yang dimiliki sepenuhnya oleh SapuraCrest Petroleum Berhad di Bibra Lake, dekat sini semalam.

TMT merupakan pengeluar kenderaan operasi kawalan jauh (ROV) dan pesawat tanpa pemandu (UAV) yang dibekalkan kepada pelbagai industri terutama minyak dan gas serta pertahanan.

Hadir sama mengiringi Muhyiddin dalam lawatan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura, Datuk Seri Shahril Shamsuddin.

Sementara itu, jelas Muhyiddin, penglibatan Sapura dalam pembuatan ROV dan UAV yang melibatkan penggunaan teknologi tinggi merupakan manifestasi kejayaan sebuah syarikat Malaysia di luar negara.

Katanya, bidang-bidang ini semua mempunyai potensi besar dan pasarannya mencecah berbilion ringgit di seluruh dunia dan diharapkan apa yang diusahakan ini terus berkembang pada masa hadapan.

''Walaupun ada syarikat lain telah bertapak di bidang ini, namun Sapura satu daripada syarikat yang ada potensi.

''Dan dengan sebab terjalin hubungan strategik antara pengusaha Australia dengan syarikat Malaysia seperti Sapura ia boleh menambah nilai kepada bidang yang mereka mahu teroka pada masa akan datang," ujarnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Lelaki Nigeria tipu suri rumah RM315,000

Posted:

Lelaki Nigeria tipu suri rumah RM315,000

Lelaki Nigeria tipu suri rumah RM315,000

KUALA LUMPUR 8 Dis. - Polis berjaya menumpaskan satu lagi sindiket penipuan cinta siber yang didalangi warga Afrika dengan tertangkapnya enam ahli sindiket itu termasuk dua pelajar lelaki dari Nigeria dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang dan Johor kelmarin.

Aktiviti sindiket itu terbongkar selepas seorang suri rumah dari Melaka yang menjadi mangsa tampil membuat laporan polis pada November lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, mangsa terjerat dengan sindiket itu setelah berkenalan dengan salah seorang daripada anggota kumpulan penjenayah itu melalui laman web AsiaDating.com di Internet pada Ogos lalu.

Beliau berkata, dalam perkenalan tersebut, suspek dipercayai warga Nigeria telah menyamar kononnya lelaki Inggeris dari Britain dan bekerja sebagai ahli kimia dengan syarikat Petronas di negara ini.

"Setelah sebulan berkenalan, suspek mula memerangkap mangsa dengan memperdayakan suri rumah itu agar membantunya membayar cukai keuntungan kerajaan (GST), levi dan cukai pendapatan konon bagi membolehkannya menyambung kontrak bekerja dengan Petronas," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di Bukit Perdana di sini hari ini.

Syed Ismail berkata, disebabkan percaya dan dijanjikan keuntungan lumayan jika menjadi pemegang amanah bagi kontrak itu, mangsa tanpa berfikir panjang bersetuju memasukkan wang secara berperingkat melalui akuan milik beberapa individu tempatan di negara ini.

Katanya, mangsa hanya menyedari ditipu setelah membuat pembayaran sebanyak RM315,000 dalam tempoh tiga bulan berkenalan dan gagal menghubungi suspek selepas itu.

"Hasil maklumat mangsa, sepasukan anggota polis dari Bahagian Risikan, JSJK Bukit Aman menjalankan siasatan dan berjaya memberkas enam anggota sindiket, masing-masing dua wanita dan lelaki tempatan serta dua lelaki Nigeria kelmarin.

"Empat rakyat tempatan ditahan di Seri Petaling dan Sungai Besi di sini serta Sungai Mati, Muar, Johor manakala dua lelaki Nigeria dicekup di sebuah pangsapuri di Taman Putra Perdana, Puchong dekat sini," katanya.

Dalam serbuan itu, Syed Ismail berkata, polis turut merampas lapan unit telefon bimbit, empat keping kad ATM, dua komputer dan sekeping kad kredit dipercayai digunakan sindiket untuk memperdayakan mangsa.

Beliau berkata, siasatan mendapati rakyat tempatan terbabit bersekongkol dengan dua lelaki Nigeria yang mendaftar sebagai pelajar di Kolej Boston Web dan Kampus Teknik Puchong itu dengan membenarkan akaun mereka digunakan.

Katanya, keenam-enam suspek telah dibawa ke Melaka untuk didakwa di mahkamah semalam, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Full content generated by Get Full RSS.

Bekas tentera bantah ceramah Mat Sabu di Sungai Balang

Posted:

Bekas tentera bantah ceramah Mat Sabu di Sungai Balang

Bekas tentera bantah ceramah Mat Sabu di Sungai Balang

MUAR 8 Dis. - Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) cawangan Muar dan cawangan Sungai Balang hari ini membuat laporan polis membantah program ceramah Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu di Sungai Balang di sini pada hujung minggu ini.

Persatuan itu melahirkan rasa kurang senang terhadap kehadiran pemimpin Pas itu di negeri Johor berikutan kontroversi kenyataannya yang mengangkat pejuang komunis dalam peristiwa Balai Polis Bukit Kepong pada tahun 1950 dan bukannya anggota keselamatan yang terkorban.

Menurut Ketua PBTM cawangan Muar, Shamsuddin Rais, pihaknya membantah sekeras-kerasnya program ceramah Mohamad Sabu di Sungai Balang pada Ahad ini kerana pemimpin Pas itu pernah menghina segala bakti dan pengorbanan yang dilakukan pasukan keselamatan negara.

"Kami tidak bersetuju beliau masuk ke negeri Johor sama ada datang melawat atau dengan apa jua tujuan. Kami menganggap beliau tidak mengenang budi atas jasa bakti pahlawan yang membawa keamanan dan kemerdekaan negara," katanya.

Selain membuat laporan polis terhadap program ceramah tersebut, PBTM turut menyampaikan memorandum bantahan program itu kepada Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli.

Turut membuat laporan polis adalah Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bakri, Pemuda Barisan Nasional (BN) Parlimen Bakri serta Gerakan Belia 4B Parlimen Bakri.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Timur

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Didik anak cintakan bahasa Melayu

Posted:

Didik anak cintakan bahasa Melayu

Didik anak cintakan bahasa Melayu

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my


JOWYN Kan (dua kiri) bersama sebahagian puluhan hadiah dan sijil yang pernah dimenangi anak-anaknya.


KOTA BHARU 8 Dis. - 'Anak Cina memasang lukah, lukah dipasang di Tanjung Jati, di dalam hati tidak ku lupa, sebagai rambut bersimpul mati'.

Kalau dalam bait lagu malar segar 'Gurindam Jiwa' itu anak Cina hanya digambarkan sebagai pemasang jerat menangkap ikan, lain pula halnya dengan gadis sunti bernama Wee Vii Vian, 16, yang berasal dari Kampung Pulau Lohong, Panji, Kota Bharu.

Gadis keturunan Cina itu tidak hanya mahu 'memasang lukah' tetapi mampu melantun 'Gurindam Jiwa' dengan suara gemersik yang menjerat hati sesiapa sahaja yang mendengarnya.

Peminat sukan bola keranjang itu berupaya melontar setiap bait lagu itu tanpa tersekat dan tanpa pelat sehingga jika melihat fizikalnya pun kita mungkin menyangka dia gadis Melayu kerana warna kulitnya yang tidak terlampau cerah kesan aktif bersukan.

"Saya tidak berapa suka lagu-lagu Cina, tidak ingat pun mana-mana lirik lagu Cina. Saya lebih suka lagu Melayu lama seperti Gurindam Jiwa, Sekapur Sireh, Istana Cinta dan kalau yang moden macam lagu Terlalu Istimewa.

"Bukan tujuan menunjuk-nunjuk, tetapi saya lebih senang (selesa) dengan bahasa Melayu, malah dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu, satu-satunya gred B yang saya dapat adalah bagi subjek bahasa Mandarin, yang lain semua A termasuk bahasa Melayu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Vii Vian yang belajar di tingkatan empat Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa dekat sini bukan sekadar pelantun lagu tetapi juga seorang pendeklamasi sajak dan pemuisi muda yang terkenal di kalangan penggemar sastera di negeri ini dan sering diundang mendeklamasi sajak dalam pelbagai majlis termasuk di ibu negara.

Dia pernah menjadi naib johan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) pada 2008 serta tempat ketiga Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan 2009.

Paling terbaru adalah tempat kedua pada Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 peringkat negeri Kelantan setelah tahun sebelumnya Vii Vian muncul juara.

Uniknya, 'anak Cina' ini bukan satu-satunya 'nilam bahasa Melayu' dalam keluarganya, bahkan dua lagi saudara kandungnya iaitu kakak, Wee Win Nie, 20, dan adik lelaki, Wee Ming Hock Vincent Jones Jr., 10, juga dididik mencintai sastera Melayu sejak dari kecil lagi.

Ketiga-tiga mereka tidak pernah jemu menyertai pelbagai pertandingan puisi dan juga syarahan sama ada di peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan dan telah mengumpul lebih 40 hadiah kemenangan.

Kakaknya, Win Nie yang kini menuntut di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis pernah menjadi naib johan Pertandingan Pidato Hasil Peringkat Kebangsaan 2009, tempat ketiga pertandingan akhir Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan peringkat Kebangsaan 2010 dan menjuarai Pertandingan Pidato 1Malaysia (Bukan Melayu) Peringkat Negeri Pahang 2011 baru-baru ini.

Si kecil Ming Hock pula walaupun belum pernah menggondol hadiah utama, tetapi buat kali pertama berjaya ke pertandingan akhir Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 peringkat negeri Kelantan baru-baru ini setelah menyertai pertandingan itu sejak dari usia tujuh tahun.

Kesemua pencapaian itu yang boleh disifatkan luar biasa tidak datang bergolek kerana mereka digilap sejak dari peringkat awal oleh ibu, Jowyn Kan, 44, seorang guru bahasa Inggeris sekolah swasta.

Jowyn mengakui dia yang bersungguh-sungguh dan tegas mengajar anak-anaknya kata bidalan, peribahasa, lagu dan puisi Melayu kerana percaya generasi muda perlu dilentur sejak dari kecil sebelum mereka berupaya menentukan kecenderungan sendiri.

Menurutnya, dia amat menggalakkan anak-anaknya menyertai pertandingan syarahan dan puisi kerana ia penting sebagai usaha kecil mereka memartabatkan bahasa utama penduduk negara ini.

Katanya lagi, pada musim pertandingan, dia sendiri akan melatih anak-anaknya setelah mereka selesai melakukan kerja sekolah dan membiasakan mereka membacakan sajak di hadapan tetamu yang berkunjung ke rumah.

"Walaupun saya Cina, bahasa Melayu juga adalah bahasa saya, semua jiran-jiran saya Melayu dan saya tinggal di negeri majoriti Melayu. Jadi tiada sebab untuk saya meminggirkan bahasa ini dan tidak berusaha menanamkan sikap mencintainya pada anak-anak saya.

"Saya pastikan anak-anak saya faham setiap perkataan yang mereka sebut dan bukan menghafal membuta tuli kerana jika kita sendiri keliru, bagaimana pula orang yang mendengar boleh menangkap maksud sebenar?

"Sebab itu sekiranya saya sendiri kurang faham, saya berusaha membawa anak berjumpa penulis sajak yang mereka baca supaya mereka tidak 'syok sendiri' mendeklamasi sajak sedangkan penulis memaksudkan perkara lain," katanya.

Jelasnya lagi, dia dan suaminya, Wee Long Kiong, 55, seorang pentaksir kerugian insurans menjadikan kegiatan kokurikulum anak-anaknya ini sebagai aktiviti keluarga yang mengeratkan hubungan mereka.

"Selain pertandingan, anak-anak saya terutama Win Nie dan Vii Vian sering dijemput agensi kerajaan dan pihak lain ke merata tempat di dalam atau luar Kelantan untuk mendeklamasi sajak. Saya tidak kisah terpaksa mengeluarkan belanja kerana menganggap ia sebagai percutian keluarga.

"Meskipun majlis kecil atau pertandingan peringkat saringan, saya akan pastikan berada di kalangan penonton kerana anak-anak perlukan sokongan ibu bapa selain guru," katanya.

Berpegang kepada prinsip 'harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama', dia sentiasa berpesan kepada anak-anaknya agar bersungguh-sungguh dalam apa jua perkara yang mereka lakukan dan dalam masa sama tidak meninggalkan khazanah bangsa Melayu.

Atas dasar itulah, dia berbangga kerana anak sulungnya Win Nie, tegar menyertai pertandingan puisi, syarahan dan juga gelanggang teater meskipun sudah berada jauh dari keluarga.

"Kalau mereka minat jadi jurutera, biar jadi jurutera pandai berpuisi; kalau jadi cikgu bahasa Inggeris, hendaklah juga pakar dalam gurindam Melayu, ini jasa yang kita akan tinggalkan bila kita mati kelak," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Penduduk cemas binatang buas di kebun

Posted:

Penduduk cemas binatang buas di kebun

Penduduk cemas binatang buas di kebun

BESUT 8 Dis. - Penduduk Kampung Pancur Hulu Besut dekat sini berada dalam kebimbangan apabila sering terserempak harimau dan beruang ketika menoreh di kebun getah sejak dua minggu lalu.

Mereka yang semakin resah apabila berada di kebun berharap pihak berkuasa dapat menangkap binatang buas itu yang semakin kerap keluar dari kawasan hutan sebelum kejadian tidak diingini berlaku.

Seorang penduduk, Abd. Manaf Ismail, 37, berkata, Jumaat lalu dia terserempak dengan seekor harimau setinggi kira-kira 0.5 meter dan satu meter panjang ketika bersama ibunya, Wan Minah Wan Yahya, 60, menuju ke kebun getah.

Katanya, mereka tergamam apabila tiba-tiba seekor harimau keluar dari dalam semak melintas di depan kira-kira tiga meter dari tempat mereka berada.

"Kebetulan saya ada membawa mercun bola dalam poket seluar lalu mengambilnya keluar dan mencucuh sumbu dan melemparkannya bagi menakutkan harimau tersebut," katanya ketika ditemui semalam.

Bagaimanapun katanya, tidak lama kemudian di sekali lagi terkejut apabila harimau berkenaan dilihat semula semasa ibunya sedang menoreh.

Seorang lagi penduduk, Wan Nawang Wan Yahya, 47, berkata, dia sendiri pernah terserempak dengan seekor beruang ketika mengutip getah skrap di dalam kebunnya di kawasan sama.

Katanya, sebelum itu dia terdengar bunyi batang pokok getah tumbang dan tiba-tiba muncul seekor beruang di depannya yang seolah-olah menerkam kepadanya lantas dia melarikan diri.

Zulkifli Yaakob, 27, pula berkata, dia pernah terserempak dengan seekor beruang yang membawa seekor anak ketika mengutip getah skrap di kebunnya di kawasan sama dua minggu lalu.

"Tiba-tiba saya terdengar bunyi dan apabila menoleh terlihat seekor beruang yang bergerak menuju untuk menerkam saya dan saya tidak membuang masa terus melarikan diri dan pulang ke rumah, " jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pancor, Mohd. Nor Botok berkata, perkara itu akan dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

Full content generated by Get Full RSS.

Pertanian ke ternakan burung walit

Posted:

Pertanian ke ternakan burung walit

Pertanian ke ternakan burung walit

KUALA TERENGGANU 8 Dis. - Kerajaan negeri bersedia menimbangkan permohonan penukaran status tanah pertanian kepada kawasan ternakan burung walit.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, langkah itu berikutan bidang tersebut semakin mendapat sambutan di luar jangkaan di negeri ini ekoran permintaan yang tinggi dan harga lumayan hingga mencecah RM6,000 sekilogram.

Katanya, produk berkenaan diperlukan dalam kuantiti yang banyak, sekitar dua tan sebulan bagi dieksport ke pasaran Cihna melalui Guangzhou.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, sidang Dewan Undangan Negeri hari ini bahawa tiada berlaku lambakan produk sarang burung di negeri ini.

"Sarang burung walit di Terengganu diakui berkualiti dan bersih oleh pembeli berbanding di negeri lain kerana ia bebas daripada sebarang percemaran udara," katanya ketika menjawab soalan lisan Muhammad Ramli Nuh (BN-Tepoh).

Namun katanya, kerajaan negeri tidak membenarkan atau meluluskan mana-mana permohonan sekiranya ada individu ingin mengusahakan ternakan itu di kawasan bandar.

"Mereka perlulah fikirkan lokasi yang sesuai. Kita terpaksa bertindak tegas bagi mengelak pelbagai kemungkinan berlaku termasuk, diserang penyakit, rungutan dan gangguan bunyi.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan Pedagang Sarang Burung Malaysia, Datuk Tok Teng Sai mengalu-alukan langkah kerajaan itu bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

''Banyak tanah pertanian terbiar di kampung-kampung yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk untuk mendapatkan pendapatan berterusan.

''Ia juga dapat membantu mengeluarkan mereka dari lingkaran kemiskinan dan pada masa yang sama melonjakkan ekonomi negeri apabila sarang burung benar-benar digerakkan sebagai suatu industri baru," ujarnya.

Katanya, ia boleh digerakkan melalui koperasi-koperasi kampung dengan pemilikan saham penduduk supaya boleh diuruskan secara terancang.

Di samping itu katanya, ia turut dijadikan satu lagi produk tarikan pelancong bagi negeri ini dengan mewujudkan pusat sarang burung dengan penyediaan produk-produk cenderahati, muzium dan rumah burung.

''Tidak semua ingin beli batik dan keropok lekor, mengapa tidak kita turut sediakan sarang burung kelak. Di Korea ginseng di mana-mana baik dalam coklat malah di dalam rokok," ujarnya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Jadikan Langkawi bertaraf dunia

Posted:

Jadikan Langkawi bertaraf dunia

Jadikan Langkawi bertaraf dunia

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendengar sesuatu yang diperkatakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada majlis pelancaran Blueprint Pelancongan Langkawi, di Langkawi, Kedah, semalam. – BERNAMA


LANGKAWI 8 Dis. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Blueprint Pelancongan Langkawi yang melibatkan anggaran pelaburan sebanyak RM5 bilion dalam tempoh lima tahun untuk meletakkan nama pulau peranginan itu sebaris dengan pulau terkemuka dunia.

Menerusi pelan tindakan rangka kerja terperinci itu, kedudukan dan potensi Langkawi diberi nafas baru bagi mencapai aspirasi kerajaan untuk menjadikan pulau lagenda berkenaan sebagai antara 10 pulau dan destinasi ekopelancongan terbaik dunia menjelang 2015.

Perdana Menteri berkata, pelan induk berkenaan menggariskan 14 inisiatif meliputi tiga tema iaitu produk, infrastruktur dan pembolehdaya yang dijangka merancakkan lagi industri pelancongan di situ dalam tempoh tersebut.

"Pelaksanaan blueprint ini dijangka menggandakan pendapatan sektor pelancongan kepada RM3.8 bilion menerusi kedatangan tiga juta pelancong pada 2015 selain mewujudkan sebanyak 4,200 peluang pekerjaan baru," katanya ketika melancarkan blueprint berkenaan di sebuah hotel di sini hari ini.

Hadir sama menyaksikan pelancaran berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Menurut Najib, sebanyak RM5 bilion pelaburan diperlukan dalam tempoh pelaksanaan rangka pembangunan itu dengan 92 peratus pelaburan akan dijana oleh sektor swasta dan bakinya diperuntukan kerajaan sebagaimana diumumkan dalam Bajet 2012.

Beliau berkata, bagi mengukuhkan kekuatan sedia ada di pulau pelancongan itu, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) akan dimantapkan dengan suntikan kepakaran baru selain akan bertindak sebagai Pejabat Pengurusan Penyampaian untuk memantau pelaksanaan kesemua inisiatif yang dikenal pasti.

Perdana Menteri yakin aspirasi kerajaan untuk menjadikan Langkawi sebagai pulau terkemuka dunia dapat dicapai menerusi kerjasama dan penglibatkan semua pihak.

"Harapan kita untuk melihat Langkawi menempa nama sebaris dengan pulau-pulau terkemuka seperti Seychellees, Mauritius, Bali, Hawaii dan Maldives menjadi kenyataan jika sokongan padu dan kerjasama erat berterusan antara semua pihak tercapai," katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Najib turut mengumumkan pelantikan bekas Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Khalid Ramli, 62, sebagai Pengurus Besar LADA yang baru.

Beliau turut menyaksikan memorandum persefahaman yang dimeterai antara Kementerian Pengajian Tinggi dan Taylor's University untuk membangunkan akademi pelancongan di pulau peranginan berkenaan.

Selepas melancarkan Blueprint Pelancongan Langkawi itu, Najib kemudian merasmikan tapak projek Kilim dan Pusat Discovery Geopapark di jeti Kilim dekat sini yang merupakan antara inisiatif pelan induk tersebut.

Full content generated by Get Full RSS.

Pas Selangor tidak akan tunduk

Posted:

Pas Selangor tidak akan tunduk

Pas Selangor tidak akan tunduk

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com

SHAH ALAM 8 Dis. - Pas Selangor menyifatkan cadangan DAP yang berkemungkinan meletakkan calon Melayu bertanding di kerusi majoriti Melayu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti sebagai satu langkah yang tidak wajar.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri, Khalid Abdul Samad berkata, pihaknya tidak akan tunduk kepada tuntutan itu kerana langkah tersebut masih belum dapat diterima oleh masyarakat selain ia bukan satu jaminan DAP akan memperoleh kemenangan dalam PRU13.

Beliau yang mengakui bahawa cadangan DAP tersebut ada dibincangkan dalam mesyuarat bersama Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), namun pihaknya beranggapan ia sukar dilaksanakan dan memerlukan masa.

''DAP (letakkan calon Melayu di kerusi majoriti Melayu) kerana mereka mahu pecahkan imej daripada parti satu kaum kepada parti semua kaum tetapi langkah ini memerlukan masa.

''Namun, kita rasa langkah ini tidak wajar dan kita tidak tunduk kepada tuntutan DAP," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam ketika di minta mengulas mengenai artikel dalam ruangan Cuit yang ditulis oleh Datuk Zaini Hassan dalam Utusan Malaysia yang menganggap bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali sebagai faktor penyelamat kepada perpaduan dan penyatuan orang Melayu, Khalid berkata, ia adalah pandangan peribadi penulis.

Mengenai Hasan yang dikatakan akan dikurniakan pingat kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S), beliau berkata, ia adalah perkenan baginda Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah atas sumbangan yang diberikan oleh Hasan yang juga Exco kerajaan negeri.

''Namun pada saya penganugerahan darjah kebesaran ini dilakukan oleh baginda mengikut giliran kerana Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah dianugerahkan darjah kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) manakala Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Teng Chang Khim turut menerima darjah kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) pada tahun lalu.

''Saya melihat baginda adalah adil dan anugerah serta darjah kebesaran diberikan mengikut giliran iaitu Menteri Besar (Abdul Khalid) kebetulan daripada PKR, Speaker DUN (Chang Khim) daripada DAP dan seterusnya kali ini Pas (Hasan)," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Nenek 66 tahun mangsa cinta siber

Posted:

Nenek 66 tahun mangsa cinta siber

Nenek 66 tahun mangsa cinta siber

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 8 Dis. - Walaupun usia sudah mencecah 66 tahun dan bergelar nenek, seorang ahli perniagaan wanita yang kaya-raya di Indonesia sanggup terbang jauh ke Malaysia semata-mata ingin bertemu kekasih siber bergelar 'Datuk' yang melamarnya untuk dijadikan isteri.

Bukan itu sahaja, wanita terbabit sanggup mengirim wang sebanyak AS$75,000 dolar (RM226,000) kepada kekasihnya itu sebagai modal untuk menjadi rakan kongsi dalam perniagaan.

Namun, hajat nenek itu untuk berkahwin dengan lelaki pujaannya tidak kesampaian kerana lelaki itu rupa-rupanya adalah kasanova 'Awang Hitam' yang bijak memperdayakan wanita kesunyian melalui Internet.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, wanita warga Indonesia itu berkenalan dengan suspek menerusi laman sosial Facebook sejak beberapa bulan lalu.

Beliau berkata, ketika berkenalan, suspek menggunakan nama lelaki Melayu mendakwa dia ahli perniagaan bergelar 'Datuk' dari Malaysia.

"Setelah beberapa bulan berkenalan, suspek mempelawa wanita itu untuk menjadi rakan kongsinya.

"Tanpa berfikir panjang, mangsa bersetuju dan hubungan mereka bertambah 'serius' apabila suspek melamarnya menjadi isteri. Ini menyebabkan mangsa tidak teragak-agak mengirim wang AS$75,000 kepada teman lelakinya itu untuk membeli barang- barang berniaga," katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di Bukit Perdana di sini hari ini.

Syed Ismail berkata, walaupun mangsa diarah memasukkan wang ke dalam akaun milik individu lain, namun wanita itu langsung tidak menyedari ditipu dan sanggup datang ke Malaysia untuk bertemu kekasihnya itu apabila diminta berbuat demikian.

Beliau berkata, sebaik sahaja tiba di ibu negara, mangsa tidak sempat bertemu dengan teman lelakinya kerana suspek hanya menghantar seorang rakan iaitu seorang lelaki warga Afrika untuk menemuinya berhampiran sebuah hotel di Bukit Bintang.

Menurutnya, dalam pertemuan itu, lelaki Afrika terbabit telah menunjukkan bungkusan berisi kertas berwarna hitam dan sejenis cecair.

"Lelaki Afrika itu memaklumkan kertas hitam itu adalah wang AS$2.4 juta dan ia akan bertukar kepada wang asli jika dicuci dengan cecair yang dibawa.

"Suspek bagaimanapun tidak menyerahkan barang-barang itu kepada mangsa dengan alasan dia perlu membuat sejumlah pembayaran terlebih dahulu," katanya.

Syed Ismail berkata, mangsa yang tidak menyedari sudah terjerat dengan sindiket black money pulang semula ke Indonesia bagi menyediakan wang tanpa menemui kekasihnya.

Beliau berkata, teman lelaki mangsa berterusan menghubunginya meminta segera menyediakan wang untuk mendapatkan barang-barang ditawarkan rakannya itu dan pada masa sama mengajak wanita itu berkahwin segera kononnya dia sedang sakit dan merancang mewasiatkan semua harta kepada bakal isterinya itu jika meninggal dunia.

Katanya, mangsa hanya menyedari ditipu dan membuat laporan polis pada November lalu, apabila sekali lagi datang ke Malaysia tetapi teman lelaki masih enggan berjumpa dengannya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved