Sabtu, 3 Disember 2011

Utusan Online - Rekreasi

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Berjalan di dasar laut

Posted:

Berjalan di dasar laut

Berjalan di dasar laut

rekreasi@utusan.com.my


KASUT yang bersesuaian untuk dipakai oleh peserta ketika berada di dasar laut.


Aksi 'orang bulan' yang sedang terapung-apung di udara ketika bergerak seolah-olah menunjukkan keseronokan berada dalam keadaan tarikan graviti sifar.

Keadaan itu berlaku sekiranya anda berada di bulan, tapi bolehkah pengalaman itu diperolehi di daratan? Bagaimana pula sekiranya anda berjalan di dasar laut? Sebenarnya, kini anda juga boleh berjalan di dasar laut yang dipenuhi pelbagai misteri. Aktiviti ini dikenali sebagai Sea Walking.

Bagi mereka yang berangan-angan untuk meniru gaya angkasawan berjalan, bolehlah mencubanya di dasar laut sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

Bagi yang berminat untuk merasai pengembaraan dasar laut ini bolehlah mengunjungi Taman Tunku Abdul Rahman yang terletak di negeri bawah bayu, Sabah.

Warna-warni dasar laut

Ini bukan cabaran biasa. Ia seolah-olah merealisasikan impian kita sekurang-kurangnya untuk meniru dan mengalami sendiri pengalaman angkasawan merentasi perjalanan ke angkasaraya tetapi bezanya di dasar laut. Setiap langkah yang anda lakukan pastinya akan terpukau dengan keindahan dasarnya yang mungkin 1,000 kali ganda lebih indah daripada permukaan bulan.

Dari Pulau Sapi, setiap peserta akan dibawa ke sebuah pelantar khas yang terletak kira-kira 10 minit perjalanan.

Sebelum melangkah masuk ke dasar laut sudah tentu perasaan gemuruh menguasai diri memandangkan badan sudah tenggelam jauh ke dasar laut sedalam 20 hingga 40 kaki. Namun ketika berjalan, bekalan oksigen yang disalurkan dari generator angin yang terletak di atas pelantar mampu membekalkan udara selama yang anda inginkan.

Malah anda tidak perlu bimbang dengan faktor keselamatan kerana anda akan ditemani oleh jurulatih selam yang berpengalaman dan tali yang boleh dijadikan pegangan ketika peserta berjalan di dasar laut.

Aktiviti ini berbeza dengan selam skuba kerana anda tidak perlu memakai kelengkapan khas seperti baju renang, pemberat, tong oksigen dan peralatan rumit yang lain untuk melakukan aktiviti Sea Walking kerana cukup sekadar memakai Sea Trek Underwater Helmet Diving System yang menyerupai topi angkasawan.

Untuk memakainya ia amat mudah malah sesuai buat seisi keluarga, dari kanak-kanak berusia tujuh tahun hingga orang dewasa.

Malah peserta tidak perlu berada dalam keadaan ketakutan ketika turun ke dasar laut kerana laluannya tidak mencabar.

Jika ada pun, anda akan dikejutkan dengan kehadiran makhluk marin berwarna-warni yang akan mengurumuni setiap peserta yang melalui perjalanan itu.

Boleh dikatakan aktiviti di taman itu merupakan yang pertama di negara ini menyediakan perkhidmatan berjalan di dasar laut melalui perjalanan sejauh 200 meter dan sesuai dijadikan tempat riadah buat penggemar sukan air.

Sebelum ke pelantar bot yang direka khas untuk aktiviti tersebut, para peserta perlu mendaftarkan diri di Pejabat Operasi Sea Walking yang terletak di Pulau Sapi.

Di sana, peserta akan diberikan taklimat ringkas mengenai isyarat tangan asas untuk memudahkan para peserta berkomunikasi ketika berada di dasar laut, teknik-teknik berjalan dan langkah-langkah kecemasan.

Setelah tamat sesi taklimat, para peserta akan dibawa ke pelantar di mana keseronokan sebenarnya bermula.

Dari atas permukaan pelantar bot, setiap peserta akan diberikan sebuah topi oksigen seberat hampir 50 kilogram.

Ketika menuruni tangga pelantar barulah peserta akan dipakaikan topi tersebut dan terus turun ke dasar laut secara bergilir-gilir.

Sebaik berada di dasar laut, peserta bebas bergerak mengikut laluan tali yang dipasangkan dan anda tidak perlu bimbang mengenai soal keselamatan kerana setiap laluan dan peralatan dijamin selamat kerana ia sentiasa dibaik pulih dari masa ke semasa.

Ketika bergerak, para jurulatih selam akan menemani para peserta maka sepanjang masa di dasar laut itu penuhilah masa menghayati pemandangan indah di dasar laut sebaik mungkin kerana masa yang diberikan agak terhad (20 hingga 30 minit sahaja).

Jika berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini, bantuan kecemasan bakal dihulurkan kepada yang memerlukan.

Selain itu, para jurulatih selam juga akan mengumpan sebanyak mungkin ikan-ikan eksotik yang berada di sekeliling untuk datang berdekatan dengan peserta.

Ketika para peserta leka bermain dengan ikan-ikan tersebut, jurulatih akan merakamkan gambar dan video anda.

Sementara itu jurulatih selam, Mohd. Arman Kasim berkata, apa yang perlu diutamakan oleh setiap peserta ialah kepercayaan terhadap diri sendiri ketika merintangi laluan dasar laut.

"Jika anda percaya boleh lakukannya maka keselamatan anda telah pun dijamin 100 peratus, cuma jangan berebut-rebut untuk naik semula ke dasar laut dan jangan turun terlalu cepat kerana tekanan graviti dasar laut boleh membuatkan telinga berdesing atau sakit kepala.

"Malah jika air masuk ke dalam topi yang disediakan, apa yang perlu anda lakukan ialah hembus nafas sekuat mungkin dan air tersebut akan keluar dengan sendiri," katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai pakej yang disediakan di Taman Tunku Abdul Rahman, sila hubungi First Borneo Discovery Travel & Tours, (Yamin-0198728206) atau email kepada yamie1944@yahoo.com.my.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Berbincang dengan bahagian

Posted:

Berbincang dengan bahagian

Berbincang dengan bahagian


Najib Tun Razak, Muhyiddin Yassin dan barisan Ahli Majlis Tertinggi terhibur ketika mendengar sesi perbahasan di Dewan Merdeka, PWTC, semalam.


KUALA LUMPUR 2 Dis. - Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan yang pucuk pimpinan akan berbincang dengan bahagian-bahagian parti untuk menentukan calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak kira sama ada ia orang tempatan atau luar.

Beliau percaya kaedah yang lazimnya dilakukan Barisan Nasional (BN) apabila menghadapi pilihan raya kecil itu adalah cara terbaik untuk memilih calon yang mendapat sokongan di peringkat akar umbi.

''Sama ada yang kita pilih itu calon tempatan atau calon dari luar, kita tetap akan mengadakan perbincangan di peringkat bahagian sebelum membuat keputusan muktamad bagi memastikan calon yang dipilih itu benar-benar boleh membawa kemenangan,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat bilik operasi akhbar Utusan Malaysia sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011 di sini, hari ini.

Kedatangan beliau disambut kakitangan Utusan diketuai oleh Pengarang Berita Kanan, Zulkefli Hamzah.

Beliau ditanya mengenai saranan beberapa perwakilan yang antara lain meminta pucuk pimpinan membincangkan soal pemilihan calon dengan bahagian.

Tegas Muhyiddin, hanya dengan sokongan tidak berbelah-bahagi di peringkat akar umbi, seorang calon yang dianggap 'winnable candidate' itu boleh membawa kemenangan kepada UMNO dan BN pada PRU13.

Beliau turut ditanya cadangan wakil Wilayah Persekutuan, Datuk Syed Ali Alhabshee supaya pucuk pimpinan mengambil tindakan terhadap ketua bahagian yang 'menyimpan' peruntukan pilihan raya untuk kepentingan peribadi termasuk bagi melobi jawatan dalam parti.

Menurut Muhyiddin, setakat ini pihaknya belum mendapat aduan rasmi siapa yang terlibat namun akan membuat pemantauan bagi memastikan perkara itu tidak berlaku dan menjejaskan persiapan jentera parti menghadapi pilihan raya.

Ditanya mengenai mutu perbahasan kali ini, Muhyiddin berkata, secara umumnya ia memuaskan walaupun ada antara pembahas yang sedikit menyimpang daripada isu yang menjadi fokus perhimpunan.

Full content generated by Get Full RSS.

Sedia ‘berperang’ pada bila-bila masa

Posted:

Sedia 'berperang' pada bila-bila masa

Sedia 'berperang' pada bila-bila masa

KUALA LUMPUR 2 Dis. – Kekuatan dan semangat lebih tiga juta orang UMNO kini berada dalam keadaan terbaik untuk 'berperang' dan memenangi peperangan pada PRU13.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, semangat dan kekuatan sebenar UMNO yang sebelum ini pudar, kini kembali menyala.

Bagaimanapun beliau tetap mengingatkan seluruh kepimpinan dan ahli UMNO agar menyelesaikan segala masalah dalaman jika masih ada agar 'kudis' politik itu tidak merebak menjadi kanser.

"Kesiapsiagaan kita kini berada di tahap optimum untuk 'berperang'. Semangat dan kekuatan ini semakin jelas pada perhimpunan agung kali ini dan ia dapat dilihat pada 'mood' perwakilan sejak hari pertama kita bersidang lagi.

"Tahap kesiapsiagaan ini akan berada pada kedudukan tertinggi dalam sedikit masa lagi jika semua masalah dalaman dapat diselesaikan," katanya kepada Utusan Malaysia di PWTC, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas 'mood' para perwakilan untuk berdepan PRU paling mencabar dalam sejarah parti, selepas empat hari Perhimpunan Agung UMNO 2011 berlangsung.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, para perwakilan pada perhimpunan kali ini juga dilihat begitu menghayati dan memahami ucapan dasar Najib yang mahu seluruh orang UMNO sayang dan cinta pada parti.

"Jurucakap yang mewakili negeri masing-masing nampaknya menghayati dan memahami ucapan dasar Presiden. Perwakilan juga memberi penghayatan yang sama dan ini perkembangan positif," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Perhimpunan berjalan lancar

Posted:

Perhimpunan berjalan lancar

Perhimpunan berjalan lancar

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Perhimpunan Agung UMNO 2011 diyakini memberi impak yang lebih kepada perwakilan dan ahli-ahli berdasarkan mutu perbahasan lebih baik setakat hari ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga berharap perbahasan oleh perwakilan dapat memberi iktibar kepada ahli-ahli untuk terus memperkasakan parti.

"Perhimpunan Agung UMNO pada tahun ini berjalan dengan lancar dan tidak banyak masalah yang timbul. Semua berjalan seperti biasa dan tiada perwakilan yang dilaporkan membawa masalah.

"Ada perbahasan yang lebih baik mutunya dari tahun lepas, namun ada juga yang kurang baik mutunya. Saya berharap sesi perbahasan yang dijalankan dapat memberi iktibar kepada parti," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Timur

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Tawar harga lebih murah

Posted:

Tawar harga lebih murah

Tawar harga lebih murah

Oleh TOREK SULONG
utusankelantan@utusan.com.my


WAN Mohd. Sabri Wan Harun (kiri) menunjukkan barangan 1Malaysia yang dijual pada harga murah di Coop Mart 1Malaysia di Pasir Puteh, kelmarin.


PASIR PUTEH 2 Dis. - Kedai Koperasi Pekebun Kecil (KKPK) Pasir Puteh yang dilengkapi pelbagai barangan keperluan pengguna menawarkan harga lebih murah berbanding kedai-kedai runcit lain.

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) negeri, Wan Mohd. Sabri Wan Harun berkata, langkah itu selaras dengan Program Transformasi Kedai Runcit yang menawarkan harga lebih rendah untuk keperluan pengguna terutama ahli koperasi tersebut.

Beliau berkata, program tersebut yang dilancarkan secara berperingkat di negeri ini sepanjang tahun ini melibatkan sembilan buah kedai.

"Beberapa buah kedai seperti Koperasi Kijang Mas, Kuala Betis dan Koperasi Chiku Lima di Gua Musang serta Koperasi Guru Wanita di Pintu Geng, Kota Bharu sudah pun beroperasi sepenuhnya di bawah program ini.

"Koperasi Pekebun Kecil Tanah Merah/Jeli, Koperasi Warga Universiti Sains Malaysia (USM), Koperasi Kakitangan Mardi di Pasir Tumbuh dan Koperasi Warga Wisma akan beroperasi tidak lama lagi," katanya ketika berucap pada Perasmian dan Pelancaran Coop Mart 1Malaysia di Kedai KKPK Pasir Puteh di sini semalam.

Hadir sama, Pengerusi KKPK Pasir Puteh, Tengku Abdul Aziz Tuan Deraman.

Wan Mohd. Sabri berkata, mulai tahun depan lebih 10 buah koperasi akan dibangunkan secara berperingkat-peringkat di seluruh Kelantan bagi membolehkan pengguna yang berdaftar sebagai anggota koperasi menikmati manfaat pelaksanaan Kedai Koperasi 1Malaysia.

Di bawah program ini, katanya, setiap koperasi yang terpilih disalurkan bantuan kewangan berjumlah RM63,000 dan turut menawarkan pinjaman berjumlah RM50,000 tanpa cagaran dengan hanya mengenakan kadar faedah sebanyak dua peratus bagi membolehkan pengurusan dana dan pusingan modal koperasi mampu dilaksanakan.

"Tumpuan pelaksanaan program lebih diberi keutamaan bagi kawasan luar bandar bagi menggalakkan masyarakat mengamalkan amalan berkoperasi dan mendapat bekalan barangan pada kadar yang berpatutan selain menikmati laba keuntungan hasil perniagaan yang dijalankan dalam kalangan ahli," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Pengagihan notebook dibuat mengikut peraturan

Posted:

Pengagihan notebook dibuat mengikut peraturan

Pengagihan notebook dibuat mengikut peraturan

KOTA BHARU 2 Dis. - Kementerian Pelajaran menjelaskan pembahagian Netbook 1Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut, Tumpat baru-baru ini dijalankan mengikut kriteria yang telah ditetapkan.

Unit Komunikasi Korporat kementerian itu dalam satu kenyataan di sini memberitahu, antara kriteria yang telah ditetapkan ialah pendapatan isi rumahnya kurang dari RM3,000 sebulan bagi yang berpendapatan tetap dan tidak tetap.

Menurut kenyataan itu, bagi golongan berpendapatan tetap mereka perlu mengemukakan slip gaji manakala yang berpendapatan tidak tetap pula berdasarkan pengesahan yang dibuat oleh jawatankuasa berkaitan.

"Selain itu, setiap keluarga hanya layak memiliki satu netbook sahaja dan selebihnya perlu mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Suruhjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)," jelas kenyataan tersebut di sini hari ini.

Penjelasan tersebut dibuat bagi menjawab aduan yang dikirimkan oleh seorang pengadu dalam ruangan SMS MMS Anda di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 2 November lalu.

Dalam aduannya pengadu yang dikenali sebagai "014-809XXXX" meminta kerjasama pihak yang berkenaan supaya menyiasat tentang pembahagian netbook kepada pelajar SMK Kampung Laut yang dikatakan tidak adil.

Full content generated by Get Full RSS.

Pantai Irama tumpuan peniaga kecil

Posted:

Pantai Irama tumpuan peniaga kecil

Pantai Irama tumpuan peniaga kecil


MOHD. Khairuddin Ismail menggunakan waktu terluang sepanjang cuti persekolahan dengan menjual wau di Pantai Irama, Bachok, baru-baru ini.


BACHOK 2 Dis. - Musim cuti persekolahan yang panjang pada penghujung tahun ini lebih berbaloi jika digunakan untuk menambah sumber pendapatan melalui perniagaan yang dijalankan secara kecil-kecilan terutama di kawasan yang menjadi tumpuan ramai.

Di Pantai Irama di sini, beberapa pelajar sekolah menengah mengambil kesempatan tersebut dengan menjual beraneka jenis wau yang laris dibeli pengunjung, apatah lagi keadaan cuaca yang semakin elok dan cerah mendorong ramai yang datang bersama keluarga menghirup udara segar dan nyaman.

Seorang pelajar yang ditemui Mohd. Khairuddin Ismail, 16, berkata, masa yang terluang sepanjang musim cuti sekolah digunakan untuk menjual wau yang mampu menjana keuntungan.

"Ramai pengunjung membelinya dan bermain wau di kawasan pantai yang berangin. Mereka yang berkunjung tidak mandi pantai kerana khuatir akan mengundang padah memandangkan keadaan laut yang masih bergelora dengan ombak yang besar.

''Sebaliknya, mereka memilih wau untuk diterbangkan terutama pada sebelah petang ," ujarnya baru-baru ini.

Menurutnya, pelbagai jenis wau dengan saiz dan rekaan menarik dibelinya melalui pembekal dengan harga lebih murah menggunakan wang simpanan, kemudian dijual kepada pelanggan pada kadar yang berpatutan untuk memperoleh keuntungan.

Katanya, wau yang diperbuat daripada kain kanvas nipis diperoleh daripada pembekal yang mendapatkan barangan tersebut dari China dan dijual antara RM5 hingga RM15 bergantung kepada saiznya.

"Kami hanya mendapat keuntungan antara RM2 hingga RM5 bagi setiap wau yang dijual. Namun jumlah tersebut telah dilengkapkan dengan tali tangsi bagi memudahkan pengunjung bermain di tepi pantai," katanya.

Seorang lagi pelajar, Suhaila Majid, 15, yang turut berniaga berkata, selain menjual wau, pelajar yang tinggal berdekatan Pantai Irama turut membantu ibu bapa masing-masing menjual minuman kelapa muda dan makanan laut bagi memenuhi ruang senggang musim cuti persekolahan ini.

''Selain wau, ada yang memilih berniaga barangan lain seperti makanan ringan, minuman, kerepek dan air kelapa muda kerana pantai ini tetap dikunjungi ramai meskipun pada musim tengkujuh untuk menikmati makanan laut di medan selera yang berdekatan.

"Pengunjung patuh pada papan tanda amaran yang dipasang oleh Majlis Daerah Bachok (MDB) yang melarang mereka mandi pantai sepanjang musim tengkujuh bagi mengelak sebarang risiko kematian akibat lemas," ujarnya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Jumaat, 2 Disember 2011

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Arab Saudi uji skuad Olimpik

Posted:

Arab Saudi uji skuad Olimpik

Arab Saudi uji skuad Olimpik

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my


BEBERAPA pemain Harimau Muda dikatakan akan berhijrah ke pasukan-pasukan negeri untuk menghadapi musim baru Liga Malaysia tatkala skuad itu akan mengikuti program ke Australia pada tahun depan.


KUALA LUMPUR - Skuad Olimpik Arab Saudi mungkin menjadi ujian terakhir buat anak-anak buah Ong Kim Swee sebelum perlawanan dengan Bahrain yang dijadualkan pada 5 Februari depan.

Walaupun belum dapat mengesahkan tarikh perlawanan, Kim Swee berkata, dia menjangkakan mereka akan berdepan Arab Saudi pada penghujung bulan Januari tahun hadapan iaitu sekurang-kurangnya satu atau dua minggu sebelum bertemu Bahrain di tempat lawan.

''Ini merupakan salah satu perlawanan yang saya lihat medan terbaik buat pemain mendapatkan rentak sebelum berdepan Bahrain memandangkan Arab Saudi juga masih terlibat dalam kelayakan Olimpik.

''Selain perlawanan persahabatan dengan Arab Saudi dan di Australia, saya juga berharap mungkin kita dapat mengaturkan beberapa perlawanan lagi pada bulan Januari nanti.

''Selepas mengharungi jadual yang agak ketat sebelum ini, saya harap para pemain dapat memberikan segala yang terbaik di tempat lawan berdepan Bahrain pada perlawanan kelayakan keempat," katanya yang dihubungi, semalam.

Skuad Olimpik Arab Saudi yang menganggotai Kumpulan A juga dilihat senasib dengan pasukan negara apabila berada di tangga tercorot dengan hanya mengutip satu mata dalam kumpulan yang turut membariskan Korea Selatan, Oman dan Qatar.

Pada masa sama, Kim Swee turut memberitahu pasukan juara Liga Australia 2009/10, Sydney FC merupakan salah satu pasukan yang akan menguji skuad Olimpik negara menjelang tiga perlawanan persahabatan yang diaturkan di Sydney, Australia dari 10 hingga 22 Disember ini.

''Salah satu kelab elit yang kita temui nanti adalah Sydney FC yang merupakan sebuah kelab hebat dalam liga Australia.

''Tiga perlawanan dengan kelab elit Australia akan menjadi medan buat saya menguji beberapa pemain baru untuk menyesuaikan diri dengan perlawanan antarabangsa di samping memberikan peluang kepada pemain-pemain yang cedera sebelum ini kembali mendapatkan kecergasan mereka," katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas kehilangan lima pemain seperti Mohd. Muslim Ahmad, K. Gurusamy, Abdul Shukor Jusoh, K. Sasikumar dan Mohd. Zamir Selamat yang memilih untuk bermain dalam saingan Liga Super bersama pasukan pilihan masing-masing, Kim Swee tidak cepat melatah.

Sebaliknya, dia yakin dengan pemain yang tinggal dan bercadang akan membawa masuk beberapa pemain Harimau Muda B dalam skuad utama bagi bersaing dalam saingan Liga Singapura yang dijangka bermula pada Februari depan.

''Buat masa ini saya sudah senaraikan beberapa pemain seperti Syazwan Tajuddin, Nazmi Faiz dan D. Saarvindran untuk bersama dengan Harimau Muda A musim depan.

''Saya akan menyenaraikan lagi beberapa pemain dari Harimau Muda B, saya tidak bimbang dengan ketiadaan beberapa pemain utama yang membuat keputusan berhijrah, saya hormati kehendak mereka," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Lega bila kalahkan Myanmar

Posted:

Lega bila kalahkan Myanmar

Lega bila kalahkan Myanmar

Oleh TAN MING WAI
tan.mingwai@utusan.com.my


ONG Kim Swee (kiri) beredar meninggalkan padang selepas diarah berbuat demikian oleh pengadil perlawanan dari UAE, Fahad Al-Kassar dalam pertemuan Malaysia menentang Indonesia pada Sukan SEA XXVI di Jakarta.


SUKAN SEA XXVI yang menutup tirai minggu lalu meninggalkan pelbagai cerita dan insiden yang tidak mungkin akan dilupakan atlet, jurulatih serta seluruh rakyat Malaysia.

Namun, di sebalik pelbagai kisah suka duka, paling meninggalkan kesan mendalam kepada kita pastinya kejayaan skuad bola sepak mempertahankan pingat emas selepas membenam Garuda di depan ribuan penyokong mereka sendiri.

Anak-anak buah Ong Kim Swee mengetepikan segala ejekan, ugutan, ancaman serta pelbagai provokasi lain untuk pulang sebagai juara hasil kemenangan 4-3 dalam penentuan penalti selepas permainan sebenar berkesudahan 1-1.

Dalam perjalanan muncul 'raja bola sepak Asia Tenggara' dugaan terhebat yang terpaksa dihadapi Harimau Muda tentunya beraksi tanpa jurulatih ketika menentang Myanmar di separuh akhir gara-gara Kim Swee diarah meninggalkan padang ketika kita sedang berdepan Indonesia di peringkat kumpulan.

Secara tiba-tiba, Hassan Sazali Waras, selaku penolong jurulatih terpaksa menggalas tugas mengendalikan perlawanan penting itu. Biarpun peranan tersebut hadir secara mengejut, namun beliau tenang membawa skuad bawah 23 tahun negara membenam Myanmar 1-0 di Gelora Bung Karno pada 19 November, sekali gus layak ke final.

Bersama Utusan Malaysia, jurulatih yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak itu berkongsi detik yang sedikit mencemaskan tetapi meninggalkan kenangan manis dalam kariernya sebagai jurulatih kerana menjadi sebahagian daripada sejarah bola sepak Malaysia.

"Walaupun ia satu pertembungan penting, namun saya tidak mudah panik," kata Hassan Sazali membuka perbualan.

"Saya sentiasa bersedia untuk menghadapi kemungkinan seperti ini, lagi pun saya percaya pada kemampuan diri kerana memiliki pengalaman mengendalikan pasukan dalam sesuatu perlawanan, ia bukan perkara baru untuk saya.

"Sebelum bermula, Kim Swee telah berbincang dengan semua jurulatih mengenai barisan yang diturunkan serta strateginya," ceritanya lagi tentang pengalaman mengendalikan pertemuan separuh akhir.

Kata Hassan Sazali, pada awalnya, semua berjalan lancar seperti dirancang kerana beliau masih dapat berhubungan dengan Kim Swee yang menonton dari tempat duduk VIP menerusi catatan nota.

Beliau menerima dua keping nota daripada Kim Swee yang memintanya memperbetulkan posisi pada pertengahan permainan.

Bagaimanapun memasuki separuh masa kedua, beliau tersentak apabila dimaklumkan oleh Pesuruhjaya Perlawanan bahawa Kim Swee tidak dibenarkan lagi menghantar sebarang nota ke bawah. "Saya tidak faham mengapa secara tiba-tiba kami tidak dibenarkan berhubung sedangkan pada mesyuarat sebelum itu, ia tidak dinyatakan. Kami sekadar diberitahu walkie-talkie dan telefon dilarang tetapi nota dibenarkan.

"Namun, kami tiada masa untuk mempersoalkan arahan tersebut, sebaliknya bermula dari saat itu saya sedar saya perlu segera mengambil alih sepenuhnya dan membuat keputusan sendiri tanpa panduan Kim Swee. Namun, saya tidak cemas kerana masih ada dua rakan setugas, Rustov Bozik (kecergasan) dan Yong Wai Hwang (penjaga gol) untuk dirujuk dan berbincang," ujarnya.

Menjelang 15 minit terakhir, Hassan Sazali membuat keputusan yang menjadi titik tolak kepada perlawanan tersebut.

"Buntu mencari jaringan menuju ke hujung permainan, saya membuat keputusan mengeluarkan Syahrul Azwari (Ibrahim) untuk diganti dengan Izzaq (Faris Ramlan). Myanmar main terlalu bertahan dan kami langsung tidak berpeluang menembusi dari tengah.

"Jadi, kita tukar rancangan dengan melancarkan serangan dari kedua-dua belah sayap untuk melakukan hantaran lintang dan menggunakan kelebihan ketinggian Izzaq. Kemasukan Izzaq satu percaturan berbaloi, walaupun dia bukan penjaring gol tetapi jaringan Ahmad Fakri (Saarani) adalah hasil hantarannya,'' katanya.

Cerita Hassan Sazali lagi, sejurus wisel penamat dibunyikan, beliau berasa cukup lega dan terharu dapat membalas kepercayaan yang diletakkan Kim Swee ke atasnya selaku pengendali sementara.

"Kim Swee mengucapkan tahniah kepada saya dan saya menerangkan kepadanya mengapa keputusan pertukaran pemain dibuat dan dia jawab 'tiada masalah, kamu telah melakukan dengan baik, syabas'," tambahnya.

Kata Hassan Sazali lagi, sebelum turun ke padang, Kim Swee telah mengingatkan kepada pemain agar akur dengan segala arahannya.

"Dia minta pemain supaya menganggap segala teriakan arahan coach Hassan umpama dia yang berada di situ," katanya, yang sudah bekerjasama dengan Kim Swee sejak 2007.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Politik

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Politik


Seruan Presiden disokong

Posted:

Seruan Presiden disokong

Seruan Presiden disokong


Hishammuddin Tun Hussein menyatakan sesuatu tentang gambar beliau dalam akhbar Utusan Malaysia ketika melawat bilik operasi Utusan Malaysia di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 2 Dis. - Seruan Datuk Seri Najib Tun Razak agar ahli UMNO bukan sekadar menjadi ahli parti tetapi menjadi 'orang UMNO' telah disahut dengan sokongan padu oleh ahli parti tersebut.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, berdasarkan pengamatan beliau sejak bermulanya Perhimpunan Agung UMNO 2011 Selasa lalu, ahli UMNO memberi sokongan padu terhadap seruan itu sekali gus ia menterjemahkan kekuatan sebenar parti tersebut.

"Saya sangat gembira dengan suasana semangat tinggi yang ditunjukkan ahli UMNO pada perhimpunan kali ini, kini mereka berjaya membuktikan bahawa mereka bukan sekadar ahli UMNO malah orang UMNO yang komited kepada perjuangan parti.

"Keadaan ini berbeza dengan perhimpunan sama yang dianjurkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Johor tempoh hari. Kononnya mereka mahu menembusi Johor, namun jumlah kehadiran perwakilan amat berbeza dengan kita,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan di Bilik Operasi Utusan Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, keadaan itu menunjukkan satu isyarat bahawa UMNO kini masih menggalas semangat yang sama seperti yang dimulakan oleh para pemimpin UMNO sebelum ini.

Jelasnya, isyarat itu juga menolak gambaran di luar kononnya kepimpinan Presiden parti dalam membawa transformasi perubahan yang begitu mendadak tidak mendapat sokongan daripada orang UMNO.

Full content generated by Get Full RSS.

Tidak meminta, melobi

Posted:

Tidak meminta, melobi

Tidak meminta, melobi


Mohd. Kamal Saidin


KUALA LUMPUR 2 Dis. - Persoalan tentang winnable candidate terus mendapat perhatian para perwakilan apabila hari ini seorang wakil Kedah menggariskan ciri-ciri calon berkenaan mengikut pandangan Islam.

Mohd. Kamal Saidin yang mengambil kesempatan menyentuh perkara itu ketika tampil sebagai pencadang usul agama, pendidikan dan sosial berkata, pada pilihan raya umum lalu, UMNO mengalami kekalahan termasuk di Kedah akibat perbalahan dan perebutan jawatan.

Justeru, beliau menjelaskan, seseorang yang mahu menepati ciri-ciri sebagai calon boleh menang adalah mereka yang tidak meminta-minta dan melobi jawatan.

''Mereka tidak membeli jawatan dan apabila mendapat jawatan tahu beristighfar, yang bertanggungjawab, berkorban dan mempunyai sifat kasih sayang. Inilah winnable candidate," katanya pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Mohd. Kamal menarik perhatian perwakilan dengan membawakan kisah dialog Nabi Muhammad SAW dengan Abdul Rahman Samurah iaitu ''Janganlah kamu meminta jawatan atau jabatan, kalau jawatan itu diperoleh kerana sebab kamu meminta maka tertanggunglah amanah dan tanggungjawab itu dibahu kamu.

''Kalau jawatan dan jabatan itu tidak diminta, maka Allah akan sentiasa membantu kamu."

Justeru, beliau mengajak ahli UMNO agar menumpukan kepada kerja-kerja untuk memenangkan parti sementara itu biarlah manusia membuat penilaian dan seterusnya Allah menentukan sama ada seseorang itu layak menjadi calon atau tidak.

Beliau mengingatkan juga bagaimana Khalifah Usman Al-Affan ketika ditemui Abdullah bin Sabak yang meminta jawatan selepas memeluk Islam menegaskan bahawa beliau hanya pelayan umat dan jawatan khalifah bukan satu penghormatan sebaliknya amanah.

''Sebab itu bagaimana kegemilangan Islam, kalau dulu UMNO kuat masa itu kerana kita lawan tolak jawatan, tetapi hari ini kita kalah kerana kita lawan rebut jawatan.

''Kalau ini yang berlaku dalam parti adakah kita dapat mengharapkan UMNO dapat membebaskan agama, bangsa dan negara serta dapat mengekalkan kuasa," katanya.

Oleh itu, beliau menyeru agar ahli-ahli UMNO kembali kepada pendekatan Islam iaitu jangan meletakkan kepentingan peribadi sebaliknya mementingkan agama, bangsa dan negara.

''Siapa mereka 'orang UMNO'? Apakah memadai sekadar ahli UMNO, penyokong UMNO sebenarnya kita hendak lahirkan pejuang-pejuang UMNO.

''Dia boleh jadi ahli sekadar hendak isi borang Tabung Usahawan Nasional (Tekun), sebagai syarat mendapat projek, ini yang kita bimbang apakah ini 'orang UMNO' yang dapat pertahankan perjuangan kita," katanya.

Dalam hal ini, Mohd. Kamal meminta 'orang UMNO' mengelakkan sengketa sesama mereka kerana sebelum ini faktor itulah yang menjadi punca kekalahan Barisan Nasional (BN).

''Kita kalah bukan kerana kuatnya pembangkang. Kedah hilang satu negeri sedangkan salah punca adalah perbalahan sama kita.

''Sebab itu kita merayu sesama kita, ke atas kamu untuk bersama jemaah (bersatu) sesungguhnya Allah bersama jemaah. Maknanya kalau kita berpecah, kita takut Balik Pulau, Bayan Lepas, UMNO terpelau (terlepas), Pas terlepas, akhirnya boleh kepada DAP, dia rampas,'' katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Itu bukan saya - Musa

Posted:

Itu bukan saya - Musa

Itu bukan saya - Musa

Oleh Suffian abu bakar
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini menafikan tohmahan yang dilemparkan terhadapnya dalam beberapa blog kebelakangan ini bahawa beliau mendirikan rumahtangga dengan seorang penyanyi, Syella Kamaruddin baru-baru ini.

Menurut Musa, apa yang disiarkan dalam beberapa laman blog termasuk dakwaan beliau membelanjakan sejumlah RM15 juta untuk majlis perkahwinan itu sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan dirinya.

Ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini, Musa, 60, berkata, segala apa yang ditulis dalam blog-blog itu kononnya beliau merupakan suami kepada Syella adalah fitnah.

"Itu bukan saya. Saya tidak terlibat dalam perkahwinan itu dan untuk makluman semua, saya masih mempunyai seorang sahaja isteri iaitu Puan Sri Juriah Ahmad. Janganlah ada yang cuba hendak fitnah saya.

"Jika betullah, majlis itu menelan belanja RM15 juta, saya pun hendak punya wang sebanyak itu. Cuma saya kasihan dengan pasangan pengantin itu (Syella dan suaminya) kerana mereka yang berkahwin, saya pula yang dapat nama," katanya sambil mengakui tidak mengenali penyanyi itu.

Beberapa keping gambar perkahwinan Syella atau nama sebenarnya Nurshid'la Ahmad Kamaruddin, 26, dengan pasangannya tersiar dalam beberapa laman blog sejak kebelakangan ini.

Antara maklumat yang disiarkan dalam blog itu adalah belanja majlis perkahwinan tersebut dianggarkan sebanyak RM15 juta, selain Syella menerima hadiah banglo bernilai RM5 juta, kereta Audi R8 berharga RM800,000, wang hantaran RM111,111, mas kahwin RM1,000, telefon bimbit, set mandian, alat solek, al-Quran, sejadah, telekung dan tasbih.

Berikutan tersiarnya gambar majlis persandingan itu, beberapa komen antara lain turut menghina bekas Ketua Polis Negara itu.

Musa dalam pada itu berkata, beliau akan menimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis blog yang menyebarkan fitnah tersebut.

Sementara itu, Syella gagal dihubungi untuk mendapatkan komennya berhubung isu ini. Bagaimanapun, dalam laporan perkahwinannya yang disiarkan dalam majalah URTV keluaran 1 Disember ini, Syella mengesahkan majlis pernikahan itu berlangsung pada 11 hingga 13 November lalu di ibu negara.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Menangis Dalam Hujan itu bagaimanapun enggan mendedahkan identiti suaminya sebaliknya memaklumkan kepada wartawan URTV, suaminya itu bukan seperti dihebohkan di Internet.

Full content generated by Get Full RSS.

92 PATI berhimpit lebih dua minggu dalam bot

Posted:

92 PATI berhimpit lebih dua minggu dalam bot

92 PATI berhimpit lebih dua minggu dalam bot


TAN Kok Kwee menyoal salah seorang pendatang asing tanpa izin warga Myanmar dipercayai tekong selepas ditahan oleh Maritim Malaysia di jeti perikanan Bukit Malut, Langkawi, Kedah, kelmarin.


LANGKAWI 2 Dis. - Seramai 92 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) sanggup berhimpit dalam sebuah bot kayu sepanjang kira-kira 15 meter sejak berlepas dari Myanmar lebih dua minggu untuk ke Pulau Pinang bagi mencari pekerjaan.

Namun hasrat mereka yang berusia antara 16 hingga 50 tahun itu tidak kesampaian apabila ditahan oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah Maritim 1 Langkawi.

Ketua Penguatkuasa Maritim, Laksamana Pertama Tan Kok Kwee berkata, bot kayu dari Myanmar itu dijumpai nelayan tempatan sedang bersauh di perairan Pulau Dayang Bunting iaitu lebih kurang 5.6 batu nautika dari jeti perikanan Bukit Malut di sini, kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Katanya, kesemua mereka ditemui dalam keadaan lesu dan kesejukan selepas dipercayai lima hari tidak makan dan terpaksa bersauh di kawasan berdekatan disebabkan bot kayu yang dinaiki mereka mengalami kebocoran.

"Mereka dipercayai dibawa seorang tekong ke Pulau Pinang untuk bekerja memandangkan tekong yang membawa mereka pernah bekerja di negeri itu selama lebih dua tahun," katanya ketika ditemui di jeti perikanan Bukit Malut di sini, semalam.

Kok Kwee berkata, kesemua PATI itu ditahan untuk siasatan lanjut dan boleh didakwa di bawah Akta 670 Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


FBI intip komuniti Islam

Posted:

FBI intip komuniti Islam

FBI intip komuniti Islam

NEW YORK 2 Dis. - Biro Siasatan Persekutuan (FBI) didakwa mengintip dan mengumpul maklumat mengenai kumpulan komuniti Islam melalui penyertaan dan pertemuan dalam program khidmat masyarakat dengan wakil mereka, kata pertubuhan hak asasi Amerika Syarikat (AS), semalam.

Kesatuan Kebebasan Hak Sivil Amerika (ACLU) dalam satu laporan berkata, FBI melangkaui bidang kuasanya dan melanggar kepercayaan kumpulan itu yang bersetuju untuk bertemu pegawai penguatkuasa undang-undang.

Laporan itu dikeluarkan berdasarkan dokumen kerajaan yang didapati melalui Akta Kebebasan Maklumat.

''FBI telah melanggar undang-undang dengan menggunakan program khidmat masyarakat untuk secara rahsia mengumpul dan menyimpan maklumat mengenai aktiviti pertubuhan komuniti, bagi tujuan perisikan,'' kata pertubuhan hak asasi itu.

Seorang bekas ejen FBI yang kini bekerja di ACLU, Michael German berkata, menggunakan kaedah itu untuk mengintip hanya membawa kepada masalah.

''Kepercayaan terhadap usaha khidmat masyarakat itu akan gagal apabila FBI mengeksploitasi program seperti ini untuk mengumpul maklumat perisikan anggota keagamaan dan komuniti dalam pertemuan berkenaan.

''FBI sepatutnya jujur dengan pertubuhan komuniti mengenai apakah maklumat yang mereka kumpul dalam pertemuan terbabit dan membuang sebarang maklumat terkumpul yang tidak berkaitan,'' ujarnya.

ACLU berkata, antara contoh maklumat yang dikumpul termasuk pendapat, maklumat persatuan dan hubungan peserta jamuan Ramadan pada 2007 dan 2008 dalam program khidmat masyarakat anjuran masjid San Francisco.

''Pada 2009, FBI di San Jose, California, mengumpul maklumat pendapat dan latar belakang tiga pemimpin dan anggota komuniti ketika satu program kerjaya,'' ujar ACLU. - AFP

Full content generated by Get Full RSS.

Askar Syria bunuh 23 lagi orang awam

Posted:

Askar Syria bunuh 23 lagi orang awam

Askar Syria bunuh 23 lagi orang awam


Gambar yang dikeluarkan oleh agensi berita SANA merakamkan penunjuk perasaan mengibarkan bendera kebangsaan Syria dan potret Presiden Syria, Bashar al-Assad ketika mengadakan tunjuk perasaan menyokong rejim Assad di Pelabuhan Tartus, 240 kilometer ke barat laut Damsyik pada 30 November lalu, beberapa jam sebelum majlis hak asasi PBB mengadakan sidang khas berhubung situasi di Syria atas permintaan Kesatuan Eropah. - AFP


BEIRUT 2 Dis. - Tentera Syria semalam membunuh sekurang-kurangnya 23 orang di beberapa kawasan berdekatan Hama dan Homs, ketika Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan baru ke atas rejim Presiden, Bashar al-Assad.

Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berkata, 15 orang awam dibunuh askar Syria di bandar al-Tremeesa berdekatan Hama.

''Dua orang awam lagi dibunuh di Homs,'' kata badan hak asasi yang berpangkalan di London itu.

Aktivis Syria yang berpangkalan di Lebanon berkata, enam orang awam dibunuh di Tel Kalah selepas askar Syria yang menggunakan kereta kebal memasuki sebuah kampung di sempadan bandar itu.

Di Brussels, EU mengharamkan pembelian bon Syria, penjualan perisian pemantauan kepada kerajaan Syria dan mengeluarkan kadar faedah dan insurans rendah.

Pertubuhan itu juga menghalang syarikat-syarikat EU terlibat dalam projek minyak atau tenaga di Syria.

Blok EU mengharamkan institusi peminjam Syria membuka cawangan di EU dan mengharamkan bank Eropah mengadakan kerjasama dengan institusi kewangan Syria.

EU juga mengenakan larangan perjalanan kepada 12 orang dan 11 entiti di Syria.

Sebagai maklum balas kepada sekatan terbaru itu, Syria mengumumkan pengunduran dari Kesatuan Mediterranean yang ditubuhkan pada 2008 untuk meningkatkan kerjasama antara Eropah, Asia Barat dan Afrika Utara. - dpa

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved