Jumaat, 2 Disember 2011

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Pemandu lori tipu pelajar IPT

Posted:

Pemandu lori tipu pelajar IPT

Pemandu lori tipu pelajar IPT

Oleh HAMDAN TAWADI
utusanjohor@utusan.com.my

BATU PAHAT 1 Dis. – Pemandu lori berjaya menipu penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan guru adalah sebahagian kes jenayah siber terbaru di daerah ini yang terpedaya dengan tawaran jualan murah barangan menerusi Internet.

Tergoda dengan tawaran seperti jualan topi keledar jenama 'Arai' berharga RM800 sedangkan harga pasaran sebenarnya RM1,200 ke atas, mangsa tanpa berfikir panjang menyerahkan wang tetapi akhirnya kecewa apabila barang dipesan tidak muncul.

Menurut statistik polis, sejak awal tahun sehingga 27 November lalu, sebanyak 38 kes penipuan jual beli menerusi Internet dilaporkan di daerah ini dengan jumlah kerugian sebanyak RM56,170.

Daripada keseluruhan kes itu, majoriti mangsa membabitkan pelajar dan penuntut IPT iaitu seramai 18 orang, lain-lain (17) dan guru (3).

Daripada 38 kes dilaporkan itu, majoriti mangsa terdiri daripada kaum Melayu iaitu seramai 30 orang dan daripada segi jantina, kebanyakan mangsa adalah golongan lelaki.

Antara barangan yang ditipu untuk dijual kepada mangsa adalah telefon bimbit sebanyak sembilan unit, telefon pintar jenis IPhone 4 (9), lain-lain (9), kamera (6), komputer serta komputer riba (5), topi keledar jenama Arai (3).

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, pihaknya berjaya menahan seorang pemandu lori berhubung kes penipuan tersebut pada tahun ini tetapi enggan mendedahkan maklumat lanjut mengenainya.

Bagaimanapun, pihaknya yakin, bukan semua kes penipuan di daerah ini melibatkan lelaki itu tetapi wujud suspek-suspek lain dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau memberitahu, suspek dikesan mengiklankan barangan yang ditawarkan di laman-laman Internet seperti www.facebook.com, www.mudah.com.my, www.lowyat.com, www.e-bay.com, www.lowyat.net dan jbtalk.cc.

Katanya, suspek meletakkan nombor telefon untuk dihubungi pelanggan tetapi nombor tersebut tidak didaftarkan di atas namanya sebaliknya nama warga asing bagi mengelak dikesan pihak polis.

"Sehubungan itu orang ramai diminta berhati-hati dalam urusan jual beli di Internet terutamanya jika harga ditawarkan terlalu murah," katanya lagi.

Full content generated by Get Full RSS.

Kenang jasa, pengorbanan perajurit

Posted:

Kenang jasa, pengorbanan perajurit

Kenang jasa, pengorbanan perajurit

Oleh KAMIL MASLIH
utusanjohor@utusan.com.my


ZULKIFLEE Mazlan (dua dari kanan) menerima replika cek daripada Amran Abdul Rahman di Muar, Johor, kelmarin. – UTUSAN/ISHAK RAHMAD


MUAR 1 Dis. – Matlamat utama kutipan Rayuan Hari Pahlawan bukan untuk mengejar dana yang besar, sebaliknya memberi kesedaran kepada masyarakat terutamanya generasi muda mengenai pengorbanan para perajurit dalam memberi nikmat keamanan negara.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan berkata, secara keseluruhan, pihaknya berpuas hati dengan sambutan yang diberikan terhadap kutipan Rayuan Hari Pahlawan, namun masih terdapat pelbagai ruang untuk diperbaiki.

"Wang tidak begitu mustahak tetapi kesedaran menghargai jasa pahlawan yang penting. Kita takut generasi baru tidak menghargai sumbangan yang telah diberikan oleh pahlawan ini. Buat masa ini, sumbangan yang besar datang daripada syarikat-syarikat korporat.

"Bayangkan kalau setiap 28 juta rakyat Malaysia menderma seorang seringgit, dengan mudahnya kita mendapat RM28 juta," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Kutipan Rayuan Hari Pahlawan 2011 peringkat daerah Muar di Hotel Sri Pelangi, di sini semalam.

Pada majlis tersebut, Penaung Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) cawangan Muar yang juga Pegawai Daerah Muar, Amran A. Rahman menyerahkan kutipan daerah sebanyak RM15,222.20 kepada Zulkiflee. Hadir sama, Ketua PBTM cawangan Muar, Shamsuddin Rais.

Dalam majlis yang sama, sumbangan kebajikan turut diserahkan kepada dua veteran ATM yang cedera dalam operasi, dua balu veteran, empat warga emas veteran, bantuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) kepada empat anak veteran di samping bantuan keusahawan sebuah mesin pemprosesan mi kepada seorang veteran.

Zulkiflee pada majlis itu turut menyempurnakan penyampaian Pingat Jasa Malaysia kepada 12 orang veteran ATM dari daerah Muar.

Jelas Zulkiflee, kutipan Rayuan Hari Pahlawan pada tahun lalu berjaya mencatatkan jumlah sebanyak RM6.1 juta dan buat tahun ini, pihaknya menyasarkan sebanyak RM10 juta.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Guna laluan alternatif

Posted:

Guna laluan alternatif

Guna laluan alternatif

Oleh MOHD. ANUAR SULAIMAN
utusanperak@utusan.com.my


MOHD. Elham Abd. Kasim meninjau kawasan tanah runtuh di Kilometer 3, Seri Iskandar-Parit, Perak, semalam.


PARIT 1 Dis. – Pengguna di laluan Seri Iskandar-Parit diminta menggunakan laluan alternatif Bota-Parit atau Si Puteh-Parit, berikutan kerja-kerja pembaikan jalan di Kilometer 3, Seri Iskandar-Parit akibat kejadian tanah runtuh, hari ini.

Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Perak Tengah, Mohd. Elham Abd. Kasim berkata, penutupan itu dilakukan bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dilakukan secepat segera.

Katanya, kejadian tanah runtuh berlaku dua kali iaitu kira-kira pukul 10.45 pagi dan pukul 12.15 tengah hari.

Menurutnya, kejadian yang melibatkan runtuhan tanah setinggi kira-kira 50 meter itu menutup sebahagian besar jalan tersebut.

"Beberapa batang balak didapati condong ke arah jalan dan kerja-kerja pemotongan balak terpaksa dilakukan sebelum laluan terbabit boleh dibuka semula.

"Kita menutup jalan ini kerana khuatir balak yang condong itu boleh mengancam nyawa pengguna jalan itu," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd. Elham berkata, kejadian tanah runtuh itu berlaku secara tiba-tiba dan berkemungkinan berpunca daripada hujan lebat sejak beberapa minggu lalu dan bukan berpunca daripada kegiatan pembalakan.

Tegasnya, kawasan terlibat juga menempatkan loji takungan air bagi seluruh Perak Tengah, dan tindakan segera diambil bagi memastikan lebih 20,000 penduduk tidak terputus bekalan air jika loji tersebut turut runtuh.

Full content generated by Get Full RSS.

Suami isteri warga emas dirompak dua lelaki bersenjatakan pisau

Posted:

Suami isteri warga emas dirompak dua lelaki bersenjatakan pisau

Suami isteri warga emas dirompak dua lelaki bersenjatakan pisau

PULAU PINANG 1 Dis. - Sepasang suami isteri warga emas melalui detik-detik mencemaskan apabila banglo yang mereka diami dipecah masuk oleh dua penjenayah di Solok Cantonment di sini, malam tadi.

Ketika kejadian kira-kira pukul 8 malam, pasangan itu bersama seorang cucu mereka baru pulang ke rumah apabila dua lelaki tiba-tiba meluru memasuki pintu pagar automatik yang masih terbuka.

Salah seorang daripada suspek yang bersenjatakan pisau menuju ke arah pasangan itu lalu merampas beg tangan yang mengandungi barangan berharga.

Rakannya pula masuk ke dalam rumah dan mengambil barang bernilai seperti barang kemas, jam berjenama, komputer, telefon bimbit dan wang tunai.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supritendan Ahmad Bakhtiar Kassim berkata, mangsa tidak dapat mengecam kedua-dua perompak kerana panik dan keadaan gelap ketika kejadian.

Katanya, banglo tersebut juga tidak memasang kamera litar tertutup (CCTV).

"Berdasarkan maklumat daripada mangsa, kedua-dua perompak bersaiz sederhana dan berusia dalam lingkungan 30-an.

"Difahamkan, penjenayah menaiki motosikal ketika melakukan jenayah itu," katanya di sini, hari ini.

Kerugian yang dialami mangsa dianggarkan RM10,000.

Full content generated by Get Full RSS.

Unimaju Fly tawar pakej kesihatan di Perak

Posted:

Unimaju Fly tawar pakej kesihatan di Perak

Unimaju Fly tawar pakej kesihatan di Perak


ROSHIDI Hashim (enam dari kanan) bersama Pengarah Urusan Unimaju Fly, Habidi Zain menunjukkan isyarat bagus pada majlis pelancaran penerbangan Subang-Ipoh-Medan di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh, semalam.


IPOH 1 Dis. - Syarikat pengurusan penerbangan tempatan, Unimaju Fly Travel & Tours Sdn. Bhd. (Unimaju Fly) akan menawarkan pakej pelancongan kesihatan eksklusif kepada rakyat Indonesia yang mahu mendapatkan rawatan kesihatan di negeri ini.

Pengarah Urusannya, Habidi Zain berkata, pakej yang akan dilancar selewat-lewatnya Mac tahun depan itu melibatkan penerbangan khas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Polonia di Medan ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh.

Katanya, pakej yang masih dalam peringkat perbincangan itu melibatkan sewaan pesawat khas dengan kadar berpatutan kepada pesakit dan keluarga.

"Pusat perubatan di negeri ini menjadi pilihan rakyat Indonesia terutama dari Medan kerana menawarkan perkhidmatan bermutu tinggi dan bayaran lebih murah berbanding negara lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran penerbangan sulung tiga hala Subang-Ipoh-Medan oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim di LTSAS di sini, hari ini.

Habidi berkata, pihaknya kini sedang berbincang dengan wakil-wakil pusat perubatan di bandar ini bagi mendapatkan terma dan peraturan untuk membawa pesakit dari republik itu ke Ipoh.

"Secara purata, rakyat Indonesia membelanjakan jutaan ringgit untuk mendapatkan rawatan kesihatan di sini setiap tahun.

"Oleh itu, dengan adanya penerbangan khas pada kadar berpatutan ini, ia secara tidak langsung meningkatkan kadar pelancongan selain membantu sektor perubatan di negeri ini," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai penerbangan sulung Subang-Ipoh-Medan menggunakan pesawat ATR 72 milik Firefly itu, Habidi berkata, buat permulaan pihaknya menawarkan jadual penerbangan tiga kali seminggu iaitu Selasa, Khamis dan Ahad.

"Permintaan terhadap penerbangan terus Ipoh-Medan sangat menggalakkan dan Unimaju Fly berharap peluang ini direbut oleh semua pihak sama ada untuk berkunjung ke Medan atau rakyat republik itu melancong ke Perak.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Najib perkenal buku

Posted:

Najib perkenal buku <i>Menjuarai Transformasi</i>

Najib perkenal buku Menjuarai Transformasi


NAJIB Tun Razak bersama Shahruddin Salleh (kiri) dan Mohd. Khair Ngadiron menunjukkan buku Menjuarai Transformasi pada pelancaran buku tersebut sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 1 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi menemui khalayak pembaca dengan memperkenalkan buku terbaharu Menjuarai Transformasi menampilkan prinsip kekuatan yang menjadi titik-tolak kejayaan negara berlandaskan perpaduan nasional, kemakmuran dan keadilan sosial.

Buku terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) itu diperkenalkan kepada umum oleh Perdana Menteri sejurus beliau menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut, Pengerusi Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Datuk Dr. Shahruddin Salleh dan Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif ITNM, Mohd. Khair Ngadiron.

Buku diterbitkan dalam dwibahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris itu mengandungi 11 bab yang turut menyentuh tentang proses melestarikan kelangsungan kepimpinan UMNO di persada politik tanah air.

Dalam empat bab awal yang menjadi teras buku tersebut, Perdana Menteri melontarkan wawasannya dan cara mengangkat bangsa Malaysia khususnya orang Melayu dalam membentuk mekanisme siasah sebagai alat memupuk perpaduan.

Sehubungan itu, beliau berpegang pada tiga prinsip utama iaitu kesatuan Melayu sebagai teras perpaduan nasional; Islam sebagai addin dan kemakmuran negara sebagai tonggak keadilan sosial.

Pada bab seterusnya, Najib menerangkan secara jelas kepentingan mekanisme lain dalam usaha kerajaan pimpinannya memastikan kestabilan perpaduan nasional.

Dalam buku itu, beliau mengajak para pembaca tanpa mengira latar belakang politik dan keturunan untuk berani melaksanakan perubahan serta transformasi yang bersesuaian mengikut keperluan semasa demi mengukuhkan kekuatan negara dan bangsa terutama orang Melayu.

Buku Menjuarai Transformasi itu merupakan karya keempat Najib selepas buku Menakhoda Zaman, Jawapan Najib dan Perkhidmatan Awam: Meneraju Perubahan, Melangkau Jangkaan.

Apa yang menarik buku tersebut menggunakan sepenuhnya bahan mesra alam dan semula jadi selain diterbitkan secara ekocetak, sekali gus melayakkannya menjadi buku pertama di negara ini yang mendapat pengiktirafan SIRIM QAS International Eco-Labelling Scheme.

Buku setebal 158 halaman dijual pada harga RM32 senaskhah dan sempena Perhimpunan Agung UMNO kali ini, orang ramai boleh mendapatkannya dengan harga diskaun sebanyak 30 peratus di gerai jualan ITNM di Aras 3, PWTC di sini.

Full content generated by Get Full RSS.

NFC: Tiada unsur pecah amanah

Posted:

NFC: Tiada unsur pecah amanah

NFC: Tiada unsur pecah amanah

Oleh ASSIM HASSAN
pengarang@utusan.com.my


Khalid Abu Bakar (kiri) dan Zulkifli Zainal Abidin (dua dari kiri) melepaskan kenderaan peronda pada pelancaran Rondaan Bersama PDRM-ATM di bawah program Strategi Gelombang Biru Kebangsaan di Sungai Buloh, semalam.


KUALA LUMPUR 1 Dis. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan siasatan terhadap kes Pusat Fidlot Nasional (NFC) dan pembelian kondominium mewah di One Menerung, Bangsar yang dikaitkan dengan keluarga seorang menteri Kabinet setakat ini tidak menemui sebarang unsur pecah amanah atau penyelewengan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya juga sudah merakamkan percakapan lebih 74 individu termasuk suami dan anak kepada menteri Kabinet itu bagi membantu siasatan kes tersebut.

Beliau memberitahu, pihak polis dari semasa ke semasa, menemui bukti atau maklumat terbaru berhubung isu tersebut dan akan terus menyiasat kes berkenaan.

"Masih ada individu yang akan kita rakam percakapan mereka dan siasatan kes ini masih berjalan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Rondaan Bersama PDRM-Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah program Strategi Gelombang Biru Kebangsaan di Sungai Buloh di sini, hari ini.

Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Salleh Md. Rashid dan Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Robert Phang.

Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya diikuti dakwaan pembangkang wujud penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta kepada NFC, yang mana suami Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail menjadi Pengerusi Eksekutifnya.

Tambah Khalid, pihaknya akan memanggil Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk dirakam percakapan sekiranya diperlukan bagi membantu polis dalam siasatan isu NFC itu.

Beliau berkata, orang ramai diminta memberi ruang dan masa kepada polis menjalankan siasatan menyeluruh dan telus berhubung isu tersebut.

"Jika ada keperluan untuk memanggil beliau (Shahrizat), kita akan panggil untuk membantu siasatan. Tapi buat masa ini, tiada keperluan untuk merakam percakapan beliau.

"Ada macam-macam maklumat dan bukti baru yang kita terima dan siasatan kita akan berlandaskan kepada bahan-bahan bukti ini," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 yang diluluskan Dewan Rakyat Selasa lalu, Khalid menjelaskan, PDRM menyambut baik perubahan itu yang bermatlamat membenarkan orang ramai berhimpun secara aman dan tanpa senjata.

Katanya, beliau merasakan akta baru itu merupakan satu anjakan paradigma yang besar kerana kuasa itu bukan diberikan kepada polis tetapi orang ramai bebas mengadakan perhimpunan dengan syarat ia bukan demonstrasi jalanan.

"Bagaimanapun, kita sentiasa berjaga-jaga dan memantau setiap perkara itu bagi memastikan keadaan keselamatan dan keamanan terjamin," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Ibu PM lancar buku terbitan Yadim

Posted:

Ibu PM lancar buku terbitan Yadim

Ibu PM lancar buku terbitan Yadim

KUALA LUMPUR 1 Dis. - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) hari ini melancarkan buku berjudul Membumikan Erti Kasih Sayang karya Yang Dipertuanya, Datuk Aziz Jamaludin Mhd. Tahir.

Buku setebal 550 halaman itu merupakan kompilasi 97 rencana yang pernah disiarkan Utusan Malaysia dan dijual pada harga RM21 dengan RM1 akan disumbangkan kepada Rumah Anak Yatim Al-Taqwa, Sungai Semungkis, Hulu Langat.

Aziz berkata, beliau melihat setiap kejadian yang menimpa manusia sebagai sesuatu yang signifikan dengan sikap dingin terhadap nilai kasih sayang.

"Dalam mempraktikkan nilai tersebut, kita tidak memerlukan sokongan kebendaan kerana kasih sayang itu wujud secara semula jadi dalam diri. Sehubungan itu, kandungan buku ini cuba memberikan pandangan bagaimana kasih sayang yang tepat, sesuai dan berkesan dalam mewujudkan sebuah kehidupan yang baik," katanya ketika berucap pada pelancaran buku itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Katanya, buku itu juga merupakan pengamatannya terhadap isu-isu politik, sosial dan ekonomi yang memberi kesan kepada umat Islam di Malaysia, Indonesia, Kemboja, Myanmar dan Thailand.

Lebih bermakna bagi Aziz Jamaludin, buku itu dilancarkan oleh ibu Perdana Menteri, Tun Dr. Rahah Mohd. Noah.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.

Pada majlis itu juga, sebanyak 250 naskah telah dibeli oleh tiga individu perseorangan sebagai tanda sokongan kepada usaha Aziz Jamaludin.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan maklumat mengenai buku itu boleh menghubungi Yadim di talian 03-40437826 atau 03-40437815.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Program memberus gigi terbesar

Posted:

Program memberus gigi terbesar

Program memberus gigi terbesar

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my


Sebahagian daripada 1,000 orang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat gembira selepas berjaya menempa nama dalam Malaysia Book of Records menerusi penganjuran program memberus gigi terbesar di Tiara Beach Resort, Port Dickson, baru-baru ini.


TELOK KEMANG 1 Dis. – Tiara Beach Resort, Port Dickson di sini berjaya menempa nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penganjuran program memberus gigi terbesar di negara ini baru-baru ini.

Karnival yang mendapat pengiktirafan MBOR itu menyaksikan lebih 1,000 orang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat berkumpul bagi menjayakan program yang diadakan di pekarangan hotel berkenaan.

Pengarah Eksekutif Tiara Beach Resort, Kelvin Cheong berkata, selain mencipta rekod, program tersebut juga bertujuan bagi memupuk serta mendidik masyarakat berhubung kepentingan aspek penjagaan gigi dan mulut.

''Saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada peserta untuk menjayakan usaha mencipta rekod penyertaan memberus gigi teramai di dalam satu masa ini.

''Program ini juga merupakan landsan terbaik bagi peserta untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan serta masyarakat antara satu sama lain," katanya di sini baru-baru ini.

Full content generated by Get Full RSS.

DUN Ayer Keroh anjur khatan beramai-ramai

Posted:

DUN Ayer Keroh anjur khatan beramai-ramai

DUN Ayer Keroh anjur khatan beramai-ramai


Seramai 35 kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun dari sekitar kawasan DUN Ayer Keroh terpilih menyertai acara khatan beramai-ramai anjuran Penyelaras Wanita UMNO DUN Ayer Keroh di Kompleks Japerun Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.


MELAKA 1 Dis. - Seramai 35 kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun menyertai program khatan beramai-ramai anjuran Wanita UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, baru-baru ini.

Program yang berlangsung di Kompleks Japerun Ayer Keroh dirasmikan Ahli Parlimen Bukit Katil, Datuk Md. Sirat Abu.

Pengerusi Penyelaras Wanita UMNO DUN Ayer Keroh, Siti Rofeah Yaakub berkata, selain memanfaatkan cuti sekolah, program tersebut turut menjimatkan belanja ibu bapa.

''Ia juga merapatkan silaturahim di kalangan penduduk setempat,'' katanya.

Beliau menambah program itu perlu dijadikan acara tahunan kerana ia memberi manfaat kepada masyarakat.

''Acara khatan beramai-ramai sekarang ini boleh dianggap budaya tradisi kerana selain menjimat masa dan tenaga, ia juga merapatkan hubungan sesama anggota masyarakat," katanya.

Siti Rofeah berkata, acara yang dijalankan itu merupakan sebahagian daripada program turun padang yang digerakkan Penyelaras Wanita UMNO DUN Ayer Keroh.

Katanya, program tersebut mendapat kerjasama Jabatan Kesihatan negeri yang menghantar empat kakitangan bagi mengendalikan acara berkhatan tersebut.

Turut terlibat, Pasukan Bomba Sukarelawan Ayer Keroh yang membawa sebuah jentera bomba bagi aktiviti menyiram kanak-kanak sebelum khatan bermula.

Full content generated by Get Full RSS.

Peluang rasa keropok kulit lembu, kerbau

Posted:

Peluang rasa keropok kulit lembu, kerbau

Peluang rasa keropok kulit lembu, kerbau

MELAKA 1 Dis. - Orang ramai berpeluang menikmati makanan daripada kulit kerbau dan lembu yang dijadikan keropok pada Karnival Industri Asas Ternakan 2011 yang akan diadakan di perkarangan letak kereta Mydin Ayer Keroh bermula esok hingga Ahad ini.

Pengarah Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr. Noraini Ab. Rahman berkata, selain keunikan kulit kerbau dan lembu untuk dijadikan makanan, orang ramai juga berpeluang menikmati pelbagai jenis makanan berasaskan ternakan lain seperti arnab, kambing, itik dan burung walet.

Menurutnya, sebanyak 17 buah gerai yang mempromosikan pelbagai masakan berasaskan binatang ternakan akan menyertai karnival berlangsung selama tiga hari itu.

''Tujuan karnival ini dianjurkan adalah untuk mempromosikan makanan berasaskan binatang ternakan yang diusahakan usahawan tempatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, karnival anjuran Perkhidmatan Veterinar negeri itu akan turut membuat demonstrasi membuat telur masin, aiskrim, keropok kulit lembu, promosi makan daging arnab dan kambing panggang.

Selain itu katanya, demonstrasi masakan daging arnab, itik, kambing dan kerbau akan turut diadakan pada karnival itu nanti.

''Di samping itu, orang ramai berpeluang menyertai pertandingan memasak daging itik dan arnab," ujarnya.

Katanya, turut dipamerkan ialah pelbagai bentuk kasut lelaki dan wanita yang dibuat daripada kulit lembu dan kambing.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Sedia hadapi PRU13 – Najib

Posted:

Sedia hadapi PRU13 – Najib

Sedia hadapi PRU13 – Najib


NAJIB Tun Razak bersama-sama para perwakilan UMNO mengibar Jalur Gemilang sambil menyanyikan lagu 1Malaysia sebelum menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-62 2011 di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/Izham Jaafar


KUALA LUMPUR 1 Dis. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meniupkan semboyan kepada seluruh ahli dan kepimpinan UMNO dengan menegaskan masa dan waktunya sudah tiba untuk mereka turun bertempur di gelanggang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Mengungkapkan demikian pada akhir Ucapan Dasar Presiden di sini, Presiden UMNO berkata, dalam sistem demokrasi, tidak ada tempat kedua sebaliknya UMNO wajib menjadi juara.

Menurut beliau, biar berdepan apa pun dugaan, orang UMNO mesti terus berdamping dengan rakyat.

"Ayuh, rapatkan saf, nyalakan jamung, gigitlah kuat-kuat perjuangan ini dengan geraham kita.

"Palulah genderang perang, palulah ia tabuh-tabuhan dan tiupkanlah semboyan. Masanya sudah hampir, waktunya sudah tiba. Bingkaslah orang-orang UMNO, kita turun ke medan bakti," kata beliau.

Dalam ucapan selama sejam itu, Najib berkata, parti akan menempah tragedi jika ia masih gagal memahami dan menghayati faktor-faktor yang menjadi 'game changer' atau peneraju cara baru kepada landskap politik nasional.

Pada masa sama, parti berdepan risiko jika tidak pula mengambil langkah merangka semula gerakan terancang.

"Apakah yang dimaksudkan dengan game changer ini? Pertamanya ialah realiti baru. Jika UMNO tidak memahami realiti baru lanskap politik nasional, bagaimana UMNO dan BN mahu berjaya?

"Keduanya, media baru. Mahu tidak mahu, suka tidak suka, UMNO harus menguasai media baru kerana hari ini, detik ini, ia mampu menentukan kemenangan atau kekalahan.

"Ia berupaya mendatarkan "the playing field" atau ia turut boleh menjadikan satu pertarungan itu tidak setara," kata beliau.

Memenuhi maksud dan menjiwai realiti baru juga, kata beliau, UMNO tidak boleh hanya sekadar hebat bertempur dalam pertarungan lalu.

"Kita semestinya juga menjadi juara dalam berperang di medan laga terkini," katanya.

Ketiga, kata Najib, UMNO juga harus menghayati pemikiran baru yang ada di kalangan semua segmen pengundi bagi menarik sokongan mereka.

Kata beliau: "UMNO tidak boleh bersikap atau sekalipun dilihat sebagai bersikap angkuh lagi sombong. Jika tidak, para pengundi dan rakyat akan benci dan menjauhi kita."

Beliau mengingatkan bahawa jasa UMNO yang memberi kemakmuran kepada rakyat negara ini seolah-olah hendak dipadam terus dari helaian sejarah oleh pembangkang.

"Mereka tanpa malu dan segan, gah mendakwa bahawa UMNO langsung tiada budi atas kehidupan mereka. Kalau benarlah begitu, siapakah yang mengubur Malayan Union? Siapa yang memenangi kemerdekaan secara aman? Kalau bukan parti bertuah ini.

"Mengatasi semua persoalan ini, kata orang, kalau mandi air di kali, jangan lupa pada siapa yang menggalinya. Kerana bukankah UMNO yang menjadi induk, mencipta kemakmuran?," katanya.

Kata Presiden UMNO: "Ini tidak, belum lagi berkuasa, sudah ibarat kaduk naik junjung. Ibarat lidah tidak bertulang, katanya mahu membuang separuh dari penjawat awam kalau sudah berkuasa.

"Apa maksud mereka mahu membuang lebih 200 ribu orang guru? Siapa yang mahu mengajar anak-anak kita? Bukan semua yang mampu menghantar anak ke sekolah-sekolah swasta."

Tidak cukup dengan itu, kata beliau, pembangkang juga mahu menamatkan khidmat separuh doktor dan jururawat sedangkan tidak semua rakyat Malaysia mampu mendapatkan rawatan di hospital-hospital swasta.

"Mahu diberhentikan separuh tentera dan polis? Lalu, pada siapa hendak diharap untuk membenteng keselamatan kita dan keluarga?," katanya.

Kata beliau: "Inilah nasib yang akan melanda, jika UMNO sudah hilang kuasa, siapa yang akan membela syiar Islam? Siapa yang mampu membela hak umat dan agenda orang Melayu? Siapa pula yang dapat terus memuliakan Raja-Raja kita? Tepuklah dada, tanyalah jawapan."

Full content generated by Get Full RSS.

UMNO mendakap demokrasi, bukan rasis

Posted:

UMNO mendakap demokrasi, bukan rasis

UMNO mendakap demokrasi, bukan rasis

KUALA LUMPUR 1 Dis. - Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, UMNO bukan sebuah pertubuhan rasis sebaliknya sebuah parti yang mendakap demokrasi.

Malah UMNO tegas beliau, sebenarnya pencetus serta perintis kepada semangat tolak ansur antara kaum yang akhirnya berjaya mencipta kestabilan sosial dan kemakmuran nasional.

Parti itu juga menurut Najib, bukan parti yang gentar terhadap demokrasi sebagaimana dituduh oleh seteru-seteru politik mereka.

''Iltizam UMNO bagi menjayakan prinsip yang dipelopori jelas terpamer sejak dari awal lagi. Sebagai contoh, dalam pilihan raya tahun 1955, untuk memilih 51 daripada 52 ahli Majlis Perundangan Persekutuan.

''Prinsip perkongsian kuasa telah dipraktikkan UMNO apabila kita meletakkan calon di hanya 35 kawasan, berbanding MCA, 15, dan MIC, 2. Walhal, daripada 52 kerusi yang dipertandingkan, 50 adalah kawasan majoriti,'' tegas beliau ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 di sini hari ini.

Bagi pemimpin dan orang-orang UMNO kata Najib, demi mencapai perpaduan antara parti-parti komponen Perikatan, mereka harus menunjukkan keikhlasan berkongsi kuasa.

Keikhlasan itu kata Perdana Menteri, dimanifestasikan dalam bentuk kerelaan memberi kerusi majoriti Melayu kepada parti-parti komponen untuk ditandingi.

''Tidak terhenti setakat itu sahaja, ia diikuti pula dengan kesanggupan orang-orang UMNO untuk mengundi calon bukan daripada bangsa mereka sendiri, demi matlamat lebih besar, yakni memenangi pilihan raya, kemudiannya, membentuk kerajaan, seterusnya mencapai kemerdekaan,'' katanya.

Najib berkata, dalam parti pula UMNO telah membesarkan francais pemilih bagi ahli-ahli Majlis Tertinggi.

Ia katanya, bertujuan memberi hak kepada lebih ramai ahli UMNO untuk memilih pemimpin mereka.

Sambil mengambil contoh tiga parti pembangkang utama, Najib menegaskan parti-parti itu tidak demokratik.

Antaranya kata beliau, jawatan Ketua Umum, sudahlah tidak dipilih secara demokratik, lebih berkuasa pula daripada Presiden parti manakala sebuah lagi parti yang memakai gelar demokrasi, namun, langsung tidak demokratik.

''Sebuah lagi parti kononnya memperjuangkan negara kebajikan tetapi jawatan Mursyidul Am pun tidak diundi secara demokratik, tetapi ternyata lebih berkuasa daripada Presiden,'' tegasnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Ambil peringatan mesej Presiden

Posted:

Ambil peringatan mesej Presiden

Ambil peringatan mesej Presiden


NAJIB Tun Razak dan Muhyiddin Yassin ketawa mendengar perbahasan daripada wakil Sabah, Datuk Seri Mohd. Salleh Tun Said ketika Perhimpunan Agung UMNO 2011 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. – BERNAMA


KUALA LUMPUR 1 Dis. – Ucapan dasar Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 merupakan peringatan kepada setiap ahli supaya mempersiapkan minda dan kekuatan bagi menghadapi pilihan raya.

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia termasuk mesej Najib mengenai perbezaan antara menjadi ahli UMNO dengan orang UMNO yang menuntut kepada kesediaan untuk berjuang dan berkorban demi parti.

''Presiden tekankan yang penting kita harus jadi orang UMNO dengan nilai dan sifat yang baik serta memahami dan mengetahui erti perjuangan. Ini ditegaskan supaya kita mengamalkan sikap setia kepada parti, menghormati kepada pimpinan dan bertanggungjawab.

''Ini supaya kita bukan sahaja jadi ahli tetapi yang penting jadi orang UMNO yang sebati dengan perjuangan. Sebab itu, kita harus anggap ini satu peringatan daripada Presiden,'' katanya pada sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, 10 Game Changer yang digariskan Najib mempunyai banyak signifikan kepada perjuangan orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, ini seharusnya diberi perhatian oleh seluruh ahli UMNO terutamanya yang menyentuh generasi muda dan perubahan dari segi kerangka pemikiran rakyat sekarang.

''Beliau telah beri amaran kalau kita tidak insafi akan perubahan ini, UMNO akan berhadapan satu situasi yang amat mencabar sekali. Ini kenyataan yang bagi saya amat perlu kita beri perhatian,'' jelasnya.

Tambah Muhyiddin, ucapan Najib itu juga amat padat dengan mesej kepada seluruh rakyat jelata yang memperlihatkan komitmen beliau untuk membawa Malaysia kepada masa depan lebih hebat.

''Saya ucapkan tahniah kepada Presiden kerana menyampaikan ucapan yang penuh inspirasi, jelas dan tegas. Yang ini tentulah dianggap antara ucapan terbaik Presiden dalam mana-mana perhimpunan,'' jelasnya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Timur

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Transformasi pusat mendarat ikan

Posted:

Transformasi pusat mendarat ikan

Transformasi pusat mendarat ikan

Oleh TOREK SULONG
utusankelantan@utsuan.com.my


Limbongan dan terminal pendaratan ikan bot laut dalam di Tok Bali terletak berhampiran dengan pasar raya 1Malaysia. – Utusan/Torek Sulong


PASIR PUTEH 1 Dis. – Kemasyhuran Tok Bali di sini sebagai kawasan pendaratan ikan terkenal di negeri ini didakwa sekadar indah khabar dari rupa oleh sebilangan besar pelancong asing yang berkunjung kerana tidak ada mercu tanda yang boleh dibanggakan.

Sepanjang tahun beratus bas persiaran akan membawa pelancong asing ke Tok Bali, namun gagal mencari di mana sebenarnya lokasi yang menarik atau menyaksikan pembangunan yang ada di Tok Bali. Sekadar replika bot laut dalam dan sebuah kapal layar di pesisir pantainya pasti mengundang kehampaan.

Kini nama Tok Bali kian pudar dan tidak lagi tersohor apabila harga ikan segar yang dipasarkan di pangkalan berdekatan setanding harga ikan yang dijual di Pasar Besar Pasir Puteh malah lebih mahal berbanding hasil laut yang dijaja atau dijual di tepi jalan raya.

Dalam usaha merubah situasi yang semakin mengecewakan itu, sebuah syarikat Era Pertiwi Sdn. Bhd. (Era Pertiwi) bercadang melakukan transformasi pusat pendaratan ikan di sana dengan membangunkan lokasi seluas 1.38 hektar.

Projek agropelancongan dan perniagaan santai itu akan memanfaatkan aset sedia ada termasuk bangunan-bangunan yang dibina oleh Perbadanan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), limbungan kapal, jeti pendaratan ikan, pasar basah dan lain-lain akan dibangun dan dibaik pulih.

Pengarah Urusan Era Pertiwi, Mohd. Suhaimi Wan Naman ketika ditemui di sini berkata, pembangunan yang melibatkan pelaksanaan dalam Fasa I dan Fasa II dijangka menjadikan Tok Bali sebagai pintu pelancongan utama di Kelantan selain membangunkan sumber perikanan laut dalam yang akan mula beroperasi awal tahun depan.

Menurutnya, pembinaan kapal dan perniagaan kopitiam bertaraf lima bintang yang berkonsepkan teknologi komersial dari Vietnam akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat dan dijangka menggamit ramai pelancong ke kawasan berkenaan.

Tambahnya, syarikatnya mendapat kelulusan daripada PKINK untuk bertindak sebagai pengurus dan pemaju kawasan tersebut di samping memastikan pembangunan kawasan itu memberi peluang pekerjaan kepada sebilangan besar penduduk tempatan.

"Kita akan berusaha menjadikan bangunan pasar basah yang menjual sayuran dan hasil tangkapan ikan, gerai, surau, tempat rehat dan dua buah jeti pendaratan sebagai produk utama untuk menarik pelancong dari dalam dan luar negara berkunjung.

"Kawasan ini sememangnya berpotensi dibangunkan kerana pemandangan semula jadi dan pantai yang menarik. Terletak berhampiran jambatan dan terusan Sungai Semerak, lokasinya amat strategik sebagai destinasi persinggahan pelancong kerana rangkaian jalan yang menghubungkan daerah Besut, Terengganu dengan Bachok dan Lapangan Terbang Pengkalan Chepa," ujarnya.

Mohd. Suhaimi menambah, kawasan terbabit sebelum ini terbiar walaupun pernah dibangunkan dengan pelbagai kemudahan oleh pihak tertentu yang membabitkan kos sebanyak RM6 juta sejak lebih tujuh tahun lalu namun gagal menarik pelancong berkunjung.

Sehubungan itu, pihaknya akan mengubah persekitaran dan landskap sedia ada dari konsep medan selera kepada perniagaan kopitiam dengan melibatkan lapan pengusaha yang dikendalikan oleh chef berpengalaman untuk penyediaan pelbagai jenis minuman, makanan laut, masakan barat dan tempatan.

"Fokus utama ialah menampilkan konsep kopitiam dari bandar pelancongan Vantau, Vietnam. Sehubungan itu semua perkakasan, gelas dan pinggan mangkuk, hiasan lampu kristal dan resipi masakan akan dibawa masuk ke Tok Bali," katanya.

Selain masakan hasil tangkapan laut gerai-gerai ikan bakar katanya, barangan kraf tempatan, penyediaan jet ski, bot pelancongan ke Pulau Perhentian, pasar raya 1Malaysia juga akan diwujudkan selain merancang membina resort yang lengkap dengan kolam mandi untuk kemudahan pengunjung.

Suhaimi yang merupakan antara pengusaha bumiputera yang mengeksport hasil tangkapan laut ke beberapa negara Asia berkata, pihaknya juga akan menjadikan kawasan tersebut sebagai hab pengumpulan ikan terutama sotong kering sebelum mengeksportnya ke luar negara terutama ke Vietnam, Jepun dan Korea menerusi kapal kargo.

"Kami telah mengadakan perjanjian persefahaman (MOU) dengan rakan niaga dari negara berkenaan untuk membantu pemprosesan hasil tangkapan laut yang berkualiti sebelum di pasarkan ke negara lain," katanya.

Katanya, syarikatnya kini memiliki 17 bot laut dalam yang sedang beroperasi di perairan negara dengan anggaran kasar hasil pendaratan sebanyak 600 metrik tan ikan sebulan.

"Syarikat ini mempunyai RM20 juta aset dan yakin berkemampuan untuk memajukan kawasan Tok Bali termasuk mewujudkan industri membina bot laut dalam menggunakan papan yang disalut sepenuhnya dengan gentian fiber.

"Pengalaman saya bertahun-tahun berada di negara Vietnam yang lebih maju ke hadapan dalam bidang perikanan dan pelancongan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memajukan kawasan di sini," katanya.

Pengarah Operasi syarikat berkenaan, Zainal Idris berkata, sebuah pasar raya 1Malaysia yang akan beroperasi pada pertengahan Disember ini akan turut memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak nelayan setempat.

Beliau berkata, 30 peserta yang menjual ikan di pasar basah turut dikumpulkan semula bagi penyelarasan harga ikan yang lebih murah supaya mengembalikan semula kemasyhuran Tok Bali sebagai tempat membeli hasil laut segar dan murah berbanding kawasan lain.

Beberapa institusi kewangan tempatan pada dasarnya telah menyatakan persetujuan untuk meletakkan kemudahan Mesin Wang Automatik (ATM) selain penyediaan dua bangunan dibaik pulih bagi memudahkan pengunjung melakukan transaksi pembayaran secara automatik.

Seorang penduduk tempatan, Pa Dollah, 42, berkata landskap kawasan pendaratan ikan di kawasan berkenaan mula berubah dengan persekitaran yang bersih berbanding sebelumnya yang sering dipenuhi sampah-sarap dan belukar yang tidak terurus.

"Saya juga bersyukur kerana tidak perlu lagi turun ke laut untuk memukat ikan selepas menerima tawaran mengurus keselamatan dan keceriaan di kawasan berkenaan. Saya yakin kopitiam dalam taman yang dilaksanakan itu akan menarik lebih ramai pengunjung dan menghidupkan semula Tok Bali sebagai pekan perikanan yang maju setanding kawasan lain," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Hakisan hampiri tumpuan awam

Posted:

Hakisan hampiri tumpuan awam

Hakisan hampiri tumpuan awam

Oleh MOHD. ISWAN SHAFIQ MAT ISA
utusanterengganu@utusan.com.my


Pondok rehat semakin senget dan rosak akibat hakisan pantai di Kampung Kubang Badak, Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 1 Dis. - Penduduk di pinggir pantai di Kampung Kubang Badak dan Tok Jembal dekat sini bimbang keadaan hakisan yang berlaku pada musim tengkujuh ini.

Hakisan yang berlaku semakin menghampiri kemudahan awam mereka manakala keindahan kawasan sekitar yang menjadi tumpuan umum semakin lenyap.

Hakisan semakin ketara sejak seminggu lalu apabila empat buah pondok rehat di tepi pantai hampir tumbang dipukul ombak kuat.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, beberapa batang pokok termasuk kelapa juga tumbang sehingga menjejaskan pemandangan di kawasan tersebut.

Seorang penduduk, Muhammad Zafrie Osman, 34, berkata, kerja-kerja baik pulih dan penambakan kawasan pantai itu perlu disegerakan kerana ia merupakan kawasan tumpuan ramai terutamanya setiap kali hujung minggu.

"Sepatutnya, satu benteng perlu dibina untuk mengelak berlakunya masalah hakisan yang serius di sini.

"Jika tidak, saya khuatir lebih banyak pondok rehat dan kemudahan lain akan dirosakkan oleh ombak yang kuat setiap kali banjir atau hujan lebat," katanya.

Masalah hakisan di pantai itu sebelum ini mendapat perhatian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri yang bersetuju menambak kawasan sepanjang 450 meter itu dengan kos yang dianggarkan RM2.5 juta.

Dalam pada itu, seorang peniaga, Rubiah Soh, 42, turut sependapat dengan Muhammad Zafrie dan berharap agar kerja-kerja penambakan pantai itu disegerakan.

Katanya, walaupun masih dikunjungi orang ramai sehingga ke hari ini, tidak mustahil kawasan pantai itu akan dilupakan selepas ini.

"Pantai ini sebenarnya destinasi tumpuan terutamanya di kalangan penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang terletak berdekatan.

Full content generated by Get Full RSS.

Jangan lengah bawa anak demam, bengkak ke hospital

Posted:

Jangan lengah bawa anak demam, bengkak ke hospital

Jangan lengah bawa anak demam, bengkak ke hospital


Zaidun Kamari bersama bekas pesakit barah pada Majlis Perjumpaan Semula Bekas Pesakit-Pesakit Wad 6 Utara (Onkologi/Hematologi) HUSM di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 1 Dis. - Ibu bapa tidak harus berlengah membawa anak ke klinik dan hospital sekiranya mereka mengalami masalah demam dan bengkak kerana tidak mustahil ia adalah simptom penyakit leukemia yang merupakan jenis barah paling banyak menyerang kanak-kanak.

Pakar Perunding Kanan Kanak-kanak Bahagian Onkologi dan Hemotologi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr. Norsarwany Mohamad berkata, 70 peratus daripada pesakit barah kanak-kanak menghidap Acute Lymphoblastic Leukemia (ALL) iaitu penyakit barah darah yang disebabkan peningkatan sel-sel darah putih di dalam badan.

Beliau berkata, berlainan dengan jenis barah lain seperti barah mata dan payu dara, leukemia berlaku secara spontan dan tidak berkait dengan faktor genetik.

Katanya, tanda awal leukemia sering terlepas pandang kerana ia menyerupai demam dan penyakit lain sehinggalah keadaan pesakit sudah teruk seperti tidak boleh berjalan baru dibawa berjumpa doktor.

"Antara tanda-tanda ALL adalah demam berpanjangan, pucat, keletihan dan sakit-sakit sendi tulang. Simptom ini mirip kepada penyakit seperti demam kepialu dan denggi sebab itulah ibu bapa perlu sentiasa mengambil serius keadaan anak-anak kerana kemungkinan mereka menghidap barah tidak boleh diketepi.

"Pemeriksaan awal membolehkan pihak hospital bertindak lebih cepat seperti membuat pengambilan sum-sum tulang untuk menentukan jenis barah serta ubat paling tepat bagi merawat pesakit.

"Pada hari ini, kaedah baru seperti pembedahan 'chemo-port' telah memudahkan penyaluran ubatan pada kanak-kanak mengurangkan ketakutan mereka semasa proses kemoterapi," katanya kepada pemberita pada Majlis Perjumpaan Semula Bekas Pesakit-pesakit Wad 6 Utara (Onkologi dan Hematologi) USM di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengarah HUSM, Datuk Dr. Zaidun Kamari.

Pada majlis itu juga, Zaidun telah melancarkan Kelab Pesakit dan Bekas Pesakit Onkologi HUSM yang dipimpin Pengerusi Penajanya, Dr. Mohd. Norfadzilly Mohd. Hulaime.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Zaidun berkata, majlis perjumpaan tersebut adalah yang kali ketiga diadakan selepas penganjuran pada 2004 bertujuan mengumpul semula bekas pesakit dan keluarga termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, pada 2010 sebanyak 59 pesakit baru mendapat rawatan di Wad 6U berbanding 58 kes baru yang dicatat pada 2009.

"Bagi kes pesakit berulang atau pesakit yang masih membuat rawatan berterusan pula bertambah daripada 201 pada 2009 kepada 715 pada 2010.

"Bilangan pesakit yang lebih ramai membuat rawatan susulan adalah satu petanda baik kerana ia menunjukkan masyarakat semakin yakin dengan rawatan di hospital dan tidak berputus asa ataupun hanya bergantung kepada rawatan tradisional semata-mata," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Politik

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Politik


Kriteria utama jadi calon

Posted:

Kriteria utama jadi calon

Kriteria utama jadi calon

KUALA LUMPUR 1 Dis. – Ahli parti yang benar-benar menjadi 'orang UMNO' akan diberi keutamaan oleh pucuk pimpinan untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, justeru ahli dan para pemimpin parti khususnya golongan muda wajar bermuhasabah diri sama ada mereka sekadar ahli biasa atau mempunyai ciri-ciri taat dan setia, cinta dan kasih serta berkhidmat dan berkorban untuk parti.

"Inilah pesanan Presiden khususnya kepada pemimpin muda iaitu dalam keghairahan hendak menjadi calon dan mendapatkan tempat, adalah penting mereka sendiri mesti muhasabah diri, sama ada mereka ahli biasa sahaja dalam parti atau betul-betul merupakan 'orang UMNO'.

"Orang UMNO' sudah tentunya akan menjadi keutamaan pucuk pimpinan dalam memikirkan siapa yang akan dicalonkan untuk mewakili parti dalam PRU13," katanya ketika mengulas ucapan dasar Presiden parti pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini

Turut hadir, dua lagi Naib Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya berkata, adalah tidak mencukupi bagi anggota parti itu sekadar menjadi ahli UMNO tetapi mereka perlu menjadi 'orang UMNO' yang perwatakannya tergambar daripada tindak tanduknya dan sistem nilai yang dipegang iaitu taat dan setia, cinta dan kasih serta berkhidmat tanpa jemu dan berkorban untuk parti.

Hishammuddin menambah, ucapan itu menandakan Presiden membawa semua ahli ke ambang PRU-13 yang mana sejarah menunjukkan 'orang UMNO' dan ahli UMNO dibezakan dari segi kejujuran, keikhlasan, kesetiaan dan semangat yang perlu ada dalam jentera parti itu.

Katanya, kadang kala persepsi terhadap perbezaan itu wujud di beberapa peringkat lapisan UMNO dan di peringkat akar umbi masih menebal dari segi perpaduan, kesatuan, kesetiaan, pahit getir untuk memastikan UMNO kekal sehingga hari ini.

Menurutnya, mereka yang menyedari mereka bukan benar-benar 'orang UMNO' perlu memberi laluan kepada orang lain demi memastikan kemenangan BN pada PRU13.

"Siapalah kita ini, kalau kita tengok Presiden dan Perdana Menteri sebelum ini, daripada Allahyarham Tun Hussein, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi sendiri yang sanggup melakukannya demi kelangsungan dengan tertib dan secara sopan, maka siapalah kita yang di peringkat wakil rakyat semata-mata," katanya.

Perkara berkenaan, kata Hishammuddin, tidak hanya berkisar di kawasan UMNO tetapi juga menyentuh kemampuan Barisan Nasional (BN) memastikan momentum kemenangan dibawa ke peringkat parti komponen BN di seluruh kawasan.

Menurutnya, ketika ini generasi muda perlu lebih menghayati game changer itu kerana mereka yang akhirnya mencorak masa depan kepimpinan UMNO kerana mereka tidak melalui detik-detik cemas, kepayahan dan kesusahan untuk memastikan survival UMNO seperti zaman terdahulu.

Full content generated by Get Full RSS.

Janji Wanita kepada orang Melayu

Posted:

Janji Wanita kepada orang Melayu

Janji Wanita kepada orang Melayu

KUALA LUMPUR 1 Dis. – Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mewakili 1.3 juta ahli pergerakan itu hari ini berjanji kepada orang Melayu untuk mengembalikan maruah agama dan bangsa pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Kata beliau, sebagai tulang belakang UMNO, sayap itu pasti akan bekerja keras memastikan kemenangan menjadi milik parti bagi meneruskan pembelaan nasib rakyat.

"Apatah lagi, Presiden menyatakan semua ciri yang ada pada Wanita UMNO sememangnya perkara yang boleh membawa kepada kekuatan dan kemenangan pada pilihan raya.

"Dalam Wanita UMNO ada ciri-ciri taat setia, berkhidmat, berjuang dan berkorban. Ciri-ciri ini adalah yang dituntut oleh Presiden kita, kerana itu kita yakin Wanita UMNO boleh membawa perubahan," katanya mengulas ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Shahrizat menyeru kepada seluruh ahli pergerakan itu supaya menyebarkan amanat Presiden parti kepada semua wanita di seluruh negara iaitu penglibatan mereka dalam memperjuangkan nasib rakyat dan negara pada pilihan raya amat penting.

"Katakan kepada semua wanita bahawa jika UMNO tidak menang pada pilihan raya umum nanti, akan musnahlah bangsa, agama dan negara," ujarnya.

Beliau seterusnya meminta seluruh rakyat terutama yang menyokong parti agar membantu perjalanan untuk mengembalikan orang Melayu kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved