Jumaat, 25 November 2011

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Restoran 25 tahun akan diroboh

Posted:

Restoran 25 tahun akan diroboh

Restoran 25 tahun akan diroboh

Oleh AZIAN AZIZ
kota@utusan.com.my


Rosseli Samsudin menunjukkan bekas tapak meter elektrik yang telah ditanggalkan oleh MBSA kelmarin.


SHAH ALAM 25 Nov. - Selepas 25 tahun mengusahakan restoran, Mohd. Rosseli Samsudin, 47, akhirnya terpaksa berputih mata apabila premisnya yang telah dibina dengan pelaburan yang sehingga kini mencecah RM300,000 itu diarah untuk dirobohkan semalam.

Restoran Nurul Tom Yam yang terletak di Jalan Kerjaya, Batu Tiga Lama di sini, diarah untuk dirobohkan oleh Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Petaling atas alasan dibina tanpa izin di atas tanah lesen pendudukan sementara (TOL).

Mohd. Rosseli mendakwa, sebelum ini operasi restoran tersebut berjalan lancar dan dia mendapat kebenaran memperbaharui TOL daripada PTD Petaling serta memperoleh lesen perniagaan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) setiap tahun dan lesen terakhir diperbaharui pada 2007 dan tamat pada 2010.

Bagaimanapun dakwanya, pada 2011, secara tiba-tiba permohonan beliau untuk memperbaharui TOL tidak dibenarkan walaupun selepas rayuan dibuat beberapa kali dan ini menyebabkan MBSA tidak dapat mengeluarkan lesen perniagaan.

Kata beliau lagi, ekoran kegagalan memperbaharui TOL dan lesen menyebabkan perniagaannya terpaksa dijalankan secara tidak sah dan beliau telah menerima dua notis untuk menutup perniagaan pada Mac dan Mei lalu serta meroboh restorannya pada Selasa lalu dengan pelbagai alasan.

"Semua ini berlaku selepas pertukaran pemerintahan kerajaan negeri pada 2008, dan saya kesal kerana inilah satu-satunya punca pendapatan saya dan keluarga selain 25 pekerja yang terdiri daripada adik-beradik dan saudara-mara.

"Saya mengaku telah menerima tiga notis termasuk notis untuk meroboh pada Selasa lalu. Tetapi tidakkah pihak yang berkenaan terutama kerajaan negeri tiada budi bicara dengan mengambil kira prestasi perniagaan saya sebelum ini.

"Di manakah keadilan kerajaan negeri yang selama ini memperjuangkan hak rakyat sedangkan selama ini saya juga banyak menyumbang untuk masyarakat setempat yang dalam kesusahan termasuk semasa banjir besar melanda Shah Alam sebelum ini," ujarnya kepada pemberita di sini petang ini.

Sehubungan itu, Mohd. Rosseli meminta kerajaan negeri agar tidak menganaktirikan dirinya hanya kerana perbezaan politik sedangkan banyak lagi perniagaan yang didirikan secara tidak sah, tetapi kerana mereka daripada parti yang sama, perniagaan tidak terjejas.

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kelana Jaya, Datuk Yahaya Bujang mendakwa, apa yang berlaku terhadap Mohd. Rosseli ini memang disebabkan perbezaan politik apatah lagi Mohd. Rosseli merupakan ahli jawatankuasa UMNO Bahagiannya.

"Memang dia jadi mangsa politik. Kalau tidak kenapa selama 25 tahun ini perniagaannya tidak menimbulkan masalah tetapi sekarang baru nak diroboh.

"Saya minta Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Exco yang terlibat agar bersikap profesional dalam hal yang melibatkan rezeki rakyat. Bukankah mereka yang sepatutnya membantu peniaga seperti Mohd. Rosseli bukannya menindas," tegas beliau.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan berusaha membantu Mohd. Rosseli mencari tapak baru untuk memulakan semula perniagaannya.

Full content generated by Get Full RSS.

Restoran dibina atas rezab jalan - MBSA

Posted:

Restoran dibina atas rezab jalan - MBSA

Restoran dibina atas rezab jalan - MBSA

SHAH ALAM 25 Nov. - Tindakan untuk meroboh Restoran Nurul Tom Yam di Jalan Kerjaya, Batu Tiga Lama di sini dibuat kerana premis itu dibina di atas rezab jalan.

Pegawai Perhubungan Awam, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, pihaknya telah mengeluarkan tiga notis arahan menutup dan mengosongkan tapak di mana restoran itu dibina sejak April lalu.

"Kami buat arahan sedemikian kerana pemiliknya mendirikan struktur bangunan tanpa kebenaran dan perlu dirobohkan.

"Jadi selepas arahan tidak diikuti, kami hantar notis untuk merobohkan dan semalam kerja-kerja meroboh dijadualkan mula dibuat.

"Bagaimanapun, pemiliknya meminta agar diberi tempoh sehingga Ahad ini sebelum restoran itu diroboh," katanya ketika dihubungi di sini petang ini.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di restoran tersebut mendapati, bangunannya masih belum dirobohkan tetapi bekalan air dan elektrik telah dipotong dan bahagian dalamnya telah dikosongkan.

Full content generated by Get Full RSS.

Bazar Danau Kota bakal dipindah

Posted:

Bazar Danau Kota bakal dipindah

Bazar Danau Kota bakal dipindah

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mencari lokasi baru yang lebih sesuai bagi menempatkan semula peniaga-peniaga bazar larut malam Uptown Danau Kota, Setapak.

Pemindahan tersebut kelak dilihat sebagai langkah penyelesaian jangka panjang berhubung isu yang timbul akibat aktiviti perniagaan di pinggir kota itu.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, beliau telah menyarankan kepada DBKL agar mencari lokasi lain yang sesuai dan diterima oleh masyarakat sekitar agar peniaga boleh berniaga dalam tempoh yang lebih panjang.

Katanya, pemindahan peniaga berkenaan terpaksa dilakukan setelah pihaknya menimbangkan rayuan penduduk dan mendapat pandangan DBKL, Polis Diraja Malaysia selain permintaan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong dan juga UMNO.

"Kita harus memberi keadilan kepada penduduk sekitar yang sudah lama memendam rasa sejak kewujudan bazar tersebut.

"Penduduk sudah lama merungut dengan kewujudan bazar itu kerana mereka menerima pelbagai kesan seperti kesesakan lalu lintas, bising, kebersihan dan juga masalah letak kereta," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci kepada penjaja di Pusat Penjaja Sementara Blok F, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Pantai Dalam baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Datuk Mustapa Kamal Mohd. Yusoff, Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan) DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz dan Pengarah Suez Domain Sdn. Bhd., Yaran Hussain.

Sebanyak 25 penjaja menerima kunci kedai di situ dan mereka terdiri daripada penjaja-penjaja di sekitar rumah pangsa empat tingkat Kampung Kerinci yang terlibat dengan pembangunan semula kawasan tersebut.

Pembinaan pusat penjaja bernilai RM320,000 itu dibiayai sepenuhnya oleh Suez Domain sebagai salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat syarikat berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai isu bazar larut malam di Danau Kota, Nong Chik berkata, buat masa ini DBKL telah mengehadkan operasi perniagaan di situ sebagai penyelesaian jangka pendek dan dilihat adil kepada penduduk sekitar dan peniaga.

Menerusi langkah itu, hari berniaga dikurangkan kepada empat hari seminggu berbanding enam hari sebelumnya dan tidak dibenarkan memainkan muzik.

Selain itu, DBKL dan PDRM juga telah mengadakan kawalan di tapak perniagaan tersebut sejak minggu lalu bagi memastikan tiada aktiviti perniagaan yang berlaku pada hari yang diarah cuti.

"Dalam pada itu, 30 peniaga yang didapati menentang langkah DBKL itu telah diberi notis amaran," kata Nong Chik.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


JKM peruntuk RM5j hadapi banjir

Posted:

JKM peruntuk RM5j hadapi banjir

JKM peruntuk RM5j hadapi banjir

Oleh KAMIL MASLIH
utusanjohor@utusan.com.my


KHATIJAH Abdullah bersama dua lagi pegawai JKM melihat simpanan barang-barang keperluan untuk mangsa banjir di Jalan Abdul Rahman, Muar, semalam.


MUAR 24 Nov. – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sudah bersiap sedia untuk menyediakan keperluan makanan kepada mangsa banjir di negeri ini dengan peruntukan sebanyak RM5 juta daripada kerajaan negeri.

Pengarah JKM negeri, Khatijah Abdullah berkata, pihaknya telah melantik sebanyak 158 pembekal barangan makanan yang terletak berhampiran pusat-pusat pemindahan sementara di negeri ini dan lima pembekal pasar raya besar untuk keperluan dalam kuantiti yang banyak.

"Insya-Allah, setiap keperluan mencukupi dan kita telah bersiap sedia untuk menghadapi bencana banjir," katanya selepas melawat Depoh Simpanan Keperluan Bencana Zon Selatan di Jalan Abdul Rahman, di sini, semalam.

Menurutnya, persiapan awal untuk menghadapi bencana itu telah dibuat dengan barangan keperluan asas bernilai RM250,000 diagih-agihkan ke 48 pangkalan hadapan di seluruh negeri Johor.

"Pangkalan-pangkalan hadapan ini kita wujudkan di kawasan-kawasan yang berpotensi terputus hubungan jalan raya semasa banjir.

"Barangan asas yang kita tempatkan ini termasuk pakaian, tilam, selimut, telekung, tuala, lampin wanita dan air mineral," katanya.

Beliau berkata, Depoh Simpanan Keperluan Bencana Zon Selatan terletak di Muar turut menempatkan barangan keperluan asas bernilai RM250,000 untuk persediaan kepada tiga buah negeri iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Full content generated by Get Full RSS.

Kepak 2011 kini singgah di Ledang

Posted:

Kepak 2011 kini singgah di Ledang

Kepak 2011 kini singgah di Ledang

LEDANG 24 Nov. - Karnival Kerjaya, Perniagaan dan Kemahiran 2011 (Kepak 2011) kini singgah ke Ledang setelah menjelajah empat daerah utama iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi, Mersing dan Batu Pahat sebelum ini.

Program itu berlangsung di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim bermula hari ini hingga Ahad, mulai 9 pagi hingga 6 petang bukan sahaja menawarkan peluang kerjaya, perniagaan dan kemahiran kepada penduduk setempat malah dari Muar dan Segamat.

Secara keseluruhannya, sejak penganjuran sebanyak empat kali, Kepak 2011 mencatatkan kehadiran hampir 40,000 pengunjung bagi mengambil peluang mendapatkan kerjaya, perniagaan serta mempertingkatkan kemahiran diri.

Semua itu selari dengan matlamat utama ingin membantu meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan RM2,000 ke bawah.

Menurut Pengurus JobsMalaysia Centre, Mohd. Syahrul Syahid Mohd. Salleh, sepanjang penganjuran Kepak 2011, seramai 722 pencari kerja telah ditempatkan segera bagi mengisi kekosongan jawatan yang ada, manakala seramai 1,424 pencari kerja masih lagi menunggu maklum balas pihak majikan atau menunggu panggilan untuk temuduga kedua sebelum ditempatkan di mana-mana industri atau perkhidmatan.

"Penempatan kerja itu diberikan kepada golongan siswazah dan bukan siswazah sama ada dalam bidang industri pembuatan dan perkhidmatan.

"Sebanyak 12,350 kekosongan jawatan ditawarkan di wilayah Iskandar Malaysia, dengan 7,299 melibatkan bidang pembuatan manakala 5,051 lagi bidang perkhidmatan," katanya.

Bagaimanapun, pekerja berkemahiran tinggi amat diperlukan seiring dengan pembangunan Iskandar Malaysia yang sedang rancak berkembang bagi membolehkan perkhidmatan bertaraf dunia diberikan kepada pelancong tempatan dan luar negara.

Selain itu, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Perbadanan Usahawan Negeri Johor (PUJB) turut mendapat maklum balas positif melalui pameran yang diadakan.

Kepak 2011 di Ledang kali ini mempunyai kelainan serta penambahbaikan berbanding program sebelumnya dengan pengisian pelbagai aktiviti termasuk pameran kerjaya, perniagaan dan kemahiran, program kerjaya dan mencari harta karun anjuran Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

Pada Sabtu ini berlangsung acara bola sepak jalanan sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor, demonstrasi batik air brush oleh Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ledang dan Forum Perdana Sambutan Maal Hijrah 1433H/2011M pada malamnya.

Pengunjung juga berpeluang menyertai Charity ride pada Ahad bermula 10 pagi hingga 3 petang di Dataran Ledang.

Kepak 2011 Ledang akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman esok. Utusan Malaysia adalah akhbar rasmi Kepak 2011.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


10 ikon pelancongan baharu

Posted:

10 ikon pelancongan baharu

10 ikon pelancongan baharu


Muhyiddin Yassin bertanya sesuatu kepada Maruwan Romli (tiga kiri) ketika melawat peniaga-peniaga pasar pada Program Turun Padang Timbalan Perdana Menteri ke Pekan Sungai Lalang, Bedong, semalam. - UTUSAN/Halim Khalid


IPOH 24 Nov. - Kerajaan negeri memperkenalkan enam kluster mengandungi sekurang-kurangnya 10 ikon pelancongan yang akan menjadi pemangkin dalam menjayakan kempen Tahun Melawat Perak 2012.

Exco Pelancongan negeri, Datuk Hamidah Osman (gambar) berkata, enam kluster tersebut merangkumi Ipoh (Gopeng, Batu Gajah, Kampar); Taiping (Matang, Kuala Gula, Kuala Sepetang, Larut); Kuala Kangsar (Sungai Siput); Royal Belum-Lenggong, Pulau Pangkor - Lumut dan Teluk Intan (Kampung Gajah, Perak Tengah).

Sepuluh ikon pelancongan itu ialah bandar raya Ipoh, Zoo Taiping, Kuala Kangsar, Hutan Royal Belum, Pulau Orang Utan Bukit Merah, Air Panas Sungai Klah, Gua Tempurung, Hutan Paya Bakau Matang dan Taman Herba.

"Kluster pelancongan ini dirancang dalam bentuk risalah, antara lain meliputi jejak warisan, pelancongan dan alam sekitar yang merangkumi informasi melibatkan destinasi menarik, makanan, tempat tinggal dan pengangkutan," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-12 di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Datuk Rusnah Kassim (BN-Ulu Kinta) yang meminta penjelasan tempat-tempat yang akan dipromosi oleh kerajaan negeri sempena TMP 2012.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Rusnah, beliau mengakui masih terdapat kelemahan di peringkat hadapan melibatkan petugas Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) di negeri ini dalam menyampaikan maklumat kepada pelancong.

Sehubungan itu, katanya, satu kursus intensif selama sehari telah dijalankan melibatkan golongan itu termasuk pihak hotel, pemandu teksi dan penyedia produk pelancongan selain mewujudkan 10 kiosk interaktif di pusat-pusat awam seperti stesen kereta api dan lapangan terbang.

Beliau menambah, setiap hotel di negeri ini juga bakal diwajibkan menghidang produk makanan tradisi di Perak seperti limau Tambun dan kopi putih Ipoh supaya ia dapat dipromosi dan dikenali pengunjung terutamanya dari luar negara.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Program khas teknologi hijau

Posted:

Program khas teknologi hijau

Program khas teknologi hijau

Oleh Norizan Abdul Muhid
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 24 Nov. – Satu program khas mengenai pembangunan teknologi hijau akan dilancarkan di peringkat kebangsaan pada Januari depan bertujuan mendidik masyarakat tentang kepentingan bandar hijau.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, perkembangan itu seiring dengan pemilihan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) sebagai perintis bandar teknologi hijau di Melaka seperti Putrajaya dan Cyberjaya di Kuala Lumpur.

Menurutnya, melalui usaha itu, MPHTJ akan mengerakkan program yang menekankan ciri-ciri penggunaan teknologi hijau dalam setiap pembangunan yang dilaksanakan dalam kawasan pentadbirannya.

''Sesuai dengan perlaksanaan itu juga, semua pihak, khususnya agensi swasta mengerakkan lebih banyak program kesedaran dan pendidikan untuk mengubah sikap pengguna dan industri dalam usaha menjayakan pembangunan teknologi hijau," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Buku Blue Print Melaka Maju Negeriku Sayang, Negeri Bandar Teknologi Hijau yang turut dihadiri Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui di sini, semalam.

Kata Mohd. Ali, komitmen menjadikan Melaka sebagai negeri berteknologi hijau turut mendapat kerjasama daripada kementerian terbabit yang telah memberi jaminan untuk menyokong setiap program perlaksanaan teknologi hijau oleh kerajaan negeri.

Pada masa yang sama, ujarnya, kerajaan negeri turut menggariskan tiga objektif untuk meningkatkan pencapaian negeri maju, memperkukuhkan status negeri bandar dan meningkatkan status mampan menerusi penggunaan teknologi amalan hijau.

Menurutnya, ia terkandung pada Pelan Induk Bandar Teknologi Hijau sebagai garis panduan bagi menentukan hala tuju Melaka sebagai negeri bandar teknologi hijau menjelang 2020.

Full content generated by Get Full RSS.

1,628 pekerja SWM, PPSPPA dikerah

Posted:

1,628 pekerja SWM, PPSPPA dikerah

1,628 pekerja SWM, PPSPPA dikerah

Oleh Norizan Abdul Muhid
utusanmelaka@utusan.com.my


sAMPAH SARAP dan tanah mendap di dalam longkang dibersihkan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam di Taman Merdeka Batu Berendam, Melaka, semalam.


MELAKA 24 Nov. – Seramai 1,560 kakitangan pengurusan sisa pepejal SWM Enviroment Sdn. Bhd. (SWM) bersama 68 anggota Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) telah dikerah bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir pada musim tengkujuh ini.

Pengarah PPSPPA Melaka, Ir. Zainuddin Abdul Samad berkata, anggota terlibat telah diberi tugas menyelia dan membersih saluran perparitan di 49 kawasan yang dikenal pasti kerap dinaiki air banjir di Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.

Setakat ini, menurutnya, SWM telah membersihkan sistem perparitan di 10 kawasan perumahan dalam pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan tiga dalam kawasan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHJT).

''Kerja-kerja pembersihan sistem perparitan ini meliputi usaha membuang sisa sampah dan bahan binaan terutama tanah yang terdapat pada longkang yang dikenal pasti antara penyumbang masalah perparitan tersumbat sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Operasi Pembersihan Perparitan Taman Angkasa Nuri, Batu Berendam yang turut dihadiri Pengurus Besar SWM negeri, Mahadi Abd. Talip di sini, hari ini.

Menurut Zainuddin, pihaknya memerlukan kerjasama dan komitmen pelbagai agensi berkaitan bagi melengkapkan persiapan menghadapi kemungkinan banjir besar yang dijangka berlaku pada 29 November ini ekoran ramalan air pasang pada hari tersebut.

Kata beliau, masalah perparitan tersumbat perlu ditangani segera khususnya di lokasi yang sering dinaiki banjir dalam persiapan menghadapi musim hujan berterusan sejak kebelakangan ini.

''Bagaimanapun, kita memerlukan kerjasama dan komitmen semua agensi seperti Tenaga Nasional Berhad dan Telekom Malaysia untuk memastikan sisa bahan projek yang dijalankan tidak dibuang ke dalam longkang.

''Ini kerana, berdasarkan kerja- kerja pembersihan yang dijalankan sebelum ini, kita dapati banyak sisa buangan seperti tanah dan bahan binaan dibuang dalam parit hingga mengakibatkan masalah perparitan tersumbat," katanya.

Pada masa yang sama, katanya, SWM turut terlibat menempatkan kakitangannya memantau kerja-kerja pembersihan di tempat pemindahan mangsa banjir, khususnya dalam penyediaan kawasan persekitaran dan tandas yang bersih.

Full content generated by Get Full RSS.

200 anggota pasukan keselamatan tamat latihan

Posted:

200 anggota pasukan keselamatan tamat latihan

200 anggota pasukan keselamatan tamat latihan


Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz menunjukkan kemahiran menembak menggunakan senjata M-16 pada program Kem Latihan Tahunan Siri 1/2011 Rejimen 508 Askar Wataniah di Kem Lapang Sasar Menyala Port Dickson, kelmarin.


TELOK KEMANG 24 Nov. - Seramai 200 peserta yang terdiri daripada anggota pasukan keselamatan negara berjaya menamatkan latihan dalam program Kem Latihan Tahunan Siri 1/2011 Rejimen 508 Askar Wataniah di Kem Lapang Sasar Menyala Port Dickson di sini semalam.

Pegawai Rekrut Pasukan Rejimen 508 Askar Wataniah, Kapten Mohd. Ridzwan Yaacob berkata, latihan itu berlangsung selama dua hari bermula pada 20 November lalu.

"Ia melibatkan ahli Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (Jakpaw), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan anggota sukarela.

"Latihan ini diadakan setiap tahun dan seramai 224 orang berlainan pangkat telah menjayakan majlis ini," ujarnya ketika ditemui di sini kelmarin.

Turut sama dalam program itu ialah Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz.

Jelas Mohd. Ridzwan, sepanjang program berkenaan para peserta turut didedahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk penggunaan senjata M16.

"Ia bagi membolehkan mereka menguji kecekapan dalam pengendalian senjata selain dapat mengasah disiplin peserta," katanya.

Selain itu, tambahnya, ia bertujuan melihat keupayaan mereka dalam mencapai prestasi pada tahap maksimum.

''Kami melihat program ini menepati matlamatnya dan bercadang untuk melaksanakannya pada masa akan datang," ujarnya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Usul batal tiga Proklamasi Darurat dibentang

Posted:

Usul batal tiga Proklamasi Darurat dibentang

Usul batal tiga Proklamasi Darurat dibentang

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan usul bagi memansuhkan tiga proklamasi darurat iaitu Proklamasi Darurat 1966, Proklamasi Darurat 1969 dan Proklamasi Darurat 1977.

Perdana Menteri berkata, langkah memansuhkan proklamasi darurat itu dilakukan berikutan keadaan yang mengancam keselamatan serta ketenteraman awam pada masa proklamasi itu berkuat kuasa tidak lagi wujud pada masa ini.

Pada masa yang sama jelas beliau, tindakan tersebut merupakan fasa kedua Program Transformasi Politik (PTP) selepas fasa pertama melalui pemansuhan Akta Buang Negeri dan Akta Kediaman Terhad dilaksanakan.

"Langkah yang diambil ini adalah satu tindakan yang amat penting dan bersejarah. Sebabnya, sekalipun kita pada kedudukan selaku kerajaan yang berkuasa dengan sukarela mengembalikan kuasa luar biasa yang dimiliki tanpa paksaan.

"Tindakan ini diambil kerana kita yakin dengan kebijaksanaan dan kematangan rakyat Malaysia serta tidak lain dan tidak bukan demi masa depan negara tercinta," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Proklamasi Darurat 1966 dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 14 September 1966 di Sarawak bertujuan membolehkan kerajaan menyelesaikan pertikaian politik di negeri itu.

Proklamasi Darurat 1969 pula dikeluarkan pada 15 Mei 1969 disebabkan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 dan Proklamasi Darurat 1977 pula bertujuan menyelesaikan masalah politik di Kelantan.

Menurut Najib, semua proklamasi darurat tersebut menurut Fasal (7) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan akan terhenti berkuat kuasa selepas habis tempoh enam bulan dari tarikh proklamasi berkenaan mula dibatalkan.

Sehubungan itu katanya, selepas tarikh tersebut kerajaan tidak lagi mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dan kuasa berkenaan kembali diserah kepada Parlimen.

"Pembatalan proklamasi darurat ini membuktikan kerajaan sentiasa bersedia untuk melakukan perubahan dalam undang-undang negara supaya ia selaras dengan kehendak semasa," jelasnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tentera perlu hayati profesionalisme kerjaya

Posted:

Tentera perlu hayati profesionalisme kerjaya

Tentera perlu hayati profesionalisme kerjaya

KUALA LUMPUR 24 Nov. – Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mahu setiap anggota tentera menghayati semangat dan profesionalisme kerjaya itu bagi menegakkan kebenaran dan menghapuskan kezaliman di dalam masyarakat.

Baginda bertitah, tugas besar yang diamanahkan kepada setiap anggota tentera harus dipikul dan dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab.

"Setiap anggota bukan sahaja harus menghayati, malah mengekalkan tahap profesionalisme kerja yang merangkumi sifat dan nilai-nilai murni tanpa batasan.

"Tentera dan orang awam mempunyai skop dan bidang kuasa yang amat berbeza," titah baginda dalam ucapan bertajuk Hubungan Tentera Dengan Awam di sini hari ini.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Persidangan Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (Midas) dan Syarahan Umum Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Pada majlis itu, baginda turut ditabalkan sebagai Felo Diraja Midas.

Dalam titah itu, baginda turut menekankan hubungan setiap anggota tentera di dalam lingkungan masyarakat yang seharusnya berlandaskan prinsip keadilan dengan mempertahankan kebenaran.

"Apakah tentera melindungi kepentingan awam secara profesional atau telah membenarkan diri mereka bersekutu dengan melakukan kezaliman atau menjadi tentera yang merelakan diri melihat kekejaman dan membantu kezaliman secara berterusan," titah baginda.

Dalam pelaksanaan tanggungjawab kepada kerajaan, baginda bertitah, tanggungjawab itu tidak seharusnya dilakukan demi kepentingan kumpulan tertentu sebaliknya untuk kepentingan seluruh rakyat dan negara.

Titah baginda, kepimpinan tentera tidak seharusnya berwatak seperti penglipurlara kepada mana-mana pemimpin kerana ia tidak lebih sekadar ketaatan pada satu institusi yang menjadi ketua negara.

Dalam mengekalkan tahap profesionalisme kepada masyarakat, tentera juga dinasihatkan menganalisis setiap maklumat yang diterima dan menyampaikannya semula dengan penuh amanah.

"Tentera tidak seharusnya memilih cerita-cerita yang indah dan menutup kisah-kisah duka. Analisis yang tepat hanya boleh dicapai melalui kebenaran yang tidak ditutup dan kebenaran pula harus didedah walaupun ia cukup pahit," titah baginda.

Baginda bertitah, hanya melalui penghayatan tugas seseorang anggota tentera dapat membangunkan diri dan menjadi pemimpin yang lebih baik.

"Jeneral yang bertanggungjawab memiliki kearifan dalam membuat keputusan selepas menimbang segala perkara dengan baik. Dengan kekuatan itu mereka tidak sesekali membiarkan diri dan anggotanya dimanipulasi oleh mana-mana pihak," titah baginda.

Full content generated by Get Full RSS.

Pertahankan institusi diraja - Zahid

Posted:

Pertahankan institusi diraja - Zahid

Pertahankan institusi diraja - Zahid

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menjadi benteng terakhir yang akan mempertahankan kedaulatan institusi raja-raja Melayu di negara ini daripada terus dicabar dan digugat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, angkatan tentera yang ditubuhkan melalui kuasa raja-raja berikrar untuk terus melindungi institusi itu daripada sebarang ancaman yang menggugat kedaulatannya.

"Kita akan bersama-sama dengan institusi raja jika ada individu, organisasi apatah lagi parti-parti politik yang cuba mencabar kuasanya di negara ini.

"Jika ada pihak yang cuba mengguris hati raja-raja Melayu, angkatan tentera akan bangun mempertahankannya," katanya ketika berucap pada Persidangan Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (Midas) dan Syarahan Umum Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini, hari ini.

Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah berkenan merasmikan majlis itu dan melancarkan lapan buku yang ditulis oleh tenaga akademik UPNM.

Hadir sama, Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Allatif Mohd. Nor.

Ahmad Zahid berkata, tanggungjawab ATM bukan sahaja untuk memastikan institusi raja dipertahankan bahkan untuk terus menyedarkan sesetengah pihak yang mahu menggugat institusi berkenaan.

"Mutakhir ini ada sahaja individu, organisasi dan parti politik yang mahu mencemar dan mempertikai kedaulatan raja-raja Melayu. Malah, ada pihak yang sudah berani mencabar kuasa raja-raja Melayu termasuk di dalam pembentukan kerajaan negeri," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, dalam situasi yang masih terkawal sekarang, pihak tentera tidak akan mengambil tindakan secara membuta-tuli demi menghormati undang-undang awam.

Katanya, ATM sebagai institusi pertahanan yang profesional tidak akan menyalahgunakan kuasa dan mandat yang diberi untuk melakukan campur tangan atau merombak perundangan di mana-mana negeri.

"Tentera kita profesional, jauh sekali mahu lakukan sebagaimana yang pernah berlaku di beberapa buah negara yang institusi raja runtuh kerana rampasan kuasa," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Timur

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Bina segera jambatan Tok Guru

Posted:

Bina segera jambatan Tok Guru

Bina segera jambatan Tok Guru

Oleh TOREK SULONG
utusankelantan@utusan.com.my


Penduduk menunjukkan kesan hakisan tebing yang kerap berlaku sepanjang musim banjir di Kampung Kuau, Bachok, Kelantan.


BACHOK 24 Nov. - Kira-kira 12,000 penduduk dari lima buah kampung di mukim Kuau dekat sini meminta kerajaan membaiki segera kerosakan jambatan Tok Guru Kuau, dekat sini yang roboh disebabkan arus deras di sungai berkenaan semalam.

Jambatan yang dibina sejak 14 tahun lalu itu adalah laluan utama penduduk termasuk ratusan pelajar dari Kampung Keluat, Pangkalan Cina dan Kampung Paya Teratai berulang-alik ke sekolah dan pusat bandar ini.

Seorang penduduk, Mohamed Abdul Razak, 58, berkata, proses membaiki atau membina semula jambatan sepanjang 90 meter itu pastinya akan melibatkan kos yang tinggi dan penduduk hanya mampu mengharapkan sama ada kerajaan Persekutuan ataupun kerajaan negeri membantu menyelesaikannya.

Katanya, ketiadaan laluan yang digunakan sejak sekian lama itu akan menyebabkan penduduk terbabit terpaksa menggunakan jalan alternatif yang lebih jauh iaitu melalui jalan Kampung Pangkalan Baru menerusi Pekan Beris Kubur Besar di Tawang sebelum sampai ke bandar Bachok.

"Pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bachok, SMK Badak dan SMK Nipah juga akan melalui jarak perjalanan yang lebih jauh berbanding hanya empat kilometer jika menggunakan laluan jambatan berkenaan sebelum ini," katanya ketika ditemui di Kampung Keluat, dekat sini, hari ini.

Mohamed berkata, penduduk terbabit juga turut meminta kerajaan negeri mempercepatkan pembinaan jambatan baru di Kampung Pangkalan Cina yang tertangguh sejak sekian lama sebagai pilihan yang paling cepat sementara menunggu jambatan Tok Guru Kuau dibaiki.

Tambahnya, pembinaan tiang dan cerucuk bagi membina jambatan baru di Pangkalan Cina mungkin dapat dilaksanakan dalam tempoh yang singkat berbanding kerja membaiki semua jambatan yang roboh semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, penduduk yang tinggal di tebing Sungai Kampung Kuau dekat sini meminta pihak berkenaan terutama kerajaan negeri menyediakan sistem perparitan dan saliran bagi mengatasi masalah hakisan tebing yang kerap berlaku setiap kali musim banjir.

Seorang penduduk di kawasan itu, Hamzah Jusoh, 43, berkata, ketiadaan parit dan longkang menyebabkan limpahan air hujan mengalir dengan deras dan berlaku runtuhan tanah berhampiran rumah penduduk.

Ujarnya, ketiadaan kemudahan itu juga menyebabkan rumah penduduk sering digenangi air sedalam 0.3 meter setiap kali musim banjir sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap sebarang kejadian yang tidak diingini.

"Sekitar belakang rumah kami yang hanya dalam jarak empat meter dari tebing sungai sudah ditambak dengan menggunakan simen pembetung bagi mengatasi masalah tanah runtuh," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

249 premis makanan tidak bersih

Posted:

249 premis makanan tidak bersih

249 premis makanan tidak bersih

KOTA BHARU 24 Nov. - Pengusaha premis makanan di negeri ini masih ramai gagal mematuhi Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang menuntut mereka mendaftar dengan Kementerian Kesihatan bagi memastikan juadah yang disediakan selamat dan terjamin bersih.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr. Nordiyanah Hassan berkata, mengikut kajian Jabatan Kesihatan, pada Disember tahun lalu, terdapat 12,893 premis termasuk gerai, restoran, kantin, pasar dan juga kilang makanan di negeri ini.

"Sehingga kini cuma 1,107 premis atau 8.5 peratus sahaja yang telah berdaftar sedangkan mengikut Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 mewajibkan semua premis makanan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penutup Seminar dan Penyampaian Sijil Pengiktirafan Skim Keselamatan Makanan 1Malaysia-SK1M Peringkat Negeri Kelantan semalam.

Hadir sama Pengarah Perancangan Pembangunan Dasar, Standard dan Codex Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan, Shamsinar Abu Talib dan Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan), Ahmad Nadzri Sulaiman.

Nordiyanah berkata, sepanjang tempoh 10 bulan tahun ini, sejumlah 8,623 premis telah diperiksa dan didapati 249 buah daripadanya menunjukkan tahap kebersihan yang tidak memuaskan dengan markah kurang daripada 50 peratus.

"Jabatan Kesihatan juga telah mengenakan tindakan menutup sementara di bawah Akta Makanan terhadap 262 buah premis termasuk enam kilang makanan yang didapati tidak bersih," katanya.

Katanya, Jabatan Kesihatan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha premis atau produk makanan yang didapati dengan sengaja melanggar peraturan itu.

Menurutnya, sepanjang tahun ini 32 kes sedang dalam proses tindakan mahkamah di bawah Akta Makanan 1983.

"Operasi membanteras penjualan produk makanan yang didapati melanggar perundangan sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa. Sepanjang tahun ini, produk makanan bernilai RM79,831 telah dirampas dan kebanyakannya melibatkan kesalahan dari aspek pelabelan," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Futsal OKU meriah dalam sunyi

Posted:

Futsal OKU meriah dalam sunyi

Futsal OKU meriah dalam sunyi

Oleh RADHUAN HUSSAIN
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 24 Nov. - Bagi orang kurang upaya (OKU), biarpun mengalami kecacatan, mereka tetap mempunyai kebolehan, keinginan dan impian yang sama.

Dalam serba kepayahan yang kadangkala sering memerlukan panduan serta bimbingan, golongan ini sebenarnya tidak mahu mereka dibezakan dan cuba melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan.

Ini termasuk dalam sukan futsal, 'golongan istimewa' ini tidak melepaskan peluang untuk menyertai Kejohanan Futsal Orang Pekak Terengganu di gelanggang Futsal Uptown di Jalan Kamarudin di sini, baru-baru ini.

Kejohanan julung kali diadakan itu disertai 10 buah pasukan dari serata negeri ini yang dianjurkan oleh Persatuan Orang Pekak Terengganu.

Program itu berjalan lancar dengan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang melihat keunikan dalam corak pengendalian permainan.

Mereka memberi fokus sepenuhnya kepada bendera yang dipegang pengadil perlawanan sebagai isyarat, berbanding penggunaan wisel bagi mereka yang normal.

Perlawanan berlangsung dalam suasana agak 'sunyi dan sepi' apabila para pemain sekadar berinteraksi sesama mereka melalui isyarat tangan selain sesekali kedengaran tepukan para penonton.

Sebilangan daripada mereka ternyata cukup berbakat bermain bola sepak atau futsal, malah tidak keterlaluan dikatakan bahawa ada sebahagiannya mempunyai skil, kepantasan dan kebolehan tersendiri yang boleh dibanggakan.

Para pemain mampu mengawal bola serta membuat hantaran kemas yang menampakkan keserasian antara rakan sepasukan walaupun cacat pendengaran.

Bagi insan sebegini, kecacatan yang dialami tidak sekali-kali menghalang mereka menjalani kehidupan seperti insan normal lain termasuklah mengamal gaya hidup sihat dengan beriadah serta bersukan.

Kesemua 10 pasukan yang bertanding pada kejohanan itu disertai para peserta dari pelbagai peringkat usia termasuk dua pasukan jemputan kalangan pelajar pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim Fikri, Seberang Takir.

Kejohanan itu menyaksikan pasukan SIF A muncul juara dengan mengalahkan MU FC 1-0 pada perlawanan akhir manakala tempat ketiga menjadi milik SIF B dan Bina FC di tempat keempat.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Orang Pekak Terengganu, Tengku Arman Harris Tengku Ismail berpuas hati dengan kejohanan pertama kali diadakan itu mendapat sambutan menggalakkan.

"Saya berbangga dan berpuas hati dengan kerjasama serta sokongan pelbagai pihak bagi memastikan kejohanan ini berjalan lancar.

''Kami kagum dengan komitmen dan aksi hebat yang ditunjukkan para pemain biarpun mereka insan istimewa," katanya sambil dibantu seorang jurubahasa.

Tengku Arman turut berharap kejayaan menganjurkan kejohanan kali ini membuka peluang kepada Persatuan Orang Pekak Terengganu menjadi tuan rumah Kejohanan Futsal Orang Pekak Peringkat Kebangsaan tahun depan.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Seksyen 15 AUKU akan dipinda

Posted:

Seksyen 15 AUKU akan dipinda

Seksyen 15 AUKU akan dipinda

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my


Najib Tun Razak ketika membentangkan Rang Undang-Undang Akta Perhimpunan Aman di Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. – utusan/AHMAD ZAKKI JILAN


KUALA LUMPUR 24 Nov. – Kerajaan akan meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974 bagi membenarkan mahasiswa yang berumur 21 tahun ke atas menjadi ahli parti politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah itu diambil bagi menghormati hak berpolitik seseorang mahasiswa tetapi mereka dilarang keras membawa politik kepartian ke dalam kampus.

"Kerajaan percaya kepada kematangan serta kebijaksanaan mahasiswa dan demi menghormati hak mereka yang rata-rata mencapai umur age of majority (21 tahun) kita akan meminda Seksyen 15 AUKU," katanya.

Beliau berkata demikian secara serentak semasa membentangkan usul bagi pembatalan Proklamasi Darurat mengikut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di Dewan Rakyat hari ini.

Akta tersebut sebelum ini menjadi topik perbincangan hangat kerana sesetengah pihak mendesak agar AUKU dihapuskan manakala sebahagian lagi mempertahan kepentingan akta tersebut.

Mengenai keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan Seksyen 15(5)(a) AUKU sebagai tidak sah, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan membuat rayuan terhadap keputusan itu.

"Ini kerana keputusan mahkamah itu mempunyai implikasi terhadap prinsip undang-undang," jelasnya.

Pada 31 Oktober lalu, panel tiga hakim diketuai Datuk Low Hop Bing dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan empat penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Keempat-empat penuntut tersebut, Muhammad Hilman Idham, 22; Woon King Chai, 23; Muhammad Ismail Aminuddin, 23, dan Azlin Shafina Mohamad Adzha, 23, ditahan ketika kempen semasa Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor.

Full content generated by Get Full RSS.

Anwar terus burukkan Malaysia

Posted:

Anwar terus burukkan Malaysia

Anwar terus burukkan Malaysia

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my


ANWAR Ibrahim menyampaikan ceramah dalam satu forum di hadapan sekumpulan pelajar Indonesia di republik itu pada 30 Julai lalu.


KUALA LUMPUR 24 Nov. – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siri ceramahnya di Indonesia terus memburuk-burukkan Malaysia dengan menuduh sistem kehakiman negara ini tidak bebas kerana dikongkong oleh pihak kerajaan.

Ketua Pembangkang itu berkata, bukan itu sahaja, hakim-hakim yang menjalankan tugas juga tidak mempunyai kewibawaan kerana mereka terikat dengan ketentuan yang telah dibuat oleh kerajaan apatah lagi sekiranya ia melibatkan orang berpangkat besar.

Beliau berkata, secara ringkasnya, tidak berlaku pemisahan kuasa di Malaysia seperti mana ditetapkan dalam amalan demokrasi berparlimen, khususnya antara badan kehakiman dengan eksekutif.

''Sebagai contoh, jika seorang yang berpangkat besar menerima komisen, orang ini tidak akan masuk penjara, sebaliknya akan dilepaskan.

''Apabila hakim boleh dibeli atau mereka takut untuk membuat keputusan, itu merupakan satu petanda yang cukup buruk (terhadap institusi kehakiman),'' katanya ketika berceramah di dalam satu forum di hadapan pelajar Indonesia di republik itu, 30 Julai lalu.

Rakaman ceramah tersebut diperoleh Utusan Malaysia hari ini.

Selain itu, Anwar di dalam ceramahnya itu turut memberitahu rakyat Malaysia telah mula mempersoalkan kredibiliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

''Begitu juga dengan perjalanan pilihan raya di Malaysia. Pada tahun 2008 di kawasan Pantai Barat kita menang di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan 10 daripada 11 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

''Hanya satu sahaja kerusi yang mereka menang. Itu pun pada saat-saat akhir, entah bagaimana ada 14,000 undi pos turun dari langit,'' katanya.

Dalam pada itu beliau menyelar tindakan pihak berkuasa Malaysia menahan enam orang termasuk seorang Ahli Parlimen kerana disyaki menjadi pendukung fahaman komunis.

Soal beliau, adakah wajar mereka yang dikatakan pendukung itu dipenjarakan seperti mana kesalahan memukul orang.

Full content generated by Get Full RSS.

Sultan Selangor tegur Aziz

Posted:

Sultan Selangor tegur Aziz

Sultan Selangor tegur Aziz

SHAH ALAM 24 Nov. - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegur ahli akademik, Prof. Dr. Aziz Bari yang mendakwa kononnya akaun Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bebas daripada diaudit.

Baginda bertitah, kenyataan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu adalah tidak tepat kerana akaun kedua-dua agensi terbabit sentiasa diaudit setiap tahun oleh Jabatan Audit Negara dan amalan itu akan berterusan sehingga tahun-tahun yang mendatang.

''Kenyataan beliau (Aziz) ini adalah tidak tepat kerana beta disembah maklum bahawa akaun MAIS dan LZS telah diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan mendapat Sijil Bersih daripada Ketua Audit Negara pada setiap tahun serta akan terus diaudit pada tahun-tahun yang akan datang.

''Beta berharap, Aziz jangan membuat sesuatu kenyataan yang boleh mengelirukan dan meresahkan rakyat terhadap ketelusan dan integriti MAIS dan LZS sebelum beliau mendapatkan fakta-fakta yang tepat dan betul," titah baginda dalam Majlis Perasmian Wisma Audit Negeri Selangor di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang; Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Sultan Sharafuddin menitahkan agar kakitangan agensi kerajaan di negeri ini tidak menganggap Jabatan Audit Negara sebagai sebuah agensi yang membebankan.

''Ia sepatutnya dipatuhi dan haruslah dicontohi serta dijadikan penanda aras atau rujukan bagi mencapai sesuatu tahap yang boleh membanggakan.

''Jabatan Audit Negara bukan sengaja untuk mencari kesalahan atau keburukan sesebuah jabatan atau agensi, tetapi hanya memperbetulkan atau menambah baik segala aspek yang perlu diperbaiki," tegas baginda.

Selain itu, baginda turut berharap pentadbiran anak syarikat milik kerajaan negeri dapat diurus dengan baik bagi memastikan prestasi kewangannya sentiasa cemerlang, sekali gus dapat menyumbang kepada ekonomi negeri.

''Beta berharap mereka (anak syarikat milik kerajaan negeri) mengamalkan urus tadbir korporat yang berwibawa dan telus bagi memastikan prestasi kewangan sentiasa cemerlang bagi menjana pertumbuhan ekonomi Selangor selain menambah hasil kerajaan negeri melalui pembayaran dividen.

''Beta juga berharap anak-anak syarikat kerajaan negeri dapat berusaha lebih gigih lagi supaya pencapaian mereka dijadikan tanda aras sebagai amalan terbaik yang wajar dicontohi negeri lain," titah baginda.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved