Isnin, 21 November 2011

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Pertembungan maruah

Posted:

Pertembungan maruah

Pertembungan maruah


ONG Kim Swee memberi amanat terakhir kepada pemainnya pada sesi latihan terakhir di Jakarta semalam, menjelang pertemuan dengan Indonesia, hari ini.


JAKARTA 20 Nov. – Malaysia dibelenggu kecederaan tonggak menjelang final bola sepak Sukan SEA XXVI hari ini, namun 'semangat 1979' menjadi azimat skuad Harimau Muda untuk menumbangkan Garuda.

Tiga puluh dua tahun lalu, gol tunggal Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari membantu Malaysia mencatat kemenangan paling masyhur 1-0 ke atas Indonesia untuk membawa pulang kejuaraan di Jakarta.

Biarpun kita kalah 1-0 dalam pertemuan final Sukan SEA terakhir dengan negara itu, juga di Jakarta 1987, namun moral pemain amat tinggi ketika ini selepas menumpaskan tuan rumah 1-0, Khamis lalu.

Namun, kecederaan tiga tonggak, Izzaq Faris Ramlan; sayap kanan, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria dan sayap kiri, Mohd. Fandi Othman sedikit merencatkan persiapan.

Izzaq cedera lutut kiri ketika bertemu Myanmar kelmarin dan terpaksa menggunakan topang.

Penjaring gol kemenangan Malaysia ketika mengalahkan Indonesia, Syahrul Azwari Ibrahim juga belum pasti dapat diturunkan.

Ong Kim Swee kini terpaksa mengatur strategi baru dengan harapan disandar kepada A. Thamil Arasu dan Yong Kuong Yong, selain Mohd. Zubir Azmi.

"Tidak banyak yang boleh saya lakukan kerana masalah ini, saya terpaksa menurunkan pemain yang ada. Mujurlah Thamil dan Yong boleh beraksi di mana-mana posisi depan.

"Thamil dan Yong saya harap dapat mengimbangi kepantasan sayap kiri Indonesia menerusi pemain mereka Octovianus dan sayap kanan mereka, Titus Bonai.

"Kita tidak boleh ambil kira perlawanan dengan Indonesia sebelum ini kerana skuad mereka esok pasti sama sekali berbeza,'' kata Kim Swee. - Utusan

Full content generated by Get Full RSS.

Rakyat Kelantan kecewa air dicemari logam

Posted:

Rakyat Kelantan kecewa air dicemari logam

Rakyat Kelantan kecewa air dicemari logam

KOTA BHARU 20 Nov. - Rata-rata rakyat Kelantan kecewa apabila air yang dibekalkan kepada mereka didakwa dicemari dengan unsur-unsur logam yang boleh memudaratkan kesihatan.

Jika selama ini mereka berhadapan dengan masalah tekanan air rendah dan tidak bersih, dakwaan menyatakan air yang digunakan mereka turut dicemari unsur logam amat membimbangkan para pengguna.

Pendedahan Mingguan Malaysia berhubung data rasmi Panduan Industri Air Malaysia (PIAM) 2011 mengenai Kelantan menduduki tempat paling bawah mendapat bekalan air bersih sehingga dilabelkan sebagai negeri yang memiliki air kurang selamat dan berisiko mendapat reaksi kurang menyenangkan di kalangan orang ramai.

Seorang penduduk, Normah Harun, 45, berkata, jika apa yang didakwa itu benar, keadaan tersebut tidak sepatutnya dibiarkan berlarutan kerana air yang disalurkan itu merupakan satu-satunya sumber yang ada untuk kegunaan harian.

"Kerajaan mesti peka untuk melakukan sesuatu demi kesihatan serta kesejahteraan rakyat kerana hanya itu pilihan yang kami ada. Jika sebelum ini pengguna hanya diancam masalah tekanan dan air tidak bersih, tetapi kalau sampai boleh menyebabkan penyakit, itu boleh dianggap kritikal.

"Memang sejak bermasalah dengan bekalan air bersih saya sering menggunakan air yang ditapis untuk kegunaan harian, namun amat berharap kerajaan negeri menyelesaikan masalah ini dengan segera," katanya.

Fauziah Mahmood, 50, pula mengaku tidak mengetahui mengenai air tidak bersih dibekalkan kepada rakyat di negeri ini selama ini kecuali melalui hebahan media.

"Sejak bertahun-tahun lamanya saya dan keluarga memang menghadapi masalah air yang disalurkan ke paip di rumah yang tidak berapa sesuai digunakan untuk memasak nasi atau dijadikan air minuman.

"Sekiranya laporan dalam akhbar ini benar, saya merayu kerajaan negeri Kelantan melakukan tindakan sewajarnya sebelum membahayakan kesihatan rakyat negeri ini," ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Azura Zakaria, 38, memberitahu, kebanyakan pengguna berhadapan dengan masalah tekanan air rendah dan sesekali keruh dan berkeladak.

"Apa yang saya tahu tekanan air rendah dan kelihatan macam kotor walaupun selepas dididihkan, jadi saya terpaksa guna air tapis yang dibeli untuk minum dan masak lebih-lebih lagi untuk menyediakan susu anak. Saya lebih berhati-hati kerana bimbang mereka mendapat sakit perut.

"Selepas pendedahan akhbar, saya sekeluarga mesti lebih peka dengan penggunaan air di negeri ini dan usaha daripada pihak-pihak berwajib untuk menjamin bekalan air bersih dan tidak tercemar kepada rakyat mesti dilakukan," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Pengundi muda penentu BN

Posted:

Pengundi muda penentu BN

Pengundi muda penentu BN

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pengundi yang berusia antara 21 dan 35 tahun merupakan penentu kepada kejayaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang kerana mereka merupakan kumpulan terbesar dalam siri PRU kali ini.

Justeru beliau berkata, bagi memastikan faktor calon boleh menang menjadi syarat utama BN, maka mereka yang akan dipilih hendaklah di kalangan yang dapat diterima oleh generasi muda.

Katanya, sehubungan itu, tidak salah sekiranya keaktifan mereka dalam menggunakan media sosial bagi tujuan berhubung dengan rakyat terutama pengundi muda dianggap sebagai satu bonus untuk terpilih mewakili BN.

"Jika mereka aktif dalam bidang ini, akan ada markah bonus barangkali. Kita kumpulkan markah bonusnya kerana kita mahu calon boleh menang menjadi wakil BN serta diterima oleh generasi baru.

"Ini kerana generasi baru ini akan menjadi penentu kepada kejayaan PRU13. Umur antara 21 dan 35 tahun merupakan kumpulan terbesar dan sesiapa yang memenangi hati dan fikiran mereka akan menang pada PRU berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Konvensyen Media Sosial 1Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Pengerusi konvensyen, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin serta 2,000 pengamal media sosial seluruh negara.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyifatkan pengamal-pengamal media sosial sebagai tentera-tentera BN yang mempunyai peranan untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat dengan lebih tepat.

Beliau berkata, selain itu, ia juga berfungsi sebagai satu cara untuk memperbetulkan persepsi rakyat ekoran terlalu banyak kekeliruan yang sering ditimbulkan oleh pihak pembangkang melalui media sosial serta alam maya.

"Misalnya, kita wujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia dan Menu 1Malaysia untuk bantu rakyat. Mereka (pembangkang) kata kita menipu kononnya harga barangan tidak semurah seperti yang kita nyatakan.

"Di sini pengamal-pengamal media sosial boleh keluarkan iPad, BlackBerry, iPhone atau komputer riba masing-masing untuk kita nyatakan kebenaran. Kita mesti terangkan kepada rakyat agar rakyat tidak terkeliru dengan tuduhan pihak pembangkang,'' katanya.

Najib berkata, hakikatnya ada dua jenis propaganda yang harus diambil perhatian serius oleh semua pihak termasuk pengamal media sosial.

Katanya, pertama, sekiranya pembangkang gagal memesongkan fikiran, mereka akan bertindak untuk mengelirukan rakyat dan perkara itu menjadi prinsip kepada propaganda mereka.

"Kedua, sesuatu yang tidak benar kepalsuannya (tetapi) jika diulang banyak kali, akhirnya ia akan diterima sebagai kebenaran. Atas asas itu kita perlu bertindak.

"Sekiranya kita (pengamal media sosial) berdiri pasif dan tidak menerangkan apa kebaikan, tidak bela kerajaan dan dasar kita, tidak berani menyerang pembangkang, maka kita akan kalah. Jangan pandang rendah pada kuasa media sosial,'' katanya.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab pengamal media sosial untuk memperbetulkan segala kepalsuan yang sengaja ditimbulkan oleh pihak pembangkang selama ini.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Ahad, 20 November 2011

Utusan Online - Politik

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Politik


Amanat Presiden UMNO pendekatan terbaik

Posted:

Amanat Presiden UMNO pendekatan terbaik

Amanat Presiden UMNO pendekatan terbaik


Najib Tun Razak (tengah) turut menyanyikan lagu UMNO pada Majlis Amanat Presiden Parti kepada Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama Naib Presiden UMNO (dari kiri) Mohd. Shafie Apdal, Hishammuddin Tun Hussin dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ahmad Maslan dan Rosnah Abdul Rashid Shirlin (kanan). - bernama


KUALA LUMPUR 20 Nov. - Amanat Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Pemuda dan Puteri UMNO hari ini merupakan satu suntikan motivasi memandangkan pengundi muda adalah faktor penentu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, amanat yang disampaikan Presiden khas kepada Pemuda dan Puteri itu merupakan satu program yang julung kali diadakan bagi mengingatkan kepada ahli parti generasi muda tentang pelbagai perkara terutama berhubung perpaduan di semua peringkat parti.

"Pada kebiasaannya, apabila Perhimpunan Agung UMNO, tidak ada ruang untuk Presiden bertemu dengan semua perwakilan terutama yang muda. Namun pada program kali ini ia membolehkan generasi muda mendengar sendiri mesej yang disampaikan oleh Presiden secara menyeluruh," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Amanat Presiden Kepada Pemuda dan Puteri UMNO 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula berkata, peranan sayap Pemuda dan Puteri begitu penting sekali dalam berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

"Oleh sebab itu, Presiden telah menekankan bahawa di dalam PRU-13 nanti, golongan muda mesti memikirkan perkara yang lebih besar, isu berhubung kait relevannya parti kita serta betapa penting mereka sebagai pemimpin masa depan selain keperluan untuk memahami bagaimana betapa sukar untuk memimpin dalam konteks parti, lebih-lebih lagi dalam masyarakat majmuk," katanya.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan pula berkata, amanat Presiden itu menunjukkan bahawa semua ahli parti terutama orang muda perlu menyediakan diri sebagai jentera serta bala tentera kepada parti terutama bagi menawan semula negeri-negeri yang kalah pada pilihan raya umum lalu.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin berkata, amanat yang julung kali diadakan sebelum Perhimpunan Agung UMNO itu merupakan permintaan khusus kedua-dua sayap parti bagi memberi suntikan motivasi, memandangkan pengundi muda merupakan faktor penentu dalam PRU13.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pula berkata, apa yang disampaikan oleh Najib itu menjadi panduan kepada golongan muda yang berada di dalam parti bagi menghadapi PRU13 yang boleh memberikan impak kepada sokongan generasi muda untuk kembali menyokong UMNO dan BN.

Full content generated by Get Full RSS.

Pandangan Dr. M cabaran UMNO

Posted:

Pandangan Dr. M cabaran UMNO

Pandangan Dr. M cabaran UMNO

KUALA LUMPUR 20 Nov. – Pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai peranan UMNO yang dilihat masih tidak mencukupi dalam membantu orang Melayu disifatkan sebagai satu cabaran kepada kaum itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pemikiran Dr. Mahathir itu dilontarkan bagi melihat sama ada orang Melayu sendiri mampu untuk menyahut apa yang dibangkitkan bekas Perdana Menteri itu mengenai orang Melayu dan peranan UMNO.

"Bagi saya apa yang dikatakan oleh Dr. Mahathir berhubung budaya cantas-mencantas dan peranan UMNO tidak cukup untuk membantu orang Melayu, bagi saya ia bukan satu perkara unik yang berlaku kepada UMNO sahaja.

"Malah saya tidak nafikan bahawa apa yang berlaku itu boleh membelenggu proses dalam kita merombak atau melakukan transformasi kepada parti, lebih-lebih lagi menentukan kelangsungan parti pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

"Dan mengenali Tun (Dr. Mahathir), menjelang persidangan (Perhimpunan Agung UMNO), selalunya cabaran dan pemikiran sebegini dilontarkan untuk melihat sama ada kita mampu atau tidak menyahut cabaran beliau itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Amanat Presiden Kepada Pemuda dan Puteri UMNO 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pendidikan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Guru tidak perlu kerja 9 jam

Posted:

Guru tidak perlu kerja 9 jam

Guru tidak perlu kerja 9 jam

Oleh AZMY MOHAMED
pendidikan@utusan.com.my

PEMANSUHAN projek rintis guru bekerja sembilan di empat negeri menunjukkan kerajaan prihatin dengan masalah golongan pendidik dan bersedia menerima sebarang cadangan untuk menambah baik sistem pendidikan di negara kita.

Ketika mengumumkan pemansuhan itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program tersebut tidak perlu diteruskan jika guru sendiri tidak memahami kehendak sebenar projek rintis berkenaan yang bertujuan memperkasakan perkhidmatan guru.

Sebenarnya, tujuan peluasan projek rintis yang melibatkan 5,000 guru di Sarawak, Pahang, Melaka dan Johor adalah untuk mencari satu ketetapan terhadap beberapa dakwaan yang kurang tepat mengenai beban kerja guru serta tanggungjawab yang tidak seimbang antara tugas mengajar dan tanggungjawab pentadbiran.

Hal ini kerana sejak sekian lama telah wujud persepsi bahawa guru terpaksa mengorbankan lebih banyak masa dalam tugas-tugas perkeranian sehingga menjejaskan kualiti pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Ketika ini, mengikut peraturan sedia ada, seseorang guru diwajibkan mengajar sebanyak 30 waktu bagi sekolah rendah dan 24 waktu bagi sekolah menengah setiap minggu.

Dari perspektif jumlah jam bekerja, guru hanya terlibat dalam aktiviti mengajar kira-kira 18 hingga 22 jam 30 minit seminggu berbanding penjawat awam lain yang bekerja 8 jam sehari iaitu 40 jam seminggu.

Bagaimanapun, ada pendapat mengatakan bahawa tanggungjawab guru itu bukan sekadar di bilik darjah malah meliputi lain-lain aktiviti termasuk kokurikulum, memeriksa projek latihan pelajar atau buku latihan pelajar dan merancang aktiviti P&P.

Oleh sebab itu, melalui projek rintis ini, guru terbabit hendaklah merekodkan jumlah masa yang mereka gunakan untuk aktiviti tersebut bagi mengesahkan kerja-kerja berkenaandilaksanakan sama ada semasa di sekolah selepas waktu mengajar, dibawa balik ke rumah atau ketika hari cuti.

Berdasarkan statistik yang bakal diperoleh akan memudahkan pembuat dasar membuat perancangan untuk memartabatkan profesion perguruan.

Selain itu, tujuan projek rintis itu juga untuk membolehkan ada kewajaran lain diambil termasuk menempatkan lain-lain profesion dalam perkhidmatan pengurusan pendidikan misalnya kalangan penjawat awam yang dilatih khusus dalam bidang kewangan, pentadbiran, pengutipan data dan sebagainya.

Sekiranya kutipan data itu menggambarkan bahawa guru yang menumpukan sepenuh masa dalam P&P telah mampu meningkatkan kualiti pendidikan ke tahap yang cemerlang, maka adalah wajar tugas bukan akademik diserahkan kepada orang lain.

Bagaimanapun aspek pedagogi tetap menjadi hak eksklusif para guru kerana mereka memang dilatih dalam bidang itu tetapi bukan dalam aspek pengurusan.

Apa pun pemansuhan projek rintis ini berjaya menghilangkan rasa panik di kalangan guru khususnya yang terlibat secara langsung dan juga guru lain secara keseluruhannya.

Kini, semua guru boleh kembali fokus untuk mendidik anak bangsa demi memenuhi hasrat untuk melahirkan modal insan yang mampu bersaing di peringkat global di samping meningkatkan kebolehpasaran mereka selaras dengan hasrat Malaysia mencapai negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

Diharap pemansuhan ini akan memberi lebih banyak masa dan ruang untuk guru membentuk kemenjadian anak didiknya.

Peluang ini hendakaklah dimanfaatkan oleh para guru untuk mengutamakan kerja wajib mereka seperti mengajar, memeriksa dan menyemak, mengurus para pelajar dan memberi bimbingan akademik.

Seharusnya, ia tidak disalah guna untuk kerja-kerja sampingan lain yang boleh menjejaskan prestasinya tetapi peluang ini wajar digunakan untuk melibatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan supaya mereka terus dihormati dan disanjung tinggi oleh pelajar, ibu bapa serta komuniti setempat.

Full content generated by Get Full RSS.

Majlis graduasi suntik motivasi

Posted:

Majlis graduasi suntik motivasi

Majlis graduasi suntik motivasi

MAJLIS Graduasi Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tasik Kesuma berjaya memberi suntikan motivasi, dorongan dan membakar semangat mereka untuk mencapai menjadi insan cemerlang dalam pelbagai bidang pada masa hadapan.

Guru Besarnya, Rusda Mosdaram berkata, majlis itu diadakan bagi memberi penghargaan atas usaha keras murid-murid yang telah berusaha menamatkan pengajian selama tempoh enam tahun di sekolah tersebut.

"Tempoh ini diharap dapat memberi persediaan yang mencukupi bagi murid-murid berkenaan untuk melangkah ke alam sekolah menengah yang lebih mencabar dan memerlukan daya usaha yang tinggi," katanya ketika berucap pada majlis itu di Beranang, Selangor, baru-baru ini.

Hadir sama Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Norazman Mat Kalam dan Naib Yang Dipertuanya, Abd. Rashid Abd. Aziz.

Menurut Rusda, majlis itu juga diadakan sebagai satu lakaran sejarah bagi murid-murid tersebut agar mereka mempunyai memori terindah semasa di alam sekolah rendah yang mampu diingati hingga mereka dewasa kelak.

"Usaha gigih guru-guru dalam memberi didikan terbaik kepada semua murid tanpa mengira penat lelah hanya mampu dibalas dengan hasil pencapaian cemerlang yang diperoleh dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)," jelasnya.

Sementara itu, Norazman dalam ucapannya berharap agar usaha keras murid dalam menimba ilmu serta kegigihan guru dalam memberi didikan akan dapat diteruskan bagi menjamin kelangsungan kecemerlangan sekolah.

"Kecemerlangan ini juga tidak akan hanya mampu dicapai tanpa sokongan dan dorongan serta didikan yang baik oleh ibu bapa semasa berada di rumah.

"Oleh yang demikian, diharapkan agar kecemerlangan pencapaian murid-murid di sekolah ini akan terus dikekalkan atau ditingkatkan lagi pada masa hadapan," ujarnya.

Pada majlis sama, pihak sekolah turut mengumumkan keputusan UPSR 2011 yang diumumkan serentak di seluruh negara pada hari tersebut.

Seramai 51 daripada 372 jumlah keseluruhan murid sekolah itu yang menduduki UPSR 2011 menerima keputusan cemerlang 5A.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Lebih sengit dari di Laos

Posted:

Lebih sengit dari di Laos

Lebih sengit dari di Laos

JAKARTA - Sebagai tonggak yang membantu Malaysia merangkul pingat emas Sukan SEA dua tahun lalu, kapten skuad negara, Baddrol Bakhtiar mengakui, cabaran untuk mempertahankan kejuaraan kali ini jauh lebih sukar berbanding ketika memenanginya di Laos, menewaskan Vietnam di final.

Jelas pemain sayap berusia 23 tahun itu, pertarungan kali ini bukan saja memerlukan Malaysia berdepan pasukan kuat Indonesia, malah dikelilingi penyokong fanatik negara itu yang melakukan pelbagai serangan psikologi untuk menjatuhkan semangat pemain kita.

Biarpun berjaya menumbangkan tuan rumah 1-0 dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A, Khamis lalu, namun Baddrol mengakui, pertemuan kali kedua dalam tempoh lima hari jauh berbeza, apatah lagi Indonesia pasti cuba bangkit membersihkan maruah yang tercalar.

"Final di Jakarta ini memang sukar dan sengit, sudah tentu pengalaman kali ini lebih mencabar berbanding apa yang kami lalui di Laos, dua tahun lalu. Pertamanya kami terpaksa menghadapi ribuan penyokong fanatik mereka.

"Indonesia juga sudah pasti bermati-matian bukan sahaja untuk memastikan pingat emas tetapi mahu membalas dendam selepas kalah kepada Malaysia pada perlawanan terakhir kumpulan,'' ujar pemain kelahiran Sungai Petani, Kedah itu.

Bagaimanapun tegas Baddrol, sebagaimana rakan-rakan sepasukannya berjaya menyerap segala tekanan dalam pertemuan Khamis lalu, dia yakin mereka juga memiliki mental yang tinggi untuk menangani situasi yang sama hari ini.

Malah, mereka pasti lebih bersemangat untuk menghadirkan kemenangan kerana menyedari kemenangan kali ini bukan sekadar menentukan juara kumpulan, malah memberi pingat emas.

"Biarpun berdepan pelbagai kesukaran, janji kami hanya satu, memberikan persembahan terbaik dan mengambil kesempatan daripada pertahanan mereka yang agak goyah.

"Saya yakin jika semua mengikut perancangan dan berjalan lancar, kita mampu mempertahankan pingat emas," katanya.

Sementara itu penyerang muda negara, Muda, Izzaq Faris Ramlan kecewa kerana terpaksa disisihkan daripada aksi final akibat kecederaan lutut.

Penjaring gol kemenangan Malaysia ketika mengalahkan Thailand 2-1 di peringkat kumpulan itu mengalami kecederaan tersebut pada aksi separuh akhir menentang Myanmar, kelmarin.

"Selepas perlawanan separuh akhir dengan Myanmar semalam (kelmarin), perasaan saya bercampur baur, gembira dan sedih. Gembira kerana kita akhirnya berjaya ke perlawanan akhir, namun dalam masa yang sama kecewa kerana tidak dapat bersama rakan sepasukan beraksi pada pentas final akibat cedera.

"Saya berdoa semoga kita memenangi perlawanan akhir itu nanti dan saya percaya rakan-rakan sepasukan mampu memenanginya.

"Secara peribadi memang saya mahukan pingat emas bola sepak Sukan SEA," katanya. - Utusan

Full content generated by Get Full RSS.

Misi 60 emas mungkin sukar

Posted:

Misi 60 emas mungkin sukar

Misi 60 emas mungkin sukar

JAKARTA - Sasaran 60 pingat emas yang ditukar pada saat akhir mungkin sukar dicapai ketika Sukan SEA XXVI tinggal dua hari untuk ditutup, namun tambahan beberapa emas mungkin masih boleh berlaku selepas kontinjen negara mencatat angka 52 dengan menokok enam emas di hari ke-10, semalam.

Renang berirama menyapu bersih empat emas yang ditawarkan setakat ini dengan mendominasi acara duet rutin bebas menerusi Pnh Hui Chuen dan Katrina Ann, selain menggunguli saingan berpasukan rutin bebas.

Wusyu pula melengkapkan emas keempat mereka semalam apabila menokok dua lagi menerusi Tai Cheau Xuen dalam kombinasi Nandao dan Nan Gun wanita, manakala Kevan Cheah Nandao + Nan Gun lelaki.

Boling menamatkan kempen selaku juara keseluruhan selepas Adrian Ang menghadirkan emas kelima negara dalam acara prestij Masters lelaki, yang menyaksikan Muhd. Syafiq Rihdwan Abdul Malek meraih gangsa.

Hasrat basikal untuk menambah dua lagi emas tertangguh selepas ratu berbasikal trek negara, Fatehah Mustapa terpaksa menunggu untuk memburu emas keduanya dalam scratch 5 kilometer apabila perlumbaan ditangguh akibat hujan.

Bagaimanapun Malaysia meneruskan penguasaan dalam acara berpasukan lelaki kejar mengejar 4,000 meter di velodrom Rawamangun di sini, semalam.

Kuartet Mohd. Harrif Salleh, Mohamad Akmal Amrun, Mohd Adiq Husainie Othman dan Amir Mustafa Rusli membuktikan keunggulan mereka apabila menewaskan pesaing dari Indonesia pada aksi akhir, sekali gus mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand.

Mereka mencatat masa 4:36.322 untuk meraih emas ketiga Malaysia dalam basikal trek, sementara Indonesia ketinggalan di belakang dengan masa 4:51.404 bagi memenangi perak. Filipina dengan masa 4:45.900 meraih gangsa.

Kemenangan tersebut merupakan pencapaian membanggakan terutamanya buat Harrif yang memenangi emas keduanya selepas menjuarai acara perlumbaan scratch 10km, kelmarin.

"Sukar saya hendak luahkan dengan kata-kata. Kami telah memberikan yang terbaik, hari ini (semalam) meskipun terpaksa berhadapan dengan ejekan dan cemuhan daripada penyokong tuan rumah, tetapi kami berjaya mengawal emosi kami," kata Harrif.

Hari ini renang berirama menawarkan emas terakhir di kolam renang, basikal mengharapkan Fateha meraih emas kedua, manakala tumpuan juga kepada tinju yang menampilkan Muhammad Farkhan.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


20 bookie judi Taiwan dicekup

Posted:

20 bookie judi Taiwan dicekup

20 bookie judi Taiwan dicekup

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Cubaan satu sindiket dari Taiwan untuk menjadikan negara ini sebagai pusat operasi perjudian haram antarabangsa membabitkan pertaruhan bernilai jutaan ringgit tidak kesampaian apabila polis berjaya mengesan kegiatan mereka setelah menyerbu sebuah banglo di Bukit Damansara di sini semalam.

Dalam serbuan pada pukul 6 pagi itu, seramai 20 lelaki Taiwan disyaki bookie berjaya dicekup dan sejumlah peralatan yang digunakan untuk menjalankan kegiatan judi haram turut dirampas.

Tangkapan terbabit adalah pertama dan terbesar membabitkan bookie warga asing di Malaysia tahun ini.

Difahamkan, sindiket terbabit memilih Malaysia untuk menjalankan kegiatan haram tersebut kerana mudah beroperasi memandangkan tiada yang mengenali mereka di negara ini.

Di negara ini, sindiket biasanya mengendalikan pertaruhan dalam judi bola sepak membabitkan perlawanan liga Eropah seperti Liga Perdana England, Jerman, Itali dan Brazil.

Selain itu, mereka juga menjalankan pertaruhan judi berbentuk kasino melalui Internet. Kesemua pertaruhan membabitkan nilai mencecah jutaan ringgit.

Menurut sumber, kumpulan sindiket antarabangsa itu dipercayai menggunakan banglo berkenaan untuk dijadikan pusat operasi menjalankan kegiatan perjudian haram bagi mengelak kegiatan mereka dihidu oleh pihak berkuasa di negara asal.

"Mereka bagaimanapun tersilap kerana polis negara kita juga cekap apabila berjaya menghidu kegiatan mereka sebelum bertindak menyerbu banglo terbabit pada pukul 6 pagi semalam.

"Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk menjalankan kegiatan haram tersebut seperti komputer riba dan telefon bimbit," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sumber berkata, siasatan mendapati, kesemua bookie yang ditahan, memasuki negara ini menggunakan pas sebagai pelancong tetapi mengambil kesempatan untuk menjalankan kegiatan perjudian haram.

Beliau berkata, kesemua suspek berusia 20-an hingga 35 tahun kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953.

"Kita masih menyiasat lanjut bagaimana kumpulan sindiket terbabit beroperasi, berapa lama mereka menjalankan kegiatan haram tersebut, siapa yang berurus niaga dengan mereka dan baki kumpulan yang masih bebas," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

PDRM rampas dadah RM20j

Posted:

PDRM rampas dadah RM20j

PDRM rampas dadah RM20j

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Selang seminggu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu sindiket dadah antarabangsa dengan rampasan bernilai lebih RM20 juta, pasukan itu sekali lagi mencatat kejayaan sama, petang semalam.

Dalam kejayaan terbaru itu, pasukan tersebut menumpaskan satu sindiket dadah antarabangsa dan merampas syabu bernilai RM20 juta di Putra Perdana, Puchong, dalam operasi dari pukul 2 hingga 4 petang.

Difahamkan, kejayaan itu hasil maklumat dan risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejayaan rampasan tersebut dan memberitahu, satu sidang akhbar akan diadakan esok.

Pada 11 November lalu, polis menumpaskan sindiket dadah antarabangsa yang memproses ekstasi, dipercayai didalangi warga Belanda, di Alor Setar, Kedah.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Dataran Tahrir bergolak lagi

Posted:

Dataran Tahrir bergolak lagi

Dataran Tahrir bergolak lagi

KAHERAH 20 Nov. - Pertempuran antara polis Mesir dan penunjuk perasaan yang mendesak kerajaan tentera mengumumkan tarikh peralihan kuasa masuk hari kedua di Dataran Tahrir di sini hari ini.

Polis melepaskan gas pemedih mata ke arah beberapa ribu penunjuk perasaan di Dataran Tahrir hari ini, pusat pemberontakan rakyat selama 18 hari yang menyaksikan pemimpin Mesir, Hosni Mubarak digulingkan pada Februari lalu.

Penunjuk perasaan pula membalas dengan melemparkan batu ke arah polis.

Kejadian terbaru itu berlaku selepas pertempuran di Kaherah dan dua bandar lain di negara ini yang menyaksikan dua orang maut dan beratus orang lagi cedera.

Dalam kejadian semalam, beratus-ratus golongan muda melaungkan 'Rakyat mahu menggulingkan rejim' di pusat kota Kaherah semalam ketika mereka merempuh polis yang melepaskan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata.

Perusuh turut memecahkan simen di laluan pejalan kaki dan melemparkannya ke arah polis selepas pasukan keselamatan hilang kawalan di Dataran Tahrir sebanyak dua kali.

Bangunan pentadbiran negeri Mogamma berdekatan dataran berkenaan terbakar pada tengah malam tadi.

Ketika polis melepaskan gas pemedih mata beberapa kali, penunjuk perasaan berdekatan bangunan Kementerian Dalam Negeri membina tembok sekatan jalan raya daripada batu-bata bagi menghalang laluan ke dataran berkenaan.

Agensi berita rasmi MENA yang memetik jurucakap Kementerian Kesihatan berkata, 676 orang cedera dalam pertempuran di Kaherah.

''Seorang penunjuk perasaan, Ahmed Mahmoud berumur 23 tahun meninggal dunia di hospital. Seorang lagi mangsa maut di Iskandariah,'' kata MENA.

Pilihan raya umum dijangka bermula pada 28 November ini namun akan ditangguhkan jika keganasan semakin meluas. – Agensi

Full content generated by Get Full RSS.

Singapura pandang serius anggota tentera hina Islam

Posted:

Singapura pandang serius anggota tentera hina Islam

Singapura pandang serius anggota tentera hina Islam


PAPARAN akaun Facebook milik Christian Eliab Ratnam iaitu anggota tentera Singapura yang mencemuh Islam beserta bendera Israel. - AGENSI


SINGAPURA 20 Nov. - Kementerian Pertahanan Singapura (MINDEF) memandang serius tindakan seorang anggota tentera yang mencemuh Islam dalam laman web sosial Facebook.

MINDEF berkata demikian dalam jawapannya kepada pertanyaan media mengenai laporan seorang anggota tentera kebangsaan (NSF) menyiarkan gambar ayat mengkritik Islam di dalam akaun Facebook miliknya.

"Kami memandang serius kelakuan anggota kami di khalayak umum," kata kementerian itu, lapor CNA hari ini.

Anggota itu dikenal pasti sebagai Christian Eliab Ratnam yang menyiarkan gambar teks berbunyi 'Islam bukan suatu agama tetapi doktrin politik autoritarian yang dikuatkuasakan secara paksa'.

Ratnam juga dilaporkan menyokong perjuangan Israel dan Yahudi, berdasarkan bendera dan simbol Tentera Pertahanan Israel pada akaun Facebooknya, selain menganggotai kumpulan penyokong rakyat Israel dan Yahudi di Singapura.

Tindakannya turut dikecam oleh rakyat Singapura dan akaun Facebooknya telah ditutup.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Hal Ehwal Awam MINDEF, Kolonel Desmond Tan berkata, siasatan polis sedang dijalankan.

Menurutnya, MINDEF sedang membantu siasatan dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika perlu.

Siasatan seumpama ini adalah yang kedua dalam bulan ini.

Sebelum ini, seorang bekas anggota sayap Pemuda Parti Tindakan Rakyat (PAP), Jason Neo disiasat kerana kenyataannya di dalam Facebook yang menghina kanak-kanak Melayu yang menaiki bas sekolah. - AGENSI

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Sedia beli rumah penduduk

Posted:

Sedia beli rumah penduduk

Sedia beli rumah penduduk

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my


ADNAN Yaakob berjalan kaki bersama Zulkifli Yaakob di Taman Gelora, Kuantan, semalam. - UTUSAN/RUSHDI SALLEH


KUANTAN 20 Nov. - Rakyat di daerah ini boleh menjual rumah yang didiami mereka sekiranya takut menerima kesan ekoran pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi oleh Syarikat Lynas Corporation Ltd. (Lynas) di Gebeng, di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerajaan negeri melalui agensi kerajaan di bawahnya sedia membeli rumah tersebut jika ia dijual pada harga berpatutan.

"Operasi kilang Lynas adalah tidak berbahaya kepada orang awam, persekitaran dan pekerjanya kerana ia bukanlah kilang nuklear, tetapi hanya kilang kimia biasa.

"Kalau di Fukushima, Jepun itu betul menghasilkan nuklear, kita tidak. Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) juga tidak akan luluskan Lynas jika ia mengancam keselamatan rakyat.

"Tetapi, jika ada rakyat yang masih takut dengan kilang ini, juallah rumah mereka dengan harga murah, kita sedia membelinya dan boleh menawarkan rumah itu kepada orang lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Berjalan Kaki Sedunia anjuran Nestle dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di Taman Gelora di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Zulkifli Yaakob.

Mengulas lanjut Adnan berkata, pembinaan kilang Lynas itu sengaja dijadikan isu oleh pembangkang terutama Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan disokong pula oleh sesetengah pemimpin DAP.

"Ia hanya umpan politik terutama oleh Fuziah yang mahu mengekalkan kedudukannya di Kuantan, sebab itu isu ini (Lynas) dibangkitkan kerana ia adalah berkaitan dengan orang ramai.

"Apa yang kita (kerajaan) lakukan semuanya telah mengambil kira kepentingan rakyat kerana kita tahu hanya kuasa rakyat akan menentukan masa depan kita," katanya.

Beliau dalam pada itu secara sinis mencadangkan kepada pihak yang sering menganjurkan kempen anti Lynas di Taman Gelora di sini supaya mengadakan kempen itu setiap minggu.

"Saya cadangkan kempen ini (anti Lynas) diadakan setiap minggu. Tidak perlu sepanduk-sepanduk, sekadar pakai baju anti Lynas dan berarak di Taman Gelora.

"Saya juga mahu turut serta dan akan bawa penyokong saya yang pro Lynas, kita sama-sama berjalan kaki, baru muhibah," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Bentuk generasi berilmu, berakhlak – Sultan Pahang

Posted:

Bentuk generasi berilmu, berakhlak – Sultan Pahang

Bentuk generasi berilmu, berakhlak – Sultan Pahang

KUANTAN 20 Nov. – Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bertitah, semua pihak termasuk ibu bapa perlu memainkan peranan bersama dalam melaksanakan pembentukan generasi berilmu dan berakhlak mulia di negara ini.

Baginda bertitah, generasi yang mempunyai kedua-dua sifat tersebut mampu menjadi rakyat yang berjasa kepada bangsa dan agama seterusnya mencorak masa depan negara.

"Orang yang berilmu dan mengutamakan kecemerlangan bukan sahaja akan mendapat kesejahteraan dalam hidup malah mereka dengan mudah dapat mengatasi kelemahan yang wujud dalam diri.

"Seseorang yang berilmu tidak akan berhenti untuk mentelaah dan mereka merupakan orang yang diangkat darjatnya di sisi Allah," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berucap merasmikan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Afzan dan Majlis Cakna Kasih sempena memuliakan ulang tahun Hari Keputeraan baginda di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Sementara itu, Sultan Ahmad Shah kelihatan sebak sebaik sahaja bertitah mengenai nama sekolah berkenaan yang diambil sempena nama Almarhum Tengku Afzan Tengku Panglima Perang Muhammad yang mangkat pada 1988.

Full content generated by Get Full RSS.

Gangguan air di Kuantan

Posted:

Gangguan air di Kuantan

Gangguan air di Kuantan

KUANTAN 20 Nov. - Beberapa kawasan di daerah ini akan mengalami tekanan air rendah pada Selasa ini bermula pukul 9 pagi hingga 9 malam berikutan kerja-kerja penyelenggaraan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Sub Stesen Utama Bandar Indera Mahkota di sini.

Jabatan Bekalan Air Pahang dalam satu kenyataan berkata, antara kawasan terlibat ialah BP Chemical, Seri Damai, Jaya Gading, Taman Guru, Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) dan Kem Batu 10.

Turut terlibat adalah Taman Inderapura, Taman Indera Sempurna, Kampung Cherok Palok, Sungai Soi, Kempadang dan Tanjung Lumpur.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved