Selasa, 1 November 2011

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


PPR Putra Damai terabai

Posted:

PPR Putra Damai terabai

PPR Putra Damai terabai

Oleh NUR NAZLINA NADZARI
kota@utusan.com.my


SEORANG kanak kanak, Afrina Azmi mencantumkan wayar untuk menggunakan lif di PPR Taman Putra Damai, Lembah Subang berikutan ketiadaan butang lif . - utusan/Nooradzrene Mohd Noor


SUBANG 1 Nov. - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Mungkin itu perumpamaan yang tepat bagi menggambarkan keadaan penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Damai, Lembah Subang dekat sini.

Ini kerana penghuni PPR yang mengandungi lapan blok setinggi 17 tingkat itu sudah lama menghadapi masalah penyenggaraan bangunan yang lemah.

Semasa berada di hadapan lif Blok A, didapati hanya satu sahaja lif yang berfungsi dan apabila masuk ke dalamnya, banyak butang yang sudah tiada.

Tidak dapat dibayangkan bagaimana penduduk blok itu yang begitu ramai menjalani urusan harian mereka terutama mereka yang tinggal di tingkat yang butang lif sudah hilang.

Seorang penduduk, Noriah Yusoff, 37, berkata, masalah lif rosak itu berlaku di kesemua lapan blok di PPR itu dan ia amat menyusahkan penduduk kerana lif yang berfungsi itu juga sering rosak.

Selain itu, katanya, keadaan itu membahayakan penduduk kerana lif itu sering tidak berfungsi secara tiba-tiba dan sudah ramai penduduk yang terperangkap di dalamnya termasuk dia sendiri.

"Saya sudah beberapa kali terperangkap di dalam lif yang naik tanpa henti dan kemudian turun dengan kelajuan yang tinggi. Oleh kerana tiada sistem komunikasi untuk meminta tolong dari dalam lif, kami terpaksa mengopek pintu.

"Walaupun telah banyak aduan telah dibuat, namun sehingga kini masih tiada sebarang tindakan diambil," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Hanim Ahmad, 29, berkata, masalah penyenggaraan di PPR itu menjadi teruk semenjak pilihan raya lalu kerana pelbagai perubahan dibuat serta pengurusan ditukar.

Menurutnya, walaupun banyak aduan telah dibuat tetapi perkara itu tidak pernah diendahkan oleh Ahli Majlis, sebaliknya mereka lebih berminat untuk campur tangan dalam pemilihan wakil persatuan penduduk.

"Di sini setiap blok mempunyai persatuan penduduk sendiri tetapi ia tidak dipilih oleh penduduk secara undian. Sebab itulah segala masalah kami tidak pernah dibela.

"Sudahlah lif selalu rosak, tangga di Blok B juga tidak mempunyai pemegang dan ia boleh membahayakan penduduk terutamanya kanak-kanak dan orang tua," ujarnya.

Di samping itu, masalah lain yang boleh dilihat ialah isu sampah, kebersihan kawasan sekitar blok yang terabai, hos bomba yang sudah hilang dan juga masalah paip bocor.

Full content generated by Get Full RSS.

Penduduk rayu PM campur tangan selesai masalah

Posted:

Penduduk rayu PM campur tangan selesai masalah

Penduduk rayu PM campur tangan selesai masalah

SUBANG 1 Nov. - "Kami mohon Perdana Menteri turun padang dan mendengar sendiri nasib penduduk di sini yang sudah lama tertekan dengan pelbagai masalah."

Itulah permintaan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Damai, Lembah Subang di sini yang semakin tidak tertanggung dengan masalah yang membelenggu mereka.

Kata mereka, hanya Datuk Seri Najib Tun Razak mampu menyelesaikan masalah-masalah itu kerana pemimpin di bawah kerajaan negeri gagal membantu walaupun aduan sudah dibuat.

"Ini termasuklah isu kadar sewa rumah yang tidak sama antara penduduk yang dihadapi sejak 2008," kata mereka.

Setiausaha Persatuan Penduduk, Kamarulzaman Illias (gambar) , 41, berkata, bukan sahaja aduan mengenai masalah yang mereka hadapi tidak diendahkan, malah penduduk seolah-oleh diugut oleh pihak yang berkenaan.

Katanya, penduduk yang tidak berpuas hati dengan kadar sewa rumah berbeza serta pelbagai masalah lain telah membawa perkara tersebut ke pengetahuan Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abu Bakar Hassan.

"Rentetan itu, pada Julai lalu, satu perjumpaan dengan Datuk Abu Bakar bersama penduduk, Penyelaras Pembangunan Lembah Subang dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah diadakan bagi membincangkan masalah-masalah yang dihadapi penduduk.

"Antara masalah yang dibangkitkan penduduk adalah kadar sewa yang berbeza iaitu RM124 dan RM250, masalah lif rosak yang tidak dibaiki, penutup longkang dan masalah bekalan air," katanya.

Beliau berkata, Abu Bakar terkejut dengan kadar sewa yang berbeza antara penyewa sedangkan rumah mereka adalah sama dan beliau meminta MBPJ berbincang dengan wakil penduduk mengenai masalah itu.

Namun, katanya, perbincangan itu tidak pernah diadakan, sebaliknya, pihak MBPJ mengeluarkan notis bertarikh 26 Julai yang mengatakan bahawa pihaknya telah mendapat arahan lanjut untuk mengusir penyewa yang mempunyai tunggakan yang tinggi.

"Ini jelas menunjukkan ada pihak yang sudah memutarbelitkan isu itu dan penduduk di sini seolah-olah diancam kerana bersuara dan membangkitkan masalah di situ kepada kerajaan pusat.

"Penduduk sangat berharap Perdana Menteri dapat turun padang dan melihat sendiri keadaan penduduk di sini yang menghadapi masalah kemudahan asas yang teruk," ujarnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Lampu isyarat punca sesak

Posted:

Lampu isyarat punca sesak

Lampu isyarat punca sesak

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
kota@utusan.com.my


KESESAKAN lalu lintas yang berlaku berhampiran apartmen Vista Angkasa, Pantai Dalam dikatakan berpunca daripada sistem lampu isyarat yang dipasang di persimpangan di kawasan itu baru-baru ini. - utusan/Shahril Aizat Bin Ahmad


KUALA LUMPUR 1 Nov. - Pemandu yang melalui jalan berhampiran Vista Angkasa, Pantai Dalam di sini merungut kerana jalan itu menjadi sesak sejak lampu isyarat dipasang di beberapa simpang di situ.

Tinjauan mendapati kenderaan berbaris panjang untuk melepasi beberapa lampu isyarat di kawasan tersebut terutama pada waktu puncak pagi dan petang.

Seorang pengguna, Mohd. Azizi Abu Bakar, 28, yang sering berulang alik melalui jalan itu mengakui, kewujudan lampu isyarat di situ adalah punca kepada masalah kesesakan yang berlaku itu.

Katanya, di kawasan itu terdapat begitu banyak lampu isyarat sedangkan ia benar-benar diperlukan hanya satu iaitu berhampiran susur keluar ke Lebuh raya Persekutuan.

Ujarnya, ada ketikanya, keadaan jalan yang lengang tiba-tiba bertukar menjadi sesak gara-gara lampu isyarat itu.

"Kawasan Vista Angkasa ini sememangnya padat dengan penduduk dan sistem lampu isyarat itu tidak wajar dipasang kerana ia mendatangkan kesesakan sahaja.

"Sudahlah kami perlu bersesak-sesak semasa berada di pusat bandar raya, bila mahu pulang

ke rumah pun terpaksa berhadapan situasi yang sama," katanya yang tinggal di Vista Angkasa.

Azizi Razali, 26, pula meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mematikan sistem lampu isyarat di situ dan membuat pemantauan tentang keadaan trafik di kawasan itu.

Seperti Mohd. Azizi, dia berpendapat, lampu isyarat hanya diperlukan berhampiran susur keluar ke Lebuh raya Persekutuan dan bukannya di setiap simpang di situ yang jaraknya hanya beberapa ratus meter antara satu sama lain.

"Saya rasa, kalau sistem lampu isyarat di sini dimatikan, kemungkinan tidak akan berlaku lagi kesesakan teruk di kawasan ini," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Perlu lampu di Jalan Tenglu Laut

Posted:

Perlu lampu di Jalan Tenglu Laut

Perlu lampu di Jalan Tenglu Laut

Oleh RAHIMAH MOHAMED
utusanjohor@utusan.com.my


JALAN Tenglu Laut yang terlalu gelap waktu malam boleh mengundang pelbagai bahaya jika tidak disediakan lampu jalan dengan segera.


MERSING 31 Okt. - Penduduk di sekitar Jalan Tenglu Laut di sini merayu pihak berkuasa segera menyediakan lampu di sepanjang jalan tersebut bagi kemudahan pengguna.

Seorang penduduk, Marsilla Johar, 55, mendakwa, laluan itu terlalu gelap waktu malam kerana ketiadaan lampu jalan.

"Selain gelap, laluan itu juga sunyi kerana tiada sebarang kedai di sekitar kawasan berkenaan," katanya semasa ditemui Utusan Malay-sia baru-baru ini.

Dia kerap menggunakan Jalan Tenglu Laut kerana ia merupakan jalan pintas ke rumah rakannya di Kampung Air Papan.

Norfaizah Mohd. Yusof, 25, pula mengakui takut setiap kali melalui jalan itu kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku pada waktu senja.

"Walaupun senja, namun laluan di sepanjang Jalan Tenglu Laut ini sudah mula gelap dan ia tambah membimbangkan kerana ia bertentangan dengan laut," katanya.

Ekoran ketiadaan lampu jalan, dia yang menunggang motosikal bimbang terlanggar haiwan ternakan atau pejalan kaki.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia pada waktu malam di laluan itu mendapati, keadaan di sekeliling amat gelap dan boleh mendatangkan pelbagai bahaya.

Justeru, pihak yang berkaitan diminta segera memasang lampu di sepanjang laluan itu demi keselesaan dan keselamatan orang ramai.

Full content generated by Get Full RSS.

Bersihkan segera sampah-sarap ini

Posted:

Bersihkan segera sampah-sarap ini

Bersihkan segera sampah-sarap ini


SAMPAH-SARAP termasuk perabot lama dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab berhampiran SK Taman Daya 3, Taman Daya, Johor Bahru.


BERTABURAN... Tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang mengambil jalan mudah untuk melupuskan sampah-sarap di tepi jalan berhampiran Sekolah Kebangsaan Taman Daya 3 di Taman Daya, Johor Bahru amat dikesali.

Bukan sahaja sampah-sarap, malah perabot lama yang tidak digunakan turut dibuang ke kawasan berkenaan selain bahan binaan seperti batu bata dan konkrit.

Lebih mengecewakan, sampah-sarap tersebut kadangkala dibakar sesuka hati dan menyebabkan pencemaran alam sekitar sehingga mengganggu sesi persekolahan di sekolah berhampiran.

Lebih dikhuatiri sampah-sarap yang boleh menakung air akan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes hingga menyebabkan penularan wabak denggi.

Justeru, diharap agar pihak yang bertanggungjawab membersihkan longgokan sampah tersebut dengan segera dan meletakkan papan tanda amaran kawasan larangan membuang sampah di kawasan tersebut.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Penduduk pertahan Pokok Asam

Posted:

Penduduk pertahan Pokok Asam

Penduduk pertahan Pokok Asam

Oleh MALINDA ABDUL MALIK
utusanpenang@utusan.com.my


PENDUDUK Pokok Asam menunjukkan simbol 1Malaysia sebagai tanda mempertahankan kampung daripada dimajukan atas alasan mahu mengekalkannya sebagai Kampung Warisan Melayu dan Cina. – UTUSAN/Malinda Abdul Malik


PULAU PINANG 31 Okt. – "Jangan sampai kami jadi seperti Kampung Buah Pala Kedua..," laung lebih 70 penduduk Kampung Pokok Asam di sini berikutan tanah mereka akan diambil bagi tujuan pembinaan tapak perkuburan dan perumahan.

Selain bertegas mahu terus tinggal dan mengekalkannya sebagai kampung warisan Melayu dan Cina, penduduk juga sebulat suara mahu pemaju dan kerajaan negeri memberi pampasan sebuah rumah yang dibina di atas tanah di situ seperti mana diberikan kepada penduduk di Kampung Buah Pala, Gelugor dekat sini.

Pengerusi Persatuan Badan Bertindak Penduduk Jelutong, Zarus Yusof berkata, penduduk juga amat kecewa terhadap Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman dan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Oii kerana gagal hadir walaupun surat undangan untuk berdialog pada 29 Oktober lalu telah diberikan pada 12 Oktober lalu.

"Mansor memberi alasan tidak menerima surat jemputan daripada penduduk yang mahu berjumpanya bagi membincangkan isu perpindahan serta pembinaan semula kediaman sesuai untuk penduduk kampung," katanya ketika ditemui di kampung itu di sini, hari ini.

Menurut Zarus, sikap pemimpin negeri itu menunjukkan mereka lari daripada tanggungjawab dan seolah-olah 'cuci tangan' dalam menangani masalah kampung itu.

"Kami tiada pilihan selain mencari pihak-pihak yang dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi, malah timbalan saya telah menghantar memorandum kepada Jabatan Perdana Menteri berhubung isu ini.

"Saya juga ingin menegaskan bahawa mereka (Mansor dan Jeff Oii) memang layak digelar sebagai pemimpin yang penakut kerana gagal hadir bagi menangani masalah rakyat," ujarnya.

Sementara itu, salah seorang penduduk, Aidah Abdul Khalek Arabi, 36, berkata, mereka sebagai anak jati kampung itu akan terus mempertahankan kampung warisan nenek moyang mereka daripada ditelan arus pembangunan.

"Jika penduduk Kampung Buah Pala boleh mendapat pampasan sebuah rumah, mengapa tidak kami?

"Adakah kaum Melayu di negeri ini tidak mempunyai hak untuk berbuat demikian, sedangkan perkampungan ini sudah mencecah lebih 100 tahun.

"Kampung Buah Pala yang kini bergelar Taman Buah Pala adalah contohnya. Jadi, kami mahu kerajaan negeri membantu kerana mereka telah pun berjaya menyelesaikan isu tuntutan sama di sana dua tahun lalu," katanya.

Menurut Aidah, mereka inginkan pembangunan yang boleh mengekalkan perkampungan itu.

"Jika kawasan ini dijadikan kampung warisan, ia sedikit sebanyak dapat menyumbang dalam ekonomi pelancongan, tetapi kerajaan negeri tidak langsung ambil peduli mengenainya di sini.

"Masjid Jelutong di sini dahulunya dijadikan Mahkamah Syariah, malah ada lagi beberapa tempat lain yang boleh dijadikan warisan," ujarnya.

Difahamkan penduduk Kampung Pokok Asam kini berdepan dengan pengusiran, di mana tanah perkampungan berusia lebih 100 tahun itu bakal diambil oleh pemaju dari Kuala Lumpur bagi projek hartanah mewah.

Sebelum ini, timbul pelbagai permasalahan apabila ada penduduk mendakwa mereka tidak diberitahu tentang isu pengambilan tanah dan satu laporan polis juga dibuat berhubung isu sama.

Tanah lot yang dicadangkan untuk pengambilan semula ialah dari Lot 11 hingga Lot 18, namun pertikaian mengenai Lot 11 timbul kerana dikhuatiri tidak dibuat secara adil.

Full content generated by Get Full RSS.

Gagah serah memorandum

Posted:

Gagah serah memorandum

Gagah serah memorandum

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

ALOR SETAR 31 Okt. – Gabungan Generasi Hilang Tanah (Gagah) hari ini menuntut kerajaan negeri menyelesaikan masalah pencerobohan tanah membabitkan ratusan hektar ladang tebu yang didakwa diterokai oleh sebuah syarikat swasta di Kuala Nerang.

Tuntutan tersebut terkandung dalam satu memorandum Gagah yang diserahkan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak di pejabatnya di sini.

Memorandum itu diserahkan oleh Pengerusi Gagah, Ismail Nazraie Al-Ulu kepada Setiausaha Kanan Menteri Besar, Helmi Yahya di Wisma Darul Aman kira-kira pukul 3 petang dan turut disertai oleh lima wakil mangsa pencerobohan tanah.

Menurut Ismail, pihaknya berharap kerajaan negeri segera mengambil tindakan mengenai isu tanah tersebut bagi membolehkan penduduk mendapat semula tanah tersebut.

"Syarikat itu sudah tersasar daripada objektif asal mereka. Kini sudah lebih tempoh 30 tahun perjanjian oleh bekas Menteri Besar Kedah, Tun Syed Ahmad Syed Mahmud Shahabuddin yang menyatakan apabila tebu sudah tidak ditanam, tanah penduduk kampung akan diserahkan semula.

"Tetapi sejak beberapa tahun ini tanah tersebut diserahkan kepada sebuah syarikat swasta dan penduduk tidak memperoleh apa manfaatnya lagi," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Katanya, Gagah mengemukakan 10 cadangan tuntutan dan penyelesaian kepada kerajaan negeri, termasuk menggesa kerajaan negeri menyerahkan kawasan tanah pajakan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) itu sebanyak 11,400 hektar berstatus rezab Melayu untuk dimajukan oleh agensi kerajaan seperti Felda dan Felcra.

"Gagah juga mendesak kerajaan negeri membuat satu siasatan serta laporan lengkap mengenai pencerobohan tanah hingga ke zon penampan oleh syarikat itu sebanyak 4,734 hektar," katanya.

Tambah beliau, selain penyerahan memorandum turut disusuli dengan perhimpunan aman kira-kira 1,500 pemilik tanah yang diceroboh bagi membantah tindakan syarikat berkenaan yang enggan menyerahkan semula tanah penduduk tempatan.

Full content generated by Get Full RSS.

Dua jambatan baharu bakal dibina di Baling

Posted:

Dua jambatan baharu bakal dibina di Baling

Dua jambatan baharu bakal dibina di Baling


MASHITAH Ibrahim (tiga dari kiri) bersama penduduk pada majlis ramah mesra di Kampung Banggol Derom di Baling, semalam.


BALING 31 Okt. - Penduduk Kampung Banggol Derom dan Kampung Lela Chenerai di sini, berasa lega apabila kerajaan bersetuju membina dua jambatan bagi menggantikan jambatan lama yang usang dan roboh.

Jambatan tersebut membolehkan 75 keluarga di Kampung Banggol Derom dan 70 keluarga di Kampung Lela Chenerai berulang alik ke pekan Baling, sekolah dan menjalankan aktiviti harian dengan selamat dan mudah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, kos pembinaan jambatan di Kampung Banggol yang berukuran 30 meter panjang dan 4.2 meter lebar itu ialah RM265,000 dan dijangka mula dibina awal November ini dan siap pada Mei tahun depan.

"Jambatan lama yang sudah uzur dan tidak selamat digunakan kini sudah dirobohkan dan kerja-kerja membina jambatan baharu akan dimulakan tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra penduduk kampung itu di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Banggol Derom, Mustaza Abdul Razak dan Pengerusi JKKKP Kampung Lela Chenerai, Abdul Aziz Abdul Rahman turut hadir pada majlis itu.

Mashitah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Baling berkata, jambatan di Kampung Lela Chenerai pula memakan belanja RM195,000 untuk dibina dengan ukuran 24 meter panjang dan 4.2 meter lebar.

Menurutnya, jambatan itu juga akan dibina awal November ini dan dianggarkan akan disiapkan pada Mac tahun depan oleh syarikat kontraktor yang dilantik kerajaan.

Katanya, kerajaan amat prihatin dengan kesusahan yang menimpa penduduk kampung itu akibat ketiadaan jambatan tersebut memandangkan jambatan lama yang mengalami hakisan tanah akibat banjir telah dirobohkan.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Berbasikal waktu malam

Posted:

Berbasikal waktu malam

Berbasikal waktu malam

Oleh FARABI SAID
utusanN9@utusan.com.my


Aktiviti berbasikal pada waktu malam mencetuskan fenomena baru buat penggemar aktiviti berbasikal selain menyihatkan tubuh badan. – UTUSAN/ABD. RAZAK AID


SEREMBAN 31 Okt. – Aktiviti berbasikal biasanya hanya dapat dilihat pada waktu pagi dan petang sama ada dibuat secara sendirian mahupun berkumpulan.

Namun bagi mereka yang meminati aktiviti berbasikal, aktiviti ini tidak hanya terbatas pada waktu pagi dan petang kerana ia juga dapat dilakukan pada bila-bila masa.

Menyedari kesuntukan masa bekerja seharian di pejabat, ia tidak menghalang sekumpulan penggiat aktiviti berbasikal yang dikenali sebagai Niners (N9 Radio Amateur Team) yang melakukan aktiviti lasak itu pada waktu malam di sekitar bandar ini.

Bagi mereka aktiviti ini bukan sahaja dapat menyihatkan tubuh badan malahan ia dilihat cara terbaik buat ahli-ahli mereka yang ilihat mempunyai waktu yang terbatas untuk bersenam.

Pengasas kumpulan itu, Izfanizal Iskandar menjelaskan, pada mulanya, aktiviti itu diadakan secara suka-suka sebelum mula mendapat perhatian dalam kalangan ahlinya yang turut serta dalam 'penjelajahan malam' itu.

Izfanizal turut memberitahu, pada kebiasaannya mereka akan berkayuh antara dua hingga tiga jam tiga kali seminggu membabitkan perjalanan antara 30 hingga 50 kilometer.

''Pergerakan kami ketika berbasikal tidak hanya tertumpu di bandar ini sahaja, akan tetapi kami turut menjelajah di daerah-daerah lain termasuklah Putrajaya.

''Kami berpendapat bahawa setiap lokasi ada cabaran yang tersendiri selain mempunyai laluan yang berbeza-beza. Ini dapat mengelakkan ahli berasa bosan berkayuh di laluan yang sama," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Jelas beliau yang telah berkecipung dalam bidang ini sejak setahun lalu, walaupun aktviti seperti ini dilihat 'suka-suka' sahaja namun aspek keselamatan turut diberikan penekanan yang khusus bagi menjamin keselamatan para penunggangnya.

Izfanizal memberitahu, sungguhpun mereka berbasikal pada waktu malam, semua ahli-ahlinya tetap perlu mematuhi peraturan jalan raya seperti pengguna yang lain.

''Malah ada di kalangan orang ramai yang tidak mengetahui, sebelum ini Niners sering bekerjasama dengan pasukan keselamatan dan penyelamat di negeri ini secara tidak langsung melalui bantuan teknikal dan komunikasi.

''Pemilihan basikal gunung pastinya memberikan kelebihan kepada ahli-ahli Niners untuk terlibat sama dalam misi bencana dan kecemasan pada masa hadapan khususnya membabitkan laluan hutan, berbukit dan sebagainya.

Pada masa yang sama Izfanizal juga mengakui aktiviti itu secara tidak langsung menghidupkan lagi bandar Seremban pada sebelah malam.

Full content generated by Get Full RSS.

Korban duit untuk dapatkan basikal gunung

Posted:

Korban duit untuk dapatkan basikal gunung

Korban duit untuk dapatkan basikal gunung

SEREMBAN 31 Okt. - Biarpun terpaksa mengorbankan sejumlah wang yang besar untuk mendapatkan basikal gunung, namun bagi ahli Niners (N9 Radio Amateur Team), minat yang mendalam tidak menghalang mereka menceburi aktiviti berbasikal ini.

Malah mereka berpendapat, aktiviti berbasikal ini bukan sahaja mencabar stamina malah ia salah satu riadah dalam mengekalkan kecergasan dan kesihatan setiap hari tanpa mengira waktu.

Mohd. Romzie Ahmad, 42, berkata, berbasikal pada waktu malam ini sudah tentunya memberikan keseronokan apatah lagi dengan kesibukan kerja membataskannya untuk melakukan aktiviti riadah seperti ini.

''Saya memang meninati sukan berbasikal ini sejak kecil lagi. Malah selepas memiliki basikal sendiri, saya pernah berulang-alik dari Seremban ke Melaka dan Port Dickson hanya sekadar untuk suka-suka.

''Keseronokan aktiviti ini menyebabkan saya turut menyertai pertandingan-pertandingan basikal gunung atau jambori yang diadakan di seluruh negara," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, seorang lagi ahli, Yaakob Abd. Latid, 32, memberitahu, selain dapat berbasikal bersama-sama ahli, ia juga merupakan aktiviti yang menyihatkan badan apatah lagi ketika berbasikal pada waktu malam.

''Selain dapat beramah mesra dengan ahli-ahli, berbasikal pada waktu malam ini sudah tentunya dapat merasai keheningan dan kedamaian ketika berbasikal kerana jalan raya tidak terlalu sesak.

''Cuaca sejuk pada waktu malam membuatkan kita sentiasa berasa selesa dan tidak penat.

''Malah kami juga dapat bertukar-tukar fikiran mengenai apa sahaja perkara termasuklah penjagaan basikal dengan ahli-ahli yang lain'' katanya.

Malah katanya, aktiviti ini walupun dibuat secara santai namun ia tidak pula mengabaikan aspek keselamatan yang perlu dititikberatkan ketika aktiviti itu dilakukan.

Full content generated by Get Full RSS.

Masyarakat Portugis jana ekonomi

Posted:

Masyarakat Portugis jana ekonomi

Masyarakat Portugis jana ekonomi

Oleh AMRAN MULUP
pengaran@utusan.com.my


MOHD. Ali Rustam terhibur dengan persembahan tarian joget yang dipersembahkan dua orang Portugis di perkampungan Portugis, Ujong Pasir, Melaka, baru-baru ini.


MELAKA 31 Okt. - Walaupun sebagai kaum minoriti, masyarakat Portugis yang mula bertapak di negeri ini sejak 500 tahun lalu telah banyak membantu menyumbang kepada ekonomi khususnya dalam sektor pelancongan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, penglibatan masyarakat itu dalam sektor pelancongan di negeri ini tidak dapat dinafikan apabila perkampungan Portugis di Ujong Pasir menjadi daya tarikan kedatangan pelancong dari luar setiap tahun.

Menurutnya, keunikan budaya dan adat resam masyarakat itu kerana mereka mengamalkan kehidupan tempatan secara tidak langsung menjadikan perkampungan Portugis terbesar di negara ini kaya dengan pelbagai tarikan tersendiri.

''Masyarakat Portugis sudah berada di negeri ini sejak 500 tahun lalu tetapi kehadiran mereka tidak pernah dipinggirkan untuk menikmati pelbagai projek pembangunan dan menjadikan perkampungan Portugis di Ujong Pasir lebih menarik.

''Kita juga mengiktiraf pelbagai pesta adat resam yang dianjurkan dan usaha ini membuktikan Melaka terus kekal sebagai negeri yang kaya dengan hasil warisan sejarah negara," katanya.

Beliau berucap merasmikan sambutan dan perayaan kebudayaan masyarakat Portugis ke-500 di perkampungan Portugis dekat sini, baru-baru ini.

Mohd. Ali berkata, masyarakat Portugis juga adalah antara kaum yang telah membantu meningkatkan ekonomi kerajaan negeri.

''Bukan sahaja di sektor pelancongan tetapi juga dalam bidang ekonomi yang lain seperti peniagaan, pembinaan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan korporat," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat Portugis terus mengamalkan keunikan budaya dan adat resam selain menganjurkan pelbagai pesta dalam usaha meningkatkan lagi kehadiran pelancong ke situ.

Katanya, penganjuran lebih banyak perayaan yang menampilkan kebudayaan masyarakat Portugis bukan sahaja memberi keuntungan dan kebaikan kepada masyarakat itu tetapi juga untuk negeri ini.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Malaysia bakal hab peralatan tentera

Posted:

Malaysia bakal hab peralatan tentera

Malaysia bakal hab peralatan tentera

Daripada MOHAMAD FIKRI ROSLY
utusanjohor@utusan.com.my


DR. AHMAD Zahid Hamidi (kanan) bersalaman dengan Lee Hsien Loong pada kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Singapura itu di Istana Singapura, semalam. - BERNAMA


SINGAPURA 31 Okt. - Malaysia mungkin menjadi hab untuk pengeluaran peralatan ketenteraan dalam Kolaborasi Industri Pertahanan ASEAN (ADIC) yang bakal menurunkan kos pembelian aset ketenteraan bagi negara anggota badan serantau itu

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbelanjaan Asia Tenggara untuk ketenteraan pada tahun lalu saja adalah sebanyak RM76.7 bilion dan melalui kerjasama itu, jumlah tersebut dapat diturunkan sebanyak lebih 50 peratus.

"Kaedah terbaik adalah dengan mengeluarkan dan membina sendiri aset ketenteraan di kalangan negara ASEAN. Kertas cadangan ini datang daripada Malaysia dan telah diterima sebagai satu dasar Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM).

"Kita telah mengusulkan Malaysia sebagai hab tanpa mengenepikan negara lain untuk mengeluarkan komponen dalam apa yang dipanggil subsistem yang buat kali pertama diadakan," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Menteri Pertahanan Singapura, Dr. Ng Eng Hen sebelum menghadiri Program Lawatan Rasmi Menteri-Menteri Pertahanan bagi Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FDPA) esok.

Selain Malaysia, mesyuarat kelapan dan ulang tahun ke-40 FDPA itu turut dihadiri Singapura, Australia, United Kingdom (UK) dan New Zealand.

Kata Ahmad Zahid, FDPA masih relevan dan kelima-lima negara tersebut menunjukkan komitmen tinggi dalam menangani isu pertahanan serantau dan antarabangsa melalui kehadiran seramai 4,000 anggota dan pegawai tentera.

"Selain itu kita membincangkan tentang kerjasama serantau dalam bidang ketenteraan, bukan untuk membentuk pakatan seperti Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tetapi lebih kepada mewujudkan jawatankuasa keselamatan ASEAN menjelang 2015," katanya.

Menurutnya, kerjasama itu penting kerana negara-negara terlibat mahu menterjemahkan bahawa rantau Asia adalah stabil dan kukuh dari segi keselamatan selain kerjasama kukuh, peningkatan diplomasi ketenteraan dan latihan bersama. - UTUSAN

Full content generated by Get Full RSS.

AUKU harus dilihat secara positif

Posted:

AUKU harus dilihat secara positif

AUKU harus dilihat secara positif

SINGAPURA 31 Okt. - Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) harus diterima sebagai undang-undang yang mendapat kelulusan Dewan Rakyat, Dewan Negara dan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam Pelan Transformasi Politik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, AUKU adalah antara akta yang akan dikaji semula tetapi tidak boleh dirangkumkan sebagai menyalahi Perlembagaan.

"Ketika diperkenalkan, berlaku kegelisahan masyarakat disebabkan kuasa pelajar pada 1974 yang saya secara peribadi turut terlibat ketika menjadi pemimpin mahasiswa.

"Sejak itu sehingga sekarang AUKU masih berkuat kuasa dan dalam keadaan tersebut ia harus dilihat relevannya mengikut situasi ketika itu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Menteri Pertahanan Singapura, Dr. Ng Eng Hen.

Ahmad Zahid berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang memutuskan Seksyen 15(5)(a) AUKU 1971 yang melarang mahasiswa menzahirkan sokongan atau bangkangan dalam kegiatan politik, sebagai tidak sah di sisi undang-undang.

Katanya, melalui transformasi yang mahu dilakukan, 'roh' AUKU itu sendiri bukan tertakluk kepada keputusan-keputusan akhir yang telah dibuat tanpa menyentuh keputusan mahkamah.

"Tetapi kita merasakan AUKU harus dilihat dari segi positif bukan negatif termasuk memohon keizinan HEP dan alumni untuk persatuan mahasiswa melakukan aktiviti.

"Pada hemat saya, para pelajar seharusnya memberi tumpuan utama dalam bidang akademik dan kalau mahu terlibat politik sekadar politik pelajar. Pencapaian pelajar adalah perkara paling penting berbanding penglibatan politik," katanya. - utusan

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, jika ada kumpulan mahasiswa mahu melibatkan diri dalam politik negara, mereka haruslah menunggu sehingga tamat pengajian.

"Keputusan mahkamah harus dihormati tetapi masih tertakluk pada pindaan yang akan dilakukan dan dibawa ke Parlimen sebagai satu proses membuat undang-undang setelah perbincangan dan perbahasan diadakan," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Akibat peningkatan wang asing

Posted:

Akibat peningkatan wang asing

Akibat peningkatan wang asing

SINGAPURA 31 Okt. – Lebihan perbelanjaan sebanyak RM6.5 juta Kementerian Pertahanan bagi pembelian aset dari luar negara seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Audit Negara berlaku disebabkan oleh peningkatan mata wang asing negara berkenaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perjanjian pembelian dengan negara luar dibuat mengikut harga dalam mata wang negara berkenaan dan bukannya dalam Ringgit Malaysia.

"Apabila nilai pertukaran wang asing bertambah, maka jumlah pembayaran dalam Ringgit Malaysia akan disesuaikan dengan mata wang negara berkenaan.

"Jadi, kita tidak membelanjakan lebih daripada yang diperuntukkan tetapi mengikut harga yang ditetapkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Menteri Pertahanan Singapura, Dr. Ng Eng Hen sehari sebelum menghadiri Program Lawatan Rasmi Menteri-Menteri Pertahanan bagi Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FDPA).

Jelas Ahmad Zahid, adalah penting untuk orang ramai mengetahui bahawa tiada penyelewengan dalam perbelanjaan dan wujud klausa yang membenarkan bayaran mengikut nilai tukaran wang asing semasa. – utusan

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Timur

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Karnival ria capai matlamat

Posted:

Karnival ria capai matlamat

Karnival ria capai matlamat

Oleh TOREK SULONG
utusankelantan@utusan.com.my


Pegawai AADK (kanan) memberi penerangan mengenai jenis dadah sintetik dan bahaya kepada penduduk yang hadir pada Karnival Ria Sehari Bersama Komuniti di Pasir Puteh, baru-baru ini.


PASIR PUTEH 31 Okt. – Kerjasama yang mantap antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Dalam Ru dekat sini, dengan beberapa agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu PIBG sekolah menjayakan Karnival Ria Sehari Bersama Komuniti (KRSBK) di- sekolah itu, baru-baru ini.

Pelbagai acara menarik seperti sukaneka, pertandingan suara burung candik, pameran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), bomba dan penyelamat serta kawad kebakaran dan rawatan kesihatan percuma diadakan dengan melibat penyertaan penduduk kampung.

Yang Dipertua PIBG sekolah itu, Tengku Muhamad Tengku Yaakub berkata, karnival ria sehari itu dirancang khusus untuk mengumpul dana bagi membantu pihak sekolah menjayakan pelbagai aktiviti kecemerlangan akademik terutama peningkatan prestasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun depan.

Pada masa sama katanya, pihak sekolah juga memanfaatkan pengisian karnival ria yang berlangsung untuk pembelajaran luar bilik darjah dengan membuat pemerhatian dan catatan bagi dibincangkan dalam sesi pembelajaran akan datang.

"Ia adalah pembelajaran secara tidak langsung menggunakan bahan-bahan pameran sebagai alat bantu belajar kerana banyak maklumat yang diperoleh oleh murid secara lebih dekat," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Tengku Muhamad berkata, KRSBK adalah hari terbuka sekolah yang julung kali dianjurkan hasil kerjasama jawatankuasa PIBG dan warga sekolah untuk dijadikan sebagai acara tahunan dengan melibatkan penyertaan komuniti setempat.

Guru Besar sekolah berkenaan, Wan Hamidah Wan Daud pula berkata, fokus utama penganjuran karnival ria itu adalah untuk melibatkan interaksi ibu bapa dengan guru selain memantapkan hubungan rakyat dengan pemimpin yang turut sama memberi sokongan padu menjayakan program berkenaan.

Beliau berkata, kemeriahan persekitaran sekolah terserlah dengan jamuan gulai kawah seekor lembu pada malam sebelum karnival di kantin sekolah dan penyediaan hadiah-hadiah aktiviti yang ditaja sepenuhnya oleh Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman.

"Ibu-ibu murid secara sukarela memasak gulai kawah khusus untuk menjamu penduduk kampung. Penglibatan pelbagai pihak ini berjaya menyerlahkan sekolah sebagai institusi masyarakat," katanya.

Katanya, hasil sokongan ibu bapa, PIBG sebelum ini berjaya mengumpul dana menerusi aktiviti pungutan derma Larian Amal dengan melibatkan syarikat perniagaan PKT Whole Sale Warehouse Sdn. Bhd. (PKT) cawangan Kuala Besut, Terengganu yang menaja sepenuhnya hadiah-hadiah.

"Program Larian Amal ini bukan hanya melibatkan murid-murid sekolah ini tetapi juga mendapat penyertaan murid dari lima buah sekolah berdekatan," jelasnya.

Guru sekolah berkenaan, Radzuan Lope berkata, penyertaan ibu bapa dalam sukaneka yang dianjurkan sempena karnival itu berjaya merapatkan jurang antara mereka dengan guru-guru dan suasana itu seharusnya berterusan mencakupi keperluan akademik anak-anak.

Katanya, konsep sekolah terbuka perlu diperluaskan supaya tanggungjawab mendidik mampu dipikul secara bersama di mana penganjuran karnival itu juga mampu menjana paradigma masyarakat selaras aspirasi negara dan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh pucuk pimpinan negara.

"Acara boling padang menggunakan botol plastik dan buah kelapa, tarik tali yang melibatkan penyertaan bekas pelajar sekolah ini dan lain-lain sukan rakyat yang menyeronokkan menjadi bahan utama ke arah mengeratkan hubungan dua hala," katanya.

Guru Pendidikan Islam sekolah itu, Ramli Majid berkata, penyertaan murid membantu guru menjalankan perniagaan pasar ria yang menjual pelbagai barangan termasuk kuih-muih dengan pendekatan Islam yang mempraktikkan akad jual beli sepanjang aktiviti dilangsungkan, seterusnya mendidik mereka mengamalkan budaya itu dalam kehidupan seharian.

"Selain mendedahkan perniagaan sebagai pekerjaan yang dituntut oleh Islam secara tidak langsung murid turut dilatih mengusai kemahiran matematik berasaskan jual beli dan yang penting ialah memupuk sikap amanah mengurus kewangan dan timbangan barangan mengikut tuntutan syariah," katanya.

Seorang lagi guru, Alias Che Deraman berkata, usaha untuk menjana modal insan yang sejahtera dan berwawasan tinggi mengikut kehendak Rukun Negara tercapai apabila melibatkan semua kumpulan sasaran iaitu penyertaan pemimpin setempat termasuk ketua kampung, belia, remaja, ibu bapa, penggemar burung candik serta kakitangan sektor awam dan swasta.

Beliau berkata, pameran dan penerangan AADK memberi kesan yang mendalam terhadap kumpulan sasar khususnya ibu bapa mengenai bahaya penagihan dadah yang merupakan musuh nombor satu negara.

"Begitu juga dengan pameran bomba dan penyelamat yang turut mempamerkan pelbagai peralatan digunakan ketika menjalankan operasi menyelamat.

"Sebagai guru saya menyokong penuh usaha yang dijalankan oleh PIBG menganjurkan program seperti ini kerana ia banyak memberi kesan positif selain menyerlahkan kemantapan fungsi PIBG sebagai pertubuhan sukarela berdaftar di bawah Kementerian Pelajaran," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaharudin Yahya yang turut menjadi tenaga penggerak utama menjayakan karnival itu berkata, pihaknya mengalu-alukan permintaan daripada pengurusan sekolah dalam memberikan penerangan kaedah mencegah kebakaran yang betul.

Beliau berkata, pihaknya bersedia pada bila-bila masa mengadakan demonstrasi memadam kebakaran, menyampaikan ilmu kebombaan dan kawad kecemasan kebakaran melibatkan bangunan yang tinggi kepada pelajar dan warga pendidik.

"Walaupun sibuk dengan tugasan wajib membantu menyelamat pihak kami masih boleh mengurus ruang waktu untuk ke sekolah bagi menyampaikan ilmu yang berkaitan," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Bukit Bauk bakal jadi Taman Negeri

Posted:

Bukit Bauk bakal jadi Taman Negeri

Bukit Bauk bakal jadi Taman Negeri

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
utusanterengganu@utusan.com.my


PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Dungun melihat pokok-pokok yang terdapat di Rimba Bandar Bukit Bauk, Dungun, kelmarin. - UTUSAN/SHAIFUDIN MOHD. NOR


DUNGUN 31 Okt. – Bukit Bauk yang keunikannnya sebagai rimba dalam bandar di Semenanjung akan dijadikan Taman Negeri bagi memastikan khazanah flora dan faunanya terus terpelihara.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za'abar Mohd. Adib berkata, sebagai langkah awal ke arah mewartakannya, Jabatan Perhutanan negeri diminta mengemukakan usul kepada kerajaan.

Katanya, dengan menjadikan kawasan itu sebagai taman negeri memudahkan pihak terbabit memantau dan menjaga kawasan berkenaan daripada dicerobohi aktiviti pembangunan atau oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Berdasarkan penemuan hasil ekspedisi kepelbagaian biologi hutan rimba bandar Bukit Bauk yang dilakukan pada 2006, dianggarkan lebih daripada 650 spesies tumbuhan wujud dalam kawsan itu.

"Selain itu, keistimewaan rimba ini ialah kerana di sini terdapatnya ikan yang paling kecil di dunia iaitu jenis Paedocypris yang saiz matangnya hanya 7.8 milimeter dan ia merupakan sesuatu yang perlu dipelihara dan boleh dijadikan tarikan kepada pengunjung," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Hari Perhutanan Sedunia ke-40 peringkat negeri di Rimba Bandar Bukit Bauk, dekat sini, semalam.

Menurut Za'bar, selain itu, istimewanya kawasan itu ialah kerana ia mempunyai empat jenis hutan berbeza iaitu bukit, pamah, paya gambut dan hutan sekunder.

Sementara itu, Pengarah Perhutanan Negeri, Azmi Nordin memberitahu, Bukit Bauk telah diwartakan sebagai hutan simpan namun ia masih terdedah kepada risiko pembangunan.

"Tetapi jika diwartakan sebagai Taman Negeri dengan menambah satu klausa pada akta sedia ada, ia akan dijadikan Taman Negeri seperti yang dilakukan di Perlis dan Kelantan dan hutan itu lebih selamat daripada pencerobohan," katanya.

Jelasnya, pihaknya sudah melihat kepentingan perkara tersebut dan sedang berusaha untuk membuat permohonan kepada kerajaan negeri dan pihak yang berkenaan untuk melaksanakannya.

Full content generated by Get Full RSS.

Siti Nur Zahirah johan mewarna antara sekolah rendah

Posted:

Siti Nur Zahirah johan mewarna antara sekolah rendah

Siti Nur Zahirah johan mewarna antara sekolah rendah


SEBAHAGIAN daripada pemenang yang menyertai Pertandingan Mewarna Antara Sekolah Rendah Negeri Kelantan di Perdana Resort, Kota Bharu, kelmarin,


KOTA BHARU 31 Okt. - Sikap tidak jemu-jemu mewarna membolehkan Siti Nur Zahirah Nur Saifu Bahrin, 10, muncul johan Pertandingan Mewarna Antara Sekolah Rendah Negeri Kelantan anjuran Perdana Resort di sini, semalam.

Kemenangan tersebut membolehkan murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Islah itu membawa pulang hadiah bernilai RM1,150 termasuk wang tunai RM200, baucar penginapan, makanan, hamper dan sijil.

"Saya gembira memenangi hadiah itu setelah mendapat galakan daripada keluarga untuk menyertai pertandingan tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Sementara itu, tempat kedua dimenangi oleh murid tahun tiga SK Dato' Hashim 2, Mohd. Danish Daniel Ab. Razak, 9, yang menerima hadiah bernilai RM800 termasuk wang tunai RM150, penginapan, baucer makanan, hamper dan sijil.

Rakan Siti Nur Zahirah pula, Siti Nor Masyita Balqis Ibrahim di tempat ketiga dan menerima hadiah bernilai RM550, manakala tempat keempat dimenangi oleh Danish Haikal Azhan, dari SK Pengkalan Chepa yang menerima hadiah bernilai RM450.

Pertandingan itu disertai seramai 21 murid dari lapan sekolah sekitar Kota Bharu dengan hadiah-hadiah disampaikan Pengurus Besar Perdana Resort, Zaidon Ismail.

Sementara itu, Zaidon berkata, pertandingan itu diadakan bersempena Karnival Pantai Perdana untuk mempromosi resort berkenaan.

Beliau berkata, bagi memeriahkan promosi, seramai 10 orang chef telah menyediakan pelbagai jenis makanan dan minuman seperti nasi ayam, spageti, char kue tiaw, ayam, kentang goreng, roti bakar dengan sos berperisa daun limau purut untuk disajikan kepada pengunjung.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


9 cedera nahas kereta api, lori tangki

Posted:

9 cedera nahas kereta api, lori tangki

9 cedera nahas kereta api, lori tangki

Oleh HISYAMMUDDIN AYUB
pengarang@utusan.com.my


SEORANG penunggang motosikal merakamkan gambar kereta api yang terbakar setelah sebuah lori tangki minyak di jalan Kota Kinabalu-Putatan dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, semalam.


KOTA KINABALU 31 Okt. – Hampir 200 penumpang kereta api yang dalam perjalanan dari sini ke Papar terselamat apabila kenderaan itu merempuh sebuah lori tangki minyak mengakibatkan berlaku kebakaran dan letupan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini petang ini.

Kejadian pukul 5.30 petang itu menyebabkan kesesakan trafik yang teruk apabila jalan hadapan KKIA menghala Putatan terpaksa ditutup pada pukul 6 petang kerana api yang marak.

Difahamkan lori tangki membawa muatan 27,000 liter petrol itu terbakar serta-merta selepas dirempuh, seterusnya berlaku letupan kuat dan asap hitam tebal menjulang setinggi 30 meter.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan daripada kejadian malang tersebut dan hanya sembilan orang penumpang dilaporkan cedera.

Beliau berkata, pemandu lori tangki minyak dan pemandu keretapi juga tidak mengalami sebarang kecederaan serius kerana sempat menyelamatkan diri.

"Lori tangki itu dilaporkan cuba melintas laluan keretapi yang terletak berhampiran jalan besar dekat KKIA bagi menghantar minyak ke sebuah stesen terletak berhampiran dengan laluan keretapi tersebut.

"Namun ia dipercayai tidak sempat melintas dan menyebabkan dirempuh keretapi yang menuju ke Papar," katanya pada sidang akhbar di sini, malam ini.

Menurut pemandu lori tangki itu yang ingin dikenali sebagai Pouleh Dansun, sebelum kejadian, dia terdengar hon kuat tetapi menyangka ia dibunyikan oleh kenderaan di belakangnya.

"Namun setelah ditoleh ke kiri sebuah kereta api menuju ke arah saya. Saya cuba memecut lori itu untuk melintas laluan keretapi tersebut tetapi gagal.

"Kereta api itu lalu merempuh bahagian belakang lori dan menyebabkan ia terbakar dan meletup," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut saksi, penumpang-penumpang dalam kereta api itu berjaya menyelamatkan diri selepas pelanggaran berlaku dengan melarikan diri ke bahagian belakang keretapi.

Mangsa-mangsa yang cedera segera dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Nordin Fauzi berkata, lima kereta bomba dari balai bomba Kota Kinabalu, Penampang dan Lintas dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

Katanya, mereka juga dibantu dengan sebuah kereta tangki air dan dua kereta bomba dari Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat lapangan terbang itu.

Full content generated by Get Full RSS.

Najib, Rosmah berlepas ke Arab Saudi tunai ibadah haji

Posted:

Najib, Rosmah berlepas ke Arab Saudi tunai ibadah haji

Najib, Rosmah berlepas ke Arab Saudi tunai ibadah haji


NAJIB Tun Abdul Razak dan isteri, Rosmah Mansor mengaminkan doa sebelum berlepas menunaikan ibadah haji ke Tanah Suci Mekah di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam. Turut hadir Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta beberapa menteri Kabinet. - BERNAMA


SEPANG 31 Okt. - Lebih 1,000 orang membanjiri Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini, untuk menghantar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menunaikan ibadah haji ke tanah suci Mekah.

Najib yang akan berada di Mekah sehingga 9 November ini ditemani isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan adiknya Datuk Mohamed Nazim Tun Razak.

Rombongan Perdana Menteri dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Madinah terlebih dahulu sebelum berangkat ke Mekah bagi mengerjakan rukun Islam kelima itu.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Beberapa menteri Kabinet turut kelihatan antaranya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamad.

Full content generated by Get Full RSS.

Bersedia hadapi banjir – TPM

Posted:

Bersedia hadapi banjir – TPM

Bersedia hadapi banjir – TPM

Oleh HASHNAN ABDULLAH dan NAZMIL NASIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my

SEPANG 31 Okt. – Kerajaan lebih bersedia kali ini untuk menghadapi situasi banjir dalam negara yang dijangka luar biasa berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihak beliau kini sedang mengumpul semua maklumat yang berkaitan bagi merangka persiapan yang lebih awal bagi menghadapi situasi banjir tersebut.

''Kita sentiasa bersedia, cuma kita mungkin tidak boleh jangka keadaan macam mana, jadi kita kena bersedia lebih daripada biasa.

''Semuanya sudah pun kita ambil kira termasuklah maklumat daripada kaji cuaca yang maklumkan mungkin keadaan agak lebih daripada biasa dengan angin lebih kuat serta hujan makin lebat, jadi mungkin air akan mengalir lebih dari hulu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghantar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengerjakan haji di sini hari ini.

Institut Kajian Bencana Asia Tenggara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini mendedahkan musim tengkujuh kali ini dijangka membawa 40 peratus atau 880 milimeter lebihan hujan berbanding tahun lalu berikutan peralihan musim Monsun Timur Laut, bulan depan.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah diarah untuk menetapkan tarikh bagi mengadakan mesyuarat dan taklimat mengenai semua persiapan yang telah dibuat secepat mungkin.

''Kita nak dengar segala persiapan yang dibuat itu termasuklah dengan lain-lain agensi kerajaan yang berkaitan dan juga kita nak tahu daripada segi soal logistik yang kita perlu sediakan.

''Walaupun persiapan awal kita sudah mula tetapi kita nak tengok kalau keadaan mungkin lebih daripada biasa, jadi kita nak tengok apa persiapan lain yang perlu," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, buat masa ini pihak kerajaan tidak akan mengeluarkan sebarang amaran bagi mengelakkan timbul suasana panik di kalangan rakyat yang terlibat.

''Saya tidak fikir kita di peringkat awal ini nak buat satu pernyataan yang mungkin akan menimbulkan panik tetapi kita akan pantau keadaan cuaca kita," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved