Sabtu, 8 Oktober 2011

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Mansuh yuran sekolah keputusan berani

Posted:

Mansuh yuran sekolah keputusan berani

Mansuh yuran sekolah keputusan berani

JOHOR BAHRU 7 Okt. - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyifatkan pemansuhan yuran sekolah rendah dan menengah sebagai keputusan berani oleh kerajaan untuk menanggung sepenuhnya kos pendidikan negara.

Timbalan Presiden GPMS, Rosdi Amir berkata, keputusan tersebut merupakan langkah ke depan seperti yang dilakukan di negara maju.

"Ini adalah langkah ke arah persediaan sebagai negara maju seperti yang disasarkan menerusi gagasan 1Malaysia: Rakyat Dahulukan, Pencapaian Diutamakan dan keputusan itu membuktikan komitmen kerajaan.

"Pemansuhan ini membuktikan bidang pendidikan adalah sektor terpenting negara dalam melahirkan modal insan yang memiliki sifat warga glokal kelas pertama," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi GPMS Johor mengulas langkah kerajaan dalam memansuhkan yuran tersebut yang dibentangkan pada Bajet 2011 petang ini.

Rosdi berkata, langkah itu adalah cerminan kerajaan dalam melaksanakan proses transformasi yang dirangka sebelum ini semata-mata untuk kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan yuran atau bayaran persatuan itu.

Katanya, langkah tersebut hanya akan menggagalkan usaha kerajaan untuk meringankan beban rakyat dan dilihat seolah-olah mahu mengambil kesempatan.

Bukti kerajaan benar-benar peka keperluan rakyat

Posted:

Bukti kerajaan benar-benar peka keperluan rakyat

Bukti kerajaan benar-benar peka keperluan rakyat

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menganggap pemansuhan bayaran tambahan bagi sekolah rendah dan menengah mulai sesi persekolahan tahun depan sebagai hadiah amat bermakna buat rakyat.

Presidennya, Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hassan berkata, langkah yang julung kali dalam sejarah pendidikan negara itu menunjukkan kerajaan benar-benar peka dan sensitif terhadap keperluan rakyat.

"Pemansuhan bayaran RM24.50 bagi sekolah rendah dan RM33.50 bagi sekolah menengah menandakan pendidikan rendah dan menengah adalah percuma.

"Ini bermakna kerajaan membiayainya secara keseluruhan, tanpa pembiayaan daripada ibu bapa dan rakyat. Ini juga menunjukkan kerajaan kita benar-benar mahu memberi pendidikan kepada warganegaranya," katanya di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2012 hari ini mengumumkan pendidikan rendah dan menengah di sekolah kerajaan disediakan secara percuma bermula sesi persekolahan 2012.

Pada masa ini pelajar dikenakan bayaran RM24.50 bagi sekolah rendah dan RM33.50 bagi sekolah menengah untuk bayaran kokurikulum, kertas ujian dalaman, yuran Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia dan insurans takaful. Pemansuhan bayaran tersebut membabitkan peruntukan sebanyak RM150 juta.

Najib berkata, langkah itu bagi membolehkan setiap anak Malaysia tanpa mengira latar sosioekonomi berpeluang kepada masa depan yang lebih baik selain memastikan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan.

Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, langkah kerajaan memberi bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah merupakan sesuatu yang baru dan membawa impak besar kepada golongan berpendapatan rendah.

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran itu berkata, kerajaan mengotakan janjinya untuk menyediakan belanjawan kebajikan rakyat demi mengurangkan beban rakyat.

Katanya, peruntukan pembangunan sebanyak RM1.9 bilion bagi Kementerian Pelajaran juga dapat membantu kementerian dari segi infrastruktur untuk membina sekolah baru terutama di bandar raya seperti di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang kini sesak.

Alimuddin berkata, peruntukan RM1 bilion yang diwujudkan melalui Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan juga boleh membantu sekolah terutama di luar bandar dan pedalaman untuk membaiki infrastruktur yang sedia ada.

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu pula berkata, langkah kerajaan memansuhkan bayaran tambahan itu dapat meringankan beban ibu bapa terutama yang mempunyai ramai anak.

Katanya, belanjawan kali ini juga benar-benar meliputi keperluan rakyat terutama dalam menangani kos kehidupan yang semakin meningkat.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim pula menyifatkan belanjawan itu menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam soal pembangunan modal insan dan pendidikan berikutan pemansuhan yuran persekolahan, sekali gus menjadikan pendidikan di negara ini diberi secara percuma.

"Kita menyambut baik Belanjawan 2012 yang dilihat lebih kepada mesra rakyat yang dapat membantu meringankan beban dan memastikan anak Malaysia mendapat pendidikan sempurna serta memastikan masa depan mereka cerah," katanya.

Jais berkata, kerajaan amat prihatin kepada rakyat terutamanya yang kurang berkemampuan apabila memberi bantuan RM100 kepada 5.3 juta pelajar tahun satu hingga tingkatan lima.

"Ia dapat meringankan beban ibu bapa yang dihimpit masalah kewangan dan golongan ini dapat menarik nafas lega kerana telah mendapat perhatian kerajaan," katanya.

Mengulas mengenai program penerapan dan pembangunan inovasi di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi awam, beliau berkata, program ini boleh memupuk hak inovasi dari usia mentah berikutan pada usia ini, pelajar cenderung untuk menghasilkan idea baru yang lebih kreatif dan inovatif.

"Golongan intelektual muda juga akan dapat mengetengahkan idea serta ciptaan mereka di peringkat lebih tinggi dengan adanya program dan peruntukan yang telah diumumkan Perdana Menteri," katanya. - BERNAMA

62,000 bekas polis darurat dihargai

Posted:

62,000 bekas polis darurat dihargai

62,000 bekas polis darurat dihargai

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Di sebalik tindakan pembangkang memperlekeh jasa pejuang negara, kerajaan hari ini mengumumkan pemberian sumbangan RM3,000 kepada setiap bekas anggota polis khas, polis tambahan, duda dan balu mereka yang semuanya berjumlah 62,000 orang.

Mereka terdiri daripada bekas anggota yang pernah berkhidmat menjaga keselamatan negara ketika darurat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemberian sumbangan itu bertujuan mengenang jasa bakti pejuang-pejuang negara yang sanggup bergadai nyawa demi mempertahankan kedaulatan Malaysia.

Katanya, sumbangan tersebut juga bukti keluhuran hati kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam menghargai jasa pejuang negara, bukan seperti sesetengah pihak yang sanggup memperlekeh jasa bakti mereka.

"BN adalah kerajaan yang mengenang budi. Kita tidak akan membiarkan wirawan dan wirawati negara tanpa pembelaan yang sewajarnya. Kita tidak sekali-kali seperti sesetengah pihak yang memperlekeh jasa mereka.

"Sesungguhnya keringat dan air mata mereka serta keluarga yang membasahi bumi bertuah ini akan terus malar dan segar dalam sanubari setiap rakyat Malaysia," katanya.

Najib berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2012 yang bertema 'Dasar Transformasi Nasional: Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara' di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri sekali lagi mengingatkan semua pihak agar insaf bahawa harga keamanan dan kemakmuran yang dinikmati sejak merdeka bukannya diperoleh secara percuma.

Jelasnya, ia dibayar oleh mereka yang menyarung seragam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selaku benteng pertahanan utama negara dan sudah semestinya jasa para perajurit berkenaan perlu dikenang.

Sehubungan itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM500 juta di bawah program Army Care untuk menaik taraf dan menyelenggara kem serta kuarters tentera di seluruh negara.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Penduduk mahu jambatan dibaiki

Posted:

Penduduk mahu jambatan dibaiki

Penduduk mahu jambatan dibaiki

Oleh AZMAN MD. NOOR
utusankedah@utusan.com.my


ABDUL Halim Non (kiri) bersama rakannya menunjukkan hakisan tanah yang menyebabkan jambatan hampir roboh di Kampung Tualang, Pulai, Baling, baru-baru ini.


BALING 7 Okt. - Keselamatan lebih 50 penduduk Kampung Tualang, Pulai di sini terancam apabila sebuah jambatan yang digunakan mereka untuk berulang-alik setiap hari didapati dalam keadaan uzur dan berisiko untuk runtuh pada bila-bila masa.

Tinjauan Utusan Malaysia di sini mendapati jambatan yang merupakan satu-satunya jalan menghubungkan kampung itu dengan jalan besar, strukturnya sudah kian usang manakala tanahnya mengalami hakisan.

Lebih menakutkan sebahagian tanah di tepi jambatan itu mula menunjukkan tanda-tanda runtuh selepas hujan lebat petang kelmarin.

Penduduk, Azmi Ahmad berkata, selepas tanda-tanda itu timbul, penduduk tidak berani menaiki kenderaan melalui jambatan itu kerana bimbang ia tidak dapat menampung berat kenderaan tersebut.

"Masalah hakisan tanah ini telah lama berlaku dan telah pun dilaporkan kepada pihak yang bertanggungjawab.

"Namun sehingga sekarang tiada hasil positif malahan semakin lama, hakisan ini semakin teruk. Sehinggalah petang kelmarin, tanah yang menyokong titi ini terhakis sebanyak 0.5 meter," katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, hakisan itu mengakibatkan tanah yang menyokong jambatan tersebut semakin menipis dan amat bahaya untuk dilalui oleh kenderaan.

Sehubungan itu, penduduk terpaksa meletakkan penghalang untuk mengelakkan kenderaan keluar masuk menggunakan titi berkenaan yang turut menjadi nadi laluan penduduk termasuk mengeluarkan hasil pertanian.

"Penduduk tiada pilihan, kerana titi ini merupakan jalan utama untuk keluar ke jalan besar. Kami tidak mahu keadaan bertambah buruk berlaku sekiranya kenderaan berat menggunakan titi ini," katanya.

Katanya, penduduk di sini juga terpaksa meletakkan barangan terbuang sebagai benteng untuk mengelakkan hakisan ini dari terus berlaku.

"Namun, aliran air kelmarin terlalu kuat sehingga menyebabkan benteng turut dihanyutkan air. Hakisan tanah menjadi semakin buruk sehingga memberi kesan kepada struktur titi ini," katanya.

Sementara itu, Biro Bencana Alam UMNO Bahagian Baling, Ishat Mat berkata, pihaknya sememangnya prihatin terhadap masalah itu dan akan terus membawa masalah itu kepada pihak berkenaan bagi membolehkan ia segera diperbaiki bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Tuntutan palsu: Kontraktor, juruteknik JKR dipenjara

Posted:

Tuntutan palsu: Kontraktor, juruteknik JKR dipenjara

Tuntutan palsu: Kontraktor, juruteknik JKR dipenjara

BUTTERWORTH 7 Okt. - Seorang kontraktor dan juruteknik Jabatan Kerja Raya (JKR) masing-masing dihukum penjara empat tahun dan denda RM144,709.65 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah membuat tuntutan palsu enam tahun lalu.

Hakim Ikmal Hishan Mohd. Tajudin turut memerintahkan Ramli Bakar, 52, dan Ab. Rashid Abdullah @ Abu (gambar), 57, dipenjara empat bulan lagi sekiranya gagal membayar denda masing-masing.

Mengikut pertuduhan, Ramli didakwa memberikan satu dokumen mengandungi butiran palsu kepada Pembantu Tadbir Kewangan JKR Seberang Perai Utara (SPU), Mazlina Pahazir bagi menuntut bayaran pembinaan pagar sepanjang 405 meter (m) bernilai RM11,323.80 sedangkan ukuran sebenarnya adalah 162.2 m.

Dia juga dituduh menuntut bayaran untuk tiang pagar bernilai RM28,979.26 sedangkan nilai sebenarnya adalah RM6,826.02 sahaja.

Ab. Rashid pula dituduh bersubahat dengan Ramli untuk mengemukakan kedua-dua tuntutan tersebut yang dibuat pada Julai 2005 di Pejabat JKR SPU.

Ramli didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 manakala Ab. Rashid didakwa mengikut Seksyen 11(a) yang dibaca bersama Seksyen 20(1) akta yang sama.

Kedua-dua seksyen tersebut boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta tersebut yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia, Janariah Abdul Mutalib manakala Ramli diwakili peguam, Abdul Samad Khalid manakala RSN Rayer mewakili Ab. Rashid.

Sepanjang perbicaraan yang bermula sejak 2009, sebanyak 12 saksi termasuk Ketua Jurutera JKR SPU telah dipanggil memberi keterangan.

Minta alih pondok pengawal ganggu pemandu

Posted:

Minta alih pondok pengawal ganggu pemandu

Minta alih pondok pengawal ganggu pemandu


Pondok pengawal yang didakwa penduduk menghalang pandangan pengguna jalan raya di Taman Gunung Bayu, Alor Setar.


ALOR SETAR 7 Okt. - Kira-kira 200 penduduk Taman Gunung Bayu, Lencong Barat di sini meminta pihak berkuasa untuk mengalihkan sebuah pondok pengawal di kawasan berkenaan kerana ia mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya di kawasan taman itu.

Seorang penduduk di taman itu, Abu Bakar Khamis, 57, berkata, pondok pengawal itu diletakkan di simpang tiga dan telah berlaku beberapa kemalangan kerana ia menghalang pandangan pengguna jalan raya.

"Sudah tiga bulan pondok pengawal ini berada di bahagian kanan simpang tiga ini kerana ia diminta oleh penduduk di kawasan ini yang bimbang berlaku kecurian pada waktu malam.

"Mereka kutip wang sendiri untuk bayar gaji pengawal keselamatan namun yang menjadi masalah sekarang pondok pengawal ini diletakkan di kawasan yang tidak sesuai," katanya ketika ditemui di Taman Gunung Bayu di sini hari ini.

Menurutnya, pondok pengawal itu sepatutnya diletakkan di bahagian kiri simpang tiga itu, namun saranannya tidak diendahkan.

"Saya juga hampir terlibat dalam satu kemalangan kerana saya tidak nampak motosikal yang datang dari arah kanan simpang ini.

"Tambahan pula pada waktu malam kawasan ini gelap dan pengawal keselamatan meletakkan kon di tengah jalan sehingga ramai penunggang motosikal terlanggar kon," ujarnya.

Tambahnya, dia juga telah menghantar surat kepada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tinggal di kawasan berkenaan untuk membantu menyelesaikan masalah itu namun tiada jawapan daripada ADUN itu.

"Rumah dia hanya beberapa meter dari pos pengawal ini dan dia tahu masalah yang berlaku di kawasan ini.

"Malangnya sehingga hari ini tiada sebarang maklum balas yang diterima daripada ADUN ini dan kami amat berharap pihak berkuasa dapat menyelesaikan masalah ini," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Timur

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


3 beradik terima pampasan Perkeso

Posted:

3 beradik terima pampasan Perkeso

3 beradik terima pampasan Perkeso

Oleh RAHANA MOHD. DAHARI
utusankelantan@utusan.com.my


Siti Nurhafizah Ismail (kanan), Siti Khairunnisa (kiri) dan Siti Rasya Aleeya di dapur rumah mereka di Kampung Che Wal, Kuala Krai, Kelantan, kelmarin.


KUALA KRAI 7 Okt. – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membayar pampasan berjumlah RM1.678 bilion tahun lalu bagi menyelesaikan tuntutan 52,639 kes kemalangan jangka panjang dan kes-kes baru yang dilaporkan.

Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi Perkeso), Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 22,036 kes melibatkan bencana pekerjaan iaitu mangsa terlibat dengan kemalangan ketika dalam perjalanan pergi atau balik dari tempat kerja.

"Perkeso di bawah Akta Keselamatan Sosial bukan sahaja menjaga kebajikan pekerja di tempat kerja tetapi turut merangkumi ketika dalam perjalanan pergi, balik dan juga waktu rehat.

"Kes bencana pekerjaan yang layak menerima faedah atau pampasan mencatat sejumlah tiga daripada lima bahagian keseluruhan yang diperuntukkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan pampasan kepada tiga beradik, Siti Nurhafizah Ismail, 16, Siti Khairunnisa, 14, dan Siti Rasya Aleeya, 6, yang kehilangan ibu bapa mereka serentak pada 1 Oktober lalu disebabkan kemalangan motosikal di Kampung Che Wal di sini, semalam.

Dalam nahas pada pukul 7.30 pagi itu, bapa mereka, Ismail Yaccob, 50, seorang penoreh getah yang dalam perjalanan menghantar isterinya, Ruzainiah Mustapha, 37, kerani di sebuah kilang papan menemui maut selepas motosikal yang ditunggangi bergesel dengan kereta jenis Perodua Kancil menyebabkan kedua-duanya terjatuh, lalu dirempuh sebuah kereta Proton Persona yang gagal mengelak.

Dalam pertemuan tersebut, Perkeso menyerahkan wang tunai RM3,000 sebagai faedah pengurusan jenazah ibu bapa tiga beradik tersebut.

Perkeso juga mendapati ketiga-tiga beradik ini layak menerima pampasan bulanan sebanyak RM250 yang akan diserahkan mulai bulan depan sehingga mereka berusia 21 tahun atau tamat pengajian di peringkat institusi pengajian tinggi.

Beliau juga memberitahu, Allahyarham Ismail ialah penerima bayaran berkala sebanyak RM183.29 sebulan sejak 2000 apabila mengalami kecederaan parah iaitu putus jari kelengkeng dan jari manis tangan kiri semasa bekerja di sebuah kilang papan di Kampung Pek, Machang pada 1999.

Sementara itu, anak sulung mangsa, Siti Nurhafizah, yang masih belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Lipis berkata, wang yang diterima itu akan digunakan sebaik mungkin untuk menampung persekolahan mereka adik beradik.

15,000 benih ikan dilepas di Tasik Kenyir

Posted:

15,000 benih ikan dilepas di Tasik Kenyir

15,000 benih ikan dilepas di Tasik Kenyir

HULU TERENGGANU 7 Okt. - Lebih 15,000 benih ikan dilepaskan di Tasik Kenyir baru-baru ini bagi mengekalkan populasi ikan air tawar di tasik berkenaan yang diancam kepupusan.

Program pembiakan itu dilakukan oleh Jabatan Perikanan Negeri dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui Program Pelepasan Umum.

Pelancaran program itu disempurnakan oleh Pengarah Perikanan negeri, Zakaria Ismail di Sungai Leban dan antara spesies yang dilepaskan termasuklah kelah, lampam, kerai dan tenggalan.

Kebelakangan ini ramai pemancing yang mengeluh kerana semakin sukar untuk memperoleh hasil tangkapan di tasik yang suatu ketika dahulu dianggap sebagai syurga bagi penggemar hobi itu.

Banyak pihak mengaitkan sumber yang diancam kepupusan itu ekoran penangkapan tidak terkawal di tasik yang begitu luas.

Menurut Zakaria, pihaknya berharap usaha berkenaan akan membantu mengekalkan populasi ikan dan mempelbagaikan spesies yang boleh dilihat dan dipancing.

Katanya, program ini dapat membantu menyedarkan masyarakat agar bersama-sama memeliharakan khazanah alam dan tidak merosakkan ekosistem sungai dan tasik.

"Melalui program ini juga kita cuba memupuk semangat cintakan sungai dan tasik serta menambah sumber perikanan air tawar kepada orang ramai," katanya.

Beliau berharap program itu dapat membantu mengekalkan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan dengan pelbagai tarikan.

Pelatih bomba maut van terbalik

Posted:

Pelatih bomba maut van terbalik

Pelatih bomba maut van terbalik

HULU TERENGGANU 7 Okt. - Seorang pelatih yang sedang menjalani latihan di Akademi Bomba dan Penyelamat, Wakaf Tapai, maut dalam kemalangan di Kilometer 396.3. Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), di Kampung Kua, Ajil di sini, malam tadi.

Nur Farhana Mohd. Mahat, 26, dari Tangkak Johor, terbunuh apabila van yang dinaikinya bersama tiga lagi anggota bomba di akademi berkenaan terbabas sebelum terbalik.

Ketika kejadian, ibu kepada dua anak itu yang menjalani latihan di akademi tersebut sejak 5 September lalu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di berek Bomba, Tangkak, Johor, selepas mengadu tidak sihat.

Mangsa dibenarkan pulang berehat oleh pihak pengurusan akademi itu selepas beberapa hari dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Nur Farhana diiringi tiga anggota lain iaitu, pemandu van terbabit, Firdaus Ahmad, 26, Wan Siti Suzana Yusof, 27, dan Shahidan A. Razak, 23, dan mereka cuma mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

Mangsa yang mengalami kecederaan dalaman dikejarkan ke Hospital Dungun sebelum meninggal dunia pukul 9.45 malam ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Terengganu untuk menerima rawatan lanjut.

Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan turut hadir menziarahi jenazah mangsa ialah Komandan Akademi Bomba Wakaf Tapai, Norazam Khamis.

Jenazah Nur Farhana dibawa ke Akademi Bomba Wakaf Tapai untuk dimandi dan dikafankan sebelum diterbangkan menggunakan Helikopter Bomba, pagi ini ke kampung asalnya untuk dikebumikan.

Ibu mertua mangsa, Khatijah Mat Senin, 54, yang berasal dari Kampung Cabang, Kerteh, Dungun, ketika ditemui memberitahu, menantunya itu memperoleh dua cahaya mata hasil perkahwinan dengan anaknya yang juga merupakan seorang anggota bomba.

Katanya, anaknya itu bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Johor, dan mereka sekeluarga gembira selepas arwah terpilih menyertai pasukan dan menjalani latihan di akademi itu.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Membela rakyat, sejahtera negara

Posted:

Membela rakyat, sejahtera negara

Membela rakyat, sejahtera negara

Oleh MARHAINI KAMARUDDIN
pengarang@utusan.com.my


TENTU ada sesuatu yang mencuit hati sehingga Najib Tun Razak, Muhyiddin Yassin dan menteri-menteri Kabinet lain tergelak ketika pembentangan Bajet 2012 di Dewan Rakyat, semalam. – Utusan/MOHD. NAIM AZIZ


KUALA LUMPUR 7 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan Bajet 2012 bagi meneruskan agenda transformasi nasional yang mengambil kira kebajikan segenap lapisan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana tanpa mengetepikan strategi untuk membangunkan negara.

Bertemakan Dasar Transformasi Nasional: Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara, Bajet 2012 yang merupakan bajet kedua dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), kata Najib, bakal menjadi pemacu untuk mencapai Wawasan 2020 dan matlamat negara berpendapatan tinggi.

Beliau yang juga Menteri Kewangan dengan itu menggariskan lima fokus utama yang akan diberi penekanan di bawah Bajet 2012 iaitu meligat pelaburan; mengungguli modal insan; transformasi luar bandar; memperkejap perkhidmatan awam; serta meredakan inflasi dan mengimarah kehidupan rakyat.

Belanjawan kali ini begitu menyeluruh sehingga menyentuh secara langsung golongan akar umbi melalui pemberian pelbagai insentif yang tidak dijangka termasuk bantuan RM500 kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah, selain manfaat keseluruhan RM7,560 untuk pemilik teksi bajet bagi meringankan beban mereka.

Turut menerima insentif Bajet 2012 ialah warga emas, peneroka Felda, nelayan, wanita dan belia.

Golongan penjawat awam pula terus menerima imbuhan berganda apabila Perdana Menteri mengumumkan pelarasan gaji tujuh hingga 13 peratus, kenaikan gaji tahunan RM80 hingga RM320 mengikut gred selain bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 yang akan dibayar pada Disember ini.

Kerajaan juga tidak melupakan golongan pesara apabila mengumumkan pelarasan pencen dua peratus setahun secara automatik mulai 2013 di samping menerima bayaran khas RM500.

Dalam usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat, Perdana Menteri turut mengumumkan pemansuhan yuran tambahan sekolah mulai tahun depan, pemberian bantuan RM100 kepada semua pelajar daripada tahun satu hingga tingkatan lima, selain baucar buku RM200 kepada semua pelajar warga Malaysia daripada tingkatan enam hinggalah ke universiti.

Najib juga sempat menyindir pembangkang yang sering menguar -uarkan konsep negara berkebajikan sedangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah sejak sekian lama mengamalkannya.

"Keseluruhannya subsidi bahan makanan asas ini menelan belanja RM2.3 bilion dan dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira kaya atau miskin, bandar atau luar bandar. Oleh yang demikian, kita ingin bertanya, tidakkah ini dinamakan negara kebajikan?" katanya.

Bajet 2012 menyediakan peruntukan berjumlah RM232.8 bilion meliputi RM181.6 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM51.2 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan melaksanakan sejumlah projek bagi tahun depan di bawah Pakej Rangsangan Khas berjumlah RM6 bilion untuk merancakkan pelaburan.

Perdana Menteri turut mengumumkan empat dana khas perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi mempergiatkan industri itu.

Dalam pada itu, berpegang kepada falsafah 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, Najib turut menjanjikan proses besar islah undang-undang di bawah Program Transformasi Politik bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara moden dan progresif sekali gus demokrasi yang berfungsi.

"Bajet yang baru saya bentangkan ini mendakap segenap taraf sosioekonomi rakyat, ia tidak meninggalkan yang berpendapatan rendah sekalipun menengah atau tinggi dan tidak pula meminggir mereka yang di bandar waima di desa," katanya.

Perdana Menteri mengakhiri ucapan belanjawannya yang memakan masa dua jam itu dengan menegaskan kerajaan BN tidak tunduk kepada tekanan atau paksaan untuk mengambil jalan benar dan betul demi warga Malaysia.

"Kami yakin dengan perjuangan yang kami gandar ini bukan dibuat-buat atau ilusi silap mata sebagai guna menutup lompang keikhlasan dan kebobrokan sahsiah serta kemunafikan intelektual seperti sesetengah pihak," tegasnya.

1.2j penjawat awam naik gaji

Posted:

1.2j penjawat awam naik gaji

1.2j penjawat awam naik gaji

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Kira-kira 1.2 juta penjawat awam bakal menerima kenaikan gaji antara tujuh hingga 13 peratus mulai tahun depan apabila perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2012 di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju meningkatkan kadar kenaikan gaji tahunan penjawat awam antara RM80 sehingga RM320 setahun mengikut gred ekoran ia tidak pernah disemak sejak 1991.

Bagi pesara pula, beliau berkata, lebih 600,000 pesara kerajaan akan menikmati pelarasan pencen melibatkan peruntukan RM600 juta dan mulai tahun 2013 kerajaan akan melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan gaji.

Di dalam bajet kali ini, Najib turut mengumumkan had umur baru bagi persaraan wajib iaitu daripada 58 tahun kepada 60 tahun bagi mengoptimumkan sumbangan pegawai perkhidmatan awam.

"Pelanjutan ini tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada generasi muda kerana sektor awam dan swasta akan terus mewujudkan peluang pekerjaan baru," ujar Perdana Menteri.

Selain itu, Najib juga mengumumkan bayaran bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 kepada kakitangan awam yang akan dibayar pada bulan Disember ini selain bayaran khas RM500 kepada semua pesara kerajaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, penyelarasan gaji serta kenaikan kadar kenaikan gaji tahunan itu merupakan salah satu daripada empat elemen Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang mula diperkenalkan dalam bajet tahun ini.

"SBPA merupakan satu sistem saraan baru yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dan ia digubal dengan bermatlamat mentransformasi Perkhidmatan Awam Malaysia supaya ia menjadi organisasi yang lebih dinamik, responsif dan berorientasikan prestasi," ujarnya.

Menghuraikan lebih lanjut tiga elemen lagi di dalam SBPA, Perdana Menteri berkata, kenaikan gred berdasarkan time-based (tempoh perkhidmatan) bagi guru akan dikurangkan daripada tahun ke-10 kepada tahun kelapan perkhidmatan.

Beliau berkata, ini bermakna seorang guru akan berada pada gred 44 pada tahun kelapan dan gred 48 pada tahun ke-16.

"Jika mengikut time-based sekarang ia memakan masa 10 tahun tetapi di bawah SBPA ia hanya mengambil tempoh lapan tahun sahaja," katanya lagi.

Satu lagi elemen yang terdapat di dalam SBPA, beliau berkata, gaji maksimum dalam gred ditingkatkan lebih 30 peratus.

"Sebagai contoh di dalam SSM bagi seorang guru gred DG48 gaji maksimumnya adalah RM6,325.39 tetapi di dalam SPBA gaji maksimum akan meningkat 37.7 peratus. Dengan pertambahan itu jumlah gaji maksimum yang baru ialah RM8,710," ujarnya.

Ujar Najib elemen terakhir di dalam SBPA ialah wujudnya dasar pemisah atau 'exit policy' bagi penjawat awam yang berprestasi rendah dan bagi mereka yang memilih untuk meninggalkan perkhidmatan.

Yuran sekolah tahun depan dimansuhkan

Posted:

Yuran sekolah tahun depan dimansuhkan

Yuran sekolah tahun depan dimansuhkan

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bayaran yuran persekolahan untuk sesi 2012 bagi sekolah rendah dan menengah melibatkan jumlah RM150 juta, dimansuhkan.

Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2012 di Dewan Rakyat hari ini berkata, dengan pemansuhan itu bermakna buat pertama kali dalam sejarah negara kemudahan pendidikan sama ada di sekolah rendah mahupun menengah disediakan secara percuma.

Beliau berkata, sebelum ini pelajar masih dikenakan bayaran yuran sebanyak RM24.50 bagi sekolah rendah dan RM33.50 bagi sekolah menengah.

"Bayaran itu digunakan untuk yuran kokurikulum, kertas ujian dalaman, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) dan insurans takaful," katanya.

Menurutnya, keputusan kerajaan itu bakal memberi manfaat kepada 2.9 juta murid sekolah rendah dan 2.4 juta pelajar sekolah menengah.

Terdahulu Perdana Menteri berkata, kerajaan memperuntukkan RM50.2 bilion bagi sektor pendidikan untuk tahun depan.

"Bagi peruntukan pembangunan sebanyak RM1.9 bilion, ia akan dibelanjakan untuk semua jenis sekolah terdiri daripada Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT), sekolah mubaligh serta sekolah agama bantuan kerajaan," ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan turut menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion melalui Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik pulih bangunan sekolah, menyelenggara, membeli peralatan dan membina blok tambahan.

"Daripada peruntukan tambahan RM1 bilion itu, RM500 juta adalah untuk sekolah kebangsaan, RM100 juta kepada SJKC, RM100 juta kepada SJKT, RM100 juta kepada sekolah mubaligh, RM100 juta kepada sekolah agama bantuan kerajaan dan RM100 juta kepada Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan tiga galakan untuk sekolah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pelajaran dan memenuhi peraturan ditetapkan kerana ia turut memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan berkualiti untuk melahirkan generasi masa depan yang cemerlang.

"Tiga galakan itu adalah pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus atau elaun cukai pelaburan sebanyak 100 peratus ke atas perbelanjaan modal dalam tempoh lima tahun, potongan dua kali bagi perbelanjaan promosi di luar negara bagi menarik kemasukan lebih ramai pelajar asing.

"Galakan ketiga adalah pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas semua peralatan pembelajaran," katanya lagi.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


4 pengawal ditahan bantu siasatan kes rompak van keselamatan

Posted:

4 pengawal ditahan bantu siasatan kes rompak van keselamatan

4 pengawal ditahan bantu siasatan kes rompak van keselamatan

SHAH ALAM 7 Okt. - Polis menahan empat pengawal bagi membantu siasatan kes rompakan sebuah van keselamatan yang dipercayai membawa wang tunai RM2.2 juta di sebuah stesen minyak di pekan Ijok, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, kesemua mereka berusia antara 19 dan 30 tahun, ditahan pihaknya di daerah itu pukul 2.30 petang.

Katanya, siasatan mendapati mereka terlibat menguruskan operasi penghantaran wang untuk dimasukkan ke dalam mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di stesen minyak berkenaan.

"Kesemua mereka ditahan reman selama seminggu bermula hari ini. Kita juga memburu lima suspek yang melarikan van keselamatan berkenaan dengan seorang daripadanya dipercayai warga asing," katanya di sini hari ini.

Mohd. Adnan memberitahu, hasil siasatan, pihaknya menemui semula van keselamatan bersama kereta Proton Perdana di sebuah kebun pisang semalam, kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

Katanya, kedua-dua kenderaan itu telah dibakar dan dipercayai dilakukan oleh lima perompak terbabit untuk melupuskan bukti.

Tambahnya, Proton Perdana yang ditemui itu merupakan kenderaan curi yang dilaporkan hilang di Subang Jaya, 5 Oktober lalu.

"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dengan menggunakan senjata. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan," ujarnya.

Dalam kejadian semalam, lima lelaki bersenjatakan dua pucuk pistol melarikan van keselamatan dipercayai membawa wang tunai kira-kira RM2.2 juta di sebuah stesen minyak kira-kira pukul 9.45 pagi.

Ketika kejadian, kesemua pengawal keselamatan itu termasuk pemandu van berhenti di stesen itu untuk memasukkan wang tunai di dalam mesin ATM.

PDRM tingkat keupayaan siasatan - KPN

Posted:

PDRM tingkat keupayaan siasatan - KPN

PDRM tingkat keupayaan siasatan - KPN

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan keupayaan dan kemahiran pasukan tersebut dalam melakukan siasatan kes ekoran pemansuhan Akta Perintah Kediaman Terhad 1933 (Akta 377).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, ini termasuk menambah kelengkapan peralatan saintifik bagi meningkatkan lagi keupayaan dalam siasatan forensik.

"Langkah meningkatkan keupayaan dari segi penyiasatan merangkumi tiga jabatan PDRM iaitu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Kursus Bahasa Mandarin antara PDRM dan Universiti Malaya (UM) serta Institut Kong Zi di Maktab PDRM, Cheras, di sini hari ini.

Menurut Ismail, pihaknya berpuas hati dengan pencapaian pasukan itu dalam menyelesaikan kes-kes jenayah yang berlaku di negara ini.

"Berdasarkan kadar penyelesaian kes jenayah pada tahun lalu, sebanyak 40 peratus dicatatkan manakala tahun ini lebih daripada 25 peratus setakat ini telah dicatatkan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Harimau hilang taring

Posted:

Harimau hilang taring

Harimau hilang taring

Oleh TAN MING WAI
tan.mingwai@utusan.com.my


Pemain Australia, Luke Wilkshire (kiri) mengasak penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat pada aksi persahabatan di Canberra, semalam. Australia menang 5-0. - AFP


KUALA LUMPUR - Pahit untuk ditelan tetapi akui sahajalah hakikat bahawa mutu bola sepak kita meskipun bergelar juara Asia Tenggara, sebenarnya masih jauh ketinggalan.

Kekalahan besar skuad kendalian Datuk K. Rajagobal 0-5 kepada Australia di Stadium Canberra, semalam, merupakan realiti yang mengejutkan kita daripada lamunan mimpi menyangka bola sepak Malaysia sudah kembali ke landasan sebenar.

Tidak sejak kita disingkirkan negara jiran, Singapura, daripada kelayakan Piala Dunia, tidak juga sewaktu kita berhempas pulas melakar keputusan seri 4-4 dengan Taiwan.

Maka terbukti benar jugalah kenapa ada pihak di Australia cuba mempersoalkan niat Socceroos mengatur pertemuan persahabatan dengan Malaysia yang dilabel sebagai pasukan kerdil dan apakah faedah kepada gergasi Asia yang menghuni ranking ke-19 dunia itu.

Tanpa nama-nama terkemuka seperti Tim Cahill, Brett Emerton, Mark Schwarzer dan Harry Kewell, Australia tetap berada di kelas berbeza dan terlalu gah untuk dicabar kesebelasan pemain Malaysia.

Tuan rumah tidak menunggu lama untuk memulakan pesta gol apabila membuka jaringan pada minit ketiga menerusi Luke Wilshere selepas mudah menolak masuk hantaran bek kanan Middlesbrough, Rhys Williams dari jarak dekat.

Gol pembukaan itu mula menyerlahkan betapa rapuhnya pertahanan Harimau Malaya menyaksikan lawan dengan mudahnya bertukaran hantaran sebanyak enam kali yang dimulakan dari luar kotak, tanpa ditekan pemain kita sehinggalah gol disumbat Wilshere.

Selang empat minit kemudian, Malaysia berpeluang menyamakan kedudukan apabila Safee Sali berjaya melepasi kawalan dua pemain pertahanan lawan dari sebelah kiri padang dan melorongkan bola cantik ke tengah, namun tiada sesiapa yang berada di kotak untuk menyudahkanya.

Bermula saat itu, Australia mula menguasai bola secara menyeluruh dan melancarkan asakan demi asakan ke gawang Malaysia, sebahagian besarnya dari kedua-dua belah sayap, sementara pemain kita pula hanya mampu tercegat dan melihat.

Andai mendapat bola di kaki mereka pun, rata-rata mereka tidak tahu kepada siapakah mahu dihantar dan kelambatan bertindak menyebabkan ia mudah dirampas atau hantaran singgah ke pemain lawan.

Ketangkasan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat acap lagi menjadi penyelamat kepada kealpaan benteng pertahanan yang dibarisi Mahali Jasuli, Norhafiz Zamani Misbah, Muslim Ahmad dan Asraruddin Putra Omar, yang jika tidak, Malaysia berkemungkinan tewas dengan jumlah jaringan lebih besar.

Memasuki minit ke-30, Australia yang melancarkan serangan bertali arus sudah pun memperoleh 10 cubaan tepat ke gawang dan kebuntuan memburu jaringan kedua akhirnya dipecahkan oleh penyerang tinggi lampai, Joshua Kennedy, angkara kesilapan Amar Rohidan yang hilang bola di suku ketiga padang.

Penyerang Shimizu S-Pulse di Liga Jepun, Alex Brosque meledak jaringan ketiga sebelum Kennedy yang juga beraksi di Liga-J untuk Nagoya Grampus, melebarkan kedudukan 4-0 sebelum berakhirnya babak pertama.

Persembahan hambar pertahanan diparahkan lagi kegagalan jentera tengah berfungsi. S. Kunalan dan Baddrol Bakhtiar gagal mengancam dari bahagian sayap sementara Joseph Kalang Tie yang diberi kepercayaan Rajagobal mengisi kekosongan besar Safiq Rahim sebagai playmaker, tidak efektif.

Gandingan dua penyerang utama Harimau Malaya, Safee dan Nor Shahrul Idlan Talaha pastinya serba tidak menjadi ekoran kegagalan bahagian tengah.

Gol terakhir Australia yang melengkapkan keputusan 5-0, merumuskan kenapa Harimau Malaya begitu mudah diratah.

Tambahan sukan RM30j

Posted:

Tambahan sukan RM30j

Tambahan sukan RM30j

KUALA LUMPUR - Kerajaan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta untuk program sukan berprestasi tinggi dengan tumpuan diberi kepada pembangunan atlet muda agar mereka lebih kompetitif untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Pengumuman peruntukan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2012 yang bertemakan 'Dasar Transformasi Nasional: Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara' di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Peruntukan itu akan dimanfaatkan untuk bola sepak, badminton, skuasy, boling tenpin, terjun, memanah dan berbasikal.

Penyediaan peruntukan tambahan itu menjadikan keseluruhan peruntukan RM84 juta.

RM15 juta juga bagi membina 150 gelanggang futsal tambahan agar matlamat Satu Gelanggang, Satu Mukim dapat dicapai.

Kerajaan juga memperuntukkan RM50 juta menyediakan kemudahan padang tiruan yang dilengkapi lampu limpah di 30 lokasi terpilih seluruh negara.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Politik

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Politik


Kekecohan semasa ceramah Mat Sabu

Posted:

Kekecohan semasa ceramah Mat Sabu

Kekecohan semasa ceramah Mat Sabu

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL-JABRI
utusann9@utusan.com.my


INSIDEN tolak menolak berlaku hingga memaksa Unit Tindakan Ringan Polis dikejarkan ke tempat kejadian bagi meredakan pertelagahan antara penyokong Pas dengan NGO di Kapung Bintungan, Rembau, kelmarin.


REMBAU 7 Okt. – Bantahan orang ramai terhadap kehadiran Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau Mat Sabu ke negeri ini berterusan dan terbaru apabila beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum kepadanya pada sesi ceramah parti itu di Kampung Pulau Bintungan di sini malam tadi.

Bagaimanapun kumpulan yang diwakili 70 orang terdiri daripada beberapa NGO yang diketuai Gerakan Memartabatkan Perjuangan Nasional (GMPN), kecewa selepas mereka dihalau dengan kasar oleh penyokong pembangkang ketika cuba menyerahkan memorandum kira-kira pukul 10.15 malam.

Berikutan itu, insiden tolak menolak berlaku antara kumpulan berkenaan sebelum pergaduhan tercetus antara mereka yang tidak berpuas hati dengan kehadiran rombongan GMPN.

Beberapa ahli kumpulan berkenaan cedera ringan dipercayai akibat ditumbuk dan terkena botol minuman serta objek yang dibaling oleh kedua-dua pihak.

Keadaan kemudian tidak terkawal menyebabkan Unit Tindakan Ringan (LSF) polis bergegas ke lokasi bagi meredakan keadaan.

Dua wakil GMPN akhirnya dibenarkan masuk bertemu Mat Sabu kira-kira pukul 10.30 malam selepas Ketua Cabang Keadilan Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegu Bard keluar untuk berunding sebelum menyerahkan memorandum berkenaan.

Di sebalik bantahan dan suasana tegang itu, Mat Sabu masih meneruskan ceramahnya sebelum ia berakhir kira-kira pukul 12 malam.

Sementara itu, wakil GMPN, Mohd. Arafat Muhammad kesal dengan insiden tersebut kerana penganjur sebelum itu memaklumkan wakil mereka akan dibenarkan masuk tanpa sebarang halangan.

''Sebelum ini kita telah berbincang dengan wakil penganjur sebelum ke kawasan ceramah itu kerana diberitahu empat wakil kami akan dibenarkan masuk menyampaikan memorandum kepada Mat Sabu," katanya.

Sebelum ini kehadiran Mat Sabu turut dibantah oleh beberapa NGO yang membantah kehadirannya pada sambutan Aidilfitri anjuran parti berkenaan di Ampangan dekat sini pada 24 September lalu berikutan kenyataannya menghina pejuang negara.

Malah peserta dari NGO berkenaan yang tidak berpuas hati dengan kenyataan pemimpin pembangkang itu yang masih mempertahankan pendiriannya dalam isu komunis, bertindak menyerbu majlis berkenaan.

Perkembangan itu menyebabkan beberapa siri pergelutan antara peserta perhimpunan dengan beberapa ahli Pas yang bertugas pada majlis berkenaan.

Mat Sabu sebelum ini mendakwa Mat Indera adalah wira sebenar dalam tragedi serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950, bukannya anggota polis yang diserang kerana mereka bekerja dengan penjajah British.

Berikutan itu, Mat Sabu telah didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang 21 September lalu atas tuduhan membuat tohmahan memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka dalam tragedi di Bukit Kepong sewaktu menyampaikan ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor pada Ogos lalu.

Kelantan tubuh jawatankuasa pelaksana hudud

Posted:

Kelantan tubuh jawatankuasa pelaksana hudud

Kelantan tubuh jawatankuasa pelaksana hudud

KOTA BHARU 7 Okt. - Selepas didesak pelbagai pihak, akhirnya, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan satu jawatankuasa pelaksana hukum hudud akan ditubuhkan.

Menurut beliau, jawatankuasa itu ditubuhkan bagi menentukan bagaimana Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993 bakal digazetkan untuk pelaksanaan serta penentuan semua perkara berkaitan seperti pelantikan hakim.

Mursyidul Am Pas itu berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut hanyalah perkara teknikal dan segala urusan terletak kepada tindakan pegawai kerajaan negeri.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan dengan tepat bila tugas jawatankuasa pelaksana itu akan bermula dan memberi alasan ia tidak boleh tergesa-gesa.

"Kita akan tubuh dan serah kepada jawatankuasa itu, bagaimana nak gazet, siapa nak dilantik jadi kadi, hakim, benda ini bukan lagi kerja saya tapi kerja teknikal, kerja pegawai.

"Benda ini tidak boleh buat dengan cepat, selama ini kita hanya beri kursus dan penerangan, sekali setahun kita buat wacana hudud kerana kita berasa payah, tapi sekarang ini alhamdulillah, dengan pemahaman yang diberi pakar perlembagaan seperti Profesor Dr. Abdul Aziz Bari, nampak jelas, tidak ada apa salah untuk melaksanakan hudud.

"Seperti saya pernah sebut, ini urusan dan perkara negeri, di bawah kuasa Tuanku Sultan, jadi kenapa Kerajaan Pusat nak ganggu kerja-kerja ini, malah Abdul Aziz kata kita boleh saman Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana dia ganggu semangat federalisme dengan surat amarannya dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya bila kerajaan Kelantan akan melaksanakan hukuman hudud selepas menyampaikan kuliah Jumaat di hadapan Pejabat Badan Perhubungan Pas negeri, di sini, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan teguran Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Daud Mohamad bahawa kerajaan negeri hanya lantang bercakap mengenai hudud pada waktu tertentu meskipun peruntukannya telah diluluskan sejak lebih 20 tahun lalu.

Sementara itu, Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin baru-baru ini dilaporkan berkata, suasana di Kelantan belum kondusif untuk pelaksanaan hukuman hudud.

Sementara itu, dalam masa sama, Nik Abdul Aziz menyambut baik kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang dilaporkan meminta Kerajaan Pusat memberi peluang kepada Kelantan melaksanakan hukuman hudud di negeri ini.

"Dia sebagai seorang mufti, dia tahu hukum hudud, hudud ini hukum syarak, bukan hukum pandai-pandai Pas, ini hukuman yang ada dalam al-Quran, jadi kenapa disekat-sekat? Sekat ini tanda kita tak faham, atau termakan pengaruh Barat yang mengatakan Islam ini ganas," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved