Ahad, 28 Ogos 2011

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Liyana kutip pengalaman di Istanbul

Posted:

Liyana kutip pengalaman di Istanbul

Liyana kutip pengalaman di Istanbul

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
Foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM
Solekan LALA 012-9013913
Pakaian BUTIK NAJJAH
htp://www.najjah.com

TAHUN pertama beraya sebagai pengacara, Nur Liyana Kamar Hisham tidak berasa sebarang perbezaan pada dirinya. Menurutnya, segala persiapan sama sahaja seperti tahun sebelumnya. Persalinan cuma dua pasang dan kuih-muih pula tiada yang ditempah berlebihan.

Tambahan pula gadis berusia 25 tahun ini juga pernah berlakon secara secara sambilan sebelum ini. Justeru, dikenali atau tidak itu bukan soalnya. Cuma katanya, kadang-kadang bila bertemu orang luar ada yang memandang dan bertanya, "Ini Liyana pengacara rancangan Safiyya TV9 ke?"

Bercerita tentang Hari Raya, Liyana dan keluarga pulang berhari raya di Batu Burok, Terengganu seperti tahun-tahun sebelumnya. Saat paling ditunggu bila dapat berkumpul bersama datuk, nenek dan sanak saudara sebelah ibunya. Apatah lagi peluang sebegini bukan datang selalu.

"Paling seronok dapat menikmati pelbagai jenis masakan Terengganu yang enak seperti nasi dagang, satar dan pelbagai lagi. Pendek kata kalau pulang ke sana, tidak sah kalau tidak merasa pelbagai jenis makanannya yang enak-enak belaka," katanya.

Tidak sampai setahun menimba pengalaman sebagai pengacara dalam rancangan berbentuk Islamik itu, penuntut Master dalam jurusan klinikal dan kaunseling di Universiti Islam Antarabangsa ini bertuah kerana dapat menimba ilmu berharga.

Liyana ke seluruh pelosok negara mencari bahan untuk pengisian rancangan yang disiarkan setiap Ahad itu. Paling mengujakan, dia baru pulang dari Istanbul, Turki menjayakan episod khas Hari Raya.

"Ini kali pertama tugasan Liyana di luar negara. Memang seronok tambahan pula Turki terletak dalam dua benua iaitu Eropah dan Asia. Perbezaannya sangat jelas dan ketara dari pelbagai sudut. Kalau kita mahu kehidupan moden dan membeli-belah, hala ke bandar di benua Eropah manakala untuk menginap pula ramai yang memilih Asia kerana suasana yang lebih tenang," kata anak kedua daripada empat adik-beradik ini.

Liyana juga sempat singgah ke senibina unggul bandar sejarah itu, Masjid Biru yang tersergam indah. Selain itu, dia tetap tidak ketinggalan menikmati juadah istimewa Turki terutama kebab, nasi mandi dan bhaklava.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Pasar Tani Khas Aidilfitri

Posted:

Pasar Tani Khas Aidilfitri

Pasar Tani Khas Aidilfitri

Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD
utusanjohor@utusan.com.my


Maulizan Bujang (dua dari kanan) melawat sekitar tapak Pasar Tani Khas Menjelang Aidilfitri di Pasar Tani Mega Larkin, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 27 Ogos - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Johor menyediakan 188 ekor lembu dan 34,000 ekor ayam bagi memenuhi permintaan sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Pengarahnya, Faridultarash Md. Mokri berkata, sebanyak 23,150 biji kelapa, 5.2 tan metrik cili merah, 7.1 tan metrik kacang panjang dan 3.1 tan metrik bawang dibekalkan kepada Pasar Tani Khas Menjelang Aidilfitri yang berlangsung selama tiga hari mulai hari ini.

"Kesemua barangan tersebut yang dijual pada harga siling diedarkan oleh 627 peserta yang terdiri petani, penternak, nelayan dan usahawan tani di 25 pasar tani di seluruh negeri ini.

"FAMA menyarankan peniaga pasar tani supaya menawarkan harga lebih rendah berbanding pasar-pasar awam lain iaitu di bawah harga siling dengan membekalkan barangan segar dan bermutu," katanya pada Majlis Pelancaran Program Pasar Tani Khas Menjelang Aidilfitri di Pasar Tani Larkin di sini hari ini.

Pelancaran pasar tani tersebut disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Maulizan Bujang.

Faridultarash berkata, lembu segar dijual RM17 hingga RM18 sekilogram (kg) dan ayam siap proses RM6.80 hingga RM7.20 kg.

Beliau berkata, harga kacang panjang merah ditetap antara RM6 hingga RM7 kg dan cili merah RM9.50 hingga RM10 kg berbanding harga pasaran masing mencecah antara RM8 dan RM11 kg.

Pihaknya menjangkakan jumlah jualan pasar tani khas itu meningkat 10 peratus iaitu RM2.7 juta berbanding RM2.5 juta tahun lalu.

Jumlah jualan 25 pasar tani di seluruh negeri turut diramal meningkat kepada RM50 juta berbanding RM46 juta tahun lalu.

400 terima bantuan JKM di Pontian

Posted:

400 terima bantuan JKM di Pontian

400 terima bantuan JKM di Pontian


Penerima sumbangan Rahmat Ramadan bersama ADUN Benut, Datuk Ir, Hasni Mohammad (tengah, bersongkok) di pekarangan Rumah UMNO Benut di Pontian, baru-baru ini.


PONTIAN 27 Ogos - Seramai 400 golongan kurang berkemampuan menerima sumbangan Hari Raya Aidilfitri daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Pontian sepanjang Ramadan ini.

Mereka terdiri daripada orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan fakir miskin dari seluruh daerah ini yang berdaftar di bawah JKM.

Pegawai JKM Daerah Pontian, Juhainun Mohd. Shukri memberitahu, penerima tersebut dari empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pekan Nanas, Pulai Sebatang, Benut dan Kukup.

"Selain bantuan bulanan RM300, mereka juga menerima bantuan daripada kerajaan negeri sebanyak RM100 setiap orang," katanya pada majlis penyerahan sumbangan bagi DUN Benut di pekarangan Rumah UMNO, Benut dekat sini baru-baru ini.

Selain wang tunai, penerima juga mendapat barangan keperluan harian, pakaian dan kuih-muih dan ia diharap dapat menceriakan sambutan Aidilfitri yang akan menjelang beberapa hari lagi.

Juhainun turut merakamkan penghargaan atas sumbangan yang diberikan bagi membantu golongan sasar berkenaan sejajar dengan konsep masyarakat penyayang negara ini.

Beliau berkata, JKM sentiasa memastikan golongan seperti itu terus mendapat pembelaan serta perhatian supaya mereka dapat membuat persiapan hari raya seperti keluarga yang lain.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


25 'laluan panas' dikenal pasti

Posted:

25 'laluan panas' dikenal pasti

25 'laluan panas' dikenal pasti

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my


ISMAIL Lasim (tengah) bersama Mohd. Rusdi Ismail (kanan) menyampaikan hamper kepada orang ramai di Tol Senawang, kelmarin. - MINGGUAN/ABD. RAZAK AID


RASAH 27 Ogos - Sebanyak 25 'laluan panas' iaitu lokasi berlakunya kemalangan maut di negeri ini telah dikenal pasti oleh Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) negeri.

Pengerusinya, Datuk Ismail Lasim memberitahu, laluan itu meliputi tujuh buah daerah termasuk daerah ini selain Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Port Dickson, Rembau dan Tampin.

Jelasnya, antara lokasi yang berisiko di sekitar daerah itu dan Rembau meliputi Jalan Tampin-Seremban, Bandar Baru Nilai-Bulatan Salak Tinggi, Jalan Seremban-Labu-Nilai, Jalan Batang Benar-Taman Semarak, Kilometer (KM) 20-21 Jalan Seremban Tampin, KM 32-34 Jalan Seremban-Tampin, KM 39-42 Jalan Seremban-Tampin, KM 6-7 Jalan Pedas-Linggi, Jalan Lubok Cina-Linggi dan Jalan Lubuk China-Astana Raja.

Di Tampin pula ia melibatkan KM 1-3 Jalan Tampin-Seremban, KM 1-8 Jalan Tampin-Gemas, KM 14-18 Jalan Tampin-Gemas, KM 25-35 Jalan Tampin-Gemas, Jalan Pekan Gemencheh-Batang Melaka, Pekan Gemas-Sempadan Rompin, KM 2-16 Jalan Pantai Port Dickson, KM 2-13 Jalan Port Dickson-Seremban, KM 8-20 Jalan Port Dickson-Sepang.

Sementara di daerah Kuala Pilah, Jempol dan Jelebu pula, lokasi yang dikenal pasti ialah KM 0.5 Jalan Melang-Kuala Pilah, KM 4 Jalan Kuala Pilah-Tampin, KM 12-38 Jalan Bahau-Keratong, KM 14-22 Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang, KM 22.2 Jalan Seremban-Kuala Klawang dan KM 1-33 Jalan Kuala Klawang-Genting Press.

''Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan berhati-hati apabila melalui laluan berisiko itu selain lebih peka tentang aspek keselamatan berikutan peningkatan bilangan kenderaan di jalan raya pada musim perayaan ini,'' katanya.

Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Infrastruktur Air, Tenaga dan Telekomunikasi negeri berkata demikian pada Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Ops Sikap ke-24 Hari Raya Aidilfitri di laluan keluar Tol Senawang dekat sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Jalan Raya, Mohd. Rusdi Ismail; Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik negeri, Superintendan Junaidi Bujang dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan negeri, Saiful Azzri Hamzah.

Ismail berharap orang ramai terus mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan pada masa yang sama pasukan keselamatan akan ditempatkan di beberapa lokasi strategik bagi memantau keadaan lalu lintas sepanjang musim perayaan ini.

Suasana 'sepi' di Terminal Melaka Sentral

Posted:

Suasana 'sepi' di Terminal Melaka Sentral

Suasana 'sepi' di Terminal Melaka Sentral

MELAKA 27 Ogos - Jika Perhentian Pudu Raya di Kuala Lumpur penuh sesak dengan orang ramai yang ingin pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri, tetapi keadaan itu tidak berlaku di Terminal Bas Melaka Sentral di sini.

Tinggal hanya tiga hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri, suasana di Melaka Sentral nyata sepi daripada suara hiruk-pikuk orang ramai yang ingin pulang ke kampung.

Tinjauan Mingguan Malaysia di terminal itu mendapati, tidak ada pemandangan orang ramai beratur bersesak-sesak untuk mendapatkan tiket-tiket bas ekspres.

Perkara itu diakui oleh kakitangan kaunter tiket bas, Khairul Afandi Mokhtar, 23, yang menyatakan pada tahun ini, keadaan lebih baik berbanding tahun lalu di mana kaunter jualan tiket sesak apabila diserbu oleh penumpang yang membeli tiket pada saat-saat akhir.

''Tahun ini, nampaknya keadaan lebih baik, keadaan kaunter tiket tidak sesak kerana orang ramai semakin sedar dan sudah awal-awal membuat tempahan tiket bas.

''Ini kerana, semua tiket bas kini sudah habis dijual kerana penumpang sudah membuat tempahan tiket bas sejak bulan lalu," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Selain itu, menurut petugas kaunter tiket Maraliner, Awang Sulung Yahya, 31, pihaknya membuka kaunter jualan tiket tambahan bermula semalam hingga Isnin bagi memudahkan penumpang pulang berhari raya di kampung mereka.

''Pada masa ini, keadaan terminal tidak sesak lagi, mungkin bermula malam ini, penumpang akan mula membanjiri kawasan terminal kerana kebanyakan laluan tambahan dibuka tengah malam," katanya.

Sementara itu, bagi Norsyuhada Abu Samah, 19, yang menuntut di Kolej Risda Alor Gajah di sini, dia terpaksa menggunakan perkhidmatan bas untuk pulang ke kampung halaman di Temerloh, Pahang kerana ia menjimatkan wang terutama kepada golongan pelajar sepertinya.

''Sudah tiga tahun saya pulang berhari raya di kampung dengan menggunakan kemudahan bas ekspres, setakat ini tiada apa masalah," katanya.

Rakannya, Rozita Mohmud, 22, memilih untuk menggunakan bas bagi pulang ke kampung halaman di Kuching kerana perkhidmatan itu sangat mudah.

Menurutnya, bas ekspres masih mampu menjadi pengangkutan awam yang efektif untuk pulang berhari raya di kampung.

APMM buat 301 tangkapan sehingga Ogos

Posted:

APMM buat 301 tangkapan sehingga Ogos

APMM buat 301 tangkapan sehingga Ogos

KOTA KINABALU 27 Ogos - Sebanyak 301 tangkapan dibuat oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Sabah dan Labuan yang melibatkan pelbagai kesalahan mulai Januari hingga Ogos tahun ini.

Penguat Kuasa Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Mohd. Taha Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, tangkapan paling banyak dilakukan adalah kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu sebanyak 127 tangkapan.

"Selain itu, tangkapan kedua terbanyak adalah kesalahan melibatkan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO) iaitu sebanyak 71 tangkapan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan kuih raya kepada anggota Maritim Malaysia di Pejabat agensi itu Kelombong dekat sini, baru-baru ini.

Katanya, lain-lain tangkapan melibatkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan (48), Akta Perikanan 1985 (30), Akta Kastam 1967 (15), Akta Dadah Berbahaya 1952 (3), Akta Senjata Api dan Bahan Letupan 1960 (3), Akta Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (2), Kanun Tanah Negara 1965 (1) dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (1).

Menurutnya, semua tangkapan itu dibuat selepas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Maritim Malaysia membuat pemeriksaan melibatkan 2,840 kes di beberapa daerah termasuk Kudat, Tawau, Sandakan, Lahad Datu dan Kota Kinabalu.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


'Pulanglah jumpa ibu'

Posted:

'Pulanglah jumpa ibu'

'Pulanglah jumpa ibu'

Oleh AZMAN MD. NOOR
utusankedah@utusan.com.my


SALMAH Hassan (dua dari kanan) menerima sumbangan hari raya daripada Mohd. Tajudin Abdullah di Rumah Kebajikan Gulau, Sik, semalam. - MINGGUAN/AZMAN MD. NOO


SIK 27 Ogos - "Hari baik bulan baik ini pulanglah jumpa ibu." Begitulah nasihat seorang warga emas, Salmah Hassan, 60, yang hidup sebatang kara di Rumah Kebajikan Orang Tua Gulau, dekat sini.

Dia bagaimanapun sudah pasrah dengan hidupnya kerana tiada siapa sudi melawatnya terutama pada musim perayaan.

Katanya, bagi mereka yang masih mempunyai ibu bapa seharusnya menghargai masa sebegini untuk bersama-sama meraikan hari bahagia.

"Kepada anak-anak yang masih mempunyai ibu bapa masa inilah masa emas untuk pulang menemui ibu bapa dan memohon maaf kepada mereka," katanya ketika ditemui selepas dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek, Mohd. Tajudin Abdullah bagi menghulurkan sumbangan Aidilfitri di sini, hari ini.

Salmah yang berasal dari Belantek berkata, kehadiran Syawal perlu dimanfaatkan dengan mengeratkan hubungan kekeluargaan agar ia lebih bermakna.

Katanya, dia bernasib baik kerana masih dapat meraikan Syawal bersama rakan-rakan penghuni rumah berkenaan sejak 11 tahun lalu.

"Hanya rakan-rakan jadi pengubat duka berbeza dengan mereka yang masih mempunyai keluarga dan orang tersayang untuk sama-sama bergembira di hari raya," katanya yang fasih berbahasa Inggeris.

Salmah sebelum ini pernah berkahwin tetapi berpisah dengan suaminya dan dia tidak lagi mengetahui di mana suaminya berada.

Salmah berkata, setiap tahun hanya kuih pemberian pihak tertentu dan orang ramai sahaja yang mampu dijamah mereka.

"Hendak buat macam mana sudah suratan saya hidup seorang diri berbanding mereka yang masih memiliki keluarga," ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Tajudin berkata, pihaknya sentiasa memberi tumpuan kepada para penghuni di rumah berkenaan supaya mereka tidak merasa tersisih daripada masyarakat.

Mangsa kebakaran rayu bina semula rumah

Posted:

Mangsa kebakaran rayu bina semula rumah

Mangsa kebakaran rayu bina semula rumah


HALIJAH Fakir Mohamad dan anaknya, Zulnuraini Aboo Osman di tapak rumahnya yang terbakar enam bulan lalu di Kampung Bahagia, Teluk Intan, kelmarin


TELUK INTAN 27 Ogos - Seorang ibu merayu pihak berkuasa dan pertubuhan kebajikan membantu membina semula rumahnya di Kampung Bahagia di sini yang terbakar enam bulan lalu.

Halijah Fakir Mohamad, 66, mendakwa sudah mengemukakan banyak permohonan kepada pihak berkuasa tetapi masih tidak mendapat sebarang maklum balas.

''Berapa lama lagi saya harus menunggu. Rumah lain yang baru terbakar pun sudah mendapat perhatian dan dibina rumah baru tetapi mengapa masalah saya diketepikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui bersama anaknya, Zulnuraini Aboo Osman, 39, di tapak rumah berkenaan di sini, semalam.

Halijah yang kini menumpang di rumah kawannya berkata, rumah tersebut amat diperlukan bagi memudahkan menjaga Zulnuraini yang disahkan sebagai orang kelainan upaya (OKU) setelah terbabit kemalangan 16 tahun lalu.

''Saya sudah malu menumpang dan menyusahkan kehidupan kawan kerana terpaksa menanggung beban tambahan, lebih-lebih lagi menjelang hari raya nanti," katanya.

Sehubungan itu, Halijah bertekad akan menyambut hari raya Aidilfitri di tapak rumahnya yang terbakar, jika tidak mendapat sebarang bantuan.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, sebelum rumah terbakar, dia menjual ais krim batang dengan pendapatan kira-kira RM8 sehari bagi menyara hidup bersama Zulnuraini.

Selepas kejadian kebakaran, beliau bergantung hidup menerusi elaun OKU yang diterima anaknya setiap bulan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


PM lancar kedai 1Malaysia DMart di Felda

Posted:

PM lancar kedai 1Malaysia DMart di Felda

PM lancar kedai 1Malaysia DMart di Felda

PEKAN 27 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak hari ini melancarkan secara serentak 250 kedai 1Malaysia DMart yang dibina di tanah-tanah rancangan Felda seluruh negara.

Pelancaran tersebut berlangsung di kedai 1Malaysia DMart di Felda Chini Timur 2 di sini.

Dalam ucapan perasmiannya, Najib berkata, semua kedai 1Malaysia DMart akan menjual barangan keperluan yang menggunakan logo 1Malaysia.

"Antaranya seperti susu tepung, sardin, jus oren, sos cili dan kicap yang kesemuanya dijual dengan harga yang lebih murah daripada biasa serta mempunyai kualiti seperti barang yang berjenama," katanya.

Hadir sama, Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis dan Pengarah Urusan Mydin Holdings, Datuk Ameer Ali Mydin.

Menurut Najib, dengan adanya kedai ini, rakyat dapat berjimat sebanyak 30 hingga 40 peratus perbelanjaan harian.

''Sebagai contoh, sos cili yang berjenama dijual dengan harga RM2.10 sebotol tetapi di sini hanya dijual pada harga RM1.80, manakala lampin bayi dijual dengan harga RM18.50 berbanding dengan yang berjenama iaitu berharga RM30.20," katanya.

Najib berharap, dengan kewujudan kedai ini semua rakyat mendapat faedah terutamanya peneroka Felda.

Tambah beliau lagi, penubuhan kedai ini menunjukkan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) amat prihatin terhadap rakyat.

"Sebelum ini pembangkang menggelarkan BN ini sebagai barang naik, namun setelah kewujudan kedai ini mereka semua diam," katanya.

Dalam pada itu, pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Felda Chini Timur 2, Najib mengumumkan peruntukan sebanyak RM6.88 juta untuk kawasan Gugusan Felda Chini.

Katanya, peruntukan itu termasuk untuk membaiki, membina dan menaik taraf kemudahan di kawasan Gugusan Felda Chini termasuklah klinik kesihatan, masjid dan dewan.

Waktu perjalanan PLUS bantu kelancaran trafik

Posted:

Waktu perjalanan PLUS bantu kelancaran trafik

Waktu perjalanan PLUS bantu kelancaran trafik


Tinjauan orang ramai yang pulang ke kampung sempena menjelang Aidilfitri di Tol Sungai Besi.


KUALA LUMPUR 27 Ogos - Warga kota sejak semalam mula beransur-ansur meninggalkan ibu negara untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Tinjauan Mingguan Malaysia di Plaza Tol Sungai Besi hari ini menyaksikan pertambahan ketara jumlah kenderaan yang menuju ke selatan tanah air.

Seorang pengguna, Shahril Nizam Abdul Jalil, 36, berkata, cadangan PLUS Expressways Berhad (PLUS) mengenai jadual perjalanan mengikut waktu ganjil dan genap dipercayai dapat membantu kelancaran trafik.

"Saya rasa cadangan itu berkesan kerana kita dapat lihat kenderaan bergerak dengan lancar dan plaza tol juga tidak begitu sesak," katanya yang akan pulang ke Melaka.

Justeru, Shahril Nizam turut menasihatkan pengguna lebuh raya yang lain agar mengikut jadual perjalanan tersebut bagi memudahkan perjalanan masing-masing.

Seorang lagi pengguna, Hafiz Zaini, 35, turut bersetuju yang cadangan tersebut membantu merancang perjalanan pulang ke kampung.

"Nombor kereta saya berakhir dengan angka 0, jadi saya mengambil keputusan untuk bertolak pada pukul 2 petang tadi dari rumah di Ampang.

"Sehingga kini perjalanan masih lagi lancar dan saya berharap perjalanan pulang ke Negeri Sembilan tidak akan menjadi masalah," katanya.

Sementara itu, seorang kakitangan swasta, Ahmad Hambal Adnan, 25, berkata, walaupun hanya menunggang motosikal untuk pulang ke Melaka, dia dapat merasakan keadaan lalu lintas akan mula sesak pada malam ini.

"Mungkin ada yang masih membeli-belah pada saat akhir, rasanya sebab itulah bilangan kereta tidak banyak sekarang. Jadi senang sikit saya mahu pulang," katanya.

Bagi Abdul Muhaimin Abdul Hadi, 29 pula, perjalanannya dari Perak ke Putrajaya, lancar walaupun bertolak tidak mengikut cadangan yang diberikan PLUS.

"Walaupun tidak mengikut jadual PLUS, saya masih lagi tidak tersangkut dalam kesesakan kerana saya rasa orang ramai akan mula pulang ke selatan pada malam ini," katanya.

Yusry mengaku rancang kahwin Lisa Surihani 2013

Posted:

Yusry mengaku rancang kahwin Lisa Surihani 2013

Yusry mengaku rancang kahwin Lisa Surihani 2013

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Setelah hampir dua minggu membisu mengenai desas-desus perkahwinannya, aktor duda yang tampan, Yusry Abdul Halim akhirnya mengaku merancang berkahwin dengan buah hatinya Lisa Surihani.

"Insya-Allah jika semua berjalan lancar dan tidak ada apa-apa halangan dari segi kerja, saya akan melamar Lisa dan mengahwininya pada 2013.

"Kalau tanya pada hati, memanglah saya mahu cepat tetapi apa-apa pun kami harus menghormati keluarga mengenai hasrat kami itu.

"Apa yang pasti, kami tidak mungkin berkahwin tahun depan kerana Lisa akan berlakon dalam filem arahan saya, Ular," akui Yusry, 37, ketika ditemui pada majlis berbuka puasa KRU di Hotel JW Marriot, baru-baru ini.

Ular yang dijangka memulakan penggambaran pada awal tahun depan dengan kos penerbitan RM1.7 juta akan menampilkan Lisa sebagai wartawan yang membantu menyelesaikan tragedi ular sebagai pembunuh manusia.

"Disebabkan kesibukan saya dan Lisa, kami tidak akan berkahwin tahun depan dan mudah-mudahan niat murni kami akan dapat dilaksanakan pada tahun berikutnya," kata Yusry.

Yusry yang mula intim dengan Lisa sejak lapan bulan lalu mengakui walaupun tempoh perkenalan mereka agak singkat namun banyak keistimewaan Lisa yang memikat hatinya.

Selepas bercerai dengan Erra Fazira, dia pernah berkawan dengan beberapa gadis namun hubungan itu hanya bertahan dua bulan.

"Namun Lisa amat berbeza. Dua bulan pertama mengenalinya, Lisa berjaya memikat hati saya dengan sifatnya yang lemah lembut dan begitu pandai menarik hati keluarga saya," kata Yusry.

Ditanya apa keistimewaan Lisa yang benar-benar menambat hatinya, tanpa teragak-agak Yusry berkata;

"Saya suka memandang wajah Lisa yang manis dan ayu. Setiap kali menatap wajahnya hati saya sejuk dan jiwa menjadi tenang. Itulah yang membuatkan saya menyenanginya."

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Kenyataan Mat Sabu dibidas

Posted:

Kenyataan Mat Sabu dibidas

Kenyataan Mat Sabu dibidas

Oleh YULPISMAN ASLI, MAZNAH MOHD ARSAD, YATIMIN ABDULLAH, MUHAMAD ZAID ADNAN, SAFINA RAMLI dan MOHD. ZAAIN MD. ZIN
pengarang@utusan.com.my


RIAK wajah dan aksi Kanang anak Langkau sebagai tanda amaran kepada Mohamad Sabu ketika ditemui di rumahnya di Kuching, Sarawak semalam.


KUALA LUMPUR 27 Ogos – Pimpinan tertinggi UMNO hari ini membidas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang menganggap pihak komunis yang menyerang pasukan keselamatan dalam tragedi Bukit Kepong pada 1950 adalah merupakan hero sebenar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa kesal dengan kenyataan Timbalan Presiden Pas itu yang mengangkat pengganas komunis sebagai hero sebenar perjuangan kemerdekaan negara.

Malah, Muhyiddin turut menyifatkan kenyataan Mohamad Sabu bahawa Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap pejuang kemerdekaan adalah sesuatu yang biadab.

"Kenyataan Mohamad Sabu ini adalah satu penghinaan dan pengkhianatan terhadap perjuangan bangsa Melayu menuntut kemerdekaan tanah air.

"Sebaliknya beliau dengan angkuhnya telah mengangkat kezaliman pengganas komunis sebagai satu kemuliaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula berkata, kenyataan Timbalan Presiden Pas itu telah menimbulkan kemarahan ramai warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan keluarga anggota keselamatan yang terkorban akibat peristiwa itu.

''Malah, tindakan beliau mendakwa Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan juga menunjukkan perjuangan Pas ketika ini semakin songsang di bawah kepimpinan seperti Mohamad Sabu," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Utusan Malaysia dalam laporan muka depannya semalam menyiarkan kontroversi yang dicetuskan Mohamad atau dikenali sebagai Mat Sabu apabila mendakwa Muhammad Indera, lelaki Melayu yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai polis itu.

Selain itu, dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang 21 Ogos lalu, Mat Sabu turut mendakwa Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana tokoh tersebut adalah pegawai British.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, kenyataan Mat Sabu bahawa Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan adalah satu penghinaan kepada rakyat negara ini.

"Justeru, Pergerakan Pemuda UMNO mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Mat Sabu dan menganggap bahawa beliau merupakan pemimpin yang tidak berkualiti langsung," katanya.

Di Kuching, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, pendapat bahawa anggota polis yang diserang dalam tragedi Bukit Kepong berkhidmat untuk penjajah tidak benar kerana mereka berjuang mempertahankan sebuah wilayah dalam sebuah negeri yang mempunyai sultan.

Katanya, PKM pula tidak pernah ikhlas memperjuangkan kemerdekaan negara kerana matlamat sebenar mereka adalah menyingkirkan raja-raja Melayu dengan cara menubuhkan sebuah republik.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kenyataan Mat Sabu itu termasuk mahu mengubah fakta sejarah menunjukkan pemimpin Pas kini semakin jahil terutamanya sejak menjadi 'boneka' DAP.

''Faktor itu juga dipercayai menjadi punca apabila mereka menukar konsep perjuangan mereka kepada negara berkebajikan dan dikhuatiri mereka juga akan mengubah kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan manakala raja-raja Melayu dipinggirkan," katanya.

Di Kota Bharu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Mat Sabu disifatkannya sudah hilang pedoman.

Sehubungan itu, katanya, beliau meminta rakyat menolak pemimpin terbabit yang mengagung-agungkan pengganas komunis kerana gerakan itu telah banyak membawa kemusnahan kepada negara.

Pudu Sentral nadi negara

Posted:

Pudu Sentral nadi negara

Pudu Sentral nadi negara

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Pudu Sentral sebagai nama baru Hentian Pudu Raya sejajar dengan permodenan dan naik taraf dilakukan terhadapnya oleh UDA Holdings Berhad.

Perdana Menteri berkata, ia akan menjadi jenama baru bagi Hentian Pudu Raya yang selama ini merupakan nadi penting bagi sistem pengangkutan di negara ini.

Menurutnya, idea untuk menukarkan nama hentian tersebut tercetus apabila perkara itu dicadangkan oleh salah seorang pengikut twitter beliau.

"Pagi tadi iaitu pada waktu sahur saya telah melakukan twitting kepada mereka yang mengikut twitter saya. Apabila saya maklum akan melawat Hentian Pudu Raya saya mendapat cadangan daripada seorang yang twit kepada saya supaya nama Hentian Pudu Raya ini ditukar.

"Ia bagi mencerminkan satu terminal yang begitu moden dan begitu tinggi kualitinya. Oleh itu saya telah memikir perkara ini dan berbincang dengan rakan-rakan lain yang ada, maka Hentian Pudu Raya ini ditukar kepada Pudu Sentral," katanya.

Beliau membuat pengumuman itu pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan mesra kira-kira 45 minit di terminal bas berkenaan hari ini.

Hadir sama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha; Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar dan Pengerusi UDA Holdings Bhd., Datuk Nur Jazlan Mohamed .

Najib pada peringkat awal memegang jawatan Perdana Menteri 25 April 2009, juga mengadakan lawatan mesra di Hentian Pudu Raya bagi melihat sendiri kedaifan hentian tersebut selain menyelami keluh kesah pengguna, peniaga mahupun pengusaha bas.

Hasil maklum balas yang diterima, beliau kemudian mengarahkan supaya hentian berusia 35 tahun itu dinaik taraf serta diberi nafas baru.

Pada 16 April lalu, Hentian Pudu Raya yang moden berjaya disiapkan dengan kos RM52 juta.

Perdana Menteri dalam pada itu amat berpuas hati dengan hasil kerja dilakukan bagi memodenkan hentian tersebut berdasarkan tinjauan yang dilakukannya itu.

"Ketika saya mula-mula melakukan tinjauan mesra (2009) saya melihat keadaan terminal Pudu Raya memang sangat daif sehingga tidak memberi keselesaan sama sekali kepada para pengguna dan rakyat.

"Memandangkan terminal ini adalah nadi bagi sistem pengangkutan negara, saya membuat keputusan membaik pulih dan membangunkan semula terminal ini. Alhamdulillah pihak UDA berjaya melaksanakannya melalui dua fasa pembangunan," ujarnya,

Najib juga menerima maklum balas yang positif daripada orang ramai termasuk pelancong asing dalam tinjauan mesranya hari ini.

"Secara kebetulan saya bertemu dengan dua pelancong Jerman dan saya bertanyakan pandangan mereka terhadap terminal ini lalu mereka menjawab seperti berada di lapangan terbang.

"Ini bermakna kita berjaya membangunkan satu terminal bas yang boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia. Ia begitu moden dan mesra. Saya pasti terminal ini dapat memberi tahap kepuasan yang begitu tinggi kepada pengguna," katanya.

Mengenai penyelenggaraan Pudu Sentral, beliau amat berharap supaya rakyat bersama-sama bertanggungjawab memelihara segala kemudahan yang ada termasuk dalam soal kebersihan.

"Orang kata kita cekap membina bangunan tetapi kadang-kadang timbul kelemahan dari segi penyelenggaraan. Dalam soal ini pihak pengguna juga mesti tahu bagaimana mahu memelihara bangunan dan kemudahan yang begini baik, begini selesa untuk rakyat," ujarnya.

Dari segi keselamatan kata Perdana Menteri, ia menjadi satu keutamaan supaya keselamatan serta keselesaan pengguna sentiasa terjamin.

"Selain itu surau di sini juga telah diiktiraf sebagai surau yang boleh ditunaikan solat Jumaat," ujarnya.

PM sampai zakat kepada 5,000 penerima

Posted:

PM sampai zakat kepada 5,000 penerima

PM sampai zakat kepada 5,000 penerima


NAJIB Tun Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyampaikan sumbangan wang zakat kepada ibu tunggal dalam Parlimen Pekan di Pekan, Pahang, semalam.


PEKAN 27 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyampaikan zakat kepada 5,000 orang kurang berkemampuan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini.

Mereka terdiri daripada orang miskin, ibu dan bapa tunggal, anak yatim serta orang kurang upaya (OKU) yang tinggal di daerah itu.

Beliau sebelum itu menerima wang zakat sumbangan Bank Rakyat yang diwakili Pengerusinya, Tan Sri Syed Jalaludin Syed Salim diikuti Pengerusi Amanah Raya Berhad, Datuk Dusuki Ahmad.

Turut menyumbang, Pengerusi UDA Holdings, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abi Musa Mohd. Nor; Ahli Lembaga Pengarah Affin Islamic Berhad, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahman dan wakil Permodalan Nasional Berhad, Datuk Zainal Abidin Pa'wan

Seorang ibu tunggal, Zawiyah Awang, 83, bersyukur kerana sejak menjadi penerima zakat bagi Parlimen Pekan sebanyak RM250, dia kini mampu membeli baju raya malah dapat menyediakan juadah lebaran.

"Sebelum ini, saya terpaksa berjimat cermat dengan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu sebanyak RM300 sebulan,'' katanya yang berasal dari Kampung Merchang kepada pemberita selepas menerima sumbangan zakat daripada Perdana Menteri.

Selain Zawiyah, anaknya, Robiah Ibrahim, 55, yang juga ibu tunggal turut terpilih menerima bantuan zakat itu.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Timur

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Derita miskin tegar

Posted:

Derita miskin tegar

Derita miskin tegar

Oleh RAHANA MOHD DAHARI
utusankb@utusan.com.my


Khadijah Omar (kanan) bersama Hassan Yacob memperbaiki dinding rumah mereka yang hampir roboh di Kampung Pondok Permatang, Dusun Melor, Kota Bharu, kelmarin.


KOTA BHARU 27 Ogos - Khatijah Omar dilahirkan lima tahun selepas negara mencapai kemerdekaan.

Dia bukan tokoh negarawan, dia juga bukan pejuang negara, dia bukan siapa-siapa yang dapat dibanggakan dengan tarikh keramat itu.

Namun, masih ada pertalian antara Khatijah dengan tarikh 31 Ogos 1957. Selepas 49 tahun dilahirkan, wanita dengan tujuh anak ini belum menikmati erti merdeka seperti yang sepatutnya.

'Dipenjara kemiskinan', dunia Khatijah hanya di rumah (jika boleh digelar begitu) di Kampung Pondok Permatang Pusu, Melor di sini.

"Tidak ingat bila kali terakhir saya melalui bandar (Ketereh), rasanya tujuh tahun dulu dalam perjalanan ke hospital, melahirkan anak bongsu," katanya.

Bersahaja jawapannya, tetapi pasti dia tidak berbohong, anak-anak juga begitu katanya, tidak pernah ke mana-mana.

Kedaifan yang diwarisi oleh Khatijah sukar diterima jika cerita terluncur daripada mulutnya.

Namun, tinjauan Mingguan Malaysia ke rumah pusaka milik keluarga suami, Hassan Yacob, 66, membenarkan kata-katanya.

Rumah kayu tanpa tangga beratap zink karat dan berlubang-lubang itu, sebenarnya tidak lebih daripada sebuah rumah usang, sewajarnya telah lama ditinggalkan oleh pemiliknya.

Tetapi di rumah tanpa bilik itulah sembilan anak beranak itu tinggal. Tidak tepat dikatakan berlindung daripada panas dan hujan kerana Khatijah mengakui jika hujan, seisi penghuninya basah kuyup.

Apabila ribut pula, rumah tersebut bergoncang kuat dan semuanya sekadar mencangkung sambil menutup muka, berserah.

"Usah dikatakan tikar, lantai yang mula mereput dan berlubang-lubang ini pun memadai. Pernah anak-anak yang kecil, kurang berhati-hati jerlus ke bawah," Khatijah mahu bergurau, namun terkesan pilu di hujungnya.

Menurut Khatijah, pernikahannya dengan suami diatur keluarga walaupun lelaki tersebut tergolong Orang Kelainan Upaya (OKU-lembam) yang dahulu mengambil upah mencangkul parit, kini semakin uzur dan tidak bekerja.

Dikurniakan tujuh anak yang diharap mengubah nasibnya di hari tua, nampaknya belum kesampaian.

Anaknya yang sulung, Nor Asmah, 28, tinggal dengan neneknya yang uzur di kampung sebelah, manakala anak kedua, Mohd. Nasir, 24, menjadi tukang sapu di sekolah, namun dialah harapan keluarga walaupun gajinya cuma RM450 sebulan.

Dua daripada anaknya menyalin genetik sebelah bapa, Norfazrini, 21 dan Mohd Naim, 18 dan mereka juga sekadar berlegar di kawasan rumah dan bersekolah sehingga tingkatan tiga. Sesekali membasuh kain atau menyapu daun gugur di halaman.

Tiga yang masih bersekolah ialah Mohd. Najmi, 12, Mohd. Najib, 9, dan Nornazirah Ayuni, 7. Namun dengan kemiskinan yang diwarisi dan tinggal dalam rumah yang sama, Khatijah berharap pada keajaiban.

Meninjau ke dalam rumah, yang ada lantai berlumut tanpa tikar, kain baju berselerak dan bertimbun di setiap sudut, bantal dan tilam berkepam mengeluarkan bau, mungkin puluhan tahun tidak berganti. Kebersihan langsung tidak berjaga, mereka mandi dan mendapat sumber air dari telaga lama, namun tidak ada tandas di sini.

Tersentuh dengan kedaifan keluarga ini yang sekadar makan nasi bercicah budu, bertubi-tubi soalan terpacul, namun Khatijah tetap bersahaja walaupun matanya mula basah.

"Hendak buat macam mana, kena hadapi sebab mahu terus hidup. Mujur Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi RM400 sebulan, dengan duit itulah kami berjimat. Beli keperluan utama beras, baki itulah untuk makan dan menyekolahkan anak-anak.

"Pernah terputus beras, saya cabut ubi kayu di belakang, rebus dan cicah budu. Macam zaman Jepun pula. Hendak buat macam mana, perut kena diisi," tuturnya mengajak bergurau lagi.

Lusa, Syawal bakal disambut, jika ibu bapa lain kalut membeli pakaian dan kasut serba baharu untuk anak-anak, namun apa pun tidak dilakukan oleh Khatijah, Mujurlah kalau-kalau berbuka nanti dapat makan nasi lagi.

"Tahun-tahun sebelum ini, sempat juga belikan baju seorang sehelai, tahun ini entahlah," katanya.

Teringat hidangan ketupat rendang, lemang dan beraneka kuih-muih penuh di meja menjelang Syawal, kata Khatijah bertahun dia tidak membuatnya di rumah kerana tidak berduit.

Biasa dengan kesusahan yang diwarisi sejak kecil, Khatijah bersyukur anak-anak tidak pernah meminta. Makan apa yang ada dan kepayahan mereka telan bersama.

Ketika dilawati Skuad Sayang Pergerakan Wanita UMNO Ketereh yang diketua oleh Fauziah Mohamad dan Penyelia Kemas kawasan yang sama, Sabariah Hamzah dan beberapa kaki tangan untuk menyerahkan sumbangan makanan kering, Khatijah menyambutnya dengan senyuman paling manis.

Sebelum rombongan pulang, sempat dia berbisik meluahkan yang terbuku dalam hatinya.

Katanya, minggu lepas amil datang ke rumah meminta zakat fitrah. Dalam keadaan 'tidak tahu' dan didesak dia menyerahkan RM50 (hasil sedekah).

"Kalau duit itu masih ada boleh juga belikan selipar Jepun untuk anak-anak yang masih kecil, kuranglah juga rasa malu mereka jika berjalan ke rumah kawan di hari raya, itu pun kalau adalah," ucapnya dengan mata berkaca.

Sumbangan duit raya ceriakan 68 pengayuh beca

Posted:

Sumbangan duit raya ceriakan 68 pengayuh beca

Sumbangan duit raya ceriakan 68 pengayuh beca


Ahmad Said menyampaikan duit raya kepada pengusaha beca di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 27 Ogos - Seramai 68 pengayuh beca di sekitar bandar ini ceria apabila menerima sumbangan wang tunai sempena Aidilfitri daripada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di sini, hari ini.

Menurut Ahmad, pemberian sumbangan sejak tiga tahun lalu adalah sebagai menghargai jasa serta membantu meringankan beban pengayuh beca yang rata-ratanya merupakan warga emas.

"Golongan pengayuh beca di bandar Kuala Terengganu merupakan nadi pelancongan yang sangat penting kepada negeri ini dan mereka seharusnya dihargai memandangkan ramai yang sudah berusia.

"Kita harap dengan bantuan RM300 ini dapat meringankan beban mereka untuk membuat persiapan Aidilfitri," ujarnya ketika ditemui pada majlis pemberian sumbangan itu di Dataran Shahbandar di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), Azmi Razik.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved