Jumaat, 26 Ogos 2011

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Pemberontak isytihar kabinet

Posted:

Pemberontak isytihar kabinet

Pemberontak isytihar kabinet


SEORANG lelaki Afrika yang disyaki tentera upahan terbaring setelah mengalami kecederaan dalam pertempuran dengan tentera pemberontak anti-Gaddafi di sebuah balai bomba di daerah Abu Salim di Tripoli, kelmarin. – REUTERS


TRIPOLI 26 Ogos - Pemberontak Libya mengumumkan pemindahan pusat pentadbiran kepimpinan ke Tripoli dari kubu mereka di Benghazi, kata pegawai kanan Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) hari ini.

Naib Pengerusi NTC, Ali Tarhuni berkata, jawatankuasa eksekutif akan mula bertugas di Tripoli.

''Hidup demokrasi dan Perlembagaan Libya serta mereka yang maut dalam usaha mencapai kejayaan ini,'' katanya pada sidang media semalam.

Ali yang menjawat portfolio Menteri Minyak dan Ekonomi dalam pentadbiran wilayah, turut dinamakan sebagai individu untuk memegang beberapa portfolio utama dalam Kabinet peralihan merangkumi Menteri Dalam Negeri, Menteri Informasi dan Menteri Infrastruktur dan ketua keselamatan di Tripoli.

Beliau menambah, Pengerusi NTC, Mustafa Abdel Jalil dan ketua jawatankuasa eksekutif, Mahmud Jibril akan tiba di Tripoli apabila situasi keselamatan membenarkan.

Bagaimanapun, Ali tidak mengisytiharkan penggulingan rejim Muammar Gaddafi.

Beliau berkata, pengumuman tersebut akan dibuat oleh Mustafa atau Mahmud.

Beliau berkata, kegagalan menahan Gaddafi tidak akan menghalang pihaknya menguruskan Libya yang baru.

"Kami kini bebas. Kami boleh pergi ke mana sahaja. Beliau (Gaddafi) yang kini bersembunyi dan kami akan menangkapnya," ujarnya.

Beliau turut meminta tentera yang setia kepada Gaddafi untuk melucutkan senjata mereka.

Sementara itu, walaupun rejimnya hampir dimusnahkan, Gaddafi cuba menyatukan penyokongnya untuk terus menggempur pemberontak.

''Jangan meninggalkan Tripoli kerana tikus-tikus ini. Gempur dan bunuh mereka,'' katanya dalam satu mesej audio yang disiarkan di stesen satelit Syria, Al-Ouroba TV.

Sejak menggempur Tripoli Ahad lalu, pemberontak masih berusaha menguasai keseluruhan ibu negara Libya itu.

Selasa lalu, mereka menggempur kediaman Gaddafi di Bab al-Aziziya dan kini daerah Abu Salim. – AFP

Bukti pembunuhan beramai-ramai di Libya

Posted:

Bukti pembunuhan beramai-ramai di Libya

Bukti pembunuhan beramai-ramai di Libya

TRIPOLI 26 Ogos - Sebanyak 26 tawanan di bilik tahanan sementara di apartmen bertentangan kawasan kediaman Muammar Gaddafi di Bab al-Aziziya, hanya mampu mendengar bunyi pertempuran antara pemberontak dengan askar yang setia kepada pemimpin Libya itu semasa Tripoli digempur, Selasa lalu.

Ketika kebanyakan rakyat Libya lain bergembira dengan kejayaan pemberontak menewaskan tentera Gaddafi, tahanan di apartmen buruk berkenaan termasuk Osama Mansour el-Hadi hanya menanti untuk dibunuh.

Mereka diarak ke sebuah jalan di Bab al-Aziziya dengan senjata diacu oleh askar Gaddafi dan dibariskan di sebuah tembok ketika bunyi mesingan dan letupan kedengaran dari arah pertempuran di seberang jalan berkenaan.

Askar Gaddafi kemudian melepaskan tembakan ke arah kepala, leher dan dada semua 26 tahanan berkenaan.

Osama jatuh di atas mayat tahanan lain selepas ditembak di badan, bahu, tangan manakala seorang tahanan berjaya melarikan diri tetapi kemudiannya ditembak.

Osama ditemui sehari kemudian dan dibawa ke Hospital Mitiga di sini namun sehingga hari ini tiada siasatan dilakukan terhadap kejadian itu.

Mayat 15 tahanan lain pula ditempatkan di tempat letak kereta hospital yang berbumbung besi dan hanya ditutup dengan sehelai plastik.

Osama ketika bercakap kepada saluran televisyen Al-Jazeera semalam berkata, hanya dia seorang yang selamat daripada pembunuhan besar-besaran berkenaan.

Beliau ditangkap pada 15 Ogos lalu, iaitu lima hari selepas pemberontakan bermula di Badr, oleh 15 orang lelaki bersenjata dan ditempatkan di bilik tahanan itu walaupun berulang kali menyatakan beliau bukan anggota pemberontak.

Katanya, tahanan lain ditahan lebih lama daripada dua minggu dan kebanyakan mereka mendakwa merupakan orang awam yang ditahan di jalan-jalan raya. - AGENSI

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Sazzy kecoh kerana anak

Posted:

Sazzy kecoh kerana anak

Sazzy kecoh kerana anak

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
khadijah.ibrahim@utusan.com.my
Gambar WAHIDAH ZAINAL
Solekan ER Make Over Studio (012-2582475)


KELUARGA BAHAGIA... Nash mendukung Tiara Rose dan Sazzy bersama Imaan Lily.


SEJAK kehadiran Imaan Lily dan Tiara Rose pada 28 April lalu, hidup Sazzy Falak dan suami, Nazril Idrus, 37, menjadi sedikit kecoh berbanding dahulu. Malah ketika penulis berkunjung ke rumah ibunya di Kemensah Mewah, Hulu Klang untuk sesi bergambar, jelas kelihatan Sazzy tak menang tangan untuk mengurus dua cahaya matanya itu.

Namun Sazzy bernasib baik kerana ibu bapa dan pembantu rumahnya sedia melayan kerenah si comel dan dapatlah dia disolek dengan tenang oleh Elle Rahman.

Sazzy atau nama sebenarnya Sazlini Shamsul Falak yang menyusu badan anak kembarnya itu berkata, antara Imaan (kakak) dan Tiara, si adik sering meminta perhatian yang lebih.

"Imaan dan Tiara adalah kembar yang tidak seiras, jadi mudahlah untuk sesiapa sahaja mengenali mereka. Kata orang muka Imaan mirip saya, manakala Tiara pula orang panggil Nash Jr (Nazril).

"Kedua-duanya tidak banyak ragam tapi sesekali macam sepakat nak dera mami mereka. Memang kecoh sikit hidup saya sekarang ini, tapi saya seronok dapat melihat mereka setiap hari," katanya memulakan bicara.

Kata Sazzy, biarpun anak-anaknya masih kecil, namun awal-awal lagi dia sudah menempah sepasang kurung berwarna hijau pudina yang menjadi tema mereka sekeluarga.

Anak jati Kuala Lumpur ini berkata, memandangkan dia dan suami menetap bersama ibu bapanya, maka tidak perlulah bersusah payah membuat persiapan raya.

"Nak buat persiapan hari raya, diri sendiri pun tak lepas. Nasib baik tinggal di rumah mak, jadi semua sudah siap. Saya tinggal di sini sewaktu dalam pantang.

"Ingat nak balik ke rumah kami di Damansara, tapi rasanya bukan dalam waktu terdekat ini. Biar baby besar sikit. Di sini ramai yang sayang dan ambil berat perihal Imaan dan Tiara," katanya.

Tambahan pula, katanya, raya kali ini rumah ibunya yang merupakan anak sulung bakal menjadi tempat saudara mara berkumpul setelah datuknya, Abd. Rahim Mustapha, 78, meninggal dunia dua minggu sebelum Ramadan lalu.

Kata Sazzy, ibunya tetap akan meneruskan tradisi seperti yang dilakukan di rumah arwah datuknya di Ampang.

"Masakan wajib dihidangkan adalah ayam kalio, rendang, lemang dan biskut raya. Saya paling suka makan ayam kalio iaitu rendang basah.

"Setiap kali hari raya, apabila saudara mara berkumpul memang riuh. Mana taknya, saya mempunyai ramai sepupu. Seronoknya, kami tiga orang ini bersalin pada awal, pertengahan dan hujung April. Sah hari raya ini berlawan tayang anak," katanya ketawa.

Walaupun sibuk beraya dengan sanak saudara, Sazzy juga tidak lupa untuk pulang beraya dengan mertua di Port Dickson, Negeri Sembilan pada hari raya kedua.

"Saya beruntung kerana Nash tidak memaksa. Mungkin dia seronok beraya dengan keluarga saya yang memang bising. Keluarga saya tak perlu tunggu majlis, hari biasa pun kecoh," kata Sazzy yang turut menyediakan gaun untuk anak kembarnya itu.

Pilihan deejay RTM berbelanja

Posted:

Pilihan deejay RTM berbelanja

Pilihan deejay RTM berbelanja

Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

MEMBELI-BELAH menjelang Syawal sudah menjadi kemestian buat kebanyakan muslimin dan muslimat yang meraikan Hari Raya Aidilfitri, tidak kira sama ada di kampung mahupun di bandar.

Begitulah juga dengan tiga deejay yang berkhidmat di bawah satu bumbung, Radio Televisyen Malaysia (RTM) iaitu Azura Lisa Aziz, 30, atau Azura yang merupakan penyampai di stesen Muzik FM; Awang Suffian Awang Hussin, 31, atau Sonic (KL FM) dan Otto Md. Tahir, 27, atau Otto (Traxx FM).

Apabila berborak perihal membeli-belah, apa yang pasti, Azura terlebih dahulu mencelah untuk berkongsi aktiviti shopping yang diamalkan pada minggu terakhir sebelum raya.

Tidak terkecuali, Sonic yang dilihat bijak bergaya itu juga tidak mahu ketinggalan berkongsi pengalamannya berbelanja menjelang hari lebaran, manakala Otto yang agak pemalu dan pendiam, turut mahu berbicara mengenai pengalamannya membeli-belah.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Percik air kotor ke muka sendiri

Posted:

Percik air kotor ke muka sendiri

Percik air kotor ke muka sendiri

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

GELAGAT Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan pembelaan kes liwatnya Isnin lalu apabila 'menyerang' Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah secara terang-terangan tidak pernah berlaku dalam sejarah perundangan negara.

Mahkamah seperti mana dilihat pada hari itu digunakan oleh Anwar sebagai plaftorm untuk memberi ceramah politik, mengulingkan nilai-nilai kewibawaan dan kesederhanaan. Juga, tidak pernah selama ini kes di Malaysia diheret sepanjang itu. Ia paling lama dalam sejarah.

"Saya berkhidmat di bawah lima kepimpinan Perdana Menteri, jadi pengalaman saya boleh dikatakan tidak pernah berlaku seperti peristiwa yang diperkenalkan oleh Anwar Ibrahim di mahkamah.

"Yang kedua tidak pernah seseorang yang dituduh dibawah kanun keseksaan ataupun liwat mengeluarkan kata-kata atau hujah dalam satu pentas politik," kata Datuk Seri Dr. Rais Yatim ketika ditemui Utusan Malaysia di Putrajaya.

Pada 22 Ogos lalu, Anwar dalam keterangan selama kira-kira satu jam 45 minit menegaskan bahawa Mohamad Zabidin menindas hak beliau untuk mendapat perbicaraan adil sungguhpun hakim berkenaan telah berpuluh kali membenarkan penangguhan demi menghormati Ahli Permatang Pauh itu sebagai tertuduh.

Anwar yang memilih untuk memberi pernyataan tidak bersumpah dari kandang tertuduh dilihat cuba 'menyelamatkan' dirinya daripada disoal balas oleh pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abidin.

Gelagat dan sikap yang ditunjukkan Anwar itu mendapat respons daripada peguam terkemuka, Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang menurutnya, selain memburukkan imej Mohamad Zabidin, Anwar juga dilihat cuba menjatuhkan reputasi institusi mahkamah di negara ini apabila mendakwa beliau ditindas daripada mendapat perbicaraan yang adil.

Kata Muhammad Shafee: "Dalam kenyataan pembelaan Anwar setebal 32 muka surat semalam, beliau secara terang-terangan telah memburukkan institusi mahkamah serta para pegawai seperti hakim di hadapan para pemerhati dan orang awam.

"Kenyataan (pembelaan) Anwar semalam bukan bersifat membela diri tetapi lebih daripada kenyataan politik yang memburukkan mahkamah serta mengutarakan perkara-perkara tidak relevan."

Rais yang juga pakar perundangan menegaskan, jika tujuan Anwar untuk menarik media luar, motif itu sama sekali tidak dicapai dalam pada dia sendiri memercikkan air kotor ke mukanya sendiri.

Ini kerana hujah-hujahnya tidak dapat dipertahankan dengan lunas-lunas mahkamah dan juga menggunakan hakim seperti mana yang dia buat yang hanya boleh ditimbulkan oleh seseorang yang sudah kehilangan kewajaran.

"Dalam keadaan sedemikian, keadilan yang dia (Anwar) nak tuntut mungkin dia berpendapat dengan memberikan ucapan itu boleh menarik perhatian. Tetapi dia jangan lupa bahawa dia memberi satu ucapan dalam kandang orang bersalah dengan sendirinya dia sudah mengaku dia sudah bersalah," kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu.

Dalam aspek ini, Rais menarik perhatian jika sebenarnya Anwar mempunyai kewibawaan dan pemikiran yang mendapati dia seharusnya memberi peluang kepada pendakwa untuk menyoal timbal balik kepada keadaan-keadaannya dan sekiranya dia berpendapat bahawa dengan memberi ucapan seperti itu di kandang orang bersalah akan membolehkannya dilepas, ia sebenarnya suatu pandangan yang salah sama sekali.

Ini kerana proses perundangan akan membolehkan pendakwa menyoal balik beliau tentang beberapa pandangan dan pendapat yang dihemburkan semasa memberi ucapan berkenaan.

"Dengan lain perkataan dia tidak mengiktiraf keadilan melalui sistem perundangan sedia ada. Namun dia juga tidak akan dapat lari daripada keadaan sebenar iaitu undang-undang negara tetap perlu kita semua hormati walau siapa pun kita.

"Dalam sejarah undang-undang negara tidak pernah berlaku walaupun sepatutnya hakim ada kuasa untuk menghentikan prosiding itu. Namun hakim tidak berbuat demikian. Ini menunjukkan hakim kita pada ketika itu orang yang lebih berwibawa," kata Rais.

Menurut Rais, di bawah Akta Kehakiman dan juga di bawah prosedur mahkamah, hakim boleh menghentikan ucapan jika mendapati seseorang itu menghina mahkamah atau membuat ungkapan yang tidak sewajarnya sesuai bagi mahkamah.

"Tetapi tuan hakim kita membiarkan sahaja dan menunjukkan lunas dan peringkat kewibawaan beliau cukup tinggi.

"Sekiranya benda ini berlaku di Singapura, saya fikir polis akan membawa keluar Anwar. Tetapi di sini dibiarkan oleh hakim kita, apa lagi kita mahu.

"Sebenarnya, saya fikir hakim kita pada hari itu agak terkejut dan langsung membiarkan sahaja dan ramai pihak yang beranggapan begitu. Namun saya lebih suka mengatakan hakim kita yang mempengerusikan prosiding ini, orang yang kebal imannya dan sangat tinggi hebatnya sehingga membenarkan Anwar mencacinya dan memperolok-olokkan sistem perundangan negara," kata beliau.

Ditanya apakah yang beliau jangkakan daripada pandangan rakyat terhadap kelakuan Anwar tersebut, Rais berkata, gelagat sebegitu menunjukkan Anwar menyalahgunakan mahkamah sebagai platform syarahan, bukan 30 minit tetapi dua jam.

Dia sudah menjadikan mahkamah sebagai platform Dewan Rakyat. Dan juga platform untuk memperkecilkan sistem perundangan dan kehakiman, apatah lagi keadilan. Pada Anwar, hanya dia yang betul di atas dunia ni.

"Dia sendiri hendak menegakkan keadilan - mana boleh, jadi tentu sekali pendakwa boleh menyoal Mohd. Saiful (Bukhari Azlan), Anwar juga boleh disoal balik dan dia tiada hak sama sekali untuk terus masuk ke dalam kandang pesalah.

"Dan mahkamah boleh mengarahkan Anwar - "Anda boleh disoal siasat, 'sila masuk ke dalam kandang saksi." Dia (Anwar) tidak fikir ini boleh berlaku tetapi kuasa hakim ada sedemikian walaupun Karpal Singh yang menjadi peguamnya," kata beliau.

Kata Rais: "Saya juga sebagai seorang yang agak memahami sistem di mahkamah itu, mereka harus terfikir perkara ini tidak terhenti di situ.

"Dan sekiranya bukti-bukti DNA atau bukti-bukti dari Mohd. Saiful dan sekian ramai yang memberi bukti, kemudian kes ini akan melihat satu pertembungan nilai.

"Namun saya yakin keadilan akan dapat ditimbulkan nanti."

Menutup rumusannya, beliau menegaskan, pandangannya dalam memperkatakan gelagat terbaru yang ditunjukkan Anwar bukan hendak mencelah atau ingin mencaci mahkamah. Cuma, yang sebenarnya Anwarlah yang menghina dan mencaci mahkamah.

Dan selepas ini barangkali rakyat bebas mengatakan apa sahaja.

Jangan benarkan penjualan Esso Malaysia

Posted:

Jangan benarkan penjualan Esso Malaysia

Jangan benarkan penjualan Esso Malaysia

Oleh Saranan Salleh

BERITA yang paling hangat masa kini ialah penjualan kepentingan Exxon International dalam Esso Malaysia kepada syarikat San Miguel, sebuah syarikat Filipina dengan harga yang lebih rendah daripada apa yang ditawarkan oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Kita tertanya-tanya kenapa Exxon berbuat demikian sedangkan mereka telah beropeasi di negara ini bertahun-tahun dan telah meraih keuntungan yang lumayan dengan operasi mereka di sini.

Jelas, kata orang macam dia tak suka dengan kita, sampai sanggup menerima bidaan yang jauh lebih rendah dengan apa yang kita tawarkan.

Kita juga ingin tahu apakah orang kita di peringkat kepimpinan tidak tahu menahu tentang hasrat syarikat ini jauh lebih awal sebelum keputusan mempelawa pembida dilakukan?

Dalam perniagaan, banyak perkara yang boleh dirundingkan untuk mengelakkan sesuatu keputusan yang tidak diingini berlaku.

Mungkin wajar bagi seseorang berpangkat tinggi berbincang dengan pihak Exxon sebelum mereka membuat keputusan menjual. Mungkin wakil-wakil Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia boleh membantu membincangkan hasrat sekiranya mereka ingin menjual kepentingan Esso mereka, menjualnya kepada syarikat kita.

Kalau perjanjian dengan San Miguel sudah ditandatangani, tidak banyak yang boleh kita lakukan yang tidak akan ditakrifkan sebagai campur tangan dalam sistem ekonomi bebas yang kita amalkan.

Bagaimana pun mereka masih perlu kebenaran daripada pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industr (MITI), di sinilah letaknya suatu keputusan di pihak kerajaan yang agak rumit.

Jika dibenarkan dijual maka kita melepas. Jika dibatalkan pula, apakah implikasinya kepada pelabur asing yang melihat kita mengamalkan sesuatu yang bertentangan dengan amalan urus niaga komersil.

Walau apa pun saya rasa pihak MITI perlu mendapatkan jawapan yang jelas daripada syarikat ini tentang mengapa masih menjual kepada syarikat Filipina sedangkan kita menawarkan harga yang lebih tinggi.

Kalau kita ingin membeli balik daripada pihak San Miguel, saya rasa satu kemungkinannya pertama, mereka tidak mahu jual balik dan kedua, mereka mungkin akan meletakkan harga yang bukan-bukan.

Kepentingan ini adalah terdiri daripada sesuatu industri yang penting dan sesiapa yang memilikinya tidak mudah akan melepaskannya.

Exxon menjualnya kerana ingin menumpukan usaha mereka dalam eksplorasi minyak atau aktiviti huluan.

Kadang-kadang kita perlu memberitahu pelabur kita ini siapa yang duduk dikerusi pemandu. Kalau keputusan yang dibuat tidak boleh diterima sekalipun, kita ada sebab jelas yang boleh kita terangkan kepada dunia.

Misalnya, sejak mereka beroperasi di negara ini berapa banyak keuntungan yang telah dikaut dan pelbagai faedah yang telah mereka nikmati.

Kita wajar melindungi apa yang kita ada, dan walau pun kadang kala keputusan kita tidak popular, itu tidak mengapa. Kerajaan mesti tegas dan tidak boleh dipermainkan sesuka hati oleh mereka yang menggunakan sistem ekonomi bebas untuk mengambil kesempatan.

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas

Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur

(kini Bursa Malaysia)

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Pameran serentak di BSLN

Posted:

Pameran serentak di BSLN

Pameran serentak di BSLN

rekreasi@utusan.com.my
Gambar WAN NUR AMIRAH WAN MOHAMED REDZA


BENTUK arca kerusi membawa makna yang literal dalam Pameran Jaga!.


Sempena menyambut bulan Ramadan Al-Mubarak dan Bulan Kemerdekaan, Pameran Yayadan serta Pameran Manifestasi Merdeka dibuka kepada pengunjung bermula 8 Ogos hingga 18 September 2011 di Galeri Reka dan Galeri 2B.

Pameran Yayadan menghidangkan santapan seni berupa himpunan karya koleksi tetap negara yang memaparkan lebih daripada 30 buah karya yang memperlihatkan bagaimana Islam mempengaruhi budaya Melayu yang dapat dilihat pada tulisan kaligrafi jawi yang digunakan secara meluas dalam konteks seni.

Pameran Manifestasi Merdeka pula dianjurkan khas sempena menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-54, secara tidak langsung menyemarakkan lagi interpretasi 'Merdeka' melalui paparan Koleksi Himpunan Tetap Negara dan kompilasi hasil karya pelukis muda tempatan yang terdiri daripada mereka yang telah melakar nama dalam bidang seni rupa tanah air.

Kesedaran nilai persekitaran, unsur keselesaan dan keharmonian yang memberi kesan kepada kehidupan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum selepas merdeka dipertontonkan dalam pameran yang berunsurkan spiritual untuk ketenangan, kepuasan dan keselesaan seperti karya Semangat Bumi, Air dan Udara.

Pameran ini juga secara tidak langsung mendalami jiwa patriotik dan menjangkau interpretasi pengunjung sebagaimana sebuah negara yang diimpikan mengikut cita rasa mereka, di samping membina semangat cintakan tanah air.

Manakala Pameran Jaga! yang telah bermula sejak 4 Julai lalu hingga 30 Oktober 2011 masih dikekalkan.

Pameran dalam bentuk arca kerusi itu yang membawa makna Jaga, dihasilkan oleh 25 orang pelukis jemputan.

Kebanyakan arca tersebut membawa makna yang literal sebagai perabot kerusi dan ada juga karya yang bersifat konsepsual yang memberikan gambaran sinis, humor dan juga sebagai sebuah objek seni untuk dihayati dan dinikmati sebagai halwa mata.

Selain itu, Pameran Syad Ahmad Jamal Dalam Kenangan turut diadakan bagi menghargai jasa dan pengorbanan Allahyarham Datuk Syad Ahmad Jamal yang banyak berjasa untuk meningkatkan martabat seni tanah air.

Dalam pameran tersebut, BSLN menghimpunkan 27 karya lagenda negara hasil lukisan tangan Allahyarham yang dihimpunkan dalam Koleksi Karya Himpunan Tetap BSLN yang menggambarkan perjalanan hidupnya sebagai seorang anak seni.

Dari dapur ke layar perak

Posted:

Dari dapur ke layar perak

Dari dapur ke layar perak

rekreasi@utusan.com.my
Gambar NOOR AZLINA JAAFAR

BERADA di bahagian dapur sudah pun menjadi rutin harian buat mereka yang bekerja sebagai chef, tetapi segelintir daripada mereka bernasib baik kerana diberi peluang dibawa keluar ke layar perak.

Antaranya pemilik Restoran Indulgence, Chef Julie Song yang dipelawa sebagai hos jemputan dalam siri 'Discover Perak' bersama pengacara popular, Xandria Ooi.

Siri tersebut mula disiarkan di Astro, saluran Asian Food Channel (703) pada 22 Ogos lalu.

Dalam siri tersebut, Chef Julie membawa penonton merasai pengalaman beliau ketika mengunjungi pelbagai tempat-tempat menarik dan bersejarah yang terdapat di sekitar Ipoh, Hutan Royal Belum, Pulau Pangkor dan Taiping.

Selain mendedahkan keunikan khazanah negeri yang terkenal dengan bijih timah itu, Chef Julie turut memaparkan sajian makanan hebat dari sumber makanan laut dan darat.

Pengalaman berbeza

Walaupun bidang kepakaran beliau merupakan hidangan menu masakan Eropah moden, namun kini beliau sendiri teruja dengan keenakan masakan yang terdapat di negeri kelahirannya sendiri.

"Saya teruja dengan lokasi-lokasi yang dilawati ketika sesi pengambaran dan sebelum menjejakkan kaki ke tempat itu, saya tidak tahu yang ia bakal memberi pendedahan yang amat baik kepada diri saya sendiri.

"Saya cuba sesuatu yang baru, pergi ke tempat-tempat yang tidak pernah saya lawati dan mencuba masakan enak yang terdapat di sekitar negeri kelahiran saya," katanya ketika ditemui S3 baru-baru ini.

Beliau berkata, siri tersebut amat bermakna baginya kerana ia disiarkan di Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Brunei, Hong Kong, Filipina dan Mongolia.

"Dalam siri ini, kesemua tempat yang dipaparkan dipilih berdasarkan populariti mereka di tempat masing-masing.

"Pada masa yang sama, saya pelajari pelbagai resipi baru yang diperoleh daripada pemilik restoran dan gerai yang kami lawati," jelasnya.

Menurutnya, walaupun gaya masakan di dapur Restoran Indulgence berbeza dengan dapur restoran dan gerai yang dilawatinya, namun popularitinya di luar jangkaan Chef Julie.

"Rasa, tekstur dan cara masakan mereka amat berlainan.

"Ketika berada di Taiping, saya makan 'baby' ketam dan ia sesuatu yang tidak pernah saya rasai sebelum ini kerana ketam kecil itu agak sukar untuk ditemui di pasaran tempatan," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


TBS-BTS sudah bersiap sedia

Posted:

TBS-BTS sudah bersiap sedia

TBS-BTS sudah bersiap sedia

Oleh NUR NAZLINA NADZARI
kota@utusan.com.my


SEHINGGA semalam, suasana TBS-BTS di Bandar Tasik Selatan masih lengang tetapi terminal itu sudah bersiap sedia untuk menghadapi peningkatan mendadak penumpang.


KUALA LUMPUR 25 Ogos – Esok sehingga minggu depan merupakan tempoh yang penting bagi Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) di sini.

Ini kerana sepanjang tempoh itu segala kelengkapan dan kemudahan di premis itu serta kesiapsiagaan para petugasnya akan diuji sepenuhnya.

Peningkatan mendadak orang ramai di stesen itu sepanjang cuti musim perayaan ini, pertama kali bagi TBS-BTS akan menguji keberkesanan sistem di terminal serba canggih itu.

Untuk itu, pengurusan terminal tersebut membekukan cuti hari raya semua petugasnya bagi memastikan perjalanan para pelanggan mereka ke kampung berjalan lancar.

Memandangkan tahun ini merupakan kali pertama terminal bas itu beroperasi untuk Hari Raya Aidilfitri, persiapan awal telah dibuat bagi memastikan keselesaan serta keselamatan para pengunjungnya.

Pengarah Urusan Maju-TMAS, Roslan Mohd. Shariff berkata, ini merupakan cabaran pertama bagi pihaknya dan semua anggota petugas di terminal itu.

Katanya, dari segi operasi bas, pihaknya telah berjumpa dengan pengusaha-pengusaha bas di terminal terbabit untuk memastikan perjalanan penumpang mereka tidak terjejas.

"Pihak pengurusan dan pengusaha bas saling berganding bahu dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik serta menjamin keselesaan pengguna.

"Perjumpaan telah dibuat lebih awal, kira-kira sebulan lalu supaya matlamat ini dapat dicapai. Kami juga telah menghantar surat pada pengusaha bas supaya keadaan bas seperti brek dalam keadaan baik dan cukai jalan tidak tamat tempoh," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, terminal bas yang beroperasi 24 jam itu juga sudah bersedia jika pihak kerajaan mahu menambah bilangan bas beroperasi di situ untuk musim perayaan ini.

TBS-BTS dilengkapi 55 platform untuk 1,000 bas keluar dan masuk setiap hari, 150 perhentian teksi, 1,000 tempat letak kereta termasuk kawasan letak kereta khas untuk wanita.

Dalam kesibukan mereka itu, namun Maju-TMAS tidak ketinggalan untuk bersedekah pada bulan Ramadan ini dengan mengadakan aktiviti mengagih iftar secara percuma kepada 200 penumpang setiap hari dan 300 pada hari minggu.

Kata Roslan, pihaknya turut menyediakan kaunter membayar zakat fitrah bagi memudahkan umat Islam menunaikan tanggungjawab mereka di situ.

Jawi perkasa kurikulum hafazan SRA

Posted:

Jawi perkasa kurikulum hafazan SRA

Jawi perkasa kurikulum hafazan SRA

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sedang memperkasa kurikulum sekolah rendah agama (SRA) di bawah kelolaannya terutama dalam subjek hafazan bagi memastikan murid dapat menghafaz dengan penuh penghayatan.

Pengarahnya, Datuk Che Mat Che Ali berkata, sebelum ini subjek itu hanya memerlukan murid menghafaz tanpa elemen penghayatan tetapi ia dilihat kurang mendidik jiwa mereka agar menjadi lebih teguh di sisi agama.

"Kita mahu mendidik murid yang mempunyai jiwa yang kuat dan tidak mudah terikut-ikut dengan pengaruh luar, terutamanya yang tinggal dalam kawasan Wilayah Persekutuan yang penuh dengan cabaran dan dugaan ini.

"Kurikulum hafazan bersama penghayatan diharap akan membuatkan generasi akan datang bukan sahaja setakat celik al-Quran malah dapat menghafaz, memahami dan mengamalkan isi kandungannya serta memiliki sifat atau ciri-ciri ulul albab atau peribadi cemerlang," katanya.

Che Mat berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Khatam Al-Quran Perdana SRA dan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Jawi 2011 di Masjid Negara di sini baru-baru ini.

Kira-kira 5,000 murid SRA dan KAFA dari ibu negara dan Putrajaya yang diketuai oleh munabbih (pembimbing), Hassan Al-Fadhli Abdul Rahman memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran kepada orang ramai.

Tambah Che Mat, terdapat kira-kira 85 SRA di seluruh Kuala Lumpur serta Putrajaya ketika ini dan ia akan ditambah secara berperingkat-peringkat sehingga menjadi 91 buah menjelang 2013.

Dalam pada itu, ujarnya, Jawi akan membina sebuah kompleks sekolah menengah agama terbesar di Bandar Seri Permaisuri dekat sini pada 2013 yang dijangka mampu memuatkan sehingga 1,200 pelajar.

"Aspek pembelajaran di kompleks itu merangkumi penyediaan pelajar untuk melanjutkan pengajian ke luar negara," jelasnya.

UMNO Batu agih sumbangan raya

Posted:

UMNO Batu agih sumbangan raya

UMNO Batu agih sumbangan raya


BUNG Mokhtar Radin (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada anak yatim sambil diperhatikan oleh Yahaya Mat Ghani pada majlis penyampaian bantuan Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Batu di Sentul, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 25 Ogos – Sebanyak RM71,000 diperuntukkan oleh UMNO Bahagian Batu untuk diagih-agihkan kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan anak yatim sebagai sumbangan sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Bahagian tersebut, Datuk Yahaya Mat Ghani berkata, peruntukan tersebut adalah sebahagian daripada tanggungjawab Barisan Nasional dalam memastikan golongan yang memerlukan itu tidak terbiar di waktu umat Islam lain sedang bergembira.

"Saya lihat di Bahagian Batu ini, kebanyakan masyarakatnya hidup dalam serba kekurangan. Ramai yang menetap di perumahan awam dan Projek Perumahan Rakyat, jadi mereka ini semua perlu dibantu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Semarak Ramadan di Masjid Amru Ibni Al Ass, Bandar Baru Sentul, di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap bapa angkat kepada UMNO Bahagian Batu.

Pada majlis tersebut, seramai 250 orang terdiri daripada ibu tunggal, anak yatim, warga emas, dan orang kurang upaya menerima sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan makanan.

Turut menerima sumbangan adalah wakil badan bukan kerajaan, surau dan masjid di bahagian tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Esei merdeka dapat sambutan

Posted:

Esei merdeka dapat sambutan

Esei merdeka dapat sambutan

Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my


DUA guru, Hanita Jaafar (kiri) dan Rafiah Yussup mengadakan perbincangan dengan murid-murid tahun enam yang menyertai peraduan Esei Kemerdekaan 1Malaysia di SK Khir Johari, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 25 Ogos – Pertandingan Esei Kemerdekaan 1Malaysia yang julung kali dianjurkan Utusan Malaysia dan Gerakan Belia 4B Malaysia Johor terus mendapat sambutan apabila 20 sekolah di daerah ini akan menghantar penyertaan mereka.

Penyelaras pertandingan tersebut, Mohd. Ridhwan Othman berkata, kesemua sekolah berhasrat untuk menyertai pertandingan itu dan menyifatkannya sesuatu yang baik dan mampu mencungkil bakat penulisan dalam kalangan pelajar.

"Ia bukan sahaja boleh membina jati diri malah membangunkan semangat patriotik dalam kalangan generasi baru.

"Semangat kemerdekaan sememangnya diperlukan dalam diri setiap orang. Segelintir generasi masa kini tidak dapat menghayati erti sebenar merdeka dan menyelami perit jerih orang terdahulu dalam mencapai kemerdekaan," katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Khir Johari di sini, hari ini.

Malah, pelakon terkenal tanah air, Wan Maimunah Wan Abdul Aziz sempat membuat kunjungan ke sekolah berkenaan dan memberi suntikan semangat kepada murid tahun empat, lima dan enam dalam membina masa depan yang cemerlang.

Sementara itu, Guru Besar sekolah berkenaan, Zamani Ahmad berkata, pihak sekolah melalui Panitia Bahasa Melayu akan membuat saringan karangan murid-murid berdasarkan tajuk yang diberikan dan nukilan yang terbaik akan disenarai pendek.

"Kami menyokong penuh pertandingan tersebut kerana ia satu wadah untuk mengingatkan dan memberi kefahaman kepada murid-murid tentang merdeka dan pejuang kebebasan. Malah, kami berusaha untuk menghantar 10 penyertaan terbaik dan memberi saingan kepada sekolah lain yang ingin bertanding," katanya.

Pertandingan yang mendapat kerjasama syarikat Fargoes Books Sdn. Bhd. itu diadakan sempena bulan kemerdekaan dan penulisan esei merupakan kaedah yang sesuai untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan belia, remaja dan kanak-kanak.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu Kategori Belia, Kategori Sekolah Menengah dan Kategori Sekolah Rendah dengan setiap kategori meletakkan dua tajuk esei untuk dihuraikan oleh peserta.

Johan Kategori Belia menawarkan hadiah wang tunai RM1,500 berserta buku dan sijil, tempat kedua (RM1,000) dan tempat ketiga (RM700) manakala juara Kategori Sekolah Menengah mendapat RM1,000 berserta buku dan sijil, kedua (RM500) dan ketiga (RM300).

Juara Kategori Sekolah Rendah pula akan memperoleh wang tunai RM500 berserta buku dan sijil, kedua (RM300) dan tempat ketiga (RM200).

Borang penyertaan boleh diperoleh dalam akhbar Utusan Malaysia dan semua penyertaan perlu disertakan dengan lima keratan 'masthead' Utusan Malaysia antara tarikh 16 Ogos hingga 16 September dan dihantar ke alamat Pertandingan Esei Kemerdekaan 1Malaysia, Utusan Melayu (Malaysia) Bhd., No. 24, Jalan Serampang, Taman Pelangi, 80050 Johor Bahru, Johor.

Selenggara Pesisiran Herba Sungai Sebulung

Posted:

Selenggara Pesisiran Herba Sungai Sebulung

Selenggara Pesisiran Herba Sungai Sebulung

JOHOR BAHRU 25 Ogos - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) digesa menyelenggara prasarana dan persekitaran Pesisiran Herba Sungai Sebulung di sini bagi mengekalkan keindahan ekologi persekitaran sungai berkenaan.

Ahli Majlis Zon Kampung Melayu Majidee, Azman Dawam berkata, projek fasa pertama yang menelan belanja RM1.2 juta telah siap pada 2006, manakala fasa kedua yang menelan kos RM1.3 juta siap pada 2009.

Namun, ujarnya, sejajar dengan peredaran masa, banyak prasarana di kawasan tersebut rosak dan tidak diselenggara seperti wakaf yang atapnya pecah dan jambatan kayu semakin usang serta reput.

"Tempat pejalan kaki yang telah pecah perlu dibina semula supaya ia kelihatan cantik dan selamat untuk digunakan. Malah, bumbung wakaf dan jambatan kayu itu, pihak MBJB perlu ganti dan baiki segera," katanya dalam ucapan penangguhan pada Mesyuarat Penuh Bulanan MBJB di sini, semalam.

Azman berkata, bagi projek fasa kedua pula, terdapat rungutan daripada penduduk kampung yang menyatakan kawasan sepanjang sungai tersebut gelap dan boleh menimbulkan masalah sosial dalam kalangan remaja.

"Penduduk di kawasan tersebut berharap agar MBJB dapat menyediakan lampu di sepanjang projek fasa kedua supaya ia dapat menerangi seluruh kawasan sekali gus mengelak berlakunya kejadian tidak diingini," katanya.

Mengenai pasar Kampung Melayu Majidee, Azman berkata, ia memerlukan satu transformasi yang besar bagi kegunaan peniaga dan orang awam.

Dakwanya, pasar yang berusia 35 tahun itu seakan-akan 'diabaikan' oleh MBJB dari segi penyelenggaraan dan baik pulih bangunan dengan banyak kebocoran pada bumbung dan lantai yang pecah.

"Saya sangat setuju dengan rancangan MBJB untuk membangunkan semula pasar Kampung Melayu yang menelan belanja kira-kira RM30 juta. Tetapi persoalannya, adakah MBJB mampu untuk mengadakan dana sebegitu banyak membangunkan semula pasar tersebut," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Pesona tudung syifon

Posted:

Pesona tudung syifon

Pesona tudung syifon

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar JEFRI IRAN


Tudung nampak lebih terletak cantik jika bersanggul.


LUMRAH sifat semula jadi wanita ingin nampak cantik daripada hujung rambut hingga ke hujung kaki. Tidak kira sama ada pada hari-hari biasa atau hari perayaan, menghadiri majlis dan sebagainya, penampilan wanita pasti dijaga supaya sentiasa nampak menarik pada pandangan semua orang.

Penampilan yang menarik pastinya memberikan keyakinan diri apabila tampil bertemu seseorang. Namun apa yang lebih penting, diri sendiri berasa selesa dan gembira dengan apa yang digayakan.

Bijak bergaya memberikan kelebihan kepada seseorang untuk tampil cantik dan menawan. Sama ada bertudung atau tidak, anda masih lagi boleh bergaya dengan cara anda sendiri.

Bagi yang bertudung, anda masih boleh nampak anggun dan bergaya dengan pelbagai pilihan tudung lebih-lebih lagi dengan kemunculan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi.

Fesyen dan gaya tudung sentiasa berubah-ubah bagi memenuhi kehendak pengguna. Pereka tudung juga harus kreatif untuk menghasilkan rekaan terkini agar pelanggan tidak beralih kepada yang lain.

Tudung syifon paling laris pada hari ini kerana kelembutan fabrik dan si pemakai nampak ayu dan anggun. Tudung syifon sememangnya sesuai digayakan pada hari istimewa seperti hari raya atau ke majlis.

Tudung syifon yang ditambah dengan perincian seperti sulaman, tampalan bunga sulam dan jahitan manik menambah seri anda pada hari lebaran ini.

Jenis sulaman juga berbeza-beza mengikut bajet dan kehendak pelanggan. Terdapat sulaman setingkat atau dua tingkat, tampalan bunga sulam pada satu bahagian sahaja ataupun pada keliling tudung.

Baju yang bercorak lebih sesuai jika digayakan dengan tudung syifon polos. Pilihan warna-warna lembut dan garang boleh dipadankan dengan baju.

Bagi menambah seri, sematkan dengan kerongsang besar daripada perak bertatah kristal pada depan tudung atau kerongsang berjurai di atas kepala.

Jika anda bertudung penuh, pakai anak tudung di dalam namun pilih anak tudung yang warnanya kontra dengan tudung luar.

Kepada yang tidak bertudung penuh, letakkan sahaja di atas kepala. Tudung nampak lebih terletak cantik jika anda bersanggul.

Justeru jika pada hari-hari biasa atau hari bekerja, anda memakai tudung daripada fabrik jersi, hari raya ini cuba ubah penampilan kepada tudung syifon pula.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved