Jumaat, 17 Jun 2011

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Peneroka raih RM6,000 sebulan

Posted:

Peneroka raih RM6,000 sebulan

Peneroka raih RM6,000 sebulan

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my

KUALA KRAU 17 Jun - Purata pendapatan hampir 15,000 peneroka Felda Wilayah Jengka di 37 tanah rancangan kini mencecah kira-kira RM6,000 sebulan bagi setiap keluarga berikutan kenaikan harga getah dan kelapa sawit yang tinggi pada masa ini.

Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Saari Din berkata, kebanyakan peneroka tanaman getah berpendapatan purata RM4,546 sebulan manakala peneroka kelapa sawit pula RM6,614 sebulan.

Kata beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada peneroka memperoleh pendapatan bulanan lebih besar berikutan kenaikan harga kedua-dua komoditi tersebut.

''Untuk mendapat harga perahan minyak yang lebih baik, mereka perlu memenuhi syarat tertentu seperti menuai benih yang benar-benar masak, berkualiti dan mematuhi piawaian yang ditetapkan.

''Setiap warga Felda Jengka harus bertekad menghasilkan produk yang bermutu,'' katanya kepada Utusan Malaysia selepas menyertai majlis Gotong- Royong Perdana di Masjid Jengka Ahmad Bandar Jengka di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Jengka, Wan Salman Wan Ismail.

Menurut Saari, harga komoditi sawit dan getah dijangka sentiasa berada paras yang tinggi antara RM750 hingga RM800 satu tan metrik.

Kata beliau, peneroka yang mendapat harga pulangan tinggi itu diminta berjimat cermat kerana pendapatan yang dinikmati ketika ini ditentukan oleh pasaran.

''Kini peneroka boleh berbangga dengan pendapatan bulanan yang diterima kerana produktif menghantar hasil kilang sawit dan getah milik Felda,'' katanya.

Saari juga mahu warga Felda di Wilayah Jengka seramai 252,699 orang itu mencarum ke dalam Koperasi Pemodalan Felda kerana mereka mampu menikmati pulangan pendapatan dividen tinggi.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Boling eratkan hubungan UMP-media

Posted:

Boling eratkan hubungan UMP-media

Boling eratkan hubungan UMP-media


WARGA UMP dan ahli Kelab Media Pahang bergembira pada pertandingan boling persahabatan di Premium Lane, Kuantan, baru-baru ini.


KUANTAN 17 Jun - Peranan media dalam menyalurkan maklumat berhubung sesebuah organisasi amat penting untuk dihebahkan kepada masyarakat.

Bagi sesebuah organisasi yang mantap, hubungan baik dengan pihak media amat penting dan perlu disuburkan dari semasa ke semasa.

Menyedari hakikat itu, Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan pertandingan boling persahabatan di Premium Lane, Kuantan Plaza di sini, baru-baru ini.

Seramai 80 peserta yang terdiri daripada pengamal media dan kakitangan UMP menyertai kejohanan kali kelima yang bertemakan 1UMP 1Media 1Strike yang menyaksikan sebanyak 20 kumpulan menunjukkan bakat masing-masing bagi merebut hadiah utama.

Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, pertandingan itu bagi mengeratkan kerjasama antara kedua-dua pihak.

Katanya, program tahunan itu dapat mengukuhkan ikatan kekeluargaan antara pihak pengurusan universiti bersama pihak media.

''Selain itu, peserta dapat menghilangkan tekanan dan penat bekerja dengan melakukan aktiviti sedemikian," katanya ketika merasmikan kejohanan tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Media Pahang (KMP), Nik Naizi Hussin berkata, pihaknya sentiasa menyokong usaha murni UMP dalam mengadakan pelbagai aktiviti bersama media.

Pada pertandingan itu, wakil Utusan Airtimes Sdn. Bhd, Hanapi Mat Ripin mengungguli kategori individu lelaki dengan 491 jatuhan pin, manakala kategori wanita dimenangi oleh wakil RTM, Norjihan Yahya dengan 449 jatuhan pin.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Dua rakan maut kereta bertembung lori

Posted:

Dua rakan maut kereta bertembung lori

Dua rakan maut kereta bertembung lori

KUANTAN 17 Jun - Dua sahabat terbunuh dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dengan lori tanpa muatan di Jalan Semambu di sini, awal pagi semalam.

Pemandu kereta terlibat, Muhammad Fuad Mansur, 26, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini manakala rakannya, Mohd. Redzuan Ghazali, 23, maut di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, kejadian berlaku pukul 2 pagi ketika lori itu dipandu seorang lelaki dan kelindan berusia lingkungan 30-an dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Semambu.

"Sampai di tempat kejadian, pemandu lori itu dikatakan cuba memotong dua kenderaan di hadapan, namun gagal menyebabkan ia bertembung dengan kereta yang dinaiki oleh mangsa dari arah bertentangan.

"Pemandu dan kelindan lori itu bagaimanapun tidak cedera," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Mohamed Fauzi, kedua-dua mangsa yang berasal dari Pekan dibawa ke HTAA untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Perkongsian baru Kuala Lumpur

Posted:

Perkongsian baru Kuala Lumpur

Perkongsian baru Kuala Lumpur

Oleh ZULKIFLI JALIL dan HASHNAN ABDULLAH pengarang@utusan.com.my

SETELAH lapan tahun Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) diadakan di Pulau Langkawi, maka buat pertama kali dalam sejarahnya dialog tersebut pada tahun ini diadakan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.

Keputusan itu dibuat bagi memenuhi permintaan negara-negara peserta yang ingin melihat perkembangan pembangunan terkini yang berlaku di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur.

Penganjuran LID diadakan di saat dunia berdepan dengan gelombang inflasi, harga makanan dan minyak terus melambung tinggi akibat bencana alam, konflik dan juga spekulasi. Meskipun masalah sejagat seperti itu melanda semua tempat tanpa mengira ideologi politik atau status ekonomi, namun implikasinya sudah tentu lebih besar ke atas negara membangun.

Dalam suasana global yang semakin mencabar, ia menonjolkan kepentingan perkongsian pintar antara negara-negara membangun ini untuk menangani isu-isu yang menggugat kepentingan bersama.

LID dicetuskan oleh Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad sejak 1995 bagi merapatkan hubungan dengan negara-negara Afrika yang menghadapi masalah yang hampir sama iaitu kemiskinan dan masalah negara yang pernah dijajah.

Dan tidak dinafikan bahawa sempadan geografi sedikit sebanyak membataskan hubungan Malaysia dengan negara-negara Afrika dan Caribbean.

Masing-masing lebih aktif dalam pertubuhan serantau seperti ASEAN (Asia Tenggara), AEC (Afrika) dan CARICOM (Caribbean). Keadaan itu seiring dengan perkembangan semasa yang menampakkan pertumbuhan blok- blok ekonomi wilayah di seluruh dunia.

Walaupun masing-masing mengekalkan hubungan diplomatik yang stabil, hubungan Malaysia dengan negara-negara Afrika dan Carribean dilihat kurang akrab berbanding dengan dengan negara membangun di Asia.

Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) contohnya merupakan medan komunikasi Malaysia dengan Afrika dan Carribean. Namun pergerakan itu lebih tertumpu kepada kerjasama politik dan kerelevanannya juga dipersoalkan selepas tamatnya Perang Dingin pada 1990.

Dalam pada itu, walaupun Kerjasama Selatan-Selatan menumpu kepada kolobarasi negara-negara membangun dalam bidang sosial dan ekonomi, peranan inisiatif ini bagaimanapun dibayangi ikatan wilayah yang dilihat jauh lebih dominan.

Dalam keadaan ini, Malaysia memerlukan lebih banyak pentas yang mampu memacu hubungannya dengan negara-negara Afrika dan Caribbean. Sebab itu LID dalam soal ini dapat memainkan peranan yang penting.

Walaupun mempunyai latar belakang budaya yang amat berbeza, Malaysia tetap berkongsi banyak persamaan dengan Carribean dan Afrika.

Benua Afrika dan kepulauan Caribbean juga menawarkan pasaran yang luas untuk pelabur dan usahawan Malaysia. Dalam pada itu, Malaysia juga mempunyai pelbagai pengalaman yang boleh dikongsi bersama dengan komuniti Afrika dan Caribbean. Jika sebelum ini usaha menghapuskan kemiskinan tegar merupakan isu yang sering dikongsikan dalam LID, Malaysia pada LID 2011 di Putrajaya boleh berkongsi sesuatu yang baru.

Transformasi yang digariskan dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) bukan setakat menyentuh tentang penghapusan kemiskinan tetapi lebih dari itu suatu usaha untuk mengubah negara membangun menjadi negara berpendapatan tinggi.

LID 2011 dilihat menjadi ruang dan peluang yang terbaik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memperkenalkan dasar dan hala tuju negara yang baru dalam mencapai visi menjadi negara maju menjelang tahun 2020.

Antara dasar tersebut adalah konsep 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan; GTP; ETP dan Model Ekonomi Baru (MEB).

Perdana Menteri dijangka mengambil peluang tersebut untuk menerangkan bagaimana idea baru dan inovatif tersebut mampu mengurangkan perbelanjaan untuk pentadbiran dan projek-projek pembangunan kerajaan.

Idea baru dan inovatif itu diperlukan sebagai satu usaha untuk menjadikan peranan LID sentiasa relevan selaras dengan cabaran global semasa.

Dan secara kebetulan pula inilah LID pertama yang dirasmi dan dipengerusikan oleh Najib. Malah, Dr. Mahathir menyifatkan penganjuran LID di Putrajaya adalah langkah yang baik untuk mempamerkan pembangunan infrastruktur dan inovasi terkini dalam pembinaan Malaysia. Kata beliau, lokasi persidangan yang berdekatan dengan Kuala Lumpur, akan memberikan platform yang baik untuk mempamerkan pembangunan negara selain pembangunan Putrajaya sendiri.

"Di Langkawi mereka hanya berbincang tetapi mereka tidak boleh menunjukkan apa-apa kecuali pelancongan tetapi di sini (Putrajaya) boleh nampak," katanya baru-baru ini.

Bertemakan "Menjana Perkongsian Bestari Untuk Transformasi Sosio-Ekonomi", LID 2011 akan berlangsung selama tiga hari bermula 19 Jun di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.

LID ialah sebahagian daripada siri Dialog Perkongsian Bestari yang mempromosikan prinsip dan amalan pendekatan "Perkongsian Bestari" kepada kerjasama kreatif antara kerajaan dan sektor-sektor lain yang menyumbang kepada aktiviti-aktiviti sosio-ekonomi."Perkongsian Bestari" ialah konsep inovatif yang berlandaskan kepada aspek "situasi menang-menang" dan prosper thy neighbour.

LID 2011 akan turut memberi peluang kepada peserta melawat PROTON, SIRIM dan Malaysia Palm Oil Board (MPOB). Dan hasil dari lawatan lapangan itu akan dilaporkan kepada Sidang Pleno yang akan disertai oleh ketua negara yang menyertai forum itu.

Buat pertama kalinya LID 2011 akan turut mengadakan Forum Perniagaan Malaysia-Afrika pada hari ini (Sabtu) dan bertemakan Meneroka Dimensi Baru bagi mencerminkan pentingnya mengembangkan hubungan ekonomi dan perniagaan antara Malaysia dan Afrika dengan perkembangan geopolitik semasa.

Forum yang akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu akan turut disertai Dr. Mahathir dan beberapa penceramah terkenal dari Malaysia dan Afrika.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kartunis Utusan, rogol dan zina

Posted:

Kartunis Utusan, rogol dan zina

Kartunis Utusan, rogol dan zina

Oleh Dr.Mohd.Asri Zainul Abidin

SAYA tidak pasti, apakah kartunis Utusan itu hendak menghina Islam atau hendak menghina pihak tertentu. Jika dia bertujuan menghina Islam, dilakukan pula dalam keadaan yang sedar akal fikirannya, maka dia terkeluar daripada Islam.

Namun, jika dia bertujuan mengkritik salah faham sesetengah pihak mengenai perbezaan hukum zina dan rogol, maka itu tidak merosakkan imannya, bahkan satu sumbangan membetulkan fahaman yang salah.

Ada pun jika dia bertujuan membohongi fakta yang dimaksudkan oleh seseorang, sehingga menimbulkan salah sangka, maka dia berdosa besar.

Persoalan yang timbul; apakah jika seseorang wanita membuat aduan kepada mahkamah syariah bahawa dia dirogol maka mahkamah syariah akan menyatakan: awak mesti mendatangkan empat orang saksi, jika tidak awak disebat 80 rotan?

Adakah di dunia ini empat orang saksi yang soleh sanggup membiarkan seorang wanita dirogol di hadapan mereka?

ROGOL

Mungkin ada yang tidak faham sehingga menyamakan jenayah rogol dan zina. Zina adalah maksiat peribadi yang Islam berusaha menutupnya. Sebab itu diketatkan dengan empat orang saksi.

Adapun rogol adalah pencabulan terhadap individu lain tanpa rela dan kejam, maka pembuktiannya tidak seketat zina.

Beza menuduh orang lain berzina dengan mendakwa diri menjadi mangsa adalah soal maruah. Menuduh orang lain berzina mempunyai unsur menjatuhkan maruah orang lain.

Sementara mendakwa diri menjadi mangsa rogol adalah mempertaruhkan maruah diri sendiri. Secara lojiknya, sukar dilakukan melainkan dalam keadaan yang amat memaksa.

Bagaimanakah mungkin seseorang mampu mendiamkan diri apabila dia dimangsakan?

Maka, dalam kes kedua qarinah (bukti kaitan) boleh dipakai seperti yang disebut dalam Surah Yusuf: "Dan mereka berdua pun berkejaran ke pintu, serta perempuan itu mengoyakkan baju Yusuf dari belakang; lalu terserempaklah keduanya dengan suami perempuan itu di muka pintu. Tiba-tiba perempuan itu berkata (kepada suaminya): Tiada balasan bagi orang yang mahu membuat jahat terhadap isterimu melainkan dipenjarakan dia atau dikenakan azab yang menyiksanya".

Yusuf pula berkata: "Dialah yang menggoda diriku". (Suaminya tercengang mendengarnya) dan seorang dari keluarga perempuan itu (yang ada bersama-sama) tampil memberi pendapatnya dengan berkata:"Jika baju Yusuf koyak dari depan maka benarlah tuduhan perempuan itu, dan menjadilah Yusuf dari orang-orang yang berdusta. Dan jika bajunya koyak dari belakang, maka dustalah perempuan itu, dan Yusuf adalah daripada orang-orang yang benar.

Setelah suaminya melihat baju Yusuf koyak dari belakang, dia berkata: "Sesungguhnya ini adalah dari tipu daya kamu orang-orang perempuan; sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar pengaruhnya" (Surah Yusuf: ayat 25-28).

Lihat, al-Quran menceritakan bagaimana qarinah digunakan dalam peristiwa ini.

LI'AN

Sebab itu juga, Islam tidak mewajibkan pula seseorang yang menuduh isterinya berzina agar mendatangkan empat orang saksi. Ini kerana tuduhan zina kepada isteri sendiri hanya mencalarkan maruah penuduh.

Maka, agak sukar untuk seseorang itu menuduh isterinya secara bohong berzina. Juga amat berat untuk seseorang itu mendiamkan diri apabila mengetahui isterinya berzina.

Ini kerana kedua-dua keadaan itu merobohkan maruah dan kehormatan dirinya. Jika orang lain yang berzina, mungkin dia mampu mendiamkan diri disebabkan kekurangan saksi. Tetapi sudah pasti tidak bagi kes isterinya.

Justeru Allah menyebut: (maksudnya) "Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya dia dari orang-orang yang benar;

Dan sumpah yang kelima (hendaklah dia berkata): "bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika dia dari orang- orang yang dusta. Dan bagi menghindarkan hukuman seksa terhadap isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah dia (isteri) bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu benar-benar daripada orang-orang yang berdusta; -

Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata); bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang-orang yang benar. (Surah al-Nur ayat 6-9).

Bab ini dinamakan dengan 'li'an' atau penglaknatan. Inilah jalan yang Allah berikan kepada pasangan suami isteri yang tuduh-menuduh dalam perkara seperti ini.

Selepas proses ini dilakukan, mereka dipisahkan selamanya, tanpa ada hukuman keseksaan mahkamah yang dijalankan, sebaliknya diserahkan urusan tersebut kepada Allah. Ini kerana, kes ini adalah kes mempalitkan keaiban diri sendiri.

Maka, mereka yang mendakwa diri dirogol atau diliwat secara paksa juga adalah menampalkan keaiban ke atas diri sendiri. Amat sukar bagi insan normal itu membuat dakwaan seperti itu secara semberono. Melainkan jika ada kepentingan tersembunyi yang lain.

Maka mereka juga tidak perlu mendatangkan empat saksi. Sebaliknya boleh diterima pakai kaitan (qarinah) yang membuktikan kejadian itu berlaku. Justeru, paksi dalam hal ini semua ada, demi memelihara keturunan dan maruah.

PROF. MADYA DR. MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN ialah bekas Mufti Perlis.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Mila mahu luaskan bisnes

Posted:

Mila mahu luaskan bisnes

Mila mahu luaskan bisnes

Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar WAHIDAH ZAINAL


SETELAH letih bersenam di gimnasium, Mila memulakan paginya dengan bersarapan di Restoran O'Brien's.


DIARI gadis kecil ini yang bernama Norsyarmilla Jirin atau Mila begitu padat sehinggakan penulis yang mengikutinya sepanjang hari berasa amat keletihan.

Tidak padan dengan saiz badannya seberat 47 kilogram, anak gadis berusia 24 tahun kelahiran Teluk Kumbar, Pulau Pinang itu dilihat sangat berjiwa besar bagi memastikan empayar perniagaannya kukuh bertapak sebagai sumber kewangan keluarganya kelak.

Berkesempatan meluangkan masa seharian bersama juara Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu, penulis teruja mendengar betapa tingginya azam Mila untuk meluaskan bisnes miliknya, LuvMILA Corporation Sdn. Bhd., ke mata dunia umumnya.

Lazimnya, Mila gemar meluangkan masa paginya di gimnasium untuk menjaga stamina seperti mana yang dilakukan oleh kebanyakan penyanyi lain.

Kemudian, menurut Mila, dia akan bersarapan di sebuah restoran makanan segera kegemarannya yang terletak tidak jauh dari gimnasium kunjungannya yang terletak di pusat membeli-belah Empire Subang, Selangor.

"Saya sangat sukakan roti sandwich yang dijual di sini. Ia bersaiz besar, sangat lazat dan mengenyangkan. Kadang-kadang, saya tidak boleh menghabiskannya.

"Jadi supaya tidak membazir, saya akan bungkus untuk dimakan pada tengah hari. Kiranya, ia macam satu pakej, sarapan dan makan tengah hari," ujar Mila berseloroh.

Seperti kebiasaannya, jika tidak mempunyai sebarang undangan menyanyi, Mila memberitahu, dia akan berjumpa dengan pihak atau organisasi yang banyak memberi kerjasama terhadap kerjaya seninya.

Baru-baru ini, Mila dipilih oleh Malaysia Building Society Bhd. (MBSB) sebagai rakan kerjasama untuk menjayakan produk terbaru institusi kewangan tersebut iaitu Akaun Simpan Cheeky.

"Saya berterima kasih kepada MBSB kerana menyokong dan memberi kerjasama demi keuntungan kedua-dua pihak.

"Selain membantu mempromosikan karier saya, pembabitan saya sebagai artis juga membantu MBSB menjual produk mereka dengan mempengaruhi peminat saya," kata Mila kepada S3.

Seharian bersama Mila, dia sempat menghadiri sesi taklimat bersama pegawai MBSB sempena kerjasama yang bakal dijayakan di ibu pejabat institusi berkenaan yang terletak di Jalan Dungun, Damansara, Selangor.

Usai menyelesaikan komitmennya dengan MBSB, Mila terus menuju ke destinasi yang berikutnya iaitu School Fashion of Lilian, yang merupakan butik pilihan Mila untuk menempah baju-bajunya.

"Di sini, tukang jahitnya amat memahami kehendak saya dan begitu toleransi dalam meletakkan harga yang berpatutan.

"Jadi saya tidak perlu mengeluarkan kos yang banyak untuk membeli baju yang ingin digunakan bagi persembahan atau kegunaan sendiri.

"Pada masa yang sama, sekiranya saya kesuntukan masa untuk mencari kain bagi menyiapkan baju saya, Lilian tidak begitu berkira untuk mencuri masanya membeli kain yang saya inginkan.

"Sebab itulah saya begitu senang untuk bekerjasama dengan Lilian kerana dia begitu fleksibel," jelas Mila memuji tukang jahitnya itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tun M inspirasi Abby Fana

Posted:

Tun M inspirasi Abby Fana

Tun M inspirasi Abby Fana

Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar IZHAM JAAFAR


ABBY Fana lebih gemar menghabiskan masa lapangnya dengan membaca buku ilmiah ataupun novel.


BERTUGAS di stesen radio nombor satu negara, Sinar FM, ia semestinya memberi tekanan yang tinggi kepada para penyampai untuk mengekalkan reputasi punca rezeki mereka itu.

Bagi salah seorang deejay popular stesen radio milik AMP Radio Network itu, Abby Fana, 45 atau nama sebenarnya, Habsah Omar, dia mengakui, bukan mudah untuk menarik minat pendengar apatah lagi untuk menambahkan bilangan pendengar setia.

Jadi, menurut pengacara senior program bual bicara Malaysia Hari Ini itu, para penyampai dikehendaki membentangkan pelbagai idea demi memastikan rating pendengar Sinar FM tidak jatuh malah terus meningkat.

Justeru, setelah kepenatan berada di konti, Abby memberitahu, cara terbaik untuknya melepaskan tekanan adalah dengan membaca.

"Bagi mendapatkan bahan bacaan, saya selalunya akan mengunjungi toko buku MPH Bookstore untuk membeli beberapa naskhah buku serta keperluan lain.

"Pada usia sebegini, saya selalunya suka membaca buku yang mendekatkan diri dengan Allah.

"Buku keagamaan adalah antara buku yang menjadi pilihan saya selain meminati buku-buku biografi tokoh-tokoh ternama dunia.

"Selain menghilangkan tekanan, melalui pembacaan, saya juga berpeluang untuk mencambahkan idea bagi topik yang ingin dibicarakan dengan pendengar ketika bertugas," kata ibu kepada dua anak itu.

Menceritakan sedikit mengenai pengalamannya membaca buku biografi bekas Perdana Menteri Malaysia berjudul A Doctor In The House - The Memoirs Of Tun Dr. Mahathir Mohamad(Tun M), Abby mengatakan, tokoh politik itu banyak memberikan inspirasi kepadanya.

"Pengalaman yang diceritakan oleh beliau sepanjang kariernya sebagai ahli politik memberikan saya semangat untuk diinterpretasikan terhadap kerja saya.

"Walaupun dicemuh dengan pelbagai tohmahan, beliau tetapkan pendirian untuk mengetepikan segala khabar angin demi menggalas tanggungjawabnya sebagai pemimpin negara," kata pengendali segmen Sembang Sinar yang ke udara pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 10 pagi itu.

Dalam pada itu, selain meluangkan masa sebulan sekali untuk ke toko buku bagi mencari buku bacaan kegemarannya, Abby juga akan membeli beberapa kelengkapan alat tulis yang akan digunakannya tidak kira sama ada di pejabat atau pun di rumah.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Minyak peram enakkan masakan

Posted:

Minyak peram enakkan masakan

Minyak peram enakkan masakan

Oleh AHMED SYAHRIL ZULKEPLY
rekreasi@utusan.com.my
Gambar MUHAMAD IQBAL ROSLI


Chef Sabri menunjukkan antara koleksi piala dan pingat yang pernah dimenangi beliau.


MINYAK masak sudah tentu diiktiraf sebagai bahan masakan utama yang digunakan dalam apa jua resipi masakan di dunia.

Begitu pun, ramai yang mungkin jarang atau tidak pernah mendengar tentang minyak masak yang diperam bagi menjadikan masakan lebih enak.

Jika ada yang tertanya-tanya bagaimana minyak tersebut dihasilkan, ia tidak sesukar yang disangka kerana hanya menggunakan minyak masak biasa dan rempah ratus yang mudah diperoleh.

Semua jenis minyak boleh diperisakan dengan memeramkannya bersama bahan makanan aromatik seperti herba-herba segar, lada, bawang putih dan lain-lain dalam minyak tersebut untuk suatu tempoh masa tertentu.

Pada minggu ini, Gaya Chef membawa pembaca ke dapur lima bintang, Kafe Warisan yang terletak di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Dapur tersebut diketuai oleh Chef Eksekutif, Sabri Soid yang merupakan salah seorang pakar masakan Perancis.

Berasal dari Seberang Perai, Pulau Pinang, Chef Sabri juga mengumpul pelbagai jenis minyak masak yang diperam sendiri.

Pada mulanya, Chef Sabri hanya menghasilkan minyak tersebut untuk kegunaan masakan di tempat kerja tetapi lama-kelamaan ia bertukar kepada hobi pada waktu lapang.

Chef Sabri berkata, kebanyakan chef mempunyai koleksi peribadi masing-masing seperti pisau, sudu dan garfu tetapi beliau lebih suka mengumpul sesuatu yang lain daripada yang lain.

"Saya suka mengumpul minyak masak peram dan bagi saya minyak tersebut unik kerana selain boleh digunakan untuk memasak, ia juga boleh dijadikan sebagai barang perhiasan.

"Malah minyak yang telah siap diperam itu merupakan bahan perasa semula jadi tanpa bahan pengawet, perasa tambahan atau pewarna tiruan," katanya.

Beliau berkata, minyak peram mudah dihasilkan dengan hanya memeramnya bersama minyak seperti minyak zaitun, jagung, kelapa sawit, kelapa, kacang soya, biji labu, bunga matahari, kesumba, kacang, biji anggur, bijan dan bahan-bahan aromatik seperti kulit kayu manis, cili, buah pelaga, bunga cengkih, daun salam dan bunga lawang.

"Lebih lama minyak tersebut diperam maka ia lebih enak dan sedap dimakan. Lagipun minyak peram tiada tarikh luput dan boleh digunakan bila-bila masa sahaja.

"Koleksi minyak peram paling lama saya simpan ialah selama 12 tahun dan kebanyakannya saya pamerkan di Kafe Warisan," jelasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Batik bukan sekadar seni

Posted:

Batik bukan sekadar seni

Batik bukan sekadar seni

Oleh AHMED SYAHRIL ZULKEPLY
rekreasi@utusan.com.my
Gambar HAFIZH KHOSMAT


Kebolehan Lazim Ismail mencanting batik membolehkan beliau menghasilkan karya seni yang tersendiri.


SEJARAH kewujudan kesenian batik tidak dapat dipastikan tetapi artifak batik tertua yang telah ditemui berusia lebih 2,000 tahun lamanya.

Secara tidak langsung, hasil seni batik itu kini dijadikan sebagai warisan peradaban dunia, lebih-lebih lagi pemakaian batik dalam busana tradisi mempunyai sejarah yang lama sejak dari zaman awal tamadun Melayu.

Batik dipakai oleh semua golongan, daripada kerabat diraja, bangsawan sehinggalah kepada rakyat jelata.

Malah seni batik itu acap kali diselitkan dalam penulisan dahulu kala contohnya seperti kain cindai yang banyak ditulis dalam hikayat-hikayat silam.

Dalam hikayat tersebut, batik dijadikan sebagai hadiah perpisahan dan lambang percintaan dalam Hikayat Malim Deman dan persalinan batik turut dijadikan sebagai tanda penganugerahan darjat dalam Hikayat Hang Tuah.

Dalam pada itu, S3 minggu ini mengurai hasil seni batik yang dihasilkan oleh pelukis dan pemilik Batik Selembut Sutera, Lazim Ismail yang terletak di Kompleks Kraf, Seksyen 63, Jalan Conlay, Kuala Lumpur.

Kebolehan Lazim mencanting batik secara tidak langsung membolehkan beliau menghasilkan sebuah karya seni yang lain daripada lain.

Malah beliau juga bijak meneroka kesenian batik sehingga berjaya menghasilkan lukisan bercorak batik yang kebiasaannya hanya boleh dilihat pada kain batik atau baju batik.

Karya-karya beliau itu banyak menyentuh kepada penggunaan corak tradisional yang kreatif.

Berpengalaman selama 30 tahun dalam penghasilan seni canting batik, Lazim kini merupakan antara orang lama yang masih lagi memperjuangkan kesenian tersebut.

Lazim berkata, minat menghasilkan batik itu diperoleh sejak beliau bekerja di kilang Alfa Batik di Johor Bahru.

Daripada pengalaman yang dipelajari ketika bertugas di kilang tersebut, Lazim memberanikan diri membuka kedai batik sendiri.

Pada mulanya, beliau menghasilkan baju batik, kemeja T bercorak batik, kad dan perhiasan dinding daripada corak bunga hingga kepada corak dasar laut.

Tetapi lama-kelamaan, beliau mendapat ilham untuk menjadikan corak batik sebagai lukisan dan hasilnya amat menarik.

"Kalau dahulu, seni batik ini lebih kepada penghasilan pakaian sahaja tetapi hari ini seni batik lebih meluas sehingga ia boleh dijadikan sebagai perhiasan.

"Orang ramai juga telah mengiktiraf seni batik sebagai salah satu hasil seni yang lain daripada lain, lagipun kita sudah biasa lihat lukisan yang dilukis di atas kanvas.

"Bagi pelancong asing yang datang ke negara kita pula, ada antara mereka tidak pernah melihat corak tersebut dan bagi mereka, corak batik amat unik dan ia merupakan suatu kelainan," katanya.

Beliau berkata, idea untuk mengembangkan hasil seni batik itu kepada perhiasan dinding timbul apabila beliau melihat sambutan yang diberi di kalangan pelancong yang singgah ke kedainya.

"Batik juga macam lukisan, bezanya warna batik lebih menarik dan ia lebih sukar dihasilkan.

"Bagaimanapun, corak batik juga boleh dijadikan lukisan bertema seperti tema kampung. Kalau tema kampung, pelukis boleh hasilkan lukisan bercorak suasana kampung dari luar rumah hinggakan kepada aktiviti di kampung," jelasnya.

Menurutnya, corak batik Malaysia kini semakin berkembang dan ia semakin diminati di kalangan pelancong.

Antaranya, corak bunga raya, bunga sepit udang, manggis, pokok, lasam, tangga mas, sinar mas, terang bulan, belah ketupat, jalur Malaysia, serong dan retak seribu.

"Corak batik Malaysia kini semakin berkembang setelah melalui proses evolusi dari corak terap asal kepada asimilasi pengaruh seni batik Indonesia dan kesenian moden seperti corak abstrak.

"Dengan perkembangan tersebut, populariti batik semakin meningkat dan digemari ramai lebih-lebih lagi setelah kemunculan pewarna baru yang sesuai digunakan pada kain sutera pada pertengahan 1990," ujarnya.

Bagi mereka yang berminat untuk menempah hasil seni batik, boleh menghubungi terus di talian 012-6160897.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Bazaria Pantai beroperasi hari ini

Posted:

Bazaria Pantai beroperasi hari ini

Bazaria Pantai beroperasi hari ini

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
kota@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 16 Jun – Jalan Bukit Angkasa di Pantai Dalam di sini, saban hari sesak dengan kenderaan.

Namun situasi tersebut dijangka berakhir tidak lama lagi, apabila pusat penjaja Bazaria Pantai di Pantai Permai akan beroperasi esok, setelah fasa pertama projek tersebut siap sepenuhnya.

Dengan siapnya pusat penjaja berkenaan, perniagaan di sepanjang Jalan Bukit Angkasa, yang menjadi punca kesesakan, akan berpindah ke situ.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kesejahteraan Bandar dan Pengurusan) Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB), Datuk Adnan Mohd. Ikshan berkata, dengan kewujudan pusat penjaja berkenaan, kesesakan jalan raya di kawasan itu akan berakhir.

Ujarnya, selain itu kewujudan bazar ini juga adalah bagi meningkatkan taraf hidup penjaja dan peniaga serta menggalakkan kehidupan yang lebih sihat dan bersih di persekitaran itu.

"Projek yang diumumkan Mac tahun lepas ini, boleh dilihat sebagai satu titik bersejarah kementerian dalam usaha meningkatkan imej peniaga di negara ini, khususnya di Pantai Dalam," katanya pada majlis pra pelancaran bazar itu baru-baru ini.

Turut hadir adalah Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mhd. Amin Nordin dan Pengerusi Kumpulan Amona, Datuk Othman Ahmad.

Projek itu merupakan usahasama DBKL dengan Kumpulan Amona. Kumpulan Amona menanggung kos sebanyak RM3.3 juta manakala DBKL sebanyak RM2 Juta.

Bazaria tersebut mengandungi 157 gerai iaitu 85 gerai kering dan 72 gerai basah serta mempunyai 122 tempat letak kereta.

Di samping itu, Bazaria Pantai turut dilengkapi kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, perangkap minyak dan sink dwi mangkuk.

Secara keseluruhannya projek ini terbahagi kepada dua fasa. Pembinaan fasa pertama yang bermula Oktober tahun lalu telah siap manakala fasa kedua pula dijangka siap dalam tempoh empat bulan lagi.

Pembahagian lot gerai pula telah dijalankan oleh Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Peniaga Kecil DBKL melalui proses undi dan kebanyakan penjaja telah diberi notis untuk berpindah pada hujung bulan ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Reka bentuk bazaria tidak memuaskan hati penjaja

Posted:

Reka bentuk bazaria tidak memuaskan hati penjaja

Reka bentuk bazaria tidak memuaskan hati penjaja

KUALA LUMPUR 16 Jun - Unit kedai di pusat penjaja Bazaria Pantai, Pantai Permai di Pantai Dalam yang bakal diduduki oleh penjaja di sekitar Jalan Bukit Angkasa tidak memuaskan hati mereka kerana saiz dan ciri-ciri keselamatannya.

Rata-rata penjaja yang ditemui berkata saiz kedai di bazar tersebut terlalu kecil jika dibandingkan dengan kedai mereka sekarang dan dikhuatiri tidak mampu untuk menampung barang jualan.

Malah, penjaja memberitahu Utusan Malaysia selain tidak berpuas hati dengan saiz kedai makan yang terlalu kecil, mereka juga melihatnya tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan yang baik.

Gerai kering berukuran kira-kira 5.4 meter x 2.4 meter manakala gerai basah berukuran 8.5 meter x 2.7 meter.

Seorang pemilik kedai makan, Suriyati Abd. Khalid, 37, berkata, saiz kedai makan yang dibina di pusat tersebut tersebut terlalu kecil dan tidak sesuai serta tidak praktikal untuk sebuah kedai makan.

Katanya, jika dibandingkan dengan kedai miliknya pada ketika ini, perbezaannya hampir lima kali ganda dan ini akan menyusahkan untuk mereka menyediakan makanan di ruang yang begitu sempit.

"Kedai makan di Bazaria itu juga tidak mempunyai pintu keselamatan atau pun pintu belakang, di samping tiada sistem pengudaraan yang baik.

"Keadaan ini boleh membahayakan kami jika berlaku kebakaran. Saya tidak mempunyai masalah untuk berpindah ke sana tetapi faktor keselamatan harus juga diutamakan," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemilik kedai makan, Nabil Fikri Arshad, 26, turut menyatakan yang sama mengenai ciri-ciri keselamatan yang kurang dititikberatkan.

"Walaupun saya dan beberapa pemilik kedai makan lain tidak terlibat dengan perpindahan kali pertama iaitu esok, namun saya bimbang akan ciri-ciri keselamatan kerana kedai itu tiada pintu belakang.

"Saya berharap pihak berkuasa dapat mengubah suai semula reka bentuk kedai ini supaya lebih lebih baik dan luas," jelasnya.

Dalam pada itu, pekerja kedai runcit C. Han, 22, berkata, pemilik kedai itu sudah pun menerima surat yang mengarahkan mereka berpindah ke kedai baru.

"Kami tidak mempunyai masalah untuk berpindah kerana sudah pasti semua perniaga di sini akan berpindah ke Bazaria apabila ia siap," jelasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Mawar tema Floria

Posted:

Mawar tema Floria

Mawar tema Floria

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
kota@utusan.com.my


RAJA Nong Chik Raja Zainal Abidin bersama isterinya, Datin Nafisah Raja Nong Chik tertarik dengan bunga mawar yang menjadi tema Floria Putrajaya 2011 pada majlis pra pelancarannya di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA 16 Jun - Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar yakin kutipan hasil jualan sempena Festival Bunga dan Taman atau Floria Putrajaya 2011 akan meningkat lebih 100 peratus tahun ini berdasarkan prestasi jualan pada tahun lalu.

Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, pada 2009 sebanyak RM767,949 berjaya dikutip manakala pada tahun lalu melonjak 118 peratus dengan kutipan RM1.67 juta.

"Peningkatan sebanyak RM906,086 dalam tempoh setahun satu pencapaian yang amat membanggakan. Saya yakin kutipan jualan tahun ini akan terus meningkat kerana kita menyasarkan kehadiran pengunjung seramai 800,000 orang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Floria Putrajaya 2011, di sini hari ini.

Floria Putrajaya 2011 akan berlangsung dari 9 hingga 17 Julai di pesisiran Tasik Putrajaya di Presint 2, bermula pukul 9 pagi hingga 10 malam dari Isnin hingga Khamis manakala ia bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah malam dari Jumaat hingga Ahad.

Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Ahmad Phesal Talib dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Samsudin Osman.

Festival yang bertemakan 'Mawar Selamanya' bakal menyaksikan bunga mawar atau ros dipilih sebagai bunga tema pada tahun ini bagi menggambarkan negara kaya dengan spesies tumbuh-tumbuhan berbunga.

Nong Chik memberitahu, festival kali ini akan diwarnai penyertaan tiga agensi korporat dan swasta, enam jabatan dan agensi kerajaan, lapan persatuan, pengusaha bunga, 13 buah sekolah rendah, sembilan buah sekolah menengah dan 10 buah universiti.

"Bagi menjadikan Floria bertaraf antarabangsa, kita turut menjemput peserta antarabangsa dari New Zealand, United Kingdom, Amerika Syarikat, Hong Kong, Kanada, Korea, Taiwan, Jepun, Pakistan, Kenya, Indonesia, Macau dan Thailand," katanya.

Acara tahunan itu turut mencatat satu lagi sejarah apabila Kementerian Pelancongan mengadakan 1Malaysia International Night Floral Parade 2011 di Tasik Putrajaya sepanjang tempoh sembilan hari acara itu berlangsung.

Lebih 200 program termasuk 'garden centre', agro bazaar, produk agro, 'master garderner', 'botanical discovery', pertunjukan bunga api, hiburan, persembahan dan pavilion bunga-bungaan akan turut menyerikan lagi festival tersebut.

"Saya amat berharap Floria yang sudah berlangsung sejak 2007 ini dapat mendidik masyarakat menghargai tanaman berbunga seperti di luar negara kerana ada ketikanya taman bunga mereka hampir tidak memerlukan penyenggaraan," kata Nong Chik.

Sebanyak 12,000 pokok bunga mawar pelbagai spesies akan dipamerkan selain 400,000 tumbuhan berbunga dan berwarna-warni juga akan menghiasi landskap-landskap menarik pada festival ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Laksana segera Akta Sisa Pepejal

Posted:

Laksana segera Akta Sisa Pepejal

Laksana segera Akta Sisa Pepejal

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my


Ahmad Zahri Jamil (kiri) diberi penerangan mengenai lori kompaktor baharu di Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 16 Jun - Kerajaan negeri menggesa supaya Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dilaksanakan dengan segera kerana masalah pengurusan sampah di negeri ini kini berada pada tahap kritikal.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Ahmad Zahri Jamil berkata, penangguhan pelaksanaan akta itu menyebabkan pelbagai usaha membabitkan penambahbaikan pengurusan sampah terbantut.

Sebagai contoh, beberapa tapak pelupusan sampah yang dikenal pasti di negeri ini antaranya di Batu Pahat, Kluang dan Muar tidak lagi mampu menampung aktiviti pelupusan kerana melebihi kapasiti sedia ada.

"Orang ramai sering menuduh pihak berkuasa tempatan dan SWM Environment Sdn. Bhd., tidak melaksanakan pengurusan sisa pepejal dengan baik sedangkan kita sudah pun meningkatkan usaha ke arah itu.

"Jadi, kita berharap pelaksanaan penswastaan penuh akta itu dibuat segera supaya masyarakat mampu menikmati perkhidmatan lebih baik," katanya selepas merasmikan Lori Kompaktor Baharu SWM di sini, hari ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Medan promosi produk IKS

Posted:

Medan promosi produk IKS

Medan promosi produk IKS

Oleh AZIZI MAJID
editjohor@utusangroup.com.my


PELAJAR Kolej Komuniti Pasir Gudang yang mengikuti kursus kecantikan dan dandanan turut menjayakan Karnival Usahawan Wanita Seri Cempaka 2011 di Pasir Gudang, Johor Bahru, baru-baru ini. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI


JOHOR BAHRU 16 Jun – Karnival usahawan merupakan salah satu platform terbaik khususnya bagi pengusaha industri kecil sederhana (IKS) untuk memasarkan produk masing-masing.

Selain dapat menambah pendapatan, karnival itu juga dijadikan medan untuk mempromosikan produk terbaru dengan cara yang lebih cepat dan mudah.

Justeru, tidak dinafikan penganjuran Karnival Usahawan Wanita Seri Cempaka 2011 anjuran Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) Zon Taman Desa Rakyat Perdana dan Koperasi Seri Cempaka Pasir Gudang Berhad yang berlangsung di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang baru-baru ini berjaya mencapai objektif penganjurannya dan berlangsung dengan meriah.

Ahli Majlis MPPG Zon Taman Desa Rakyat Perdana, Normala Abd. Samad berkata, 51 peniaga yang terdiri daripada 90 peratus peniaga wanita bumiputera dari Pasir Gudang menyertai karnival tersebut.

"Meskipun karnival ini julung kali dianjurkan, namun, penyertaan dan sambutan pengunjung amat menggalakkan. Menerusi karnival ini, pengusaha dapat mencari tapak, mendapatkan pengalaman, mempromosikan produk dan mencari pasaran baru dengan cara yang lebih berkesan," katanya.

Karnival tersebut dirasmikan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Menteri Pengajian Tinggi.

Normala berkata, pelbagai produk IKS seperti kuih-muih, kek, kerepek, makanan sejuk beku, kopi, acar buah selain pakaian seperti baju kurung dan tudung wanita dijual pada karnival tersebut.

Selain jualan, penganjur turut mengadakan klinik keusahawanan oleh beberapa agensi antaranya Majlis Amanah Rakyat (Mara), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan SME Corporation Malaysia.

Beberapa aktiviti seperti kelas jahitan manik dan mengukir buah-buahan, pertandingan memasak, karaoke dan pertunjukan fesyen oleh penuntut Kolej Komuniti Pasir Gudang turut memeriahkan karnival berkenaan.

"Karnival usahawan selama dua minggu ini berlangsung dengan jaya dan kita bercadang untuk meneruskannya pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled turut memuji penganjuran karnival usahawan tersebut dan menganggapnya sebagai pemangkin untuk memajukan lagi perniagaan khususnya di Pasir Gudang.

Beliau turut menyeru koperasi supaya terus proaktif membantu ahlinya yang terlibat dalam perniagaan sekali gus mampu menjana pembangunan ekonomi negara.

Peniaga dan usahawan di Pasir Gudang juga digesa merebut peluang perniagaan yang disediakan di kawasan tersebut yang terletak di koridor Iskandar Malaysia.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


RM18j ganti paip

Posted:

RM18j ganti paip

RM18j ganti paip

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 16 Jun - Sebanyak RM18 juta diperuntukkan bagi menampung kos kerja penggantian paip saliran air yang telah usang di seluruh negeri ini sepanjang 2011.

Pengurus Besar Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains), Zulkifli Ibrahim berkata, peruntukan yang disalurkan Pengurusan Aset Air Bhd. (PAAB) itu akan digunakan bagi menampung kos penggantian paip jenis simen asbestos (AC) yang dikenalpasti telah melebihi jangka hayatnya di sekitar negeri ini.

''Inisiatif ini bertujuan memastikan pengguna di seluruh negeri menerima bekalan air berkualiti secara efisien.

''Paip sedia ada jenis AC ini didapati telah melampaui usia 30 tahun, Ia sering bocor dan pecah sehingga mengakibatkan bekalan air terjejas," katanya selepas majlis Penyampaian Hadiah Program Bayar dan Menang di Pusat Khidmat Pelanggan Sains, di sini, hari ini.

Jelas Zulkifli, kerja penggantian paip itu telah dijalankan sejak 2009 yang dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negeri ini.

''Bagi 2009 dan 2010, kita telah membelanjakan hampir RM28 juta bagi pelaksanaan kerja-kerja tersebut.

''Paip jenis AC ini telah digantikan dengan paip saluran yang lebih berkualiti seperti High Density Polyethlene (HDPE) dan Ductile Iron (DI) yang lebih bersifat tahan lama dan tahan karat serta mempunyai jangka hayat mencecah 50 tahun," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli turut menambah, PAAB telah meluluskan peruntukan sebanyak RM340 juta kepada Sains dalam usaha meningkatkan perkhidmatan air di negeri ini sejak 2009.

''Peruntukan ini meliputi kos pembinaan dan menaik taraf loji, kolam termasuk penggantian paip dan kos membaik pulih infrastruktur saluran air di negeri ini," katanya.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Infrastruktur Air, Tenaga dan Telekomunikasi negeri, Datuk Ismail Lasim.

Katanya, Sains akan membelanjakan hampir RM300,000 bagi menaik taraf pusat khidmat pelanggan di seluruh negeri ini sepanjang 2011.

''Kerja menaik taraf yang membabitkan 10 pusat khidmat pelanggan akan dijalankan secara berperingkat dan dijangkakan selesai menjelang penghujung 2012," jelasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Menyingkap keagungan Islam

Posted:

Menyingkap keagungan Islam

Menyingkap keagungan Islam

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusanmelaka@utusan.com.my


PETUGAS Dynasty Event Sdn. Bhd. membersihkan Kacip Hukum Patani iaitu sebuah peralatan untuk memotong tangan pesalah yang dipamerkan di Pameran Keagungan Tamadun Islam dan Mistik di Taman Rempah, Melaka.


MELAKA 16 Jun - Baju besi dan peralatan perang kerajaan Uthmaniah pada kurun ke-17, alat-alat pembedahan pakar perubatan Ibnu Sina, astronomi Islam, England dan Eropah merupakan antara artifak yang boleh disaksikan pada Pameran Keagungan Tamadun Islam dan Mistik yang berlangsung selama sebulan di Taman Rempah di sini.

Urus Setia dan Promosi Pameran Dynasty Event Sdn. Bhd., Azhar Kassim, syarikat yang menganjurkan pameran itu berkata, pameran yang bermula sejak 2 Jun lalu sehingga 3 Julai ini bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan unsur-unsur mistik, tahyul, khayal, syirik dan pemujaan yang masih bersarang dalam fikiran masyarakat.

Menurutnya, pameran sempena Pesta Sungai Melaka 2011 itu mampu memberi pendidikan kepada generasi baru tentang perkara berkenaan dan melihat keagungan agama Islam.

"Pada pameran ini, kita mahu umat Islam melihat perkara-perkara tahyul serta khurafat yang dipamerkan sebagai perkara yang perlu dijauhi dan pada masa sama menanamkan rasa cintakan Islam melalui artifak keagungan tamadun Islam," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambahnya, antara yang terdapat pada pameran itu ialah pedang dan pelita emas Laksamana Cheng Ho, alat-alat penulisan Islam, fosil berusia lebih 100,000 tahun dan barangan peribadi Rasulullah SAW.

Antara artifak mistik yang dipamerkan ialah Buluh Berang Dalam Ada Batu Delima, Dulang Tembaga 21, Delima dan Air Merah yang digunakan oleh pengamal ilmu bomoh sebagai alat pemujaan untuk membuat nombor ekor.

Menurut Azhar, kesemua artifak itu yang diinsuranskan dengan nilai RM10 juta merupakan koleksi peribadi pemilik dari dalam dan luar negara yang mengamanahkan kepada syarikat tersebut untuk menyimpan dan mempamerkannya kepada masyarakat umum.

"Untuk pameran di Melaka sahaja, Dynasty Event mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 juta untuk kos pengangkutan, gaji pekerja dan sewaan khemah," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pengunjung kagum artifak yang dipamerkan

Posted:

Pengunjung kagum artifak yang dipamerkan

Pengunjung kagum artifak yang dipamerkan

MELAKA 16 Jun - Rata-rata pengunjung Pameran Keagungan Tamadun Islam dan Mistik di Taman Rempah di sini memuji penganjuran pameran itu yang dilihat memberi kesedaran sekali gus membendung akidah umat Islam daripada terus terpesong daripada landasan yang sebenar.

Menurut mereka, intipati pameran itu yang kali pertama diadakan di negeri ini bukan sahaja menonjolkan bahan mistik malah merupakan program pendidikan kepada mereka yang berminat untuk mengetahui sejarah tamadun Islam.

Seorang pengunjung, Azmi Mutalib, 35, berkata, dia tertarik pada pameran peralatan perang ketika zaman kegemilangan kerajaan Islam Uthmaniah, antaranya enam bilah pedang perang kurun ke-17, baju berantai perang dan meriam perang Islam.

"Di sini barulah saya dapat menyaksikan sendiri rupa peralatan sebenar yang digunakan ketika zaman tersebut yang selama ini hanya dipelajari melalui buku sejarah Islam.

"Paling penting, kita dapat mengetahui amalan-amalan yang bertentangan dengan syariat Islam pada artifak mistik yang dipamerkan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Bagi surirumah, Normah Ali, 56, khemah pameran yang luas dan berhawa dingin memberi keselesaan kepada sesiapa sahaja untuk melihat pelbagai artifak pada pameran bergerak itu yang berakhir 3 Julai ini.

Menurutnya, ada juga sebahagian daripada artifak yang dipamerkan di situ juga belum pernah dilihatnya di mana-mana muzium.

"Saya juga diberitahu oleh pekerja di sini kesemua artifak sejarah di sini adalah asli dan bukannya replika yang dibawa masuk dari Indonesia, Thailand, China serta Arab," katanya.

Bagi kerani syarikat insurans, Nurul Hazilawati Don, 23, dia teruja melihat peralatan astronomi yang digunakan ketika zaman tamadun Islam dan juga Eropah seperti penyukat hujan dan kitab astronomi.

Sementara itu Eksekutif Penerangan, Dynasty Event Sdn. Bhd., Ab. Aziz Said berkata, sejak dibuka 2 Jun lalu, pameran itu berjaya menarik kira-kira 200 pengunjung sehari.

"Bagaimanapun, bilangan pengunjung muda masih kurang dan berharap golongan belia dapat menggunakan peluang ini untuk melihat pameran istimewa ini," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved