Isnin, 23 Mei 2011

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Pegawai JAS dipenjara, denda

Posted:

Pegawai JAS dipenjara, denda

Pegawai JAS dipenjara, denda

Oleh NURUL HUDA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 22 Mei - Seorang Penolong Pegawai Kawalan Alam Sekitar Johor dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini Jumaat lalu selepas didapati bersalah atas tuduhan rasuah tahun lepas.

Pada masa sama, tertuduh, Ahmad Najmi Md. Said turut diperintahkan oleh Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz untuk menjalani penjara enam bulan sekiranya gagal untuk membayar denda tersebut.

Mohamad Haldar bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman ke atas tertuduh ditangguh sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi yang dikemukakan Ahmad Najmi.

Tertuduh didakwa di bawah seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Ahmad Najmi, 31, didakwa menerima suapan sebanyak RM300 daripada Teoh Chiew Leng sebagai dorongan untuk tidak mengenakan tindakan kompaun atas kesalahan membuat pembakaran terbuka di kilang Mega Great Star Chiew Leng di Senai.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Stesen Servis Petronas Taman Alam, Lebuh Raya Skudai-Senai di Kulaijaya pada 4 Mei 2010 kira-kira pada pukul 4.45 petang.

Pendakwaan dilakukan oleh Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ridzuan Abd. Malik manakala tertuduh pula diwakili peguam bela, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi daripada Amir Khusyairi & Associates.

Terdahulu, Ridzuan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana tertuduh telah mencemar imej penjawat awam.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Sultan Johor sampai sumbangan RM200,000 kepada 6 sekolah, persatuan

Posted:

Sultan Johor sampai sumbangan RM200,000 kepada 6 sekolah, persatuan

Sultan Johor sampai sumbangan RM200,000 kepada 6 sekolah, persatuan

JOHOR BAHRU 22 Mei - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan menyampaikan cek bernilai RM200,000 kepada enam buah sekolah dan persatuan di sini yang disumbangkan oleh pihak CIMB Group (CIMB).

Baginda yang diiringi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyampaikan sumbangan itu dalam satu majlis di Hotel Selesa, Pasir Gudang dekat sini bersempena program amal Supercar Charity Challenge (SCC) 2011 yang bermula di Kuala Lumpur pada Jumaat lalu dan berakhir hari ini.

Turut hadir Ketua Perkhidmatan Kewangan Runcit CIMB, Peter England dan Pengerusi SCC 2011, Roslan Rosdi serta pengerusi dan ahli-ahli persatuan-persatuan terbabit.

Pihak yang menerima sumbangan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ibrahim, Persatuan Kanak-Kanak Spastik Johor, Persatuan Kebajikan Orang-orang Istimewa, Persatuan Kebajikan Rumah Anak-anak Yatim Darul Hanan, Persatuan Prihatin Orang-orang Kurang Cerdas dan Persatuan Penjagaan Kanak-Kanak Terencat Akal.

Sementara itu, Peter berkata, program tersebut adalah sebahagian daripada sumbangan tanggungjawab sosial korporat CIMB untuk golongan yang memerlukan.

"Ini adalah sebahagian tanggungjawab CIMB untuk membantu mereka, program amal ini memberi ruang dan peluang kepada pihak kami untuk sama-sama beramal," katanya.

Roslan pula berkata, program itu yang membawa 70 peserta SCC melalui ekspedisi dari Kuala Lumpur, Melaka dan Johor Bahru itu akan diadakan setiap tahun.

Menurutnya, SCC 2011 yang merupakan program perintis yang mendapat sambutan menggalakkan daripada 70 peserta kelab kereta mewah.

"Peserta daripada Kelab Kereta Maserati, Ferrari, Porsche, Lamborghini dan Aston Martin itu datangnya dari seluruh negara khasnya Negeri Sembilan dan Johor," katanya.

Menurutnya, program tersebut menggunakan konsep Amazing Race yang mana para peserta berhadapan dengan pelbagai cabaran semasa tiba di hentian tertentu dan akan diteruskan di beberapa negeri lain di Semenanjung, tetapi laluan yang akan ditempuhi belum diputuskan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Polis cari suspek kes curi cip elektronik

Posted:

Polis cari suspek kes curi cip elektronik

Polis cari suspek kes curi cip elektronik



PULAU PINANG 22 Mei - Polis memburu seorang lelaki tempatan dipercayai menjadi dalang kes kecurian cip elektronik membabitkan kerugian hampir RM60,000 di sebuah kilang di Bayan Lepas di sini.

Suspek, Ahmad Sobri Ali, (gambar) 26, dikatakan mengupah rakannya yang bekerja di kilang berkenaan untuk mencuri cip tersebut pada 18 Mei lalu, kira-kira pukul 12 tengah hari.

Menurut jurucakap polis, alamat terakhir suspek adalah di Simpang Kuala Menora, Kuala Ketil, Kedah.

"Kita sedang mengesan suspek yang dipercayai bertindak sebagai dalang dalam beberapa kes kecurian barangan kilang di sini. Polis berjaya memberkas tiga rakan suspek berusia 20-an hingga 30-an kelmarin.

"Difahamkan, kemungkinan hasil barangan yang dicuri itu dijual kepada pihak tertentu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Difahamkan, suspek turut terlibat dalam kes kecurian melibatkan beberapa buah kilang di sekitar kawasan yang sama minggu lepas.

Dalam pada itu, polis meminta orang ramai yang mengenali suspek supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Eddura di talian 012-2482121.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Cegah gejala buang bayi

Posted:

Cegah gejala buang bayi

Cegah gejala buang bayi


Peserta Konvoi Jelajah 1Malaysia Kami Prihatin siri ketiga membawa kain rentang sepanjang 150 meter sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-68 Raja Perlis dan mengedar risalah kempen kesedaran pembuangan bayi kepada masyarakat di Felda Rimba Mas, Padang Besar, baru-baru ini.


KANGAR 22 Mei - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan masyarakat khususnya remaja supaya lebih peka bagi mencegah gejala pembuangan bayi yang semakin berleluasa pada masa kini.

Titah baginda, ini kerana gejala tersebut bayi bukan lagi menjadi kejutan kepada masyarakat malah ia seolah-olah suatu 'trend' yang kian menular sehingga nyawa bayi tidak berdosa kelihatan tiada nilainya.

"Keindahan dan kesempurnaan hidup berkeluarga sudah jauh menyimpang daripada matlamat sebenar, apa dikurniakan seolah-olah tiada penghargaan dan bayi dilahirkan tiada pembelaan sewajarnya," titahnya

Baginda bertitah demikian pada Majlis Makan malam Konvoi Jelajah 1Malaysia Kami Prihatin siri ketiga di Hotel Seri Malaysia di sini baru-baru ini. Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Sambil memuji usaha konvoi Jelajah 1Malaysia, baginda meminta masyarakat supaya lebih prihatin untuk membanteras gejala pembuangan bayi menerusi pelbagai usaha.

Menurut baginda, statistik kes pembuangan bayi yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 396 kes seumpama itu dicatatkan dari 2005 hingga 2010.

"Ini cukup membimbangkan dan memerlukan penglibatan semua pihak untuk menghalangnya daripada berlaku," titah baginda.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Sukarelawan rayu bantuan biaya kos pembedahan

Posted:

Sukarelawan rayu bantuan biaya kos pembedahan

Sukarelawan rayu bantuan biaya kos pembedahan


Mohd. Nazri Azizan menunjukkan surat rawatan Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, semalam.


ALOR SETAR 22 Mei - Seorang sukarelawan yang sering membantu masyarakat, Mohd. Nazri Azizan, 33, kini terpaksa merayu bantuan orang ramai untuk membiayai kos pembedahan berjumlah RM13,000 pada Julai ini.

Nazri yang tiada punca pendapatan ketika ini berkata, pembedahan tersebut bagi merawat penyakit tulang belakang yang dihidapinya sejak November lalu.

"Sejak menghidap penyakit itu, saya tidak lagi boleh melakukan kerja-kerja berat malah terpaksa berulang alik ke hospital untuk rawatan.

"Disebabkan penyakit ini, saya menjadi letih, lemah dan menggigil secara tiba-tiba dan mudah pitam atau terjatuh," katanya di pejabat Utusan Melayu di sini hari ini.

Justeru itu menurutnya, hospital kini menjadi seolah-olah rumah keduanya kerana terlalu kerap berulang alik untuk rawatan dan terbaru terpaksa ditahan di wad Hospital Sultanah Bahiyah selama sembilan hari.

Katanya, pembedahannya dijadual dijalankan pada sekitar Julai ini di Hospital Pulau Pinang.

Nazri berkata, masalah kesihatannya bermula apabila dia sebagai petugas operasi Jabatan Pertahanan Awam terlibat dalam kemalangan iaitu terjatuh dari rumah dua tingkat di Negeri Sembilan pada 2000 semasa menyertai operasi membantu mangsa kebakaran bersama anggota bomba.

"Dalam operasi itu, ahli-ahli keluarga dalam rumah terbakar itu dapat diselamatkan tetapi saya terpaksa dimasukkan ke hospital kerana patah tangan dan sakit tulang belakang. Tetapi selepas menerima rawatan di hospital, keadaan saya kembali pulih," katanya.

Menurutnya, ekoran itu, dia terus aktif membantu golongan memerlukan dan di Kedah dia menjadi sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah.

Bagaimanapun, tambahnya, tulang belakang tiba-tiba kembali sakit sewaktu sibuk mengangkut barang dan membantu mangsa banjir di negeri ini pada November lalu.

Ekoran masalah kesihatan itu, Nazri berkata, segala urusan mencari rezeki diambil alih oleh isterinya, Juli Hoslita Johari, 30, yang bekerja sebagai pembantu gerai makan di pasar malam dengan pendapatan antara RM15 hingga RM20 sehari.

Dia dan isteri yang sebelum ini terpaksa tinggal di rumah flat milik mertuanya terpaksa menyewa sebuah bilik kerana rumah mertuanya itu turut didiami oleh tiga adik iparnya yang sudah berkeluarga.

"Setiap bulan kami membayar sewa sebanyak RM130 untuk bilik kecil ini. Pendapatan isteri saya tidak mencukupi untuk perbelanjaan kami berdua keraja duit itu juga kami terpaksa simpan untuk kos rawatan pembedahan nanti," katanya yang berasal dari Negeri Sembilan.

Selain itu, katanya, dia turut mendapat bantuan sebanyak RM150 sebulan untuk membiayai kos rawatan dan perbelanjaan harian bagi tempoh setahun.

Katanya, orang ramai yang sudi membantu boleh menghubunginya menerusi 012-5765304 atau menyalurkan terus sumbangan melalui akuan Bank Muamalat 02010077169728.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Pembangunan sukan terus diberi perhatian - TPM

Posted:

Pembangunan sukan terus diberi perhatian - TPM

Pembangunan sukan terus diberi perhatian - TPM

PUTRAJAYA 22 Mei - Kerajaan sentiasa berikhtiar untuk memaju dan memanfaatkan pelbagai aktiviti sukan kerana ia berperanan mampu memupuk amalan gaya hidup sihat dan mewujudkan masyarakat yang cergas.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan juga sentiasa berusaha melahirkan bakat-bakat baru yang berpotensi dalam bidang itu serta menggalakkan peningkatan tahap kesihatan dan kecergasan fizikal di kalangan rakyat.

''Dalam konteks ini, saya berbangga kerana penganjuran Kejohanan Dragon Boat boleh dianggap sebagai usaha untuk mencapai hasrat dan aspirasi kerajaan agar sukan dijadikan alat penyumbang pertandingan yang sihat.

''Ia juga mampu mengeratkan hubungan silaturahim, sikap toleransi dan kesefahaman serta bekerja sebagai satu pasukan," katanya ketika berucap pada majlis penutupan Kejohanan Dragon Boat dan Hari Keluarga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Hadir sama pada majlis yang bertemakan 1JPM: Bersama, Bersantai dan Bersukan itu ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Muhyiddin percaya, menerusi acara Dragon Boat yang disertai sebanyak 58 pasukan daripada 26 jabatan itu dapat meniupkan semangat kesukanan yang menjadi asas penting dalam melahirkan masyarakat bersukan.

''Dengan gerakan mendayung serentak dan bertenaga, sukan ini memberikan satu bentuk semangat kesetiakawanan yang tinggi bagi menentukan kejayaan pasukan.

''Kita semua tahu aktiviti sukan mampu memupuk amalan gaya hidup sihat dan mewujudkan masyarakat Malaysia yang cergas kerana corak kehidupan kita hari ini sangat mencabar kecergasan dan kesihatan diri," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Najib, Rosmah gembira anak terima ijazah Universiti Georgetown

Posted:

Najib, Rosmah gembira anak terima ijazah Universiti Georgetown

Najib, Rosmah gembira anak terima ijazah Universiti Georgetown


Najib Tun Abdul Razak dan Rosmah Mansor bersama anak sulung mereka, Nooryana Najwa yang menerima ijazah Bachelor of Science in Foreign Science di School of Foreign Service Universiti Georgetown, Washington, kelmarin - BERNAMA


WASHINGTON 22 Mei — Ibu bapa mana yang tidak gembira melihat anak mereka memperoleh segulung ijazah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor tidak terkecuali.

Najib yang berada di Amerika Syarikat sejak 17 Mei lepas untuk lawatan kerja seminggu ke New York dan Washington, meluangkan masa lebih tiga jam berada di Universiti Georgetown dan duduk bersama beratus-ratus ibu bapa dan kaum keluarga masing-masing pada Majlis Konvokesyen anaknya di universiti itu pa da Sabtu.

Anak perempuan mereka, Nooryana Najwa, 22, menerima ijazah Bachelor of Science in Foreign Science selepas empat tahun belajar di School of Foreign Service, universiti berusia 222 tahun itu.

"Saya bersyukur bahawa anak saya dapat kelulusan ijazah pertama daripada Georgetown School of Foreign Service. Sebagai bapa tentu saya rasa tanggungjawab saya sudah saya lunaskan dan anak saya berjaya mendapat pendidikan dalam lapangan yang beliau minati," katanya selepas majlis konvokesyen di Healy Lawn universiti itu.

Turut hadir anak lelaki mereka Nor Ashman dan Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis.

Kata Najib, dengan pengalaman bersifat global di sini, kurikulum yang berkualiti dan menyegarkan, ia dapat menyediakan anak beliau untuk menjalani kehidupan di dunia dengan menghadapi segala cabaran dengan jayanya.

"Saya dapati kurikulum School of Foreign Service sesuai dalam era globalisasi. Sebab antaranya terpaksa pelajari satu bahasa moden dalam masa empat tahun," kata beliau yang merujuk kepada Bahasa Arab yang diambil Nooryana semasa pengajian di sini.

Ditanya rancangan masa depan Nooryana, Najib berkata, anaknya mahu mencari pengalaman kerja sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana.

Rosmah turut melahirkan rasa syukur anak perempuan beliau berjaya menamatkan pengajian di salah satu universiti terkemuka di dunia itu.

"Sebagai ibu apa yang saya telah berkorban, saya dapat merasai hasil daripada kerja kuat beliau dan segala pengorbanan sebagai ibu. Saya sentiasa berhubung, sentiasa memantau perkembangan pelajaran beliau dalam masa di antara tanggungjawab sebagai isteri kepada pemimpin negara," katanya.

Rosmah berkata, walaupun sibuk dengan pelbagai program dan tanggungjawab sebagai presiden atau penaung pelbagai badan bukan kerajaan dan kebajikan, beliau memastikan dapat meluangkan masa memantau perkembangan pelajaran anak-anaknya.

"Seharusnya dapat bahagikan masa...jika nak nasihat (orang lain), seharusnya saya harus amalkan. Harap ibu-ibu pantau pelajaran anak-anak mereka berjaya dan berguna kepada bangsa dan negara kita," tambah beliau. — BERNAMA

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

PM lawat lokasi mangsa tragedi Selasa

Posted:

PM lawat lokasi mangsa tragedi Selasa

PM lawat lokasi mangsa tragedi Selasa

HULU LANGAT 22 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak akan melawat lokasi kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa, Felcra Semungkis, Batu 14 di sini sejurus tiba dari lawatan luar negara, Selasa ini.

Menurut Setiausaha Politiknya, Datuk Jailani Ngah, Perdana Menteri yang prihatin dengan nasib mangsa telah memendekkan jadual program di luar negara bagi melihat sendiri keadaan mereka dan tapak kejadian.

"Perdana Menteri akan menghulurkan bantuan untuk mangsa. Apa bentuk insentif tersebut, saya tidak boleh beritahu tetapi ia mungkin ada kaitan dengan pembinaan semula rumah anak yatim tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat tapak kejadian tersebut bersama Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali di sini malam ini.

Sementara itu, beliau turut menyeru sektor korporat mahupun pihak persendirian menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban pengendali rumah anak yatim tersebut.

"Sumbangan itu boleh disampaikan melalui akaun Maybank Persatuan Anak Yatim Malaysia di nombor 564137300901," jelasnya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua rumah anak yatim tersebut, Dr. Idris Musa memberitahu, kesemua penghuni rumah yang terselamat akan kembali ke pangkuan keluarga masing-masing dalam masa terdekat buat sementara waktu.

"Kami mempunyai 58 penghuni di rumah tersebut tetapi hanya 25 yang terlibat dengan kejadian ini dengan 16 daripadanya meninggal dunia.

"Ketika ini mereka ditempatkan di kawasan penempatan sementara di Lembah Resort Azwen di sini," katanya yang masih bersedih dengan kejadian itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Sertai pertubuhan koperasi

Posted:

Sertai pertubuhan koperasi

Sertai pertubuhan koperasi

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusa.com.my

SEREMBAN 22 Mei - Kerajaan negeri menyarankan supaya golongan yang dikategorikan sebagai kurang berkemampuan serta miskin tegar untuk menyertai koperasi dalam meningkatkan pendapatan selain memperkukuhkan kehidupan mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, cadangan berkenaan merupakan salah satu cara kerajaan negeri supaya golongan ini terus dibantu dengan melibatkan diri secara langsung melalui pertubuhan koperasi di negeri ini.

Jelas Mohamad, koperasi dilihat sebagai salah satu organisasi yang kukuh dan terbaik terutamanya dalam membuat pelaburan untuk jangka masa panjang selain memberi manfaat kepada ahli-ahlinya.

''Saya percaya sekiranya mereka ini dilibatkan dalam koperasi, golongan kurang berkemampuan dan miskin tegas ini secara langsung dapat menikmati faedah-faedah sampingan yang lain yang disediakan.

''Bagaimanapun, ia masih lagi di peringkat cadangan dan kita percaya bahawa tidak ada ruginya sekiranya mereka ini dilibatkan secara terus dengan pertubuhan koperasi yang ada di negeri ini," katanya di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad turut menyarankan supaya koperasi yang terdapat di negeri ini supaya menubuhkan satu jawatankuasa pelaburan yang dianggotai oleh ahli bebas.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Didik dengan amanah, ikhlas - Tokoh Guru Melaka

Posted:

Didik dengan amanah, ikhlas - Tokoh Guru Melaka

Didik dengan amanah, ikhlas - Tokoh Guru Melaka


HAMIDAH Baba (kiri), Ahmad Mohamad Said dan Ab. Rasid Yaakop merupakan tiga Tokoh Guru pada Sambutan Hari Guru 2011 peringkat negeri Melaka di Politeknik Merlimau, Melaka, kelmarin.


JASIN 22 Mei - Tiga Tokoh Guru peringkat negeri, menasihatkan generasi guru hari ini mengamalkan peribadi mulia iaitu amanah dan ikhlas dalam mendidik anak-anak bangsa sekiranya mahu menjadi guru cemerlang.

Menurut Hamidah Baba, 63, pelajar yang meraih keputusan cemerlang dalam pelajaran mereka adalah hasil daripada didikan guru yang ikhlas memberi ilmu pengetahuan kepada anak-anak muridnya.

''Ilmu pengetahuan yang diberi oleh guru yang ikhlas mendidik ini juga mudah diterima pelajar malah segala usaha yang disumbangkan oleh guru seperti ini tidak akan menjadi sia-sia kerana jasanya akan sentiasa dikenang oleh masyarakat," katanya selepas ditemui pada majlis sambutan Hari Guru peringkat negeri yang dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di sini, semalam.

Hamidah anak kelahiran Kuala Sungai Baru, Alor Gajah dan memiliki pengalaman selama 32 tahun sebagai guru menerima kalung pingat, wang tunai RM3,000, sijil dan plak penghargaan sumbangan kerajaan negeri.

Selain Hamidah, turut diumumkan sebagai Tokoh Guru Melaka tahun ini ialah Ahmad Mohamad Said, 66 dan Ab. Rasid Yaakop, 61, masing-masing mengabdikan diri selama lebih 35 tahun dalam profesion perguruan.

Kata Hamidah, keikhlasan sepanjang berkhidmat sebagai guru telah merapatkan hubungannya dengan murid dan kakitangan sehingga mereka lebih selesa mengelar beliau sebagai ibu.

Bagi Ahmad yang kini memegang jawatan Pengarah Al-Hikmah Training dan Consultancy, sesiapa yang pernah bergelar guru tidak akan mudah meninggalkan profesion tersebut walaupun sudah bersara dalam perkhidmatan.

''Walaupun sudah lama meninggalkan tugas mengajar, saya tetap tidak mahu berhenti dalam profesion ini kerana tugas mengajar amat seronok dan membahagiakan saya.

''Saya sendiri, walaupun sudah bersara menjadi guru, saya masih bekerja mendidik dan kini menjadi pensyarah di salah sebuah kolej swasta," katanya.

Bagi Ab. Rasid, yang menjadi guru Melayu pertama mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Yok Bin pada 1974, tugas sebagai guru amat berat kecuali kepada mereka yang mencintai profesion tersebut.

Katanya, tugas guru amat besar kerana ia memikul amanah daripada ibu bapa dan masyarakat yang mengharapkan murid yang dididik menjadi insan cemerlang.

''Oleh itu, guru perlu sentiasa ingat pada amanah itu, saya yakin, jika setiap guru mengingati amanah yang diberikan, mereka tidak akan sukar menyelamat profesion perguruan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Papan tanda beca usang

Posted:

Papan tanda beca usang

Papan tanda beca usang


SALAH satu papan tanda yang terdapat di Kota Melaka dengan kenyataan maklumat beca yang lusuh dan berkarat serta harga lama yang tidak dikemas kini sejak empat tahun lalu.


MELAKA 22 Mei - Sebagai sebuah negeri pelancongan, beca merupakan satu pengangkutan yang popular di negeri ini baik di kalangan pelancong asing mahupun tempatan.

Justeru tidak hairanlah, jika beca di negeri ini dihias begitu menarik berbanding pengangkutan warisan itu di negeri-negeri lain seluruh negara.

Boleh dikatakan, setiap beca di Melaka akan dipasang dengan bunga-bungaan hiasan lengkap dengan lampu neon warna warni dan sistem audio untuk menghiburkan pelancong.

Namun, tinjauan Utusan Malaysia di sini hari ini mendapati, keadaan sebaliknya berlaku di semua papan tanda beca yang menyediakan maklumat khusus kepada pelancong tentang aduan dan harga menaiki beca yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Keadaan papan tanda itu yang berkarat dan lusuh sekali gus telah menjejaskan imej pelancongan negeri ini.

Pada papan tanda tersebut tertera gambar beca, harga tambang beca iaitu RM40 untuk satu jam dan nombor telefon Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), 06-2326411 sekiranya mempunyai sebarang aduan.

Bagaimanapun, imej gambar beca tersebut langsung tidak dapat dilihat dan tulisannya juga kabur menyebabkan ia sukar dibaca seolah-olah papan tanda itu sudah bertahun-tahun tidak diganti.

Ini terbukti apabila wartawan menghubungi sendiri nombor telefon tertera dan seorang kakitangan MBMB memberitahu harga pada papan tanda itu merupakan harga lama sejak tiga atau empat tahun lalu.

"Kalau encik hendak naik beca, kena runding sendiri dengan penarik beca sebab harga itu sudah tiga atau empat tahun lalu.

"Macam saya pun pernah satu malam naik dari Menara Taming Sari ke Jonker Walk perlu bayar RM30 dan ia tidak sampai satu jam," katanya menjawab panggilan itu.

Berdasarkan maklumat tersebut, jelas sekali papan tanda terbabit perlu segera ditukar bukan sahaja disebabkan keadaannya yang lusuh, lebih penting, untuk memberi panduan dan maklumat tepat kepada pelancong.

Jika tidak, apa gunanya jika MBMB yang telah menetapkan harga RM40 untuk satu jam, tapi tidak dipatuhi penarik baca sehingga akhirnya menyebabkan pelancong yang menjadi mangsa.

Sebelum ini, akhbar ini juga pernah menyiarkan kekecewaan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam apabila beliau menerima aduan daripada pelancong yang mendakwa mereka dikenakan bayaran RM420 bagi perkhidmatan beca dari Banda Hilir ke Kampung Morten.

Katanya, kadar bayaran biasa yang dikenakan pengusaha beca di negeri ini adalah antara RM10 hingga RM50 mengikut jarak perjalanan di sekitar Banda Hilir.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Timur

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Serunding Mek Nah bertahan 50 tahun

Posted:

Serunding Mek Nah bertahan 50 tahun

Serunding Mek Nah bertahan 50 tahun

RAHANA MOHD DAHARI
utusankelantan@utusan.com.my


Rohana Ibrahim menunjukkan serunding yang sudah masak dengan menggunakan ramuan turun-temurun.


TUMPAT 22 Mei – Serunding yang satu masa dahulu popular serta enak dimakan dengan ketupat atau lemang pada pagi hari raya, kini mudah diperoleh di pasaran apabila makanan tradisional Melayu itu dikomersialkan.

Dalam kalangan masyarakat Melayu, serunding adalah makanan warisan yang istimewa kerana tidak semua orang mampu menguasai teknik penyediaannya yang mengambil masa lebih empat jam.

Lazimnya, kebolehan menyediakan masakan ini diturunkan kepada anak-beranak dan cucu-cicit oleh generasi warga emas yang memiliki kemahiran membuatnya bagi memastikan serunding terus bertahan sebagai salah satu resipi turun-temurun.

Sesetengah pihak mendakwa, serunding berasal dari Kelantan dan buat masa ini diusahakan besar-besaran secara komersial di Kampung Laut, Jajahan Tumpat kira-kira 15 kilometer dari Kota Bharu.

Kampung Laut juga dikatakan menjadi pusat pembuatan dan pengeluaran serunding terbesar di negeri ini apabila lebih 50 keluarga mengusahakannya dan dipasarkan ke seluruh negara.

Kesempatan menjejakkan kaki ke Kampung Bendang Pauh, Kampung Laut, Tumpat baru-baru ini, mengesahkan dakwaan penglibatan kebanyakan penduduk kampung dalam pembuatan serunding apabila ia turut diakui oleh salah seorang pengusaha yang ditemui.

Mek Nah Hassan, 70, warga emas yang lebih 50 tahun melibatkan diri dalam pembuatan serunding di sini berkata, sejak kecil lagi, dia melihat orang kampungnya membuat serunding dan dipasarkan ke beberapa daerah.

"Sejak umur 18 tahun, saya mula mengambil upah membuat serunding menggunakan ramuan yang dibekalkan oleh orang tua dengan seorang tauke di sini kerana keluarga tidak mampu menyediakan modal.

"Ketika itu perusahaan membuat serunding di kampung ini telah pun bermula, tetapi saya tidak tahu tarikh sebenarnya.

"Ada yang mengatakan ia dipelopori oleh Allahyarham Mek Som Ismail atau lebih dikenali Mak Som Pak Soh Lotri oleh penduduk setempat," katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.


Mek Nah Hassan (kiri) dan Rohana Ibrahim menunjukkan serunding yang telah siap dimasak dan sedia untuk dibungkus di bahagian dapur rumahnya di Kampung Bendang Pauh, Kampung Laut, Tumpat, baru-baru ini. – UTUSAN/ZAKARIA IDRIS


Selepas beberapa tahun bekerja dengan tauke berkenaan, Mek Nah memberanikan diri mengeluarkan serunding sendiri tetapi dipasarkan oleh orang lain.

"Selepas berpuluh tahun membekalkan serunding daging, ayam dan ikan kepada pembekal yang datang ke rumah, sejak lima tahun lalu anak ketujuh saya, Rohana Ibrahim, 39, berminat mempelajari teknik membuat serunding dan memasarkannya sendiri.

"Sebagai orang tua, saya lega kerana akhirnya serunding yang diwarisi sejak zaman datuk moyang dulu kini dipraktikkan oleh darah daging sendiri. Saya sudah tidak mampu membuatnya kerana semakin uzur," kata ibu kepada lapan orang anak itu.

Lebih menarik, anak keenamnya, Azli Ibrahim, 41, juga menyertai perusahaan tersebut, tetapi lebih menjurus kepada bidang jualan dan pemasaran melalui syarikat AIE Enterprise.

Ditanya keistimewaan serunding buatan keluarganya yang berjenama Serunding Kampung Laut, Tumpat sehingga mampu bertahan lebih setengah abad di pasaran, Mek Nah menjelaskan, setiap resipi serunding yang disediakan oleh penduduk Kampung Laut mempunyai petua masing-masing.

"Masing-masing ada kelebihan dan mungkin juga rahsia yang disimpan bagi memastikan serunding yang dimasak lebih enak, tahan lebih lama dan menepati cita rasa pelanggan.

"Bagi saya, bukanlah terlalu berahsia, cuma ikut petua. Misalnya, jika memasak santannya, pastikan ia betul-betul mendidih supaya serunding yang dihasilkan tahan lama dan aroma baunya tidak berubah.

"Kami di sini juga menggunakan kayu api sepenuhnya supaya serunding yang dihasilkan lebih enak, tahan lama kerana ia betul-betul kering dibandingkan dengan penggunaan dapur gas," katanya.

Menceritakan penyediaan serunding, menurut Mek Nah, daging tempatan atau import yang direbus kemudiannya dicarikkan halus, dicampurkan dengan ramuan seperti bawang putih, bawang besar, lada kering dan santan mengikut kemahiran orang yang membuatnya.

"Semasa memasak pastikan serunding dikacau tanpa henti lebih kurang empat hingga lima jam dan betul-betul kering di bawah api yang sederhana besar bagi memastikan ia mampu bertahan lebih tiga bulan selepas dibungkus dalam bekas kedap udara," katanya.

Bagi Rohana pula, minat terhadap pengeluaran serunding sejak lima tahun lalu berputik apabila melihat kesungguhan ibunya yang dibantu arwah ayah, menjadikan serunding sebagai sumber pencarian bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga.

"Sayang jika dibiarkan hasil kerja emak selama ini ditinggalkan begitu sahaja. Apabila suami dan abang menunjukkan minat sama, saya bersetuju mewarisinya kerana percaya perniagaan ini mempunyai potensi untuk terus dimajukan," katanya.

Mereka yang berminat menjadi pembekal, boleh menghubungi Azli Ibrahim di talian 019-9868572.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Jangan jual peralatan bantuan

Posted:

Jangan jual peralatan bantuan

Jangan jual peralatan bantuan

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 22 Mei - Para peserta e-Kasih diingatkan agar bertanggungjawab dengan tidak menyalahgunakan pemberian peralatan bantuan yang disalurkan kerajaan bagi membantu memajukan kehidupan mereka.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Adnan Md. Ikhsan berkata, mereka yang mendapat kemudahan setelah menyertai program latihan dan keusahawanan e-Kasih tidak sepatutnya menjual peralatan itu.

Beliau menegaskan, jika mereka didapati melakukan perkara tersebut, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan selain membekukan bantuan untuk mereka pada masa hadapan.

Katanya, pihaknya memandang serius perkara tersebut kerana masih ramai peserta yang benar-benar mahu menjalankan perniagaan, namun tidak memperoleh kemudahan itu.

"Saya berharap mereka bekerja keras untuk mengubah ekonomi keluarga dan bukannya mengambil jalan mudah dengan menjual bantuan yang diterima," katanya selepas menutup Program Kemahiran dan Keusahawanan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dekat sini kelmarin.

Program yang dikendalikan oleh Kelab Wanita Kijang Kelantan itu diadakan selama tujuh hari melibatkan seramai 165 peserta e-Kasih di daerah Kuala Terengganu bertujuan membasmi kemiskinan bagi kalangan penduduk bandar.

Menurut Adnan, kementeriannya menyasarkan 75 peratus daripada jumlah peserta yang menyertai program tersebut berjaya dibawa keluar daripada senarai miskin bandar yang kini mencecah hampir 90,000 orang di seluruh negara.

Katanya, program itu akan diadakan di 146 bandar di seluruh negara secara berperingkat.

"Sehingga kini seramai 454 peserta telah menyertai program ini yang melibatkan lebih 10 kursus dan kemahiran seperti jahitan, tata rias, gunting rambut, pembantu tadika dan usahawan.

"Kita akan memantau perkembangan mereka dari semasa ke semasa dan kita yakin dalam tempoh dua hingga tiga bulan kita akan dapat melihat kejayaan mereka," jelasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

320 VCD, DVD cetak rompak dirampas

Posted:

320 VCD, DVD cetak rompak dirampas

320 VCD, DVD cetak rompak dirampas


DUA pegawai Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri cawangan Negeri Kelantan memeriksa VCD dan DVD yang berjaya dirampas dalam operasi bersepadu di Pasar Mundok, Pasir Mas, semalam.


KOTA BHARU 22 Mei - Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) negeri merampas 320 keping video cakera padat (VCD) dan cakera video digital (DVD) cetak rompak bernilai RM3,000 dalam serbuan ke atas sebuah gerai di Pasar Mundok, Pasir Mas dekat sini Khamis lalu.

Penolong Pegawai Penguat Kuasanya, Hamir Syafei berkata, ia merupakan rampasan pertama untuk tahun ini melibatkan operasi bersepadu pihaknya dengan Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguat Kuasaan KDN Terengganu.

"Ketika diserbu, gerai tersebut ditinggalkan kosong dan kami percaya penjaga atau pemiliknya baru sahaja melarikan diri.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan, kita merampas VCD dan DVD berkenaan selain menjumpai sebuah bilik dipercayai dijadikan stor untuk menyimpan barang tersebut," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya hari ini.

Tambah beliau, rampasan ini dibuat hasil maklumat dan risikan yang dilakukan oleh anggotanya selama beberapa hari di kawasan berkenaan.

Hamir memberitahu, kes ini disiasat mengikut Seksyen 18(5) Akta Penapisan Filem 2002 yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM30,000 atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya.

"Kita akan teruskan operasi ini dengan melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan dalam usaha membanteras kegiatan cetak rompak di negeri ini," ujarnya.

Beliau turut meminta orang ramai supaya memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan itu dengan menghubungi talian 09-7413320.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Tujuh jenazah satu liang lahad

Posted:

Tujuh jenazah satu liang lahad

Tujuh jenazah satu liang lahad


LEBIH 500 penduduk menyertai solat jenazah untuk tujuh mangsa kejadian tanah runtuh di Masjid Sultan Hishamuddin Alam Shah, Hulu Langat, semalam.


HULU LANGAT 22 Mei - Tujuh daripada 16 mangsa yang maut dalam tragedi tanah runtuh di Hulu Langat semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dusun Nanding di sini hari ini.

Kesemua jenazah tujuh mangsa itu dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira pukul 2.30 petang.

Mereka ialah Dzahir Haziq Mohd. Muin, 18; Mohd. Azret Azahari, 8; Wan Ahmad Hasril Hazim, 11; Muhammad Naerzeim Mohd. Noor, 8; Mohd. Zaid Azahari, 14; Mohd. Iman Fahad, 9, dan Muhammad Hazim Sapree, 10.

Dua lagi mangsa dikebumikan di Kampung Jenderam Hilir, Dengkil selepas solat Zuhur hari ini iaitu Muhammad Kamarul Amizan Johari, 11, dan Muhammad Riezman Abdul Latif, 9.

Tujuh lagi mayat mangsa lain sudah dituntut ahli keluarga masing-masing. Tiga daripadanya dikebumikan di Pantai Dalam, Kuala Lumpur serta masing-masing satu di Batu Caves, Perak, Pahang dan Kelantan.

Di Masjid Sultan Hishamuddin Alam Shah, Hulu Langat, lebih 500 penduduk menyertai solat jenazah mangsa kejadian tanah runtuh itu sebelum semua mereka dikebumikan dalam satu liang lahad.

Lima daripada jenazah tiba di masjid berkenaan kira-kira pukul 10.45 pagi, diikuti dua jenazah pada pukul 12.41 tengah hari.

Sebaik sahaja semua waris selesai melakukan pengecaman wajah mangsa, jenazah kemudian disembahyangkan kira-kira pukul 1.35 petang.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi pekarangan Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) apabila ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan berikutan tragedi itu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kira-kira 200 ahli keluarga dan rakan kepada 16 mangsa yang terbunuh berkumpul di pekarangan bilik mayat hospital berkenaan seawal pukul 7 pagi.

Selesai sahaja proses bedah siasat dijalankan, jenazah mangsa mula dituntut oleh keluarga masing-masing secara bergilir-gilir mulai pukul 7 pagi ini dan selesai pukul 12 tengah hari.

Seramai 37 kakitangan HKL termasuk pegawai agama daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) tidak tidur sejak pukul 9.30 malam tadi kerana bertungkus-lumus menguruskan kesemua 16 mayat mangsa tragedi itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Mangsa tertimbus sedalam 3 hingga 4 meter - Bomba

Posted:

Mangsa tertimbus sedalam 3 hingga 4 meter - Bomba

Mangsa tertimbus sedalam 3 hingga 4 meter - Bomba

HULU LANGAT 22 Mei - Sukar untuk dibayangkan, namun hakikatnya runtuhan tanah yang menimbus 16 mangsa di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa di sini semalam mempunyai kedalaman antara tiga hingga empat meter.

Tragedi itu diburukkan lagi dengan hujan lebat yang turun bermula pukul 5 petang sehingga 8 malam sehingga menyukarkan usaha mencari mangsa berikutan berlaku pergerakan tanah.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Puzi Mohd. Tabot berkata, hasil kerjasama pelbagai pihak, operasi mencari dan menyelamat itu dilakukan selama 14 jam mulai pukul 3 petang dan ditamatkan pukul 5.40 pagi setelah mayat terakhir ditemui.

"Keadaan paling kritikal adalah sewaktu hujan lebat di awal operasi. Setelah operasi menyelamat ditamatkan, kami cuma menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan termasuk operasi pembersihan dan membantu mangsa yang mengalami trauma.

"Ketika ini tiada pergerakan tanah dikesan namun kami akan meletakkan sebuah jentera dengan kekuatan 10 anggota di lokasi bagi memantau keadaan terutamanya sewaktu hujan sehingga esok," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 2.30 petang semalam, seramai 16 mangsa yang majoritinya terdiri daripada penghuni serta warden rumah anak yatim tersebut maut akibat tertimbus tanah runtuh.

Ditanya mengenai keadaan mangsa ketika ditemui, Mohd. Puzi berkata, kebanyakan mayat berada dalam keadaan sempurna.

"Kebanyakan mangsa ditemui berdekatan dan ada antaranya tertindih di antara satu sama lain. Sembilan mayat ditemui menggunakan anjing pengesan.

"Bagi yang terselamat, langkah awal diambil termasuk memberi oksigen selain menenangkan mereka agar dapat bertahan lebih lama kerana ada antaranya mengambil masa sehingga empat jam untuk diselamatkan," jelas beliau.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Yayasan TSMCG hulur RM50,000 bantu mangsa tragedi tanah runtuh

Posted:

Yayasan TSMCG hulur RM50,000 bantu mangsa tragedi tanah runtuh

Yayasan TSMCG hulur RM50,000 bantu mangsa tragedi tanah runtuh


Muhyiddin Yassin menyampaikan bantuan RM50,000 untuk Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-Anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat diwakili Adun Semenyih, Datuk Johan Abd. Aziz (kiri) di Mine's Golf Resort, Seri Kembangan, semalam.


KUALA LUMPUR 22 Mei - Yayasan Golf Amal Tan Sri Muhyiddin (TSMCG) menyumbangkan RM50,000 kepada Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-Anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat berikutan tragedi tanah runtuh yang mengorbankan 16 penghuninya, semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sumbangan tersebut sebagai tanda simpati yayasan yang dipengerusikannya itu kepada semua mangsa tragedi tersebut.

Jelas beliau, kejadian pada pukul 2.30 petang itu cukup menyayat hati apabila kebanyakan korban merupakan kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

''Saya sempat meluangkan masa melawat lokasi kejadian pada pukul 11 malam tadi selepas menghadiri satu acara di ibu negara.

''Di tempat kejadian, saya melihat keadaan mangsa yang tertimbus dalam runtuhan tersebut.

''Ia cukup menyayat hati,'' katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan golf Patron's Cup 2011 anjuran yayasan itu di Seri Kembangan, dekat sini hari ini.

Muhyiddin berkata, selain sumbangan itu serta badan kebajikan lain, Kerajaan Pusat sendiri akan memastikan segala keperluan untuk keluarga mangsa dan rumah kebajikan itu diurus secara baik.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, yayasan tersebut akan membina sebuah pusat dialisis yang dijangka beroperasi pada 2012.

''Ia bukanlah sekadar badan kebajikan yang mempunyai nama Muhyiddin Yassin. Kita akan bergerak menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukannya.

''Selain pusat dialisis, kita berharap akan dapat mengumpul banyak dana untuk mengembangkan bentuk sumbangan dan bantuan lain,'' katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan yayasan sebanyak RM100,000 kepada beberapa pihak yang memerlukan bantuan.

Antara penerimanya pelakon veteran, Karim Latiff, 75, yang menghidap kencing manis serta darah tinggi dan pesakit kanak-kanak, Nur Amira Batrisya Abdullah, 3, yang memerlukan bantuan untuk menjalani pembedahan akibat penyakit jantung yang serius.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rekreasi

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Harungi jeram di Bali

Posted:

Harungi jeram di Bali

Harungi jeram di Bali

Oleh ANIS SURAYA PUTRI


CABARAN rafting diteruskan dengan treking mendaki ke pusat berkumpul.


Bila teringat tentang Bali, keunikan seni budaya, keindahan pantai dan panorama alam pasti terlintas di minda. Baru-baru ini Bali menjadi pilihan kami berlima untuk meraikan persahabatan yang telah terjalin selama 31 tahun. Saling mengenali sejak berusia 11 tahun, saya, Murni, Sya dan Roza sepakat memilih Bali untuk menikmati keindahan panoramanya dari sudut yang berbeza iaitu menerusi aktiviti mengharung jeram yang semakin meningkat popularitinya di Pulau Dewata itu.

"Rafting di Bali? Kami hanya ketawa apabila diaju pertanyaan itu. Ramai yang tidak yakin tentang keputusan itu kerana tiga daripada kami tidak pernah mencuba sukan tersebut. Saya pula terpaksa mengingat kembali selok belok mengharung jeram menggunakan bot angin kerana jujurnya kali terakhir melakukan aktiviti ngeri itu hampir tujuh tahun lalu.

Tempahan ke Bali dibuat menerusi emel dengan Budi dari Payung Rafting, sebuah syarikat pengusaha river rafting di Bali yang mengendalikan aktiviti mengharung jeram di Sungai Ayung iaitu salah satu destinasi utama rafting Tahap 3&4 di Bali. Kami dikenakan caj sebanyak AS$30 atau RM91 setiap seorang termasuk caj pengangkutan dan makan tengahari.

Hari yang dinantikan tiba

Seperti yang dirancang, di Bali kami menetap di sebuah villa di Kuta sebaik mendarat di Lapangan Terbang Ngurah Rai Denpasar.

Keesokannya pemandu dari Payung Rafting sampai tepat pukul 8 pagi di vila.

Perjalanan diteruskan ke titik permulaan Sungai Ayung di daerah Payangan sebelah barat Desa Ubud. Perjalanan mengambil masa satu setengah jam menyusuri daerah Ubud yang terkenal dengan kehijauan sawah padi dan suasana desa.

Sebaik sampai di titik pemula, kami diarah mendaftar di kaunter di sebuah pondok alat kelengkapan rafting. Kami diberikan helmet, jaket keselamatan dan pendayung setiap seorang. Barang-barang peribadi seperti dompet, baju persalinan dan kamera dimasukkan ke dalam sebuah karung kalis air, diikat rapi dan dibawa ke bot oleh juru pandu. Peserta rafting yang turut menyertai aktiviti itu merupakan pelancong dari Australia, United Kingdom dan Itali.

Ketua juru pandu Payung Rafting memberikan taklimat ringkas antaranya langkah-langkah keselamatan yang perlu dipatuhi dan arahan standard semasa mengharung jeram seperti "boom-boom", "back", "forward", "left", "right", "down" yang perlu dipatuhi. Perasaan bimbang mula menular di jiwa apabila melihat reaksi wajah rakan-rakan. "Masih belum lambat untuk berpatah balik," bisik saya cuba menenangkan perasaan. Kami ketawa serentak tanpa menghiraukan peserta lain di situ.

Selesai taklimat selama 10 minit, kami diarah mengikut juru pandu secara berkumpulan. Juru pandu kami bernama Horas, anak jati Bali berumur lewat 30-an. Horas menerangkan bot angin (inflatable boat) kami berada di pinggir sungai dan kami harus meneruskan treking menuruni 660 susunan batu curam sejauh 3km untuk ke situ -sesuatu yang sememangnya di luar jangkaan.

Lebih cemas lagi apabila treking yang dimaksudkan itu sebenarnya binaan tangga batu sungai berjurang luas yang berlecak dan licin. Berbanding dengan pelancong lain yang bertubuh sasa dan jauh lebih tinggi, kami mengambil masa sekitar 45 minit untuk sampai ke pinggir sungai kerana terpaksa mengimbangi tubuh daripada jatuh.

Namun begitu, penat lelah hilang sekelip mata apabila kaki mencecah air sejuk Sungai Ayung. Pemandangan hijau di tebing Sungai Ayung amat indah sekali dengan kiri-kanannya dipenuhi pepohonan lebat dan berlatar-belakangkan kawasan pergunungan. Beberapa kumpulan monyet dan aneka burung kelihatan di sekitar sungai. Agak menarik, di tebing sungai, terdapat ukiran berbagai bentuk yang menggambarkan mitos Ramayana. Menurut Horas, pemerintahan Daerah membelanjakan ratusan juta rupiah untuk membuat ukiran dan patung tersebut.

Sebaik menaiki bot dan menerima arahan mendayung daripada Horas, kami memulakan aktiviti rafting dengan perasaan penuh cemas apatah lagi memandangkan tiada antara kami yang merupakan pendayung jeram mahir. Bot kami kerap melanggar tebing batu akibat hilang kawalan dan ada kalanya kami jatuh terbaring di lantai bot dengan kaki di udara apabila bot dipintas oleh bot lain secara sengaja.

Namun gelak ketawa kami menambah keceriaan perjalanan. Sepanjang menyusuri sungai sejauh 10 km kami melalui 25 jeram berbagai saiz. Kami berhenti mendayung tiga kali. Dua kali untuk memberi kesempatan bermandi-manda bersama peserta lain dan sekali di air terjun Begawan Giri iaitu titik pertengahan perjalanan menyusuri jeram Sungai Ayung.

Sebaik sampai di air terjun Begawan Giri bot kami sekali lagi hilang kawalan. Sebelum sempat mendayung ke hadapan, bot tiba-tiba berpusing menuju ke cucuran air terjun yang deras selepas melepasi jeram bertingkat. Walaupun berusaha mendayung sekuat yang boleh untuk berundur namun cubaan kami gagal dan Horas akhirnya terjun ke dalam air menarik bot kami ke tebing.

Satu pengalaman yang tidak akan kami lupakan sepanjang hidup. Pemandangan air terjun Begawan Giri begitu mengasyikkan namun sayang sekali kami tidak berkesempatan untuk merakam gambar disebabkan masa yang suntuk. Kami sampai di Kedewatan, titik akhir aktiviti river rafting setelah dua setengah jam menyusuri Sungai Ayung. Dan sekali lagi kami 'terseksa' dengan cabaran treking mendaki 460 tangga batu yang tinggi dan curam.Kami tiba di pondok berehat yang dilengkapi kemudahan mandi dan makanan tengah hari setelah hampir 45 minit mendaki dengan perasaan lega dan gembira tidak terhingga. Sesungguhnya kami telah menyahut cabaran mengharung jeram di Bali - sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran kami.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved