Isnin, 2 Jun 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Indeks tentukan status negara Islam

Posted: 02 Jun 2014 12:30 PM PDT

Oleh RAJMAH HASAN
rencana@utusan.com.my

PENENTUAN ciri-ciri sebuah negara Islam adalah sesuatu yang rumit sehingga menjadi perbalahan dalam kalangan ahli politik. Dalam hal ini, Malaysia tidak terkecuali apabila berhadapan pelbagai cabaran membangunkan negara Islam berkonsepkan wasatiyyah.

Konsep yang diperkenalkan bukan sahaja tidak diiktiraf saudara seagama daripada Pas yang mendakwa segala langkah selama ini belum mencukupi dan memenuhi tuntutan sebagai sebuah negara Islam tulen, bahkan mendapat tentangan daripada golongan liberal khususnya bukan Islam.

Wasatiyyah yang membawa makna kesederhanaan sering diputar belit golongan itu dalam usaha menghalalkan fahaman mereka, antaranya untuk memperlihatkan kebebasan total sebagai kesederhanaan manakala cara hidup berlandaskan batasan agama sebagai ekstrem.

Berpegang kepada hujah hak asasi, golongan liberal memfitnah ajaran Islam sebagai menghalang hak asasi manusia, sekali gus dianggap kolot dan kejam.

Perjuangan mereka, kesederhanaan seharusnya bermaksud manusia boleh melakukan apa saja termasuk sesuatu yang bertentangan tabii.

Kemuncak perjuangan apabila Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (Comango) memberi tekanan hebat termasuk mencabar Perlembagaan Persekutuan di pentas antarabangsa.

Selain itu, kempen mereka juga menerusi pertikaian kedudukan Islam dan mempromosi budaya songsang seperti aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bertentangan dengan undang-undang Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Tekanan itu jika tidak ditangani akan memusnahkan usaha kerajaan yang selama ini membangunkan negara Islam berkonsepkan wasatiyyah iaitu pendekatan terbaik mengikut konteks Islam moden yang bukan sahaja diterima baik sejagat, bahkan dianggap kunci yang mampu mengekalkan perpaduan di negara ini.

Sehubungan itu, saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perasmian Seminar Antarabangsa Wasatiyyah baru-baru ini mengenai penubuhan Indeks Maqasid Syariah Antarabangsa adalah menarik untuk diteliti.

Mengulas perkembangan berkaitan, Pengerusi Cordoba Initiative, Imam Feisal Abdul Rauf menekankan pentingnya menjelaskan ciri-ciri sesebuah negara Islam kepada masyarakat bukan Islam agar menangkis persepsi mereka bahawa Islam - agama jumud yang menyekat kemajuan.

Pada masa ini katanya, terdapat banyak usaha menubuhkan negara Islam, namun rata-rata meletakkan keutamaan pelaksanaan hukuman hudud sebagai syarat utamanya.

"Sedangkan sesebuah negara itu adalah negara Islam apabila diperintah pemimpin muslim yang adil selain syariat Islam menjadi acuan dan landasan hukum negara secara utuh," katanya pada ceramah umum Indeks Peraturan Undang-Undang dan Pembangunan Kerajaan Islam di Institut Antarabangsa Kajian Islam Lanjutan (IAIS) Malaysia di ibu negara baru-baru ini.

Beliau mengupas kepentingan membangunkan mekanisme kerangka indeks peraturan undang-undang Islam bagi menyelesaikan perselisihan yang berlaku dalam kalangan ahli politik ketika penentuan status sesebuah negara Islam.

Cordoba Initiative iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berpangkalan di Amerika Syarikat, bersama 12 tokoh ulama dan cendekiawan bukan Islam dari beberapa negara Islam mengambil inisiatif menyediakan buku panduan kepatuhan berkaitan indeks peraturan undang-undang bagi mengukur komitmen sesebuah negara dalam melaksanakan syariat Islam.

Buku bertajuk The Islamic Rule Of Law Index yang mengambil masa selama enam tahun untuk disiapkan itu menyentuh perbahasan isu penentuan sesebuah negara Islam menggunakan kaedah kualitatif menerusi instrumen pengumpulan data dan analisis kandungan berasaskan perbandingan maqasid syariah bagi menentukan status sebuah negara Islam.

Mengulas dakwaan parti Pas bahawa Malaysia bukan negara Islam selagi hukuman hudud tidak dilaksanakan, beliau tidak menafikan pandangan sesetengah mereka yang mahu menghidupkan kegemilangan Islam seperti zaman Rasulullah SAW.

"Selain istilah Negara Islam tidak tercatat secara langsung dalam al-Quran dan al-Sunnah, malah ulama juga bersetuju bahawa jenayah tetap berlaku pada zaman Rasulullah biarpun hukuman hudud dilaksanakan, justeru pertikaian mengenainya tidak harus sampai memecahbelahkan umat Islam di negara ini.

"Kegemilangan zaman Rasulullah tidak terletak kepada pelaksanaan hukuman hudud semata-mata, sebaliknya perpaduan kaum yang menjadi kunci kepada kekuatan mereka," ujarnya.

Imam Feisal tidak menolak, perbezaan ideologi menjadi faktor utama yang menyumbang kepada perpecahan muslim di kebanyakan negara Islam dan disebabkan itu, masyarakat bukan Islam terutamanya di Barat mengambil kesempatan melakukan propaganda memburukkan imej Islam.

Dalam pada itu, Imam Feisal berharap UMNO dan Pas duduk semeja menyelesaikan perbezaan ideologi dan mencari titik persamaan untuk kepentingan Islam.

"Kedua-dua parti mewakili orang Islam, Melayu dan pengikut Mazhab Syafie, tetapi terdapat satu jurang yang besar. Jangan biarkan faktor ideologi memecahbelahkan anda.

"Jika (buku ini) kita dapat merapatkannya di Malaysia, Mesir, Tunisia dan beberapa negara Islam lain, ia akan menjadi pemulihan penting kerana kita adalah satu umat yang menyembah Tuhan yang sama," katanya.

Berbalik kepada isu pendekatan wasatiyyah di negara ini, beliau berkata, Malaysia berjaya menduduki senarai antara lima negara Islam terbaik apabila meraih ukuran indeks tertinggi dalam hampir keseluruhan enam maqasid yang dinilai antaranya kehidupan, harta benda, intelek, maruah dan sebagainya.

"Apa yang mengagumkan, Malaysia sebagai sebuah negara Islam, mampu membawa kemakmuran kepada seluruh rakyatnya yang berbilang kaum," katanya.

Imam Feisal telah berkhidmat sebagai Imam Masjid al-Farah, yang terletak 12 blok dari Ground Zero di tengah bandar raya New York dari 1983 hingga 2009.

Beliau menubuhkan Cordoba Initiative yang menggunakan agama untuk menambah baik hubungan Islam-Barat dan menyediakan penyelesaian inovatif di dalam kawasan konflik antara masyarakat Islam dan Barat.

Tiga buku tulisan beliau antaranya Whats Right With Islam Is Whats Right with America mengupas tentang Islam dan kedudukannya di dalam masyarakat Barat.

Hudud daripada perspektif berbeza

Posted: 02 Jun 2014 12:30 PM PDT

Oleh Datuk Abdul Ghani Abdullah

SAYA mendapati kebanyakan diskusi, penulisan dan pemerhatian yang dibuat tentang hukum hudud adalah berdasarkan rentak yang sama dan berulang-ulang.

Terlalu kerap kita mendengar kenyataan bahawa hudud adalah bertentangan dengan Perlembagaan, ianya bertentangan dengan ikrar wakil rakyat, seluruh negara akan berada di bawah hukum hudud, ianya tidak diamalkan oleh semua negara Islam, ianya tidak sesuai bagi masyarakat majmuk, la-yanan yang tidak serupa, pelabur asing akan teragak-agak untuk melabur, ianya tidak selari dengan arus globalisasi dan sebagainya.

Kita telah kerap mendengar hujah-hujah sebegini. Persoalannya adakah Pas akan berhenti merealisasikan impiannya untuk melaksanakan hukum hudud? Saya tidak fikir Pas akan berbuat demikian kerana Pas ditubuhkan atas dasar memperjuangkan Negara Islam.

Mari kita melihat hudud dari segi Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 3 di mana amat jelas dinyatakan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan. Tidak dinyatakan bahawa agama Kristian, Buddha atau Hindu adalah agama Persekutuan.

Mahkamah juga telah beberapa kali me-nyatakan bahawa jika sesuatu tidak diperuntukkan oleh undang-undang maka ianya telah tidak dimasukkan dengan sengaja. Maka kita seharusnya membaca Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang tertera.

Saya tidak menyatakan di sini bahawa agama Kristian, Buddha atau Hindu harus diketepikan dalam konteks masyarakat maj-muk. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan bahawa agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.

Maksud literal yang boleh diberikan ialah agama Islam diberi posisi tunjang di dalam Persekutuan berbanding dengan agama-agama lain, mungkin disebabkan majoriti rakyat Malaysia beragama Islam (setakat 2013, masyarakat Melayu/Islam merangkumi 67% dari rakyat Malaysia).

Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan pula menyatakan bahawa undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

Cuba bayangkan apa akan terjadi jika Islam dan agama lain diletakkan di pentas yang sama meskipun 67% daripada rakyat Malaysia adalah berbangsa Melayu dan ber-agama Islam. Dalam keadaan yang sama, sejarah telah membuktikan berulang kali dan kita telah melihat negara menghadapi keganasan berbaur perkauman.

Adakah ini yang kita kehendaki bagi negara kita? Sekali perpecahan dan keganasan menurap di dalam masyarakat, ianya amat sukar untuk dikawal, dibanteras dan diperbe-tulkan. Penahanan beberapa suspek fanatik keagamaan baru-baru ini oleh pihak polis adalah testimoni keadaan semasa jika kita tidak mematuhi apa yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan.

Adalah pengetahuan umum bahawa jika keadaan kucar-kacir akibat pertentang-an keagamaan berlaku, maka rakyat yang berkemampuan atau yang boleh bekerja di negara lain akan berhijrah ke negara lain, seperti apa yang telah berlaku sebelum ini, meninggalkan yang kurang berkemampuan dari segi wang dan kelayakan menderita di dalam negara yang kucar-kacir akibat keganasan dan huru-hara.

Golongan yang berkemampuan ini akan pulang semula ke negara mereka apabila keadaan menjadi tenang semula. Adakah ini yang kita mahukan untuk Malaysia?

Mari kita lihat apa yang parti Pas mahukan tentang hudud. Semenjak kemerdekaan lagi, Pas tidak pernah menyembunyikan hasratnya untuk melaksanakan undang-undang yang tertera di dalam al-Quran.

Saya tidak pernah mendengar mana-mana ahli Pas menyatakan bahawa parti mereka adalah parti Islam tetapi tidak mengamalkan undang-undang Islam secara keseluruhan. Bidalan bahawa Pas telah bergabung dengan parti pembangkang yang lain untuk mengalahkan Barisan Nasional, nampaknya dengan syarat bahawa Pas akan meninggalkan niatnya untuk melaksanakan hukum hudud adalah tidak benar.

Sesiapa yang menghadiri mesyuarat atau perhimpunan Pas akan mendapati bahawa apa yang dinyatakan adalah berdasarkan Islam. Pas (dan umat Islam secara keseluruhan) percaya bahawa hidup di dunia ini adalah sementara sahaja dan di akhiratlah kehidupan yang abadi.

Pas mempersoalkan apakah yang dirisaukan mengenai hudud kerana ianya hanya akan terpakai terhadap kesalahan jenayah yang dilakukan oleh orang Islam. Hukum hudud tidak akan terpakai terhadap orang yang bukan beragama Islam dan oleh itu tidak perlu dikhuatiri oleh orang bukan Islam.

Tun Dr. Mahathir Mohamad telah memberikan contoh situasi penggunaan hukum hudud di dalam masyarakat majmuk boleh membawa kepada ketidakadilan dan ini, menurut Pas, cuma akan berlaku dalam keadaan luar biasa. Pas mempersoalkan sama ada sering seseorang Islam akan ditangkap khalwat bersama dengan pasangan bukan Islam. Menurut Pas, apa-apa isu yang berbangkit boleh diselesaikan oleh sebuah jawatankuasa yang dicadangkan oleh UMNO yang akan ditubuhkan untuk mene-liti isu-isu sebegini.

Pada pandangan saya, seorang wakil rakyat beragama Islam tidak akan membe-lakangi peraturan-peraturan yang ditetapkan di dalam al-Quran dan seterusnya tidak akan mengundi menentang penguatkuasaan hukum hudud jika ianya dibentangkan di Parlimen nanti.

Seandainya Pas menyatakan dengan jelas-nya hukum hudud, terma dan akibatnya, maka saya percaya ia akan disokong oleh semua ahli Parlimen yang beragama Islam dan dari sudut ini, ianya tidak akan menjadi persoalan sama ada hukum ini adalah adil atau tidak.

Pas akan dengan lantangnya menyatakan ia adalah hukum Allah dan wajib ditaati oleh setiap orang Islam.

Saya berpendapat jika pada September 2014 nanti Pas membentangkan hukum hudud di Parlimen dan ia mungkin akan membahagikan orang Islam di dalam isu ini, fakta yang tidak boleh dipertikaikan ialah ia akan berada pada hati nurani setiap ahli Parlimen yang beragama Islam bahawa jika dia tidak menyokong hukum hudud maka dia te-lah membelakangkan undang-undang Allah.

Daripada zaman kanak-kanak lagi, setiap orang Islam akan diberitahu bahawa setiap perlakuan itu akan dihakimi di akhirat nanti.

Baru-baru ini, Datuk Nik Aziz Nik Mat telah memohon ampun di dalam masjid berulang-kali atas kesilapan-kesilapan yang telah dilakukannya semasa menjadi Menteri Besar Kelantan.

Pendekatan sesetengah rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam bahawa negara ini adalah negara sekular dan oleh itu hudud tidak mempunyai tempat di negara ini, pada pendapat saya, tidak boleh diguna pakai.

Lihat sahaja apa yang berlaku di India sekarang, terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa parti utama yang mewakili majoriti penganut Hindu yang memenangi pilihan raya umum di India baru-baru ini telah menguar-uarkan akan melarang sama sekali penyembelihan lembu untuk tujuan pemakanan.

Terdapat juga laporan bahawa kerajaan India yang baru ini akan melarang pengeksportan daging lembu sama sekali. Negara India mempunyai 200 juta rakyat beragama Islam.

Rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam seharusnya menerima realiti di Malaysia dan seharusnya mengambil pendekatan yang praktikal dan menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa di dalam negara.

Bukan kita yang membentuk perlembagaan ini. Kita seharusnya menerima perlembagaan ini sebagaimana ia telah membentuk negara Malaysia. Tidak guna jika kita mencipta situasi selain daripada apa yang telah termaktub di bawah Perlembagaan kita.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved