Ahad, 1 Jun 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Strategi Zambry dan keangkuhan DAP

Posted: 01 Jun 2014 01:01 PM PDT

Zambry Abdul Kadir turun padang mengunjungi setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) tidak kira melibatkan ahli UMNO atau Pas pada Kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan.

"SAYA tidak mahu terlalu yakin atau dilihat angkuh tetapi insya-Allah, saya mempunyai keyakinan bahawa BN (Barisan Nasional) boleh melakukan kejutan di kerusi Parlimen Teluk Intan."

Itulah kata-kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir kepada penulis tiga minggu sebelum berlangsungnya penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan ketika kami bertemu di kediaman beliau di Ipoh, Perak.

Seperti biasa Zambry boleh diibaratkan seorang pemimpin yang mampu menjadikan sesuatu yang dilihat mustahil menjadi sebaliknya. Itulah yang beliau lakukan dalam pilihan raya kecil kawasan itu kelmarin ketika tiada siapapun menaruh harapan BN akan merampas kerusi Parlimen tersebut.

Begitu juga ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, ketika semua orang merasakan pemerintahan BN akan berakhir di Perak tetapi akan kembali memerintah Selangor, Zambry membiarkan ia menjadi sekadar ramalan apabila memastikan realitinya BN kekal memerintah Perak tetapi tetap gagal menguasai kembali Selangor.

Dalam bahasa mudah, Zambry tidak pernah mengambil peduli apa juga persepsi, analisis atau tafsiran mana-mana juga pihak sebaliknya sebagai seorang pemimpin yang sudah menempuh satu perjalanan menguruskan politik yang cukup getir di Perak, Zambry melaksanakan misi untuk mengekalkan BN di negeri itu dan merampas kerusi Parlimen Teluk Intan melalui taktikal dan pemikiran strategis.

Bagaimanapun kelebihan yang ada kepada Zambry mungkin tidak termasuk dalam percaturan pakatan pembangkang khususnya DAP yang merasakan mereka tidak mempunyai laluan sukar untuk mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan.

Bagi DAP, mereka yakin dengan meletakkan sesiapa juga sebagai calon di kerusi itu kemenangan pasti memihak kepada mereka memandangkan mereka percaya rakyat semakin menolak BN.

Justeru Dyana Sofya Mohd. Daud seorang gadis cantik dan berkelulusan undang-undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta merupakan Setiausaha Politik Ahli Parlimen Gelang Patah yang juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang dipilih.

Dyana Sofya yang berusia 27 tahun berhadapan dengan calon BN, Datuk Mah Siew Keong, 53 tahun. Walaupun DAP menguar-uarkan Dyana Sofya sebagai yang cantik, bijak dan berani namun ia masih belum mencukupi untuk mengugat keyakinan Zambry untuk terus berjuang bagi memastikan kemenangan BN.

Sebab itulah, penulis diberitahu bagaimana sepanjang kempen Zambry sama sekali tidak pernah menyentuh soal peribadi calon DAP. Mungkin bagi Zambry tindakan mengkritik, menyerang apatah lagi membandingkan calon dalam pilihan raya bukanlah sesuatu tindakan bijak, sebaliknya ia boleh menimbulkan perasaan menyampah dalam kalangan pengundi.

Selain itu, Zambry ternyata tidak terganggu dengan sikap DAP dan pakatan pembangkang yang gembira berikutan kehadiran ribuan orang dalam majlis ceramah mereka dan begitu bangga dengan personaliti Dyana Sofya yang bak kata orang `sedap mata memandang'.

Secara diam-diam, Menteri Besar Perak itu turun padang bertemu rakyat secara bersemuka, setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) beliau kunjungi, tidak kira tua atau muda, ahli UMNO atau Pas, penyokong DAP mahupun BN, semuanya Menteri Besar Perak itu temui.

Kesungguhan itulah akhirnya meruntuhkan keangkuhan DAP dan pemimpin-pemimpinnya yang begitu yakin mereka tidak akan menempuh laluan sukar untuk memastikan Dyana Sofya menjadi salah seorang ahli Parlimen termuda penggal ini.

Pendekatan Zambry meranapkan tembok keegoan pembangkang dan memberi isyarat kepada mereka supaya jangan memandang rendah seni politik yang ada kepada Menteri Besar Perak tersebut.

Bagaimanapun Zambry tidak membiarkan beliau keseorangan dalam memastikan kemenangan BN, beliau turut bertanggungjawab mengatur strategi pergerakan jentera BN dan langkah dilihat paling drastik ialah mewujudkan kerjasama erat antara MCA dan Gerakan, khususnya di kawasan Batu 12.

Dalam PRU-13, BN tewas di peti undi ini ketika ia berada di bawah penguasaan Gerakan tetapi dalam PRK Parlimen Teluk Intan, Zambry membuat keputusan ia diambil alih oleh MCA. Langkah itu diterima baik oleh kedua-dua parti dan hasilnya BN menguasai 51.53 peratus undi di situ.

Namun begitu, kejayaan menawan semula kerusi Parlimen Teluk Intan dengan majoriti 238 undi bukanlah sesuatu yang harus diraikan sepanjang masa. Mungkin tanpa pendekatan taktikal Zambry dan pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melantik Siew Keong sebagai menteri jika menang dan kesilapan DAP meletakkan calon, sudah pasti BN belum tentu menang di Teluk Intan.

Inilah fakta yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa, begitu juga BN tidak boleh mendabik dada mengatakan pengundi Cina sudah kembali kepada parti itu hanya berasaskan kepada satu dua peti undi. Jangan lupa di sesetengah peti undi, peratusan keluar mengundi adalah rendah dan ini juga menjadi penyumbang kepada kemenangan BN.

Yang jelas dan perlu diutamakan oleh BN ialah bagaimana hendak memastikan 20,000 pengundi setia BN di Teluk Intan akan terus bersama parti itu, khususnya dalam kalangan pengundi masyarakat Melayu dan India yang sudah membuktikan kesetiaan tidak berbelah bahagi mereka kepada BN.

Sementara sokongan daripada kelompok kedua-dua pengundi itu dipertahankan, BN perlu juga terus berusaha menyakinkan sebahagian pengundi Cina untuk turut memihak kepada parti tersebut. Dan dalam soal ini di Perak ia bukan tugas Zambry seorang tetapi semua komponen BN.

Kemenangan di Teluk Intan sebenarnya adalah satu cabaran kepada BN bagaimana hendak mengekalkan penguasaan. Ia memandangkan berdasarkan maklumat yang diterima oleh penulis, ramai penyokong pakatan pembangkang membuat keputusan tidak keluar mengundi atas pelbagai faktor termasuk tidak bersetuju dengan pemilihan Dyana Sofya sebagai calon.

"Bagaimanapun ada juga teori yang menyatakan, penyokong pembangkang sengaja berbuat demikian dengan hasrat untuk memberi laluan kepada Siew Keong menjadi menteri dan melalui cara itu ia akan membawa limpahan pembangunan di Teluk Intan, setelah semuanya sudah lengkap, mereka akan mengembalikan kerusi itu kepada DAP,'' kata satu sumber kepada penulis ketika dihubungi di Teluk Intan.

Justeru BN tidak boleh begitu gembira sangat dengan kejayaan yang dicapai di kerusi Parlimen berkenaan apatah lagi dengan majoriti 238 undi - satu jumlah lebih kecil berbanding jumlah undi awal iaitu 375 undi.

Namun begitu dalam pilihan raya walaupun satu undi menang tetap menang, kalah tetap kalah, sebagaimana tahun 2004 Pas memerintah Kelantan dengan kelebihan satu kerusi yang mempunyai kelebihan majoriti hanya dua undi.

Apa yang penting ialah bagaimana BN mengubah majoriti kecil menjadi lebih besar dalam pilihan raya seterusnya dan dalam mencapai impian itu singkirkanlah perasaan leka atau sudah berasa kuat serta buanglah strategi lapuk dalam berkempen.

Memartabatkan wanita dalam TNB

Posted: 01 Jun 2014 01:01 PM PDT

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

Sabariah Sabtu

KETIKA wanita di kebanyakan negara lain masih menuntut hak sama rata dalam semua sektor pekerjaan, golongan itu di Malaysia lebih bernasib baik kerana tidak pernah dipinggirkan termasuk dalam industri penjanaan tenaga elektrik yang kebiasaannya didominasi lelaki.

Antara wanita bertuah itu ialah bekas Naib Presiden (Ketua Pegawai Maklumat) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir. Sabariah Sabtu yang berpeluang berkhidmat selama 31 tahun dengan syarikat berkenaan.

Bekas pelajar Kolej Tunku Kurshiah itu menjelaskan, beliau telah mendapat biasiswa Lembaga Letrik Negara (LLN) pada 1969 untuk melanjut pelajaran di Brighton Polytechnic, Sussex, United Kingdom sehingga mendapat Sarjana Muda Sains (Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik).

"Selain saya ketika itu, terdapat tiga lagi wanita yang mendapat biasiswa LLN untuk melanjutkan pelajaran di sana," jelasnya.

Menurutnya, kerjaya bersama syarikat itu bermula pada 1974 dan dalam tempoh 18 tahun sehingga 1992, beliau berpeluang untuk memegang pelbagai jawatan di Bahagian Pembahagian bermula dengan khidmat pelanggan sebagai penolong jurutera (pengguna) dan kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai jurutera daerah yang hampir kesemua pekerjanya ialah lelaki.

"Bahagian ini berperanan membuat perancangan serta menguruskan projek pembangunan dan penyelengaraan sistem pengagihan bekalan elektrik di Petaling Jaya. Pada mulanya hanya lelaki sahaja di bahagian ini kerana rutin kerja tidak menentu termasuk pada waktu malam.

"Pihak pengurusan kemudiannya meletakkan saya di bahagian ini setelah mendapati saya boleh bekerja tanpa sebarang masalah. Antara projek yang saya terlibat adalah menguruskan pembekalan elektrik untuk kawasan perumahan baharu termasuk Damansara Utama, Damansara Jaya dan Subang Jaya di Selangor," katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Pada 1981, Sabariah dinaikkan pangkat lagi untuk memegang jawatan sebagai Jurutera Pembahagian Kanan (Perancangan) yang merupakan satu jawatan baharu yang mana beliau adalah pengasasnya.

Beliau bertanggungjawab untuk membuat perancangan sistem pembahagian bekalan elektrik ke seluruh negara supaya ia dapat disampaikan kepada pengguna dengan memuaskan dan dalam jangka masa yang diperlukan.

"Ini termasuk menyediakan bekalan elektrik untuk kompleks beli-belah baharu di tengah Kuala Lumpur seperti Sogo dan Suria KLCC yang ketika itu sedang dalam perancangan," katanya.

Selepas itu, sekali lagi Sabariah diberi cabaran untuk memikul tanggungjawab baharu apabila dilantik sebagai Pengurus Daerah Kanan (Kuala Lumpur Utara).

Menurut Sabariah, sesuatu yang tidak dapat dilupakan sepanjang tempoh itu adalah penswastaan LLN kepada TNB yang mula dicetuskan pada 1988 dan kemudiannya menjadi realiti pada 1990.

Katanya, selaras dengan kedudukan TNB sebagai entiti swasta, corak pemikiran dan cara bekerja terpaksa diubah.

Bagaimanapun, yang kekal adalah langkah memberi peluang kepada wanita untuk terlibat dalam pengurusan syarikat dan ini terbukti apabila beliau dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengurus Wilayah (Perancangan dan Pembangunan), Bahagian Pembahagian dari 1993 hingga 1997.

Beliau mempunyai tanggungjawab berat untuk memastikan projek pembekalan elektrik berjalan lancar selaras dengan sasaran sifar terputus bekalan elektrik di kawasan segi tiga emas di tengah-tengah Kuala Lumpur khususnya di kawasan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) yang sedang dalam pembinaan pada masa itu.

Projek KLCC termasuk pembinaan Menara Berkembar Petronas bermula pada 1992 dan siap pada 1998.

Katanya, satu lagi cabaran yang tidak dapat dilupakan apabila pihaknya dikehendaki membuat perancangan dan membina prasarana pengagihan bekalan elektrik untuk memastikan sifar bekalan elektrik terputus di Putrajaya, Cyberjaya dan Taman Teknologi Malaysia (TPM) yang sedang dalam pembangunan.

Pada masa itu juga, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil sedang disiapkan sebagai tuan rumah untuk Sukan Komanwel 1998. TNB telah mencapai kejayaan dengan tiadanya terputus bekalan elektrik sepanjang acara sukan dilangsungkan.

"TNB turut bertanggungjawab dalam membuat perancangan dan pengagihan elektrik untuk projek transit aliran ringan (LRT) dan monorel yang sedang dalam pembinaan di ibu kota Kuala Lumpur," katanya.

Selepas itu, beliau dilantik sebagai Timbalan Pengurus Besar (Kejuruteraan), Bahagian Pembahagian dari 1997 hingga 1998 dan selepas itu, sekali lagi dinaikkan pangkat sebagai Pengurus Besar (Perancangan dan Pembangunan Sistem), Bahagian Pengurusan Sistem Grid dari 1998 hingga 1999.

Tidak lama kemudian, katanya, dari 1999-2001 beliau dilantik sebagai Pengarah Urusan sebuah anak syarikat TNB iaitu TNB Engineers Sdn. Bhd. (TNBE).

Sebagai Pengarah Urusan TNBE, beliau bertanggungjawab melakukan kajian kebolehlaksanaan dan menjalankan projek pembangunan kemudahan pembekalan elektrik di dalam dan luar negara.

Katanya, antara projek yang berjaya disiapkan oleh TNBE adalah pembekalan Arus Terus Voltan Tinggi (HVDC) 300/600 megawatt (MW) dari Gurun, Kedah ke Klongei, Thailand dan membina sistem grid 132 kilowatt (kW), 275 kW dan 500 kW di Semenanjung dan juga di Sabah.

"Anak syarikat TNB ini juga telah menyiapkan pembinaan Stesen Janakuasa Kapar dan menaik taraf stesen janakuasa di Perai and Port Dickson.

"Pihak kami juga terlibat melakukan kajian kebolehlaksanaan pembekalan elektrik di luar negara termasuk projek Koridor Pembangunan Sihanoukville Phnom Penh (SPDC), Kemboja; Janakuasa Tongi 70 MW, Bangladesh dan Janakuasa Liberty, Pakistan," ujar beliau.

Pada 2002, beliau adalah Penasihat Khas kepada Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB dan juga Penasihat Khas kepada Lembaga Elektrik Sabah (SESB) bagi memulihkan semula masalah kewangan teruk yang dihadapi syarikat itu dan turut bertanggungjawab menaik taraf Sistem Grid Penghantaran Elektrik SESB.

Pada tahun sama beliau juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Bakun Hydro dan Pengerusi Jawatankuasa Petugas Sistem Penghantaran Bakun-SESB.

Tidak sampai setahun menjawat jawatan itu, beliau dilantik untuk memegang satu jawatan yang baharu diwujudkan iaitu sebagai Naib Presiden (Ketua Pegawai Maklumat) dari 2002 hingga bersara pada 2005.

Antara tanggungjawab beliau adalah menubuhkan Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) TNB yang bermula dengan tiga kakitangan dan kemudiannya bertambah kepada 500 kakitangan.

Antara peranan bahagian itu adalah menyelenggara 8,000 kilometer (km) rangkaian gentian optik TNB, mewujudkan Sistem Pengurusan Sumber Manusia Syarikat (EHRMS) dan menjalankan serta mengkoordinisasikan semua projek ICT untuk TNB keseluruhannya.

"Saya bersara dalam keadaan gembira kerana melihat wanita diberikan peluang yang luas untuk meningkat naik dalam TNB dan boleh dikatakan nasib mereka lebih baik berbanding jantina sama di negara-negara lain, katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved