Ahad, 1 Jun 2014

Utusan Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


3008 yang keluar daripada konsep konvensional

Posted: 01 Jun 2014 01:00 PM PDT

Oleh Fauzi Jaafar
ekonomi@utusan.com.my

Peugeot 3008 yang dipertingkatkan.

Kenapa penulis menggelar Peugeot 3008 sebagai unik? Ini kerana reka bentuk model ini seakan-akan seperti kenderaan pelbagai guna (MPV), tetapi tidak boleh memuatkan tujuh penumpang, kelihatan seperti sebuah pacuan empat roda, tetapi bukan sebuah kenderaan yang boleh memasuki hutan belantara.

Dengan jualan sebanyak 500,000 buah di seluruh dunia, Peugeot 3008 mempunyai karektor tersendiri kerana menggabungkan kenderaan sport utiliti (SUV), hatchback dan MPV untuk pembeli yang inginkan sesuatu yang di luar kotak' pemikiran.

Peugeot 3008 yang dilancarkan pada 17 April lalu bukanlah model baharu, tetapi lebih kepada facelift atau model yang dipertingkatkan.

Dari segi luarannya, ia menampilkan ciri-ciri Eropah yang tulen dengan melekat pada keseluruhan ruang. Lampu hadapan ialah jenis Dinamik Bi-xenon yang terkini dengan jaluran lampu pencahayaan siang (DRL) LED. Bumper besar dirangkumkan dengan jeriji krom reka bentuk baharu. Bingkai lampu kabus juga sebahagiannya dikromkan untuk menampilkan watak yang lebih tegap.

Lampu belakang pula ialah jenis LED dengan lampu merah berjalur secara menegak.

Peugeot 3008 ini juga didatangkan dengan bumbung panaromik yang dikawal secara elektronik. Ia mampu memberi keseronokan kepada penumpang di belakang, dan juga kanak-kanak yang gemar penglihatan lebih luas.

Ruang kabinnya, dengan kerusi kulit berwarna hitam tidak menimbulkan ruang sempit kepada penumpang. Keunikan model Perancis ini ialah suis dan paparan maklumat seperti sebuah pesawat. Ini juga merupakan senjata utama untuk menjual Peugeot 3008 di pasaran.

Pada atas papan pemuka pemandu, terdapat skrin lutsinar seperti sebuah pesawat jet pejuang yang memaparkan kelajuan dan maklumat pemanduan tanpa pemandu perlu mengalihkan pandangan mereka dari jalan raya.

Selain itu terdapat skrin sentuh tujuh inci beresolusi tinggi yang boleh dilipat secara elektronik di tengah sebelah atas papan pemuka yang boleh memaparkan pandu arah dan maklumat pemanduan serta pandangan untuk kamera undur.

Roda stereng, tombol gear dan pemegang konsol tengah dibaluti kulit bermutu tinggi untuk genggaman yang lebih selesa dan jitu.

Tempat duduk balutan kulit mewah juga menjadi pilihan Peugeot. Malah tempat duduk pemandu boleh dilaraskan secara elektronik.

Sebenarnya, penulis tidak berpeluang memandu lama model ini kerana masa yang diberikan agak terhad.

Peugeot 3008 didatangkan dengan enjin 1.6 liter Turbo dengan pemasaan injap boleh laras (VVT) yang mampu menghasilkan kuasa 165 PS pada 6,000 rpm dan kilas 240 Nm pada 1,400 hingga 4,250 rpm.

Peugeot menyatakan enjin ini menjadikan 3008 baharu ini tampil sebagai sebuah SUV yang paling berkuasa di dalam segmennya. Kuasa pecutannya dari 0 hingga 100 kmj ialah 9.5 saat dengan kelajuan maksimum ialah 202 kmj.

Bagi penulis dengan reka bentuk yang agak tinggi, agak sukar untuk mengambil selekoh dengan kelajuan tinggi. Tetapi sistem gantungan dan penyerap hentak yang baik membolehkan model ini meratah selekoh dengan mudah dengan halaju yang tinggi. Terima kasih kepada topang independent MacPherson bersama palang antiolengan bagi suspensi hadapan dan bagi suspensi belakang pula menggunakan gandar bersilang Deformable U-shaped dengan palang anti olengan.

Peugeot juga menekankan soal penjimatan bahan api yang efisien, di mana penggunaannya untuk 3008 ini dikatakan mampu mencatat 7.7 liter bagi setiap 100km.

Ia memiliki enam beg udara, Program Kestabilan Elektronik (ESP) yang membantu corak pemanduan ketika pada halaju yang tinggi, Hill Start Assist dan lampu kecemasan automatik.

Terdapat juga ABS, EBD, Bantuan Brek Kecemasan (EBA), Anti-skid Regulation (ASR), Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC) dan dua sambungan Isofix.

Walaupun tidak dapat mengenali lebih mendalam sifat-sifat Peugeot 3008 ini, penulis merasakan ia sebuah model yang unik dan tidak merugikan jika mahu melabur sebanyak RM153,888 sebuah untuk memilikinya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved