Isnin, 2 Jun 2014

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


LHDN jalankan arahan potongan gaji mulai 16 Jun

Posted: 02 Jun 2014 02:42 AM PDT

KUALA LUMPUR 2 Jun - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan mengeluarkan arahan potongan gaji (Arahan CP38) kepada para majikan bermula 16 Jun ini untuk pembayar cukai yang memperoleh pendapatan daripada sumber penggajian dan masih mempunyai tunggakan cukai.

LHDN berkata, arahan CP38 itu mengkehendaki para majikan membuat potongan tambahan secara ansuran bulanan terhadap gaji pembayar cukai selain daripada potongan cukai bulanan bertujuan melunaskan tunggakan cukai yang masih ada.

Katanya, Arahan CP38 akan berkuat kuasa mulai gaji Julai 2014 sehingga Disember 2014.

"Satu salinan Arahan CP38 turut akan diserahkan kepada pembayar cukai melalui emel atau perkhidmatan pos untuk rekod percukaian mereka," kata LHDN dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengikut rekod LHDN, sehingga 24 Mei lalu, dianggarkan 156,158 orang pembayar cukai individu akan menerima Arahan CP38 berkenaan melibatkan amaun tunggakan cukai berjumlah hampir RM418 juta.

Pembayar cukai yang menerima Arahan CP38 dinasihatkan menghubungi Pusat Panggilan LHDN di talian 1-800-88-5436 atau cawangan LHDN yang mengendalikan fail cukai mereka jika memerlukan sebarang penjelasan berkaitan arahan ini. Maklumat lanjut sila layari www.hasil.gov.my. - UTUSAN ONLINE

46 pelajar terima geran akademik 1MDB-Jakim

Posted: 02 Jun 2014 01:38 AM PDT

KUALA LUMPUR 2 Jun - Empat puluh enam pelajar cemerlang sekolah menengah agama negeri (SMAN) dan sekolah menengah agama rakyat (SMAR) hari ini menerima surat tawaran geran akademik 1Malaysia Development Berhad - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (1MDB-Jakim) bernilai RM5 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, 17 penerima akan melanjutkan pengajian di universiti terpilih di Mesir dan Jordan khususnya dalam bidang perubatan dengan seorang menerima RM25,000 setahun.

"Seramai 29 orang lagi akan menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan dengan menerima RM7,500 seorang setahun. Bantuan ini diberikan 1MDB melalui Jakim untuk membiayai pelajar-pelajar lulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang kurang kemampuan dari sudut kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Kecemerlangan Pelajar Ujian Penilaian Kelas Fardu Ain (Kafa) dan Penyerahan Surat Tawaran Geran Tahunan 1MDB-Jakim di Institut Latihan Islam Malaysia, Bangi dekat sini hari ini.

Kumpulan pelajar itu merupakan kumpulan keempat yang memperoleh manfaat daripada geran akademik itu yang bertujuan melahirkan profesional dalam pelbagai bidang termasuk perubatan, farmasi dan kewangan Islam daripada kalangan pelajar cemerlang SMAN/SMAR.

Sejumlah 159 pelajar telah mendapat manfaat daripada geran akademik berkenaan sejak diperkenalkan pada 2010. - BERNAMA

Letusan gunung berapi tidak jejas operasi syarikat penerbangan

Posted: 02 Jun 2014 01:34 AM PDT

KUALA LUMPUR 2 Jun - Letusan gunung berapi di Indonesia tidak menghalang syarikat penerbangan tempatan daripada beroperasi seperti biasa.

Tiga syarikat penerbangan utama iaitu Malindo Air, AirAsia dan Malaysia Airlines (MAS) mengesahkan kejadian itu tidak mengganggu keadaan dan penerbangan mereka beroperasi seperti biasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo, Air Chandran Ramamurthy berkata, syarikat itu akan terus memantau keadaan dan akan mematuhi nasihat Jabatan Penerbangan Awam (DCA), pengawal trafik dan pihak berkuasa lapangan terbang.

"Setakat hari ini, kami beroperasi seperti biasa. Kami akan terus memantau keadaan dan menyusun jadual operasi penerbangan kami dengan sewajarnya," kata beliau ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Gunung berapi Sangeang Api di kepulauan Sumbawa terus meletus sejak tengah hari Jumaat.

Jurucakap AirAsia juga berkata, letusan gunung berapi tersebut tidak menjejaskan operasi syarikat penerbangan itu.

"Tiada sebarang pembatalan dibuat terhadap penerbangan yang masuk atau keluar dari Indonesia berikutan letusan gunung berapi itu. AirAsia beroperasi seperti biasa," katanya.

Sementara itu, dalam khidmat pesanan ringkasnya kepada Bernama, MAS menyatakan: Tiada sebarang gangguan terhadap penerbangan MAS hari ini". - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved