Jumaat, 9 Mei 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Jalur lebar Perak terendah

Posted: 08 May 2014 11:41 AM PDT

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my

Zambry

IPOH 8 Mei - Kerajaan negeri memandang serius mengenai masalah infrastruktur telekomunikasi serta penembusan jalur lebar di negeri ini yang hanya mencatat kadar penembusan 51.4 peratus iaitu antara yang terendah di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, meskipun pelbagai perancangan telah dilakukan melalui KPERAK Implemention and Coordination Corporation (KPerak) beberapa tahun lalu, namun kadar penembusan yang dicatatkan masih rendah berbanding peringkat kebangsaan iaitu 67 peratus.

Tegas Zambry, pihaknya bertambah musykil apabila usaha tersebut yang turut mendapat kerjasama daripada Kerajaan Persekutuan serta dilakukan secara sistematik masih gagal merapatkan jurang digital berkenaan.

"Berdasarkan laporan yang ada, kita mendapati dari segi penembusan jalur lebar, Perak antara yang terendah meskipun pelbagai perancangan telah dibuat. Perkara ini menimbulkan tanda tanya kepada kita.

"Oleh itu, saya telah arahkan KPERAK untuk membuat siasatan dan audit secara terperinci bagi mengetahui sebab sebenar kenapa kita masih berada antara negeri terendah (penembusan jalur lebar)," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Zambry berkata, pada masa sama, pihaknya mendapati wujud kegiatan kecurian yang sangat serius melibatkan infrastruktur telekomunikasi di negeri ini dengan 70 kes dilaporkan dalam tempoh beberapa bulan lalu.

Tegas Zambry, berdasarkan laporan yang ada, pihaknya mendapati kegiatan tersebut dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan cukup mahir dalam bidang berkenaan.

"Kita tidak menolak sebarang kebarangkalian akan berlakunya kegiatan sabotaj yang dilakukan oleh golongan itu. Maka dalam mesyuarat hari ini, kita meletak kes ini dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pastikan ia dapat disiasat ke peringkat akar umbi dan mereka yang melakukannya tidak terlepas," katanya.

Sementara itu, Zambry memberitahu, beliau telah meminta syarikat telekomunikasi untuk memperbanyakkan lagi aktiviti penerangan dalam menarik minat rakyat di negeri ini menggunakan perkhidmatan mereka.

Selain itu, kata beliau, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga telah berjanji untuk menubuh 12 pusat internet 1Malaysia di negeri ini pada tahun ini selain 13 kawasan internet berkelajuan tinggi.

"Kita amat berharap melalui pelbagai langkah yang diambil ini, Perak mampu mencatatkan kadar penembusan jalur lebar yang lebih baik pada masa akan datang," katanya.

Waspada penjenayah menyamar pegawai kerajaan

Posted: 08 May 2014 11:41 AM PDT

Mazlan Kesah (kiri) bersama pegawainya melawat Aminah Mohamad yang menjadi mangsa samun dua lelaki menyamar sebagai kakitangan Pejabat Tanah dan Galian di rumahnya di Kubang Semang, Pulau Pinang, semalam.

PERMATANG PAUH 8 Mei - Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dengan sekumpulan dua hingga tiga individu yang menyamar sebagai pegawai kerajaan untuk menyamun mangsa, khususnya golongan wanita dan warga emas yang tinggal bersendirian di dalam rumah di kawasan perkampungan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, sehingga kini pihaknya menerima 10 kes samun barang kemas dan wang tunai berjumlah puluhan ribu ringgit, berdasarkan modus operandi (MO) itu sejak dua bulan lalu.

"Suspek dikesan menyamar sebagai kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Tenaga Nasional Berhad (TNB) Berhad, kakitangan pejabat daerah serta polis dan pergi ke rumah mangsa kononnya untuk urusan rasmi," katanya selepas menghadiri Program High Policing, di sini hari ini.

Berdasarkan keterangan mangsa, Mazlan berkata, anggota kumpulan berkenaan terdiri daripada lelaki berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun yang menaiki motosikal dan memperkenalkan diri sebelum bertindak agresif memasuki ke dalam rumah mangsa.

Terdahulu, Mazlan bersama anggotanya melawat warga emas, Aminah Mohamad, 60, yang menjadi mangsa samun dua lelaki menyamar sebagai kakitangan Pejabat Tanah dan Galian di rumahnya di Kubang Semang dekat sini, 15 April lalu.

Akibat kejadian itu, Aminah yang tinggal seorang diri mengalami kerugian RM3,000 selepas gelang tangannya dilarikan suspek.

Dalam pada itu, Aminah berkata, sehingga hari ini dia masih trauma kerana dicekik, dikasari dan diugut bunuh oleh dua penjenayah dalam kejadian tersebut.

5 penduduk dapat rumah bantuan ZPP

Posted: 08 May 2014 11:41 AM PDT

Mohd. Salleh Man (dua kiri) menyerahkan replika kunci rumah semasa program Penyerahan Bantuan Rumah Asnaf Fakir Miskin daripada Zakat Pulau Pinang kepada Azizan Ibrahim (kiri) di Kampung Paya Keladi, Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.

KEPALA BATAS 8 Mei - "Saya bersyukur dengan bantuan rumah yang diterima daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP) ini dan diharap memberi keselesaan kepada anak-anak saya yang semakin meningkat dewasa.

"Kini, kami sekeluarga juga tidak lagi rasa bimbang tatkala hujan atau risau rumah yang didiami rebah menyembah bumi akibat dimakan anai-anai sebab dapat rumah yang amat selesa," kata Azizan Ibrahim yang menetap di Kampung Paya Keladi Masjid di sini.

Azizan, 50, menerima sebuah rumah tiga bilik hasil sumbangan ZPP yang dibina dengan kos RM36,000 daripada Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Mohd. Salleh Man hari ini.

Sebanyak lima individu di sekitar Seberang Perai Utara dekat sini, menerima bantuan rumah seluas 63 meter persegi itu yang dilengkapi dengan pemasangan bekalan elektrik.

Menurut Azizan, dia menghidap sakit jantung sejak dua tahun lalu dan tidak mampu melakukan kerja-kerja berat sehingga terpaksa bergantung harap kepada isterinya, Noor Azizah Md. Salleh, 44, untuk mencari rezeki buat keluarga.

Jelasnya, tiga anaknya masih lagi belajar termasuk seorang di institusi pengajian tinggi manakala anak sulungnya telah bekerja.

"Kalau dulu saya tinggal di rumah milik adik yang amat uzur kerana beberapa bahagian rumah dimakan anai-anai tetapi kini lega apabila menerima bantuan rumah daripada ZPP ini," ujarnya.

Penerima lain yang mendapat bantuan itu ialah Md. Jamil Wahab dari Kampung Permatang Durian, Rosli Yaacob dari Permatang Berangan, Osman Saad dari Pasir Gebu, Penaga dan Roslan Cha dari Permatang Durian, Pinang Tunggal.

Sementara itu, Mohd. Salleh berkata, sepanjang tahun 2014, ZPP telah membina 10 buah rumah di seluruh negeri dengan nilai agihan sebanyak RM356,900.

Selain itu katanya, sebanyak RM196,644.20 juga telah dikeluarkan untuk membaik pulih 20 buah rumah di seluruh negeri yang dilaksanakan mengikut asnaf tertentu seperti fakir miskin dan mualaf.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved