Khamis, 8 Mei 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


PKNP giat bina pekan kecil di Perak

Posted: 07 May 2014 12:40 PM PDT

Oleh SAYED HESHAM IDRIS
hesham.idris@utusan.com.my

Sebahagian daripada projek pembangunan rumah kedai yang hampir siap di Trong, Perak.

IPOH 7 Mei - Dalam memastikan pembangunan sosioekonomi yang seimbang di semua kawasan di negeri ini, kerajaan Perak menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) kini giat membangunkan pekan-pekan kecil di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Muhammad Zahir Abdul Khalid berkata, program itu akan memberikan nafas baharu kepada pekan kecil yang terpilih, sesuai dengan kekuatan ekonomi yang ada di kawasan berkenaan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Lembaga Pengarah Pembangunan Pekan Kecil Kumpulan PKNK berkata, setakat ini empat buah pekan kecil iaitu Trong, Ijok, Sauk dan Kubu Gajah sedang dibangunkan.

Muhammad Zahir

"Selain itu PKNP turut merancang pembangunan yang sama di sembilan buah pekan kecil.

"Ia melibatkan Lekir, Bakar Bata, Slim Village, Gunung Semanggol, Changkat Jong, Labu Kubong, Sungai Lesong, Selekoh dan Bandariang.

"Sementara itu, 32 buah pekan kecil sedang dalam kajian untuk dibangunkan antaranya Air Panas, Sungai Bayor, Bukit Bernam, Titi Serong, Simpang Lima Parit Buntar, Changkat Lobak dan beberapa buah pekan lagi," katanya di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, selain daripada 32 pekan kecil yang sedang dalam kajian untuk dibangunkan, PKNP sedang merangka pembangunan di 17 pekan kecil namun tapaknya belum dikenalpasti.

Menurutnya, antaranya pekan Anak Kurau, Chenderiang, Changkat Lada, Sungai Ranggam, Ulu Kuang, Sungai Baru, Teluk Buluh, Kuala Sepetang, Sahom, Kampung Berkuai, Beruas, Kampung Teluk Sena, Simpang Air Hitam, Sungai Tiang, Sungai Damak dan Lempor.

Beliau berkata, konsep dan komponen projek di pekan kecil melibatkan pembinaan kedai desa satu dan dua tingkat, gerai satu tingkat dan sebuah kawasan dataran.

Katanya, kos pembangunannya adalah menerusi sumber dalam Kumpulan PKNP dan anggaran kos pembinaan setiap pekan kecil adalah di antara RM2 juta dan RM3 juta.

"Kajian teknikal dijalankan bagi mengenal pasti kesesuaian kawasan, kajian komersial dan kajian sebanyak mana kampung yang bakal mendapat manfaat daripada pembangunan sesebuah pekan kecil.

"Selain itu, kajian juga dibuat sama ada kedai atau kemudahan sedia ada di satu-satu pekan kecil perlu dinaik taraf dengan pembinaan bangunan perniagaan baharu," ujar beliau.

Menjelaskan lebih lanjut, Muhammad Zahir berkata, pembinaan kedai desa di setiap pekan kecil yang dibangunkan melibatkan pembinaan di antara empat hingga 10 buah kedai.

Bagi pembinaan gerai pula, jelas beliau, sebanyak empat hingga 10 buah gerai akan dibina.

"Secara keseluruhannya, kerja-kerja pembinaan memakan masa antara 15 hingga 20 bulan," katanya.

Tambah beliau, tujuan projek pembangunan itu adalah untuk meningkatkan aktiviti ekonomi kawasan terlibat, menambahkan pemilikan hartanah komersial bumiputera luar bandar dan mewujudkan premis perniagaan yang lebih selesa dan mudah dikawal selia.

Katanya, projek itu juga bertujuan membawa perkhidmatan pihak swasta dan kerajaan ke luar bandar.

"Dengan wujudnya satu tempat tumpuan di kawasan pekan kecil, ini diharapkan dapat mewujudkan interaksi masyarakat di kawasan tersebut," ujarnya.

Estet padi ubah nasib 145 petani

Posted: 07 May 2014 12:40 PM PDT

Oleh ABD RAZAK OSMAN
utusankedah@utusan.com.my

MUKHRIZ Mahathir (berdiri tiga dari kanan) bersiap sedia untuk menabur benih padi selepas melancarkan Program Pengurusan Estet Padi Sawah Gemilang 2014 di perkarangan Masjid Kampung Haji Kudung, Kota Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini. - UTUSAN/Abd Razak Osman

SUNGAI PETANI 7 Mei - Seramai 145 orang petani dari beberapa kampung sekitar Kota Kuala Muda, Jalan Pantai Merdeka dekat sini sangat bertuah apabila terpilih menyertai Program Pengurusan Estet Padi (EMM) Sawah Gemilang Tahun 2014 yang membabitkan sawah seluas 273 hektar.

Peserta program dibiayai Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) itu merupakan petani dari Kampung Haji Kudung, Sungai Deraka, Permatang Kelompang dan Kubang Jambu dekat sini.

Melalui projek itu, hasil pengeluaran petani di kawasan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Muda Selatan dijangka meningkat daripada 3 tan metrik kepada 5 tan metrik menjelang 2016 nanti.

Menurut Pengerusi Projek Sawah Gemilang Kampung Haji Kudung, Abdul Rahman Ismail, 67, langkah diambil oleh pihak berkenaan bagi memajukan penduduk sekitar Kota Kuala Muda melalui sistem tanaman padi begini adalah baik sekali.

"Kalau hendak buat projek secara bersendirian, kita tidak mampu melakukannya dan keprihatinan kerajaan dalam hal itu boleh mengubah masa depan petani di kawasan PPK Kuala Muda Selatan," katanya.

Ketua Kelompok Pertanian Permatang Kelompang, Abdul Kadir Awang, 41, pula berkata, teknik tanaman padi cara moden yang diperkenalkan boleh mempercepatkan petani mendapat tambahan kewangan.

"Sebagai petani, saya juga akan mengajak penduduk di kawasan sekitar supaya menumpu perhatian dalam kerja-kerja itu dan terima kasih kepada pelbagai agensi kerajaan kerana tampil menyokong Program Pengurusan Padi Sawah Gemilang di kampung ini," katanya.

Pelancaran program tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di perkarangan Masjid Kampung Haji Kudung di sini, baru-baru ini dengan kehadiran peserta terbabit.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Suraya Yaacob; Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq; Pengarah Pertanian Negeri Kedah, Ismail Salleh dan Pegawai Daerah Kuala Muda, Datuk Ahmad Fisol Md. Nor.

Tempoh setahun BN terajui Perak memberangsangkan

Posted: 07 May 2014 12:40 PM PDT

Zambry Abd. Kadir

IPOH 7 Mei - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menyifatkan genap setahun pentadbiran Barisan Nasional (BN) di negeri ini selepas Pilihan Raya Umum (PRU-13) sebagai tempoh yang memberangsangkan.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, negeri ini terus menikmati pembangunan hasil kerja keras barisan Exco yang telah menunjukkan prestasi yang baik.

Namun, tegas beliau masih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan kemajuan berterusan negeri ini di bawah BN.

"Saya mengucapkan terima kasih di atas sumbangan dan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak terhadap pimpinan BN negeri sepanjang tempoh pentadbiran yang sudah memasuki tahun pertama.

"Kerajaan negeri akan meneruskan perancangan yang telah dilaksanakan pada penggal yang lalu.

"Kita juga akan melakukan beberapa kajian semula bagi menilai pencapaian-pencapaian yang lalu untuk proses penambahbaikan dalam semua sektor," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program temuramah khas Setahun Menerajui Perak Selepas PRU-13 bersama stesen radio RTM Perak FM di sini malam semalam.

Tambah Zambry, sokongan rakyat yang tidak berbelah bagi terhadap kerajaan negeri akan memastikan negeri ini terus mencatat pembangunan pesat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Kata beliau, program turun padang dengan slogan Tiada Tertinggal Tiada Terpinggir yang dilaksanakan sebelum ini akan dilaksanakan secara berterusan.

Katanya, program itu tidak hanya tertumpu pada waktu tertentu sahaja kerana ia merupakan agenda untuk membantu rakyat keluar daripada belenggu kemiskinan.

"Pendekatan turun padang juga perlu lebih kreatif untuk menyelesaikan apa jua masalah rakyat.

"Perkara yang paling penting ia fokus tidak lagi hanya kepada peranan Menteri Besar sahaja tetapi kemajuan berterusan negeri ini turut dibantu oleh barisan Exco yang mempunyai peranan yang cukup penting," tegasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved