Isnin, 5 Mei 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Bekerjasama cungkil bakat sukan Orang Asli

Posted: 04 May 2014 11:24 AM PDT

Zainol Fadzi Paharuddin (tengah) menyampaikan piala johan keseluruhan kepada Isa Ab. Hamid (dua dari kanan) selepas Pahang muncul juara keseluruhan Karnival Sukan Perpaduan Masyarakat Orang Asli Malaysia di Ipoh, Perak, semalam. - UTUSAN/Zulkarnain Mohd. Saidin

IPOH 4 Mei - Kerajaan negeri akan terus menjadi rakan kerjasama kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk mencungkil bakat baharu golongan berkenaan khususnya dalam bidang sukan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, kerjasama antara kerajaan negeri dengan jabatan itu harus berterusan kerana beliau yakin banyak bakat baharu boleh diketengahkan.

Kami yakin dengan keunikan serta kebolehan yang dimiliki oleh masyarakat Orang Asli khususnya dalam bidang sukan. Mereka mempunyai kekuatan tersendiri dalam sukan membabitkan tenaga dan kemahiran tangan.

Kami percaya bakat-bakat baharu boleh dicungkil dalam kalangan masyarakat Orang Asli. Tidak mustahil suatu hari nanti akan lahir jagoan sukan tanah air yang merupakan dalam kalangan Orang Asli," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penutup Karnival Sukan Perpaduan Masyarakat Orang Asli Malaysia kali ke-10 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jakoa, Datuk Mohd. Sani Mistam dan Pengarah Jakoa Pahang, Isa Ab. Hamid.

Pada karnival kali ini, Pahang muncul johan keseluruhan dengan 92 mata, diikiuti tuan rumah, Perak di tempat kedua dengan 62 mata dan ibu pejabat Jakoa melengkapkan kedudukan tiga teratas apabila memungut 42 mata.

Karnival berkenaan berlangsung selama lima hari bermula Rabu lalu sehingga hari ini.

Mengulas lanjut, Zainol Fadzi memberitahu, kerjasama padu daripada semua pihak memberi aspirasi kepada masyarakat Orang Asli supaya terus berusaha lebih gigih untuk menempa nama dalam bidang sukan.

Katanya, banyak pihak termasuk Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sentiasa memberi tumpuan kepada masyarakat Orang Asli bagi memastikan golongan itu.

Kerajaan negeri sendiri setiap tahun menganjurkan karnival sukan Orang Asli dan kami akan terus melaksanakannya. Kami percaya menerusi inisiatif seumpama ini, bakat terpendam dalam kalangan Orang Asli dapat ditonjolkan," jelas beliau.

Warga emas maut disambar petir

Posted: 04 May 2014 11:24 AM PDT

Oleh AIN SAFRE BIDIN
pengarang@utusan.com.my

MAYAT Muhamad Rami Rais dijumpai atas jalan berhampiran parit selepas disambar petir bersama seekor lembunya di Tali Air 6, Chenderong Balai, Teluk Intan, Perak, kelmarin.

TELUK INTAN 4 Mei - Seorang lelaki warga emas maut akibat disambar petir ketika hujan lebat dalam kejadian di Tali Air 6, Chenderong Balai, Labu Kubong dekat sini petang semalam.

Ketika insiden kira-kira pukul 4.30 petang itu, mangsa, Muhamad Ramli Rais, 59, sedang membawa 20 ekor lembu ternakannya ke kandang.

Seekor haiwan ternakan mangsa turut mati akibat disambar petir.

Seorang rakan mangsa, Amir Din, 46, berkata, sebelum kejadian, dia sempat minum bersama mangsa di sebuah warung berhampiran tempat kejadian.

Namun katanya, kerana hujan, mangsa segera beredar kerana mahu membawa pulang ternakannya masuk ke kandang.

Tidak lama selepas dia beredar, saya dimaklumkan dia disambar petir lalu saya segera ke tempat kejadian dan hanya mampu melihat tubuh arwah terbaring di atas tanah berhampiran parit.

Seekor haiwan ternakannya turut mati akibat disambar petir kira-kira 10 meter dari tempat arwah ditemui terbaring," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, anak mangsa, Muhamad Sazuan Ramli, 19, berkata, sebelum keluar rumah, bapanya tidak berkata apa-apa.

Menurutnya, ini kerana mereka sekeluarga sememangnya tahu bapanya akan ke padang ragut berhampiran rumah mereka untuk melihat lembu ternakannya.

Kami sekeluarga sangat terkejut dengan kejadian ini dan bersedih atas pemergiannya, namun kami reda serta menerima ketentuan ilahi ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika dihubungi berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat dan telah dituntut oleh ahli keluarga.

Katanya, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Program One Kuale dapat sambutan lebih 8,000 pengunjung

Posted: 04 May 2014 11:24 AM PDT

Zambry Abd. Kadir (tengah) bersalam dengan pengunjung Program One Kuale di Kuala Kangsar, Perak, semalam. - UTUSAN/HASHIM P. MAMAT

KUALA KANGSAR 4 Mei - Program One Kuale anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Kangsar dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang mempromosikan program kejohanan bola sepak Piala Dunia Rio To Malaysia di sini semalam mendapat sambutan apabila dihadiri lebih 8,000 pengunjung.

Antara program yang diadakan termasuk pertandingan memancing 'Joran Ria' yang disertai lebih 100 kaki pancing.

Pengunjung juga diberi peluang menunjukkan bakat sebagai pengulas sukan televisyen, juga pertandingan bola sepak untuk kanak-kanak Street Soccer Kids.

Selain itu, program kenduri sekampung juga diadakan dengan masyarakat di kawasan Parlimen Kuala Kangsar menjadi tukang masak dan hidangan dijamu kepada orang ramai yang hadir.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Khairil Anuar Wan Ahmad.

Wan Khairil berkata, berdasarkan sambutan hangat yang diterima daripada penganjuran program kali ini, pihak penganjur tidak menolak permintaan ramai yang mahukan program itu diadakan setiap tahun.

Katanya, beliau gembira dengan sambutan yang diberikan oleh semua pihak bagi melihat program itu dijayakan dengan sempurna.

Atas permintaan ramai, penganjur akan mempertimbangkan untuk mengadakan program itu setiap tahun walaupun cadangan awal ia diadakan setiap dua tahun.

Program ini berjaya menarik ramai untuk datang ke Kuala Kangsar, sekali gus membantu mempromosikan bandar ini," katanya.

Sementara itu, Zambry berkata, program seumpama itu dapat mendekatkan masyarakat tanpa mengira kaum.

Program seumpama itu juga kata beliau, dapat mengeratkan hubungan dan kerjasama di antara pemimpin dengan masyarakat.

Kejayaan program ini adalah hasil kerjasama yang erat antara masyarakat dan pemimpin yang berjaya mewujudkan persefahaman dan perpaduan yang erat," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved