Ahad, 4 Mei 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Projek buka peluang kerja kepada Orang Asli

Posted: 03 May 2014 11:25 AM PDT

A. Ramesh (tengah) bersama 15 Tok Batin menunjukkan dokumen persetujuan untuk meneruskan Pembangunan Projek Hidroelektrik Kecil dalam satu sidang akhbar di Ipoh, Perak, semalam.

IPOH 3 Mei - Pembangunan projek hidro elektrik kecil yang bakal dijalankan di lapan buah lokasi di negeri ini akan membuka peluang pekerjaan kepada kira-kira 30,000 masyarakat Orang Asli.

Pengurus Besar Perak Hydro Renewable Energy Corporation (PHREC), A. Ramesh berkata, pembangunan yang meliputi 31 tapak projek dan 90 peratus daripadanya melibatkan kawasan penempatan Orang Asli itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Katanya, PHREC yang diamanahkan untuk membangunkan projek berkenaan menyifatkan pembangunan itu antara lain meningkatkan taraf ekonomi golongan tersebut melalui projek yang dijadual dijalankan selama 21 tahun.

"Melalui penglibatan PHREC dalam melaksanakan projek ini, kerajaan negeri secara langsung dapat meningkatkan pendapatan tahunan sebanyak 2.5 peratus daripada penjanaan elektrik selama 21 tahun.

"Jumlah pendapatan itu akan diterima oleh kerajaan negeri sebelum disalurkan kepada komuniti Orang Asli untuk tujuan pembangunan dan kemajuan di kampung masing-masing," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ramesh berkata, PHREC juga telah menandatangani memorandum persefahaman dengan penduduk yang terlibat bagi tujuan menyalurkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang merangkumi faedah-faedah kemanusiaan, ekonomi dan sosial khususnya untuk kemajuan masyarakat Orang Asli.

Katanya, setakat ini, lapan tapak projek akan digerakkan dalam masa terdekat antaranya di Sungai Kerian, Ulu Slim, Ulu Geruntum (Gopeng), Ulu Geroh (Gopeng), Ulu Kampar dan Jernang (Sungkai).

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ramesh berkata, pihaknya ada menerima bantahan daripada segelintir penduduk yang tidak bersetuju sekiranya projek berkenaan diteruskan di kawasan mereka.

"Pada saya, bantahan mereka tidak berasas kerana apa yang dilakukan adalah untuk kebaikan mereka pada masa akan datang.

"Saya tidak tahu apa tujuan mereka untuk membantah sedangkan projek berkenaan akan memberi peluang ekonomi kepada mereka. Bukan untuk Tok Batin, tetapi untuk anak cucu mereka," ujarnya.

Laksana tugas sebaik mungkin

Posted: 03 May 2014 11:26 AM PDT

ALOR SETAR 3 Mei - Semua kontraktor kerja pembersihan awam dinasihatkan melaksanakan tugas dengan baik demi mencapai sifar aduan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Badrul Hisham Hashim berkata, syarikat Environment Idaman Sdn. Bhd. telah melaksanakan Manual Operasi kepada kontraktor di bawahnya dalam mewujudkan keseragaman ketika melakukan kerja pembersihan awam.

Menurutnya, kontraktor terlibat perlu menjadikan Manual Operasi tersebut sebagai rujukan dan panduan untuk memastikan jaminan dari aspek keselamatan dan kelancaran tugas harian.

"Pemeriksaan dilakukan setiap hari kepada kontraktor terlibat untuk pastikan mereka mengikut garis panduan yang ditetapkan dan hal ini dipandang serius kerana kita sememangnya menitikberatkan mengenai kebersihan.

"Tindakan memberikan kawasan di bawah seliaan kontraktor tersebut kepada pihak lain boleh diambil sekiranya terdapat kontraktor yang gagal mematuhi Manual Operasi ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran dan Taklimat Manual Operasi di sini baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA), Ir. Sanusi Awi dan Ketua Pegawai Eksekutif Environment Idaman, Mhd. Saiful Khairul Anuar Zainal.

Menurut beliau, di negeri ini terdapat 56 kontraktor terlibat dalam menjalankan kerja pembersihan termasuklah pembersihan longkang, kitar semula dan pengurusan sampah pukal.

Badrul Hisham berkata, kontraktor tersebut juga boleh dikenakan penalti sebelum tindakan diambil terhadap mereka.

Menurutnya, kontraktor perlu sentiasa melaksanakan tugas dengan baik dan tidak berada dalam zon selesa bagi mengelak tindakan diambil terhadap mereka.

"Kita juga melantik kontraktor simpanan bagi menggantikan kontraktor yang dikenakan tindakan," ujarnya.

Dalam pada itu, Badrul Hisham turut memberitahu, kerajaan negeri kini menerima maklum balas yang baik daripada rakyat berhubung masalah kebersihan.

Ujar beliau, kerajaan negeri juga sedang berusaha untuk mencapai sifar aduan mengenai sampah oleh rakyat.

"Sekarang kita telah mencapai penurunan sebanyak 20 peratus berhubung aduan sampah dan kita yakin dengan kerjasama oleh semua pihak termasuk rakyat masalah mengenai sampah ini dapat diselesaikan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved